BANJIR BESAR DI KG BACANG MANTING
PEMBANGUNAN MENYUSAHKAN RAKYAT
Ketika masyarakat menjalani ibadah puasa disamping persediaan untuk menyambut hari kemerdekaan yang ke-52, jangan kita pinggirkana isu yang melanda penduduk di Kg Bacang Manting, Jelebu, Negeri Sembilan. Sukar untuk diramalkan perubahan cuaca yang kadangkala tidak diduga namun pembangunan yang sedang diratah di kawasan perkampungan Gagu telah mengakibatkan ekosistem berlaku perubahan besar dalam sejarah perkampungan Kg Bacang Manting.
Menurut salah seorang penduduk yang hanya dikenali sebagai nek Safiyah, memberitahu pada malam 27 Ogos 2009 (Jumaat) selepas waktu berbuka puasa keadaan sekeliling rumah mula dinaiki air. Sehingga lewat pukul 9.00pm air mula naik sehingga ke paras dada. "Selepas berbuka nek megerjakan solat maghrib, selepas itu air mula naik di bahagian dapur dan naik sehingga ke tingkat atas. Nek suruh anak perempuan nek telepon bomba untuk dapatkan bantuan," keluh nek Safiyah. Menurut anak perempuan nek Safiyah, hujan pada ketika itu tidaklah selebat hujan sebelum ini yang dulunya pernah berlarutan selama seminggu. Ketika itu, keadaan banjir hanya pada paras buku lali dan surut beberapa jam selepas itu.
Namun banjir yang berlaku ini, turut diakui oleh penduduk yang dikenali sebagai Pak Tam. Menurut beliau, banjir yang berlaku pada Kg Bacang Manting adalah disebabkan oleh pembangunan yang dijalankan di Kg Gagu untuk membina empangan. Keadaan tanah yang tidak seimbang menyebabkan air yang datangnya dari Kg Gagu melimpah ke perkampungan Bacang Manting. "Orang lain sibuk sambut merdeka, kita pula dalam darurat. Kena bersihkan rumah yang disalut lumpur, malam terpaksa bergelap sebab plug dah dimasuki air. Telepon pun tak berfungsi", rungut Pak Tam.
Apa yang menghairankan pihak PRIMA, tidak ada berita dicanangkan di media cetak mahupun media elektronik mengenai banjir besar yang berlaku di perkampungan Bacang Manting. Kampung Bacang Manting juga hampir lupus, kerana namanya sudah tak tercatat dalam peta di daerah Jelebu (sekadar disebut dalam buku daftar Suruhanjaya Pilihanraya sahaja), kerana generasi sekarang mengenalinya sebagai ‘Kampung Teriang’ (sebenarnya Teriang atau Hulu Teriang ialah sebuah mukim merangkumi Kampung Gagu, Kampung Sungai Legom, Kampung Cenderak, Kampung Durian Gasing, Kampung Sepam, Kampung Tengah, Kampung Bacang Manting, Kampung Petaling, Kampung Seperi, Kampung Cempedak, Kampung Pianggu dan Kampung Durian Daun). Tak hairanlah, pengkritik sastera Drs Ramli Isin mengandaikan ‘Kampung Bacang Manting’ mungkin sahaja wujud dalam imaginasi pengarang.
Selepas seminggu perkara ini berlalu, kesannya pada penduduk amat dirasai kerana tidak ada seorang pemimpin dari kalangan orang politik sanggup turun menjengah ke kediaman penduduk yang dilanda banjir. Hanya sekadar memberi sumbangan dimana penduduk Kg Bacang Manting turun ke Kg Gagu untuk menerima wang tersebut. Hairan bukan kepalang, memikirkan gelagat 'mereka' yang berpakaian kot, bersepatu kilat takut mencalitkan lumpur di kaki seluar. Sumbangan satu hal, projek masih diteruskan. Apakah tindakan yang akan menyusul selepas banjir ini? Takkan sampai Kg Bacang Manting bertukar menjadi Tasik Bacang Manting? Astaga!
-Waris Pak Dharma
2 comments:
Tahniah, kerana meneruskan perjuangan ayahanda.. Semoga tabah dan kuat semangat dalam menengahkan isu2 penduduk kampung... Berjuanglah hingga ketitisan terakhir.. Semoga Allah membalas segala jasa kalian..
-Orang Kampung-
Kami Sekeluarga Mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Aidil Fitri Dan Dari Dalam Diri Kami Memohon Berbanyak Ampun Dan Maaf Diatas Segala Keterlanjuran.Mudah-mudahan Di Hari Yang Berbahagia Ini Akan Dapat Memperteguhkan Silaturrahim Kita,InsyaAllah.
Post a Comment