Thursday, September 6, 2007

JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)

(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

KE MANA PRIMA MAHU BAWA
HALA TUJU DAN MATLAMATNYA

Assalamualikum,

Taklah tergamam apa-apa ketika diberitahu mengenai pengendali laman blog yang mempersoal hala tuju mahupun matlamat PRIMA. Apalagi PRIMA bukan pertubuhan yang mempunyai agenda yang berlingkar-lingkar, berbelit-belit dan berpilin-pilin kerana ianya sekadar ‘jawatankuasa ad-hoc’ yang bergerak ‘sementara’ untuk isu tertentu. Apabila kabinet luluskan bahasa rasmi ialah ‘Bahasa Malaysia’, PRIMA bangkit untuk mempersoal munasabahnya kerana sejak 1957 ‘Bahasa Melayu’ itu diterima menjadi ‘bahasa rasmi’. Ironinya, tersangkut pula pada 1967 atas sebab-sebab politik, tetapi ianya mampu memaksa digunakan 100% di Parlimen selepas 1969.

Dato’ Ahmad Boestamam (Pak Boes) ketika di dalam tahanan ISA sekitar dekad 1960-an juga sanggup berpisah dari Parti Buroh (sekutunya dalam Sosialis Front) kerana isu ‘Bahasa Melayu’ yang dipersoal oleh Pengerusi Parti Buroh ketika itu Lim Kean Siew. Kalau mahu dikira penggerak sosialisme di Tanah Melayu, Pak Boes dikira ‘raja sosialisme’ yang tiada tara, tetapi beliau tetap tak berkompromi dalam isu ‘Bahasa Melayu’. Justeru pada pilihanraya kecil DUN Rahang di Negeri Sembilan pada 1965, calon Parti Buroh (Yim Chee Chong, kemudiannya Ahli Parlimen MCA, Seremban pada 1990-1995) tak diberi sokongan Parti Rakyat, menyebabkan kalah teruk di samping memberi peluang kepada calon Bebas iaitu proksi DAP (yang belum didaftarkan) Dr Chen Man Hin menang bergaya. (Ironinya, akhbar berbahasa Melayu yang memperlekeh Pak Boes, berikutan keputusan HSC anaknya lebih baik daripada beliau yang diambil serentak pada tahun yang sama, ketika beliau masih di dalam tahanan)

PRIMA disertai oleh penulis-penulis Melayu, bukannya pelbagai latar belakang parti politik seperti disonglapkan! Memang secara kebetulan mereka pernah terbabit sebagai aktivis politik sebelum ini, tetapi bukanlah bersikap ‘semberono’ dengan berlagak seolah-olah lembu yang menyerbu kain merah di tangan matador (mungkin itulah yang mahu ditampilkan Mohd Mansor Abdullah menerusi novelnya ‘Amigo Possa’). Saya berkawan baik dengan Pak Boes, Pak Sako, Bung Ishak Surin (sosialis); begitu juga dengan Dato’ Shahnon Ahmad, Haji Subky Latiff, Haji A. Shukur Harun (Islamisme) atau Tan Sri Abdul Samad Idris, Tan Sri Senu Abdul Rahman, Haji Safirul Hashim dan aktivis UMNO, sebaliknya atas perkongsian kecintaan terhadap Bahasa Melayu bukannya ‘Bahasa Malaysia’. Begitulah!

Justeru PRIMA tak membawa aktivisnya ke mana-mana untuk mencari mahligai besar, kereta tersergam mewah atau kehebatan glamour duniawi. Kecintaan kita ialah kepada ‘Bahasa Melayu’, malah setiap umat Melayu yang mempunyai kecintaan yang sama, mereka boleh menyertai aktiviti bersama. Sekiranya mereka yang mahukan ‘Bahasa Malaysia’ sekalipun lidah menuturkan ‘Bahasa Melayu’ ingin menolak PRIMA, tak rugi apa-apa kepada kami, kerana yang membaca naskhah Melayu ialah mereka yang cintakan Bahasa Melayu. Jadinya, janganlah merungut buku-buku dan novel-novel Melayu lembab di pasaran kalau khalayak mulai membenci ‘Bahasa Melayu’. Takat menulis rencana pendek, beribu-ribu penulis Melayu boleh direkrut, justeru janganlah melatah hingga akhirnya dipatah, diratah dan dikunyah!

- Muluk

INFO HAK ASASI MANUSIA

SANUSI MAHU MELAYU BERANI
CABARAN TETAP SILIH BERGANTI


Bekas Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Sanusi Junid mahukan generasi Melayu sekarang berani dalam menangani sebarang isu, sekalipun ianya tak menjadi ‘wira’ apabila mampu menterjemahkan perjuangannya. Berucap dalam majlis ‘Siri Bicara Melayu’ di Wisma Sejarah, Jalan Tun Razak malam kelmarin (5 September 2007), Sanusi berkata memang cabaran sentiasa dihadapi oleh bangsa Melayu, malah silih berganti mengikut keadaan semasa. Misalnya, beliau menjelaskan pada period pentadbiran Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad juga cabaran tak kurang hebat terutama berkaitan isu air dengan pemerintah Singapura.

“Ketika itu pimpinan Dr Mahathir bertindak secara berani, menyebabkan kerajaan Singapura tak bising lagi sekalipun Malaysia menggunakan laluan perairan mereka ke Indonesia,” beritahu Sanusi selanjutnya. Bagaimanapun wakil PRIMA Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah tak sempat menyampaikan antologi sajak ‘Melayu Mudah Lupa’ kepada Sanusi, sekalipun sudah meminta laluan kepada pihak penganjur sebelumnya. Beberapa aktivis PRIMA turut menghadiri majlis berkenaan selain Dr Mansor, termasuk sasterawan Dharmala N.S., Haji Abu Bakar Ninggal dan Mohd Sayuti Omar. PRIMA sentiasa memberi sokongan kepada majlis-majlis yang membincangkan isu Melayu dari semasa ke semasa.

‘MELAYU MUDAH LUPA’
BERGEMA DI BUMI INDONESIA.


Pimpinan kanan PRIMA, Yahaya Ismail (Pak Ya) mengirim SMS dari Jakarta, beritahu mengenai sambutan hebat khalayak sasterawan di Pekanbaru, propinsi Riau dengan kunjungan beliau ke bumi Indonesia. Pak Ya terbang semula ke Jakarta pada 5 September 2007, di samping dijangka balik ke tanah air pada 9 September 2007 bagi acara sastera di Jakarta pula. Menurut Pak Ya, antologi sajak ‘Melayu Mudah Lupa’ bukan sahaja begitu dikagumi di Pekanbaru, malah ianya dianggap ‘hebat’ oleh rakan-rakan penyair di Jakarta sendiri. “Tokok sastera moden Indonesia Taufiq Ismail, turut memberi kredit kepada para penyair Malaysia yang mampu menghasilkan antologi berkenaan,” kata Pak Ya.

Pak Ya yang diundang memberikan ceramah dalam seminar sastera dan agama di Pekanbaru pada 31 Ogos 2007 baru-baru ini bersama seorang lagi seorang penulis veteran Syed Akbar mengakui, penyair-penyair Indonesia sentiasa ‘rindukan’ puisi-puisi memantulkan ‘keberanian’ dari lubuk jiwa insan karyawan. Penyair-penyair perlu berani menghasilkan karya-karya yang mempersoal masalah rakyat, bukannya omong-omong sekadar untuk memuji-muji kepalsuan, memuja-muja kebobrokan dan menjulang-julang kepongahan. “Antologi ‘Melayu Mudah Lupa’ memenuhi citrasaa penyair-penyair di Indonesia yang peka dengan isu-isu kepalsuan, kebobrokan dan kepongahan,” beritahu Pak Ya selanjutnya.

LAPORAN POLIS TERHADAP KAMAL
TAHNIAH KEPADA SAYUTI DARI DI LONDON


Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz yang masih lagi di London, dikatakan berhadapan dengan laporan polis berikutan tulisan beliau di laman web ‘Malaysia Today’ berkaitan isu pelancaran buku ‘Lilin Membakar Diri’ yang dihasilkan ketua pimpinan PRIMA Dharmala N.S. Beliau mengirim SMS kepada Mohd Sayuti Omar yang menulis menerusi laman web yang sama, mengucapkan tahniah kerana mempertahan kewibawaan beliau sebagai penulis yang berpegang kepada etika kewartawanan. Mohd Sayuti turut juga mempersoal mereka yang sengaja membiarkan diri dibelenggu ‘perhambaan minda’ dengan ‘menegak benang basah’.

