Friday, July 27, 2007

JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)


INFO HAK ASASI MANUSIA:
(dari meja pimpinan)


KALANGAN AKADEMIK SOKONG KU LI
BAHASA MELAYU BUKAN MELAMPAU

Mantan Timbalan Naib Canselor (HEP) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dato’ Dr. Mohd Mansor Abdullah menyambut baik ucapan mantan Menteri Kewangan Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah ketika menyampaikan ‘Syarahan Zaaba’ di Universiti Malaya semalam (26 Julai 2007). Dalam ‘Syarahan Zaaba’ itu Tengku Razaleigh menegaskan, orang Melayu hanya meminta perkara yang sederhana sahaja iaitu mahukan bahasa dan kebudayaan Melayu tidak dipersoal. Kata Mansor, kalau komuniti Cina masih berbangga dengan ‘bahasa Cina’ (atau Mandarin), orang India dengan ‘bahasa India’ (atau (Tamil), orang Melayu juga perlu mendaulatkan ‘bahasa Melayu’.


Menurut Mansor, pada peringkat awal digerakkan sekolah-sekolah menengah Melayu, pemimpin-pemimpin negara tidak berasa malu menyebut ‘sekolah menengah Melayu’, kenapa sekarang disebut ‘sekolah menengah kebangsaan’. Mansor, antara pelajar awal yang dieksprimen bagi mewujudkan ‘sekolah menengah Melayu’ pada 1958 di Tanah Melayu ketika menghubungi laman blog PRIMA hari ini (27 Julai 2007) berkata, “Setelah kita habiskan masa untuk memartabat bahasa Melayu, kenapa sekarang mengalah tak bersebab?”


Beliau mengakui, rakan-rakannya yang pernah menjadi murid sekolah menengah Melayu sama ada di Alor Setar, Kedah mahupun di Kota Bharu, Kelantan sekitar dekad 1950-an dulu melahirkan rasa kecewa dengan fenomena pendidikan. Jelas mereka, ujar Mansor, setelah dijadikan ‘mangsa’ sebagai bahan eksprimen ‘orang-orang politik’ ketika itu, mengapa pengorbanan mereka disia-siakan dengan Bahasa Melayu di ubah kepada status ‘Bahasa Malaysia’. Secara tidak langsung ‘orang Melayu’ bukan sahaja kehilangan bahasa, malah akan kehilangan ‘bangsa’ apabila diwujudkan ‘bangsa Malaysia’, katanya.


MANGSA SEKOLAH MENENGAH MELAYU


Bekas pelajar-pelajar sekolah menengah Melayu yang dijadikan eksprimen oleh pejuang-pejuang politik bagi mewujudkan ‘sekolah menengah Melayu’ adalah ‘mangsa’ kesilapan dasar pendidikan yang sukar dimaafkan, kalau Bahasa Melayu diubah status kepada ‘Bahasa Malaysia’. Sebagai pelajar yang dieksprimen di Negeri Sembilan pada 1959, sasterawan Dharmala N.S. memberitahu ketika Sekolah Menengah Melayu Seremban digerakkan, pelajar yang dipilih seramai 80 orang dengan tiga orang guru sahaja. Guru-guru yang mengajar tidak dilengkapkan dengan buku teks, justeru terpaksa menterjemah sendiri buku-buku Bahasa Inggeris sewaktu mengajar. Jangan haraplah pada DBP!


Apabila pelajar-pelajar terbabit lulus Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diiktiraf setanding dengan Malayan Certificate of Education (MCE) di sekolah menengah aliran Inggeris pada 1963, mereka berhadapan dengan isu pengangguran. Di sekolah menengah Melayu belum mempunyai persediaan bagi Higher School Certificate (HSC) untuk mereka meneruskan pengajian ke Universiti Malaya. Mereka yang menamatkan SPM pada 1963, sekadar mampu menjadi guru sandaran/sementara (sebelum diterima masuk ke DTC atau maktab perguruan), kerani, posmen, pembantu pertanian dan yang setaraf.


