Friday, August 3, 2007

JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)

(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

CATATAN LAMAN BLOG:

Assalammualaikum,


Alhamdullillah, kita meneruskan semula laman blog dengan aman tenteram, mudah-mudahan tiada lagi gangguan virus yang menyekat, mengikat dan merekat kebebasan intelektual kita bagi membebaskan perhambaan minda. Petang ini (3 Ogos 2007), di sebuah gerai teh tarik di Taman Seri Gombak, saya bersama mantan Timbalan Naib Canselor (HEP) UTM Dato’ Seri Dr. Mohd Mansor Abdullah seronok menikmati roti canai, justeri mengingatkan saya kepada Allahyarham Tan Sri Abdul Samad Idris. Bezanya, kalau dengan Tan Sri Abdul Samad beliau akan menikmati roti canai bersama ayam goreng.



Dato’ Mansor pula menjamahnya bersama kari kambing yang ditakuti oleh mereka berpenyakit darah tinggi atau kencing manis. “Setakat ini, saya masih belum diganggu sakit darah tinggi atau kencing manis, Alhamdullillah!” beritahu Dato’ Mansor yang masih diperlukan tenaganya oleh UIA di Sungai Pusu, Gombak. Tak tahulah kenapa lain-lain IPTA macam tak kenal kepada Dato’ Mansor, mahupun IPTS sekalipun beliau baru mencecah usia 62 tahun sahaja. Masih gagah lagi, malah mampu memberikan idea yang lebih cemerlang, gemilang dan terbilang sama ada di IPTA mahupun IPTS selepas jadi ‘orang pencen’.

- Dharmala N.S.

INFO HAK ASASI MANUSIA:

PENGUATKUASA VS AHLI MAJLIS
GARA-GARA SI PENJUAL DURIAN

Gara-gara si penjual durian melonggokkan buah-buah berkenaan di tepi jalan kawasan perumahan di sini, menimbulkan suasana tegang apabila pihak penguatkuasa mahu menyaman si penjual terbabit. Kebetulan pula seorang Ahli Majlis Perbandaran minum di gerai berdekatan, justeru beliau cuba menasihatkan penguatkuasa supaya menggunakan ‘budi bicara’. Rupa-rupanya si penguatkuasa tak memahami istilah ‘budi bicara’, malah tak mengenali langsung Ahli Majlis Perbandaran terbabit. “Penjual durian ini datang dari jauh, berilah dia peluang berniaga di tepi jalan, hanya pada musim durian setahun sekali sahaja,” Ahli Majlis Perbandaran itu cuba mencari penyelesaian.


Ironinya, si penguatkuasa tak peduli siapa sahaja yang cuba menghalang tugasnya. Apalagi lori juga sudah tersedia untuk memunggah buah-buah durian berkenaan, kerana ketika itu siapa lagi yang berkuasa kalau bukan si penguatkuasa. Disebabkan kecewa dengan sikap si penguatkuasa, makanya si Ahli Majlis Perbandaran itu (sudah tentulah orang kuat UMNO Bahagian) juga naik berang kerana sikap provokasi si penguatkuasa. Beliau pun memperkenalkan dirinya sebagai Ahli Majlis Perbandaran, di samping beliau ingatkan si penguatkuasa ‘menghitung’ jumlah buah durian yang mahu diangkut. “Saya mahu pastikan jumlah yang diangkut tak kurang walau seulas (bukan sebiji), apabila sampai di Majlis Perbandaran!” katanya.

Selepas menyedari yang meminta gunakan ‘budi bicara’ itu Ahli Majlis Perbadnaran, si penguatkuasa pun berlaku dengan tak bercakap sepatah kata. Tak hairanlah Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Mohd Khir Toyo mengkritik kaki tangan awam mengenai mereka yang menerima anugerah kecemerlangan secara terancang. Peniaga terbabit adalah orang Melayu yang menjual buah durian di tepu jalan kawasan perumahan hanya setahun sekali sahaja, iaitu musim buah-buahan. Munkin juga si penguatkuasa terbabit belum pernah terjumpa istilah ‘budi bicara’, gamakanya!

DARI UTARA MENUJU KE TIMUR:
WILAYAH EKONOMI KORIDOR DICANANG


Jadual PM Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi terlalu terbatas, dalam masa tak sampai 24 jam beliau sudah sampai di Kota Bharu dari Pulau Pinang. Di Pulau Pinang Pak Lah sekadar menyebut projek jambatan, begitu juga di Kedah mahu meningkatkan pendapatan petani-petani dengan peruntukan RM177 bilion, sekalipun sebelum tragedi 13 Mei, petani-petani di Kedah sudah dibayangkan dengan usaha ‘meningkatkan ekonomi’ mereka. Politik ‘angka’ dengan peruntukan berjuta-juta dulu, sekarang sudah berbilion-bilion pula, tetapi ‘Mat Jenin’ terus juga dengan pokok kelapa nan sebatangnya. Orang Melayu digalakkan ‘merebut peluang’, tetapi peluang apa yang mahu direbut, kalau nasi dipinggan pun dimiliki ‘orang lain’. Aduhai!

Tiba-tiba sahaja di Kelantan, Pak Lah sebut mengenai ‘Islam Hadhari’ bukanlah menyesatkan ummah, sebaliknya sesuai komuniti bukan Islam juga. Isu ‘Islam Hadhari’ tak disebut ketika di Kedah dan di Pulau Pinang, seolah-olah mereka di negeri berkenaan sudah memahami ‘Islam Hadhari’, berbeza dengan di Kelantan yang kurang memahami ‘Islam Hadhari’. Gamaknya! Begitu juga dengan propaganda Bush dalam misi haramnya di Iraq dan Afghanistan, dia sekadar menyebut ‘memerangi keganasan’. Apabila di negara-negara barat dia memerangi ‘militan Islam’ atau ‘pelampau Islam’. Aduhai, tra la la, tra la la!

KURSUS PILIHANRAYA RANCAK
PERSIAPAN UMNO MAKIN KETARA

Pilihanraya sekadar menunggu ilham PM Dato’ Abdullah Ahmad Badawi, tetapi ilham berkenaan sudah disampaikan kepada semua Bahagian UMNO. Tak hairanlah, Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman sudah ‘menembak kancil, rusa yang kena’. Al-maklumlah! Hari ini (3 Ogos 2007) kursus pilihanraya bagi kawasan DUN di Negeri Selangor sudah digerakkan. Kabarnya, merungut juga mereka yang dipanggil berkursus kerana lokasinya di situ, di situ juga. Mereka meminta kursus bagi persediaan pilihanraya, seelok-eloknya sekali sekala bawalah ke kawasan peranginan di luar negeri Selangor, misalnya ke pesisir pantai atau lebik baik juga ke Kota Kinabalu, setidak-tidaknya melonjak ke puncak kejayaan di pergunungan!


Memang ramai juga pimpinan peringkat Bahagian mahu mengiringi Menteri Besar Dato’ Seri Mohd Khir Toyo ke Pengerang, Johor besok (4 Ogos 2007) yang diundang merasmikan mesyuarat perwakilan Bahagian berkenaan. Mungkin sahaja Pengerang dikira pesisir pantai juga, malah berhadapan dengan Selat Teberau yang bersetentang dengan Singapura di selatan dan Laut Cina Selatan di sebelah timur. Kabarnya banyak juga lokasi sejarah di Pengerang termasuk wilayah yang menjadi tempat sembunyi Si Bongkok Tanjung Puteri yang popular dipromosi oleh Cikgu Shahrom Hussein. Pimpinan UMNO Bahagian di Selangor yang mengiring MB, bolehlah tanyakan Dato’ Azalina Othman Said mengenai Si Bongkok tu, he heh he heh!
KUNJUNGAN HORMAT KE PEJABAT TUN DR M
PRIMA akan membuat kunjungan hormat ke pejabat Tun Dr Mahathir Mohamad di Putrajaya 15 Ogos 2007 akan datang. Jurucakap PRIMA Dato' Kamal Amir Kamal Hijaz memberitahu kunjungan itu dibuat sekembalinya Tun Dr M dari luar negeri. Aktivis PRIMA yang akan menyertai kunjungan hormat menemui Tun Dr M antaranya termasuk Yahaya Ismail, Dharmala N.S, Haji Abu Bakar Ninggal, Mohd Sayuti Omar dan beberapa lagi yang belum sempat dihubungi. Kata Dato' Kamal, kunjungan ini sebagai perjumpaan biasa untuk menerima penjelasan daripada Tun Dr M berkaitan isu budaya dan bahasa Melayu. Disamping itu Dato' Kamal juga menjelaskan perjumpaan esok hari (4 Ogos 2007) akan diadakan di Kampung Baru, Kuala Lumpur. Dharmala N.S dan Raja Petra Kamaruddin dijangka hadir.