Kata Sayuti lagi, Kamal menerima sumber individu dikenali ‘Hussin Lampong’ yang hadir pada majlis berkenaan memberi sumber maklumat berkaitan tulisan Kamal sebelum ini. Pada majlis berkenaan memang ramai pengendali laman web dan laman blog yang dikatakan hadir bersama pihak media. Kamal yang bertolak ke London pada 28 Ogos lalu, dijangka balik ke tanah air pada 15 September 2007 ini, pernah juga menghubungi sekretariat PRIMA ketika orang ramai dan jemaah di kariah Masjid Kampung Baru mengadakan solat hajat bagi mendoakan kesihatan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang menjalani pembedahan pintasan koronori di IJN pada 4 September 2007. “Laporan polis ke atas saya tak penting, tetapi bagi saya yang penting sekarang ialah kesihatan Tun Dr M,” jelas Kamal.

INFO SASTERA & BUDAYA

TERTEGUN DI WISMA SEJARAH
DR MANSOR TEMUI HADI HASSAN


Lama bekas Timbalan Naib Canselor (HEP) UTM Dato’ Dr. Mohd Mansor Abdullah tertegun memerhati potret di dinding dewan menuju ke bilik makan di Wisma Sejarah, Jalan Tun Razak (bersebelahan Perpustakaan Negara). Beliau berasa hairan dengan potret Allahyarham Cikgu Abdul Hadi Hassan, yang kurang diperkatakan oleh tenokrat sejarah mengenai pembabitan tokoh terbabit dalam gerakan nasioanalisme. Cikgu Hadi hampir tenggelam namanya apabila ditukarkan ke North Borneo (Sabah) sekitar tahun 1930 bersama Cikgu Harun Mohd Amin (Harun Aminulrashid) yang dihantar ke Brunei, kerana dianggap tenaga pengajar di Maktab Perguruan Sultan Idris (sekarang UPSI) di Tanjung Malim yang radikal. Malah di tangan Cikgu Hadi dan Cikgu Harun juga gerakan pelajar menggugat penjajah di bawah pimpinan Ibrahim Haji Yaakob.

Maknanya, Ibrahim Haji Yaakob tak muncul sebagai pemimpin pelajar di MPSI kalau tak didorong oleh Cikgu Hadi dan Cikgu Harun. Cikgu Hadi juga penulis yang menggunakan mata pena mengkritik penjajah Inggeris, tetapi tak terbabit dalam karya sastera seperti keperihalan Cikgu Harun yang menghasilkan banyak novel termasuk yang diadaptasi ke filem berjudul ‘Cinta Gadis Rimba’. “Pertama kali saya mengenali Cikgu Abdul Hadi Hassan, justeru tahniah kepada ‘Persatuan Sejarah Malaysia’ yang mengabadikan ketokohan beliau di premis sejarah ini,” beritahu Dr Mansor. Bagaimanapun Dr Mansor menyedari rupa-rupanya Cikgu Hadi ialah ayah kepada Allahyarham Hasnol Hadi, antara rakan seperjuangan Tun Ghafar Baba ketika aktif dalam PKMM di Melaka.

KOMENTAR
bersama Pak Parjo

ISU KHINZIR DI MELAKA
KERAJAAN NEGERI MENGALAH


Pengerusi majlis ceramah ‘Siri Bicara Melayu’ di Wisma Sejarah, Roslan Latiff kabarnya memberitahu di dewan ceramah, kerajaan negeri Melaka terpaksa mengalah hingga tak membunuh khinzir di lokasi yang tak sepatutnya menempatkan hingga 120,000 ekor haiwan berkenaan, kerana perpaduan MCA-Gerakan-DAP mempertahankan penternak terbabit. Tak tahulah! Dulu isu khinzir memeningkan kerajaan negeri Negeri Sembilan apabila ladang penternakan khinzir di Sungai Nipah dimanipulasi sebagai isu kaum atau menafikan hak kaum tertentu. (Anehnya, tak pula difikirkan kaum yang lain sensitif juga dengan isu khinzir, terutama berkaitan dengan ibadat mereka di samping mencemar udara dengan baunya yang tengit, lengit dan bengit!). Tak terfikirkah pula hak asasi kaum yang diganggu bau dari lubuk najis khinzir dari ladang ternakan berkenaan?

Nampaknya ‘hak asasi’ hanya untuk kaum tertentu, sementara kaum yang lain ‘hak asasi’ mereka tak perlu dipertahankan. Gerangannya, begitulah tragedi di Melaka pada period pemerintahan Sultan Muzzaffar Syah, apabila pimpinan Melayu di bawah Tun Perak sentiasa sahaja diuji, dicabar dan disasar berikutan pengaruh Seri Nara Diraja Tun Ali bin Mani Purindam terlalu besar dalam dikri kesultanan Melaka. Ketika itu dilaporkan dalam ‘sejarah lisan’ di Negeri Sembilan perbalahan di Linggi antara pedagang Arab dengan pemimpin tempatan, menyebabkan ianya dibunuh bagi menamatkan pergaduhan yang dibangkitkan oleh penduduk tempatan. Tragedi tersebut selari dengan insiden di Melaka apabila Tun Tuakal penghulu Sening Ujong (gamaknya Sungai Ujong atau merangkumi juga Linggi) dibunuh oleh Sultan Muzaffar kerana menyokong Tun Perak.

Makanya, bagi menamatkan isu pergaduhan yang membabitkan kaum ketika itu ialah membunuh pemimpin penduduk tempatan. Tragedi sekitar dekad 1440-an di Melaka itu juga berkaitan dengan kuasa memonopoli perdagangan (atau ekonomi) di Linggi yang dikuasi oleh penduduk tempatan di bawah penghulunya Tun Tuakal, sebaliknya dianggap menolak ‘hak asasi’ pedagang luar. Isu ‘hak asasi’ bagaikan menjadi senjata kepada mereka yang mencari kesempatan menguasai sistem feudal di istana untuk menginjak-injak ‘keberanian’ penduduk tempatan, kerana yang tahu sangat dengan isu ‘hak asasi’ yang ‘dilipat sebesar kuku, direntang sebesar alam’ ini ialah:









(gambar-gambar dengan ihsan MSO)

HIDUP BAHASA MELAYU!

Tuesday, September 4, 2007

JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusa)


DARI LAMAN BLOG

NARATIF ‘KONTRAK SOSIAL’
USAHA MAHU DIDOKUMENTASI.

Assalamualikum,


Usaha dilakukan oleh pihak Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) mahu mengkaji semula naratif ‘kontrak sosial’ sejak legenda di Bukit Seguntang, dirasakan memang wajar malah selaras dengan kepentingan nasional (national interest) sekarang. Ketika menghubungi malam ini (3 September 2007), anggota lembaga pengarah Finas, Dato’ Azman Salleh berhasrat mahu menjadikan naratif ‘kontrak sosial’ berkenaan sebagai dokumentasi bernas, lunas dan tunas kepada generasi akan datang. Apalagi naratif ‘kontrak sosial’ yang digembar gembur pula sekadar memberi manfaat kepada pihak lain, dengan memesong makna sebenar demi kepentingan pihak yang sengaja mahu memutar belit fakta sejarah negara, tawarikh bangsa dan sirah kedaulatan raja-raja.

Bagaimanapun ‘kontrak sosial’ yang dipersetujui bersama bukan sekadar naratif kesetiaan Demang Lebar Daun menerima kedaulatan Sang Sapurba sahaja, tetapi ianya melangkaui kedaulatan raja-raja, kemuliaan tata bahasa dan keunggulan nilai budaya yang terkandung dalam ungkapan: ‘Titah Tuanku Patik Junjung’, ‘Pantang Anak Melayu Derhaka’ dan ‘Raja Adil Raja Disembah. Raja Zalim Raja Disanggah’. Apalagi sudah terlalu banyak insiden yang membobrok dalam masyarakat di masa lalu, sekalipun ianya menerima ‘kontrak sosial’ berkenaan sebagai peraturan hidup yang perlu dipatuhi.

