Friday, April 11, 2008

JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)

(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG:



SETENGAH JAM BERBALAS SMS
APABILA PAK MANSAL VS PAK DHARMA



Assalamualaikum,



Seakan-akan lucu pula apabila selepas solat subuh berbalas-balas SMS dengan Penasihat ProWaris Haji Mansor Ahmad hampir setengah jam hari ini (10 April 2008). Apalagi Haji Mansor atau Pak Mansal tak berapa ingat sama ada pernah bertemu atau tidak dengan saya, kerana perbincangan mengenai isu ‘Wilayah Pembangunan Iskandar’ (WPI) di Kampung Baru tak lama dulu, saya lebih banyak berdiam diri berbanding dengan Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz. Memang dalam beberapa perjumpaan pimpinan PRIMA memberi ruang kepada Dato’ Kamal Amir bersuara atas kapisiti Jurucakap PRIMA. Justeru Pak Mansal lebih mengenali Dato’ Kamal Amir dalam isu diperjuangkan oleh PRIMA. Begitulah!



Sebelumnya pada malam (9 April 2008), aktivis teater di Pahang Sdr L. Mankadir Shamsi mengirimkan skrip TV menerusi emel, minta disampaikan kepada pengurusan syarikat pembikin slot drama TV, Puan Nelly Omar. Kebetulan pula Nelly Omar berada di Ipoh, justeru beliau tak sempat membaca skrip TV yang dikirimkan Sdr Mankadir. Kalaulah segalanya berjalan lancar, Sdr Mankadir diminta menulis skrip mengenai penghibur Sudirman Haji Arshad yang dijadikan slot drama. Tak tahulah dengan drama berkenaan, kerana pada dekad 1980-an pengusaha filem pernah mahu memfilemkan kisah Tan Sri P Ramlee, tetapi semuanya berkecai apabila dihalang oleh heh heh heh!


Bagaimanapun pengusaha filem terbabit sekadar rugi sejumah wang, sebaliknya bangsa Melayu kehilangan dokumentasi bermakna, di samping tiada penghargaan ke atas seniman legenda berkenaan. Malah satu ketika kisah kepahlawanan Leftenan Adnan juga sukar untuk difilemkan apabila dibantah oleh pihak-pihak berkaitan, malah galeri untuk memberi penghargaan kepada Pendeta Zaaba turut menghadapi rintangan. Kalaulah tak disebabkan kebijaksanaan Tan Sri Abdul Samad Idris mencari kos pembiayaan, mungkin sahaja galeri yang dinamakan ‘Teratak Zaaba’ tak menjadi kenyataan. Moga-moga skrip drama “Sudirman” yang ditulis Sdr Mankadir tak akan menghadapi rintangan. Mudah-mudahan!


Sudah menjadi lumrah di kalangan penulis Melayu pula ialah eksploitasi yang tak berkesudahan, sekalipun tugasnya sudah selesai. Maknanya, dengan tak disiapkan skrip mahupun manuskrip novel, proses mendapatkan slot di TV tentulah sukar. Sebaliknya apabila ‘shooting’ dimulakan, pelakon-pelakon dibayar imbuhan terlebih dulu, tetapi si penulis kena tunggu dan tunggu dan tunggu. Lainlah penerbitnya ‘baik hati’! Apabila saya diminta menulis buku autobiografi, penat lelah menyediakan manuskrip tak diberi kepedulian, sebaliknya si penerbit sudah menerima bayaran pendahuluan RM20,000 bagi memulakan proses mencetak. Atau secara mudahnya: Si penerbit tak akan berpeluang mencetak buku sekiranya tak mendapat manuskrip terlebih dahulu. Begitulah!

-Pak Dharma.


INFO HAK ASASI MANUSIA:

PM TUDUH AHLI UMNO BELOT
TAHAP KEJUJURAN KOMPONEN BN?


Menuduh aktivis UMNO belot pada pilihanraya ke 12 (PRU 12), 8 Mac 2008 adalah tak adil, apabila Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi atas kapisiti beliau Pengerusi Barisan Nasional (BN) tak menganggap parti-parti komponen mengambil langkah sama iaitu mensabotaj. Menurut pakar kaunseling Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah yang terbabit membantu calon BN di kawasan Parlimen Pekan pada PRU12 lalu, tak semua aktivis UMNO mensabotaj calon-calon BN. Malah calon UMNO juga tewas di tangan calon bukan Melayu misalnya di Parlimen Nibong Tebal, di Pulau Pinang, beritahu Dato’ Dr Mohd Mansor selanjutnya. “Kenapa salahkan ahli-ahli UMNO sahaja, ketika calon-calon BN ramai tewas di kawasan bandar,” beliau menambah.



Dato’ Dr Mohd Mansor yang juga bekas Timbalan Naib Canselor (HEP) UTM mengulas desas desus lebih 400 ahli MCA di salah satu bahagian di Selangor menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini (10 April 2008). Menurut beliau lagi, sekiranya desas desus itu benar pihak pimpinan BN perlu meminta penjelasan parti komponen berkenaan yang sudah memberi jaminan untuk memulihkan semula penstruktoran pentadbirannya. Beliau turut mengakui, pada pilihanraya sebelum ini pimpinan Wanita dan Pemuda, seterusnya Puteri UMNO mengambil bahagian aktif membantu kemenangan calon-calon komponen BN di kawasan majoriti bukan Melayu. “Ketika membantu kempen calon-calon UMNO di kawasan Felda di Parlimen Pekan saya menyedari banyak kelemahan sendiri perlu diperbaiki,” kata Dato’ Dr Mohd Mansor.



‘COUNTDOWN’ DI KELAB SULAIMAN
CABARAN KEPADA TAN SRI MUSA HASSAN


Pelancaran ‘countdown’ di Kelab Sulaiman, Kampung Baru, Kuala Lumpur 14 April 2008 ini menjadi cabaran kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan sama ada beliau membenarkan agenda tersebut diteruskan mahupun sebaliknya, kata Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz. Beliau memberitahu sekretariat PRIMA pagi ini (10 April 2008) mengenai pakatan pembangkang dijangka menggerakkan malam ‘countdown’ 14 April ini sebagai manifestasi kebangkitan mereka selepas pilihanraya 8 Mac 2008 lalu. Kata Dato’ Kamal Amir, “Pakatan terbabit dilaporkan sudah memohon permit polis, malah dengan mendominasi 11-1 kawasan Parlimen di Lembah Kelang, pihak polis mungkin sukar bagi menolak permohonan tersebut.”

Dato’ Kamal Amir percaya gerakan ‘countdown’ itu mampu melonjak keterampilan Dato’ Seri Anwar Ibrahim apabila tempoh sekatan berpolitik ke atasnya berakhir, justeru cabaran sebenar pimpinan negara di bawah Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi bermula. Menurut Dato’ Kamal Amir PRIMA sudah dihubungi oleh pelbagai pihak yang mahu tahu bagaimana langkah boleh diambil bagi menghalang program ‘countdown’ itu sekalipun di peringkat awal dianggap ianya ‘perhimpunan aman’. Kata Dato’ Kamal Amir lagi, PRIMA sekadar memberikan mesej seperti kempen pilihanraya lalu, sebaliknya langkah susulan adalah di tangan aktivis UMNO sendiri. “Sudah tentu malam ‘countdown’ 14 April ini sebagai manifestasi kebangkitan pakatan pembangkang di bawah Dato’ Seri Anwar,” beritahu Dato’ Kamal Amir.


KOMENTAR:
bersama Pak Parjo


MENCARI KUASA KEHAKIMAN
HILANG BERSAMA SEJARAH SILAM

Syahdan bertitahlah Pemangku Sultan Perak, Raja Dr Nazrin dalam persidangan hakim-hakim di negeri Melayu, supaya dikembalikan kuasa kehakiman berikutan sejarah silam yang menggugatnya. Baginda bertitah di hadapan lebih 90 hakim di pelbagai peringkat semalam (2 Rabiulakhir 1429, atau disebut juga oleh anak cucu fakir 9 April 2008). Arakian disebut orang banyaklah akan perihal perbuatan memanda Perdana Menteri terdahulu yang mengusir hakim-hakim tak sehaluan dengannya, disebabkan ia mengingatkan memanda Perdana Menteri sekarang akan pentadbirannya yang serba goyah, goyang dan goncang! Maka berkatalah di dalam hati fakir, kenapa ketika kejadian itu berlaku, tak seorang pun orang-orang besar sekalian menyanggah akan perilaku yang ditunjukkan oleh memanda Perdana Menteri.


Arakian tersebutlah perkataan Raden Kelang anak baginda Sultan Mansor Shah dengan Raden Galoh Cendera Kirana, anak Betara Majapahit itu. Setelah baginda besar maka kasad Sultan Mansor Shah sungguh ada Raja Ahmad, saudara Raja Muhammad, dirajakan di Pahang itu, Raden Kelang hendak dirajakan baginda. Pada suatu hari Raden Kelang bermain ke kampung Keling. Maka orang pun mengamuk, hingga sekalian para pengawal habis lari. Raden Kelang pun menghunus keris menantikan orang mengamuk itu. Apabila orang mengamuk itu datang sama-samalah menikam, seorang rebah ke kiri seorang rebah ke kanan. Segala kejadian itu dipersembahkan kepada sultan. Maka segala orang yang mengiringkan Raden Kelang itu habislah dibunuh baginda mengikut akan kehakiman pada masa itu dalam ‘Kitab Melayu’ yang diceritakan:







HIDUP BAHASA MELAYU!

Thursday, April 10, 2008

JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)

(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)



DARI LAMAN BLOG:




TAK PRIHATIN KETUANAN MELAYU
GENERASI MUDA TAK FAHAM FUNGSI


Assalamualaikum,


Perjumpaan dengan YTM Undang Luak Rembau, Dato’ Lela Maharaja Haji Mohd Sharip Othman hari ini (9 April 2008) turut membangkitkan sejarah perjuangan melawan Inggeris tahun 1883 oleh Dato’ Lela Maharaja Haji Sahil (Undang Luak Rembau ketika itu). Berikutan generasi muda sekarang tak faham fungsi ketuanan Melayu, menyebabkan masyarakat tak prihatin dengan prinsip perluanya ia dipertahankan. Barangkali! Memang saya bersetuju dengan YTM Dato’ Haji Mohd Sharip apabila beliau merungut mengenai murid-murid sekolah di luak (daerah) Rembau tak mengenali dirinya, di samping tak faham institusi ‘Undang Yang Empat’. Apalagi pada period penjajahan Inggeris fungsi ‘Undang Yang Empat’ turut diperlekeh seperti insiden memecat Dato’ Haji Sahil (1883) dan Dato’ Bandar Tunggal di Sungai Ujong (1874).


Menerusi pengalaman saya selaku penyelidik bagi ‘Jawatankuasa Penyelidikan Budaya Muzium Negeri Sembilan’ sejak 1989, secara historikal ‘Undang Yang Empat’ turut menanda tangan proklamir kemerdekaan bersama Yang Dipertuan Besar bagi pihak Negeri Sembilan. Malah mereka juga terbabit dipaksa oleh Harold Mac Michael ketika menerima ‘Malayan Union’ pada November 1945. Maknanya, pemerintahan Negeri Sembilan tak berfungsi sekiranya sebarang dokumen ditanda tangan oleh Yang Dipertuan Besar secara bersendirian, sebaliknya perlu disertai oleh ‘Undang Yang Empat’ termasuk Tunku Besar Tampin. Ironinya, sekarang di jabatan-jabatan kerajaan di daerah Rembau termasuk di sekolah-sekolah gambar YTM Undang Luak Rembau tak digantung sama seperti Yang Dipertuan Besar, Perdana Menteri dan Menteri Besar. Aduhai!

Apalagi bangsa Melayu terikut-ikut dengan orientalis barat dengan memanggil YTM Undang Yang Empat sebagai ‘Tok Rembau’, ‘Tok Sungai Ujong’, ‘Tok Jelebu’ dan ‘Tok Johol’. Sebelum penjajahan Inggeris, ‘Undang Yang Empat’ dipanggil ‘Orangkaya’ seperti legasi ketuanan Melayu sejak di Melaka. Misalnya, kalau Hang Tuah dipanggil ‘Orangkaya Laksamana’, justeru ‘Undang Yang Empat’ dipanggil sebagai ‘Orangkaya Rembau’, ‘Orangkaya Sungai Ujong’, ‘Orangkaya Jelebu’ dan ‘Orangkaya Johol’ iaitu sebagai panggilan hormat. Ketika istiadat mengadap di balai(rong) juga disebut ‘hamba datuk’ atau ‘ke bawah kaus’ bagi pembesar-pembesar adat membahasakan diri mereka, di samping ‘kami’ digunakan oleh ‘Undang Yang Empat’.


Bagaimanapun selepas ‘pemerintahan rakyat’ (sebenarnya hegemoni kuasa politik), fungsi ‘Undang Yang Empat’ seolah-olah diperlekeh, hingga dianggap pemerintahan ‘raja berperlembagaan’ di Negeri Sembilan diletakkan di tangan Yang Dipertuan Besar sahaja, sekalipun sebarang enakmen yang diluluskan oleh Dewan Undang Negeri perlu ditandatangani oleh Yang Dipertuan Besar dan Undang Yang Empat (termasuk Tunku Besar Tampin dan Dato’ Syahbandar Sungai Ujong). Tak hairanlah orang tua-tua juga menyebut: ‘Sekali air bah, sekali pasir berubah; sekali zaman beredar, sekali resam bertukar’. Gamaknya!

-Pak Dharma.



INFO HAK ASASI MANUSIA:


AKTIVIS UMNO SECARA TERBUKA
MAHUKAN PAK LAH SEGERA UNDUR!


Penyair Yassinsalleh dari Pahang sudah menduga Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Pahang, Dato’ Ahmad Tajuddin Sulaiman meletakkan jawatan hari ini (9 April 2008) berikutan kenyataannya semalam (8 April 2008) mendesak semua MT UMNO meletakkan jawatan. Gesaan Dato’ Ahmad Tajuddin menurut Yassinsalleh adalah jelas membabitkan semua Pengerusi Perhubungan Negeri yang secara automatis termasuk Dato’ Seri Adnan Yaakob (Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Pahang), kerana mereka dilantik oleh MT. “Tetapi berapa ramai aktivis UMNO yang bersedia menerima risiko seperti sikap ‘anak jantan’ yang ditunjukkan oleh Dato’ Ahmad Tajuddin,” ujar Yassinsalleh ketika menghubungi sekretariat PRIMA.




Menurut Yassinsalleh, gesaan yang dibuat oleh Dato’ Ahmad Tajuddin adalah manifestasi sebahagian besar aktivis UMNO yang mahukan Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi berundur. Justeru katanya, Dato’ Seri Abdullah sudah jelas menerima signal di peringkat akar umbi supaya berundur, kerana tak ada alasan baginya untuk memulihkan semula UMNO setelah ditolak oleh rakyat pada pilihanraya umum 8 Mac lalu. Seterusnya Yassinsalleh turut mengakui menerima SMS daripada aktivis UMNO di Johor yang memberitahu 9 Bahagian dari 26 Bahagian UMNO turut mendesak Dato’ Seri Abdullah meletakkan jawatan. “Dato’ Seri Abdullah akan dikejutkan dengan keputusan tersebut apabila melawat Johor 11 April 2008 ini,” menurut Yassinsalleh.




INFO SASTERA & BUDAYA:


SANGGAR SAJAK.
Masih Adakah Lagi

Masih adakah lagi
pelacur di kalanganmu
bloggers?= = = = = = =
= = = = = = = = = = = =
= = = = = = = = = Masih
adakah lagi pelacur
di kalanganmu
wahai
bloggers?
Kiranya masih ada
katakanlah supaya senang
aku nak ……..
……..!

Boleh hutangkah?
setahu aku,
pondan kat belakang kowloon
boleh hutang,
tapi
jantan
tua mulut berpekung
tak taulah pula aku
boleh
hutang ke tidak.

Apapun jua
tolonglah beri aku tahu
duhai
para bloggers,
masih adakah lagi
jalang tersembunyi di kalangan
kalian?
aku nak jadi agen
komisyennya heh heh heh!

-yassinsalleh
jam 1551, April 09, 08.


Menafsir Naratif Tiong

Tinggikan vokalmu
lantang di padang lapang
menafsir keberanian sang dewata
di singgahsana warga margastua
di hujung pesisir waktu
angin belantara rindu
& biarkan kepongahan sang tiong
membentak di setiap penjuru
dengan omong yang semakin kosong.

Ah, aku semakin keliru
tak mengenali bayangku
yang retak di bucu batu-batu
mengilir luk pamung sari
mencari semilir angin lelah
di peseban, di balairong, di anjung istana
& kita memencak di sekeliling gelanggang
memerhatikan langkah sumbang.

Tiba-tiba vokalmu
jatuh di tepi jendela
sang tiong berligar mencari kata-kata
dengan lidah tersimpul
pitah berbicara -
& aku semakin pintar berdusta!

Dharmala N.S.
Kuala Lumpur, April 08.


KOMEN DARI UTARA
ASALBAYU CARI "MELAYU MUDAH LUPA"


MELAYU MUDAH LUPA - ANTOLOGI PUISI7 April 2008 - Penulis telah dihubungi oleh pihak akhbar Siasah bertanyakan di mana boleh dapat antologi MELAYU MUDAH LUPA seperti ulasan saya dalam akhbar Siasah 6 - 12 April, bilangan 0092. Khabarnya ada banyak orang bertanya di mana boleh dapat buku berkenaan. Penulis membelinya di sebuah kedai menjual akhbar di Alor Setar beberapa minggu sebelum tibanya tarikh Pilihanraya Umum Ke-12 lalu.Nombor telefonnya tidak terdapat pada naskhah kecuali alamat e-mail : pjbc_kj@yahoo.comAlamat penerbitnya : Putrajaya Bumi Communications Sdn Bhd, 210-Block D Aras 2, Kelana Business Centre, Jalan 7/26, Kelana Jaya, Selangor Darul Ehsan.

Penulis pada hari yang sama juga menghubungi seorang sahabat yang ketika itu berada di Kuala Lumpur. Beliau memaklumkan bahawa Ketua Satu Angkatan Sasterawan Nasional Negeri Kedah (ASASI), Sdr. Shaidun Hj Shaari bermaksud meletakkan jawatan kerana tidak sehaluan dengan Exco Kerajaan Negeri Kedah yang kini dikuasai oleh PAS. Beliau khabarnya adalah salah seorang Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Alor Setar. Penulis fikir-fikir tidak menjadi kesalahan jika beliau terus menerjui ASASI kerana organisasi penulis tersebut bukan diwujudkan oleh UMNO atau mana-mana organisasi politik yang sah.

Manakala ahli-ahlinya juga menganut ideologi politik yang berbagai. SN Shahnon Ahmad adalah Ketua Satu yang pertama dan pengasasnya itu pernah jadi Ahli Parlimen atas tiket PAS. Manakala novelis tersohor, Azizi Haji Abdullah pernah bertanding pilihanraya atas tiket PAS kemudian pernah jadi Penasihat ASASI. Entahlah. Malas penulis nak fikir panjang-panjang berkenaan perkara ini.Bagimanapun penulis berpendapat sangat elok jika ada pihak-pihak tertentu mengambil inisiatif mengadakan acara baca puisi MELAYU MUDAH LUPA yang bakal dipenuhi oleh penyampaian/deklamasi sajak-sajak yang termuat dalam antologi ini yang berjumlah 75 buah semuanya itu.



KOMENTAR
bersama Pak Parjo


TUKANG CANANG TERSALAH TITIR
HAMBA RAKYAT PULA TERSALAH FIKIR

Sebermula dipukul canang ke seluruh negeri fasal di Selangor dibenarkan membuka ladang babi di Sepang, Selangor seperti dititir orang hari ini (2 Rabiulakhir 1429 atau disebut anak cucu fakir 9 April 2008). Maka diberitahu kepada fakir oleh orang banyak melambak-lambaklah lembar surat yang disuratkan pemukul canang, oleh kerana meluat hamba rakyat dengan perangai yang tak berubah-ubah. Syahdan ramailah orang-orang besar memanda Perdana Menteri disingkir hamba rakyat kerana perbuatan penyurat-penyurat dan pemukul canang sebelum 30 Safar 1429 (atau 8 Mac 2008), yang menyebab hamba rakyat hina dina meluat-luat. Adapun ladang babi di negeri Selangor itu sudah bertahun rakyat jelata di Rawang menghidu bau busuk disebabkan ladang babi ketika ianya diperintah oleh orang-orang besar memanda Perdana Menteri.

Arakian tersebut akan Sultan Mansur Shah murka akan bendahara, tiga hari tak ditegurnya kerana tak mahu merajakan Sultan Zainal Abidin di Pasai. Maka disuruh panggil laksamana, telah laksamana datang, maka baginda bertanya perihal bendahara sewaktu di Pasai. Maka laksamana berdatang sembah, berjahat bendara. Bertambah murkalah sultan akan bendahara. Setelah esok harinya sultan keluar dihadap segala pegawai, semuanya ada mengadap, melainkan laksamana juga tiada. Maka Sultan Mansor Shah menyuruh memanggil bendahara, lalu bertanya akan kelakun laksamana semasa di Pasai. Bendahara berdatang sembah mengabar segala puji-pujian akan laksamana, maka baginda memberi persalin selengkapnya kepada Bendahara Paduka Raja seperti disebut dalam ‘Kitab Melayu’ oleh:





HIDUP BAHASA MELAYU!

Tuesday, April 8, 2008

JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)

(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG


IDEA PENULIS TERUS BERKEMBANG
TENGAH MALAM SMS MASIH BERFUNGSI

Assalamualaikum,
Memang PRIMA disertai ramai penulis-penulis sebagai aktivis, sekalipun ianya bukan badan penulis. Majoriti yang terbabit dalam PRIMA pula kalangan ‘warga emas’ seperti disebut oleh Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah (bekas Timbalan Naib Canselor HEP, UTM): “Kalau dibawa ke medan perang pun, dah tak larat memikul senjata’! Tetapi kebangkitan PRIMA apabila kabinet pada 2006 memproklamir ‘Bahasa Malaysia’ ialah bahasa rasmi, bukannya ‘Bahasa Melayu’ – justeru ianya tak boleh dikompromi lagi. PRIMA tetap berpegang kepada bahasa rasmi ialah ‘Bahasa Melayu’, di samping ‘bangsa Melayu’ ialah warganegara yang ditakrif sebagai ‘bumiputera’, sama ada secara langsung mahupun tak langsung. Begitulah!

Petang semalam (7 April 2008), Setiausaha Agung Persatuan Peguam Muslim, Sdr Haji Mohd Radzi Mustapha mengirim SMS bertanyakan khabar, diikuti oleh Sdr Zakaria Bidin beritahu mengenai berpulangnya ke rahmatullah penulis yang juga peguam Sdr Rosli Osman. Al-Fatihah! Penyair Yassinsalleh pula, akan menghantar SMS asal sahaja ideanya makin berkembang sama ada berkaitan gurindam, puisi mahupun isu semasa sekalipun sudah menjelang ‘dinihari’. (Mujurlah di Kuala Lumpur, kalau di kampungnya di Karak, Pahang atau Kubu Gajah di Pelangai,mungkin sahaja boleh kedengaran kokok ayam sahut bersahut). Sebelumnya Haji Abu Bakar Ninggal pula mengirim SMS sebagai sumber berita kepada PRIMA. Alhamdullillah!

Hari ini (8 April 2008) Pengerusi Tetap Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Gombak, Hajjah Fauziah Raof beritahu masalah kesihatan berikutan sudah berstatus ‘warga emas’. Kata Hajjah Fauziah kalau generasi muda mahu menghayati perjuangan UMNO secara ikhlas, bukan mengejar kepentingan peribadi, generasi ‘warga emas’ bolehlah releks. Memang perjuangan secara ikhlas sukar diukur secara fizikal, malah di kalangan bukan UMNO juga generasi muda mengejar status YB atau lain-lain yang setara dengan tender, kontrak mahupun jawatan pengerusi agensi-agensi. Begitulah luahan hati rakan-rakan penulis setelah menempuh status ‘warga emas’, apalagi menyentuh pembabitan generasi muda dalam gerakan politik. Aduhai!
Pengarang ‘Buletin Rakyat’ Puan Norzah Haji Kepol pula mengirim SMS beritahu Menteri Besar Pahang, Dato’ Seri Adnan Yaakob merungut berkaitan buku ‘100 TOKOH MALAYASIA’ yang membabitkan segmennya dikira salah fakta. Disebabkan salah fakta itu, beliau enggan untuk membeli buku berkenaan. Memang sebelumnya rakan-rakan sudah mengingatkan buku ‘100 Tokoh’ tak relevan memuatkan Menteri Besar sekarang, disebabkan mereka bukan ‘tokoh sebenar-benar tokoh’, sebaliknya sekadar sinambung daripada ‘tokoh-tokoh’ sebelumnya. Bagaimanapun saya menyedari Puan Norzah adalah penulis yang gigih, di samping sukar menyerah kalah dalam memasarkan buku-buku yang pernah dihasilkannya. Heh heh heh!

-Pak Dharma.

INFO HAK ASASI MANUSIA

PERLEKEH PIMPINAN KU LI
KERANA TAK CERMIN DIRI SENDIRI

Kalangan pimpinan sekarang yang memperlekeh pimpinan Tengku Razaleigh Hamzah dianggap tak mencermin diri sendiri, apabila keupayaan beliau melestarikan kedaulatan bangsa Melayu. Beberapa pihak yang menghubungi sekretariat PRIMA juga melahirkan rasa kecewa terhadap pandangan berat sebelah kepada pimpinan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad; apalagi pimpinan pembangkang yang mengaku teraniaya di bawah gerakan ‘Operasi Lalang’ pada 1987. Penyair Yassinsalleh ketika dihubungi oleh veteran UMNO dari Perak mengakui, pejuang-pejuang di peringkat akar umbi sekitar dekad 1960-an, 1970-an dan 1980-an mengakui, Ku Li lebih layak memimpin negara dibandingkan pimpinan generasi muda. “Mereka meminta sesiapa yang perlekehkan Tun Dr M dan Ku Li cermin diri sendiri terlebih dulu,” beritahu beliau.
Pekebun kecil dari Jelebu, Sdr Roseli Deraus pula memberitahu, ketika Tun Dr M mentadbir negara apabila beliau umumkan projek-projek mega sama ada KLIA, KLCC, PWTC, Putrajaya mahupun lebuhraya, semuanya menjadi kenyataan. Sebaliknya koridor pembangunan ekonomi disetiap wilayah yang digembar-gemburkan masih tak kelihatan, malah rakyat di peringkat bawahan diselubungi kegelapan, katanya. Beliau juga tak menafikan Ku Li banyak memperkenalkan pembangunan ekonomi kepada rakyat di peringkat bawahan termasuk Amanah Saham Nasional (ASN) dan Amanah Saham Bumiputera (ASB). “Ku Li memang layak memimpin negara, tetapi peluang tak menyebelahi beliau,” beritahu Sdr Roseli yang pernah terbabit sebagai aktivis S46 sebelum ini.

INFO SASTERA & BUDAYA

PERSATUAN INDUSTRI BUKU MALAYSIA
SEDIAKAN ANUGERAH KEPADA PENULIS

Persatuan Industri Buku Malaysia merancang memberi anugerah besar kepada penulis dijangka Ogos 2008 ini, sekalipun para peringkat awal dirancang pada Disember 2008. Langkah mempercepatkan anugerah tersebut disebabkan penilaian kepada tokoh-tokoh yang dijangka layak menerima anugerah boleh dilakukan dalam tempoh tersebut, dengan tak perlu menunggu sehingga Disember 2008. Presidennya, Haji Hassan Hamzah turut mengakui anugerah berkenaan tak sama dengan ‘Anugerah Sasterawan Negara’ yang disampaikan oleh DYMM Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong, tetapi setanding dengan ‘Oscar Academy Award’ bagi mengangkat martabat karyawan filem Hollywood.

Menurut Haji Hassan lagi, perancangan bagi mewujudkan anugerah penulis memang sudah digerakkan oleh Persatuan Industri Buku Malaysia, apabila berhasil melaksanakan ‘Pesta Buku Antarabangsa’ di PWTC awal April 2008 ini. Beliau seterusnya mengakui, anugerah yang dirancang oleh persatuan industri buku bersempena dengan ‘Ekspo Buku’ yang akan digerakkan pada Ogos 2008. ‘Ekspo Buku Malaysia’ tak akan bermakna kalau sekadar berbentuk pameran dengan menyediakan gerai-gerai mempromosi buku sahaja dengan tak mengangkat martabat penulis sebagai karyawan terpenting. “Sekurang-kurang 25 kategori penulis sesuai diberikan anugerah selaras dengan sumbangan mereka kepada industri buku di Malaysia,” beritahu Haji Hassan selanjutnya.

KOMENTAR
bersama Pak Parjo

PERHIMPUNAN MASIH JAUH
TERLALU AWAL TOK ALI UMUM


Sebermula ketika menghadiri satu majlis di Melaka hari ini (1 Rabiulakhir 1429, atau pada perkiraan anak cucu fakir 8 April 2008 akan memanda Ketua Menteri Melaka Dato’ Mohd Ali Rustam mengakui akan mempertahan jawatan tertinggi UMNO (kalau tak salah fakir tentulah Naib Presiden UMNO), sekalipun Perhimpunan Agung UMNO itu masih jauh lagi gerangannya. Arakian terlalu awal sangat memanda Ketua Menteri itu membuat pengumuman, sebelum segala anak-anak buah bermuafakat melantik ketua-ketua di kampung, di mukim, di tanah-tanah jajahan takluk sekaliannya. Maka menjadi masyghollah segala anak-anak buah disebabkan memanda cepat sangat membuat pemasyhoran, seolah-olah berlaku seperti kata orang tua: ‘Kalau tak ada berada, masakan tempua bersarang rendah’.

Syahdan tersebutlah Seri Nara Diraja Tun Ali terlalu berkuasa di Melaka seakan-akan ialah bendahara, menyebabkan masyghollah Sultan Muzaffar Shah akan keadaan dalam negeri Melaka, adanya. Seri Nara Diraja Tun Ali itu bapa saudara baginda, lagi yang membantunya menaiki takhta mengalahkan paduka adinda Sultan Abu Syahid. Adapun Seri Nara Diraja Tun Ali tahulah ia akan Sultan Muzaffar Shah itu terhutang budi kepada dirinya, maka selalu sembahnya dituruti baginda. Syahdan setelah berfikir baginda untuk mengurangkan kuasa Seri Nara Diraja Tun Ali, diceraikan baginda isterinya Tun Kudu kerana hendak diperisteri oleh Seri Nara Diraja Tun Ali. Maka adik Tun Kudu bernama Tun Perak itulah dijadikan bendahara bergelar Paduka Raja menggantikan ayahnya yang sudah mati iaitu Bendahara Seri Wak Raja, menyebabkan terlalu awal Seri Nara Diraja Tun Ali memperakui Tun Perak menjadi bendahara seperti disebut dalam ‘Kitab Melayu’ menerusi:

HIDUP BAHASA MELAYU!

Monday, April 7, 2008

JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)

(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG

PROLITAR MELAYU IKUT TERUJA
‘KRISIS KEYAKINAN’ YANG DISEMBUNYI

Assalamualaikum,

Disebabkan kurang sihat akibat gangguan selsema, batuk dan demam sedikit, saya tak menaip sejak semalam. Bagaimanapun pagi ini jam 8.30 am, pakar kaunseling Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah menelefon beritahu mengenai respons kalangan orang Melayu berikutan ucapan Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi pada perjumpaan dengan ketua-ketua penerangan UMNO di PWTC. Sebagai pakar kaunseling memang Dato’ Dr Mohd Mansor dihubungi oleh mereka yang mahu merujuk kepada beliau dalam isu berkaitan masyarakat, apalagi kenyataan pimpinan negara. Menurut Dato’ Dr Mohd Mansor golongan prolitar Melayu juga teruja dengan keberangan Dato’ Seri Abdullah hingga mencemuh Tun Dr Mahathir Mohamad, Tengku Razaleigh Hamzah dan Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Bagi masyarakat Melayu yang berhemah, Dato’ Seri Abdullah seharusnya mengambil sikap beradat: ‘Terkilan yang besar memanggil, terkilan yang kecil mengadap’! Mereka yang menghubungi Dato’ Dr Mohd Mansor menganggap geraf populariti Dato’ Seri Abdullah semakin menurun berikutan kenyataan tersebut, sekalipun media arus perdana cuba menjadikan ‘berita utama’. Maknanya, kalau Dato’ Seri Abdullah menggerakkan perjumpaan dengan ketua-ketua penerangan, kenapa tak digerakkan ‘Perhimpunan Agung Khas’ seperti disarankan oleh Tengku Razaleigh Hamzah. Dalam mana-mana gerakan politik di dunia, apabila berlaku ‘krisis keyakinan’ ianya akan dikembalikan kepada peringkat akar umbi.

Apabila Dato’ Seri Abdullah menyembunyikan ‘krisis keyakinan’, akhirnya isu berkenaan terdedah juga (mungkin sahaja di luar sedar), sebaik sahaja beliau mencemuh Tun Dr Mahathir, Tengku Razaeligh dan Dato’ Seri Anwar. Beliau enggan mengakui berlakunya ‘krisis keyakinan’, sebaliknya menggerakkan perjumpaan dengan ketua-ketua penerangan partinya sebagai proses melestarikan ‘perhambaan minda’. Menurut Dato’ Dr Mohd Mansor, memang sekali imbas Dato’ Seri Abdullah seolah-olah mampu menolak kritikan terhadap pimpinannya, tetapi fakta sebenarnya beliau berhadapan ‘krisis minda’ yang sukar disembunyikan. Tak hairanlah sebelah petangnya pula saya turut menerima SMS dari Sdr Zakaria Bidin, Sdr Yassinsalleh dan Sdr Mohd Radzi Mustapha.

Sdr Yassinsalleh misalnya, turut menyampaikan pandangan prolitar Melayu dari Perak menerusi SMS yang melahirkan rasa kesal dengan kenyataan Dato’ Seri Abdullah, malah ianya lebih memberi kredit kepada Tun Dr M, Tengku Razaleigh dan Dato’ Seri Anwar yang menyebut:

“Saya kecil hati sgt2 tgok ulasan PakLah mlm td. Tentg Dr M, Anwar & Ku Li biarlah masa yg mberi kebaikan sebenar pd rakyat. TAPI tentang SABOTAJ di Perak & Kedah ahli UMNO blh diambil tindakan, rasanya dakwaan PakLah mmg mengecewakan. Kenapa PakLah tak kaji kenapa sabotaj blaku? Knapa nk salahkan ahli 100%? Knapa senarai calon Perak & Kedah hampir separuh diubah? Knapa terang sgt cerca org hebat Kedah Dr M? Knapa Tajol & Mahazir bacul sgt utk bersemuka dgn ahli lwn isu calon? Jd PakLah maaf, anda telah menambah seorang lg musuh…”

INFO HAK ASASI MANUSIA

NASA SEMBUNYIKAN LAPORAN
EDARAN BINTANG MARIKH TERBALIK

Pengkaji astronomi termasuk juga ahli falaq menganggap Pusat Angkasalepas Amerika Syarikat (NASA) menyembunyikan fakta mengenai peredaran cakrawala membabitkan planet Marikh (planet yang paling dekat dengan bumi) yang bergerak songsang pada September 2007. Mengikut laporan pengkaji astronomi pergerakan planet Marikh tak mengikut lazimnya, seolah-olah matahari bergerak dari barat ke timur. Justeru menurut laporan berkenaan, pihak NASA sengaja merahsiakan fenomena tersebut, kerana ianya berasa bimbang akan memberi manfaat kepada umat Islam. Bagi mengelakkan umat Islam mengetahui akan kemenangan semakin hampir kepada mereka, pihak NASA sengaja mengambil langkah negatif dengan merahsiakan fenomena tersebut.

Berdasarkan fakta pengkaji astronomi, pergerakan planet Marikh yang songsang berkaitan dengan fenomena di bumi sekarang berikutan cuaca tak menentu, berlakunya gempa bumi yang kerap, di samping sukar meramalkan bencana alam yang mendadak. Misalnya, menurut kalangan astronomi serangan ribut di beberapa negara di dunia memang sukar diramal oleh pakar kaji cuaca, termasuk juga kejadian luar biasa seperti salji yang turun di bumi Iraq. Kalangan ilmuan Islam pula mengakui, apabila berlaku fenomena planet bergerak songsang (misalnya, matahari terbit di barat) ianya memberi tanda-tanda akan berlakunya ‘kiamat’.

Bagaimanapun penghuni di Taman Seri Gombak menyedari peredaran matahari juga mengalami perubahan sepanjang beberapa waktu lalu. Kalangan penduduk terbabit mengakui lorong di kawasan perumahan Jalan SG 9/1, berlaku bayang-bayang rumah menutupi jalan bagi tempoh beberapa bulan. Bagaimanapun peredaran planet matahari dipercayai berubah, apabila lorong terbabit tak mempunyai bayang (rumah) sejak sebulan lalu, iaitu fenomena dalam pergerakan planet matahari. Fenomena berkenaan disedari apabila penghuni mahu meletakkan kenderaan yang biasanya ‘teduh’ menerusi bayang rumah ke atas lorong tersebut, tetapi sekarang lorong terbabit ‘panas’ apabila tak lagi dilindungi oleh bayang rumah.

KOMENTAR
bersama Pak Parjo

PERIHAL SI LEMBIK & SI KERAS
DITAATI SEKALIAN HAMBA RAKYAT

Syahdan memanda Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi terlalulah marah hingga menyebut ada pihak menganggapnya ‘lembik’, tetapi tiba-tiba pula ramai yang takut kepada ‘si lembik’. Arakian diberitahu orang banyak kepada fakir, bukanlah rakyat hina dina takut kepada ‘si lembik’, tetapi mereka di Kubang Pasu mengakui fasal wang RM200 seorang supaya jangan memilih Tun Dr Mahathir menjadi perwakilan ke Perhimpunan Agung. Begitulah! Maka berkata segala binti perwira dan orang-orang besar sekalian akan kemarahan memanda Perdana Menteri itu lalu disuruh BPR siasat perkara Tun Dr Mahathir campur tangan dalam badan kehakiman, tetapi tak pula disebut mengenai pengakuan orang Kubang Pasu yang disebut-sebut orang itu.

Pada sekali persetua ada seorang Tun Bahara namanya, orang Pasai; ia datang ke Melaka. Maka Tun Bahara ini pandai terlalu ia bermain catur, tiada siapa menyamai dia pada zaman itu. Tun Bahara itu dikatakan ‘si lembik’ kerana tingkah lakunya yang terlalu berhemah, maka ketika bermain catur sambil ia bersyair, berbait, bergurindam dan berseloka. Maka segala orang yang tahu bercatur semuanya alah olehnya, seorang tiada dapat melawan dia, melainkan Tun Pikrama anak Bendahara Paduka Raja juga yang dapat sedikit melawan Tun Bahara. Sekali Tun Pikrama alah, digelarkannya oleh Tun Bahara itu ‘Sayur Keladi’ atau dikatakan anak Melayu ‘si lembik’, seperti disebut dalam ‘Kitab Melayu’ yang disurat:







HIDUP BAHASA MELAYU!

Sunday, April 6, 2008

JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG

KEMPEN BUKU MASIH HAMBAR
KURANG PRIHATIN UNTUK MEMBACA

Assalamualaikum,

Awal pagi hari ini (5 April 2008) kira-kira jam 8.30 am Dato’ Dr Mohd Mansor Abadullah sudah menelefon beritahu keputusan mesyuarat Gapena pada sebelah malamnya (4 April 2008) berkaitan perhimpunan perpaduan Melayu pada 12 April 2008 (jam 8.00 malam) di Rumah Gapena; di Dewan Merdeka PWTC 16 April 2008 (jam 8.30 malam), seterusnya di Johor Bahru pada 2 – 4 Mei 2008, sebagai kemuncak melestarikan naratif perpaduan itu. Alhamdullillah! Keprihatinan Gapena mengajak 36 badan NGO bersamanya melonjakkan perpaduan Melayu, dengan mendaulahkan ‘Bahasa Melayu’ sebagai paksi jatidiri bangsa yang sudah dijanjikan oleh pimpinan negara, asal sahaja Gapena berdiri teguh sebagai benteng kepimpinan. Heh heh heh!

Maknanya, kalau tak berdiri teguh di belakang pimpinan negara ‘Bahasa Melayu’ akan kekallah menjadi ‘Bahasa Malaysia’ sekalipun daripada jumlah 222 kerusi Parlimen skadar mampu dipertahankan 140 kerusi sahaja (atau tak mencapai dua pertiga majoriti). Justeru apabila Bahasa Melayu diinjak-injak dengan pembelajaran mata pelajaran matematik dan sains diwajibkan dalam Bahasa Inggeris, tak apalah!. (Memang saya tahu Gapena menentangnya dengan mengajak Dong Jai Zong melawan polisi berkenaan dalam dialog di Rumah Gapena, sayangnya tak dibuat secara terbuka sebagai mesej kepada polisi pentadbiran ketika itu di bawah pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad). Justeru Gapena tak seharusnya berkompromi dengan pimpinan sekarang yang terdesak, kerana ‘Bahasa Melayu’ bukan untuk dijual beli.

Pengusaha buku semakin rimas, lemas dan cemas dengan fenomena kurang prihatin bangsa Melayu dengan kempen membaca. Apalah maknanya ‘Pesta Buku Antarabangsa’ yang berlangsung di PWTC sekarang, kalau bangsa Melayu itu tak berminat membaca. Misalnya, Dato’ Dr Mohd Mansor sekadar diberitahu oleh DBP novelnya ‘Amigo Possa’ hanya dicetak sejumlah 1,700 naskhah sahaja. Apalagi akhbar ‘Utusan Melayu’ dalam tulisan jawi, sekadar dijadikan ‘akhbar sisipan’ sahaja setiap hari Isnin, berbanding dengan jumlah komuniti India dengan jumlah penduduk tak sampai dua juta, sebaliknya mampu memasarkan beberapa edisi akhbar bertulisan Tamil. Begitu juga komuniti Cina mempunyai lebih daripada lima edisi akhbar bertulisan Cina, termasuk banyak majalah-majalah di pasaran terbuka (malah diimport dari Taiwan, Hong Kong, China, Singapura). Begitulah!

Ironinya, ketika saya ke PWTC (5 April 2008) di samping meneguk kopi di Riverside bersama Haji Hassan Hamzah, Sdr L Mankadir Shamsi, Sdr Zainal Abidin Rasidin dan Sdr Zakaria Bidin memang ramai yang menghadiri ‘Pesta Buku Antarabangsa’, sekalipun kebetulan pula berlangsungnya mesyuarat agung ‘Bank Rakyat’. Barangkali! Haji Hassan yang juga Presiden Pengusaha Buku Malaysia bagaimanapun masih optimis dengan industri buku negara, justeru beliau mahu meneruskan kempen membaca dengan pendekatan lebih rapat bagi berinteraksi dengan orang ramai. Haji Hassan mengajak Sdr Mankadir siapkan drama bersiri menggalakkan orang ramai membaca, bukan sekadar untuk perhimpunan perpaduan Melayu yang ‘molok-molok’ didengar tetapi ‘wal hasil balik hasal’. Alahai!

-Pak Dharma.

INFO HAK ASASI MANUSIA

TUN DR M BERSAMA KU LI
TEMUI PIMPINAN UMNO BAHAGIAN

Pertemuan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas Menteri Kewangan Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah besama pimpinan UMNO lebih daripada 60 Bahagian dikatakan berlangsung besok (6 April 2008) di Hotel d’Palma, Ampang mulai jam 9.00 pagi. Menurut sumber yang disampaikan kepada sekretariat PRIMA, perjumpaan tersebut diteruskan sekalipun pada peringkat awal ianya dianggap sebagai desas desus sahaja. Sekretariat PRIMA diberitahu minggu lalu oleh sumber yang rapat dengan Tengku Razaleigh, yang mengakui mereka tak tahu menahu dengan perjumpaan tersebut. “Setakat ini pihak kami tak diberitahu oleh Ku Li fasal perjumpaan tersebut, insya Allah kalau diberitahu kami akan hubungi sekretariat PRIMA,” kata sumber itu.

Bagaimanapun sekretariat PRIMA diberitahu pagi ini (5 April 2008 jam 10.00 pagi), Ku Li dikatakan berada di Johor Bahru bagi menghadap Duli Yang Maha Mulia, Sultan Johor di istana Bukit Serene. Beliau dilaporkan balik ke Kuala Lumpur petang ini bagi menghadiri perjumpaan di Ampang bersama Tun Dr M. Disebabkan perjumpaan tersebut dikira seolah-olah terlalu sulit, pihak sekretariat PRIMA juga berasa kebingungan kerana sukar mendapat maklumat. Pimpinan PRIMA menyedari perjumpaan demi perjumpaan yang digerakkan bagi memulihkan ‘krisis keyakinan’ di kalangan pimpinan UMNO tak merenggangkan perpaduan Melayu, sebaliknya usaha yang sepatutnya diberi sokongan. “Kami sudah memulakan dialog dengan Ku Li pada Jun 2007, disusuli wacana bersama Tun Dr M di Yayasan Kepimpinan Perdana pada Ogos 2007, selebihnya terserah kepada UMNO sendiri,” menurut pimpinan PRIMA.

ISU BAHASA MELAYU DI SOKONG
PERTAHANKAN PAK LAH DITENTANG

Aktivis teater di Pahang, Sdr L. Mankadir Shamsi menyokong sebarang usaha demi memertabatkan ‘Bahasa Melayu’, tetapi menolak perjuangan bahasa dijadikan alat untuk mempertahankan pimpinan negara di bawah Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi. Sdr Mankadir yang juga Timbalan Ketua Dewan Persuaratan Melayu Pahang (DPMP) Cawangan Temerloh ketika ditemui di Pesta Buku Antarabangsa di PWTC hari ini (5 April 2008) memberitahu, pimpinan Gapena membuat kesilapan besar sekiranya menjadikan isu Bahasa Melayu sebagai landasan mempertahankan pimpinan Dato’ Seri Abdullah menerusi agenda ‘perpaduan Melayu’. “Urusan Pak Lah hadapi krisis UMNO bukan urusan kerabat Gapena, justeru jangan peralatkan kami penulis-penulis Melayu,” beritahu Sdr Mankadir.

Sementara itu Presiden Penaja Pemandu-Pemandu Teksi Islam Lembah Kelang, Sdr Zainal Abidin Rasidin kesal dengan sikap mana-mana pihak menjadikan isu perjuangan Bahasa Melayu sebagai usaha mempertahankan pimpinan negara. Katanya, perjuangan bahasa tak boleh dikaitkan dengan kepentingan politik sekalipun ianya mempunyai pertalian antara satu sama lain. Sdr Zainal Abidin yang juga bekas wartawan dan aktivis kerabat Gapena tak mahu penulis-penulis diheret seolah-olah ‘lembu ternak’ untuk dibawa ke rumah penyembelihan semata-mata demi kepentingan ‘orang politik’. “Lebih baik Gapena fikirkan bagaimana mahu memajukan industri buku Malaysia dalam usaha memperkasakan Bahasa Melayu,” katanya.

USAH DISUSU KERA DI HUTAN
TAK PERLU PEDULIKAN SUFIAH
Kerajaan diminta tak memberi kepedulian kepada pelajar pintar matematik warga Britain, Sufiah Yusuff yang terjerumus ke lembah maksiat. Pengerusi Tetap Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Gombak, Hajjah Fauziah Raof berkata, tak perlu disusukan kera di hutan ketika ramai rakyat Malaysia memerlukan perhatian kerajaan. Seterusnya Hajjah Fauziah melahirkan rasa kesal apabila kerajaan terlalu memberi perhatian kepada warga Britain berkenaan, walhal secara keturunan ayahnya ialah Pakistan, justeru Sufiah lebih 'berdarah Pakistan'. Menurut Hajjah Fauziah, sekalipun ibunya orang Malaysia tetapi berdasarkan 'keturunan' beliau tetap berdarah Pakistan. "Kenapa kita susukan kera di hutan, anak di pangkuan diletakkan," ujar Hajjah Fauziah.

INFO SASTERA & BAHASA

KOMUNITI ORANG ASLI DI KERDAU
MENUNGGU ACARA ‘BACA PUISI’ PRIMA

Pimpinan komuniti Orang Asli di Kerdau mendesak aktivis teater di Pahang Sdr L. Mankadir Shamsi memeprcepatkan program ‘Baca Puisi PRIMA’ yang dijanjikan sejak sebelum pilihanraya umum 8 Mac 2008 lalu. Ketika menghubungi sekretariat PRIMA, Sdr Mankadir mengakui pernah berjanji dengan komuniti Orang Asli terbabit bagi membawa pimpinan PRIMA berkunjung ke perkampungan mereka. Apalagi disebut mengenai program ‘baca puisi’ yang akan dihadiri oleh Yahaya Ismail (pimpinan kanan PRIMA), Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz (jurucakap PRIMA) di samping aktivis lain seperti Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah, Mohd Sayuti Omar, Yassinsalleh, Zakaria Bidin dan Dato’ Ruhanie Ahmad.

“Awak beritahu dato’-dato’ PRIMA nak baca puisi dengan kami, bila lagi dato’-dato’ dari Kuala Lumpur tu mahu ke sini,” beritahu Sdr Mankadir mengenai desakan komuniti Orang Asli terbabit. Mereka juga dikatakan sudah bersiap sedia untuk menyampaikan lagu-lagu rakyat serta permainan tradisional tempatan bagi menyambut kunjungan pimpinan PRIMA. Justeru Sdr Mankadir sudah menghubungi pimpinan PRIMA di Kuala Lumpur, di samping menerima jawapan positif. Acara ‘baca puisi’ akan diadakan di perkampungan Orang Asli di Kerdau sebaik sahaja diberitahu mengenai tarikh yang sesuai. “Pak Dharma dan Dato’ Kamal Amir sudah memberi lampu hijau bagi acara baca puisi bersama komuniti Orang Asli ini,” jelas Sdr Mankadir.

PIMPINAN DIMINTA LETAK JAWATAN
GAPENA PERLU RAWATAN PEMULIHAN

Pimpinan Gapena perlukan rawatan pemulihan apabila menjadikan isu perjuangan Bahasa Melayu sebagai agenda politik pihak tertentu, dengan tak menghiraukan masalah yang berkaitan dengan kepentingan penulis. Beberapa pihak turut mendesak pimpinan Gapena wajar meletakkan jawatan sama seperti senario politik sekarang apabila pimpinan negara di bawah Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi didesak berundur oleh kalangan aktivis UMNO. Menyentuh agenda perpaduan Melayu yang digerakkan oleh Gapena pada 12 April 2008 (di Rumah Gapena), 16 April 2008 (di Dewan Merdeka PWTC) dan 2 Mei 2008 (di Johor Bahru), penyair Dinsman memberitahu, “Pimpinan Gapena wajar meletakkan jawatan, kerana sudah terlalu lama memimpin badan penulis ini.”.

Peguam dan aktivis PENA Sdr Mohd Radzi Mustapha juga bersetuju dengan penyair Dinsman meminta pimpinan Gapena meletakkan jawatan menerusi SMS, diikuti dengan Dr Harun Kidam yangs sekarang berada di Tanjung Balai, Pulau Kerimun, propinsi Riau. Sementara penyair Yassinsalleh pula menganggap pimpinan Gapena sebagai ‘si Luncai yang terjun dengan labu-labunya’ jika menganggap kerabat Gapena begitu mudah untuk diheret kepada agenda perpaduan Melayu, tetapi bermotifkan kepentingan politik pihak tertentu. (Sekitar tahun 1975, pimpinan Gapena Profesor Emeritus Tan Sri Ismail Hussein pernah didesak meletak jawatan oleh PENA di bawah pimpinan Dato’ Noor Azam kerana kenyataannya ‘kerajaan’ ketika itu perlu disokong kerana ianya bersifat nasional – sila lihat Utusan Malaysia 4 Mac 1975).

KOMENTAR
bersama Pak Parjo


HULUBALANG MEMINTA LAWAN
MEMANGKIS KE TENGAH GELANGGANG

Arakian memangkislah orang besar bergelar menteri pemukul canang, Dato’ Ahmad Shabery Cheek hari ini (28 Rabiulawal 1429 atau disebut orang sekarang 5 April 2008) meminta lawan dengan berkata, “UMNO pernah diharamkan pada zaman beliau (Tun Dr Mahathir) dan kita tak mahu perkara ini berlaku lagi. Semua perkara ini saya percaya orang Melayu tak lupa, tetapi mungkin Dr Mahathir sendiri lupa mengenai apa yang pernah dilakukannya ketika memimpin UMNO.” Syahdan akan fakir diberitahu oleh orang yang empunya ceritera, ahli penyurat bernama Zakry Abadi itu sudahlah meninggal dunia beberapa tahun dahulu iaitu pada 1994, adanya. Maka disebut oleh Zakry Abadi dalam kitab yang disuratnya, adapun orang yang menyebabkan UMNO itu haram ialah Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi yang mengetuai 11 gerombolan membawa kepada penghakiman di mahkamah.

Sekali persetua disebut juga di dalam kitab yang disurat oleh Zakry Abadi akan Dato’ Seri Abdullah terbabit mendorong penubuhan Parti Melayu Semangat 46 yang disebut-sebut oleh Dato’ Ahmad Shabery, adanya. Sebermula tersebutlah Tun Besar itu matilah ditikam oleh Raja Muhammad. Maka segala perihal ehwal itu semua dikatakan orang kepada Bendahara Paduka Raja. Kata bendahara kepada anak-anak buahnya, “Jika demikian mengapa kamu berlengkap ini?” Maka sahut segala anak buah bendahar “Sahaya semua hendak berbalas kematian saudara kami. Bendahara pun memangkis, “Ceh, kamu sekalian kerana tiada adat, hamba Melayu tiada pernah derhaka. Tetapi janganlah kita bertuankan anak raja seorang ini!” (Syahdan berundurlah anak raja itu ke Pahang, setelah diketahui orang Melaka tak mahu bertuankan ia!). Eloklah undur, seperti kata:








HIDUP BAHASA MELAYU!

Saturday, April 5, 2008

JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)

(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG

Assalamualaikum,

Keberangan orang ramai terhadap pimpinan Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, masih menjadi ‘buah mulut’ di peringkat akar umbi, malah lebih sinis kalau dibandingkan sebelum pilihanraya 8 Mac 2008. Misalnya, ketika makan tengahari semalam (3 April 2008) bersama rakan-rakan Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah, Haji Hassan Hamzah dan Sdr Zainal Abidin Rasidin, kegelisahan orang ramai terhadap pimpinan Dato’ Seri Abdullah semakin meningkat. ‘Krisis keyakinan’ dihadapi Dato’ Seri Abdullah juga menimbulkan keresahan di kalangan pimpinan UMNO, justeru tak hairan dilaporkan hari ini (4 April 2008) dikatakan UMNO Pahang meminta semua MT meletakkan jawatan, di samping disegerakan Perhimpunan Agung Khas. Begitulah!

Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Muhammad Hassan juga tak bersetuju pemilihan UMNO ditangguhkan, di samping meluahkan rasa berangnya iaitu: Kalau perangai tak berubah, tangguhkan pemilihan pun macam itu juga! Ketua Puteri UMNO yang sudah berstatus timbalan menteri, Dato’ Noraini Ahmad juga tak mahu ditangguh-tangguhkan pemilihan UMNO. Semua pihak sudah mula bersuara mempertikaikan pimpinan Dato’ Seri Abdullah yang bimbang digulingkan dalam Perhimpunan Agung UMNO, tetapi tak bimbang jika digulingkan menerusi ‘undi tak percaya’ di Parlimen. Apalagi bekas Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Dr Mohd Khir Toyo sudah menawar diri untuk jawatan Ketua Pemuda UMNO, sekalipun pemilihan belum bermula.

Isu dalam senario politik UMNO yang berbelit-belit, berlilit-lilit dan berselit-selit ini sudah diberikan sejak tiga hari lalu, tetapi sepanjang tempoh tiga hari itu saya tak sempat menulis blog. Memang himpunan rakyat di Stadium Shah Alam anjuran PAS pada 31 Mac 2008 dikatakan hebat; apalagi dengan forum di Hotel Singgahsana, Petaling Jaya pada 1 April 2008 dengan ahli panelnya Tun Dr Mahathir Mohamad, Dato’ Seri Dr Khir Toyo dan Dato’ Mokhriz Mahathir juga diberi sambutan hangat, sekalipun mereka yang hadir tak diangkut dengan bas-bas percuma (seperti perkampungan Islam Hadhari di Terengganu). Saya tak menulis blog disebabkan persiapan proses menerbitkan buku baru perlu diberikan tumpuan.

Hari ini (4 April 2008) terpaksa pula menemui Undang Luak Johol, Yang Teramat Mulia Dato’ Johan Pahlawan Lela Perkasa Setiawan Haji Mohd Jan Abdul Ghani di Balai Undang di pekan Air Mawang di Johol. Apalagi bertolak dari Kuala Lumpur jam 6.00 pagi, kerana temujanji ialah jam 10.00 pagi. Berikutnya temujanji juga sudah dibuat bagi menemui Undang Luak Rembau, Yang Teramat Mulia Dato’ Lela Maharaja Haji Mohd Shariff Osman 8 April 2008 lagi, dan seterusnya beberapa siri penyelidikan bersama Jawatankuasa Penyelidikan Budaya Muzium Negeri Sembilan. Memang sejak ayahanda angkat saya Tan Sri Abdul Samad Idris meninggal dunia pada Oktober 2003, terasa malas untuk aktif bersama jawatankuasa berkenaan, tetapi sepatah kata Undang Luak Johol, ‘Biarlah pimpinan negeri tak kenang sumbangan awak, asal sahaja rakyat Negeri Sembilan bersama-sama dengan awak’. Insya Allah!

-Pak Dharma.

INFO HAK ASASI MANUSIA


PERPADUAN MELAYU DI GUA MUSANG
LEBIH 4,000 BERHIMPUN DI BUKIT CEKATI
Lebih 4,000 penyokong UMNO berhimpun di Dewan Orang Ramai (Rakyat), Bukit Cekati, Gua Musang hari ini sebagai manifestasi sokongan terhadap saranan Tengku Razaleigh Hamzah mendesak Perhimpunan Agung Khas UMNO digerakkan khusus membincangkan prestasi buruk pada pilihanraya 8 Mac 2008 lalu. Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz memberitahu, “Ketua UMNO Bahagian yang juga Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh memberi sokongan kepada bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, iaitu Majlis Tertinggi (MT) UMNO perlu berfikiran terbuka dan melepasi ‘perhambaan minda’ di samping bertindak sebagai ‘MT UMNO’ bukan ‘MT Pak Lah’.”





Justeru katanya, MT UMNO mestilah berani membuat anjakan paradigma dengan menggerakkan Perhimpunan Agung Khas UMNO secepat mungkin, bukan menunggu sehingga Disember 2008. Dato’ Kamal Amir juga mengakui, Tengku Razaeligh turut mengingatkan prestasi buruk pencapaian UMNO pada pilihanraya baru-baru ini bukan ‘isu terpencil’, tetapi memerlukan ‘bedah siasat’ menyeluruh. Katanya, Tengku Razaleigh yakin ahli-ahli UMNO di peringkat akar umbi mahukan perubahan, sebelum dominasi UMNO di Parlimen diubah oleh pihak lawan. “Ku Li mahu UMNO dipimpin oleh tokoh yang mampu membuat keputusan, bukan dipengaruhi oleh ‘orang-orang keliling’ yang sekadar menyampaikan laporan ‘molok-molok’, hingga membawa kepada insiden seperti pilihanraya baru-baru ini,” beritahu Dato’ Kamal Amir.





INFO SASTERA & BUDAYA





KECOH PERLETAKAN SETIAUSAHA AGUNG
MUSA TAMPIL DALAM KEPIMPINANAN UMNO





Ketika berhadapan kekecohan UMNO berikutan perletakan jawatan Setiausaha Agung, Tan Sri Syed Jaafar bin Syed Hassan Albar pada 11 Ogos 1965, Yang Dipertua Agung (Presiden) UMNO Tunku Abdul Rahman Putra bersetuju melantik (Tun) Musa Hitam menjadi Pemangku Setiausaha Agung. Ketika itu Tun Musa memegang jawatan Setiausaha Politik kepada Menteri Pengangkutan, Tun Sardon Jubir belumlah menonjol dalam kerajaya politiknya. Apabila dilantik menduduki kerusi Pemangku Setiausaha Agung UMNO, Tun Musa baru sahaja berusia 31 tahun, justeru penampilan beliau masih lagi dibayangi pimpinan lain.





Insiden perletakan jawatan Tan Sri Jaafar Albar pada 1965, seolah-olah memberi laluan kepada penampilan Tun Musa dalam pimpinan UMNO; apalagi ketika itu pimpinan muda kecewa dengan langkah penyingkiran Singapura dari Malaysia. Malah Tan Sri Jaafar Albar meletakkan jawatan Setiausaha Agung UMNO juga berikutan kekecewaannya dengan pimpinan Tunku menyingkirkan Singapura yang membabitkan pegeseran peribadi Jaafar Albar-Lee Kuan Yew.





Berdasarkan pembaitan Tun Musa dalam UMNO belum berketerampilan, beliau tidaklah diberi peluang meneruskan memegang jawatan Setiausaha Agung, sebaliknya pada 24 September 1965, (Tan Sri) Mohd Khir Johari dilantik bagi mengisi kekosongan jawatan Setiausaha Agung UMNO, di samping Hassan Haji Muhammad selaku penolong setiausaha agung dan Dato’ Othman Abdullah bagi jawatan ketua penerangan dalam penyusunan pentadbiran di ibu pejabat parti. Bagaimanapun diwujudkan jawatan baru iaitu Setiausaha Kerja (Executive Secretary) bagi menyelaraskan urusan di pejabat yang diletakkan di bawah setiausaha agung.





Tun Musa dilantik menjadi Setiausaha Kerja UMNO yang pertama dengan fungsinya sama seperti ‘setiausaha organisasi’. Populariti Tun Musa di kalangan aktivis UMNO mula menyerlah apabila beliau diberi tugas selaku Setiausaha Kerja UMNO bermula pada 24 September 1965, malah kelantangan suaranya dalam beberapa isu menarik perhatian umum. Misalnya, Tun Musa tak berkompromi apabila membangkitkan isu pencapaian bumiputera dalam bidang pendidikan dan ekonomi, yang dianggap jauh ketinggalan dibandingkan dengan komuniti bukan Melayu skitar dekad 1960-an itu. (bersambung…).





(Dipetik dari buku ‘100 Tokoh Malaysia’; Dharmala N.S./Dr Ammar Haji Hassan; Kantung Network Sdn Bhd., Kuala Lumpur; 2007. Harga senaskhak RM50.)





KOMENTAR
bersama Pak Parjo





MEMANDA PM LETAK JAWATAN
SEKALIAN RAKYAT HENDAKLAH DIAM





Kata sahibul hikayat dititir canang ke seluruh pelusuk negeri akan memanda Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu meletakkan jawatan, maka marahlah akan timbalannya Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak. Arakian diingatkan kepada orang banyak oleh Dato’ Seri Mohd Najib jangan sekali-sekali disebut akan perkara memanda Perdana Menteri itu mahu meletakkan jawatan seperti disebut para penyurat hari ini 27 Rabiulawal 1429 (atau kata anak cucu fakir 4 April 2008). Syahdan menjadi kesalahan kepada sekalian hamba rakyat sekiranya disebut perkara memanda Perdana Menteri mahu meletakkan jawatan, kerana seperti di zaman bahari akan dipenggal kepala mereka, apa lagi timbalannya sudah tentulah ‘macam telur di hujung tanduk’. Heh heh heh!





Adapun apabila baginda Sultan Mahmud (bukan Sultan Abdullah Shah seperti diberi tahu bekas memanda Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad) berangkat berperahu had pangkalan Seri Dewa Raja, maka baginda menyuruh memanggil Seri Dewa Raja. Berpenanak-penanak Sultan Mahmud Shah menanti di pangkalan, belum juga Seri Dewa Raja datang; kerana adat Seri Dewa Raja, apabila datang hamba raja memanggil dia, maka ia naik ke rumah berbaring-baring, kadang-kadang lalu tertidur, serta dibangatkan oleh hamba raja itu, maka Seri Dewa Raja bangun lalu buang air dan mandi. Arakian rupa-rupanya pada waktu zaman dahulu ketika ‘pantang anak Melayu derhaka’, akan Seri Dewa Raja itu tidaklah ia menjadi ‘pak turut’ sahaja seperti disebut-sebut dalam ‘Kitab Melayu’ oleh:









IHIDUP BAHASA MELAYU!

Tuesday, April 1, 2008

JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)


DARI LAMAN BLOG:


PERIHAL ANAK JIRAN HILANG:
SUKARNYA PROSES UNDANG-UNDANG


Assalamualaikum,

Sabtu lalu (29 Mac 2008) tak berkesempatan saya menghadiri ‘Titipan Zaaba’ di Kampung Bukit Kerdas, Serting di Jempol, sekalipun ianya berlanjutan dari jam 8.30 pagi hingga ke malam. Disebelah pagi ‘pengkisahan Zaaba’ oleh dua orang tokoh akdemik dari IPTA, di samping di sebelah malamnya turut diserikan oleh deklamasi puisi SN Dato’ Dr A. Samad Said. Memang banyak aktiviti Muzium Negeri Sembilan tak sempat saya sertai, disebabkan secara geografi jarak Kuala Lumpur dan Batu Kikir di Jempol melebihi 70 kilometer. Bagaimanapun bukan sahaja rakan-rakan di Kuala Lumpur, malah kalangan teman rapat satu ketika dulu di Negeri Sembilan juga menyangka saya menetap di kampung selepas berstatus ‘warga emas’. Aduhai!

Tak disangka-sangka pula kira-kira jam 4.00 petang (29 Mac 2008) itu, jiran berdekatan beritahu mengenai anaknya tak balik ke rumah sejak semalamnya, 28 Mac 2008. Laporan polis sudah dibuat berikutan desas desus anak gadis di bawah umur itu dilihat beberapa orang menunggang motosikal pemuda dikenali sebagai ‘R’ sahaja. PRIMA tak dapat membantu keluarga berkenaan, setelah pihak polis dikatakan menemui keluarga pemuda ‘R’ itu, sebaliknya tidak mendapat kerjasama. Hingga hari ini (31 Mac 2008), keluarga gadis di bawah umur masih belum menemui anak gadisnya, malah di satu peringkat pemuda ‘R’ itu apabila dihubungi menerusi telefon bimbit, memberitahu beliau berada di Sabah.


Ironinya, bagaimana beliau mengaku berada di Sabah tetapi ketika keluarga anak gadis di bawah umur itu ke rumah keluarga terbabit, pemuda ‘R’ dikatakan membolos diri ikut pintu belakang. Disebabkan gadis di bawah umur berkenaan tiada di lokasi tersebut, memang sukar proses undang-undang dilaksanakan oleh pihak polis. Begitulah! Sekalipun insiden tersebut berbeza dengan musibah menimpa adik Sharlinie mahupun mangsa sebelumnya, tetapi pihak polis dikatakan mahu mengkategorikan kes tersebut sebagai ‘orang hilang’ juga. Keluarga terbabit sekadar meminta bantuan PRIMA untuk mengesan anak gadis berkenaan, tetapi ianya memang di luar bidang kemampuan pihak PRIMA, kerana langkah yang boleh dibantu ialah mengharapkan kerjasama polis.

Disebabkan keluarga terbabit sudah pun menerima kerjasama polis, justeru PRIMA menyerahkan kepada budi bicara pihak polis meneruskan proses undang-undang yang diperuntukkan kepada jabatannya. Apalagi keluarga terbabit merayu kepada pihak polis tak menyibarkan gambar anak gadis tersebut kepada pihak umum yang dikategorikan sebagai ‘orang hilang’. Memang isu berkenaan dikira kompleks, kerana kemungkinan ianya membabitkan ‘hati dan perasaan’ anak muda, sekalipun berdasar undang-undang anak gadis berkenaan masih di bawah umur. Pihak PRIMA sekadar merayu kepada keluarga pemuda ‘R’ janganlah melanggar peraturan dan undang-undang negara, tetapi kembalikan semula gadis berkenaan kepada keluarganya. Mudah-mudahan!

-Pak Dharma.

INFO HAK ASASI MANUSIA:
50 000 HADIR DI STADIUM SHAH ALAM
SOKONGAN PADU RAKYAT SELANGOR KEPADA 'BA'


Himpunan Rakyat di Stadium Shah Alam malam ini (31 Mac 2008) dihadiri lebih 50,000 penyokong Barisan Alternatif (BA), sebagai manifestasi sokongan rakyat Selangor memilih kerajaan baru. Aktivis masyarakat dari Pahang, Sdr L Mankadir Shamsi yang turun ke Shah Alam memberitahu, sokongan tersebut membuktikan mereka memilih BA membentuk kerajaan bukan berdasarkan ‘nasib baik’, sebaliknya memberi kepercayaan terhadap kepimpinan Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim. Perhimpunan yang dihoskan oleh PAS itu turut membariskan pemidato jemputan termasuk Presiden PAS Tuan Guru Dato’ Seri Hadi Awang, Timbalan Presiden PAS Ustaz Nasharuddin Mat Isa dan Esco kerajaan negeri Selangor, Dato’ Dr Hassan Ali.

“Rakyat Selangor memberi sokongan tak berbelah bagi kepada BA, justeru sambutan mereka terhadap Perhimpunan Rakyat ini begitu luar biasa,” menurut Sdr Mankadir yang masih bersemangat dalam perjuangan PAS sekalipun sudah berstatus ‘warga emas’. Sdr Mankadir mengakui, pemilihan stadium berkenaan sukar diperolehi sebelum ini di bawah pentadbiran kerajaan negeri di masa lalu, malah kadangkala bangunan masjid juga tak diberi kebenaran. Berikutan pencapaian cemerlang BA pada pilihanraya 8 Mac 2008 lalu, pihaknya mempunyai cukup ruang menyampaikan mesej kepada rakyat secara adil. “Apa salah memberi peluang kepada BA menggunakan mana-mana premis bangunan yang dibina dengan duit rakyat bagi kemudahan berkomunikasi,” jelas Sdr Mankadir.

PERJUMPAAN RAKYAT DI GUA MUSANG
MANIFESTASI GERAKAN PERPADUAN MELAYU



Perjumpaan rakyat di Dewan UMNO Gua Musang 4 April 2008 ini dianggap sebagai manifestasi gerakan perpaduan Melayu bagi memperkukuhkan kekuatan di peringkat akar umbi berikutan prestasi buruk BN pada pilihanraya 8 Mac 2008, beritahu Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz. Beliau memberitahu sekretariat PRIMA perjumpaan tersebut digerakkan oleh UMNO Bahagian Gua Musang, bagi memberi sokongan padu kepada Ahli Parlimennya Tengku Razaleigh Hamzah yang secara terbuka menawarkan diri untuk memulihkan semula ‘krisis keyakinan’ UMNO. “Perjumpaan di Gua Musang bagi menyatakan manifestasi sokongan padu rakyat Gua Musang kepada pimpinan Tengku Razaleigh,” beritahu Dato’ Kamal Amir.


Dalam laporan yang lain penyair Yassinsalleh memberitahu pada 5 April 2008, Tengku Razaleigh dikatakan akan meghadap Sultan Johor di Istana Bukit Serene di Johor Bahru, berikutan berlangsungnya ‘Kongres Perpaduan’ di Johor Bharu pada 2- 4 April 2008, menurut laporan pengendali laman bolg Sdr Sallehuddin. ‘Kongres Perpaduan’ tersebut menerima sokongan daripada kalangan ahli-ahli UMNO di peringkat akar umbi termasuk kalangan veteran yang prihatin mahukan perubahan drastik dalam pimpinan UMNO sekarang, menurut Sdr Yassinsalleh. Seterusnya kata Sdr Yassinsalleh lagi, pada 6 April 2008, pertemuan bersejarah Tengku Razaleigh dan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad akan berlangsung di sebuah hotel terkemuka di Ampang. “Kalangan UMNO yang prihatin dengan nasib bangsa Melayu sahaja mahukan perubahan ke arah pimpinan yang lebih dinamik,” beritahu Sdr Yassinsalleh.



AKTIVITI PIMPINAN PRIMA
TAK SEMPAT HADIR SAMA


Dua pimpinan terpenting PRIMA Haji Yahaya Ismail dan Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah tak dapat menyertai aktiviti forum bersama bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, bekas Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Dr Khir Toyo dan Ahli Parlimen Jerlun Dato’ Mokhriz Mahathir di Hotel Singgahsana, Petaling Jaya besok (1 April 2008). Haji Yahaya menerusi telefon memberitahu beliau berada di Surabaya, Jawa Timur, Indonesia bagi urusan penerbitan bukunya ‘Perkembangan dan Kejatuhan Lekra di Indonesia’. Sementara Dato’ Dr Mohd Mansor berurusan di Sabah, sekalipun dijangka balik ke Kuala Lumpur besok (1 April 2008), tetapi perlu menyampaikan kuliahnya di IPTA di Sungai Pusu, Gombak. Bagaimanapun mereka berdua menyampaikan salam kepada rakan-rakan dan aktivis yang lain bagi meneruskan kesinambungan perjuangan. Insya Allah!


INFO SASTERA & BUDAYA:


HEGEMONI POLITIK SASTERA
PEMILIHAN KRONI UNTUK ANUGERAH


Hegemoni politik yang menjadi kebanggaan pimpinan kerajaan menular kepada gerakan sastera dengan jaringan anugerah berprestij dipilih demi kepentingan kroni-kroni tertentu. Sekalipun ianya dinafikan, tetapi tak bermakna perkara berkenaan tak berlaku, menurut aktivis PRIMA Sdr Zainal Abidin Rasidin ketika berkunjung ke sekretariat PRIMA petang ini (31 Mac 2008). Sdr Zainal Abidin bekas wartawan yang juga Presiden Penaja Pemandu-Pemandu Teksi Islam Lembah Kelang mengakui ke Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) baru-baru ini bagi mengambil borang pencalonan bagi penerima anugerah yang berpangkalan di Bangkok, Thailand iaitu ‘Sea Writes Award’. “Saya sekadar menamakan calonnya, tetapi tak mungkin akan dipilih oleh panel, kerana hegemoni politik sastera,” kata Sdr Zainal Abidin.


Seterusnya Sdr Zainal Abidin memberikan contoh membabitkan anugerah sastera di sebuah negeri yang meminggirkan ‘tokoh utama’nya disebabkan gara-gara hegemoni politik sastera yang direstui oleh kerajaan negerinya. Katanya lagi, bagaimana tokoh yang menulis dalam semua genre sastera, di samping memenangi lapan kali bagi sayembara mengarang di peringkat nasional termasuk novel, cerpen dan sayembara mengarang sempena 50 tahun DBP baru-baru ini, dipinggirkan seolah-olah kerajaan negeri yang dipimpin oleh BN merestui ‘perbuatan nakal’ tersebut. Malah kerajaan negeri terbabit lebih rela memberi anugerah kepada aktivis yang sudah meninggal dunia, sekalipun pencapaiannya lebih rendah. “Sepatutnya panel penilai dan kerajaan negeri berkenaan berasa malu dengan anugerah tersebut,” jelas Sdr Zainal Abidin.

(Catatan: Pengarang terbabit dikatakan akan menolak sebarang anugerah dari negeri berkenaan di masa akan datang, di samping tak membenarkan mana-mana karyanya diterbitkan oleh persatuan penulis di negeri terbabit, malah tindakan undang-undang akan diambil berdasarkan Akta Hakcipta sekiranya tak menerima kebenaran bertulis terlebih dahulu – penyunting).


Gurindam Bangau Oh Bangau
Versi Baru.

Bangau oh bangau
kenapa BN kalah
macam mana BN tak kalah
rakyat dah menyampah.

Rakyat oh rakyat
kenapa dah menyampah
macam mana tak menyampah
banyak sangat rasuah.

Rakyat oh rakyat
siapa banyak rasuah
bermula dengan dol-lah
sampai sami bulu.

Rakyat oh rakyat
siapa lagi rasuah
Perlis sampai Sabah
semua MB & KM punggah.

Rakyat oh rakyat
macam mana kalau tak rasuah
kalau tak ambil rasuah
nanti heh heh heh marah!


-YS
Bandar Tun Hussein Onn,
Kajang.
Mac 2008.



KOMENTAR
bersama Pak Parjo.


RAJA ADIL RAJA DISEMBAH
KENAPA SENGAJA HINA BAGINDA?


Sekali persetua berlakulah di negeri Melayu bernama Terengganu, empat orang rakyatnya memegang kain rentang bertulis ‘Kami Nak Deris Natang’. Arakian akan ungkapan ‘natang’ itu, berangkali dimaksudkan ‘binatang’, wallahua’alam! Akan hamba Melayu sedialah akan taat setia kerana disebut orang sejak dahulukala ‘raja adil raja disembah, raja zalim raja disanggah’. Kalau tidak kerana limpah daulat raja Melayu yang mempertahankan ‘kanun negeri Melayu’ gerangannya sudah berlakulah sunnahnya akan dua negeri iaitu Selangor dan Perak bertimbalankan menteri besarnya bukan Melayu. Hari ini disuratkan oleh penyurat-penyurat pada 22 Rabiulawal 1429 (atau diberitahu anak cucu fakir 31 Mac 2008) akan fakir terlalu hiba apabila disebut ungkapan ‘natang’ kepada raja Melayu itu, adanya.


Arakian mengamuklah Hang Jebat di dalam istana. Banyaklah mati segala hulubalang dan pegawai-pegawai istana disebabkan terlalu kerasnya amukan Hang Jebat itu. Maka diserulah oleh orang banyak akan Hang Jebat derhaka, dengan senjata bergemerencing di sekeliling istana. Apabila diseru oleh orang banyak, maka Hang Jebat membuka tingkap lalu memangkis, “Ceh, hulubalang raja semua, sia-sia sahaja kamu mahu membunuh Hang Jebat. Baliklah kamu semua menjaga anak isteri kamu sekalian, akan Hang Jebat ini raja adil rajaku sembah, raja zalim raja ku sanggah!” Maka tahulah fakir Hang Jebat yang derhaka itupun tak tergamak memanggil rajanya ‘natang’, tetapi sentiasalah cakap berlapik iaitu ‘raja adil raja ku sembah, raja zalim raja ku sanggah’ seperti disurat dalam ‘Kitab Melayu’ oleh:




HIDUP BAHASA MELAYU.