Thursday, August 14, 2008

WARGA PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
S U A R A P R I M A

(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG


WARTAWAN SIBUK P/RAYA KECIL
BUSH JADI BACUL BERDEPAN RUSSIA!

Assalamualaikum,

Tahniah! Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Pahang, Syed Adnan Dato’ Syed Abdullah menerima menantu lagi, berikutan perkahwinan anaknya malam ini (14 Ogos 2008). Beliau bersama aktivis PRIMA L Mankadir Shamsi sudah pun berada di Kelantan bagi majlis perkahwinan tersebut. Saya pula menghadiri majlis kenduri doa selamat di samping menyambut kedatangan Ramadan di rumah Presiden Persatuan Wartawan Hiburan Malaysia (WHAM) Hajjah Fauziah Raof malam ini juga (14 Ogos 2008). Rakan wartawan dari Mingguan Perdana yang kebetulan pula tererempak di sebuah pasaraya di Taman Seri Gombak petang ini bertanya sama ada saya akan ke Permatang Pauh atau tidak 16 Ogos 2008 nanti, disebabkan mereka memang ke sana atas kapisiti wartawan bagi melaporkan berita. Heh heh heh!

Pimpinan Angkatan Sasterawan Indera Kayangan, Perlis (ASIK), Abdul Ahmad yang juga terkenal sebagai penulis novel kanak-kanak menelefon petang ini (14 Ogos 2008). Abdul yang juga bekas pengarang Dewan Pelajar di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sudah lama bersara, di samping menetap di kampungnya di Perlis, memang aktivis persuratan sewaktu berkhidmat di Kuala Lumpur. Beliau dikatakan kurang selesa dengan persatuan penulis di Perlis yang dianggap seolah-olah taksub sangat dengan pimpinan GAPENA dan Profesor Emeritus Tan Sri Ismail Hussein. Bagaimanapun Abdul sekadar bertanya khabar, di samping menyentuh pilihanraya kecil Permatang Pauh yang dijangka 26 Ogos 2008. Apalagi UMNO sudah pun menamakan calonnya semalam (13 Ogos 2008 – ikut tarikh kegemaran Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi) bagi menentang calon PKR Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Memang rakan-rakan menyangka PRIMA menyokong PKR, berikutan pada PRU12 lalu akhbar ‘Siasah’ melaporkan saya naik ke pentas membantu calon PKR di kawasan Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong. PRIMA mengambil pendekatan yang tetap konsisten iaitu ‘sokong calon, bukan sokong parti’. Justeru pada pilihanraya kecil bagi Parlimen Permatang Pauh, PRIMA juga menyeru 58,449 pengundi-pengundi di kawasan berkenaan memberikan undi berdasarkan calon, bukannya parti! Trend pemikiran rakyat Malaysia pada PRU12 perlu dikekalkan dengan menolak populariti parti, sebaliknya menyokong calon di setiap pilihanraya. Justeru calon yang menjadi prasit dengan sekadar bergantung kepada populariti parti harus ditolak, tetapi memilih calon yang benar-benar mampu melonjakkan kewibawaan negara ke peringkat antarabangsa.

Hari ini (14 Ogos 2008) juga dilaporkan kereta kebal Moscow terus menceroboh Gori, bandar strategik di Georgia iaitu lokasi terletaknya sebuah pangkalan tentera. Kemaraan tentera Russia tak pula ditakrif oleh Amerika Syarikat sebagai ‘paksi keganasan’ yang perlu dibanteras. George W Bush dan AS memperlihatkan dirinya sebagai ‘paksi pembuli antarabangsa’ menjadi bacul apabila Moscow tunjukkan ‘bisa taring’ dengan keganasan menceroboh Georgia sekadar alasan negara bekas Soviet itu menceroboh Ossetia Selatan. Apalagi Georgia yang menjadi sekutu AS, tak pula menerima bantuan George Bush bagi melawan Russia yang sememangnya ‘buku bertemu ruas’. Aduhai Bush!

-Pak Dharma.

