Sunday, July 12, 2009

SELEPAS SEHARI BN MENANG DI MANEK URAI:

Muhyiddin janji jambatan RM7j:
Dibina sebaik sahaja BN menang

KUALA KRAI: Barisan Nasional (BN) hari ini berjanji akan menjadikan Manek Urai sebagai kota agropolitan moden sekiranya parti itu mendapat mandat daripada rakyat, Selasa ini. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata bagi membuktikan komitmen BN, sebuah jambatan baru akan dibina menggantikan jambatan lama di Kampung Manik Urai Lama, sejurus BN memenangi kawasan itu. "JKR sudah mentaksirkan kos membina jambatan baru itu nanti adalah sebanyak RM7 juta... Kita (BN) janji jambatan baru itu akan dibina sehari (selepas) kita menang.

"Janji capai kejayaan dulu," katanya ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Sekolah Kebangsaan Manik Urai, di sini petang tadi. Jambatan sempit, yang hanya boleh memuatkan sebuah kenderaan pada satu-satu masa berusia lebih 40 tahun, menimbulkan kesulitan kepada penduduk kerana tiada sebarang tindakan diambil bagi memperbaikinya oleh kerajaan negeri. Pembinaan jambatan yang amat diperlukan penduduk serta tawaran menjadikan Manek Urai sebagai kota agropolitan dilihat sebagai kesungguhan Kerajaan Pusat untuk membawa Manek Urai dalam arus pembangunan negara.

Mengulas mengenai kota agropolitan itu, Timbalan Perdana Menteri, berkata kawasan Manek Urai mempunyai ramai penduduk yang terbabit dalam bidang pertanian seperti penoreh getah dan pekebun kecil. Dengan cara itu, pembangunan pertanian akan dilakukan secara lebih tersusun dan sistematik serta bantuan-bantuan berkaitan boleh disalurkan dengan lebih efektif, katanya. Muhyiddin berkata, kerajaan Pusat membuat tawaran itu kerana sedar kerajaan negeri tidak mampu berbuat demikian dan pada masa yang sama rakyat Manek Urai memerlukan pembelaan. Beliau juga mengulangi cabaran kepada kerajaan negeri pimpinan Pas untuk menyatakan apa yang mereka lakukan untuk pembangunan Islam dan ummah di negeri yang diperintahnya sejak 1990. (Gambar, Manek Urai hadapi PRK sekarang)

"BN kalah pun kita tetap bina 564 buah masjid di seluruh Kelantan," katanya. Kerajaan Persekutuan juga membina banyak kemudahan lain seperti sekolah, hospital untuk kemudahan rakyat. "Saya minta pengundi buat (solat) istikharah. Tidak salah memilih BN kerana BN mampu (membawa perubahan dan pembangunan)," katanya. Antara yang hadir pada majlis itu, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed; timbalannya, Datuk Dr Awang Adek Hussin dan calon BN, Tuan Aziz Tuan Mat. - Bernama

No comments: