Friday, September 14, 2007

JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)

(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)



DARI LAMAN BLOG:



TELEFON BIMBIT JADI PENTING
KAWAN LAMA DI HOSPITAL UKM

Assalamualaikum,


Puasa hari pertama (13 September 2007) banyak juga menerima SMS dari kawan-kawan mengucapkan selamat menjalani ibadat berpuasa, hingga terasa telefon bimbit menjadi penting kepada komunikasi masyarakat sekarang. Di samping membalas semula SMS kawan-kawan, aktivis PRIMA Haji Abu Bakar Ninggal pula menelefon fasal masalah kesihatan, di samping berat badannya semakin sukar dikawal. Haji Abu Bakar juga sudah beberapa hari tak menelefon, apabila diganggu kesihatan menyebabkan lebih banyak berihat selepas mengambil ubat di klinik dan farmasi. Begitulah! Dalam usia semakin meningkat, keinginan untuk mengambil bahagian dalam aktiviti masyarakat tak pernah menghalang fizikal yang kurang gagah.



Sebaik sahaja Haji Abu Bakar meletakkan telefon, saya menerima pula panggilan dari Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Bandar Tun Razak dari rakan lama yang terputus hubungan beberapa tahun. Terkejut juga saya apabila dihubungi oleh Dato’ Laksamana Haji Ismail Abdul Kadir, bekas aktivis Gerakan Belia 4B Malaysia menerusi nombor telefon yang baru. Beliau sudah beberapa hari dimasukkan ke HUKM, setelah menerima rawatan awal di Seremban akibat penyakit yang dihidapinya. Tak hairanlah, sudah lama beliau tak hubungi saya kerana berulang alik sahaja ke hospital di Seremban, hinggalah dimasukkan ke HUKM minggu lalu. “Lama betul kita tak berjumpa,” katanya seperti biasa sama macam Dato’ Seri Dr Rais Yatim juga.
Memang menjadi kelaziman masyarakat Negeri Sembilan menyebut ‘lama tak berjumpa’, sekalipun dalam tempoh beberapa bulan sahaja tak bersua muka. Apalagi, Dato’ Ismail baru setahun sahaja tak bersua, tetapi sering juga menghubunginya melalui telefon. Ketika media arus perdana melaporkan pelancaran buku saya ‘Analitikal Pimpinan Pemuda, Ahmad Badawi Abdullah Fahim: LILIN MEMBAKAR DIRI’ pada 25 Ogos 2007, Dato’ Ismail berhadapan dengan kemelut penyakitnya, justeru beliau tak sempat mahu menghubungi saya. Sebagai bekas Setiausaha Kerja Gerakan Belia 4B Malaysia sekitar dekad 1960-an, beliau memang mempunyai hubungan yang rapat dengan Allahyarham Tan Sri Abdul Samad Idris, bekas Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan. Apabila bertemu Dato’ Ismail pada 13 September 2007, beliau lebih banyak mengimbau kenangan bersama Tan Sri Abdul Samad ketika berkunjung ke Sumatera Barat (Minangkabau) mahupun rombongan pesta filem ke mana-mana.

- Muluk



INFO HAK ASASI MANUSIA:


GEGARAN MENJELANG RAMADAN
AMARAN TSUNAMI DI PERAIRAN NUSANTARA



Di samping gegaran gempa bumi berukuran 8.2 pada skala Ritcher di Barat Daya Bengkulu, kawasan perairan dan pantai Malaysia juga terjejas dengan diingatkan amaran tsunami. Misalnya di pantai Kota Kuala Muda di Kedah yang pernah dimusnahkan oleh tsunami pada 24 Disember 2004, lebih kurang 500 penduduknya berpindah mendapatkan perlindungan di rumah saudara mara, bagi menjauhkan diri daripada pantai. Apalagi beberapa lokasi di Malaysia turut bergegar akibat gempa bumi di Bengkulu itu termasuk di Barat Daya Johor, yang khabarnya termasuk dalam lingkungan Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI). Amaran awal itu seolah-olah memberi peringatan WPI akan berhadapan dengan ‘gempa’ dari Bengkulu di masa akan datang. Begitulah!



Bukan sahaja di Johor, malah di Lembah Kelang juga diganggu gegaran gempa bumi yang melanda Bengkulu pada 12 September 2007, iaitu menjelang bulan Ramadan ketika umat Islam di nusantara bersiap sedia menyambut puasa. Misalnya, lebih kurang 2,500 penghuni di Rancangan Perumahan Rakyat (RPR) Ulu Pudu dan beberapa pangsapuri di Bandar Tasik Permaisuri, Cheras bertempiran meninggalkan apartmen masing-masing berikutan gegaran jam 7.15 malam pada 12 September 2007. Malah Jabatan Meteorologi mengakui gempa bumi yang berlaku ialah pada 4.5 darjah Selatan dan 101.0 darjah Timur, iaitu 718 kilometer di Barat Daya Johor Bahru memang berkaitan dengan tsnami di Padang, Sumatera Barat dengan ketinggian satu hingga tiga meter.



Mungkin sahaja ancaman tsunami membolehkan pihak berkuasa meminta orang ramai berpindah sementara ke kawasan yang jauh dari pantai, tetapi gegaran gempa memang sukar mencari perlindungan di mana-mana. Sekalipun jabatan agama pernah ingatkan umat Islam mengamalkan surah az-Zalzalah (Kegoncangan) pada setiap kali solat, tetapi amalan doa sahaja tak memadai kalau pemusnahan alam sekitar dilakukan berleluasa dengan memperalatkan ‘pembangunan’. Di sebalik ‘pembangunan’ sebenarnya ialah naratif kerakusan, kebobrokan dan kepongahan hingga menimbulkan banyak persoalan apabila projek pembangunan dilaksanakan. Alahai!




DEBAR MUSIM PERAYAAN
HARGA AYAM NAIK 40 SEN


Penetapan harga siling runcit maksimum ayam standard naik 40 sen kepada RM6 sekilogram, berkuatkuasa 13 September 200 seperti diumumkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna. Maknanya harga ayam yang ditetapkan oleh kementerian pada 5 September 2007 dibatalkan, berikutan perbincangan dengan Jabatan Perkhidmatan Haiwan, di samping meneliti kos pengeluaran semasa ladang ternakan ayam. Kalau tak diumumkan harga siling jualan ayam di pasaran pun, PRIMA sudah menduga kementerian terbabit, sekadar menembak ‘meriam buluh’ sahaja di peringkat awal, asal sahaja menyentuh harga barang. Kenaikan harga barang sudah menjadi perkara biasa, seperti akhirnya kita juga akan ‘biasa’ dengan gegaran tsunami dan gempa yang melanda di perairan Lautan Hindi.



Ketika wakil PRIMA menemui seorang petani di Bagan Datoh, dikenali ‘Alang Seman’ baru-baru ini, beliau tak pernah berasa bimbang dengan kenaikan harga barang. Baginya, kenaikan harga barang sejak 2003 seolah-olah ombak ‘tsunami’ yang sukar dihalang apabila mahu menimpa penduduk-penduduk di pesisir pantai. Justeru katanya, kalau harga beras naik, beliau serahkan kepada kemampuan untuk membelinya yakni, mampu secupak belilah secupak, mampu segenggam belilah segenggam. Memang kenaikan harga barang mengikut siling yang ditetapkan oleh kementerian, tetapi insiden mahu membakar anak-anak ayam satu ketika dulu adalah ehem ehem!



INFO SASTERA & BUDAYA:

PENERBITAN BUKU MEWAH
PENGARANG MELAYU TAK KE MANA!


