Sunday, August 26, 2007

JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG

MARAH DR MANSOR TAK REDA
LEPAS GERAM DI RUMAH GAPENA

Assalamualikum,

Marah benar bekas Timbalan Naib Canselor (HEP) UTM, Dato’ Dr Mohd Mansor Abdulllah, disebabkan saya mengambil sikap ‘berdiam diri’ ketika pelancaran buku ‘Analitikal Pimpinan Pemuda: Ahmad Badawi Abdullah Fahim: LILIN MEMBAKAR DIRI’, apabila saya seolah-olah dipinggirkan hingga tak dipanggil naik ke pentas untuk mengiringi Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Dato’ Seri Mohd Radzi Sheikh Ahmad pada 24 Ogos 2007. Ketika bertemu di Rumah GAPENA malam 24 Ogos itu, Dr. Mansor masih tak berpuas hati, kerana saya tak bertindak agresif, hinggalah pengerusi majlis Dato’ Aziz Singah menjemput saya naik ke pentas.

Sampai di Rumah GAPENA dalam acara ‘sembang-sembang kopi dan nasi lemak’, Dr Mansor tak mahu menjamah nasi lemak mahupun meneguk kopi, sekalipun beliau duduk di sisi saya. Datin turut memujuknya, tetapi Dr. Mansor masih juga tak mahu menjamah dengan memberi pelbagai alasan. Sebaik sahaja Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz muncul membawa antologi sajak ‘Melayu Mudah Lupa’, Dr Mansor keluar dari dewan wacana, di samping terserempak ‘pakar wacana’ Jaafar Abdul Rahim. Secara kebetulan pula saya berbual dengan penulis veteran Sahmad Malaya, pemimpin DPMP melintas sambil mencapai antologi ‘Melayu Mudah Lupa’.
Tak bertangguh pula Tengku Alaudin memeluk saya erat-erat, sambil meminta Mohd Sayuti Omar mengambil gambar.


Selepas bergambar,Tengku Alaudin kembali masuk ke dewan wacana, meninggalkan saya bersama Sahmad Malaya berbual-bual di bawah khemah. Mungkin sahaja marah Dr. Mansor semakin reda, beliau mula mencari nasi lemak dan minuman, ketika Dato’ Kamal Amir rancak berbual di khemah yang lain. Bagaimanapun insiden ketika pelancaran buku di Seri Pacific Hotel itu, sebenarnya memberi rahmat, kerana tak lama selepas itu Puan Rahimah dari Perpustakaan Negara menemui saya bagi memberi jaminan akan berurusan terus dengan saya berkaitan dengan buku-buku yang dihasilkan. Alhamdullillah!

-Muluk.


INFO HAK ASASI MANUSIA

KECOH DALAM WACANA BLOGGER
KAMAL AMIR PERTAHAN BAHASA MELAYU

Pertemuan pengendali laman web dan laman blog di Blok Bistari, Damansara semalam (25 Ogos 2007) kecoh, apabila sebahagian blogger menganggap Bahasa Inggeris juga termasuk dalam takrif ‘Bahasa Malaysia’. Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz menolak takrif berkenaan dengan mempertahankan Bahasa Melayu sebagai jatidiri Melayu yang tak boleh dikompromi. Saranan Kamal disokong oleh pengendali laman web, Zaharin Mohd Yassin yang mahukan setiap blogger menggunakan Bahasa Melayu dalam sebarang pertemuan di masa akan datang. Serentak dengan itu Kamal mendesak kabinet menarik balik ketetapan ‘Bahasa Malaysia’ sebagai bahasa ‘bangsa Malaysia’, sebaliknya mengembalikan semula ‘Bahasa Melayu’ sebagai bahasa rasmi.

“Tak ada Bahasa Malaysia di dunia ini, yang ada ialah ‘Bahasa Melayu’, justeru semua warga negara Malaysia mesti menerima ‘Bahasa Melayu’ seperti yang sudah termaktub dalam Perlembagaan,” beritahu Kamal merujuk kepada insiden kecoh dalam wacana bersama blogger itu. PRIMA akan menentang siapa sahaja yang memperlekeh Bahasa Melayu, termasuk blogger-blogger yang tak menghormati Bahasa Melayu, kata Kamal seterusnya. Selagi kabinet mengekalkan istilah ‘Bahasa Malaysia’ bagi merujuk kepada ‘Bahasa Melayu’, ianya seolah-olah meletakkan bola bagi ‘sepakan penalti’ kepada musuh-musuh Bahasa Melayu, menurut Kamal lagi.

PAK YA KE PEKAN BARU
BAWA ‘MELAYU MUDAH LUPA’


Pimpinan kanan PRIMA Yahaya Ismail (Pak Ya) diundang membentangkan kertas kerja dalam seminar ‘Sastera Melayu dan Islam’ di Pekanbaru, Propinsi Riau, Indonesia 31 Ogos 2007 ini, bersama penulis veteran Syed Akbar. Undangan awal disampaikan kepada bekas Ketua Menteri Sabah, Dato’ Harris Salleh yang kemudiannya memberikan nama Pak Ya dan Syed Akbar kepada pihak panatianya. Pak Ya yang akan bertolak menaiki pesawat Garuda menerusi Jakarta pada 30 Ogos 2007 ini, akan membawa bersama antologi sajak ‘Melayu Mudah Lupa’ bagi diteliti oleh peserta-peserta yang menghadiri seminar berkenaan.


Pemilihan Pak Ya membentangkan kertas kerja ke seminar tersebut memang satu penghargaan kepada PRIMA; apalagi turut memperkenalkan karya-karya sastera dari Malaysia termasuk antologi sajak ‘Melayu Mudah Lupa’. Sepanjang beada di Pekanbaru Pak Ya akan mengkaji karya-karya sastera di propinsi Riau, malah hubungan dengan penulisan sejarah saling berkait rapat. Pekanbaru secara historikal adalah destinasi terakhir Sultan Mahmud Syah, Melaka melarikan diri selepas dijajah oleh Portugis, malah beliau meninggal dunia di Kampar (iaitu di Pekantua, kira-kira 20 kilometer dari Pekanbaru). “Mungkin sahaja naskhah-naskhah Melayu lama turut dibawa oleh Sultan Mahmud ke Kampar ketika itu,” beritahu Pak Ya.

INFO SASTERA & BUDAYA

PUTRAJAYA BUMI SEMAKIN AKTIF
TERBIT DUA BUAH BUKU SERENTAK

Penerbit ‘Putrajaya Bumi Communications Sdn Bhd’ di Kelana Jaya semakin aktif menerbitkan buku-buku sejak beberapa bulan lalu. Dua buah buku baru terbit serentak di bawah label syarikat berkenaan ialah ‘Medan Perang Siber’ oleh Kamal Amir dan antologi sajak ‘Melayu Mudah Lupa’ diselenggara oleh Yahaya Ismail, Dharmala N.S. dan Kamal Amir. Penerbitnya, Puan Rozie memberitahu matlamat pentingnya ialah memperkasa Bahasa Melayu, di samping menggalakkan masyarakat ‘celik membaca’. “Kita tak memerlukan untung banyak, asal sahaja pulang modal termasuk kos cetak, sudah memadai bagi perjuangan kami,” Puan Rozie menjelaskan.

Menurutnya lagi, ‘Medan Perang Siber’ adalah kompilasi dari laman web dan laman blog yang dianggap kontroversi, tetapi tak berpeluang dibaca oleh mereka yang tak melayari laman web dan laman blog. Justeru katanya, dengan menerbitkannya secara kompilasi ianya boleh dibaca secara umum bagi memahami mesej yang disampaikan dalam tulisan menerusi laman web dan laman blog itu. Seterusnya Puan Rozie mengingatkan, mereka yang memusuihi pengendali laman web dan laman blog supaya tidak prejudis sebelum membaca tulisan-tulisan berkenaan secara rasional. ‘Menerusi buku ‘Medan Perang Siber’ masyarakat umum boleh menjadi hakim bagi menilai pemikiran sebenar penulis-penulis laman web dan laman blog,” katanya.

Sementara itu antologi sajak ‘Melayu Mudah Lupa’ adalah manifestasi penyair-penyair Melayu terhadap dilema baru bangsanya yang masih teraba-raba jatidiri sendiri sekalipun sudah 50 tahun merdeka, beritahu Puan Rozie seterusnya. Di samping sajak ‘Melayu Mudah Lupa’ karya Tun Dr Mahathir Mohamad, sajak ‘Aku Mencari Damai Abadi’ yang dihasilkan oleh Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi turut dimuatkan dalam antologi berkenaan. Sekalipun berlaku perbezaan persepsi mengenai antologi ‘Melayu Mudah Lupa’, tetapi pihak penerbit merasakan ianya adalah manifestasi penyair-penyair Melayu yang cintakan bangsa, agama dan tanah air mereka, beritahu Puan Rozie.

KOMENTAR
bersama Pak Parjo
50 TAHUN MERDEKA
PRASYARAT MEMOHON KERJA

Baguslah! Menteri Sumber Manusia, Dato’ Seri Dr Fong Chan Onn mahukan iklan kerja kosong tak meletakkan prasyarat bahasa lain bagi pemohon-pemohon, katanya kepada media selepas Majlis Konvokesyen Kelima Universiti Tunku Abdul Rahman (Utar) di Wisma MCA semalam (25 Ogos 2007). Sebelum ini kononnya, dilaporkan terdapat majikan yang mengiklan kerja kosong meletakkan prasyarat mesti boleh berbahsa Mandarin dan Bahasa Inggeris. Berasa hairanlah kita, syarikat yang mengiklan itu, seolah-olah pelanggannya masyarakat yang berbahasa Mnadarin dan Inggeris sahaja, bukannya yang berbahasa Melayu. Aduhai!

Makanya teringatlah pula kita akan keperihalan pernikahan Sultan Mansor Shah dan Puteri Hang Li Po 500 tahun dahulu, tak pula ditetapkan prasyarat oleh Maharaja Cina akan Raja Melaka itu dimestikan berbahasa Mandarin. Akan Sultan Mansor Shah (bukan Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah, bekas profesor dan Timbalan Naib Canselor HEP, UTM) kabarnya seperti diberitahu oleh ‘fakir’, bahasanya ialah ‘Bahasa Melayu’. Kalau baginda menghantar bingkisan (surat menyurat) pun menggunakan ‘Bahasa Melayu’ dengan tulisan jawi (kerana baginda belum lagi belajar menulis rumi). Bukan sahaja bingkisan ke Pasai, ke Manjapahit atau ke Perlak malah sampai ke Benua India, be Benua Cina dan ke Benua Rom juga. Anehnya, ketika itu semuanya faham pula akan bahasa Sultan Mansor Shah itu, hingga kerajaannya besar dan berpengaruh sekalipun bahasa yang digunakan memang menjadi kegemaran, kegembiraan dan kesukaan:
HIDUP BAHASA MELAYU!!!

Friday, August 24, 2007




JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)

(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)
DARI LAMAN BLOG

APABILA PENULIS DIPANGGIL
BERUCAP SELEPAS PELANCARAN BUKU

Assalamualikum,

Wartawan Berita Harian, Amirullah menarik saya keluar dewan di Seri Pacific, lokasi berlangsungnya pelancaran buku ‘Analitikal Pimpinan Pemuda: Ahmada Bdawi Abdullah Fahim: LILIN MEMBAKAR DIRI’, untuk sesi bergambar. Kebetulan pula selepas Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Dato’ Mohd Radzi Sheikh Ahmad selesai melancar buu berkenaan, pengerusi majlis Dato’ Aziz Singah ternampak saya duduk bersebelahan Ketua Penerangan UMNO Gombak, Sdr Omar Sudi Abdul Manan, bekas Timbalan Naib Canselor (HEP) UTM, Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah, pegawai khas dari Jabatan Perdana Menteri Dato’ Haji Ibrahim, bekas Ahli Parlimen Lipis, Dato’ Omar Haji Othman dan aktivis UMNO dari Perak Dato’ Kamaruddin.

Mereka mendesak Dato’ Aziz Singah memanggil saya naik ke pentas, sekalipun upacara pelancaran sudah dikira selesai, ketika tetamu-tetamu sedang menghadapi hidangan. Justeru sempatlah saya memberitahu buku berkenaan ditulis adalah amanat ayahanda angkat, guru dan sahabat saya Allahyarham Tan Sri Abdul Sama Idris yang berhasrat mahu menulis mengenai perjuangan ‘Barisan 33’ yang pernah dibentuk oleh Dato’ Ahmad Badawi pada 1953. Memang sumbangan Dato’ Ahmad Badawi kurang diberi penekanan oleh penulis-penulis sejarah, tetapi berdasarkan pengamatan Tan Sri Abdul Samad Idris (yang menjadi Pengerusi Tetap Pemuda UMNO 14 tahun berturut-turut) pada dekad 1950-an dan 1960-an, Dato’ Ahmad Badawi mencorakkan hala tuju Pemuda UMNO atas kepercayaan yang diberikan oleh ketuanya Tun Sardon Jubir.

-Muluk

INFO HAK ASASI MANUSIA

PENULIS SEJARAH NASIONALISME
PEMIMPIN MELAYU MESTI PRIHATIN


Setiausaha Agung UMNO yang juga Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Dato’ Mohd Radzi Tan Sri Sheikh Ahmad menggesa pemimpin-pemimpin Melayu prihatin dengan penulisan sejarah nasionalisme. Ketika melancarkan buku autobiografi ‘Analitikal Pimpinan Pemuda; Ahamad Badawi Abdullah Fahim: LILIN MEMBAKAR DIRI’ di dewan Seri Pacific hari ini (24 Ogos 2007), Radzi berkata, sumbangan Dato’ Ahmad Badawi dalam kepimpinan Pemuda UMNO hampir dilupakan, sekiranya tak ada usaha menyelidikan pembabitan tokoh berkenaan dalam gerakan nasionalisme.

“Mungkin sahaja Pak Lah sendiri tak mengetahui banyak rahsia perjuangan ayahnya Dato’ Ahmad Badawi seperti pembentukan ‘Barisan 33’, justeru ianya memerlukan kaji selidik dalam penulisan sejarah,” beliau menjelaskan. Radzi sendiri mengaku beliau juga tak banyak mengetahui rahsia perjuangan ayahnya Allahyarham Tan Sri Sheikh Ahmad Hashim, kalau tak membaca buku ‘Riwayat Hidup Tunku Abdul Rahman Putra’ karya Abdul Aziz Ishak, sebagai ahli Majlis Jawatankuasa Agung UMNO (sekarang Majlis Tertinggi) yang sering bertelagah pendapat dengan Tunku.


Kata Radzi lagi, sebagai anak seseorang itu memang tak diberitahu oleh ayahnya rahsia perjuangan politik, sebaliknya sekadar dididik mencapai kecemerlangan dalam akademik. Justeru liku-liku perjuangan ayahnya dalam gerakan nasionalisme lebih banyak diketahui oleh rakan-rakan rapat yang terbabit bersamanya. Seterusnya Radzi mengakui, Dato’ Ahmad Badawi sering ke Perlis semasa pilihanraya umum 1955 bagi membantu ayahnya (Tan Sri Sheikh Ahmad) dalam kempen pilihanraya, sekalipun beliau (Dato’ Ahmad Badawi) atak menjadi calon. “Dato’ Ahmad Badawi lebih mementingkan kesetiaan kepada UMNO daripada mengejar kedudukan menjadi calon,” ujarnya.
AHMAD BADAWI SELAMATKAN PAS
BENARKAN PREMIS MENJADI MARKAZ


Ayah Perdana Menteri Dato’ Abdullah Ahmad Badawi, Allahyarham Dato’ Ahmad Badawi bin Sheikh Abdullah Fahim, ketika menjadi Naib Ketua Pemuda UMNO sekitar dekad 1950 pernah menyelamatkan Parti Islam SeMalaya (PAS) apabila parti itu tak mampu mencari premis sebagai markaz perjuangannya. Menurut Pembantu Khas kepada Setiausaha Agung UMNO yang juga bekas Ahli Parlimen Jelebu, Dato’ Mohd Yunus Rahmat, Dato’ Ahmad Badawi membenarkan PAS menggunakan bangunan madrasahnya Daeratul Maarifi al-Wataniah di Kepala Batas sebagai markaz parti berkenaan.

Berucap ketika pelancaran buku ‘Analitikal Pimpinan Pemuda: Dato’ Ahmad Badawi Abdullah Fahim: LILIN MEMBAKAR DIRI’ yang disempurnakan oleh Dato’ Seri Mohd Radzi Sheikh Ahmad, beliau menegaskan, Dato’ Ahmad Badawi adalah bersikap terbuka dalam kepimpinannya. Pemuda UMNO ketika itu ternyata bertuah kerana dipimpin oleh ulama besar yang dihormati selaku naib ketua di samping ketuanya Tun Sardon Jubir. “Pengalaman beliau sebagai aktivis pelajar ketika menuntut di Timur Tengah bersama pelajar-pelajar Mesir dan Turki, membolehkan Dato’ Ahmad Badawi turut menggerakkan Pemuda UMNO dengan pendekatan radikal,” beritahu Yunus seterusnya.

ANTOLOGI ‘MELAYU MUDAH LUPA’
DIBAWA KE RUMAH GAPENA MALAM INI.


Antologi sajak ‘Melayu Mudah Lupa’ dibawa ke Rumah GAPENA malam ini (24 Ogos 2007) bagi dideklamasikan oleh beberapa orang penyair, menurut Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz. Pemilihan Rumah Gapena setelah dipersetujui oleh pimpinan ormas budaya dan sastera itu, yang tertarik dengan perjuangan PRIMA mahu mempertahankan ‘Bahasa Melayu’ sebagai bahasa rasmi negara. Sebelum ini PRIMA secara konsistan menolak sebarang usaha menukar ‘Bahasa Melayu’ kepada ‘Bahasa Malaysia’, malah pihaknya bersedia menemui Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi bagi memberi penjelasan.

“Kami menerbitkan antologi sajak ‘Melayu Mudah Lupa’ adalah sebagai manifestasi bangsa Melayu yang kecewa apabila kontrak sosial sejak 1957 sengaja dipersoal,” kata Kamal ketika memberitahu mengenai deklamasi sajak berkenaan. Sambil menolak usaha yang dibuat PRIMA sebagai menimbulkan keresahan kaum, Kamal menegaskan apa yang dibuat oleh PRIMA adalah berdasarkan peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang kita junjung tinggi. Mereka yang mempersoal isu berkenaan sengaja mahu memperlekeh kedaulatan ‘Bahasa Melayu’ yang sudah diterima sebagai bahasa rasmi menerusi kontrak sosial itu, ujarnya.

INFO SASTERA & BUDAYA

KERENAH BIROKRASI DI DBP
NOVEL MANSOR DICINCANG HABIS


Novel karya Dr Mohd Mansor Abdullah yang dihantar ke Dewan Bahasa dan Pustaka dicincang habis oleh pihak editorial, tetapi masih juga diterbitkan dengan tak diberi sebarang alasan. Menurut sumber, novel berkenaan diminta oleh pihak editorial dibuat beberapa pembetulan yang dicadangkan, bagi diterbitkan DBP. Sebaliknya, setelah ianya dicincang habis, pihak editorial masih tak berpuas hati, dengan tak memberi alasan yang munasabah sama ada ianya ditolak atau sebaliknya. “Kalau novel berkenaan tak sesuai diterbitkan oleh DBP, seharusnya tak perlu meminta Dr Mansor membetulkan, malah ianya wajar ditolak lebih awal,” kata sumber berkenaan.

Kerenah birokrasi yang berterusan kekal di DBP tak memperlihatkan usaha mahu meningkatkan pengembangan sastera Melayu, sekalipun kedudukan sastera Melayu hanya menjadi mata pelajaran ‘kelas dua’ di sekolah-sekolah menengah. Bukan sahaja novel karya Dr. Mansor yang menghadapi isu kerenah birokrasi, malah novel karya SN Profesor Emeritus Dato’ Shahnon Ahmad juga tak terlepas menjadi mangsa. Menurut sumber tersebut, salah sebuah novel Shahnon sudah terperap di DBP sejak hampir lima tahun lalu. “Kerajaan perlu memantau perkembangan di DBP, kalau mahu melihat sastera Melayu kembali subur di tengah khalayaknya,” beritahu sumber berkenaan.

KOMENTAR
bersama Pak Parjo.

DASAR PENGAJIAN TINGGI DILANCAR
KUALITI YANG BAGAIMANA DIMAHUKAN?



Kabarnya dasar pengajian tinggi negara akan dirombak bagi menghasilkan graduan yang berkualiti dalam usaha memenuhi keperluan modal insan. Proses transformasi akan dilakukan di bawah Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara dan Pelan Tindakan Pengajian Tinggi Negara 2007-2010, yang kononnya akan dilancarkan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi 27 Ogos 2007 ini. Baguslah! Tak tahulah definasi ‘kualiti’ yang dimahukan, kerana aktiviti pelajar-pelajar yang berasaskan kepada penyelidikan bersepadu ditafsirkan sebagai ‘politik’. Pensyarah yang sepatutnya memberi kuliah dua jam, sekadar 20 minit sahaja dengan memberitahu pelajar-pelajar: “Saya pensyarah, saya yang berkuasa menentukan kuliah!”

Ironinya, pensyarah terbabit tak menyedari gajinya dibayar adalah daripada PTPTN yang disalurkan kepada pelajar-pelajar. Justeru pegawai-pegawai di kementerian pengajian tinggi, perlulah turun padang juga bagi memantau pensyarah-pensyarah yang berkualiti sahaja dibenarkan mengajar di IPTA atau IPTS. Kalau sekadar merangka pelan itu pelan ini, kemudian dilancarkan oleh PM samalah macam: Sorong papan tarik papan, buah keranji dalam perahu! Apalagi pensyarah yang membuat keputusan sesuatu projek pelajar-pelajarnya ‘berunsur politik’, sebelum ianya dilaksanakan. Biasanya yang tahu fasal ‘menyelam air di tunggak’, sekalipun tak pernah menyelam di laut dalam dan tak perlukan kail lebih panjang sejengkal ialah:











HIDUP BAHASA MELAYU.

Thursday, August 23, 2007

JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)

(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG

NAHAS JALANRAYA MENINGKAT &
ISU JAMBATAN BENGKOK YANG CURAM

Assalamualikum,

Dalam beberapa minggu sahaja berlaku lagi kemalangan bas ekspres, sekalipun insiden di Kilometer 30.3 Jalan Gua Musang-Kuala Krai tak mengorbankan banyak jiwa seperti keperihalan di Bukit Gantang. Bagaimanapun tragedi di Bukit Gantang, Perak pemandu bas ekspres berkenaan meninggal dunia di tempat kejadian, berbeza pula dalam insiden di Gua Musang pemandu bas dikatakan menghilangkan diri. Aduhai! Fokus sekarang ditumpukan kepada pemandu bas; apalagi salah seorang penumpang Siti Esah Mat Salleh memberitahu media, beliau menyedari pemandu terbabit dalam keadaan mengantuk. Kalaulah disebabkan mengantuk, tak tahulah!

Memang saya tak pernah melalui jalanraya di Kelantan sejak 1996 lagi di sebelah malam, tetapi kalau menggunakan lebuhraya di selatan kerapkali juga. Bas ekspres yang menggunakan Lebuhraya Utara-Selatan sering memotong kereta buruk saya, sekalipun memecut mengikut aturan 110KSJ. Kadangkala apabila mengikut lorong tengah, bas terbabit akan menegakkan lampu yakni meminta masuk ke lorong sebelah kiri. Maknanya bas-bas eskpres berkenaan mahu bergerak laju apabila melewati jam 2.00 pagi, kerana JPJ mahupun polis trafik tak akan memantau kenderaan mereka. Lainlah pada hari-hari perayaan, pemandu-pemandu bas akan sentiasa mematuhi peraturan.

Ironinya, sekalipun pihak pelesenan kenderaan meletakkan nombor telefon aduan (LPKP 39900) bagi orang ramai membuat aduan mengenai pemandu kenderaan yang memandu secara berbahaya, tetapi tak pernah diberi jawapan sama ada aduan sudah diterima atau belum menerusi (SMS). Sudah beberapa kali saya menggunakan talian tersebut melaporkan pemandu kenderaan yang memandu secara berbahaya, sebaliknya tak menerima sebarang respons daripada LPKP. Setidak-tidaknya nombor telefon pengadu yang menggunakan SMS boleh dikesan, tak sepatutnya LPKP sukar sangat mahu memberikan respons.
Makanya, seperti disebut oleh Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ketika wacana bersama PRIMA pada 15 Ogos 2007 lalu, alasan yang diberi apabila ‘jambatan bengkok’ dibatalkan kerana kedudukannya curam boleh menyebabkan nahas bagi kenderaan yang melaluinya. Anehlah pula, jalanraya dan lebuhraya yang tak curam pun boleh berlaku nahas, di samping mengorbankan banyak jiwa. Kita tak menuding jari kepada sesiapa, tetapi insiden ‘kecuaian manusia’ bukan beban individu, malah kerenah birokrasi terutama talian telefon 39900 untuk mengirim SMS kepada LPKP perlulah pula dikemaskini, di samping memberi maklumbalas kepada pengirim SMS.