Mereka terpaksa menunggu sehingga 1971 apabila Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) diwujudkan, di samping peperiksaan untuk Sijil Tinggi Persekolahan (STP) disediakan iaitu sebelum ditukar kepada Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM). Memang sebelum itu peperiksaan di peringkat menengah dikendalikan oleh Oxford Universiti di London (maknanya dasar pendidikan kita masih dijajah). Begitulah pengorbanan pelajar-pelajar di sekolah menengah aliran Melayu yang dieksprimen pada 1958 dulu. Justeru apakah pengorbanan mereka disia-siakan dengan menukar status Bahasa Melayu kepada Bahasa Malaysia?.


MEMBACA MENINGKATKAN ILMU

Banyak pihak bersetuju ‘membaca adalah jambatan ilmu’, bagi membolehkan setiap individu ‘celik minda’. Kempen membaca yang digerakkan oleh kerajaan negeri Selangor di Shah Alam bermula 27 Julai hingga 3 Ogos 2007 akan datang, menerusi pameran buku adalah dialu-alukan oleh PRIMA. Jurucakap PRIMA, Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz percaya kerajaan negeri Selangor mengambil pendekatan bijak apabila menggerakkan kempen membaca. Apalagi khutbah Jumaat di masjid-masjid (misalnya di Masjidi Al-Khiriyyah, Taman Seri Gombak hari ini 27 Julai 2007) juga turut menyeru jemaah prihatin dengan isu membaca, kerana ummah yang rajin membaca mampu meningkatkan ilmu bagi bersaing dengan kaum lain.


Ironinya, kata Kamal ketika kempen membaca digalakkan, Ketua Penerangan UMNO Senator Tan Sri Muhammad Mohd Taib tak mahu rakyat membaca. Mereka yang mahu mengikuti laman blog dimomok-momokkan; apalagi membeli buku-buku yang menjurus kepada ‘celik minda’. Mungkin sahaja Tan Sri Muhammad menggalakkan rakyat sekadar membaca buku-buku propaganda, bagi membolehkan 50 tahun akan datang generasi Melayu akan menjadi ‘robot bernyawa’. Ketika komuniti Cina dan India di Malaysia membaca bahan-bahan yang ‘celik minda’, komuniti Melayu disogokkan dengan bahan-bahan bacaan propoganda yang bobrok, katanya. Misalnya laman blog Malaysia Today yang dikendali Raja Petra Kamaruddin digantung operasi adalah contoh menggagalkan kempen membaca di kalangan masyarakat Melayu.


INFO SASTERA & BUDAYA :

KEGILAAN AURA HARRY POTTER
BUDAYA MELAYU TERIKUT-IKUT


Buku siri ‘Harry Poter’ karya J.K. Rowlings penulis wanita yang mampu memikat ramai pembaca di seluruh dunia hingga mencecah 3 – 4 juta naskhah, bukanlah hebat kalau ikut nisbah penduduk dunia. Tak berapa persen sahaja daripada sejumlah penduduk dunia yang beli buku berkenaan. Tetapi disebabkan propaganda berkesan penerbit buku, malah penerbit filem yang mengadaptasi karya tersebut, makanya J.K. Rowling pun mampu tersenyum lebar. Kalau novel Melayu mampu disibar ke seluruh dunia nisbah 3-4 juta itu memang boleh dicapai juga, sayangnya apakan daya novel-novel yang ditulis dalam Bahasa Melayu tak melepasi ‘dunia tanpa sempadan’.


Bahkan novel-novel Melayu tak mampu masuk ke Indonesia, ketika novel-novel dari Indonesia bebas mencari pasaran di negara ini. Karyawan Indonesia yang melabel diri mereka sebagai ‘abang’ seolah-olah jijik melihat karya-karya dari Malaysia yang dianggap ‘adik’ itu. Belajarlah dari pengalaman sasterawan Dharmala N.S. ke Sumatera Barat bagi menghasilkan skrip filem ‘Raja Melewar’, apabila mereka beranggap segala-gala terletak di tangan mereka. Malah ada individu yang mengaku berketurunan waris ‘Raja Melewar’ justeru perlu dibayar imbuhan bagi menulis skrip berkenaan.



