Sunday, February 24, 2008

JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)

(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)







“MENJELANG HARI MENGUNDI PILIHANRAYA KE 12, PADA 8 MAC 2008,
WARGA PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA) MENYERU RAKYAT MALAYSIA DAN PENGUNDI-PENGUNDI BUDIMAN ‘UNDILAH CALON, BUKAN MENGUNDI PARTI’ DEMI MASA DEPAN NEGARA, BANGSA DAN AGAMA”


-PIMPINAN PRIMA.


DARI LAMAN BLOG


CORAT CORET HARI PENAMAAN CALON
6 WAKIL BN MENANG KERUSI PARLIMEN



Enam kerusi Parlimen dimenangi calon BN hari ini (24 Februari 2008) apabila pusat penamaan calon ditutup jam 12.00 tengah hari, di samping PAS menang di DUN Kijang di Kelantan setelah tak ditentang calon lawan. Apalagi kerusi Parlimen Pengerang di Johor meletakkan Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Seri Azalina Othman Said menang tak bertanding berturut-turut pada dua kali pilihanraya. Pada 2004 Dato’ Seri Azalina juga menang tak bertanding di kerusi Parlimen yang sama, sebagai legas kubu pertahanan UMNO paling kental di Malaysia dan di Johor sejak pilihanraya 1955. Secara historikal kerusi Parlimen Pengerang memang kawasan paling selamat kepada UMNO, berdasarkan geografinya yang sukar ditembusi oleh lawan UMNO.


Pada pilihanraya 1955 misalnya, kawasan berkenaan dikenali ‘Johor Timur’ dengan calon UMNO Tun Dr Ismail Abdul Rahman memperoleh 10,800 undi menewaskan calon Parti Negara, Jaafar Haji Ali (350 undi) dan calon Bebas, Haji Abdullah Taib (253 undi). Berikutnya pada pilihanraya 1959 dilaksanakan secara 100%, persempadanan kerusi Parlimen Pengerang dikenali ‘Johor Tenggara’ dengan UMNO meletakkan calonnya Tan Sri Jaafar Albar. Nah, Tan Sri Jaafar Albar menang tak bertanding, begitu juga pada pilihanraya 1964 beliau terus melestarikan kemenangan tak bertanding. Mungkin sahaja senario pada 1969, kerusi Parlimen Johor Tenggara diberi tentangan sedikit oleh calon Parti Gerakan. Sebaliknya apabila persempadanan baru pada 1974 dikenali kawasan Parlimen Panti, Tan Sri Jaafar kembali menang tak bertanding.

Memang sekitar dekad 1960-an dan 1970-an, mereka yang mahu ke Pengerang terpaksa ke Singapura terlebih dahulu disebabkan jalan perhubungan yang sukar dari Kota Tinggi, justeru lebih mudah ianya melalui jalan air dari seberang Selat Teberau. Begitulah! Bukan sahaja Dato’ Seri Azalina, sesiapa calon UMNO yang diletakkan di kawasan berkenaan mempunyai peluang baik menang tak bertanding, iaitu kerusi paling kebal kepada UMNO sejak 1955 lagi. Bagaimanapun kemenangan enam kerusi Parlimen pada hari penamaan calon tak bermakna BN sudah boleh berbangga, kerana pada pilihanraya 1969 UMNO bersama komponennya menang 14 kerusi Parlimen (bukannya 6) ketika hari penamaan calon.

Malah di Pulau Pinang pada pilihanraya 1969, Parti Perikatan menang satu kerusi Parlimen pada hari penamaan calon iaitu di kerusi Parlimen Bagan. Sebaliknya pada hari pengundian hanya kerusi Parlimen Seberang Utara (sekarang Kepala Batas) sahaja yang mampu dipertahankan. Apalagi kerusi Parlimen Seberang Selatan dan Penang Selatan, calon-calon UMNO iaitu Senawi Ismail dan Ismail Idris tewas kepada calon bukan Melayu parti lawan, V Veerapan dan Gabriel Thomas Selvaraj. Aduhai! Bukan sahaja UMNO yang menang tak bertanding enam kerusi Parlimen, PAS juga tak boleh bangga sangat dengan kemenangan satu kerusi DUN di Kelantan, kerana senario politik sekarang individu calon lebih bermakna daripada parti yang diwakilinya. Insya Allah!

-Pak Dharma.

INFO HAK ASASI MANUSIA


KU LI ENGGAN MENANG TAK BERTANDING
PILIHANRAYA SERAH MANDAT PADA RAKYAT.

Calon BN bagi kerusi Parlimen Gua Musang di Kelantan, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) enggan diproklamir menang tak bertanding, apabila calon dari PAS didapati melakukan beberapa kesalahan teknikal dalam kertas pencalonannya. Ku Li meminta penyokong-penyokongnya tak membuat sebarang bantahan kepada pegawai pengurus pilihanraya bagi mencapai matlamat menyuburkan amalan demokrasi dengan menyerahkan mandat kepada rakyat bagi memilih Ahli Parlimen mereka. Pada penamaan hari ini (24 Februari 2008), Ku Li hampir diproklamir menang tak bertanding di kerusi Parlimen Gua Musang, tetapi beliau enggan membuat bantahan berikutan beberapa kesilapan teknikal dalam kertas pencalonan wakil PAS.

Menyentuh kemenangan tak bertanding beberapa orang calon BN, Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz menganggap keputusan tersebut bukannya pilihan rakyat menentukan wakil mereka, sebaliknya kesilapan teknikal berdasarkan peraturan yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Dato’ Kamal Amir yang menyertai rombongan Ku Li ke pusat penamaan calon di kawasan Parlimen Gua Musang hari ini, menyokong penuh pendekatan calon UMNO berkenaan yang mahukan pemilihan diserah kepada rakyat. “Biarlah rakyat menentukan wakil mereka menerusi pengundian pada pilihanraya, bukan diserahkan kepada SPR apabila berlaku kesalahan teknikal,” menurut Dato’ Kamal Amir ketika menghubungi sekretariat PRIMA.

KECOH DI KAWASAN PARLIMEN GOMBAK
PENYOKONG BN MENYUSUP MASUK KEM LAWAN


Kekecohan berlaku di kalangan penyokong-penyokong parti yang bertanding di kawasan Parlimen Gombak berhampiran pusat penamaan calon di Sekolah Sungai Pusu hari ini (24 Februari 2008), apabila seorang penyokong BN memakai jaket berlambang ‘dacing’ menyusup masuk ke kem parti lawan. Bagaimanapun kekecohan tersebut berjaya dipantau oleh pihak polis, apabila mereka berbalas-balas sindiran. Penyokong-penyokong BN mendesak individu terbabit menyerahkan semula jaket berlambang dacing yang dipakainya, sebaliknya disindir dengan menyebut: “Saya pakai baju dacing, tapi hati saya tetap PKR!” menyebabkan kekecohan berterusan dengan pihak BN cuba mendesak individu berkenaan memulangkan jaket tersebut.

Menurut aktivis PRIMA Haji Abu Bakar Ninggal yang menyertai rombongan calon PKR bagi kerusi Parlimen Gombak, Sdr Azmin Ali kekecohan tersebut dapat dikawal oleh pihak keselamatan sebelum ianya melarat. Haji Abu Bakar yang sebelumnya dijangka ke Permatang Pauh membuat keputusan di saat-saat akhir dengan memilih kawasan Parlimen Gombak. Beberapa aktivis PRIMA terbabit memberi sokongan moral kepada calon-calon yang bertanding dengan ketetapan yang dibuat ‘PILIH CALON, BUKAN PILIH PARTI’. Malah aktivis PRIMA juga dibenarkan memberi sokongan moral kepada mana-mana calon UMNO berdasarkan penilaian yang menepati pendekatan PRIMA iaitu calon yang berkualiti serta mampu memberi khidmat kepada rakyat.

INFO SASTERA & BUDAYA

WACANA SEJARAH DI MUZIUM NS
PIMPINAN PRIMA DIBERI PENGHORMATAN

Pimpinan PRIMA Sdr Dharmala N.S. diberi penghormatan oleh Muzium Negeri Sembilan menyampaikan pengkisahan mengenai perjuangan nasionalisme Tuanku Tambusai, Dato’ Siamang Gagap dan ‘Perang Bukit Putus’ dalam wacana sejarah, besok (25 Februari 2008). Pengkisahan yang bermula jam 8.30 pagi itu akan disertai oleh peminat-peminat sejarah di Negeri Sembilan, menurut penolong kurator Muzium Negeri Sembilan, Sdr Asrul Effendi Kamaruzzaman. Sdr Dharmala bekas penyelidik bersama Jawatankuasa Penyelidikan Budaya Muzium Negeri Sembilan (1990-2003), masih meneruskan usaha kaji selidik dengan menghasilkan buku-buku berkiatan sejarah nasionalisme menerusi aktiviti PRIMA.

Tuanku Tambusai yang akan dibicarakan diangkat menjadi ‘Pahlawan Nasional Indonesia’ pada dekad 1990-an oleh pentadbiran Presiden Suharto dengan pusarannya di Rasah, Seremban dipulihara di bawah selenggaraan Muzium Negeri Sembilan di samping dibiyai oleh kerajaan Indonesia. Dalam gerakan nasionalisme di Indonesia Tuanku Tambusai terbabit bersama Tuanku Imam Bonjol menentang Belanda sekitar dekad 1830-an, dengan meninggalkan legasi perjuangannya ‘benteng tujuh lapis’ yang masih kekal di pulihara di Dalu-dalu, Pasir Pengaraian, kabupatin Rokan Hulu di propinsi Riau. Dato’ Siamang Gagap pula terbabit dalam frasa gerakan nasionalisme di Seri Menanti, Negeri Sembilan pada dekad 1870-an yang mencetuskan ‘Perang Bukit Putus’, beritahu Sdr Asrul Effendi selanjutnya.


KOMENTAR
bersama Pak Parjo

MENTERI TAK GUGUR JADI CALON
TAPI BELUM TENTU KEKAL JAWATAN

Syahdan di sebuah negeri Melayu yang disebut orang Malaysia, berkatalah memanda Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi semua menteri-menterinya dicalon semula dalam pilihanraya pada 8 Mac 2008, tetapi tiadalah jaminan akan dilantik semula memegang jawatannya. Sebermula disuratkan oleh segala jurutulis adapun memanda Perdana Menteri itu memberitahu semasa di Seberang Jaya (iaitu di suatu tempat yang pernah fakir dibawa menemuinya pada 1999 dahulu) semalam (23 Februari 2004) dengan mengakui pemilihan mereka bagi mengukuhkan kemantapan dalam memenangi hati rakyat jelata untuk memilih calon-calon memanda semuanya. Sebermula diketahuilah oleh semua orang sekiranya menteri-menteri itu digugurkan nescaya musnahlah segala impian mahu mencapai kemenangan dalam pilihanraya kelak.

Kata sahibul hikayat dalam ‘Kitab Melayu’ adapun raja apabila dihadap di balairong, maka segala anak-anak orang bergelar duduklah di kelek-kelekan, supaya dengan limpah kurnia akan dilantik menjadi pegawai-pegawai di istana. Akan bendahara dan penghulu bendahari dan temenggung dan segala menteri dan orang besar-besar segala sida-sida duduk di seri balai. Maka segala sida-sida yang muda duduk di selang-selang antara bentara dan hulubalang berdiri di ketapakan balai. Anak cucu menteri akan menjadi bendahara dan penghulu bendahari dan temenggung; anak cucu hulubalang akan patut jadi Laksamana dan Seri Bija Diraja duduk di selasar balai. Adapun yang bergelar Sang Setia bakal Seri Bija Diraja, dan barangsiapa bergelar Sang Guna bakal Laksamana, dan barangsiapa bergelar Tun Pikrama bakal Bendahara menurut yang disuratkan oleh:














HIDUP BAHASA MELAYU!

JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)

(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)





DARI LAMAN BLOG





TAK BERTANDING PADA PILIHANRAYA
RUANG LAIN BANTERAS KEBOBROKAN




Assalamualikum,




Pimpinan Gerakan Membanteras Rasuah (GERAK) Sdr Ezam Mohd Noor dalam SMS pagi ini (23 Februari 2008) beritahu beliau tak bertanding pada pilihanraya kali ini (penamaan calon besok, 24 Februari 2008), sebaliknya akan terus menumpukan kepada ruang lain bagi menangani kebobrokan dalam pentadbiran negara. Sekalipun kerajaan membuat pelbagai penafian, namun secara logik kebobrokan yang berlaku memang puncanya dari amalan rasuah yang keterlaluan. Justeru Ezam merasakan lebih baik mengambil pendekatan membanteras rasuah menerusi gerakan NGO (iaitu GERAK), daripada bertanding dalam pilihanraya atas tiket Bebas ketika ‘perhambaan minda’ masih menjadi ‘duri dalam daging’ kepada masyarakat Melayu.

Sebelum ini beberapa orang rakan juga bertanya kepada saya, sama ada akan turut bertanding dalam pilihanraya atau tidak, malah petang ini (23 Februari 2008) penyair Yassin Salleh juga menelefon meminta penjelasan. Semalam (22 Februari 2008), Ustaz Azmi dari Negeri Sembilan juga berharap saya bersedia menjadi calon (kononnya pernah mengikuti ceramah politik saya yang dianggap tak banyak berbeza dari Dato’ Seri Dr Rais Yatim berdasarkan ungkapan bahasa), bagi menyaingi calon UMNO yang sering bermain dengan kata-kata. Sama juga dengan pendekatan Sdr Ezam, memang saya merasakan menentang ‘perhambaan minda’ tak semestinya menerusi bertanding dalam pilihanraya, kerana ruang penulisan juga mampu memainkan peranan.







Malah mereka yang menduduki kerusi di Parlimen juga kadangkala meminta bantuan penulis-penulis bagi menyampaikan mesej kepada khalayak. Begitulah! Apalagi pada pilihanraya 1999 pun memang saya ditawarkan bertanding, sebaliknya terpaksa menolak atas sebab-sebab prinsip, apabila ‘perhambaan minda’ menjadi musuh manusia di mana-mana. Pada 2004 juga masih ada pihak meminta saya bertanding, tetapi saya tak akan mengambil pendekatan ‘peluru habis Palembang tak alah!’. PRIMA mengakui banyak urusan dengan jabatan kerajaan, mahupun kementerian mampu diselesaikan secara pintar bagaikan ‘memalu ular tengah belukar; ularnya biar mati, kayu pemukul jangan patah, tanahnya jangan lembang’. Astaga!







Justeru ketetapan yang diambil PRIMA dalam mesyuarat tak rasmi sebelum ini ialah menyeru pengundi-pengundi dalam pilihanraya ke 12 pada 8 Mac 2003 ‘MEMILIH CALON, BUKAN MEMILIH PARTI’. Bagi aktivis PRIMA mahupun kalangan rakan-rakan yang bersimpati dengan pendekatan PRIMA, tak ada istilah ‘UNDI RAHSIA’ lagi, sebaliknya ‘MENGUNDI CALON, BUKAN MENGUNDI PARTI’. Di kalangan aktivis PRIMA juga masih ramai akan memberikan undi kepada Barisan Nasional (BN) tetapi adalah dari calon UMNO bukan di luar UMNO, asal sahaja calon UMNO lebih baik daripada calon lawannya. Begitulah!







-Pak Dharma.







INFO HAK ASASI MANUSIA



KUASA PERINGKAT AKAR UMBI
PAK LAH TERPAKSA MENGAKU KALAH




Pendekatan Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu merombak struktor pentadbiran UMNO menerusi pilihanraya ke 12 pada 8 Mac 2008 ini, terjejas berikutan kuasa ahli-ahli di peringkat akar umbi menolak pembaharuan yang drastik. Menteri Besar Perlis, Dato’ Seri Shahidan Kassim yang mahu digugurkan terpaksa dikekalkan memimpin kerajaan negeri Perlis menghadapi pilihanraya, berikutan desas desus risiko yang akan menimpa UMNO di negeri itu sekiranya Pak Lah meneruskan pendekatan tersebut. Malah Dato’ Seri Shahidan mencapai kemenangan berganda pula, apabila berjaya membawa adiknya Ismail Kassim bertanding di kerusi Parlimen Arau, seolah-olah sinikal kepada penentangan yang dibuat Setiausaha Agung UMNO Dato’ Seri Radzi Shiekh Ahmad sebelum ini.




Senario di Negeri Sembilan sekadar menghadapi perubahan di Jelebu sahaja, apabila 17 wakil rakyat yang sepatutnya digugurkan, hanya 16 sahaja menepati ramalan awal. Salah seorang yang akan digugurkan Dato’ Seri Dr Rais Yatim mampu terus bertahan di kerusi Parlimen Jelebu, sekalipun beliau enggan menerima tawaran menjadi Setiausaha Agung Komanwel bagi ‘meranapkan’ kerjaya politiknya. Sebaliknya Dato’ Yunus Rahmat yang disebut-sebut mengisi kerusi Parlimen Jelebu, terpaksa akur dengan kuasa di peringkat ‘akar umbi’ apabila menerima kompromi bagi bertanding di kerusi DUN Klawang setelah penyandangnya turut tersenarai digugurkan. Rumusannya Pak Lah terpaksa mengalah apabila ‘kuasa akar umbi’ lebih berbisa daripada ‘Presiden’. Heh heh heh!




INFO SASTERA & BUDAYA




TIGA BUAH BUKU KARYA RON
KRITIKAN TERHADAP KEBOBROKAN



Bekas Ahli Parlimen UMNO Parit Sulong, Johor Dato’ Ruhanie Ahmad menghasilkan tiga buah buku terbarunya yang dianggap kontroversi dengan judulnya ‘GELOMBANG KUNING KEBAGKITAN RAKYAT’ (GKKR), ‘HINDRAF SATU KONSPIRASI’ (HSK) dan ‘TOYOL COURT’ (TC). Buku GKKR secara sinikal mempertikai fenomena pentadbiran yang dipengaruhi ‘Tingkat 4 di Putrajaya’ hingga menimbulkan gelombang kebangkitan rakyat dalam insiden di Istana Negara. Dato’ Ruhanie yang lebih dikenali sebagai ‘Ron’ turut mempersoal program ‘Wilayah Pembangunan Iskandar’ hingga ianya mendedahkan rakyat negeri Johor kepada jaringan politik kuasa luar secara terancang.




Ketiga-tiga buah berkenaan sudah berada di pasaran sekarang dengan harga RM51 satu set. Bagaimanapun bagi tempoh kempen pilihanraya menjelang 8 Mac 2008, harga bagi senaskhah buku-buku berkenaan ialah RM10. Penyair Yassin Salleh mewakili Dato’ Ron menawarkan harga terendah buku berkenaan, sekalipun terpaksa memberi subsidi kepada penerbitannya bagi menampung kos percetakan. Menurut Sdr Yassin bagi mereka yang berminat membeli buku-buku berkenaan bolehlah menghubunginya menerusi telefon 016-6832861 atau terus mengikuti laman blog www. kuda-kepang.com. bagi keterangan lanjut. Sdr Yassin juga memberitahu beberapa kawasan pilihanraya di Pahang sudah pun bersetuju menganjurkan program penjualan buku bersama Dato’ Ron.