Penerbitan buku-buku mewah yang pernah dipelopori oleh Dewan Bahasa dan Pustaka tak lama dulu, tak mengangkat martabat pengarang Melayu ke tahap yang lebih bermakna. Karya SN Dato’ A Samad Said yang pernah dijual dengan harga RM60 senaskah misalnya, tak menjanjikan sebarang manfaat kepada pengarangnya, kalau dibandingkan dengan lonjakan pernghargaan yang diterima oleh penulis wanita J.K. Rowling apabila menghasilkan siri ‘Harry Porter’nya. Buku-buku mewah yang pernah diterbitkan sekadar mempertahan kualiti penerbitan dengan kertas mahal, di samping gambar-gambar lebih menjurus kepada ‘album’. Justeru buku-buku berkenaan bukan untuk dipasarkan, sebaliknya menjadi glori kepada mereka yang terbabit di sebalik tabir penerbitan buku-buku berkenaan.



Misalnya, buku ‘Adat Perpatih’ (Wintrac [WWB/Malaysia] Sdn Bhd, Kuala Lumpur; 1992) dengan 120 halaman dijual dengan harga RM69 senaskhah, memang diakui akan kualiti penerbitannya. Bagaimanapun buku berkenaan lebih berbentuk jurnal, sekadar kompilasi kertas kerja beberapa tokoh akademik, tak berhasil menyuburkan pembacaan di kalangan masyarakat. Pernerbitan buku-buku mewah pula mendorong kepada rasa ketakutan di kalangan masyarakat bersikap ‘mesra buku’ apabila mereka menganggap setiap buku-buku dipasaran menunggu ‘jerat harga’ berterusan. Penerbitan buku-buku mewah sebenarnya tak membawa manfaat kepada pengarang, sekalipun ditawarkan 10 peratus royalti kerana anjakan harga boleh berlaku tak semena-mena. Aduhai!



KOMENTAR
bersama Pak Parjo

BADAN BUKAN KERAJAAN (NGO)
SUMBER KEWANGAN DARI KEMENTERIAN



Langkah Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Seri Shahrizat Abdul Jalil mempertahankan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) adalah tak menyalah gunakan dana yang diberi, secara tak langsung mendedahkan banyak NGO yang menerima dana dari kerajaan. Sebelum itu Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang dalam laporan auditnya menegur NGO yang menyalah gunakan dana, tetapi tak diberikan secara terperinci NGO yang menerima suntikan kewangan dari kerajaan, di samping kementerian yang terbabit menyalurkan bantuan kepada NGO. Maknanya, NGO yang menerima sumber kewangan kerajaan sudah tentulah secara misteri menggerakkan aktiviti mengikut acuan yang ditetapkan oleh kerajaan.



Tak sesuailah pula NGO diberi nama ‘pertubuhan bukan kerajaan’, kalau aktivitinya mengikut acuan yang ditetapkan kerajaan. Lainlah pada period pentadbiran kesultanan Melaka, tak pernah diwujudkan NGO tetapi setiap aktiviti masyarakat memang dipantau oleh istana. Apalagi jabatan yang dibentuk ketika itu termasuk Bendahara, Temenggung, Laksamana, Penghulu Bendahari, Syahbandar tak mempunyai apa-apa otonomi, tetapi menjalankan ‘titah perintah’ sahaja. Justeru NGO memang tak wujud pada period ianya di bawah sistem feudalisme, kecuali di kampung-kampung dibentuk kumpulan pencak silat yang setara dengan ‘kumpulan belia sekarang’, tetapi kumpulan pencak silat itu memang tak menerima sumber kewangan kerajaan sekalipun tak ditakrif sebagai NGO seperti keperihalan yang tak pernah sumber bantuan kerajaan ialah:





HIDUP BAHASA MELAYU!

Thursday, September 13, 2007

JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)


DARI LAMAN BLOG

SMS DARI RADZI 12 SEPTEMBER
DI HOSPITAL MENJELANG RAMADAN

Assalamualaikum,

Sudah beberapa hari menghubungi Setiausaha Agung Persatuan Peguam Islam Malaysia Sdr Md Radzi Mustapha, tetapi tak juga memperoleh respons. Sengaja tak hubungi pejabat beliau di bangunan Tabung Haji, Jalan Ipoh kerana bukanlah urusan mustahak sangat, sebaliknya sekadar mahu bertanya khabar. Radzi memang peguam Islam yang prihatin dengan isu-isu yang membabitkan kepentingan Islam dan orang Melayu, malah sentiasa memberi sokongan kepada PRIMA dalam sebarang isu yang dibangkitkan. Setelah dihantar SMS mengenai isu rusuhan di Kuala Terengganu pada 8 September 2007, perjumpaan menyambut Ramadan di Rumah Gapena 11 September 2007, Radzi masih juga tak memberi sebarang respons.

Hari ini (12 September 2007) jam 3.00 petang, apabila dihubungi melalui telefon, Radzi memberitahu beliau baru sahaja keluar dari wad hospital. Bagaimanapun Radzi enggan memberitahu mengenai penyakitnya, sekalipun beberapa hari dimasukkan ke wad. Jam 8.00 malam selepas maghrib, Radzi mengirim SMS memberitahu beliau sudah sihat, malah boleh memulakan ibadat puasa besok (13 September 2007). Ketika mengenali Radzi bagi menerbitkan antologi sajak ‘Melayu Mudah Lupa’, beliau memang bersemangat, di samping menghasilkan sajaknya pada saat-saat akhir. Beliau juga terbabit dalam beberapa siri perjumpaan sebelum wacana di Putrajaya bersama bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 15 Ogos 2007.

PRIMA mendoakan Radzi kembali sihat, dan terus memberikan sumbangan fikiran kepada aktiviti PRIMA dalam usaha menentang perhambaan minda manusia kepada manusia. Insya Allah!

-Muluk.

INFO HAK ASASI MANUSIA

PENULISAN BUKU MB SELANGOR
ABU BAKAR BAGINDA TERPINGGIR


Usaha penulisan sejarah bagi negeri Selangor memang dialu-alukan, tetapi ianya mestilah menepati fakta secara positif, kata Ketua Penerangan UMNO Bahagian Gombak, Sdr Omar Sudi Abdul Manan. Menyentuh mengenai buku ‘Bersama Jejak Juang 6 MB Selangor’ tulisan Onn Ismail (Pejabat Speaker DUN Selangor, Shah Alam; 2003), Omar Sudi mengakui belumlah terlambat baginya memiliki naskhah buku berkenaan setelah lebih tiga tahun ianya diterbitkan.



Beliau bersetuju penulisan Tan Sri Onn, berdasarkan enam orang MB Selangor yang dikenalinya kerana berkhidmat di bawah pentadbiran mereka, tetapi sebagai dokumentasi sejarah yang diterbitkan oleh pejabat Speaker adalah tak manis meminggirkan MB Selangor pertama pasca merdeka iaitu Dato’ Abu Bakar bin Baginda yang mengasaskan blueprint pembangunan negeri Selangor.

Menurut Omar Sudi dalam pertemuan di Taman Seri Gombak hari ini (12 September 2007), setelah menatap naskhah buku setebal 195 halaman itu, beliau merasa terkilan kerana tak memuatkan autobiografi Dato’ Abu Bakar Baginda. Katanya, pembangunan negeri Selangor bermula dari usaha kerajaan negeri di bawah pentadbiran Dato’ Abu Bakar selepas pilihanraya umum 1959. Sekalipun Dato’ Abu Bakar memegang jawatan MB Selangor dalam tempoh satu penggal sahaja hingga 1964, tetapi blueprint yang dirangka beliau diteruskan sebagai kesinambungan pimpinan UMNO Selangor, ujar Omar Sudi selanjutnya.


“Pada pilihanraya 1969, saya dibawa Tan Sri Mustapha Jabar berkempen di kawasan Sabak Bernam, ketika itu saya mendengar sendiri beliau (Mustapha Jabar) terlalu mengkagumi pimpinan Dato’ Abu Bakar,” beritahu Omar Sudi mengimbau kembali sejarah perjuangan UMNO di Selangor. Mustapha Jabar yang juga bekas Setiausaha Agung UMNO sekitar dekad 1980-an, adalah penggerak nasionalisme terawal di Selangor, malah terbabit dalam perjuangan kemerdekaan bersama Tunku Abdul Rahman Putra. “Ketika itu pimpinan UMNO di Selangor diketuai oleh Aziz Ishak, Abu Bakar Baginda, Mustapha Jabar, Hamzah Alang dan Tahir Majid,” beritahu Omar Sudi.

LAPORAN AUDIT DIHALUSI
KAEDAH SIASAT BAGI MENTERI


Laporan Ketua Audit Negara berhubung salah urus dana awam termasuk membuat perbelanjaan meragukan, memang menarik perhatian umum, apalagi ianya membabitkan kementerian atau menterinya. Kononnya, laporan berkenaan sudah mencukupi bagi BPR menyiasat siapa sahaja, termasuk menteri berkenaan. Misalnya, pembelian dua menara kren membabitkan perbelanjaan RM5.72 juta berbanding dengan harga pasaran ialah RM2.98 juta. Dan blah blah blah! Kalau kes di Kelang dengan lebih 30 pertuduhan boleh digugurkan, apa sangatlah dengan laporan audit yang membabitkan menteri. Setidak-tidaknya apabila sampai ke jabatan ehem ehem, maka ianya tiada kes. Wallahua’lam.

PRIMA tak ghairah dengan laporan media, apabila isu salah urus dana awam diungkit ketika bonus kakitangan awam dilaporkan tak termasuk dalam bajet 2008. Apalagi Ketua Audit Negara sudah melaksanakan tugasnya secara telus, tulus dan terus! Sebutlah mengenai ketua setiausaha (KSU) kementerian yang menanda tangani 11 kontrak bernilai antara RM7.99 juta hingga RM74.2 juta berkaitan projek di bawah kementeriannya, tetapi tiada surat penurunan kuasa menteri dikemukakan. Tak lama dulu kes salah urus dana bagi program rakyat termiskin (PPRT) juga heboh macam nak rak, tetapi bekas menteri tetap rileks. Biarlah! Versi jenaka Melayu ‘Si Luncai’ terjun dengan labu-labunya sudah lama tak dilegasikan, kerana labu tak popular lagi di kalangan masyarakat Melayu yang memilih ‘terjun’ bersama bas ekspresnya. Aduhai!

INFO SASTERA & BUDAYA

HARAPKAN DBP ATAU GAPENA
KARYA SASTERA HILANG KHALAYAK


Karya sastera Melayu akan beransur-ansur hilang khalayak, sekiranya berharap kepada usaha Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), mahupun Gabungan Penulis Nasional (Gapena) yang sekadar mencari glamour. DBP sudah menjadi tradisinya menwar-warkan di situlah berhimpun karya-karya hebat sang karyawan, sementara Gapena merasakan penulis-penulis besar lahir dari gerak kerjanya. Begitulah! Dengan tak mengharapkan DBP mahupun Gapena, penulis-penulis Melayu masih mampu menghasilkan karya mereka dengan tak memikirkan ‘ringgit dan sen’. Misalnya, di Selangor bekas wartawan Ismas Saring begitu prolifik menerbitkan karya-karyanya menerusi ‘Pernerbitan Wong Kam Pung’ (Orang Kampung).

Antologi puisi ‘Sing Kaya Ngene’ (Ya Beginilah) (1999) karya perseorangan Ismas Saring memuatkan 127 sajak dengan kata pengantarnya oleh Profesor Dr Noriah Mohamed. Sementara antologi ‘Legasi, antologi puisi nusantara’ diberi kata pengantar oleh Dr Ibrahim Ghaffar. ‘Legasi, antologi puisi nusantara’ memuatkan sajak-sajak yang dihasilkan oleh penyair dari Malaysia, Indonesia, Singapura, Thailand dan Brunei. Keberanian Ismas Saring menerbitkan antologi merangkumi nusantara dalam memperkasa Bahasa Melayu, memang dialu-alukan oleh PRIMA setelah merasakan DBP mahupun Gapena sekadar mencari gah sendiri. Seperti diungkapkan oleh Ismas Saring menerusi sajaknya ‘Bangsaku Bernama Melayu’ (Legasi, antologi puisi nusanbtara; 2006):

Bangsaku yang bernama Melayu
lepas perang dunia kedua
hidup susah & menderita
diasuh penjajah jangan kerja
diberi ufti, duduk goyang kaki
kononnya…bangsaku
unggul & bermaruah tinggi.

KOMENTAR
bersama Pak Parjo

PERIHAL KETUA SEGALA PENGAWAL,
IPTA DISIFATKAN BAGAI ‘SYURGA PENCURI’

Syahdan dilaporkan dalam akhbar berbahasa Inggeris kelmarin (10 September 2007) mengenai salah sebuah IPTA disifatkan oleh pihak audit Negara sebagai ‘syurga pencuri’ berikutan lesapnya aset bernilai RM900 ribu bagi tempoh 2004-2006. Aset berkenaan dikatakan termasuklah komputer, CD dan seumpamanya, tetapi yang dipersalahkan ialah ‘pengawal keselamatan’. Kasihan! Dalam firasat orang yang tak dikira intelektual seperti fakir, ‘pengawal keselamatan’ bukanlah mahir sangat mahu gunakan komputer atau CD; apalagi kalau dijual sudah tentu mudah pula dikesan. Sebaik-baiknya kena tanyalah kepada ‘ketua segala pengawal keselamatan’ akan keperihalan lesapnya asset yang dimiliki oleh pihak IPTA.

Sebermula akan Tun Hassan Temenggung seperti disebut dalam epik ‘Sejarah Melayu’ apabila anak-anak buahnya (iaitu kunco-kunco atau kroni-kroni) merungut kerana tak mencukupi perbelanjaan, maka disuruhnya rentang tali di kampung-kampung. Adapun tujuan merentang tali itu ialah untuk meluruskan jalan-jalan dan lorong-lorong di dalam kampong. Pemilik rumah (atau sekarang premis perniagaan) yang terkena tali yang direntang itu, sekiranya bangunan terbabit tak mahu dirobohkan, makanya dihulurlah emas kepada anak-anak buah Tun Hassan Temenggung. Setelah menerima emas tali pun digulung semula, justeru anak-anak buah Tun Hassan Temenggung tak lagi merungut kerana perbelanjaan tak mencukupi. Alahai!

Maknanya, Tun Hassan Temenggung memberi restu kepada anak-anak buahnya merentang tali untuk meluruskan jalan-jalan di kampong, asal sahaja mereka merungut tak cukup perbelanjaan. Apabila ‘ketua segala pengawal keselamatan’ diberi restu bagi menjaga asset IPTA, justeru apabila berlaku insiden lesap aset yang dikawalnya, maka kesalahan tersebut diletakkan di bahu ‘pengawal keselamatan’. Adapun yang tahu serba sedikit fasal ‘ketua segala pengawal keselamatan’ sejak naratif Tun Hassan Temenggong merentang tali pada period pentadbiran ayahnya, Tun Mutahir menjadi Bendahara Seri Maharaja, ialah:












HIDUP BAHASA MELAYU!