INFO SASTERA & BUDAYA:

DEKLAMASI PUISI DI DBP
SASARAN KEPADA KANAK-KANAK


Ladin Nuawi memberitahu, pertandingan deklamasi puisi kanak-kanak di gerakkan di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) 24 Ogos 2007 ini. Pertandingan tersebut dibahagikan kepada dua kategori iaitu kanak-kanak berusia 7 – 9 tahun, dan mereka yang berusia 10 – 12 tahun. Dalam istilah lain ialah pelajar-pelajar Darjah 1 – 3; di samping Darjah 4 – 6, atau khusus kepada pelajar-pelajar sekolah rendah. Menurut Ladin yang juga aktivis teater kanak-kanak, pertandingan tersebut terbuka kepada umum, justeru mereka yang berminat bolehlah hubungi Cik Fazilah tel: 03-21482521 atau Puan Zeti dengan tel: 03-218481254. Membawa puisi kepada kanak-kanak mungkin juga bermaksud baik, tetapi sudah didekatkan mereka kepada puisi ketika pada Darjah 1.

Usaha DBP mendekatkan puisi kepada kanak-kanak, bolehlah diterima sebagai permulaan yang baik. Setidak-tidaknya kementerian juga memberikan perhatian kepada subjek sastera di peringkat sekolah menengah rendah, seperti pda dekad 1960-an dan 1970-an dulu. Pada alaf baru ini, pelajar-pelajar sekolah menengah sendiri mencemuh subjek sastera kerana ianya bukan lagi ‘wajib’. Makannya kalau lingkup subjek sastera pun, biak pi laa! Pelajar-pelajar lebih bangga dengan subjek metametik, sains, fizik atau kimia yang kononnya lebih ‘cerah masa depan’ kalau dibandingkan dengan subjek sastera. Begitulah yang diberitahu kepada mereka!


KOMENTAR
bersama Pak Parjo

SIGNAL SUDAH DIBERI JELAS
PIMPINAN PERLU FAHAM, FAHAMLAH!


Kalau pimpinan dulu sering memberitahu, ianya akan berundur apabila menerima signal khidmatnya tak diperlukan lagi. Tak tahulah dengan senario dalam UMNO sekarang, kerana signal nampaknya sudah diberi jelas sejelas-jelasnya. Misalnya apabila Ketua Perhubungan UMNO negeri Perak Dato’ Seri Mohd Tajul Rosli Ghazali umumkan, negeri Perak akan memberi sokongan kepada Khairy Jamaluddin menduduki kerusi Ketua Pemuda UMNO sekiranya Dato’ Seri Hishamuddin Hussein berundur. Secara zahirnya cakap berlapik menyebut ‘kalau berundur’, sebaliknya sudah tentu signal sebenar ialah ‘silakan berundur’.


Di masa lalu juga penjajah Inggeris secara diplomasi menyebut tugas mereka ialah ‘penasihat’ raja-raja Melayu, sebaliknya istilah sebenar ialah ‘nasihat itu mesti dipatuhi’. Apalagi Dato Seri Hishamuddin belumpun umumkan fasal mahu berundur dari jawatan Ketua Pemuda, tup tup sudah disebut-sebut akan penggantinya. Begitulah ‘signal’ yang perlu diterima sebagai ‘nasihat yang mesti dipatuhi’, kerana di persimpangan jalan juga diletakkan lampu signal. Apabila lampu signal sudah memancar merah, kalau mahu pecut juga, hadapilah risikonya. Begitu juga ketika lampu hijau memancar, sekiranya tunggu juga makanya kenderaan di belakang akan menyondol, seperti yang sentiasa memerhati lampu berwarna warni dan kulauan bunga api memancar malam kemerdekaan ialah:

Thursday, August 2, 2007

JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)

(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

CATATAN LAMAN BLOG:

VIRUS YANG BERBAHAYA
APABILA IANYA TAK TELUS

Assalamualaikum,

Sukar mahu memberi jawapan, apabila rakan-rakan bertanya. Laman Blog PRIMA tiba-tiba sahaja tak diteruskan kesinambungan artikel hariannya pada 31 Julai diikuti 1 Ogos 2007. Kalau disebabkan virus hingga artikel terganggu untuk dimasukkan ke dalam blok, tak mengapalah! Memang komputer yang canggih pun hanya ciptaan makhluk, sudah tentu mengalami kekurangan dan kelemahan, tetapi kita bimbang keadaan yang tak telus menyebabkan kebebasan intelektual terhalang, tergalang dan terkalang! Masalah yang dihadapi sekadar artikel tak boleh dimasukkan ke dalam blog, sebaliknya untuk mengikuti artikel lama di dalam blog, Alhamdullillah!


Hanya pada petang 1 Ogos 2007, jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir memberitahu acara ‘Sepetang Bersama Raja Petra Kamaruddin’ pada 4 Ogos 2007 terpaksa dibatalkan disebabkan suasana tak mengizinkan. Disebabkan blog PRIMA tak boleh beroperasi, makanya pembatalan itu disalurkan melalui laman web Malaysia Today. Pengarang veteran Yahaya Ismail (Pak Ya) pula meminta banyak-banyak sabar ketika menghadapi masalah ‘virus’ yang mengganggu laman blog, sekalipun ianya sekadar menyuarakan kegusaran majoriti rakyat.


INFO HAK ASASI MANUSIA:


CYBER CAFÉ JADI TUMPUAN
ORANG DEWASA MACAM ‘SPY’

Ketika laman web dan laman blog diarahkan dipantau oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Seri Nazri Aziz, cyber café (CC) yang sebelumnya menjadi tumpuan remaja, tiba-tiba turut dikunjungi orang dewasa. Sejak 28 Julai kelihatan ‘orang dewasa’ yang berambut pendek bertubuh sasa menghadap komputer di CC, sambil melingas-lingas pandang ke sekililing seolah-olah perisik atau ‘spy’ dalam filem-filem Hollywood yang popular sekitar dekad 1960-an dan 1970-an. Malah remaja-remaja yag sering ke CC juga berasa hairan, kerana ‘orang dewasa’ terbabit tak pernah dilihat sebelumnya menghadap komputer macam mereka yang habiskan masa di CC.


Laporan kalangan remaja terbabit mengenai ‘orang dewasa’ turut sama ke CC untuk ‘menengok’ komputer. Remaja memang sering ke CC bagi menghabiskan masa lapang mereka dengan bermain game; kadangkala pelajar-pelajar dengan uniform sekolah (yang dilarang oleh peraturan kerajaan kepada pengendali-pengendali CC) juga turut bermain game di komputer. Tak tahulah ‘orang dewasa’ terbabit bermain game, atau melayari laman web dan laman blog. 1 Ogos 2007 jam 12.00 tengahari, dikatakan ‘orang dewasa’ kelihatan di salah satu CC di Seri Gombak, di samping pelajar-pelajar beruniform sekolah turut hiruk pikuk di bilik sebelahnya.


NARATIF MEMAJUKAN KELANTAN


Politik ‘angka’ dengan mengumum jumlah berbilion ringgit untuk projek bangunkan negeri Kelantan, sudah menjadi naratif seolah-olah negeri berkenaan termundur, terundur dan terkendur sejak dekad 1960-an lagi. Hingga terlupa pula bagi tempoh 1978 – 1990. takkan negeri Kelantan tak dimajukan, dibangunkan dengan ditingkatkan tahap ekonomi rakyat. Allahyarham Tan Sri Abdul Samad Idris ketika memegang jawatan Menteri Kebudayaan Belia dan Sukan, pernah memberitahu rakan-rakan, mengenai peniaga-peniaga Melayu yang mendominasi pasar-pasar utama di rantau Melayu hanya di Kota Bharu (Kelantan) dan di Bukittinggi (Sumatera Barat).


Laporan TV1 hari ini 2 Ogos 2007 (5.00 petang) misalnya, menampilkan Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi dengan politik ‘angka’ ketika berkunjung di Kota Bharu. Ironinya, RTM sempat pula menjana propaganda dengan menyebut kerajaan negeri tak mampu memajukan ‘Kelantan’. Malah wartawan penyiar tak keruan apabila pembesar suara pun bagaikan buat hal, ketika meminta seoranng YB membuat komen. Apalagi yang tersengih-sengih di sebelah PM bukanlah MB kelantan bagi melaksanakan projek pembangunan, tetapi alahai!

INFO SASTERA & BUDAYA:

PENGGIAT TEATER KANAK-KANAK
UJIBAKAT DI DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA (DBP)

Penggiat teater kanak-kanak tersohor Ladin Nuawi mengadakan uji bakat bagi mementaskan teater kanak-kanak di bawah kumpulannya ‘Bingkas Bayan’ di DBP 5 Ogos 2007. Ladin memang dikenali penggiat teater yang banyak bereksprimen, tetapi memilih teater kanak-kanak sebagai keutamaannya. Sekalipun tak dijelaskan butir-butir selanjutnya mengenai teater kanak-kanak yang digerakkan oleh Ladin, mereka yang berminat boleh sahaja menghubunginya menerusi h/p 012-3721453 atau melayari laman webnya http://www.bingkasbayan.com/ bagi keterangan lanjut.

Mungkin sahaja teater kanak-kanak dianggap baru di Melaysia, tetapi ianya sudah lama digerakkan di luar negeri. Malah di USM satu ketika dulu pernah diperkenalkan oleh Mustapha Kamal Yassin kertas pengajian ‘Educational Teater’ yag menjuruskan kepada teater kanak-kanak. Syabas kepada Ladin yang menggerakkan teater kanak-kanak, dengan membawa kelainan dalam perkembangan teater Melayu sekalipun secara logiknya sukar membolosi tembok ‘Istana Budaya’. Teruskan Ladin!


KOMENTAR
bersama Pak Parjo
TANGKAK NAIK TARAF
NARATIF PUTERI GUNUNG LEDANG

Tangkak dan Keluang sudah dinaikkan taraf menjadi daerah di negeri Johor, seperti disebut Menteri Besar Dato’ Seri Haji Abdul Ghani Othman dalam laporan TV hari ini (2 Ogos 2007). Maknanya bertambah dua buah daerah lagi di Johor, sekaligus dua orang pegawai daerah ditambah bagi mentadbir pejabat daerahnya. Tak hairanlah Johor yang luas muka buminya berdasarkan geografi bertambah dua lagi daerah; mudah-mudahan bertambah pula dua lagi Bahagian UMNO dengan dua ketua Bahagian yang berharap menerima geran itu geran ini, projek itu projek ini dan he he he he he!

Keluang termasuk di dalam wilayah ekonomi Koridor Selatan kabarnya, justeru perlu dinaikkan taraf segera menjadi sebuah daerah. Tetapi Tangkak lokasinya di utara sedikit, malah popular dengan Gunung Ledang yang menjadi naratif kesultanan Melayu satu ketika dulu. Kalaulah Sultan Mahmud Syah mampu membina jambatan emas dan jambatan perak dari Melaka ke Gunung Ledang pada period Bendahara Tun Perak dan Laksamana Hang Tuah, mungkin sahaja Tangkak menjadi wilayah Melaka. Tetapi peta Persekutuan Tanah Melayu dilakar oleh penjajah barat, bukannya anak-anak Melayu sendiri, kerana yang masih membaca epik ‘Sejarah Melayu’ ialah:

Wednesday, August 1, 2007

JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)

(menentang penindasan minda manusia kepada manusia)


INFO HAK ASASI MANUSIA:

TAHNIAH ‘HARI PAHLAWAN’
ANCAMAN MUSUH ANTARABANGSA


Rakyat Malaysia memberi sokongan kepada mereka yang terbabit dalam perjuangan mempertahankan negara daripada ancaman musuh sempena sambutan‘Hari Pahlawan’ hari ini (31 Julai 2007). Baginda Yang Dipertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dalam teks titah baginda juga mahukan rakyat mengenang jasa pahlawan-pahlawan kita yang terkorban dalam perjuangan mempertahankan keselamatan negara, apalagi daripada ancaman pengganas antarabangsa. Baginda bertitah seperti dilaporkan oleh berita radio 1.00 tengahari, buat masa sekarang negara berada dalam keadaan aman tenteram.


Perdana Menteri, Dato’ Abdullah Ahmad Badawi pula ketika berucap di Pulau Pinang melancarkan wilayah ekonomi ‘Koridor Utara’ di negeri itu mahukan rakyat amalkan budaya ‘melonjak ke puncak kejayaan’ bagi menikmati kemerdekaan dengan lebih bermakna. Tak tahulah, sama ada selama ini rakyat amalkan atau tidak budaya melonjak ke puncak kejayaan itu, kerana orang tua-tua kita ingatkan ‘kalau baru keluar kerabang, jangan cuba terbang tinggi’. Apalagi mereka yang mahu terbang tinggi pula, ada ura-ura akan ‘dicantas’ seperti keperihalan Dato’ Seri Dr. Rais Yatim yang diminta menjadi Setiausaha Agung Komanwel kerana he heh he heh!


SELAMATKAH KAWASAN PERUMAHAN KITA

Isu siling Parlimen bocor, bangunan-bangunan yang dibina juga bocor, bukan salah Jabatan Kerja Raya (JKR), kata menterinya, Dato’ Seri S. Samy Vellu. Mungkin juga kawasan perumahan yang tak selamat, tak salah kementerian perumahan dan kerajaan tempatan, sekalipun yang meluluskan prsedurnya memang jabatan terbabit. Banyak juga kawasan perumahan, tak dinilai semula tahap keselamatan, kerana semuanya dikatakan ok belaka. Kalaua jabatan dah kata ok, kementerian pun akan ok, yang tak ok ialah pembeli dan penggunaan yang masih terkongkong di bawah ‘perhambaan minda’.


Kawasan perumahan di Taman Seri Gombak misalnya, tak pernah dipersoal apabila dinding rumah bertemu dengan jalan. Mungkin prosedur ‘kerajaan tempatan’ di Selayang begitu, semuanya ok! Dinding rumah yang bercantum dengan jalan, belumlah roboh tetapi berbekas juga apabila digesel lori atau kenderaan berat sikit. (Lori trelar memang tak masuk). Penghuni juga bimbang mahu tinggalkan rumah, manalah tahu dikorek pula oleh ‘tetamu tak diundang’, malah terus ke tengah ruang. Perumahan terbabit kebanyakan di fasa 9, Taman Seri Gombak yang kononnya mempunyai ‘history scenary’ bagi menarik pembeli dan pengguna sebelum ini. Entahlah!


INFO SASTERA & BUDAYA:

KEGOBLOKAN PIMPINAN NEGARA
MEWUJUDKAN KORUPTER BANGSA


Pengkritik sastera tersohor sekitar dekad 1960-an Yahaya Ismail, sudah meneliti puisi-puisi yang dimuat dalam antologi sajak ‘Melayu Mudah Lupa’. Beliau yang diminta menulis ‘kata pengantar’ mengakui merasa terharu selepas meneliti semua puisi-puisi terbabit, yang rata-rata terpanggil dengan ‘kebobrokan’ pentadbiran negara sekarang, apabila lebih didominasi oleh ‘kegoblokan’ pimpinan menampilkan kumpulan koruptor bagi menginjak-injak kedudukan budaya Melayu. Malah kata Yahaya dikenali dengan panggilan ‘Pak Ya’, kebobrokan dan kegoblokan itu menjadikan orang Melayu sekadar menghitung detik hari-hari terakhir ‘Askar Melayu’, ‘Keretapi Tanah Melayu’, ‘Utusan Melayu’ dan akhir sekali ‘raja-raja Melayu’ yang mereka miliki sekarang!


Bagi Pak Ya antara puisi-puisi yang menarik perhatiannya termasuklah, Melayu Lupa Melayu (Zakaria Bidin), Jiwa Merdeka (Habsah Hasan), Punah (M.Z. Alias), Daya Juang Melayu (A.Aziz Deraman), Gurindam Bahasa Merdeka (Leo A.W.S.), Bawakan Secangkir Kopi Puteri-Puteriku (Dharmala N.S.), Maaf, Aku Belum Merdeka (Bahrin Ramly), Gah Di Kertas Saja (Aladdin Muhammad), Bahasa Mahkota Bangsa (Rejab F.I.), Peribumi Itu Tidak Lagi Berbumi (Adiah Mat Lana), Melayukah Itu (Ehsan Jamily). Mentera Bahasa (M. Ashikin), Ruginya Kerana Lambat Dilahirkan (Nurul Salwa), 50 Tahun Berlalu (Kamal Amir), Bangsaku Yang Pemaaf (Ahmad Sarju) Mukhiddin Jais (Kaduk) dan Kibarkan Panji Diri (Mohd Sayuti Omar).