Sebaliknya apabila disoal oleh Dharmala, ketika ‘Raja Melewar’ berhijrah ke Tanah Melayu untuk menaiki takhta, sama ada sudah berkahwin atau belum, individu tersebut secara pongah menyatakan raja itu masih muda berusia dalam lingkungan 20-an sahaja dan belum berkahwin. Justeru soal Dharmala, kalau ‘Raja Melewar’ belum berkahwin ketika itu, bagaimana beliau boleh meninggalkan waris atau zuriatnya. Makanya terloponglah individu tersebut, walaupun kononnya mempunyai degri ‘Drs.’, dan pada rundingan kali kedua saya diberitahu oleh (Allahyarham) Tan Sri Abdul Samad Idris, individu terbabit tak hadir. Begitulah!

ISU KOMENTAR
bersama Pak Parjo


PRIHAL MENTERI DENGAN ISTILAH
MENJAGA MUZIUM ATAU DIMUZIUMKAN!


Siapalah Dato’ Seri Syed Abdul Hamid Albar mahu buat kenyataan, tak ada alternatif lain dari Malaysia untuk jawatan Setiausaha Agung Komanwel, selain daripada Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim. Kalau atas kapisiti menteri luar pun, bukan selayaknya Syed Hamid Albar bersuara, seperti laporan akhbar BERITA HARIAN hari ini (27 Julai 2007). Label mereka sama sahaja iaitu ‘menteri kabinet’, malah Dr. Rais dikira lebih senior lagi daripada Syed Hamid (bukan dikira daripada insiden 1987). Justeru, Syed Hamid tak akan bersuara, kalau tak disuruh bersuara, apalagi kalau bukan bos sendiri mahukan beliau bersuara.


Bukanlah mudah bagi seseorang menteri yang sudah meninggalkan jawatannya pada 1987 (kerana dicantas), mahu kembali mencapai kedudukannya kalau tak cukup prasyarat orang tua-tua Melayu dulu: Hati berani senjata tajam; mulut bacar emas banyak! (Kalau Syed Hamid tak faham maknanya, kenalah tanya Dr. Rais sendiri). Begitulah apabila membaca epik ‘Sejarah Melayu’ mengenai insiden selepas pembunuhan Tun Mutahir bin Seri Nara Diraja Tun Ali bin Mani Purindam di Melaka pada 1509. Apabila Raja Zainal dikatakan ‘mengurat’ Tun Fatimah maka ‘hulubalang’ Sultan Mahmud membunuhnya. ‘Hulubalang’ Sultan Mahmud tak akan berani membunuh ‘adik sultan’, kalau ianya tak menerima ‘lampu hijau’ dari sultan. Sama seperti Dr. Rais yang suka belajar pepatah petitih orang tua-tua dulu seperti terkilat ikan di air ialah:

Thursday, July 26, 2007

JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

INFO HAK ASASI MANUSIA:
(dari meja pimpinan)


SYARAHAN ZAABA DI PENGAJIAN MELAYU
KU LI IMBAU PEMBANGUNAN DAN EKONOMI



Kuala Lumpur - Kontrak sosial yang dipersetujui bersama ketika mencapai kemerdekaan, bukan bermakna orang Melayu mengemis dalam negaranya sendiri. Bagi mencapai sasaran peradaban Melayu, mereka wajar menjadi ‘bangsa yang memberi’ dan bukan sebagai ‘bangsa yang meminta-minta’, beritahu mantan Menteri Kewangan, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah ketika menyampaikan syarahan Zaaba di Dewan Semarak, Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya hari ini (26 Julai 2007).




Syarahan Zaaba ‘Pembangunan dan Ekonomi Kemelayuan’ yang dipengerusikan oleh Ketua Satu Gapena, Tan Sri Profesor Emeritus Ismail Hussein, mengimbau kembali pembabitan Ku Li mengerakkan ekonomi negara pada dekad 1970-an, sekalipun status beliau ketika itu ialah ADUN di Kelantan. Ku Li menerima tepukan gemuruh daripada pelajar-pelajar di Akademi Pengajian Melayu apabila menyebut ‘orang Melayu’ hanya membuat permintaan yang sederhana iaitu bahasa dan kebudayaan Melayu dijadikan teras kepada bangsa Malaysia.