Tuesday, September 11, 2007

JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)

(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)


CABARAN KEPADA UMAT ISLAM
RAMADAN UJIAN KEPADA PERPADUAN


Assalamualikum,


PRIMA megambil kesempatan mengucapkan selamat menyambut Ramadan kepada semua umat Islam, di samping menjalankan ibadat puasa dengan penuh ketakwaan dan tawaduk kepada Allah SWT. Memang di Malaysia umat Islam mampu menjalankan ibadat puasa dalam suasana aman sejahtera, berbanding dengan fenomena yang dihadapi oleh rakyat Iraq dan Afghanistan selepas diceroboh Amerika Syarikat sejak 2001. Begitu juga umat Islam di selatan Thailand dan Filipina yang berhadapan dengan tekanan mental dan fizikal dalam perjuangan mereka mempertahankan maruah umat Islam, di samping campur tangan luar yang melabel mereka sebagai ‘militan Islam’.


Justeru langkah Britain di bawah pimpinan Perdana Menteri Gordon Brown mengubah polisi luar negaranya yang tak mahu terikat dengan kepongahan Geroger W. Bush dari Amerika Syarikat terutama isu ketenteraan di Iraq adalah dialu-alukan. Brown dikatakan mahu mengundurkan tenteranya dari Iraq adalah selaras dengan kehendak hak asasi di seluruh dunia termasuk aktivis di Amerik Syarikat sendiri. Rakyat AS yang berfikiran waras selama ini sudah menggerakkan penentangan terhadap polisi Bush yang memusuhi umat Islam sama seperti dilakukan kepada oleh AS kepada komunisme sekitar dekad 1950-an, 1960-an dan 1970-an dulu. Ramadan ini sebaik-baiknya dijadikan titik tolak untuk perpaduan umat Islam menentang kepongahan musuh Islam.


Apabila gerakan Islam berbangga dengan kejayaan di Afghanistan mahupun di Bosnia-Hezegovina menghapuskan kepongahan komunisme, mereka hampir terlupa mengenai jerat AS yang memperalat sistem demokrasi dalam menjaring kealpaan umat Islam dengan dendam kesumat selepas kemenangan Sallehuddin al-Ayubi dalam ‘perang salib’ terakhir. Begitulah ketika menonton filem di Astro CinemaX (9 September 2007) yang berjudul ‘Kingdom of Heaven’, agak menusuk apabila watak Saladin (Sallehuddin) menuturkan kepada pemimpin Jurusselem: “Aku Sallehuddin bukannya pemimpin Kristian yang membalas dendam terhadap mangsanya, sebab itu aku bebaskan kamu semua, lagipun pada aku Jurusselem ni tak ada apa-apa nilainya”. (Begitulah lebih kurang diterjemahkan dialog daripada bahasa Inggeris itu). Kalau Bush nak faham, fahamlah!


-Muluk.


INFO HAK ASASI MANUSIA


KERUGIAN RM 500 RIBU MPKT
BOLEH DIELAKKAN SECARA BERHEMAH


Kerugian Majlis Bandaran Kuala Terengganu dilaporkan melebihi RM500 ribu, berikutan rusuhan dua hari lalu (9 September 2007) boleh dielakkan sekiranya semua pihak mengambl sikap berhemah. Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz menelefon dari London menyebut, rusuhan tak akan berlaku sekiranya tak berlaku sebarang provokasi dari pihak berkuasa, berdasarkan senario di masa lalu. Apabila pihak berkuasa menggunakan pendekatan provokasi, di samping dilaporkan menggunakan ‘peluru hidup’ bagi menyuraikan perusuh-perusuh, seolah-olah ianya dilakukan secara terancang bagi menimbulkan ketegangan.


Menurut Kamal dengan membaca laporan dari jauh, beliau melahirkan rasa terkilan dengan pendekatan pihak berkuasa menolak sesi ceramah yang mahu diadakan oleh BERSIH dalam suasana aman. Kerajaan sendiri mengakui Malaysia dalam keadaan aman, malah pihak pasukan keselamatan sentiasa mengawal ketenteraman awam, sudah sewajarnya permit mengadakan ceramah dibenarkan. “Adalah menghairankan apabila pihak berkuasa sengaja melarang ceramah umum, ketika negara dalam keadaan aman tenteram dan bukan diganggu gugat hingga mengancam keselamatan negara,” menurut Kamal menelefon sekretariat PRIMA.


Kata Kamal lagi, pada period penjajah sekitar dekad 1950-an rapat umum dibenarkan pada pilihanraya 1955, sekalipun ketika itu negara di bawah pentadbiran darurat, malah beberapa kawasan diletakkan di bawah kategori ‘lokasi hitam’. Tak pernah pula berlaku rusuhan yang menggugat masyarakat sepanjang kempen pilihanraya 1955, disebabkan British tak membangkitkan sebarang provokasi semasa rapat umum dijalankan. Memang pihak berkuasa boleh menyalahkan perusuh-perusuh dengan alat propaganda yang berat sebelah, sebaliknya masyarakat bertamadun tahu hanya ‘pihak berkuasa’ sahaja yang mampu melakukan kekasaran, kekerasan dan pemerasan, kata Kamal.


LAGI PANDANGAN UMUM MENGENAI
AUTOBIOGRAFI ‘LILIN MEMBAKAR DIRI’


Bendahari UMNO Bahagian Kelang, Dato’ Azman Salleh memberitahu sudah menerima buku autobiografi ‘Analitikal Pimpinan Pemuda: Ahmad Badawi Abdullah Fahim: LILIN MEMBAKAR DIRI’. Katanya, beliau menerima sendiri dari Dato’ Yunus Rahmat dari pejabat Setiausaha Agung UMNO, di samping beliau (Yunus) mengakui beliau sekadar memberikan kerjasama sahaja. Justeru, tak timbul Yunus mengakui beliau yang terbabit dalam meyediakan teks asal buku berkenaan, menurut Azman ketika ditemui di sebuah restoran di Hulu Kelang, Sabtu lalu (8 September 2007). “Dato’ Yunus sendiri mengaku pada saya, beliau hanya memberikan kerjasama sahaja,” ujar Azman.


Menyentuh mengenai teks buku berkenaan, Azman memberitahu terdapat sedikit kesilapan mengenai status Jeneral (B) Ibrahim Ismail yang menjadi Naib Ketua Pemuda UMNO pertama bersama Tun Abdul Razak selaku Ketua Pemuda UMNO. Menurut Azman, kesilapan itu kecil sahaja iaitu Jeneral (B) Ibrahim sudah bergelar ‘Tun’, bukan lagi ‘Tan Sri’ seperti disebut dalam buku berkenaan. Mungkin sahaja buku ‘LILIN MEMBAKAR DIRI’ sudah dihasilkan lebih awal, malah tersimpan lama di bahagian penerbitan, justeru status ‘Tun’ yang sudah diterima oleh Jeneral (B) masih lagi disebut ‘Tan Sri’. Terima kasih kepada Azman, yang membuat pembetulan setelah beliau menghayati buku berkenaan secara teliti.


INFO SASTERA & BUDAYA


DEKLAMASI ‘MELAYU MUDAH LUPA’
DITANGGUH SELEPAS MUSIM BERPUASA


Deklamasi antologi puisi ‘Melayu Mudah Lupa’ yang dijangka diadakan lebih awal, terpaksa ditangguh sehingga selepas selesai umat Islam berpuasa dan menyambut Hari Raya Aidilfitri. Aktivis PRIMA, Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah yang juga bekas Timbalan Naib Canselor (HEP) UTM mengakui penangguhan itu memang berkaitan dengan insiden bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sedang menjalani rawatan pintasan koronori di IJN baru-baru ini. Beliau memberi penjelasan berikutan ramai-ramai aktivis PRIMA dan penyair yang terbabit menyumbanbgkan puisinya mahu tahu mengenai program seterusnya mengenai antologi sajak ‘Melayu Mudah Lupa’ itu.


Bekas Ketua Pengarah DBP, Dato’ A. Aziz Deraman yang menyumbangkan empat buah puisi dalam antologi berkenaan menerusi SMS bertanyakan sama ada ianya akan diadakan majlis pelancaran atau tidak. Menurut Dr Mansor, antologi ‘Melayu Mudah Lupa’ mula berada di pasaran sejak 24 Ogos 2007, justeru kesibukan rakyat Malaysia menyambut 50 tahun merdeka pada 31 Ogos 2007, menyebabkan majlis berkenaan ditangguhkan. Kebetulan pula dua orang kuat PRIMA bertolak di luar negeri iaitu Dato’ Kamal Amir ke London pada 28 Ogos (dijangka balik pada 15 September 2007) dan Yahaya Ismail ke Jakarta pada 30 Ogos (balik pada 9 September 2007) menyebabkan ianya terpaksa ditangguh kepada tarikh yang lebih sesuai.


“Apalagi berikutan Tun Dr Mahathir menjalani pembedahan pintasan koronori pda 4 September, kita terpaksa mencari tarikh paling sesuai,” beritahu Dr Mansor. Memang tak dinafikan di peringkat awal, pihak PRIMA mengharapkan Tun Dr M boleh ikut serta dalam majlis yang diatur, disebabkan antologi berkenaan dihasilkan adalah berdasarkan aspirasi dari sajak beliau ‘Melayu Mudah Lupa’. Memandangkan tahap kesihatan Tun Dr M memerlukan rihat yang panjang, PRIMA tetap akan meneruskan majlis pelancaran dan deklamasi mengikut masa yang sesuai. Bagaimanapun PRIMA tetap menghargai Tun Dr M yang memberi aspirasi hingga antologi berkenaan dapat dihasilkan, kata Dr Mansor.


KOMENTAR
bersama Pak Parjo


KEPERIHALAN LAPORAN AUDIT NEGARA
HAIRANNYA MENTERI PERSOAL KEMENTERIAN


Laporan audit negara memang mengkagumkan, apabila mempersoal banyak perbelanjaan tak munasabah. Tahniah kepada Dato’ Ambrin Buang! Malah teringatlah pula keberanian Dato’ Ambrin seolah-olah Tan Sri Ahmad Noordin mahupun Dato’ Ishak Tadin apabila mengendalikan audit. Tetapi Tan Sri Ahmad Noordin dan Dato’ Ishak Tadin dikatakan tak lama pula menduduki kerusi panas di audit negara. Tak tahulah dengan Dato’ Ambrin yang sedang teruji, diuji atau ditaji pula akhirnya. Masya Allah! Bukanlah mudah bagi memperoleh khidmat pegawai-pegawai dedikasi yang terhebat seperti Tan Sri Ahmad Noordin, Dato’ Ishak, Dato’ Hassan Ibrahim atau Dato’ Ambrin yang dilabel sebagai ‘trouble shooter’ oleh pihak yang tak senang dengan keberaniannya.


Ironinya, tak semena-mena pula menteri yang lain merungut fasal kementerian menteri lain, seperti dilapor ‘buletin utama’ TV3 semalam (10 September 2007, jam 8.00 malam). Sekalipun item barang yang harga biasanya RM40, tetapi dibeli oleh IKBN (di bawah kementerian belia dan sukan) dengan harga lebih RM200, tetapi tak sepatutnya yang bersuara itu Dato’ Seri Rafidah Aziz. Beliau sewajarnya mengawasi kementerian beliau, bukannya mempersoal kementerian di bawah Dato’ Azalina, kerana ianya bolehlah pula ditafsirkan ‘terkilat ikan di air, dah dikenal jantan betinanya’. Seperti disebut dalam epik ‘Sejarah Melayu’ mengenai insiden perlantikan Tun Mutahir menjadi bendahara ialah berikutan ‘bonda’ Sultan Mahmud memberi isyarat dari belakang pintu.


Terlalulah banyak ibarat tamsil dalam epik ‘Sejarah Melayu’ itu, kalau mahu dijadikan kefahaman: Yang baik jadikan tauladan; yang buruk jadikan sempadan. Entahlah! Tentu boleh dihayati juga bagaimana Tun Fatimah (anak Tun Mutahir) membuang kandungan asal sahaja hamil, menyebabkan Sultan Mahmud bermuram durja. Bagaimanapun setelah Sultan Mahmud bersetuju melantik anak yang bakal dilahirkan Tun Fatimah menjadi ‘raja muda’, barulah beliau (Tun Fatimah) tak membuang kandungannya. Makanya akan keperihalan yang berlaku dalam epik ‘Sejarah Melayu’ itu sentiasalah ianya menjadi ilham kepada:











HIDUP BAHASA MELAYU.

Sunday, September 9, 2007

JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)

(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG:


DALAM KEMELUT DI JAKARTA
YAHAYA DUTA SASTERA TAK RASMI
Assalamualaikum,


Pagi lagi kritikawan Yahaya Ismail (Pak Ya) menelefon (9 September 2007) sebaik sahaja sampai di tanah air dari Jakarta, setelah berada di negara jiran sejak 30 September 2007. Petang ini Pak Ya bertolak pula ke Alor Setar bagi memenuhi aktiviti yang sudah diatur, sekalipun banyak pihak merasakan ‘orang tua’ sekadar dilabel ‘penunggu masjid’ bagi rutin hidup mereka. Dalam usia melewati 60-an aktiviti masyarakat masih sesuai diteruskan oleh karyawan yang sentiasa berusaha mencambah kematangan minda, kerana orang tua-tua Melayu sering mengingatkan ‘akal tak sekali tiba, fikiran tak sekali datang’. Begitulah! Justeru Pak Ya masih ‘tahan lasak’ dalam usianya menjangkau 65 tahun.


Dalam keadaan berkemelut ketika Pak Ya menjejakkan kaki di kota Jakarta, berikutan insiden jurulatih karate Indonesia dibelasah polis di Malaysia, masyarakat umum di negara itu memandang serong kepada rakyat Malaysia yang berkunjung. Imej PDRM dilihat sengaja mencari masalah kepada mereka, apalagi isu Altantuya Shaariibu masih dianggap berkaitan dengan PDRM. Justeru ketika cemuhan dilimparkan kepada PDRM dan kerajaan Malaysia, Pak Ya mengambil sikap ‘duta sastera’ secara tak rasmi terpaksa mempertahankan imej negara. Sekalipun mengakui insiden jurulatih karate dibelasah sebagai kesilapan individu bukannya jabatan PDRM, tetapi mereka tetap melabelkan Malaysia terlalu pongah dengan kuasa kepolisan.

