Saturday, July 12, 2008

WARGA PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
S U A R A P R I M A

(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG:


ISTADAT RINGKAS MENJEMPUT
DI BALAI UNDANG LUAK REMBAU


Assalamualaikum,


Ketika bersarapan bersama isteri di hentian lebuhraya Seremban jam 8.30 pagi semalam (11 Julai 2008), Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah menelefon. Bekas Timbalan Naib Canselor (HEP) UTM itu sekadar mahu tahu mengenai pandangan PRIMA dalam isu peralihan kuasa Jun 2010 nanti. Kebetulan saya dalam perjalanan ke Rembau bagi menghadap YTM Undang Luak Rembau, Dato’ Lela Maharaja Haji Mohd Sharip Othman. Sebelum ke Rembau, singgah dulu di Muzium Negeri Sembilan di Jalan Sungai Ujong, disebabkan pembantu muzium, Ahmad Afian Kadir juga ikut sama ke Rembau. Pengarah Muzium Drs Shamsuddin Ahmad pula ke Seri Menanti, disebabkan menjemput pakar rujuk adat, Dato’ Haji Khalid Bonget (dato’ lembaga luak Hulu Muar).

Apabila sampai di Balai Undang Luak Rembau, Dato’ Perba Haji Yahaya Abdul Ghani (Lembaga Suku Biduanda Waris Dua Carak) dan Dato’ Shahbandar Haji Abdul Rahim Haji Yassin (Orang Besar Undang) sudah menunggu. Tak lama selepas itu Pegawai Daerah Rembau pula masuk, bagi menyampaikan taklimat kunjungan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Jeanne Abdullah ke Rembau 17 Julai 2008 ini. Disebabkan sejak 10 pagi saya masih bersama YTM Dato’ Lela Maharaja Haji Mohd Sharip, saya difahamkan beberapa orang tetamu yang menunggu di luar tak berkesempatan menghadap (kerana hari Jumaat, perlu ke masjid pula). Hingga jam 11.30 pagi, barulah Drs Shamsuddin dan Dato’ Haji Khalid sampai ke Balai Undang.

Selepas menyampaikan taklimat Pegawai Daerah Rembau minta diri (sebelumnya lama juga beliau menunggu di luar). Drs Shamsuddin bersama Dato’ Haji Khalid mewakili panatia sambutan ‘Pesta Persukuan dan Pameran Masakan Negeri Sembilan) menghadap mengikut aturan istiadat dengan membawakan tepak sirih kepada YTM Dato’ Lela Maharaja Haji Mohd Sharip. Istiadat ringkas menghadap Dato’ Haji Khalid penuh dengan legasi kemegahan Adat Perpatih sambil menyusun jari, memberitahu pihak Muzium Negeri Sembilan menyampaikan sembah hormat mempersilakan YTM Dato’ Lela Maharaja Haji Mohd Sharip ke majlis ‘Syarahan Negeri Sembilan’ di Allson Kelana, Seremban pada 14 Julai 2008 dan Pesta Persukuan dan Pameran Masakan di Muzium Diraja Seri Menanti pada 26-27 Julai 2008.

Memang dalam upacara yang penuh istiadat, Muzium Negeri Sembilan membawa sama pakar rujuk adat, Dato’ Haji Khalid yang lebih arif bagi menyempurnakan sesi menghadap di Balai Undang. Balik sahaja dari Rembau, terpaksa pula singgah di Taman Paroi Jaya ke rumah adik sepupu saya yang bersiap-siap mengadakan majlis perkahwinan anaknya hari ini (12 Julai 2008). Disebabkan saya tak berkesempatan untuk menghadiri majlis perkahwinan itu, justeru singgahlah menjengah keluarga. Maklong saya Hajjah Zainab Jatin masih sihat sekalipun sudah berusia 88 tahun (sempat juga beliau hembat saya dengan tongkatnya, kerana dah dua tahun tak menjengah). Begitulah! Apalagi anak-anak dan cucu-cucu saudara pun tak kenal sangat. Heh heh heh!


-Pak Dharma.


INFO HAK ASASI MANUSIA:


(Kenyataan media Ketua Pimpinan PRIMA, Pak Dharmala N.S. di Kuala Lumpur, 12 Julai 2008, berkaitan usul undi tak percaya kepada kerajaan di Dewan Rakyat dalam persidangan Isnin, 14 Julai 2008).


SEKADAR MAHU MALUKAN PM
USUL YANG DORONG MEMBAZIR IDEA


Usul undi tak percaya kepada pimpinan negara yang akan dibawa ke Dewan Rakyat oleh Ketua Pembangkang Dato’ Seri Wan Azizah Wan Ismail, Isnin (14 Julai 2008) ini sekadar untuk memalukan Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, kerana berdasarkan logik ianya sukar bagi mencapai sasarannya. Bagaimanapun mana-mana pihak berhak mengemukakan usul berkenaan dalam sistem demokrasi berparlimen, tetapi lebih baik ianya membawa pendekatan untuk meletakkan kepentingan negara mengatasi segala-galanya termasuk glori peribadi. PRIMA merasakan bagi menjatuhkan kerajaan yang sah selepas dipilih pada pilihanraya menerusi usul undi tak percaya, sukar bagi menyelesaikan masalah yang berbangkit, berkait-kait dan berjerait!


Dengan kedudukan pakatan pembangkang sekadar 82 ahli Parlimen, termasuk seorang ahli Parlimen Bebas yang menang menerusi tiket PAS, peluang mengatasi majoriti kerajaan tak mungkin mampu dilaksanakan, sekalipun dua ahli Parlimen Parti Maju Sabah (SAPP) akan menyokong usul berkenaan. Rakyat Malaysia akan berhadapan dengan fenomena: i) Membazirkan idea ahli-ahli Dewan Rakyat yang sepatutnya diberi keutamaan membahaskan masalah kesengsaraan rakyat berikutan kenaikan harga petrol dan beras, ii) Menimbulkan ketegangan di kalangan masyarakat, malah boleh mendorong kepada masalah keselamatan, iii) Meletakkan negara dalam keadaan politik yang tak stabil hingga menjadikan rakyat bercelaru, berkeliru dan berselaru, iv) Merugikan semua pihak termasuk ahli politik, NGO, aktivis masyarakat dan pemikir budaya yang mahukan keamanan, kesaksamaan dan kesejahteraan.

INFO SASTERA & BUDAYA:


PESTA PERSUKUAN DI NEGERI SEMBILAN
LAMBANG MEMPERKASA JATIDIRI BANGSA

Pesta persukuan dan masakan Negeri Sembilan akan dirasmikan oleh Yang diPertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Jaafar ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman di Muzium Diraja, Seri Menanti 26-27 November 2008 ini. Di samping pameran masakan di Negeri Sembilan, pengunjung akan diserikan persembahan persukuan yang diamalkan oleh masyarakat Adat Perpatih di Negeri Sembilan. Undang Yang Empat dan Menteri Besar Dato’ Seri Utama Mohamad bin Hassan dijangka turut hadir pada hari perasmian yang akan disempurnakan oleh Yang diPertuan Besar, menurut sumber dari pejabat Muzium Negeri Sembilan. “Pesta persukuan dan pameran masakan ini memang acara tahunan, malah mendapat sambutan yang menggalakkan,” beritahu sumber berkenaan.

Bagi memahami fungsi suku dalam kekeluargaan, pesta persukuan mendekatkan lagi generasi muda kepada kecintaan kepada kampung halaman, di samping memperkasa institusi bermasyarakat dalam Adat Perpatih. Secara historikal pemahaman mengenai persukuan, adalah menelusuri susur galur keturunan atau sirah kekeluargaan dengan lebih jelas. Mereka yang memahami susur galur keturunan, adalah lebih mengenal jatidiri bangsanya. Misalnya menurut sumber berkenaan, 12 suku yang dikenal pasti dalam persukuan di Negeri Sembilan menjadi lambang kepada generasinya untuk mempertahan imej keturunan mereka. “Apabila tak mengenal suku masing-masing, maknanya tak tahu asal usul keturunan sendiri,” jelas sumber itu selanjutnya.

SAJAK

Bagaikan hujan yang turun ini
pernah airmataku
bercucuran mengiringi
kepedihan lara pilu piatu
pernah dalam hujan beginilah
ku heret kakiku
lemah longlai membawa
hatiku yang lara
sembunyikan airmata.

Dengan mesra jari hujan
menyisir rapi rambutku
bagaikan halus jarimu yang membelaiku
lalu dalam hujan petang ini
kembali ku kunjung harga diri
apalah yang sedang ku cari
rebah di hujung pelangi!

Yassinsalleh
Julai 11, 2008
Jam1705
Tualang Sekah, Malim Nawar
Perak.

INFO SUARA PROLITAR:

MISSING, MISSING, OH MISSING!
BUT NOW ITS WORSE ‘KEPALA PUSING’

There was saying if u hv other nationalities as domestic help in ur household, chances r d following goes missing. Get Viets, dogs missing. Get Bangla, girls missing. Get Indon, money missing. Get African, wife missing. But now its worse… This pilihanraya betul-betul kepala pusing. Get heh heh heh, Mongolian missing. Get toyol, tempe missing. Get Samy, shares missing. Get Rustam, pig missing. Get Zaiuddin, info missing. Get Nazri, truth missing. Get Hisham, keris missing. Get Soi Lek, viagra missing. Get Dr M, memory missing. Get Ka Ting, do nothing every ‘ting’ missing. Get Badawi always sleeping & missing. Get Tsu Koon, PP missing. Get Kit Siang, cili padi missing. Get SD, Bala missing. Get Kamal Amir, datukship missing. Get Anwar, tilam missing. Alamak betul-betul kepala pusing. Get Khairy, Malaysia missing! – (SMS; 11 Julai 2008; 16:18:50 – Dr Seri Intan, Malim Nawar, Perak).

PRA SYARAT NAIK PANGKAT
ELOK TANYA GURU PONDOK

MB Kelantan kata, pra syarat naik pangkat penjawat awam ialah solat lima waktu. Begitu kalu, penjawat awam wanita lambat sikit naik pangkat. Ada masa tak boleh solat, tak boleh puasa. Penjawat awam pula solat lima waktu, kerana nak naik pangkat. Bukan kerana Allah! Dulu seorang aktivis politik jumpa atuk saya, hanya guru pondok aje. Katanya, ‘saya mahu mati dalam PAS’. Atuk saya jawab, ‘seelok-eloknya mati dalam Islam’. – (SMS; 12 Julai 2008; 17: 40: 05 – Ustazah Pencen; Kuala Lumpur).

KOMENTAR
bersama Pak Parjo

PERIHAL KERENAH BANGSA MELAYU
ORANGKAYA ITU TAK MAMPU PERBETULKAN

Arakian akan memanda Perdana Menteri Orangkaya Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi menyebut fasal bekas memanda Perdana Menteri Orangkaya Tun Dr Mahathir Mohamad pernah meminta maaf kerana tak mampu membetulkan perihal kerenah bangsa Melayu itu. Orangkaya Dato’ Seri Abdullah menerima tepuk gemuruh dari kumpulan orang-orang bukan badan kerajaan (tetapi sudah tentu menjadi ahli parti kerajaan) iaitu bahawasanya mereka menjerit-jeritlah ‘Hidup Pak Lah’. Maka menjerit-jeritlah mereka seperti sebelum 30 Safar 1429 (untuk menyampaikan perkara yang ‘molok-molok’ saja kepada Orangkaya itu). Syahdan fakir pun diberitahu, Orangkaya itu mengakui sudah banyak belajar daripada ‘nasib malang’ 30 Safar 1429 itu, adanya.

Sebermula adapun tempat betara dihadap orang itu tinggi, tiga mata anak tangganya. Maka segala hamba raja duduk di bawah. Maka ditambat seekor anjing, diberinya rantai emas; jadi di hadapan raja Melaka dan raja-rajalah anjing itu. Setelah dilihat oleh Tun Bija Sura perihal itu, maka Tun Bija Sura pun menyanyi pedikir, perisainya bergenta. Maka ia pun berlayamlah di hadapan betara Majapahit. Arakian Hang Jebat dan Hang Kasturi naik ke balai larangan ketika Betara Majapahit dihadap orang di peseban. Maka oleh segala Jawa itu menombak Hang Jebat dan Hang Kasturi kerana menaiki balai. Jadi gemparlah sekalian yang ada dengan kerenah pahlawan Melayu itu. Maka kata Hang Jebat, tidaklah Melayu itu membuat kerenah, kalau dilayan baik-baik seperti disebut dalam ‘Kitab Melayu’ daripada:

HIDUP BAHASA MELAYU!

Thursday, July 10, 2008

WARGA PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
S U A R A P R I M A
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG


DI KAMPUNG SIBUK HARGA BERAS NAIK
DI BANDAR RESAH FASAL HARGA PETROL

Assalamualaikum,

Hingga jam 12.00 malam terconggok minum teh tarik di restoran mamak di Taman Seri Gombak semalam (9 Julai 2008), masih ramai pelanggan bertumpu di situ. Justeru kalau sesiapa sahaja merungut keadaan ekonomi Malaysia berkelabut sekarang, tentu Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmd Badawi mudah menangkis. Takkan teruk sangat ekonomi Malaysia dengan fenomena yang menyelubungi kedai kopi berkenaan apabila masih ramai yang terconggok hingga santak 12.00 malam. Di kampung pun ketika balik ke Jelebu bertemu kawan-kawan di Felda, mereka juga berlonggok di kedai masakan Thai hingga jam 12.00 malam, sekalipun merungut disebabkan harga beras naik sampai cecah RM35 bagi kampit isian 10 kilogram.

Sewaktu terconggok minum teh tarik di restoran mamak di Taman Seri Gombak, beberapa orang pelanggan merungut fasal harga petrol mencecah RM2.70 satu liter. Apalagi yang bertugas di Putrajaya juga mengeluh, sukar mahu berjimat, berhemat dan berkhidmat dengan janji kenaikan gaji yang entah bila-bila. Aduhai! Tetapi saya pula bukanlah setiap malam keluar minum teh tarik, kecuali apabila kawan-kawan teringin sangat nak ‘belanja’. Heh heh heh! Misalnya, Zakaria Bidin entah sudah berapa kali mengajak keluar teh tarik, hingga habis bulan Jun pun masih tak nampak kelibat. Saya keluar pun selepas Ir Adnan Khalid dan Azwa mengajak keluar, berikutan selesai bincang mahu gerakkan pertubuhan ala Nasrul Haq. Insya Allah!

(Saya memilih minum teh tarik di restoran disebabkan suasananya sesuai untuk warga emas). Di situ tak dilengkapkan TV bagi menonton rancangn Astro atau muzik untuk halwa telinga. Kadangkala diperdengarkan kaset bacaan al-Quran, menyebabkan ramai ‘orang masjid’ bertumpu di situ, terutama bersarapan selepas solat subuh. Ironinya di Masjid al-Khirriyah Taman Seri Gombak, setiap malam Jumaat disediakan jamuan makan juga selepas solat isya, tak ramai pula jemaah turut menyertai program memakmur masjid. Kadangkala sekadar dua saf sahaja, tak sampai 100 orang jemaah mahu turut sama berjemaah. Sebaliknya terconggok di kedai kopi (restoran) mamak, santak 2.00 pagi masih sanggup bersengkang mata. Entahlah!

Ketika mahu balik (kerana tumpang kereta Ir Adnan) kira-kira jam 1.00 pagi, saya ternampak dari jauh seolah-olah aktivis PAKSI, Dinsman bersama rakan-rakannya Ito (penyanyi) dan Nasir Jani (aktivis filem) memesan minuman. Memang saya tak menegur Dinsman, kerana tak berapa cam sangat (sekadar kenal nama sahaja). Begitulah. Justeru apabila balik ke rumah saya sengaja hubungi Dinsman dengan menghantar SMS, bagi memastikan sama ada beliau juga teh tarik di restoran mamak berkenaan. Memang Dinsman mengakui beliau bersama Ito dan Nasir Jani terconggok di situ hingga melewati (bukan meliwat) jam 1.00 pagi. Heh heh heh!

-Pak Dharma.


INFO SASTERA & BUDAYA


SEMINAR PENULIS PASCA PRU12
PERPUSTAKAAN SHAH ALAM 19 JULAI

Seminar penulis pasca PRU12 akan digerakkan di Perpustakaan Shah Alam, Selangor 19 Julai (2008) ini sebagai manifestasi pengarang-pengarang Melayu dalam mendamba kesusasteraan nasional berikutan anjakan paradigam rakyat dalam pilihanraya lalu, kata pimpinan PAKSI, Dinsman selaku penganjur. Kerabat penulis yang prihatin dengan masalah kepupusan berkarya di kalangan sasterawan Melayu, dijemput menghadiri seminar berkenaan. Setiap kerabat bebas menyampaikan pandangan secara kritikal dengan tak terikat kepada sebarang perhambaan minda hingga menjadikan sasterawan Melayu jumud dan mandul idea. “Jumpa di perpustakaan Shah Alam dalam seminar penulis pasca PRU12,” kata Dinsman menerusi SMS.

Dalam satu kenyataan yang lain Dinsman turut menganggap Gabungan Penulis Naional (Gapena) pimpinan Profesor Emeritus Tan Sri Ismail Hussein tak relevan dalam perubahan pemikiran di kalangan pengarang-pengarang Melayu sekarang. Di samping menyifatkan Gapena tak berwawasan berbanding dengan Asas 50 yang mampu mencetus idea ‘Seni Untuk Masyarakat’, Dinsman juga menerusi ‘Harakah’ memberi jaminan ormas pimpinannya PAKSI bersedia menggantikan fungsi Gapena. Katanya, PAKSI lebih bersifat merakyatkan sastera dan budaya yang mampu diterima olah masyarakat akar umbi. “Ormas budaya perlu kembali kepada akar umbi di kalangan rakyat, bukan menjadi objek yang rela menerima umpanan pihak tertentu,” katanya.

INFO HAK ASASI MANSIA

TAK WAJAR DILAYAN GAJI HARI:
BAYARAN STANDARD UNTUK KARYAWAN


Saranan mengajak karyawan Melayu mengambil pendekatan profesional disambut baik oleh beberapa aktivis sastera sebagai langkah baik, tetapi sukar diterima oleh kalangan karyawan muda yang baru mahu menempa nama. Aktivis teater dan pendeklamator dari Pahang, L Mankadir Shamsi percaya sekiranya semua karyawan bersatu, isu bayaran yang tak setimpal diterima boleh memberi impak kepada perkembangan seni tanah air sama ada sastera, teater, perfileman mahupun pelukis. Sebaliknya beliau bimbang, kalangan karyawan muda sukar menerimanya disebabkan mereka sangat berharap karya-karya mereka dipasarkan. “Misalnya pelakon drama TV, kalau harapkan bayaran tinggi sahaja sudah tentu mereka hilang banyak peluang,” beritahu Mankadir yang juga turut terbabit sebagai pengarah drama TV.

Semalam (9 Julai 2008) pengarah terbaik dalam Pesta Filem Malaysia 1980-an menerusi filemnya ‘Dia Ibuku’ Yassinsalleh menyarankan karyawan Melayu mengambil pendekatan profesionalisme bagi memartabatkan karya mereka. Yassinsalleh dalam laman blog ini mengingatkan karyawan-karyawan Melayu, tak membiarkan karya-karya mereka tak dihargai hingga mudah dibayar dengan murah atau secara lamsam. Mankadir ketika menyokong saranan Yassinsalleh turut mencadangkan bayaran standard (seragam) perlu ditetapkan, bagi membolehkan hasil kerja karyawan-karyawan Melayu diiktiraf. “Di kalangan pelakon-pelakon drama TV, tak ada bayaran standard menyebabkan terdapat mereka yang dibayar gaji hari macam buruh kontrak,” kata Mankadir.

INFO SUARA PROLITAR

DI MANA JURI HAKIM WANITA
DISKRIMINASI TILAWAH AL-QURAN?

Tilawah al-Quran peringkat kebangsaan ke 51 diadakan di Kubang Pasu, Kedah. Sejak dikenali pertandingan membawa al-Quran hingga kepada ‘musabaqah’ dan sekarang era ‘tilawah’, sudah 51 tahun ianya dijayakan. Sayangnya, tak pernah pula juri hakim yang dipilih di kalangan wanita. Daif sangatkah wanita kalau dipilih menjadi juri hakim bagi tilawah ini? Atau terdapat nas wajar ada diskriminasi? - (SMS; 10 Julai 2008; 15:56:33 – Imah, Senawang, Negeri Sembilan).

KOMENTAR
bersama Pak Parjo

ORANG BANYAK MAHU TAHU:
RENDAH SANGATKAH HUKUM SYARIAH?

Syahdan disuratkan orang akan bekas Orangkaya Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengadulah ia kepada undang-undang syariah mengikut peruntukan qazaf, kerana dituduh meliwat itu. Maka berkatalah akan penasihat persatuan peguam Muslim, Dato’ Paduka Zaitoon Othman, tak sepatutnya mengadu kepada undang-undang syariah kerana ianya sedang disiasat oleh orang-orang Dato’ Temenggung (atau disebut orang banyak ialah polis). Sebermula bertanyalah orang banyak undang-undang syariah itu lebih rendahkan daripada undang-undang Dato’ Temenggung? Arakian akan undang-undang syariah itu Perkara 41, Kanun Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan) 1997, menetapkan hendaklah ditunjukkan empat saksi apabila menuduh orang lain itu melakukan zina.

Alkisah pada suatu hari fakir diberitahu akan Hang Tuah itu lagi budak, turun ia bersama kawan-kawannya Hang Jebat seorang namanya, Hang Kasturi seorang namanya, Hang Lekir seorang namanya, Hang Lekiu seorang namanya. Maka mereka berlima sabahat membawa sampan lencong menuju ke laut bermain-main. Syahdan di tengah laut dihambatlah oleh beberapa perahu lanun. Maka Hang Tuah lima bersahabat pun tak mahu mengalah ia, sebagai anak jantan mereka tetap melawan. Mereka pun menuju ke sebuah pulau batu karang. Maka diparang mereka setiap lanun-lanun yang mahu menangkapnya. Syahdan kata Batin Singapura yang menyelamatkan budak-budak itu, memang budak-budak itu anak jantan tak mudah dia mahu menyerah. Lagikan budak-budak mereka tunjuk jantan, kalau umurnya sudah 23 tahun tentu berlebih-lebihlah jantannya!

Syahdan Sultan Mansor Shah memandang pada anakanda baginda Raja Husin. Maka titah baginda, ‘Ketahuilah olehmu, hai anakku, bahawa yang dunia ini tiada akan kekal adanya. Yang hidup itu sedia akan mati juga sudahnya. Iman yang sempurna dan pekerti yang baik, itulah yang kekal, disebut orang selama-lamanya. Adapun peninggalanku ini, hai anakku, hendaklah engkau berbuat sabar serta adil sangat-sangat, dan jangan tamakkan harta orang, kerana makan hak sama Islam itu terlalulah besar dosanya, tiada diampuni Allah subahanahu wataala, melainkan dengan izin tuannya. Dan janganlah lagi khali engkau keluar dihadap orang, kerana segala hamba Allah banyak berserah kepadamu. Jikalau kesukaran baginya, hendaklah engkau tolong; jikalau teraniaya ia, hendaklah engkau periksa baik-baik,’ begitulah seperti disuratkan ‘Kitab Melayu’ oleh:







HIDUP BAHASA MELAYU!

Wednesday, July 9, 2008

WARGA PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
“S U A R A P R I M A”
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG

KEJUTAN PANGGILAN TELEFON:
RAKAMAN KETIKA MESYUARAT SULIT

Assalamualaikum,

Terkejut juga menerima panggilan telefon hanset, apabila nombor Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor, Teng Chang Khim yang naik kira-kira 9.30 malam semalam (8 Julai 2008). Rupa-rupanya bukan beliau yang membuat panggilan, sebaliknya sekadar rakaman dalam mesyuarat ‘sulit’ pimpinan kerajaan negeri Selangor. Ketika saya buat panggilan semula, Teng juga berasa hairan bagaimana laporan sulit mesyuarat ‘Pakatan Rakyat’ boleh tersibar menerusi hanset saya. “Nasib baik laporan sulit itu masuk ke saluran yang betul, kalau tidak sudah tentu kena putar belitkan,” beritahu Teng yang juga kawan lama saya. Sebagai peguam, memang kerapkali saya meminta khidmat nasihat beliau berkaitan perundangan, tetapi saya tak akan menggunakan firmanya, kerana beliau enggan menerima bayaran. Aduhai!








Memang pernah berlaku insiden saya meminta khidmat guaman beliau, setelah dibawa oleh Liew Ah Kim (bekas Ahli Parlimen Seputeh) menemui beliau di pejabatnya di Kelang. Teng berulang alik juga ke mahkamah di Kuala Lumpur, tetapi selesai sahaja kes berkenaan, beberapa kali saya mendesaknya mengirimkan bil, tetapi beliau sekadar heh heh heh! Bagaimanapun saya tetap meminta khidmat nasihat beliau berkaitan dengan perundangan, apalagi sebagai aktivis masyarakat banyak sangat keserabutan, kekelabutan dan kekalutan yang memerlukan khidmat nasihat peguam. (Petang ini 4.00 pm, 9 Julai 2008, Teng menghubungi PRIMA meminta jasa baik agar butir-butir perbahasan beliau dalam mesyuarat ‘sulit’ itu tak didedahkan).

Sebelum itu sebelah petangnya (8 Julai 2008), saya menghantar faksmili kepada Dato’ Seri Abdullah (yang juga Menteri Kewangan), berkaitan kebobrokan dalam pentadbiran Angkatan Koperasi Kebangsaan (ANGKASA) yang menguruskan pinjaman bank kepada kakitangan awam dan badan berkenun. Disebabkan respons daripada surat bertarikh 25 Jun 2008, Bank Simpanan Nasional (BSN) memberikan fakta peminjam sekadar melunaskan sebahagian sahaja hutangnya. Memang sukar dipercayai apabila potongan gaji dibuat oleh jabatan mengikut prosedur ditetapkan, tetapi bayaran disampaikan kepada BSN tak mencukupi. Berikutan ‘kelalaian manusia’ peminjam menerima notis daripada peguam untuk menarik semula segala kemudahan pinjaman, di samping perlu membayar bil peguam. Astaga!

Penyelesaiannya pula peminjam dikehendaki membayar semua tunggakan yang konon belum dilunaskan, disamping akan dikembalikan selepas selesai bayaran pinjaman (tak kiralah hingga 10 tahun sekalipun) sekiranya berlaku ‘rebat’. Ironinya, pihak ANGKASA masih tak memberikan jawapan berkaitan kekeliruan yang berlaku, apabila ianya sudah tentu menjadi trauma kepada peminjam. ANGKASA yang digerakkan menerusi khidmat urus selia bagi pinjaman yang dibuat kakitangan awam dan badan berkanun, seharusnya ‘mempertingkatkan’ (up grade) perkhidmatan bagai memelihara kewibawaannya. Malah PRIMA berharap pengurusan di ANGKASA prihatin dengan insiden berkenaan, justeru langkah segera perlu diambil memperbetulkan kekeliruan.

- Pak Dharma.

INFO HAK ASASI MANUSIA




KELALAIAN ANGKASA TAK DIPANTAU
MANGSA TERPAKSA TANGGUNG RISIKO



(Kenyataan media Ketua Pimpinan PRIMA, Pak Dharmala N.S. pada 8 Julai 2008 di Kuala Lumpur, meminta Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Dato’ Seri Noh Omar memantau gerakan koperasi supaya memperbetulkan segera kekeliruan dalam memberikan khidmat nasihatnya).


Hari ini (8 Julai 2008) saya menulis surat menerusi faksmili kepada Jabatan Pengurusan Kredit, Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) dan salinan kepada Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Dato’ Seri Noh Omar iaitu susulan surat bertarikh 25 Jun 2008 berkaitan kemudahan pinjaman yang dibuat oleh anak saya Khairil Nizam menerusi pejabatnya Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM). Berikutan kelalaian pihak ANGKASA, anak saya menerima notis daripada peguam BSN untuk menarik semula kemudahan pinjaman atas alasan tak melunaskan tunggakan bayaran pinjaman:

Bersama ini dikirimkan butir-butir bayaran ANGKASA kepada BSN, dan perbezaan potongan gaji Khairil Nizam dari Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) di samping fakta bayaran kepada ANGKASA:

Potongan Gaji MPM ANGKASA kepada MPM

Mei 2007 (G 0189) RM 240.00 (K442792) RM 172.77
Jun 2007 (G 0189) RM 240.00 (K473176) RM 172.77
Jul 2007 (G 0189) RM 240.00 (K499787) RM 172.77
Nov 2007 (G 0189) RM 240.00 (K633624) RM 159.87
Dis 2007 (G 0189) RM 240.00 (K665399) RM 133.40
Jan 2008 (G 0189) RM 240.00 (K697271) RM 173.14
Feb 2008 (G 0189) RM 240.00 (K756057) RM 173.14


Sila berikan penjelasan kepada BSN, bagaimana berlaku perbezaan bayaran dari ANGKASA kepada BSN, berbanding potongan gaji Khairil Nizam daripada MPM. Perbezaan ini amat jelas disebabkan kelalaian pihak ANGKASA, justeru adalah tak wajar Khairil Nizam menerima risiko daripada BSN dan peguamnya.

INFO SASTERA & BUDAYA

KARYAWAN MELAYU PERLU PROFESIONAL
TUNTUT BAYARAN SETIMPAL DENGAN KARYA

Aktivis budaya, penyair Yassinsalleh mencadangkan karyawan Melayu termasuk penulis, pelakon, pemuzik mahupun pelukis mengambil pendekatan profesional dalam berkarya. Ketika menghubungi PRIMA, Yassinsalleh yang pernah dinobatkan pengarah terbaik Pesta Filem Malaysia sekitar dekad 1980-an, memberitahu disebabkan karyawan Melayu mengenepikan profesionalisme, justeru mereka diperlekeh sekalipun berharap diperjuangkan menerusi janji pimpinan persatuan. Menurutnya, secara profesional setiap karyawan perlu menuntut bayaran yang setimpal daripada penerbit atau pengusaha yang mahu memasarkan karya-karya mereka. “Karyawan tak perlu berasa malu menuntut bayaran tinggi secara pendekatan profesionalisme yang diamalkan di negara-negara luar,” beliau menjelaskan.




Persatuan-persatuan yang mahu berjuang untuk kepentingan karyawan, sekadar mahu mencari glamour kerana ianya memberi manfaat kepada seorang berdua pemimpin dalam persatuan terbabit, kata Yassinsalleh seterusnya. Sambil mengambil contoh penulis siri novel Harry Poter, J.K. Rawlings yang mampu membeli rumah bernilai 5 juta pound dengan hanya sebuah sahaja novel karyanya, apa salah penerbit di Malaysia memberikan penghargaan kepada pengarang-pengarang Melayu, kata Yassinsalleh. Beliau juga kesal dengan sikap penerbit ketika Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan di bawah Dato’ Seri Rais Yatim memberi peruntukan kepada Perpustakaan Negara membeli buku-buku penulis, tetapi dieksploit dengan cara terancang.

“Dalam masa Perpustakaan Negara (PN) memperuntukkan RM25 ribu kepada setiap judul buku, penulis dibayar 10 atau 20 peratus sahaja oleh penerbit,” beritahu Yassinsalleh di samping meminta kementerian terbabit mengakji semula peruntukan tersebut. Katanya lagi, penerbit terbabit tak akan mendapat satu sen pun sekiranya penulis tak menurunkan tanda tangan dalam borang pesanan dibuat PN. Beliau juga seterusnya menambah, tak semua penulis seperti pimpinan PRIMA yang bertindak secara profesional hingga boleh menerima RM17 ribu daripada RM25 ribu, setelah ditolak kos cetak dan urusan perkhidmatan kepada penerbit. “Dato’ Dr Mohd Mansor sekadar menerima RM5 ribu sahaja apabila penerbit memberi pelbagai alasan,” kata Yassinsalleh.

INFO SUARA PROLITAR

UMNO LUPA UNDI BLOK 73
TAK SERIK DIKERENYUK PRU12

Apa dah jadi dengan UMNO? Tak serikkah dikerenyuk pada PRU12 lalu? 29 Jun (2008) lalu UMNO Pulau Pinang akan cadang Pak Lah (Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi) dan Najib (Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak) untuk jawatan Presiden dan Timbalan Presiden pada Disember nanti. Lepas tu Perlis. Hari ini (9 Julai 2008) Selangor pula. Bahagian-Bahagian UMNO tak bolehkah calonkan? Semua serah pada UMNO Negeri, macam undi blok sebelum 1973. Yang tak belajar sejarah, UMNO le gamaknya! – (SMS; 9 Julai 2008, 15:52:17 – Bung Sheikh; Kelang, Selangor).

KOMENTAR
bersama Pak Parjo

PINDA KANUN ANAK ANGKAT
BERCANGGAH DENGAN HUKUM SYARAK



Sebermula diberitahu kepada orang banyak akan Majlis Fatwa Kebangsaan negeri Melayu itu sudah mengharamkan penggunaan nama anak angkat dengan ‘bin’ kepada ayah angkatnya sejak tahun Hijrah 1421 (atau disebut orang banyak 2000). Arakian kata Pengerusi Majlis Fatwa, Maulana Dato’ Mahaguru Abdul Shukor Husin (kata anak cucu fakir ialah Profesor Dato’ Dr Abdul Shukor Husin), hendaklah dipinda akan Kanun Pengangkatan 1952 (Kanun 253), iaitu seperti disebut orang banyak Akta Pengangkatan 1952 (Akta 253). Adapun kanun yang digunapakai sekarang bercanggah dengan hukum syarak. Syahdan diberitahu orang banyak kepada fakir, sudah 50 tahun merdeka kanun anak angkat di negeri Melayu itu bercanggah dengan hukum syarak. Barangkali!

Arakian tersebutlah sekali persetua di negeri Melayu itu pernahlah terjadi diserang oleh Jepun. Maka alahlah negeri Melayu itu. Pecah perang segala perajurit Mat Saleh yang digeruni oleh bangsa Melayu. Syahdan ramailah Mat Saleh itu melarikan diri dengan meninggalkan anak-anaknya yang kecil kepada orang Melayu, seperti perihal berlaku ke atas Mak Minah. Maka dipeliharalah oleh Mak Minah akan anak Mat Saleh itu diberikan namanya Natrah. Sebermula tak berapa lamanya, alahlah Jepun itu. Maka baliklah Mat Saleh itu menuntut anaknya yang diberi nama Natrah oleh Mak Minah. Oleh kerana orang Melayu tak mempunyai Majlis Fatwa Kebangsaan atau ulama-ulamanya, dapatlah Mat Saleh itu mengkristiankan semula anak angkat Mak Minah.

Sebermula, maka Sang Sapurbalah jadi raja di Palembang itu, maka Demang Lebar Daun pun turun menjadi mangkubumi. Syahdan, pada suatu hari hanyut buih dari hulu Sungai Palembang itu terlalu besar. Maka dilihat orang di dalam buih itu seorang budak perempuan, terlalu baik parasnya. Maka dipersembahkan orang ke bawah duli Sang Sapurba. Mak disuruh baginda ambil; maka dinamai baginda Puteri Tanjung Buih, lalu oleh baginda dijadikan anak angkat. Terlalu sangat dikasihi oleh baginda. Telah berapa lamanya Sang Sapurba duduk dengan Wan Sendari itu, maka baginda pun beranak empat orang, dua orang perempuan baik-baik parasnya. Maka jadi ikutan turun temurun apabila pasangan suami isteri itu tak beranak, diambillah anak angkat supaya akan beranaklah jua kemudiannya seperti disebut dalam ‘Kitab Melayu’ oleh:

















HIDUP BAHASA MELAYU!

Tuesday, July 8, 2008

WARGA PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
S U A R A P R I M A

(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG

HARGA MINYAK, HARGA MINYAK!
KEMENTERIAN JUGA KURANG PERUNTUKAN.

Assalamualaikum,

Pagi lagi bapa saudara saya aktivis tabligh dari Jelebu, Abdul Latiff Sheikh Haji Ahmad hantar SMS hari ini (7 Julai 2008) tanyakan fasal isu konsert di Kelana Jaya malam semalam (6 Julai 2008). Memang saya tak peduli sangat dengan konsert tersebut, kerana PRIMA menganggap ianya tak membawa sebarang perubahan. Tak seharusnya protes mengenai kenaikan harga minyak, diselitkan dengan konsert yang mendorong kepada kebiadapan, kelahapan dan kesunglapan. Astaga! Banyak lagi perkara yang berbangkit selain daripada kenaikan harga minyak hingga mendorong kepada rapat raksasa menggerkkan semangat rakyat. Seperti Haji Abu Bakar Ninggal yang menelefon mengeluh apabila diberitahu mengenai kerajaan berhadapan isu kurang peruntukan.

Haji Abu Bakar mengakui Biro Teknologi Pendidikan (BTP) di kementerian pelajaran sudah meluluskan skim buku-buku terbitan syarikatnya sejak tahun lalu bagi pembelian terus. Malangnya, BTP tak mempunyai peruntukan mencukupi bagi membeli terus buku-buku yang diluluskan menerusi skim galakan berkenaan. Bukan Haji Abu Bakar sahaja mengeluh panjang, malah banyak juga penerbit-penerbit terbabit berhadapan dengan dilema berterusan. Apalagi buku-buku yang diluluskan oleh BTP berkaitan juga dengan masalah karyawan dan penulis-penulis. PRIMA memang mengalu-alukan sebarang usaha menyalurkan sumber pembelian buku kepada karyawan dan penulis-penulis Melayu.

Tenghari (7 Julai 2008) saya menelefon Setiausaha Agung Persatuan Peguam Muslim, Haji Mohd Radzi Mustapha berkaitan isu ‘permohonan mencelah’ oleh pihak komuniti Sikh di mahkamah yang membabitkan kalimah ‘Allah’. Haji Mohd Radzi mendakwa PRIMA tersalah persepsi apabila mengkritik isu berkenaan, kerana isu sebenarnya bukan seperti dibangkitkan oleh PRIMA. Bagaimanapun terserahkan kepada persepsi masing-masing, disebabkan setiap isu yang dibangkitkan oleh PRIMA apabila ianya menerima ‘tindak balas’ dari masyarakat. Bagi PRIMA kementerian dalam negeri mengambil langkah yang tepat apabila melarang kalimah ‘Allah’ digunakan oleh pihak lain, kerana ianya isu sensisitf kepada umat Islam.

Justeru PRIMA menyokong langkah 700 aktivis PAS yang menarik diri daripada terbabit dengan konsert di Kelana Jaya yang tak selaras, separas dan menuras dalam usaha mendambakan perkara yang bermanfaat. Malah PRIMA mengakui ketika minum teh tarik bersama Setiausaha Agung Majlis Kerjasama Belia Asian, Sobri Ahmad hari ini (7 Julai 2008), 700 aktivis PAS itu mengambil langkah yang tepat. Pendirian konsisten PAS dalam isu yang berkaitan dengan moral perlu disokong oleh semua pihak, terutama mereka yang menyedari ‘kebenaran’ tak boleh dijual beli kerana ianya adalah asas kepada ‘menentang perhambaan minda manusia kepada manusia’.

-Pak Dharma.

INFO HAK ASASI MANUSIA

PROTES KENAIKAN HARGA MINYAK:
HAPUSKAN BENTUK SISTEM SKULAR KUFUR


Isu kenaikan harga minyak bukan disebabkan sumber petroleum dunia, tetapi ianya berkaitan agihan daripada negara yang bertugas untuk menyelia urusan pemilikan awam dan tak dijadikan sebagai milik negara, menurut kenyataan rasmi Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) yang dikeluarkan oleh Presidennya, Abdul Hakim Othman. HTM mengemukakan enam fakta menyebabkan kenaikan harga minyak di Malaysia, justeru pihaknya mahukan kaedah yang digunapakai sekarang dihapuskan. Menurut HTM, kenaikan harga minyak sekarang disebabkan kerajaan menerapkan sistem skular kapitalisme. “Sistem skular kufur ini mesti dihapuskan dan diganti dengan sistem ekonomi dan sistem pemerintahan Islam (al-Khalifah),” beritahu kenyataan HTM.

Dalam kenyataan yang boleh dilayari menerusi laman web http://www.mykhilafah.com/ HTM menegaskan, berkenaan dengan subsidi ianya merupakan pemberian negara dari milik negara kepada individu, pihak swasta, badan-badan atau pertubuhan-pertubuhan. Dalam kes bahan bakar, kerajaan tidak dapat dikatakan memberikan subsidi secara hakiki. Ini adalah kerana kerajaan telah mengambil harta awam yang merupakan hak rakyat (yang sepatutnya dinikmati rakyat secara percuma) tetapi oleh kerana untuk mendapatkan bahan bakar ini, rakyat secara perseorangan tidak akan mampu mendapatkannya, maka negara (kerajaan)lah yang menyelianya. Seterusnya HTM menambah, kenaikan harga adalah perbuatan zalim kerajaan.

“Perdana Menteri (Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi) melakukan bentuk kezaliman ke atas rakyat dan satu bentuk pelanggaran hukum dan maksiat yang nyata kepada Allah dan RasulNya,” jelas HTM selanjutnya. Serentak dengan itu HTM meminta agar harga minyak diturunkan, kerana penurunan harga minyak bukan perkara maksiat. Bahan bakar ini adalah hak rakyat, justeru pemerintah wajib mengembalikan milik rakyat ke tangan mereka secara percuma, tambah kenyataan tersebut. Malam ini (7 Julai 2008) HTM menggerakkan kempen sejuta tandatangan di pasar malam Taman Seri Gombak, bagi memberi kesedaran kepada orang ramai isu kenaikan harga minyak sengaja dieksploitasi oleh kerajaan untuk kepentingan politik dan kroni-kroninya.

KENAIKAN HARGA MINYAK DRASTIK:
KRISIS KEYAKINAN PEMBORONG BUMIPUTERA



Rungutan di kalangan pemborong-pemborong bumiputera sukar dibendung berikutan kenaikan drastik harga minyak yang mendorong kepada sikap krisis keyakinan, beritahu pakar kaunseling Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah. Berikutan banyak rungutan yang diterima olehnya, Dato’ Dr Mohd Mansor meminta kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi prihatin dengan kesukaran pemborong-pemborong bumiputera menghadapi kemelut kenaikan harga minyak sekarang. Mereka bukan sahaja tak mampu bertahan dengan kekurangan bahan binaan, malah turut juga kehilangan tenaga manusia (manpower). “Mungkin beratus-ratus pemborong bumiputera akan gulung tikar, kalau fenomena sekarang tak dapat diatasi,” kata Dato’ Dr Mohd Mansor.

Sekiranya pemborong-pemborong bumiputera berterusan mengalami masalah krisis keyakinan, negara juga turut berhadapan kehancuran ekonomi, beritahu Dato’ Dr Mohd Mansor yang juga ahli akademik di samping bekas Timbalan Naib Canselor (HEP) UTM. Dalam lawatannya ke seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak, Dato’ Dr Mohd Mansor mengakui menerima pelbagai pandangan daripada masyarakat yang berlawanan sama sekali dalam laporan yang disalurkan menerusi media. Justeru katanya, kerajaan pimpinan Dato’ Seri Abdullah tak terpedaya dengan laporan yang ‘molok-molok’, hingga menerima kejutan seperti PRU12 apabila berlaku ‘protes senyap’. “Media yang sekadar melaporkan perkara yang ‘molok-molok’ inilah membawa kejatuhan kepada kerajaan,” menurut Dato’ Dr Mohd Mansor.

INFO SASTERA & BUDAYA

KERAJAAN PAHANG PERLU RASIONAL
CONTOHI KEPRIHATINAN KERAJAAN PERAK


Menteri Besar Pahang Dato’ Seri Adnan Yaakob diminta mencontohi kerajaan negeri Perak pimpinan Dato’ Seri Ir Muhammad Nizar Jamaluddin yang prihatin dengan isu Orang Asli yang terpinggir sekalipun negara sudah lebih 50 tahun merdeka. Gesaan itu dibuat oleh aktivis teater di Pahang, L Mankadir Shamsi ketika menghubungi sekretariat PRIMA hari ini (7 Julai 2008). Kata Mankadir, kerajaan Perak perlu diberi sokongan apabila memberikan hakmilik tanah kepada komuniti Orang Asli, yang tak pernah diwakili bagi menyuarakan kepentingan mereka di Dewan Rakyat mahupun Dewan Undangan Negeri. “Perjuangan Orang Asli sekadar mampu disalurkan melalui aktiviti budaya yang audiennya terbatas,” beritahu Mankadir.

Menurutnya lagi, kerajaan Pahang di bawah Dato’ Seri Adnan masih ketinggalan dalam usaha memberi kemudahan kepada masyarakat Orang Asli yang majoritinya membuat penempatan di negeri Pahang. Justeru katanya, kumpulan budaya Orang Asli di Jenderak akan mengerakkan manifestasi kebudayaan, 2 Ogos 2008 nanti bagi membuka mata kerajaan negeri Pahang. Seterusnya Mankadir memberitahu, manifestasi budaya yang akan digerakkan oleh masyarakat Orang Asli di Jenderak ialah sempena musim buah-buahan awal Ogos nanti. “Mereka perlu diberi peluang menyuarakan kepentingan masyarakatnya yang sudah sekian lama terpinggir,” menurut Mankadir selanjutnya.

INFO SUARA PROLITAR

SUMPAH JUNJUNG AL-QURAN
INGATLAH IKTIBAR TUNKU-ASRI


Mufti Selangor, Dato’ Mohd Tamyes Abdul Wahid mengingatkan, Islam tak mensyariatkan supaya orang terbabit dalam fitnah bersumpah menjunjung al-Quran. Kalimah untuk bersumpah cukuplah menyebut Wallahi, Wabillahi, Watallahi. Sekitar dekad 1960-an pernah juga Tunku Abdul Rahman Putra (pemimpin UMNO) dan Tan Sri Mohd Asri Muda (pemimpin PAS) bersumpah menjunjung al-Quran pada kempen pilihanraya 1969. Mereka bersumpah mempertahankan kebenaran masing-masing. Habis sahaja hari mengundi 10 Mei 1969, maka berlakulah mala petaka 13 Mei 1969. Faham-fahamlah – (SMS; 7 Julai 2008 – YS, Kajang, Selangor).

KOMENTAR:
bersama Pak Parjo

PERIHAL ULAMA YANG BERWIBAWA
SUMPAH JANGAN DIPERSENDA-SENDA!


Syahdan akan bekas Orangkaya Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim itu mahulah ia bersumpah dari segi syarak bagi menafikan tuduhan liwat ke atasnya yang menggemparkan di seluruh pelusuk negeri. Arakian katanya, hendaklah sumpahnya itu dibuat di hadapan ulama yang berwibawa. Sebermula dikatakan orang banyak perihal menghukum rejam orang yang berzina pun hendaklah dilakukan di hadapan 100 orang yang beriman. Maka disebut sekalian hamba rakyat, orang yang beriman itu bukanlah ia pernah ditangkap khalwat, kemudian dibebaskan kerana pangkat dan darjatnya. Orang yang beriman itu ialah ulama yang berwibawa. Akan perkara syarak itu, hendaknya janganlah ia diperolok-olokkan, kerana padahnya terlalu dahsyat.

Kata sahibul hikayat, maka tersebutlah perkataan seorang pendeta, Maulana Abu Ishak namanya, terlalu faham pada ilmu tasawuf. Maka tuan itu tawaf di kaabah berapa lamanya, senantiasa dengan wuduk jua, tiada hadath lagi, melainkan hanya pada sebulan dua kali ia mengambil air sembahyang. Maka dikarangnya suatu kitab dengan dua bahasa, satu bahasa zat dan kedua bahasa sifat, di namainya Daru’l-mazlum. Maka segala orang semuanya memuji dia. Telah di dengar oleh bondanya, maka kata bondanya, ‘Apa tua-tuan semua pujikan Abu Ishak kerana ia kemalasan, dengan semuda itu, sebulan dua kali mengambil air sembahyang? Aku dengan tuaku ini, pada sebulan sekali juga mengambil air sembahyang’. Syahdan terlalu sukar orang banyak mahu menafsirkan akan sifat ulama itu seperti disebut ‘Kitab Melayu’ yang disurat:











HIDUP BAHASA MELAYU!

Sunday, July 6, 2008

WARGA PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
S U A R A P R I M A
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)


DARI LAMAN BLOG:

NYAWA PROLITAR TERLALU MURAH
RAWATAN IJN UNTUK GOLONGAN MEWAH


Assalamualaikum,


Sudah lama Haji Abu Bakar Ninggal tak menghubungi, tetapi pagi semalam (5 Julai 2008) beliau menelefon saya. Bagaimanapun beliau tak mahu bercakap panjang kerana kredit telefon bimbitnya tak boleh bertahan lama. Ramai juga kawan-kawan merungut menenai bil telefon macam tak munasabah, tetapi perlu juga dibayar kerana ianya perlu sebagai kemudahan awam. Dalam masa yang sama Yassinsalleh pula mengirim SMS fasal Raja Petra Kamaruddin dipanggil memberi keterangan berkaitan akuan bersumpah di balai polis Sentul jam 5.00 petang (5 Julai 2008). Bagaimanapun saya tak sempat untuk ke balai polis, mahupun jamuan makan merayakan 100 hari (mungkin PKR berjaya menubuhkan kerajaan negeri) yang diterima dari SMS menerusi Sallehuddin.


Saya lebih peka dengan SMS yang diterima dari Institut Jantung Negara (IJN) iaitu beritahu temujanji yang dibuat menerusi Hospital Teluk Intan sudah ditetapkan esok (7 Julai 2008) bagi membawa bapa mentua saya mendapatkan rawatan. Hospital Teluk Intan sebelum ini memberitahu keluarga isteri saya, apabila temujanji dengan IJN ditetapkan sekurang-kurangnya sediakan RM5 ribu bagi rawatan lanjut. Justeru keluarga isteri saya berasa serba salah untuk meneruskan rawatan lanjutan di IJN, di samping komplikasi penyakit bapa mentua saya dikatakan serius apabila dimasukkan ke Hospital Teluk Intan baru-baru ini. Aduhai! Bagaimanapun, saya akan ke IJN juga mendapatkan penjelasan mengenai rawatan seterusnya yang diperlukan. Insya Allah!


Tak lama dulu seorang rakan saya (bekas Ahli Parlimen) ketika menerima rawatan di IJN memberitahu saya, polisi di IJN sekarang kemudahan bagi rawatan diberi prioriti kepada golongan mewah, di samping mampu menyediakan kos rawatan. Justeru mereka daripada kalangan prolitar akan menerima giliran ‘bertunda-tunda’ bagi rawatan di IJN, kerana nyawa mereka bolehlah diklafikasikan terlalu murah. Maknanya, tentu golongan prolitar termasuklah bapa mentua saya sekarang sukar mendapatkan rawatan di IJN dengan kos yang tinggi. Bagi mereka yang mengalami penyakit jantung, sekadar pasrah sahaja menunggu waktu yang tak sesaat diundurkan dan tak sesaat didahulukan, dengan polisi yang diamalkan di IJN.


Tentulah sukar bagi pekebun-pekebun kecil mahu mengumpulkan RM5 ribu bagi rawatan jantung, apalagi kalau anak-anak juga sekadar ‘orang pencen’ daripada bekas tentera dan sebagainya. Ketika dimasukkan ke Hospital Teluk Intan pun kad pesara tenteranya juga tak laku dipamerkan; apatah lagi dengan IJN. Barangkali! Justeru golongan prolitar seperti bapa mentua saya memang tak harapkan apa-apa rawatan di IJN, sebaliknya kalau mengalami ‘rebah’ lagi terpulanglah kepada Hospital Teluk Intan sama ada mahu menerima atau menolaknya. Temujanji dengan IJN memang tak larat untuk diteruskan, tetapi cukuplah menunggu: Pak pung pak mustape, ada dule di rumah nye. Heh heh heh!

-Pak Dharma.

INFO HAK ASASI MANUSIA:


PENAFIAN TAK SEMESTINYA BENAR
FAKTA PERLU DISIASAT DENGAN TELUS



Pengendali laman web ‘Malaysiakini’, Raja Petra Kamaruddin hadir di balai polis Sentul jam 5.00 petang semalam (5 Julai 2008) bagi memberi keterangan dalam soal siasat berhubung akuan bersumpahnya yang mengaitkan Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak dalam kes perbicaraan saga warga Mongolia, Altantuya Shaariibu. Raja Petra (Pet) masuk ke kawasan balai polis Sentul dengan diiringi oleh peguamnya, di samping 150 rakan-rakan yang turut memberi sokongan moral kepada beliau, beritahu aktivis masyarakat Yassinsalleh yang mewakili PRIMA. “Isu yang penting bukanlah akuan bersumpah Pet yang dihebohkan, tetapi siasatan yang telus bagi memelihara sistem kehakiman di Malaysia tak diperlekehkan,” beritahu Yassinsalleh selanjutnya.

Keadilan yang diperjuangkan bukan sekadar penafian daripada mulut Dato’ Seri Najib semata-mata, tetapi perlu dibuktikan secara telus, menurut Yassinsalleh lagi. Katanya lagi, sesiapa sahaja boleh menafikan sesuatu isu yang membabitkan dirinya, termasuk juga Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Kalau Dato’ Seri Anwar menafikan isu liwat, Dato’ Seri Najib menafikan terlibat dalam kes Altantuya, Tun Dr Mahathir juga turut menafikan campur tangan dalam sistem kehakiman pada 1988, malah Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi juga menafikan menantunya Khairy Jamaluddin menguasai ‘Tingkat Empat’, jadi bagaimana penafian itu harus dilihat ianya tak pernah berlaku, jelas Yassinsalleh menambah. “Siapa sahaja boleh menafikan, tetapi rakyat perlu diberitahu kebenaran penafian itu,” beliau menegaskan.

(Gambar ihsan oleh: Yassinsalleh)

INFO SASTERA & BUDAYA:


SIKAP PENULIS MAHU ‘JAGA HATI’
GAPENA KEMBALI PILIH PEDATI LAMA



Pemilihan semula Profesor Emeritus Tan Sri Ismail Hussein memegang jawatan Ketua Satu Gabungan Penulis Nasional (GAPENA) dalam mesyuarat agungnya semalam (5 Julai 2008) bukanlah memeranjatkan kata pakar kaunseling Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah. Mengulas keputusan mesyuarat agung GAPENA memilih pedati lama, Dato’ Dr Mohd Mansor yang juga penulis prolifik sekitar dekad 1970-an dan 1980-an menganggap, ianya seolah-olah komputer yang sudah diset. Bagaimanapun kata Dato’ Dr Mohd Mansor, dengan 26 undi menolak Tan Sri Ismail daripada memimpin GAPENA, ianya jelas menunjukkan sebahagian penggiat sastera mahukan pimpinan organisasi massa (ormas) itu dirombak. “Tan Sri Ismail perlu berundur secara terhormat, demi membawa perubahan dalam GAPENA,” beritahu Dato’ Dr Mohd Mansor.


Persaingan dalam merebut jawatan Ketua Gapena memperlihatkan pimpinan Persatuan Penulis Johor (PPJ), Amiruddin Hanafiah menawarkan diri, tetapi sekadar memperoleh 26 undi beranding Tan Sri Ismail 46 undi. Menurut Dato’ Dr Mohd Mansor, rata-rata penulis Malaysia masih dipengaruhi ‘perhambaan minda’ apabila terpaksa untuk ‘menjaga hati’ individu, sekalipun pada dasarnya mereka sudah bosan dan meluat. Seterusnya Dato’ Dr Mohd Mansor merujuk kepada insiden persaingan merebut jawatan Ketua Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP) sebelum ini, apabila beliau menawar diri melawan Tengku Alaudin Abdul Majid. Dalam persaingan tersebut Dato’ Dr Mohd Mansor tewas tiga undi sahaja melalui undi terbuka. “Mereka yang serba salah untuk mengangkat tangan, terpaksa berkecuali kerana mahu ‘jaga hati’,” jelasnya.


INFO SUARA PROLITAR:


10 PEGAWAI BUKIT AMAN
SIASAT PET DI BALAI POLIS SENTUL.


I am at Sentul police station. Pet (Raja Petra Kamaruddin) is still inside with his lawyer. They went in 5.15 (pm). The 10 is from Bukit Aman. About 150 supporters and 100 Press. Pet came out at 7.35 (pm). Pet was there as a witness for report made againts him by AG for making false declaration. But the focus of questioning was more on who is Pet’s informer – (SMS; 5 Julai 2008; 20:00:58 – Dr Seri Intan; Kuala Lumpur).


JAMUAN UNTUK SAMBUT 100 HARI
DI RUMAH BLOG BUKIT DAMANSARA


Rocky…tonight, 7.30 pm onwards at Blog House, 66 Lorong Setiabestari 2, Bukit Damansara. Join us for a 100-days Dinner & Get Together – (SMS; 5 Julai 2008; 14:16:02 – Sallehuddin, Kuala Lumpur).


ANAK SAUDARA BUAT LAPORAN
PENYIASAT PERSENDIRIAN HILANG.


Anak saudara kepada penyiasat persendirian Abdul Razak Baginda, (iaitu individu yang kontroversi) Balasubaramaniam, buat laporan polis 5.00 petang tadi berkenaan kehilangan pakciknya. (SMS; 5 Julai 2008; 21:23:36 – Yassinsalleh, Kajang, Selangor).


KOMENTAR
bersama Pak Parjo


PERKARA SIASAH MEMANG KOTOR
MASALAH KELIRU KERANA PERIBADI


Arakian gemparlah sekalian hulubalang juak-juak apabila canang sudah dititir orang banyak ke seluruh pelusuk negeri mengatakan Orangkaya Dato’ Seri Mohd Najib Razak itu bersih sebersih-bersihnya. Maka berkatalah Orangkaya Tan Sri Muhyiddin Yassin seperti disuratkan hari ini 3 Rejab 1429 (atau disebut juga 6 Julai 2008), masyarakat jadi keliru kerana masalah peribadi Orangkaya Dato’ Seri Anwar Ibrahim, tetapi diletakkan hampir seluruh rakyat jelata dalam keadaan tak tentu arah. Syahdan tersebutlah seorang pegawai tinggi agama di sebuah negeri, suatu masa dahulu pernahlah ia mengendalikan perkara khalwat Orangkaya ternama. Maka atas titah perintah Orangkaya ternama perkara khalwat itu didiamkanlah. Akan pegawai tinggi agama itu berhentilah ia lalu menjadi guru agama mengajar anak-anak muridnya.


Sebermula telah sudah berteguh-teguhan janji itu, maka Seri Nara Diraja pun berlengkap menghimpunkan segala orang besar-orang besar yang serta menghadap bendahara dan orang lain sekalian. Telah hari malam, maka Raja Kassim naik gajah yang bernama Juara Demang, Seri Nara Diraja mengepalai gajah, maulana itu pun sama di atas gajah itu. Maka orang kapal pun naik dengan segala alat senjatanya. Maka kata Raja Kassim pada Seri Nara Diraja, ‘Apa bicara tuan hamba, jikalau bendahara tiada serta kita, tiada akan hasil pekerjaan kita; dan jika kita ajak bendahara, di manakah ia mau?’. Maka kata Seri Nara Diraja, ‘Mudah juga pekerjaan itu pada hamba, Tuanku. Mari kita pergi pada bendahara kerana perkara siasah itu memanglah kotor juga,’ seperti disuratkan oleh ‘Kitab Melayu’ dariapada:


HIDUP BAHASA MELAYU!

Friday, July 4, 2008

WARGA PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
S U A R A P R I M A
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG

PERIHAL SENAPANG TAK BERPELURU
SAMA MACAM HARIMAU TAK BERTARING

Assalamualaikum,

Lama juga laman blog PRIMA menyepi, mungkin juga kerana filem ‘Sepi’ akan masuk pawagam Julai ini menyebabkan ianya terikut-ikut untuk bersepi sesepi-sepinya. Sebelum itu Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Pahang, Syed Adnan Dato’ Syed Abdullah menelefon Selasa lalu (1 Julai 2008), fasal isu ‘perihal senapang tak berpeluru’ apabila mahu membantu frasa penting dalam lanskap politik yang serba kucar-kacir, kacau-bilau dan berceridau. Justeru saya beritahu Syed Adnan (Abang Engku), samalah macam harimau tak bertaring, kuku pun tak boleh harap mampu mencakar. Tetapi penyair Yassinsalleh pula mengirim SMS hari ini (4 Julai 2008), kok tak ada peluru, kita belilah. Astaga!

Apalagi hari Isnin (30 Jun 2008), pembantu muzium di Muzium Negeri Sembilan, Ahmad Afian Abdul Kadir beritahu temujanji dengan Undang Luak Rembau, Dato’ Lela Maharaja Haji Mohd Sharip Othman sudah ditetapkan 10 Julai 2008. Dalam tempoh ‘bersepi’ itu memang saya tumpukan masa untuk manuksrip buku berkaitan Rembau, al-maklumlah! Secara historikal, penyandang pesaka Undang Luak Rembau memang pembesar Melayu yang kuat sentimen menentang penjajah Inggeris. Malah Dato’ Nganit (1819-1838) turut mengangkat senjata secara militan membantu Dato’ Dol Said di Naning. Begitu juga Dato’ Haji Sahil (1871-1883) mengangkat senjata dalam perang di Legong menentang Syed Hamid al-Qadri di Tampin yang disokong oleh Inggeris, di samping menerima risiko dipecat dan dibuang negeri ke Singapura. Begitulah!

Alhamdullillah, sekarang saya keluar dari ‘kamar menyepi’ untuk sama berblog semula dengan PRIMA. Bagaimanapun merasa terkedu juga apabila dilaporkan anak-anak yang belajar di Sekolah Taman Seri Gombak 1 mengalami keracunan makanan Selasa lalu (1 Julai 2008). Kebanyakan ibu bapa pelajar terbabit, bolehlah saya anggap anak atau adik-adik yang sama menetap dalam satu kariah masjid. Apalagi anak saya sendiri juga menjadi tenaga pengajar di sekolah berkenaan, tentulah perasaan ‘kebapaan’ saya sukar disembunyikan apabila anak-anak terbabit sakit perut, muntah-muntah bercampur darah dan tenaga menjadi lemah. Memang kita tak boleh menuding jari kepada sesiapa bagi mencari kesalahan, sebaliknya insiden berkenaan boleh dipantau kalau semua pihak prihatin dengan masalah permakanan di kantin.

Keracunan makanan yang disediakan di kantin sudah berlaku di beberapa buah sekolah sebelum ini, termasuk di Pahang dan Kelantan. Misalnya, kalau jabatan pelajaran ‘turun padang’ apabila menerima aduan ibubapa, dengan tak melayani sebagai isu remeh temeh, segalanya boleh dipantau. PRIMA pernah terbabit dalam satu isu di sebuah sekolah menengah di Selangor berikutan tindakan disiplin yang keterlaluan guru-guru ke atas murid tegar. Jabatan pelajaran sekadar menerima laporan pihak sekolah, yang membuat ‘tekanan’ kepada anak saya (sekarang anak yang dikatakan ‘tegar’ itu sudah menuntut di Universiti Industrial Selangor). Akhirnya, apabila isu berkenaan dibawa PRIMA kepada Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi (sepatutnya tak perlulah begitu), barulah tindakan segera diambil. Aduhai!

-Pak Dharma.

INFO HAK ASASI MANUSIA


PIMPINAN ISLAM GEMAR BERBALAH
MUSUH AMBIL PELUANG KELEMAHAN

Pimpinan Melayu yang gemar berbalah akibat perbezaan pendapat, menyebabkan pihak musuh mengambil peluang berikutan kelemahan sendiri apabila mahu memperkasa perpaduan dalam memepertahankan bangsa, agama dan tanahair, kata aktivis belia Dato’ Suhaimi Ibrahim. Mengulas isu Majlis Gurdawara memfailkan permohonan sebagai ‘mencelah’ di Pejabat Pendaftaran Mahkamah Tinggi, Jalan Duta semalam (3 Julai 2008) berikutan larangan penggunaan perkataan Allah dalam penerbitan Herald-The Chatolic Weekly, beliau menjelaskan ianya berpunca daripada kelemahan umat Islam sendiri. “Itulah masalahnya, orang Islam berbalah sama sendiri, bukan Islam ambil kesempatan atas kelemahan kita,” kata Dato’ Suhaimi yang juga Setiausaha Politik Perdana Menteri.

Laporan akhbar hari ini (4 Julai 2008) menyebut Majlis Gurdawara menerusi Tetuan Jagjit Singh & Co menamakan Menteri Keselamatan Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia sebagai responden pertama dan kedua, dengan alasan afidavit itu bertujuan menjaga kepentingan kaum Sikh khususnya mengenai kebebasan dan hak-hak dalam perlembagaan Persekutuan. Matlamat permohonan ‘mencelah’ itu bagi mengekalkan agama Sikh, identiti, kebudayaan dan warisan kerana mereka mendakwa, perkataan Allah digunakan bagi merujuk kepada Tuhan adalah sebahagian daripada intergal kepada versi asal Kitab Suci Agama Sikh. Bagaimanapun Setiausaha Agung Persatuan Peguam Muslim Malaysia, Mohd Radzi Mustapha tak dapat dihubungi bagi memberikan komen.

INFO SASTERA & BUDAYA

DILEMA SENIMAN MELAYU:
KERJAYA BUKAN PROFESION


Pembabitan aktivis seni dalam kerjaya masing-masing berhadapan dilema, kerana sukar dijadikan sebagai profesionalisme berikutan tiada penghargaan yang setimpal, menurut bekas aktivis perfileman Yassinsalleh. Katanya, bukan sahaja imbuhan yang diterima tak berbaloi, malah penghargaan yang diberikan sekadar ‘memilih bulu’. Yassinsalleh yang juga seorang penyair menyentuh isu karyawan muda tak berminat berpersatuan dalam media perdana hari ini (4 Julai 2008). Kalau berpersatuan untuk kepentingan seorang berdua individu, beritahu Yassinsalleh yang pernah dinobatkan pengarah terbaik Pesta Filem Malaysia sekitar dekad 1980-an menerusi ‘Dia Ibuku’, tak hairanlah karyawan muda ‘meluat’ untuk berpersatuan.

Seterusnya ujar Yassinsalleh, pernahkah persatuan-persatuan sedar artis-artis veteran juga tak mampu menjadikan kerjaya mereka sebagai profesionalisme?. “Misalnya, artis meminta bayaran RM100 ribu bagi watak utama sesebuah filem, tentu dianggap ianya mengada-ngada, bukan menghargai bakatnya,” kata Yassinsalleh. Menurutnya, beliau pernah diberitahu, aktor Allahyarham Mahmud June dibayar RM150 untuk watak kecil dalam sebuah drama swasta. Bagaimana mahu menghargai seorang aktor veteran, kalau bayaran hanya sesuai untuk pekerja buruh binaan sehari, beliau menambah. Yassinsalleh juga menyebut mengenai empat artis yang pernah dihantar ke Kongo pada dekad 1960-an, tetapi seorang sahaja diberi anugerah negara.

“Empat artis berkenaan bukannya melancong, tetapi menghiburkan tentera-tentera Malaysia yang berkhidmat di tengah api peperangan di Kongo, di samping turut sama menyabung nyawa,” kata Yassinsalleh lagi. (Berdasarkan rekod artis yang dimasudkan oleh Yassinsalleh ialah Tan Sri S.M. Salim, Ismail Bontak, Normadiah dan Hashimah Yon). Seterusnya Yassinsalleh memberitahu, beliau menerima laporan mengenai penulis skrip TV untuk animasi dibayar RM100 sahaja bagi satu siri, kononnya mengimbangi bayaran murah oleh Astro. “Lebih baik tak payah berpersatuan, kalau untuk kepentingan seorang berdua sahaja individu,” kata Yassinsalleh.

INFO SUARA PROLITAR

SENTIASA BERTAQWA DAN IBADAT
MOGA-MOGA JAUHKAN MALA PETAKA

Bertaqwalah kepada Allah SWT, jangan meminta bantuan kepada makhluk. Tak perlu kita meminta-minta kepada sesama makhluk, kerana Allah SWT sudah mengatur segala yang ada di bumi dan di langit dengan sempurna. Dengan keadaan negara sekarang sibuk orang-orang politik buat masalah, marilah kita semua sentiasa ingatkan Allah SWT. Moga-moga Allah SWT melindungkan negara kita dari mala petaka. – (SMS; 2 Julai 2008 – Abdul Latiff bin Sheikh Haji Ahmad, Seperi Hilir, Jelebu, N. Sembilan).

KOMENTAR
bersama Pak Parjo

SUDAH AZALI SEJAK DAHULUKALA:
PEMBESAR MELAYU FITNAH MEMFITNAH

Syahdan tersebutlah ceritera di negeri Melayu itu, berbalahlah pembesar-pembesarnya dengan tuduh menuduh. Arakian akan Orangkaya Dato’ Seri Anwar Ibrahim masghullah ia kerana khabarnya difitnah orang. Maka tersebutlah pula memanda Timbalan Perdana Menteri Orangkaya Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, mengaku juga ianya jadi mangsa difitnah. Sebermula diberitahu orang banyak kepada fakir, terlalu masghullah rakyat jelata kerana fitnah memfitnah semakin menjadi-jadi. Sudah azali sejak dahulukala kononnya pembesar-pembesar Melayu itu memang gemar sangat ianya fitnah memfitnah, tohmah mentohmah, jatuh menjatuh. Sekali persetua di dalam negeri Melayu itu dikata orang banyak macam tak lagi bermaruah, kerana kejadian bermukah itu sudah tak terasa meloyakan, menjijikkan dan menggeli-gelemamkan. Barangkali!

Arakian berkampunglah Pateh Karma Wijaya bersama pembesar-pembesar yang dengki akan Laksamana Hang Tuah itu kerana terlalu disayangi oleh raja. Maka kata Pateh Karma Wijaya, “Apa bicara Orangkaya sekalian, akan Hang Tuah itu sangatlah disayangi sultan, satu salahnya pun tiada!” Syahdan sekalian orang besar itu berfikirlah sesama sendiri. Sekali persetua disebut oranglah adapun akan Laksamana Hang Tuah itu bermukah dengan dayang istana. Terlalu murkalah Sultan Mansor Shah mendengar sembah Pateh Karma Wijaya, merah padam muka baginda. Maka akan Laksamana Hang Tuah disuruh buang jua pada Bendahara Paduka Raja. Maka oleh bendahara segala titah itu dikerjakanlah. Arakian medengar Laksamana Hang Tuah dibuang raja, Hang Jebat pun mengamuk dalam istana. Bergelimpanglah mayat orang banyak, tak terperi bau busuknya akibat diamuk Hang Jebat, seperti disurat dalam ‘Kitab Melayu’ daripada:







HIDUP BAHASA MELAYU!