INFO HAK ASASI MANUSIA

UMNO TERDESAK P/RAYA KECIL
FOKUS KEPADA MESYUARAT AGUNG

Pimpinan UMNO sudah menamakan Dato’ Arif Shah Omar Shah menjadi calon BN bagi pilihanraya kecil Permatang Pauh pada hari penamaan calon dijangka 16 Ogos 2008, di samping pengundian 26 Ogos 2008. Keceriaan di kem BN tak kelihatan seperti perihal kebiasaan pilihanraya kecil diadakan sebelum ini; sekalipun disambut tepukan gemuruh 3,000 penyokong. Khabarnya! Malah Timbalan Presiden UMNO Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak yang juga pengarah pilihanraya kecil itu mengakui, “Walaupun menghadapi kesukaran, keputusan perlu dibuat dengan mengambil kira keadaan setempat”. Dengan pengumuman yang dibuat Dato’ Seri Najib di Pusat Konvensyen Sunway Carnival di Seberang Jaya semalam (13 Ogos 2008) menutup spekulasi ura-ura bekas Ketua Angkatan Muda PKR, Mohd Ezam Mohd Noor akan dicalonkan. Begitulah!

Bagaimanapun kesukaran yang disebut Dato’ Najib akan berterusan, berikutan pada 26 Ogos 2008 banyak cawangan UMNO menggerakkan mesyuarat agung. Menurut sumber pimpinan UMNO di negeri-negeri juga tak memberi fokus kepada pilihanraya kecil di Permatang Pauh, sebaliknya mengutamakan mesyuarat agung masing-masing bagi menentukan pimpinan sebenar menerajui parti. Barangkali! Kebanyakan cawangan UMNO di Selangor misalnya, sebelum ini menjadi ‘hulubalang utama’ pada setiap kali pilihanraya kecil, tetapi mengakui pada 26 Ogos (2008) mereka tak ke Permatang Puah kerana menumpukan mesyuarat agung. Malah UMNO di Permatang Pauh sendiri belum selesai menggerakkan mesyuarat agung cawangan mereka yang pastinya terjejas berikutan pilihanraya kecil berkenaan.

INFO SASTERA & BUDAYA

MALAM 28 OGOS DI DAMANSARA:
MAJLIS DEKLAMASI PUISI MERDEKA

Deklamasi ‘Puisi Merdeka’ akan digerakkan oleh PRIMA malam 28 Ogos 2008 di pekarangan rumah Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz di No 1 Jalan Dato’ Suleiman 20, Damanasara. Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir memberitahu ‘deklamasi puisi merdeka’ sebagai kesinambungan aktiviti PRIMA sebelum ini dengan menjadikan medium puisi sebagai menterjemahkan suara rakyat. Puisi-puisi bertema kemerdekaan akan dijadikan sumber pertemuan penyair-penyair Melayu dalam ‘deklamasi puisi merdeka’ ini, beritahu Dato’ Kamal Amir. Katanya, penyair-penyair yang ingin turut serta dalam majlis ‘deklamasi puisi merdeka’ ini adalah dialu-alukan secara terbuka. “Setiap penyair adalah dialu-alukan untuk mendeklamasikan puisi mereka,” beritahu Dato’ Kamal Amir.

Penyair-penyair yang pernah terbabit bersama PRIMA sebelum ini dalam majlis deklamasi seperti M Ashikin, L Mankadir Shamsi, Zainal Abidin Rasidin, Yassinsalleh, Rozzie Kamal, Nurul Salwa, Dr Intan, Yusleh dan beberapa lagi dijangka akan turut mendeklamasikan puisi mereka. Di samping itu PRIMA juga turut mengundang penyair-penyair PAKSI di bawah pimpinan Dinsman bagi menyerikan majlis deklamasi puisi merdeka, beritahu Dato’ Kamal Amir selanjutnya. Sebelum ini PRIMA dijangka terbabit dalam ‘pesta budaya Orang Asli’ di Jenderak, Pahang pada 2 Ogos 2008, tetapi terpaksa dibatalkan berikutan lanskap politik yang serba goncang, pincang dan tempang ketika itu. “Kita memilih malam 28 Ogos sebagai majlis deklamasi puisi merdeka sesuai dengan semangat kemerdekaan itu,” ujar Dato’ Kamal Amir.