“Insiden jurulatih karate Indonesia dibelasah atau pembantu rumah didera majikan ketika berkhidmat di Malaysia adalah perbuatan individu bukan mewakili majoriti rakyat Malaysia,” beritahu Pak Ya kepada kalangan sasterawan yang turut mencemuh. Pak Ya mengingatkan mereka mengenai sumbangan kemanusiaan kerajaan Malaysia yang sukar diterjemahkan melalui kata-kata apabila Indonesia mengalami mala petaka tsunami dan letusan gunung berapi. Maknanya, Pak Ya memberi penjelasan sebagai ‘duta sastera’ tak rasmi dalam menangani isu kekemelutan, berikutan tindak balas rakyat Indonesia terhadap rasa tak puas hati dengan layanan diterima ketika berada di Malaysia.


-Muluk.



INFO HAK ASASI MANUSIA:


PAS KECAM TINDAKAN KERAS
MANGSA KRITIKAL DI HOSPITAL



Pengarang akhbar HARAKAH, Ahmad Lutfi Othman kesal dengan tindakan keras polis ketika menyuraikan siri ceramah badan pemantau suruhanjaya pilihanarya yang dikenali BERSIH di Kuala Terengganu semalam (8 September 2007). Katanya, tindakan polis menggunakan peluru hidup dalam menyurai ceramah berkenaan menyebabkan seorang seorang individu yang menghadiri ceramah berkenaan cedera. Menurut Ahmad Lutfi lagi, mangsa yang cedera dalam keadaan kritikal, sekarang dirawat di bilik bedah Hospital Kuala Terengganu. “PAS mengecam keras tindakan polis terhadap individu yang tak bersenjata,” beritahu Ahmad Lutfi.


Sementara itu PRIMA berpendapat, tindakan kekerasan bukanlah membantu menyelesai masalah, sebaliknya menimbulkan banyak kontroversi terutama imej PDRM yang ianya berpegang kepada slogan ‘berkhidmat’. Majlis ceramah sekadar sesi penerangan dalam menentang ‘perhambaan minda’, bukan gerakan militan yang perlu ditentang dengan kekerasan bersenjata. Misalnya, imej polis yang terjejas teruk di Indonesia berikutan insiden kurang bermoral apabila jurulatih karate negara itu dibelasah polis di sini, wakil PRIMA Yahaya Ismail yang kebetulan menghadiri seminar di sana turut membantu negara memberikan penjelasan bagi mempertahankan imej polis. Justeru setiap warga negara juga bertanggungjawab melindungi imej polis apabila di luar negeri, tak mengira ianya pembangkang mahupun badan NGO.


(Laporan terakhir mangsa meninggal dunia dan polis menahan 23 perusuh-Warta Perdana, TV3 jam 8.00 pm, 9 September 2007)



TIADA BONUS KAKITANGAN AWAM
MENTERI MENGAKUI DANA TERHAD


Bajet 2008 yang dibentangkan di Parlimen pada Jumaat (7 September 2007) tak memberi peruntukan bonus kepada kakitangan awam. Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop pula mengakui kerajaan mempunya dana terhad, apalagi ianya perlu diagihkan untuk projek yang memberi impak maksimum kepada rakyat seperti projek di pendalaman, membekalkan air di kampung atau menangani kadar kemiskinan bandar. Alasan yang diberi ialah kenaikan gaji bagi tempoh enam bulan mulai 1 Julai 2007 adalah menyamai dua hingga empat bulan bonus. Maknanya, kalau sudah diberi kenaikan gaji tak wajarlah pula menerima bonus. Aduhai!


Bonus kepada kakitangan awam adalah hak mereka, sama seperti pemberian COLA bagi meningkatkan mutu perkhidmatan mereka. Mungkin sahaja kerenah birokrasi di jabatan tak sewajarnya dikaitkan dengan pemberian bonus tahunan, kerana kenaikan gaji juga masih sukar membendung korupsi. Pemberian bonus juga tak mampu membendung kerenah birokrasi di jabatan-jabatan, tetapi hak mereka sebagai pekerja tak bolehlah dipersia-siakan. Kadangkala mereka juga sudah merangka strategi perbelanjaan setiap tahun apabila menjangka menerima bonus. Masalah yang perlu diberi perhatian ialah kelancaran pentadbiran awam di tangan mereka, di samping yang sering berurusan dengan mereka adalah rakyat jelata. Faham-fahamlah!



INFO SASTERA & BUDAYA:


MAJLIS MENYAMBUT PUASA
PENULIS DI RUMAH GAPENA

Penggiat teater Ladin Nuawi melaporkan Gabungan Penulis Nasional (Gapena) akan menganjurkan majlis menyambut puasa di Rumah Gapena, 11 September 2007. Orang ramai dijemput hadir tak mengira ianya kerabat penulis mahupun bukan kerabat penulis. Katanya, langkah menganjurkan majlis menyambut puasa itu bagi menggerakkan Gapena lebih erat dengan orang ramai sekalipun bukan dari kalangan kerabat penulis sendiri. PRIMA mengalu-alukan usaha Gapena sekalipun majlis seumpama itu sekadar aktiviti kecil-kecilan yang mampu dilaksanakan oleh penduduk-penduduk kampung yang tinggal jauh di pendalaman.


PENULISAN BUKU SEMI SEJARAH
PRIMA AKAN TERUS MAIN PERANAN


Penulisan buku semi sejarah atau autobiografi kurang diberi perhatian, disebabkan ianya tak dianggap komersil. Justeru PRIMA merasakan penulisan buku sejarah sama ada ianya berbentuk autobiografi mahupun membabitkan tokoh-tokoh Melayu wajar diperluaskan. Setidak-tidaknya penulisan berkenaan mampu memupuk minat masyarakat mengenali tokoh-tokoh Melayu dalam perjuangan bangsannya. Sebelum ini memang Allahyarham Bachtiar Djamily pernah menghasilkan autobiografi ‘Tan Sri A. Samad Ismail’ dan ‘Ishak Haji Muhammad’, tetapi pengedarannya tak berapa meluas disebabkan sukar mendapat pasaran.


Allahyarham Zakry Abadi juga pernah menghasilkan autobiografi mengenai perjuangan Gapena sebagai ormas dalam gerakan bahasa, tetapi seolah-olah dianggap sepi oleh ahli-ahli Gapena sendiri. Justeru PRIMA mengambil pendekatan tak mementingkan pasaran, tetapi cukuplah ianya disimpan di Perpustakaan Negara sebagai khazanah bangsa. Dalam teknologi digital sekarang misalnya, buku-buku terbabit tak perlu dicetak mengikut kehendak pasaran, tetapi memadai diterbitkan seperti keperihalan menghasilkan antologi sajak stensilan sekitar dekad 1970-an dan 1980-an dulu. Teknologi digital boleh dihasil dalam kuantiti terhad, di samping kos yang kecil.


Bekas Timbalan Naib Canselor (HEP) UTM Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah mengakui buku-buku semi sejarah dan autobiografi seharusnya diberi perhatian oleh semua pihak, terutama disalurkan kepada pelajar-pelajar sama ada di institusi pengajian tinggi mahu di peringkat menengah. Katanya, kalau bergantung kepada kaca mata orientalis barat dalam penulisan buku-buku sejarah tanah air, maknanya membiarkan ‘perhambaan minda’ kepada pelajar-pelajar hingga menerima naratif pembukaan Kuala Lumpur dilakukan oleh Yap Ah Loy. “Kita mahukan jatidiri Melayu dengan penulisan buku sejarah dibuat oleh peneliti sejarah anak tempatan,” katanya.




KOMENTAR
bersama Pak Parjo




MELAYU TAK LAGI BERANI
TAFSIRAN YANG MAKIN BERBEZA



Dewan perjumpaan di Wisma Sejarah, Jalan Tun Razak 5 September 2007 lalu gamat dengan gelak ketawa ketika bekas Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Sanusi Junid menyampaikan ceramah dalam ‘Siri Bicara Melayu’. Bagaimanapun tafsiran semkain berbeza apabila beliau menganggap ‘orang Melayu’ tak lagi berani, tetapi yang dirumus ialah ‘orang UMNO’. Kata Sanusi, beliau rindukan keberanian ‘Azman Attar’ dan ‘Mat Padang’ sekitar dekad 1970-an dan 1980-an membawa suara Melayu yang berani sama ada berhadapan dengan pimpinan Melayu (UMNO) mahupun bukan Melayu (komponen BN), di samping tak menghiraukan risikonya.



Tak ramai yang mengenali ‘Mat Padang’, tetapi sekitar dekad 1980-an dan 1990-an ramai juga yang mengenai ‘Azman Attar’; apalagi beliau pernah menjadi senator di samping Ketua UMNO Bahagian Batu. Tafsiran yang berbeza oleh Sanusi ialah ‘orang Melayu’ disamakan dengan ‘orang UMNO’, kerana orang Melayu di luar UMNO masih lantang bersuara kerana mereka tak mengharapkan tender, kontrak mahupun projek. Misalnya, orang Melayu seperti Dato’ Seri Anwar Ibrahim,Mahfuz Omar, Dato’ Husam Musa, Dato’ Ruhanie Ahmad, Dato’ Ibrahim Ali dan beberapa lagi masih lantang bersuara.



Dalam UMNO pun kita melihat Dato’ Muhammad Aziz, Said Yusuff, Bung Raden Mokhtar atau Dato’ Badaruddin Amiruldin masih garang ketika berbahas di Parlimen. Tak tahulah berani yang bagaimana mahu dicari di kalangan orang Melayu masakini, kerana period keberanian Hang Jebat, Megat Seri Rama atau Si Bongkok Tanjung Puteri tak sesuai lagi sekarang. ‘Mat Padang’ yang diungkap oleh Sanusi pula memanglah keberanian Melayu sekitar dekad 1960-an, tetapi kurang dikenali oleh anak muda Melayu sendiri, kerana ‘Mat Padang’ berketurunan Minangkabau itu tahu sangatlah kepada:







(Gambar dengan ihsan MSO)





HIDUP BAHASA MELAYU!

Saturday, September 8, 2007

JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)

(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)


DARI LAMAN BLOG:


FOKUS KEPADA ISU SEMASA
PENULIS MUDA TAK MAHU KONGSI IDEA


Assalamualaikum,


Dalam usia menjangkau 91 tahun, Cikgu Mohd Noor Jion masih sihat sekalipun tak segagah tenaga mudanya apabila dipaksa Inggeris menyertai ‘Pasukan Sukarela’ pada tahun 1940, berikutan Jepun semakin mara menyerang China dan Korea. Inggeris pula mengerahkan guru-guru Melayu menyertai ‘Pasukan Sukarela’ bagi diserapkan ke dalam Angkatan Bersenjata apabila Jepun meneruskan ekspedisi mereka ke selatan. Cikgu Mohd Noor enggan menyertai ‘Pasukan Sukarela’, malah bersedia dihukum penjara kerana ingkar dengan perintah jabatan. Tetapi tak ramai penulis, mahupun wartawan yang konon hebat-hebat belaka mahu berkongsi pengalaman dengan Cikgu Mohd Noor yang sekarang menetap di Simpang Tiga, Batu 6 ¾ Gombak.

Kebanyakan penulis muda terlalu memberi fokus kepada isu semasa, menyebabkan mereka tak sempat berkongsi idea dengan mereka yang dikategorikan ‘warga emas’ seperti Cikgu Mohd Noor. Beliau pernah dihantar mengajar di kawasan pendalaman di Jerantut, malah tinggal serumah dengan Cikgu Ahmad Kotot (novelis Pahang terawal dengan karyanya ‘Hikayat Percintaasn Kasih Kemudaan’); apalagi Cikgu Ahmad Kotot pula dikenal’ ‘lebih lama menikmati pencen daripada gaji perkhidmatan’ – maknanya beliau meninggal dunia ketika berusia hampir 100 tahun. Sebaliknya Cikgu Mohd Noor tak menikmati pencen sebagai guru, kerana beliau meletakkan jawatan setelah tak mahu berkompromi dengan Inggeris untuk menyertai ‘Pasukan Sukarela’.


“Inggeris tubuhkan ‘Pasukan Sukarela’ untuk berperang dengan Jepun, di samping latihan ketenteraan dalam tempoh sebulan. Maknanya, Inggeris mahu orang Melayu ‘mati katak’ kerana yang berperang melawan tentera Jepun, bukannya tentera Melayu tetapi sekadar ‘Pasukan Sukarela’,” beritahu Cikgu Mohd Noor. Memang beliau gembira asal sahaja saya berkunjung ke rumahnya, malah beliau sudah membaca autobiografi yang saya hasilkan seperti ‘Tan Sri Abdul Samad Idris’, ‘Tun Abdul Razak’, ‘Dato’ Onn Jaafar’ dan ‘Dato’ Ahmad Badawi’. Cikgu Mohd Noor yang berasal dari Chenor, Pahang pernah berkhidmat dengan akhbar ‘Majlis’ sehinga ditutup dekad 1950-an, memang banyak menyimpan khazanah sejarah lisan yang belum digali oleh anak-anak muda.


-Muluk.

INFO HAK ASASI MANUSIA:

BAJET 2008 DIBENTANG DI PARLIMEN
PAK LAH PRIHATIN DENGAN MODAL INSAN


Bajet 2008 yang dibentangkan di Parlimen semalam (7 September 2007), memperlihat Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi prihatin dengan kepentingan modal insan. PRIMA mengalu-alukan langkah kerajaan memansuhkan ‘yuran persekolahan’, di samping ‘buku teks’ percuma kepada pelajar-pelajar. Sekalipun buku teks bukanlah membebankan ibu bapa sebelum ini, kerana isu yang dibangkitkan ialah ‘buku kerja’, tetapi langkah Pak Lah memberi percuma buku teks memanglah bagus. Apalagi ‘buku teks’ yang disalurkan kepada pelajar-pelajar tak mampu sebelum ini, dikatakan berlambak-lambak dalam simpanan pihak sekolah.


Ibu bapa berasa rimas, lemas dan cemas dengan isu ‘buku kerja’ sahaja, apalagi setiap tahun sentiasa sahaja bertukar, di samping pembekal ‘buku kerja’ akan kerap melobi di sekolah-sekolah. ‘Yuran sekolah’ juga tak membebankan ibu bapa, tetapi aktiviti sekolah biasanya memerlukan sumber kewangan yang bertali arus. Misalnya, dilaporkan hari ini (8 September 2007), sebuah sekolah menengah di pinggir ibu kota mengadakan jamuan di Hotel Putra, PWTC bermula jam 12 tengahar, dengan mengenakan bayaran kepada pelajar-pelajar RM40.00 seorang. Sebelum itu ‘jamuan kelas’ juga diadakan di sebuah restoran (pelajar yang sama) yang dikenakan RM10.00 seorang.

Memang ianya diadakan setahun sekali sahaja (sama juga dengan yuran persekolahan ialah setahun sekali), tetapi pelajar yang dibawa ke Hotel Putra itu adalah ‘ahli-ahli Pusat Sumber’ di sekolah berkenaan. Mereka berkhidmat di perpustakaan sekolah secara sukarela, dengan hadir di sebelah pagi bagi pelajar sesi petang, begitu juga sebaliknya dengan makan tengahari adalah urusan sendiri. Setelah berkhidmat secara sukarela selama setahun, apabila sekolah mahu mengadakan jamuan kepada pelajar-pelajar terbabit di hotel besar, mereka pula dikenakan bayaran RM40.00 seorang. Maknanya yang membebankan ibu bapa selama ini bukan ‘yuran sekolah’ mahupun ‘buku teks’, tetapi ‘benda-benda sampingan’ yang dibuat demi glori terancang pihak sekolah sendiri. Wallahua’alam!


KETAHANAN SEMANGAT TUN DR M
DOKTOR MERAWAT KAGUM FIZIKALNYA

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan semakin stabil selepas menjalani pembedahan pintasan koronari di IJN pada 4 September 2007 lalu, malah doktor yang merawat juga dikatakan dengan ketahanan fizikal beliau yang menjangkau usia 82 tahun. Bacaan Yasin dan doa selamat yang dihadiri kira-kira 400 orang jemaah di Masjid Wilayah Persekutuan kelmarin (7 September 2007), memang mengharapkan kesihatan Tun Dr. M segera pulih. Majlis berkenaan dianjurkan oleh anak-anak beliau Datin Paduka Marina, Dato’ Mukhriz dan Dato’ Mukhzani, disambut baik oleh jemaah termasuk juga rakan-rakan yang lain.


Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz yang sekarang masih berada di London menyampaikan salam kepada keluarga Tun Dr M, di samping berdoa semoga kesihatan Tun Dr. M akn segara pulih. Tun Dr. M dilaporkan sudah menjalani rawatan fisiotrafi pernafasan, sekaliun menurut anaknya Dato’ Mukhzani beliau terkeliru apabila sedar selepas pembedahan dengan bertanya sama ada sudah dilakukan rawatan ataupun belum. “Kita tahu Tun (Dr. M) mempunyai ketahanan semangat yang kuat, sebab itu PRIMA percaya kesihatan beliau akan segera pulih,” beritahu Kamal menerusi telefon dari London.



INFO SASTERA & BUDAYA:

BUKU ‘LILIN MEMBAKAR DIRI’
MENARIK MINAT ORANG TAMBUSAI


Peminat sejarah dari Tambusai, di kabupaten Kampar, propinsi Riau dikatakan ingin bertemu dengan pengarang buku ‘Analitikal Pimpinan Pemuda: Ahmad Badawi Abdullah Fahim: LILIN MEMBAKAR DIRI’, Dharmala N.S. menerusi penerbitnya Thinker’s Library. Dalam buku berkenaan hanya disebut sepintas lalu mengenai peranan Tuanku Imam Tambusai (yang kononnya tak disebut ‘imam’) berkaitan dengan pembabitan Tuan Guru Haji Ahmad Fuad (iaitu menantu Tuan Guru Haji Salleh al-Masri) dalam siri perjuangan ulama di Bukit Mertajam dan Kepala Batas.


Tuan Guru Haji Salleh al-Masri pengasas madrasah yang dikendalikan oleh Haji Ahmad Fuad dijadikan markaz PAS pertama, ialah cicit kepada Tuanku Imam Tambusai. Tak siapapun memberi gelaran ‘imam’ kepada Tuanku Tambusai, kecuali Dharmala N.S. yang mengangkat ketokohan ahli fiqah berkenaan kerana ianya terbabit bersama Tuanku Imam Bonjol dan Tuanku Imam Rao ketika menentang Belanda di Sumatera Tengah pada dekad 1830-an. Sebelum bertolak ke Pasir Pengaraian di Tambusai pada 2003, Dharmala N.S. juga mengangkat tokoh berkenaan menerusi penulisannya, sekalipun di Negeri Sembilan sendiri tak siapa mengenali ‘Tuanku Tambusai’.



Tuanku Tambusai diproklamir oleh Presiden Suharto sebagai ‘Pahlawan Indonesia’ pada dekad 1990-an (kerana kepentingan politiknya), sekalipun meninggal dunia di Seremban, Negeri Sembilan pada 1881. Justeru Dharmala bersama Allahyarham Tan Sri Abdul Samad Idris, mengangkat ketokohan Tuanku Tambusai (dengan menamakan Tuanku Imam Tambusai) selaras dengan perjuangan Tuanku Imam Bonjol yang ditawan Belanda, kemudiannya dibuang dan meninggal dunia di Sulawesi. Bukan sahaja peminat sejarah di Riau ingin mengenali Dharmala N.S. (yang sentisa di belakang tabir) lebih dekat, malah pimpinan POLO di Selatan Thailand dan MORO di Filipina juga tercari-cari rakan terdekat Tan Sri Abdul Samad Idris yang pernah memimpin NASRUL HAQ sekitar penghujung dekad 1970-an dan awal 1980-an dulu.


KOMENTAR
bersama Pak Parjo


APABILA HAKIM DISIASAT BPR
MACAM INSIDEN "SEJARAH MELAYU"


Astaga! Sebak juga rasanya apabila membaca laporan akhbar hari ini (8 September 2007) mengenai ‘hakim syarie’ diremah empat hari bagi membolehkan BPR membuat siasatan terperinci. Hakim berkenaan berusia, 53 tahun ditahan di pejabatnya di Ipoh jam 3.30 petang (7 September 2007), membabitkan kes GRO dan poligami. Hari Jumaat pula le gamaknya, hakim berkenaan ditahan! Tak tahulah sejauh mana pembabitan hakim itu dalam kes yang menyebabkan beliau ditahan oleh BPR, kerana ianya masih lagi dalam siasatan terperinci. Kononnya! Maka teringatlah kita akan insiden dalam epik ‘Sejarah Melayu’ mengenai anak pembesar Melaka diusir oleh guru agama kerana sukar menyebut perkataan-perkataan Arab.


Bagi anak pembesar Melaka berkenaan, perkataan-perkataan Arab bukanlah termasuk dalam kategori ‘ilmu agama’. Lantas dia meminta tuan guru (berbangsa Arab) menyebut perkataan-perkataan Melayu seperti ‘kunyit’ (disebutnya kusit), ‘nyiru’ (disebutnya niru) dan beberapa lagi seperti termaklum dalam epik ‘Sejarah Melayu’ itu. Justeru marahlah guru agama berbangsa Arab terbabit, apabila menganggap anak pembesar Melayu yang belajar daripadanya itu mahu mempersendakan dirinya. Makanya, tentulah Bahasa Arab sekadar ‘ilmu bahasa’ bukannya ‘ilmu agama’, maka demikianlah ‘hakim syarie’ yang disiasat BPR sekadar ‘Melayu’ bukannya mewakili ‘hakim-hakim Islam’.

Terpulanglah kepada keputusan BPR dalam siasatannya, kerana ‘hakim’ yang sentiasa menjalankan syiar Islam tak dipengaruhi anasir-anasir korupsi. Apalagi dalam adat istiadat Melayu juga disebut fasal empat kategorinya iaitu ‘adat yang teradat’, ‘adat yang diadatkan’, ‘adat sebenar-benar adat’ dan ‘adat istiadat’. Setiap kategori mempunyai perbezaan yang ketara samalah seperti disebutkan ‘hakim yang terhakim’, ‘hakim yang dihakimkan’, ‘hakim sebenar-benar hakim’ dan ‘hakim berjawatan’ sahaja menurut fakta yang sedang dikategorikan pula oleh:






HIDUP BAHASA MELAYU!