Wednesday, May 14, 2008

JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)

(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)


DARI LAMAN BLOG

MAJLIS ‘RAKAN MEDIA PAS’
TAKRIF ‘BERANI’ YANG ‘KLISE’.

Assalamualaikum,
Ketika editor Buletin Rakyat, Norzah Haji Kepol menelefon kira-kira 7.00 petang semalam (13 Mei 2008) saya baru sahaja sampai di Gombak, selepas balik ke Jelebu menziarah emak saudara, Robakyah binti Sheikh Haji Ahmad yang meninggal dunia. Memang saya tak berhasrat mahu menghadiri majlis makan malam ‘Rakan Media PAS’ di Grand Sessions, Jalan Pahang, sekalipun sebelumnya Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz sudah menelefon, di samping Sallehuddin juga meminta panjangkan SMS kepada rakan-rakan PRIMA. Bagaimanapun jam 8.00 malam Haji Bakar Ninggal menelefon dari Grand Sessions beritahu ‘parking’ sudah penuh, jutseru kenderaan diminta ke tempat letak kereta awam di sebelahnya. Hanya jam 8.30 malam baru saya bersama Norzah, suaminya Nasiri dan isteri saya Adiah bertolak ke majlis berkenaan.

Majlis ‘Rakan Media PAS’ dianjurkan oleh Ketua Penerangannya, Haji Mahfoz Omar dengan pimpinan undangan Presiden PAS Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Menteri Besar Perak Dato’ Seri Nizar Jamaluddin, wakil Menteri Besar Kedah dan wakil Menteri Besar Selangor. Haji Mahfoz pula memberi kredit khusus kepada pengendali laman web ‘Malaysiakini’ Raja Petra Kamaruddin yang dilabel ‘berani’ kerana sudah dihantar ke sel Sungai Buloh sebelaum ini. Takrif ‘berani’ seolah-olah ‘klise’ kerana tertumpu kepada sesiapa yang dihantar ke sel Sungai Buluh atau ISA di Kemunting, justeru mereka yang menggerakkan isu kemausiaan dan tak pernah digiring ke penjara adalah ‘tak berani’. Astaga! Misalnya, SN Usman Awang, SN A Samad Said, SN Shahnon Ahmad atau Yahaya Ismail ‘tak berani’ apabila mereka tak pernah digiring ke penjara. Barangkali!





Seperti disebut Sallehuddin ketika diminta pengendali laman blog bersoal jawab, beliau mengakui tak pernah menolong ‘Pakatan Rakyat’ menerusi laman blognya, tetapi tak semena-mena ‘tertolong’ pada PRU12, 8 Mac 2008 lalu. Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir, Raja Petra, Zakir mahupun Sang Kelembai (Zaharin Yassin) juga tak pernah menolong ‘Pakatan Rakyat’, kerana kritikan yang disasarkan kepada UMNO atau Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi sekadar mahu membetulkan kebobrokan pimpinan kerajaan dalam pentadbiran. PRIMA cuba menggerakkan kempen ‘Undi Calon, Bukan Undi Parti’ juga adalah melestarikan saranan bersama selepas pertemuan dengan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di Yayasan Kepimpinan Perdana pada 15 Ogos 2007.

Maknanya, pengendali laman blog dan laman web tak memihak atau condong bagi menyokong mana-mana parti politik. Isu sama ada ‘berani’ atau ‘tak berani’ bukanlah penting sangat hingga harapkan diberi kredit oleh mana-mana pihak, sebaliknya penulis yang berani ialah menolak ‘perhambaan minda’ sama ada ianya dilakukan oleh UMNO mahupun PAS dan PKR. Berikutan pengakuan Menteri Besar Perak Dato’ Seri Ir Mohd Nizar (ketika menjawab soalan Dato’ Kamal Amir), kerajaan negeri yang dipimpinnya dibentuk melalui sokongan pengundi bukan Melayu, memang PRIMA memberi perhatian serius untuk mempelopori penentangan ‘perhambaan minda’ di negeri Perak. PRIMA mahukan sebuah kerajaan yang disokong oleh rakyat Malaysia bukan dikelompokkan kepada ‘pengundi Melayu’ dan ‘pengundi bukan Melayu’. Insya Allah!

-Pak Dharma.

INFO HAK ASASI MANUSIA

PAS ENGGAN JAWAB SOALAN
SASARAN ANWAR TAK TERCAPAI

Presiden PAS Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang enggan menjawab soalan yang dikemukakan oleh editor Buletin Rakyat, Norzah Haji Kepol yang mahu tahu siapa bakal Perdana Menteri Pakatan Rakyat sekiranya mengambil alih kerajaan menerusi undi tak percaya di Parlimen. Sebaliknya pengerusi majlis secara spontan memberitahu, perkara berkenaan akan diketahui apabila Pakatan Rakyat mencapai kemenangan. Berikutan respons Dato’ Seri Haji Abdul Hadi itu beberapa orang rakan pengendali laman web dan laman blog beranggapan PAS tak yakin dengan sasaran Penasihat PKR Dato’ Seri Anwar Ibrahim bagi menubuhkan kerajaan berdasarkan wakil-wakil BN akan melompat untuk menyertai Pakatan Rakyat.
Sebelum ini Dato’ Seri Anwar memberitahu media Pakatan Rakyat akan menubuhkan kerajaan selewat-lewatnya Ogos 2008 ini, berdasarkan lebih 30 Ahli Parlimen BN akan menyertai Pakatan Rakyat. Berikutan respons yang ditunjukkan oleh Dato’ Seri Abdul Hadi, seolah-olah PAS tak yakin sasaran Dato’ Seri Anwar akan tercapai, malah masih berharap PAS akan mengetuai Pakatan Rakyat pada pilihanraya akan datang, menurut beberapa orang rakan pengendali laman blog dan laman web yang menghadiri majlis ‘Rakan Media PAS’ di Grand Session, Jalan Pahang, Kuala Lumpur malam semalam (13 Mei 2008). “Malah wakil PKR di samping kerajaan negeri Pulau Pinang, tak hadir pada majlis yang dianjurkan oleh PAS malam ini,” beritahu salah seorang rakan pengendali laman blog.

Sementara itu Dato’ Seri Abdul Hadi dalam ucapan awalnya menyebut beliau tak bersetuju dengan keputusan PRU12 dianggap sebagai ‘tsunami politik’, tetapi lebih tepat dikatakan ‘gunung berapi politik’. Katanya, ‘tsunami’ ialah membawa kemusnahan dan kebinasaan kepada manusia, sebaliknya ledakan gunung berapi memuntahkan lahar yang mengandungi baja hingga boleh menyuburkan tanaman, justeru memberi banyak manfaat kepada kehidupan manusia. “Wakil rakyat dari Pakatan Rakyat ialah lahar yang akan menjadi baja untuk menyuburkan tumbuh-tumbuhan demi manfaat kepada manusia, di samping wakil-wakil rakyat BN adalah ledakan gunung berapi yang memudaratkan manusia,” jelas Dato’ Seri Abdul Hadi.

PEMBENTUKAN KERAJAAN NEGERI PERAK
KERANA SOKONGAN PENGUNDI BUKAN MELAYU

Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Ir Muhammad Nizar Jamaluddin mengakui kerajaan negeri yang dibentuk selepas PRU12 hanya bergantung kepada sokongan pengundi bukan Melayu di kawasan bandar, ketika menjawab soalan Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz dalam sesi soal jawab majlis ‘Rakan Media PAS’ di Grand Session, Jalan Pahang, Kuala Lumpur malam semalam (13 Mei 2008). Katanya, berikutan fakta tersebut kerajaan negeri Perak perlu memberikan perhatian kepada kepentingan semua lapisan masyarakat. Menyentuh isu nelayan di Bagan Datoh mahupun di Kuala Sepetang, beliau menyalahkan kerajaan Pusat yang memberi lesen bot laut dalam dan pukat tunda kepada nelayan-nelayan laut dalam, menyebabkan nelayan-nelayan pantai terancam.

Seterusnya beliau mendakwa, nelayan-nelayan laut dalam yang menjadi ‘taukeh besar’ mengambil pekerja-pekerja asing menyebabkan fenomena di pantai negeri Perak seolah-olah didominasi oleh nelayan-nelayan ‘Bangla’ (Bangadesh) dan Mynmar. Jawapan yang diberikan Dato’ Seri Ir Nizar tak pula memberi penjelasan kepada isu yang dibangkitkan Dato’ Kamal Amir, mengenai langkah kerajaan negeri menyediakan ‘pelan induk’ bagi membantu majoriti nelayan-nelayan Melayu di Bagan Datoh hingga ke Kuala Sepetang. Begitu juga isu yang dibangkitkan mengenai kenaikan harga beras, wakil Menteri Besar Kedah sekadar memberitahu kawalan ‘harga beras’ dikuasai ‘kerajaan Pusat’ bukannya ‘kerajaan negeri’. Bagaimanapun soalan Dato’ Kamal Amir masih tak diberi jawapan apabila meminta penjelasan mengenai langkah kerajaan negeri Kedah bagi meningkatkan pengeluaran padi berikutan kenaikan harga beras yang ‘mengerikan’.