KOMENTAR
bersama Pak Parjo



PENGUNDI BUKAN MELAYU DI BANDAR
JADIKAN CALON-CALON BN KURANG SELESA



Sebermula diceriterakan oleh yang empunya ceritera, bahawa pada pilihanraya yang ke 12 disebuah negara bernama Malaysia pada 8 Mac 2008 itu, pengundi-pengundi bukan Melayu dikatakan bermuafakat memberi sokongan kepada lawan kerajaan. Maka semua calon-calon BN yang mewakili kerajaan, terlalu kurang selesa dengan keadaan tersebut. Arakian akan Dewan Perniagaan Cina (DPC) dan Persatuan Pendidikan Cina (Dong Jai Zong) pun diminta memberikan pertolongan. Tersebutlah pula dalam jabatan-jabatan kerajaan sudah dibenarkan akan kontraktor-kontraktor bukan Melayu memohon apa sahaja pelbagai kemudahan, dengan tiadalah lagi syarat-syarat seperti sebelum ini, adanya.




Adapun akan DPC itu diberitahu kepada fakir sudahlah menerima suntikan setengah juta ringgit, begitu juga dengan sebuah sekolah tinggi Cina di bandar Seremban, Negeri Sembilan diberilah setengah juta ringgit untuk pembangunan pendidikan Cina di situ. Aduhai! Syahdan tersebutlah pula akan anak-anak bukan Melayu di ladang-ladang yang tak mempunyai sijil beranak dibenarkan ia mendaftar di sekolah-sekolah kerajaan, kerana bimbanglah akan kehilangan ‘undi penentu’ di kalangan bukan Melayu itu. Terlalulah bermurah hatinya kerajaan kepada masyarakat bukan Melayu bagi membantu calon-calon bukan Melayu di bandar, sekalipun sudah tersurat di dalam hikayat Melayu: Kera di hutan disusukan, anak dipangku diletakkan, dagang lalu nasi ditanakkan, laki pulang dalam kelaparan!




Syahdan akan Maharaja Cina itu dihantarlah puterinya ke Melaka untuk didudukkan dengan Sultan Mansor Syah. Maka diutuslah Tun Perpatih Putih ke benua Cina dalam urusan menjemput Puteri Hang Li Po ke Melaka. Adapun Tun Perpatih Putih itu adik Bendahara Paduka Raja Tun Perak, yang kakak mereka Tun Kudu pernah dikahwinkan dengan Sultan Muzaffar Syah (iaitu ayahanda Sultan Mansor Syah). Tun Kudu itu diceraikan oleh Sultan Muzaffar Syah dinikahkan pula dengan bapa saudaranya Seri Nara Diraja Tun Ali bin Mani Purindam, bagi mengelakkan perbalahan orang-orang Melayu dengan saudagar-saudagar India yang mendapat perlindungan Seri Nara Diraja Tun Ali seperti yang disuratkan dalam ‘Kitab Melayu’ oleh:

















HIDUP BAHASA MELAYU!

Friday, February 22, 2008

JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)

(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)


DARI LAMAN BLOG

POLITIK BUKAN SEKADAR CERAMAH
TAPI KUASA WANG & PENGARUH PERIBADI


Assalamualaikum,




Bermula dengan SMS yang kemudiannya berbalas-balas petang ini (22 Februari 2008), saya mendapat kawan baru yang masih belum bersua muka lagi, tetapi sekadar dikenali sebagai Ustaz A sahaja. Di mana Ustaz A memperoleh nombor telefon saya tak penting, tetapi implikasinya memang berkaitan dengan kebobrokan pentadbiran negara yang serba pincang, goncang dan goyang. Barangkali! Apalagi Ustaz A seolah-olah sengaja menimbulkan suasana lucu, kerana mahukan saya menjadi calon pilihanraya ke 12 kali ini. Tetapi lanskap politik 2008 tak sama dengan 1958, kerana semangat sahaja dengan ucapan yang memukau audien ketika berceramah tak menjadi aset, sebaliknya kuasa wang mengatasi pengaruh peribadi. Begitulah!





Seterusnya Ustaz A menyentuh mengenai Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Dato’ Seri Utama Dr Rais Yatim yang dianggap hebat dengan ungkapan pepatah petitih sewaktu berucap, sebaliknya beliau juga pernah melihat saya naik ke platform di samping ucapan berpepatah petitih. Alhamdullillah! Sekalipun Ustaz A sebagai Imam Masjid (seorang penjawat awam) tak membuat perbandingan, tetapi beliau bangkitkan juga sikap arogan pimpinan negara yang berbangga dengan pembina masjid berjuta-juta ringgit, sebaliknya tak dimakmurkan secara terancang. Apalagi hari rini di Masjid al-Khiriyyah Taman Seri Gombak, teks khutbah memuji-muji kerajaan negeri Selangor dengan peruntukan berjuta-juta ringgit bagi skim khairat kematian (gamaknya tak dikategori politikkan masjid). Aduhai!





Apalagi Ustaz A juga mengimbau senario di Negeri Sembilan berkaitan proklamir Menteri Besar Negeri Sembilan Dato’ Seri Mohamad Hassan mengenai pembinaan tujuh masjid baru di negeri berkenaan baru-baru ini. Kabarnya masjid di Rantau (kawasan DUN Menteri Besar Negeri Sembilan) menerima sponsor RM7 juta dari tokoh korporat dan penerima anugerah Maal Hijrah 1429, Tan Sri Syed Mokhtar al-Bukhary dalam pembinaan bangunan masjid di situ. Bangunan masjid yang hebat dengan penduduk yang minima di kariah terbabit katanya, memungkinkan masjid berkenaan sekadar menjadi lambang ‘keegoan’, bukanlah sebagai rumah ibadat yang dikehendaki oleh Islam.





Justeru teringatlah saya ketika berkunjung di Masjid Sikamat di Seremban sekitar tahun 2002 untuk bersolat, keadaannya lengang tak berjemaah sekalipun sudah masuk waktu zohor. Alahai! Di samping di kawasan perumahan di sekitar kawasan Titi yang merangkumi beberapa kawasan perumahan di samping sekolah-sekolah berasrama (sebagai lambang ‘keegoan’ juga, gamaknya!) termasuk sekolah teknik, Maktab Rendah Sains Mara, sekolah komuniti (kabarnya terletak juga lokasi rumah Dato’ Mohd Yunus Rahmat, (pegawai khas di pejabat Setiausaha Agung UMNO), tak dibina pula masjid yang bernilai RM7 juta. Heh heh heh!





-Pak Dharma.



INFO HAK ASASI MANUSIA





BN DI PERLIS SEMAKIN PARAH
PENYOKONG SHAHIDAN TAK KOMPROMI




Laporan dari Perlis menerusi telefon petang ini (22 Februari 2008), lanskap politik di negeri itu dalam keadaan berkemelut, berserabut dan berkelabut. Dalam laporan hingga petang tadi (setakat jam 6.00 petang), penyokong-penyokong Menteri Besar Perlis Dato’ Seri Shahidan Kassim enggan berkompromi dengan keputusan Putrajaya dalam senarai pemilihan calon. Menurut sumber, penyokong-penyokong Dato’ Seri Shahidan lebih rela mengambil sikap ‘tak aktif’ dalam pilihanraya kali ini, sekiranya Putrajaya menetapkan calon-calon yang akan diletak bertanding pada hari penamaan calon 24 Februari ini. “Mereka tak terkilan kalau negeri Perlis jatuh ke tangan PAS, daripada berkompromi dengan Putrajaya apabila keputusan hanya dibuat oleh seseorang,” menurut sumber itu.




Berikutan insiden dalam lanskap politik di negeri Perlis setakat jam 6.00 petang tadi (22 Februari 2008), Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz mengakui beliau sudah menerima laporan tersebut sejak beberapa hari lalu. Malah kemelutnya lebih parah lagi menurut Dato’ Kamal Amir, kerana Setiausaha Agung UMNO Dato’ Seri Mohd Radzi Sheikh Ahmad enggan menjadi calon, sekiranya Dato’ Seri Shahidan kekal memimpin kerajaan negeri Perlis. Dato’ Kamal Amir yang juga penganalisis politik memberitahu, Dato’ Seri Mohd Radzi adalah pemimpin yang rebah dan bangun bersama Dato’ Seri Abdullah sejak insiden 1987. “Dato’ Seri Abdullah tak ada pilihan lain, sama ada Dato’ Seri Mohd Radzi atau Dato’ Seri Shahidan?” kata Dato’ Kamal Amir.




AZMIN CALON PARLIMEN GOMBAK
PAS-PKR AKAN UMUM DI PINGGIRAN




Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Azmin Ali dijangka akan diumum sebagai calon pembangkang di kawasan Parlimen Gombak, di samping calon PAS bagi DUN Gombak Setia, Dato’ Ismail Kamus dan DUN Hulu Kelang Shaari Sungip. Sementara PKR pula meletakkan calonnya di DUN Batu Caves bagi menentang calon MIC yang juga dikatakan muka baru. Kedua-dua parti berkenaan yang menjadi rakan dalam Barisan Alternatif (BA) akan membuat pengumuman berkenaan malam besok (23 Februari 2008), dalam ceramah terbuka di Padang Pinggiran Batu Caves, seperti diproklamir oleh Pesuruhjaya PAS Selangor, Dato’ Dr Hassan Mohd Ali selepas solat Jumaat di masjid al-Khiriyyah Taman Seri Gombak hari ini (22 Februari 2008).




Ketika memberitahu mengenai ceramah BA malam besok (23 Februari 2008), Dato’ Dr Hassan bersama beberapa penyokong dan aktivis PAS turut menyebarkan risalah, di samping manifesto bersama BA bagi negeri Selangor yang menggariskan “urustadbir berwibawa” serta “sosial dan kebajikan masyarakat”. Manifesto bersama itu berteraskan kepada prinsip ‘Selangor Bersih, Maju dan Berkebajikan’ turut menawarkan kepentingan umum iaitu (i) menurunkan harga petrol, desel dan gas; (ii) menyediakan pendidikan percuma; (iii) memberikan khidmat kesihatan percuma; (iv) merapatkan jurang agihan kekayaan antara kaya-miskin dan (v) mewujudkan kerajaan beramanah, adil, bersih dan berkebajikan.




PARLIMEN REMBAU JADI UJIAN
TANAH ADAT TAK AKAN DIGADAI




Naib Ketua Pemuda UMNO, Sdr Khairy Jamaluddin yang diura-ura bertanding di Parlimen Rembau pada pilihanraya ke 12, mungkin berhadapan saingan sengit apabila kerjasama PAS-PKR akan digerakkan serentak. Pengendali blogger di Rembau Sdr Rozmal Malakan memberitahu, pihaknya tak akan membenarkan ‘tanah adat’ di Rembau digadai oleh mereka yang ‘pelahap’ hingga menjejaskan maruah bangsa. Sdr Rozmal yang juga pengarah pilihanraya PAS di Parlimen Rembau berkata, pengundi-pengundi di Rembau bukan sekadar menolak Khairy, malah sukar menerima kerakusannya mahu melonjak ke atas dengan ‘memijak bahu orang lain’.




“Insya Allah, PAS dan PKR di Rembau sudah membuat persiapan awal semata-mata mempertahankan ‘tanah adat’ daripada digadaikan sekiranya membenarkan UMNO terus mendominasi politik di daerah Rembau,” katanya menerusi SMS ketika menyokong pendirian PRIMA, ‘pilih calon, bukan pilih parti’. Sdr Rozmal juga turut mengumumkan aktivis Pemuda PKR Cikgu Badrulhisham sebagai calon BA di Parlimen Rembau dalam pilihanraya 8 Mac nanti. Seterusnya sdr Rozmal juga mengakui akan mengiringi calon PKR dan PAS yang bertanding di kerusi Parlimen Rembau dan DUN di kawasan terbabit sebagai mesej kepada BN dan UMNO, rakyat Malaysia akan membawa perubahan iaitu berdasarkan ‘Allah tak mengubah nasib sesuatu kamum, tetapi kaum itu sendiri yang menentukan nasib masa hadapan mereka’.




PENDIRIAN PRIMA P/RAYA KE 12
‘PILIH CALON, BUKAN PILIH PARTI’




Pakar kaunseling Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah yang tak hadir dalam mesyuarat tak rasmi PRIMA baru-baru ini, memberitahu beliau memilih kawasan Parlimen Pekan bagi mewakili PRIMA mengiringi Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak pada hari penamaan calon 24 Februari 2008 ini dalam menyahut pendirian yang ditetapkan PRIMA ‘pilih calon, bukan pilih parti’. Sebelum ini dalam mesyuarat tak rasmi PRIMA di Taman Seri Gombak ketetapan dibuat sebagai pendirian bersama ialah: ‘PILIH CALON, BUKAN PILIH PARTI’. Justeru petang ini (22 Februari 2008) Dato’ Dr Mohd Mansor yang juga bekas Timbalan Naib Canselor (HEP) UTM menghubungi sekretariat PRIMA memberitahu beliau akan ke kawasan Parlimen Pekan.





Dalam mesyuarat berkenaan pimpinan kanan PRIMA Haji Yahaya Ismail membuat keputusan ke Parlimen Lembah Pantai menyertai perarakan Dato’ Shahrizat Abdul Jalil, Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz ke Parlimen Gua Musang bersama Tengku Razaleigh Hamzah, aktivis PRIMA Haji Mohd Sayuti Omar ke Pasir Mas memberi sokongan moral kepada calon PAS Dato’ Ibrahim Ali dan pimpinan PRIMA Pak Dharma dijangka menyertai perarakan Dato’ Ahmad Bujang dan Haji Yuszahari Yusuff di Gombak. Sementara Haji Abu Bakar Ninggal mengakui isterinya (Hajjah Roselina Hussein) sudah menerima panggilan telefon dari Presiden PKR Datin Seri Wan Azizah Ismail pagi ini (22 Februari 2008), tetapi belum membuat keputusan sama ada akan ke Permatang Pauh atau ke Lembah Pantai.





Aktivis teater di Pahang L. Mankadir Shamsi mewakili PRIMA mengiringi calon PAS Ustaz Kamal Shaari di Parlimen Kuala Krau dan calon PKR Haji Suhaimi Said di DUN Jenderak. Di Melaka aktivis budaya Dr Harun Kidam tak menyertai perarakan, tetapi menyokong pendirian PRIMA iaitu ‘pilih calon, bukan pilih parti’. PRIMA juga turut memberi sokongan moral kepada calon PKR bagi DUN Dengkel, di Selangor Sdr Ishamuddin Hj Ismail dalam melestarikan manifesto yang digariskan bersama dengan PAS bagi menghadapi pilihanraya ke 12 ini. Bagaimanapun PRIMA hanya menyokong calon-calon UMNO yang bertanding atas tiket BN berdasarkan ‘pilih calon, bukan pilih parti’ itu.





INFO SASTERA & BUDAYA




K’JAAN NS DIMINTA KAJI SEMULA:
PEMBAZIRAN IDEA BERI ANUGERAH




Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Mohamad Hassan diminta mengkaji semula anugerah sastera yang dianjurkan oleh kerajaan negeri, apabila penerima anugerah tak dianggap penyumbang besar dalam sastera dan budaya Melayu. Ketika menghubungi sekretariat PRIMA seorang penulis muda dari Seremban dikenali Sdr Azmi, mengakui komen kolumnis Salbiah Ani di Berita Harian tak lama dulu adalah ditujukan kepada proses memberi anugerah kepada penulis di Negeri Sembilan. Dalam tulisan tersebut menurut Sdr Azmi, kolumnis berkenaan mengkritik langkah memberi anugerah kepada individu yang sudah meninggal dunia, ketika tokoh sebenar dalam bidang penulisan di Negeri Sembilan masih lagi hidup.




“Memang saya tahu dari A hingga Z mengenai cara pemberian anugerah tersebut, bukan berdasarkan ketokohan tetapi mengikut kesongsangan idea,” menurut Sdr Azmi yang menyifatkan kerajaan Negeri Sembilan hanya membazir masa sekiranya pemilihan dibuat secara semborono. Katanya, bagaimana seseorang yang hanya menghasilkan sebuah sajak sahaja boleh dipilih menerima anugerah. Setidak-tidaknya menurut Sdr Azmi lagi, pihak kerajaan Negeri Sembilan atau pejabat Menteri Besar seharusnya mempunyai dokumentasi lengkap sama ada dari akhbar mahupun majalah, bukan sekadar ‘tangkap muat’ menerusi persatuan yang kewibwaannya boleh dipersoal. “Karya-karya yang diterbit oleh persatuan dengan kewangan kerajaan negeri, masih dipertikai tahap pencapaian dan mutu karyanya,” beliau menjelaskan.



KOMENTAR

bersama Pak Parjo



LEGASI PIMPINAN DARI BAPA
MEMANG SIASAH SEJAK PURBA





Syahdan disebutlah oleh perawi akan calon-calon yang bertanding pada pilihanraya ke 12 di sebuah negeri bernama Malaysia dalam bulan Rabiulawal 1429 nanti, ramailah anak-anak pemimpin meneruskan legasi kepimpinan ayah mereka. Diberitahu kepada fakir antara anak-anak pemimpin itu termasuk Dato’ Mukhriz anakanda kepada Tun Dr Mahathir Mohamad dan ramailah lagi anak-anak orang-orang besar itu dijadikan calon, adanya. Sebermula kejadian tersebut sudahlah berlaku pada dekad 1970-an, apabila pada pilihanraya kecil di Kajang anak wakil rakyat yang meninggal dunia Dato’ Nazir yang bernama Dato’ Azmir itu dijadikan calon. Maka sekalian hamba rakyat di Kajang pun mengundilah untuk memenangkan anak wakil rakyat itu.





Kata yang empunya ceritera pada tahun 1976 juga berlakulah kejadian seperti itu apabila Perdana Menteri Tun Abdul Razak meninggal dunia, maka diperkenan oleh Sultan Pahang akan anak orang besar itu yang bernama Dato’ Mohd Najib menjadi calon dalam pilihanraya. Maka tiadalah akan hamba Melayu itu membantah akan kemahuan rajanya, kerana sudah mustaid segala yang dikatakan oleh orang tua-tua dahulu, tiadalah anak Melayu itu menderhaka. Syahdan sekali persetua Bendahara Paduka Raja Tun Perak itu hilanglah, lalu dikebumi oleh Sultan Mahmud Syah mengikut adat orang-orang besar dahulukala jua, adanya.





Adapun baginda Sultan Mahmud Syah tiadalah ia keluar ke balai penghadapan beberapa hari oleh kerana masyghol teramat sangat. Setelah beberapa hari dimintalah oleh orang-orang besar baginda keluar ke balai penghadapan kerana mereka semua hendak mengadap ke bawah duli. Maka baginda pun melantik adik Bendahara Paduka Raja yang pernah diutus ke benua China iaitu Tun Perpatih Putih menjadi bendahara, kerana baginda tidaklah mengikut akan siasah orang tua-tua dahulu iaitu melantik anak bendahara, Paduka Tuan gelarnya Tun Muhammad namanya. Disebabkan Tun Perpatih Putih itu sudah tua, tiadalah lama ia menjadi bendahara, lalu digantikan pula oleh Seri Maharaja Tun Mutahir sebagaimana disurat menerusi kalam:

















HIDUP BAHASA MELAYU!

Thursday, February 21, 2008

JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)

(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)


DARI LAMAN BLOG

YANG GUGUR & YANG SUBUR
MENJELANG PENAMAAN CALON

Assalamualaikum,

Aktivis PRIMA Sdr Zakaria Bidin mengirim SMS (20 Februari 2008) bertanyakan calon yang akan bertanding dalam pilihanraya ke 12 nanti, menjelang hari penamaan calon 24 Februari 2008 bagi kawasan Parlimen Gombak. Hingga 19 Februari 2008 pun Ketua Penerangan UMNO Bahagian Gombak, Sdr Omar Sudi Abdul Manan pun masih belum dapat memberikan maklumat. Apalagi semua peringkat masih berahsia mengenai calon-calon yang akan gugur mahupun terus subur menelusuri legasi selaku wakil rakyat dalam senario politik yang serba kalut, melalut dan berkelabut. Aduhai! Bagaimanapun berita TV jam 8.00 malam (20 Februari 2008), Melaka, Terengganu dan MIC secara rasmi memproklamir calon-calon mereka di semua peringkat.
Apalagi MIC dengan kepongahan Presidennya Dato’ Seri Samy Vellu meneruskan dominasi politiknya di Parlimen Sungai Siput, hanya akan berundur dari politik apabila mampu ditewaskan oleh calon lain. Cabaran tersebut sewajarnya diterima oleh majoriti pengundi di Sungai Siput dalam terma politik mutakhir iaitu ‘memilih calon bukannya memilih parti’. Setidak-tidaknya peluang terbaik bagi pengundi-pengundi di Sungai Siput memberi mesej kepada sesiapa calon yang enggan berundur secara terhormat, segera mencari alternatif: ‘Kalau mahu tahu lebarnya pantai tanyalah kepada camar; kalau mahu tahu tingginya awan tanyalah kepada helang, kalau mahu tahu suramnya senja tanyalah kepada tabtibau, kalau mahu tahu panjangnya kemarau tanyalah kepada bebarau.” Begitulah!

Di Melaka khabarnya Dato’ Mohd Said Yusuff digugurkan daripada mempertahan Parlimen Jasin. Spekulasi sejak awal lagi memang kelantangan suara Mohd Said ketika berbahas di Dewan Rakyat meletakkan peluang beliau terjejas, terbias dan terpulas. Heh heh heh! Tak tahulah dengan kedudukan rakan-rakannya yang juga turut bersuara lantang seperti Dato’ Muhammad Aziz (Sri Gading), Dato’ Badruddin Amiruldin (Jerai) dan Dato’ Bung Mokhtar Radin (Kinabatangan). Mungkin sahaja besok (21 Februari 2008) senarai calon diproklamir akan membabitkan mereka, almaklumlah! Bukan sahaja Mohd Said Yusuff digugurkan, mungkin ramai lagi di peringkat DUN tak berpeluang meneruskan legasi YB asal sahaja ‘terlalu pantas’ mara ke hadapan (menurut Dato’ Seri Chua Soi Lek).

Keputusan pilihanraya di Pakistan (18 Februari 2008) meletakkan Parti Rakyat Pakistan (PPP) pimpinan Allahyarham Benezir Bhutto mendahului majoriti, diikuti Liga Muslim (PML-Q) di bawah Nawaz Shariff di samping (PML-N) ketinggalan, iaitu sebagai mesej kepada Presiden Pervez Musharaf kepongahan pimpinannya sudah berakhir. Sekalipun PPP dikatakan pro Amerika Syarikat, tetapi rakyat Pakistan bersedia memberi laluan kepada keluarga Bhutto bagi menyingkirkan Musharaf yang dianggap ‘bayi dalam buaian AS’. Apakah bagi tempoh 18 Februari 2008 di Pakistan mampu membawa angin perubahan di Malaysia pada 8 Mac 2008 ini? Entahlah!

-Pak Dharma.

INFO HAK ASASI MANUSIA

PROVOKASI MAJLIS BANDARAYA
SAH TERENGGANU 8 NEGERI PANAS

Provokasi penguatkuasa Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) menurunkan poster PAS di Bulatan Batu Enam (19 Februari 2008) mengesahkan kenyataan Ketua Polis Negeri, Tan Sri Musa Hassan, Terengganu antara lapan negeri dalam keadaan ‘panas’ pada pilihanraya 8 Mac 2008 nanti. Sambil mengecam tindakan ‘bacul’ MBKT, Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz memberitahu, provokasi yang dibuat oleh MBKT adalah jelas didorong oleh keadaan terdesak UMNO dan BN di Terengganu. Pihak MBKT sepatutnya menghantar notis, atau mengambil tindakan kepada PAS membayar denda kerana melangar peraturan memasang poster bukan menurunkan poster berkenaan sebagai provokasi mahukan PAS bertindak balas, kata Dato’ Kamal Amir.

“Tindakan MBKT jelas diarahkan oleh kerajaan sementara di Terengganu, apabila Menteri Besar Dato’ Idris Jusoh dalam keadaan terdesak,” menurut Dato’ Kamal Amir mengulas insiden yang berlaku di Kuala Terangganu itu. Seterusnya beliau menambah berlaku percanggahan fakta dalam laporan media mengenai insiden tersebut, apabila TV3 menerusi ‘Buletin Perdana’ menyebut penyokong PAS tak menghalang langkah MBKT hanya diperingkat akhir berlaku sedikit kekecohan. Sebaliknya akhbar arus perdana Utusan Malaysia (selepas ranapnya ‘Utusan Melayu’) menyebut keadaan semakin kecoh apabila kehadiran Dato’ Abu Bakar Chik (Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu), ujar Dato’ Kamal Amir selanjutnya.

AWANG ADEK BAKAL MB KELANTAN
PENGUNDI JANGAN HARAP GURUH DI LANGIT

Pengumuman Barisan Nasional (BN) akan melantik Dato’ Dr Awang Adek Hussin menjadi Menteri Besar Kelantan sekiranya UMNO berjaya merampas negeri itu pada pilihanraya 8 Mac ini adalah dialu-alukan, menurut aktivis PRIMA Haji Mohd Sayuti Omar. Bagaimanapun beliau mengingatkan pengundi-pengundi di Kelantan tak membiarkan diri terjerumus ke dalam fenomena ‘harapkan guruh di langit, air di tempayan dicurahkan’. Haji Mohd Sayuti yang juga penganalisis politik memberitahu, kewibawaan Dato’ Dr Awang Adek di samping kedudukannya selaku Timbalan Menteri Kewangan, memang mampu menjadi ketua pentadbir kerajaan negeri. “Bagaimanapun kewibawaan sahaja tak cukup, kerana pendekatan yang dibawa oleh UMNO di Kelantan masih tidak telus, malah dipertikai oleh majoriti ahli UMNO sendiri,” jelasnya.

Seterusnya Haji Mohd Sayuti memberitahu, dalam beberapa siri program lawatan Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi ke negeri itu, termasuk juga pelaksanaan ‘perkampungan Hadhari’ lokasi yang dijadikan tumpuan ialah di kawasan Dato’ MustaphaMohamad, Dato’ Annuar Musa dan Dato’ Awang Adek sendiri seolah-olah pimpinan UMNO di Kelantan terletak di tangan mereka bertiga. Justeru ketua-ketua UMNO di Bahagian lain termasuk juga yang didominasi oleh PAS, merasakan mereka seolah-olah dipinggirkan dalam menggerakkan jentera parti di negeri itu, menurut Haji Mohd Sayuti lagi. “Dalam tempoh selepas pilihanraya 2004, kawasan Gua Musang tak pernah diberi perhatian dalam program lawatan Pak Lah ke Kelantan atau menggerakkan ‘perkampungan Hadhari’,” ujarnya menambah.

INFO SASTERA & BUDAYA


GLORI NAMA ‘ISTANA BUDAYA’
SEKADAR BANGUNAN TERSERGAM

Konsert ‘Penyayang Malaysia’ yang dirasmikan oleh Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi bermula 13 Februari 2008 lalu, bertempat di ‘Istana Budaya’ sekadar mengisi aktiviti kesenian di bangunan tersergam itu, kerana ianya tak mampu melestarikan minda bagi mengangkat nilai kebudayaan Melayu sebenar, kata pakar kaunseling dan aktivis budaya Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah. Menurut Dato’ Dr Mohd Mansor yang juga bekas Timbalan Naib Canselor (HEP) UTM, pengisian dalam melonjakkan Istana Budaya sebagai pusat kebudayaan nasional jauh tersasar daripada yang diungkapkan oleh bekas Menteri Kebudayaan Belia dan Sukan, Allahyarham Tan Sri Abdul Samad Idris apabila mengumumkannya di Ipoh pada April 1980.

Pengarang novel ‘Daerah Tercinta’ tercinta itu memberitahu ketika Hari Sastera di Ipoh, Tan Sri Abdul Samad menyebut: “Panggung Negara yang tidak lama lagi diistilah kepada ‘Istana Budaya’, supaya sesuai dengan tradisi di zaman bahari – budaya dan ilmu berpusat di istana”. Sebaliknya menurut Dato’ Dr Mohd Mansor lagi, sejak Istana Budaya digerakkan pengisiannya lebih cenderung kepada unsur-unsur komersil, hingga nilai ilmunya sukar dikesan. Beberapa persembahan teater sekadar mengisi aktiviti tahunan bukan membawa kesedaran budaya dan ilmu kepada masyarakat, beritahu Dato’ Dr Mohd Mansor selanjutnya. “Malah saya difahamkan teater ‘Raja Melewar’ yang pernah diilhamkan oleh Tan Sri Abdul Samad selepas beliau tak lagi jadi menteri, ditolak oleh Istana Budaya,” jelasnya.

Ketika pembinaannya menurut Dato’ Dr Mohd Mansor memang bagi program ‘Panggung Negara’ dalam perancangan mementaskan karya-karya berprestij, tetapi sekitar dekad 1960-an di Singapura sendiri sudah wujud ‘Panggung Negara’. Justeru dalam usaha tak terikut-ikut dengan pembangunan persembahan teater di Singapura, Tan Sri Abdul Samad bersama beberapa orang rakan pemikir budaya dan sastera membuat rumusan bagi menukar bangunan ‘Panggung Negara’ kepada ‘Istana Budaya’ dengan skop yang lebih bermakna, katanya lagi. “Sayangnya, Istana Budaya yang sudah gah tersergam di manipulasi untuk kepentingan memperoleh imbuhan peribadi, bukan menepati sasaran apabila ianya dibangunkan,” beritahu Dato’ Dr Mohd Mansor.


KOMENTAR

bersama Pak Parjo.

PANDANGAN DI LUAR KELOMPOK
AKAN DIANGGAP RANAPKAN NEGARA


Sebermula kata sahibul hikayat akan ranaplah negara ini, asal sahaja membenarkan sebarang pandangan di luar kelompok sendiri yang disebut oleh Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Dato’ Seri Dr Rais Yatim. Kononnya dicanangkan ke seluruh pelusuk negeri, akan perihal Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang mahukan ‘perarakan jalanan’ (atau bahasa yang fakir tak faham ‘demonstrasi’) dibenarkan dalam negara yang khabarnya aman tenteram, terkawal keselamatan dan menjadi suri tauladan kepada negara-negara lain akan kemakmurannya. Heh heh heh! Maka akan menteri itu pun lalu dibukanya ‘kanun’ Akta Ketenteraman Awam 1959, Artikel 10 dan 11 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Polis Diraja Malaysia (PDRM) 1967, seolah-olah kelompok Hadi Awang ‘dungu sangat’ dengan kanun yang disebutkan.


Syahdan akan kanun Minangkabau itu terlalulah baiknya yang diwariskan oleh Dato’ Maharajo Dirajo di Padang Panjang Koto Pariangan yang dibantu oleh Cati Bilang Pandai. Tersebutlah akan ‘Undang-Undang Si Mumbang Jatuh’ bagi menjaga kebajikan masyarakat di Ranah Minang, maka berlakulah kejadian anjing peliharaan anak buah Sutan Basa (Dato’ Ketumanggungan) mengerkah anak buah Sutan Basa (Dato’ Perpatih Nan Sabatang), lalu mereka pun menuntut keadilan dalam perbicaraan adat. Kata sahibul hikayat dijatuhkan hukum, si polan yang dikerkah anjing itu hendaklah mengerkah anjing berkenaan. Disebabkan ‘Undang-Undang Simumbang Jatuh’ itu tak sesuai, maka Sutan Balun pun memindanya kepada ‘Undang-Undang Si Gamak-Gamak’ atau ‘Tarik Balik’.

Adapun akan akta dikatakan menteri yang tersebut di dalam ‘Kitab Melayu’ itu samalah dengan ‘Undang-Undang Si Mumbang Jatuh’, maka ianya disebut ‘bolehlah dipinda’ kepada ‘Undang-Undang Si Gamak-Gamak’. Oleh yang demikian maka si polan yang cedera dikerkah oleh anjing itu, dimintalah akan si pemelihara anjing berkenaan mengubati luka-lukanya. Arakian akan menteri yang maha tahu mengenai undang-undang itu sudah diberitahu oleh sahabat-sahabat fakir, sekali persetua dalam tahun 1987 undang-undang jualah yang ‘meranapkan’ UMNO itu, bukanlah Haji Hadi atau lain-lain anasir luar seperti yang disuratkan oleh:



HIDUP BAHASA MELAYU!