Saturday, June 14, 2008

WARGA PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
SUARA PRIMA

(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG

BUDAYA BUKAN PERKARA PENTING
KEMAJUAN PERLUKAN BAHASA INGGERIS?

Assalamualaikum,

Disebabkan anak saya Ikram Hafiz dilaporkan menghadapi masalah kesihatan pagi ini (14 Jun 2008), terpaksalah saya menjengahnya ke asrama Universiti Industrial Selangor (Unisel) di Bestari Jaya (Batang Berjuntai). Sekalipun dia anak lelaki sudah berusia 20 tahun, tetapi masih memerlukan kasih sayang keluarga, apalagi ketika seluruh dunia merayakan ‘Hari Bapa’. Ketika makan tengahari di kantin, seolah-olah berada di pusat pengajian di luar negeri, berikutan ramai pelajar-pelajar dari Afrika diterima melanjutkan pengajian di situ. Di samping pelajar-pelajar dari Afrika, kouta bagi pelajar tempatan bukan Melayu juga diberi kelonggaran meneruskan pengajian. Di ruang pejabat Canselori pula gambar Menteri Besar, Tan Sri Mohd Khalid Ibrahim sudah diletakkan bersebelahan baginda Sultan Selangor. Begitulah!

Memang hari Sabtu, kedai runcit di kawasan premis kantin tak beroperasi, justeru terpaksa ke Kampung Bestari (bersebelahan kampus Unisel) untuk membeli biskut, roti atau maggie mee sebagai kudap-kudap apabila lewat malam mahu meneruskan membuat assignment. Apabila memasuki sebuah premis kedai runcit milik peniaga bukan Melayu (sekalipun majoriti penduduk memang komuniti Melayu), dia bertanya kepada saya, “Mahu cari apa?”. Secara berjenaka saya beritahu mahu ‘cari seluar jean’, menyebabkan peniaga itu termangu. Menjadi kebiasaan saya sekiranya peniaga bertanya begitu, segera saya meminta ‘ikan bilis’ sekiranya memasuki kedai tekstil, dan menyebut barang yang tak dijual di premis berkenaan. (Misalnya, kalau kedai elektrik saya akan bertanya susu, beras atau gula). Heh heh heh!

Apabila saya bertanya mengenai pemilik kedai, pekerja di situ memberitahu ‘taukeh’ jarang menjengah ke situ, sebaliknya diwakili ‘penyelia’ (superviser) sahaja. Pembantu kedai pula mengakui mereka semua berasal dari India, tetapi mampu bertutur Bahasa Malaysia (Melayu) dalam tempoh beberapa bulan sahaja menjejakkan kaki di negara ini kerana kesungguhan mahu mempelajarinya. (Ironinya warga tempatan bukan Melayu memberi pelbagai dalih tak boleh bertutur Bahasa Melayu dengan baik, sekalipun sudah menetap lama di negara ini). Bagaimanapun pembantu kedai berkenaan masih berbangga dengan bahasa ibundanya, Urdu sekalipun merantau jauh meninggalkan kampung halaman. Malah sama bangganya dengan penggunaan ‘Bahasa Inggeris’ di India sebagai bahasa rasmi yang dianggap penggerak kemajuan. Aduhai!

“Apa guna pertahankan budaya, kalau negara tak boleh maju!” beritahu pembantu kedai berkenaan tersengih-sengih. Bagaimanapun mereka masih juga mahu menegakkan benang basah, apabila berhijrah ke negara ini bukan disebabkan negaranya tak maju, sebaliknya mahu mencapai kecemerlangan di negara orang! Tak tahulah dengan sikap mereka yang menganggap Malaysia menggerakkan aktiviti penghapusan etnik terancang, di samping menuntut pelbagai resolusi yang tak munasabah. Pembantu kedai yang fasih berbahasa Melayu sekalipun tak sampai setahun menetap di Malaysia, mengakui mudah mempelajari Bahasa Melayu seperti juga Bahasa Inggeris yang menjadi bahasa rasmi di India dengan menolak naratif kebudayaan demi untuk mencapai kemajuan. Entahlah!

-Pak Dharma.

INFO HAK ASASI MANUSIA


NAJIB TAK PERLU SEBUT BAPA
LEGASI PIMPINAN PADA DIRI SENDIRI

Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, tak perlu kaitkan kepimpinan bapanya Allahyarham Tun Abdul Razak bagi mengangkat naratif kesetiaan kepada UMNO. Sebaliknya Dato’ Seri Mohd Najib wajar meletakkan legasi pimpinan beliau berdasarkan kewibawaan diri sendiri, menurut aktivis sosial, penyair Yassinsalleh. Mengulas kenyataan Dato’ Seri Mohd Najib tak mahu merosakkan UMNO disebabkan ayahnya Tun Abdul Razak salah seorang pengasasnya, Yassinsalleh yang juga penulis dari Pahang memberitahu, “Berdasarkan rekod pengasas UMNO dari Pahang yang menjadi delegasi ke Kongres Melayu Pertama di Kampung Baru, Kuala Lumpur pada 1 – 4 Mac 1946, tak tercatat nama Tun Abdul Razak”.

Katanya lagi, delegasi dari Persatuan Melayu Pahang ialah Mohd Yassin Salleh (ketua), Shariff Daud, Abdul Rahman Talib (Dato’), Mokhtar Daud, Jaafar Haji Mohd Noor dan Yahaya Mohd Seth, di samping Noordin Ibrahim mewakili Wataniah dan Cikgu Abdul Razak Hussein, Persekutuan Guru-Guru Melayu Pahang. Seterusnya beritahu Yassinsalleh, ketika menerima ‘Piagam UMNO’ di Johor Bahru pada 11 Mei 1946, Mohammad Noor Sulaiman menandatangani bagi pihak delegasi Pahang. Justeru kata Yassinsalleh, tak perlu Dato’ Seri Najib menyebut kesetiaan Tun Razak kepada UMNO. “Setia kepada ketua tak ada kaitan dengan kebobrokan UMNO sekarang, tapi bagaimana kesetiaan itu harus diterima umum,” jelas Yassinsalleh.

BUKAN TERHAD KEPADA UMNO
MELAYU KENA BUANG ‘SINDROM TAKUT’

Penyakit ‘sindrom takut’ bukan terhad kepada ahli-ahli UMNO sahaja, sebaliknya perlu dikikis daripada seluruh masyarakat Melayu, beritahu Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz. Beliau seterusnya berkata, penyakit berkenaan sudah menular sejak zaman feudalisme sekitar tahun 1400 di Melaka, menyebabkan masyarakat Melayu menjadi passif hingga mudah diperkotak-katikkan oleh pedagang-pedagang luar. Dato’ Kamal Amir yang juga bekas Exco Pemuda UMNO mengulas pandangan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah yang dilaporkan media arus perdana hari ini (14 Jun 2008), ketika Majlis Silaturahim UMNO Bahagian Hulu Terengganu di Dewan Majlis Daerah Hulu Terengganu (MDHT). “Orang Melayu bukan sahaja takut menanggung risiko, malah takut kepada bayang-bayang sendiri,” ujar Dato’ Kamal Amir.

Menurut Dato’ Kamal Amir lagi, penyakit ‘sindrom takut’ di kalangan masyarakat Melayu disebabkan mereka terikat dengan ‘perhambaan minda’ sebagai legasi budaya yang menyerahkan nasib masa depan kepada pembesar-pembesar feudal semata-mata. Justeru mereka sukar menentukan masa depan keluarga, apalagi masyarakatnya dengan pemikiran dan idea sendiri, sekalipun berulang kali diingatkan: ‘Allah tak mengubah nasib sesuatu kaum; sebaliknya kaum itu sendiri perlu mengubah nasib mereka’. Dato’ Kamal Amir seterusnya menyokong pandangan Tengku Razaleigh, supaya bangsa Melayu berani menanggung risiko bagi mengubah masa depan keluarga dan masyarakat dengan menolak pemimpin yang korup, menyalah guna kuasa dan lemah. “Melayu perlu pemimpin yang mampu mendaulatkan keperibadian bangsanya,” beliau menegaskan.

INFO SASTERA & BUDAYA

ORANG ASLI MAHU KETENGAHKAN
LAGU RAKYAT DAN TARIAN TRADISIONAL.

Masyarakat Orang Asli di Pahang mahukan lagu-lagu rakyat dan tarian tradisional mereka diketengahkan sebagai kesenian nasional setanding dengan boria di Pulau Pinang, dikir barat di Kelantan, randai di Negeri Sembilan atau kuda kepang di Johor, kata aktivis teater di sini, L. Mankadir Shamsi. Ketika menghubungi sekretariat PRIMA, Mankadir memberitahu selepas kunjungan aktivis PRIMA ke perkampungan Orang Asli Kampung Pian di Jenderak, Kuala Krau tak lama dulu, mereka mahukan majlis seperti itu terus diberi perhatian. Jelas Mankadir seterusnya, penduduk Orang Asli Kampung Pian juga merancang mahu menjemput aktivis PRIMA ketika musim buah-buahan. “Mereka mahu anjurkan acara berakit kepada aktivis PRIMA,” beritahu Mankadir.

Peguam Haji Suhaimi Said dalam surat terbukanya menerusi emel kepada sekretariat PRIMA baru-baru ini mengakui, masyarakat Orang Asli di Pahang merasakan mereka terpinggir dari arus pembangunan sejak pasca merdeka. Parti-parti politik terutama UMNO dan Barisan Nasional (BN) katanya, memang mahu menjadikan Orang Asli sebagai agenda untuk memanipulasi kemiskinan mereka apabila menghadapi pilihanraya. Mereka lebih mudah memenangi hati masyarakat Orang Asli dalam fenomena yang serba daif, disebabkan Orang Asli kurang mendapat maklumat berkaitan usaha menentang perhambaan minda. “Selagi Orang Asli tak mampu menolak fenomena perhambaan minda, selama itu mereka mudah dimanipulasi oleh UMNO dan komponen BN,” kata Haji Suhaimi menerusi emelnya.

PELANCARAN BUKU SYED HUSIN
DARI PENGKAJI SOSIAL TERSOHOR

Tokoh sosial tersohor Dr Syed Husin Ali melancarkan buku terbarunya bertempat di salah sebuah hotel di Petaling Jaya hari ini (14 Jun 2008) mulai jam 8.00 malam, kata pengkritik sastera Haji Yahaya Ismail. Dr Syed Husin yang dikenali sebagai pengkaji sosial adalah mantan pensyarah di Universiti Malaya, malah terbabit dalam beberapa isu kontroversi sekitar dekad 1960-an, termasuk insiden ‘Teluk Gong’ mengenai perjuangan prolitar mendapatkan tanah. Dalam isu ‘Teluk Gong’ ianya menampilkan Hamid Tuah sebagai pelopor penerokaan tanah hutan dalam gerakan prolitar menentang diskriminasi kerajaan mengenai pengagihan tanah kepada rakyat. “Pelancaran buku terbaru Dr Syed Husin memperlihatkan keprihatinan beliau terhadap kebobrokan negara sekarang,” kata Haji Yahaya.

INFO SUARA PROLITAR

DEPOSIT RM8b POS MALAYSIA
GARA-GARA HARGA MINYAK NAIK

Bila Perdana Menteri (Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi) umum kenaikan (harga) minyak, kemudian tawar RM625 bagi habuan tahunan kepada rakyat, kononnya rakyat yang susah memiliki kenderaan kecil. Wang itu akan diberi melalui postal order, tidak diberi cheque kerajaan. Kenapa? Jawapannya, PM mahu kelirukan rakyat di siang hari, kerana duit kerajaan akan deposit kepada Pos Malaysia sebanyak RM8b dan ‘Pos Malaysia’ milik siapa? Pemiliknya ECM Libra kepunyaan siapa? Tidak lain ialah milik heh heh heh serta sekutunya! - (SMS; 12 Jun 2008 – Yassinsalleh; Kajang, Selangor).

AJARAN SESAT PERLU DIPANTAU
BUKAN ORANG KAHWIN DI THAILAND!

Semalam (13 Jun 2008) saya dengar, seseorang memberi penjelasan mengenai ‘qadariah’, ‘badariah’ dan ‘kanariah’ kepada pengikut-pengikutnya, anak-anak muda belaka. Amalan tu dah tak relevan, kerana ikut zaman Nabi Sulaiman hingga ke Nabi Musa. Malah ianya adalah ajaran sesat. Masa akhir kerosakan umat zaman ajaran al-Quran, Hadis dan sunnah nabi. Pihak Majlis Agama Islam perlu memantau ajaran sesat. Bukan takat nak tangkap khalwat, kahwin di Thailand atau lain-lain perkara yang kecil saja. – (SMS; 14 Jun 2008 – Alba, Jelebu, Negeri Sembilan).

BELI MARTABAK TAK BERKARI
‘SPINOFF’ KENAIKAN HARGA BARANG

Hari ini (14 Jun 2008) saya di Tualang Sekah, Malim Nawar (Perak). Pagi tadi pergi beli sarapan di kedai kopi. Beli mertabak lima keping, tapi tak ada kari. Pemilik kedai kata, “Saya tak nak naikkan harga. Masih juga seringgit sekeping, tapi kuah takde laaa.” Demikianlah kesan ‘spinoff’ dari kenaikan harga barang. Kalau duduk pejabat di bawah hawa dingin aje, memang tak terasa apa-apa. Keluarlah turun padang, jangan dengar laporan yang molok-molok dari pegawai bawahan, kroni-kroni dan heh heh heh! - (SMS; 14 Jun 2008 – Dr Seri Intan, Kuala Lumpur).

