Saturday, June 6, 2009

PANDANGAN MOHD AFFANDI HASSAN:

Mengapakah PAS bagaikan:
berminat menghidupkan UMNO?

Dalam muktamar PAS yang masih berjalan sekarang (6/6/2009), soal kerajaan perpaduan menjadi tajuk utama persidangan. Ada sesuatu yang agak aneh mengenai perkara ini. Ketika UMNO sudah sampai ke peringkat nyawa-nyawa ikan, akan hilang hayat bila-bila masa saja, PAS tampil sebagai penyelamat dengan mengajukan cadangan kerajaan perpaduan. Ataukah PAS sendiri sedar dua perkara: kehadirannya dalam Pakatan Rakyat masih meragukan PAS dari segi peranan yang berkesan yang boleh dimainkan; atau PAS memang sedar talian hayatnya berada dalam tangan UMNO? (gambar, sama macam perhimpunan agung UMNO).

Kedua-dua andaian ini mungkin kedengaran agak nakal, tetapi perlu dijelaskan. Jika PAS menggunakan cadangan kerajaan perpaduan itu sebagai satu strategi untuk mencapai matlamat yang lebih besar, misalnya untuk muncul sebagai parti Melayu terkuat yang boleh menentukan arah politik Malaysia, maka matlamat itu, jika benarlah itu matlamatnya, tentulah disedari UMNO yang lihai itu; dan dalam konteks ini PAS akan terus dikorbankan dalam arena politik seperti yang terjadi zaman Asri Muda dulu.

Jadi apa alasan PAS yang berapi-api menjeritkan UMNO sudah mati, kini mahu berganding bahu dengan satu organisasi yang sudah mati?(gambar, cium tangan Presiden ala UMNO). Itulah yang pelik itu, yang ketinggian dan kecanggihan jenis strateginya sukar difahami, kecuali dalam konteks “hidung tak mancung pipi tersorong-sorong”. Pada fikiran orang Melayu biasa yang bodoh-bodoh dalam soal strategi ini, UMNO wajar dikuburkan saja kerana selama lebih 50 tahun parti bangsawan (yang tulen bangsawannya dan yang meniru-meniru sifat bangsawan tulen itu) ini telah merugikan orang Melayu dan Islam.

Kedua-duanya, Melayu dan Islam, kini menjadi kelam-kabut, keliru dan terumbang ambing mencari arah yang betul. Oleh itu amat aneh jika PAS turut sama menjadi penyebab kepada masalah ini dengan cuba membantu satu organisasi yang nyata merugikan bangsa Melayu dan agama Islam. Alasan bahawa masalah sekarang perlukan kerajaan perpaduan untuk menyelesaikannya, sangat sukar diterima. Nampaknya PAS sangat tidak selesa berada bersama PKR dan DAP, kerana dalam persepakatan itu PAS merasakan dirinya bermain “jong dondang” saja, bukan pemain utama.

Jika itulah perasaan PAS, maka politiknya akan terus menjadi masalah kerana nampaknya para pemimpin PAS tidak boleh percayakan kejujuran teman-temannya dalam PR. Bagaimana pula PAS lebih percayakan UMNO yang telah melemparkannya ke Laut China Selatan? UMNO tentu tertawa besar melihat “jopng dondangnya” satu ketika dulu masih belum dewasa. Atau terlalu dewasa sehingga menjadi nyanyuk? Ini perlukan penjelasan. Dan tidak ada nilai paling tinggi dalam diri seorang ahli politik Islam melainkan sabar menerima kritikan rakyat yang masih keliru tentang pendirian PAS sebenarnya. - [6/6/2009] Mohd. Affandi Hassan

1 comment:

Seladang said...

Sebab masing2 antaranya ada yang gilakan jawatan menteri atau timbalan menteri. Perjuangan mereka bersandarkan rakyat dan Islam tetapi kebendaan dan pangkat hati di dalam!
Cuba tanya Dr HA!