Saturday, August 9, 2008

WARGA PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
S U A R A P R I M A

(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)


DARI LAMAN BLOG


‘PAK KADUK’ DALAM KHUTBAH
MASYARAKAT MELAYU SERBA BOBROK

Assalamualaikum,

Khutbah Jumaat semalam (8 Ogos 2008) di Masjid al-Khairriyah, Taman Seri Gombak turut menyelitkan sastera rakyat mengenai ‘Pak Kaduk’ – ayamnya menang kampung tergadai! Maknanya, medium sastera sesuai diterapkan di mana-mana, asal sahaja tahu mengenai nilai dan fungsinya. Begitulah! Khatib yang menyampaikan khutbah membawa kisah ‘Pak Kaduk’, berkaitan gejala sosial dalam masyarakat Melayu yang serba bobrok, korok dan teruk. Naratif fitnah sejak kesultanan Melaka, insiden Hang Tuah dituduh bermukah dengan dayang istana, atau hukuman bunuh ke atas Bendahara Seri Maharaja akibat fitnah Kitul dan Raja Mendeliar – adalah berkaitan dengan kisah ‘Pak Kaduk – ayam menang kampung tergadai’!.

Tetapi khutbah Jumaat sekadar disampaikan secara naratif sahaja, tak dibuat analitikal khusus mengenai versi ‘Pak Kaduk’ berkenaan. Atau petikan ayat-ayat al-Quran sekadar diterjemah mafhomnya secara umum, di samping jemaah menerimanya dengan penuh khusuk. Fitnah juga membabitkan pembunuhan Wan Anum isteri Megat Seri Rama yang sarat mengandung dalam tragedi berdarah di Kota Tinggi pada 1699, semata-mata akibat keperongosan pembesar Melayu bernama Tun Bija Ali yang pantang melihat dahi wanita licin, tetapi kelicikannya menjadikan ia lebih rela meneruskan nasib ‘Pak Kaduk – ayam menang, kampung tergadai’. Bagaimanapun bagi jemaah pula selepas dengar khutbah eloklah rujuk kepada pelawak generasi baru, Nabil: ‘Fikirlah sendiri’. Heh heh heh!
Kebetulan pula apabila selesai solat Jumaat, terserempak Haji Abu Bakar Ninggal yang ketawanya, memang boleh dibeli! Beliau mengakui turut sama ke mahkamah pada Khamis (7 Ogos 2008) mengikut kes Penasihat PKR Dato’ Seri Anwar Ibrahim didakwa terlibat dengan liwat buat kali kedua. Kali pertama Dato’ Seri Anwar menghadapi kes liwat pada 1999, tetapi dibebaskan oleh mahkamah; sebaliknya beliau merengkok di sel Sungai Buluh bagi tempoh enam tahun kerana salah guna kuasa dan rasuah berpunca dari kes liwat berkenaan. Aduhai! Ketika di mahkamah Haji Abu Bakar beritahu, terserempak L Mankadir Shamsi bersama Haji Suhaimi Said dari Pahang yang turut beri sokongan moral kepada Dato’ Seri Anwar.

Mankadir dan Haji Suhaimi bukanlah penyokong Dato’ Seri Anwar sejak awal, tetapi mereka berpegang kepada prinsip ‘menentang perhambaan minda’. Malah Haji Suhaimi pernah ditahan di bawah ISA sekitar dekad 1980-an ketika menjadi Penasihat Undang-Undang PAS, apabila menyibarkan gambar-gambar mangsa tragedi Mamali dan Lubuk Merbau. Mankadir pula bertanggungjawab mencetak dan menerbitkan gambar-gambar berkenaan dengan kerjasama Wak Jamari Shukor (ketika itu Dato’ Seri Anwar masih bersama UMNO dan ahli kabinet Tun Dr Mahathir Mohamad). Sebelum menyertai PAS, Haji Suhaimi dan Mankadir adalah aktivis Parti Sosialis Rakyat Malaya (PSRM); apalagi ayah Haji Suhaimi (Mohd Said), pejuang nasionalisme di Lubuk Kawah bersama Pak Sako (Dato’ Dr Ishak Haji Muhammad). Begitulah!

Di samping berkirim salam menerusi Haji Abu Bakar, Mankadir memberi jaminan akan ke Permatang Pauh 16 Ogos 2008 ini bersama Haji Suhaimi pada hari penamaan calon pilihanraya kecil. Mungkin sahaja saya boleh mengimbau insiden di Seberang Jaya dalam kawasan Parlimen Permatang Pauh, jam 3.00 pagi 27 November 1999 ketika pilihanraya yang menyaksikan pertandingan Dato’ Seri Wan Azizah Ismail melawan Dato’ Seri Dr Ibrahim Saad. Apabila saya bertemu Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi (ketika itu Timbalan Perdana Menteri), sepanjang jalan seolah-olah redup dengan poster PKR (ketika itu Parti Keadilan Nasional), menyebabkan poster dacing tenggelam hingga santak ke Bukit Mertajam disambut pula oleh poster ‘roket’ merata-rata. Heh heh heh!

-Pak Dharma.

INFO HAK ASASI MANUSIA


UMNO TERUS TENGGELAM PUNCA
PELUANG ANWAR DI PERMATANG PAUH

Peluang Penasihat PKR Dato’ Seri Anwar Ibrahim mempertahankan kerusi Parlimen Permatang Pauh dalam pilihanraya kecil yang dijangka hari pengundian pada 26 Ogos 2008 memang cerah berdasarkan UMNO dan BN tenggelam punca dan terdesak untuk mengemukakan calon, menurut penganalisis politik. Menjelang penamaan calon 16 Ogos 2008, UMNO yang pada peringkat awalnya gagal memujuk Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainal Abidin bagi menjadi calonnya. Malah pemimpin-pemimpin UMNO sendiri mengakui pilihanraya kecil itu menjadi medan untuk memberi penjelasan kepada rakyat mengenai dasar kerajaan, seolah-olah selama ini rakyat tak diberi penjelasan, beritahu aktivis masyarakat di Pahang L Mankadir Shamsi. “Dengan kenaikan harga petrol, kegelisahan peniaga dan kesukaran kerajaan membendung rasuah, peluang PKR adalah cerah,” kata Mankadir kepada sekretariat PRIMA.

Dalam PRU12 pada 8 Mac 2008, calon PKR Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengekalkan kerusi Parlimen Permatang Pauh yang dimenanginya pada 1999 dengan memperoleh 30,338 undi menewaskan calon UMNO Dato’ Pirdaus Ismail (16,950 undi). Di samping itu Mankadir yakin kes liwat yang dihadapi Dato’ Seri Anwar tak menjejas sokongan rakyat di Permatang Pauh, berdasarkan isu berkenaan sudah dibangkitkan sejak 1999. Seterusnya kata Mankadir, pemimpin UMNO menyifatkan langkah Dato’ Seri Dr Wan Azizah meletakkan jawatan sebagai menghina pengundi di Permatang Pauh. Sebaliknya, beliau menjelaskan kes yang dihdapi oleh Dato’ Seri Anwar sejak 1999 itu menunjukkan UMNO menghina pengundi di Permatang Pauh. “Sebenarnya UMNO meludah ke langit, justeru tertimpa muka sendiri,” beritahu Mankadir.

INFO SASTERA & BUDAYA

BUKAN FILEM MELAYU KLASIK:
JIKA MENOLAK UNSUR PATRIOTISME

Tayangan filem Melayu klasik di kaca TV perlu dipantau, sekiranya menolak unsur patriotisme, budaya dan moral penduduk tempatan, beritahu bekas aktivis perfileman
Yassinsalleh. Generasi Melayu alaf baru akan keliru dengan filem-filem klasik yang menolak nilai budaya dan moral bangsa Melayu, kata Yassinsalleh yang pernah memenangi anugerah pengarah terbaik menerusi filem ‘Dia Ibuku’ pada Pesta Filem Malaysia sekitar dekad 1980-an. Beliau menyentuh filem ‘Aloha’ yang ditayangkan menerusi TV Astro Prima minggu ini yang dianggapnya berlawanan dengan nilai dan moral bangsa Melayu. Sekalipun filem berkenaan dianggap klasik, tetapi ciri-ciri budaya dan moral Melayu tak dikesampingkan, ujarnya. “Bagaimana kita mahu takrif sebagai filem klasik Melayu, kalau nilai budaya dan moralnya bukan Melayu,” menurut Yassinsalleh.

Filem ‘Aloha’ lakonan Mariam, Osman Gumanti, P. Ramlee dan D Harris terbitan Shaw Malay Filem sekitar dekad 1950-an memang sekadar fiksyen, tetapi ianya tak menunjukkan sikap patriotisme, beritahu Yassinsalleh selanjutnya. Beliau menjelaskan, dalam adegan orangkaya membuat laporan ke balai polis di sebuah kepulauan audien melihat bendera Amerika Syarikat ditonjolkan. Sekalipun latar belakang fiksyen tersebut di kepulauan yang dikuasai Amerika Syarikat, tetapi ianya tak wajar dipaparkan dalam filem Melayu. Malah menurut Yassinsalleh, pada period penjajah pun bendera Union Jack tak pernah dikibarkan bersama ‘Jalur Gemilang’, menyebabkan Sir Donald Mac Gillivary berasa kecewa apabila Union Jack diturunkan pada malam kemerdekaan. “Tak wajar disiarkan filem Melayu klasik yang tak patriotisme dan menolak nilai budaya dan moral bangsa Melayu,” kata Yassinasalleh menambah.