-Muluk

INFO HAK ASASI MANUSIA

KESALAHAN SUDAH JELAS
JANGAN ‘BIAR CACING NAIK KE MATA’

Cendekiawan dan bekas ahli akademik, Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah mahukan tindakan tegas ke atas pelajar Malaysia di Taiwan yang menghina negara segera diambil, bukan berdolak dalih hingga ‘cacing naik ke mata’. Beliau yang juga bekas Timbalan Naib Canselor (HEP) UTM berkata, sebagai bekas pendidik beliau menyedari pelajar-pelajar yang mempunyai kesalahan sudah jelas, perlu menerima hukuman yang setimpal. Di samping enggan menyebut nama pelajar terbabit yang dikatakan berasal dari Muar, Mansor menegaskan, lirik lagu ‘Negaraku’ bukan sahaja diCinakan, malah menyentuh isu sensitif seperti meminggirkan orang Cina, memperlekeh wanita Islam bertudung, menyelitkan azan Subuh dan memburukkan Polis Diraja Malaysia (PDRM).


“Kalau dulu Lee Kuan Yew menuduh masyarakat Cina di Malaysia dipinggirkan kita merasa marah, tetapi kenapa dalam isu pelajar terbabit menghina negara, pihak berkuasa masih berdolak dalih,” ujar Dr. Mansor yang mula-mula membangkitkan isu berkenaan menerusi blog PRIMA, sebaik sahaja ianya dianggap selesai selepas bapa pelajar tersebut meminta maaf menerusi media dengan ditemani Timbalan Presiden MCA Dato’ Seri Dr. Chua Soi Lek. Belaiu juga berasa hairan kenapa sukar sangat pihak berkuasa mahu bertindak, sekalipun kabinet sudah sebulat suara menolak permintaan maaf itu sebagai penyelesaian atas kesalahan pelajar terbabit.

Menurutnya, kalau pemimpin al-Arqam yang berada di luar negeri satu ketika dulu boleh diekstradisi, hebat sangatkah pelajar yang dikatakan kreatif dengan klip video itu hingga pihak berkuasa teragak-agak mahu bertindak, katanya. Dr Mansor menjelaskan, kalau mahu disiasat sekiranya perkara itu sekadar laporan atau tuduhan, tetapi isu tersebut sudah jelas disiarkan melalui laman web, dengan ditonton berjuta-juta manusia yang menggunakan laman web, di samping tertera nama pelajar terbabit. “Kalau bimbang ianya menyinggung perasaan kaum, apakah dia tak bimbang menyinggung perasaan 28 juta rakyat Malaysia, termasuk lebih 13 juta orang Melayu?” ujar Dr. Mansor.

PELAJAR-PELAJAR JADI MANGSA
SIKAP NEGATIF PENTADBIR IPTA


Sikap negatif pihak pentadbir IPTA mahupun IPTS, boleh menyebabkan pelajar-pelajar menjadi mangsa ‘perhambaan minda’, seterusnya mereka lulus sebagai graduan ‘robot bernyawa’, kata jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz. Beliau memberitahu, pelajar-pelajar sebuah IPTA dinafikan haknya oleh pihak pentadbiran apabila mahu membuat projek di luar bandar mengenai penggunaan IT. Sebaliknya, pihak pentadbiran tak meluluskan projek berkenaan dengan alasan ianya berunsur politik, apabila pelajar-pelajar memilih daerah Gua Musang di Kelantan sebagai sasarannya.

“Kita tak mahu pelajar-pelajar kita melakukan perbuatan seperti insiden di Taiwan yang menggunakan kreativiti laman web menghina negara, tetapi yang memahami asal usul mereka di luar bandar,” ujar Kamal mengulas isu berkenaan. Baru-baru ini pelajar-pelajar dari IPTA terbabit dianggarkan 40 orang, dikatakan sudah merancang projek penyelidikan penggunaan IT di luar bandar, dengan mensasarkan Gua Musang di Hulu Kelantan sebagai lokasi kajian kerana kedudukannya jauh di luar bandar. Sebaliknya, pihak pentadbiran IPTA berkenaan bersikap negatif hingga pelajar-pelajar yang sukar mendapat penaja, terus berhadapan dengan dilema kerana projek itu termasuk dalam pembelajaran praktikal untuk markah amalinya, kata Kamal selanjutnya.

DEBAT TERBUKA DENGAN KHAIRY
RAJA PETRA BERSEDIA BILA-BILA MASA


Pengendali laman web Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin bersedia untuk berdebat dengan Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkaitan enam perkara yang membabitkan kepentingan orang Melayu iaitu termasuk ekonomi, pendidikan, budaya, skandal, korupsi dan institusi raja-raja Melayu. Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz mengakui sudah menghubungi Raja Petra, malah beliau bersedia bila-bila masa menyertai debat tersebut. Kata Kamal lagi, Raja Petra juga tak menetapkan syarat, sebaliknya terserah kepada Khairy menentukan. Di samping itu kata Kamal, Raja Petra memilih untuk menggunakan Bahasa Melayu dalam debat terbuka itu, tetapi bersedia menggunakan Bahasa Inggeris sekiranya Khairy berkehendakkan begitu.

Sementara itu Presiden Generasi Profesional & Pewaris Bangsa (ProWaris) Sdr Feriz Omar tak menolak untuk berdebat dengan Khairy mengenai isu tuntutan 20 Perkara Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI). Menurut Kamal lagi, Freiz tetap mempertahan dakwaannya, Akta 664 WPI adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan di samping melanggar hak asasi rakyat Johor. “Khairy tiada pilihan selain bersedia untuk berdebat dengan pengendali laman web mahupun laman blog yang dianggapnya menulis tanpa asas, malah tempoh seminggu yang diberi adalah cukup bagi beliau untuk membuat keputusan,” beritahu Kamal.

INFO SASTERA & BUDAYA

KONTROVERSI FILEM HINA NABI
APA KERJA ‘LEMBAGA PENAPIS FILEM’


Budaya Melayu diperlekeh, agama Islam dipersenda, tetapi orang Melayu masih juga berkiblat ke barat terutama berkaitan dengan karya-karya kreatif. Hasil kreativiti anak tempatan terutama filem-filem Melayu dicemuh; apalagi sekiranya menonjolkan aura kebudayaan Melayu, tetapi yang mempersenda tradisi bangsa Melayu akan diberi sanjungan, kata bekas wartawan period kegemilangan filem Melayu di Singapura, Haji Abu Bakar Ninggal. Katanya, heboh dengan isu filem Holywood ‘Evan Almighty’ lakonan Morgan Freeman dan Steve Carell yang dikatakan menghina Nabi Nuh Najiullah AH dan menggambarkan kewujudan Tuhan, apakah kerja ‘Lembaga Penapis Filem’?

“Kalau filem Melayu potong sana, potong sini, kenapa filem luar tak dipotong atau diharamkan terus?” ujar Haji Bakar yang berasa mual dengan kerenah birokrasi di dalam LPF, sambil merujuk filem ‘Ali Baba Bijang Lapok’ terbitan 1960 arahan Tan Sri P. Ramlee juga pernah menjadi mangsa pemotongan LPF. Haji Bakar mengakui belum menonton filem ‘Evan Almighty’ itu, tetapi percaya sikap ‘mengkerenyuk’ karya-karya tempatan menjadi punca LPF gelap mata dengan karya-karya luar. Beliau juga turut mempersoal LPF boleh melepaskan filem khayalan siri ‘Harry Porter’, tetapi bersikap ‘cengih’ terhadap karya-karya filem Melayu berunsur seram.


KOMENTAR
bersama Pak Parjo

GARA-GARA KEJAR IMPIAN
TAK PEDULI ‘APA ORANG KATA’

Kabarnya begitulah! Pilihanraya belum tentu tarikh, kerana Pak Lah belum menerima ilham, tetapi al-kisah perebutan kawasan sudah semakin rancak. Misalnya, PAS sudah optimis untuk memenangi sekurang-kurangnya 40 kerusi Parlimen, sekalipun Dato’ Seri Najib Tun Razak tak percaya sangat. Apalagi di Kelantan, Ketua Perhubungan UMNO dikatakan mahu bertanding di kerusi Parlimen Gua Musang, walhal Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah tak pernah beritahu mahu berundur dari politik. Tak tahulah kalau Dato’ Seri Anuar Musa mampu melawan gelombang pengundi Gua Musang ‘ambo mahu Ku Li’ pada pilihanraya kecil 1995 dulu (setelah calon UMNO sengaja dibatalkan kertas pencalonan, bagi mengadakan pilihanraya kecil itu).