Sebaliknya semua insiden tersebut mampu dibendung dengan menerima pakai kata-kata: ‘Laksana memalu ular di belukar; ularnya biar mati, kayu pemukul jangan patah, tanahnya (lokasi memukul) jangan lembang (berbekas)’. Begitulah! Tetapi, sekali air bah sekali pantai berubah, sekali raja mangkat sekali resam bertukar! Justeru ‘kontrak sosial’ yang mahu didokumentasi ini memerlukan tenaga pemikir budaya yang mampan, nasihat cendekiawan yang prihatin dan pembabitan semua pihak insaf akan kepentingan jatidiri bangsa, meningkatkan martabat bahasa dan melonjakkan kedaulatan budaya. Usaha yang mahu dilestarikan oleh Dato’ Azman ini, sesungguhnya wajar diberi sokongan bersepadu bagi mengimbangi kebobrokan, kekorokan dan keberantakan nilai-nilai budaya!

-Muluk.

INFO HAK ASASI MANUSIA

SETPOL MB JOHOR HANTAR SMS
KONSERT ‘BAHTERA MERDEKA’ DI PWTC


Setpol Menteri Besar Johor, Haji Ahmad Yusuff aktivis Gapena dan Angkatan Penulis Kreatif Kuala Lumpur (AKTIF) sekitar dekad 1970-an memberitahu mengenai agenda konsert anjuran Yayasan Warisan Johor (YWI) dan UMNO Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada malam 3 September 2007. Sebaik sahaja Haji Ahmad Yusoff megirim SMS pada 2 September 2007, pihak PRIMA terus menghubungi rakan-rakan yang lain sebagai penghargaan kepada YWI yang bermurah hati menghubungi PRIMA bagi menghadiri acara konsert ‘Balada Bahtera Merdeka’, malah diberitahu Perdana Menteri, Dato’ Abdullah Ahmad Badawi dan Meteri Besar Johor, Dato’ Seri Haji Abdul Ghani Othman turut hadir.

Aktivis PRIMA, Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah bersama isteri bersetuju mewakili PRIMA menghadiri konsert tersebut, sekalipun beliau dikatakan sibuk dengan urusan yang lain di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur. Dr Mohd Mansor yang juga bekas Timbalan Naib Canselor (HEP) UTM, melahirkan rasa gembira kepada kerajaan negeri Johor yang turut mengundang PRIMA ke majlis yang dianjurkannya. Bagaimanapun bekas Ketua Pengarah DBP, Dato’ A. Aziz Deraman pula tak berkesempatan hadir, disebabkan terbabit menjadi hakim dalam pertandingan deklamasi puisi kemerdekaan di Dewan DBKL yang berjalan serentak.

Konsert ‘Balada Bahtera Merdeka’ adalah teater yang memaparkan naratif perjuangan bangsa Melayu bermula sejak Sang Nila Utama membuka Singapura, berterusan dengan kebangkitan empayar Melaka, di samping manifestasi rakyat terhadap pembabitan Dato’ Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman Putra, Tun Abdul Razak, Tun Hussein Onn, Tun Dr. Mahathir dan Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai ikon bangsa yang menjana kualiti pimpinan dalam masyarakat majmuk. Beberapa artis popular termasuk Dato’ Rahim Razali, Aishah, Tan Sri S.M. Salim dan Ramli Sarip terbabit dalam persembahan yang diarahkan penggiat teater Othman Zainuddin.

SOLAT HAJAT DI MASJID KG BARU
KHUSUS DOAKAN KESIHATAN DR M


Aktivis PRIMA Mohd Sayuti Omar memberitahu, solat hajat di Masjid Kampung Baru, Kuala Lumpur diadakan malam 3 September 2007, khusus mendoakan kesihatan Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang menjalani pembedahan pintasan di IJN pada 4 September 2007. PRIMA sudah memanjangkan kepada rakan-rakan yang lain mengenai aturcara di Masjid Kampung Baru yang memang dikenali menjadi tumpuan dalam sebarang isu yang berkaitan dengan manifestasi rakyat. Salah seorang aktivis PRIMA Haji Abu Bakar Ninggal yang sebelumnya berhasrat mahu ke PWTC bagi menghadiri konsert ‘Bahtera Merdeka’, mengambil keputusan untuk bersama menyertai solat hajat bagi mendoakan kesihatan Tun Dr. M.

“Harap Tun segera sihat selepas menjalan pembedahan di IJN hari ini (4 Setember 2007) ,” beritahu Haji Abu Bakar mewakili PRIMA. Justeru PRIMA meminta orang ramai terus bersama-sama mendoakan kesihatan Tun Dr M yang menjalani rawatan di IJN sekarang. Baru-baru ini PRIMA menerbitkan antologi sajak ‘Melayu Mudah Lupa’ adalah aspirasi dari sajak Tun Dr M yang pernah dideklamasikan dalam Perhimpunan Agung UMNO 2001. PRIMA juga berharap Tun Dr M akan kembali aktif berkarya terutama menulis buku yang boleh dikongsi bersama pengalaman dan ilmu yang beliau miliki selama ini.

KEHILANGAN IBU SAUDARA
AKTIVITI PRIMA BERJALAN TERUS


Aktiviti PRIMA berjalan terus pada 3 Ogos 2007, sekalipun ketua pimpinannya Dharmala N.S. kehilangan ibu saudara yang meninggal dunia pada pagi semalam (3 Ogos 2007). Ibu saudara Dharmala, Puan Sepiah binti Maarif, 80 meninggal dunia di Bukit Perah, Batu Kikir, Jempol, Negeri Sembilan, setelah diberitahu menerusi telefon oleh anak saudaranya, Shaharuddin Marzuki awal pagi semalam. Dharmala tak sempat untuk menghadiri majlis pengkebumian ibu saudaranya, kerana menghadiri mesyuarat bagi pelaksanaan ’10 Panel Pengarang’ jam 10.00 pagi, sebelum ke Universiti Industri Selangor (UNISEL) di Batang Berjuntai bagi urusan anaknya yang menuntut di sana.

Semasa hayatnya, Puan Sepiah dikenali sebagai wanita yang sanggup berkorban demi pembangunan di kampungnya dengan menyerahkan tanah getahnya lot 76 EMR 2178 seluas 0.200 ekar untuk membina Sekolah Kebangsaan Batu Kikir dengan menerima bayaran pampasan sejumlah RM1,300 sahaja. Beliau juga menyerahkan satu ekar tanah getahnya daripada 2 ekar 3 rod 0.04 pool untuk membina bangunan tambahan Sekolah Kebangsaan Batu Kikir, sekalipun kebun getah berkenaan adalah sumber pendapatan beliau sebagai pekebun kecil. Mungkin sahaja pengorbanan dan sikap dermawan Puan Sepiah dilupakan begitu sahaja, tetapi anak-anak Melayu yang menerima pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Batu Kikir seharusnya menerima hakikat, pencapaian mereka dalam akademik adalah bermula dri pengorbanan dan kedermawaan Puan Sepiah.

INFO SASTERA & BUDAYA

ANTOLOGI ‘MELAYU MUDAH LUPA’
SAYUTI BAWA GEMANYA KE KELANTAN


Masyarakat prihatin di Kota Bharu, Kelantan menyambut baik antologi sajak ‘Melayu Muda Lupa’, apabila dideklamasi oleh aktivis PRIMA Mohd Sayuti Omar bersama rakan-rakan penyairnya ketika menyambut kemerdekaan di Kota Bharu, Kelantan malam 31 Ogos 2007. Gema ‘Melayu Mudah Lupa’ menerima sambutan menggalakkan, malah di kalangan penyair yang tak sempat dihubungi merasa terkilan apabila tak ikut bersama menjayakan penerbitan antologi berkenaan. Menurut Sayuti, memang ramai penyair di Kelantan berasa kesal kerana tak dijemput untuk memberi sumbangan menulis sajak-sajak mereka dalam antologi ‘Melayu Mudah Lupa’.

Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz yang sekarang di London sehingga 15 September (2007) ini menyampaikan mesej kepada isterinya Puan Rozie, antologi sajak ‘Melayu Muda Lupa’ akan diteruskan bagi fasa kedua, sekiranya sambutan yang diberikan oleh khalayak penulis memberangsangkan. Setakat ini antologi berkenaan sudah pun dipasarkan kepada umum, sekalipun majlis pelancaran yang dijangka pada awalnya dilakukan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad ditangguhkan atas sebab-sebab kesihatan beliau belum mengizinkan. Bagaimanapin Kamal memberitahu, gema ‘Melayu Mudah Lupa’ akan diteruskan hingga ke pekarangan istana, jelasnya menerusi mesej yang disampaikan kepada Puan Rozie.

PENGALAMAN PENULIS VETERAN
TETAPI ISMAS ENGGAN TULIS NOVEL


Pembabitan penulis veteran Ismas Saring dalam kesusasteraan Melayu sudah dikenali sejak dekad 1960-an, apabila cerpennya ‘Patawanit’ dipilih memenang hadiah RM100 majalah ‘Mastika’. Bagaimanapun Ismas Saring enggan menulis novel setelah wibawa beliau dalam penulisan sajak, cerpen dan skrip drama tak boleh dipersoal lagi. Misalnya dalam dekad 1960-an, drama pentas Ismas Saring ‘Seruan Damai’ dipilih sebagai skrip wajib bagi kategori purbawara pertandingan drama anjuran kementerian kebudayaan, belia dan sukan, di samping ‘Serunai Hati’ karya Usman Awang bagi kategori moden (citrawara). Ismas juga dikatakan gemar mengembara dengan berkeliling dari Medan di Sumatera Utara, ke kepulauan Riau dan di Jawa.

“Fasal tulis novel aku kalah, macam tak ada masa untuk menulis,” beritahu Ismas menerusi perbualan telefon. “Lagipun mana orangn percaya, kalau aku beritahu fasal mengembara ke seluruh nusantara,” jelasnya merendah diri. Ismas atau nama sebenarnya Saring bin Sirad, dikenali di kalangan kawan-kawan dengan panggilan ‘Wak’, kerana beliau memang keturunan Jawa, yang masih faseh berbahasa ibundanya. Beliau juga pernah terbabit dalam perkhidmatan SC (Police Special Constable) pada 1956, dengan dikerah mengawal kawasan yang dikategorikan ‘hitam’ di Kuala Langat pada period darurat. Justeru pengalamannya yang luas sama seperti dilalui SN Usman Awang, rupa-rupanya tak menggerakkan hatinya untuk menulis novel.

KOMENTAR
bersama Pak Parjo

CEMERLANG ANAK MELAYU DI LONDON
KEJAYAAN BUKAN UNTUK DIBANGGAKAN


Tahniah. Kejayaan Nur Amalina Che Bakri, mencapai kecemerlangan akademik dengan memperoleh 5A bagi program A-Level di Cheltenham Ladies College (CLC), di United Kingdom (atau di sini STPM), sepatutnya bukanlah untuk dibanggakan tetapi menjadi galakan dan rangsangan kepada anak-anak Melayu yang lain. Amalina yang dihantar ke CLC, Gloucestershire berikutan memperoleh 17A1 dalam peperiksaan SPM 2004 tak lama dulu, terpaksa menunggu hingga tiga tahun bagi A-Level. Beliau dilaporkan berjaya memperoleh 5A bagi Matematik Tambahan, Matematik, Biologi, Kimia dan Ekonomi. Alhamdullillah. Bagaimanapun anak Melayu memerlukan lebih ramai Amalina, bukan sekadar mempunyai ‘udang di sebalik batu’ apabila memperkatakan kejayaan beliau.

Tunku Abdul Rahman Putra ketika diwawancara pada 1982 bagi menyiapkan buku ’25 Tahun Merdeka’ pernah mengingatkan orang Melayu, janganlah terlalu berbangga dengan kepahlawanan Laksamana Hang Tuah, sebaliknya jadilah keterampilan tokoh legenda itu sebagai pendorong bagi mencapai kejayaan. Kata Tunku, Hang Tuah seorang tak mampu ‘buat apa-apa’, malah empayar Melaka juga dijajah oleh Portugis pada 1511. Begitu juga Dato’ Dol Said tak mampu pertahankan Naning, kalau sekadar beliau seorang sahaja digeruni penjajah Inggeris, atau Dato’ Maharajalela Pandak Lam di Pasir Salak berseorangan melonjakkan semangat Melayu berkobar-kobar.

Maknanya, orang Melayu perlukan lebih ramai Hang Tuah, Dato’ Dol Said atau Dato’ Maharajalela. Orang Melayu juga mahukan lebih ramai Tunku Abdul Rahman, Dato’ Onn Jaafar, Ibrahim Haji Yaakob, Pak Sako, Dr Burhanuddin al-Helmi atau Ahmad Boestamam menjadi arkitek penggerak nasionalisme. Dalam bahasa mudah, sekarang ini orang Melayu masih memerlukan ramai Tun Razak, Tun Dr Ismail, Tun Hussein Onn, Tun Dr Mahathir atau Tengku Razaleigh Hamzah bagi mengangkat keunggulan Melayu dalam bidang masing-masing. Justeru kejayaan Amalina bukan sekadar untuk dibangga-banggakan, tetapi harus menjadi pendorong untuk melahirkan lebih ramai Amalina, kerana yang tak perlu ramai, diramaikan dan diperamaikan ialah:








HIDUP BAHASA MELAYU!











Sunday, September 2, 2007

JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)

(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)


DARI LAMAN BLOG:


APABILA BERI KOMEN
TAK BERASASKAN ILMU

Assalamualaikum,


Ilmu memang penting dalam kehidupan manusia seperti disebut Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi iaitu ‘modal insan’. Begitulah! Apabila berhasrat mahu membuat komen dengan tak berasaskan ilmu, makanya menampakkan akan kebodohan individu itu sendiri. Tak hairanlah pihak yang membuat komen mengenai PRIMA sudah membentuk ‘Penal 10 Pengarang’, menjadikan saya sasaran peribadi di samping turut mencabar menerbitkan buku dengan tak memerlukan penaja. Aduhai! (Apabila saya sebut aduhai, alahai, kononnya dan berbagai-bagai lagi maknanya ada sesuatu yang dirahsiakan, justeru tak perlu dibuang perkataan tersebut).



Tentunya yang membuat komen itu orang muda yang disebut ‘darah baru setampuk pinang, umur baru setahun jagung’. Pada 1982 saya sudah membuat buku ’25 TAHUN MERDEKA’ bersama Allahyarham Tan Sri Abdul Samad Idris, di samping melantik kanvaser bagi mencari penaja. Kanvaser terbabit diberi komisyen 40%, tetapi sehingga buku selesai ditulis dalam tempoh 8 – 9 bulan, si kanvaser sudah memperoleh imbuhan bukan 40%, malah mencecah hingga 55%. Apabila membuat buku ‘ASKAR MELAYU 50 TAHUN’, masih juga menggunakan khidmat kanvaser bagi mencari penaja, sikapnya masih sama, malah menggunakan nama Tan Sri Abdul Samad untuk bayaran bil hotel di Kuching, Sarawak.



Pada 1986, sekali lagi membuat buku ‘MELAKA TEMPA SEJARAH’ menggunakan khidmat kanvaser untuk mencari penaja. Akibatnya saya ‘bermasam muka’ dengan Tan Sri Abdul Samad, malah terus berpecah. Apabila berbaik semula dengan Tan Sri Abdul Samad pada 1989, kami membuat buku tak perlu lagi penaja; apalagi khidmat kanvaser untuk melobi. Maknanya, asal sahaja mampu memperoleh kos percetakan memadai, kerana itulah mesej sebenarnya bagi ‘penulis’, bukan mencari harta berjuta-juta (pinjam ungkapan sajak ‘Aku Mencari Damai Abadi’, Pak Lah).



Pada period tersebut saya berulang alik ke Arkib Negara (bukan sehari dua tetapi diberi pas khas hingga berbulan-bulan, dengan ihsan Dato’ Zakiah Hanum), bukan mencari fakta tarikh bagi menulis buku sejarah, tetapi memperoleh gambar-gambar lama berkaitan. Fakta tarikh adalah dirujuk kepada buku-buku yang boleh ditemui di Perpustakaan Negara, di Ibu Pejabat UMNO (ketika itu di Jalan Tuanku Abdul Rahman, bukan di PWTC) dan lain-lain penerbitan. Maknanya, kerja-kerja penyelidikan sudah saya lakukan sejak 1980-an, apabila menulis buku ‘Analitikal Pimpinan Pemuda; Ahmad Badawi bin Abdullah Fahim: LILIN MEMBAKAR DIRI’ (bukannya Ahmad Badawi dan Abdullah Fahim). Astaga!



Dengan tak memerlukan ‘penaja’; tak payah gunakan khidmat kanvaser, bersama dengan Tan Sri Abdul Samad, saya masih mampu bertahan menerbitkan ‘TAKHTA KERAJAAN NEGERI SEMBILAN’ (edisi baru) ‘PAYUNG TERKEMBANG’, ‘300 PEPATAH’, ‘ADAT MERENTAS ZAMAN’, ‘SEJARAH LUAK HULU MUAR’, ‘SEJARAH LUAK JELEBU’, ‘SEJARAH LUAK JOHOL’ dan autobiografi ‘DATO’ SERI UTAMA TAN SRI ABDUL SAMAD IDRIS: ANGRY YOUNG MAN DARI NEGERI SEMBILAN’. Usaha inilah yang saya teruskan setelah Tan Sri Abdul Samad meninggal dunia pada Oktober 2003. Maknanya, tak perlu cabar saya kerana perkara ini sudah pun saya laksanakan, malah si kanvaser terbabit (sekitar 1990-an) pernah melobi saya supaya gunakan khidmatnya. Alahai! Sebab itu ‘kalau kail panjang sejengkal jangan lautan hendak diduga’!


(Sekarang pun saya sudah menyiapkan buku ‘100 TOKOH’, dan dalam proses untuk sebuah lagi buku sejarah, di samping novel ‘SEMPERUNG’ – ketiga-tiga karya tersebut akan terbit tahun ini juga setelah ada pihak yang mahu menyumbang kos cetak; memang tak perlukan khidmat kanvaser dan penaja). Justeru si pemberi komen, belajarlah dari kelemahan, jangan mencari kelemahan. Kalau saya dedahkan lebih banyak lagi, pastinya akan memalukan dan mengaibkan si pemberi komen berkenaan. Cukuplah!

-Muluk.



INFO HAK ASASI MANUSIA:


MALANG MENIMPA SI BAYI
AKIBAT KELALAIAN MANUSIA


Insiden bayi yang baru dilahirkan, Lai Yok Shan menghadapi risiko dipotong tangan (pada paras siku) akibat kelalaian manusia, mungkin pertama berlaku dalam kes seperti itu. Tetapi dalam kes-kes lain sudah kerapkali berlaku, misalnya insiden tisu tertinggal di dalam rahim sewaktu pembedahan bagi wanita bersalin, atau pemindahan darah mempunyai virus HIV dan lain-lain. PRIMA merasakan kelalain manusia yang berlaku di hospital ini, bukan lagi ‘kelalaian biasa’ tetapi ‘mala petaka’ yang sukar ditafsirkan. Si bayi malang berkenaan akan berhadapan dengan ‘cacat kekal’, akibat tersalah ‘suntik’ oleh pihak hospital terbabit.



Bagaimana perasaan ‘pelaku salah suntik’ itu sekiranya bayinya yang menerima risiko berkenaan? Memang ianya boleh ditafsirkan sebagai ‘takdir’, tetapi sekiranya semua pihak mengambil tanggungjawab, perkara ‘kelalaian manusia’ boleh dielakkan. Justeru PRIMA mengambil satu contoh yang pernah berlaku membabitkan pelajar di Universiti Industri Selangor (UNISEL) ketika terlibat dalam kemalangan jalanraya. Apabila dibawa ke Hospital Tanjung Karang, mangsa berkenaan terlantar tak diberi rawatan hingga menjelang subuh, barulah dibawa ke Hospital Kelang. Mangsa meninggal dunia apabila sampai di Hospital Kelang, memanglah boleh ditakrif sebagai ‘takdir’.


Sebaliknya ‘takdir’ itu boleh diatasi, sekiranya mangsa diberi rawatan awal, setidak-tidaknya (mangsa) tak kehilangan banyak darah. Justeru PRIMA merasakan Menteri Kesihatan, Dato’ Seri Chua Soi Lek perlu mengambil tanggungjawab penuh dalam setiap insiden yang berlaku di hospital sekarang. Bukan sahaja wajar kerapkali turun padang, malah perlu membuat lawatan mengejut bagi memastikan ‘kelalaian manusia’ sekarang tak menjadi ‘mala petaka’ berterusan. Misalnya, kaunter mengambil ubat di HKL akan ditutup pada waktu makan tengahari, sekalipun pesakit-pesakit beratur menunggu angka giliran. Astaga!



INFO SASTERA & BUDAYA:


GIGIHNYA PENGHULU ZAINUDDIN
MUZIK ‘TAK LEMPONG’ DI MAJLIS KAHWIN



Kesungguhannya mempertahan muzik tradisional ‘tak lempong’ (atau ‘cak lempong’) diteruskan oleh Zainuddin Bujang (dikenali Penghulu Zainuddin), dengan memperkenal ke majlis-majlis kahwin. Ketika ditemui di majlis kahwin di Tampin, 25 Ogos 2007 lalu, Penghulu Zainuddin yakin muzik tradisional Melayu mampu diketengahkan lebih jauh, sekiranya diberi peluang terutama di hotel-hotel bagi tarikan pelancong. Sejak bersara dari jawatan kerajaan, Penghulu Zainuddin tak jemu-jemu meneruskan usahanya mahu melonjakkan muzik tradisional Melayu ke peringkat lebih berprestij.




Tak hairanlah beliau melakukan kombinasi muzik tradisional dan muzik moden bagi meningkatkan persembahan kumpulan ‘tak lempong’nya yang dikenal ‘PUTERA SARI’. Bersama kumpulan ‘PUTERA SARI’, gabungan kombinasi muzik tradisional dan muzik moden mampu menghiburkan penonton. Penghulu Zainuddin yang dikenali sebagai aktivis persatuan belia sekitar dekad 1970-an, tutur terbabit dalam persembahan teater di Negeri Sembilan. Ketika berkhidmat sebagai penghulu mukim di Lenggeng, beliau mula berminat dengan muzik tradisional hingga menubuhkan kumpulan ‘tak lempong’.



Berasal dari Rembau, Penghulu Zainuddin menggerakkan kumpulan ‘tak lempong’ PUTERA SARI di daerah Rembau apabila bersara. Keprihatinan Penghulu Zainuddin menghidupkan muzik tradisional Melayu ini sewajarnya pula diberi sokongan oleh pihak jabatan terbabit sama ada kementerian kebudayaan, kesenian dan warisan (KekWa) mahu pun kementerian pelancongan. Bukan sahaja diperkenalkan di peringkat negeri, malah diangkat ke luar negeri melalui kedutaan-kedutaan Malaysia, sebagai duta seni yang selaras dengan matlamat globalisasi yang diimpikan.



KOMENTAR
Bersama Pak Parjo


ALAHAI, MAJLIS PERBANDARAN
KEPERIHALAN ‘BUTA SEJARAH’ MERDEKA


Adapun sejarah memang tak boleh dibohongi, kerana apabila sejarah sengaja ‘dibohong’ maknanya kita boleh ditakrif ‘buta sejarah’. Hari merdeka 31 Ogos, ketika melalui jalan Ampang mahu ke Genting Peras di Hulu Langat, agak sedih melihat papan iklan kerajaan negeri Selangor membariskan menteri besar yang pernah berjasa. Dengan gambar Dato’ Seri Dr Khir Toyo di hadapan diikuti gambar Tan Sri Abu Hassan Omar, seterusnya Tan Sri Muhammad Mohd Taib, Tan Sri Ahmad Razali Haji Ali, Dato’ Hormat Rafie dan Dato’ Harun Idris. Ironinya, tak kelihatan pula gambar Dato’ Abu Bakar Baginda iaitu Menteri Besar Selangor pertama pasca merdeka.



Bukanlah salah Dr Khir Toyo, mahupun kerajaan negeri Selangor apabila tertinggal gambar Dato’ Abu Bakar Baginda. Mungkin sahaja pihak Majlis Perbandaran yang mahu tunjuk ‘depa buat kerja’, hingga terlupa mahu masukkan gambar Dato’ Abu Bakar Baginda, atau tak kenal pun siapa tokoh berkenaan. Penempatan Melayu di Kampung Pandan dan Dato’ Keramat juga mungkin melupakan menteri besar yang membuat pelan induk bagi lokasi berkenaan berikutan insiden kebakaran di Gombak Lane pada 1956. Begitu juga penempatan Melayu di Gombak Setia, di samping bandar stelit Petaling Jaya yang sebelumnya sekadar ladang getah, tetapi dibangunkan dengan prasarana hebat dan kilang-kilang ternama.



Kalau nak dibuang Dato’ Abu Bakar Baginda dari sejarah Selangor, tak mungkin! Pada pilihanraya 1959 beliau bertanding di DUN Dengkil, ditentang oleh calon Bebas, Lee Siok Yew. Ironinya pada pilihanraya Parlimen (ketika itu diadakan secara berasingan pilihanraya DUN dan Parlimen), sekalipun kalah di DUN Dengkil, Lee Siok Yew bertanding pula atas tiket MCA untuk menjadi ahli Parlimen Sepang. Tetapi Dato’ Abu Bakar Baginda tetap mampu melaksanakan tugasnya, ketika rakan parti komponen menikam dari belakang. Sepatutnya pihak Majlis Perbandaran yang mahu menaikkan papan iklan eloklah ‘duduk dulu sebelum berlunjur’, janganlah ‘meludah ke langit’ kerana sejarah itu bukanlah mitos atau legenda yang selalunya disebut-sebut oleh:









HIDUP BAHASA MELAYU!

Thursday, August 30, 2007

JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG:
KETUA PUTERI IKUT AMANAT
BERI TUMPUAN KERJA MASYARAKAT


Ketika krisis pimpinan UMNO 1987, Ketua Pergerakan Puteri UMNO Dato’ Noraini Ahmad masih bersekolah, tetapi Allahyarhamah ibunya memang aktif dalam pimpinan di Bahagian Air Itam di Johor. Ayahnya pula aktif bersama pimpinan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian, justeru beliau memang sudah terdedah dengan senario politik yang berkemelut, berkelabut dan berserabut pada 1987 itu. Bagaimanapun Noraini mengakui sejarah perjuangan nasionalisme pada period pra merdeka, memang banyak yang belum difahaminya; samalah dengan fungsi pimpinan Puteri UMNO beliau lebih peka dengan amanat Presiden UMNO, Dato’ Abdullah Ahmad Badawi supaya memberi tumpuan kepada ‘kerja’, di samping tak memikirkan sangat pencapaian seterusnya.

“Saya sekadar menuruti kemahuan Pak Lah, supaya buat kerja dulu, jangan fikirkan perkara yang lain,” beritahu Noraini ketika ditemui di pejabatnya petang Selasa lalu (28 Ogos 2007). Kebetulan pula wartawan Buletin Rakyat, Norzah Haji Kepol beriya-iya sangat mengajak menemui Noraini setelah beliau membuat ‘temujanji’. Berdasarkan amanat Pak Lah, Noraini dilihat lebih banyak membuat kerja-kerja kemasyarakatan sebagai agenda Puteri yang berterusan, malah beliau tak memikirkan isu pemilihan calon bagi pilihanraya akan datang. “Terpulanglah pada pucuk pimpinan menilai kerja-kerja kemasyarakatan yang saya lakukan,” ujarnya merendah diri.


Beliau masih seronok berbual, sekalipun saya memberitahu sudah jam 3.00 petang, jadualnya beliau perlu menghadiri mesyuarat MT. Terpaksa pula saya memberi isyarat kepada Norzah dan isteri saya untuk segera beredar, apabila Noraini masih juga mahu terus berbicara ketika waktu semakin bergerak pantas. Sebenarnya tak ada jadual khusus bagi saya menemui Ketua Puteri, sekadar menemani Norzah yang mempunyai urusan dengan sekretariat Puteri. Berdasarkan ayahnya sekadar aktivis Pemuda UMNO pada 1987, bagi saya Noraini bolehlah dianggap ‘anak’ sahaja yang seharusnya menjadi amalan Melayu: Yang tua dihormati; yang muda dikasihi. Begitulah!

-Muluk.


INFO HAK ASASI MANUSIA:


KHABAR ANGIN DI PASIR GUDANG
LANGKAH POSITIF PERLU SELARAS

Khabar angin mengenai ‘perbalahan’ kaum di Pasir Gudang, Johor dilaporkan mahu dipantau secara positif oleh polis menerusi laporan TV jam 1.00 tengahari (30 Ogos 2007). Media memang boleh membantu, sekalipun SMS lebih berkesan menyampaikan laporan yang cepat, singkat dan padat! Justeru yang boleh dilakukan oleh media mahupun pengendali laman web mahupun laman blog, ialah tak menyiarkan insiden berkenaan sama ada ianya khabar angin atau bukan khabar angin. Apalagi yang berbahaya pula tentunya ‘api dalam sekam’, kerana sukar dikesan aliran pergerakan bahangnya yang beransur-ansur mengekang kepulan asap membuak keluar.

Justeru pemantauan pula bukan mengawal sebelah pihak, sementara dipihak yang lain diberi kelonggaran. Misalnya, isu di Selangor tindakan peguam-peguam bukan Islam mencabar enakmen syariah dengan menampilkan individu yang memproklamir dirinya ‘Rasul Melayu’ sebagai isu, seolah-olah melontar bola getah ke dinding batu. Begitu juga penternakan khinzir di Melaka melebihi had yang dibenarkan, seolah-olah tak hormatkan pihak yang satu lagi, malah kelihatan macam mencabar sikap berhemah yang ditunjukkan selama ini oleh penduduk-penduduk tempatan. Memang benarlah isu hak asasi manusia, bagaikan menguji dan mencabar kesabaran pihak yang lain, sementara pihak yang satu lagi sengaja tak mahu menghormati kelonggaran yang diberi.

INFO SASTERA DAN BUDAYA:


KATA PENGANTAR ANTOLOGI
ANEHNYA SIKAP BANGSA MELAYU

Oleh: Yahaya Ismail


Bangsa yang tidak mencintai bahasa ibundanya, yang tidak memartabatkan budayanya adalah bangsa yang bakal dihanyut oleh gelombang sejarah. Adalah suatu hal yang aneh kalau bangsa Melayu yang mempunyai kuasa politik yang boleh menentukan sejarah gemilang bagi rakyat dan negara tercinta ini tidak manfaatkan kuasa yang ia miliki dengan bijaksana dan berpandangan jauh. Hilang kuasa politik Melayu akan gelaplah masa depan generasi akan datang. Melayu hanya mempunyai tanahair tetapi tidak mempunyai tanah, merintih dan menjadi pengemis di buminya sendiri.



Di Parlimen rakyat majmuk tidak akan melihat lagi aksi badut-badut Melayu yang gila bercakap tapi mandul ide yang boleh merangsangkan fikiran rakyat. Terlalu banyak pesta-pestaan untuk mengkhayalkan belia-belia Melayu supaya mereka melupakan tanggungjawab sacral untuk menjadi pembela bangsa, agama dan tanahair. Sesungguhnya Melayu menjadi semakin tenat. Nampaknya kuasa yang ia miliki seperti pasir dalam genggaman yang sedikit demi sedikit hilang ditelan waktu akibat kepimpinan Melayu yang menjadi semakin lemah untuk memperjuangkan nasib bangsa sendiri.

Islam sepatutnya menjadi akar tunjang dalam perjuangan bagi memperkasakan kuasa politik yang masih ada di tangan mereka. Malangnya Islam dijaja sebagai juadah politik untuk menjaga kepentingan peribadi. Para pemimpin dan ulama seringkali membesar-besarkan penghijrahan Nabi Muhammad SAW, tetapi mereka sendiri tidak menjadikan penghijrahan yang bersejarah itu untuk merevolusikan minda umat Melayu yang beragama Islam supaya memperkukuhkan kedudukan Melayu dalam mengharungi cabaran dan gugatan politik nasional mahupun global.

(gambar ihsan dari MSO)


Malangnya Melayu punya otak tetapi tidak berfikir secara kritis dan intelektuil; punya mata tetapi buta, punya telinga tetapi dibuat tuli, punya hati tetapi tidak dapat meghayati dan mentafsir berbagai perubahan dan cabaran yang menghakiskan mimpi ketuanan Melayu. Mereka yang mengabadikan puisi rasa hati dalam kumpulan ini (Melayu Mudah Lupa) ingin melontarkan segala kebimbangan, kekecewaan, ketakutan dan kebencian mereka terhadap petualangan para pemimpin yang rakus, biadab, tidak bermaruah dan lupa daratan dan sumpah setia mereka sebagai pewaris perjuangan bangsa sendiri.


