Thursday, January 24, 2008

JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)





DARI LAMAN BLOG





KENANGAN BUAT MEGAT JUNID:
PERGINYA ‘RAJA DURIAN’ DI PARLIMEN




Assalamualaikum,




Sebaik sahaja menerima info kira-kira jam 7.30 pagi dari Jurucakap Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz kirim SMS dipanjangkan dari Dato’ Ibrahim Ali beritahu mengenai Tan Sri Megat Junid Megat Ayub berpulang ke rahmatullah jam 5.30 pagi di hospital, saya menyampaikan pula info berkenaan kepada semua aktivis PRIMA. Sebelum itu memang saya sudah juga mendengar dari rakan-rakan mengenai kesihatan Tan Sri Megat Junid yang menghidap pelbagai penyakit. Memang saya tak berapa rapat dengan Tan Sri Megat Junid, tetapi pernah juga terserempak di lobi Parlimen sekitar dekad 1990-an, beliau berjenaka dengan rakan-rakannya di samping mengajak wartawan-wartawan ke majlis kenduri makan durian di rumahnya. Beliau juga turut ketawa apabila digelar ‘Raja Durian’ kerana saban tahun mengadakan majlis kenduri makan durian.





Selepas tewas pada pilihanraya 1999, Tan Sri Megat Junid masih aktif berpolitik apabila dilantik oleh Tun Dr Mahathir Mohamad (Presiden UMNO ketika itu) menduduki kerusi Ketua Penerangan UMNO. Memang Tan Sri Megat Junid disayangi oleh Tun Dr M, malah dianggap ‘anak emas’ Tun Dr M satu ketika dulu. Apalagi beliau melonjak naik dalam pimpinan UMNO bermula selaku Setiausaha Politik Tun Dr M, sebelum ditampilkan bertanding di kerusi Parlimen Pasir Salak. Bagaimanapun sekitar dekad 1990-an, Tan Sri Megat Junid menggemparkan media apabila mengkritik pentadbiran pusat serenti ketika memegang jawatan Timbalan Menteri Dalam Negeri yang disifatkannya sebagai lokasi ‘kandang haiwan ternakan’.




Berikutan pendedahan Tan Sri Megat Junid mengenai kebobrokan pentadbiran ‘pusat serenti’, pihak pembangkang mengambil kesempatan membuat lawatan ke pusat serenti di Rawang selepas memohon kebenaran kementerian terbabit. Memang saya menyertai rombongan Ketua Pembangkang, Sdr Lim Kit Siang melawat Pusat Serenti Rawang pada 24 Januari 1996 apabila Tan Sri Megat Junid juga turut berang dengan fenomena kesesakan di kalangan mereka yang ditahan bagi pemulihan. Lawatan yang pada peringkat awalnya ditumpukan di asrama pemulihan, dibenarkan oleh Ketua Pengarah Pusat Pemulihan Kementerian Dalam Negeri, Encik Johan Shamsuddin ke kawasan larangan yang dikenali ‘de Toc’ (sebelumnya tak dijadualkan ke situ).





Mungkin fenomena di ‘de Toc’ itulah yang dimaksudkan oleh Tan Sri Megat Junid seolah-olah ‘kandang haiwan ternakan’. Pendedahan yang dibuat oleh Tan Sri Megat Junid selaku Timbalan Menteri Dalam Negeri memang menghairankan, kerana beliau sendiri kecewa dengan masalah pentadbiran di Pusat Serenti ketika itu. Apalagi di lokasi ‘de Toc’, penagih-penagih tegar ditempatkan dalam satu bilik di beberapa blok hingga 50 orang bagi tempoh tiga bulan. Bukan sahaja tak menerima pancaran matahari, malah di situlah mereka makan dan heh heh heh! Kalau mandi pun sekadar dipancutkan air dari luar seperti disebutkan oleh Tan Sri Megat Junid macam ‘kandang haiwan ternakan’! Justeru bagi pihak PRIMA saya mengucapkan takziah kepada keluarga Tan Sri Megat Junid, mudah-mudahan rohnya dicucuri rahmat Allah.





-Pak Dharma.


















HIDUP BAHASA MELAYU!!!

Wednesday, January 23, 2008

JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)

(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG

PILIHANRAYA BUKAN LAGI MISTERI
SIGNAL SUDAH KELIHATAN DI MANA-MANA

Assalamualaikum,

Memang Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop beritahu media sebelum ini bujet akan dibentangkan di Parlimen bulan Ogos nanti, seolah-olah pilihan-raya tak mungkin tahun ini. Tetapi bagi penganalisis politik bukanlah sukar memahami maksudnya, kerana tak pernah bujet dibentangkan bulan Ogos, biasanya ialah Oktober bagi perbelanjaan kerajaan tahun 2009. Apalagi media hari ini (23 Januari 2008), Tan Sri Nor Mohamed umumkan pula Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bersedia memberi deviden tahun lalu sebanyak 5.8 peratus iaitu yang tertinggi sejak 2001 (atau lebih hebat lagi daripada priod pentadbiran bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamed). Barangkali!