Tak tahulah ambo politik di Kelantan, kerana dulu-dulunya ambo ke Kelantan sekadar mengikut Allahyarham Pak Sako berkelana. Tetapi Ku Li pada dekad 1970-an ketika menjadi Menteri Kewangan, memang akrab dengan Allahyarham Tan Sri Abdul Samad Idris yang statusnya sekadar Timbalan Ketua Perhubungan UMNO Negeri Sembilan. Berkatalah Tan Sri Abdul Samad mengenai legenda di Negeri Sembilan pada period pemerintahan Raja Melewar hingga kepada Yamtuan Muhammad (mangkat pada 1933), ketika itu bagi rakyat di Seri Menanti sekiranya pokok pisang mereka jantungnya menghala ke Rembau hendaklah ditebang, kalau ayam jantan berkokok menghadap ke Rembau hendaklah disembelih. Entahlah! Tak fahamlah ambo mengenai cerita legenda Tan Sri Abdul Samad itu, sekalipun yang gemar akan legenda, mitos dan tragedi ialah:













Tuesday, August 21, 2007

JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)

(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG


HUJAN LEBAT KELIRUKAN SIMPANG
TAK SEMPAT HADIR KE ‘HARAKAH DAILY’


Assalamualikum,
Jamuan makan malam anjuran ‘Harakah Daily’ pada 19 Ogos 2007, tak sempat dihadiri kerana terlambat balik dari Seremban selepas menghadiri majlis perkahwinan anak Haji Mohd Salleh Salimin. Beliau antara penulis yang memuatkan sajaknya dalam antologi ‘Melayu Mudah Lupa’, di samping pernah aktif bersama Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN) sekitar dekad 1970-an dan 1980-an. Ketika balik ke Kuala Lumpur, tiba-tiba sahaja hujan turun lebat selebat-lebatnya apabila melintasi Nilai, hingga sukar melihat jalan di hadapan. Disebabkan berlaku kekeliruan saya menyangka menyimpang ke hentian rihat, rupa-rupanya masuk lorong menuju ke KLIA Sepang.


Ironinya, sebaik sahaja masuk ke persimpangan KLIA hujan kembali reda, malah langit pula cerah secerah-cerahnya. Mahu berpatah balik ke belakang, tak ditemui satu pun pusingan ‘u turn’; apalagi sudah melepasi 50 kilometer dari lebuhraya KL-Seremban. Aduhai! Dalam keadaan berserabut jam 4.00 petang itu, Haji Abu Bakar Ninggal pula menelefon fasal majlis ‘Harakah Daily’, di samping memberitahu beliau keletihan sangat kerana urusan peribadi. Norzah Haji Kepol wartawan ‘Buletin Rakyat’ menghantar SMS dari Ipoh, tak sempat untuk balik ke KL. Apalagi sampai di rumah akibat tersesat jalan akibat hujan lebat sudah jam 6.00 petang. Sewajarnya lebuh raya yang memanjang macam terowong berlingkar-lingkar, berlembar-lembar dan berlondar-londar itu perlu juga dibuat ‘u turn’ bagi kemudahan pengguna, bukan membiarkan plaza tol mengaut untung sampai tersendat!


-Muluk


INFO HAK ASASI MANUSIA


PRIMA SEDIA ANJURKAN DEBAT
PEMUDA UMNO LAWAN BLOGGER



Pengendali laman web dan laman blog bersedia menyambut cabaran Naib Ketua Pemuda UMNO, Khiry Jamaluddin untuk berdebat secara terbuka dalam isu enam perkara yang berkaitan kepentingan Melayu. Jurucakap PRIMA, Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz memberitahu, pihak PRIMA bersetuju menganjurkan ‘Debat Perdana’ itu, bagi membolehkan Khairy memahami situasi sebenar mengenai keluhan rakyat di peringkat akar umbi. Kata Kamal, Khairy boleh memilih mana-mana tempat yang sesuai bagi membolehkan seberapa ramai Pemuda UMNO hadir, di samping menggunakan apa sahaja bahasa yang disukai sama ada Inggeris mahupun Melayu.


PRIMA bersedia mengundang Raja Petra Kamaruddin mewakili pengendali laman web, mahupun ketua pimpinan PRIMA sendiri sasterawan Dharmala N.S. mewakili pengendali laman blog atau Presiden Generasi Profesional & Pewaris Bangsa (ProWaris) Srd Feriz Omar dalam ‘Debat Perdana’ secara terbuka. Di samping memilih fasilator bebas yang diterima kedua-dua belah pihak, PRIMA juga mencadangkan setiap wakil diberi peluang berhujjah selama dua jam. Bagaimanapun PRIMA akan mengutama penggunaan Bahasa Melayu dalam debat tersebut, dengan memberi ruang kedua-dua belah membenarkan penyokong-penyokong mereka berucap dalam tempoh 30 minit untuk dua orang lagi.



“Debat ini memfokus kepada enam perkara berkaitan kepentingan Melayu yang menimbulkan keresahan orang ramai sekarang,” ujar Kamal selanjutnya. Enam perkara yang menjadi fokus ialah (i) kemelut bahasa dan budaya Melayu, yang diperlekeh, diperleceh dan diperlondeh, (ii) kebobrokan pendidikan Melayu, disiplin pelajar dan guru, di samping sastera Melayu menjadi mata pelajaran kelas dua, (iii) ekonomi yang suram di kalangan majoriti orang Melayu setelah 50 tahun merdeka, (iv) skandal yang dihadapi pimpinan Melayu demi mempertahan maruah bangsa, (v) korupsi yang sukar dibanteras di kalangan pimpinan Melayu hingga mendorong keruntuhan ‘ketuanan Melayu’, termasuk isu Akta 664 Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI),(vi) memperkasa institusi raja-raja Melayu sebagai benteng terakhir melindungi hak istimewa orang Melayu. “Kami memberi tempoh seminggu dari tarikh sekarang (20 Ogos 2007) bagi Kahiry menyahut cabaran pengendali laman web dan laman blog,” kata Kamal.




Sementara itu pimpinan kanan PRIMA, bekas pensyarah USM Yahaya Ismail bersetuju diadakan ‘Debat Perdana’ terbuka antara Khairy Jamaluddin dengan pengendali laman web dan laman blog bagi mencari penyelesaian isu dilema baru bangsa Melayu sekarang, sekalipun negara sudah mencapai kemerdekaan dalam tempoh 50 tahun. Beliau menolak sebarang tanggapan PRIMA sekadar mendampingi bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad atau Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah. “Kita akan menemui semua pemimpin Melayu termasuk raja-raja Melayu bagi tujuan menyerahkan ‘Deklarasi Perdana’ secepat mungkin,” katanya.



TUN DR M KELUAR HOSPITAL
PRIMA DOA SENTIASA SIHAT WALAFIAT


Pimpinan PRIMA mengucapkan selamat sejahtera kepada Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang menerima rawatan di IJN Sabtu lalu (18 Ogos 2007) dan sudah dibenarkan keluar hari ini (19 Ogos 2007). Prima turut mengucapkan terima kasih kepada setiausaha akhbar Tun Dr M, sdr Sufi Yusuf yang memberikan layanan baik semasa wacana bersama Tun Dr M di Yayasan Kepimpnan Perdana, Putrajaya 15 Ogos 2007 lalu. “Kami sentiasa mendoakan Tun sentisa sihat walafiat, di samping memperoleh rihat secukupnya, kerana kesihatan Tun adalah lebih penting dalam senario kepimpinan sekarang,” menurut Jurucakap PRIMA, Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz.



Walaupun Tun Dr M sekadar menjalani rawatan biasa di IJN, kata Kamal lagi, tetapi PRIMA berharap agar kesihatan Tun Dr M sentiasa diutamakan. Di samping itu PRIMA tetap memandang berat, apabila pihak tertentu cuba memperlekeh pimpinan Tun Dr M, dengan memanipulasi setiap kritikan yang dibuatnya terhadap kebobrokan pentadbiran kerajaan.

“Kami sentiasa memberi sokongan penuh kepada Tun Dr M dalam menghadapi kerenah golongan yang sengaja memperlekeh kewibawaan beliau demi melaksanakan agenda mereka,” beritahu Kamal.