Menurut Pak Ya puisi-puisi lain juga turut mengungkap kehebatan penyair dalam menyampaikan mesej menolak ‘perhambaan minda manusia kepada manusi’ ke arah meneruskan pemikiran ‘kebebasan intelektual’ seperti Haron Kidam (Melayuku: Oh Melayuku), Abham T.R. (Apalah Makna Merdeka), Ladin Nuawi (Guru, Kubu Ilmu), Najmi (Dekad), Tanah Pesaka (Halimahton Abu Bakar), Mohamad Salleh Salimin (Patah Tumbuh, Tumbang Berdiri), Kemerdekaan Dan Cermin Filosofi Bangsa Melayu (Saloma Mat Lajis), Bila Engkau Bercakap Tentang Kampung Gunung Mesah (Ramli Abdul Halim), Pari-Pari Ilusi (Yassinsalleh), Sobri Ahmad (Bukan Si Spiderman) dan 31 Ogos (Dinsman).


KOMENTAR
Bersama Pak Parjo


DILEMA BEKAS PELAJAR-PELAJAR
MANGSA SEKOLAH MENENGAH MELAYU



Dilema bekas pelajar-pelajar Sekolah Menengah Melayu yang dieksprimen pada dekad 1950-an yang dibangkitkan oleh mantan Timbalan Naib Canselor (HEP) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Dato’ Dr. Mohd Mansor Abdullah, seolah-olah mirip juga seperti ‘Dilema Melayu’ Tun Dr. Mahathir Mohammad yang pernah menimbulkan kontroversi. Buku ‘Dilema Melayu’ diharamkan penghujung 1969, sekalipun Tunku mengakui beliau tak pernah membaca teks mahupun huraian mengenai buku berkenaan. Tetapi dilema bekas pelajar-pelajar sekolah menengah Melayu iaitu mengenai Bahasa Melayu ditukar kepada ‘Bahasa Malaysia’ selepas mereka menjadi mangsa ketika semangat ahli-ahli UMNO berkobar-kobar mahu mendaulatkan Bahasa Melayu pada period awal pasca mereka.


Bukan Mansor sahaja menjadi mangsa, ramai lagi turut menjadi mangsa apabila ibu bapa mereka memilih sekolah menenagh Melayu bagi memenuhi ‘modal insan’ ketika itu. Kabarnya di Seremban, Haji Sidek Harun (ayah penulis Nisa Harun, yang juga seorang peguam), sekadar mampu berkhidmat dalam perkeranian apabila lulus SPM, kerana hadnya setakat itu sahaja. Selepas SPM mereka tak boleh lagi meneruskan ‘budaya melonjak ke puncak kejayaan’, kerana universiti Melayu belum ada, dan STP untuk masuk universiti Melayu entah di mana. Tahun 1963 – bukan sahaja dilema, tapi gelap semata selepas menamatkan SPM. Alahai!
Tak apalah, asal sahaja Bahasa Melayu kekal sebagai ‘aliran Melayu’nya. Apabila ‘Bahasa Melayu’ dimahkotakan sebagai ‘Bahasa Malaysia’ – seperti kata penyair Ahmad Sarju ‘Hati Siapa Tak Terharu’ (sajaknya yang memenangi Hadiah Sastera Nasional pada 1971). Kalau tak mahu Bahasa Melayu, tak perlulah susah-susah gerakkan sekolah menengah Melayu pada 1958. Ketika itu sudah boleh ditubuhkan sekolah menengah Malaysia, dan Mansor juga akan memasuki ‘Sekolah Menengah Malaysia’. Segalanya macam cerita berbingkai yang digemari orang tua-tua dulu kerana jalan ceritanya yang berangkai-rangkai, berungkai-rungkai dan berantai-rantai memang menyeronokkan:

Monday, July 30, 2007

JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYASIA (PRIMA)
(menentang perhambaan manusia kepada manusia)


INFO HAK ASASI MANUSIA
(dari meja pimpinan)

PM SIBUK DENGAN KORIDOR
TPM PULA FASAL DERITA SUDAN



Ketika Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi memberitahu fasal ‘Wilayah Ekonomi Koridor Utara’ dengan memerlukan pembiyaan RM177 bilion, bagi membantu petani-petani di utara, Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak pula sibuk dengan derma untuk rakyat Sudan yang menderita. Kutipan dana diperlukan untuk dihantarkan ke Dahfor. Laporan berita radio hari ini (30 Julai 2007), macam serba tak kena pula, kerana PM sibuk nak bantu rakyat di utara, TPM pula dengan dana untuk dihantar ke luar negara. Kenek-kenek la ude, lembu patoh le tanduk ke? (apologi kepada Allahyarham Tan Sri P. Ramlee).
Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Muhammad Haji Hassan pula serba salah fasal Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Dato’ Seri Dr. Rais Yatim enggan dilantik memegang jawatan Setiausaha Agung Komanwel. Justeru Dato’ Muhammad meminta Dr. Rais menimbang semula. Istilah sekarang, Dato’ Muhmamad bukan lagi meminta Dr. Rais menimbang semula, tetapi lebih kepada mendesaknya. Satu ketika di Dewan Rakyat sekitar 1990, yang sering sangat sebut ‘kerajaan akan timbang’ ialah Setiausaha Parlimen Kementerian Kesihatan ketika itu, Dato’ K. Kumaran menyebabkan Speaker pun turut mencelah: Berapa kati mahu timbang?. Aduhai!

UNDANGAN KEPADA PENULIS BLOGGER

Jawatankuasa Ad-Hoc Warga Prihatin Malaysia (PRIMA) menganjurkan ‘Sepetang Bersama Raja Petra’, 5 Ogos 2007 ini di Serambi Nelayan, Taman Tasik Titiwangsa jam 4.00 petang. Penulis-penulis blogger dijemput hadir bagi memberi sokongan moral kepada Raja Petra Kamaruddin yang berhadapan dengan ancaman pihak yang berkuasa, lagi berkuasa dan mahu terus berkuasa. Jurucakap PRIMA, Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz berkata, sokongan moral kepada Raja Petra bukan bermakna mencabar kepimpinan negara, tetapi mempertahankan ‘kebebasan intelektual’ bagi menentang ‘perhambaan minda manusia kepada manusia’ bagi menjana masyarakat yang tak menerima ‘robot bernyawa’.



Dato’ Kamal, menambah inisiatif yang digerakkan oleh PRIMA sekadar memberi sokongan moral, justeru ianya tak dibiyai oleh mana-mana pihak. Malah kemungkinan pula, mereka yang hadir dalam majlis tersebut boleh menghulur derma seberapa yang reda, bagi mengongkosi perbelanjaan ‘minum petang’ itu. Mereka yang berminat menyertai majlis ini, di samping sesi berdialog dengan Raja Petra, bolehlah mendapat keterangan lanjut dengan menghubungi emel PRIMA: muluk47@gmail.com. atau hubungi Dato’ Kamal sendiri h/p 012-3975055 atau Mohd Sayuti Omar h/p 019-2336996, emel MSOmelayu@gmail.com.

PENGANGGURAN DAN PEKERJA ASING


Aktivis PRIMA Haji Abu Bakar Ninggal kesal dengan kemasukan ramai pendatang asing bagi mengisi kekosongan pekerjaan di sektor pasaraya mahupun perniagaan lain. Katanya, majoriti pengangguran di kalangan lulusan SPM apalagi yang gagal selepas menduduki PMR, disebabkan mereka tak mempunyai peluang pekerjaan. Pasaraya yang dibangunkan di bandar-bandar termasuk Kuala Lumpur, lebih berminat dengan pekerja asing dengan gaji yang murah berbanding dengan pekerja-pekerja tempatan. Justeru pemilik-pemilik pasaraya mahu mengaut keuntungan besar, di samping memunggah kekayaah dengan mengeksploitasi ‘sumber manusia’ yang boleh diperolehi lebih murah.

“Kebanyakan pekerja-pekerja pasaraya terdiri dari pekerja asing, yang tak tahu Bahasa Melayu menyebabkan sukar berkumunikasi,” kata Haji Bakar memberitahu laman blog PRIMA. Pekerja-pekerja asing dari Thailand, Mynmar atau Bangladesh dibayar dengan gaji murah, menyebabkan pemilik pasaraya besar lebih selesa dengan fenomena begitu, beliau menjelaskan. Menurut Haji Bakar lagi, pasaraya-pasaraya kecil di kawasan perumahan juga memilih pekerja-pekerja asing dengan menempatkan mereka di rumah-rumah khas yang disewa sebagai asrama. Beliau percaya, pekerja-pekerja tempatan tak menolak untuk bekerja di pasaraya-pasaraya bagi menyelesaikan isu pengangguran.

INFO SASTERA & BUDAYA

MAJLIS KEBUDAYAAN TERUS DIPINGGIR
APALAGI MEMARTABAT JATIDIRI MELAYU



Memang acara kebudayaan dianggap tak menjana longgokan ekonomi, justeru ianya dipinggirkan, apalagi ianya mempunyai kaitan memartabat jatidiri Melayu. Bukan sahaja ‘Seminar Persuratan dan Sastera’ dalam ‘Dialog Utara’ di Alor Setar bermula 26 Julai lalu, tak diberi liputan meluas oleh media, malah beberapa aktiviti yang lain turut tak diberi perhatian. Misalnya, pesta budaya di Tampin, Negeri Sembilan hari ini (30 Julai 2007) sekadar kenyataan Dato’ Seri Dr Rais Yatim sahaja disiarkan oleh berita radio. Negeri Sembilan yang berbangga dengan keunikan seni budayanya, tetapi sekadar untuk dihebatkan di kampung halaman sendiri sahaja.


Sekalipun menteri kebudayaan dari Negeri Sembilan, lagu rakyatnya ‘ghontak kudo’ tenggelam oleh ‘dikir barat’ di Kelantan dan ‘boria’ di Pulau Pinang. Begitulah pameran lukisan ‘Payung Terkembang’ di Seremban pada 25 Mei 2007, seolah-olah tak diketahui umum, kecuali segelintir penduduk-penduduk di Negeri Sembilan sahaja. Dalam majlis syarahan ‘Adat Perpatih Menungkah Zaman’ di Kuala Pilah pada 6 Julai 2007 juga tak diketahui sangat oleh orang ramai, mungkin sahaja segelintir penduduk di Kuala Pilah. Memang sukar sangat mahu mengajak bersama-sama memartabat jatidiri Melayu, apabila ringgit dan sen menjadi idola!


Mungkin sahaja Dato’ Dr. Rais, tak peduli sangat fasal pegawai-pegawai yang lebih berminat jadi ‘akulah aku’, daripada meminati budaya bangsanya. Kabarnya, pengalaman seseorang yang sering ‘menebeng’ bersama Tan Sri Abdul Samad Idris ketika mesyuarat di Muzium Negeri Sembilan, mereka yang hadir (jawatankuasa penyelidikan budaya Muzium Negeri Sembilan), lebih gemar bermesyuarat daripada ‘laksana’ kerja. Kalau sering mesyuarat, bolehlah ehem ehem sikit, agaknya! Memang elaons mesyuarat tak banyak mana, tapi kena fikir juga kata orang tua-tua ‘orang disuruh diberi upah, lembu di padang di beri makan’. Begitulah!


KOMENTAR
bersama Pak Parjo

MANTAN MB VS RAJA PETRA
RM 100 RIBU UNTUK TAJA BLOGGER



Tentu pengendali laman blog hidup mewah dengan pendapatan RM100 ribu sebulan ditaja oleh organisasi luar, seperti disebut mantan Menteri Besar Selangor, Senator Tan Sri Muhammad Mohd Taib. Gaji menteri dan menteri besar pun tak sampai mencecah angka berkenaan. Tolol sangat organisasi luar yang mahu menaja pengendali laman blog sekalipun mereka tak menerima input apa-apa. Kalau mereka mahu melabur pun tentulah cari mereka yang berkuasa, bagi menerima tender, projek atau komisen seperti isu yang masih ehem ehem. Apalagi seperti kata Zaharin Mohd Yassin, yang lebih tolol ialah mereka yang tak tahu membezakan yang mana laman blog, yang mana laman web!

Raja Petra bukan pengendali laman blog, tetapi laman web kerana beliau perlu membeli ‘tapak’ bagi operasinya. Pengendali laman blog pula ‘menumpang’ pada tapak orang lain. Begitulah! Justeru kata Presiden Majlis Peguam, Ambiga Sreenevasan kepada media: “Bagi sebarang tindakan, mahkamah perlu menentukan di mana kesalahan jenayah itu (hasutan) dilakukan dan sekiranya di luar bidang kuasa maksudnya selain di Malaysia, mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa. Undang-undang berkaitan jenayah tidak jelas dan boleh menimbulkan pertikaian dan dalam perkara ini sekiranya dibawa ke mahkamah, mereka (mahkamah) perlu membuat keputusan.”

Isu blogger nampaknya menampilkan kegarangan Dato’ Muhammad yang lama tenggelam berikutan kes di Australia tak lama dulu. Apabila desas desus pilihanraya semakin hampir, tiba-tiba sahaja Dato’ Muhammad meledak dengan isu blogger. Kalau Raja Petra tak kendalikan laman web, mungkinlah gerangannya Dato’ Muhammad
makin dilupakan oleh rakyat Selangor yang tercari-cari namanya dalam senarai calon pilihanraya 2004 lalu. Sepertilah penjelasan Ambiga mengenai undang-undang cyber, memang sukar difahami kerana yang tahu fasal kanun tanah dalam kanuncara di masa lampau sahaja ialah:

Sunday, July 29, 2007

JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
(menentang penindasan minda manusia kepada manusia)

INFO HAK ASASI MANUSIA:
(dari meja pimpinan)

PAK LAH INGATKAN BLOGGERS:
ISU YANG KABUR SEMAKIN KABUR


Semua pihak menghormati amaran Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi mengenai isu pengendali lama blog yang menulis sesuka hati, tak berhati dan tak berhati-hati. Pak Lah dikatakan memberitahu media di Hotel Hyatt Regency di Kuantan, Pahang sebelum menghadiri majlis perkahwinan kakitangan Seri Perdana di Kampung Balok, Beserah. Pak Lah juga meminta tak dibincangkan lagi isu Tan Sri Musa Hassan dan Dato’ Seri Zulkifli Mat Noor. Mudah-mudahan isu yang kabur semakin kabur, kalaupun tak bertambah kabur lagi dikaburkan.


Fenomena yang berlaku dalam isu-isu seperti kes Tan Sri Musa dan Dato’ Seri Zulkifli tak boleh dipersoal, seolah-olah mirip kepada filem ‘Musang Berjanggut’ yang diarahkan oleh Tan Sri P. Ramlee pada dekad 1950-an dulu. Dalam filem tersebut P. Ramlee secara sinikal mengolah watak Sultan Alam Syahbana (Ahmad Nesfu) memberi perintah, isu ‘Musang Berjanggut’ ditutup, malah jangan diungkit-ungkit. Sebabnya Dato’ Nikah Kahwin atau ‘Musang Berjanggut’ itu ketika ‘mengurat’ isteri Nila Utama berkata: Salah tu memang salah (iaitu mengurat perempuan ketika suaminya tiada di rumah), tapi itu undang-undang Dato’ yang bikin!

Bukan semua pula ahli UMNO marahkan laman web Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin. Kalaulah Raja Petra menghina DYMM Yang Dipertuan Agong, samalah pula kesalahannya seperti Kumpulan Ma’aunah yang ‘menderhaka’, jutseru perlulah dibicarakan mengikut perundangan negara kita. Di zaman kesultanan Melayu Melaka, ‘penderhaka’ seperti Hang Jebat digantung kaki ke atas kepala ke bawah, keluarganya dibunuh, dan rumahnya dibongkar serta dibuang ke laut (mengikut kontrak sosial di Bukit Seguntang). Ironinya, kubur Hang Jebat ditemui pula di Melaka, kubur Sultan Mansor Syah entah ke manalah pula!

DI MANA KEBAL YANG DIKEBALKAN?

Perihal pengendali laman blog yang tak kebal, seperti disebut oleh Pak Lah, semua pihak sudah maklum. Kalau raja-raja Melayu (selepas pindaan perlembagaan dekad 1990-an) pun tak kebal, takkan Raja Petra Kamaruddin boleh dikebalkan. Zaharin Mohd Yassin juga tak dikebalkan, malah dipecat dari parti yang didukungnya kerana sudah tersebati alam dirinya ‘Melayu itu UMNO’ dan ‘UMNO itu Melayu’. Begitulah. Makanya elok juga renungkan fasal ‘kekebalan’ yang pernah diberikan kepada raja-raja Melayu sebelum ianya dipinda.
Ketika isu pindaan perlembagaan tengah hebat, termasuklah isu kereta ‘Lamborgini’ DYMM Sultan Kelantan, Jawatankuasa Penyelidikan Budaya Muzium Negeri Sembilan membuat kujungan ke Balai Undang Luak Johol. Maka tergamamlah ahli jawatankuasa yang membuat kunjungan apabila Undang Luak Johol (Allahyarham) Dato’ Abdul bin Ali keluar dengan parang di tangan. Rupa-rupanya beliau menetak tangannya sendiri dengan parang, sambil bertanya kepada ahli jawatankuasa terbabit: Kalau nak tahu kebal atau tak kebalnya institusi istana, begitulah!

Tak masuk lagi dengan insiden mengenai individu yang merampas ‘Istana Lama’ di Seri Menanti di Kuala Pilah pada dekad 1990an. Penyelesaiannya, tak perlulah bawa FRU, tetapi pihak muzium pujuk saja dengan berpura-pura menyembah individu terbabit seolah-olah menjunjung duli iaitu: Ampun tuanku beribu-ribu ampun, patik memohon limpah kurnia tuanku, eloklah tuanku berangkat turun dari istananya, supaya patik sekalian dapat mengadakan upacara menjunjung duli! Individu terbabit turun dari istana dengan tak menimbulkan sebarang kekecohan.

CORAT CORET PRIMA

Jurucakap PRIMA, Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz terbang ke London 30 Julai 2007 bagi menghadiri konvokesyen anaknya yang menuntut di sana. Tahniah kepada Kamal yang memanfaatkan peluang ke arah menampilkan anak Melayu dalam polisi ‘modal insan’ Pak Lah.

PRIMA juga mengucapkan tahniah kepada penyair Ahmad Sarju dari Kelang, Selangor yang meraikan majlis perkahwinan anaknya hari ini (29 Julai 2007). Moga-moga jodoh mereka berkekalan, di samping meneruskan budaya dan adat resam Melayu yang kita waris sejak turun temurun.




INFO SASTERA & BUDAYA :

MEDIA YANG TAK PRIHATIN
DENGAN ISU BAHASA DAN PERSURATAN

Lebih 200 peserta menghadiri ‘Pertemuan Dialog Utara’ di Alor Setar, Kedah iaitu siri seminar bahasa dan persuratan yang digerakkan oleh GAPENA dengan kerjasama kerajaan negeri Kedah. Sejak seminar tersebut digerakkan Jumaat lalu (27 Julai 2007), media kurang memberi liputan mengenai perkembangan dan perjalanan seminar berkenaan. Tak tahulah di mana silapnya, tetapi lapor mantan Timbalan Naib Canselor (HEP) UTM, Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah, sambutan menggalakkan dengan sesi perbincangan kertas kerja berjalan dalam suasana hangat.

Bagusnya, pertandingan lagu-lagu asli untuk remaja disiarkan terus menerus ke TV1, di samping Menteri Penerangan Dato’ Seri Zainuddin Maidin beriring-iringan dengan Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan menyamapikan hadiah kepada pemenang. Pertandingan bolasepak Asia di Jakarta antara Arab Saudi dan Iraq juga disiarkan terus menerus oleh TV1, disebabkan ada sponsor yang membuat tajaan. Isu bahasa dan persuratan Melayu, memang tak siapa pun mahu membuat penajaan kerana ehem ehem! Tak apalah Pak Ismail Hussein atau Dr Mansor, cukuplah semarakkan di hati – BAHASA MELAYU BAHASA BANGSA MELAYU!


KOMENTAR
bersama Pak Parjo

MAJLIS ULANG TAHUN PPP
KEYVEAS MAHU KELUAR BN

Memang sah pilihanraya ‘around the corner’, hingga demamnya sudah menular menjadi virus yang lebih berat. Ketika menyambut ulangtahun Parti Progresif Penduduk (PPP), Presidennya Dato’ M. Keyveas membuat ultimatum mahu membawa partinya keluar BN, kalau tak dipenuhi tuntutannya memperoleh 4 kerusi Parlimen, 12 kerusi DUN, 79 kerusi majlis tempatan dan jawatan ‘Datuk Bandar Ipoh’. Tak hairanlah dengan tuntutan PPP, kerana mungkin sahaja pihaknya sudah mengenal pasti iaitu UMNO macam batang padi rebah, hingga tekukur pun berani meniti. Gamaknya!

Hebat juga Keyveas. Apalagi ungkit mengenai perjanjian Tun Abdul Razak dengan Dr Seenivasagam pengasas PPP (sebelum itu dikenali Parti Progresif Rakyat). Tak tahulah pengasas PPP yang mana berunding dengan Tun Abdul Razak, kerana ketika parti itu menyertai BN – D.R. Seenivasagam (bukan Dr. atau nama sebenarnya Dharma Raja Seenivasagam) sudahpun meninggal dunia. Kedudukan abangnya Sri Padhmaraja Seenivasagam (S.P. Seenivasagam) yang memimpin PPP pada pilihanraya 1969 juga tergugat selaku Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ipoh. Apalagi pada pilihanraya 1974, S.P. Seenivasagam sendiri bertanding atas tiket BN tewas di Parlimen Mengelembu.

Seenivasagam pula pernah dipujuk menjadi Ketua Pembangkang Parlimen (sekalipun mempunyai 4 kerusi Parlimen sahaja), kononnya pimpinan DAP menemui pemimpin PPP itu di Hotel Federal selepas pindaan perlembagaan dibuat bagi memulihkan Parlimen yang digantung berikutan tragedi 13 Mei. Mereka berbuat demikian setelah Tan Sri Mohd Asri Haji Muda meninggalkan kerusi Ketua Pembangkang untuk menyertai kerajaan campuran (belum lagi dibentuk BN ketika itu). Apalagi banyak perkara yang tersirat dan tersurat pada dekad 1960-an dan 1970-an itu masih lagi dalam ingatan:

Saturday, July 28, 2007

JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)


INFO HAK ASASI MANUSIA:
(dari meja pimpinan)


PERSEPSI PRIMA DITERIMA MENTERI
SEGELINTIR PEMIMPIN UMNO TAK RASIONAL


Menteri Dalam Negeri Dato’ Seri Radzi Sheikh Ahmad secara tak langsung bersetuju dengan persepsi PRIMA mengenai isu pengendali blog tak menjejaskan UMNO, tetapi UMNO boleh dijatuhkan oleh ahli-ahli UMNO sendiri. Radzi dilaporkan oleh media mengenai kekuatan UMNO tak terjejas berikutan diserang hebat pengendali laman blog ketika menyampaikan kad pemastautin tetap (MyPR) jurulatih badminton negara Rexy Mainaky di Putrajaya. Sebelum ini laman blog PRIMA pada 25 Julai menyebut jurucakap PRIMA, Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz meminta kerajaan tak dipengaruhi segelintir ahli UMNO yang kurang rasional kerana mempunyai agenda.


Radzi mengakui desakan segelintir ahli-ahli UMNO menyebut: “Mereka kata…apa ni Datuk, teruk sangat… perlu ada had, takkan sampai caci agama dan mengata Agong macam-macam!”. Sudah tentu perkara yang mustahil orang Melayu caci agama atau mempertikaikan Yang Dipertuan Agong. Seperti keperihalan PRIMA yang meminta (bukan menuntut) kerajaan yang dipimpin UMNO prihatin dengan Bahasa Melayu dan bangsa Melayu. Kalau tak ada ‘Bahasa Melayu’ bagaimana boleh wujud ‘bangsa Melayu’, justeru tiada ‘bangsa Melayu’ maknanya hilanglah ‘raja-raja Melayu’. Inilah isu yang terkandung dalam 13 Perkara ‘Malayan Union’ dulu, kalau ahali-ahli UMNO terbabit sentiasa rasional!


MODAL INSAN DI UNISEL, BISTARI JAYA

Matlamat kerajaan negeri Selangor di bawah Menteri Besar Dato’ Seri Dr. Mohd Khir Toyo mahukan Universiti Industri Selangor (UNISEL) menjadi fokus ‘modal insan’ sepatutnya sejajar dengan sasarannya. Kalau menjadi ‘ketam yang berjalan mengereng, mahu anak-anak berjalan betul’, susahlah gamaknya! Hari ini (28 Julai 2007) pendaftaran masuk pelajar-pelajar baru dan pelajar-pelajar yang meneruskan pengajian semestar di kampus Bistari Jaya (Batang Berjuntai), bukan sahaja kelam kabut, malah berserabut, berkelabut dan bersemabut. Bukan sahaja insiden di kampus Shah Alam berulang dengan masalah ‘asrama’, tetapi pendaftaran tak berjalan lancar.


