Saturday, April 26, 2008

JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)




DARI LAMAN BLOG:


MENAGIH JANJI MENTERI KESIHATAN
PESAKIT MASIH MENUNGGU LEBIH 2 JAM



Assalamualaikum,



Balik dari Jelebu semalam (24 April 2008) kira-kira jam 9.00 malam, saya terus menghantar anak saya Syamsul Anwar (anak istimewa, yang menghidap autisme) ke Hospital Selayang akibat demam. Sebelumnya pejabat kesihatan daerah Gombak yang membuat lawatan rumah ke rumah menasihati orang ramai mendapatkan rawatan di hospital (bukan klinik swasta) sekiranya mengalami demam berterusan, sakit kepala dan sengal-sengal sendi berikutan wabak denggi disyaki menggugat. Merungut juga isteri saya apabila kenang jaminan Menteri Kesihatan yang baru Dato’ Ong Ka Chuan akan meningkatkan perkhidmatan di hospital dengan tempoh singkat kepada 20 minit pesakit menunggu giliran, tetapi terpaksa menunggu lebih dua jam. Begitulah!



Penghidap autisme memang mudah bosan menunggu lama, kerana dalam tempoh 30 minit ianya akan ‘memberontak’ disebabkan sikapnya hayperactive. Masalah sudah pun diberitahu kepada jururawat bertugas, tetapi heh heh heh! Terpaksa juga menunggu hingga jam 11.30 malam. Aduhai! Kira-kira jam 10.00 malam pimpinan kanan PRIMA Haji Yahaya Ismail menelefon ketika saya masih lagi di ruang pesakit luar Hospital Selayang. Haji Yahaya bertanyakan berkaitan perjumpaan dengan bekas Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Dr Mohd Khir Toyo pada 23 April 2005. Disebabkan Haji Yahaya tak ikut sama, beliau mengakui kesediaan Dato’ Seri Dr Mohd Khir bertanding jawatan Ketua Pemuda UMNO pada Disember 2008 nanti, sebagai manifestasi kebangkitan kebebasan intelektual yang menolak perhambaan minda dalam UMNO.



Ketika sampai di rumah kira-kira jam 12.00 malam, adik angkat saya Ir Adnan Haji Khalid pula beritahu mengenai insiden ‘Rukun Tetangga’ membelasah seseorang hingga hampir berlaku pergaduhan. Ir Adnan diminta menjadi ‘orang tengah’ apabila lelaki yang terbabit dibelasah bertindak membalas dendam terhadap ‘Rukun Tetangga’. Setelah disiasat rupa-rupanya salah seorang daripada ‘Rukun Tetangga’ di kawasan perumahan terbabit memang gemar mendera termasuk menyuruh anak muda yang disyaki melakukan perkara tak baik melakukan ‘ketumbuk ketampi’. Ironinya, lelaki yang dibelasahnya itu merupakan ahli ‘Rukun Tetangga’ juga.
Sikap salah guna kuasa oleh ‘Rukun Tetangga’ yang melakukan arahan di luar aturan yang ditetapkan oleh pentadbiran ‘Rukun Tetangga’ itulah menjadi punca masyarakat berasa benci dan meluat terhadap ‘Rukun Tetangga’. Malah kebencian itu juga menular kepada UMNO dan BN, menyebabkan di kawasan perumahan calon-calon UMNO dan BN terkulai, tersalai dan terbarai! Ir Adnan yang dianggap ketua tak rasmi bagi penduduk di fasa 8 kawasan perumahan terbabit sudah memberi mesej kepada ‘Rukun Tetangga’, ‘alang guru kepalang ajar, alang tukang kayu binasa; kalau ketam jalan mengereng, jangan harap anaknya berjalan betul!’.


Hari ini (25 April 2008) bekas profesor dan pakar kaunseling Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah menelefon beritahu beliau dimarahi oleh penyair Yassinsalleh apabila sering bersikap berkompromi dalam isu ‘politik akademik’. Apalagi Dato’ Dr Mohd Mansor yang juga bekas Timbalan Naib Canselor (HEP) UTM yang kurang ‘mengampu’ terus tercicir bagi mengisi jawatan di IPTA selepas bersara termasuk ‘Kursi Tun Ghafar Baba’ di UPSI, ‘Kursi Tun Abdul Razak’ di UKM mahupun Ketua Pengarah DBP di bawah kementerian pelajaran. Kata Yassinsalleh bukan sahaja kerajaan membazirkan tenaga ‘akademik’, malah negara turut mengabaikan kepakaran Dato’ Dr Mohd Mansor.

-Pak Dharma.





INFO HAK ASASI MANUSIA:



BESOK KU LI DI SUBANG
PRIMA KE KAMPUNG ORANG ASLI

Jadual perjumpaan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah bersama gabungan cawangan-cawangan UMNO di Subang besok (26 April 2008) mulai jam 2.00 petang memperlihatkan orang Melayu sudah bergerak menolak ‘perhambaan minda’ yang menjadi trend UMNO selama ini. Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz memberitahu, Tengku Razaleigh sedang menggerakkan usaha membawa perubahan kepada kalangan UMNO di peringkat akar umbi bagi membebaskan orang Melayu dari jaringan ‘perhambaan minda’ yang berterusan. Seterusnya Dato’ Kamal Amir juga turut mengalu-alukan kesediaan bekas Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Dr Mohd Khir Toyo untuk memimpin Pemuda UMNO dengan membawa ‘suara rakyat’, di samping hidupkan semula ‘semangat perjuangan Dato’ Harun Idris’.


Sementara itu di Pahang, aktivis teater Sdr L Mankadir Shamsi pula memberitahu majlis ‘Baca Puisi Perkampungan Orang Asli’ sudah bersiap sedia menyambut penyair-penyair PRIMA ke Kampung Pian di Kuala Krau. Katanya, penduduk-penduduk Orang Asli di perkampungan berkenaan akan memperkenalkan kesenian tradisional mereka termasuk bersewang bagi memeriahkan kunjungan PRIMA. Beritahu Sdr L Mankadir, majlis berkenaan bagi mendekatkan kebudayaan dan kesenian tradisonal Orang Asli yang diabaikan kepada aktivis budaya dan sastera dari PRIMA yang prihatin dengan rintihan masyarakat Orang Asli. “Kita mahu PRIMA turut memperjuangkan kebudayaan, sastera lisan dan kesenian Orang Asli ke peringkat nasional,” kata Sdr Mankadir.




INFO SASTERA & BUDAYA:


PENGURUSAN DBP PERLU DIPANTAU
BERKAITAN PENERBITAN, PERCETAKAN & PEMASARAN



Bekas profesor dan pakar kaunseling Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah mahukan pengurusan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sentiasa dipantau menerusi siasatan yang telus berkaitan penerbitan, percetakan dan pemasaran buku-buku di bawah agensi berkenaan. Menurut beliau pengurusan DBP juga tak terlepas daripada isu berkaitan kebobrokan pentadbiran hingga berlaku mogok di kalangan kaki tangan, pemasaran yang dimonopoli oleh pihak tertentu dan pembangunan sastera yang kurang berkesan. Apalagi kata Dato’ Dr Mohd Mansor, penerbitan karya sastera banyak digerakkan oleh penerbitan swasta yang lebih terancang sama ada pemasaran, produktiviti mahupun pengurusan.




“Kita mahu DBP menjadi agensi budaya yang proaktif dan berdaya saing dalam menterjemahkan hasrat orang Melayu mahu melihat pembangunan sastera seiring dengan kedaulatan memartabatkan Bahasa Melayu,” jelas Dato’ Dr Mohd Mansor yang juga novelis prolifik tanah air. Seterusnya beliau melahirkan rasa kecewa dengan penerbitan novelnya ‘Amigo Possa’ yang dicetak sekadar 1,700 naskhah sahaja, berbanding dengan buku autobiografi ‘Dato’ Onn Jaafar: Potret Pejuang Terbilang’ (bukan diterbitkan oleh DBP) dicetak 10,000 dengan diterima oleh Biro Teknoloji Pendidikan (BTP), iaitu di bawah kementerian pelajaran. Disebabkan DBP tak mampu menembusi BTP, justeru perbezaan ‘angka’ amat ketara, katanya.





INFO SUARA PROLITAR:

SISASAT SEGERA LAPORAN POLIS
BABITKAN BEKAS MENTERI MENCABUL.



Karpal Singh mendesak polis untuk meneruskan siasatan ke atas bekas menteri yang didakwa mencabul kehormatan wanita (berusia 30-an), walaupun kes tersebut telah ditarik semula. Mengikut undang-undang Malaysia jika laporan yang dibuat wanita itu palsu, maka hukuman ke atas wanita berkenaan boleh dikenakan, maksimum enam bulan penjara. Apakah Malaysia mahu meneruskan kisah ‘Musang Berjanggut’ P. Ramlee ketika Tok Nikah Kahwin berkata: ‘Salah tu memang salah, tapi itu undang-undang dato’ yang bikin!’. (SMS; 24 April 2008 – YS, Kajang, Selangor).




WAJARKAH KENA LANGIR LIMAU
SUKAR SANGAT BUKA LAMAN BLOG


Sudah berkali-kali saya cuba membuka laman blog http://www.adimul.blogspot.com/ tapi masih juga tak berhasil. Mungkinkah saya perlu kena mandi berlangir limau, kerana kata kawan saya seelok-eloknya ‘berlangir’ dengan limau sunkist. Saya difahamkan laman blog ini semakin menarik perhatian ramai, apalagi bekas Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Dr Mohd Khir Toyo juga dilaporkan melayarinya. Sebab itu, tolong berikan panduan supaya saya boleh melayari laman blog PRIMA. (SMS; 25 April 2008 – ZB, Taman Kencana, Cheras, Kuala Lumpur).



TAKZIAH KEPADA KELUARGA RUSTAM
HILANGNYA SUARA GOLONGAN MARHAIN



Takziah kepada keluarga Allahyarham Rustam A Sani yang meninggal dunia pada 23 April 2008. Bagi saya kehilangan Rustam A Sani bermakna gugurnya sebutir bintang yang menjadi pejuang suara marhain yang dipelopori oleh ayahnya Bung Boestamam (Dato’ Abdullah Sani bin Raja Kecik). Ketika diberitahu mengenai kematian beliau, saya berada di luar Kuala Lumpur. Bagaimanapun sumbangan Rustam A Sani dalam penulisan dan menyuarakan kepentingan marhainisme tetap dikenang buat selama-lamanya. (SMS; 25 April 2008 – S. Buyong, Beranang, NS).




KOMENTAR
bersama Pak Parjo



HUBUNGAN BAIK TERJALIN LAMA
KESERASIAN NEGARA GAJAH PUTIH


Sebermula akan negeri Melayu itu sudah lama menjalin hubungan baik dengan negara Gajah Putih sejak turun temurun daripada paduka nenda Parameswara (Sultan Iskandar) hinggalah kepada paduka ayahanda Raja Kassim (Sultan Muzzafar Shah). Syahdan akan memanda Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi diberitahu oleh sekalian para penyurat hari ini 18 Rabiulakhir 1429 (yakni 25 April 2008 mengikut perkiraan anak cucu fakir) berkata akan menghulur sebarang bantuan yang dianggap wajar oleh negara Gajah Putih (disebut anak cucu fakir Thailand) bagi pembangunan iktisad. Arakian fakir dimaklumkan orang banyak akan negara Gajah Putih itu terlalulah maju pertaniannya jika dibandingkan dengan negara Melayu ini, adanya.


Oleh yang demikian tak tahulah fakir bagaimana negeri Melayu ini hendak membantu negara Gajah Putih yang sudah sedia maju pertaniannya, hinggakan segala buah-buahan dari negeri itu dibawa masuk ke negeri ini. Hatta masakannya juga sudah penuhlah di merata pelusuk kampung dan ceruk rantau negeri Melayu iaitu tomyam, daging masak merah, nasi paprid, mi lakna dan bermacam-macam lagi. Syahdan begitulah peri majunya negeri Gajah Putih yang memanda Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah mahu memberi bantuan itu. Arakian tersebutlah gajah Sultan Mansor Shah bernama Kancanci terlepas ke hutan, maka ditemui orang di dalam paya dan semak berduri.


Maka pergilah panglima gajah Seri Rama mengambil, tiada dapat ia membawanya balik ke istana. Maka disuruh baginda tafahus di dalam negeri Melaka itu, kalau-kalau ada orang tahu ilmu gajah. Lalu dipersembahkan orang Maharaja Dewa Sura iaitu raja Pahang di bawah pemerintahan Siam yang negerinya dialahkan Melaka terlalu tahu akan ilmu gajah. Maka Maharaja Dewa Sura memberitahu orang yang membawa titah, hendaklah dilepaskan (bebas dari tahanan), barulah dia mahu mengambil gajah itu. Telah dilepaskan Maharaja Dewa Sura itu, gajah tersebut dapatlah diambilnya. Maka oleh Sultan Mansor Shah disuruhlah semua anak-anak orang besar Melayu belajar akan ilmu gajah kepada Maharaja Dewa Sura orang Siam itu, seperti disuratkan dalam ‘Kitab Melayu’ oleh:














HIDUP BAHASA MELAYU!

Wednesday, April 23, 2008

JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)

(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG:

TERGAMAM SELEPAS SOLAT SUBUH
TIBA-TIBA TERIMA SMS SYED HUSSIN
Assalamualaikum,

Selepas solat subuh seperti kebiasaan, saya berbaring semula hingga kadangkala terlelap juga hingga santak jam 7.30 pagi. Hari ini (23 April 2008), memang saya sudah bercadang membawa anak saya Ikram Hafiz membuat ‘pemeriksaan kesihatan’ (medical check-up) bagi persiapan memasuki Universiti Industrial Selangor (Unisel) 3 Mei 2008 ini. Apabila SMS berbunyi saya boleh meneka rakan-rakan yang mengirimnya sama ada penyair Yassinsalleh, Sdr Zakaria Bidin, Sdr L Mankadir Shamsi atau Haji Sayuti Omar. Kalau Dato’ Kamal Amir, Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah, Haji Bakar Ninggal atau Sdr Zainal Abidin Rasidin mereka lebih selesa menelefond daripada mengirim SMS. Kadangkala Dr Haroun Haji Kidam dari Melaka, Dr Leo A.W.S. dari Kelantan atau Ustaz Azmi dari Negeri Sembilan juga akan mengirimkan SMS juga. Begitulah!


Rupa-rupanya awal pagi ini (23 April 2008) Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Dr Syed Hussin Ali dan Haji Sayuti Omar serentak mengirimkan SMS beritahu mengenai berpulangnya ke rahmatullah aktivis masyarakat dan penulis Rustam A Sani jam 3.00 pagi akibat serangan sakit jantung. Rustam bekas pensyarah di UKM bukan sahaja pengandali laman blog, malah terbabit dalam kesinambungan perjuangan ayahnya Dato’ Ahmad Boestamam. Beliau juga dikenali pejuang hak asasi manusia, malah ikut sama dalam gerakan awal isu keadilan terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada September 1998. Ketika GERAK digerakkan diibu pejabat PAS oleh Allahyarham Dato’ Fadzil Noor, memang Rustam tak ikut sama.

Memang semasa GERAK digerakkan selepas rumah Dato’ Seri Anwar digempur FRU malam 20 September 1998, saya tak melihat Rustam. Mungkin sahaja ketika itu PRM diwakili oleh Dr Syed Hussin Ali dan Dr Sanusi Osman, sementara saya pula bersama Allahyarham Abang Mat (Sdr Ahmad Noor) dan Dr Tan Seng Giaw mewakili DAP, di samping Dato’ Fadzil Noor, Subky Latiff dan Haji Mahfuz Omar pula mewakili PAS. Kalangan akademik yang saya kenali pula ialah Dr Aziz Bari dan Shaari Sungip, sementara dari NGO pula Dato’ Syed Jamal, Tian Chua dan Anuar Tahir. Sekalipun Rustam tak bersama di peringkat awal, tetapi beliau terbabit dalam gerakan seterusnya sehinggalah Parti Keadilan Nasional ditubuhkan di bawah pimpinan Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail.

Bagaimanapun saya mengenali Rustam melalui ayahnya Dato’ Ahmad Boestamam (Pak Boes) yang lebih rapat dengan saya. Ketika menggerakkan akhbar ‘Mingguan Bumi’ bersama Hussein Yaacob, Abu Bakar Ninggal, Yusuff Jalil dan Saroji Mokhtar memang Pak Boes ikut sama terbabit. Setiap petang kami akan berjumpa, sekalipun Pak Boes menghadapi masalah penglihatan berikutan pembedahan mata. Sebagai aktivis pula Rustam bukanlah mempunyai karektor yang sama seperti Pak Boes, sebaliknya beliau mirip seperti Dr Syed Hussin yang serius (malah jarang berjenaka). Kalau terserempak di pasaraya Taman Seri Gombak pun, kami sekadar bertanya khabar sahaja. Moga-moga Allah cucuri rahmat ke atas rohnya. Al-Fatihah!

-Pak Dharma.



INFO HAK ASASI MANUSIA:




SALAHKAN PENGERUSI PERHUBUNGAN
MAT TAIB PERLU SALAHKAN ABDULLAH



Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz menyifatkan sikap Ketua Penerangan UMNO Tan Sri Muhammad Mohd Taib meletakkan beban kesalahan kekalahan BN pada pilihanraya 8 Mac 2008 lalu di Selangor ke bahu orang lain sebagai budaya pimpinan ‘korup idea’. Katanya Tan Sri Muhammad tak mampu mengkritik diri sendiri (self ciriticism), hingga menjadi ‘prasit politik’ yang bergantung kepada ihsan pimpinan bagi survival perjuangan yang dangkal. Mengulas keserabutan pemikiran Ketua Penerangan UMNO itu yang juga Menteri Pebangunan Luar Bandar menyalahkan bekas Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor Dato’ Seri Dr Mohd Khir Toyo menyumbang kepada kekalahan di Selangor, beliau memberitahu Tan Sri Muhammad bukan sahaja korup idea, malah dangkal politik dan terikat dengan perhambaan minda.

“Kalau di Selangor salah Dr Khir, bagaimana dengan Pulau Pinang, Perak dan Kedah adakah kesalahan dibeban ke bahu Pengerusi Perhubungan UMNO,” kata Dato’ Kamal Amir yang juga bekas Exco Pemuda UMNO. Seterusnya Dato’ Kamal Amir mencabar Tan Sri Muhammad menyalahkan Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi atas kapisiti Pengerusi Perhubungan UMNO Pulau Pinang menyebabkan negeri berkenaan jatuh ke tangan Pakatan Rakyat. “Tan Sri Muhammad harus membebaskan dirinya daripada perhambaan minda bagi mencerminkan keterampilan sebagai seorang Ketua Penerangan UMNO yang setanding dengan Tan Sri Jaafar Albar,” jelas Dato’ Kamal Amir.




INFO SASTERA & BUDAYA:

PIMPINAN DBP MAHU DITUKAR
PAK LAH BUAT KEPUTUSAN MUTLAK



Pelbagai pihak mahukan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Dato’ Dr Firdaus Abdullah yang tamat tempoh kontraknya tahun ini, tak disambung semula. Dalam pertemuan dengan aktivis budaya di PWTC hari ini (23 April 2008) dikatakan seorang ahli Parlimen UMNO menelefon ke pejabat kementerian pelajaran mendesak supaya jawatan berkenaan diberikan kepada tokoh akdemik yang lebih muda, di samping berkarisma serta terbabit dalam gerakan bahasa di peringkat antarabangsa. Bagaimanapun dilaporkan pihak pejabat kementerian memberitahu, memang pandangan tersebut sudah dalam pertimbangan kementerian berdasarkan kebobrokan pimpinan DBP setakat ini. Sebaliknya keputusan mutlak membuat pelantikan di pejabat Perdana Menteri bukan di kementerian terbabit.


Justeru menurut sumber, ahli Parlimen terbabit terkejut apabila kementerian pelajaran tak mempunyai kuasa membuat keputusan bagi pelantikan jawatan Ketua Pengarah DBP. Baru-baru ini SN Dato’ Dr A Samad Said dilaporkan enggan menggunakan status yang dianugerah selaku ‘Sasterawan Negara’, berikutan kekecewaan terhadap peranan DBP dalam pembangunan sastera di negara ini. Malah ketika ‘Pesta Buku Antarabangsa’ baru-baru ini sekali lagi Dato’ A Samad Said melahirkan rasa kecewa apabila suratnya kepada Ketua Pengarah DBP, Dato’ Dr Firdaus berkaitan isu mahu menerbitkan smeula karya-karyanya tak diberi layan. “Pembangunan sastera dan bahasa adalah berasaskan kepada hubungan baik sasterawan dan DBP, kalau sebaliknya ialah kegagalan pimpinan agensi kerajaan itu,” kata sumber berkenaan.




INFO SUARA PROLITAR:



JANGAN LAGI RABUN MATA
FIKIR-FIKIRLAH SAMPAI 10 KALI

Bila Pak Lah (Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi) mahu melakukan peralihan kuasa? Kalau calon penggantinya 2 X 5 dengan Pak Lah samalah macam melepaskan batuk di tangga. Tempoh pemilihan ialah sehingga Disember 2008. Sekiranya ahli-ahli UMNO tak mahu pisang berbuah dua kali, calon yang dikira terbaik ialah Tengku Razaleigh Hamzah. Janganlah rabun mata lagi. Memang pencalonan bagi jawatan Presiden UMNO memerlukan 30% sokongan. Tapi kalau budaya RM200 di Kubang Pasu diteruskan, ahli-ahli UMNO kena fikirlah 10 kali, bukan lagi dua kali. (SMS; 23 April 2008 – Rimau Karak, Pahang).


Oleh:Fuad Rahim

BETULKAH BLOGGER PENYEBAR FITNAH?


Blogger atau penulis blog boleh sahaja dianggap tukang fitnah atau penyebar kepalsuan tetapi bukan semua bersikap sedemikian.Jika blogger atau penulis blog dari kalangan wartawan, mereka pastinya ‘terikat’ dengan etika kewartawanan, walaupun menulis di blog atau laman web, seolah-olah seseorang itu tidak dipantau sesiapa. Disebabkan laman web yang menentang kerajaan dilihat lebih ramai dikunjungi, tetapi bukanlah bermakna laman-laman ini terlalu berpengaruh – kecuali pengendalinya mengakui sendiri kononnya laman mereka ‘cukup menyengat’. Pengunjung (baca: pembaca) dari kalangan mereka yang boleh mengundi tetapi tidak kurang juga mereka ini belum layak mengundi.

Selepas Pilihan Raya Umum ke 12 (PRU 12), banyak pihak membuat analisis kononnya blogger dan laman web adalah salah satu faktor yang menyebabkan Barisan Nasional (BN) kecundang.Seorang penulis politik yang juga Setiausaha Umno Bahagian Pokok Sena, Ramli Mohd Yunus berpendapat, terlalu kecil peratusan mereka yang terpengaruh dengan tulisan dalam blog dan laman web yang menyebabkan pengundi beralih arah. “Saya sendiri seorang yang ketagih melayari laman-laman web, tetapi saya mempunyai akal untuk berfikir. Yang mana betul, saya percaya dan yang mana saya curiga, saya akan siasat sendiri. Mustahil saya boleh diperbodohkan kerana saya tidak membaca hanya senaskhah akhbar sehari dan rujukan saya bukan setakat akhbar tempatan. Saya membaca laman web dan saya juga membaca majalah dan akhbar lain termasuk terbitan antarabangsa.” Tegasnya.



Seorang lagi penulis, Zakaria Bidin ketika mengulas mengenai laman blog dan blogger pula berpandangan; “Masing-masing mempunyai hak menulis tetapi hak itu bukanlah kebebasan tanpa batasan. Saya tidak mempunyai banyak masa untuk melayari laman-laman web, tetapi bukan bermakna saya anti laman web,” Kata Zakaria lagi, “Pembaca perlu menimbang secara matang setiap maklumat yang dibaca. Jika boleh, siasat siapa penulisnya. Ambil tahu latar belakang penulis dan keperibadiannya. Jika tidak pasti, berbincanglah dengan kawan-kawan terhadap satu-satu isu yang dibaca,”.


Penulis Wan Yusof Wan Ngah pula berkata; “cara seseorang menulis sudah boleh diberikan ‘markah’ sama ada tulisan itu palsu, fitnah atau benar,” Wan Yusof yang banyak menulis di akhbar-akhbar tabloid berpendapat, seseorang blogger atau penulis laman web tidak terlepas dari dosa dan pahala. “Dia kena bertanggungjawab dengan apa yang ditulisnnya. Jika di dunia dia terlepas dia tidak mungkin terlepas di akhirat,” hujahnya.Wan Yusof berpendapat, penulis yang sengaja menulis fitnah adalah seseorang yang sakit jiwa dan mentalnya tidak stabil. “Untuk apa dia lakukan fitnah terhadap seseorang jika bukan kerana jiwanya sedang sakit?” soalnya lagi.


“Bagi saya, seseorang yang sengaja memfitnah sebenarnya menunjukkan dirinya yang tidak baik dan keperibadiannya yang songsang.” Tambahnya. Sebenarnya laman-laman web dan blog ini bermula sekitar 10 tahun yang lalu. Kalau kerana politik, ia lahir betul-betul ketika Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat dari kerajaan dan dari Umno. Ketika itu, laman-laman web dan blog muncul seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Namun, tiada siapa yang menghiraukannya. Ada yang menyindir kalau timbul cerita ‘aku dapat maklumat ni dari laman…..’


Hari ini, selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meminta Menteri Penerangan yang baru, Datuk Ahmad Sabbery Chik berjumpa dan berkenal-kenalan dengan blogger, semua blogger dan pengendali laman-laman web terasa mereka penting.

KOMENTAR
bersama Pak Parjo.
PERIHAL PERKARA BUDAYA
ORANG MUDA PERLU MEMAHAMI

Kata sahibul hikayat akan Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Dato’ Shafie Apdal mahukan anak-anak muda lebih memahami budaya dan adat resam dua benua di negeri-negeri atas angin dan di bawah angin. Adapun disuratkan orang banyak hari ini, 16 Rabiulakhir 1429 (yakni 23 April 2008 kepada anak cucu fakir) akan orangkaya menteri itu berkata semasa perjumpaan dalam muafakat ketiga orangkaya-orangkaya menteri negeri atas angin dan bawah angin (ASEM CMM). Berkatalah akan orangkaya menteri itu, “Perkembangan di seluruh dunia sekarang menunjukkan masyarakat antarabangsa berhadapan pelabagai isu kebudayaan, yang mana salah faham terhadap budaya orang lain masih jelas berlaku dari semasa ke semasa.” Adapun yang diminta memahami budaya itu orang muda sahaja, kononnya orang tua faham sangatlah mereka.

Syahdan datanglah sebuah kapal Feringgi dari Goa. Maka ia berniaga di Melaka. Maka dilihat oleh Feringgi itu negeri Melaka terlalu baiknya, dan bandarnya pun terlalu ramai. Maka segala orang pun berkampung melihat rupa Feringgi itu. Maka sekaliannya heran melihat dia. Arakian kata orang Melaka, “Ia ini Benggali Putih’. Sebermula akan kapitan Feringgi itu naik menghadap Bendahara Seri Maharaja. Maka oleh bendahara di angkat anak kapitan itu, dipersalin. Syahdan kapitan itu persembahkan pada bendahara rantai emas berpermata seutas dimasukkan ke leher bendahara dengan melangkau kepala. Maka sekali anak-anak buah hendak gusar akan kapitan itu, tiada diberi oleh bendahara, katanya, “Jangan dituruti, kerana ia orang tiada tahu adat Melayu,” seperti dikarang dalam ‘Kitab Melayu’ daripada:

HIDUP BAHASA MELAYU.

JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)

(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)



DARI LAMAN BLOG:


BUAT KERJA DI SALAH ANGGAP
TAK BUAT KERJA AKAN DICEMUH


Assalamualaikum,



Dilema dalam pimpinan UMNO sejak dulu lagi ialah ‘buat kerja akan disalah anggap seolah-olah mahu cepat mencapai kedudukan; sekiranya tak buat kerja pula dipersalahkan malah dicemuh’. Begitulah! Bekas Menteri Kebudayaan Belia dan Sukan, Allahyarham Tan Sri Abdul Samad Idris pernah memberitahu saya mengenai dilema yang dihadapinya ketika menjadi timbalan menteri, apabila beliau sering mendapat liputan media setiap kali menjalankan tugas kementerian. Justeru beliau dikatakan mahu cepat meningkat naik, hingga Tun Abdul Razak ingatkan beliau, “Tak apalah Mat, saya pindahkan you bawah Manickavasagam, dia tu ok!” Mujurlah ‘taukeh’ memahami situasi, bagaimana kalau ‘taukeh’ wal hasil balik hasal?


Hari ini (22 April 2008) dialog PRIMA bersama bekas Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Dr Mohd Khir Toyo di Holliday Inn, Subang turut mendedahkan dilema berkenaan, apabila beliau terlalu menumpukan kepada ‘kerja’. Tak hairanlah ketika menjadi Menteri Besar Selangor, beliau dikritik oleh pimpinan dalam UMNO sendiri apabila berusaha mahu memastikan kerajaan negeri yang dipimpinnya mencapai kejayaan cemerlang. Beliau turut mengakui di bawah bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, usaha beliau disenangi disebabkan Tun Dr M ‘turun padang’. Misalnya, menurut Dato’ Seri Dr Khir beliau pernah bertelagah dengan Tun Dr M berkaitan pemasaran industri kampung di pasaraya besar.


Tak disangkanya Tun Dr M ‘turun padang’ ke pasaraya besar berkenaan, di samping mengakui industri kampung yang disebut beliau (Dato’ Seri Dr Khir) dipasarkan di situ mampu mengaut keuntungan hingga RM5,000 sebulan. Apabila industri kampung (termasuk kerepek ubi dan sebagainya) mahu dieksport ianya dibantah oleh pasaraya besar, kerana boleh mengurangkan input mereka hingga 50% dengan tak menghiraukan kepentingan rakyat jelata di peringkat akar umbi. Dialog PRIMA bersama Dato’ Seri Dr Mohd Khir turut disertai Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz, Dato’ Suhaimi Ibrahim, Sdr Aspan Alias, Sdr Sallehuddin, Sdr Zakir, Sdr Sobri Ahmad dan rakan-rakan pengendali laman web dan laman blog.



Pandangan yang berbeza berlaku juga misalnya, apabila Sdr Zakir menolak pendapat Dato’ Suhaimi yang mengakui UMNO masih ‘kuat’ dan diterima oleh orang Melayu. Kata Zakir kemerosotan prestasi UMNO di seluruh negara pada pilihanraya ke 12, bukan lagi undi protes sebaliknya manifestasi orang Melayu terhadap pimpinan UMNO. Justeru Sdr Aspan bersetuju UMNO perlu dipimpin oleh golongan muda yang dinamik seperti Dato’ Dr Mohd Khir. Malah Sdr Sallehuddin juga mengakui sekiranya UMNO enggan menerima perubahan, ianya sesuai dipamerkan di muzium sahaja. Apalagi Dato’ Kamal Amir turut menolak konsep ‘ketuanan Melayu’ yang dibangga-banggakan UMNO, kalau ketuanan berkenaan tak ‘berdaulat’. Heh heh heh!

-Pak Dharma




INFO HAK ASASI MANUSIA:

PEMUDA PERLU MENJADI BENTENG
PRIHATIN MEMBAWA ‘SUARA RAKYAT’


Bekas Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Dr Mohd Khir Toyo berikrar menjadikan Pergerakan Pemuda UMNO sebagai benteng kepada orang Melayu di peringkat akar umbi, di samping prihatin membawa ‘suara rakyat’ apabila menawarkan diri bertanding jawatan ketua pergerakan tersebut pada pemilihan UMNO Disember 2008 nanti. Ketika berdialog dengan pegendali laman web dan laman blog hari ini (22 April 2008), Dato’ Seri Dr Mohd Khir berkata, persepsi salah selama ini ialah apabila pihak Pemuda tak dapat membezakan ‘kerajaan’ dengan ‘UMNO’, menyebabkan isu yang dibangkitkan tak prihatin dengan ‘suara rakyat’. “Apabila Pemuda tak membawa ‘suara rakyat’, pihak lawan menggunakan kesempatan tersebut, menyebabkan mereka mendapat manfaat,” beritahu Dato’ Dr Mohd Khir.



Seterusnya Dato’ Seri Dr Mohd Khir mengakui pimpinan Pemuda UMNO di bawah Allahyarham Dato’ Harun Idris adalah period kegemilangan yang sukar dicapai selepas dekad 1970-an. Menurut beliau, pimpinan Pemuda di bawah Dato’ Harun bukan sahaja dikagumi di dalam negeri, malah dihormati di peringkat antarabangsa hingga mampu menarik pelabur-pelabur luar menjana pembangunan ekonomi. Katanya, Dato’ Harun dengan ‘pressure group’ mampu melonjak martabat Pergerakan Pemuda UMNO, justeru usaha menjatuhkannya digerakkan oleh kalangan dalam UMNO sendiri yang melihatnya boleh menjejaskan kewibawaan mereka. “Pemuda UMNO perlu kembali kepada akar umbi iaitu menjadi benteng orang Melayu dan prihatin dengan suara rakyat,” beritahu Dato’ Seri Dr Mohd Toyo selanjutnya.




PILIHANRAYA MACAM PEPERIKSAAN
UMNO MASIH LULUS DENGAN ‘GRED A’


Penasihat Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Dato’ Suhaimi Ibrahim menolak tanggapan ramai mengenai kemerosotan prestasi UMNO pada pilihanraya ke 12, 8 Mac 2008 lalu. Katanya, anjakan pengundi Melayu sekadar 20 peratus sahaja di seluruh negara, justeru pencapaian UMNO bolehlah dianggap cemerlang. Beliau yang juga bekas ADUN Benta di Pahang memberitahu dalam dialog PRIMA bersama bekas Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Dr Mohd Khir Toyo di Holliday Inn, Subang petang ini (22 April 2008). Menurut Dato’ Suhaimi, pilihanraya bolehlah dianggap seperti juga menghadapi peperiksaan, apabila calon terbabit sekadar gagal satu atau dua subjek tetapi keputusan keseluruhannya masih lagi ‘gred A’.


Bagaimanapun pandangan Dato’ Suhaimi dipertikai oleh pengndali laman blog Sdr Zakir, yang meminta aktivis UMNO mengakui kekalahan drastik pada pilihanra lalu. Menurut Sdr Zakir, kalau kemerosotan undi Melayu di Johor dijadikan ukuran, UMNO sebenarnya dalam keadaan ‘paling lemah’ dalam sejarah pilihanraya. Apalagi katanya, kekalahan UMNO bukan disebabkan undi protes, sebaliknya pemikiran pengundi-pengundi muda membuat anjakan paradigma berdasarkan keterbukaan mereka. “Dari 16 juta pengundi di Malaysia, ahli UMNO sekadar 3.2 juta sahaja, di samping pengundi yang keluar menunaikan tanggungjawab ialah 11 juta, kalau undi protes pun sekitar 3.2 juta ahli UMNO sahaja,” kata Sdr Zakir.


KETUANAN MELAYU MESTI DITOLAK
KONSEP USANG YANG SUDAH LAPUK


Ketuanan Melayu yang menjadi kebanggaan UMNO perlu ditolak secara total, kerana ianya konsep usang yang sudah lapuk, menurut Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz. Bagi memulihkan semula krisis keyakinan pimpinan UMNO sekarang sudah tiba masanya konsep ketuanan Melayu itu tak perlu disebut-sebut lagi, katanya dalam dialog PRIMA bersama bekas Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Dr Mohd Khir Toyo. Dato’ Kamal Amir yang juga bekas Exco Pemuda UMNO menjelaskan, adalah memalukan ‘ketuanan Melayu’ sekiranya tak berdaulat dan tak bermartabat. “Apa yang penting sekarang ialah kedaulatan Melayu sama ada agama, politik, kebudayaan, ekonomi dan negara,” beritahu Dato’ Kamal Amir.


Saranan Dato’ Kamal Amir dipersetujui oleh pengendali laman blog Sdr Sallehuddin yang menganggap ‘ketuanan Melayu’ sekadar gimmik politik sekiranya tak disertakan dengan memartabatkan kedudukan orang Melayu. Malah aktivis masyarakat Sdr Aspan juga turut merasakan ‘ketuanan Melayu’ menjadikan orang Melayu lalai, di samping terikut-ikut dengan pandangan pihak lawan terhadap pentingnya ‘Dasar Ekonomi Baru’. Seterusnya Dato’ Seri Dr Mohd Khir juga menganggap ‘ketuanan Melayu’ lebih baik ditukar kepada ‘ketahanan Melayu’ yang lebih relevan, terutama bersaing dengan orang lain sama ada dalam bidang yang baik mahupun yang tidak baik.



INFO SASTERA & BUDAYA:


SAJAK

Deklamasi Puisi Perdana


Ku cari damai abadi
ku dapat sumpah sampai mati
aku ingat nak jadikan
menantu menteri
depa titik aku dengan keji
tak apa –
aku masih lagi seorang perdana!


Ku cari Imam al-Ghazali
ku terjumpa ka ka ka ri…
Anwar al-Pakati
ku konspirasi
biarpun UMNO dah nak mati
asal puas di hati
alahai hebatnya Islam Hadhari.

YASSINSALLEH
Kajang, Selangor
21 April 2008.



INFO SUARA PROLITAR:

DULU BERANI KRITIK KETUA
SEKARANG SEMUA IKUT LEMBIK!


Even the founder member of UMNO, Dato’ Onn Jaafar had been push out when it comes to his questionable suggestion. Bapa Kemerdekaan, Tunku (Abdul Rahman Putra) had been urged to step down when 13 May Tragedy hits the nation in 1969. Bapa pemodenan Dr M (Tun Dr Mahathir Mohamad) had been fought in 1987 battle which leads to S46 (Parti Melayu Semangat 46) separation & ‘pengharaman UMNO’. So, previously/once upon a time, UMNO members are amazingly brave in challenging their leader! So, I wonder where all ‘the balls’ gone when the weakest leader of weakest era of UMNO in our history run the show in 2008! Want to wait to see UMNO becomes irrelevant? Or maybe they have all lost their balls at the golf courses! Then, let it be… (SMS; 22 April 2008 – Orang Lama, Hulu Langat, Selangor).


TERKILAT IKAN DI AIR
SUDAH TAHU JANTAN BETINA


Apa hal? Hari ini (22 April 2008) diumumkan pembatalan jembatan Pulau Pinang dengan alasan masalah reka bentuk, kenaikan harga dan tanah yang tak sesuai. Kenapa dulu tak fikir fasal reka bentuk, harga dan tanah tu? Terkilat ikan di air, dah tau jantan betina! Jadi, tak perlulah beri banyak dalih. Baru nak dera rakyat Pulau Pinang, Dato’ Lee Kah Choon dan protes. Beri surat tunjuk sebab pun tak guna, sebab Parti Gerakan pun ‘tak hidup tak mati’! (SMS; 22 April 2008 – Mat Buntal, Kepala Batas, Pulau Pinang).



BIAR HARGA BERAS NAIK
SUDAH BIASA KURANG MAKAN


Biarlah harga beras naik. Saya memang sudah biasa makan sekali sehari sahaja. Kalau harga beras melambung naik, saya boleh kurangkan makan lagi. Dua kali sehari sahaja makan lempeng. Setidak-tidaknya boleh elakkan penyakit kencing manis, darah tinggi atau lemah jantung. Taklah tergolek di bilik air, sebelum diusung ke hospital. Malaysia yang aman makmur, dengan kenaikan harga barang. Lagi rakyat benci dan meluat kerana harga barang naik sebelum pilihanraya; lagi BN dan pimpinan Dato’ Abdullah Ahmad Badawi tambahkan benci dan meluat rakyat. (SMS; 22 April 2008 – Ali Serabut, Cheras, Kuala Lumpur).



KOMENTAR
bersama Pak Parjo


MEROMBAK PERATURAN KEHAKIMAN
DILAKSANA SECARA TERUS, TELUS DAN TURUS


Syahdan tersebutlah dalam negeri Melayu itu memanda Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi beriya-iya mahu merombak peraturan kehakiman dan Badan Pencegah Rasuah (BPR) seperti disuratkan orang banyak hari ini 15 Rabiulakhir 1429 (atau bagi anak cucu fakir 22 April 2008). Berkatalah orang banyak peraturan kehakiman yang diwar-warkan itu tak memberi makna, sekiranya tak dilaksanakan secara telus, tulus dan turus. Begitulah juga perihal BPR bukanlah peraturannya yang salah, tetapi apabila ianya dilaksanakan mengikut seperti disebut oleh ‘Tok Nikah Kahwin’ dalam cerita yang dijadikan filem oleh Tan Sri P. Ramlee iaitu ‘Musang Berjanggut’ katanya, “Salah tu memang salah, tapi itu undang-undang Dato’ yang bikin.

Arakian apabila anak-anak orang besar di Melaka tak mencukupi perbelanjaan ketika menyambut perayaan ‘hari raya’, mereka pun menemui Tun Hassan Temenggung kerana mengadukan hal mereka. Maka oleh Tun Hassan Temenggung disuruhnya rentang tali di segenap kampung bagi meluruskan jalan-jalan dan lorong-lorong dalam negeri Melaka. Syahdan anak-anak orang besar itu pun merentang tali mahu meluruskan jalan-jalan dan lorong-lorong hingga terkenalah pada kedai-kedai dan rumah-rumah. Maka pemilik-pemilik kedai dan rumah-rumah itu pun menghulurkan peremasan kepada anak-anak orang besar yang merentang tali itu supaya tak terkena kediaman mereka. Terlalulah amat gembira anak-anak orang besar itu serta memuji-muji Tun Hassan Temenggung seperti dikarang dalam ‘Kitab Melayu’ oleh:






HIDUP BAHASA MELAYU!

Tuesday, April 22, 2008

JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG:



KRISIS MAKANAN LANDA DUNIA
MUNGKIN ANGKASA JADI PILIHAN



Assalamualaikum,


Kononnya, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sudah memberi perhatian kepada masalah krisis makanan yang melanda dunia sekarang, seperti dilapor media hari ini (21 April 2008). Kalau di bumi menghadapi krisis makanan, apakah di angkasa lepas melambak-lambak makanan, berikutan usaha manusia terlalu arogan dengan kejayaan menerobosi angkasa lepas? Malam ini (21 April 2008) saya ke pasaraya NSK sebagai alternatif memilih harga barangan yang terendah di Selayang mahupun Gombak, malah menjadi tumpuan peniaga-peniaga restoran atau warung-warung makanan. Tak tahulah dengan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato’ Shahrir Samad sama ada beliau menyedarinya atau sebaliknya.



Minggu lalu saya ke pasaraya berkenaan, harga sekampit beras bagi isian 10 kilogram ialah RM19, tetapi malam ini melonjak ke paras RM23. Bagi harga beras termurah pula RM15.60 sekampit bagi isian 10 kilogram, naik mendadak kepada kepada RM20.30. Saya memilih harga beras disebabkan ianya ruji utama bagi rakyat Malaysia, lainlah kalau di kepulauan Meldives memilih jagung sebagai ruji utama rakyatnya. Harga makanan melonjak naik dikatakan berkaitan dengan krisis makanan dunia yang dialami oleh semua negara pengeluar bahan mentah makanan sama ada gandum, ubi kentang dan sebagainya. Mungkin sahaja Malaysia juga antara negara yang rakyatnya memberikan keutamaan kepada ubi kentang.



Ironinya, di pasaraya berkenaan ubi kentang Malaysia tak dilihat sebagai komoditi pasaran, kalaulah rakyat Malaysia menjadikan kentang sebagai bahan makanan utama. Ubi kentang yang dijual di pasaraya berkenaan semuanya diimport dari luar termasuk India, Pakistan dan Indonesia. Semalam (20 April 2008), pembeli ‘surat khabar lama’ berketurunan Cina singgah membeli surat khabar lama di rumah saya, secara spontan memberitahu, “Saya tak sekolah tinggi, tak jangan ingat saya tak boleh berfikir. Sekolah tinggi atau tak sekolah tinggi, itu nasib sudah tentukan!” Dia mempersoalkan bagaimana Malaysia sebagai pengeluar sawit, tetapi menghadapi kekurangan dalam pengeluaran minyak masak, di samping kenaikan harga yang tak munasabah.


Justeru, tak hairanlah seorang pengirim SMS dari Tapah, Perak menghubungi penyair Yassinsalleh memberitahu harga beras sudah naik di Perak, seolah-olah memberi tekanan kepada kerajaan Pakatan Rakyat – mereka juga tak mampu menghalang kenaikan harga barang. Pembeli ‘surat khabar lama’ dan pengirim SMS dari Perak itu, mungkin sahaja manifestasi keberangan golongan prolitar, yang menjadi semakin berang terhadap senario sekarang kepada BN dan bukannya kepada Pakatan Rakyat. Sekiranya diacah dengan pilihanraya mengejut, mereka tak akan memberi sokongan langsung kepada BN yang jelas semakin terdesak. Apalagi yuran persekolahan yang dikatakan ‘percuma’ kembali memeningkan kepala, apabila pelajar-pelajar dikehendaki membayar yuran perkhemahan hingga RM60, di samping sebelum ini yuran jamuan kepada ‘Pusat Sumber’ yang dikenakan RM60 juga (yakni belum pun pertengahan tahun). Aduhai!