Katanya, kalau di Amerika dan Australia menerima pertembungan budaya Anglo-Saxon dengan bahasa Inggeris yang digunakan di England iaitu sebahagian daripada United Kingdom menjadi bahasa di Amerika dan Australia, kenapa di Malaysia dipersoal perkara yang sewajarnya diterima pakai. Majlis syarahan Zaaba anjuran Akademi Pengajian Melayu itu ditaja oleh Dr Alias Muhammad tokoh keusahawanan Melayu turut dihadiri Pengerusi Lembaga UM, Tan Sri Arshad Ayub, Naib Canselor UM dan Ketua Akademi Pengajian Melayu, Profesor Madya Zainal Abidin Borhan.

Di samping jemputan khas yang hadir termasuk Dato’ Dr. Hassan Ahmad, Dato’ Dr. Nordin Selat, Dato’ Ibrahim Ali, Dato’ Yusuff Latiff, Ezam Mohd Noor dan Tan Sri Dr. Ainuddin Wahid, pimpinan PRIMA juga turut ke majlis tersebut diketuai Sdr. Dharmala N.S. ialah Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz (juracakap PRIMA), Sdr. Mohd Radzi (Peguam), Haji Bakar Ninggal (Penerbit buku) dan Sdr. Mohd Sayuti Omar (Pengarang SIASAH). Bagaimanapun dalam majlis keilmuan berkenaan majoriti yang hadir ialah pelajar-pelajar wanita, seolah-olah pelajar-pelajar lelaki kurang peka dengan isu pembangunan dan ekonomi kemelayuan.


PAK LAH TOLAK RESOLUSI KONGRES BAHASA


Penampilan Ketua Satu Gabungan Penulis Nasional (Gapena), Tan Sri Profesor Emeritus Ismail Hussein (Bapak Ismail Hussein) selaku Pengerusi Syarahan Zaaba dengan tetamunya mantan Menteri Kewangan Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah hari ini (26 November 2007) membawa pendekatan baru yang amat dibanggakan. Syabas Gapena! Bapak Ismail Hussein secara tegas mahukan ‘Bahasa Melayu’ sebagai landasan bagi mencapai kecemerlangan negara. Bapak Ismail Hussein juga berulang kali menolak fenomena ‘perhambaan’ yang menyebabkan ‘Bahasa Melayu’ melalui ‘era pancaroba’.



Tak hairanlah ‘risalah’ GAPENA turut diedarkan kepada orang ramai yang turut menampilkan isu kegelisahan mantan Ketua Pengarah DBP Dato’ Dr. Hassan Ahmad dan ilmuan bahasa Dr. Awang Sariyan apabila resolusi ‘Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu VII yang diadakan pada 6-8 November 2006 di DBP yang diserahkan kepada Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi. Dalam ‘risalah’ GAPENA ianya menyebut indisen tersebut:

Abdullah dalam kenyataan pada 9 November (2006) lalu menyatakan kerajaan akan meneruskan dasar yang diperkenalkan bekas PM Tun Dr Mahathir Mohamad dan tidak bercadang untuk mengembalikan penggunaan bahasa Melayu dalam kedua matapelajaran itu (sains dan matematik). Walaupun kenyataan Abdullah itu tidak merujuk kepada resolusi itu, namun ia ditafsirkan sebagai ada kaitan dengan perkara berkenaan kerana ia dibuat selepas tidak sampai 48 jam Kongres itu tamat.”
PRIMA mengucapkan syabas kepada Bapak Ismail Hussein dan GAPENA.

INFO SASTERA DAN BUDAYA:

PENYAIR-PENYAIR TAK SABAR:
MENUNGGU ‘MELAYU MUDA LUPA’



Jurucakap PRIMA, Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz memberitahu, antologi sajak ‘Melayu Mudah Lupa’ sudah diperingkat akhir untuk memasuki percetakan. Beliau menjelaskan demikian, setelah menerima banyak SMS dari penyair-penyair yang terbabit dengan antologi berkenaan. Beberapa orang penyair menghubungi Sdr Dharmala N.S. menerusi SMS, mahu tahu perkembangan antologi tersebut berikutan laman blog PRIMA atas nama http://abdulmulukdaud.blogspot.com/ mengalami gangguan mulai 24 Julai 2007, menyebabkan mereka terputus hubungan.