INFO SUARA PROLITAR

MAJLIS PEGUAM CABAR RAJA:
PERSOAL ISU ISLAM KETERLALUAN

Forum ‘memeluk Islam’ yang dianjur Majlis Peguam Malaysia memang isu sensitif. Orang Islam tak pernah anjur forum mempersoal agama lain. Nampaknya pihak bukan Islam sengaja mencurah minyak petrol di padang lalang kering. Kementerian Dalam Negeri tak boleh ‘tunggu dan lihat’, tapi segeralah bertindak. Janganlah nasi dah jadi bubur, baru nak dipantau. Perkara agama di bawah kuasa raja-raja Melayu. Pihak Majlis Peguam seolah-olah nak cabar raja-raja Melayu.- (SMS; 9 Ogos 2008; 10:42:56 – Man Cincai, Selayang, Selangor).

BLOG WARTAWAN TAK RESPON
BANYAK MAKLUMAT TAK DISIAR

Hairan juga ya? Bila ada posting di laman http://siasahdaily.bolgspot.com berkenaan kes DSAI cepat-cepat abe mie respon. Tapi puas saya cari respon dia di blog kadirjasin dan kuda kepang tak jumpa pula. Kedua-dua blog berkenaan dikendalikan oleh tokoh wartawan terkemuka yang memiliki banyak maklumat politik dan sudah tentulah sentiasa mengikuti perkembangan semasa (tidak seperti anggapan 'budak' Ahmad Sabri Cheek terhadap Zulkifli dari akhbar SIASAH). Seorang adalah bekas ketua editor akhbar bepengaruh di Malaysia dan seorang lagi pernah menduduki kerusi parlimen. Mungkin juga posting abe mei yang penuh cacian dan kejian itu telah dibuang kerana tidak bermanfaat kepada khalayak.-(E-mail; 9 Ogos 2008-Asalbayu,Kedah)

DISEBABKAN SEBATANG POKOK
HABIS SELURUH HUTAN DIBAKAR!

Kenapa disebabkan sebatang pokok yang kerajaan BN mahu pertahankan, habis hutan belantara dibakar? Akibatnya pokok-pokok yang baik seperti leban, meranti, keruing, penak atau cengal habis dibuang sama. Sebiji pisang yang busuk, kerajaan BN sengaja busukkan pisang yang lain, kerana bimbang busuk dalam tandan pisangnya diketahui umum. Orang ramai mahukan pokok kayu yang berharga. Bukan kayu lampung tak berguna. Orang ramai juga mahukan pisang yang bernilai, bukan pisang busuk yang layak dimakan oleh kera dan tupai – (SMS; 9 Ogos 2008; 9:37:19 – Alba, Kampung Seperi, Jelebu, Negeri Sembilan).

KOMENTAR
bersama Pak Parjo

ORANGKAYA MENTERI SEKADAR ‘AKAN’:
TAK BERTINDAK PADA NEGERI ATAS ANGIN

Sebermula tersebutlah ceritera Menteri Luar Negeri Orangkaya Dato’ Seri Dr Rais Yatim terlalu marah akan perihal negeri atas angin memanggil pegawai binti-binti yang menjadi wazir (Timbalan Ketua Misi Malaysia di Washington) iaitu Ilango Karuppanan pada hari Rabu lalu, 4 Syaaban 1429 (atau disebut anak cucu fakir 6 Ogos 2008). Maka Orangkaya Dato’ Dr Rais pun memberi amaran (akan) membuat laporan rasmi kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Arakian pada hari ini Sabtu, 7 Syaaban 1429 (atau ianya disebut juga 9 Ogos 2008), Orangkaya Dato’ Seri Dr Rais (akan) mengutus surat kepada kerajaan negeri atas angin itu kerana mencampuri undang-undang kanun di negeri Melayu. Terlalulah masyghul segala orang banyak kerana Orangkaya Dato’ Seri Dr Rais sekadar (akan, akan, akan) sahaja. Alahai!

Syahdan segala Feringgi itu baliklah ke Goa. Setelah datang ke Goa, segala perihal ehwalnyaitu semuanya dikatakan kepada wazir-wazirnya. Maka wazir-wazirnya pun terlalu marah. Maka ia menyuruh berlengkap pula hendak menyerang Melaka. Arakian kata Kapitan Mur, ‘Pada bicara kita, tiada akan alah Melaka, jikalau ada lagi Bendahara Seri Maharaja; berapa pun besar angkatan Melaka, tiada akan alah’. Kata Alfonso d’Albuquerque, ‘Mengapa maka engkau berkata demikian itu? Apa dayaku sebab aku tiada boleh meninggalkan Goa ini. Tetapi apabila aku sudah turun daripada wazir, aku sendiri pergi menyerang Melaka itu,’ seperti disuratkan dalam ‘Kitab Melayu’ itu oleh:



HIDUP BAHASA MELAYU!

Wednesday, August 6, 2008

WARGA PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
S U A R A P R I M A
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG

KERETA NASIONAL TAHAN DIUJI
JAMINAN PEMIMPIN SEKADAR MIMPI

Assalamualaikum,

Ketika berdiri di jendela rumah semalam (5 Ogos 2008), saya melihat kereta kren di luar, seolah-olah mahu menarik kereta saya. Sebelum beberapa andaian terpahat di minda saya melihat jiran di sebelah, bekas pensyarah di UTM Dr Ir Raju tersengih-sengih di luar pagar. Beliau melambai tangan ke arah anak saya meminta membantu menolak kereta Waja isterinya yang tersadai akibat tak boleh dihidupkan enjin. Kata Dr Ir Raju baru dua bulan sahaja kereta berkenaan digunakan, tiba-tiba mengalami masalah. Memang sebelum itu isterinya Puan Rani juga menggunakan kereta nasional ‘Waja’, tetapi sering sahaja dihantar ke workshop. Entahlah! Bagaimanapun saya berasa hairan juga, kerana baru dua bulan sahaja digunakan, kereta nasional banyak sangat ‘ragam’ hingga menyulitkan pengguna.

Ironinya, Dr Ir Raju yang menggunakan kereta jenama ‘Honda’ tak mengalami apa-apa masalah sejak empat tahun lalu. Mungkin sahaja segalanya berlaku secara kebetulan, kerana Haji Abu Bakar Ninggal yang menggunakan kerena ‘Wira’ pernah juga beliau nasihatkan saya jangan gunakan kereta jenama berkenaan. Sebaliknya di jalanraya saya melihat banyak kereta Wira digunakan seolah-olah sudah menjadi pilihan orang ramai, sekalipun pengguna yang lain terus merungut dan merungut. Barangkali! Justeru ketika kerajaan negeri Terengganu kecoh dengan kereta jenama ‘Perdana’ yang dikatakan membebankan kos penyelenggaraan, Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi memberi jaminan kereta nasional ‘memang tahan diuji’, tetapi segalanya masih lagi diganggu mimpi ngeri. Alahai!

Memang saya juga menggunakan kereta nasional, tetapi tak pernah pula menghadapi masalah sekalipun digunakan secara ‘lasak’ juga. Ketika dijemput oleh L Mankadir Shamsi ke Jerantut, April 2008 lalu saya gunakan kereta berkenaan. Apalagi Mankadir juga menggunakan kereta nasional jenama ‘Kembara’, sering berulang alik dari Temerloh ke Kuala Lumpur, beliau tak pernah merungut mengenai kondisi kenderaannya. Lainlah Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz yang mampu menggunakan tiga buah kereta Mercedez ala Exco kerajaan negeri Terengganu, tetapi kos penyelenggaraan tak disponsor sesiapa, sebaliknya daripada wang saku sendiri. Pimpinan PRIMA juga menyelenggara kos kereta masing-masing tak disponsor sesiapa, dalam keadaan petrol melambung naik masih juga mampu mengikuti aktiviti ke sana dan ke sini. Heh heh heh!

Malam kelmarin (4 Ogos 2008) ketika dalam perjalanan balik selepas menghantar anak saya ke Seri Kembangan, singgah pula di Taman Kencana, Cheras apabila Zakaria Bidin beritahu ‘mi bandung Muar’ di gerai berhampiran Menara MPAJ rasanya ehem ehem! Justeru jam 12 malam, saya menelefon Zakaria Bidin memintanya datang ke gerai berkenaan. Memang gerai makan berkenaan dikendalikan oleh peniaga-peniaga Melayu, sayangnya berhampiran dengan tempat membuang sampah dengan baunya, aduhai kurrr semangat! Sepatutnya MPAJ yang sudah dikuasai oleh kerajaan baru perlu prihatin dengan penjaja-penjaja Melayu yang selama ini diabaikan oleh UMNO. Nah, sekarang masanya kerajaan bukan UMNO buktikan kepada rakyat, bukan sahaja prihatin malah sensitif dengan permasalahan mereka. Begitulah!