BIL AIR MANIFESTO ALTERNATIF
WAKIL MB SELANGOR TERPAKSA

Wakil Menteri Besar Selangor dari DAP memberitahu isu bekalan air percuma bukan datang dari partinya, tetapi manifesto ‘Barisan Alternatif’ iaitu PKR dan PAS. Katanya ketika menjawab soalan pengendali laman blog Sdr Sallehuddin dalam majlis ‘Rakan Media PAS’ di Grand Session, Jalan Pahang malam semalam (13 Mei 2008), partinya hanya ‘terpaksa’ melaksanakan manifesto tersebut selepas membentuk kerajaan negeri berikutan keputusan luar biasa PRU12 lalu. Bagaimanapun wakil Menteri Besar Selangor itu meminta rakyat Selangor memberi masa kepada kerjaaan negeri mengkaji beberapa aspek sebelum ianya dapat dilaksanakan. Di samping memberi pengakuan di Selangor isu bekalan air percuma akan dilaksanakan mulai 1 Jun 2008, beliau memberitahu negeri-negeri lain di bawah pentadbiran ‘Pakatan Rakyat’ tak akan melaksanakan serentak.

“Tiap-tiap negeri mempunyai sumber hasil negeri yang berbeza, Selangor bernasib baik kerana mempunyai sumber lebih baik, dan isu bekalan air percuma dapat dilaksana-kan mulai 1 Jun ini,” jelas wakil Menteri Besar Selangor itu. Sdr Sallehuddin ketika bangun mengemukakan soalan membangkitkan manifesto ‘Pakatan Rakyat’ yang masih tak dilaksanakan sebaik sahaja mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri. Malah beliau melahirkan rasa bimbang, sekiranya ‘Pakatan Rakyat’ memberi tumpuan kepada kawasan bandar, di samping mengabaikan kepentingan komuniti Melayu di luar bandar. “Tak boleh dinafikan pengundi Melayu di dalam bandar mahupun di luar bandar turut memberi undi kepada Pakatan Rakyat,” beritahu Sdr Sallehuddin.

INFO SASTERA & BUDAYA

PUISI

Daulat Tuanku
[buat putraku Yasleh Khaliff Amri]

sekian ini lamanya engkau Melayu
menjadi kelasi armada yang kian karam
kerana seekor demi seekor nakhodamu
masih juga tetap menganyam pelangi
memintal mimpi lautan ilusi
menjelmakan fatamorgana
sebagai realiti harapan
di mana engkau terpesona mengakui
bahawa engkau bukannya hanya sekadar berseloka
dalam simfoni pelangi mimpi nyanyian ilusi
senandung kalbu melarik duka meraut malang
menguliti mega nestapa angan-anganmu
merentasi segara syahdu kealpaanmu

mana mungkin bersatu
nestapamu dan syahdumku
ya Melayu,
kerana engkau masih jua percaya
bahawa menara ketuananmu yang abadi perkasa
masih jua mungkin terbina di atas tapak anyaman mimpi

kerana demikianlah yang kau mahu
maka akan demikianlah seterusnya engkau Melayu

makanya
pun aku terpaksa sendirian
menimba bara meniti duri
demi PanggilanPERTIWI
akan ku tiupkan nafiri
yang bergema dari benua ke benua
Daulat Tuanku!
Daulat Tuanku! Daulat Tuanku!
Daulat Tuanku! Daulat Tuanku! Daulat Tuanku!
Daulat Tuanku! Daulat Tuanku!
Daulat Tuanku!

yassinsalleh
31 Ogos 2007
Taman Saujana Impian, Kajang.

INFO SUARA PROLITAR

MAKAN KELEDEK IKUT JEPUN
LEBIH BAIKLAH MAKAN UBI KAYU

Cadangan meminta rakyat Malaysia beralih kepada makanan ubi kentang dan ubi keledek bagi menggantikan beras, terasa pelik sikit. Berita TV3 malam semalam (13 Mei 2008) sebut masalah kekurangan beras boleh diatasi dengan beralih kepada ubi kentang dan ubi keledek. Kononnya, ubi keledek mahal harganya di Jepun. Kenapa tak suruh rakyat Malaysia makan ubi kayu dan pisang? Zaman Jepun pun makan ubi kayu dan pisang. Duit pun cap pisang. Kalau nak ikut Jepun, lebih baik makan ubi kayu. Kalau tak sembab pun, boleh juga cirit birit sepanjang hari. (SMS; 14 Jun 2008 – Haji Y.O., Hulu Langat, Selangor).

BLOGGER PERLU BERWASPADA
JANGAN HANYUT KERANA PUJIAN

Rakan blogger kembang hidung nampaknya. Majlis ‘Rakan Media PAS’ puji macam nak rak. Konon terhutang budi pada blogger. Konon blogger bantu PR (Pakatan Rakyat) menang lima negeri. Konon itu dan ini. Tapi orang media akhbar nyamuk tahu sangat. Sebelum PRU12 hari-hari hantar statement, sebab media perdana tak layan. Sekarang ni kalau nampak sekadar ‘helo’ aje. Nak dekat-dekat pun sekadar cakap ‘tunggu sat’. Dah dapat nafikan majoriti dua pertiga, lagak pun lebih kurang macam wakil BN juga. Tak fikir langsung fasal tsunami politik landa BN (SMS; 14 Jun 2008 – ZAR, Kuala Lumpur).

KOMENTAR
bersama Pak Parjo

PESAWAH DIBERI BANTUAN KHUSUS
KETIKA HARGA BERAS SEMAKIN NAIK

Kata sahibul hikayat tersebutlah perihal memanda Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi. Maka diumumkan semalam, 7 Jamadilawal 1429 (seperti kata anak cucu fakir, 13 Mei 2008) langkah menangani kekurangan bekalan dan kenaikan harga beras. Arakian berkatalah memanda Perdana Menteri, kerajaan negeri Melayu itu akan membelanjakan RM725 juta untuk 500,000 tan beras yang dibeli dari pedagang asing untuk mengekalkan harga runcit beras. Syahdan bergembiralah segala rakyat jelata sekalipun harga beras itu tak akan turun lagi. Maka Orangkaya Menteri Pertanian (dan Industri Asas Tani), Dato’ Mustapha Mohamed, pesawah-pesawah dan penanam-penanam padi juga diberi bantuan galakan (tak tahu fakir nak sebut insentif itu) sebanyak RM2,656 bagi setiap jenjang (hektar). Mudah-mudahan bentuan kepada pesawah-pesawah dan penanam-penanam padi itu tak tiris, heh heh heh!

Syahdan diberi seekor lembu oleh Raja Aftabul-Ardz kepada tiga orang cucunya. Lembu yang amat putih seperti perak yang terupam warnanya (atau samalah dengan bantuan ‘subsidi’ memanda Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah itu). Maka ketiga-tiga anak raja itu naiklah ke atas lembu berkenaan, lalu berjalanlah keluar. Dengan takdir Allah Subhanahu Wataala yang Maha Mulia dan Maha Kuasa, teruslah mereka ke Bukit Seguntang itu waktu malam (yakni samalah dengan kegelapan di negeri Melayu sekarang akibat harga beras naik, naik dan naik). Maka pada malam itu dipandang oleh Wan Empok dan Wan Malini (pesawah-pesawah dan penanam-penanam padi), di atas Bukit Siguntang itu bernyala-nyala seperti api, seperti disuratkan oleh ‘Kitab Melayu’ daripada:


HIDUP BAHASA MELAYU!

Monday, May 12, 2008

JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG

KERETA LAMA BERGERAK PERLAHAN
PERLU KENDERAAN BARU KE DESTINASI

Assalamualaikum,

Kereta lama saya meragam pagi ini (12 Mei 2008), menyebabkan anak saya, Elmi Fadzimah tak ke sekolah apabila melewati jam 7.45 pagi. Rupa-rupanya masalah ‘contact point’ sahaja. Memang kawan-kawan sarankan kereta lama berkenaan dijual sahaja sekalipun sekadar harga ‘timbang kati’, tetapi saya menyayanginya kerana nostalgik dengan pembabitan dalam gerakan ‘reformasi’. Sebelum Dato’ Seri Anwar Ibrahim membawa laongan ‘reformasi’, gerakan politik pembangkang turut menggunakan slogan ‘reformasi atau hidup’ (reform or live) iaitu selepas pilihanraya 1995, sebaliknya beberapa pimpinan lain menyebut ‘reformasi dan mati’ (reform and die). Disebabkan kereta lama digunakan dalam destinasi dari utara ke selatan dan sebaliknya, justeru buat masa sekarang memang berat hati saya untuk menjualnya. Begitulah!

Apabila kereta lama bermasalah memang kita memerlukan kenderaan baru menuju ke destinasi, tetapi kereta lama tak seharusnya dibuang bagai besi buruk tak berguna. Kereta lama saya sebelumnya digunakan ke destinasi jauh, disebabkan saya tak menginap di mana-mana ketika menyertai gerakan ‘reformasi’. Misalnya ketika ke Batu Pahat, saya difahamkan Dr Sanusi Osman (Setiausaha Agung PRM) mahu menginap di hotel, selepas sesi ceramah di satu perkampungan. Disebabkan saya balik semula ke Kuala Lumpur, Dr Sanusi ikut sama balik menaiki kereta berkenaan. Apalagi malam berkenaan ceramah dibatalkan sebaik sahaja Dr Daing Sanusi Mariok (Ahli Parlimen Rantau Panjang) kira-kira 10 minit sahaja berucap, atas alasan tak menerima permit polis.
Gerakan reformasi sejak September 1998, dikira sudah 10 tahun berlalu dengan segala sekatan, seratan dan jeratan pihak polis, tetapi sehingga 2008 terus juga bergerak bagaikan aliran sungai yang sukar diempang. Barangkali! Semalam (11 Mei 2008) saya memasuki asrama sebuah IPTS, apabila menghantar anak saya yang memulakan pengajian di situ. Memang saya melihat di loker pelajar di asrama berkenaan dilekatkan poster PKR, di samping gambar Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Bukan sahaja di asrama IPTS, malah di asrama IPTA juga pelajar-pelajar melekatkan poster PAS, di samping gambar Dato’ Seri Hadi Awang dan Tuan Guru Dato’ Nik Aziz Nik Mat. Maknanya, golongan generasi muda mahukan pimpinan baru seolah-olah menunggu ‘kenderaan baru’.

UMNO sudah lebih 50 tahun mendominasi politik Malaysia, sekalipun dianggap relevan mahupun berupaya meneruskan kesinambungan pimpinan oleh para aktivisnya, tetapi ‘kereta lama’ sukar bergerak pantas disebabkan mengalami banyak kerosakan. Ketika terbabit dalam gerakan reformasi saya juga pernah diberi sambutan baik oleh penduduk di kampung saya sendiri, di samping bertemu dengan seorang bekas guru (sekarang Allahyarham) yang terbabit sama dalam gerakan belia sekitar dekad 1960-an. Sebelum pertemuan pada 1999, beliau memang dikenali aktivis UMNO di samping menyertai pimpinan di peringkat Bahagian. Sebaliknya ketika menghadiri majlis reformasi, beliau mengakui memberi sokongan kepada anak mudanya yang secara terbuka menolak parti yang pernah disokong oleh datuk dan ayahnya. Aduhai!

-Pak Dharma.

INFO HAK ASASI MANUSIA


UMNO PERLU PENDEKATAN RASIONAL
BAGI SINAMBUNG KEDAULATAN BANGSA

Pimpinan UMNO perlu mengambil pendekatan rasional bagi meneruskan sinambung kedaulatan bangsa, bukan bersikap arogan dengan pencapaian yang digerakkan pimpinan terdahulu, menurut Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz yang juga bekas Exco Pemuda UMNO. Mengulas gesaan dibuat bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad semalam (11 Mei 2008) mahukan sistem kuota pemilihan UMNO dihapuskan, Dato’ Kamal Amir menyokong saranan tersebut yang dianggapnya sudah tiba masa bagi pimpinan UMNO keluar dari kemelut ‘perhambaan minda’. Katanya, pimpinan UMNO di peringkat umbi mahukan perubahan bagi memulihkan semula krisis keyakinan dengan membawa pendekatan baru. “Sistem kuota bukan sahaja tak demokratik, malah UMNO dijadikan sasaran ejekan, cemuhan dan ocehan,” beritahu Dato’ Kamal Amir.
Beliau juga menarik perhatian kepada pemilihan 2004, apabila insiden Ketua UMNO Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah dinafikan haknya apabila pimpinan di peringkat Bahagian disekat dengan pelbagai taktik. Dato’ Kamal Amir turut menyentuh insiden di Bahagian Kubang Pasu, ketika Tun Dr Mahathir gagal dipilih menjadi delegasi ke Perhimpunan Agung. Katanya, adalah mustahil bekas Perdana Menteri tak menerima undi yang mencukupi bagi menjadi delegasi, kalau tak disebabkan ‘perhambaan minda’ digunakan. Akibatnya jelas Dato’ Kamal Amir, tak bermakna menang mnjadi ketua di peringkat Bahagian, tetapi tewas dalam pilihanraya umum. “UMNO perlu menang pada pilihanraya umum, bukan menang merebut jawatan dalam parti,” beliau menambah.

INFO SUARA PROLITAR

HEBOH FASAL UMNO NAK MELOMPAT
INGATLAH KERAJAAN TERENGGANU TUMBANG!

Sekarang saya di KT (Kuala Terengganu). Dua hari lagi balik ke KL. Dengar berita radio hari ini (11 Mei 2008) jam 1.00 tengahari. Profesor Madya Ahmad Nizamuddin Sulaiman sebut fasal lompat parti. Tak bermoral, walaupun tak salah di sisi undang-undang. Heboh pula fasal UMNO dikatakan nak melompat. Tahun 1961, PAS melompat di Terengganu hingga kerajaan negeri Terengganu tumbang, kenapa para profesor dan ahli akdemik tak sibuk. Jangan gunakan status akademik untuk mengampu, kerana golongan prolitar juga tahu politik (SMS; 11 Mei 2008 – Z.A. Rasidin, K. Terengganu)

MAJLIS MAKAN MALAM PRESIDEN PAS
JEMPUT SEMUA PENGENDALI LAMAN BLOG.

I am going w rocky. Join us?…The President of PAS (Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang) cordially invites all ‘bloggers’ to dinner 8.00 pm, Tuesday, May 13 at Grand Seasons Hotel. RSVP and forwad. Pet. (SMS; 12 Mei 2008 – Sallehuddin, K.L.)

KEPADA SESIAPA YANG MENGHIDAPI GOUT

Salam Pak,Gout?Saya dapat info setelah berbual dengan seseorang yang bapanya juga menghidap gout. Katanya dia diberi petua supaya bapanya makan belut. Tapi bapanya tak lalu makan kerana rupanya seperti ular. Lalu dikeringkannya belut itu serta dihancurkan lalu dimasukkan ke dalam kapsul. Barulah bapanya boleh menelannya. Menurutnya bapanya sangat gemar minum yang mnis-manis tetapi tak ada kencing manis pula. Saya memberitahunya apa yang saya tahu, penghidap gout lazimnya terhindar dari mendapat kencing manis
(asalbayu)

TERTARIK DENGAN TANAH RANCANGAN

Saya tertarik dengan tajuk TANAH RANCANGAN BELIA D... Saya tertarik dengan tajuk TANAH RANCANGAN BELIA DI JOHOREKSPLOITASI DI TANGAN PIMPINAN MELAYU yang memperlihatkan betapa bobroknya kerajaan yang kononnya ditegakkan untuk membela ugama, bangsa dan tanah air.Mereka bawa rayuan itu dalam perbincangan 'Kongres Permuafakatan Melayu’ (anjuran GAPENA).Lucu juga kisah ini kerana GAPENA sendiri gagal menyuarakan isu bahasa Melayu yang diperlekehkan oleh para pemimpin Malaysia berketurunan Melayu sendiri.Pimpinan GAPENA, iaitu tidak lain dari Ketua Satu, Tan Sri Ismail Husain sebelum ini dikhabarkan pernah mengeluh bahawa tiada pemimpin negara yang mahu dengar apa-apa saranan pihaknya berkaitan dengan penggunaan bahasa Inggeris dalam subjek Sains dan Matematik. Tan Sri Ismail adalah anak Kedah kelahiran Yan yang kini dikuasai oleh PAS manakala Ketua Satu ASASI, Shaidun Haji Shaari, iaitu badan kerabat GAPENA juga kelahiran Yan. Manakala Menteri Besar Kedah, Ustaz Azizan Abdul Razak juga adalah ADUN Yan.Lagi satu Yan dipercayai sebagai lokasi pengajian agama (pondok) yang terawal di Kedah. Dan drama berjudul 'HUJAN GERIMIS' karya dan arahan Affrini Adham (Allahyarham) pertama kali dipentaskan selama beberapa malam di Yan oleh Kaum Ibu UMNO pada 1954 bagi tujuan mengumpul dana pilihanraya pertama sebelum di pentaskan di Alor Setar pada tahun yang sama.
(asalbayu)

KOMENTAR
bersama Pak Parjo.

DIPINDA ATAU DIMANSUHKAN TERUS
KANUN MENGHALANG KEBEBASAN BERSUARA?

Sebermula disebut oleh yang empunya ceritera akan menantu memanda Perdana Menteri bernama Orangkaya Khairy Jamaluddin itu terlalu licik menarik perhatian orang banyak. Syhahdan berkatalah Orangkaya Khairy Jamaluddin, eloklah kanun penerbitan dan percetakan itu dipinda atau dimansuhkan terus, kerana ianya boleh menghalang kebebasan bersuara. Terlalu gembiralah segala penyurat dan penitir canang akan perihal beraninya Orangkaya Khairy Jamaluddin mempersoalkan kanun tersebut, adanya. Arakian disurat oleh orang banyak sebelum ini Orangkaya dari Ipoh Timor dan Orangkaya dari Bukit Gelugor juga berperi-peri mahu dihapuskan kanun penerbitan dan percetakan, kanun keselamatan dalam negeri, kanun rahsia rasmi dan kanun polis yang dikatakan tak sesuai. Syukurlah Orangkaya Khairy Jamaluddin juga menyuarakannya, maka fakir kira tak perlulah dipersoalkan kejujurannya atau tidak.