INFO SUARA PROLITAR

DOMINASI MASAKAN THAI
APA JADI MASAKAN MELAYU?

Di mana-mana sahaja di negara ini hidangan masakan Thailand mendominasi restoran dan gerai makan. Sama ada di bandar besar, pekan kecil mahupun kampung-kampung masakan Thailand seolah-olah menjadi pilihan. Berjalanlan dari Lumut ke Teluk Intan, dari Temerloh ke Bentong, dari Taiping ke Ipoh; apalagi di utara semuanya masakan tomyam menjadi menu utama. Seolah-olah identiti masakan Melayu tak wujud. Kalau pelancong luar melalui sepanjang jalan, mereka akan disogokkan dengan masakan ala Thailand. Apa dah jadi, bangsa Melayuku! – (SMS; 13 Ogos 2008; 23:33:21 – Alba, Jelebu, Negeri Sembilan).

KOMENTAR
bersama Pak Parjo

PEMUDA TAK MAHU MUZAKARAH
TETAPI TETAP BERLANDASKAN AL-QURAN

Sebermula berhimpunlah jemaah harakah Islam (dikenali PAS) bermula semalam, 11 Syaaban 1429 (atau disebut orang banyak 13 Ogos 2008) di negeri Melayu yang dikenali Perak Darul Redzuan itu, adanya. Maka marahlah mereka semua disebabkan pemimpin jemaah harakah Islam itu mahu bermuzakarah dan bermuqabalah dengan harakah Melayu (atau disebut UMNO). Arakian akan anak-anak muda jemaah harakah Islam itu, mereka tak mahu bertolak ansur dengan mana-mana pihak yang cuba memperalatkan istilah Islam seperti syariyyah, maqasid, al-syariah, fiqh al-awlawiyyat, fiqh at-taghyir dan fiqh al-waqi bagi mencapai matlamat siasah. Syahdan wazir ketua jemaah harakah Islam itu, Orangkaya Ustaz Nasharuddin Mat Isa mengingatkan, muzakarah itu berlandasakan al-Quran bukanlah percaturan siasah, adanya.

Arakian adapun Sultan Ahmad itu semuanya baik, lagi murah; tetapi suatu celanya, sebab tiada kasih akan segala pegawai dan segala orang besar-besar, melainkan orang muda-muda dan hamba raja tersebut itu juga dikasihi baginda. Apabila segala orang muda-muda itu sudah makan di dalam ayam suapan dan nasi kunyit, atau barang sebagainya, maka apabila segala orang besar-besar datang menghadap Sultan Ahmad, maka dikias-kiasnya oleh segala orang muda-muda itu katanya, ‘Mana rimah nasi kunyit dan tulang ayam suapan yang kita makan tadi?’. Maka segala kelakuan itu kedengaran kepada Sultan Mahmud. Maka tiada berkenan baginda akan pekerti ananda itu, seperti disurat dalam ‘Kitab Melayu’ oleh:


HIDUP BAHASA MELAYU!

Wednesday, August 13, 2008

WARGA PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
S U A R A P R I M A
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG

NASIHATI RAKYAT BERJIMAT CERMAT:
MENTERI SIBUK DENGAN ‘GIMMIK POLITIK’

Assalamualaikum,

Sejak dua bulan lalu anak saya seorang guru membawa bekalan ke sekolah. Begitu juga anak saya yang berkhidmat di Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) bersama isterinya membawa bekalan ke pejabat. Anak saya yang menuntut di Unisel pula sekadar diperuntukan RM50 sahaja seminggu bagi ‘duit makan’. Kakaknya yang juga di Unisel pada peringkat praktikal, diperuntukkan RM50 juga seminggu bagi ‘duit makan’, kerana PTPTN tak mencukupi untuk membiyai ‘duit makan’. Memang PTPTN sekadar untuk membayar yuran, wang peperiksaan, buku-buku dan asrama (atau tempat tinggal). Tak tahulah bagaimana lagi mahu berjimat, apabila Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato’ Seri Shahrir Abdul Samad meminta orang ramai berjimat, berjimat dan berjimat. Entahlah!