Pagi ini (23 Januari 2008) saya menerima SMS dari pimpinan UMNO peringkat Bahagian yang tak sabar dengan sikap rakan-rakannya melobi mahu menjadi calon pilihanraya. Mereka beritahu fasal jasa dalam pimpinan parti, di samping kehebatan wibawanya yang berkelayakan menjadi calon; apalagi kesetiaan yang tak berbelah bagi kepada pucuk pimpinan. Dalam menggerakkan strategi melobi, individu terbabit tak menyedari sudah memecah belahkan UMNO, apabila ada pihak memburuk-burukkan Ketua Bahagian, kemudian pihak yang lain pula memperlekehkan Timbalan Ketua Bahagian. Tak hairanlah Presiden UMNO Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam ‘Majlis Bersama Presiden UMNO’ semalam (22 Januari 2008) ingatkan: pilihlah calon BN yang ditetapkan oleh pimpinan parti.

Justeru tarikh pilihanraya bukanlah misteri kerana signal sudah boleh dilihat di mana-mana sahaja, sama ada secara langsung mahupun tak secara langsung. Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad juga mengakui sekarang paling sesuai untuk BN menggerakkan pilihanraya, kerana gerenti akan mencapai kemenangan selesa, bergaya dan ceria. Tun Dr M memang sudah berpengalaman setelah 22 tahun memimpin negara, justeru masa paling sesuai ialah ketika unjuran ekonomi menjanjikan seribu harapan (bukan Altantuya Shaaribu)! Tak hairanlah pula propaganda di Terengganu dengan taktik lapok seperti menjelang pilihanraya 1969 dulu, ramai ahli PAS menyertai UMNO.

Laporan media hari ini (23 Januari 2008) menyebut 3,700 ahli dan penyokong PAS di Terengganu menyertai UMNO dalam program ‘Selamat Tinggal PAS’ (STP) sejak ianya dilancarkan pada 2004. Maknanya dalam tempoh tiga tahun sehingga Januari 2008 ini, kira-kira 1,233 orang ahli dan penyokong PAS menyertai UMNO. Taktik ‘bongok’ yang dilancarkan oleh Menteri Besar Terengganu Dato’ Idris Jusoh kerana menjelang pilihan-raya 1969 dulu, beliau boleh dikira masih berhingus. Mungkin juga tak pernah dengan Senator Edward Kennedy memberitahu Dewan Senat di Amerika Syarikat: “Kalau setiap hari tentera AS dilaporkan membunuh 400 Vietcong, dalam tempoh tiga tahun tak wujud lagi Vietcong”. Jawapan kepada sinikal Senator Edward @ Ted Kennedy itu ialah pada 1976, berambuslah tentera AS dari bumi Vietnam. Alahai!

-Pak Dharma.

INFO HAK ASASI MANUSIA

KUTUK KEPONGAHAN ISRAEL
PERLU TUNJUK SIFAT ‘KEJANTANAN’

Kurang wajar bagi Malaysia bersendiri mengutuk kepongahan Israel mengenakan sekatan dengan menutup jalan menyeberangi sempadan antara Israel dengan wilayah Palestin di Gaza menyebabkan penderitaan penduduk di Gaza, menurut Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz. Seterusnya beliau menggesa Perdana Menteri Dato’ Abdullah Ahmad Badawi atas kapisiti Pengerusi Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) menunjukkan sifat ‘kejantanan’ memanggil persidangan tergempar OIC dalam mencapai persepakatan bertindak balas. “Kalau sekadar mengutuk dari jauh, pertubuhan kecil seperti NGO juga boleh lakukan, malah kepongahan Israel dan Amerika Syarikat tak akan berakhir menindas rakyat Palestin,” katanya.

Dato’ Kamal Amir memberitahu, sebenarnya Israel sudah lali dengan kutukan dari masyarakat antarabangsa, malah suara ‘kutukan’ tak bermakna langsung kepada negara Yahudi berkenaan. Sekalipun Israel dilaporkan hari ini (23 Januari 2008) melonggarkan sekatan dengan membuka pusat lintasan Gaza, tetapi menghadkan penyaluran bahan bakar bagi kemudahan guna tenaga kepada 1.5 juta penduduk Gaza. Kepongahan Israel terhadap rakyat Palestin disebabkan AS melengkapkan Israel dengan senjata, di samping melarang Palestin bersenjata. “Sebagai pemimpin OIC, tak wajar Dato’ Seri Abdullah bersuara bagi pihak Malaysia sahaja, tetapi harus menunjukkan ‘kejantanan’ dengan membawa negara-negara OIC ke meja menggubal keputusan,” beliau menjelaskan.

HARI KE 14 SHARLINIE HILANG
KEMBALIKAN KEPADA KELUARGA



Pihak yang bertanggungjawab melarikan Sharlinie Mohd Nashar yang baru berusia lima tahun, diminta kembalikan semula anak kecil itu kepada keluarganya, supaya tak menyusahkan orang ramai. Justeru usaha yang dilakukan oleh Presiden Ikatan Bomoh Negara 11 Serangkai, Sdr Nasir Mahmud yang juga ahli Jemaah Sabillillah Selangor memang dialu-alukan. Apalagi kehadiran kira-kira 50 pengamal perubatan tradisional pertubuhan itu menggunakan kaedah tradisonal berteraskan ajaran al-Quran memang sebahagian ikhtiar yang digalakkan, kata penulis buku-buku siri pengembaraan kejiwaan, Tok Awang Ngah ketika dihubungi oleh penerbit buku Haji Abu Bakar Ninggal.

