Thursday, April 16, 2009
YASSINSALLEH DENGAN SKETSA...
Big Men Waterland:
Isteri meroyan, dibuang kerja.
Dia jual surat khabar lama dan dia pun belilah magnum, tak kena. Dia jual pakaian lamanya beli kuda, tak kena juga. Dia jual perabut lamanya beli toto pun tak kena juga. Dia minta tolong kawan-kawan, semuanya tak layan. Bayi nak susu, isteri meroyan, anak besar kat universiti, anak sedang kat sekolah, anak kecil kat tadika. Majikan tutup kilang, dia kena buang kerja. Api dah kena potong semalam, esok lusa airlah pulak. Nak menanak, beras tinggal segenggam. Di tv jiran sebelah live, Perdana Menteri baru angkat sumpah jawatan, tiba-tiba ketukan di pintu. 'Orang wellfare nak hulur bantuan,' agaknya dalam hati.
Di muka pintu dua anak muda bertali leher, berseluar jean, pakai baju belang-belang lantas menghulurkan buku: NAJIB TUN RAZAK vs TUKANG KACAU MALAYSIA. "Ambillah pakcik, kami bagi free." Esoknya di tepi pagar sekolah, Pakcik Chandran membungkus kacang putihnya dengan kertas buku yang banyak gambar-gambar Big Men Waterland. Gambar-gambar ada yang tersengih, ada yang menyeringai, ada yang senyum lebar. Selepas dibungkus kacang putih, kertas gambar-gambar tersengih, menyeringai dan senyum lebar dicampak ke tepi longkang. Ada yang dipijak dan ada yang disepak ke longkang. Padanlah!
(*Yassinsalleh ialah penyair dan bekas pendidik, pernah terbabit sebagai aktivis perfileman pada dekad 1980-an. Menang anugerah pengarah terbaik menerusi filemnya 'Dia Ibuku' pada Pesta Filem Malaysia dekad 1980-an. Sebelum itu filem pertamanya 'Potret Maria' dianggap pengkritik-pengkritik filem, sebagai kelainan daripada filem-filem Melayu selepas era Tan Sri P. Ramlee)
SUARA DARI PULAU PINANG...
Fairus letak jawatan ADUN
Satu lagi p/raya kecil menunggu
Pilihanraya kecil N.14 Penanti di Pulau Pinang akan disiytiharkan, berikutan peletakan jawatan ADUN di situ Muhamad Fairus Khairuddin berkuat kuasa hari ini (16 April 2009). Muhamad Fairus yang meletakan jawatan Timbalan Ketua Menteri 1 baru-baru ini, di samping didakwa terbabit dalam isu rasuah oleh SPRM, mengambil keputusan meletakkan jawatan ADUN. Dalam satu kenyataannya hari ini, Muhamad Fairus mengakui langkah tersebut bagi memelihara nama baik PKR menghadapi tekanan politik yang berterusan daripada BN.
Peletakan jawatan Muhamad Fairus bagi membolehkan Suruhanjaya Pilihanraya Diraja (SPR) mengadakan satu lagi pilihanraya keci, apabila kerusi N.14 Penanti dikosongkan. Kalangan penganalisis politik berpendapat, apabila BN enggan mengadakan pilihanraya DUN Perak sekalipun krisisperlembagaan semakin rumit, pilihanraya kecil satu demi satu mungkin diatur oleh Pakatan Rakyat (PR). Justeru bagi mengelakkan pilihanraya kecil berlaku berterusan, DUN Perak perlu dibubarkan segera, menurut penganalisis politik.
LAPORAN PETANG...
Dirawat di hospital PUSRAWI:
Haji Bakar mengalami mini-stroke
Aktivis PRIMA yang juga penerbit buku, Haji Abu Bakar Ninggal menerima rawatan di Pusat Rawatan Islam (PUSRAWI) hari ini (16 April 2009) akibat gangguan mini-stroke sejak dua hari lalu. Bagaimanapun keadaan beliau stabil, menurut isterinya Hajjah Roselina Hussein. Dua hari lalu Hajjah Roselina menghubungi sekretariat PRIMA memberitahu Haji Abu Bakar kurang sihat, di samping mengalami gangguan sakit kepala. Setelah menerima rawatan di PUSRAWI, Haji Abu Bakar disahkan mengalami mini-stroke. "Haji Abu Bakar memerlukan rihat di samping pemeriksaan ujian darah," Hajjah Roselina menambah.
CATATAN ZAKARIA BIDIN...
Sami Buddha ikut solat:
Orang Islam dikunjung mubaligh
Kebanyakannya berkata dunia dah nak kiamat. Tapi tak kiamat-kiamat. Salah orang kita le juga tidak persoalkan dan tidak menghalang dari disalahgunakan untuk mencemar agama kita. Banyak dah tempat-tempat orang Islam sudah dikunjungi mubaligh Buddha ni. Ada yang menyamar jadi penceramah pun ada seperti di tempat saya yang cuba menghasut anak-anak muda yang membawa sifat Buddist apabila dikatakan manusia yang mati nanti akan hidup semula dalam sifat haiwan mengikut tahap dosa masing-masing. Pengajaran yang salah ini sedang rancak menyelidap di mana-mana. Ada orang Islam yang sudah hari ini sudah sangat berminat memakai pakaian ala padri seperti bush jaket yang bertatah putih di bahagian halkum.