-Pak Dharma.

INFO HAK ASASI MANUSIA


(Kenyataan media Ketua Pimpinan PRIMA, Pak Dharmala N.S. di Kuala Lumpur pada 6 Ogos 2008, berkaitan Badan Pencegah Rasuah (BPR) akan membuka semula kertas siasatan berhubung dkawaan rasuah dan penyelewengan pembinaan MRR2).

BPR PERLU TELUS, TULUS & TURUS
KERTAS SIASATAN PEMBINAAN MRR2

Badan Pencegah Rasuah (BPR) perlu memastikan kertas siasatan berhubung dakwaan rasuah dan penyelewengan dalam projek pembinaan Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) sebelum ini telus, tulus dan terus apabila mahu membuka semula kertas siasatan yang baru. Rakyat perlu diberitahu mengenai hasil siasatan BPR berkaitan kontraktor yang terbabit dalam pembinaan Pakej II MRR2 berharga RM238 juta, apabila keretakan berlaku lagi pada tiang jejambat seperti dilaporkan Ahad lalu (3 Ogos 2008). Sepatutnya keretakan tak mungkin berlaku, selepas BPR menjalankan penyiasatan secara positif, apalagi serpihan daripada keretakan berkenaan merosakkan dua kenderaan yang melalui di bawah jejambat terbabit.

Malah Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi mengakui sebanyak RM70 juta sudah dibelanjakan bagi membaiki keretakan sebelum ini, hingga ianya ditutup kali pertama pada 9 Ogos 2004, diikuti pada Februari 2006 dan dibuka kepada lalu lintas pada Disember 2006. Apalagi siasatan pakar perunding British, Halcrow Consultants Ltd (Halcrow) iaitu berdasarkan kajian yang dibuat kerosakan tiang jejambat MRR2 akibat kecuaian pemasangan cerucuk dan tetulang besi yang tidak mengikut spesifikasi dan reka bentuk. Bagaimana ianya boleh diluluskan kalau tak mengikut reka bentuk asal? Justeru rakyat perlu diberitahu secara terbuka (i) Kertas siasatan BPR berhubung siasatan rasuah dan penyelewengan dalam projek pembinaan Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) sebelum ini, (ii) Laporan kajian Halcrow terhadap pembinaan MRR2.

ANWAR DI SPINA KE MAHKAMAH BESOK
MENJELANG PENAMAAN CALON P/RAYA KECIL

Penasihat PKR Dato’ Seri Anwar Ibrahim akan di spina besok (7 Ogos 2008) ke mahkamah bagi menghadapi tuduhan meliwat bekas pembantunya berusia 23 tahun, menjelang hari penamaan calon bagi pilihanraya kecil Parlimen Permatang Pauh dijangka pertengahan Ogos 2008 ini. Ketika UMNO gagal memujuk Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainal Abidin menjadi calon BN, UMNO pula berhadapan dengan isu ‘politik wang’ pada mesyuarat Cawangan dan Bahagian yang bermula sekarang seperti disebut Menteri Dalam Negeri Dato’ Seri Syed Abdul Hamid Albar dan Ketua Puteri UMNO Dato’ Nuraini Ahmad. Isu Dato’ Seri Anwar di spina besok, tetap dikaitkan dengan pilihanraya kecil Parlimen Permatang Pauh, sekalipun ianya dinafikan oleh pemimpin UMNO yang serba kelam-kabut, gamam-kecut dan geram-takut. Aduhai!


INFO SASTERA & BUDAYA

PENGKRITIK SASTERA ‘TERLEPAS PANDANG’
PERSIS ‘7 ORANG BUTA DENGAN SEEKOR GAJAH’

Dalam buku ‘Sejarah Sastera Melayu Moden (Sesudah Tahun 1800)’ yang disusun oleh Wan Shamsuddin Mohd Yusoff (Syarikat Kerjasama Kredit dan Permodalan Pegawai-Pegawai Melayu Negeri Kedah; 1971) bagi siri ulangkaji STP/HSC penampilan S Othman Kelantan tak dibincangkan, beritahu aktivis sastera Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah. Justeru menurut Dato’ Dr Mohd Mansor yang juga bekas Timbalan Naib Canselor (HEP) UTM, pelajar-pelajar STP/HSC sekitar dekad 1970-an tak didekatkan dengan karya-karya S Othman Kelantan (Allahyarham) yang meninggal dunia baru-baru ini. Sebaliknya kata Dato’ Dr Mohd Mansor, dalam pembangunan persuratan Melayu S Othman Kelantan seangkatan dengan A. Samad Said, Shahnon Ahmad dan Alias Ali. “Ketiga-tiga sasterawan terbabit dicatatkan dalam buku berkenaan, tetapi S Othman Kelantan tak ditampilkan,” beritahu Dato’ Dr Mohd Mansor.

Bagaimanapun katanya memang dalam perbincangan sastera bukanlah serba lengkap, kerana pengkritik juga ‘terlepas pandang’ kepada karya-karya besar apabila penilaian itu persis ‘tujuh orang buta dengan seeekor gajah’. Menurut Dato’ Dr Mohd Mansor, antara karya-karya besar S Othman Kelantan yang hampir ‘terlepas pandang’ oleh pengkritik sastera termasuklah ‘Angin Timur Laut’ dan ‘Juara’. Bagi Dato’ Dr Mohd Mansor novel ‘Angin Timur Laut’ seakan-akan mempunyai persamaan dengan ‘Ranjau Sepanjang Jalan’ (Shahnon Ahmad) iaitu perjuangan manusia melawan fenomena alam, tetapi latar dan wataknya tetap jauh berbeza. “Novel ‘Juara’ antara novel karektor Melayu yang menarik dengan mementingkan aksi lebih daripada cerita,” kata Dato’ Dr Mohd Mansor.

INFO SUARA PROLITAR

BERAPA LAMA JALAN DITUTUP:
MPS PERLU PRIHATIN SEMUA KAUM

Jalan di hadapan pejabat PKR bersebelahan Jalan 3/11 di Taman Seri Gombak ditutup sejak Sabtu lalu (2 Ogos 2008) hingga hari ini Rabu (6 Ogos 2008) masih tak dibuka kepada lalu lintas. Jalan ditutup kerana perayaan komuniti Cina. Kalau dulu MCA yang buat sehari dua, orang PAS akan kecoh seluruh negeri. Negeri ini bukan untuk kebebasan satu kaum, tetapi berbilang kaum. Apahal dengan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) yang tutup jalan itu lama sangat. Hari Isnin pasar malam; hari Sabtu pasar malam di situ. Kena jaga juga perasaan komuniti lain yang gunakan jalan berkenaan – (SMS; 6 Ogos 2008; 18:41:17 – Man Cincai; Selayang, Selangor).

KOMENTAR
bersama Pak Parjo

ILMU AGAMA LEBIH PENTING
BUKAN GELARAN ‘HAJI’ YANG KOSONG


Sebermula tersebutlah di dalam negeri Melayu itu akan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Orangkaya Dato’ Dr Marsitah Ibrahim memberitahu dibolehkan sesiapa membuat pinjaman untuk menunaikan fardu haji. Maka berkatalah pula akan menterinya Orangkaya Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, setelah dirujuk kepada Majlis Fatwa, maka ianya bercanggah dengan hukum syarak. Adapun di dalam rukun Islam sudah jelas disebutkan ‘naik haji ke Mekah atas mereka yang berkuasa (mampu)’. Arakian sudahlah dinyatakan ‘mereka yang berkuasa’ itu ialah yang mempunyai cukup wang, dan tak ianya berhutang dalam perkara menunaikan fardu haji itu, adanya. Syahdan, akan guru fakir selalulah mengingatkan yang penting ialah ‘ilmu agama’ bukanlah gelaran ‘haji’ itu.

Syahdan maka Fakir Muhammad pun naik ke darat membawa Quran, maka disuruhnya baca pada orang negeri Lamiri itu, seorang pun tiada dapat membaca dia. Maka Fakir Muhammad pun naik kapal lalu belayar. Berapa lamanya maka sampai ke negeri Haru. Maka segala orang di dalam negeri Haru itu pun semuanya masuk Islam. Maka fakir pun nai ke darat membawa Quran, maka disuruhnya baca, seorang pun tiada tahu membaca dia. Maka Fakir Muhammad pun bertanya kepada orang di dalam negeri itu, ‘Di mana negeri yang bernama Samudera itu?’. Maka Fakir Muhammad pun naik kapal, lalu belayar pula. Maka jatuh ke negeri Perlak. Maka mereka itu pun diIslamkan oleh Fakir Muhammad, kerana dengan ilmunya menyibarkan Islam ia datang ke negeri Melayu seperti disebut dalam ‘Kitab Melayu’ oleh:


HIDUP BAHASA MELAYU!

Monday, August 4, 2008

WARGA PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
S U A R A P R I M A

(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG


APABILA RETAK MENUNGGU BELAH
MORAL UMNO MAKIN JAUH KETINGGALAN

Assalamualaikum,

Balik dari Bestari Jaya (Batang Berjuntai) semalam (3 Ogos 2008), kesesakan lalu lintas berlaku apabila melepasi Sungai Buluh masuk ke Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) di Kepong, di samping ramai wartawan akhbar di bawah jejambat. Memang saya tak sedari jejambat enam lorong sepanjang 1.7 kilometer berhampiran Stesen Komuter Kepong itu ditutup mulai jam 10.30 pagi, kerana ketika melalui jam 10.00 pagi untuk ke Bestari Jaya menghantar anak saya mendaftar di Universiti Industri Selangor (Unisel) bagi semester keduanya, jalan berkenaan belum lagi ditutup kepada lalu lintas. PRIMA melahirkan rasa kecewa dengan masalah struktur tiang 28 di MRR2, disebabkan sejak ianya dibuka pada 1999, sudah empat kali berhadapan dengan isu keretakan pada struktor tiangnya hingga terpaksa ditutup kepada lalu lintas.

Bagaimanapun ketika sampai di Taman Seri Gombak kira-kira jam 2.00 petang, saya singgah makan di restoran mamak, apabila terserempak Sobri Ahmad (Setiausaha Agung Majlis Kerjasama Belia Asian) yang baru balik bermesyuarat di Korea. Beliau ke Korea bersama Dato’ Seri Dr Mohd Khir Toyo yang juga Presiden Majlis Kerjasama Belia Asian. Dalam masa singkat makan tengahari bersama Sobri, sempat juga beliau beritahu mengenai rasa terkejutnya dengan pengakuan Dato’ Seri Dr Mohd Khir sudah beberapa kali berbincang dengan PAS bagi membentuk kerajaan campuran di Selangor, dengan ADUN PAS sendiri memegang jawatan Menteri Besar Selangor. “Saya rasa Dato’ Seri Dr Khir berani bertanggungjawab dengan langkah yang diambilnya sebelum heboh fasal pertemuan UMNO-PAS,” kata Sobri.

Sebelum itu hari Sabtu (2 Ogos 2008) Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz menelefon mengajak makan tengahari, tetapi saya di Jelebu kerana kenduri doa selamat di rumah emak saya Hajjah Safiah Jatin. Sempat juga berbual dengan imam masjid, Haji Noordin Salleh yang masih juga menoreh sebagai pekebun kecil, sekalipun berusia warga emas di samping pesara jabatan kerajaan. Memang usia Imam Haji Noordin tak jauh bezanya dengan saya; apalagi ketika berusia 20-an sama-sama bermain bola sepak, tetapi beliau mengakui fakta usia menyukarkan bekerja secara lasak. Bukan sahaja mendaki bukit, menuruni cerun, malah memikul baldi berisi getah juga sudah tak larat. Bagaimanapun beliau terpaksa menggunakan tenaga warga emas, apabila harga barang-barang yang sukar diramalkan. Begitulah!

Haji Abu Bakar Ninggal pula merungut dengan lanskap politik sekarang, berikutan khabar angin Penasihat PKR Dato’ Seri Anwar Ibrahim akan ditangkap sebelum hari penamaan calon pilihanraya kecil Parlimen Permatang Pauh. Entahlah! Khabar angin kadangkala menjadi kenyataan juga, sekalipun ianya sekadar spekulasi awal. Tetapi pilihanraya kecil Permatang Pauh, adalah persaingan moral UMNO-PKR kerana ianya bukan sahaja mengukur pengaruh politik; sebaliknya laluan pimpinan UMNO menjelang Perhimpunan Agung Disember 2008. Dengan kenaikan harga barang termasuk minyak yang sukar dihalang, di samping kelembapan ekonomi termasuk koridor yang amat jelas bersimpang siur, moral UMNO dan BN sebenarnya jauh ketinggalan. Barangkali!

-Pak Dharma.

INFO HAK ASASI MANUSIA

KU LI DISOKONG AKAR UMBI
UMNO PERLU ELAK SALAH GUNA KUASA

Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah menerima sokongan di peringkat akar umbi bagi memimpin UMNO, sekiranya salah guna kuasa tak dilakukan pada pemilihan dalam bulan Disember 2008 nanti, beritahu bekas Exco Pemuda UMNO Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz. Beliau yang juga Jurucakap PRIMA mengakui langkah meminta Bahagian dan Perhubungan Negeri membuat keputusan menamakan Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak bagi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden adalah salah guna kuasa yang ketara, malah mirip kepada tatacara Harold Mac Michael meminta raja-raja Melayu menurunkan tanda tangan menerima Malayan Union pada 1945 dulu. “Apabila Ketua Bahagian dan Ketua Perhubungan Negeri diminta buat pengumuman ianya mempengaruhi mesyuarat agung,” menurut Dato’ Kamal Amir.
Seterusnya kata Dato’ Kamal Amir, secara diplomasi Harold Mac Michael sekadar menjelaskan beliau sekadar ‘menasihati’, tetapi praktisnya beliau ‘memaksa’ raja-raja Melayu. Disebabkan pencalonan akan dimulakan September-Oktober 2008, adalah tak logik Ketua Bahagian dan Ketua Perhubungan membuat pengumuman mencalonkan dua nama sahaja bagi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden, beliau menambah. Justeru Dato’ Kamal Amir berharap perwakilan Bahagian tak terpengaruh dengan pengumuman Ketua Bahagian menerusi media, sebaliknya memberikan komitmen yang tinggi terhadap kepentingan UMNO bagi menghadapi pilihanraya ke 13 nanti. “Pimpinan UMNO perlu berubah bagi memastikan martabat Melayu kembali di atas landasan sebenarnya,” Dato’ Kamal Amir menjelaskan.

INFO SASTERA & BUDAYA

SUMBER ILHAM TIMUR TENGAH
DENGAN UNSUR-UNSUR KARYA PARSI

Karya-karya sastera Parsi dilihat mempengaruhi pemikiran karyawan Melayu pada peringkat awal pertumbuhan kesusasteran bertulis sekitar 1900-an. Sekalipun novel saduran Syed Syeikh al-Hadi ‘Faridah Hanum’ dianggap bersumberkan ilham di Timur Tengah, tetapi unsur-unsur Parsi lebih mendalam. Mereka yang berminat menelusuri karya-karya terhebat menerusi medium Bahasa Parsi di Iran, boleh melihat sendiri penghargaan masyarakat di Iran terhadap karyawan besar mereka termasuk Umar Qayyum dan lain-lain di seluruh pelusuk negara berkenaan, kata pemandu pelancong ke Iran, Kumail Mahdi. Beliau yang mengendalikan pakej pelancongan ke Iran mengakui, masyarakat di Iran menghargai karyawan-karyawan mereka yang menggerakkan sesi perjuangan nasionalisme mengusir penjajah barat.

Di samping pimpinan revolusi Ayatullah Ruhollah Khomeni yang terkenal sebagai pengarang kitab-kitab, Iran juga banyak mewariskan legasi pimpinan ulama tersohor. Kumail Mahdi turut menyarankan menziarah masjid peninggalan Nabi Khidir a.s. yang terbabit menjadi guru Nabi Musa a.s. seperti disebut menerusi surah al-Kahfi di dalam al-Quran. Peninggalan sejarah yang banyak di Iran, mungkin sahaja boleh menjadi ilham kepada para seniman yang berkunjung ke negara berkenaan. Pakej lawatan ke Iran dengan tambang murah dianggarkan RM1,000 sahaja (pergi dan balik) yang diuruskan oleh Tawasuli Production di bawah kendalian Kumail Mahdi. Mereka yang berminat boleh hubungi Kumail menerusi telefon 016-2473231 atau emel kepada Tawasuli Production juashankabir@yahoo.com.

INFO SUARA PROLITAR

LAWAN ANWAR DI PERMATANG PAUH
EZAM PULA DIJADIKAN ‘KAMBING HITAM’

Kasihanlah pada bekas Ketua Angkatan Muda PKR, Mohd Ezam Mohd Noor. Beliau dijadikan ‘kambing hitam’ sekiranya diletakkan bertanding dalam pilihanraya kecil bagi Parlimen Permatang Pauh. Kalau UMNO tak letak Ketua UMNO Bahagian, carilah tokoh di Pulau Pinang. Setidak-tidaknya Ketua Pemuda Kepala Batas pun boleh cuba nasib. Rebut jawatan Presiden GPMS mampu, takkan nak lawan Dato’ Seri Anwar Ibrahim tak boleh. Apalagi keputusan tetapkan calon di tangan Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi. Bila lagi nak minta, sekaranglah! – (SMS; 3 Ogos 2008; 19:46:18 – Man Cincai, Selayang, Selangor).

BEKAS ANGKATN KETUA MUDA PKR
KONONNYA MAHU BANTERAS RASUAH

OLEH:Asalbayu

DI ANTARA alasan yang diberikan oleh bekas Ketua A... DI ANTARA alasan yang diberikan oleh bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) untuk menyertai UMNO semula ialah kerana dia merasa tertarik dengan agenda Perdana Menteri, Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk membanteras rasuah.Berkaitan dengan alasan tersebut, memang kena pada masanya kini bila mutakhir ini bukan sedikit kes yang timbul terutama yang berprofil tinggi.Akhbar dalam talian, Harakahdaily umpamanya melaporkan maklumat seperti petikan berikutKUALA LUMPUR, 30 Julai (Hrkh) - Badan Pencegah Rasuah (BPR) digesa menyiasat satu kes salah laku perbelanjaan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk pilihan raya umum ke-12 lalu. Exco Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia, Tan Sri Robert Phang Miow Sin berkata pihaknya telah menerima satu laporan mengenai salah guna peruntukan kewangan dan kuasa oleh PDRM untuk tujuan kegunaan pilihan raya umum. "Ia mengandungi enam kesalahan serius termasuk RM98 juta kos yang diperuntukkan pihak kerajaan kepada PDRM," katanya dalam satu sidang media di Pejabat Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia, semalam. Difahamkan, pihaknya telah menerima satu sampul surat berisi lima keping surat yang dialamatkan kepada yayasan tersebut untuk diserahkan kepada Menteri Dalam Negeri, Dato' Seri Syed Hamid Albar; Pengerusi BPR, Dato' Panglima Ahmad; Ketua Setiausaha KDN, Tan Sri Abdul Aziz; Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan beliau sendiri. "Pengirim maklumat ini menyatakan bahawa antara kesalahan besar pihak PDRM adalah gagal mematuhi Standard Operative Procedure (SOP) dalam menggunakan peruntukan kuasa dan kewangan," katanya.

Beliau juga menegaskan bahawa pihaknya sekadar bertindak untuk menyampaikan maklumat tersebut kepada pihak yang sepatutnya dan tidak bermaksud untuk terus menuduh pihak PDRM berdasarkan laporan tersebut. "Saya tidak berniat untuk memusnahkan karektor mana-mana individu apatah lagi apa yang saya lakukan hanya untuk menyerahkan kesemua surat dan laporan ini kepada BPR untuk siasatan selanjutnya," ujarnya. Jelasnya, pihaknya terkejut dengan perbuatan korupsi yang kemungkinan berlaku di bawah Jabatan Logistik PDRM yang digunakan sebelum dan semasa pilihan raya umum. Apa yang penting katanya, kini terdapat pihak tertentu yang meragui integriti dan kewibawaan agensi polis. "Mereka sudah tidak percaya kepada agensi polis," katanya lagi. Sementara itu, bekas Presiden Transparency International Malaysia,Tunku Aziz juga menjelaskan apa yang penting adalah pihak yang didakwa dalam laporan tersebut agar mengemukakan penjelasan mengenai tuduhan tersebut. "Saya tidak mengatakan semua polis jahat, mengamalkan korupsi, makan suap dan sebagainya."Tetapi pihak polis perlu memberi penjelasan mengenai tindakan Jabatan Logistik yang tidak mematuhi SOP yang telah ditetapkan kerana ia mengakibatkan kemungkinan terjadinya penyelewengan dalam sebarang urusan," ujarnya lagi.Walau bagaimanapun, pihaknya dijangka menghantar laporan terbabit kepada BPR pada hari ini. "Saya sekadar menyampaikan pesanan kepada pihak yang berkuasa untuk menyiasat apa jua yang telah berlaku," katanya. Beliau turut menegaskan semua pihak perlulah mematuhi prosedur yang telah ditetapkan bagi mengelakkan timbul pertikaian dalam urusan kelak. "Yang menghairankan saya ialah siapa yang buat SOP ini dan kenapa ianya tidak dipatuhi?" ujarnya lagi.

Oleh yang demikian, Ezam dilihat sebagai cukup berperanan dalam UMNO bagi tujuan itu!Tambahan pula bekas bosnya baru saja menemukakan laporan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) berkaitan dengan tingkah laku Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hasan dan Peguam Negara, Abdul Ghani Patail. Mungkinkah ini juga termasuk dalam fail yang pernah dikatakan sebanyak enam kotak dulu itu?

SIAPA PEMBOHONG?
ANWAR SEDIA BERTANDING
Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam menyifatkan ancaman Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengambil alih teraju kepemimpinan negara sebagai satu pembohongan.Semua media termasuk akhbar dalam talian melaporkan Datuk Seri Anwar Ibrahim telah bersedia untuk bertanding dalam pilihanraya kecil bagi kerusi parlimen Permatang Pauh , ia dikosongkan berikutan perletakan jawatan Ahli Parlimen Permatang Pauh.Dato' Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga adalah Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR).Kenyataan Abdullah ini sudah tentulah menggelikan hati rakyat jika dihubungkan dengan kenyataan beliau sebelum Pilihanraya Umum Ke-12 (PRU12) dahulu berkaitan isu kenaikan harga minyak yang turut mempenagruhi harga barang. Sudah tentulah kenyataan orang nombor satu negara itu memperlihatkan betapa dia sudah lupa dengan banyak hal kerana dia masih lena dan hadiah bantal dan bantal peluk kepadanya dahulu adalah amat wajar.Sudah tentulah ramai rakyat masih ingat dengan jelas bahawa kenaikan harga minyak hanya akan berlaku pada bulan Ogos 2008.
Namun sekitar 48 jam selepas kenyataan itu diumumkan tiba-tiba kenaikan harga minyak telah berlangsung sehingga kenderaan berbaris panjang santak ke waktu selepas Isyak.Amat menyedihkan terdapat pemilik kenderaan yang beragama Islam terlepas menunaikan fardu Maghrib. Ramai kalangan pemuka Islam yang sedih dengan situasi tersebut dan bagi sebahagian daripada rakyat menganggap itu adalah sebahagian daripada Rukun Islam Hadhari! Sebab itulah barangkali awal-awal lagi negeri Selangor menolak Islam Hadhari. Kedah, Kelantan, Pulau Pinang juga rasanya sependapat dengan kerajaan negeri Selangor itu.Perlu direnungi bahawa pembohongan menurut ajaran Islam yang sebenar dan bukan Islam Hadhari adalah sebahagian daripada sifat-sifat orang munafik selain mungkir janji, khianat dan sifat melampaui batas apabila berbalah atau bertengkar.Khalayak sewajarnya mempertimbangkan dengan saksama sama ada hendak bersubhat dengan para pendusta atau menghindarinya. Juga hendaklah memikirkan sama ada kita sanggup mengunyah daging saudara sendiri dengan bersubhat dengan para penyebar fitnah. Ingat Allah melihat apa yang kita laksanakan pada bila-bila masa sahaja. Tak tahulah jika ajaran Islam Hadhari itu menghalalkan segala tegahan Islam sejati. Berfikirlah.

KOMENTAR
bersama Pak Parjo

RASUAH POLITIK DI DALAM UMNO
TUNNGU MIMPI SEPERTI RAJA MELAKA

Syahdan diberitahu kepada orang banyak akan Menteri Dalam Negeri, Orangkaya Dato’ Seri Syed Abdul Hamid bin Syed Jaafar Albar mengakui berlakulah perbuatan tak sihat dalam pemilihan harakah Melayu (UMNO) sekarang ini. Arakian di Kota Tinggi yang menjadi perkampungan Orangkaya Dato’ Seri Syed Hamid itu, barulah empat sahaja anak tuan-tuan menyokongnya daripada sejumlah 46 kampung-kampung di dalam perkampungan itu, adanya. Maka diberitahu kepada fakir akan orangkaya menteri juga belumlah tentu dipilih oleh anak tuan-tuan di kampung-kampung; apalagi sebelumnya dikatakan Orangkaya Dato’ Seri Syed Abdul Hamid mengumumkan perkampungannya di Kota Tinggi mencalonkan Orangkaya Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi memegang jawatan ketua harakah Melayu itu, dengan Orangkaya Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak menjadi wazirnya.

Arakian maka baginda pun beristerikan anak Tun Perpatih Permuka Berjajar, beranak dua orang laki-laki, seorang bernama Raja Kecil Mambang, dan seorang Raja Megat namanya. Telah berapa lamanya Raja Kecil Besar di atas kerajaan, maka baginda bermimpi pada suatu malam, berpandangan dengan keelokan Rasullullah. Maka sabda Rasullullah pada Raja Kecil Besar, ‘Ucap olehmu kalimah syahadat’. Maka dituruti oleh Raja Kecil Besar seperti sabda Rasullullah. Maka sabda Rasullullah, ‘Adapun namamu Sultan Muhammad; esok hari waktu asar matahari, datang sebuah kapal dari Judah, turun orangnya sembahyang di pantai Melaka ini; hendaklah engkau ikut barang katanya’. Maka sembah Raja Kecil Besar, ‘Bailklah, Tuanku, yang mana sabda junjungan itu tiada hamba lalui’. Gamaknya orang-orang harakah Melayu belumlah lagi bermimpi seperti perihal raja Melaka yang disebut dalam ‘Kitab Melayu’ daripada:


HIDUP BAHASA MELAYU!

Thursday, July 31, 2008

WARGA PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
S U A R A P R I M A
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG


AYAH S OTHMAN MENINGGAL DUNIA
PAKSI KEJAYAAN PENDIDIKAN MELAYU

Assalamualaikum,

Ketika menerima SMS dari Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah pagi ini (31 Julai 2008) kira-kira jam 6.30 am, saya baru sahaja selesai solat subuh. Beliau beritahu mengenai ayah Profesor Dr Syed Othman Syed Omar berpulang ke rahmatullah malam semalam kira-kira jam 12.00 malam (30 Julai 2008). Al-Fatihah! Memang saya tak berapa kenal rapat dengan Profesor Dr Syed Othman yang lebih dikenali sebagai sasterawan S Othman Kelantan. Bagaimanapun bagi pihak PRIMA saya mengucapkan takziah kepada keluarga S Othman berikutan berpulangnya ke rahmatullah ayah tersayang, moga-moga Allah SWT cucuri rahmat ke atas rohnya. Apalagi kegigihan Profesor Dr Syed Othman dalam bidang akademik memang dikagumi kawan-kawan hingga mencapai puncaknya lulus dengan kesarjanaan yang berpaksi menerusi pendidikan Melayu.

Mungkin sahaja ayahnya menjadi pendorong kepada S Othman Kelantan berkarya, berdasarkan wacana bersama Sasterawan Negara di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) tahun lalu (2007). Dalam wacana berkenaan S Othman Kelantan yang kelihatan mampu berhumor, beritahu fasal sering habiskan masa membaca kitab-kitab ayahnya sebagai pakej pengalaman awalnya berkarya. Pada 1995 saya pernah melihat S Othman Kelantan tekun mengikuti wacana politik di UKM, ketika saya menjadi ahli panel bersama Dato’ Ahmad Shabery Cheek (sekarang Menteri Penerangan, ketika itu Ketua Penerangan PSM46) dan Dr Harun Taib (mewakili PAS) dengan dipengerusikan oleh Dr P Ramasamy. Begitulah!

Dalam perjalanan ke kedai kek seorang kawan petang ini (31 Julai 2008) jam 6.00 pm, editor Buletin Rakyat, Norzah Haji Kepol menelefon beritahu mengenai Ahli Parlimen Permatang Pauh, Dato’ Seri Wan Azizah Ismail yang juga Presiden PKR mengosongkan kerusinya bagi memberi laluan kepada suaminya, Penasihat PKR Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Maknanya, kalau dihalang Dato’ Seri Anwar menjadi Ahli Parlimen pada PRU12, Mac 2008 (disebabkan tempoh kelayakan menjadi calon April 2008), mungkin sahaja Ogos atau September 2008, beliau akan memasuki Parlimen juga sekiranya diizin Allah SWT (kalau beliau menang). Begitu juga apabila dihalang beliau menjadi Perdana Menteri menerusi konspirasi, sekiranya diizin Allah SWT segalanya boleh berlaku.

Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi juga pernah tersisih selepas insiden 1987, malah Tun Dr Mahathir Mohammad sendiri mungkin tak menduga beliau akan membuat come back. Barangkali! Bukan Dato’ Seri Abdullah sahaja disisihkan UMNO, malah Dato’ Seri Dr Rais Yatim, Dato’ Seri Ahmad Shabery Cheek, Dato’ Seri Radzi Sheikh Ahmad di samping rakan-rakan mereka yang lain turut tersisih. PAS juga hampir tenggelam selepas dikerenyuk habis pada 1978, hingga tragedi Mamali juga tak mampu memulihkan signifikan PAS. Sebaliknya pada 1990 segalanya berlaku dengan izin Allah SWT, ketika UMNO berberantakan selepas insiden 1987, diikuti gempa politik yang melebihi 7 skala Ritcher pada 1999. Justeru segalanya boleh berlaku, insya Allah!

-Pak Dharma

INFO HAK ASASI MANUSIA


PENIAGA KEK BIMBANG HARGA TELUR
MENTERI DIDESAK PANTAU MENJELANG RAYA

Kerajaan didesak memantau kenaikan harga barang menjelang Hari Raya Adidilfitri dijangka Oktober 2008 ini mulai sekarang, bagi mengelak pihak tak bertanggungjawab mengeksploit pengguna secara terancang. Serentak dengan itu Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato’ Seri Shahrir Abdul Samad diingatkan supaya kerap turun padang, bagi memahami masalah pengguna dengan lebih dekat, kata seorang peniaga kek di Lembah Kelang, Haji Rahmat Said. Ketika ditemui di premis kedainya, Haji Rahmat mengakui kenaikan harga bahan-bahan produk termasuk telur, buah-buahan, tepung, gula, majerin dan perasa menyebabkan pasaran kek turut terjejas. “Kenaikan harga barang tak wajar diletakkan kepada fakta ekonomi global, sebaliknya bergantung kepada masalah pengurusan dan pentadbiran dalam negara,” katanya yang juga bekas penjawat awam.

Menurut Haji Rahmat selanjutnya, kenaikan harga telur yang mendadak tak kena mengena dengan fakta ekonomi global, disebabkan ianya produk dalam negeri. Apalagi bahan makanan bagi ladang ternakan ayam di proses di dalam negeri, justeru tiada kaitan dengan kesan ekonomi global. Bagi bahan kek buah-buahan pula jelas Haji Rahmat lagi, harga kismis turut melonjak kepada RM12 sekilo, di samping pisang juga menghadapi kenaikan harga sekalipun ianya bahan produk tempatan. Seterusnya beritahu Haji Rahmat sudah lebih dua bulan premis perniagaannya tak membekalkan ‘kek kukus’ kerana kos bahan-bahannya terlalu tinggi. “Kek kukus memang tahan lama, tetapi harga jualannya terpaksa dinaikkan kepada RM25 satu unit, kalau mahu dibuat produknya,” menurut Haji Rahmat selanjutnya.

MENUNGGU MENJELANG SEPTEMBER
ANWAR DIJANGKA GEGARKAN PARLIMEN
Keputusan Presiden PKR Dato’ Seri Wan Azizah Ismail mengosongkan kerusinya di Permatang Pauh, memberi petanda Dato’ Seri Anwar Ibrahim akan bertanding pada pilihanraya kecil nanti. Memandangkan Permatang Pauh merupakan kubu kuat Dato’ Seri Anwar, beliau dijangka mampu memenangi kerusi berkenaan sekalipun berhadapan dengan pelbagai taktik UMNO dan BN, menurut penganalisis politik. Di samping akan mengambil alih posisi Ketua Pembangkang di Parlimen, Dato’ Seri Anwar juga dijangka memberi impak besar dengan menggegar Parlimen dalam perbahasan-perbahasan. Ketika beliau menduduki kerusi Timbalan Perdana Menteri pada dekad 1990-an, Dato’ Seri Anwar sering mematahkan hujah pimpinan pembangkang sama ada Dato’ Seri Hadi Awang, Lim Kit Siang mahupun Karpal Singh.

Kesediaan Dato’ Seri Wan Azizah melepaskan jawatan Ahli Parlimen Permatang Pauh seperti dilaporkan warta berita di RTM hari ini (31 Julai 2008), dilihat sebagai strategi awal PKR dan Pakatan Rakyat merealisasikan sasaran dalam peralihan kuasa menjelang September 2008, dengan menolak pelan peralihan kuasa UMNO dijangka pada Jun 2010. Menurut penganalisis politik, pelan peralihan kuasa yang diumumkan oleh Dato’ Seri Abdullah dianggap sebagai ‘jerangkap samar’ kepada timbalannya Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak yang mendorong pengkritik-pengkritik beliau mencari alternatif baru. “Apalagi Najib menjadi proksi Tun Dr Mahathir, sudah tentu pengkritik-pengkritik Tun Dr M dalam UMNO juga tak berdiam diri,” beritahu sumbr berkenaan.

INFO SASTERA & BUDAYA

SENIMAN BERPAKSI KEPADA RAKYAT
MENOLAK SEMUA PERHAMBAAN MINDA

Penampilan Badan Seniman Paksi Rakyat (Paksi) pimpinan Dinsman dalam gerakan ormas diharap mampu membawa wadah baru dalam kesinambungan perjuangan budaya dan sastera Melayu sejak digerakkan oleh Syed Sheikh al-Hadi bersama rakan-rakannya pada dekad 1900-an, beritahu aktivis PRIMA penyair Yassinsalleh. Katanya, Malaysia tak berharap Paksi mahupun PRIMA akan bergerak di atas landasan yang sama dengan Lembaga Kebudayaan Rakyat (Lekra) di Indonesia sekitar dekad 1940-an hingga ianya berakhir dengan kejatuhan rejim Ir Sukarno pada 1967, sebaliknya akan menjadi lidah Melayu secara afektif. “Seharusnya Paksi mahupun PRIMA juga tak mengikut jejak Asas 50, sebaliknya menjadi benteng rakyat dalam menolak sebarang perhambaan minda di bawah pemerintahan yang bobrok, pongah dan arogan,” kata Yassinsalleh.

Menurut Yassinalleh selanjutnya, memang para seniman berpaksi kepada rakyat, malah mereka berkarya di atas landasan meletakkan kepentingan rakyat di atas segala-galanya seperti pernah digerakkan oleh Dato’ Dr Ishak Haji Muhammad, Dato’ Ahmad Boestamam mahupun Aziz Ishak. Mereka sanggup meninggalkan segala glori kehidupan semata-mata mementingkan perjuangan rakyat, beritahu Yassinsalleh. Misalnya, kata Yassinsalleh lagi, Dato’ Dr Ishak (Pak Sako) sanggup meninggalkan jawatan majisterit, Dato’ Ahmad Boestamam meninggalkan jawatan Ahli Parlimen, Aziz Ishak bersedia mengorbankan jawatan menteri kabinet untuk berjuang bersama rakyat. “PRIMA juga bersedia bekerjasama dengan Paksi dalam menggerakan perjuangan rakyat yang menjurus kepada menentang perhambaan minda,” beritahunya.

INFO SUARA PROLITAR

JANGAN BETULKAN BADAN KEHAKIMAN SAJA
SEMUA JABATAN HENDAKLAH BERSIKAP TELUS.

Pengurus Besar Hospital Pusrawi, Wan Mahmud Wan Yaakob mengaku Mohd Saiful Bukhari Azlan buat pemeriksaan, tetapi hanya pemeriksaan biasa bukannya kes liwat pada 28 Jun 2008. Bagaimanapun pemeriksaan itu berkaitan sakit perut di samping sukar buang air besar (kalau bukan berkaitan liwat, berkaitan apa pula?). Kononnya Dr Osman Abdul Hamid yang merawat bukanlah pakar dalam kes liwat, tetapi pegawai perubatan di klinik kemalangan dan kecemasan. Maknanya, laporan sudah jelas, tetapi bagaimana ianya bocor. Jadi, janganlah badan kehakiman sahaja nak diperbetulkan, sebaliknya ketelusan mesti wujud di semua jabatan – (Emel; 31 Julai 2008 – Ali Cikung; Sungai Besi, Kuala Lumpur).

BOLEH PERCAYAKAH KERAJAAN CAMPURAN
GILIRAN KETUA MENTERI SABAH PUN MANSUH.

Macam mana rakyat boleh percayakan UMNO kalau bentuk kerajaan campuran dengan PAS? Di Sabah, UMNO juga berjanji gilirkan jawatan Ketua Menteri Sabah setiap dua tahun, kalau sokong UMNO. Dato’ Osu Sukam jadi ketua menteri dua tahun, kemudian digantikan oleh pemimpin LDP. Giliran seterusnya selepas dua tahun kepada SAPP. Apabila PBS menyertai BN, giliran ketua menteri balik kepada UMNO iaitu Dato’ Musa Aman. Giliran jawatan ketua menteri pun dimansuhkan, setelah Dato’ Pairin masuk BN. Berapa kali lagi UMNO mahu mainkan rakyat. Cukuplah ya! PAS juga janganlah terpedaya macam PBS di Sabah – (Emel; 31 Julai 2008 – Sarip HM, Keningau, Sabah).

KOMENTAR
bersama Pak Parjo

TERLALU MUDAH UNTUK BERJANJI:
KALAU SEMBUNYI MUSLIHAT SIASAH


Sebermula tersebutlah alkisah di negeri Melayu itu akan Orangkaya Menteri Besar Kelantan Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini (28 Rejab 1429; atau disebut orang banyak 31 Julai 2008) mahulah ia menerima cadangan menubuhkan kerajaan campuran di negeri Perak itu. Syahdan Orangkaya Menteri Besar Kelantan itu dikatakan mengulas pengakuan bekas Orangkaya Menteri Besar Perak Dato’ Seri Tajol Rosli akan memberikan jawatan Orangkaya Menteri Besar Perak itu kepada suku sakat harakah Islam (PAS) sekiranya bersetuju mengadakan kerajaan campuran bersama harakah Melayu (UMNO). Sayugia teringatlah suku sakat harakah Islam akan janji harakah Melayu (UMNO) satu ketika dulu mahukan jawatan Orangkaya Ketua Menteri Sabah digilirkan, tetapi janji itu berakhir selepas tiga kali digilirkan. Adanya!

Arakian, setelah Sang Aji Jaya Ningrat menjadi betara Majapahit itu, maka akan si penyadap pun masuk menghadap. Maka sembahnya, ‘Manatah janji paduka betara dengan kula? Apabila Tuanku menjadi betara Majapahit, kula hendak dijadikan Pateh Aria Gajah Mada’. Maka titah betara, ‘Sabarlah paman dahulu; lagi hamba bicarakan’. Maka si penyadap itu kembalilah ke rumahnya. Sang Aji Jaya Ningrat pikir di dalam hatinya, ‘Betapa peri aku memecat Patih Aria Gajah Mada ini? Suatu pun tiada apa salahnya kepada aku; lagipun penaka turus negeri Majapahit ini. Jikalau tiada ia, binasalah negeri Majapahit ini. Tetapi janjiku dengan bapa angkatku ini apa aku balas kepadanya,’ seperti disurat dalam ‘Kitab Melayu’ itu daripada:


HIDUP BAHASA MELAYU!
WARGA PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
S U A R A P R I M A
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG

PELAN PERALIHAN KUASA UMNO
KERANA KEBOBROKAN SELEPAS PRU12

Assalamualaikum,

Di mana-mana sahaja majoriti rakyat berminat bincangkan isu kebobrokan UMNO selepas PRU12; sama ada ianya dipimpin Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi mahupun dalam pelan peralihan kuasa kepada timbalannya Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak, Jun 2010 nanti. Malah kalangan rakan-rakan dalam UMNO yang di peringkat akar umbi berasa hairan apabila Dato’ Seri Abdullah menamakan pengganti dalam pelan peralihan kuasa apabila berpaksi kepada ‘Islam Hadhari’, kerana pada period Khalifah ar-Rasyiddin tak pernah dilaksanakan pelan peralihan kuasa. Lainlah pada period Muawiyah bin Abu Sufian yang dianggap lebih banyak politiking dalam pentadbirannya iaitu pasca Khalifah ar-Rasyiddin.

Tak hairanlah ketika dalam perjalanan ke Bagan Datoh hari ini (30 Julai 2008), Haji Abu Bakar Ninggal menelefon kira-kira jam 12.00 tengahari. Sekalipun tak aktif lagi bersama PKR, tetapi Haji Abu Bakar (Mr Burn) tak bersetuju PAS berbaik-baik dengan UMNO berikutan keputusan PRU12 yang serba pincang, goncang dan tempang. Kalau UMNO mampu melestarikan hegemoni kuasa, sudah tentu ‘sebelah mata’ pun mereka tak akan pandang PAS seperti pilihanraya 1978, 1982, 1986, 1990 dan 1995. Begitulah. PAS pula memakan masa terlalu lama wal hasil balik hasal, hinggalah pada pilihanraya 1990 mampu bentuk kerajaan negeri di Kelantan pada 1990 selepas UMNO heh heh heh!

Apabila sampai di Bagan Datoh kira-kira 3.00 pm, Haji Yahaya Ismail pula menelefon beritahu buku barunya dalam proses penulisan. Bagaimanapun Haji Yahaya meramalkan Penasihat PKR Dato’ Seri Anwar Ibrahim mungkin sahaja ditahan lebih awal sebelum sempat bertanding pada pilihanraya kecil. Memang Haji Yahaya (Pak Ya) tak bersetuju dalam banyak perkara dengan Dato’ Seri Anwar, tetapi merasakan menggunakan isu liwat bagi menjejaskan pengaruh beliau adalah ‘kurang bijak’. Apalagi dalam lanskap politik yang menampilkan usaha bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad beriya-iya sangat mahukan Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak menggantikan Dato’ Seri Abdullah seolah-olah pelari yang tersilap memberikan boton.

Malah Pak Ya juga melihat Tun Dr M tersilap memberi boton kepada Tun Ghafar Baba, apabila mengelak untuk menerukan larian berganti-ganti kepada Tun Musa Hitam. Beliau juga turut memberi boton yang salah kepada Dato’ Seri Anwar apabila gagal menyerlah di garisan penamat pada pilihanraya 1999. Disebabkan tersilap memberikan boton kepada Dato’ Seri Abdullah, Tun Dr M berlari di luar trek untuk diberikan pula boton kepada Dato’ Seri Najib. Semua pelari larian berganti-ganti Tun Dr M memang tak menepati sasaran, justeru UMNO perlu memastikan sendiri pelari ke garisan penamat, bukan diserahkan kepada Tun Dr M, Dato’ Seri Abdullah atau Dato’ Seri Najib. Tetapi siapa lagi yang boleh diharapkan sebagai pelari ke garisan penamat. Entahlah!

-Pak Dharma.

INFO HAK ASASI MANUSIA

PEKERJA SYARIKAT ENGGAN KERJA
PEKEBUN KECIL TERJEJAS SUMBER REZEKI
Mogok pekerja-pekerja Syarikat Perniagaan Sawit Bee Guan di Batu 22, Sungai Haji Muhammad, Selekoh, Bagan Datoh sejak Ahad lalu (27 Julai 2008) menjejaskan ramai pekebun-pekebun kecil kelapa sawit di sini. Justeru pekebun-pekebun kecil kelapa sawit di sini meminta Ahli Parlimen Bagan Datoh, Dato’ Ahmad Zahid Hamidi prihatin dengan masalah yang dihadapi mereka. Menurut seorang pekebun kecil di Kampung Sungai Haji Muhammad, berikutan mogok yang dilancarkan oleh pekerja-pekerja syarikat pembeli kelapa sawit berkenaan, pekebun-pekebun kecil terbabit sukar memasarkan buah yang sudah matang. “Hingga hari ini (30 Julai 2008), mogok pekerja-pekerja masih diteruskan, jadi kami tak dapat memetik buah,” beritahu pekebun kecil berkenaan.

Pekerja-pekerja syarikat tersebut melancarkan mogok berikutan langkah kerajaan mengenakan levi (dianggap penduduk-penduduk di sini sebagai cukai pendapatan), di samping mereka juga turut dikenakan ‘cukai pendapatan’ tahunan yang membebankan. Justeru sebagai protes kepada majikan, pekerja-pekerja terbabit mengambil tindakan enggan bekerja sejak Ahad (27 Julai 2008) lalu, menyebabkan pekebun-pekebun kecil terjejas. Berdasarkan harga kelapa sawit yang ditawarkan menjunam kepada RM540 satu tan, berbanding hampir RM700 sebelum PRU12, pekebun-pekebun kecil sekadar mampu menerima RM275 dua minggu dengan pengeluaran 510 kilogram (atau setengah ton), jelas mereka yang terbabit berurusan dengan syarikat berkenaan.

“Di samping harga kelapa sawit yang merudum, kami terpaksa pula membayar kos pengangkutan sebanyak RM15 kepada syarikat tersebut,” menurut pekebun kecil itu menambah. Pekebun-pekebun kecil dikehendaki membayar kos pengangkutan RM15, berikutan kenaikan harga petrol apabila syarikat terbabit mengangkut menggunakan lori syarikat mereka. Dato’ Ahmad Zahid perlu ‘turun padang’ bagi menangani masalah eksploitasi yang dihadapi pekebun-pekebun kecil di Bagan Datoh, bukan memantau dari bilik berhawa dingin dengan menerima laporan dari pegawai-pegawai partinya di sini, jelas pekebun-pekebun kecil terbabit. “Jangan pandai nasihatkan rakyat berjimat, kalau masalah eksploitasi tak diatasi nak berjimat macam mana?” kata mereka.

Dalam tinjauan PRIMA syarikat perniagaan berkenaan sudah lama beroperasi dengan pendaftaran urusniaga (co: no: 1PO176952-X) beralamat di Lot 3595, Batu 22, Sungai Haji Muhammad, Selekoh, Perak. Pekebun-pekebun kecil diberi kemudahan seperti dilaksanakan dalam sistem kapitalisme iaitu mendapat pinjaman membeli baja, pam racun dan kelengkapan pertanian dengan memotong daripada hasil jualan. Berikutan mogok pekerja-pekerja syarikat dengan isu levi dan cukai pendapatan tahunan yang membeban, pekebun-pekebun kecil juga terikat dengan kemudahan yang ditawarkan. “Mereka tak mempunyai kesatuan sekerja, pekebun-pekebun juga tak mempunyai persatuan; jadi, kepada siapa kami mahu mengadu kalau bukan wakil rakyat,” jelas mereka ketika ditemui hari ini (30 Julai 2008).

INFO SASTERA & BUDAYA

PERSIDANGAN MEJA BULAT LMNS
MEMPERKASA & MEMARTABAT ADAT PERPATIH

Persidangan Meja Bulat ‘Memperkasa dan Memartabatkan Adat Perpatih’ anjuran Lembaga Muzium Negeri Sembilan (LMNS) akan diadakan 3-4 Ogos 2008 di Kompleks Teknologi Pertanian Ulu Seperi, Rembau. Pembentangan kertas kerja bertajuk ‘Peranan setiap peringkat hierarki adat dan sistem pelantikan’ akan dikemukakan oleh Dato’ Seri Maharaja Haji Khalid Bonget, Tiang Balai Luak Ulu Muar bagi dibincangkan menerusi 4 kumpulan sebelum dibawa ke sidang pleno. Perbincangan akan dibahagi kepada 4 iaitu Kumpulan 1 dipengerusikan oleh Dato’ Dr Mohd Rosli Saludin, Kumpulan 2 dengan pengerusinya Dato’ Haji Sudin Kamari, Kumpulan 3 di bawah pengerusi Dato’ Dr Abdul Rahman Kaeh dan Kumpulan 4 pengerusinya Dr Raja Nafida Raja Shahminan.

Pada sidang pleno ianya dijangka dipengeruikan oleh Dato’ Mohamad Razi Haji Kail, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan, Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian, Warisan dan Adat Istiadat Melayu Negeri Sembilan dengan ahli-ahlinya Dato’ Dr Mohd Rosli Saludin, Dato’ Haji Sudin Kamari, Dato’ Dr Rahman Kaeh dan Dr Raja Nafida Raja Shahminan. Persidangan Meja Bulat berkaitan memperkasa dan memartabatkan Adat Perpatih turut membincangkan ‘Penubuhan Institusi bagi memperkasa Adat Perpatih’, ‘Dasar Adat Perpatih’ dan ‘Penyelidikan Adat Perpatih’. Pembabitan kalangan ahli akademik dalam penyuburan institusi Adat Perpatih diharap mampu memberi input yang cemerlang, gemilang dan terbilang sebelum ianya diperlekeh, diperleceh dan diperleleh di masa akan datang. Barangkali!

INFO SUARA PROLITAR

50 AHLI UMNO KELUAR PARTI
PERHUBUNGAN AKAN BUAT SIASATAN

Pelik juga Setiausaha UMNO (Perhubungan Negeri) Pulau Pinang, Dato’ Azhar Ibrahim nak siasat 50 ahlinya keluar parti. Kenapa tak siasat Majlis Tertinggi (MT) bubarkan 17 cawangan UMNO di Bahagian Jelutong? Apalagi Dato’ Azhar mengaku, nak keluar, keluarlah! Tun Dr Mahathir (Mohamad) pun keluar. Buat apa nak siasat. Baguslah kalau Dato’ Azhar tak takut. Lagipun nak takut apa, UMNO Pulau Pinang dah jadi Pak Kaduk pada PRU12. Berkokoklah Dato’ Azhar, berkokoklah. Ekor gelumang taik, siapa yang tau! – (SMS; 30 Julai 2008; 22:34:09 – YS, Kajang, Selangor).

KOMENTAR
bersama Pak Parjo

Arakian disebutlah oleh Orangkaya Menteri Usahawan Dato’ Seri Noh Omar akan tambang pengangkutan awam akan dinaikkan sebelum Hari Raya Aidilfitri tahun ini. Syahdan akan sekalian rakyat jelata yang bekerja di kota-kota berasa gundah gelanalah untuk balik ke kampung menjelang hari raya nanti, adanya. Maka Orangkaya Dato’ Seri Noh Omar mengakui hari ini (27 Rejab 1429 atau pada pemahaman anak cucu fakir 30 Julai 2008), kenaikan tambang itu kerana harga minyak (diesel) naiklah kepada RM1.43 seliter berbanding 71 sen sebelum ini. Sebermula kenaikan harga tambang pengangkutan awam itu memang terlalu masyghol di hati sekalian rakyat jelata, apalagi ibu bapa yang menunggu kepulangan anak-anak setahun sekali menjelang Hari Raya.

Syahdan akan Sultan Mahmud memberi persalin pda Bendahara Paduka Raja dan laksamana; dianugerahi pula seorang sebuah usungan, barang ke mana ia berjalan disuruh usung. Maka oleh laksamana dipakainya usungan itu, barang ke mana ia berjalan maka berusunglah, kerana tak memerlukan minyak (sama ada petrol mahupun diesel); segala anak buahnya di bawah usungan. Adapun Bendahara Paduka Raja usungannya itu lalu dibungkusnya dengan kekuningan digantungnya pada tempat ia duduk dihadap orang sediakala. Maka sembah segala anak buahnya pda bendahara, ‘Bagaimana dato’ ini bagai pak si bendul, diberi raja usungan ditaruh? Akan laksamana dianugerahi usungan, berusung ia ke sana ke mari semakin gah apabila berjalan-jalan Hari Raya,’ seperti disurat dalam ‘Kitab Melayu’ oleh:







HIDUP BAHASA MELAYU!