Sdr Ehsan Jamily dari Melaka mahu tahu perkembangan antologi berkenaan, kerana tak sabar menunggu ‘kelahirannya’. Mantan Ketua Pengarah DBP, Dato’ A. Aziz Deraman pula kecewa dengan perjuangan Bahasa Melayu yang ‘terlalu lembik’ setakat ini, ketika diberitahu mengenai gangguan terhadap laman blog PRIMA. Sementara itu Dr. Leo A.W.S. dari Kelantan sentiasa menunggu dengan sabar perkembangan seterusnya, di samping mantan Timbalan Naib Canselor (HEP) UTM Dato’ Dr. Mohd Mansor Abdullah menelefon dari Alor Setar, Kedah (kerana urusan peribadi di sana) – akan sentiasa rebah dan bangun bersama PRIMA dalam isu Bahasa Melayu. Dr Haroun Kidam dari Melaka juga mengambil pendekatan yang sama dengan Dr.Mansor apabila banyak pihak terlalu ‘bertolak ansur’. Entahlah!


SURAT DARI PERLIS


Saya tidak punya komputer, kecuali TV Astro. Bolehlah saya lihat saluran ‘Aljazeera’, ‘Arabia’, ‘CNN’, ‘BBC’ dan sebagainya. Terima kasih mengenai laporan diri saya dalam laman blog saudara. Gembira juga. Puisi-puisi saya jarang diperkatakan oleh pengkritik-pengkritik. Apalah saya ni, lebih leceh daripada penyair-penyair Kuala Lumpur. Inilah pertama kali saya mendengar puisi saya berekonomi daripada pandangan saudara. Pandangan orang lain saya tidak tahu.


Saudara perlu lebih berani. Tak kira siapa. Sama ada orang politik atau sasterawan. Inilah rahsia kekuatan yang akan mengangkat darjat nama kita. Teruskan! (Nahmar Jamil, Perlis – 24 Julai 2007).


KOMENTAR
bersama Pak Parjo


KEPERIHALAN RAJA PETRA
PENGENDALI BLOG DISIASAT

Pengendali blog Malaysia Today Raja Petra Kamaruddin dipanggil ke balai polis Dang Wangi, Kuala Lumpur bagi soal siasat pada 25 Julai 2007, selepas Senator Tan Sri Muhammad Mohd Taib membuat laporan polis pada 24 Julai 2007. Isu penulis blog yang ditakrif tak beretika turut dibawa ke Dewan Negara, tetapi tak pernah pula dipersoal senator-senator yang tak beretika. Kalau ikut etika, tak boleh ‘belasah’ sesiapa yang tak boleh mempertahan diri di dalam ‘Dewan’, kalau tak salah mengikut ‘peraturan-peraturan Dewan’ pada dekad 1960-an atau 1970-an. Tak tahulah, kalau sekarang sudah dibolehkan hingga melabel penulis blogger begitu dan begini.


Isu menghina Yang Dipertuan Agong dan Islam seperti yang didakwa, terlalu subjektif kalau tak dinyatakan bab mana yang dilakukan oleh Raja Petra. Perkara ‘menghina’ juga perlu dilihat menerusi pendekatan yang rasional, bukannya emosional; apalagi Raja Petra (atau dikenali Pet) sendiri adalah dari ‘kerabat diraja’. Sebelum piliharnaya 1969, Dato’ Engku Muhsein Abdul Kadir, Ahli Parlimen UMNO (Terengganu Tengah) misalnya, wakil rakyat tak perlu berucap membazir waktu dengan intro yang memuji-muji tetamu termasuk raja-raja, orang-orang kenamaan dan pegawai-pegawai tinggi – juga mungkin sahaja boleh ditakrif ‘menghina’. Makanya, pada pilihanraya 1969 beliau digugurkan jadi calon, sekalipun pernah menjadi Menteri Muda Kebudayaan, Belia dan Sukan, kerana yang tak suka hina menghina tapi sekadar berhumor ialah:


Wednesday, July 25, 2007

JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)

(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)


INFO PRIMA:
(dari meja pimpinan)

MENOLAK PERHAMBAAN MINDA:
ELAK WUJUDNYA ‘ROBOT BERNYAWA’

Selepas 50 tahun merdeka, Malaysia perlu menolak sebarang sikap perhambaan minda bagi mengelak wujudnya masyarakat ‘robot bernyawa’. Justeru kebebasan intelektual hendaklah digalakkan, bagi membolehkan perdebatan pemikiran boleh dibincangkan secara rasional. Penahanan pengendali laman web Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nathaniel Tan mengikut Akta Rahsia Rasmi (OSA) pada 13 Julai lalu (dan dibebaskan dengan jaminan polis empat hari kemudian), begitu juga insiden yang dihadapi pengendali blog Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin bukanlah langkah bijak.