Haji Abu Bakar memberitahu sekretariat, penulis buku siri pengembaraan kejiwaan Tok Awang Ngah, kaedah yang digunakan oleh Ikatan Bomoh Negara 11 Serangkai itu adalah sebahagian ikhtiar yang wajar dilakukan. Di samping kaedah tradisional katanya, usaha pihak polis juga perlu diberikan kerjasama sepenuhnya, bagi membolehkan adik Sharlinie dikembalikan dengan selamat kepada keluarganya. Tok Awang Ngah adalah penulis buku siri pengembaraan kejiwaan yang popular sekitar dekad 1980-an dan 1990-an dengan menghasilkna banyak buku berkaitan pengembaraan kejiwaan. “Mudah-mudahan operasi besar-besaran pihak polis di samping kaedah tradisional Ikatan Bomoh Negara 11 Serangkai mampu menghasilkan
kejayaan,” kata Tok Awang Ngah seperti diberitahu oleh Haji Abu Bakar.

INFO SASTERA & BUDAYA

PEMBANGUNAN KORIDOR TIMUR
SEJARAH BANGSA PERLU SEIRING


Kerajaan Pahang bukan sekadar berbangga dengan projek pembangunan koridor wilayah timur, sebaliknya mengabaikan sejarah bangsa di negeri itu, beritahu aktivis sastera Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah. Dalam masa menggerakkan pembangunan koridor wilayah timur, kerajaan negeri perlu memberikan peruntukan kepada penulisan buku-buku sejarah terutama berkaitan perjuangan nasionalisme di Pahang, katanya. Ketika menghubungi sekretariat PRIMA, Dato’ Dr Mohd Mansor memberitahu, negeri Pahang seolah-olah melupakan Koperal 182 Yaakob Bidin dari Kampung Sanggang, Temerloh, ketika mampu memperuntukkan berbilion ringgit kepada pembangunan koridor wilayah timur.

“Apalah salahnya memperuntukkan sejumlah kecil dana bagi menerbitkan buku-buku sejarah membabitkan anak Pahang, ketika berbilion ringgit diperuntukkan kepada projek pembangunan fizikal,” kata Dato’ Dr Mohd Mansor yang juga bekas Timbalan Naib Canselor (HEP) UTM. Menurut Dato’ Dr Mohd Mansor selanjutnya, berdasarkan kaji selidik PRIMA, Yaakob Bidin yang dilahirkan pada 1916 menyertai Askar Melayu pada 1935. Yaakob Bidin terbabit dalam pertempuran di Bukit Candu, Singapura yang turut mengorbankan Leftenan Adnan Saidi, beliau menambah. Dalam insiden tersebut kata Dato’ Dr Mohd Mansor, Yaakob Bidin bersama Perajurit 1286 Yunus Jamil terselamat, malah mereka yang menjadi saksi dalam pertempuran di Bukit Candu itu.


Seterusnya kata Dato’ Dr Mohd Mansor negeri Pahang belum terlambat untuk merakamkan perjuangan Yaakob Bidin, sekalipun tak sempat menemuramah beliau ketika hayatnya sekitar dekad 1980-an. Di samping negeri Pahang berbangga dengan pahlawan-pahlawan ternama seperti Dato’ Bahaman, Tok Gajah, Mat Kilau, Panglima Mansor Chenor, Panglima Haji Kuala Lipis, kepahlawanan Yaakob Bidin juga selaras dengan kebangkitan nasionalisme sekitar dekad 1940-an. “Bagi menghargai perjuangan tokoh-tokoh legasi bangsa, kerajaan negeri seharusnya tak lokek memberikan peruntukan dana menghasilkan buku-buku berkaitan,” ujar Dato’ Dr Mohd Mansor.

KOMENTAR
bersama Pak Parjo

MUFLIS NEGARA KEBAJIKAN
KETIKA MENTERI MUFLIS IDEA

Alkisah kata yang empunya ceritera, muflislah negeri Melayu kalau mengikut cadangan Presiden PAS Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang menjadikan ianya negara kebajikan. Entahlah! Adapun yang berkata demikian mungkin juga menteri yang muflis idea, kerana terlalu taksub mahu berpolitik hingga tak mampu membezakan akan perihal ‘negara kebajikan’ dengan ‘negara pembaziran’. Maka disuratkan kepada fakir oleh tukang-tukang canang hari ini (23 Januari 2008), Menteri Pertanian dan Asas Tani yang juga Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, “Dia sendiri pun tidak boleh mentadbir dengan baik sebuah negeri (Terengganu), tetapi bercita-cita mahu jadi Perdana Menteri.”