(Kampung Tunku, Petaling Jaya; 28 Julai 2007)


KOMEN DARI ANONYMOUS 1:


"mewujudkan ‘kumpulan panel pengarang’ itu, dengan meletakkan sasaran hasil karya yang diterbitkan diberi sama rata dengan pihak penerbit, setelah ditolak kos percetakan dan kerja-kerja pra penerbitan. Pak Dharma dikatakan sudah berbincang dengan Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah mengenai tawaran tersebut bagi dilaksanakan secepat mungkin.

"ELOK SANGATLAH CADANGAN INI,LAIN KALI TAK PAYAH CARI PENERBIT BUKU DAN PENAJA,TCETAK DAN EDAR SENDIRI KAN LAGI BAGUS?SAYA CABAR KAMU DHARMALA!
JAWAPAN KEPADA KOMEN 1:

"Kalau kail panjang sejengkal jangan lautan hendak diduga". Bahasa awak memang sudah dikenal, sebab itu sedar diri sendiri. Cabaran diterima, sebab selama ini buku-buku Dharmala diterbitkan oleh banyak penerbitan. Mahukah disenaraikan? Termasuk 2 buah menjadi buku teks sastera bagi tahun 1980-an dan 2000. 7 karyanya menang hadiah sastera termasuk tahun 1974 daripada Allahyarham Tun Abdul Razak, PM ketika itu dan sebuah bukunya tersenarai dalam perpustakaan Universiti Ohio, Amerika. Kumpulan panel 1o orang pengarang sudah ditubuh dan penerbit pun sudah buat perjanjian. Tak perlulah penaja, tanpa penaja hasil karya Dharmala sudah POPULAR. Selama ini Dharmala pun tak perlu duit penaja.

Penaja tak salah sebenarnya, yang salah orang tengah. 3 orang tengah dapat dalal, penerbit dan penaja pun jadi mangsa. Penaja keluar duit hampir RM300, 000, yang sapu orang tengah. Mahu tak didedahkan nama orang tengah ini? Atau kita sama-sama buat laporan ke BPR. Jangan cuba-cuba cabar Dharmala, nanti "gali lubang terjun sendiri ke dalamnya".

"LIHAT DIATAS BUKU MELAYU MUDAH LUPA TAK PERLU PENAJA, TAK PERLU ORANG TENGAH DAN LINTAH DARAT, SEBAB DHARMALA TAK PERLU PAKAI MERCEDES DAN TAK PERLU BERLAGAK MACAM ORANG BIGSHOOT"



KOMEN DARI ANONYMOUS 2:

Dharmala orang macam kamu harus sedar diri,engkau harus berterima kasih dengan apa yang kamu dapat!Lain kali kalau dah tulis buku ,terbit sendiri je,buat apa nak cari penerbit dan penaja.nasib baik kamu dpat royaliti penulisan kalau tak itu pun kamu tak dapat!


JAWAPAN KEPADA KOMEN 2:

Dharmala memang sedar diri. Yang tak sedar diri Anonymous ni! Berlagak macam serba tahu, tapi sebenarnya hingus sendiri pun tak dibersihkan. Tak perlu pun terima kasih yang perlu terima kasih orang tengah yang merayu-rayu minta manuskrip. Buku Dato' Onn sudah terbit oleh Kantung Network Sdn Bhd, tetapi orang tengah yang merayu minta manuskrip itu. Kalau ikut Akta Hak Perlindungan Harta Intelek, Kantung Network Sdn Bhd boleh buat kes mahkamah. Jadi cukuplah, jangan cuba siram minyak pada daun lalang yang kering, nanti habis semua terbongkar.Dharmala seorang yang penyabar, nanti bimbang hilang sabarnya.(Jangan lupa Dharmala juga berpengalaman dalam kes-kes ke mahkamah). Gaya bahasa Anonymous sudah dicam, tak usah la berselindung.


KOMENTAR
bersama Pak Parjo

MERDEKA, MERDEKA, MERDEKA
JALUR GEMILANG DIIMPORT DARI CHINA


Daif sangatkah ‘tukang jahit’ di Malaysia atau pembuat bendera ‘Jalur Gemilang’ hingga terpaksa mengimport dari Republik Rakyat China (RRC)? Syabash kepada wartawan Karam Singh Walia yang mendedahkan bendera ‘Jalur Gemilang’ yang dipasang di bandar Melaka disahkan diimport dari RRC. Aduhai! Apabila rakyat diseru kibarkan bendera ‘Jalur Gemilang’ bagi memperlihat ‘semangat patriotisme’, rupa-rupanya yang tahu berniaga tak pula ‘bersemangat patirotisme’ apabila ‘Jalur Gemilang’ ditempah di luar negeri, dengan segala kehilafan, kesilapan dan kesalahannya. Jalur yang sepatutnya 14 sahaja, kelihatan ada juga yang berjalur 15. Warna yang sepatutnya didahulukan dengan ‘merah’ ada pula yang didahulukan dengan ‘putih’. Es es es!


Kalau tak silap sejak dulu, ramai juga ‘tukang jahit’, ‘tukang tenun’ dan ‘tukang tekat’ Melayu yang hebat lagi terhebat dan memang hebat sehebat-hebatnya. Misalnya, tekat baldu bagi pakaian rasmi DYMM Yang Dipertua Agong, sejak 1957 lagi dibuat oleh Ustaz Abdul Raof Ahmad (Allahyarham), peniaga di pasar minggu, Kampung Baru, Kuala Lumpur yang juga bekas tahanan ISA pada 1948 (yakni pada priod penjajah). Beliau yang memperolehi kemahiran dalam tekat menekat semasa di dalam tahanan, mampu menyiapkan pakaian diraja yang ditempah mengikut jadual.

Cerita rakyat di China menyebut mengenai kisah ‘tukang jahit’ ini ialah mengenai kisah maharajanya memakai pakaian di hadapan cermin oleh pereka fesyen terhebat, tetapi sebenarnya si maharaja dalam keadaan berbogel (kononnya pakaian yang ditempa itu berbeza dari tukang-tukang jahit mahir yang lain). Begitu juga insiden si maharaja yang terkena penyakit kusta diubati si tabib dengan membaca kitab, dengan kertasnya sudah dibubuh racun. Apabila si maharaja membuka lembaran kitab dengan mencecah jari telunjuk ke mulut, makanya si maharaja itu alkuluhum! Makanya yang sentiasa berhati-hati dengan kepakaran mereka yang mengaku pakar tetapi selalunya berputar-putar, berligar-ligar dan berkisar-kisar ialah:














HIDUP BAHASA MELAYU!

Wednesday, August 29, 2007

JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)

(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG

DALANG CABAR ENAKMEN SYARIAH
PEGUAM BUKAN ISLAM BERMAIN API

Assalamualikum,

Insiden seseorang mengaku dirinya ‘Rasul Melayu’ mencabar kesahihan lima peruntukan enakmen syariah Selangor, tak akan berhasil sekiranya tak didalang oleh peguam-peguam bukan Islam. Lelaki berusia 55 tahun itu mahukan Seksyen 7, 8(a), 10(b), 12 dan 13EJS 1995 dan Seksyen 49 EPAI 2003 diproklamir tak sah dan terbatal mengikut Perkara 4(4) Perlembagaan Persekutuan, mungkin sahaja peguam-peguam bukan Islam di sebalik isu berkenaan tak menyedari mereka sedang bermain api. Apabila mereka tak berkelayakan menjadi peguambela di mahkamah syariah, maka dicuba kaedah yang lain iaitu meminta proklamir seksyen yang disebut dalam enakmen berkenaan tak sah dan terbatal.

Ketika menghadiri satu mesyuarat Majlis Agama Islam Negeri Sembilan pada 2003 tak lama dulu, memang pernah saya dibangkitkan perlunya diperkukuhkan struktor ‘rajo nan tigo silo’ iaitu ‘raja alam’, ‘raja adat’ dan ‘raja ibadat’ yang diguna pakai dalam sitem ‘Adat Perpatih’. ‘Raja Alam’ ialah pemerintahan negeri yang menguasai pentadbiran, ‘Raja Adat’ ialah penggubal peraturan hidup bermasyarakat yakni dato’-dato’ pembesar (iaitu dato’ lembaga dan dato’ buapak), sementara ‘Raja Ibadat’ adalah pentadbir agama. Justeru ‘pentadbir agama’ mempunyai bidang yang khusus melaksanakan tanggungjawab dengan tak diganggu gugat oleh ‘Raja Alam’ dan ‘Raja Adat’. Begitulah!

Individu yang mencabar enakmen syariah itu sudah jelas lagi diperjelas dan jelas sejelas-jelasnya akan kejahilan, kekhilafan dan kekeliruannya, makanya dihasut lagi golongan yang sememang bukan Islam dengan berlindung di sebalik profesion peguam. Bagi lebih jelas untuk difahami, maka selepas Setiausaha Agung Persatuan Peguam Islam Malaysia (PPI) Sdr Md Radzi Mustapha menyampaikan isu berkenaan kepada PRIMA, maklum balasnya begini: Beberapa kariah masjid di seluruh negara mengadakan solat hajat bagi menyokong PPI, termasuk di Klebang, Melaka, di Kampung Atas Pengget, Kota Bharu, di Pasir Gudang, Johor, di Jalan Tok Paduka, Kangar, Perlis dan di Jelebu, Negeri Sembilan. Tak termasuk seorang bekas guru berusia lebih 90 tahun di Gombak yang berulang kali menggertap bibir menahan keberangan. Cukuplah!

-Muluk.

INFO HAK ASASI MANUSIA

KUASA AUTONOMI DI IPTA
MEREBUT STATUS UNIVERSITI APEX


Kuasa autonomi diberikan kepada Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) secara berperingkat-peringkat menjelang 2020 bagi melonjakkan sistem pendidikan tinggi negara, memang dialu-alukan oleh PRIMA. Seperti disebut oleh Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Mustapa Mohamed kepada media semalam (28 Ogos 2007) memang ditunggu-tunggu oleh semua pihak, apalagi kebebasan memilih naib canselor diberi perioriti. Baguslah, IPTA sendiri memilih naib canselornya sendiri bagi mengelakkan campur tangan politik yang kadangkala boleh mencemar kewibawaan seseorang yang berkebolehan, menyebabkan ahli akademik menjadi mangsa.

Jurucakap PRIMA, Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz sebelum bertolak ke London semalam (28 Ogos 2007) sempat memberitahu pihak PRIMA merasakan sudah tiba masanya autonomi diberikan kepada IPTA dan IPTS. Bagaimanapun beliau tetap sukar meramalkan apabila tiada kuasa politik mencampuri urusan ‘pemegang dasar universiti’ ianya boleh juga mewujudkan ‘politik akademik’ yang berlaku secara berleluasa sebelum ini di IPTA. ‘Politik akademik’ dalam beberapa buah IPTA sebelum ini memang turut juga mewujudkan senario ‘cantas mencantas’ secara tak berhemah. “Kuasa autonomi di IPTA digalakkan, tetapi ‘politik akademik’ harus dipantau secara berkesan,” beritahu Kamal selanjutnya.

SIME DARBY UNTUNG RM2b
PROTON SEKADAR KIRA RUGI


Pimpinan kanan PRIMA,Yahaya Ismail secara sinis menyebut, ketika Sime Darby Bhd merekodkan sejarah buat pertama kali mencatat keuntungan sebelum cukai melebihi RM2b dalam tahun kewangan berakhir 30 Jun 2007, syarikat kereta nasional Proton Holdings Bhd sekadar mampu mengira kerugian sekalipun mampu dikurangkan kepada RM46.85 juta sebelum cukai. Yahaya (Pak Ya) yang akan bertolak ke Jakarta besok (30 Ogos 2007) bagi menghadiri seminar sastera Melayu dan Islam di Pekanbaru, propinsi Riau hari berikutnya berkata, fenomena yang dihadapi oleh Proton itu samalah seperti disebut dalam pepatah Melayu: Mengira buah kerayung!

Baginya, adalah menghairankan syarikat automobil milik negara itu berhadapan dengan fenomena kerugian, ketika produk jenama kereta nasional itu menembusi pasaran di seluruh negara. Di samping mempersoal pengurusan syarikat automobil nasional itu, Pak Ya turut melahirkan rasa bimbang insiden yang dihadapi oleh Bank Bumiputra (M) Bhd akan berulang menimpa Proton. “Orang Melayu sudah kehilangan perbankan yang menjadi kebanggaan negara, janganlah automobil nasional pula mengikut jejak mundur ke belakang, ketika propaganda ‘berjalan ke hadapan’ sering muncul di TV,” katanya.

INFO SASTERA & BUDAYA

PENDEKATAN DAN PEMIKIRAN BARU
GAPENA PERLUKAN PIMPINAN DINAMIK


Kritikan Pemangku Presiden Persatuan Penulis Selangor (PPS) Dato’ Dr Anwar Redhuan yang menganggap pimpinan Gapena tak menggerakkan pembentukan Badan Pelindung Harta Intelek Penulis, seolah-olah kekecewaan beliau terhadap Gapena yang merangkumi 23 persatuan penulis. Apalagi Ketua Satu Gapena, Profesor Emiritus Tan Sri Ismail Hussein sendiri dikatakan tak mungkin mewujudkan badan khas mengenai isu berkenaan. Dr Anwar yang pernah menjadi Setiausaha Gapena, tak mungkin meluahkan kenyataan berkenaan, sekiranya masih berharapkan pimpinan lama dengan pendekatan dan pemikiran yang berligar pada dekad 1970-an dan 1980-an.

Malah Dr. Anwar turut mendedahkan pembabitan Gapena dalam perniagaan dengan anak syarikatnya ‘Gapeniaga Sdn Bhd’, tetapi tak mampu mempertahankan ‘Badan Pelindung Harta Intelek Penulis’, sehingga meminta dijadikan model operasi Badan Perlindungan Hak Cipta Karyawan Muzik (MACP). Maknanya, Gapena tak mampu mempertahankan ‘harta intelek penulis’, kerana ianya lebih tertumpu kepada projek lain, yang tentunya di bawah Gapeniaga Sdn Bhd. Tak hairanlah aktivis PRIMA, Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah mengimbau kembali insiden seminar penulis di Ipoh 1970, ketika Ismail Hussein mempertikai kertas kerja Suhaimi Haji Muhammad, Penulis Mesti Kaya Kalau Mahu Jadi Agung!

KOMENTAR
bersama Pak Parjo

MENJELANG MALAM MERDEKA
APABILA KAWAN TIADA LAGI DI SISI


Dalam salah satu rencana dimuatkan menerusi kolumnya di Mingguan Malaysia sekitar dekad 1980-an, Allahyarham Tan Sri Abdul Samad Idris memberitahu akan perasaan sebak setiap kali menjelang malam 31 Ogos. Beliau akan memainkan lagu ‘Semalam Di Malaya’ yang dicipta rakan baiknya Saiful Bahri, bagi mengimbau liriknya yang sayu, pilu dan mendayu. “Aku pulang dari rantau/bertahun-tahun di negeri oran/oh Malaya/kekasih hatiku sudah pula hilang/hilang tiada ganti/aduhai sayang/apakan daya/ aku hanya seorang pengembara/yang hina.

Bait-bait lirik itu mungkin sahaja tak membawa makna kepada generasi sekarang, kerana Saiful Bahri yang menciptanya tiba di Kuala Lumpur selepas perang berakhir pada 1945. Beliau mahu mencari sahabat handai di Malaya ketika itu, terpaksa berperap di bilik sebuah hotel hingga terpantul idea mahu mencipta lagu berkenaan. Memang ketika Tan Sri Abdul Samad menelefon malam-malam memberitahu latar belakang lagu berkenaan, tak menarik perhatian sangat. Tetapi setelah ketiadaan beliau untuk menelefon di malam-malam kemerdekaan; apalagi Allahyarham Pak Sako yang sanggup menjengah ke rumah sekalipun ketika beliau uzur, makanya kepiluan, kesayuan dan keharuan semakin terasa di hati menjelang malam kemerdekaan ini ialah:







HIDUP BAHASA MELAYU