Ibu bapa yang menghantar pelajar-pelajar baru diingatkan, mereka yang lewat mendaftar akan didenda RM25.00, tetapi pelajar-pelajar menunggu jam 8.30 pagi, pejabat belum pun dibuka. Mereka terpaksa menunggu angka giliran sebaik sahaja pejabat dibuka, hingga angka giliran atas 1700 belum selesai hingga jam 3.00 petang. Ketika itu baru sahaja angka giliran ke 1200 ke atas. Apalagi pelajar-pelajar yang mendaftar (bagi menyambung pengajian semester) masih belum menerima PTPTN untuk membayar sewa rumah di luar kampus, dan lain-lain yang menteri terbabit pun faham, fahamlah!

SEPETANG BERSAMA RAJA PETRA


Isu penahanan pengendali blog Malaysia Today Raja Petra Kamaruddin tak berakhir selepas dibebaskan daripada soal siasat polis. PRIMA akan menganjurkan ‘Sepetang Bersama Raja Petra Kamaruddin’ 5 Ogos 2007 nanti, di Taman Tasik Titiwangsa bagi memberi sokongan moral kepada beliau dan Nathaniel Tan. Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz berkata, kita memberi sokongan moral kepada Raja Petra kerana beliau warga prihatin yang mampu mempersoal isu-isu yang mempunyai kepnetingan rakyat, apabila disembunyi oleh pihak berkuasa.


Misalnya, rakyat mahu tahu butir-butir siasatan terhadap Ketua Polis Negara (Tan Sri Musa Hassan) dan bekas Ketua Pengarah BPR (Dato’ Seri Zulkifli Mat Noor) ditutup oleh Peguam Negara atas sebab-sebab ‘tiada kes’. Kalau butir-butir siasatan tak diberitahu kepada umum kewibawaan Peguam Negara akan dipersoal. Tujuannya, bukan mahu menjatuhkan kerajaan tetapi mahu ‘membetulkan’ supaya negara ditadbir di bawah kerajaan yang berwibawa, kata Kamal.


Sementara pengendali blog, Zaharin Mohd Yassin pula mengingatkan segelintir ahli-ahli UMNO yang beragenda tetapi tak rasional, supaya memahami perbezaan antara laman web dan laman blog. Menurutnya, mereka yang mempertikai pengendali laman blog, tak memahami perbezaan tersebut menyebabkan ianya menjadi seperti pepatah orang Negeri Sembilan ‘rebung tak miang, bemban pula yang miang’. Justeru katanya, kerajaan jangan dikelirukan oleh ‘bemban’ yang mendakwa mereka ‘rebung’, hingga tak tahu membezakan laman web dan laman blog.

INFO SASTERA & BUDAYA :

SEMINAR PERTEMUAN AKTIVIS BAHASA
PERBINCANGAN TAK MELEPASI SEMPADAN


Gabungan Penulis Nasional (GAPENA) dengan kerjasama kerajaan negeri Kedah menganjurkan seminar bahasa dan persuratan dalam ‘Pertemuan Penulis Utara’ di Hotel Holliday Villa, Alor Setar sejak semalam (27 Julai 2007). Mantan Timbalan Naib Canselor (HEP) UTM, Dato’ Dr. Mohd Mansur Abdullah turut serta mewakili Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP), di samping mewakili PRIMA secara tidak rasmi. Mansor memberitahu, sekalipun beliau tak berpeluang menyampaikan pandangan, tetapi seminar berkenaan merumuskan Bahasa Melayu tetap dipertahankan.



Bagaimanapun PRIMA berpendapat seminar sahaja belum mencapai sasaran, kerana perjuangan Bahasa Melayu perlukan juga di peringkat akar umbi. Kalau mahu ianya merakyatkan GAPENA, seminar tak perlu diletakkan di bawah kolong hotel lima bintang atau gerbang istana dan seumpamanya. Bawalah budaya kita ke hati dan jantung rakyat iaitu di peringkat akar umbi. Mari kita kembali kepada saranan Allahyarham Dato’ Dr. Ishak Haji Muhammad, duduk bersila di atas tikar mengkuang, makan rebus ubi dan rebus pisang bersama rakyat. Apabila dibawa ke hotel besar kita sekadar menikmati budaya luaran, bukan jiwa dan raga bangsa Melayu sebenarnya. Begitulah!


KOMENTAR
bersama Pak Parjo


KRITERIA MENJADI CALON PILIHANRAYA
MOHD RASHID SUDAH MACAM KETUA PARTI


Tiba-tiba sahaja Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) Tan Sri Mohd Rashid Abdul Rahman, bercakap macam ketua parti apabila menyarankan calon-calon pilihanraya perlu dinilai pencapaian akademiknya. Biasanya ketua parti politik yang membuat kenyataan mengenai kriteria calon-calon yang akan bertanding. Kalau Pengerusi SPR, sewajarnya bercakap fasal pencapaian akademik kakitangan dalam agensi di bawahnya. Apalagi Pengerusi SPR berkenaan bercakap seolah-olah beliau sudah tahu tarikh pilihanraya, sebelum Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi mendapat ilham.


Elok juga Mohd Rashid belajar sikit daripada pengalaman Lim Kit Siang yang pernah menjadi ketua parti politik iaitu DAP pada pilihanraya 1999. Kononnya, ketika itu beliau menetapkan kriteria calon-calon partinya, perlu tahu mengenai IT dan mengendalinya, di samping menyarankan ‘satu keluarga satu homepage’. Keputusan pilihanraya 1999 parti itu Mohd Rashid pun tahu iaitu ’10 budak hitam’, malah ketua parti itu juga ‘gendang gendut tali kecapi’ juga akhirnya. Kalau sekadar tahu SPR sahaja, Mohd Rashid eloklah bertanya Pak Lah sudah mendapat ilham atau belum, kerana yang tahu sikit-sikit fasal ilham nak mengarang, mengerang dan memberang ialah:

Friday, July 27, 2007

JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)


INFO HAK ASASI MANUSIA:
(dari meja pimpinan)


KALANGAN AKADEMIK SOKONG KU LI
BAHASA MELAYU BUKAN MELAMPAU

Mantan Timbalan Naib Canselor (HEP) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dato’ Dr. Mohd Mansor Abdullah menyambut baik ucapan mantan Menteri Kewangan Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah ketika menyampaikan ‘Syarahan Zaaba’ di Universiti Malaya semalam (26 Julai 2007). Dalam ‘Syarahan Zaaba’ itu Tengku Razaleigh menegaskan, orang Melayu hanya meminta perkara yang sederhana sahaja iaitu mahukan bahasa dan kebudayaan Melayu tidak dipersoal. Kata Mansor, kalau komuniti Cina masih berbangga dengan ‘bahasa Cina’ (atau Mandarin), orang India dengan ‘bahasa India’ (atau (Tamil), orang Melayu juga perlu mendaulatkan ‘bahasa Melayu’.


Menurut Mansor, pada peringkat awal digerakkan sekolah-sekolah menengah Melayu, pemimpin-pemimpin negara tidak berasa malu menyebut ‘sekolah menengah Melayu’, kenapa sekarang disebut ‘sekolah menengah kebangsaan’. Mansor, antara pelajar awal yang dieksprimen bagi mewujudkan ‘sekolah menengah Melayu’ pada 1958 di Tanah Melayu ketika menghubungi laman blog PRIMA hari ini (27 Julai 2007) berkata, “Setelah kita habiskan masa untuk memartabat bahasa Melayu, kenapa sekarang mengalah tak bersebab?”


Beliau mengakui, rakan-rakannya yang pernah menjadi murid sekolah menengah Melayu sama ada di Alor Setar, Kedah mahupun di Kota Bharu, Kelantan sekitar dekad 1950-an dulu melahirkan rasa kecewa dengan fenomena pendidikan. Jelas mereka, ujar Mansor, setelah dijadikan ‘mangsa’ sebagai bahan eksprimen ‘orang-orang politik’ ketika itu, mengapa pengorbanan mereka disia-siakan dengan Bahasa Melayu di ubah kepada status ‘Bahasa Malaysia’. Secara tidak langsung ‘orang Melayu’ bukan sahaja kehilangan bahasa, malah akan kehilangan ‘bangsa’ apabila diwujudkan ‘bangsa Malaysia’, katanya.