Sebermula akan Tan Sri Muhyiddin itu turutlah mendedahkan dirinya yang muflis idea, kerana dasar pertanian negaranya terpaksalah Malaysia membawa masuk beras dari Thailand sejak bertahun-tahun. Buah-buahan yang dipasarkan juga dibawa masuk dari negara gajah putih itu yang kononnya teknologi pertanian di Thailand terlalulah maju. Syahdan akan mereka yang ‘muflis idea’ ini disuratkan oleh nenek moyang fakir di dalam ‘Kitab Melayu’, ketika berlaku kebakaran ke atas istana Sultan Mansor Shah yang baru dibina. Maka anak tuan-tuan itu nerlumba-lumba mahu menyelamatkan harta benda raja, termasuklah anak Bendahara Paduka Raja yang bernama Tun Muhyiddin itu. Akan Tun Mat Unta sekali masuk dibawanya barang bebanan sebanyak beban undang, lalu digelar ia oleh orang banyak Tun Mat Unta.

Syahdan akan Tun Muhyiddin yang ‘muflis idea’ itu takutlah ia masuk ke dalam istana yang terbakar kerana tubuhnya berbulu lebat. Disebabkan tak tahu bagaimana mahu masuk menyelamatkan harta benda raja, Tun Muhyiddin yang dipanggil kawan-kawannya Tun Mai sahaja sekadar berkeliling sahaja. Tak mampulah Tun Muhyiddin mahu membawa harta benda raja di dalam istana yang terbakar itu kerana ia memang diketahui sejak dahulukala ‘muflis idea’. Maka digelarlah oleh orang banyak akan Tun Muhyiddin itu ‘Tun Mai Ulat Bulu Pusing Langit Berkeliling’ disebabkan kemampuan dia hanya bersorak-sorak sahaja berkeliling mengikut ceritera:















HIDUP BAHASA MELAYU!!!

JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG

MESEJ HINDRAF SUDAH DITERIMA
KL DAN PUTRAJAYA DI ERI CUTI UMUM

Assalamualaikum,


Sejak semalam (21 Januari 2008) persekitaran Batu Caves sudah mula dikunjungi penganut Hindu, dengan kenderaan sudah banyak diletakkan di kiri kanan lebuhraya Lingkaran Tengah yang satu ketika dulu heboh retak 13 tiang. Aduhai! Besok (23 Januari 2008) sambutan Thaipusam akan dirayakan lebih hebat dari Sungai Ganjis dan Sungai Jamna di India, tetapi sejak petang ini (22 Januari 2008) kesesakan lalu lintas sudah terasa bagi penduduk-penduduk yang tinggal di persekitaran Batu Caves. Malah setiap tahun masalah lalu lintas yang serba sesak sudah menjadi asam garam penduduk-penduduk Batu Caves dari pelbagai kaum, hingga bau masam buah kelapa yang dipecahkan turut menjadi tradisi alam sekitar yang tercemar, tercabar dan tersasar.

Tak dapat dielakkan pada 24 Januari 2008, pekerja-pekerja Majlis Perbandaran Selayang akan dikerah pula membersihkan sampah sarap yang bertaburan daripada hampir dua juta masyarakat Hindu yang berkumpul, berhimpun dan berdemonstrasi. Mesej Barisan Bertindak Hak-Hak Hindu (Hindraf) sudah diterima apabila Perdana Menteri Dato’ Abdullah Ahmad Badawi memproklamir cuti umum bagi Kuala Lumpur dan Putrajaya di hadapan 21,000 ahli MIC yang menganjurkan ‘Majlis Sepetang Bersama Perdana Menteri’ di Stadium Badminton Kuala Lumpur di Cheras. Bukan sahaja cuti bagi Thaipusam, tetapi mungkin juga perayaan ‘Ponggul’ yang sebelum ini kurang diberi perhatian oleh masyarakat India sendiri di negara ini.

Sekalipun Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Tun Razak ‘mendabik dada’ kononnya, lima orang pemimpin Hindraf yang ditahan di bawah ISA mampu mengekang demonstrasi jalanan (Berita Harian, 22 Januari 2008), tetapi Dato’ Seri Najib terlupa tuntutan Hindraf sudah diterima. Apalagi di Selangor, Menteri Besar Dato’ Seri Mohd Khir Toyo memberi jaminan 40,000 kanak-kanak India yang tak mempunyai rekod dalam jabatan pendaftaran negara (JPN) akan diberi prioriti memasuki persekolahan. Maknanya ibu bapa terbabit tak perlu bersusah payah mendaftarkan kelahiran anak-anak mereka lagi seperti warga negara yang lain, kerana kerajaan yang ‘bermurah hati’, ‘berserah diri’ dan ‘berendah peribadi’ boleh heh heh heh!

Justeru Presiden MIC Dato’ Seri Samy Vellu pun memperkuatkan lagi dakwaan Hindraf mengenai masyarakat India yang terpinggir apabila meminta Menteri Besar dan Ketua Menteri mengikut jejak Menteri Besar Selangor menyelesaikan masalah kanak-kanak India yang tak memiliki sijil kelahiran. “Jika Menteri Besar yang bertindak sendiri dan mengarahkan kanak-kanak diberi sijil kelahiran Jabatan Pendidikan Negeri akan ambil tindakan, tapi jika saya yang beritahu, mereka tidak akan buat”, kata Dato’ Seri Samy Vellu (Berita Harian 22 januari 2008). Maknanya, betullah dakwaan Hindraf, Dato Seri Samy Vellu tak buat apa-apa untuk masyarakat India sampaikan sijil kelahiran kanak-kanak India pun tak terurus. Waduh duh duh!

-Pak Dharma.



INFO HAK ASASI MANUSIA


PASUKAN BOMBA DAN PENYELAMAT
WAJAR DIPINDAH KE KEMENTERIAN LAIN

Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz meminta kerajaan memindahkan Pasukan Bomba dan Penyelamat di bawah Kementerian Dalam Negeri yang fungsinya lebih relevan berbanding dengan Kemterian Perumahan dan Kerajaan Tempatan. Buat masa sekarang kata Dato’ Kamal Amir, pihak PRIMA menerima banyak rungutan orang ramai mengenai logiknya ‘Pasukan Bomba dan Penyelamat’ berkenaan diletakkan di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan. “Memang PRIMA difahamkan kementerian terbabit kurang memberi perhatian kepada jabatan bomba, sebaliknya lebih peka kepada ‘skuad pasukan penyelamat sukarela’ yang ditubuhkan,” jelas Dato’ Kamal Amir menambah.

Menurutnya lagi, skuad pasukan penyelamat sukarela itu pula dikatakan menggunakan peralatan Pasukan Bomba dan Penyelamat dalam kerja-kerja mereka, malah dilaporkan pihak menteri juga (Dato’ Seri Ong Ka Ting) sering menggunakan pesawat helikopter jabatan bomba dalam urusan kementeriaan yang tak membabitkan ‘Pasukan Bomba dan Penyelamat’. Justeru kata Dato’ Kamal Amir, pesawat helikopter jabatan bomba adalah khusus untuk kerja-kerja penyelamat, bukan digunakan membuat lawatan oleh menteri terutama pada musim pilihanraya. “Rungutan orang ramai yang disampaikan kepada PRIMA adalah relevan bagi ‘Pasukan Bomba dan Penyelamat’ diletakkan di bawah Kementerian Dalam Negeri,” beritahu Dato’ Kamal Amir.

NEGARA KEBAJIKAN BOLEH DILAKSANA
ASAL SAHAJA RASUAH MAMPU DIBENDUNG

Bukan perkara mustahil ‘negara kebajikan’ mampu dilaksanakan di negara ini, asal sahaja kerajaan mampu membendung rasuah, kronisme dan nepotisme, jelas pimpinan kanan PRIMA Haji Yahaya Ismail (Pak Ya). Beliau yang juga pengkritik sastera tersohor pada dekad 1960-an di samping bekas pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) menjelaskan, England dan Australia adalah di antara pemerintahan yang merealisasikan ‘negara kebajikan’. Pak Ya yang pernah menuntut di Universiti Monash, Autsralia berkata demikian mengulas laporan akhbar hari ini (22 Januari 2008) yang menyebut Setiausaha Perhubungan UMNO Terengganu Dato’ Rosol Wahid yang memperlekeh Presiden PAS Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang mahukan ‘negara kebajikan’.

“Negara kebajikan boleh dilaksanakan asal sahaja kerajaannya mampu membendung rasuah, kronisme dan nepotisme yang berleluasa,” menurut Pak Ya seterusnya. Negara yang gagal membendung rasuah, kronisme dan nepotisme akan menjadi bankrap malah gagal ditadbirkan secara telus, sekalipun ianya mampu memenangi pilihanraya menerusi seribu satu helah, di samping menyalahgunakan harta kerajaan untuk berkempen, kata Pak Ya menambah. Pak Ya memberitahu, England dan Australia menyediakan elaons kepada warga emas dan rakyatnya yang menganggur di bawah pentadbiran ‘negara kebajikan’ apabila rasuah, kronisme dan nepotisme mampu dikawal secara minima.

INFO SASTERA & BUDAYA

WACANA SASTERA MELAYU
SUKAR MENEMBUSI PASARAN

Wacana sastera Melayu yang pernah digerakkan oleh Gabungan Penulis Nasional (Gapena) menerusi ‘Dialog Utara’ mahupun ‘Dialog Selatan’ sekadar berpusar dalam perbincangan ilmiah, dengan tak mampu menjadi langkah permulaan membawa karya-karya Melayu menembusi pasaran di negara jiran, menurut novelis Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah. Beliau yang juga Timbalan Ketua Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP) melahirkan rasa bosan dengan dialog antara Malaysia-Indonesia, tetapi semua berakhir dalam dewan perbincangan. “Tak ada sebarang usaha untuk membawa novel-novel Melayu mahupun majalah-majalah tempatan menembusi pasaran di Indonesia,” jelas Dato’ Dr Mohd Mansor.

Menurut Dato’ Dr Mohd Mansor lagi, sikap taksub khalayak di Indonesia dengan karya-karya tempatan mereka, mungkin boleh diatasi menerusi persefahaman dengan ilmuan sastera di negara itu. Beliau yang juga bekas Timbalan Naib Canselor (HEP) UTM berkata, sebaliknya harga senaskhah novel Melayu mungkin terlalu tinggi jika dibandingkan dengan pasaran di Indonesia, adalah punca kegagalan menembusi pasaran ke Indonesia. Bagaimanapun novel-novel Melayu mampu memasuki pasaran di Brunei, tetapi dengan kuantiti yang terhad berdasarkan laporan penerbit-penerbit kecil kecil, katanya. “Karya sastera tak akan bermakna apa-apa sekiranya gagal dipasarkan kepada khalayak,” menurut Dato’ Dr Mohd Mansor selanjutnya.

KOMENTAR
bersama Pak Parjo

SEMUA DIMINTA BERTERUS TERANG
TIGA JAM BINCANG PERKARA BIASA

Sebermula semua 13 parti komponen Barisan Nasional (BN) berbincanglah di pejabat Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi di Putrajaya lebih tiga jam, tetapi sekadar bincang perkara biasa. Setiausaha Agung BN Dato’ Mohd Radzi Sheikh Hashim memberitahu mereka yang mahu menyuratkan laporan itu, hanya bincang perkara biasa sahaja. Maka akan Presiden MCA Dato’ Seri Ong Ka Ting pula dilihat oleh orang ramai hanya membisu seribu bahasa apabila keluar meninggalkan mesyuarat yang hanya sekadar perkara biasa sahaja itu. Alahai! Lalu diberitahu kepada fakir akan Presiden MIC Dato’ S. Samy Vellu berkatalah ia, banyak perkara dibincang, semua ketua parti menyuarakan pandangan. Heh heh heh!

Syhadan akan Kitul itu disuratkan oleh nenek moyang fakir berhutanglah ia kepada Raja Mendaliar. Suatu ketika berbalahlah Raja Mendaliar dengan Nina Sura Dewana, lalu bertemulah Bendahara Seri Maharaja Tun Mutahir untuk menyelesaikan masalah mereka. Maka disuruh balik oleh Bendahara Seri Maharaja kerana hari sudah malam. Akan Nina Sura Dewana diberikannya Bendahara Seri Maharaja, emas sebahara sebagai hadiah, tetapi perbuatan itu dilihat oleh Kitul. Syahdan Kitul pun tak berlingah memberitahu akan Raja Mendaliar kejadian, lalu semua hutangnya dilupuskan sahaja. Maka Raja Mendaliar pun menemui Bendahara Seri Maharaja bertanya perihal emas sebahara yang diberikan Nina Sura Dewana, tetapi kata Bendahara Seri Maharaja Tun Mutahir, perkara biasa sahaja seperti didengar oleh:








HIDUP BAHASA MELAYU!!!

Monday, January 21, 2008

JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG:


TAK LARAT IKUT DEMONSTRASI
DIKEJAR POLIS KETIKA SAKIT GOUT!

Assalamualaikum,


Tak sempat berbual panjang ketika terserempak aktivis PAS, Haji Subky Latiff di depan premis sebuah bangunan bank di Tamn Seri Gombak, disebabkan kereta yang ditunggunya sudah sampai. Kira-kira jam 3.00 petang hari ini (21 Januari 2007) saya ke premis bank berkenaan kerana urusan ehem ehem, Haji Subky bersama anaknya mungkin juga urusan ehem ehem. Maklumlah! Haji Subky pula bukanlah sembarangan aktivis PAS, malah beliau antara tokoh pimpinan PAS yang disegani; apalagi pada 1999 Haji Subky diletakkan bertanding di kerusi Parlimen Kubang Pasu menentang Perdana Meteri ketika itu Tun Dr Mahathir Mohamad.



Dalam pertemuan singkat begitu, Haji Subky sekadar bertanya kesihatan fizikal sahaja dalam usia sudah menjangkau kategori warga emas. Saya pula bertanya mengenai Haji Subky yang sering diganggu ‘gout’ di bahagian lutut atau buku lali, hingga berjalan pun terpaksa bertongkat. Kebetulan pula hari ini beliau tak mengalami gangguan ‘gout’, justeru memang gagah melangkah dengan tak memerlukan tongkat. Pada 1999 ketika ceramah di Segambut, saya melihat Haji Subky terdengkot-dengkot memegang tongkat, di samping mengakui diganggu ‘gout’. Apalagi beliau sengaja bergurau sebab musabab tak ikut sama dalam gerakan reformasi, kerana tak larat berlari sekiranya dikejar pihak polis. Aduhai!



Memang lama saya tak bersua dengan Haji Subky yang sekarang usianya sudah menjangkau 71 tahun. Mungkin juga sejak 1999 selepas saya tak lagi ikut sama dalam gerakan kepartian, sekalipun masih berterusan mengkritik kerajaan mengikut landasan yang lebih berhemah. Haji Subky yang saya kenali sejak dekad 1970-an, pernah juga memberitahu (Allahyarham) Sdr Zakry Abadi, beliau tak menyukai saya tetapi tak tahu apa sebabnya. Sekalipun beliau mengakui memang tak bermasalah dengan saya, sebaliknya tak berapa mahu nak rapat disebabkan kurang menyenangi. Berbeza dengan Sdr Zakry walaupun sering bertentangan pendapat, tetapi beliau terlalu rapat dengan saya hingga masalah peribadi juga dikongsi bersama. Begitulah!



Satu ketika sekitar dekad 1980-an selepas meninggalkan Utusan Melayu, Sdr Zakry berpeluang mendapat tender kantin di syarikat berkenaan. Beliau bermasalah apabila pihak pengurusan Utusan Melayu menerima protes disebabkan makan di kantin ditemui bercampur batu. Protes berkenan datangnya dari wartawan Utusan Melayu yang masih muda, malah dianggap mudah ‘naik berang’. Disebabkan saya mengenali wartawan muda berkenaan, Sdr Zakry mengajak saya turut sama ke Utusan Melayu bagi mencari titik penyelesaian. Wartawan berkenaan ialah Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz, justeru beliau mengakui berasa ‘berang’ ketika terkunyah batu dalam menu makanan, tetapi selepas itu mahu melupakan sahaja perkara tersebut. Astaga!

-Pak Dharma.


INFO HAK ASASI MANUSIA:


MAJLIS SEMARAK BERSAMA RAKYAT
UMNO GOMBAK BERSIAP HADAPI P/RAYA



Bagi persiapan menghadapi pilihanraya yang belum ditentukan tarikhnya, UMNO Bahagian Gombak melancarkan ‘Majlis Semarak Bersama Rakyat’ malam ini (21 Januari 2008) di dewan Taman Bolton dekat Taman Seri Gombak. Menurut Ketua Penerangan UMNO Bahagian Gombak, Sdr Omar Sudi Abdul Manan gerak kerja menghadapi pilihanraya itu turut mengundang Ahli Majlis Tertinggi UMNO yang juga Timbalan Menteri Penerangan Dato’ Ahmad Zahid Hamidi menyampaikan penerangan. “Walaupun tarikh pilihanraya belum diberitahu secara rasmi, tetapi UMNO Bahagian Gombak sentiasa bersiap sedia bagi menghadapi pilihanraya pada bila-bila masa,” katanya.



Menurut beliau, penerangan yang terancang sudah diberikan dari semasa ke semasa kepada setiap ahli, di samping mereka sentiasa diingatkan supaya tak terpengaruh dengan dakyah dari luar. Seterusnya beritahu Sdr Omar Sudi, kehadiran Dato’ Ahmad Zahid ke Bahagian Gombak mampu memberi suntikan semangat kepada ahli-ahli dalam persiapan menghadapi pilihanraya. Katanya lagi, setiap strategi adalah menjadi rahsia kepada pihak UMNO Bahagian Gombak, tetapi ianya tetap menjamin kekuatan parti berada pada tahap maksimum bagi meneruskan dominasi pada pilihanraya. “Bahagian penerangan UMNO sentiasa berkerja keras bagi menghadapi pilihanraya,” jelas Sdr Omar Sudi.


KERAJAAN PAS TAK RELEVAN
PEMIKIRAN ZAINUDDIN BERCELARU



Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz menganggap Menteri Penerangan Dato’ Zainuddin Maidin sebagai berfikiran celaru apabila menyifatkan kerajaan PAS di Kelantan sudah tak relevan. Sekalipun kenyataan Dato’ Zainuddin tak menerima liputan akhbar arus perdana, tetapi sekadar berita di radio yang dikuasai oleh menteri berkenaan, sebaliknya ia memperlihatkan kecelaruannya. Malah berdasarkan pandangan yang dangkal itu, beliau (Dato’ Zainuddin) sendiri yang tak relevan memegang jawatan menteri penerangan. “Malaysia memerlukan menteri penerangan yang kreatif, mampu membawa rakyat berfikiran terbuka, malah memberi input kepada pembangunan negara bukan menggunakan alat komunikasi kerajaan mencari publisiti murahan,” kata Dato’ Kamal Amir seterusnya.

Mengulas kenyataan Dato’ Zainuddin di Kuala Lumpur hari ini, Dato’ Kamal Amir bagaimana seroang menteri boleh menyifatkan sesebuah kerajaan tak relevan sedangkan beliau tak turun padang. Sekiranya Dato’ Zainuddin melihat sendiri kemiskinan di Kelantan, beliau seahrusnya membuat kenyataan itu di negeri berkenaan atau dijemput oleh UMNO Kelantan dalam majlis-majlis tertentu. Apabila beliau tak pernah diundang oleh UMNO negeri Kelantan bagi majlis-majlis tertentu, maknanya Dato’ Zainuddin tak relevan bercakap mengenai negeri Kelantan, ujar Dato’ Kamal Amir lagi. “Kalau negeri Kelantan mundur dari manakah asalnya Tengku Razaleigh, Dato’ Annuar Musa, Dato’ Awang Adek, Dato’ Mustapha Mohamad, Profesor Senator Ismail dan ramai lagi cendekiawan Melayu?” tanya Dato’ Kamal Amir.