HARGA MINYAK MENDADAK NAIK
MENTERI SENGIH NAMPAK GIGI
Oleh : Asalbayu

Harga petroleum tiba-tiba meningkat lagi
foto di media menteri sengih pamer gigi
di tegah pergi ke luar negeri
sebenarnya khuatir kan hilang kerusi.

Bencana ditanggung pengundi
riuh rendah persoalan tuntut janji
pilih antara satu kerbau dipegang tali
manusia dipegang janji.

Sebelumnya sudah tercatat di manisfesto
harga petroleum tetap kekal pada harga
rakyat selamat, aman dan makmur.
Kini apa yang terjadi?kantung kian kontang!
demonstrasi sana sini
tak mungkin reda.
*mesej diedit oleh admin
NEGARA PENUH DENGAN KEKAYAAN
RAKYAT MISKIN KEBULUR PERUT

Oleh : Asalbayu
Duhai sekalian rakyat jelata,Mari renungkan kisah yang nyata,Bukan direka semata-mata,Konon kemakmuran miliknya kita.Di ini negara buminya subur,Seluruh jagat nama termasyhur,Rakyat nan miskin hampir kebulurPelbagai janji sebelumnya di tabur.Masihkah kita dilamun mimpi,Sokongan ditagih ke akar ubi,Relakah kalian hulur simpati,Sedang janjinya sukar dipercayai.Saban ketika resah dan bimbang,Kantung nan kempis semakin kontang,Di manakah tempat hendak berhutang,Sekadar cukup membeli barang.Suasana kini teramat runcing,Setiap warga fikiran runsing,Hilanglah sudah damai dan hening,Di sini sana bingit dan bising.Demikian kisah di bumi tercinta,Lima dekad sesudah merdeka,Di padang hayat warga derita,Umpama meniti di atas bara.

KOMENTAR
bersama Pak Parjo.

PERMUAFAKATAN MEMBAWA BERKAT

Arakian berkatalah memanda Perdana Menteri Orangkaya Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, bahawasanya sudah bermufakatlah ia dengan Timbalan Perdana Menteri Orangkaya Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak. Syahdan bersetujulah kedua-dua pihak akan menyerah dan menerima pekerjaan itu, adanya. Disuratkan orang banyak akan Orangkaya Dato’ Seri Abdullah itu pergilah ia ke Kelantan. Maka diberitahu orang banyak di negeri itu mengenai Orangkaya Tengku Razaleigh Hamzah sudah mengakui akan melawan memanda Perdana Menteri di tengah peseban. Gemparlah sekalian orang banyak akan desas desus menyebut Orangkaya Dato’Seri Najib sudah menerima jaminan akan menjadi pengganti Orangkaya Dato’ Seri Abdullah itu, adanya.

Hatta setelah beberapa lamanya, datanglah peredaran dunia; maka Sultan Mansor Shah pun geringlah. Telah diketahuinya oleh baginda dirinya akan kembali, maka baginda menyuruh memanggil anakanda baginda Raja Husin dan bendahara dan segala orang besar-besar. Telah datang sekaliannya, maka titah Sultan Mansor Shah pada segala mereka itu, “Ketahuilah oleh kamu sekalian, bahawa yang dunia ini telah lepaslah rasanya daripada kami, melainkan negeri akhirat semata-mata ku hadap. Adapun pertaruh ku kepada bendahara dan segala orang besar-besar sekalian; ialah ganti kita pada tuan-tuan sekalian. Jikalau barang suatu salahnya, hendaklah dimaafkan oleh tuan-tuan sekalian; kerana ia budak, belum sampai akalnya, tiada tahu istiadat”. Demikianlah disuratkan dalam ‘Kitab Melayu’ oleh:


HIDUP BAHASA MELAYU!

Thursday, June 12, 2008

WARGA PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
SUARA PRIMA
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG

PENGHARGAAN KEPADA AKTIVIS BELIA
SUHAIMI DILANTIK SETIAUSAHA POLITIK PM

Assalamualaikum,

Tahniah kepada mantan Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Dato’ Suhaimi Ibrahim yang mengangkat sumpah menjadi Setiausaha Politik Perdana Menteri (Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi) semalam (11 Jun 2008). Ketika santai di lobi Hotel Holliday Inn di Subang, aktivis teater di Pahang L. Mankadir Shamsi yang beritahu mengenai pelantikan Dato’ Suhaimi, disebabkan saya tak mengikuti sangat perkembangan tersebut dua minggu lalu. Malamnya saya juga tak sempat menonton laporan berita TV jam 8.00 pm, kecuali diberitahu oleh isteri saya mengenai pelantikan Dato’ Suhaimi. Bagi saya pelantikan Dato’ Suhaimi kena pada tempatnya, malah Dato’ Seri Abdullah juga memerlukan pakej pengalaman beliau selaku aktivis belia.

Memang sejak 2007 lagi, Dato’ Suhaimi sentiasa prihatin dengan aktiviti PRIMA, malah beliau ikut sama pada majlis ‘Baca Puisi’ di rumah Dato’ Kamal Amir, 27 Oktober 2007 di Taman Tun Dr Ismail bersama Sdr Mohd Ezam Mohd Noor, Dato’ Ruhanie Ahmad (Ron), Dato’ Mohd Noh Rejab, Abdul Rahman Osman, Raja Petra Kamaruddin, Zaharin Yassin (Sang Kelembai), S.A. Alattas (Pak Habib), Sallehuddin, Zakir, MSO dan ramai lagi. Dato’ Suhaimi juga turut hadir dalam majlis makan tengahari PRIMA di restoran ala Minang, ‘Natrabu’ di Kampung Baru (12 Mac 2008), malah beliau kelihatan tenang ketika berlaku sedikit ketegangan dengan isu yang dibangkitkan oleh Setiausaha Majlis Kerjasama Belia Asian, Sdr Sobri Ahmad.

Apabila disusuli dengan perjumpaan dengan mantan Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Dr Mohd Khir Toyo di Holliday Inn (Glanmarie Resort), di Subang, Dato’ Suhaimi juga turut hadir. Secara spontan beliau menolak sebarang tanggapan umum kemerosotan prestasi UMNO pada PRU12, sebaliknya ditakrif sebagai kejatuhan markah beberapa subjek dalam peperiksaan (tetapi masih juga lulus dengan cemerlang). Begitulah! Dalam PRIMA memang pendapat setiap kawan-kawan berbeza, tetapi secara total pendekatan tetap sama iaitu menentang perhambaan minda. Apalagi ketika memimpin GPMS, memang Dato’ Suhaimi dikatakan tak berkompromi dalam isu pendidikan anak-anak Melayu yang masih memerlukan sokongan, dukungan dan takungan. Alahai!

Ketika santai di lobi Holliday Inn bersama Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Pahang, Syed Adnan Dato’ Syed Abdullah, L. Mankadir Shamsi dan Zainal Abidin Rasidin petang semalam (11 Jun 2008) saya terserempak mantan Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Dr Mohd Khir Toyo bersama beberapa orang pimpinan belia. Beliau pula tergesa-gesa mahu balik ke rumah disebabkan masih belum solat setelah jam 3.00 petang. Justeru saya bersama rakan-rakan leka melihat seorang seliberiti TV bersama make-up artis sibuk di lobi berkenaan untuk membuat shooting. Ketika asyik memerhati gelagat seliberiti berkenaan, Sdr Sobri Ahmad mendekati saya memberitahu Dato’ Seri Dr Mohd Khir mengajak ke rumahnya di Glenmarie Court. Heh heh heh!

-Pak Dharma.

INFO HAK ASASI MANUSIA


PELAKSANAN GAJI DUA KALI SEBULAN
KERENAH INSTITUSI KEWANGAN DIPANTAU

(Kenyataan media pimpinan PRIMA, Pak Dharmala N.S. di Kuala Lumpur pada 12 Jun 2008; mengenai gaji kakitangan awam dibayar dua kali sebulan, sebagai langkah menggalakkan pekerja menguruskan aliran tunai dalam perbelanjaan).

Gaji kakitangan awam akan dibayar dua kali sebulan mulai Ogos 2008, memang sudah dilaksanakan oleh sebahagian sektor swasta sejak lama dulu, terutama kepada pekerja-pekerja bergaji rendah, bagi menggalakkan mereka mengurus aliran tunai di samping mengelakkan daripada berhutang mahupun ke pajak gadai. PRIMA mengalu-alukan langkah yang diumumkan Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam (11 Jun 2008) atau laporan akhbar hari ini (12 Jun 2008), malah sepatutnya sudah digerakkan sejak 1999 lagi. Mungkin sahaja pada peringkat awal ianya memberi impak kepada perbelanjaan hidup mereka, tetapi akan lebih selesa apabila dapat disesuai-kan dalam tempoh beberapa waktu lagi.

Berikutan pelaksanaan gaji dua kali sebulan, isu pinjaman perumahan di bank kepada kakitangan awam juga perlu diselaraskan apabila ianya membabitkan potongan bulanan. Mereka yang membeli rumah atau kereta akan berhadapan masalah kewangan apabila potongan bulanan dibuat oleh institusi kewangan yang menggugat perbelanjaan aliran tunai mereka. Justeru institusi kewangan perlu memberikan kerjasama bagi menghadapi fenomena yang lebih membebankan kakitangan awam dalam tempoh beberapa bulan terawal, sebelum mereka mampun menstabilkan semula jurang ketempangan yang berlaku dengan pelaksanaan gaji dua kali sebulan itu. PRIMA berharap kerajaan sudah bersedia menghadapi kerenah institusi kewangan, berikutan pelaksanaan gaji dua kali sebulan kepada kakitangan awam ini.

KEKECOHAN KOMPONEN PAKATAN RAKYAT
KERAJAAN SELANGOR DIJANGKA TUMBANG?

Kerajaan negeri Selangor pimpinan Pakatan Rakyat dijangka tumbang tak lama lagi, berikutan kekecohan di kalangan parti komponen, beritahu sumber yang rapat dengan kepimpinan ketiga-tiga parti terbabit. Mereka bukan sahaja tak sehaluan dalam isu bagi pelantikan ahli PBT (Pihak Berkuasa Tempatan) di seluruh negeri Selangor, malah turut mahu menguasai urusniaga syarikat di bawah agensi kerajaan negeri, menurut sumber itu lagi. Dalam perkembangan lain sumber berkenaan menjelaskan, beberapa orang ADUN dari Pakatan Rakyat dikatakan sudah menemui mantan Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Dr Mohd Khir Toyo, tetapi tak diberitahu mengenai butir-butir lanjut. “Mungkin Dato’ Dr Mohd Khir boleh memberikan butir-butir pertemuan itu,” jelas sumber tersebut.
Bagaimanapun ketika dihubungi, Dato’ Seri Dr Mohd Khir dikatakan sudah berlepas ke luar negeri dan dijangka balik ke tanah air minggu hadapan. Sumber yang rapat dengan Dato’ Dr Mohd Khir memberitahu, mantan Menteri Besar itu ke Australia bagi menemui anak lelakinya yang menuntut di sana. Setakat ini tak diketahui mengenai perkembangan terkini berikutan pertemuan Dato’ Seri Dr Mohd Khir dengan beberapa orang ADUN Pakatan Rakyat yang tak berpuas hati dengan pentadbiran kerajaan negeri di bawah Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim. Malah sumber yang rapat dengan Dato’ Seri Dr Mohd Khir juga menafikan ADUN terbabit dijanjikan jawatan Exco apabila kerajaan negeri sekarang tumbang. “Desas desus menyebut 17 Jun ini PRIMA akan diberitahu perkembangan itu,” kata sumber itu selanjutnya.

PIMPINAN MELAYU PERLU ELAKKAN
SIKAP EGO PERTAHAN IDEOLOGI POLITIK

UMNO masih menang dengan majoriti di kedua-dua negeri Selangor dan Perak, sekalipun gagal membentuk kerajaan negeri, menurut Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Pahang, Syed Adnan Dato’ Syed Abdullah. Ketika menghubungi sekretariat PRIMA hari ini (12 Jun 2008) dari pejabatnya di Mentakab, Syed Adnan menjelaskan di Selangor UMNO menang 18 kerusi berbanding PKR hanya 15, DAP 13, PAS 8 dan MCA 2. Seterusnya kata Syed Adnan, di Perak juga UMNO menang 26 kerusi dengan MCA 2, sementara DAP 18, PKR 7 dan PAS 6. Keputusan tersebut menurut Syed Adnan kerajaan negeri yang dibentuk oleh Pakatan Rakyat tak stabil, malah menyulitkan rakyat kerana pentadbiran yang longgar. “Pimpinan dalam politik Melayu perlu mencari titik penyelesaian seberapa segera,” kata Syed Adnan.

Dari sejumlah 15 ADUN bagi PKR di Selangor pula kata Syed Adnan, 5 adalah ADUN bukan Melayu, sementara di Perak daripada 7 ADUN PKR 4 ialah bukan Melayu dengan kesukaran yang ketara, menurut Syed Adnan seterusnya. Berdasarkan keputusan PRU12, jelas Syed Adnan parti yang mendapat majoriti di Perak dan Selangor adalah UMNO. Justeru beliau mendesak pimpinan UMNO mengambil langkah segera dalam mencari penyelesaian kepada survival politik Melayu. Pimpinan UMNO tak seharusnya bersikap ego, sebaliknya menerima hakikat mereka memerlukan sokongan di peringkat akar umbi dengan tak mengira ideologi politik masing-masing. “Prinsip yang penting dipertahankan bukan ideologi politik, tetapi masa depan bangsa, agama dan tanahair,” beritahu Syed Adnan menambah.