Perkara ini berlaku kerana orang Melayu banyak tempat ibadat hingga mereka tak sembahyang di rumah lagi dah. Mereka lebih berminat bersembahyang di surau yang mana di situlah tempat mubaligh kristian dan buddist berkunjung menyamar jadi orang alim Islam dan mempengaruhi masyarakat secara halus. Apabila orang Melayu meninggalkan sembahyang di rumah, mereka tidak tahu apakah anak isteri mereka berimamkan siapa dan hilanglah kelayakan ketua rumah jadi imam. Mereka lebih suka jadi makmum di surau yang akhirnya terjerumus dalam kancah perangkap mereka yang songsang. Wasallam.
INFO SASTERA & BUDAYA...
PUISI
Sekadar Singgah
Di Pelabuhan Kotamu
Kata pujangga
bermanja pada yang kasih
merajuk pada yang sayang
meminta pada yang ada,
kerana kau cumalah
seorang penyair
bagaikan pelaut pilu
yang sekadar singgah
di pelabuhan kotamu
takkanlah dapat
aku mohon bermanja.
Mana mungkin
ada kasih yang tiba-tiba
ranum menguntum
di taman hatimu
sepantas kecantikanmu
memukauku.
Apalah yang hendak
ku rajukkan
mana mungkin
rasa sayang berkembang
di kolam kasihmu
kerana aku cumalah
bagaikan pengembara lara
yang berlalu melintasi
simfoni pelangimu.
Makanya,
tiadalah apa
yang dapat ku pinta darimu
duhai serinditku
nan ayu jelita
kerana aku tiba-tiba datang
tanpa undangan
kerana aku tiba-tiba singgah
tanpa pelawa.
Dan demikian aku
tiba-tiba menjelma
sedemikianlah jua aku
menghilang
meneruskan kembara
mencari pelangi
fatamorgana
kau anggaplah saja
segalanya aku bagaikan
tak pernah ada!
-Yassinsalleh
jam 04:57:42
April 15, 09
pilu kian menusuk
sayu kian menikam
jangan mengadu sesak
lebih baik menipu.
Dandankan Hiasan Rambut
Wahai raja catur
dandankanlah hiasan rambut
permaisurimu, kukuhkanlah
benteng tembok
istana-Mu.
Jangan pedulikan
barisan soldadu
seperti-Ku
yang bersetia
untuk sembelihan korban
untuk lelongan
di pasar cyber
hiasan temasya
orpy keraian erotica
teketnya sudah ku bayar
dengan keringat di ranjang
membuka mesra dada
dan paha kebasahan
memanjang.
Tiada pingat
yang ku pinta
cuma, sekiranya
tiba waktunya
janin kita akan diledakkan
sekadarnyalah,
pusaraku biarlah
bernama.
Kerananya aku
hanya satu
antara beribu
buah caturmu
walaupun ada
bagimu aku
tetap tiada!
-Dr Seri Intan Mokhtar
16 April 09
taman tinggi cempaka,
maluri, KL.
KOMENTAR:
bersama Pak Parjo...
Penitir canang diingatkan:
Jangan sibarkan berita palsu
Sebermula akan Orangkaya Menteri Penerangan Dato' Seri Rais Yatim (gambar) segeralah ia ingatkan penulis-penulis lain daripada penitir canang (disebut orang banyak ialah blogger) supaya jangan menyibarkan berita-berita palsu. Maka sukarlah fakir mahu menafsirkan perkara berita palsu, kerana pada suatu hari Raja Petra Kamaruddin yang berkata benar itu dipenjarakan ia beberapa bulan di Kemunting. Syahdan Orangkaya Dato' Seri Rais itu pernahlah ia bercakap benar, maka dicantas oleh bekas Orangkaya Perdana Menteri Tun (Tabib) Mahathir Mohamad terbuang ia beberapa lama.
Arakian sekali persetua penitir-penitir canang yang bercakap lain di mulut lain di hatinya, maka diberilah ia tempat. Setelah diketahui mereka apa sebenarnya berlaku, maka oleh penitir-penitir canang itu ditulisnya perkara yang molok-molok sahaja. Terlalulah sukacita hati Orangkaya Perdana Menteri dengan perkara molok-molok yang ditulis penitir-penitir canang; oleh itu mereka tak berani nak bersuara mengenai PPSMI itu, adanya. Syahdan bertanyalah sekalian orang banyak perkara palsukah yang disebut Bahasa Melayu, ketuanan Melayu, ledakan Altantuya, pemecatan Tun Salleh Abbas, BMF, pembunuhan Mamali dan banyak lagi?
Syahdan telah itu Seri Bija Diraja kembali ke Melaka. Maka negeri Melaka makin makmurlah, masyhurlah peri kebesaran Melaka itu dari atas angin datang ke bawah angin, seperti diberitahu penitir-penitir canang. Maka oleh segala Arab dinamainya Malakat, tempat perhimpunan segala dagang. Adapun zaman itu sebuah negeri pun tiada menyamai Melaka, melainkan Pasai dan Haru tiga buah negeri itu juga sama besarnya. Tua muda pun rajanya berkirim salam juga. Tetapi orang Pasai barang dari mana surat datang, jika salam pun dibacakannya sembah juga oleh bijaknya penitir-penitir canang bermuka-muka seperti disebut dalam 'Kitab Melayu' oleh:
HIDUP BAHASA MELAYU!