‘BERANI KERANA BENAR’
BELASUNGKAWA KEPADA FERNANDO



Pihak PRIMA mengucapkan takziah dan belasungkawa buat keluarga Allahyarham Aris Rizal Fernando Abdullah (Christopher Fernando) yang kembali ke rahmatullah semalam (20 Januari 2008). Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz dalam satu kenyataan mengakui, Aris Rizal Fernando yang lebih dikenali Christopher Fernando adalah peguam yang berpendirian ‘berani kerana benar’. Katanya, ketika kemelut dalam kehakiman bergelora pada 1999, Aris Rizal Fernando tampil menyertai barisan peguam membela mantan Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim. “Justeru PRIMA mengucapkan takziah kepada balu Allahyarham iaitu Puan Maria Kamaruddin sebagai isteri pejuang kebenaran,” kata Dato’ Kamal Amir.

INFO SASTERA & BUDAYA:


BUDAYA SUKAN MELAYU
WAJAR PSM DIBERI SOKONGAN

Budaya dalam sukan Melayu perlu diberi sokongan oleh semua pihak bagi mempertahankan jatidiri bangsa di peringkat global, kata pakar kaunseling Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah. Mengulas sikap Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf) yang mahu melestarikan sikap ‘pecah dan perintah’, Dato’ Dr Mohd Mansor yang juga bekas Timbalan Naib Canselor (HEP) UTM mendesak kerajaan turut memberi sokongan moral kepada Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), bukannya mengikut telunjuk Astaf yang condong kepada kepongahan pihak persatuan di Thailand. Kenyataan Setiusaha Agung Astaf, Boochai Lorphipat semalam (20 Januari 2008) mahu menerima persatuan lain dari Malaysia menyertai Astaf, adalah mencampuri urusan dalam negara ini, kata Dato’ Dr Mohd Mansor.


Serentak dengan itu Dato’ Dr Mohd Mansor mengecam Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Azalina Othman Said yang memberi amaran kepada PSM dalam isu pertikaian dengan Astaf yang jelas mahu ‘menjajah’ budaya sukan sepak raga Malaysia. Sekalipun kementerian menyalurkan bantuan kewangan kepada PSM ujar Dato’ Dr Mohd Mansor, tetapi prinsip budaya sukan bangsa Melayu mestilah dipertahankan. Sebelum ini menurut Dato’ Dr Mohd Mansor, Malaysia sudah mengalah kepada Thailand dengan menerima pertukaran nama dari ‘sepak raga’ kepada ‘sepak takraw’, di samping peraturannya mengikut telunjuk pihak Thailand, sekarang Malaysia dipaksa pula menerima ‘bola plastik’ menggantikan ‘bola rotan’ iaitu budaya sebenarnya permaianan sepak raga, jelas Dato’ Dr Mohd Mansor.


Justeru kata Dato’ Dr Mohd Mansor, PRIMA menyokong Presiden PSM Dato’ Ahmad Ismail mempertahankan martabat budaya sukan Melayu, di samping mengutuk Astaf yang mencampuri urusan pentadbiran dalam negara Malaysia. Langkah Astaf mahu menerima persatuan sepak takraw yang lain daripada PSM menjadi anggota Astaf adalah dasar ‘pecah dan perintah’ yang diamalkan oleh penjajah di masa lalu. “Pihak luar jangan cuba mahu menjajah budaya bangsa Melayu bagi meneruskan penjajahan di masa lalu dalam bentuk yang berbeza tetapi masih mempunyai matlamat yang sama,” beritahu Dato’ Dr Mohd Mansor melahirkan rasa kesal.




KOMENTAR
bersama Pak Parjo

MUAFAKAT JADI PEMANGKIN
PERKUKUH KEKUATAN NEGARA!


Kata sahibul hikayat diceriterakan oleh yang empunya ceritera, berhimnpunlah 21,000 orang di Stadium Badminton Kuala Lumpur semalam (20 Januari 2008) dalam ‘Majlis Sepetang Bersama Perdana Menteri’ dianjurkan oleh MIC Wilayah Persekutuan. Maka disebutlah akan muafakat semua kaum boleh perkuatkan negara, kerana yang dimaksudkan muafakat itu ialah ‘kepentingan satu pihak sahaja dijaga’, oleh itu orang Melayu hendaklah menerima sahaja akan apa sahaja yang diminta oleh pihak lain. Lalu diberitahu kepada fakir mengenai sebuah parti politik yang mendakwa ianya ‘berbilang kaum’, tetapi pimpinan orang Melayu sekadar ‘kelas dua’ sahaja dalam parti itu, jadi itulah yang dimaksudkan ‘berbilang kaum’. Aduhai!



Tersebutlah akan Bendahara Paduka Raja itu sentiasalah berbalah dengan dengan Seri Nara Diraja Tun Ali menyebabkan saudagar-saudagar Jawa dan Arab curiga mencurigai antara satu sama lain. Maka orang Melayu di Sening Ujong di bawah penghulunya Tun Tuakal itu menyebelahi Bendahara Paduka Raja Tun Perak, kerana nasib peniaga-peniaga Melayu di Linggi ditindas oleh pedagang-pedagang Arab dan India. Akan Sultan Mansor Shah dibunuhnya Tun Tuakal, lalu Seri Nara Diraja itulah jadi penghulu di Sening Ujong hingga turun temurun. Selepas dibunuh Tun Tuakal, pedagang-pedagang Arab dan India itulah yang menguasai pelabuhan Melaka seperti disebut dalam ‘Kitab Melayu’ oleh:












HIDUP BAHASA MELAYU!