MANGSA SEKOLAH MENENGAH MELAYU


Bekas pelajar-pelajar sekolah menengah Melayu yang dijadikan eksprimen oleh pejuang-pejuang politik bagi mewujudkan ‘sekolah menengah Melayu’ adalah ‘mangsa’ kesilapan dasar pendidikan yang sukar dimaafkan, kalau Bahasa Melayu diubah status kepada ‘Bahasa Malaysia’. Sebagai pelajar yang dieksprimen di Negeri Sembilan pada 1959, sasterawan Dharmala N.S. memberitahu ketika Sekolah Menengah Melayu Seremban digerakkan, pelajar yang dipilih seramai 80 orang dengan tiga orang guru sahaja. Guru-guru yang mengajar tidak dilengkapkan dengan buku teks, justeru terpaksa menterjemah sendiri buku-buku Bahasa Inggeris sewaktu mengajar. Jangan haraplah pada DBP!


Apabila pelajar-pelajar terbabit lulus Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diiktiraf setanding dengan Malayan Certificate of Education (MCE) di sekolah menengah aliran Inggeris pada 1963, mereka berhadapan dengan isu pengangguran. Di sekolah menengah Melayu belum mempunyai persediaan bagi Higher School Certificate (HSC) untuk mereka meneruskan pengajian ke Universiti Malaya. Mereka yang menamatkan SPM pada 1963, sekadar mampu menjadi guru sandaran/sementara (sebelum diterima masuk ke DTC atau maktab perguruan), kerani, posmen, pembantu pertanian dan yang setaraf.


Mereka terpaksa menunggu sehingga 1971 apabila Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) diwujudkan, di samping peperiksaan untuk Sijil Tinggi Persekolahan (STP) disediakan iaitu sebelum ditukar kepada Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM). Memang sebelum itu peperiksaan di peringkat menengah dikendalikan oleh Oxford Universiti di London (maknanya dasar pendidikan kita masih dijajah). Begitulah pengorbanan pelajar-pelajar di sekolah menengah aliran Melayu yang dieksprimen pada 1958 dulu. Justeru apakah pengorbanan mereka disia-siakan dengan menukar status Bahasa Melayu kepada Bahasa Malaysia?.


MEMBACA MENINGKATKAN ILMU

Banyak pihak bersetuju ‘membaca adalah jambatan ilmu’, bagi membolehkan setiap individu ‘celik minda’. Kempen membaca yang digerakkan oleh kerajaan negeri Selangor di Shah Alam bermula 27 Julai hingga 3 Ogos 2007 akan datang, menerusi pameran buku adalah dialu-alukan oleh PRIMA. Jurucakap PRIMA, Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz percaya kerajaan negeri Selangor mengambil pendekatan bijak apabila menggerakkan kempen membaca. Apalagi khutbah Jumaat di masjid-masjid (misalnya di Masjidi Al-Khiriyyah, Taman Seri Gombak hari ini 27 Julai 2007) juga turut menyeru jemaah prihatin dengan isu membaca, kerana ummah yang rajin membaca mampu meningkatkan ilmu bagi bersaing dengan kaum lain.


Ironinya, kata Kamal ketika kempen membaca digalakkan, Ketua Penerangan UMNO Senator Tan Sri Muhammad Mohd Taib tak mahu rakyat membaca. Mereka yang mahu mengikuti laman blog dimomok-momokkan; apalagi membeli buku-buku yang menjurus kepada ‘celik minda’. Mungkin sahaja Tan Sri Muhammad menggalakkan rakyat sekadar membaca buku-buku propaganda, bagi membolehkan 50 tahun akan datang generasi Melayu akan menjadi ‘robot bernyawa’. Ketika komuniti Cina dan India di Malaysia membaca bahan-bahan yang ‘celik minda’, komuniti Melayu disogokkan dengan bahan-bahan bacaan propoganda yang bobrok, katanya. Misalnya laman blog Malaysia Today yang dikendali Raja Petra Kamaruddin digantung operasi adalah contoh menggagalkan kempen membaca di kalangan masyarakat Melayu.


INFO SASTERA & BUDAYA :

KEGILAAN AURA HARRY POTTER
BUDAYA MELAYU TERIKUT-IKUT


Buku siri ‘Harry Poter’ karya J.K. Rowlings penulis wanita yang mampu memikat ramai pembaca di seluruh dunia hingga mencecah 3 – 4 juta naskhah, bukanlah hebat kalau ikut nisbah penduduk dunia. Tak berapa persen sahaja daripada sejumlah penduduk dunia yang beli buku berkenaan. Tetapi disebabkan propaganda berkesan penerbit buku, malah penerbit filem yang mengadaptasi karya tersebut, makanya J.K. Rowling pun mampu tersenyum lebar. Kalau novel Melayu mampu disibar ke seluruh dunia nisbah 3-4 juta itu memang boleh dicapai juga, sayangnya apakan daya novel-novel yang ditulis dalam Bahasa Melayu tak melepasi ‘dunia tanpa sempadan’.


Bahkan novel-novel Melayu tak mampu masuk ke Indonesia, ketika novel-novel dari Indonesia bebas mencari pasaran di negara ini. Karyawan Indonesia yang melabel diri mereka sebagai ‘abang’ seolah-olah jijik melihat karya-karya dari Malaysia yang dianggap ‘adik’ itu. Belajarlah dari pengalaman sasterawan Dharmala N.S. ke Sumatera Barat bagi menghasilkan skrip filem ‘Raja Melewar’, apabila mereka beranggap segala-gala terletak di tangan mereka. Malah ada individu yang mengaku berketurunan waris ‘Raja Melewar’ justeru perlu dibayar imbuhan bagi menulis skrip berkenaan.



Sebaliknya apabila disoal oleh Dharmala, ketika ‘Raja Melewar’ berhijrah ke Tanah Melayu untuk menaiki takhta, sama ada sudah berkahwin atau belum, individu tersebut secara pongah menyatakan raja itu masih muda berusia dalam lingkungan 20-an sahaja dan belum berkahwin. Justeru soal Dharmala, kalau ‘Raja Melewar’ belum berkahwin ketika itu, bagaimana beliau boleh meninggalkan waris atau zuriatnya. Makanya terloponglah individu tersebut, walaupun kononnya mempunyai degri ‘Drs.’, dan pada rundingan kali kedua saya diberitahu oleh (Allahyarham) Tan Sri Abdul Samad Idris, individu terbabit tak hadir. Begitulah!

ISU KOMENTAR
bersama Pak Parjo


PRIHAL MENTERI DENGAN ISTILAH
MENJAGA MUZIUM ATAU DIMUZIUMKAN!


Siapalah Dato’ Seri Syed Abdul Hamid Albar mahu buat kenyataan, tak ada alternatif lain dari Malaysia untuk jawatan Setiausaha Agung Komanwel, selain daripada Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim. Kalau atas kapisiti menteri luar pun, bukan selayaknya Syed Hamid Albar bersuara, seperti laporan akhbar BERITA HARIAN hari ini (27 Julai 2007). Label mereka sama sahaja iaitu ‘menteri kabinet’, malah Dr. Rais dikira lebih senior lagi daripada Syed Hamid (bukan dikira daripada insiden 1987). Justeru, Syed Hamid tak akan bersuara, kalau tak disuruh bersuara, apalagi kalau bukan bos sendiri mahukan beliau bersuara.


Bukanlah mudah bagi seseorang menteri yang sudah meninggalkan jawatannya pada 1987 (kerana dicantas), mahu kembali mencapai kedudukannya kalau tak cukup prasyarat orang tua-tua Melayu dulu: Hati berani senjata tajam; mulut bacar emas banyak! (Kalau Syed Hamid tak faham maknanya, kenalah tanya Dr. Rais sendiri). Begitulah apabila membaca epik ‘Sejarah Melayu’ mengenai insiden selepas pembunuhan Tun Mutahir bin Seri Nara Diraja Tun Ali bin Mani Purindam di Melaka pada 1509. Apabila Raja Zainal dikatakan ‘mengurat’ Tun Fatimah maka ‘hulubalang’ Sultan Mahmud membunuhnya. ‘Hulubalang’ Sultan Mahmud tak akan berani membunuh ‘adik sultan’, kalau ianya tak menerima ‘lampu hijau’ dari sultan. Sama seperti Dr. Rais yang suka belajar pepatah petitih orang tua-tua dulu seperti terkilat ikan di air ialah: