Monday, July 28, 2008

WARGA PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
S U A R A P R I M A
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG

IKTIBAR DARI TANAH SUCI
SETIAP INSAN SAMA DI SISI KHALIQ

Assalamualaikum,

Selepas solat subuh pagi ini (28 Julai 2008), saya menonton TV Astro OASIS jam 6.30 am, di samping menekuni slot ‘Iktibar Dari Tanah Suci’. Apalagi Ustaz Hassan Mahmud al-Hafiz kelihatan sebak menahan keharuan apabila mengimbau insiden di Tanah Suci yang sukar mahu dituturkan. Astaga! Malah Ustaz Hassan turut mengakui pernah juga mengalami koma beberapa hari hingga terkejang di hospital, hingga tampil lelaki aneh dengan berpakaian jubah hitam tercegat di sisinya. Apabila sembuh daripada koma, di samping sihat walafiat, Ustaz Hassan mengambil keputusan mengendalikan urusan bagi mengerjakan umrah. Mungkin sahaja sekali imbas insiden yang menimpa Ustaz Hassan dikira kisah klise. Barangkali!

Apabila Ustaz Hassan memberitahu kejadian ganjil yang dialami ketika terkejang koma di katil hospital, mungkin para cendekiawan Islam Melayu tak akan mempertikai. Berdasarkan Ustaz Hassan mencapai status al-Hafiz (sekalipun guru saya Allahyarham Pak Muchtar Lintang juga al-Hafiz, tetapi tak pernah beliau menggunakan status tersebut) memang cendekiawan Islam sukar menolak pengkisahan beliau di samping melabelkan sebagai tahyol, khurafat mahupun bidaah. Sebaliknya menerusi buku-buku siri Tok Awang Ngah yang diterbitkan oleh Haji Abu Bakar Ninggal atau siri Tamar Jalis yang diterbitkan oleh Dato’ Dr Haji Mustapha Ton, insiden seperti yang dilalui oleh Ustaz Hassan itulah yang ditampilkan.

Memang sukar mahu ditafsirkan jelmaan yang mengunjungi Ustaz Hassan ketika beliau terkejang koma, tetapi cendekiawan Melayu pernah mendesak kementerian dalam negeri mengharamkan buku-buku yang dikategorikan sebagai ‘seram’ sekitar dekad 1980-an dan 1990-an. Tak hairanlah seorang kawan yang juga peniaga buku tak dibenar menjual buku siri Tok Awang Ngah ketika berlangsung muktamar PAS, kerana dianggap berunsur tahyol, khurafat dan bidaah yang boleh mendorong kepada kesongsangan aqidah. Entahlah! Bagaimanapun menurut kawan itu Abdullah Mohd Noor, apabila Mursyidul Am PAS Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat melintasi gerainya sambil membelek-belek buku berkenaan, beliau secara spontan menyebut ianya bagus.

Selepas Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz mengakui buku yang dikategorikan seram itu sebenarnya ‘bagus’, barulah ramai pengunjung bertumpu ke gerai di samping membeli buku siri Tok Awang Ngah dan Tamar Jalis. Iktibar daripada insiden tersebut, rupa-rupanya cendekiawan Melayu yang menganggap mereka ilmuan Islam tak pernah pun membaca buku berkenaan, tetapi membuat penilaian menerusi pendapat peribadi secara emosi. Sebaliknya Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz membacanya terlebih dahulu beberapa perenggan sebelum membuat kesimpulan. Tak hairanlah Haji Abu Bakar dan Dato’ Dr Haji Mustapha Ton melahirkan rasa kesal dengan cendekiawan Melayu yang lebih banyak bercakap daripada membaca. Entahlah!

-Pak Dharma.

INFO HAK ASASI MANUSIA

UMNO AKAN JADI MANGSA SEJARAH
SELAGI AHLI DIPAKSA CALON PAK LAH-NAJIB

Langkah pimpinan UMNO memberi ‘guide line’ kepada Bahagian mencalonkan Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak sahaja untuk jawatan Presiden dan Timbalan Presiden dianggap sebagai perhambaan minda yang keterlaluan ke atas ahli-ahli UMNO, kata bekas Exco Pemuda UMNO yang juga Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz. Menurut Dato’ Kamal Amir episod feudalisme di istana Melaka sudah berakhir dengan kehancuran di tangan penjajah luar iaitu Portugis pada 1511, justeru pimpinan Dato’ Seri Abdullah dan Dato’ Seri Najib diingatkan tak menjadikan UMNO mangsa sejarah. “Kalau ahli dipaksa calonkan Pak Lah dan Najib sahaja, UMNO akan menjadi mangsa sejarah,” kata Dato’ Kamal Amir.

Ketika menghubungi sekretariat PRIMA dari Kota Bharu hari ini (28 Julai 2008), Dato’ Kamal Amir mengakui beliau terbabit dalam usaha mencalonkan Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah bagi jawatan Presiden UMNO dalam pemilihan Disember 2008 ini. Ahli-ahli UMNO perlu membebaskan diri daripada perhambaan minda yang menjadi trend pemimpin-pemimpin yang mahu mengekalkan kuasa, ketika majoriti rakyat menolaknya menerusi sistem demokrasi. Kata Dato’Kamal Amir, kalau mahu memertabatkan bangsa Melayu, UMNO sendiri perlu menerima perubahan. “Pak Lah dan Najib perlu membenarkan ahli-ahli UMNO membawa perubahan dengan pemilihan pucuk pimpinan secara terbuka bukan mengekalkan kuasa,” beritahunya.

INFO SASTERA & BUDAYA

SENIMAN MELAYU TERSOHOR 50-AN
NILAI SUMBANGAN KERJAYA SENINYA

Seniman Melayu tersohor dekad 1950-an dan 1960-an, Dato’ Ahmad Mahmud terlantar uzur di Hospital Pantai, Kuala Lumpur ketika usianya menjangkau 85 tahun. Laporan media hari ini (28 Julai 2008) menyebut rakan-rakan seperjuangannya dari Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) pimpinan Dato’ Mustapha Maarof sudah membuat kunjungan. Ahmad Mahmud bukanlah nama kecil dalam perfileman Melayu, malah beliau setanding dengan kehebatan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, Dato’ S Roomai Noor, Yusuff Latiff dan Noordin Ahmad. Sebaliknya P. Ramlee juga hanya diberi penghargaan selepas meninggal dunia, di samping beberapa pihak cuba menumpang glori penampilannya. Bagaimanapun memang Ahmad Mahmud dianggap ‘kurang mesra’ dengan kalangan wartawan sejak dekad 1950-an lagi.

Misalnya, ketika sebuah penerbitan majalah hiburan menggerakkan undi popular di kalangan aktor dan aktres Melayu, Tan Sri P Ramlee menerima undi tertinggi diikuti oleh Tan Sri Jins Shamsuddin, Aziz Jaafar dan Noordin Ahmad. Sekalipun Ahmad Mahmud tak tersenarai menerusi undi popular majalah hiburan berkenaan, tetapi beliau mampu menyaingi kehebatan P. Ramlee seperti ditunjukkan melalui filem ‘Hang Tuah’. Beliau yang memegang watak Hang Jebat dikatakan membayangi watak Hang Tuah lakonan P Ramlee, apabila filem berkenaan ditayangkan di Mesir. Keberkesanan lakonan Ahmad Mahmud juga menyebabkan beliau dikutuk peminat filem Melayu dalam filem ‘Megat Terawis’ apabila menjadi suami dayus yang menyerahkan isteri kepada anak raja.

Di samping pelakon hebat, Ahmad Mahmud juga dikenali sebagai penyanyi dengan lagu-lagu duetnya bersama Normadiah, Rahmah Rahmat dan Hashimah Yon yang popular seperti ‘Tanda Kasih’, ‘Dahaga’, ‘Genggang Si Daun Genggang’, ‘Seludang Mayang’, ‘Pertarungan’ dan beberapa lagi. Beliau juga turut menulis skrip filem seperti ‘Taqdir’ arahan Omar Rojik yang membariskan pelakon Saadiah, Jins Shamsuddin, S. Kadarisman, Haji Mahadi dan Salleh Kamil. Ketika perfileman Melayu berberantakan, Ahmad Mahmud tampil menerbitkan filem sendiri berjudul ‘Antara Dua Nesan’ dengan memperkenalkan aktor A. Galak; sekalipun gagal di pasaran tetapi Ahmad Mahmud secara historikal turut berjuang memartabatkan perfileman Melayu.

PESTA BUDAYA ORANG ASLI KG PIAN
DITANGGUH KERANA SENARIO POLITIK

Pesta budaya Orang Asli DUN Jenderak di Pahang yang dijangka 2 Ogos 2008 ini di Kampung Pian ditangguhkan kepada tarikh yang belum ditetapkan. Pengerusi Panatia sambutan pesta berkenaan L Mankadir Shamsi memberitahu, penangguhan dibuat atas sebab-sebab senario politik sekarang tak mengizinkan. Menurut Mankadir, musim buah-buahan akan berakhir menjelang September 2008, justeru tarikh yang sesuai ialah pada bulan Ogos ketika musim buah-buahan di kemuncaknya. Jadual program yang diatur beritahu Mankadir seperti dijelaskan oleh pihak penganjur di bawah pimpinan Haji Suhaimi Said ianya dirasmikan oleh Puteri Reformasi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai, Puan Nurul Izzah Anwar. “Dalam keadaan senario politik sekarang Puteri Reformasi lebih diperlukan membantu ayahnya Dato’ Seri Anwar Ibrahim,” katanya.

PERBINCANGAN ‘MEJA BULAT’ BUDAYA
PIMPINAN PRIMA DIBERI PENGHARAGAAN

Perbincangan ‘meja bulat’ kebudayaan di Negeri Sembilan akan diadakan di kompleks pertanian Kampung Seperi di Rembau 3 - 4 Ogos 2008 ini berkaitan ‘laluan perjalanan Undang Luak Rembau’ membuat kunjungan hormat ke Istana Seri Menanti dengan berjalan kaki yang menjadi legasi bagi istiadat selepas dikerjankan (ditabalkan). Ketua pimpinan PRIMA, Pak Dharmala N.S. diberi penghargaan oleh pihak penganjur bagi menyertai perbincangan ‘meja bulat’ ini. Pak Dharmala pernah terbabit dalam dialog dengan Persatuan Masyarakat Sejarah di Riau pada 2003, hingga Naib Gabenor Propinsi Riau turut meminta dikaji ungkapan yang menyebut: Beraja ke Johor, bertali ke Siak, bertuan ke Minangkabau, yang menjadi paksi sistem beraja di Negeri Sembilan.

INFO SUARA PROLITAR

APABILA ANTAN DI LESUNG BERBALAH
SUDAH TENTU AYAM YANG KENYANG TEMBOLOK

Hairan juga dengan Karpal Singh. ‘Bengkek’ sahaja hatinya apabila UMNO-PAS mahu berbaik-baik. Seolah-olah biarlah UMNO-PAS terus berbalah. Apabila ‘antan’ di lesung berbalah, sudah tentu ayam yang kenyang tembolok. Itulah yang Karpal Singh mahu. Biarlah orang Melayu tak maju-maju. 50 tahun merdeka orang Melayu masih jadi petani, jadi peneroka Felda, jadi drebar taukeh-taukeh bukan Melayu. Kalau bukan UMNO-PAS diharap membela orang Melayu, siapa lagi? Orang politik bukan Melayu, muncul tolong seorang berdua individu Melayu, nak jadi hero. Itu saja! – (SMS; 28 Julai 2008, 14:37:18 – Man Cincai, Selayang, Selangor).

PEMUDA HANTAR BARANG KEPERLUAN
ORANG RAMAI MERUNGUT TAMBAH MELUAT

OLEH:ASALBAYU

Pada 26.7.2008 UMNO Cawangan aku bersidang. Aku ad... Pada 26.7.2008 UMNO Cawangan aku bersidang. Aku adalah salah seorang AJK dan pernah bertugas masa PRU 12 dulu. Setiap malam aku berada di bilik gerakan dekat rumah aku. Suatu malam ada seorang pemuda datang hantar barang keperluan kempen. Pemuda itu kata kawasan Anak Bukit tempat istana tuanku Sultan Kedah tu dikuasai oleh ADUN PAS. Baginda pernah merungut tentang hal itu dan bermaksud supaya BN ambil. Aku mula meluat kerana berpendapat ia sengaja direka-reka. Serupalah rekaan yang sedang berlaku sekarang ni. Menjelang tarikh pembuangan undi ada wanita datang ke bilik gerakan cerita kononnya orang-orang PAS sering maki orang. Aku naik sangsi kerana Ahli Parlimen Baling bekas Imam Masjid Negara tu ada pertalian keluarga dengan aku tak pernahpun maki orang biarpun hubungan kami taklah mesra sangat. Sebaik saja PAS menang di kebanyakan DUN cepat pula tuanku restui PAS bentuk kerajaan. Sekarang ni aku dah tak berapa minat dengan UMNO. Itulah sebabnya aku tak pergi ke persidangan UMNO pada 26.7.2008 itu. Kebetulan pula aku ada kerja di tempat lain pada tarikh dan waktu yang sama. Memang itulah yang aku harap. Aku sebenarnya dah tak berminat dengan UMNO. Apa-apapun tahniah kepada MB Kedah yang dapat gelaran Dato Seri.

KECOH PASAL KERETA MEWAH
YANG PULUN TERUS MEMULUN

OLEH: ASALBAYU

Kerajaan Negeri Terengganu kecoh lagi dengan isu k... Kerajaan Negeri Terengganu kecoh lagi dengan isu kenderaan mewah pula. Sebelum ini ketika nak bentuk kerajaan kecoh pasal nak lantik MB. Oh, ya macam mana Idris Jusoh (Pok Yeh) la ni? Dah jadi beruk Mak Yeh dah kot. Selalukah keluar dengan Mamat yang jadi individu iklan Celcom tu. Sebenarnya ada banyak lagi individu yang dah tak popular lagi la ni. Khairy Jamaludin, Hishamuddin Tun Husain, Azalina Othman Said, Hamid Albar tu dah lama. Ramai lagilah. Kesian. Yang dok pulun pun ada. Mat Taib (Mike Tyson) adalah salah seorang daripadanya.

KOMENTAR
bersama Pak Parjo

SURAT LAYANG ORANGKAYA TERENGGANU
SENGAJA BURUK-BURUKKAN PIMPINAN NEGERI

Syahdan tersebutlah kisah Orangkaya Menteri Besar Terengganu Dato’ Ahmad Said mengakui sudah banyaklah surat layang diterima memburuk-burukkan pimpinan di negerinya seperti diberitahu kepada penitir canang hari ini, 25 Rejab 1429 (atau kata anak cucu fakir ialah 28 Julai 2008). Arakian sebelum ini sudah berlaku juga perbuatan yang memburuk-burukkan pimpinan di negeri Orangkaya Dato’ Ahmad Said. Adapun orang yang memburuk-burukkan itu bukanlah dari harakah Islam (atau PAS menurut anak cucu fakir), tetapi ialah harakah Melayu (barangkali disebut orang banyak UMNO). Maka diungkitlah mengenai pembelian kenderaan rasmi (14 buah Mercedes-Benz E200 Kompressor) bernilai RM3.43 juta dan selenggaraan (Perdana V6 Eksekutif) mencecah RM1.07 juga oleh bekas Orangkaya Menteri Besar Dato’ Seri Idris Jusoh.

Arakian segala anak cucu Telanai Terengganu semuanya lari ke Melaka persembahkan ke bawah duli Sultan Alauddin bahawa Telanai Terengganu sudah mati dibunuh oleh Seri Akar Raja dan peri Raja Pahang hendak melanggar balairong Melaka itu pun semuanya dipersembahkannya kepda baginda. Maka Sultan Alauddin terlaku sangat murka. Maka baginda menyuruh menyerang Pahang. Syahdan maka sembah Bendahara Paduka Raja, ‘Tuanku, ampun beribu-ribu ampun di atas batu kepala patik. Pada bicara patik hamba tua ini, jangan takjil kita membinasakan Pahang itu. Barang suatu hal paduka kanda itu, Tuanku rugi; baik patik itu laksamana kita utuskan ke Pahang,’ seperti yang disuratkan dalam ‘Kitab Melayu’ daripada:



HIDUP BAHASA MELAYU!

Saturday, July 26, 2008

WARGA PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
S U A R A P R I M A

(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG:


PETINJU NEGARA DEKAD 1980-AN
MELAWAK MACAM TAN SRI P RAMLEE


Assalamualaikum,



Dalam perjalanan ke Seri Kembangan semalam (25 Julai 2008) menjemput anak saya Nurul Salwa untuk menjemput balik, tak dapat dielakkan kesesakan lalu lintas sepanjang jalan, disebabkan jam kira-kira 6.00 petang memang waktu heh heh heh! Ketika saya bersama isteri memasuki pekan Seri Kembangan anak saya menelefon beritahu mengenai rumah sewannya dipecah masuk hingga mangga solex pun terberancai. Anak saya tinggal bersama kawan-kawannya (lima orang) pelajar Universiti Industri Selangor (Unisel) dalam sesi menyiapkan pengajian praktikal di Seri Kembangan. Sebaik sahaja sampai di rumah berkenaan, saya terus membawa pelajar-pelajar terbabit membuat laporan di Balai Polis Seri Kembangan (hampir masuk maghrib).



Selepas membuat laporan, pelajar-pelajar terbabit dibawa menemui Sarjan Adnan Harun penolong penyiasat jenayah, bagi prosedur selanjutnya. Tak disangka pula Sarjan Adnan mampu berlawak seakan-akan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dengan ‘sarjana dalam filem Ahmad Albab’. Rupa-rupanya Sarjan Adnan memang mempunyai pertalian keluarga dengan Tan Sri P. Ramlee, di samping menyimpan dengan baik salinan kad pengenalan seniman legenda berkenaan. Beliau pula bukanlah aktivis seni, sebaliknya pernah terbabit sebagai atlet negara mewakili Malaysia ke sukan SEA di Istora Senayan, Jakarta pada 1980-an dalam sukan tinju. Sekalipun melawak beliau mengakui terpaksa menggantung glov selepas diminta oleh ‘kekasih’nya berbuat demikian (kemudian menjadi isterinya). Begitulah!

Terima kasih kepada Sarjan Adnan dan anggota polis di Seri Kembangan yang bertindak pantas, apabila sampai ke lokasi tempat tinggal pelajar-pelajar berkenaan (termasuk anak saya) dalam tempoh tak sampai setengah jam. Bukan sahaja pandai melawak, malah segera bertindak sebaik sahaja menerima laporan. Ketika sampai di lokasi tempat tinggal pelajar, anggota polis terbabit juga turut melawak apabila pelajar-pelajar berkenaan membenarkan mereka (orang tak dikenali) masuk dengan tak bertanya terlebih dahulu. Bagaimanapun pelajar-pelajar terbabit cam mereka yang mengetuk pintu memang anggota polis tak beruniform.



Sebelumnya ketika di luar bilik Sarjan Adnan pun, seorang lelaki menunggu selepas membuat laporan kenderaannya dipecahkan apabila singgah di pasar malam. Beliau turut mengakui kecekapan polis di Seri Kembangan, dalam tempoh tak sampai satu jam suspek dapat ditahan apabila cuba memecah dua tiga buah kereta lagi. Barang-barang berharga yang ditinggalkan di dalam kereta termasuk komputer riba ditemui semula. Justeru PRIMA berasa bangga dengan kecekapan Balai Polis Seri Kembangan menangani isu jenayah dalam tempoh singkat, sekalipun dalam suasana melawak tetapi lebih berkesan ketika bertindak membantu masyarakat. Syabas!


-Pak Dharma.


INFO HAK ASASI MANUSIA:


UMNO-PAS DISARAN BUBAR
TUBUHKAN PARTI POLITIK BARU!


Saranan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat supaya UMNO dan PAS dibubarkan bagi menubuhkan sebuah parti baru bersama dilihat sebagai kaedah terbaik menyelesaikan kesongsangan politik Melayu sekarang, menurut kalangan rakan-rakan penganalisis politik. Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan ketika membuat sarana tersebut selepas muktamar majlis mursyidul PAS di Kota Bharu hari ini (26 Julai 2008), mengulas kebimbangan Presiden UMNO Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi dengan senario politik sekarang yang memerlukan skop kerjasama UMNO-PAS tak berkisar pada ‘muzakarah’ dan ‘muqabalah’ sahaja. Saranan tersebut perlu dilihat dari pelbagai dimensi, kerana ianya bukan keputusan muktamar PAS secara syura.

Mungkin sahaja penyokong taksub PAS mahupun UMNO, menganggap ianya tak sesuai dilaksanakan kerana kedua-dua pihak perlu mengorbankan banyak kepentingan politik masing-masing. Bagaimanapun PAS dan UMNO tetap mempunyai kelemahan dan kekuatan tersendiri yang mampu merealisasikan kaedah terbaik seperti saranan Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz, asal sahaja kedua-dua pihak boleh mencapai kompromi yang tebal dengan sentimen kaum dan agama sebelum ini. Dato’ Seri Abdullah perlu melihat kelemahan dan kekuatan UMNO, di samping Presiden PAS Tuan Guru Dato’ Seri Hadi Awang juga menelusuri kelemahan dan kekuatan partinya. Secara retorik landasan politik UMNO-PAS tak jauh berbeza, kecuali pendekatan masing-masing sahaja kadangkala lebih emosional daripada rasional. Barangkali!



Parti politik bukan Melayu memang menganggap tak selesa dengan kerjasama yang digerakkan UMNO-PAS menerusi ‘muzakarah’ atau ‘muqabalah’, apalagi dibubarkan untuk sasaran penubuhan parti baru itu. Sekalipun berat untuk difikirkan, tetapi senario politik sekarang seolah-olah menuntut pengorbanan daripada UMNO-PAS dalam cara pendekatan masing-masing kerana ‘Melayu’ (yang diperjuangkan UMNO) dan ‘Islam’ (yang diperjuangkan PAS) berada di atas landasan yang sama tetapi berlainan lokomotif. Secara historikal memang UMNO sukar dibubarkan, malah mereka bersedia kehilangan Dato’ Onn Jaafar daripada membenarkan bukan Melayu menjadi ahlinya pada 1951. Malah PAS juga bersedia kehilangan Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan daripada membenarkan ianya condong menyokong Dato’ Onn. Begitulah!



INFO SASTERA & BUDAYA:

USAHA KLASIK NASIONAL DIHARGAI
PANTUN SEBAGAI PUISI MELAYU LAMA


Puisi Melayu lama terutama pantun dan syair perlu digalakkan menerusi penulisan generasi sekarang bagi melestarikan kesusasteraan lisan yang menjadi legasi masyarakat di masa lalu. Peminat dan pengumpul pantun-pantun lama Haji Mohd Noor Jion, 92 dari Simpang Tiga, Gombak mengalu-alukan usaha stesen radio iaitu ‘Klasik Nasional’ mempromosi pantun menerusi pertandingan menjelang Hari Kemerdekaan. Di samping pantun sebagai puisi Melayu lama, Haji Mohd Noor juga berharap syair juga kembali diberi penghargaan. Katanya di masa lalu, bukan sahaja syair ‘Selendang Delima’, ‘Siti Zubaidah’ atau ‘Danda Setia’ menjadi kegemaran masyarakat, malah syair berbentuk dakwah seperti ‘Syair Muhammad Ali Hanafiah’ juga menjadi bahan bacaan kepada mereka yang rajin membaca.


Haji Mohd Noor berasal dari Chenor, Pahang pernah berkhidmat selaku pendidik lepasan Maktab Perguruan Tanjung Malim (MPSI) sekitar dekad 1930-an, mengakui selepas berhenti daripada perjawatan pada period pasca Jepun, sijil MPSI ‘tak laku’ untuk memegang jawatan selain daripada guru. Puisi-puisi lama yang sempat disusun oleh Haji Mohd Noor diperturunkan di bawah ini:


Melaka:


Di Melaka Hang Tuah kita megahkan
Taat setia raja negarajadi cogan
Tetapi sekarang,
Mat Zalim, Ah Chong kita tuankan


Sejak kota Melaka telah terdiri
Pekan Melaka tambah berseri
Tetapi sekarang,
Di mana kuburnya Hang Kasturi?


Kedah:


Di Kedah zaman Merong Mahawangsa
Pernah berperang dengan raksasa
Tetapi sekarang,
Tengkorak itu hanya di istana raja.


Di Kedah ada kota masih disebut
Kota bernama Kota Sarang Semut
Tetapi sekarang,
Riwayatnya hampir luput.


Dahulu peri Pulau Langkawi
Puteri Cina, putera Rom bersembunyi
Tetapi sekarang,
Hanya tinggal lengang dan sunyi.


Pahang:


Di Pahang sudah kita dengari
Di sana ada Kota Gelanggi
Tetapi sekarang,
Dewa dan kayangan tak ada lagi.


Masyhur ceritanya kita dapat
Kotanya tujuh dekat-dekat
Tetapi sekarang,
Ada terletak di hutan padat.


Johor:


Di Johor Puteri Gunung Ledang
Tun Mamat disuruh meminang
Tetapi sekarang,
Kisahnya sudah hampir hilang.


Perak:


Di Perak dekat daerah Lumut
Kotanya kulit kerang dan siput
Tetapi sekarang,
Kerana tak dijaga dah reput.


Sajak:


SEHABIS IKHTIAR

Pulau batu Putih
Rumah api tiada jalur gemilang berkibar
Jauh hati sampai bila kita bersabar
Pulau terlepas
Batu menghempap
Putih mata.

ABDUL HADI MUHAMAD
23 Mei 2008



NAIK MINYAK NAIK
Tiada haiwan selain gajah
dikatakan naik minyak
penghuni terbesar rimba itu
membunyikan tempiknya
Pelanduk dan musang
meremang ikut naik segala roma
tiada terkecuali awak-awak serangga
Naik minyak naik
memerah muka gajah meta
senak perut senak
memulas sakit mencair mata


ABDUL HADI MUHAMAD
10 Julai 2008.



INFO SUARA PROLITAR:

TAK WAJAR 5 TAHUN SEKALI
TOPI KELEDAR PERLU DIGANTI


Berita ringkas di radio (Klasik Nasional) jam 6.00 petang hari ini (26 Julai 2008), dilaporkan ‘jangka hayat’ topi keledar bagi penunggang motosikal akan dilupuskan selepas lima tahun. Bukan topi keledar itu jadi pelindung keselamatan, tapi ialah sikap penunggang sendiri. Langkah tersebut sekadar memberi kepentingan kepada ‘pembekal’ topi keledar, bukan masalah keselamatan. Kerajaan diminta jangan melayani sangat fakta topi keledar tak sesuai selepas digunakan lima tahun akibat fenomena cuaca. Ketika kempen menyuruh rakyat berjimat, jangan layan nafsu ‘peniaga’ dengan memperalat isu keselamatan jalanraya. – (SMS: 26 Julai 2008; 21: 47: 08 – Man Cincai, Selayang, Selangor).

KOMENTAR
bersama Pak Parjo

TIBA-TIBA SAHAJA NAJIB BERSUARA
MINTA BERI SOKONGAN PADA JUN 2010.


Sebermula tersebutlah akan Orangkaya Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak berkatanya ia di Kuala Terengganu, hendaklah semua rakyat jelata menyokongnya apabila beliau menjadi Orangkaya Perdana Menteri pada 1431 Hijrah kelak (atau disebut anak cucu fakir Jun 2010). Arakian akan bekas Orangkaya Memanda Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad akan kembalilah menyertai harakah Melayu (atau UMNO) pada 1431 Hijrah itu, adanya. Maka berasa hairanlah segala orang banyak, seolah-olah sekarang ini Orangkaya Dato’ Seri Najib itu tak disokong oleh rakyat jelata, gerangannya. Syahdan, tak perlulah Orangkaya Dato’ Seri Najib menunggu hingga 1431 Hijrah, kerana sekarang pun ia memang wazir ketua kerajaan jua, adanya.

Hatta beberapa lamanya di jalan, maka sampailah ke benua Siam. Maka diwartakan orang kepada Paduka Bubunnya, ‘Utusan dari Melaka datang’. Maka oleh Paduka Bubunnya disuruh jemput surat itu pada Pra Kelong, disuruhnya arak dengan sepertinya. Telah datang ke balairong, maka surat itu dibaca oleh jurubahasa. Setelah diketahui ertinya, maka terlalu suka Paduka Bubunnya mendengar bunyi surat itu. Maka titah Paduka Bubunnya kepada Tun Telanai, ‘Siapa mengarang surat ini?’. Maka sembah Tun Telanai, ‘Mangkubumi raja Melaka, Tuanku’. Arakian bertanyalah raja Siam mengapa Melaka tak alah diserang Siam, jawabnya tak payah raja (orang pertama), wazir pun (yakni orang kedua) juga boleh diharap memerintah negeri seperti disurat dalam ‘Kitab Melayu’ oleh:






HIDUP BAHASA MELAYU.

Thursday, July 24, 2008

WARGA PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
S U A R A P R I M A

(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG


KEBOBROKAN JADI RAKYAT MELUAT
KERAJAAN PAKATAN PERLU RASIONAL

Assalamualaikum,

Balik dari pejabat Tabung Haji di Selayang semalam (23 Julai 2008), saya ternampak kren Majlis Perbandaran Selayang (MPS) bersiap sedia untuk ‘menarik’ kereta di depan Eon Bank, Taman Seri Gombak. Apalagi ‘penguatkuasa’ yang lengkap beruniform pun ‘mendada’ terlangah-langah mahu memastikan pemilik kenderaan terbabit. Begitulah! Fenomena pada period pentadbiran BN di bawah Menteri Besar Dato’ Seri Dr Mohd Khir Toyo, tak berbeza apa-apa dengan kerajaan negeri Pakatan Rakyat (PR) yang diketuai Tan Sri Khalid Ibrahim. ‘Perubahan’ bagaimana yang mahu dilaungkan kalau: Wal hasil balik hasal; wal hasal balik hasil! Meter letak kereta terus beroperasi yang diberikan kepada syarikat ‘pilihan’, dengan PR meneruskan legasi kebobrokan yang menjadikan rakyat meluat pada PRU12 lalu.

Dua hari lalu seorang rakan di Selayang mahu dikenali ‘Man Cincai’ beritahu fasal kenderaannya disaman sekadar letakkan lima minit sahaja sementara ‘top up’ hansetnya di kedai berdekatan. Saman dilaksanakan pula selepas pelantikan ahli MPS yang sudah tentunya kroni-kroni PR yang berselindung di sebalik kalagan aktivis NGO, kerana selepas PRU12 saman ‘kepenyamunan’ tak pernah dilakukan. Pada period pentadbiran BN saman dikenakan RM30, tetapi apabila di bawah PR saman yang dikeluarkan oleh MPS ialah RM60. Kenderaan saya pernah disaman oleh MPS ketika itu, hanya berhenti beberapa minit sahaja membeli barang di kedai ‘barang RM2 seunit’. Maknanya, si penguatkuasa ‘stand by’ untuk menyaman, kerana sebelumnya saya tak melihat individu berkenaan melancarkan gerakan menyaman (@ menyamun).

Bagaimanapun saya menulis surat kepada MB ketika itu Dato’ Seri Dr Mohd Khir Toyo apakah logiknya kutipan meter tempat letak kereta, kalau tak memberi sebarang khidmat. Dalam tempoh dua minggu, MPS menurap jalan-jalan yang berlubang, baiki bahu jalan yang terlopong dan terpokah, di samping membina lampu jalan di jalan utama dan menanam pokok-pokok. Maknanya Dato’ Seri Dr Mohd Khir memberi respons serta merta sebaik sahaja menerima aduan, justeru saman RM30 yang dikenakan MPS berbaloi apabila memperbaiki prasarana dengan peruntukan beribu-ribu ringgit. Padan muka! Di samping kawan saya Man Cincai, kenderaan saya juga disaman baru-baru ini, tapi kadar sudah dinaikkan kepada RM60.

Insya Allah, PRIMA akan mengirim surat kepada Tan Sri Khalid bagi meminta penjelasan terhadap unsur-unsur ‘kepenyamunan’ ini; yakni mengutip duit dengan tak memberi apa-apa perkhidmatan. Kalau PR berasa mereka sudah gagah perkasa, tak apalah! Aura pimpinan PR boleh diturunkan melalui kemeluatan, kemualan dan kebencian rakyat menerusi peti undi. Sekalipun Tuan Guru Dato’ Nik Aziz Nik Mat sudah memberi penjelasan, muzakarah PAS-UMNO tak bermakna akan membawa partinya menyertai BN, tetapi tak menghalang ianya mewujudkan formula kerjasama dalam bentuk yang lain. Apalagi Dato’ Seri Anwar Ibrahim pernah melabelkan PAS sebagai parti ‘maki hamun’ (sila lihat hansad Parlimen sekitar dekad 1990-an). Aduhai!

-Pak Dharma.

INFO HAK ASASI MANUSIA


BELANG SINGAPURA MAKIN JELAS
BERIKAN BETIS HENDAKKAN PAHA

(Kenyataan media Ketua Pimpinan PRIMA, Pak Dharmala N.S. di Kuala Lumpur pada 24 Julai 2008, mengenai isu Batu Putih selepas diberikan oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dan tuntutan kawasan perairan sebagai Zon Ekonomi Eksklusif).

Tuntutan yang dibuat Singapura melalui Menteri Kanannya, Balaji Sadasivan ke atas perairan wilayah 12 batu nautika dan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) di sekitar Batu Putih jelas memperlihat ‘belang’ negeri itu, diberikan betis hendakkan paha. Singapura mahu menjadikan kemenangan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada Mei 2008 lalu berkaitan tuntutannya ke atas Batu Putih sebagai mutlak, dengan tak menghiraukan ianya menggugat keikhlasan jiran tetangga. Sebelumnya ketika berucap dalam Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Asean (AMM) Ke 41, Perdana Menterinya Lee Hsian Loong secara biadap menyentuh politik dalaman di Malaysia.


Justeru PRIMA berasa hairan bagaimana Menteri Luar Malaysia, Dato’ Seri Dr Rais Yatim menganggap ucapan Lee sebagai tak ‘berniat’ jahat, sebaliknya tak membuat sebarang bantahan rasmi. Sama ada Batu Putih sekadar batuan di atas air atau sebuah pulau, Singapura jangan menganggap ianya boleh diterima dengan mudah oleh majoriti rakyat Malaysia. PRIMA menyokong penuh kenyataan Ketua Pengarah Institut Maritim Malaysia (MIMA) Dato’ Cheah Kong Wai berdasarkan Artikel 121 (3) Undang-Undang Laut (UNCLOS) iaitu kawasan batuan tak sesuai untuk habitat manusia. Sebagai manusia adalah wajar Malaysia tak melayan negara yang merebut lokasi bukan untuk habitat manusia kerana sengaja mahu menimbulkan kekecohan.

INFO SASTERA & BUDAYA

LMNS TERBIT BULETIN SENDIRI
PAPAR MAKLUMAT BUDAYA DAN SEJARAH

Lembaga Muzium Negeri Sembilan (LMNS) mengorak langkah lebih proaktif dengan menerbitkan buletinnya sendiri sebagai proksi saluran maklumat, bermula April 2008 lalu. Keluaran pertama ‘Buletin’ memuatkan maklumat program LMNS sepanjang tahun 2007, termasuk kunjungan pelawat dalam dan luar Negeri Sembilan yang tertarik dengan program LMNS di bawah pengarahnya Drs Shamsuddin Ahmad. Misalnya, pada 27 September 2008, serombongan 40 pelajar Sekolah Elit Thailand dan pensyarah universiti di Thailand melakukan kunjungan ke Muzium Negeri Sembilan dengan dibawa melihat pameran Galeri Setem dan Filateli, Galeri Monumen dan Tapak Tanah Bersejarah, Galeri Pra Sejarah dan Pameran Tokoh Negeri Sembilan.

Di samping pelajar-pelajar dari Thailand, rombongan kerabat diraja Negeri Sembilan seramai 50 orang juga turut melawat tapak sejarah termasuk melihat Istana Ampang Tinggi (dikenali juga Istana Ampang Rambai yang pernah dijadikan tempat bersemayam Yamtuan Antah). Program yang sudah digerakkan tahun 2008 pula termasuklah wacana sejarah di dewan ceramah Muzium Negeri Sembilan, di samping majlis kerjan (tabal) Undang Luak Johol, Dato’ Johan Pahlawan Lela Perkasa Setiawan Haji Mohd Jan Abdul Ghani. LMNS juga terbabit bagi majlis sambutan 10 Tahun pemerintahan Undang Luak Rembau, Dato’ Lela Maharaja Haji Mohd Sharip Othman, November 2008 ini. ‘Buletin’ yang diterbitkan LMNS ini memang sumber maklumat yang bernilai dalam info budaya dan sejarah di Negeri Sembilan.

PEMBESAR ISTANA MEMBAWA DIRI
DISEMADI DI PINGGIR SUNGAI LINGGI

Misteri makam lama di pinggir Sungai Linggi berhampiran jeti Pengkalan Kempas dikenal pasti sebagai milik Dato’ Sheikh Ahmad Hussein seorang pembesar Melayu yang meninggal dunia sekitar kurun ke 16, beritahu pembantu muzium Negeri Sembilan, Ahmad Afian Abdul Kadir. Katanya, makam berkenaan dikenali oleh penduduk tempatan di sini sebagai ‘Keramat Tiga’ terletak berhampiran ladang kelapa sawit, malah dilihat terbiar begitu sahaja. Dato’ Sheikh Ahmad Hussein bergelar Dato’ Seri Maharaja ialah panglima kanan di istana kesultanan Melaka. (Bagaimanapun panglima Melayu terkanan pada period pemerintahan Sultan Mahmud ialah Laksamana Khoja Hussein iaitu menantu Laksamana Hang Tuah).

Di samping itu Ahmad Afian tak dapat menjelaskan sama ada makam berkenaan ianya mempunya kaitan dengan Laksamana Khoja Hussein yang disebut dalam epik ‘Sejarah Melayu’ terbabit dalam perang melawan Portugis pada 24 Ogos 1511. Laksamana Khoja Hussein juga turut berundur, tetapi tak ikut bersama Sultan Mahmud yang bertahan di Pagoh, Johor sebelum mengundurkan diri ke Kopak di Bentan. Sewaktu mendirikan kerajaan di Bentan, Sultan Mahmud melantik pula Hang Nadim selaku laksamana setelah Khoja Hussein meninggal dunia. “Makam ini dikenali sebagai ‘Keramat Tiga’ kerana ukurannya terlalu panjang seperti tiga orang dimakamkan secara menegak,” beritahu Ahmad Afian.

INFO SUARA PROLITAR

ERTI NEGERIKU YANG MAKMUR
SEKARANG KARIPAP 40 SEN SEBIJI

Kira-kira jam 11.00 tengahari hari ini (24 Julai 2008) saya ke pasaraya NSK di Selayang. Harga beras jenama NSK bagi kampit isian 10 kg ialah RM25.90, iaitu turun daripada sebelumnya RM26.90, dengan campuran 5% beras hancur. (Sebelum PRU12 harganya ialah RM15.60). Tetapi harga beras jenama yang lain masih tak berubah, malah beras wangi hingga mencecah hampir RM50. Harga kuih karipap pun dah 40 sen sebiji, tak dapat lagi tiga biji RM1.Makmurnya negeriku! – (SMS; 24 Julai 2008; 17:42:33 – Man Cincai, Selayang, Selangor).

KOMENTAR
bersama Pak Parjo

PERIHAL PAS MAHUKAN ‘MUQABALAH’
UMNO PULA BERITAHU HENDAK ‘MUZAKARAH’.

Arakian empat pemimpin harakah Islam (PAS) di negeri Melayu iaitu Orangkaya Tuan Guru Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang, Orangkaya Tuan Guru Dato’ Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat, Orangkaya Haji Nasharuddin Mat Isa dan Tuan Guru Dato’ Dr Harun Din bertemulah mereka di negeri Kelantan semalam (20 Rejab 1429). Maka bersetujulah mereka berbincang dengan pemimpin harakah Melayu (UMNO), tetapi bukanlah ianya ‘muzakarah’, sebaliknya hendaklah sebagai ‘muqabalah’. Alhamudllillah! Syahdan akan persetujuan empat pemimpin harakah Islam itu sudahlah memberikan pandangan jelas kepada penitir canang, bahasa mereka tak pernah bercanggah pendapat. Maka tahulah fakir pemimpin harakah Islam itu tak mahu ‘muzakarah’ tetapi mengikut kaedah ‘muqabalah’.

Syahdan setelah hari petang, maka Sultan Pasai pergi ke rumah Makhdum Muda. Maka kata Sultan Pasai, ‘Jikalau seperti jawab tuan kepada utusan itu, orang Melaka tahu akan dia; mengapa pula ditanyakan kepada kita ke mari? Kalau-kalau ada yang lain daripada itu dikehendakinya. Maka kata Makhdum Muda, ‘Pada hamba demikianlah; kepada shah alam betapa benarnya’. Arakian kata Sultan Pasai, ‘Mudah saja pekerjaan itu. Apabila hamba sudah kembali, tuan suruh panggil utusan itu, maka tuan katakan kepadanya, tadi sedang tuan bertanya di hadapan orang banyak, maka demikian kata hamba; sekarang pada tempat yang sunyi, hamba katakan yang tahakiknya, inilah dia’. Maka Makhdum Muda pun menyuruh memanggil Tun Bija Wangsa, seperti yang disurat dalam ‘Kitab Melayu’ oleh:









HIDUP BAHASA MELAYU!

Wednesday, July 23, 2008

WARGA PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
S U A R A P R I M A
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG

KIRIM EMEL TELUR YG NGERI
HARGA MENINGKAT 33 SEN SEBIJI

Assalamualaikum,

Memang sudah lama Zakaria Bidin yang mahir selaku dejay di majlis perkahwinan tak hubungi saya, sekalipun sebelumnya beberapa kali juga berjanji teh tarik. Tiba-tiba beliau mengirim emel semalam (21 Julai 2008) berkaitan gambar telur yang dianggapnya mengerikan. Tak tahulah bagaimana takrif ‘mengerikan’ yang disebut Zakaria Bidin, tetapi di pasaran sekarang harga telur sudah meningkat kepada 33 sen sebiji berbanding sebelum PRU12 sekadar 22 sen sahaja sebiji. Saya sekadar sebut telur bagi gred atas, kerana gred yang lain mungkin sahaja ia sebesar bola pingpong. Mereka yang tak makan telur memang tak memberi impak kepada kenaikan harga telur, tetapi Zakaria Bidin kalau teh tarik malam jam 22.00 pm pun gemar makan rotai canai campur telur. Begitulah!

Kenaikan harga telur di pasaran pula dikatakan penjual merungut apabila membeli dengan harga yang tinggi daripada pemborong; sebaliknya pemborong juga merungut kerana ladang ternakan ayam telur juga menaikkan harga. Bahan makanan yang dibekal ke ladang ternakan telur mendadak naik bagaikan peluru topedo dilancarkan, hingga tak sempat hulubalang-hulubalang Melayu membuka bunga langkah di tengah gelanggang. Siapa pun tak mampu buka langkah silat kalau dilancarkan peluru topedo; apalagi Hang Tuah pun terhumban beberapa hasta disinggahi peluru meriam Feringgi (sama ada mitos atau legenda, itulah hakikatnya). Tak payah peluru topedo pun Pulau Batu Putih boleh berpindah hak milik, ketika hulubalang-hulubalang Melayu tunjuk gagah kepada orang Melayu sendiri.

Di Kampung Sungai Belukang di Bagan Datoh, Perak penternak ayam menjual kepada peraih tak sampai pun RM5 seekor. Malah lapan ekor pun tak sampai RM30 dibeli peraih mengikut timbangan kg. (Mungkin sahaja ayam kampung tak berat, apalagi bahan makanan juga ketul jagung sahaja, barangkali!). Bagi majoriti masyarakat di kampung, mereka tak makan ayam setiap hari, tetapi ayam yang diternak memang dijual untuk membeli beras yang melambung ke paras RM27 bagi kampit isian 10 kg (jenama yang termurah dengan campuran 5% beras hancur). Pekebun-pekebun kecil kelapa sawit sekadar mampu kumpul RM40-RM60 dua minggu (apabila buah cukup matang untuk dikait), ketika menteri-menteri UMNO meminta rakyat berjimat cermat.

Malam semalam (21 Julai 2008) Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Pahang, Syed Adnan Dato’ Syed Abdullah beritahu, dengan muzakarah UMNO-PAS yang dipersetujui belum menjamin perpaduan Melayu. Misalnya, di Selangor UMNO sekadar memenangi 18 kerusi DUN di samping MCA dua kerusi sahaja. Kalau menerima sokongan 8 ADUN dari PAS pun, BN masih terkapai-kapai kerana PKR dengan 15 kerusi dan DAP sejumlah 13 kerusi juga mempunyai kekuatan 28 kerusi. Apalagi persaingan pengaruh dua bekas Menteri Besar iaitu Tan Sri Muhammad Mohd Taib dan Dato’ Seri Dr Mohd Khir Toyo masih belum menemui titik penyelesaian.

-Pak Dharma.

INFO HAK ASASI MANUSIA

PERTEMUAN UMNO-PAS BUKAN SEKADAR
BINCANG ISU AGAMA & BANGSA MELAYU?

Beberapa pihak melahirkan rasa bimbang dengan persefahaman untuk menganjurkan muzakarah UMNO-PAS, sekalipun isu yang dibangkitkan berkisar mengenai agama dan bangsa Melayu. Menurut kalangan penganalisis politik isu agama dan bangsa tak berbeza dengan kepentingan politik dua hala yang membabitkan UMNO-PAS sendiri. Kata sumber berkenaan, adalah mustahil muzakarah UMNO-PAS sekadar membincangkan isu agama dan bangsa, malah tak mempunyai kaitan langsung dengan politik. “Bincangkan isu agama dan bangsa kalau tak berkaitan dengan politik, maknanya macam makan tak bersuaplah atau tonyoh muncung ke pinggan sahaja,” beritahu sumber tersebut. Justeru katanya, UMNO-PAS tak perlu bersandiwara sebaliknya telus, tulus dan mulus dalam isu yang membabitkan kepentingan agama, bangsa dan tanahair.


Seterusnya sumber itu menambah, pada 1970-an Tun Abdul Razak Hussein dan Tan Sri Mohd Asri Muda tak menjadikan UMNO-PAS sebagai ‘kuda tungangan’ mereka, sebaliknya kerjasama dijalin menerusi keputusan ahli parti. Tun Abdul Razak menerima sokongan menerusi Perhimpunan Agung Khas, di samping Tan Sri Mohd Asri diberi mandat oleh Muktamar Khas sebelum mereka membentuk BN, beritahu sumber itu selanjutnya. Berdasarkan pengamatan penganalis politik sekarang UMNO sudah jauh menyimpang dengan ‘memaksa’ ahli-ahli parti menyokong keputusan pimpinan. Misalnya, sebelum Mesyuarat Agung Bahagian, ketua-ketua Bahagian dan Perhubungan Negeri sudah mempengaruhi ahli mencalonkan pimpinan yang di set mengikut acuan, jelas sumber tersebut.

INFO SASTERA & BUDAYA

SAJAK

Legasi Pesona

Titipkan belasungkawaku
ketika kematian etika pahlawan
gugur di celah kerikil pesona
jeriji penjara fitnah
aibkan legasi bangsamu
legenda keperkasaan di gapura istana
Hang Tuah & idola mimpi ceritera
di tengah naratif permukahan teruja!

Bawakan diskripsi daulah ketuanan
di atas peseban betara
& aku mengangkat duka nestapa
di hujung sirah kepalsuan legenda
hikayat istana Melaka yang pudar
kau lengkapkan pidato di mimbar
sumpah di atas peterana sang dewata
di tengah saf dewan merdeka.

Ku cari kilau matahari
di bawah kelopak sangsi
pesona ini semakin menusuk ke hati
- kesongsangan negatif malam
- kerangsangan naratif kegelapan
biarlah aku membilang waktu
senja di hujung belasugkawamu
menjunjung sumpah di ubun kepala
& ku baca kalimah-kalimah taqwa
al-Quran penjana kuliah manusia!

-Dharmala N.S.
Kuala Lumpur
1 Julai 2008.

INFO SUARA PROLITAR

LEGASI ‘KEPENYAMUNAN’ DITERUSKAN
APA KHABAR YAB TAN SRI KAHLID IBRAHIM?

Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) meneruskan juga legasi ‘kepenyamunan’ BN menerusi meter tempat letak kereta di Selangor. Jangan sebut ‘hari ini bentuk kerajaan, besok harga minyak turun’. Sudah lebih 100 hari bentuk kerajaan negeri di Selangor, meter tempat letak kereta pun tak boleh hapus. Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang dikuasai PR terus juga mengutip wang meter tempat letak kereta. Tak bayar, kena saman. PR baru sahaja lantik ahli PBT di Selayang, tup tup saman pun sampai. Apa khabar YAB Tan Sri Khalid Ibrahim? – (SMS; 22 Julai 2008; 26:38:09 – Man Cincai, Selayang, Selangor).

KOMENTAR
bersama Pak Parjo

PERIHAL DICERCA AKAN ORANGKAYA
HENDAKLAH DIPECAT TERLEBIH DAHULU

Sebermula akan Orangkaya Temenggung (atau seperti kata anak cucu fakir Ketua Polis Negara) Tan Sri Musa Hassan berasa malulah ia kerana dituduh memalsukan keterangan bekas Orangkaya Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim dibelasah ketika ditahan Orangkaya Temenggung 10 tahun lalu. Syahdan Orangkaya Temenggung Tan Sri Musa belumlah ia dilantik memegang jawatan ketika itu, adanya. Maka akan Orangkaya Temenggung itu disamannya bekas Orangkaya Timbalan Perdana Menteri mengikut akan kanun sekarang ini, yang fakir tak tahulah mengenai peraturannya. Adapun pada masa dahulukala tahulah fakir apabila seseorang digigit anjing, maka tak bolehlah membunuh akan anjing berkenaan. Maka hendaklah orang itu menggigit juga anjing tersebut seperti ditetapkan dari balai nan panjang.

Arakian ada seorang orang Kelang mengatakan dirinya teraniaya oleh Tun Perak sedikit. Maka ia berdatang sembah ke bawah duli baginda. Maka baginda memberi titah kepada bentara Seri Amerta, menyuruh berkata kepada Tun Perak. Setelah datang Tun Perak menghadap, Seri Amerta pun berkata, ‘Orang ini, ya tuan Tun Perak, mengadukan halnya ke bawah Duli Yang Dipertuan mengatakan dirinya teraniaya, mengapakah maka demikian pekerti tuan hamba?’. Setelah tiga kali Seri Amerta berkata-kata lalu dijawab oleh Tun Perak, ‘Tuan Seri Amerta, akan tuan hamba dijadikan Yang Dipertuan bentara, dianugerahi pedang sebilah itu jua tuan hamba perliharakan baik-baik, usahakan jangan diberi berkarat kemakanan.

‘Akan pekerjaan kami orang memegang negeri di mana tuan hamba tahu? Jikalau sebesar tempurung sekalipun, negeri namanya; baik juga pada kami, maka kami kerjakan, kerana Yang Dipertuan tahu akan baiknya juga pada kami, tiada tahu akan jahatnya. Tetapi jikalau Duli Yang Dipertuan hendak mencerca hamba atau memberi malu sebab orang itu, pecatlah hamba dahulu, maka cercakan hamba dengan dia. Jikalau hamba belum dipecat, bagaimana hamba hendak dicerca?’. Syahdan, maka berkenan Sultan Muzaffar Shah menengar kata Tun Perak itu. Pada hati baginda, ‘Adapun Tun Perak ini tidaklah patut jadi bentara lagi, patut menjadi Perdana Menteri’. Maka digelar baginda Paduka Raja seperti disurat dalam ‘Kitab Melayu’ daripada:







HIDUP BAHASA MELAYU.

Monday, July 21, 2008

WARGA PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
S U A R A P R I M A
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG


MUSIM BUAH DURIAN GUGUR
POLITIK KAMPUNG LEBIH MENARIK

Assalamualaikum,

Balik ke kampung di Jelebu semalam (20 Julai 2008), tak terasa kemeriahan kerana kawan-kawan juga tak ceria sangat. Musim buah-buahan belum galak durian gugur, rambutan juga tak lebat di Julai; apalagi manggis macam tak menjadi. Durian yang gugur pula tak laris di pasaran hingga tiga biji (sebesar buah tembikai) dijual RM10 pun masih melambak di kaki lima kedai. Sebelum itu bekas aktivis belia (Gerakan Belia 4B) Dato’ Laksamana Haji Ismail Abdul Kadir menelefon beritahu fasal lokasi tanahnya di Jelebu memerlukan orang yang sanggup uruskan. Tanah berkenaan berdekatan dengan ‘Pusat Serenti’ di Titi sekarang ini dipenuhi pokok-pokok durian, tetapi tak diberitahu sama ada sudah berbuah atau luruh macam bom AS di bumi Iraq pada tahun 2001.

Bom di Iraq dan Afghanistan sekadar untuk melengkapkan dua penggal George W Bush dari Pari Republikan kekal sebagai Presiden AS hingga November 2008. Apabila Presiden AS dari Parti Demokratik bersiap sedia pulalah bom digugurkan di Afrika dan Asia seperti keperihalan Vietnam ketika AS di bawah Lyndon B Johnson atau Congo dalam masa Presiden AS John F Kennedy. Begitulah! Kalau bom mereka tak digugurkan sukarlah mempertahan dua penggal untuk menjadi Presiden seperti Jimmy Carter atau Gerald Ford, cukuplah satu penggal sahaja. Justeru durian di Jelebu belum rahat lagi gugur laksana bom AS yang tak diledakkan sekarang, kerana di AS pun bom Allah SWT meledak seperti taufan Katrina, puting beliung dan hutan terbakar. Heh heh heh!

Disebabkan gerai makan ala masakan Thai belum memulakan operasi (jam baru 2.30 pm), saya sekadar teh tarik di kedai mamak bersama Cu Li (Roseli Deraus) dan Din Janggut. Kebetulan pula Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz menelefon, ketika saya masih terconggok di kedai mamak untuk teh tarik bersama kawan-kawan peneroka di Felda. Din Janggut misalnya, berasa hairan apabila isu liwat Penasihat PKR Dato’ Seri Anwar Ibrahim ketika beliau bersiap sedia untuk menghadapi pilihanraya kecil. Sekalipun kerajaan BN membuat pelbagai penafian, masyarakat di kampung-kampung tetap dengan andaian, BN sedang merancang frasa kedua untuk menghalang Dato’ Seri Anwar daripada bertanding pada pilihanraya.

Pagi ini (21 Julai 2008) Haji Abu Bakar Ninggal menelefon meluahkan rasa berang dengan sikap pimpinan parti politik yang sanggup ‘menikam dari belakang’ sekalipun untuk menggulingkan kawan sendiri. Haji Abu Bakar menyentuh isu muzakarah UMNO-PAS yang membabitkan pimpinan tertinggi parti berkenaan termasuk Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Tuan Guru Dato’ Seri Abdul Hadi Awang. Beliau tak peduli mengenai ‘dilema Melayu’ yang dimanipulasi oleh UMNO, sebaliknya PAS perlu fikir dua kali, kerana kemenangan calon-calon mereka pada PRU12 di kawasan bandar (seperti di Selangor) banyak bergantung kepada kerjasama dengan PKR, di samping pengaruh peribadi Dato’ Seri Anwar. Entahlah!

-Pak Dharma.

INFO HAK ASASI MANUSIA


BUKAN SKOP UNTUK CARI GLORI
PERTEMUAN PIMPINAN UMNO-PAS

Perbincangan pimpinan tertinggi UMNO-PAS sepatutnya tak dieksploit sebagai isu perkauman, tetapi penyelesaian yang rasional bagi mengatasi kepincangan dalam lanskap politik bagi jangka panjang, menurut bekas Timbalan Naib Canselor (HEP) UTM Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah. Mengulas mengenai isu pimpinan tertinggi kedua-dua parti berkenaan sudah mengadakan tiga kali pertemuan sebelum ini, Dato’ Dr Mohd Mansor berkata, sepatutnya pihak media tak membesar-besarkan sebagai ‘berita utama’. Biarlah semuanya berjalan seperti menarik rambut dalam tepung; rambutnya jangan putus, tepungnya jangan berserak, beliau menambah. “Pertemuan tersebut bukan untuk mencari glori, tetapi demi kepentingan negara, agama dan bangsa,” jelas Dato’ Dr Mohd Mansor.

Menurut beliau, pertemuan Tun Abdul Razak dengan Tan Sri Asri pada malam 13 Mei 1969, tak siapa pun mengetahui hinggalah terbitkan buku autobiografi ‘Memoir Politik Asri: Menentang Arus’. Kedua-dua pimpinan tertinggi UMNO-PAS ketika itu lebih peka kepada kepentingan negara, agama dan bangsa dengan merahsiakan pertemuan tersebut. Malah selepas pembentukan Barisan Nasional (BN) pun, Tun Abdul Razak dan Tan Sri Asri tetap berahsia dengan butir-butir persefahaman mereka. Justeru, pengganti Tun Abdul Razak yang tak menyedari persefahaman tersebut mengambil langkah terburu-buru apabila menyingkirkan PAS pada 1978. “Sepatutnya media berbahasa Melayu perlu memahami keadaan sekarang, bukan mengejar skop berita untuk mencapai glori,” kata Dato’ Dr Mohd Mansor lagi.

INFO SASTERA & BUDAYA

PERJUANGAN MASYARAKAT ORANG ASLI
DIUNGKAP DALAM KARYA SASTERA MELAYU

Masalah masyarakat Orang Asli tak banyak diperjuangkan melalui karya sastera, tetapi menerusi ‘PUTERA GUNUNG TAHAN’ (1937) dari Ishak Haji Muhammad dan ‘JURAGAN’ (1986) dihasilkan oleh Dharmala N.S. memperlihatkan keprihatinan pengarangnya terhadap isu berkenaan kata aktivis sastera, penyair Yassinsalleh. Beliau yang juga bekas pendidik di samping aktivis perfileman mengakui, setakat ini dua buah novel berkenaan sahaja memperkatakan isu masayrakat Orang Asli secara jelas. Katanya, kemungkinan kedua-dua pengarang terbabit memang tersebati dengan kehidupan di perkampungan yang serba terpinggir. “Sekalipun jarak kedua-dua novel berkenaan terhasil hampir 50 tahun, tetapi pemikiran kedua-dua pengarangnya hampir selari,” beritahu Yassinsalleh.

Menurut Yassinsalleh, memang dalam karya sastera Melayu tak banyak dibincangkan masalah kehidupan masyarakat Orang Asli, disebabkan fakta kebanyakan pengarang tak mendalami persekitaran mereka. Misalnya, dalam ‘Putera Gunung Tahan’, Ishak Haji Muhammad (Pak Sako) memaparkan dua orang pegawai kulit putih yang tersesat di perkampungan Orang Asli, disebabkan Pak Sako memang memahami budaya masyarakat berkenaan. Begitu juga menerusi ‘Juragan’ Dharmala N.S. mampu mengangkat watak Batin Itam sebagai pelopor mendamaikan persengketaan guru agama dengan adiknya tokoh radikal, kerana pemerhatiannya terhadap persekitaran masyarakat Orang Asli. “Pemikiran yang terjelma dari kedua-dua pengarang itu ialah perjuangan mereka terhadap golongan prolitar,” menurut Yassinsalleh selanjutnya.

INFO SUARA PROLITAR

MAT TAIB TAK TAHU BAHASA MELAYU?:
KOMEN ORANG PKR TAMPAR MENAMPAR

Tak hairanlah Mat Taib (Tan Sri Muhammad Mohd Taib) komen, wakil ADUN PKR di Selangor tampar ahli Parlimen PKR. Kononnya berlaku perpecahan dalam PKR. Hai, kesian Mat Taib. Bukan saja tak tahu bahasa Inggeris, hingga terlepas kes bawa duit juta-juta di mahkamah luar negeri. Rupa-rupanya Mat Taib tak tahu bahasa Melayu pun. Kes tampar menampar kata PKR pecah belah. UMNO pernah hadapi kes bunuh membunuh di Tampin pilihanraya 1982. Tapi masa itu Mat Taib baru nak belajar jadi calon, gantikan tempat Rosedin Yaakob. Patutlah! – (SMS; 20 Julai 2008, 19:26:09 – Tok Lah Janggut, Jelebu, Negeri Sembilan).

KOMENTAR
bersama Pak Parjo

DUKACITA ORANGKAYA DATO’ SERI
RASUAH PULA SEMAKIN MNEJADI-JADI

Alkisah tersebutlah perihal Badan Pencegah Rasuah (BPR) menahan dua orang ahli perniagaan bergelar Dato’ kerana disyaki memalsukan tandatangan Orangbesar jabatan syahbandar (KDRM). Syahdan bertambah dukacitalah akan mamak Perdana Menteri Orangkaya Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, kerana di mana-mana sahaja berlaku rasuah. Maka diberitahu kepada fakir akan anakanda Mohd Ezam Mohd Noor sudahlah berjanji mahu memerangi rasuah apabila berbaik-baik dengan Orangkaya Dato’ Seri Abdullah itu. Arakian fakir juga diberitahu bukanlah jabatan syahbandar sahaja berlaku rasuah, malah banyaklah lagi jabatan yang terbabit, apalagi jabatan temenggung. Maka banyaklah pengaduan yang diterima akan jabatan temenggung itu yang sepatutnya akan anakanda Mohd Ezam itu perlulah memberitahu Orangkaya Dato’ Seri Abdullah itu.

Sebermula ada kepada suatu hari Tun Hassan Temenggung duduk di balainya, dihadap orang banyak. Maka Ali Manu Nayan pun datang. Maka katanya pada Tun Hassan Temenggung, ‘Orangkaya, semua orang-orang besar di dalam Melaka ini datang ke rumah hamba, melainkan orangkaya juga yang tiada datang. Jikalau dapat marilah apa orangkaya bermain-main ke rumah hamba; hingga berdiri-diri sahaja di hadapan kedai hamba, sepuluh tahil emas ku persembahkan’. Maka kata Tun Hassan Temenggung, ‘Nuni haramzadah! Aku engkau hendak beri makan sedekah, jika pada bapa-bapamu yang lain boleh demikian’. Adapun adat segala orang-orang muda Tun Hassan Temenggung, apabila ia tiada belanja, maka diminta ukur lebuh, maka pemilik rumah yang terkena rentangan tali akan menghulur emas, begitu disurat dalam ‘Kitab Melayu’ oleh:


HIDUP BAHASA MELAYU.