INFO SASTERA & BUDAYA

PUSAT BUDAYA DI NEGERI SELANGOR
MASIH MENJADI IMPIAN UNTUK DILAKSANA

Kerajaan negeri Selangor di bawah pentadbiran mantan Menteri Besar Dato’ Seri Mohd Khir Toyo pernah merancang mahu membina pusat budaya di Shah Alam mirip kepada ‘Istana Budaya’ di Kuala Lumpur bagi melestarikan aktiviti penggiat seni, kata aktivis belia Sobri Ahmad. Memberitahu sekretariat PRIMA, Sobri yang juga Setiausaha Agung Majlis Kerjasama Belia Asian berkata, sepanjang bekerja rapat dengan Dato’ Seri Dr Mohd Khir dalam aktiviti Majlis Belia Malaysia (MBM), banyak idea beliau (Dato’ Seri Dr Mohd Khir) belum dapat dilaksanakan, terutama kepada pembangunan belia dan galakan berkarya kepada aktivis seni. “Ketika menjadi Menteri Besar Selangor, Dato’ Dr Mohd Khir prihatin dengan masalah penulis-penulis, malah turut memberi galakan dengan membeli buku-buku karya penulis tempatan,” beritahu Sobri.

Seterusnya kata Sobri lagi, langkah Dato’ Seri Dr Mohd Khir mahu merebut jawatan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Disember 2008 ini adalah dengan harapan mahu meneruskan perjuangan yang belum selesai. Sobri juga tak menafikan pusat budaya yang mahu dilaksanakan oleh Dato’ Seri Dr Mohd Khir dianggap oleh segelintir penggiat seni sebagai tak sesuai, disebabkan ‘Istana Budaya’ sudah menjadi wadah kepada mereka untuk menggerakkan kegiatan para karyawan. Sebaliknya kata Sobri, ‘Istana Budaya’ dilihat sebagai tempat berkumpulnya penggiat budaya elit, sementara Dato’ Seri Dr Khir mahu menjadikan pusat budaya sebagai tempat ‘berkampung penggiat budaya rakyat’. “Kita mahu melihat idea Dato’ Seri Dr Mohd Khir mahu ‘merakyatkan’ budaya akan diterima oleh semua pihak,” katanya.

INFO SUARA PROLITAR

TAK PERLU SUBSIDI BERAS
TUMPUKAN KEPADA HARGA PETROL

Subsidi kepada barang-barang keperluan terutama beras sepatutnya tak dilakukan. Jangan diberi subsidi kepada satu-satu item, kosnya akan menjadi lebih besar. Lebih baik subsidi diberikan kepada minyak mentah. Dengan subsidi ditumpukan kepada minyak mentah, akan membantu kurangnya kos subsidi yang lain. Apabila harga minyak mentah boleh dipantau menerusi subsidi, secara automatik barang-barang keperluan lain juga dapat dikawal. Harga beras tak mungkin melambung, kalau harga minyak mampu dikawal selia dengan baik. – (SMS; 12 Jun 2008 – Din Selenga, Rawang, Selangor).

BERUSAHA UNTUK CARIGALI MINYAK
TIADA INISIATIF MEWUJUDKAN KILANG PENAPIS

OLEH : Asalbayu

SEORANG kenalan saya melahirkan rasa hairan kerana negara kita Malaysia mampu mengwujudkan usaha carigali minyak tetapi tidak berusaha untuk mengwujudkan kilang penapis minyak.Akibatnya menurut beliau, bila pihak Amerika yang buat hal kita juga terpaksa menaikkan harga minyak dengan cukup tinggi dan tak dapat tidak akan mempengaruhi kenaikan harga barang. Ini akan mengakibatkan penderitaan yang bakal dipikul oleh semua peringkat anggota masyarakat."Bukan tiada di kalangan kita yang berkebolehan untuk merealisasikannya," ulas saya. "Ir Ramli menghasilkan fuel booster yang dipasarkan melalui Koperasi Bumiputra Malaysia Berhad yang berpusat di Alor Setar."Saya turut menyatakan bahawa sebuah syarikat swasta pernah menawarkan kepadanya sejumlah peruntukan yang sangat lumayan bagi membiayai penghasilan produk tetapi beliau tidak bersetuju dan beliau sangat berharap agar pihak kerajaan mengambil inisiatif merealisasikannya. Namun sehingga kini tiada tawaran. "Sukar diteka apakah agenda pihak pemerintah tidak mahu mengwujudkan sendiri usaha penapisan minyak agar kita tidak mengksport minyak mentah ke negara Amerika dan kemudian terpaksa membelinya pula. Pada hal kerajaan Malaysia khususnya Petronas juga terlibat dengan usaha carigali minyak di peringkat antarbangsa iaitu di Sudan," tambah kenalan saya itu.Saya berasa lucu bila kerajaan menyeru agar kalangan profesional yang menjalankan aktiviti di luar negara pulang berkhidmat di Malaysia. Mahukah mereka balik ke negara yang rakyatnya sedang menuju ke arah kemiskinan? Sebenarnya ini bukan perkara baru kerana sebelum inipun pernah terdengar seruan yang sama. Andainya mereka pulang khidmat mereka belum tentu akan terjamin di Malaysia.


KOMENTAR
bersama Pak Parjo

PERIHAL HAKIM DIUGUT ORANG BESAR
DIDEDAHKAN SELEPAS 11 TAHUN BERLALU

Sebermula tersebutlah alkisah di negeri Melayu itu akan seorang hakim yang sudah bersara mendedahkan perihal pada masa mantan memanda Perdana Menteri Orangkaya Tun Dr Mahathir Mohamad memerintah diugutnya kalau membicarakan orang mestilah menyebelahi kerajaan. Maka gemparlah sekali hakim yang sudah bersara seperti disurat orang hari ini, 8 Jamadilakhir 1429 (atau disebut orang 12 Jun 2008). Arakian fakir juga terfikir, kenapa setelah 11 tahun berlalu hakim itu membuka mulut, adanya. Kalau hakim itu yakin kepada ‘biar mati anak, jangan mati adat’, hendaklah ia mengikut perilaku mantan Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abbas. Adapun Tun Salleh Abbas itu sanggup ia dibuang kerja, asal sahaja kebenaran dapat ditegakkan. Alhamdullillah.

Syahdan gemparlah seluruh negeri, akan Hang Jebat itu mengamuk ia di dalam istana. Habislah segala perajurit dan hulubalang di bunuhnya, tiada terperikan banyaknya orang mati. Arakian berapa banyak pun perajurit dan hulubalang yang mahu menangkap Hang Jebat itu, habis semua dibunuhnya. Terlalu tangkas ia bermain senjata, mengamuk tak membilang lawan. Maka dititahkan Hang Kasturi pergi mendapatkan Hang Jebat. Setelah sampai ke hadapan istana, lalu Hang Kasturi berseru, “Hai, Jebat marilah engkau turun, bertikam dengan aku sama seorang”. Sebaik sahaja dilihat oleh Hang Jebat akan yang datang itu Hang Kasturi, segeralah disahutnya, “Baliklah engkau memberitahu rajamu, raja adil raja ku sembah, raja zalim raja ku sanggah!”, seperti disurat oleh ‘Kitab Melayu’ daripada:









HIDUP BAHASA MELAYU!

Tuesday, June 10, 2008

WARGA PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
SUARA P R I M A
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG


PASARAYA JUALAN JIMAT CERMAT:
HARGA ‘BERAS MATI’ RM60 SEKAMPIT

Assalamualaikum,

Minggu lalu ke pasar borong Selayang bagi menyahut seruan kerajaan dalam kempen jimat cermat. Harga barang-barang keperluan di pasar borong memang lebih murah kalau dibandingkan dengan di pasaraya, tetapi takat ikan, sayur-sayur dan ayam. Begitulah! Ketika balik kira-kira jam 11.30 tengahari, seorang anak remaja (belasan tahun) meminta bayaran RM3 untuk tempat letak kereta di bawah jambatan. Saya terus membayar di samping menerima resit bayaran kerana tak peduli sangat dengan fenomena di pasar borong, disebabkan sudah lama tak jengah ke situ. Tak semena-mena anak remaja (kalau ditatap muka seolah-olah anak saya sendiri) itu menggelabah lari hingga hampir tertumus muka ke dalam longkang.

Rupa-rupanya dia melarikan diri sebaik sahaja sekumpulan penguatkuasa Majlis Perbandaran Selayang menyerbu ke situ bagi memantau pengutip tempat letak kereta haram yang beroperasi waktu siang hari. Saya tak terkilan anak remaja berkenaan mengutip RM3 dari saya, apabila meletakkan kereta di situ, tetapi bimbang sekiranya dia jatuh hingga tertumus muka ke dalam longkang. Ketika belanja hidup (cost of living) mendadak naik, anak remaja itu bagaikan bersabung nyawa semata-mata mahu mengutip sekadar RM3 sahaja. Justeru pagi ini (10 Jun 2008) saya ke pasaraya NSK yang tak semena-mena terbakar bulan lalu dengan kerugian ditaksirkan RM8 juta. Aduhai!

Sekitar Selayang dan Gombak, memang di pasaraya NSK dianggap lokasi pengguna mengamalkan sikap jimat cermat, disebabkan harga barang-barang keperluan yang murah malah berpatutan. Tak hairanlah desas desus menyebut kebakaran yang dialami oleh pasaraya berkenaan, mungkin juga ada kaitan dengan sabotaj. Entahlah! Tetapi bukan sahaja suri rumah individu, malah peniaga-peniaga kedai makan juga bertumpu di NSK. Apalagi pasaraya berkenaan beroperasi 24 jam, membolehkan mereka yang mungkin sahaja berkelapangan selepas 10.00 malam mampu membeli barang keperluan. Memang saya menyedari harga yang ditawarkan bagi setiap unit barang adalah murah. Barangkali!

Bagaimanapun hari ini (10 Jun 2008) apabila memasuki premis baru pasaraya tersebut (yang masih belum cukup teratur), agak terkejut dengan harga ‘beras mati’ ditawarkan mencecah RM60 bagi kampit isian 10 kg. Astaga! Beras jenama ‘Jati Istimewa’ pula bagi kampit isian 10 kg mencecah hampir RM40, di samping kampit dicampur 5% beras hancur RM26.90. Jenama termurah ialah kampit isian 10 kg beras ‘Fadzilah’ masih lagi dijual pada paras RM24.50 yang dicampur 5% ‘beras hancur’. Krisis beras bukan sahaja di bandar, sebaliknya sudah menular ke kampung-kampung di samping peniaga-peniaga kedai makan juga merungut dengan fenomena yang dihadapi negara sekarang.

-Pak Dharma.

INFO HAK ASASI MANUSIA

PERLU DILIHAT SECARA RASIONAL
INFLASI MEMBAYAR HARGA KORUPSI

(Kenyataan media oleh pimpinan PRIMA, Pak Dharmala N.S. mengenai langkah kerajaan memotong elaon keraian jemaah menteri bagi membendung perbelanjaan awam, pada 10 Jun 2008, di Kuala Lumpur).

Inflasi bukanlah isu baru di Malaysia, malah pernah dialami sejak dekad 1970-an dan 1980-an lagi, di samping turut mengalami ‘stagflasi’. Langkah penjimatan yang digerak oleh pimpinan Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi dengan pemotongan elaon keraian 10 peratus bagi Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri dan Timbalan Menteri mungkin sahaja menjimatkan RM2 bilion menerusi pengurangan perbelanjaan awam. Sekitar dekad 1990-an kerajaan juga pernah mewujudkan ‘dana amal jariah’ bagi menangani inflasi, tetapi hingga sekarang rakyat tak pernah diberitahu mengenai ‘dana amal jariah’ yang dikutip RM1 setiap bulan dari kakitangan awam. Bagi mengatasi isu inflasi ‘dana amal jariah’ juga perlu digerakkan semula, di samping dikawal selia secara berterusan untuk kepentingan rakyat.

Di samping menyokong langkah memotong elaon keraian jemaah menteri, PRIMA turut menyarankan elaon keraian semua penjawat awam termasuk juga setiausaha politik dan Exco kerajaan negeri dipotong di samping ‘dana amal jariah’ digerakkan semula. Ketika kita menentang amalan korupsi, nepotisme dan salah guna kuasa yang sukar dibendung, sudah sewajarnya elaon keraian dipotong kerana elaon-elaon kemudahan lain yang disalurkan sudah memadai kepada semua jemaah menteri, menteri besar, setiausaha politik dan Exco kerajaan negeri. PRIMA juga mencadangkan pemotong tersebut tak dihadkan tempoh, malah diteruskan sebagai membayar harga kebobrokan yang berlaku dalam pentadbiran negara sejak amalan korupsi, nepotisme dan salah guna kuasa menjadi ‘bom jangka’ kepada kebeberantakan ekonomi sekarang.


BANTAH KENAIKAN HARGA PETROL
TUNJUK PERASAAN DIJANGKA 13 JUN

Tunjuk perasaan dijangka digerakkan 13 Jun 2008 ini bagi membantah kenaikan harga petrol yang dimumkan oleh Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, 5 Jun lalu. Gerakan yang akan dimulakan dari Masjid Jamek, Kampung Baru beritahu sumber berkenaan, akan berarak menuju ke KLCC atau menara Petronas, selaras dengan tindakan di peringkat global termasuk di Madrid, Sepanyol, di Kashmir, India atau di kota Jakarta, Indonesia. Berdasarkan sumber yang dipetik hari ini (10 Jun 2008), tunjuk perasaan itu digerakkan oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi menyampaikan mesej rakyat kepada pimpinan negara yang dianggap krisis tenaga terhebat. “Pimpinan negara perlu diberi mesej mengenai beban yang terpaksa ditanggung oleh rakyat,” menurut sumber tersebut.

Berdasarkan pengakuan pegawai-pegawai anggota Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) kenaikan harga minyak membawa kesengsraan kepada negara-negara pengimport, memberi gambaran isu berkenaan terlalu misteri. Seterusnya sumber tersebut menjelaskan, Menteri Minyak Arab Saudi, Ali al-Naimi selaku negara pengeksport utama minyak memberitahu agensi berita rasmi ‘Saudi Press’, kenaikan harga minyak tidak wajar dan tiada kaitan dengan prinsip pasaran. Kalau pihak pengeluar minyak tak mampu mengawal kenaikan harga dijangka AS$150 (RM480) setong menjelang musim panas Ogos nanti, siapa lagi yang mampu mengawalnya, beritahu sumber berkenaan. “Justeru tunjuk perasaan adalah langkah awal bagi menyampaikan mesej,” kata sumber itu.

MENERUSKAN PIMPINAN PEMUDA UMNO
KHIR TOYO BERTEMU KELAB PENYOKONG BN

Bagi meneruskan usaha merebut pimpinan Pergerakan Pemuda UMNO pada sesi pemilihan di Perhimpunan Agung, Disember 2008 ini, mantan Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Dr Mohd Khir Toyo akan menemui Pengerusi Kelab Penyokong BN Pahang, Syed Adnan Dato’ Syed Abdullah besok (11 Jun 2008) di salah sebuah hotel di Subang. Ketika menghubungi sekretariat PRIMA, Sdr Sobri Ahmad aktivis yang terbabit dalam menggerakkan kem Dato’ Seri Dr Mohd Khir memberitahu, pihaknya yakin beliau mampu membawa perubahan kepada pimpinan Pemuda UMNO di samping memantap semula perpaduan. “Pertemuan dengan Kelab Penyokong BN sekadar bertukar-tukar fikiran sahaja, bukan untuk melobi,” beritahunya.

Sdr Sobri yang juga Setiausaha Agung Majlis Kerjasama Belia Asian yakin dengan pakej pengalaman Dato’ Seri Dr Mohd Khir dalam pimpinan Majlis Kerjasama Belia Asian mampu menggerakkan Pemuda UMNO lebih cemerlang, gemilang dan terbilang. Menurutnya lagi, ketika memimpin Majlis Belia Malaysia (MBM), Dato’ Seri Dr Mohd Khir bukan sahaja mampu mengisi dana MBM, malah sebagai paksi utama dalam siri kempen ‘Belia Benci Dadah’. “Slogan ‘Belia Benci Dadah’ digerakkan oleh Dato’ Dr Mohd Khir, bukannya oleh penyanyi AF3, Mawi,” kata Sdr Sobri selanjutnya. Sementara itu Syed Adnan ketika dihubungi memberitahu, beliau melahirkan rasa gembira dengan kesediaan Dato’ Seri Dr Mohd Khir menemui pimpinan Kelab Penyokong BN Pahang.

SHAHRIR TAK MAMPU WAKILI UMNO
MEMBISU PERANAN KU LI BANGUN PETRONAS

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato’ Shahrir Abdul Samad seolah-olah membisu mengenai peranan Tengku Razaleigh Hamzah membangun Petronas sekitar dekad 1970-an. Beliau dilihat cuba mengelak daripada beberapa isu yang dibangkitkan oleh Ketua Pemuda PAS, Sallehuddin Ayub ketika menyertai forum isu semasa berkaitan kenaikan harga petrol di TV1 (RTM) malam ini (10 Jun 2008). Turut sama dalam forum berkenaan ialah pengendali laman blog agendadaily, Hanapiah Man dan wartawan RTM Syed Munawar. Dato’ Shahrir sengaja mengalih perhatian dengan menyebut, kenaikan harga petrol sebagai ‘luar biasa’ dan kerajaan tak mengambil sikap popular dengan mempertahan amalan ‘subsidi’.



Apabila Sallehuddin Ayub menyentuh ucapan Ahli Parlimen UMNO Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah ketika membahaskan titah ucapan diraja di Dewan Rakyat pada 2007 yang mempersoal persediaan kerajaan bagi menghadapi kenaikan harga minyak, Dato’ Shahrir sekadar menyebut fakta yang dikemukakan hanya hasil Petronas dan bukannya keuntungan industri minyak mentah berkenaan. Malah Dato’ Shahrir terus tak menjawab mengenai peranan Tengku Razaleigh di peringkat awal membangunkan Petronas di bawah pentabdiran Tun Abdul Razak. Fakta hasil pengeluaran Petronas yang disebut oleh Gabenor Bank Negara, Dr Zetty Aftar juga sekadar perbandingan hasil pengeluaran dan keuntungan seolah-olah dalam kelas pengajian ekonomi. Dato’ Shahrir juga tak mampu mewakili UMNO bagi menerima cadangan Sallehuddin untuk pertemuan semua parti-parti politik dan badan NGO membincangkan isu kenaikan harga petrol.

INFO SASTERA & BUDAYA

HARI SASTERA SEPATUTNYA 10 JUN
GAPENA BERCELARU MENGENAI TARIKH

Hari Sastera yang digerakkan oleh Gapena sejak dekad 1970-an dianggap bercelaru, berselaru dan berkeliru, disebabkan tak menetapkan tarikh yang boleh diiktiraf sebagai kebanggaan semua warga penulis. Aktivis budaya dan sastera, penyair Yassinsalleh mencadangkan ‘Hari Sastera’ perlu diiktiraf pada 10 Jun sempena tarikh lahir Sasterawan Negara pertama Pak Kamaluddin Muhammad (Kris Mas) iaitu 10 Jun 1922. Seterusnya kata Yassinsalleh, disebabkan Gapena menggerakkan ‘Hari Sastera’ tak berlandaskan ‘ruh sastera’, menyebabkan ianya lebih terdorong kepada naratif pesta-pestaan dengan tak mencetuskan minda yang lebih positif dalam isu kesusasteraan Melayu. “Gapena tak mahu mengakui kelemahannya, tetapi mahu menonjolkan keakuannya,” beritahunya.

Menyentuh ‘Hari Seniman’ yang diiktiraf pada 29 Mei berdasarkan tarikh kematian Tan Sri P. Ramlee, Yassinsalleh beranggapan ianya seolah-olah mahu menguburkan seni perfileman Melayu. Menurut Yassinsalleh tarikh yang sesuai bagi diiktiraf sebagai “Hari Seniman’ adalah sempena kelahiran Tan Sri P. Ramlee pada 22 Mac (1929) selaras dengan pencapaian seni perfileman Melayu banyak digerakkan menerusi karya-karya Tan Sri P. Ramlee. Disebabkan kerajaan sudah mengiktiraf Pak Kris Mas sebagai Sasterawan Negara pertama, adalah logik pada tarikh lahirnya dijadikan ‘turning point’ kepada ‘Hari sastera, beliau menambah. “Kalau Gapena tak mampu mencadangkan ‘Hari Sastera’ pada 10 Jun, justeru PRIMA mengambil inisiatif untuk membuat cadangan,” kata Yassinsalleh selanjutnya.

INFO SUARA PROLITAR

ELOK LURUSKAN PAPARAN SEJARAH
PRIMA SUDAH JADI LANDASAN AMAT BAIK

Baru baca blog. Tahniah! PTPTN tulisan hebat. Yang (drama) ‘Di Bawah Ketiak Isteri’ tu pun elok. Kok saya tulis pun macam itulah juga prinsipnya. Baguslah tulis hal ehwal budaya, saya setuju dan sokong. Kisah penerokaan tanah (Dato’ Sati Haji Daud bin Haji Sheikh Ahmad) merupakan paparan yang meluruskan sejarah – itu adalah satu landasan yang amat baik. Teruskan usaha murni tu. Kabarnya, PRIMA tak lama lagi nak pukul gendang tetawak - (SMS; 10 Jun 2008 – Dr Intan, Kuala Lumpur).

PIMPINAN MELAYU MAMPU BENTUK
KERAJAAN NEGERI DI SELANGOR DAN PERAK.

Kalaulah pimpinan Melayu tak bercakaran, tentu mereka mampu membentuk kerajaan negeri Selangor dan Perak. PAS tak seharusnya prejudis dengan insiden yang berlaku pada 1978, kerana pimpinan dahulu tak sama dengan pimpinan sekarang. Di Selangor misalnya UMNO menang 18 kerusi, PAS memperoleh 8 kerusi dengan jumlahnya 28 kerusi termasuk 2 dari MCA menerusi BN. Sekiranya PKR tak bermasalah, mereka boleh membawa 15 kerusi yang dimenangi atau sejumlah 36 kerusi DUN di kalangan pimpinan Melayu daripada 56 kerusi yang boleh membentuk kerajaan negeri. Sekiranya pimpinan Melayu tak bercakaran, maka sukarlah pihak lain mahu menunjuk-nunjuk kuasa hingga berani mencabar kedaulatan raja-raja.

Begitu juga di negeri Perak, sejumlah 28 kerusi dimenangi oleh BN adalah dari UMNO, dengan 6 dimenangi oleh PAS dan 7 menerusi PKR. Maknanya di Perak, 18 ADUN dari DAP tak mampu membentuk kerajaan negeri kalau tak disokong oleh 13 ADUN PAS dan PKR. Sebelum PRU12, pihak DAP sendiri mengakui tak terbabit dengan Barisan Alternatif (BA), sebaliknya apabila mampu membentuk kerajaan negeri yang disokong oleh PAS dan PKR, mereka bersetuju pula mewujudkan ‘Pakatan Rakyat’. Lebih baik pimpinan Melayu dalam PAS dan PKR mengikut telunjuk UMNO, daripada berkompromi dengan DAP. – (Emel; 10 Jun 2008 – Haji Mohd Nasir; Bandar Baru Selayang, Selangor)

KOMENTAR
bersama Pak Parjo

KENAIKAN HARGA JAMBATAN KEDUA
BAHAN BINAAN SEMAKIN MENINGKAT

Syahdan gegak gempitalah sekalian hamba rakyat apabila pembinaan jambatan di negeri Melayu itu dikatakan meningkat berbanding anggaran sebelumnya iaitu RM2.7 bilion pada 2007 kepada RM4.3 bilion sekarang ini, adanya! Maka diberitahu kepada fakir jambatan kedua sepanjang 24 kilometer menghubungkan Batu Maung, Tanjung dan Batu Kawan di Seberang Prai itu berhadapan dengan masalah kenaikan harga barang-barang bahan binaan. Arakian berkatalah Pengarah Urusan syarikat yang membina akan jambatan itu (kata orang banyak ialah UEM Builders Bhd), Dato’ Ridza Abdoh Salleh, “Jumlah RM4.3 bilion adalah apa yang kami anggarkan untuk projek itu. Kerajaan akan membenarkan sebarang kenaikan harga sekiranya berlaku peningkatan harga bahan.”

Sebermula jambatan yang dijadualkan akan siap dibina pada 2011, memang sudah dipersetujui oleh memanda Perdana Menteri, Orangkaya Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi dinaikkan harganya hingga hampir RM2 bilion. Maka Dang Raya Rani dengan keempat perempuan sertanya itu pun lenyaplah. Ada kadar sesaat, maka kelihatan seorang perempuan tuan, bongkok belakangnya, berlipat tiga. Maka berkatalah ia pada Tun Mamat, “Segala kata-kata tuan hamba itu sudahlah dipersembahkan oleh Dang Raya Rani kepada Puteri Gunung Ledang. Akan titah tuan puteri, jikalau raja Melaka hendak beristerikannya, perbuatkan jambatan emas satu, jambatan perak satu dari Melaka datang ke Gunung Ledang.” Itulah geranganya jambatan kedua seperti disebut dalam ‘Kitab Melayu’ yang disuratkan oleh:





HIDUP BAHASA MELAYU!

Monday, June 9, 2008

WARGA PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
S U AR A P R I M A

(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG

PENEROKA TAK PEDULI PETROL
MEREKA BIMBANG HARGA BERAS

Assalamualaikum,

Kenaikan harga petrol pada 5 Jun 2008, bagaikan tak memberi impak kepada rakan-rakan di kawasan Felda, sekalipun ramai yang sudah memiliki kereta dan motosikal. Sebaliknya mereka merungut berkaitan kenaikan harga beras, disebabkan ianya makanan ruji utama. Semalam (7 Jun 2008) saya menemui kawan-kawan di Felda Titi, di Jelebu, disebabkan minggu lalu (1 Jun 2008) tak sempat ke Felda Lasah, di Sungai Siput, Perak. Memang seronok bertemu kawan-kawan lama yang sudah lama menjadi peneroka Felda sejak dekad 1960-an mahupun 1970-an sebagai alternatif selepas gagal memohon tanah di bawah skim ‘tanah pinggir’ atau ‘tanah berkelompok’. Rakan-rakan terbabit pula ibu bapa mereka pernah berjuang bersama Almarhum ayah saya, Dato’ Sati Haji Daud bin Sheikh Haji Ahmad meneroka tanah hutan secara berhemah.

Sekitar penghujung dekad 1950-an dan awal dekad 1960-an, legenda penerokaan ‘tanah haram’ dipelopori Hamid Tuah di Selangor seolah-olah menjadi pendorong kepada skim Felda. Tetapi tak siapa peduli mengenai penerokaan tanah secara berhemah yang digerakkan oleh Dato’ Sati Haji Daud, sekalipun matlamatnya memberikan tanah kepada golongan prolitar. Apabila Hamid Tuah meneroka di Batu 3, Subang dengan 100 orang pengikut, Dato’ Sati Haji Daud juga meneroka di Geylang, Teriang Hilir dengan 50 orang pengikutnya. Hamid Tuah ditahan kerana meneroka tanah haram, sebaliknya Dato’ Haji Daud memohon atas kapisiti ketua adat menerusi pejabat tanah daerah Jelebu. Ketika Hamid Tuah meneroka di Kampung Sireh, Tanjung Karang, Dato’ Sati Haji Daud pula meneroka di Hulu Seperi bersama 100 orang pengikutnya.