Syahdan apabila Sultan Mahmud berangkat berperahu had pangkalan Seri Dewa Raja, maka baginda menyuruh memanggil Seri Dewa Raja. Berpenanak-penanak Sultan Mahmud menanti di pangkalan, belum juga Seri Dewa Raja datang; kerana adat Seri Dewa Raja, apabila datang hamba raja memanggil dia, maka ia naik ke rumah berbaring-baring, kadang-kadang lalu tertidur, serta dibangatkan oleh hamba raja itu, maka Seri Dewa Raja bangun lalu buang air dan mandi. Maka dibangatkan pula oleh hamba raja itu, baharulah Seri Dewa Raja berkain, dua tiga belas kali rombak; belum baik, dibaiki. Sudah itu maka berbaju dan berdestar itu pun demikian juga; dua tiga belas kali diikat dirombak, belum baik, dibaiki. Arakian titah raja yang lebih dahsyat lagi di masa dahulu daripada kanun keselamatan dalam negeri juga disanggah Seri Dewa Raja, seperti yang disuratkan ‘Kitab Melayu’ oleh:


HIDUP BAHASA MELAYU!

Saturday, May 10, 2008

JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)

(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG

AURA DI KALANGAN ANAK MUDA
ANWAR MENJADI PEMIMPIN ALTERNATIF

Assalamualaikum,

Selepas solat Jumaat semalam, terpaksa pula menjemput anak saya pelajar Unisel (Universiti Industrial Selangor) membuat praktikal di Subang Jaya, walaupun mengalami gout sedikit. Apalagi sejak Khamis (8 Mei 2008) saya tak ‘naikkan’ laman blog akibat kurang sihat, sekalipun Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz, Sdr Yassinsalleh, Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah, Sdr L Mankadir Shamsi menghubungi menerusi telefon mahu pun SMS. Apabila balik ke rumah, keadaan gout bertambah teruk menyebabkan sukar mahu menjejakkan kaki. Bagaimanapun disebabkan sudah terbiasa dengan gangguan gout ini, saya tak menggelabah kerana memang bekalan ‘remethen’ sentiasa disimpan, termasuk juga ‘alloporonol’. (Selepas mengambilnya, kalau kena ‘urin test’ sudah pasti ‘positif’). Heh heh heh!

Sebelah paginya (9 Mei 2008), saya bersarapan dengan editor ‘Buletin Rakyat’ Puan Norzah Haji Kepol bersama suaminya Nasiri Hamid, dengan memilih ‘nasi lemak ikan masin’ sebagai menu utama kami. Beliau bercadang mahu menerbitkan akhbar tabloid ‘Warnasari’, yang sudah lama diberi permit KDN. Format ‘Warnasari’ mungkin lebih banyak diisi dengan ‘human interest’, dengan diterbitkan dua minggu sekali. Barangkali! Bagaimanapun kami sekadar ngomel-ngomel biasa sahaja, tak bincang pun mengenai penerbitan akhbar ‘Warnasari’ itu. Apalagi urusan saya bersama Nasiri lebih penting iaitu berkaitan pernerbitan novel ‘SEMPERONG’ dan buku ‘autobiografi Dato’ Sati Daud Haji Ahmad: PEJUANG PROLITAR DI DAERAH KECIL’.

Memang turut juga disentuh isu Pengerusi DAP Karpal Singh mempersoal kuasa Sultan Perak dalam kes pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIP). Sebelumnya petang Khamis (8 Mei 2008), rakan-rakan dalam ‘Telapak Budaya Gombak’ berkumpul minum teh tarik di restoran mamak di Taman Seri Gombak, isu berkenaan juga ditimbulkan. Malah seorang rakan kononnya mengajak buat demonstrasi di hadapan Istana Negara bagi menyatakan sokongan kepada Yang di-Pertuan Agong apabila titah ucapan baginda di Parlimen juga dipersoalkan. Bagaimanapun Sdr Omar Sudi Abdul Manan dan Sdr Zainal Alam tak yakin demonstrasi berkenaan boleh mencapai penyelesaian. “Orang Melayu terus dicabar dan diperlekeh secara terang-terangan,” jelas mereka.

Bagaimanapun tak dinafikan aura Dato’ Seri Anwar Ibrahim memang mendominasi pemikiran generasi muda sebagai pemimpin alternatif mereka. Misalnya, aktivis UMNO sukar mengumpulkan orang ramai bagi menggerakkan demonstrasi kalau sekadar guna SMS sahaja. Sebaliknya golongan muda spontan menyertai demonstrasi yang digerakkan oleh PKR menerusi SMS, sekalipun dihalang oleh pihak polis dan FRU. Aura Dato’ Seri Anwar bukan lagi fantasi, malah turut diakui oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, bekas Menteri Kewangan Tan Sri Tengku Razalegih Hamzah, malah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Seri Nazri Aziz juga. Aduhai!

-Pak Dharma.

INFO HAK ASASI MANUSIA


SIKAP AROGAN PIMPINAN UMNO
TAK PEDULI GAGASAN PEJUANG BAHASA

Seminar yang digerakkan di Melaka hari ini (10 Mei 2008) turut membincangkan isu kemerosotan prestasi UMNO pada pilihanraya umum ke 12, 8 Mac lalu merumuskan ia berpunca dari sikap arogan pimpinan, sikap kebencaian dan meluat yang kertelaluan, malah persepsi pengundi muda terhadap kebobrokan dalam pentadbiran negara. Menurut salah seorang pembentang kertas kerja Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah, beliau diminta oleh pihak penganjur membicarakan isu ‘kebudayaan dan bahasa Melayu’, tetapi tetap berkait rapat dengan kebeberantakan UMNO dalam pilihanraya lalu. Di samping Dato’ Dr Mohd Mansor, turut membentangkan kertas kerja ialah sejarawan Dr Ramlah Adam yang mengupas pembabitan bukan Melayu dalam politik pada period pra merdeka. “Mungkin sahaja seminar itu rentetan dari Kongres Permuafakatan Melayu sebelum ini,” beritahu Dato’ Dr Mohd Mansor.

Ketika menyampaikan kertas kerjanya, Dato’ Dr Mohd Mansor mengulangi pendirian konsisten beliau, iaitu ‘Bahasa Melayu’ tak boleh dikompromi dengan ‘Bahasa Melaysia’ sama ada sekarang mahupun selamanya. Beliau seterusnya menekankan, sikap arogan pimpinan UMNO termasuk Menteri Pelajaran Dato’ Seri Hishamuddin Hussein tak peka dengan gagasan pejuang Bahasa Melayu, menyebabkan UMNO perlu menerima padah. Katanya, kementerian pelajaran sudah diingat pembelajaran subjek Matematik dan Sains mesti dikembalikan kepada Bahasa Melayu, tetapi semuanya ‘masuk telinga kiri, keluar telinga kanan’. “Apabila ‘perahu sudah terasak ke tebing’ barulah pimpinan UMNO mahu mencari keperibadian Melayu semula,” jelas Dato’ Dr Mohd Mansor seterusnya.

INFO SASTERA & BUDAYA

TOLAK UNSUR BUDAYA SONGSANG
HIDUPKAN CIRI PENTING BUDAYA MELAYU
Kebudayaan Melayu perlu dipertahankan sebagai teras kebudayaan nasional, menurut aktivis masyarakat dan penyair Melayu tersohor Sdr Yassinsalleh. Ketika menghubungi sekretariat PRIMA petang ini menerusi SMS, Sdr Yassinsalleh mengulas isu ‘Freedom Festival’ yang dikatakan sedang digerakkan di salah sebuah resort di Port Dickson hari ini (10 Mei 2008). Kata Sdr Yassinsalleh yang juga pernah menerima anugerah Pengarah Terbaik di Pesta Filem Malaysia sekitar dekad 1980-an menerusi dilem ‘Dia Ibuku’, kebudayaan Melayu adalah ciri penting dalam kehidupan bermasyarakat di Malaysia, bukan ‘dilacurkan’ dengan kebudayaan songsang. “Semua pihak perlu menolak budaya songsang, kalau mahu melihat generasi muda Melayu melonjak dengan peradaban jatidiri,” beritahu Sdr Yassinsalleh.

Seterusnya beliau mengingatkan kementerian perpaduan, kebudayaan, kesenian dan warisan lebih peka mengangkat martabat kesenian Melayu sama ada menerusi filem, drama TV mahupun persembahan teater dalam usaha pemupukan kebudayaan Malaysia berteraskan kebudayaan Melayu. Menurutnya, ‘pesta mengemping’, ‘ngajat’ atau lain-lain pesta rakyat di seluruh negara lebih bermakna daripada ‘Freedom Festival’ yang membawa unsur-unsur ‘tak bersopan’ seperti berbikini, kebebasan bergaul malah amat bertentangan dengan ajaran Islam. Sambil merujuk kepada ‘Taufan Nargis’ di Myanmar baru-baru ini, Sdr Yassinsalleh berkata, “Janganlah disebabkan kerana hanya ‘Freedom Festival’ mambawa lumpur habis semua terpalit, kalau pun naratif Nargis tak melanda pantai Port Dickson”.

INFO SUARA PROLITAR

PESTA BIKINI MALAM INI
JABATAN AGAMA PERLU PANTAU!

Jabatan agama sama ada di peringkat negeri mahupun di jabatan perdana menteri termasuk PEMADAM, diminta memantau ‘Freedom Festival’ dengan berbikini sepanjang malam di sebuah resort di Port Dickson malam ini (9 Mei 2008) hingga besok (10 Mei 2008). Pesta akan diserta deejay terkenal, wanita-wanita Melayu turut terbabit. Apa lagi heh heh he akan bersama memeriahkan pesta ini. Malulah orang Negeri Sembilan! Kalau nak buat pesta bikini, carilah tempat lain. Kita orang timur, sayangilah budaya timur. Apalagi bagi umat Islam! (SMS; 9 Mei 2008 - Komrad, Port Dickson, Negeri Sembilan).

JANGAN IKUT MACAM KEMPETEI
UMUMKAN LAPORAN SURUHANJAYA.

Cepat sahaja Hamid Albar (Menteri Dalam Negeri, Dato’ Seri Syed Hamid Jaafar Albar) jawab RPK (Raja Petra Kamaruddin). Kononnya RPK bohong fasal ancaman di penjara SB (Sungai Buluh). Kalau bohong, Hamid Albar dakwa aje RPK buat laporan palsu. Ini nasihat kepada Hamid Albar, jangan jadikan Malaysia macam masa kempetei, nak tekan orang lain. Kenapa laporan suruhanjaya mengenai perilaku polis tak diberi tahu kepada umum, kalau tak ada nak disembunyi? Laporan suruhanjaya mengenai video Lingam, kenapa nak tunggu PM (Perdana Menteri) baca baru nak umumkan kepada orang ramai? (SMS; 10 Mei 2008 – Ubi Singkong, Segamat, Johor)

MELAYU TAK PERLU UMNO
TAPI UMNO PERLU MELAYU

Orang akademik dah jadi mengarut. Status dan ijazah nak kelabukan mata orang ramai. Fasal apa bincang UMNO kalah pilihanraya? Penting sangatkah UMNO ini, hingga orang akademik gadaikan ijazah masing-masing. Kalau pentingkan masa depan orang Melayu, peduli apa dengan UMNO. Orang Melayu tak perlukan UMNO, tapi UMNO yang perlu orang Melayu. Kalau orang Melayu beri ‘good bye’, UMNO pun ‘maybe die’. Kabarnya hari ini (10 Mei 2008) orang akdemik bincang lagi di Melaka fasal UMNO kalah. (SMS; 10 Mei 2008 – Wak Kacong, Klebang Kecil, Melaka).
KOMENTAR
bersama Pak Parjo
GADIS MELAYU DILARIKAN
JEJAKA INDON TERLEPAS BEBAS

Syahdan dilaporkan oleh para penyurat hari ini, 4 Jamadilawal 1429 (atau disebut orang banyak 10 Mei 2008), perihal seorang lagi anak gadis Melayu dilarikan ke pulau di propinsi Riau, Indonesia. Adapun sebelum ini sudah dilaporkan oleh para penyurat akan perihal seorang gadis Melayu dilarikan ke Lambok di Jawa, adanya. Maka disebut dalam ceriteranya, akan gadis Melayu itu dilarikan ketika berusia 13 tahun, sejak tujuh tahun yang lalu, kemudiannya dijual kepada kumpulan yang mengendalikan penjualan. Arakian gadis Melayu itu diselamatkan oleh seorang lelaki, yang kononnya sekarang sudah jadi suamilah kepadanya. Sebermula terfikirlah kepada fakir akan Orangkaya Menteri Dalam Negeri dan Orangkaya Menteri Pertahanan terlalu mudahnya sesiapa sahaja melalui perairan di Selat Melaka, tak sama seperti keperihalan pada masa ianya dikawal ketat oleh Orangkaya Laksamana Hang Tuah dahulu.

Arakian tersebutlah Pateh Adam iaitu pangeran dari Surabaya datang ia ke Melaka menghadap Sultan Mahmud. Syahdan ketika itu Hang Tuah dan Bendahara Paduka Raja sudah tiadalah, innalillah wainnalillah hiraji’un. Maka oleh Sultan Mahmud dipermulia dan didudukkan tara Seri Nara Diraja Tun Tahir. Syahdan ketika berkunjung ke rumah Seri Nara Diraja, Pateh Adam melihat anak pembesar Melaka itu bernama Tun Manda masih kecil baru pandai berlari. Berkatalah Seri Nara Diraja, “Anak hamba itu mahu berlakikan Pateh Adam”. Maka Pateh Adam pun baliklah ke Jawa. Selang beberapa tahun datanglah ia semula ke Melaka, lalu dinaikinya rumah Seri Nara Diraja. Ketika itu Tun Manda sudah besarlah. Lalu kata Pateh Adam, “Bukankah dahulu Manira sudah berjanji untuk jadikan hamba laki Tuan Manda,” akan perihal itu disuratkan dalam ‘Kitab Melayu’ oleh:


HIDUP BAHASA MELAYU!

Thursday, May 8, 2008

JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG

Assalamualaikum,

Ketika membaca akhbar di kereta, sementara menunggu isteri saya berurusan di premis pejabat Tabung Haji di Selayang hari ini (7 Mei 2008) jam 10.00 pagi, tiba-tiba terserempak dengan Dr Abdul Wahid Suhaimi (bekas orang kepercayaan Dato’ Seri Anwar Ibrahim). Memang lama tak bersua beliau, sekalipun tinggal berjiran disebabkan sibuk dengan urusan masing-masing. Dr Abdul Wahid diperkenalkan oleh Haji Abu Bakar Ninggal selepas PRU 10 tahun 1999, ketika gerakan mahu membebaskan Dato’ Seri Anwar yang masih ditahan di sel Sungai Buluh. Dr Abdul Wahid bersama Haji Abu Bakar menemui saya sekitar Jun 2003, kerana sebelumnya mereka mengakui sering berulang alik menggunakan pendekatan ‘berkiyai’ ke Batam di Indonesia. Aduhai!

Bagaimanapun menjelang PRU 11, sekitar awal tahun 2004, Dr Abdul Wahid tak disangka-sangka meninggalkan mentornya Dato’ Seri Anwar menyertai ‘Kumpulan 12’ diketuai Sdr Ruslan Kassim bertindak keluar dari Parti Keadilan Nasional (sebelum ditukar kepada Parti Keadilan Rakyat). Tak banyak dibualkan bersama Dr Abdul Wahid dalam pertemuan hari ini disebabkan beliau memang mengambil keputusan tak mahu lagi berpolitik; apalagi selepas insiden 1998 beliau dikira ‘low profile’. Apabila terserempak Dr Abdul Wahid beberapa kali sebelumnya, saya juga tak berminat untuk berbual fasal politik yang serba berserabut, berkelabut dan berkemelut. Balik kira-kira jam 12.00 tengahari Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz pula menelefon.

Sebelumnya L. Mankadir Shamsi mengirimkan SMS mengingatkan mengenai laman blognya http://rpsemantan.blogspot.com/ sudah mula beroperasi. Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah juga menelefon dari Pulau Pinang bagi urusannya (mungkin sahaja bekaitan dengan penerbitan buku-bukunya), mahu tahu mengenai perkembangan di Kuala Lumpur termasuk kes membabitkan pengendali laman web Raja Petra Kamaruddin. Bagi saya kes Raja Petra sekadar mahu menyembunyikan kebobrokan pimpinan UMNO di samping krisis kenaikan harga beras yang menjadi makanan ruji utama rakyat Malaysia. Media lebih memberi prioriti kepada kes Raja Petra daripada krisis kenaikan harga beras, iaitu bagi mengalihkan fokus rakyat bagi melupakan isu sebenarnya.

Ketika harga beras melonjak naik setiap minggu sejak penghujung April 2008, suara prolitar seolah-olah tak diberi keutamaan bagi mempersoal kenaikan harga. Berikutan ‘Hari Ibu’ pada 10 Mei 2008, saya menghubungi ibu tersayang Hajjah Safiah Jatin di kampung yang sudah berusia 82 tahun tetapi masih sihat. Ibu saya memberitahu, pada period pentadbiran Jepun beliau tak pernah mengalami krisis makanan hingga memasak rebus ubi kayu atau ubi gadung bagi tempoh 1941-1945. Menurut ibu, disebabkan ayah saya Allahyarham Dato’ Sati Haji Daud bin Sheikh Haji Ahmad pegawai pertanian (atau Jaikiden), beliau diberi tugas mengawal bekalan beras. Justeru kata ibu, keluarganya tak pernah mengalami kekurangan bekalan beras sepanjang pencerobohan Jepun ke atas Tanah Melayu. Begitulah!

-Pak Dharma.

INFO HAK ASASI MANUSIA

ISTERI PET DINAFIKAN HAKNYA
CUBA ALIHKAN ‘KRISIS KEYAKINAN’

Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz berasa hairan apabila Puan Marina Abdullah, isteri Raja Petra Kamaruddin yang dihantar ke sel Sungai Buluh semalam (6 Mei 2008) tak dibenarkan bertemu suaminya, atas alasan Raja Petra (Pet) tak berhasrat menemui sesiapa. Menurut Dato’ Kamal Amir, adalah tak rasional sekiranya Raja Petra enggan bertemu isterinya yang ditemani peguam dengan mengikut prosedur yang sudah ditetapkan. Pagi ini (7 Mei 2008), Puan Marina bersama peguamnya dilaporkan mahu menemui Raja Petra, tetapi diberitahu oleh pihak polis pengendali laman web yang diberi jolokan ‘Raja Blog’ itu enggan menemui sesiapa sahaja termasuk isterinya Puan Marina. “Kita perlukan penjelasan sebenar dari Pet, berkaitan dakwaan beliau enggan menemui sesiapa?” ujar Dato’ Kamal Amir.

Seterusnya Dato’ Kamal Amir berharap, kesihatan Raja Petra tak terjejas berikutan dihantar ke sel Sungai Buluh, disebabkan ketika dibawa ke sana (sel Sungai Buluh) beliau dalam keadaan sihat. Bagaimanapun kata Dato’ Kamal Amir lagi, Puan Marina diberitahu oleh pihak polis, Raja Petra juga enggan menjamah makanan yang disediakan semasa di dalam sel. Justeru menurut Dato’ Kamal Amir, sekiranya Raja Petra lancarkan ‘mogok lapar’, isterinya Puan Marina bersama peguam wajar dibenarkan menemui beliau bagi memastikan kesihatannya tak terjejas. Apalagi dalam usianya menjangkau 58 tahun, Raja Petra perlu diberi perhatian mengenai tahap kesihatannya semasa ditahan di dalam sel, beritahu Dato’ Kamal Amir. “PRIMA sentiasa mendoakan kesihatan Pet sentiasa baik, demi perjuangan menentang perhambaan minda,” beliau menambah.

TANAH RANCANGAN BELIA DI JOHOR
EKSPLOITASI DI TANGAN PIMPINAN MELAYU

Pelaksanaan skim Tanah Rancangan Belia yang digerakkan oleh bekas Menteri Besar Johor Tan Sri Osman Saat (Allahyarham) sekitar dekad 1970-an bagi menjamin belia-belia memiliki tanah dikatakan terjejas berikutan eksploitasi pimpinan Melayu sendiri, kata penduduk-penduduk di Kampung Belia Jaya, Johor Bahru ketika menemui bekas Timbalan Naib Canselor (HEP) UTM, Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah. Mereka dilaporkan menemui Dato’ Dr Mansor ketika persidangan ‘Kongres Permuafakatan Melayu’ berlangsung di Johor Bahru pada 1-4 Mei 2008 yang lalu. Menurut sumber berkenaan, skim yang digerakkan oleh Tan Sri Osman memperuntukkan setiap peneroka memiliki 10 ekar seorang. “Bagaimanapun tujuh ekar sudah diambil bagi pembangunan dengan pampasan RM100 ribu sahaja, di samping sebuah rumah,” kata sumber itu.
Seterusnya beritahu sumber berkenaan, sebelum PRU 12 peneroka terbabit dikatakan menerima jaminan akan memperoleh rumah yang dijanjikan, tetapi hingga sekarang tak pernah disebut-sebut lagi oleh pemimpin-pemimpin Melayu. Kampung Belia Jaya yang lokasinya berdekatan Lapanganterbang Senai, Johor Bahru turut didesak mengosongkan tanah milik mereka yang tinggal 3 ekar seorang itu, bagi tujuan pembangunan dengan pampasan mengikut harga pasaran. Langkah pengambilan tanah di lokasi Rancangan Tanah Belia yang dilaksanakan pada period Tan Sri Osman, adalah eksploitasi pimpinan Melayu sendiri terhadap tanah peneroka-peneroka yang dijadikan eksprimen, mereka meminta Dato’ Dr Mansor membangkitkan pada ‘Kongres Permuafakatan Melayu’ itu. “Pimpinan Melayu perlu prihatin dengan masalah skim tanah belia yang dirancang oleh pimpinan di masa lalu,” beritahu sumber berkenaan.

TIADA GARIS PANDUAN JELAS
UNDANG-UNDANG MURTAD BERMASALAH

Undang-undang murtad yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen UMNO Batu Pahat, Dr Mohd Puad Zarkashi di Dewan Rakyat semalam (6 Mei 2008), mendedahkan fakta ianya tak mempunyai garis panduan yang jelas, hingga mudah diperlekeh oleh kalangan bukan Islam, beritahu aktivis sosial penyair Yassinsalleh. Mengulas ucapan Dr Mohd Fuad di Dewan Rakyat semalam, Yassinsalleh turut mendesak penggubalan undang-undang itu perlu disegerakan bagi memastikan pertikaian tersebut mampu dileraikan. Seterusnya Yassinsalleh merujuk kepada kes permohonan murtad membabitkan dua orang Melayu baru-baru ini berjaya di mahkamah. “Pertubuhan Melayu Kristian (IFC) sudah dilulus untuk ditubuhkan, justeru penggubalan undang-undang berkenaan perlu disegerakan,” menurut Yassinsalleh ketika menghubungi sekretariat PRIMA hari ini (7 Mei 2008).

Justeru menurut Yassinsalleh seterusnya, setiap individu Islam diminta melayari laman web http://www.myislamnetwork.net/ bagi mendesak pembubaran IFC, sebagai gerakan sokongan kepada perjuangan mempertahankan syiar Islam. Kata Yassinsalleh, kita mahu sejumlah satu juta umat Islam memberi sokongan, bukan berharap kepada 30 ribu orang yang sudah menyatakan sokongan mereka. Dalam perbahasan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agung di Dewan Rakyat semalam Dr Mohd Fuad membangkitkan isu murtad menimbulkan banyak masalah, terutama apabila seseorang yang memeluk agama Islam mahu kembali kepada agama asalnya. “Ketika kita melihat isu orang bukan Islam memeluk Islam, kita juga perlu melihat kepada isu orang Islam yang murtad,” kata Yassinsalleh selanjutnya.

INFO SASTERA & BUDAYA

KERIS YAK BERSARUNG BERKARAT
TIKAMANNYA BANYAK MEMAKAN DIRI

Terima kasih kerana kirim senaskhah ‘SEMPERUNG’. Nampaknya Dharmala masih bertenaga politik. Saya akan cuba membacanya. Terasa macam banyak berunsur Islam pula. Cikgu (fizikal) kiri agak uzur, tapi masih berotak geliga. Apa tak datang ke Penang jumpa Ketua Menteri, tentu Dharmala kenal rapat dengannya. Bagaimana dengan nasib UMNO sekarang? Nampaknya keris tak bersarung sudah berkarat teruk. Tikamannya lebih banyak terasa makan diri saja. Soal bahasa, soal ketuanan Melayu sudah turut berkarat. Baru-baru ini penulis dari Seremban datang menziarahi saya di rumah. Beliau pun masih politik – SHAHNON AHMAD.
TUMPU MENULIS PUISI SUFI
BACA NOVEL BUKA KAMUS

Terima kasih kiriman novel terbaru saudara ‘SEMPERUNG’. Hebat saudara kerana dapat menulis novel baru. Sedangkan saya sudah lama berhenti menulis novel. Saya menumpukan pada penulisan puisi terutama bercorak sufi dan gerakan Islam. Saya terpaksa mengikuti perkembangan puisi luar negara terutama Iran, Turki dan Arab Saudi. Saya membaca novel saudara mencari makna di sebalik cerita. Terkadang terpaksa buka kamus. Saya rasa novel saudara lebih hebat daripada novel Shahnon Ahmad ‘RANJAU SEPANJANG JALAN’. Baru sahaja habis bab pertama, terpaksa berhenti membaca menumpukan persidangan Parlimen pula.


Akan saya sambung membacanya apabila apabila tiada gangguan. Sebagai balasan buku saudara, insya Allah akan saya kirim kumpulan puisi ‘TEMBOK TIDAK BERPINTU’ apabila diterbitkan oleh DBP. Nampaknya dunia Malaysia sudah berubah kecuali hidup di bawah tempurung. Kita tidak tahu apa akan berlaku 10 atau 20 tahun akan datang. Mungkin kita sudah tidak ada lagi di dunia! Sedih memikirkan almarhum Rustam A Sani yang lebih muda daripada saya, mendahului rakan-rakan penulis. Semoga Allah cucuri rahmat ke atas rohnya. Al-Fatehah! – NAHMAR JAMIL.

INFO SUARA PROLITAR

CALON BAGI ANUGERAH BULANAN
MENOLAK PAKSI PERHAMBAAN MINDA

Tokoh penentang penjajahan minda (yang dipelopori UMNO/BN) bulan ini saya calonkan Raja Putera (Kamaruddin). Calon pengampu UMNO terulung jatuh kepada pimpinan Gapena (Gabungan Penulis Nasional), sekalipun tak direstui oleh majoriti kerabat Gapena. Apalagi dilaporkan di Kedah, pimpinan ASASI dikatakan mahu letak jawatan, kerana menyokong UMNO. Di masa lalu ketika UMNO mendominasi DUN Kedah, Shahnon Ahmad dan Azizi Haji Abdullah (lebih dikenali dalam gerakan sastera Melayu) tak pula letak jawatan jawatan apabila memimpin ASASI. (SMS; 6 Mei 2008, jam 12.00 malam – L Mankadir Shamsi, Lancang, Pahang).

MEDIA MACAM SEGAN NAK SIAR
USUL KRISIS KENAIKAN HARGA BERAS

Pelik juga dengan isu kenaikan harga beras. Media arus perdana macam segan nak siar perbahasan di Dewan Rakyat apabila usul dibawa oleh Salehuddin Ayub wakil PAS dari Kubang Krian semalam (6 Mei 2008). Media cuba alihkan kepada isu Raja Petra dengan diletakkan di muka depan. Nak sembunyi apa? Petani-petani Melayu dah merungut dengan ahlinya 280,000 fasal harga padi hanya RM650 satu tan, ketika pengilang beras cari untung berganda-ganda, ganda-ganda, ganda-ganda! Petani-petani Melayu baru nak minta naikkan harga padi kepada RM1,000 satu tan aje, pengilang tak perlu nak minta untuk naikkan harga beras. (SMS; 7 Mei 2008 – Zainal Abidin Rasidin, Kelana Jaya, Selangor)

KOMENTAR
bersama Pak Parjo

PERIHAL KOKOK BERDERAI-DERAI
HULUBALANG KETAR MASUK GELANGGANG

Kata sahibul hikayat disuratkan oleh sekalian penitir canang, akan segala hulubalang pun melompat ke tengah gelanggang mendesak diambil tindakan undang-undang ke atas Orangkaya Bukit Gelugor iaitu Karpal Singh kerana kononnya menghasut. Adapun akan Orangkaya Bukit Gelugor itu mempertikaikan titah perintah Sultan Azlan Shah di negeri Perak campur tangan berkaitan perkara menukar Pengarah Jabatan Agama Islam Perak, Dato’ Jamry Sury. Syahdan akan baginda Sultan Perak memanglah ketua agama di negeri baginda, oleh yang demikian hulubalang-hulubalang terbabit tak perlulah nak tunjuk bisa keris, kerana sudah sekian lama para hulubalang sekadar ‘kokok berdegar-degar, ekor habis bergelumang taik’; apalagi Orangkaya Menteri yang tak dipilih pada pemilihan 30 Safar 1429 (disebut orang ialah 8 Mac 2008) yang lalu.

Arakian hulubalang-hulubalang yang kokok berdegar-degar itu dikatakan oleh orang banyak, mereka sekadar terketar-ketar apabila masuk ke gelanggang. Maka Orangkaya Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak itu berkatalah kepada penitir canang hari ini, 1 Jamadilawal 1429 (sepeti disebut anak cucu fakir 7 Mei 2008) ambillah iktibar kegagalan negeri Selangor mengurangkan cukai pintu kediaman. Adapun diberitahu kepada fakir perihal Orangkaya Timbalan Perdana Menteri itu, tak pula berani mencabar ke mahkamah bekas Orangkaya Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang menuduhnya semasa pilihanraya kecil Ijok dahulu. Maka segala orang banyak juga menunggu-nunggu supaya bekas Orangkaya Timbalan Perdana Menteri itu didakwa menghasut. Eh eh eh!

Syahdan, telah utusan itu sudah kembali, maka Seri Rana Wirana Kerma pun bertanya kepada Badang, ‘Dapatkah engaku melawan Benderang itu?’. Maka sembah Badang, ‘Tuanku, dengan daulat Duli Yang Dipertuan dapatlah patik melawan dia. Esok hari adulah patik dengan dia’. Maka titah baginda, ‘Baiklah’. Maka baginda pun berangkat masuk; dengan segala yang menghadap pun masing-masing kembali ke rumahnya. Syahdan, telah Tun Perpatih Pandak sampai ke perahunya maka Benderang pun berkata kepada Tun Perpatih Pandak, ‘Jikalau dapat dengan bicara tuan hamba, jangan hamba diadu dengan Badang, kalau-kalau tiada terlawan oleh hamba, kerana pada pemandangan hamba, ia itu terlalu gagah perkasa’, seperti disuratkan dalam ‘Kitab Melayu’ oleh:







HIDUP BAHASA MELAYU!

Wednesday, May 7, 2008

JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG

KRISIS KENAIKAN HARGA BERAS
USUL TANGGUH SIDANG PARLIMEN

Assalamualaikum,

Usul menangguhkan sidang Dewan Rakyat hari ini (6 Mei 2008) bagi membahas krisis kenaikan harga beras, diharap tak setakat menggegar di tengah glori kehebatan status ahli Parlimen sahaja. Setidak-tidaknya mampu memberi impak yang bermakna ketika rakyat Malaysia semakin bengang, bangang dan cengang dengan fenomena yang mencabar kesabaran mereka. Usul yang dibawa Haji Sallehuddin Ayub (PAS-Kubang Krian) diberi laluan oleh Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia bagi dibahaskan setelah memenuhi tiga syarat utama iaitu i) kepentingan awam, ii) perlu disegerakan dan iii) sesuai diberi keutamaan. Bukanlah pula pertama kali Speaker Dewan membenarkan usul blok pembangkang dibahaskan di Parlimen.

Misalnya, pada 5 Disember 1988, Tengku Razaleigh Hamzah ketika duduk di blok pembangkang mengemukakan usul bagi satu Rang Undanng-Undang Persendirian bertajuk ‘Suatu Akta Bagi Meminda Akta Pertubuhan 1966’. Speaker Dewan Rakyat menerima usul berkenaan bagi dibahaskan. Pindaan yang dikemukakan oleh Tengku Razaleigh berkaitan implikasi ‘Seksyen 12’ dalam Akta Pertubuhan 1966 apabila UMNO diharamkan oleh mahkamah. Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi dikatakan terbabit di belakang tabir gerakan ‘Kumpulan 11’ turut mengambil bahagian membahaskan usul Tengku Razaleigh seperti direkodkan menerusi hansad Parlimen menjadi pengkritik utama kepada usul tersebut dengan menegaskan:

“Kita sayang kepada UMNO kerana kita mengakui bahawasanya UMNO adalah parti politik orang Melayu yang telah memperjuangkan semangat kebangsaan, cinta kepada agama, bangsa dan negara. Semenjak UMNO ditubuhkan dalam tahun 1946, parti itu telah begitu berjaya menyatupadukan bangsa Melayu, menuntut kemerdekaan, membawa pembangunan kepada negara dan rakyat seluruhnya. Tetapi kita juga turut mengakui bahawasanya ada satu peristiwa malang yang telah berlaku kepada UMNO iaitu pada 4 Februari 1988. UMNO telah dianggap tidak sah oleh mahkamah. Kenyataan ini paling berat untuk kita menerimanya, tetapi kita mengakui bahawasanya ia adalah satu keputusan mahkamah.”

Ucapan Dato’ Seri Abdullah di Parlimen pada Disember 1988 secara rasional memang menerima pemecatan Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abbas di samping bersetuju pada dasarnya sistem kehakiman ketika itu. Bagaimanapun isu krisis kenaikan harga beras pada 2008, memang jauh berbeza dengan isu pindaan Akta Pertubuhaan yang dijadikan usul blok pembangkang pada 1988 di Parlimen. Kebetulan pula usul krisis kenaikan harga beras berlaku ketika prestasi UMNO terkepit selepas PRU 12, sementara usul pindaan Akta Pertubuhan apabila UMNO terhimpit di bawah intrigue politik yang jelas berangkai-rangkai, berungkai-rungkai dan berantai-rantai. Aduhai!

- Pak Dharma.

INFO HAK ASASI MANUSIA

TAK BAYAR IKAT JAMIN RM5 RIBU
RAJA PETRA DIGIRING KE PENJARA

Pengendali laman web ‘Malaysiakini’ Raja Petra Kamaruddin terpaksa digiring ke sel penjara, berikutan tak membayar ‘ikat jamin’ yang dikenakan RM5 ribu setelah dihadap ke mahkamah atas dakwaan di bawah Akta Hasutan. Aktivis sosial, penyair Yassinsalleh melaporkan, pada mulanya Raja Petra diminta ke mahkamah majestrit Jalan Duta jam 9.30 pagi hari ini (6 Mei 2008), tetapi satu jam kemudian dipindahkan pula ke mahkamah majestrit Petaling Jaya. Raja Petra dikenakan ikat jamin RM5 ribu sementara menunggu perbicaraan pada Oktober tahun ini, beritahu Sdr Yassinsalleh ketika menghubungi sekretariat PRIMA. Bagaimanapun Raja Petra yang menerima sokongan moral daripada rakan-rakan, tak membayar ikat jamin berkenaan yang menyebabkan beliau digiring ke penjara, kata Sdr Yassinsalleh selanjutnya.

Menurut Sdr Yassinsalleh lagi, Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz dilihat berada di kawsan mahkamah sepanjang sebutan kes dikenakan terhadap Raja Petra. Beberapa pimpinan politik juga turut memberi sokongan moral kepada Raja Petra termasuk Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar (PKR), Ahli Parlimen Pokok Sena Haji Mahfuz Omar (PAS), Exco kerajaan negeri Selangor Ronnie Liu (DAP) dan Presiden PKR Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail tiba selepas Raja Petra digiring polis ke sel penjara, beritahu Sdr Yassinsalleh. Bagi pihak PRIMA Sdr Yassinsalleh berharap rakan-rakan pengendali laman web dan laman blog sentiasa prihatin dengan insiden yang menimpa Raja Petra dalam usaha menentang ‘perhambaan minda’.

Sementara itu dilaporkan Exco kerajaan negeri Selangor Ronnie Liu yang juga pengendali laman web dikatakan mengerakkan perhimpunan lima ribu aktivis minggu hadapan apabila Raja Petra dibawa semula ke mahkamah bagi menyambung tahanan reman ke atasnya, dengan menyumbangkan derma RM1 setiap orang bagi mengumpul dana RM5 ribu seterusnya membayar ikat jamin yang dikenakan. “Pihak PRIMA memberi sokongan kepada usaha berkenaan sebagai satu mesej kepada pihak pemerintah dengan nilai wang RM1 sejumlah RM5 ribu boleh dikutip atas dasar ‘bersatu roboh, bercerai roboh’ ke arah menegakkan keadilan bersama dalam menolak perhambaan minda ke atas rakyat Malaysia,” beritahu Sdr Yassinsalleh.

( Gambar Ihsan Daripada Yassinsalleh )

INFO SASTERA & BUDAYA

LESTARI PEJUANG WANITA MELAYU
BUKU MENGUNGKAP SUMBANGAN TOKOH

Pada period pra merdeka pejuang-pejuang wanita dikenali sebagai ‘Kaum Ibu’ turut berganding bahu dalam naratif gerakan nasionalisme bersama ‘kaum bapa’ termasuk menerusi Kongres Melayu Pertama di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, Kuala Lumpur pada 1-4 Mac 1946. Pembabitan aktivis wanita ini diungkapkan lewat buku ‘Dari Kaum Ibu Ke Wanita: SIGNIFIKAN PUTERI’ dihasilkan Dharmala N.S. dan diterbitkan oleh Kantung Network Sdn Bhd, Kuala Lumpur setebal 179 halaman dengan harga RM50 senaskhah. Buku yang mendokumentasi pembabitan pejuang-pejuang wanita termasuk Ibu Zain sejak dekad 1930-an menerusi pendidikan memperlihatkan kebangkitan mereka pada dekad 1940-an bersama Datin Putih Mariah, Aishah Ghani, Dasimah Dasir, Siti Rahmah Kassim, Khadijah Sidek, Halimahton Abdul Majid dan Fatimah Hashim.

Memang tak disebut gerakan radikal yang dipelopori oleh Shamsiah Fakeh, tetapi pembabitan politik kiri turut menampilkan tokoh-tokoh wanitanya dalam pilihanraya 1959. Malah di pihak PAS juga pimpinan wanita tetap memainkan peranan seperti pembabitan Salmah Sheikh Hussein, Sakinah Junid dan Khadijah Sidek yang menjadi Ahli Parlimen wanita pertama dari blok pembangkang. Buku dengan kata pengantarnya oleh Dato’ Noraini Ahmad, Ketua Pergerakan Puteri UMNO (yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia) sudah berrada di pasaran, malah boleh dipesan terus kepada Kantung Network Sdn Bhd atau menghubungi Nasiri Hamid: 019 3679295.

INFO SUARA PROLITAR

PERJUANG BUDAYA PUN SEMPUT
PIMPINAN GAPENA ‘SAMBANG IDEA’?

Tak sampai sebulan ‘Barisan Bertindak Melayu’ digerakkan di Kuala Lumpur, disambut pula oleh ‘Kongres Permuafakatan Melayu’ di Johor Bahru. Kononnya, nostalgia pada Kongres Melayu pada 1-4 Mac 1946 di Kuala Lumpur, diikuti pula di Johor Bahru pada 11 Mei 1946. Kalau pimpinan Gapena ‘sambang idea’, tak payahlah buat. Salangkan berjuang untuk kebudayaan Melayu pun semput, ada hati pimpinan Gapena nak ‘berlunjur sebelum duduk’. Isu ‘Dunia Melayu’ yang dinaungi Tan Sri Muhammad Mohd Tain pun tak tentu hujung pangkal, apa hal dengan Gapena yang jadi ayam ‘kokok berderai-derai, ekor bergelumang taik’? (SMS; 6 Mei 2008 – ZAR, Kelana Jaya, Selangor).

SANGKAKAN DI KELANTAN MELAYU DAIF
RUPA-RUPANYA ADA JUGA DI KEDAH DAN PERLIS.

Bacalah akhbar Berita Harian hari ini (6 Mei 2008). Pondok usang penduduk di Sik, dan daifnya seorang isteri dengan suaminya mati dibelasah kerana didakwa mengintai. Rupa-rupanya di Kedah dan Perlis yang diperintah oleh UMNO dan komponennya sejak 1955, masih terdapat rakyatnya yang daif. Sebelum ini setahu saya di Kelantan saja media siarkan fasal kedaifan. Sepatutnya Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, fahamlah dengan taktik media pengampu yang akhirnya membawa UMNO rebah. Kenapa dulu tak mahu siarkan kedaifan rakyat di Kedah dan Perlis? Pak Lah janganlah terpesona dengan laporan yang baik-baik saja, silalah turun padang. (SMS; 6 Mei 2008 – Pak Su Mat, Ipoh, Perak).


MAJLIS KAHWIN DI GERIK LEBIH MUHIBBAH DARI MAJLIS PERMUAFAKATAN MELAYU DI JOHOR BHARU

Oleh Zakaria Bidin

Biarlah ketika ini orang lain melancong ke luar Malaysia. Tapi saya belum habis melancong di negeri sendiri lagi. Bila dapat jemputan dari seorang sahabat mengahwinkan anak sulungnya di Gerik, Perak, saya mengelitik nak pergi. Keluarga pun turut sama mengelitik.

Maka bertolaklah kami dari KL dalam suasana agak relax. Nak kira jauh memang jauh, tapi kalau niat melancong, ia jadi dekat. Memang terasa Negeri Perak cukup luas. Nak sampai ke Ulu Perak tu, jenuh juga rasanya. Tapi lebih baik ke majlis kawan daripada pergi ke Johor Bharu menghadiri Majlis Pemuafakatan Melayu yang dari awal di rasakan, apa yang nak diceritakan itu tentunya satu hala sahaja.

Yang datang dan yang patut bercakap belum tentu boleh bercakap kerana orang yang telah ditentukan bercakap sahaja yang pasti boleh bercakap. Pertemuan satu hala tidak memberi makna kepada pemuafakatan yang indah rupa dari khabar.
Betul pun tekaan saya. Dato’ Dr Mansor Abdullah tak dapat bercakap dan terpaksa menggunakan platform penghulu pula untuk luahkan pendapat beliau mengenai pemuafakatan Melayu. Dato’ Muda Taufek Affendi Talib juga awal-awal lagi sudah mengadu yang dia hanya diberi 3 minit sahaja untuk bercakap.

“Tiga minit nak cakap apa?” katanya, “lebih baik tak cakap.”

Apa yang beliau gambarkan pada saya, pemergian ramai-ramai dari NGO Melayu hanya makan angin dan menghabiskan belanja saja. Yang untung, PLUS, pam minyak, hotel dan kedai makan. Yang ada duit sikit tu, shoppinglah.

Muafakat yang terbaik ialah hadir di majlis perkahwinan anak kawan nun di Gerik. Di situ pun jumpa juga kawan-kawan lama. Dapat kenalan baru lagi. Di majlis itu lebih abdzal tempat orang Melayu berhimpun dan mesra muhibbahnya lebih terserlah. Di situ pun ada cerita politik. Malah lebih banyak kita dengar.

Perjalanan ke Gerik memang seronok. Yang penting, banyak tempat rehat dan rawat (R & R). Nama Gerik ni pelik sikit. Ada papan tanda ditulis Grik. Ada yang tulis Gerik. Walaupun Gerik lebih banyak daripada Grik, orang ramai faham itu adalah tempat lahirnya ramai pemimpin besar.

Bekas Menteri Besar Perak, Dato’ Tajul Rosli datang dari Gerik. Tapi pasal nama Gerik dan Grik pun dia tak nampak, patutlah pengundi Perak pun tak nampak wajah dia di PRU Ke-12 lalu. Pada hal nama tempat tu penting. Patutlah akhirnya dia tak layak jadi Menteri Besar.

( Gambar Ihsan Daripada Zakaria Bidin )


KOMENTAR
bersama Pak Parjo.

PETANI MINTA NAIK HARGA BERAS
MENTERI MASIH TAK TAHU TUGAS

Syahdan akan petani-petani di negeri Melayu seramai lebih kurang 280,000 pesawah mendesak dinaikkan harga padi dari RM650 satu tan kepada RM1,000 seperti disebut oleh Persatuan Peladang Kawasan F4 Sungai Limau, Yan, Kedah, Dato’ Ismail Arshad. Sebermula dikatakan orang banyak Sungai Limau itu adalah kampung halaman Tan Sri Profesor Emeritus Ismail Hussein yang menjadi Orangbesar ‘Kongres Permuafakatan Melayu’ di Johor Bahru. Arakian disebut-sebut sekalian rakyat jelata, kenaikan harga beras berganda-ganda, tetapi harga padi yang diusahakan petani-petani Melayu masih juga daif sedaif-daifnya. Maka bertanyalah fakir kepada Orangkaya Menteri Pertanian dan Asas Tani, bagaimanalah perihal nasib petani-petani Melayu ‘beras semakin naik harga di dalam negeri, tetapi padinya tak juga naik harga’ seperti ayam menang kampung tergadai, gamaknya!

Maka titah Sultan Alauddin kepada Bendahara Paduka Raja, menyuruh membuat balai di simpang empat dan di tengah negeri, disuruh bubuh seorang penghulu di sana. Arakian titah baginda kepada Seri Maharaja, jikalau orang mendapat harta orang, jika tiada ianya dipulangkan pada yang empunya, disuruh baginda kudongkan tangannya; dan jikalau tiada bertemu dengan yang empunya harta, ke balai itulah dihantarkan. Malam di dalam negeri Melaka itu, jikalau harta orang gugur di jalan atau di pekan, maka dicari ke balai itulah ada tergantung di sana. Demikianlah peri adilnya Sultan Alauddin menjaga akan harta benda apalagi tanam-tanaman padi segala rakyat jelata dengan harganya yang tak pernah merugikan mereka menurut yang disuratkan oleh ‘Kitab Melayu’ daripada:






HIDUP BAHASA MELAYU!