INFO SASTERA & BUDAYA


KEKALKAN RAIS YATIM DI KEKWA
AGENDA BUDAYA MELAYU BELUM SELESAI


Oleh: Haji Abu Bakar Ninggal

Ketika Rais Yatim mula-mula diberi tugas untuk memegang jawatan sebagai Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan dulu, para aktivis politik tanah air, rata-rata mengandaikan bahawa kementerian yang diberikan kepada Rais Yatim itu, kononnya adalah satu-satunya kementerian yang tidak berguna (kementerian mati), kononnya (kementerian pembuangan politik) pada seseorang menteri. Akan tetapi, selaku seorang politikus yang kanan yang mempunyai visi dan pengalaman yang luas, ternyata Rais Yatim mampu memberi isi untuk memanfaatkan kepercayaan yang diberikan oleh Pak Lah dan akhirnya kementerian (KekWa) kini telah menjadi amat popular dan ternyata Rais Yatim begitu sibuk melakukan gerak kerja untuk faedah rakyat di dalam skop kerja yang diberikan kepada beliau.


Di bidang kebudayaan dan kesenian? Rasanya tidak mampu penulis hendak sebutkan di sini, betapa banyaknya usaha-usaha murni telah dijayakan oleh Rais Yatim, yang mana sebelum ini, tidak dilakukan oleh menteri-menteri sebelum Rais Yatim memegang kementerian (KekWa). Di bidang bahasa pula, Rais Yatim tiak henti-henti menyeru agar kedaulatan Bahasa Melayu hendaklah tetap didaulatkan. Dari rakyat biasa hingga ke semua Ahli-Ahli Parlimen. Mesti menggunakan Bahasa Melayu. Sementara tulisan jawi pula mestilah digunakan seluas-luasnya, di serata Malaysia. Di papan tanda, di jalan-jalan raya dan di setiap papan tanda di kedai-kedai dan di gedung-gedung perniagaan, mesti ditulis jawi di bawah huruf rumi itu.

Di dalam bidang pembacaan pula, di samping mengkemas-kinikan semua perpustakaan di setiap negeri, Rais Yatim bermula dari tahun 2005 telah menubuhkan sebanyak 1,040 buah ‘Perpustakaan Desa’ di setiap negeri di seluruh Malaysia. Di Pustaka Desa inilah, satu-satunya tempat yang boleh digunakan oleh rakyat miskin di desa-desa, menimba ilmu pengetahuan, dari berbagai-bagai jenis buku-buku yang disediakan, yang mana selama ini, mereka tidak berpeluang membaca buku-buku yang bermutu tinggi yang mahal harganya, yang memang tidak mampu mereka beli kerana kemiskinan hidup yang masih ketara menghimpir rakyat di kawasan-kawasan desa seantero Malaysia.


Perlu ditegaskan di sini, bahawa segala tindakan-tindakan berani yang telah Rais Yatim lakukan seperti tersebut di atas itu, semata-mata untuk kepentingan rakyat yang telah mengundi kerajaan Barisan Nasional. Tindakan seperti ini, rata-rata tidak pernah dilakukan secara serius oleh para menteri sebelum Rais Yatim mengemudikan kementerian kebudayaan. Sesungguhnya tindakan yang dilakukan oleh Rais Yatim, ianya merupakan satu nikmat yang tidak terhingga bagi golongan ‘miskin’ di desa-desa termasuk juga golongan penerbit buku-buku tempatan dan juga pengimpot buku-buku luar negeri yang mana ada membekalkan buku-buku kepada Perpustakaan Negara dan Perpustakaan Desa telah menerima manfaatnya.

Sesungguhnya kementerian KekWa adalah kementerian yang besar tugasnya, bukan kementerian ‘mati’, sepertimana yang diandaikan oleh beberapa orang penganalisis politik tanah air ketika Rais Yatim baru-baru sahaja ditugaskan memeghang kementerian tersebut. Pada hemat penulis, manusia yang bernama Rais Yatim ini, adalah merupakan seorang politikus yang bijak dan kaya dengan idea dan pemikirannya pula boleh diaktakan serupa dengan cara pemikiran Allahyarham Tun Ghafar Baba. Sepertimana dengan Tun Ghafar Baba, boleh memanfaatkan apa sahaja kementerian yang diberikan kepadanya.
Begitu jugalah dengan Rais Yatim. Apa saja kementerian yang diwujudkan oleh seseorang Perdana Menteri Malaysia ini, bagi beliau adalah sangat penting belaka. Terpulanglah bagaimana seseorang menteri itu berusaha melaksanakannya. Kerana sesebuah parti politik itu, mahupun sesuatu kementerian itu, ianya adalah merupakan wadah sahaja. Tidak lebih dari itu. Yang menggerakkan adalah kita manusia sebagai pelakunya. Dengan lain perkataan, kalau seseorang itu bersedia menerima jawatan menteri yang diberikan oleh Perdana Menteri? Ini bererti beliau mesti mampu secara serius menggembelingkan otaknya hingga ke peringkat paling maksima. Jangan benarkan otak anda jadi lembab dan tidak berfungsi.

Katakanlah, jika anda rasa otak anda memang lembab dan tolol, maka cepat-cepatlah mengakuinya dengan cara jujur dan hormat, jangan sekali-kali anda terima jawatan tersebut. Kalau dah terima? Tapi kemudiannya anda rasa, anda tidak mampu melaksanakan? Secara jujur, cepat-cepatlah letak jawatan. Dengan berbuat begitu rakyat dan negara tidak jadi sengsara akibat kebodohan anda. Saranan ini bukan sahaja tertakluk pada para menteri, hatta jawatan yang paling tinggi sekalipun. Kerana kegagalan anda menjalankan tugas anda di dunia ini, ianya akan ditanya oleh Allah SWT di hari perhitungan nanti.
Di Mahkamah Allah SWT nanti, setiap kebaikan atau kemungkaran walaupun sebsar zarah, ianya akan dihitung dan diambil kira. Tiada lorong dan jalan yang membolehkan anda terlepas dari hukuman Allah SWT. Buat baik akan dibalas dengan pahala dan buat jahat akan dihukum dengan hukuman yang seberat-beratnya. Maka hendaklah kamu berwaspada sepanjang masa sebelum kamu dipanggil pulang oleh penciptamu dan khaliq. Dalam hubungan ini teringat penulis ketika berada di London suatu masa dulu. Penulis telah berkesempatan berkenalan dengan seorang wanita Inggeris yang comel lote yang berasal dari tempat kelahiran William Shakespears.

Dalam perbualan kami, saya secara berseloroh telah mengatakan kepada beliau bahawa orang-orang Asia ini, rata-rata boleh dikatakan kecil-kecil belaka dan orang-orang Eropah tentu tidak seronok berkawan dengan orang Asia. Secara spontan, wanita Inggeris itu berkata, “Kamu mesti ingat, bahawa apa yang kamu miliki itu, adalah tidak begitu penting. Yang paling penting ialah bagaimana cara-caranya kamu memanfaatkan apa yang kamu miliki itu.” Sejak itu, hingga kini penulis sering memanfaatkan kata-kata hikmat dari wanita Inggeris yang comel lote itu bila mengerjakan sesuatu tugas yang diserahkan kepada penulis. Alhamdullillah, penulis berjaya melakukannya.

Penulis yakin bahawa Rais Yatim, dalam usahanya untuk menjayakan tugas-tugas beliau di kementerian KekWa, tidak syak lagi beliau telah mengadaptasi unsur-unsur falsafah hidup wanita Inggeris yang penulis sebutkan di atas itu. Jika ditinjau dari rekod kerjanya bermula sebelum Pak Lah hingga kini, ternyata Rais Yatim mampu melaksanakan kerja-kerjanya dengan jayanya, hatta diletakkan di sebarang kementerian yang diberi kepercayaan oleh Perdana Menteri.

Kini angin telah bertiup kencang yang mengatakan bahawa Pilihanraya Umum akan diadakan pada bila-bila masa sahaja. Ada yang mengatakan pilihanraya umum akan diadakan pada bulan September atau bulan November 2007. Ada juga yang mengatakan akan diadakan pada tahun depan sekitar bulan April 2008. Mutakhir ini, telah ada petanda semacam ada gerakan cuba hendak menyingkirkan Rais Yatim. Beliau kononnya akan digugurkan dari senarai calon-calon pilihanraya umum kali ini. Petanda pertama, baru-baru ini telah ada orang yang mencadangkan agar Rais Yatim diminta menerima untuk memegang jawatan sebagai Setiausaha Agung Komanwel.