Jurucakap Jawatankuasa Ad-Hoc Warga Prihatin Malaysia (PRIMA), Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz meminta kerajaan bersikap rasional, bukan dipengaruhi segelintir pimpinan UMNO yang mempunyai agenda. Katanya, pengendali-pengendali blog tak berhasrat menjatuhkan kerajaan, kerana yang mampu menjatuhkan kerajaan ialah ahli-aahli UMNO sendiri. Sebaliknya menurut Kamal, pengendali-pengendali blog mahu melihat kerajaan menjadi ‘pentadbir’ yang bermaruah bukan ‘penguasa’ yang pongah, justeru negara akan menerima manfaat kalau ditadbir kerajaan yang baik.

RAJA PETRA DISOAL SIASAT
Pengendali laman blog Malaysia Today Raja Petra Kamaruddin disoal siasat hari ini (25 Julai 2007) di balai polis Dang Wangi Kuala Lumpur selama 5 jam. Jurucakap PRIMA Dato' Kamal Amir Kamal Hijaz turut hadir memberi sokongan moral. Kamal mengucapkan tahniah kepada kerajaan kerana menyelesaikan isu Raja Petra dalam tempoh tak sampai 24 jam selepas Ketua Penerangan UMNO, Senator Tan Sri Muhammad bin Mohd Taib membuat laporan polis semalam (24 Julai 2007). Anehnya isu Ketua Polis Negara, Ketua Menteri Sabah dan beberapa kes yang lain tidak disoal siasat walaupun laporan sudah dibuat. Begitulah Malaysiaku...

SURAT DARI PENYAIR

Saudara Dharmala,

Saya menyokong penuh usaha saudara bersama Jawatankuasa Ad-Hoc untuk berjuang memartabatkan kembali bahasa kita – yang langsung tidak dihiraukan oleh pemerintah untuk memartabatkannya – lenyap bahasa maka lenyaplah bangsa! – kerana dalam masa terakhir kini (setelah negara kita mencapai taraf dewasa kemerdekaan) bahasa kita diinjak-injak! (Rejab F.I. , Perlis; 1 Jun 2007).

Pernah bertugas sebagai pengarang yang (kemudiannya diturunkan kepada penolong pengarang) dengan Urusetia Penerangan Kerajaan Kelantan selama lapan tahun, tetapi gara-gara kesinisan tulisan termasuk cerpen berjudul ‘Retorik’ (yang memenangi hadiah pengharagaan Hadiah Sastera Kumpulan Exxcomobil 2005) telah digugurkan dari jawatan berkuatkuasa pada 30 Disember 2005. (Ramli Abdul Halim, Kota Bharu, Kelantan; 18 Jun 2007)

MELAYU LUPA MELAYU

Aku bangsa Melayu
dilahirkan di Persekutuan Tanah Melayu
aku Melayu kerana ibu dan ayahku Melayu
nenek moyang aku pun Melayu
maka bercakaplah aku
Bahasa Melayu.
Tiba-tiba tanpa disedari
Tanah Melayu jadi Malaya
mau tak mahu aku terima.

(Zakaria Bidin, Kuala Lumpur; dari antologi ‘Melayu Mudah Lupa’)

INFO SASTERA:

MANSOR YANG KONTROVERSI
PERHATIAN KEPADA ‘AMIGO POSSA’


Bukan sahaja DBP memberi perhatian kepada penerbitan novel dan antologi sajak Dato’ Dr. Mohd Mansor Abdullah, malah media arus perdana juga turut membuat liputan dengan novel ‘Amigo Passa’ (Berita Harian, 24 Julai 2007). Memang sebelum ini karya-karya Mansor kurang diberi perhatian sama ada pengulas-pengulas sastera, mahupun media seolah-olah pembabitan beliau dipandang sepi. Gamaknya! Mansor, yang juga mantan Timbalan Naib Canselor (HEP) UTM mula menulis sejak dekad 1960-an, malah paling prolifik sekitar dekad 1970-an dengan menghasilkan cerpen setiap bulan (atau 12 cerpen setahun).