-Pak Dharma.



INFO HAK ASASI MANUSIA:



HARGA BERAS MENDADAK NAIK
‘KRISIS MAKANAN’ MENGGEGAR NEGARA



Kalangan pengguna tetap mempertikaikan ‘krisis makanan’ yang melanda Malaysia, sekalipun Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato’ Shahrir Samad memberitahu ‘krisis makanan global’ akan berlanjutan di Asia, Afrika dan juga Amerika Selatan yang dikenali sebagai negara pertanian. Berikutan tinjauan di pasaraya terkemuka di Selayang hari ini (21 April 2008), aktivis masyarakat Ir Adnan Haji Khalid memberitahu harga runcit beras sekampit isian 10 kilogram melonjak naik dalam tempoh seminggu sahaja dari RM19 kepada RM23, di samping harga beras murah berjenama ‘Fadzilah’ dari RM15.60 kepada RM20.30. “Pemusnahan sektor pertanian mungkin menjadi penyumbang kepada krisis makanan, berikutan Malaysia lebih mementingkan industri sebelum ini bagi menjadi negara maju,” ujar Ir Adnan.

Seterusnya Ir Adnan menjelaskan mungkin sahaja kerajaan menyedari akan berlaku krisis makanan pada April 2008, justeru mereka menggerakkan pilihanraya secara tergesa-gesa pada Mac 2008 dengan harapan mencapai kemenangan cemerlang. Kata Ir Adnan lagi, apabila berlaku anjakan pengundi yang di luar dugaan pada pilihanraya ke 12, kerajaan tak mamu membendung ‘krisis makanan’ yang diramalkan sebelum ini. Sekiranya kerajaan mencapai kejayaan besar pada pilihanraya lalu, sudah tentu pihaknya memberi alasan lain berikutan krisis makanan dunia, bukan menyebut harga beras dunia kini pada paras AS780 (RM2,464) satu tan, berbanding AS360 (RM1,137) akhir tahun lalu. “Kenaikan harga barang mungkin tak membebankan rakyat, kalau pendapatan bulanan mereka meningkat sama,” beritahunya kepada sekretariat PRIMA.


LAPORAN POLIS : WANITA DICABUL
PIMPINAN UMNO DIKATAKAN TERBABIT



Laporan polis dibuat hari ini oleh seorang wanita yang mendakwa dicabul, di samping membabitkan pimpinan tertinggi UMNO. Menurut sumber itu, pimpinan UMNO yang terbabit dikatakan menduduki barisan pimpinan kerajaan, di samping masih lagi berstatus Ahli Parlimen. Bagaimanapun sumber berkenaan enggan memberitahu pimpinan UMNO berkenaan, sebaliknya mengakui sudah membuat laporan polis di Wilayah Persekutuan. Wanita yang membuat laporan polis itu adalah secara sukarela, setelah berasa maruahnya tercabar dengan perlakuan pimpinan UMNO berkenaan. “Pimpinan UMNO di bawah Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, perlu membuktikan ketelusannya dengan membawa orang yang bersalah ke muka pengadilan,” kata sumber berkenaan.



INFO SASTERA & BUDAYA:


SAJAK


Malam Ini Gunung Ledang Rebah


Malam ini
Gunung Ledang rebah dibenam
embun duka
lalu puterinya bagaikan
tertawa berkata,
“Pun aku cuma
separuh cantiknya dia
malam ini aku mengadukan nestapamu
padaku.
Dan aku akan ke mana mengulit
sengasara”



Duhai intanku tersayang
kalau benarlah kau sayang padaku
berilah aku secangkir racun
untukku minum.


-YASSINSALLEH
Jam 0534, 19 April 08
Dusun Damai, Pagoh, Johor.




INFO SUARA PROLITAR:



BAGAIMANA BEZANYA MEREKA
PERKATAKAN PERKARA SUKAR DIJELAS?



What is the difference between Nik Aziz (Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat, Mursyidul Am PAS dan Menteri Besar Kelantan) , Anwar (Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Penasihat PKR dan bekas Timbalan Perdana Menteri) and Badawi (Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, Presiden UMNO dan Perdana Menteri)? Nik Aziz can’t tell a lie, Anwar can’t tell the truth and Badawi can’t tell the difference (SMS; 20 April 2008 – YS, Kajang, Selangor).



AKTIVIS PRIMA KE PAHANG
DI PERKAMPUNGAN ORANG ASLI!



Minta mereka (aktivis PRIMA dan penyair bebas di Kuala Lumpur) menuju ke pekan Kuala Krau (26 April 2008). Pejabat PKR depan masjid. Makan malam dahulu jam 8.00 (mlm). Kemudian bertolak ke Kampung Pian, untuk majlis (Baca Puisi di perkampungan Kampung Pian dan menyaksikan kebudayaan tradisional Orang Asli). (SMS; 20 April 2008 – L Mankadir Shamsi, Lancang, Pahang).




KELIRU DENGAN PIHAK MEDIA
SIAPA MENGUASAI LIMA NEGERI?



Memang mengelirukan dengan persepsi media arus perdana, yang tak mahu menerima hakikat, sekalipun masyarakat antarabangsa sudah mengakui peranan laman blog dan laman web. Mereka masih mentakrifkan lima buah negeri (Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor) diperintah oleh pembangkang. Kalau dah memerintah, takkan pembangkang. Lima kerajaan negeri tu, pembangkangnya BN. Sepatutnya para pengampu tu berasa malulah sikit. Kerajaan UMNO yang hanya 78 kerusi Parlimen dan 62 parti komponen pun belum tahu tempoh hayatnya (SMS; 21 April 2008 – al-Fungsi, Sik, Kedah).




SELEPAS 20 TAHUN BERLALU
BARU BERANI KATA DR M SALAH



Benarlah kata bekas Perdana Tun Dr Mahathir Mohamad, ex-gratia kepada enam bekas hakim itu bermotif politik. Kalau tak bermotif politik, kenapa menunggu hingga 20 tahun baru (kebobrokan) itu dikatakan kerana Tun Dr M. Apakah kebobrokan pada pentadbiran Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, 20 tahun akan datang pula baru mahu disebut pula. Kenapa kritikan keras tak dibuat 20 tahun dulu terhadap pimpinan Tun Dr M. Orang yang awalnya sokong Ku Li (Tengku Razaleigh Hamzah) pun lari ke belakang. (SMS; 21 April 2008 - Sukri M, Kuala Lumpur).



KOMENTAR
bersama Pak Parjo.


KEBOBROKAN MAKIN KETARA
HULUBALANG JUGA KECUNDANG



Sebermula berbalahlah Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dato’ Seri Nazri Aziz dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tan Sri Muhyiddin Yassin, hingga ianya tuduh menuduh mengatakan ‘tak cerdik’. Adapun akan Dato’ Seri Nazri itu sudah pernah merasa pedihnya melawan ketua menyebabkan tersisih dari balairongseri, malah nasibnya tak sebaik Tan Sri Muhyiddin. Maka sekali persetua dapatlah Dato’ Seri Nazri itu dipilih menduduki balairongseri, di samping menteri yang mengatur adat istiadat di balairong itu. Oleh sebab yang demikian mestilah menjadi hulubalang besar, malah sentiasalah ia menyinsing lengan meminta lawan, sekalipun terpaksa mengusir akan Tun Dr Mahathir Mohamad apabila cuba menghampiri balairongseri.


Syahdan sebaik sahaja Hang Berkat melihat Sultan Mahmud berpaling kepadanya, maka pada kasadnya tentulah menyuruh membuang Raja Zainal. Arakian pada malam hari pergilah Hang Berkat menaiki istana Raja Zainal, lalu ditikamnya lantas ke belikat. Maka Raja Zainal pun matilah. Syahdan diberitahu orang banyak kepada Sultan Mahmud akan paduka adinda itu matilah ditikam orang. Setelah disiasat tiadalah sesiapa pun tahu orang yang membunuh Raja Zainal. Apabila baginda melihat kepada Hang Berkat, maka diamlah baginda. Sultan Mahmud pun memberi perintah supaya orang banyak tak menyebut lagi perihal paduka adinda Raja Zainal itu dibunuh, kerana baginda tak mahu hulubalangnya kecundang seperti disebut ‘Kitab Melayu’ dari:






HIDUP BAHASA MELAYU!

Saturday, April 19, 2008

JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)

(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG

PERIHAL GURU KENCING BERDIRI
MURID PASTI TERKENCING BERLARI!

Assalamualaikum,

Bukanlah ditujukan kepada guru apabila bidalan menyebut: ‘Guru kencing berdiri, murid kencing berlari’; tetapi ianya membabitkan juga mereka yang mahu membendung perilaku yang tak baik, harus memberi tauladan kepada masyarakat. Hari ini (19 April 2008) misalnya, akhbar ‘Harian Metro’ melaporkan insiden lelaki menyamar anggota Rela menyerbu sebuah sekolah di Pandan Indah, bagi membelasah pelajar (berusia 14 tahun) atas alasan bergaduh dengan anaknya. Isu pelajar-pelajar bergaduh sepatutnya dirujuk kepada Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG), kerana tak mungkin budak-budak berusia 14 tahun boleh bertindak seakan-akan samseng. Malah berasa hairan juga saya, bagaimana pihak pengawal di sekolah membenarkan lelaki berkenaan masuk ke kawasan kompaun sekolah. Aduhai!

Tak lama dulu pernah berlaku di Pahang, pelajar dibelasah oleh senior mereka tetapi pihak sekolah memberikan laporan yang keliru, celaru dan selaru! Terpaksalah baginda Sultan Pahang (Tuanku Sultan Haji Ahmad al-Mustain Billah ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Riayatuddin al-Muadzam Shah) turun padang melihat sendiri suasana di sekolah tersebut, sebaliknya masih juga menerima laporan yang berbelit-belit, berlilit-lilit dan berselit-selit. Entahlah! Kalau di sekolah pun murid-murid tak selamat seperti di Pandan Indah, di mana lagi mereka mahu boleh diberi perlindungan? Apalagi isu di Pandan Indah didedahkan oleh media, tak seperti isu di Selayang yang membabitkan pelajar Tingkatan 2 (atau berusia 14 tahun juga).

Adik angkat saya Ir Adnan Haji Khalid diberitahu mengenai anak saudaranya dalam Tingkatan 2, ditahan polis Khamis lalu (17 April 2008) ketika berada di bilik darjah atas dakwaan bergaduh sesama pelajar. Pergaduhan tersebut membabitkan pelajar bukan Melayu minggu lalu (kira-kira seminggu sebelumnya), malah dianggap perkara kecil sahaja yang tak seharusnya diperbesarkan. Malangnya, pihak ibu bapa bukan Melayu membuat laporan polis (dengan alasan menggunakan haknya sebagai warga negara, dengan tak memikirkan implikasinya). Selepas seminggu insiden pergaduhan tersebut, pelajar Tingkatan 2 itu ditangkap semasa di bilik darjah, dengan tak merujuk kepada PIBG mahupun guru untuk penyelesaian.

Pelajar berkenaan ditahan di balai polis dengan berpakaian seragam sekolah seolah-olah tak mementingkan ‘budi bicara’ lagi. Ir Adnan bersama abangnya memepersoalkan tindakan tersebut, hingga sekolah dan PIBG bagaikan tak berfungsi lagi. Lainlah ianya membabitkan pelajar-pelajar berusia 17 tahun, atau remaja-remaja yang sudah dewasa, hingga ditahan di lokap (seperti ugutan lelaki yang menyamar anggota Rela di sekolah Pandan Indah itu). Hingga jam 12.00 malam Ir Adnan di rumah saya hari berkenaan, pelajar terbabit masih lagi ditahan. Malah beberapa orang pegawai yang dihubungi adik angkat saya Ir Adnan memberitahu kes berkenaan di bawah seorang pegawai bukan Melayu. Bagaimana kira-kira jam 1.00 pagi apabila Ir Adnan ke balai polis, menerusi budi bicara (pegawai tertentu), pelajar berkenaan dibebaskan. Aduhai!

-Pak Dharma.

INFO HAK ASASI MANUSIA

ISU LADANG TERNAKAN BABI
NAKHAIE PERLU BERSIKAP TELUS
Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz mempersoal ketelusan Pengerusi Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Dato’ Nakhaie Haji Ahmad apabila membangkitkan isu ladang ternakan babi. Dalam laporan ‘Buletin Utama’ TV3 malam ini (19 April 2008), Dato’ Nakhaie menyebut mengenai sensitiviti orang Islam diketepikan apabila mahu komorsialkan ladang ternakan babi bagi tujuan di eksport. Dengan tak merujuk kepada isu ladang ternakan babi yang diluluskan kerajaan negeri Selangor baru-baru ini, Dato’ Nakhaie seolah-olah mahu menjadi juara, tetapi berdiam diri ketika isu ternakan babi di Melaka dibangkitkan sebelum pilihanraya 8 Mac lalu. “Yadim perlu telus apabila membangkitkan isu berkaitan Islam,” jelas Dato’ Kamal Amir.

Menurut Dato’ Kamal Amir, semua pihak menyedari kedudukan Islam selaku agama rasmi, tetapi mengambil sikap ‘play save’ apabila membabitkan kepentingan politik. Misalnya, beritahu Dato’ Kamal Amir semua menteri besar dan ketua menteri tahu dalam undang-undang tubuh negeri masing-masing, kedudukan Islam sebagai agama rasmi tak boleh dipertikaikan oleh mana-mana pihak. Justeru, orang bukan Islam tak dibenarkan untuk mempengaruhi orang Islam menganut agama mereka. Seterusnya, kata Dato’ Kamal Amir dalam pertemuan dengan bekas Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Dr Mohd Khir Toyo baru-baru ini, menteri besar itu mengakui undang-undang tubuh negeri sudah cukup jelas mengenai kedudukan agama Islam.

“Isu babi memang semua pihak menolak sebarang usaha mahu menjadikan Malaysia pengeksport utama,” beritahu Dato’ Kamal Amir. Katanya lagi, Dato’ Nakhaie wajar tak menjadikan isu ladang ternakan babi sebagai gimmik politik, kerana ketelusan Yadim perlu dilaksanakan termasuk di Melaka yang melebihi kapisiti yang dibenarkan apabila kelulusan diberikan. Dato’ Nakhaie, perlu bangkit menghalang ladang ternakan babi di Melaka, sekalipun sebelum pilihanraya 8 Mac lalu, Ketua Menteri Dato’ Seri Mohd Ali Rustam mengarahkan supaya ditembak. Sebaliknya, pihak berkuasa gagal menembak babi-babi berkenaan apabila benteng manusia dibuat oleh aktivis MCA dan DAP. “Pihak PRIMA hanya mahukan Dato’ Nakhaie bersikap telus,” ujar Dato’ Kamal Amir.

INFO SASTERA & BUDAYA

SAJAK

Tukar Pemerintahan

Seperti kemarin
bosan berubah
seperti hari ini
diselimut jumud, zalim dan demokrasi sakit.

Tiba-tiba dikejutkan politik tsunami
ribut, banjir dan petir
esok hari
seperti bakal berubah
yang dinanti
pembaharuan, kebebasan dan keadilan.

Keputusan PRU 2008

Digempur gelombang tsunami,
mata dan telinga
bukan sebarang gelombang,
rakyat dan negara!

NAHMAR JAMIL
Kangar, Perlis
1429 - 2008


Engkaukah Itu Fatamorgana!

Kalaulah langit biru
hiasan bulan malam ini
tiba-tiba mencurahkan hujan
itu adalah rembasan airmata
seorang fakir kasih
yang tersula matanya
dan darah yang mencurah
menyiram nestapa semalam
kembali segar meraikan
permakamanku!

Tak mengapalah,
pun jernih dingin tebat ini
airnya akan kembali menjadi
bara pasir hamparan tidurku
akan ku dakap semula
seloka nestapa
dan serelanya akan ku minum
cangkir demi cangkir
duri kaktus
kerana sudah demikian
takdir menentukan
persendaanKASI.
YASSINSALLEH.
Jam 0152, April 19, 2008
Dusun Damai, Pagoh
Johor.

INFO SUARA PROLITAR

LANTIK ADUN JADI SENATOR
HINA AHLI PARLIMEN WANITA.

Saya terima banyak SMS dan call bertanya apakah logiknya (jangan eja gila pula) melantik ADUN wanita jadi senator untuk dilantik ke jawatan timbalan menteri, sedangkan ada Dato’ Halimah Sadique yang menang sah dalam pilihanraya? Tak ada cara lainkah nak hina Wanita UMNO? Rakyat makin bingung, dan marah. Kalau nak merasa tsunami kedua, teruskanlah! (SMS, 19 April 2008 – Wanita Kerepot, Johor).

ORANG KAMPUNG MENGELUH
FASAL HARGA BARANG MASIH NAIK

Nak pergi Kampar beli beras dan barang keperluan lain untuk mami sebab orang kampung dah mengeluh harga beras naik. Kalau berterusan orang kampung nak tanam padi huma, ubi kayu di bukit macam zaman Jepun (SMS 19 April 2008, sahabat dari Perak).

LANTIKLAH PEMIMPIN PUTERI
KALAU MAHUKAN TENAGA MUDA

Tindakan tak masuk akal. Dia (Dato’ Maznah Mazlan) dah Exco (di Pahang), cukuplah! Takkan Pergerakan Wanita UMNO kekurangan pimpinan yang layak diangkat ke kerusi senator, seterusnya ke jawatan timbalan menteri (yakni bukan ADUN atau Exco). Kalau nak yang muda-muda belaka, pemimpin Puteri yang tak jadi calon pilihanraya pun, apa salahnya dilantik? Kalau nak berpengalaman pun ramai lagi di kalangan Pergerakan Wanita! (SMS, 19 April 2008 – Khadam Dol, Pahang).

KALAU KERBAU DITINDIK HIDUNG
SUKAR PERBETULKAN MENJELANG 2020

Kalau pimpinan UMNO tahu ahli-ahlinya semua bagaikan ‘kerbau ditindik hidung’, kenapa nak diperbangangkan lagi. Apabila semua ahli-ahli sudah biul, yang susahnya orang Melayu kerana sukar nak diperbetulkan semula menjelang 2020 atau 3020 atau 4020 nanti. Tak guna pemimpin-pemimpin UMNO hebat-hebat belaka, tetapi ahli-ahli yang majoritinya penduduk Malaysia menjadi ‘kutu belahak’ dalam negara sendiri. (SMS, 19 April 2008 – Akademisyian, Kuala Lumpur).


KOMENTAR
bersama Pak Parjo

PM WANITA DI NEGERI MELAYU
WAN AZIZAH MEMANG BERSEDIA

Kata sahibul hikayat tersebutlah sebuah negeri Melayu bernama Malaysia, akan rakyat jelatanya berhasrat mahukan Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail menjadi Perdana Menteri, apabila undi tak percaya dikemukakan di Balairongseri (atau disebut anak cucu fakir Dewan Rakyat). Syahdan disuratkan orang banyak hari ini, 12 Rabiulakhir 1429 (disebut oleh anak cucu fakir 19 April 2008) bahawa Datin Seri Dr Wan Azizah berkata, bersedialah ia memegang jawatan Perdana Menteri sementara itu. Maka memanda Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi pula mengisytiharkan pelantikan pimpinan wanita dari Pahang Dato’ Maznah Mazlan menjadi timbalan menteri, ketika ura-ura Datin Seri Dr Wan Azizah mahu dilantik menjadi Perdana Menteri.

Arakian terdengarlah kepada Sultan Mansor Shah perihal kecantikan Tun Teja anak Bendahara Seri Buana di Pahang. Maka dukacitalah baginda kerana ingin memperisteri akan Tun Teja itu, apalagi puteri bendahara dari Pahang itu sudah bertunang dengan Megat Panji Alam anak raja Terengganu. Baginda pun bertitah, “Bolehkah kita biarkan Pahang dan Terengganu bersemenda, kerana apabila sudah bersatu engganlah mereka menyembah ke Melaka?” Maka Bendahara Paduka Raja pun menyembah, “Benarlah seperti titah itu, tuanku.” Setelah didengar oleh Hang Tuah akan Sultan Mansor Shah terlalu berahikan Tun Teja, maka ia pun bersiap-siaplah ke Pahang seperti disebut dalam ‘Kitab Melayu’ yang disuratkan:


HIDUP BAHASA MELAYU!
JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)

(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG

PENULISAN BUKU MAKIN RANCAK
PEMBACA MASIH LAGI TERBATAS

Assalamualaikum,

Macam biasa apabila pengarang Buletin Rakyat, Norzah Haji Kepol dan suaminya Nasiri Hamid mengajak untuk bersarapan, kami memilih restoran menjual nasi lemak ikan masin di Taman Seri Gombak. Pagi ini (18 April 2008), Norzah beritahu jam 8.45 am beliau akan ke destinasi, sebaliknya 8.30 am beliau dan Nasiri sudah sampai di restoran berkenaan. Justeru saya bersama isteri dan anak istimewa (autisme) terlewat sedikit sampai, kira-kira jam 9.00 am. Norzah pula beritahu mengenai kawan-kawan yang aktif menulis buku, sekalipun biasanya kerancakan penulisan buku ialah ketika hampir menjelang Perhimpunan Agung UMNO. Bagaimanapun Perhimpunan Agung UMNO dijangka di Disember 2008, entah kenapa pula fenomena kerancakan penulisan buku dikatakan mula menarik minat rakan-rakan penulis. Aduhai!

Ketika keluar meninggalkan restoran kira-kira jam 10.00 am, saya terserempak dengan Cikgu Ishak Surin aktivis PAS yang juga ahli Lujnah parti berkenaan. Cikgu Ishak juga seorang penulis, malah terbabit memperkuatkan ‘Harakah’ sebelum ini. Tetapi setelah bestatus ‘warga emas’, Cikgu Ishak kurang aktif dalam bidang penulisan sekalipun secara fizikal masih kelihatan sihat. Sebelum menyertai PAS, Cikgu Ishak dikenali pejuang prolitar terkemuka bersama Allahyarham Dato’ Ahmad Boestamam dan Dato’ Dr Ishak Haji Muhammad (Pak Sako). Malah beliau turut menjadi pengasas Parti Marhain Malaysia bersama Dato’ Ahmad Boestamam, apabila Parti Rakyat di bawah Kassim Ahmad memecat Dato’ Ahmad Boestamam.

Bagaimanapun pada pilihanraya 1974, Dato’ Ahmad Boestamam tak bertanding atas tiket Parti Marhain di kerusi Parlimen Hilir Perak, sebaliknya menyertai Parti Keadilan Masyarakat (Pekemas) di bawah pimpinan Tan Sri Dr Tan Chee Khoon. Cikgu Ishak pula bertanding atas tiket Pekemas pada pilihanraya 1978 di kerusi DUN Gombak, Selangor (sekarang Gombak Setia), apabila Pak Boestamam tak lagi aktif. Pada pilihanraya 1978, Pak Boestamam turut berkempen bagi membantu Cikgu Ishak, malah saya turut juga mengikuti kempen mereka di Batu 6, Gombak. Sekitar dekad 1980-an barulah saya diberitahu oleh aktivis PAS L Mankadir Samshi, mengenai Cikgu Ishak sudah menyertai PAS sebagai kesinambungan perjuangannya bersama golongan prolitar.

Memang saya perkenalkan Cikgu Ishak kepada Norzah sebagai wartawan wanita yang gigih, di samping mampu berdikari menerbitkan akhbarnya sendiri. Beliau pula dalam proses menerbitkan buku ‘Legasi Pimpinan Wanita: SIGNIFIKAN PUTERI’ yang akan terbit dalam bulan ini. Buku yang diterbitkan oleh Kantung Network ini akan berada di pasaran tak lama lagi, adalah sorotan mengenai pembabitan aktivis wanita dalam gerakan nasionalisme. Mungkin sahaja generasi muda tak mengikut naratif perjuangan wanita pra merdeka sejak pembabitan Tan Sri Hajjah Zainun Sulaiman (Ibu Zain) sekitar 1930-an, mahupun Datin Putih Mariah Ibrahim Rashid, Khadijah Sidek, Tun Fatimah Hashim dan Tan Sri Aishah Ghani sekitar dekad 1950-an. Begitulah!

-Pak Dharma.

INFO HAK ASASI MANUSIA.


JANGAN PERLEKEH KEUPAYAAN LAWAN
UNDI TAK PERCAYA BOLEH GUGAT UMNO

Bekas Exco Pemuda UMNO Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz mengingatkan pimpinan UMNO jangan perlekehkan keupayaan lawan seperti sebelum 8 Mac 2008, berikutan ura-ura undi tak percaya akan dikemukakan ke atas kerajaan BN di Parlimen selewat-lewat Mei 2008 ini. Katanya, kalau usul undi tak percaya dikemukakan ianya boleh menggugat kewibawaan UMNO, sekalipun usuk berkenaan gagal mencapai sasaran. Dato’ Kamal Amir mengulas laporan disiarkan media arus perdana hari ini (18 April 2008) berkaitan membincangkan hala tuju Melayu membabitkan UMNO, PAS dan PKR. Katanya, usaha mencari penyelesaian hala tuju Melayu memang wajar, tetapi jangan perlekehkan pihak lawan yang mampu membuat kejutan. “Siapalah pimpinan UMNO terbabit yang mahu menerajui perbincangan tersebut.” Ujar Dato’ Kamal Amir.

Menurut Dato’ Kamal Amir lagi, sekatan yang dikenakan ke atas pimpinan pihak lawan termasuk ceramah umum seperti insiden ‘Black 14’ atau perhimpunan rakyat di Shah Alam, Selangor dan di Ipoh, Perak baru-baru ini membuktikan ianya menyemarak lagi semangat orang Melayu di luar UMNO. Justeru kata Dato’ Kamal Amir, bukan sahaja sistem kehakiman perlu dipulihkan di samping memabayar semula ex-gratia kepada enam pimpinan kehakiman yang dipecat pada 1988, malah Akta Polis, ISA, OSA dan Akta Percetakan dan Penerbitan juga perlu dikaji semula. “Sekalipun akta berkenaan diguna pakai sejak beberapa dekad, tetapi rumusannya sudah diberikan mesej oleh rakyat pada 8 Mac 2008 lalu,” beritahu Dato’ Kamal Amir.

INFO SASTERA & BUDAYA

NOVEL MENEROBOSI DI LUAR AQILIYAH
PROSES INSAN MENOLAK PERHAMBAAN MINDA

Novel terbaru karya Dharmala N.S. ‘SEMPERUNG’ menampilkan persoalan dengan menerobosi fenomena di luar aqiliyah dalam proses insaniah menolak perhambaan minda ketika kebobrokan keadilan berterusan. Pawang Fakeh Makudum digambarkan sebagai tokoh pengamal perubatan tradisional yang memonitor alam kepawangan menerusi geluk air dan sebilah keris usangnya. Justeru dia mampu melihat segala perlakuan alam hantu puaka yang menguasai keraton kehantuan yang merasuk segala penduduk di segenap desa, dusun dan kampung. Pawang Fakeh Makudum pula mewarisi legasi kepawangan Umarak sejak Pawang Rajo Batuah, Pawang Paduko Bendaharo, Pawang Tumanggong Sinaro dan Pawang Basar sebagai pengamal perubatan tradisional.

Rupa-rupanya kepawangan Umarak yang dianggap ampuh dengan segala benteng kekebalan tak mampu bertahan apabila ombak tsunami menggegar, sekalipun ianya dilabel sebagai bencana alam. Gangguan ombak tsunami di alam kepawangan inilah dilihat sebagai kekalutan, kekemelutan dan keserabutan pemikiran Pawang Umarak yang disahkan mengidap penyakit mental. ‘SEMPERUNG’ mengikut kamus pelajar DBP; 1988 ialah (i) tabung kaca penutup nyala lampu; corong lampu daripada kaca; dan (ii) corong daripada buluh atau besi untuk meniup api atau salung api. Novel setebal 298 halaman ini diterbitkan oleh Kantung Network Sdn Bhd, Kuala Lumpur dengan harga RM50 senaskhah. (Mungkin sahaja novel termahal di Malaysia setakat ini).


INFO SUARA RAKYAT PROLITAR

TERKILAN KENYATAAN ANGKASAWAN
MASAKAN PROGRAM TAK KELUAR DUIT.

Ramai terkilan dengan kenyataan ‘angkawasan negara’ berkali-kali duk bagi tah penyertaannya ke program tersebut tak pakai satu sen pun. Mungkin betul dia tak keluar duit, tapi kerajaan tak habis duit ke? Macam mana tambang ‘pergi balik’ ke Moscow, bawa kedua-dua ibu bapa, bawa timbalan perdana menteri dan isteri, bawa wartawan dan ramai lagi? Tak keluar duitkah semua tu? Pokoknya mungkin program ini ‘menterinya’ hilang jawatan. Satu lagi dia pandai-pandai suruh batalkan penyertaan angkasawan akan datang. Semua ini sepatutnya kementerian yang cakap. (SMS; 18 April 2008 - HFR).

ALL THE WAY FROM LONDON
THEATRE OF MIRROR ON THE WALL.

All the way from London – THEATRE OF MIRROR ON THE WALL: ‘THE DRUNKED MAN’. Venue: Istana Wak Dogol. Date: 1 May to 15 May, Time: 8 pm. Ticket: $50. The story about a drunked @ double standard lawyer who at one time condemned D Lord Prsident @ Bar Council and now wants to defend d former Lord President. This big mouth lawyer is involved in …………, and supported d oppositions in the last general election and NOW MADE THE YES MINISTER. (SMS; 18 April 2008 - YS)

(Komen – sila kirim SMS atau emel dalam Bahasa Melayu – sekretariat PRIMA).
TERLAMBAT BACA BLOG PRIMA
SUHAIMI MAHU BERTUKAR FIKIRAN
Saya baru terbaca tulisan saudara-saudara sekalian didalam blog ini, baru jumpa ya, sorry terlewat.Banyak info yang baik-baik. Ramai penulis-penulis yag saya kenal secara peribadi dan yang lain-lain tu kenal nama aja lah.Mungkin selepas ini boleh kita sama-sama bertukar fikiran.Hanya beza diantara kita, saya komited dengan perjuangan untuk orang-orang miskin; tanpa mengira kaum dan ugama.Saya mengajak saudara-saudara menjangkau melebihi tembok yang lazim; marilag jenguk-jenguk ke perkampongan Orang Asli.Di tempat saya ada banyak perkampongan Orang Asli - 12 kesemuanya.Mereka hidup dalam kemiskinan. Mereka tidak mepunyai harta. Tanah mereka tidak bergeran. Tanah Rezab mereka tidak digezet.Rumah mereka, semaca rumah orang Melayu 50 tahun dulu. Dari segi pendidikan, tak ramai yang melepasi Tahun 6.Saya dan Man Kadir berjuang untuk mereka. Menang kalah bukan persoalan; yang pentingnya tetap berjuang.Ada Melayu miskin, ada Melayu kaya; ada India miskin ada India kaya; ada Cina miskin ada Cina kaya; tapi Orang Asli -- keseluruhannya MISKIN.Kumpulan blog saudara-saudara boleh membantu perjuangan Orang Asli. Bantulah-SUHAIMI SAID dari Blog Semangat Lubok Kawah.

(Suhaimi Said)
ASSALAMUALAIKUM
WAHAI SAUDARAKU KETUA 1 …

HEBAT sungguh Ketua 1 Gabungan Penulis Nasional bercakap politik keMelayuan selepas Piliharaya Umum ke 12 (8 Mac 2008) ini. Selama ini aku hanya mengetahui beliau sebagai seorang yang bercakap tentang kesusasteraan sahaja. Rupa-rupanya pada tahun 2008 setelah usianya agak lanjut, baru aku tahu beliau seorang “politikus” yang bercita-cita tinggi untuk menyelesaikan masalah politik Melayu. Terima kasihlah (entah pada siapa nak dihulurkan ucapan?) Gapena dapat melahirkan seorang pemimpin badan kesusasteraan yang amat prihatin dengan politik Melayunya!

Masih aku ingat lagi kehebatan beberapa tahun sebelum PRU 12! Waktu Seminar Angin Timur Laut di Dewan Komplek Budaya Kuantan, Pahang. Para cendekiawan kesusasteraan Negara naungan Gapena berhujjah memperjuangkan pemansuhan pembelajaran bahasa Inggeris untuk matametik dan sains yang dilaksanakan oleh pimpinan Kerajaan UMNO / BN! Masa itu mereka seperti berada di alam Melayu ‘Demang Lebar Daun’. Masa itu hadirin bercakap tentang Melayu sahaja di bumi Malaysia ini!

Pada awalnya ada yang mencabar parti pembangkang PAS kerana tidak mahu serta memperjuangkan bahasa Melayu! Selar menyelar akhirnya bangun seorang hamba Allah yang aku tidak kenal dan amat kerdil tidak sepadan untuk berdiri berdepan para cendikiawan kesusasteraan Negara dengan antara katanya (mana yang aku ingat …):

“Tuan-tuan semua bercakap tentang Melayu sehingga lupa akan Akta Hasutan yang mana pertuturan dan perbuatan yang boleh dianggap memecah belahkan keperpaduan kaum di Negara ini boleh digunakan …..”

Ucapan pengulungan oleh Saudaraku Ketua 1 Gapena (masih hidup dan masih memimpin) antara katanya, “ …….. saya tidak akan menandatangani memorandum yang dibuat dalam Seminar Angin Timur Laut (berkaitan tuntutan merobohkan pembelajaran matametik dan sain dalam bahasa Inggeris) ….”

Takutnya di masa itu. Tetapi tiba-tiba lepas PRU 12, beliau menjadi berani bila kerajaan UMNO / BN tidak mendapat 2/3 majoriti di Parlimen! Lantas beliau menyuarakan bahawa ada parti-parti yang bangga dengan kemenangan tetapi tidak secara mutlak memperjuangan Melayu! Seolah-olah menjadi tunggangan asing (mungkin mengata dulang paku serpeh! Mengata orang ……….) Beliau juga menyarankan supaya PAS / PKR belajar dengan kepimpinan UMNO meneraju Negara!

Begini saudaraku Ketua 1 Gapena! UMNO telah menjuarai kepimpinan Negara selama 53 tahun (sejak PRU 1955). UMNO memimpin Ketuanan Melayu (ceritanya?). Siapa hamba abdi kepada tuan yang diangkat oleh bangsa Melayu di Negara ini? Siapa yang terpinggir oleh Ketuanan Melayu itu? Siapa yang derita oleh Ketuanan Melayu itu? Siapa yang sengkek (bahasa pasar) oleh Ketuanan Melayu itu?

PRU 13 Mei 1969 memberikan jawapannya! Melayu yang terpinggir! Melayu yang ketinggalan di kampong-kampong! Melayu yang hanyut di bandar-bandar besar dan sederhana bangun bagaikan mahu mengubah keadaan kehidupan dengan mengenepikan Ketuanan Melayu pimpinan UMNO sehingga PERIKATAN hampir kecundang mentadbiri Negara. Lalu terjadilah Peristiwa yang mengerikan rakyat Negara ini dengan sebutan lipatan sejarah Trajedi 13 Mei. Lalu lahirlah sebuah Kerajaan tadbiran MAGERAN – Parlimen beku!

MAGERAN pimpinan Datuk Abdul Razak Hussin (Allahyarham Tun) menggabungkan semua parti politik tanahair yang besar selain UMNO – MCA – MIC juga diikuti oleh GERAKAN (Pembangkang & berjaya menawan Pulau Pinang ketika itu) bersama PAS pimpinan Datuk Asri. Wujudlah BARISAN NASIONAL! Dan Terpancarlah Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang membawa serampang 2 mata, untuk meningkatkan kepentingan Melayu terutama dalam bidang ekonomi dan social.

Seluruh rakyat terutamanya yang berketurunan Melayu menaruh harapan besar! Antaranya harapan 30% Melayu akan jadi jutawan di bidang ekonomi! Rupa-rupanya hanyalah 30 orang anak Melayu pilihan yang menjadi jutawan dari orang Melayu yang berjuta-juta di Malaysia tercinta ini. Akhirnya Ketuanan Melayu yang memimpin BN menyingkirkan PAS dari BN di zaman Datuk Hussin Onn (Allahyarham Tun). Inilah hadiah terbesar Ketuanan Melayu untuk orang Melayu yang berada dalam parti PAS setelah Ketuanan Melayu UMNO berjaya mengembalikan kepimpinannya yang hampir roboh 1969! Terima kasih Ketuanan Melayu UMNO! Hadiah besar itu tetap aku pesan pada anak cucuku dan keturunanku!

Kembali pada saranan besar Saudaraku Ketua 1 Gapena! Apa yang nak dipelajari dari Ketuanan Melayu UMNO itu? Adakah belajar menyingkir mereka bukan ahli UMNO yang menjadi JKK Kampung? Adakah belajar menyingkir bukan ahli UMNO menjadi Pengerusi atau pegawai masjid? Adakah belajar menyurukkan borang Felcra (untuk golongan tak berada) dari ahli bukan UMNO dan menyerahkan serta meluluskan saham felcra tersebut kepada pemimpin UMNO walaupun mereka kaya, berpencen dan ada juga suami isteri dapat? (Ahli UMNO biasa yang sengkek pun banyak yang tak dapat) Adakah belajar menolak permohonan tanah yang dibuat oleh bukan ahli UMNO? Banyak lagi penyelewengan tadbir dan kemanusiaan yang dilakukan oleh pemimpin bawahan dan sederhana UMNO dengan kerjasama (cara paksa atau sukarela) oleh kakitangan kerajaan?

Atau belajar dari UMNO cara merobohkan masjid yang didirikan semasa Kerajaan PAS di Terengganu? Atau sekurang-kurangnya belajar dari UMNO cara merobohkan surau dan kuil? Atau belajar dari UMNO untuk merobohkan rumah-rumah setinggan dengan membiarkan penduduknya berkhemah! Atau belajar dari UMNO menyingkirkan cendiakiawan yang tak aliran UMNO dari jawatan? Atau belajar mempenjarakan rakyat tanpa bicara? Atau belajar dari UMNO macam mana nak sekat dan bekukan minda mahasiswa yang bakal memimpin dan mentadbir Negara? Atau belajar dari UMNO cara melucutkan Ketua Hakim Negara yang berwibawa? Atau belajar dari UMNO bagaimana nak selewengkan harta Negara atas dasar DEB?

Atau belajar dari UMNO kalau nak kaya nak pangkat cepat naik jadilah pembodek yang meniyakan apa saja yang disuarakan oleh Tuan-Tuan Melayu yang memperjuangkan Ketuanan Melayu UMNO? Jawablah saudaraku Ketua 1 Gapena sebagai langkah pertama untuk ke gelanggang politik tanah air sebelum dipercayai dan diletakkan sebagai calon dalam PRU ke 13 nanti!

Aku percaya Ketua 1 Gapena dan kuncu-kuncu penyokong Ketuanan Melayu UMNO tersenyum sinis dengan sedikit hujjah aku itu. Hujjah orang kampong yang tidak berpelajaran tinggi! Tapi ingat! Gelombang yang menggegarkan politik Negara PRU 12 ini adalah hasil dari ketidakadilan yang dinikmati oleh rakyat bawahan termasuk ahli-ahli UMNO sendiri! Jangan berhujjah seperti layang-layang putus tali mengikut arus angina untuk selamat tidak jatuh-jatuh!

Menjeritlah wahai saudaraku Ketua 1 Gapena untuk memulihkan UMNO sebagai penunjang Ketuanan Melayu! Jeritan dan saranan itu sia-sia dan menghabiskan masa serta boreh (kata orang kampong datuk aku sebelah ayah). Duit yang banyak diberikan oleh pihak-pihak tertentu (mungkin Kerajaan BN) gunakanlah untuk membangunkan kesusasteraan Negara kerana itulah tugas penting saudaraku Ketua 1 Gapena! Atau merayaulah di mana saja bumi ini selagi ada manusia yang berketurunan Melayu untuk mendapatkan bahan kesusasteraan Melayu.

Kerana apa aku cakap macam itu? Kerana Saudaraku Ketua 1 Gapena dan kuncu-kuncu yang bijak pandai di menara gading tidak tahu kenapa dan dimana UMNO/BN kecundangan! Ianya kecundang di tangan Ketuanan Rakyat! Hari ini manusia hidup dalam keharmonian berbagai kaum mengikut lunas Perlembagaan Negara. BN / PAS / PKR / DAP menang dengan lunas demokrasi mengikut kehendak Perlembagaan Negara! Bukan ikut kata hati yang mencari laba di bumi mewah dengan hasil buminya. Mengapa PAS / PKR / DAP yang menang di atas kehendak Perlembagaan Negara dipertikaikan oleh saudaraku Ketua 1 Gapena sehingga merasakan pemimpin parti politik Melayu (PAS / PKR) menang dengan tidak cara mutlak berkuasa.

Aku mengingatkan kembali kepada saudaraku Ketua 1 Gapena! JANGAN terlalu ghairah mencari laba (sama ada wang atau pangkat / kedudukan) bercakap tentang Melayu membuatkan anak buah teraba-raba sehingga boleh menyemarakkan api perkauman dan akan membakar perpaduan kaum di Negara yang tercinta ini. Atau ada agenda saudaraku Ketua 1 Gapena untuk ingin melihat ulangan sejarah 1969 yang akhirnya Negara ini ditadbiri MAGERAN? (Ini bukan tuduhan tetapi pertanyaan? Jika ianya tak betul, maafkan aku!).

Jika mahukan MAGERAN! Siapakah yang akan menjadi kambing hitamnya? Ingat akan ‘Operasi Lalang BN’ yang lalu untuk mengukuhkan UMNO / BN! Siapa yang menebang kayu perkauman tidak menjadi kambing hitam! Tapi siapa yang menungkun dan menyalakan api serta membakar unggun lalu baranya memercik membakar keharmonian Negara, berjaga-jagalah jangan terperangkap setelah melepaskan anjing tersepit (bidalan Melayu klasik).

Kepada anak buah saudaraku Ketua 1 Gapena! Kiambang yang hidup di tasik akan bergerak dengan akarnya sekali ke timur, utara, selatan ataupun ke barat mengikut arah angin bertiup! Sementara lalang akarnya terus menunjang bumi tetapi daunnya meliyuk ke timur, utara, selatan dan ke barat mengikut arah tiupan angin! Ingatlah bila ribut melanda banyak pokok yang tumbang dan sekah tetapi kemuncup di tepi jalan tak pernah rebah!


NGAH UDA: Tak mahu jadi tikus membaiki labu dan sentiasa menyanyangi warga emas terutamanya yang masih mahu menjadi pemimpin sampai mati!
KOMENTAR
bersama Pak Parjo.

WANITA DI NEGERI MELAYU DIPERALAT
DIKURUNG PENJAHAT DI RANTAU ANDALUS

Arakian disuratkan orang hari ini (11 Rabiulakhir 1429, yakni disebut anak cucu fakir 18 April 2008, bersamaan hari Jumaat) sekurang-kurangnya 20 orang perempuan dari negeri Melayu di kurung di sebuah rumah di Madrid yang dahulunya dikenali oleh orang banyak ialah Andalus (yakni disebut di akhir zaman ini negeri Sepanyol). Adapun wanita negeri Melayu itu dilatih untuk dijadikan pembawa bekalan ‘dadah’ (tak pernah fakir dengar di zaman dahulukala) ke serata dunia termasuk Brazil, Australia, Mexico dan China. Hebatnya! Syahdan wanita-wanita negeri Melayu itu sebelumnya dijanjikan dengan pekerjaan yang gajinya lumayan, hingga tertarik hatilah mereka mahu menjadi pengembara untuk memajukan diri, adanya.

Syahdan kejadian itu disebut oleh Norfaizura Azura Md Lias, 21 dari Pulau Panngkor di Perak dan Dayang Sakienah Mat Lazim, 20 dari Bukit Payong (Terengganu) kepada orang-orang Dato’ Temenggung (atau disebut orang PDRM), akan perbuatan orang-orang di Andalus yang pernah diperintah pentadbiran Islam. Sekali persetua tersebutlah akan Oranngkaya Laksamana Hang Tuah itu diutus ke Benua Rom untuk membawa bingkisan Sultan Melaka akan perihal untuk memberitahu kerajaan besar di negeri Melayu itu. Maka kata orang banyak Benua Rom itu kerajaan besar dan berjiranlah dengan Andalus yang memang terkenal sebagai negeri yang suka berniaga, maka diketahui ketika itu mereka berniaga rempah dan lada hitam seperti disebut dalam ‘Kitab Melayu’ oleh:







HIDUP BAHASA MELAYU!