Perjuangan yang sealiran tetapi berbeza pendekatan ini menampilkan Hamid Tuah sebagai penggerak penerokaan tanah disebabkan ianya menimbulkan kontroversi, tetapi melenyapkan sumbangan Dato’ Sati Haji Daud. Secara historikal dalam perjuangan tanah di Malaysia sekitar dekad 1960-an hanya Hamid Tuah dan Dato’ Sati Haji Daud sahaja yang menggerakkan penerokaan tanah, tetapi menerusi pendekatan yang berbeza. Justeru ketika menemui rakan-rakan di Felda Titi, naratif perjuangan Dato’ Sati Haji Daud kembali menjadi nostalgia. Setidak-tidaknya lokasi Felda Titi tak jauh dari kawasan hutan Hulu Seperi yang diteroka Dato’ Sati Haji Daud yang dikenali sebagai skim ‘tanah berkelompok’ seluas 250 ekar (atau hampir 300 hektar).

Kalangan peneroka di Felda Titi seolah-olah menolak momokan cendekiawan Melayu yang melabelkan bangsanya sebagai ‘pemalas’ bagi menghadapi kemelut ‘kenaikan harga beras’ dan ‘kenaikan harga petrol’. Beberapa orang peneroka menggerakkan penternakan ikan air tawar dengan mengorek paya dijadikan kolam-kolam ikan, di samping lokasi tepi jalan di kawasan Felda dibangunkan dengan dusun buah-buahan. Ironinya, apabila musim buah-buahan, mereka tak mampu memasarkan buah durian, rambutan, pulasan mahupun duku langsat yang harganya terlalu menyedihkan, memedihkan dan menindihkan! Sdr Roseli Deraus yag hampir berusia 60 tahun, sekadar melongo melihat buah-buah durian melambak pada musim dusun galak berbuah. Begitulah!

-Pak Dharma.


INFO HAK ASASI MANUSIA

GARIS PANDUAN MAJLIS FATWA
PTPTN PERLU AKUR DENGAN CAJ

(Kenyataan media pimpinan PRIMA Pak Dharmala N.S., di Kuala Lumpur pada 8 Jun 2008, mengenai isu haram mengenakan caj PTPTN melebihi kos sebenar, malah ianya tutur membebankan pelajar-pelajar di IPTA/IPTS)

Dalam tempoh beberapa tahun lalu, Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Nasional (PTPTN) bukan sahaja enggan mendengar rungutan ibu bapa pelajar-pelajar di IPTA/ IPTS mengenai isu pinjaman yang membebankan, malah berlawanan dengan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam yang diputuskan pada 11 Mac 2002. Kaedah yang ditetapkan oleh syariah adalah jelas iaitu PTPTN boleh menggunakan kos perkhidmatan mengikut perkiraan sebenar terhadap pinjaman yang diberikan. Justeru PRU12 pada 8 Mac 2008 sekurang-kurangnya mampu memberi satu pengajaran kepada BN, betapa perlunya keputusan Majlis Fatwa dipatuhi bagi memantau setiap urusan perbelanjaan negara mengikut kaedah syariah. Alhamdullillah!

PRIMA menyokong penuh yang menetapkan caj perkhidmatan tiga peratus yang dikenakan kepada peminjam PTPTN (iaitu pelajar-pelajar di IPTA/IPTS) adalah berunsur riba dan haram. Seterusnya PRIMA juga mendesak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di bawah Ketua Pengarahnya, Dato’ Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz memastikan caj tiga peratus yang sudah dikenakan kepada peminjam ditarik balik dan dihapuskan setelah Majlis Fatwa menetapkan ianya adalah haram. Kerajaan yang mendukung konsep ‘Islam Hadhari’ perlu memperbaiki kaedah pengiraannya bagi mengatasi kekeliruan orang ramai dengan menghapuskan di samping membayar semula caj tiga peratus yang dikenakan kepada peminjam-peminjam terdahulu.

PIMPINAN PAK LAH MAKIN TERGUGAT
PERJUMPAAN DI PERINGKAT AKAR UMBI
Pimpinan Perdana Menteri Dato’ Seri Abullah Ahmad Badawi dikatakan makin tergugat berikutan gerakan mahu mencabarnya menjelang pemilihan dalam Perhimpunan Agung UMNO, Disember ini. Ketika pimpinan pencabar bergerak ke peringkat akar umbi, Dato’ Seri Abdullah juga turut menyusun strategi mengumpul sokongan akar umbi secara komprehensif. Menurut sumber semalam (8 Jun 2008), Dato’ Seri Abdullah mengadakan siri perjumpaan dengan 500 pimpinan di peringkat akar umbi bagi negeri Pahang di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). Sebelumnya pada 7 Jun 2008, beliau menggerakkan perjumpaan dengan pimpinan dari negeri Perak, diikuti dengan negeri-negeri lain sepanjang Jun 2008 ini menurut sumber berkenaan.

Bagaimanapun beritahu sumber tersebut, strategi Dato’ Seri Abdullah menggerakkan siri perjumpaan dengan pimpinan peringkat akar umbi mirip kepada gerakan yang turut dilakukan oleh Ketua Penerangan UMNO Tan Sri Muhammad Mohd Taib iaitu dengan mengatur perjumpaan di Kuala Lumpur. Seterusnya beritahu sumber berkenaan, Dato’ Seri Abdullah sekadar menerima laporan yang ‘molok-molok’ apabila menggerakkan siri perjumpaan ‘ala Mat Taib’. Menurut sumber tersebut, Dato’ Seri Abdullah seharusnya ‘turun padang’ dengan membuat lawatan ke peringkat akar umbi bagi mendapatkan maklumat sebenar dihadapi oleh pimpinan cawangan berikutan kebobrokan yang dialami hingga prestasi buruk UMNO pada PRU12 terungkai.

KEPUTUSAN KHIR TOYO MUKTAMAD
PEMUDA UMNO PERLU ‘DIRAKYATKAN’.

Mantan Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Dr Mohd Khir Toyo tak berganjak dengan keputusannya yang sudah muktamad untuk merebut jawatan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO pada Perhimpunan Agung, Disember 2008 ini, kata Setiausaha Agung Majlis Kerjasama Belia Asian, Sobri Ahmad. Beliau yang terbabit dalam kem Dato’ Seri Dr Mohd Khir memberitahu, Pemuda UMNO perlu ‘dirakyatkan’ dengan menghapuskan jurang perbezaan pimpinan peringkat tertinggi dengan peringkat akar umbi. Menurut Sobri, ‘merakyatkan’ pimpinan Pemuda ialah membawa mereka ‘celik minda’ seperti pernah diterapkan oleh Allahyarham Dato’ Harun Idris. “Berilah peluang kepada Dato’ Seri Dr Mohd Khir ‘merakyatkan’ Pemuda UMNO,” menurut Sobri.

Sobri yang pernah berganding bahu dengan Dato’ Seri Dr Mohd Khir dalam pimpinan Majlis Belia Malaysia (MBM) mengakui mereka masih bergandingan dalam pimpinan Majlis Kerjasama Belia Asian sekarang iaitu di bawah naungan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Justeru kata Sobri, Pemuda UMNO akan digerakkan di bawah pimpinan belia di peringkat antarabangsa apabila Dato’ Seri Dr Mohd Khir mengambil alih kepimpinan. Dalam perkembangan lain, Dato’ Seri Dr Mohd Khir membuat lawatan ke Kelantan malam ini (7 Jun 2008) dalam siri perjumpaan dengan pimpinan akar umbi bagi misi ‘merakyatkan’ Pemuda UMNO. “Ketika memimpin MBM, Dato’ Seri Dr Khir sebenarnya yang terbabit membantu mangsa tsunami 2004, tetapi ‘lembu punya susu, sapi dapat nama,” jelas Sobri selanjutnya.

INFO SASTERA & BUDAYA

PAPAR BUDAYA MELAYU SONGSANG
MENONJOL KARYAWAN MANDUL IDEA


Karya-karya yang ditakrif seram tak menjejaskan kreativiti karyawan Melayu, tetapi memaparkan budaya songsang lebih buruk implikasinya, menurut aktivis budaya yang juga seorang penyair, Yassinsalleh. Menyentuh drama TV menerusi slot Astro Prima ‘Di Bawah Ketiak Isteri’, Yassinsalleh menyifatkan ianya menampilkan karya yang mandul idea apabila bangsa Melayu digambarkan dipengaruhi ‘queen control’, hidup sebagai ‘bangsat’ dan ‘tak mempunyai visi’. Yassinsalleh ketika menghubungi sekretariat PRIMA hari ini (8 Jun 2008) mengakui menonton slot berkenaan jam 10.00 pagi berasa kesal dengan sikap pengurusan TV berkenaan yang kurang bijak membuat penilaian. “Komedi yang baik ialah humor, bukan ‘false’ yang membodohkan diri sendiri untuk ditertawakan,” beritahu Yassinsalleh.

Beliau yang juga pernah dinobat selaku pengarah terbaik dalam Pesta Filem Malaysia menerusi ‘Dia Ibuku’ sekitar dekad 1980-an menjelaskan, slot drama ‘Di Bawah Ketiak Isteri’ bukan sahaja tak menghina masyarakat Melayu, malah ianya memaparkan budaya songsang yang menjijikkan. Menurut Yassinsalleh, karektor empat pasangan suami isteri Melayu dalam drama berkenaan memperlihat ‘isteri’ membodohkan ‘suami’, di samping si suami pula ‘miang’ dengan seorang janda. Secara logik beritahu Yassinsalleh lagi, bagaimana semua karektor suami dan isteri streotaip iaitu ‘miang’ dan ‘takutkan isteri’ hingga boleh ditarik telinga dan dirotan dengan ‘feather duster’. “Bagi menampilkan humor tak perlu isteri tarik telinga suami, cukup dengan dialog spontan seperti dilakukan Tan Sri P Ramlee menerusi ‘Madu Tiga’,” kata Yassinsalleh menambah.

INFO SUARA PROLITAR

KALAU SESIAPA MAHU BERCAKAP
ELOKLAH NGANGA MULUT DAHULU

Meminta orang ramai berkongsi kereta berikutan kenaikan harga petrol adalah bersifat ‘lepaskan batuk di tangga’. Malah saranan itu sama juga dengan cadangan ‘makan ubi keledek’ bagi menggantikan makanan ruji ‘beras’. Logiknya, eloklah menteri-menteri dan wakil rakyat ‘berkongsi kereta’ dulu atau makan ‘ubi keledek’ dalam jamuan-jamuan rasmi. Kalau nak suruh anak ketam berjalan betul, ibu ketam jangan jalan mengereng. Sebab itu kata orang tua-tua: ‘Kalau nak bercakap, nganga mulut dahulu’ - (SMS; 7 Jun 2008 - A. Jaafa; Gombak, Selangor).

NOSTALGIA DI PUSAT PENGAJIAN TINGGI
KETIKA MENERIMA DIPLOMA DARI PROCANSELOR

OLEH : Asalbayu

KONVOKESYEN Univertsiti Teknologi MARA (UiTM) ke-68 yang berlangsung dari 22 – 31 Mei 2008 melibatkatn anak kedua saya, Mawardi Hidayat setelah menamatkan pengajian Diploma Pengajian Perniagaan di Kampus UiTM Cawangan Sungai Petani, Kedah. Dia bersama sejumlah 666 orang mahasiswa dan mahasiswi yang mengikuti bidang pengajian yang sama menerima pemberian sijil diploma yang disampaikan oleh Pro-Canselor UiTM, Tan Sri Haji Arshad Ayob di Dewan Sri Budiman, Kampus Induk UiTM, Shah Alam pada Sidang Ke-12 (31.5.2008).Bagi meraikannya, saya bersama isteri pergi ke Kuala Lumpur dengan menaiki bas dari Alor Setar lalu menginap di rumah anak sulung, Asmarani Hidayah yang telah berkahwin dan mempunyai seorang anak, Saiful Akmal dan bertugas di Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Kuala Lumpur.

Dia bersama suaminya, Yuzil Rizal yang bekerja dengan Ramly Burger serta anak tunggalnya itu tinggal di Bandar Sri Permaisuri, Cheras. Itulah kali pertama saya pergi ke Kuala Lumpur selepas diserang angin ahmar pada 17.9.1999.Ketika berada di Kampus Induk UiTM Shah Alam itu, tiba-tiba jiwa dan perasaan saya rasa begitu tersentuh kerana ketika berada di sekolah rendah dahulu, impian saya untuk menjejakkan kaki ke IPT begitu berkobar-kobar. Kalangan guru-guru serta seluruh masyarakat desa kelahiran saya juga berpendapat begitu berdasarkan pencapaian akademik saya boleh dikatakan setiap tahun amat memberangsangkan. Namun semuanya tidak menjadi kenyataan disebabkan terdapat halangan yang tidak wajar diungkit semula. Biarlah hal itu berlalu serta menjadi sejarah lampau yang tidak mungkin kembali.

Kini ia telah direalisasikan oleh anak-anak saya di mana sebelum ini anak sulung telah menerima Diploma Teknologi Makmal Perubatan daripada Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang.Sewaktu menghadiri majlis konvokesyen anak sulung saya di USM, Pulau Pinang dulu perasaan berkenaan tidaklah begitu hebat. Begitu juga ketika anak ketiga, Mustaza Hidayat menerima Sijil Automotif Kolej Komuniti yang berlangsung pada 29.3.2008 di Dewan Wawasan, Jitra, Kedah.Ketika majlis sedang berlangsung, fikiran saya menerawang jauh. Termasuk yang kali ini, UiTM telah 68 kali mengadakan konvokesyen. Tanpa merujuk kepada buku cenderamata yang setebal 212 itu, saya mencongak-congak sendiri. Jika purata setiap konvokesyen ia melahirkan 2,000 orang graduan, bererti hingga kini sejumlah 136,000 telah dilahirkan. Manakala dalam setahun majlis konvokesyen berlangsung dengan kekerpan sebanyak dua kali. Ini secara kasar bererti UiTM telah melahirkan sejumlah 4,000 orang graduan setahun. Itu baru sebuah IPT.

Sedangkan di Malaysia terdapat tidak kurang dari 6 buah IPT termasuk swasta, bererti setiap tahun sejumlah hampir atau lebih 30,000 graduan berjaya dilahirkan. Persoalannya di sini, adakah pasaran kerja atau peluang-peluang meneroka bidang keusahawanan untuk para graduan yang telah dilahirkan itu?Jauh di kalbu saya dicengkam pilu mengenangkan beberapa orang individu warga Malaysia yang menjadi mangsa sindiket pengedaran dadah antara bangsa. Mereka adalah di antara mangsa yang bernasib malang apabila ditahan di beberapa negara antaranya China, Jepun, Australia, Spanyol, Venezuela dan Pakistan. Agenda dunia tanpa sempadan dan langit terbuka, telah mengakibatkan mangsa-mangsa terbabit teengaruh dengan iklan di internet yang menawarkan pendapatan lumayan andai menerimanya. Peluang melancong ke beberapa buah negara dengan diberi sejumlah wang saku yang agak lumayan adalah di antara pakej tawaran yang menarik minat mangsa.

Kalangan graduan yang berstatus sebagai ‘penganggur’ tidak terkecuali daripada menjadi mangsanya. Apa lagi bila ditawarkan pekerjaan dengan jaminan pendapatan lumayan yang tidak termimpi itu. Dalam hati saya berdoa agar hal itu tidak berlaku ke atas anak saya itu.Andai ada pihak-pihak tertentu menawarkan peluang pendapatan siapa yang mahu menolaknya? Apa lagi bila pihak yang memberi pinjaman seperti Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) telah mengeluarkan perintah membayar ansurannya. Sedangkan pada waktu itu dia masih belum bekerja, masih belum ada pendapatan yang menjamin pendapatan bagi melunaskan bayaran tersebut. Demikian fikiran saya menerawang jauh memikirkan nasib para graduan yang lahir dari dari IPT dan kemudian menggalas gelaran graduan menganggur termasuk anak saya juga.

Ketika berada di Kuala Lumpur saya sempat bertemu dan berbual dengan Zulkifli Ismail, pelakon siri Gerak Khas terbitan Skop Production (Dato Yusof Haslam) yang memegang watak Pegawai Polis bernama Tuan Razlan. Beliau berasal dari Alor Setar dan sedikit masa lalu giat mengadakan majlis baca puisi dan turut menulis puisi dengan memakai nama Zul Isma. Kebolehan dan kesugguhannya di bidang penulisan tiba di kemuncak bila beliau di tawarkan untuk menjadi wartawan di Syarikat Utusan Melayu, Kuala Lumpur. Masih segar di ingatan saya ketika beliau menerima tawaran itu, sayalah orang yang ditemuinya semata-mata bagi meninjau pendapat.

“Patutkah saya terima tawaran itu dan pergi ke Kuala Lumpur?” tanya beliau.“Pergilah,” kata saya. “Umur Zul masih muda. Masih belum ada pekerjaan tetap. Kalau tidak menerima tawaran ini bererti menolak tuah, kerana bidang tugas ini kita minat.”Namun beberapa bulan berikutnya dalam satu majlis Temu Sastera ASASI yang dikendalikan oleh Puzi Hadi (seorang penyair) saya bersua dengannya. Jika saya tidak silap, SN Dato Dr A Samad Said juga turut hadir di majlis yang berlangsung di Balai Seni, Medan Bandar Alor Setar berhampiran Balai Besar dan Masjid Zahir itu.“Bila balik? Cuti?” tanya saya.“Baru sehari dua ni. Bukan cuti. Tapi dah berhenti,” balas beliau.“Dah berhenti?” aju saya sedikit terperanjat.Kepada saya beliau memberitahu bahawa gaya penulisannya yang seperti cerpen atau sastera kreatif kurang disenangi oleh Zam (Datuk Seri Zainuddin Maidin) yang ketika itu adalah Ketua Pengarang di Syarikat Utusan Melayu.Ada teman yang memaklumkan bahawa Zulkifli sebenarnya dipanggil pulang ke Alor Setar oleh ayahnya bagi menguruskan perniagaan mereka. Selang beberapa bulan kemudian saya terbaca sebuah rencana bahawa Zulkifli Ismail telah berlakon sebuah drama kalau tak silap judulnya ialah Basikalku.

Juga ada teman memaklumkan bahawa jiwanya terlalu menyenangi bidang seni yang ditekuninya sejak meninggalkan alam persekolahan. Saya dapat merasakannya tatkala beliau mengundang saya bersama Affrini Adham bagi menjayakan satu majlis baca puisi dalam dekad 80-an dahulu. Pada majlis tersebut saya tidak membaca puisi, sebaliknya membaca sebuah cerpen karya SN Dato Shahnon Ahmad berjudul Salam Sekeluarga yang tersiar dalam majalah Dewan Masyarakat sekitar awal dekad 70-an. Dalam cerpen berkenaan diceritakan sedikit bagaimana sifat tulisan Jawi yang kini dilihat semakin pupus dan gambaran kebodohan orang Melayu mengundi. Kebodohan itu diteruskan oleh tindakan kalangan pemimpin yang memperbodohkan rakyat (pengundi) dengan beberapa siri pembohongan seperti yang akan saya ceritakan nanti.Selang tidak berapa lama kemudian, saya melihat wajah Zulkifli di kaca televisyen ketika mengacarakan salah satu program terbitan Radio dan Televisyen Malaysia (RTM).

Sewaktu ditukarkan untuk bertugas di Ibu Pejabat BSN Kuala Lumpur, secara kebetulan saya bertemu beliau bersama Ku Seman Ku Husin yang berasal dari Perlis dan bertugas di Utusan Melayu Kuala Lumpur, lalu kami berbual sehingga lewat malam sambil minum teh tarik.“Saya bergilir dengan Ahmad Tarmimi Serigar sebagai pengacaranya. Minggu ini saya dan minggu depan dia pula. Kalau saya jadi pengacara, dia buat skrip dan kalau dia pula jadi pengacara, saya buat skrip. Begitulah seterusnya,” tegas Zulkifli.Di sepanjang bertugas di Kuala Lumpur dahulu itu juga saya berkesempatan bertemu dengan beberapa orang personaliti antaranya penyair A Ghafar Ibrahim (AGI), Datuk Dr Haji Ahmad Kamal Abdullah (Kemala), Abdul Halim Nasir (N A Halim), Ahmad Busu, Wan Hanafi Su dan Ahmad Yatim; ketiga-tiga mereka adalah pelakon drama televisyen dan teater. AGI pernah mengunjungi rumah sewa saya bersama Puzi Hadi di Alor Setar lalu menghadiahkan sebuah buku berjudul Dialog Dengan Seniman suatu ketika dahulu itu telah menghantar saya pulang ke kediaman di Rumah Pangsa Pasar Minggu, Kampung Baru.

N A Halim juga pernah menumpangkan saya pulang pada suatu malam dan bermaksud mencadangkan saya sebagai kolumnis di sebuah majalah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), tetapi saya tidak sanggup. Pernah saya berbual dengan Wan Hanfi Su di Benteng, Kuala Lumpur berkenaan topik lagu rock dan ghazal sehingga dinihari. Selepas bertugas semula di Alor Setar, beberapa kali saya menemuinya termasuk ketika penggambaran drama Hajat terbitan RTM yang ditangani oleh Zainal Abidin Asri. Dalam drama yang naskhahnya ditulis oleh Zarihah Hassan dan berjaya meraih 7 anugerah itu saya turut mengambil peranan kecil dan beliau adalah pelakon utama di samping Tamam Idris dan Asmahani Hussain. Selepas itu saya bertemu beliau sebagai pengadil di beberapa acara Pekan Teater Negeri Kedah dan Perlis (sekarang dikenali sebagai Festival Teater). Aktivis teater, Ahmad Yatim pula saya temui dan berbincang dengan beliau sewaktu berlangsung pementasan teater Imam (adaptasi novel karya SN Dato Abdullah Hussain oleh Zakaria Ariffin) di Auditorium Wisma Darul Aman lebih 10 tahun lalu. Manakala Ahmad Busu saya temui sewaktu prebiu teater Bahtera Emas Lapis Suasa (adaptasi Hikayat Terung Pipit karya dan arahan Haji Morad Ibrahim) di Auditorium Taman Budaya Negeri, Pumpong, Alor Setar pada 28.4.2008.Dalam pertemuan singkat dengan Zulkifli beberapa perkara diperbualkan.

Antaranya ialah beliau menggambarkan keinginan untuk balik ke Kedah untuk bergiat di bidang seni. Tetapi katanya anak-anak beliau tidak bersetuju kerana mereka adalah anak kelahiran Kuala Lumpur. Lalu saya menasihatkan agar beliau hanya balik ke Kedah sekali sekala cuma bila ada kegiatan. “Buat macam Ani Mayuni, Serena Chef Wan dan Zamri yang terlibat dengan produksi bangsawan Pak Morad tu,” cadang saya. “Berlatih sendiri di sini, bila ada persembahan balik.”Dengan serta merta saya teringat bahawa Allahyarham Ismail Din dan Ainina Ahmad B pernah buat begitu sedikit masa dahulu bila Haji Morad Ibrahim mementaskan teater berjudul Di Puncak Kesepian karya Motinggo Boesje.Di samping itu beliau juga ingin tahu perkembangan aktiviti seni di Kedah semenjak diterajui oleh kerajaan baru PAS. Lalu saya memaklumkan bahawa aktiviti berkenaan berterusan seperti biasa dan segala aktiviti kesenian di Alor Setar dikehendaki berlangsung di Taman Budaya Negeri, Pumpong kerana jika diadakan di luar di khuatiri kehadiran khalayak akan dianggap sebagai perhimpunan tanpa permit. “Baru-baru ini Ahli Exco Kerajaan Negeri, YB Dr Hamdan telah mengadakan pertemuan dengan NGO di Auditorium Taman Budaya,” beritahu saya.
Laporan akhbar berhubung dengan perkara itu ada saya laporkan dalam akhbar Siasah bertarikh 11 – 17 Mei, 2008 (Bilangan 0097).Ada beberapa perkara yang dibangkitkan berkaitan dengan produksi drama yang sebilangannya ditangani oleh penggiat berketurunan Melayu dan menganut agama Islam. “Ada di antaranya yang langsung tidak menghormati waktu sembahyang. Ketika azan berkumandang para crew dan sutradaranya sibuk meneruskan penggambaran. Jika mereka tak mahu bersolat pun sekurang-kurangnya hormatilah laungan azan itu. Bukannya lama sangat. Dalam bulan Ramadan pula ramai yang tidak mematuhi ibadat puasa dan makan di khalayak tanpa merasa segan silu,” ulas beliau.Berkaitan dengan soal-soal keselamatan juga turut disentuh.“Pernah dalam satu penggambaran, hampir terjadi kemalangan bila jurukamera sedang merakamkan pergerakan pelakon yang sedang memandu kenderaan. Sepatutnya sutradara atau pembantunya meminta supaya tiada sesiapa berada di laluan kenderaan terlibat. Tetapi beberapa orang masih berada di situ dan nyaris terjadi kemalangan,” ujar Zulkifli.Ada beberapa perkara lagi yang disentuhnya dan kebanyakan sutradara tidak memahami hubungan kostum dengan watak yang hendak digambarkan. Di samping itu ada juga mereka yang tidak dapat menerima pandangan yang dilontarkan oleh pelakon demi untuk meningkatkan mutu persembahan.

Beliau juga merungut tentang homework yang sepatutnya menjadi amalan pelakon atau sutradara. Sekadar contoh ialah persoalan naskhah.“Besok saya ada sesi penggambaran jam 1.00 tengah hari. Tapi sekarang dah jam 11.15 khabarnya skrip tak siap lagi. Entah-entah jadual penggambaran besok ditangguhkan,” ujarnya.“Itu sebabnya drama buatan Malaysia kurang menarik jika dibandingkan dengan yang diimport,” ulas saya.Barangkali ada produser yang kurang senang terhadap ulasan saya itu. Namun mereka harus berfikiran rasional. Biarpun tidak arif langsung berhubung dengan produksi drama, namun sebagai pengamat atau peminat saya juga ada hak bersuara. Kalangan produser sewajarnya memikirkan hal ini jika ingin melihat khalayak menikmati hidangan yang mereka sediakan itu.Sebelum berpisah sekitar jam 12.00 tengah malam Zulkifli memaklumkan bahawa sebuah akhbar yang begitu laris jualannya kerana setakat ini dilihat tidak memihak kepada mana-mana parti politik.“Menurut tinjauan saya secara rambang, edarannya kini mengatasi akhbar arus perdana,” katanya.“Akhbar apa?” tanya saya.

“Sinar Harian, cuba beli esok,” balasnya pendek.Sewaktu akan bertolak balik ke Alor Setar pada 3.6.2008 saya telah membeli senaskhah akhbar Sinar Harian di sebuah kedai runcit untuk dibaca dalam bas nanti. Pada sebelah atas di kanan muka depannya terpampang tajuk Harga minyak mungkin naik Ogos: Sharir di samping foto Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad.Kenyataannya pada 2.6.2008 yang juga dipetik oleh akhbar arus perdana itu Shahrir membayangkan ‘kemungkinan harga petrol dan disel akan naik mulai Ogos depan’. Bagaimanapun ketika saya dan isteri berada di tempat biotrapi Alor Setar kami dimaklumkan oleh Encik Lim, Pengurus Jualan Sukamichi Alor Setar bahawa terdapat motokar berbaris panjang untuk masuk ke stesen pam minyak. Sejurus kemudian saya menerima pesanan ringkas (sms) daripada anak yang berada di Kuala Lumpur supaya mengisi petrol dalam ketiga-tiga tangki motokar yang dimiliki sebelum jam 12.00 kerana harga minyak akan dinaikkan pada 5.6.2008.Perdana Menteri, Dato Seri Abdullah telah mengumumkan kenaikan harga bahan bakar (petrol dan disel) tanpa menunggu bulan Ogos seperti yang dibayangkan oleh Shahrir.

Tanpa membuang masa saya merujuk Kamus Dewan mencari makna istilah ‘mungkin’ seperti yang diungkapkan oleh Shahrir itu. Maksud istilah itu ialah tidak mustahil, boleh jadi dan harus. Setelah meneliti ungkapan berkenaan saya cuba menganalisa perkara tersebut secara umum.Barangkali Shahrir tidak faham maksud istilah ‘mungkin’ kerana ia adalah istilah bahasa Melayu yang kini kian terpinggir setelah subjek Matematik dan Sains diputuskan pengajarannya dengan pengantar bahasa Inggeris. Barangkali juga Perdana Menteri (Pak Lah) tidak sabar menunggu bulan Ogos atau pengurusan masa kini bukan suatu hal yang penting lagi.Berikutan dengan kenaikan harga minyak, ada cadangan agar anggota masyarakat menggunakan motosikal atau basikal untuk bergerak ke mana-mana. Bagi kebanyakan orang hal itu boleh memang boleh dilaksanakan. Namun saya tidak, kerana untuk pergi ke sana sini motokar adalah perlu. Sekalipun memiliki lesen menonggang motosikal, saya tidak berupaya menonggang motosikal atau basikal melainkan memandu motokar.

Sekitar jam 2.45 petang hari Jumaat 6.6.2008 saya menghubungi Haji Zulkifli yang ada pertalian keluarga dengan saya dan berkhidmat sebagai anggota polis di Sungai Petani. Dia memaklumkan ada demonstrasi sedang berlangsung di sana sejak lepas selesai solat fardu Jumaat bermaksud membantah kenaikan harga minyak.Di saat itu juga saya teringat slogan manifesto Barisan Nasional (BN) ketika menghadapi Pilihan Raya Umum 12 (PRU12) pada 8.3.2008; Selamat, Aman, Makmur. Jelas hal itu terus menjadi impian yang tidak dapat direalisasikan. Jika kerbau dipegang talinya, manusia dipegang janji, kini janji tidak boleh dipegang lagi.

Tindakan memungkiri janji serta pembohongan telah menjadi perkara lumrah. Ketika akan menghadapi PRU12 dulu sehari dan beberapa ketika sebelum parlimen dibubarkan, Pak Lah menafikan ia akan menjadi kenyataan ketika ada wartawan bertanya mengenainya. Menjelang PRU12 budaya samseng turut diaplikasi dalam kempen oleh beberapa orang calon BN dan situasi sebegini berterusan ketika berlangsung sidang parlimen yang dapat disaksikan secara langsung menerusi radio dan televisyen.Saya lantas teringat kempen agar khalayak jangan dengar khabar angin tidak lama selepas peristiwa berdarah 13 Mei 1969. Kini rasanya tiada siapa yang akan mematuhi kempen sedemikian jika dilaksanakan kerana khabar angin akan jadi berita benar tidak lama kemudian.

KOMENTAR
bersama Pak Parjo

KHALED NORDIN JADI JURUCAKAP
MUSTAPHA HANYA TUTUP MULUT


Sebermula sekali persetua diceriterakan orang akan Menteri Pengajian Tinggi, Orangkaya Dato’ Seri Mohamed Khaled Noordin mengakui kerajaan Melayu itu akan mengurangkan RM800 juta peruntukan di kementeriannya bagi menampung pelbagai bantuan kepada hamba rakyat sekalian. Syahdan akan peruntukan tambahan RM803 juta diberikan kepada kementerian pertanian bagi meningkatkan pengeluaran jangka pendek beras di dalam negeri termasuk menyediakan baja dan racun. Maka kata Orangkaya Dato’ Seri Mohamed Khaled, kerajaan sudah membeli 500,000 tan beras dari benua Siam yang akan dihantar segera 100,000 tan. Berasa hairanlah fakir kerana Menteri Pertanian, Orangkaya Dato’ Mustapha Mohamad membenarkan Orangkaya Dato’ Seri Mohamed Khaled bercakap bagi pihak kementeriannya. Alahai!

Arakian datanglah persalin; jika ada jadi Bendahara, lima ceper persalinannya – baju seceper, kain seceper, destar seceper, sebai seceper, ikat pinggang seceper. Jikalau anak raja-raja dan para menteri ceteria, empat ceper juga, ikat pinggang tiada. Jikalau bentara sida-sida hulubalang tiga ceper – kain seceper, baju seceper, destar seceper. Ada yang semuanya sekali seceper, ada yang tiada berceper; kain baju destar dibiru-biru sahaja, maka diampu oleh hamba raja; datang pada orang bergelar itu, disampaikan di lehernya. Demikianlah makmurnya negeri Melaka ketika itu, tiadalah rakyat jelata yang mengadu tak cukup beras untuk dimakan. Syahdan akan dagang santeri berulang aliklah dari negeri atas angin sampai ke bawah angin, seperti disurat dalam ‘Kitab Melayu’ dari:



HIDUP BAHASA MELAYU!

Saturday, June 7, 2008

WARGA PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
S U A R A P R I M A
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)


DARI LAMAN BLOG:

PERJALANAN MALAM DI GENTING PERAS
MENELUSURI NOSTALGIA MASYARAKAT LAMPAU

Assalamualaikum,


Rakan-rakan terkilan apabila laman blog PRIMA bagaikan terhenti seketika ketika lanskap politik semakin berombak-ombak, berolak-olak dan bergolak-golak. Penyair Yassinsalleh tak henti-henti mengirim SMS meminta memberi sebab musabab; apalagi Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz beberapa kali menelefon sekretariat PRIMA. Haji Yahaya Ismail juga beberapa kali menelefon, di samping Sdr Asalbayu dan Sdr Suhaimi Said terus mengirimkan tulisan mereka. Syabas! Malam 5 Jun 2008, saya melalui jalan di Genting Peras (sempadan Selangor-Negeri Sembilan, di kaki Gunung Payung) bersama pengamal rawatan tradisional, Sdr Roseli Deraus dengan persekitarannya perkampungan Orang Asli, kabus tebal dan kegelapan hutan tropika di pergunungan.

Ketika melalui jalan aspal di Genting Peras, memang saya tak peduli sangat kekalutan di ibu kota, malah tak tahu mengenai isu-isu semasa di TV. Berulang alik melalui jalan aspal di Genting Peras, sekadar mengimbau nostalgia perjalanan nenek moyang di zaman lampau yang meneroka penempatan berdasarkan ‘teromba Jelebu’ (sirah pembesar adat di Jelebu). Memang Sdr Roseli tak memahami ‘teromba Jelebu’ secara kajian ilmiah, tetapi beliau mampu menyoroti menerusi amalan rawatan tradisional. (Sdr Roseli juga membantu saya ketika kumpulan Dr Abdul Wahid Suhaimi meminta memberi kerjasama pada period Dato’ Seri Anwar Ibrahim meringkuk di sel Sungai Buloh, sehingga episod pembebasannya pada 2003).

Memang jam 2.00 pagi pun kami akan melalui jalan aspal berkenaan sekitar 2003 di samping Dr Wahid memandu kereta bergilir-gilir dengan Haji Abu Bakar Ninggal apabila menjemput Sdr Roseli dan Malik Long (Allahyarham) berkumpul di rumah saya. (Kadangkala Dato’ Seri Anwar akan menelefon Dr Wahid dari sel Sungai Buloh jam 2.00 pagi itu, ketika kami masih melalui jalan aspal di Genting Peras. Begitulah!). Perjalanan malam di Genting Peras memang menyeronokkan, kerana laluan berkenaan digunakan Batin Bercanggai Besi dari Hulu Langat meneroka penempatan di Jelebu, sebelum anaknya Jelondong menjadi Penghulu Jelebu pada period ‘empat negeri Sakai’ (mengikut tulisan J.M. Gullick dalam jurnal ‘Papers on Malay Subject’).

Kesibukan dengan tugas bersama Jawatankuasa Penyelidikan Budaya Lembaga Muzium Negeri Sembilan sejak Oktober 2007 lalu membataskan aktiviti saya mengendali laman blog PRIMA. Apalagi sekitar Januari 2008 perlu menyiapkan buku ‘Luak Johol’ atas permintaan YTM Dato’ Johan Pahlawan Lela Perkasa Setiawan, Dato’ Haji Mohd Jan Abdul Ghani, Undang Luak Johol, kemudian diikuti dengan buku ‘Luak Rembau’ yang perlu disiapkan sebelum Ogos 2008 dengan persetujuan YTM Dato’ Lela Maharaja, Dato’ Haji Mohd Sharip Othman, Undang Luak Rembau. Ditambah lagi membantu Presiden Persatuan Wartawan Hiburan Malaysia (WHAM) Hajjah Fauziah Raof mahu menyiapkan skrip drama TV sebelum menjalani pembedahan lutut 22 Jun 2008 nanti di luar negeri. Aduhai!

Perjalanan balik dari Genting Peras melalui Jalan Ampang malam 5 Jun 2008 itu dikejutkan pula dengan insiden kesesakan jalanraya, asal sahaja melalui stesen minyak. Beberapa buah stesen minyak sepanjang Jalan Ampang, hingga melalui Hulu Kelang ke Taman Seri Gombak memang diganggu kesesakan jalanraya hingga jam 12.00 malam. Apabila menelefon isteri saya, Adiah Mat Lana di rumah, barulah saya menyedari jam 8.00 malam Buletin Utama di TV3 sudah menyiarkan laporan kenaikan harga petrol yang drastik hingga 80 sen satu liter. Apabila sampai di rumah jam 12.00 malam, Dato’ Kamal Amir menelefon beritahu fasal mala petaka yang menimpa negara, diikuti dengan SMS Sdr Yassinsalleh, Sdr L Mankadri Shamsi, Haji Yahaya Ismail, Sdr Zakaria Bidin dan Dato’ Dr Mohd Mansor. Astaga!

-Pak Dharma.

INFO HAK ASASI MANUSIA:

KENAIKAN HARGA PETROL:
MALA PETAKA KEPADA NEGARA

(Kenyataan media pimpinan PRIMA, berikutan kenaikan harga petrol dan disel, pada 6 Jun 2008 di Kuala Lumpur)


Kenaikan harga petrol dan desel yang drastik adalah mala petaka kepada negara, kerana bahan bakar berkenaan turut menjejaskan sektor lain. Pimpinan PRIMA kecewa langkah kerajaan menaikkan harga petrol dalam masa masalah gaji kakitangan kerajaan dan pekerja-pekerja swasta belum ditangani dengan saksama. Katanya, kenaikan harga petrol hingga 80 sen satu liter mulai 12 malam, 5 Jun 2008 bukan sahaja membebankan rakyat prolitar, malah memberi impak maksimum kepada negara. Memang negara kita berhadapan mala petaka secara fizikal dan spritual akibat kebobrokan pentadbiran dalam pimpinan kerajaan. Petrol sebagai guna tenaga utama akan membabitkan juga sektor perkilangan, elektrik, pengangkutan awam dan pertanian.

Apabila cuti penggal persekolahan berakhir pada Isnin, 9 Jun 2008 ibu bapa akan berhadapan dengan kenaikan tambang bas sekolah, ketika masyarakat Malaysia bimbang dengan isu keselamatan anak-anak. Insiden pelajar yang dibunuh ketika balik dari tuisyen di Kelantan, kes kehilangan Sharlinie dan beberapa lagi menambahkan lagi kerunsingan ibu bapa dengan kenaikan tambang bas sekolah. Kita tak boleh menyalahkan pengusaha bas sekolah sekiranya mereka mendesak kenaikan tambang. Pengilang-pengilang padi menaikkan harga beras, sekalipun pesawah-pesawah tak menikmati kenaikan harga padi juga adalah disebabkan kenaikan harga petrol. Malah pengguna-pengguna bekalan api elektrik juga tak mampu mengelak sekiranya berlaku kenaikan tarif bil elektrik. Justeru mala petaka yang menimpa negara dengan kenaikan harga petrol dan desel ini sebenarnya lebih dahsyat daripada gelombang tsunami 2004 yang lalu.

INFO SASTERA & BUDAYA:

PERTEMUAN EKSKLUSIF 40 PENULIS
BINCANG SENI DAN BUDAYA REFORMASI.

Salam Sdr Dharmala,

Saya Dinsman dan kawan-kawan dari PIKIR menganjurkan satu pertemuan eksklusif 40 penulis/budayawan yang terlibat reformasi, pada 6-7 Jun 2008 ini, dengan kerjasama kerajaan Negeri Selangor. Tempat di Carlton Hotel, Shah Alam. Saya harap saudara sudi bersama kami dalam pertemuan ini. Bincang-bincang hal seni dan budaya. Pendaftaran mulai 2 petang, 6 Jun. Diskusi mulai 4 petang. Acara akhir: Dinner di Dewan Jubli SUK dan ucapan budaya oleh Anwar (Dato’ Seri Anwar Ibrahim), 8 – 11 malam, 7 Jun. Sila sahkan kehadiran saudara – (SMS; 4 Jun 2008 – Dinsman, Kuala Lumpur).

YPBN GANDING BAHU DENGAN PRIMA
DIALOG BERSAMA KARYAWAN UTARA


Perbincangan awal sudah dipersetujui bagi menganjurkan dialog bersama karyawan utara di Perlis pada Ogos atau Oktober 2008 ini, kata mantan Timbalan Naib Canselor (HEP) UPM Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah. Dialog anjuran Yayasan Pembangunan Buku Negara (YPBN) dengan kerjasama PRIMA akan membawa dimensi baru kepada karyawan dalam usaha berdikari bagi menerbit dan memasarkan karya sendiri. Dalam pertemuan Dato’ Dr Mohd Mansor mewakili PRIMA dengan Sdr A. Rahim Abdullah bagi pihak karyawan utara semalam (5 Jun 2008), persefahaman sudah dicapai untuk memberi kerjasama kepada YPBN. Seterusnya Dato’ Dr Mohd Mansor menambah, “Dialog bersama karyawan utara bagi mencapai matlamat penerbitan dan pemasaran karya-karya penulis Melayu.”

Sebelum ini pihak YPBN Haji Hassan Hamzah sudah berbincang dengan PRIMA bagi menganjurkan majlis ‘Anugerah Buku Negara’ sebagai penghargaan kepada para karyawan di seluruh negara yang menyumbang kepada pembangunan sastera dan gerakan kempen membaca. Ketika menghubungi sekretariat PRIMA, Haji Hassan mengakui akan pentingnya pembangunan industri buku dalam kempen membaca, sekalipun teknologi maklumat (IT) digerakkan melalui dunia siber. Sistem IT tak akan mencapai sasaran sekiranya kempen membaca tak digalakkan menerusi indsutri buku, menurut Haji Hassan yang memberi jaminan YPBN akan membantu para karyawan dalam penerbitan dan pemasaran karya para penulis. “Kita tak mahu penulis-penulis Melayu terus dieksploit oleh penerbit-penerbit,” beritahu Haji Hassan selanjutnya.

INFO SUARA PROLITAR:

PUAK-PUAK TANYA SOALAN
RAKYAT SELANGOR DICEMARI BABI!

It must b appreciated that. D ‘ladang babi’ is t best device for a legal & non disputable to BIG move to close down hundreds existing ‘kandang’ babis scattered through out Selangor n confine then into one single high tech enclosure. Rakyat Selangor all over are saved from menghirup udara aroma babi dan menyentuh air sungai yang dicemari aliran kumbahan babi. Bodoh punya heh heh heh! Tu le puak-puak ni dok tanya soalan yang jawapannya ialah depa le yang BABI! But how do one tell a babi themselve think we are great ‘kah kah kah kah’, the great Malay savior? – (SMS; 3 Jun 2008 – Yassinsalleh, Kajang, Selangor).

TAK PERLU IKUT CAKAP SI BANGANG
SETIAP WARGA DENGAN TANGGUNGJAWAB

Seorang sahabat berilmu yang bertaraf Phd. Wow! Depa came hard on PAS. He says, ‘Dulu kata Badwi in Malaysia jaga babi because of JE, now PAS sokong PKR in Selangor to have the biggest ladang babi, siapa sebenarnya BABI?’. Heh heh heh! Do not enjoy their stupidity. Just tell them d actual fact as is per se. We have a responsiblitiy to cut them to size & pin down those BANGANGS from insulting our intelegent further. Wahai Allah berilah perlindungan kepada kami. (SMS; 3 Jun 2008 – Anak Tok Apoi, Kuala Lumpur).

‘BISO MACAM MATO PODANG’
SOKONG PRIMA MAKIN GARANG

Tahniah PRIMA. Memang senjata PRIMA tajam. Biso macam mato podang Saidina Abu Bakar. Bolangir air lior kolombai (bukan Sangkolombai budak Senanti tu!). Tengok: Ezam (Mohd Noor) kek luar negori pun SMS Pak Dharma. Pak Ya pun SMS. Harap PRIMA toros garang & kobal. Kita sokong, kok PRIMA mau atikel, kita boleh organize, dapekkan tulisan kawan-kawan yang ado namo utk blog PRIMA. Risau juga apabila PRIMA tak beroperasi seminggu. Terus berjuang! - (SMS; 5 Jun 2008 – Mat Lebai, Senawang, Negeri Sembilan).

PENGENDALI LAMAN BLOG:
KENYATAAN MEDIA SANUSI JUNID

Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Tan Sri Sanusi Junid calling for media conference at 5.00 pm, Sanusi Family Boutiqe Retreat, 102-104, Jalan Maarof, Bukit Bandaraya. – (SMS; 5 Jun 2008 – Sallehuddin, Kuala Lumpur)
ORANG ASLI MASIH TERBIAR
SEMANGAT LUBUK KAWAH MELUAP
Oleh: Suhaimi Said
(Bekas Calon PKR DUN Jenderak, Pahang)

Minggu demi minggu saya menunggu sesuatu petunjuk bahawa Kerajaan Negeri dibawah Pakatan Rakyat perihatin diatas tuntutan Orang Aslidiatas pemilikan tanah mereka yang tidak mempunyai geran tanah (suratan hakmilik).Saya telah memperjuangkan hak Orang Asli keatas tanah mereka, dan jikasekiranya apa yang saya perjuangkan ini hanya untuk memberi faedah kepada seorang berdua sahaja, mungkin sudah lama saya memberhentikan tindakan dan perjuangan itu.Saya tidak putus asa; setiap minggu saya tetap mengadakan perjumpaan mengikut jadual yang telah saya aturkan untuk kampong-kampong Orang Asli dikawasan DUN Jenderak ditempat saya bertanding didalamPilihanraya Umum yang lalu.

Saya telah mengundang Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Majlis ceramah dan suaikenal dengan Orang Asli di Kampong Pasu, Kuala Krau; dan kehadiran Datuk Seri Anwar sebelum PRU-12 dulu telah mendapat sambutan luar biasa dari kalangan Orang Asli sekitar Kg Pasu. Saya juga telah mengundang YB Fuziah Saleh didalam satu majlis suaikenal yang ringkas dengan penduduk Orang Asli sekitar Kg Penderas, dan Orang Asli berterima kasih dengan kesudian kehadiran Fuziah. Saya terus mengadakan perjumpaan-perjumpaan dengan masyarakat Orang Asli, minggu lepas di Kg Penderas, diikuti dengan perjumpaan di Kg Pasu dan pada 8hb Jun ini pula akan diadakan Majlis Dialog dengan penduduk Orang Asli di sekitar Kg Pian, Kg Lubok Wong, Kg Penderas, Kg Pasu, Kg Paya Rekoh, Kg Bukit Beredut, Kg Pelong, Kg Sg Mai, Kg Galung/Terboi diadakan di Kg Pian. Sebulan lalu saya telah adakan satu Majlis Bacaan Puisi di Kg Pian dimana puisi-puisi Orang Asli yang menuntut akan hak mereka didengarkan dimalam itu; saya tidak berhenti dari memperjuangkan nasib Orang Asli diatas keyakinan saya bahawa Orang Asli benar-benar mahukan seorang pembela yang tekun. Mereka yakin kepada saya dan saya yakinkepada mereka.

Dua minggu lepas saya melontarkan keluhan saya didalam blog saya --http://lubokkawah.blogspot.com/ -- kerana isu tuntutan Orang Asli initidak kedengaran samada Di Dewan Undangan Negeri mahupun di Dewan Parlimen. Saya mengeluh kerana tuntutan Orang Asli tidak diambil perduli oleh wakil-wakil rakyat samada disebelah BN mahupun disebelah Pakatan Rakyat. Tok Batin atau Ketua Kampong Penderas seolah-olah telah menyindir saya bahawa Pakatan Rakyat juga tidak begitu mahu ambil tahu tentang nasib Orang Asli.Orang Asli sudah ketinggalan jauh, mereka telah terpinggir dan terkebelakang lebih 50 tahun dari kaum-kaum lain, serba-serbi ketinggalan. Tanah mereka tidak mempunyai geran, sistem pengeluaran pertanian mereka menggunakan kekuatan fizikal, menggunakan cangkul, dan menyiram tanaman secara tradisional, pengeluaran mereka kecil dan pendapatan mereka kecil. Tidak ada badan yang khas bagi memasarkan hasil pertanian mereka kecuali pembeli-pembeli runcit yang mengambil keluaran mereka dengan harga yang tidak sepadan.
Rumah-rumah mereka usang kecuali rumah-rumah PPRT yang mempunyai sebuah bilik tidur yang menyukarkan keluarga yang besar, dan rumah-rumah PPRT itu hanyalah sedikit sahaja didirikan di perkampongan mereka.Mereka menghadapi masalah pendidikan untuk anak-anak mereka, dan mereka berhadapan juga dengan masalah khidmat kesihatan dan masalah sosial; dan yang paling getir sekali, mereka berhadapan dengan masalah kemiskinan.

Kemiskinan mereka ini sentiasa diambil "advantage" oleh UMNO semasa menghadapi Pilihanraya; Orang Asli diumpan dengan pemberian habuan untuk mengundi calon Barisan Nasional; dan diwaktu lain pula mereka digunakan secara rakus oleh kaum-kaum lain untuk kerja-kerja mengambil upah seperti, menebas dan menebang dan membuat pagar dengan upahan kecil yang tidak sepadan.Ada waktunya saya bermalam di Kampong Orang Asli, berbincang dengan penduduk kampong dan mendengar keluh resah mereka terhadap masalah kehidupan dan sosial yang mereka hadapi. Tidak cukup dengan simpati,saya tetap bersama mereka untuk memperjuangkan tuntutan mereka sehingga berjaya.Tindakan yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri Perak dan pengumuman oleh YAB Menteri Besar Perak bersetuju mengeluarkan geran tanah untuk tanah adat kepada 48,000 Orang Asli di Perak adalah satu hadiah yang paling berguna untuk Orang Asli.
Walaupun, pengumuman ini hanya untuk Orang Asli Negeri Perak, tetapi kesannya amatlah meluas. Tok Batin Kg Penderas akan mengambil iktibar dari pengumuman ini. Semua Orang Asli di DUN Jenderak, Kuala Krau, Temerloh akan merasakan bahawa pengumuman ini adalah suatu kemenanganbagi mereka semua disemua Negeri. Terima kasih YAB Datuk Seri Muhamad Nizar Jamaluddin. Puak-puak yang mengatakan bahawa Orang Asli tidak akan diberikan geran tanah diatas alasan bahawa Orang Asli sudah ada tanah rezab dan Orang Asli tidak akan mampu membayar cukai tanah akan melihat pengumuman Menteri Besar Perak itu sebagai tanda kecundang mereka.Tidak ada lagi sebab kenapa Kerajaan Negeri Pahang tidak boleh mengikut jejak langkah Kerajaan Negeri Perak. Dan saya akan berbincang dengan semua Ketua-Ketua Bahagian Parti Keadilan Rakyat di Negeri Pahang dan pemimpin parti-parti didalam Pakatan Rakyat di Negeri Pahang ini untuk mempertingkat daya juang untuk mendesak Kerajaan Negeri Pahang mengeluarkan geran tanah untuk Orang Asli di seluruh Pahang. Perjuangan Orang Asli di Perak dibawah pemerintahan Pakatan Rakyat telah berjaya, dan perjuangan Orang Asli di Pahang dibawah gagasan.Pakatan Rakyat Pahang pasti pula akan berjaya! REFORMASI!

KOMENTAR
bersama Pak Parjo.

GEMPARLAH SEKALIAN RAKYAT JELATA
NAIKNYA HARGA MINYAK DI SELURUH NEGERI


Syahdan gemparlah sekalian hamba rakyat Melayu apabila dititir canang ke seluruh negara akan minyak (disebut orang banyak sebagai petrol) naiklah harganya hingga RM2.70 satu liter (mengikut sukatan orang-orang terkemudian hari). Maka fakir pun diberitahu oleh sekalian hamba rakyat akan Orangkaya Dato’ Shahrir Abdul Samad yang baru sahaja dibawa semula duduk tara menteri-menteri dan pembesar-pembesar di balairong, semakin bingung memikirkan harga barang-barang bertambah naik. Adapun beras juga semakin berkurangan di dalam negeri. Maka Orangkaya Dato’ Shahrir pada suatu ketika dahulu meminta Orangkaya Dato’ Seri Samy Vellu meletakkan jawatan kerana kemelut lebuhraya lingkaran tengah, terasa juga akan kekemelutan kenaikan harga minyak. Tentu orang banyak akan lalu lalang juga di lebuhraya lingkaran tengah itu, memang mereka memerlukan minyak jua, adanya.

Arakian, turun sebuah kapal dari Judah datang ke Melaka, tak menggunakan minyak kerana ketika itu mereka hanya tahu gunakan layar mengikut mata angin sahaja. Di dalam kapal itu ada seorang pendeta Maulana Sadar Jahan namanya. Telah sampai ke Melaka, bergurulah Sultan Mahmud kepada Maulana Sadar Jahan itu. Maka pada suatu malam Bendahara Seri Maharaja duduk dengan Makhdum Sadar Jahan berkata-kata akan ilmu. Maka Seri Rama datang menghadap sultan dengan mabuknya, lalu dibawa oranglah pada batil perak, disampaikan tetampan, diberikan kepada Seri Rama. Setelah dilihat oleh Makhdum Sadar Jahan, maka berkata ia, “Yang arak itu ibu segala najis”. Jawab Seri Rama, “Yang ahmak itu ibu segala najis”. Syahdan akan maksud Seri Rama itu mencari harta itu adalah ahmak jua seperti disebut ‘Kitab Melayu’ dari:




HIDUP BAHASA MELAYU!