Dengan berbuat demikian, jika Rais Yatim menerimanya, maka secara automatik, bahawa usaha untuk menjauhkan Rais Yatim dari perkembangan politik semasa di tanah air telah berjaya. Rais Yatim cukup sedar dengan taktik ini. Maka beliau segera membuat pengumuman bahawa beliau tidak mahu menerima pencalonan itu. Seterusnya penulis telah dikhabarkan bahawa ada golongan tertentu beriya-iya sangat hendak menyingkirkan Rais Yatim dari arena politik Negeri Sembilan khasnya dan ke seluruh Malaysia amnya. Kerana ada di antara golongan muda (orang negeri) juga kepingin sangat untuk berbuat demikian.
Golongan yang bercita-cita tinggi ini, kononnya tidak boleh bergerak bebas untuk mewarnakan corak politik dan juga corak pentadbiran di Negeri Sembilan selagi mana, Rais Yatim politikus yang geliga otaknya, masih berada dan bergerak cergas dalam arena politik Malaysia. Jika sekiranya gerakan ini merupakan berita yang sahih, ianya amat mendukacitakan rakyat Malaysia. Rais Yatim, semua orang tahu bahawa beliau adalah seorang menteri kanan dalam kabinet Pak Lah, yang telah banyak berjasa pada negara. Beliau adalah seorang pemimpin kanan yang mempunyai visi yang luas, berdedikasi dan mempunyai kelayakan akademik yang tinggi dan mampu untuk menjalakan tugasnya di kementerian apa saja jika diserahkan kepadanya. Kenapa beliau hendak disingkirkan?

Jika ianya benar-benar berlaku, ini bererti negara akan kehiangan seorang negarawan bijak bestari, negarawan yang mempunyai visi yang luas dan mempunyai pengalaman serba boleh. Orang muda yang nak jadi penggantinya memang ada berbakul-bakul. Akan tetapi tidak punya pengalaman apa dalam konteks hendak melakukan pembangunan bangsa dan negara. Nafsu sahaja yang besar sedangkan pengalamannya masih kosong melopong. Di sini izinkanlah penulis mencerita satu kisah benar untuk dijadikan renungan kita bersama. Penulis mempunyai seorang menantu lelaki, lulusan (mekanikal kejuruteraan) lulusan ITPA tempatan. Dan di tempat kerjanya itu ditempatkan seorang pekerja lulusan (mekanikal kejuruteraan) juga, tetapi lulusan universiti luar negeri.
Sungguh memalukan, kerana pekerja yang mempunyai kelulusan luar negeri ini, bila berdepan dengan realiti, ternyata tidak tahu dan tidak boleh buat kerja, justeru belum punya pengalaman dan terpaksa bertanya dan belajar dari menantu saya itu (lulusan IPTSA tempatan). Ini adalah di antara contoh yang boleh kita renungkan dan dijadikan iktibar. Pembangunan negara boleh dan akan jadi kelam kabut, jika orang lama yang kaya dengan ilmu dan pengalaman itu, sewenang-wenangnya hendak disingkir semata-mata disebabkan hendak memuaskan hati kroni sahaja atau sebagainya.

Sesungguhnya penulis bukan anti pembaharuan. Pembaharuan boleh dilakukan. Akan tetapi ianya hendaklah dilakukan secara evolusi. Rambut berjaya ditarik, akan tetapi tepung tidak berserak. Allah SWT telah isikan di khazanah rezeki di negara kita ini cukup untuk dimanfaatkan oleh semua hambaNya. Dengan tulus dan ikhlas dan hati yang terbuka demi kesentosaan negara, marilah kita bersama-sama membahagi-bahagikan nikmat dari Allah itu secara adil dan saksama. Agar kita akan selamat di dunia dan di akhirat. Itulah tuntutan gagasan Islam Hadhari!

KOMENTAR
bersama Pak Parjo

TAK SALAH APABILA DITUNTUT
SOALAN DALAM BAHASA MANDARIN

Memang tak salah apabila masyarakat Cina menuntut soalan bagi mata pelajaran Sains dan Matematik dalam ‘Bahasa Mandarin’. Kalau mahu dikira logik, sekarang pun orang Cina berbual dengan rakan-rakan Cinanya menggunakan bahasa Inggeris juga, tiba-tiba pula mereka menuntut ‘Bahasa Mandarin’ diberi keutamaan. Misalnya, kalau Dato’ Seri Ong Ka Ting bertemu pimpinan MCA di Parlimen, mereka akan rancak gunakan Bahasa Inggeris. Mereka tak amalkan Bahasa Mandarin, tetapi bersungguh-sungguh pula mahu soalan peperiksaan PMR dan SPM bagi mata pelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Mandarin.
Silapnya pimpinan Melayu sendiri memberikan bola sepakan penalti kepada mereka, bagi membolehkan menjaring gol dengan mudah. Bahasa Inggeris bukannya bahasa rasmi pun, justeru kalau Bahasa Inggeris dibenarkan untuk kertas soalan mata pelajaran Sains dan Matematik, apa salahnya pula Bahasa Tamil, Bahasa Arab, Bahasa Hindi atau Bahasa Thai turut dignakan. Status Bahasa Inggeris tak berbeza dengan Bahasa Mandarin atau Bahasa Tamil, kecualilah Bahasa Melayu yang diterima dalam perlembagaan sebagai bahasa rasmi.

Masyarakat Cina dan India tak akan mempertikai sekiranya soalan bagi mata pelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Melayu, kerana yang tak pernah memberi peluang orang lain membuat sepakan penalti ialah:










HIDUP BAHASA MELAYU!!!
















Sunday, August 19, 2007

JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)


DARI LAMAN BLOG:


MUSIM MAJLIS KAHWIN
ANAK RAKAN-RAKAN PENULIS


Assalamualaikum,

Cuti penggal persekolahan menjadi tradisi masyarakat Melayu, bagi mengadakan majlis perkahwinan. Kalau pada dekad 1940-an,1950-an malah 1960-an, majlis kahwin dipilih selepas musim menuai, ketika padi penuh di kepuk. Bagaimanapun perubahan pradigma Melayu, mereka memilih musim cuti penggal persekolahan bagi mengadakan majlis kahwin, justeru terpaksalah membahagikan masa majlis mana yang lebih diberi prioriti. 18 Ogos 2007, majlis perkahwinan anak rakan lama seorang dramatis yang sering muncul di TV sekitar dekad 1970-an iaitu Shafie Ibrahim. Beliau mengadakan majlis berkenaan di Taman Tasik Titiwangsa, sementara sebelumnya terpaksa menghadiri majlis kahwin anak jiran satu qariah terlebih dahulu.


19 Ogos 2007, terpaksa pula ke Seremban menghadiri majlis perkahwinan anak bekas aktivis Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN) Haji Mohd Salleh Salimin. Malamnya, majlis makan malam ‘Harakah Daily’ di hotel di Kuala Lumpur, bagi jadual diari pada hari Ahad (19 Ogos 2007). Pada 18 Ogos pun jadual memang padat juga (tapi tak sepadat jadual penyanyi Mawi), kerana selepas menghadiri dua majlis kahwin, 3.00 petang pula mesyuarat PRIMA. 5.30 petang ke pekan Batu Caves menemui Ramesh Rao, berkaitan pelancaran buku ‘Analitikal Pimpinan Pemuda: Dato’ Ahmad Badawi bin Abdullah Fahim: LILIN MEMBAKAR DIRI’ dijangka pada 24 Ogos 2007 di Pan Pacific.


Bekas aktivis drama Shafie Ibrahim, sudah tak berminat lagi dengan drama sama ada teater mahupun di TV. Tak sama dengan keprihatinan beliau ketika memimpin Persatuan Kebudayaan Anniversary Kuala Lumpur (ANGKASA) pada dekad 1970-an, malah beliau menterjemah manuskrip drama saya ‘BILA SENJA MENGEPAK TIBA’ yang diberi sambutan ketika dipentaskan di Panggung Bandaraya. Tetapi dalam pembangunan teater di Malaysia juga melalui lorong yang berliku-liku, berbucu-bucu dan berpenjuru-penjuru, menyebabkan Shafie Ibrahim lebih senang menumpukan kepada perniagaan. Begitu juga Haji Mohd Salleh Salimin semakin lesu mahu menulis, sekalipun satu ketika beliau adalah penolong setiausaha PEN, malah beliau yang pernah tinggal serumah dengan saya tahu mengenai latar belakang cerpen ‘HARUAN’ yang memenangi Hadiah Sastera Nasional 1974. Aduhai bangsaku!