Di samping cerpen, Mansor juga menulis sajak dengan nama penanya M. Ashikin. Sekitar dekad 1970-an, tulisan Mansor untuk teks sejarah sekolah menimbulkan kontroversi di Parlimen. (Mendiang) P. Patoo ketika itu Ahli Parlimen Ipoh (DAP) mendesak kerajaan mengharamkan buku teks sejarah yang ditulis Mansor, yang ditakrif berbau perkauman. Berikutan kritikan di Parlimen, Mansor bersetuju halaman yang ditakrif berbau perkauman itu dibuang daripada buku yang ditulisnya. Mungkin sahaja disebabkan menjadi penulis kontroversi, Mansor seolah-olah dipinggirkan oleh panel penilai yang berpusat DBP bagi anugerah SEA Writer, apalagi Sasterawan Negara. Entahlah!


INFO BUDAYA & WARISAN:


BANGUNAN WARISAN DIWARTAKAN
NILAI SEJARAHNYA PERLU DIPELIHARA


Koresponden ketika UMNO digerakkan pada 1946 ialah di premis beralamat No 21 Hale Street, Ipoh. Malah apabila Dato’ Onn Jaafar menghubungi Tunku Abdul Rahman bagi menjawab surat Tunku bertarikh 30 Mei 1946 menyebut: “Saya sukacita kalau Tunku datang berjumpa dengan saya pada 15 dan 16 Jun 1946 supaya kita dapat berunding dalam hal ini. Perjumpaan ini diadakan di atas kehendak saya dan sangat penting. Kalau Tunku dapat datang sila berhubung dengan Dato’ Panglima Bukit Gantang di rumah No 21 Hale Street, Ipoh secepat mungkin…”

Begitu juga dengan koresponden ‘Parti Perikatan’ digerakkan di premis Dewan Perhimpunan Cina (sekarang Jalan Maharajalela), Kuala Lumpur. Malah persetujuan Tunku menerima tawaran Pesuruhjaya Tinggi melantik wakil ‘Parti Perikatan’ menjadi menteri iaitu Tun H.S. Lee dan Tun Dr. Ismail ialah berlamat di Dewan Perhimpunan Cina. Secara historikal dua premis terbabit itu adalah bangunan warisan yang memiliki nilai sejarah yang wajar diwarta dan dipulihara. Tak tahulah takrif ‘KekWa’ pula mengenai bangunan warisan. Aduhai!

INFO POLITIK:

KOMENTAR
bersama Pak Parjo

JAWATAN KOSONG 42,000
GRADUAN MENGANGGUR LAGI RAMAI


Menteri Sumber Manusia, Dato’ Dr Fong Chan Onn, 22 Julai 2007 lalu memberitahu media, sekarang ini terdapat jawatan kosong 42,000. Hebat juga! Tetapi dilaporkan secara rambang, graduan yang menganggur lagi ramai daripada jumlah jawatan kosong yang berdasarkan ‘angka’ itu. Tengku Razaleigh Hamzah ketika dikunjung aktivis PRIMA tak lama dulu, mengakui ramai juga graduan menganggur menemui beliau. Bagaimanapun beliau tak mampu menangani jumlah yang besar, tetapi setakat beberapa orang sahaja yang boleh dibantu menerusi kemampuan beliau yang terbatas.


Kabarnya kalangan intelektual Melayu dalam jabatan-jabatan kerajaan juga, merasakan ‘something wrong’ hingga fenomena begini makin sukar dibendung. Setiap tahun ramai graduan dikeluarkan oleh IPTA dan IPTS, tetapi mereka yang sudah memenuhi polisi ‘modal insan’ kerajaan masih juga ‘can melican, ketipang payung’! Dulu pun ramai juga penganggur hingga Allahyarham Sudirman Haji Arshad buat lagu ‘Aku Penganggur’, tetapi ketika itu tak ramai graduan ‘yang sepak kertas’. Bagaimanapun yang tahu sangat fasal ‘sepak kertas’ atau kata Tan Sri P. Ramlee ‘kira bulu kambing’ (Pendekar Bujang Lapok) ialah: