Sunday, January 6, 2008

JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)

(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)


DARI LAMAN BLOG:


LAPORAN BAIK BELAKA UNTUK PM
MENDORONG ‘SOKONG MEMBAWA REBAH’


Assalamualaikum,


Petang ini (5 Januari 2008) ketika singgah di sebuah premis kedai di Bagan Datoh seorang peniaga Cina merungut mengalami kemerosotan perniagaan, akibat harga barang tak menentu. Bukan sahaja pengguna menghadapi dilema kenaikan harga barang, malah peniaga runcit turut mengalami ‘untung rugi’ tak menentu dalam urusniaga mereka. Justeru si peniaga spontan menyebut: “Kalau sekarang election, saya satu orang sudah tentu tak pangkah BN.” Maknanya, sebelum ini peniaga terbabit memang pengundi setia BN; apalagi Parlimen Bagan Datoh memang kubu kuat UMNO sejak pilihanraya 1955 yang sebelumnya dikenali Hilir Perak.


Di kawasan perkampungan Sungai Haji Muhammad, beberapa orang pekebun kecil mengakui harga kelapa sawit memuaskan dengan sejumlah dua tan boleh mencecah lebih RM1,000 dalam tempoh 28 hari (untuk dua kali cebak). Begitulah! Bagi nelayan pantai pula harga borong satu kilogram ketam kepada peraih ialah RM15, justeru mereka boleh menerima RM60 bagi tempoh mengumpulkan tiga hari (iaitu yang menggunakan kaedah mencangkuk); atau kira-kira RM20 sehari. Sebaliknya bertanyalah pekebun-pekebun kecil kepada saya: “Bagaimana minyak masak boleh berkurangan, kalau bekalan kelapa sawit sentiasa cukup daripada pekebun-pekebun kecil?”. Entahlah!


Memang saya tak pernah bermalam apabila balik ke Bagan Datoh, kerana biasanya bertolak dari Kuala Lumpur jam 2.30 petang, saya akan balik semula jam 10.00 malam. Sebaik sahaja sampai di rumah kira-kira 2.00 pagi, akan memulakan pula mengisi laman blog. Sepanjang perjalanan ke Bagan Datoh, memang singgah pula di gerai-gerai sama ada di Kuala Selangor, Sekincan mahupun di Sungai Besar untuk berehat sementara kerana dalam usia mencecah kategori ‘warga emas’ perlukan banyak berehat juga. Tak hairanlah sepanjang perjalanan rata-rata rungutan yang didengar berbeza dengan laporan media mengenai kegembiraan, kegirangan dan keceriaan orang ramai dengan pencapaian ekonomi yang disebut kerajaan.


Tak tahulah laporan tersebut mempunyai persepsi macam ‘sokong membawa rebah’ atau sekadar ‘mahu menyedapkan hati’ pimpinan negara terutama Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi. Malah sama juga seperti insiden kunjungan Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Mohd Khir Toyo ke Taman Seri Gombak pada 3 Januari 2008 lalu khabarnya, sehari sebelum ketibaan ketua kerajaan negeri Selangor itu tak semena-mena jalan ke Dewan Beringin diturap minyak tar. Maknanya kunjungan Menteri Besar perlu dilestarikan dengan kecemerlangan, kegemilangan dan keterbilangan, bagi membuktikan rakyat tak pernah merungut dengan fenomena di persekitaran mereka. Aduhai!

-Pak Dharma.

INFO HAK ASASI MANUSIA :


FENOMENA ‘API DALAM SEKAM’
JANGAN BIARKAN ‘MELAYU BANGSAT’


Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz mengingatkan pimpinan negara tak membiarkan fenomena ‘api dalam sekam’ menyebabkan orang Melayu seolah-olah menjadi ‘bangsat’ di negara mereka sendiri. Ketika menghubungi sekretariat PRIMA petang ini (5 Januari 2008), Dato’ Kamal Amir melahirkan keberangan berikutan insiden pergaduhan di utara yang dilaporkan membabitkan kecederaan parah, tetapi disembunyikan atas alasan memelihara integriti kaum. “Dalam masa memelihara naratif perpaduan tak bermakna membiarkan orang Melayu menjadi ‘bangsat’ di dalam negara sendiri, hingga hak mereka dinafikan,” menurut Dato’ Kamal Amir seterusnya.

Beliau mendesak isu di Seberang Perai itu bukan disembunyikan kerana ianya akan menjadi ‘api dalam sekam’ yang lebih berbahaya bagi jangka panjang. Justeru katanya, pimpinan negara perlu mengambil tindakan positif membawa mereka yang bersalah ke muka pengadilan mengikut saluran undang-undang yang dibenarkan oleh perlembagaan. Menurut beliau lagi, bukan sahaja orang Melayu seolah-olah jadi ‘bangsat’ di negaranya, malah pihak jabatan agama Islam juga diperlekeh dengan isu menuntut mayat menerusi proses undang-undang apabila seseorang bukan Islam disahkan sudah memeluk Islam oleh jabatan agama Islam.


Sekalipun tak merujuk kepada isu yang dilaporkan media hari ini (5 Januari 2008), tetapi Dato’ Kamal Amir mendesak pimpinan negara tak mengambil pendekatan ‘kera di hutan disusukan, anak di pangkuan diletakkan; dagang lalu nasi ditanakkan, laki balik ke rumah kelaparan!’. Seterusnya beliau merujuk kepada insiden pergaduhan di Taman Seri Gombak seminggu sebelum Hari Raya Aidiladha Disember 2007 lalu, apabila dua orang pelajar Melayu ditahan polis, sebaliknya belia bukan Melayu tak diambil sebarang tindakan. “Sekalipun isu berkenaan mampu diselesaikan dengan campur tangan pimpinan PRIMA, tetapi hakikatnya orang Melayu seolah-olah masih menjadi ‘bangsat’ di tanah air sendiri,” ujar Dato’ Kamal Amir lagi.


SPR MENIKUS DENGAN PERATURAN
KEMPEN SEBELUM HARI PENAMAAN CALON


Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman yang mendakwa sentiasa mematuhi peraturan dipersoal ketelusannya oleh pimpinan kanan PRIMA, Sdr Yahaya Ismail (Pak Ya) apabila BN Selangor sudah memulakan kempen sebelum hari penamaan calon, malah pilihanraya belum diumumkan. Menurut Pak Ya yang juga bekas pensyarah di Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang, kempen hanya dibenarkan selepas hari penamaan calon mengikut prosedur yang dikanun dalam akta pilihanraya. “Sekiranya Tan Sri Abdul Rashid telus dalam jawatannya, beliau harus bertindak ke atas BN yang memulakan kempen sekarang,” katanya.


BN Selangor sudah memulakan kempen mulai semalam (4 Januari 2008) dengan menyebarkan risalah merayu undi. Sebelum ini beritahu Pak Ya, BN Selangor meletakkan papan iklan di semua kawasan pilihanraya didirikan bagi memperkenal wakil-wakil rakyat mereka kepada pengundi. Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) juga turut bersubahat membenarkan papan iklan berkenaan didirikan, malah tak diketahui sama ada ianya mengikut prosedur sama seperti papan-papan iklan yang lain. Seterusnya Pak Ya menambah, mungkin sahaja BN Selangor seolah-olah dalam keadaan terdesak hingga terpaksa berkempen sebelum hari penamaan di samping ianya berlawanan dengan akta pilihanraya sedia ada.


UGUTAN TAK LEMAHKAN AKTIVIS
‘MALAM NYALAKAN LILIN’ BERJAYA

Pejuang hak asasi manusia menerusi Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) berjaya dalam misi menyampaikan mesej kepada pimpinan negara, apabila menggerakkan himpunan ‘Malam Nyalakan Lilin’ di Dataran Merdeka malam ini (5 Januari 2008). Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz memberitahu, perhimpunan tersebut sebagai satu manifestasi rakyat mahukan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dihapuskan kerana ianya bertentangan dengan prinsip ‘hak asasi manusia’. ISA yang digubal pada 1948 adalah untuk membanteras anasir komunis, tetapi disalah gunakan selepas merdeka apabila ianya menjadi benteng kekebalan kerajaan BN menangkap sesiapa sahaja dengan tak perlu dibicarakan di mahkamah.


Sekalipun GMI diugut dengan pelbagai taktik oleh pihak polis, di samping media TV dipergunakan menginterbiu ahli-ahli akademik bagi memperakui kewajaran ISA, tetapi teori bukanlah sama seperti asas praktikal, kata Dato’ Kamal Amir. Misalnya jelas Dato’ Kamal Amir, seorang ahli akademik boleh membentangkan pelbagai teori mengenai kebudayaan, sebaliknya apabila diserahkan kepadanya melaksanakan pengisian muzium berkaitan kebudayaan ianya gagal secara total. Justeru menurutnya lagi, ISA bukan dinilai menerusi teori, tetapi perlu dilihat secara praktik kesannya kepada kebobrokan negara yang bertamaddun. “Berasa malulah kepada diri sendiri apabila ISA diperalat untuk kepentingan mengekalkan kuasa secara korup,” katanya.



ANALISIS POLITIK DI SELANGOR:
DR KHIR MUNGKIN PINDAH KE PUSAT?


Spekulasi menjelang pilihanraya sekarang dikatakan Menteri Besar Selangor Dato’ Dr Mohd Khir Toyo mungkin dipindahkan ke kawasan Parlimen, bagi memberi laluan kepada Timbalan Menteri Pelajaran Dato’ Noh Omar mengetuai kerajaan negeri. Dalam analisis yang dibuat mengenai senario politik di Selangor, Dato’ Noh Omar dianggap calon pilihan yang disenangi oleh pimpinan Pusat. Perubahan drastik turut berlaku dalam beberapa pimpinan kerajaan negeri yang membabitkan beberapa orang menteri besar, berikutan pergolakan dalam pimpinan UMNO negeri. Setakat ini Dato’ Seri Dr Khir sudah disebut-sebut akan dibawa bertanding ke kerusi Parlimen, sebagai langkah merombak kepimpinan di Selangor.



INFO SASTERA & BUDAYA:

PERPUSTAKAAN DESA DIGERAKKAN
PENULISAN SEMI SEJARAH DIPERLUKAN


Langkah positif yang digerakkan oleh Kementerian Kebudayaan Kesenian dan Warisan (KeKWa) di bawah menterinya Dato’ Seri Dr Rais Yatim melestarikan pengisian penerbitan buku-buku baru ke perpustakaan desa, memang dialu-alukan oleh semua pihak, kata novelis Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah. Serentak dengan itu Dato’ Dr Mohd Mansor yang juga bekas Timbalan Naib Canselor (HEP) UTM menyarankan perpustakaan desa membeli lebih banyak buku-buku berunsur sejarah perjuangan nasionalisme. “Bukan sahaja menggalakkan remaja mahupun belia-belia membaca buku-buku berunsur sejarah, malah golongan warga emas juga berminat dengan bahan-bahan bacaan sejarah tanah air,” ujar Dato’ Dr Mohd Mansor.


Beliau seterusnya memberitahu, bahan-bahan bacaan berunsur sejarah termasuk juga autobiografi tokoh yang sememangnya kurang digarap oleh penulis-penulis sama ada dahulu mahupun sekarang. Kata Dato’ Dr Mohd Mansor lagi, autobiografi Pak Sako sebagai tokoh penggerak nasionalisme belum ditulis setakat ini, tetapi sekadar tesis yang dihasilkan oleh Dato’ Dr Abdul Latiff Abu Bakar. Menurut Dato’ Dr Mohd Mansor penulisan tesis berdasarkan kajian ilmiah berbeza dengan garapan autobiografi yang lebih sesuai untuk bacaan umum. Misalnya, jelas Dato’ Dr Mohd Mansor, sekitar dekad 1950-an Abdul Aziz Ishak pernah menghasilkan autobiografi buku ‘Riwayat Hidup Tunku Abdul Rahman Putra’.


Setakat ini difahamkan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) sudah membeli buku autobiografi Dato’ Ahmad Badawi bagi disalurkan ke perpustakaan desa, justeru ianya permulaan yang baik,” ujar Dato’ Dr Mohd Mansor. Beliau juga berharap KeKWa akan terus memberi sokongan kepada penulisan buku autobiografi dan berunsur sejarah bagi disalurkan ke perpustakaan desa, memandangkan penulisan dalam kategori tersebut sukar diedarkan ke pasaran terbuka. Seterusnya kata Dato’ Dr Mohd Mansor tokoh-tokoh nasionalis seperti Dato’ Panglima Bukit Gantang, Tan Sri Zaaba, Tan Sri Ibu Zain, Dr Burhanuddin al-Helmy, Dato’ Ahmad Boestamam, Pak Sako dan ramai lagi perlu didokumentasikan menerusi penulisan autobiografi.


KOMENTAR
bersama Pak Parjo


IBU BAPA DIKEHENDAKI PRIHATIN
BAYARLAH UNTUK PENDIDIKAN ANAK


Sebermula berkatalah menteri terbabit, bayaran tambahan yang dikenakan untuk pelajar-pelajar ialah untuk kepentingan ‘modal insan’ bagi masa depan anak-anak. Adapun ibu bapa pula hendaklah prihatin dengan bayaran yang dikenakan oleh pihak sekolah, malah bolehlah dibayar beransur-ansur kerana ianya tak termaktub dalam dasar pendidikan. Alahai! Maka terlupalah menteri itu kerana sebelumnya sudah mendabik dada, bahawa kerajaan memberi pendidikan percuma dengan melupuskan yuran sekolah di samping menyalurkan bantuan buku teks. Sayugia menteri itu dikatakan oleh orang bijak pandai Melayu: Seperti kepala diuca; ekor ditarik jua. Adanya!


Syahdan akan yuran yang dikatakan perlu dibayar oleh ibu bapa berbeza-beza pula di setiap sekolah seperti misalan disuratkan kepada fakir, terdapat sekolah menetapkan yuran PIBG hingga RM40, sementara sebahagian pula RM20 dan entah, entah, entah! Disebutkan oleh para penyurat ‘Kitab Melayu’ akan menteri itu memang bercelaru, berkeliru dan berterumbu hingga tak tahu mengenai yuran yang kononnya dimansuhkan itu hanya sejumlah RM4.50 bagi sekolah rendah dan RM9.00 bagi sekolah menengah. Yuran tambahan pula terserah kepada sekolah, mengikut budi bicara, buli semata dan badi sekala. Gamaknya! Aktiviti sekolah memerlukan wang, wang wang; apabila tak menerima peruntukan kementerian maka diperantukkan kepala ibu bapa.

Alkisah dicanangkan ke seluruh negeri akan negeri Melaka itu tak perlu lagi membayar ufti ke benua Siam, setelah berbaik-baik dengan Maharaja China yang bersahabat ke Melaka. Maka diceriterakan oleh yang empunya ceritera tak beranilah Siam mengganggu ke Melaka, kerana Maharaja China kerajaannya besar lagi terkenal di serata alam. Syahdan dihantarlah Tun Perpateh Putih adik Bendahara Paduka Raja Tun Perak ke benua China membawa persembahan yang indah-indah sebagai tanda ianya persahabatan (bukan ufti atau bunga emas); apalagi rakyat negeri Melaka tak mampu membezakan istilah ‘ufti’ dan ‘persembahan’ seperti disuratkan oleh:





HIDUP BAHASA MELAYU!

Friday, January 4, 2008

JAWATANKUASA ADI-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG:


SELAMAT PULANG KE TANAH AIR
JEMAAH MENUNAIKAN IBADAT HAJI


Assalamualaikum,



Selamat pulang ke tanah air jemaah yang selesai menunaikan ibadat haji setelah menjadi tetamu Allah. Alhamdullillah! Rakan-rakan dan jiran-jiran juga sudah kembali disambut sanak saudara, di samping masih ramai lagi yang menunggu giliran bagi jadual pesawat masing-masing. Hari ini (3 Januari 2008) jiran satu kariah, Sdr Hussin (sekarang Haji Hussin) bersama isterinya Hajjah Junaidah selamat pulang ke tanah air, selepas lebih sebulan bermusafir bersama lebih tiga juta umat Islam di seluruh dunia di tanah suci Mekah al-Mukarramah. Dalam beberapa hari lagi aktivis PRIMA, Haji Mohd Radzi Mustapha dan Haji Mohd Sayuti Omar bersama isteri masing-masing juga akan sampai jadual pesawat mereka untuk kembali ke tanah air. Insya Allah!



Hari ini (3 Januari 2008) jam 10.30, sepasang suami isteri berurusan di Tabung Haji, Selayang terpaksa pula menahan sabar dengan penuh berhemah, apabila menunggu hingga jam 12.00 tengah hari selesai, sekadar untuk memasukkan wang RM500 bagi seorang. Tak tahulah di pejabat urusan Tabung Haji yang lain proses berurusan lebih cepat atau sebaliknya, tetapi memang petugas-petugas di Tabung Haji begitu ramah, tamah dan berhemah. Syukurlah! Begitu juga seorang rakan bersama isterinya mahu tahu tahun bagi menunaikan haji sekiranya mendaftar sekarang, ianya diberitahu mengikut jadual Tabung Haji ialah pada tahun 2019.


Menurut rakan berkenaan dengan usianya sekarang 65 tahun, bermakna dalam tempoh 11 tahun lagi kira-kira usia beliau menjangkau 76 tahun. Waduhhh! Begitulah diberitahu oleh Haji Hussin jadual beliau berangkat ke tanah suci mengikut ditetapkan oleh Tabung Haji ialah pada 2014, tetapi nasibnya agak cemerlang, gemilang dan benderang kerana berpeluang mengikut kouta jabatannya dalam perkhidmatan MAS untuk tahun ini. Justeru Haji Hussin tak perlu menunggu hingga tahun 2014, kira-kira usianya ketika menjangkau hampir 63 tahun (masih boleh tahan, kerana segak sekiranya tak diganggu penyakit). Sebaliknya rakan yang akan berusia 76 tahun pada 2019 pun mungkin sahaja gagah untuk tawaf, bersa’i atau melontar jamrah sekiranya sihat walafiat.




Tetapi kisah Tabung Haji dengan petugas-petugas yang ramah mesra, baik bicara dan berbudi mulia itu masih banyak juga misteri yang berkabus-kabus, berkabut-kabut dan brkalut-kalut sejak ianya dikenali sebagai LUTH dulu. Misalnya, pada 1996 seorang rakan yang sudah mencukupkan jumlah diperlukan (ketika itu kira-kira RM6,000 sahaja), tetapi jadual yang ditetapkan kepadanya ialah pada 2003. Disebabkan menunggu hingga tujuh tahun, rakan terbabit mengeluarkan sedikit demi sedikit simpanannya hingga akhir tak mampu mengisikan penuh apabila kos menunaikan fardu haji mula meningkat tahun demi tahun. Dalam masa yang sama seorang rakan pula ke Mekah tahun berkenaan setelah mengisi kouta yang kosong dengan heh heh heh!




-Pak Dharma.



INFO HAK ASASI MANUSIA :


SESI PERSEKOLAHAN BERMULA
YURAN YANG DIMANSUH RM4.50


Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz meminta Menteri Pelajaran Dato’ Seri Hishamuddin Tun Hussain tak berdolak dalik dengan isu pemansuhan yuran yang digembar gemburkan sebagai mengurangkan beban rakyat, kalau sekadar jumlahnya RM4.50 sahaja. Menyentuh mengenai sesi persekolahan yang bermula hari ini (3 Januari 2008) Dato’ Kamal Amir memberitahu, kalangan ibu bapa mengakui mereka berhadapan dengan isu bayaran persekolahan yang berbeza-beza, hingga menimbulkan kekeliruan. “Dato’ Hisham boleh berbangga dengan pemansuhan yuran sekolah, yuran peperiksaan dan bantuan buku teks, tetapi masalahnya semakin mengelirukan ibu bapa bagi mereka yang mempunyai beberapa orang anak bersekolah,” kata Dato’ Kamal Amir.


Seterusnya Dato’ Kamal Amir mendedahkan bantuan buku teks sekadar tak sampai RM50 sahaja, tetapi pelajar-pelajar masih memerlukan buku-buku kerja mengikut kaedah pembelajaran di sekolah-sekolah sekarang melebihi daripada kos buku teks. Beliau diberitahu oleh ibu bapa mengenai yuran persekolahan RM4.50 yang dimansuhkan, tetapi mereka dikehendaki membayar yuran-yuran lain yang ditetapkan mengikut budi bicara pihak pengurusan sekolah. Kata Dato’ Kamal Amir lagi, yuran yang perlu dibayar oleh ibu bapa setelah dimansuhkan RM4.50 itu sebenarnya berjumlah RM87.50 semuanya berdasarkan salah sebuah sekolah menengah di Selangor.


Menurut Dato’ Kamal Amir yuran yang perlu dibayar ialah Koko (RM10.50), kertas ujian (RM20.00), sukan (RM10.00), Pendidikan Islam (RM10.00), insuran (RM1.50), MSSM (RM4.00), PIBG (RM20.00) dan majalah (RM32.00). Beliau menjelaskan kalau sebelumnya yuran sekolah RM4.50, di samping yuran PIBG RM10.00, tetapi kaedah sekarang apabila dimansuhkan yuran sekolah RM4.50, yuran PIBG pula dinaikkan kepada RM20.00. Kata Dato’ Kamal Amir menambah, kementerian cuba bermain silap mata dengan pemansuhan yuran RM4.50 yang digembar gemburkan. “Lebih baik menteri terbabit berasa malu dengan keadaan sebenar di sekolah-sekolah yang memulakan sesi persekolahan hari ini,” ujar Dato’ Kamal Amir.





PENAMPILAN PEJUANG BAHASA
PRIMA ALU-ALUKAN KEBANGKITAN


Penampilan berani beberapa individu membabitkan diri dalam perjuangan Bahasa Melayu dialu-alukan oleh PRIMA sebagai satu perkembangan membanggakan sejak aktivis PRIMA menggerakkan isu menolak ‘Bahasa Malaysia’ yang diumumkan oleh kabinet, sebaliknya mahukan kekal sebagai ‘Bahasa Melayu’. Pimpinan kanan PRIMA Yahaya Ismail (Pak Ya) mengulas sudut sastera di Berita Harian hari ini (3 Januari 2008) mengenai pengirim emel ‘Kalam Bahasa’ menyelar sebutan makhraj yang tak betul dalam penggunaan Bahasa Melayu. Menurut Pak Ya, sekalipun sasaran ditujukan kepada kalangan artis dan perfileman yang menggunakan sebutan kurang tepat, tetapi penulis terbabit tetap berbangga dengan ‘Bahasa Melayu’.


“Kita merasakan kebangkitan pejuang ‘Bahasa Melayu’ mula digerakkan di kalangan individu, setelah mereka yang menjadi benteng di kubu-kubu persatuan persuratan tak mampu bersuara secara bermuafakat,” ujar Pak Ya dengan memberi jaminan PRIMA akan meneruskan suara hati pejuang-pejuang bahasa sejak dekad 1960-an. Isu berkaitan pembabitan penyanyi-penyanyi yang melestarikan lagu-lagu Melayu adalah perkara yang berbeza daripada memperkasakan ‘Bahasa Melayu’, menurut Pak Ya menambah. Bagi Pak Ya beliau bersetuju penyanyi-penyanyi terbabit memperbaiki senjuh sebutan dalam melestarikan lagu-lagu Melayu, tetapi mereka bukanlah pejuang bahasa, katanya.


INFO SASTERA & BUDAYA:


MENUNGGU KELAHIRAN KARYA BESAR
KESUSATERAAN MELAYU AKAN PUPUS


Kesusasteraan Melayu akan pupus seperti dinosur purbakala, sekiranya para sarjana sekadar menunggu kelahiran karya-karya besar dengan tak terbabit sama menyuburkan pembangunan sastera, menurut novelis prolifik sekitar dekad 1980-an Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah. Serentak dengan itu Dato’ Dr Mohd Mansor menyarankan para sarjana turut sama berkarya bagi melahirkan karya-karya besar yang boleh dibanggakan oleh negara. Katanya, polemik persuratan tak mampu mengangkat ‘karya haprak’ menjadi sebuah karya besar, sebaliknya mereka yang terbabit dalam kesarjanaan perlu melahirkan karya masing-masing bagi dinilai sama ada mampu atau tidak melonjak sebagai karya besar yang penuh keilmuan dan kepujanggaan.


Pengkritik-pengkritik sastera yang ‘tumpul idea’ juga perlu mengasah bakat mereka menyuburkan kesusasteraan Melayu dengan melahirkan karya-karya baru, sekalipun ditakrif sebagai karya ‘tumpul idea’. Seterusnya Dato’ Dr Mohd Mansor beranggapan proses melahirkan karya lebih penting daripada polemik persuratan kerana ianya sekadar mengukur nilai lahiriah sesebuah karya, katanya memberitahu sekretariat PRIMA hari ini (3 Januari 2008) ketika mengulas aktiviti kesusasteraan lebih banyak ditumpukan kepada perbincangan longgar. “Kepujanggaan Melayu bukan sekadar bergantung kepada Hikayat Hang Tuah atau Sejarah Melayu, tetapi kemampuan sarjana-sarjana kini mempraktikkan keilmuan melahirkan karya-karya besar dalam persuratan Melayu baru,” katanya.




KOMENTAR
bersama Pak Parjo


DR CHUA SUDAH MENUTUP TIRAI
WAYANG OPERA POLITIK MALAYSIA



Syahdan akan Menteri Kesihatan, Dato’ Seri Dr Chua Soi Lek itu meletakkan jawatanlah dia dengan puji-pujian dari rakan seperjuangan kerana sudah menutup tirai wayang opera politik Malaysia. Maka dipalulah gendang bertalu-talu, tetapi tirai opera yang sudah ditutup tak akan dibuka lagi. Arakian diberitahulah oleh orang ramai kepada fakir yang mahu menyuratkan wayang opera itu, yang akan disiasat di bawah Seksyen 292 Kanun Keseksaan ialah orang yang mengedar bahan lucah itu, adanya. Orang yang merakam, di samping tempat kejadian itu berlaku tak akan disiasat, sekalipun sudah sahih akan bangunan tersergam di bandar Batu Pahat. Kononnya! Maka berkatalah persatuan yang melindungi tuan bangunan berkenaan, pihaknya tak pernah memasang CCTV dalam bilik penginapan dalam bangunan mereka. Heh heh heh!



Sebermula diberitahu kepada fakir oleh nenek moyang yang menyuratkan ‘Kitab Melayu’ perihal menteri dari Manjapahit dikenali Paman Pateh itu dinaikinya rumah Tun Manda anak Seri Nara Diraja Tun Tahir. Beberapa tahun sebelum itu berguraulah Seri Nara Diraja kepada Paman Pateh anaknya Tun Manda yang masih kecil baru pandai berlari itu, kononnya mahu berkahwin dengan Paman Pateh. Setelah beberapa tahun balik ke Manjapahit datanglah Paman Pateh menuntut janjinya, yang dijangkakan Tun Manda itu sudah menjadi gadis jelita. Demi keselamatan anak gadisnya Tun Manda dalam pelukan Pateh Paman, sekalipun pengawal-pengawal menteri Manjapahit itu sudah habis dibunuh, dilepaskanlah oleh Seri Nara Diraja supaya tertutuplah tirai wayang opera politik di negeri Melaka itu seperti diungkapkan oleh:






HIDUP BAHASA MELAYU!

Thursday, January 3, 2008

JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG

DR CHUA & DVD AKSI LUCAH:
PILIH KEPUTUSAN LETAK JAWATAN

Assalamualaikum,

Semua akhbar arus perdana dari pelbagai medium hari ini (2 Januari 2008), tak melepaskan peluang memberi berita utama kepada pengakuan Naib Presiden MCA yang juga Menteri Kesihatan Dato’ Seri Dr Chua Soi Lek beliau adalah lelaki dalam rakaman cakera video digital (DVD) dengan aksi lucah yang menjadi isu panas, hangat dan menyengat sekarang. Keberanian Dato’ Seri Dr Chua bukan sekadar membuat pengakuan terbuka, malah secara tragis memilih keputusan meletakkan semua jawatan dalam kerajaan dan politik seperti dilaporkan berita TV jam 8.00 malam 2 Januari 2008. Tak semua pimpinan kerajaan mengambil keputusan serta merta seperti dilakukan oleh Dato’ Seri Dr Chua apabila membabitkan isu peribadi yang digunakan oleh musuh politiknya.


Secara logika tak mungkin musuh politik Dato’ Seri Dr Chua dari luar MCA (sekali pun yang mendedahkannya secara terbuka mengenai DVD itu memang di luar MCA), kerana berdasarkan fakta cara rakaman dibuat menerusi kamera litar (CCTV) di premis terbabit adalah pihak yang mengetahui pergerakan harian Dato’ Seri Dr Chua. “Saya tidak membuat sendiri rakaman (DVD) itu. Siapa yang merakamnya tidak penting bagi saya. Apa yang lebih penting ialah keluarga, isteri dan anak-anak sudah menerima permohonan maaf saya,” kata Dato’ Seri Dr Chua kepada media di pejabat MCA Bahagian Labis, di Segamat.

Maknanya rakaman dibuat secara ‘curi’ menerusi kamera litar yang sudah siap sedia dipasang bagi memerangkap pergerakan beliau. Sebelum dilantik menjadi Menteri Kesihatan selepas menduduki kerusi Parlimen Labis pada 2004 menggantikan Dato’ Dr Ling Liong Sik (bekas Presiden MCA), beliau bukanlah tokoh MCA popular di peringkat Pusat. Malah beliau seolah-olah ditampilkan oleh pimpinan MCA di bawah Dato’ Seri Ong Ka Ting bagi menyingkirkan Menteri Kesihatan ketika itu Dato’ Seri Chua Jui Ming yang juga Naib Presiden MCA, di samping sekutu kuat bekas Timbalan Presiden MCA Dato’ Seri Lim Ah Lek.

Isu skandal seks juga bukanlah menjejaskan kewibawaan Dato’ Seri Dr Chua, kalau ianya tak didedahkan kepada umum, apalagi menerusi rakaman visual di DVD hingga menampakkan imej beliau. Malah Dato’ Seri Dr Chua boleh mengambil sikap bertahan dengan meminta siasatan dibuat oleh pakar-pakar CCTV, atau membentuk Suruhanjaya Diraja bagi mengesahkan imej dalam rakaman aksi lucah DVD berkenaan seperti isu heh heh heh! Tetapi Dato’ Seri Dr Chua mengambil langkah berani membuat pengakuan di samping meletakkan semua jawatan dalam kerajaan dan politik, bagi menutup peluang musuh politiknya di luar MCA mengeksploitasi isu berkenaan. Aduhai!

-Pak Dharma.

INFO HAK ASASI MANUSIA

MP DIPANTAU DI DEWAN RAKYAT
SURAT TUNJUK SEBAB KEPADA YB

Ahli Parlimen BN yang lantang membuat teguran di Dewan Rakyat sentiasa dipantau bagi memastikan suara rakyat dihalang mengkritik pentadbiran kerajaan, malah ianya dilaporkan beberapa orang YB sudah menerima surat tunjuk sebab, kata Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz. Fenomena yang berlaku sekarang seolah-olah memperlihatkan kerajaan sekarang enggan menerima pandangan rakyat, sekalipun ianya mengikut saluran tertentu iaitu melalui wakil-wakil mereka di Parlimen. Menurut Dato’ Kamal Amir beliau dimaklumkan mengenai seorang Ahli Parlimen dari Pahang diberi surat tunjuk sebab apabila membangkitkan isu pembangunan koridor wilayah timur yang membabitkan Kelantan, Terengganu, Pahang dan Endau di Johor.

“Kalau di Parlimen tak boleh mengemukakan pandangan, di mana lagi YB terbabit mahu menyampaikan masalah rakyat yang diwakilinya?” ujar Dato’ Kamal Amir. Beliau mengakui menerima maklumat mengenai Ahli Parlimen yang berani mengkritik projek kerajaan akan menerima surat tunjuk sebab. Seterusnya Dato’ Kamal Amir berkata, isu pembangunan koridor wilayah timur menimbulkan keraguan majoriti penduduk di negeri Pahang yang melihat tak banyak peluang boleh dimanfaatkan oleh rakyat di negeri itu. Justeru beliau menambah, memang wajar suara rakyat di Pahang disampaikan ke Dewan Rakyat, bagi membolehkan kerajaan mengambil langkah positif.

KESEDARAN MASIH BELUM TERLAMBAT
MARTABATKAN SUBJEK KESUSASTERAAN MELAYU

Memang belum terlambat kesedaran memartabatkan subjek ‘Kesusasteraan Melayu’ di sekolah-sekolah yang diabaikan selama ini, tetapi memperlihatkan kerajaan kurang prihatin dengan kepentingan subjek tersebut. Menurut pengkritik sastera tersohor sekitar dekad 1960-an Yahaya Ismail (Pak Ya), subjek ‘Kesusasteraan Melayu’ bukan sekadar mampu menangani gejala sosial pelajar-pelajar, malah aktiviti sastera juga turut memberi nilai murni sekiranya diterapkan di sekolah-sekolah. “Pengajian Kesusateraan Melayu di pusat pengajian tinggi (IPT) akan berhadapan dengan banyak kelemahan, sekiranya tak diberi pendidikan awal di peringkat sekolah menengah,” beritahu Pak Ya mengulas laporan akhbar hari ini (2 Januari 2008).


Ketua Pengarah Pelajaran, Dato’ Alimuddin Mohd Dom dilaporkan oleh akhbar hari ini mengenai kesediaan pihak kementerian mempertimbangkan cadangan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mengkaji semula subjek Kesusasteraan Melayu. Cadangan tersebut berdasarkan resolusi NUTP pada seminar 4-5 Jun 2007 di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mahukan teks pembelajaran menggunakan karya ciptaan Sasterawan Negara serta penerima SEA Write Award, di samping mnejadikan Kesusasteraan Melayu sebagai mata pelajaran pilihan kepada semua pelajar-pelajar di sekolah menengah.

Kata Pak Ya, dasar pendidikan selama ini menyebabkan subjek Kesusasteraan Melayu terpinggir, hingga tak layak menjadi mata pelajaran wajib di sekolah-sekolah menengah. Apalagi kemerosotan kelas subjek Kesusasteraan Melayu dari 1,059 kelas pada 2006 kepada 982 kelas pada 2007, memperlihatkan mata pelajaran tersebut terus dipinggirkan oleh pelajar-pelajar. Pak Ya yang juga pensyarah subjek kritikan sastera di USM pada dekad 1970-an meminta dasar pendidikan berkaitan ‘Kesusasteraan Melayu’ turut dikaji semula, kerana karya-karya sastera yang baik dengan menerapkan nilai-nilai murni tak semestinya dihasilkan oleh sasterawan-sasterawan besar. “Dalam sayembara mengarang kita melihat penulis-penulis muda mampu menghasilkan karya besar,” katanya.


INFO SASTERA & BUDAYA


KRITIKAN TERHADAP PERANAN DBP
TAK BERMAKNA PERKECILKAN USAHANYA

Setiap kritikan terhadap peranan pihak Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam pembangunan bahasa dan kesusasteraan Melayu, tak bermakna memperkecilkan usaha yang dilakukan oleh pegawai-pegawai yang diberi amanah. Sekalipun sudah 50 tahun DBP berfungsi, memang masih banyak lagi kelemahan yang perlu diperbaiki dengan kedudukannya sebagai agensi bahasa dan kesusasteraan, jelas novelis Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah mengulas kenyataan Menteri Penerangan Dato’ Seri Zainuddin Maidin semalam (1 Januari 2008) yang enggan menggunakan pakai istilah-istilah yang diperakui oleh DBP.

“DBP adalah agensi kerajaan yang diberi tugas melaksanakan istilah-istilah Bahasa Melayu yang seragam (standard), biarlah pegawai-pegawai di DBP laksanakan tugas mereka dalam tempoh sebelum bersara,” menurut Dato’ Dr Mohd Mansor yang juga bekas Timbalan Naib Canselor (HEP) UTM. Sekiranya mana-mana pihak enggan mengguna pakai istilah-istilah yang diperakui oleh DBP, ianya seolah-olah memperlekeh tugas pakar-pakar terbabit. Sebaliknya Dato’ Dr Mohd Mansor menyarankan, apabila istilah-istilah yang diperakui oleh DBP kurang tepat, menjadi tanggungjawab kalangan cendekiawan bahasa dan sastera membuat teguran, di samping mengemukakan cadangan balas bagi memperkasa istilah Bahasa Melayu.


Seterusnya kata Dato’ Dr Mohd Mansor, yang melakukan kesilapan apabila istilah-istilah yang diperakui DBP kurang tepat bukanlah agensi berkenaan, sebaliknya pegawai-pegawai yang kurang peka dengan pembangunan bahasa dan kesusasteraan Melayu. Apalagi pegawai-pegawai terbabit lebih terarah kepada status akademik, mungkin sahaja kurang berpengalaman dalam kepentingan Bahasa Melayu yang berorientasikan kepada semangat nasionalisme. “Di samping memberi tumpuan kepada pengumpulan istilah-istilah bagi memperksa pembangunan bahasa dan kesusasteraan Melayu, unsur-unsur semangat nasionalisme juga perlu diterapkan bersama,” jelas Dato’ Dr Mohd Mansor.


KOMENTAR
bersama Pak Parjo

PERIHAL BERAS WANGI SIAM
25,000 TAN TERSADAI DI PELABUHAN

Sebermula, tersebutlah ceritera dari yang empunya cerita perihal beras wangi Siam yang tersadai 25,000 tan di pelabuhan Pasir Gudang (Johor), Kota Kinabalu (Sabah) dan Pelabuhan Kelang (Selangor). Disuratkan oleh fakir adapun kejadian itu berlaku kerana sebab musababnya syarikat kerajaan Padiberas Nasional Bhd (Bernas) membawa masuk beras wangi Siam itu tak memiliki permit; seakan-akan samalah dengan perhimpunan aman dianjurkan ‘Bersih’ (bukan Bernas) tak memiliki permit. Adanya. Maka bertanya Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Asas Tani, Dato’ Dr Zulkifli Idris kepada Bernas, bagaimana membawa masuk beras wangi Siam itu dengan tak terlebih dahulu memperoleh permit import (AP).


Syahdan akan Menteri Pertanian dan Asas Tani, Tan Sri Muhyiddin Yassin berdiam dirilah ia, menunggu jawapan dari Bernas, gamaknya! Kononnya diberitahu oleh orang yang empunya ceritera sejumlah 25,000 tan beras wangi Siam yang tersadai itu 10,000 tan di Pasir Gudang, 10,000 tan di Kota Kinabalu dan 5,000 tan lagi di Pelabuhan Kelang hinggalah Bernas mengemukakan permohonan AP kepada Bahagian Kawal Selia Padi dan Beras pada 20 Disember 2007 yang lalu. Aduhai! Tan Sri Muhyiddin bukan sekadar berdiam diri, malah tak pula dikatakan murka dengan kejadian tersebut, kerana hubungan dengan Siam itu sudah terjalin sejak nenek moyang fakir di Melaka lagi.


Sekali persetua seperti disebut dalam ‘Kitab Melayu’ itu hendak menyeranglah Awi Dicu di Benua Siam ke Melaka, maka diberitahulah akan perkhabaran itu kepada Sultan Mansor Shah. Gemparlah rakyat Melaka akan Awi Dicu itu mahu menyerang, kerana dia pahlawan terbilang lagi masyhur namanya. Setelah berhimpunlah semua pembesar-pembesar Melaka akan bicara mahu melawan Awi Dicu yang tentunya bukan membawa beras wangi Siam, maka berkatalah Sidi Arab: “Jika ada kurnia tuanku, biarlah patik sahaja menghalang Awi Dicu itu”. Maka titah Sultan Mansor Shah, “Lakukanlah!”.


Akan Sidi Arab itu dihalakan anak panahnya ke Benua Siam, lalu ditarik busarnya dengan berkata, “Matilah engkau Awi Dicu”. Maka perkhabaran sampai kepada Sultan Mansor Shah, akan Awi Dicu itu mati muntah darah tak sempat mahu menyerang Melaka. Terfikirlah fakir akan iktibar dari ‘Kitab Melayu’, Sidi Arab hanya melakukan sekali sahaja, tak diulangnya beberapa kali di hadapan raja untuk bertindak dengan busar panah itu. Akan tetapi Bernas itu bukanlah sekali, mungkin sahaja sudah berulang kali membawa beras wangi Siam, hingga tersadai di pelabuhan kerana tak mengikut petua Sidi Arab yang disebutkan oleh:









HIDUP BAHASA MELAYU!

Tuesday, January 1, 2008

JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)

(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG:


PERHIMPUNAN AMAN TAHUN BARU
LEDAKAN BUNGA & KETENTERAMAN AWAM


Assalamualaikum,


Tahun Baru 2008 disambut meriah di seluruh negara, sekalipun perhimpunan tak perlu menerima permit polis. Pihak polis sekadar dimaklumkan sahaja mengenai perhimpunan aman berkenaan, kerana ianya bukan ‘perhimpunan haram’. Mengikut tafsiran ahli-ahli tafsir (bukan ahli tafsir al-Quran), perhimpunan aman ialah perjumpaan yang tak membawa senjata berbahaya bersama, ianya sekadar demonstrasi satu mesej kepada pihak berkuasa, seperti pernah dilakukan oleh UMNO pada Mei 1946 ketika lawatan dua Ahli Parlimen British, Kapten L.D. Gammans (Parti Konservatif) dan Leftenan Kolnel David Rees Williams (Parti Buroh). Begitulah!


UMNO juga terbabit dalam demonstrasi jalanan pada 1954, apabila isu pilihanraya tak diterima oleh kerajaan British. Pemimpin-pemimpin utama UMNO termasuk Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, Tun Dr Ismail, Tun Sardon Jubir, Abdul Aziz Ishak dan laian-lain turut sama berarak ke istana di Johor Bahru, di Seremban, di Kuala Lumpur mahupun di Alor Setar dan Kota Bharu bagi menyembahkan memorandum pilihanraya. Secara historikal demonstrasi yang digerakkan UMNO pada 1954 dulu, mirip seperti ‘perhimpunan haram’ anjuran Pemantau Pilihanraya Bersih dan Adil (BERSIH) pada 10 November 2007 lalu. Barangkali!


Bagaimanapun Parti Negara pimpinan Dato’ Onn Jaafar tak boleh terbabit atau turut menganjurkan demonstrasi jalanan, disebabkan beliau Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri (mengikut Member System) ketika itu. Mungkin sahaja dilema yang dihadapi Dato’ Onn pada 1954, tak dirasai oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri sekarang. Al-Maklumlah! Justeru tak hairanlah, perhimpunan aman menyambut tahun baru memang digalakkan, sekalipun tak memerlukan permit polis. Kalau tak disambut tahun baru, apalagi di Dataran Merdeka yang pancarkan secara langsung menerusi kaca TV, mungkin sahaja masyarakat antarabangsa akan mentakrifkan Malaysia tak memanfaatkan ‘dunia tanpa sempadan’ dan ‘langit terbuka’.

Perhimpunan aman menyambut tahun baru turut diserikan dengan ledakan bunga api (setelah ianya ditafsirkan bukan bahan berbahaya, di samping bukan senjata yang boleh menimbulkan kekacauan dan menggugat ketenteraman awam), lainlah ianya diledakkan ketika ‘perhimpunan haram’ mungkin juga ‘lodeh hoi Mat Lodeh, tolak sampai boleh!’ Tak sama juga dengan ‘perhimpunan di Masjidil Haram’ yang sudah berakhir pada 19 Disember 2007 lalu (sekalipun kita menyambut 10 Zulhijjah pada 20 Disember 2007, di samping harijadi bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad), memang ianya tak memerlukan permit polis. Sebaliknya saudara mara akan menyambut kepulangan mereka yang terbabit dalam ‘perhimpunan di Masjidil Haram’ sebagai haji yang mabrur. Mudah-mudahan! Apalagi sejak seminggu lalu jemaah dari Malaysia sudah ramai yang pulang ke tanah air.


INFO HAK ASASI MANUSIA:


SHAHIDAN MENARI IKUT GENDANG
SENARIO POLITIK DI PERLIS ‘GELABAH’


Pengerusi Perhubungan UMNO Perlis, Dato’ Seri Shahidan Kassim disifatkan mula menari ikut gendang yang dipalu oleh Setiausaha Agung UMNO Dato’ Seri Mohd Radzi Sheikh Ahmad memperlihatakna senario politik di Perlis sedang ‘gelabah’, kata Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz. Sekiranya Dato’ Shahidan mengambil pendekatan ‘tutup mulut’, mungkin sahaja gendang yang dipalu tak menemui rentak, beritahu Dato’ Kamal Amir yang juga penganalisis politik sejak dekad 1980-an. “Pada peringkat awal penganalisis politik merasakan Dato’ Radzi tak sepatutnya mendedahkan krisis dalam parti secara terbuka, tetapi apabila Dato’ Shahidan cuba mempertahankan diri, ianya menampakkan krisis itu benar-benar sukar dibendung,” beliau menjelaskan seterusnya.


Media arus perdana hari ini (1 Januari 2008) melaporkan Dato’ Shahidan menafikan berlaku krisis, di samping pimpinan Perhubungan UMNO Negeri Perlis memberi sokongan penuh kepadanya. Penafian tersebut sukar diterima apabila ianya didedahkan oleh Setiausaha Agung yang menerima laporan secara spesifik dari peringkat akar umbi. Bagaimanapun kata Dato’ Kamal Amir, pendekatan yang dibuat oleh Dato’ Radzi apabila ianya didedahkan kepada media memang tak wajar bagi sebuah parti yang memegang tampuk kuasa, malah memberi kredit kepada Dato’ Shahidan. Sebaliknya apabila Dato’ Shahidan bersuara, geraf politiknya kembali menurun apabila ‘gendang yang dipalu’ Dato’ Radzi menyebabkan beliau ikut ‘sama menari’.

Menurut Dato’ Kamal Amir beliau turut menerima banyak surat layang mengenai senario politik di Perlis yang membabitkan kebobrokan pentadbiran kerajaan negeri. Antaranya termasuk dari penulis yang menamakan dirinya Pak Su, Tiga Serangkai, Tolonglah Pak Lah dan beberapa lagi, beritahu Dato’ Kamal Amir selanjutnya. Misalnya kata Dato’ Kamal Amir menerusi surat layang ‘Tolonglah Pak Lah’ disebutkan: ‘Saya ahli UMNO cawangan Pauh Gemboi, berharap sungguh-sungguh Pak Lah dapat tolong kami rakyat negeri Perlis. Harapan saya ini disokong pula oleh ahli-ahli UMNO Kubang Arang, Guar Medang Gatai dan Bongor Kudong.’



Beliau juga mendedahkan surat layang dari ‘Tiga Serangkai’ menamakan diri mereka ‘Toyol’, ‘Gedembai’ dan ‘Kelawar Tok Bah’ dalam mesejnya bertarik 10 April 2006 yang menyebut: ‘Shahidan bawa Pak Lah melawat rata-rata, kebun anggur, Taman Herba, buka Dewan 2020. Pak Lah hairan sangat kebun anggur tu, bukan rakyat yang usaha. Shahidan perintah pejabat pertanian, kata toyol’. Justeru kata Dato’ Kamal Amir, kebobrokan kerajaan negeri Perlis tak akan terdedah, kalau Dato’ Shahidan tak gelabah menari apabila gendang dipalu. “Dato’ Shahidan sendiri yang mendedahkan kebobrokan itu, bukannya Dato’ Radzi,” menurut Dato’ Kamal Amir.



INFO SASTERA & BUDAYA :


PENGKRITIK SASTERA PERLU ILMU
BUKAN SEKADAR MENGEJAR GLAMOUR


Pengkritik sastera bukan hakim yang membuat keputusan muktamad terhadap sesebuah karya, sebeliknya memerlukan ilmu dalam pemahaman sastera bagi menilai karya yang diperkatakan, menurut novelis prolifik sekitar dekad 1980-an, Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah. Katanya, segelintir pengkritik sastera sekadar mengejar glamour di samping mengemuka pelbagai teori bagi meyakinkan khalayak mengenai kefahamannya mengenai sastera. Dato’ Dr Mohd Mansor yang juga bekas Timbalan Naib Canselor (HEP) UTM memberitahu demikian seperti disebut dalam salah satu kertas kerjanya berkaitan perkembangan kritikan sastera di Malaysia.


“Kertas kerja ini sebagai satu kajian ilmiah dan ianya akan dibentangkan apabila diperlukan dalam perbincangan ilmu di masa akan datang,” jelas Dato’ Dr Mohd Mansor seterusnya. Menurut beliau, kritikan sastera sekarang sudah menjadi cabang ilmu dalam kesusasteraan, malah ianya turut diperkenalkan sebagai satu mata pelajaran di institusi pengajian tinggi. Apabila pengkritik sastera mengambil pendekatan sambil lewa dengan tak membaca keseluruhan karya bagi dianalisis, justeru akan berlaku pandangan dangkal hingga menyifatkan sesebuah karya itu ‘tumpul idea’, katanya lagi. “Setiap karya tetap mempunyai idea, ketumpulan yang berlaku mungkin sahaja pengkritik tak berilmu atau kurang peka dengan pembacaan,” ujar Dato’ Dr Mohd Mansor.


KOMENTAR
bersama Pak Parjo


MENTERI MCA PULA TERBABIT
PENGEDAR DVD AKAN DISIASAT


Alkisah kata sahibul hikayat sejak dahulukala, memang begitulah! Apabila berlaku kepongahan di kalangan pemerintah yang berkuasa, yang menjadi mangsa ialah mereka yang mendedahkan perkara tak baik atau memecahkan tembelang di kalangan para pembesar yang berhormat lagi mulia. Adanya! Memang bermenunglah fakir akan polis akan menyiasat mereka yang mengedarkan DVD yang membabitkan iras-iras menteri MCA dalam perlakuan lucah bersama wanita berusia 20-an. Syahdan akan kesalahan mengedar DVD lucah itu akan dikenakan di bawah Seksyen 292 Kanun Keseksaan, maka tak perlulah individu yang terbabit dalam aksi lucah itu berasa bimbang. Heh heh heh!


Maka disuratkan oleh nenek moyang fakir adalah kepada suatu masa, akan Sultan Mahmud di Melaka itu bermukahlah dengan isteri Tun Biajid anak Laksamana Hang Tuah. Pada suatu malam ketika Tun Biajid balik dari Morib kerana dia penghulu di Morib, terserempaklah dia akan Sultan Mahmud turun dari rumahnya. Maka ditimang-timang oleh Tun Biajid akan lembingnya sambil berkata, ‘Apakan daya Sultan Mahmud, Yang Dipertuan Melaka raja kepada hamba, kalau tidak bergeruhlah di sini!’. Lalu kroni-kroni Sultan Mahmud mahu bertindak, tetapi segera ditahan oleh raja itu kerana memang tahu kesalahannya bermukah dengan isteri Tun Biajid.


Bagi menutup rahsianya bermuka dengan isteri orang, Sultan Mahmud pun memberi anugerah seorang gundek istana yang jelita (maknanya sudah ditidurinya juga) kepada Tun Biajid. Syahdan akan Tun Biajid itu diceraikan isterinya, lalu berpindahlah dia ke Morib dengan tak mahu lagi menghadap ke Melaka. Wallahu’alam! Tak diketahui sama ada Tun Biajid menerima anugerah Sultan Mahmud akan gundek istana atau sebaliknya. Syahdan disuratkan kepada fakir, Tun Biajid itu tak lagi ke Melaka. Tak tahulah pula sama ada meninggal dunia di Morib atau berpindah ke tempat lain, kerana yang mahu disuratkan ialah si gundek pula menjadi mangsa seolah-olah pengedar DVD aksi lucah yang mampu mendedahkan kebobrokan bak kata:



HIDUP BAHASA MELAYU!

Sunday, December 30, 2007

JAWATANKUASA AD-HOD WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)

(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)



DARI LAMAN BLOG:


TETAMU DALAM MAJLIS KAHWIN
SEDIH DENGAN ISU BENAZIR BHUTTO



Assalamualaikum,


SELAMAT TAHUN BARU menjelang 1 Januari 2008. Hari ini (30 Disember 2007), Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz mengadakan majlis perkahwinan adik iparnya di Lot 478, Jalan Laksamana 4, Kampung Laksamana, Batu Caves. Majlis yang sederhana tetapi tetap meriah, hampir mengelirukan tetamu kerana di Lorong 3, Jalan Laksamana juga majlis perkahwinan turut diadakan. Malah aktivis PRIMA Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah bersama keluarganya sudah memberhentikan kereta untuk menghadiri majlis perkahwinan di Jalan Laksamana 3. Aduhai! Memang musim cuti penggal persekolahan, ramai yang mengambil kesempatan mengadakan majlis kahwin, hingga Dato’ Dr Mohd Mansor dan Aspan Alias juga tergesa-gesa untuk menghadiri majlis kahwin yang lain pula.



Bagaimanapun kemeriahan majlis kahwin, kalangan tetamu sentuh juga insiden yang membabitkan pembunuhan bekas Perdana Menteri Pakistan, Benazir Bhutto hingga ianya menimbulkan reaksi di seluruh dunia. PRIMA tetap menolak sebarang politik keganasan dalam mencapai agenda mendominasi kuasa, malah sekiranya insiden di Pakistan itu menimpa George W. Bush juga, PRIMA akan memberikan simpati kepada Presiden Amerika Syarikat (AS) itu. Secara tegas PRIMA tak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang menjadikan ‘politik ganas’ sebagai agenda, apalagi pihak yang berkuasa melaksanakan keganasan untuk menghalang rakyat daripada bersuara menuntut keadilan.



Benazir Bhutto, 54 yang terbunuh dalam serangan ganas pada 27 Disember 2007 secara fizikal sekadar seorang wanita yang tak segagah mana, sekalipun jiwanya cekal, kental dan anjal. Barangkali! Ketika menerima laporan mengenai pembunuhan ke atas Benazir Butto, saya sedang menikmati makanan di Retoran Mac Donald di Seri Gombak bersama pimpinan Puteri UMNO Bahagian Gombak, Nilly Wahida Omar kira-kira jam 9.30 malam (Benazir meninggal dunia di hospital jam 6.16 petang waktu Pakistan dan 9.16 malam waktu Malaysia). Nilly pula menerima panggilan telefon dari emaknya, Hajjah Fauziah Raof yang mengikuti perkembangan tersebut di TV.

Tetapi begitulah senario pilitik di bumi benua kecil berkenaan sejak bebas dari penjajah Inggeris tahun 1947, apabila keganasan memisahkan sempadan negara India dan Pakistan. Berikutnya berlaku pula pembunuhan ke atas Mahatma Ghandi yang merelakan persempadanan India-Pakistan; seterusnya Zulfiqar Ali Bhutto pula digulingkan oleh Jeneral Zia Ul-Haq selepas persempadanan Pakistan Timur (kemudian dikenali dengan nama baru Bangladesh) direstui pentadbiran Ali Butto. Mujibur Rahman yang turut mengasaskan Bangladesh juga menerima risiko pembunuhan apabila menjadi Presiden Bangladesh yang pertama. Sebelum itu Ali Bhutto digantung sampai mati oleh Zia Ul-Haq, ketika pemimpin-pemimpin dunia berusaha mendapatkan pengampunan.


Zia Ul-Haq yang berbangga kerana membunuh Ali Bhutto yang dianggap pro AS juga menerima musibah, apabila pesawatnya meletup di udara menyebabkan beliau menjadi Presiden yang hilang tak berkubur. Perdana Menteri India, Indira Ghandi juga dibunuh setelah pimpinannya dikecam hebat; sebaliknya anak beliau Rajiv Ghandi pula dibunuh ketika menerima sanjungan majoriti rakyat India. Entahlah! Bandranaike juga dibunuh ketika menjadi Perdana Menteri Ceylon (kemudian ditukar kepada Sri Lanka), sebaliknya menampilkan isterinya Puan Bandranaike sebagai Perdana Menteri wanita yang pertama di dunia! Benua kecil India yang merangkumi Pakistan, India dan Sri Lanka meneruskan lanskap politik yang menakutkan, mengecutkan dan mengerutkan. Alahai!



-Pak Dharma.


INFO HAK ASASI MANUSIA:



LANGKAH MAKSIMUM PERLU
HALANG PUAK PELAMPAU DIGERAKKAN



Pengerusi Telapak Budaya Gombak (Telapak), Omar Sudi Abdul Manan mendesak kerajaan mengambil langkah pemantauan secara maksimum bagi menghalang sebarang usaha ‘puak pelampau’ menggerakkan aktiviti mereka. Ketika menghubungi sekretariat PRIMA semalam (29 Disember 2007) selepas menghadiri satu perjumpaan UMNO di Kuala Selangor, Omar Sudi memberitahu puak pelampau berhasrat menubuhkan aktiviti budaya dalam usaha mengaburi mata masyarakat, berikutan langkah kumpulan tertentu mahu mewujudkan ‘Pusat Kebudayaan Batu Caves’ yang menjadikan kuil di situ sebagai markas. “Gerakan budaya perlulah dipantau oleh kementerian kebudayaan, kesenian dan warisan supaya ianya mencerminkan kebudayaan nasional sebenar,” katanya.



Menurut Omar Sudi, ‘Telapak’ ditubuhkan berasaskan kebudayaan nasional, justeru setiap aktivis budaya boleh menyertainya dengan mneolak sebarang prasangka kaum yang bertentangan dengan integriti nasional. Kata Omar Sudi lagi, Pusat Kebudayaan Batu Caves yang mahu dilaksanakan oleh pihak tertentu tak perlu lagi, kerana ‘Telapak’ mampu menggerakkan aktiviti kebudayaan dengan lebih pofesional. Justeru jelas Omar Sudi, ‘Telapak’ menolak sebarang usaha memecah belahkan rakyat menerusi penubuhan ‘Pusat Kebudayaan Batu Caves’ yang tak menepati ciri-ciri kebudayaan nasional yang dipupuk mengikut perancangan kementerian kebudayaan, kesenian dan warisan.


Di bawah Dato’ Seri Rais Yatim, kementerian kebudayaan, kesenian dan warisan sudah melaksanakan program kebudayaan nasional, justeru tak perlu lagi dibentuk ‘Pusat Kebudayaan Batu Caves’,” beritahu Omar Sudi selanjutnya. Menurut sumber, kumpulan tertentu dikatakan merancang menubuhkan gerakan budaya ‘Pusat Kebudayaan Batu Caves’ bagi meneruskan agenda, selepas pemantauan dibuat terhadap demonstrasi yang menimbulkan kebimbangan majoriti rakyat tak mampu diteruskan. Berikutan pemantauan yang dibuat bagi membendung demonstrasi hingga menjerumuskan kepada keganasan, kumpulan itu dikatakan cuba mengalihkan perhatian kepada aktiviti budaya.



PAKATAN HADAPI PILIHANRAYA
PULAU PINANG DIJADIKAN ‘CAGARAN’


Pakatan pembangkang bagi menghadapi pilihanraya akan datang dengan menjadikan Pulau Pinang sebagai ‘cagaran’ dianggap tak memberi manfaat kepada sebarang gerakan pembaharuan yang cuba diterapkan. Serentak dengan itu Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Dato’ Seri Anwar Ibrahim diminta berterus terang sama ada pihaknya bersetuju menyerahkan Pulau Pinang kepada pihak lain yang bukan daripada pimpinan Melayu atau mengekalkan agenda pembaharuan kepada pimpinan negara. Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz meragui pakatan pembangkang yang dikatakan mahu menjadikan Pulau Pinang sebagai ‘cagaran’ bagi mendapatkan kerjasama DAP dalam menghadapi pilihanraya akan datang.



Menurut Dato’ Kamal Amir, beliau bersedia menemui Dato’ Seri Anwar bagi meminta penjelasan mengenai langkah pakatan pembangkang menawarkan Pulau Pinang kepada DAP, bagi menjalin kerjasama dalam pilihanraya akan datang. Kata Dato’ Kamal Amir, ianya tak banyak memberi manfaat kepada agenda pembaharuan sebaliknya akan meletakkan PKR dalam dilema seperti dialami PSM46 pada dekad 1990-an, apabila DAP menerima ‘tuah’ sedangkan pakatan pembangkang yang lain dilanda ‘musibah’. “Malah bagi orang Melayu Pulau Pinang sendiri, tak banyak boleh membantu mereka sekalipun berlaku perubahan dalam pimpinan kerajaan negeri seperti yang diharapkan oleh pakatan pembangkang,” jelas Dato’ Kamal Amir selanjutnya.


Bagaimanapun Dato’ Kamal Amir mengakui, keterampilan Dato’ Seri Anwar dalam pimpinan memang dikagumi oleh orang Melayu, tetapi anjakan paradigma masih sukar dibendung seperti keperihalan Dato’ Onn Jaafar pada dekad 1950-an. Seterusnya beliau mengulangi pendekatan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad iaitu yang bersalah bukannya UMNO, sebaliknya pemimpin-pemimpin tertentu yang ‘lupa daratan’, ‘mabuk daratan’ dan ‘lintah daratan’. Kata Dato’ Kamal Amir lagi, membantu DAP bagi memenangi banyak kerusi di Pulau Pinang, sekadar perhitungan ‘jangka pendek’ seperti Tan Sri Dr Tan Chee Khoon pernah lakukan ketika membantu Tun Dr Lim Chong Eu pada pilihanraya 1969.



PERANG DI NEGERI PERLIS BERMULA
GELANGGANG DIBUKA MENJELANG PILIHANRAYA


Pendedahan terbuka Setiausaha Agung UMNO, Dato’ Seri Mohd Radzi Sheikh Ahmad mengenai krisis di negeri Perlis merupakan serangan peribadi terhadap Dato’ Seri Shahidan Kassim selaku Menteri Besar dan Pengerusi Perhubungan UMNO. Bekas pimpinan PSM46 di Negeri Sembilan, Sdr Aspan Alias ketika mengulas laporan media arus perdana hari ini (30 Disember 2007) menyifatkan, Dato’ Radzi tak akan bersuara sekiranya bukan restu daripada pimpinan tertinggi. “Justeru ianya menunjukkan pimpinan tertinggi mahukan Dato’ Shahidan berundur atau dimalukan seperti dihadapi oleh bekas Menteri Besar Negeri Sembilan Tan Sri Isa Samad,” beritahu Sdr Aspan sewaktu ditemui di majlis perkahwinan keluarga jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir di Batu Caves.


Sdr Aspan yang juga pengendali laman blog mengakui membuat panggilan telefon peribadi kepada Dato’ Radzi pagi ini (30 Disember 2007), tetapi tak menerima respons daripada Setiausaha Agung UMNO itu. Sambil mendedahkan insiden di Terengganu pada dekad 1980-an, apabila Tengku Razaleigh mengadakan perjumpaan ‘Team B’, Sdr Aspan turut menjelaskan Dato’ Radzi antara yang hadir bersama Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, Tun Musa Hitam, Dato’ Seri Rais Yatim, Dato’ Manan Othman, Ibrahim Azmi dan ramai lagi dengan ucapan yang berapi-api. “Tak hairanlah kalau Dato’ Radzi secara terbuka mengkritik Dato’ Shahidan, sama juga seperti insiden di Terengganu dulu,” ujarnya.


INFO SASTERA & BUDAYA:

PROGRAM UNTUK MANFAAT PENULIS
‘LUKAH MAUT TERUS MENUNGGU MANGSA’!


PRIMA mengalu-alukan program Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KeKWa) membeli terus hasil karya penulis bagi dimanfaatkan bersama, kata aktivisnya Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah. Beliau yang juga bekas Timbalan Naib Canselor (HEP) UTM mengakui, usaha KeKWa di bawah menterinya Dato’ Seri Rais Yatim bagi memanfaatkan program ‘Perpustakaan Desa’ dengan membeli terus karya-karya penulis yang diberi peruntukan RM25,000 setiap judul, secara fizikal membantu penulis-penulis terbabit menghasilkan karya-karya mereka. “Sebaliknya mereka masih juga berhadapan dengan ‘lukah maut menunggu mangsa’ yang dipasang oleh penerbit,” beritahu Dato’ Dr Mohd Mansor yang juga novelis prolifik sekitar dekad 1980-an.



Menurut Dato’ Dr Mohd Mansor beberapa orang penulis muda yang ditemuinya ketika ke pejabat Perpustakaan Negara (PNM) baru-baru ini memberi tahu, mereka sekadar menerima 15-20% sahaja daripada sejumlah RM25,000 yang diperuntukkan bagi setiap judul karya. Pihak penerbit dikatakan ‘memasang lukah maut’ dengan menetapkan 35% bagi kos cetak, 35% bagi komisyen pembekal, di samping 10-15% ialah kos pra-cetak yang dilakukan oleh penerbit. Logiknya, kata Dato’ Dr Mohd Mansor 35% sebagai komisyen pembekal sudah tak berfungsi apabila PNM membeli secara terus daripada para penulis karya terbabit.


Begitu juga kos pra-cetak sudah dilangsaikan apabila cetakan pertama dibuat, lainlah kalau penerbit sekadar mencetak lima naskhah sahaja iaitu bagi dihantar kepada PNM sebagai prosedur dalam akta perpustakaan,” jelas Dato’ Dr Mohd Mansor. Seterusnya Dato’ Dr Mohd Mansor memberitahu kos cetak sepatutnya tak menjadi beban kepada penerbit, malah tak mungkin menjangkau hingga 35% atau RM8,750. Katanya, adalah mustahil kos cetak hingga RM7 atau RM8 senaskhah bagi 1,000 naskhah, kerana ianya dianggarkan RM4 atau RM5 sahaja bagi buku setebal 200 halaman. “Pihak PRIMA akan membuat cadangan balas kepada KeKWa bagi mencari formula berkesan mengatasi isu penerbit dan penulis ini,” menurut Dato’ Dr Mohd Mansor.


KOMENTAR
bersama Pak Parjo


PERIHAL ‘TREK REKOD’ BERSAING
AMARAN KEPADA PENCETUS HURU HARA


Syahdan berkatalah Dato’ Seri Najib Tun Razak di Kota Kinabalu fasal amaran kerajaan kepada mereka yang mencetuskan huru hara, hingga tersebutlah peristiwa 13 Mei 1969 apabila ayahnya Allahyarham Tun Abdul Razak menjadi Pengarah Majlis Gerakan Negara (Mageran). Maka dirawikan oleh mereka yang menyurat akan politik Melayu, ketika itu gamaknya Dato’ Najib berusia 16 tahun sahaja seperti disebut Dato’ Bentara Mangkubumi dalam filem ‘Musang Berjanggut’: “Memang patik belajar ilmu haiwan, tapi patik belum khatam, tuanku!”. Begitulah! Maka berkatalah lagi Dato’ Najib, pembangkang tak mempunyai ‘trek rekod’ untuk bersaing dengan BN.


Sebermula tak tahulah ‘trek rekod’ mahupun ‘janji manis’ pembangkang yang disebut oleh Dato’ Najib, kerana fakir diberitahu oleh perawi-perawi yang menyuratkan akhbar, Dato’ Najib yang berjanji fasal bantuan tsunami di Pulau Pinang. Syahdan, sehingga hari raya lalu (atau selepas dua tahun) barulah mereka menerima bantuan rumah, setelah Pak Lah bersuara. Diceterakan oleh orang empunya ceritera bahawa alkisah berjanjilah Dato’ Najib di Kota Kinabalu semalam (29 Disember 2007), perubahan dan pembangunan di Sabah akan menjadi lebih rancak untuk dinikmati penduduk negeri itu apabila Koridor Pembangunan Sabah (KPS) dilancarkan kelak. Heh heh heh!


Syahdan akan ‘trek rekod’ dan janji manis Dato’ Harun Idris semasa menjadi Menteri Besar Selangor (1964-1972), maka ramailah orang Melayu berhijrah ke kota Kuala Lumpur, hingga tersibarlah berita ke seluruh negara Dato’ Harun itu disayangi orang Melayu. Bukan sahaja ‘politik setinggan’ mampu memberi peluang orang Melayu miliki lot-lot tanah di bandar, malah disebut orang hingga ke hari ini akan jasa dan trek rekod akan Dato’ Menteri Besar Selangor yang tak terhitungkan. Syahdan berlakulah akan pilihanraya kecil di Ampang Jaya pada dekad 1980-an, maka kalahlah Dato’ Menteri Besar itu di kawasan yang majoritinya 60% pengundi Melayu yang menyayanginya.




Lalu fakir mahu menyuratkan akan ceritera orang dahulukala di dalam ‘Kitab Melayu’ akan Seri Maharaja Tun Mutahir bin Seri Nara Diraja Tun Ali bin Mani Purindam akan trek rekodnya semasa menjadi Temenggung, adanya. Maka masyghullah seisi rakyat negeri Melaka akan pencuri menjadi-jadi, hingga Sultan Alauddin Riayat Syah menyamar bersama Hang Isap pada suatu malam. Apabila ditanya kepada Seri Maharaja Tun Mutahir, maka keluarlah dia pada suatu malam, akan siapa sahaja ditemui lalu diparangnya. Salah seorang yang diparang oleh Seri Maharaja Tun Mutahir putus tangannya, lalu tersangkut pada alang pintu kedai. Akan Seri Maharaja Tun Mutahir itu tak kira pencuri atau bukan, diparangnya asal sahaja keluar waktu malam kerana mahukan trek rekod yang baik seperti disebut oleh:





HIDUP BAHASA MELAYU!