-Muluk.-



INFO HAK ASASI MANUSIA:


DEKLARASI 10 KEPRIHATINAN
AKAN DISERAH PADA PIMPINAN MELAYU


Deklarasi yang mengandungi ’10 Keprihatinan’ sebelumnya dinamakan ‘Deklarasi Putrajaya’ ditukar kepada ‘Deklarasi Perdana’ selaras ianya dilakar ketika majlis wacana bersama bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad di Yayasan Kepimpinan Perdana 15 Ogos 2007 lalu. Jurucakap PRIMA, Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz dalam kenyataannya memberitahu, keputusan tersebut dicapai dalam perjumpaan di Taman Seri Gombak hari ini, 18 Ogos 2007. Dalam perbincangan bersama pimpinan PRIMA yang turut dihadiri sasterawan Dharmala N.S. dan bekas pensyarah USM, Yahaya Ismail ianya dipersetujui deklarasi berkenaan akan diserahkan kepada semua pimpinan pertubuhan Melayu termasuk raja-raja Melayu.



Bekas Timbalan Naib Canselor (HEP) UTM, Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah yang terlewat sampai, bersetuju dengan keputusan tersebut berdasarkan ’10 Keprihatinan’ itu merangkumi isu bahasa, budaya, pendidikan, agama, ekonomi dan politik masyarakat Melayu. Menurut Kamal, setiap pemimpin Melayu diminta bersikap rasional memikirkan ’10 Keprihatinan’ dalam ‘Deklarasi Perdana’ sebagai manifestasi masyarakat Melayu yang berhadapan dengan dilema baru mengenai masa depan mereka. “Kita tampil sebagai kumpulan yang menyedari ‘perhambaan minda’ adalah musuh utama yang menghalang orang Melayu mengamalkan budaya melonjak ke puncak kejayaan yang disarankan oleh Pak Lah,” kata Kamal.


SALAM KU LI UNTUK PRIMA


Ahli Parlimen Gua Musang, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah menyampaikan salam kepada aktivis PRIMA berikutan kejayaan menganjurkan wacana bersama bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di Yayasan Kepimpinan Perdana 15 Ogos 2007 lalu. Beliau dikatakan menyampaikan salam tersebut kepada Jurucakap PRIMA, Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz, setelah mengikuti perkembangan wacana tersebut. Menurut Kamal, Ku Li kagum dengan keprihatinan PRIMA dengan isu kebobrokan yang berlaku dalam pentadbiran menyebabkan masyarakat Melayu berhadapan dengan dilema baru, seperti disebut oleh Tun Dr. M dalam wacananya.


Sementara itu ketua pimpinan PRIMA sasterawan Dharmala N.S. mengakui menerima ucapan tahniah dari pelbagai pihak menerusi sistem pesanan ringkas (SMS) selepas membaca laporan yang disiarkan pelbagai media. Bendahari UMNO Bahagian Kelang, Dato’ Azman Salleh misalnya menelefon beliau pada malam 16 Ogos 2007, melahirkan rasa terkilan kerana tak dijemput menghadiri majlis wacana berkenaan. Beliau yang berbual menerusi telefon selama satu jam, mengakui mengkagumi pimpinan Tun Dr. M dan Ku Li yang dianggap sentiasa prihatin dengan masalah bangsa Melayu. Kata Dato’ Azman, beliau bersetuju dengan Tun Dr. M bahawa UMNO tak bersalah apabila berlaku kebobrokan pentadbiran, sebaliknya kesalahan pimpinan tertentu sahaja.


KONTROVERSI AKTA 664 WPI



Pimpinan PRIMA akan meneruskan gelombang fasa kedua bersama-sama pimpinan Generasi Profesional & Pewaris Bangsa (ProWaris) dalam isu kontroversi Akta 664 Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) di Johor. Presiden ProWaris Sdr Feriz Omar sudah dihubungi melalui telefon pada 18 Ogos 2007 bagi tindakan bersepadu bersama Majlis NGO Malaysia (MAPAN). ProWaris dalam beberapa kenyataan sebelum ini mempertikai akta tersebut kerana bercanggah dengan Perlembagaan Malaysia termasuk Seksyen 50 dan 56 IRDA (Akta 664) yang jelas ianya bertentangan dengan Artikel 10 (1) Perlembagaan Persekutuan. Malah ianya turut bercanggah dengan Artikel 152 (6) yang menjelaskan perkara keputusan mahkamah ‘Kes Merdeka Universiti Bhd vs Kerajaan Malaysia’, seperti disebut Ketua Hakim Negara ketika itu, Tun Suffian Hashim.

Sementara itu peguam PRIMA Mohd Radzi Mustapha mahu meneliti Akta 664 bagi tindakan susulan. Beliau mengakui belum melihat Akta itu sebelum ini, justeru perlu mengambil masa bagi mengkaji dengan lebih mendalam. Radzi juga menyarankan supaya perjumpaan yang membabitkan Majlis NGO Malaysia (MAPAN), ProWaris, PRIMA dan lain-lain NGO diadakan secepat mungkin untuk membincangkan Akta ini secara positif.


INFO SASTERA & BUDAYA:

LAGI HADIAH UNTUK SASTERA
BONUS PENGARANG MASTERA 2007



Tentunya pengarang Melayu sedang menunggu ihsan yang ditawarkan Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA) bagi menerima ‘bonus’ bernilai RM10,000 November ini. Sekretariat MASTERA di Tingkat 25, Menara DBP menunggu karya-karya untuk dinilai menjelang tarikh tutup 10 September 2007. Penilaian pun sekadar mengikut prosedur sahaja, kerana pengarang yang dipilih tak perlu dinilai apa-apa. Sekretariat dengan segala kekebalan mungkin sahaja menafikan setiap dakwaan, tetapi ianya bukanlah benar sekali pun penafian itu dipercayai oleh orang ramai. Insiden Allahyarham Dato’ Dr Ishak Haji Muhammad (Pak Sako) tak menerima anugerah ‘Sasterawan Negara’ masih lagi misteri kerana ianya memang berangkai-rangkai, berungkai-rungkai dan berantai-rantai. Astaga!


Apalagi rakan yang berkhidmat di editorial DBP pernah beritahu Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah baru-baru ini mengenai ‘pengarang’ yang sudah dinamakan untuk menerima anugerah ‘SEA Write’ 2007 di Bangkok kelak. Sudah tentulah bukan Dr. Mohd Mansor yang tumpul bakat kerana bergelimang dengan akademik, begitu juga Dharmala N.S. sekalipun dianggap sasterawan nombor satu di Negeri Sembilan dengan memenangi pelbagai hadiah sastera di peringkat nasional, terusir, tersisir dan terpinggir daripada menerima anugerah di Negeri Sembilan. Malah Yahaya Ismail juga tak pernah berharap untuk menerima anugerah-anugerah berkenaan, kalau sekadar berstatus ihsan dari sekretariat yang sebenarnya lebih tumpul bakat daripada Dr. Mohd Mansor. Heh heh heh!


KOMENTAR
bersama Pak Parjo



PEMUDA UMNO IKUT DAP
KEMPEN MENERUSI LAMAN WEB


Tak sangka pula Pemuda UMNO terlambat menyertai laman web dan laman blog, sehingga terpaksa mengekori DAP. Ketika memberitahu pemberita selepas majlis perasmian Pameran Pelajaran dan Kerjaya Malaysia 2007 di Kuala Lumpur (17 Ogos 2007) Naib Ketua Pemuda UMNO berkata, “Kita akui bahawa ini gelanggang yangb kita belum masuk secara total. Ini satu perkara yang perlu kita atasi dalam masa terdekat kerana kita mahu medium Internet akan jadi medium komunikasi pada masa akan datang”. Rupa-rupanya pengendali laman web dan laman blog yang ditakrif ‘goblok’ ini memukau pimpinan Pemuda UMNO. Hebat juga!



‘Perhambaan minda’ sudah dipimpin oleh media arus perdana sebelum ini, justeru alternatif yang boleh membebaskan ‘perhambaan minda’ itu ialah laman web dan laman blog. Nampaknya Pemuda UMNO sudah mengiktiraf peranan pengendali laman web dan laman blog, malah ianya memang dialu-alukan semoga persaingan sihat membebaskan ‘perhambaan minda’ boleh dikongsi bersama. Keperihalan pengendali laman web dan laman blog yang ditakrif sebagai ‘goblok’ itu, kerana rata-rata mereka tak akan menjadi menteri kerana ‘ihsan’, apalagi bukan disebabkan bakat kepimpinan dan sumbangan dalam gerakan nasionalisme. Makanya, janganlah bangsa Melayu mengulangi insiden Tun Jana Khatib dalam ‘Sejarah Melayu’ yang dibunuh kerana bercakap benar, seperti yang sukar mempercayai orang yang sudah berbohong sekali disebabkan kedua kali, ketiga kali seterusnya tetap berbohong ialah:





HIDUP BAHASA MELAYU!