Ahad lalu (10 Ogos 2008), ketika singgah di Sungai Besar untuk menjengah bapa mentua di Bagan Datoh, saya memesan nasi goreng sahaja dengan air suam, harganya ialah RM4.20 (termasuk air suam dikenakan bayaran 20 sen). Seketul kuih karipap juga harganya sudah dinaikkan kepada 40 sen, berbeza sebelumnya RM1.00 bagi 3 biji. Bagaimanapun di gerai mamak, air suam masih tak dikenakan bayaran di samping harga roti canai masih RM0.80 (sekalipun dinipiskan sedikit). Sekiranya menteri-menteri turun padang, mereka tentu memahami fenomena sekarang. Justeru kalau ‘duit makan’ RM10 sehari kepada anak-anak yang sedang belajar, memang tak mencukupi (lainlah kalau tak sarapan pagi dan petang, atau kudap-kudap sebelah malam).

Maknanya menteri-menteri yang menasihati orang ramai berjimat, kenalah bertanya kepada diri sendiri ‘berjimat’ bagaimana caranya? Adakah jangan menjamah makanan langsung, hingga anak-anak yang belajar jadi bengap, bengang dan bangang! Apabila Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim sarankan UiTM dibukakan kepada anak-anak bukan Melayu, tak semena-mena dikerah pelajar-pelajar UiTM buat demonstrasi (tatacara inipun diajar oleh PKR). Pelajar-pelajar UiTM terbabit tak pernah tahu fasal kuota kemasukan ke UKM dinaikkan kepada pelajar-pelajar bukan Melayu sebagai kompromi dalam isu Kolej Tunku Abdul Rahman tak dijadikan universiti ketika itu. Pelajar-pelajar UiTM terbabit juga tak menyedari PTPTN yang menggantikan biasiswa berlawanan dengan perlembagaan yang menetapkan ‘hak istimewa orang Melayu’.

Tetapi pelajar-pelajar UiTM yang bangkit dengan demonstrasi jalanan itu digerakkan selepas Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Muhammad Mohd Taib bersuara menyelar kenyataan Tan Sri Khalid. Bagaimanapun logiknya UiTM di bawah kuasa kerajaan Pusat, justeru kemasukan pelajar-pelajar ‘bukan kuasa’ kerajaan negeri Selangor. (Lainlah Tan Sri Mat Taib nak buat gimmik politik, memang bolehlah dipolimikkan di samping media arus perdana yang dulu-dulunya menjauhkan diri daripada Tan Sri Mat Taib, sekarang dah mula mendekat-dekatkan diri). Sekitar dekad 1970-an dulu pun pelajar-pelajar UKM berdemonstrasi membantah Dato’ Harun Idris memindahkan pusat pengajian ke Bangi, kononnya balak di kawasan hutan berkenaan dipunggah oleh kroni-kroni Menteri Besar Selangor itu. Sekarang bagaimana dengan pengkritik-pengkritik Dato’ Harun dan pelajar-pelajar UKM selesa atau tidak di Bangi? Heh heh heh!

-Pak Dharma.

INFO HAK ASASI MANUSIA


GENERASI MUDA KERABAT DIRAJA
UMNO PERLU DIGANTI PARTI MELAYU

Parti politik bagi komuniti Melayu perlu digerakkan, sekalipun UMNO tak relevan lagi meneruskan wadah perjuangan bangsa Melayu, menurut kalangan generasi muda kerabat diraja yang ditemui bekas Timbalan Naib Canselor (HEP) UTM Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah. Memberitahu sekretariat PRIMA, Dato’ Dr Mohd Mansor mengakui ditemui oleh beberapa orang generasi muda kerabat diraja dari kalangan intelektual yang melahirkan rasa bimbang dengan lanskap politik sekarang, berikutan orang Melayu turut menolak parti komuniti Melayu iaitu UMNO. Mungkin sahaja UMNO tak sesuai lagi dalam perjuangan orang Melayu sekarang, justeru parti politik komuniti Melayu perlu diwujudkan sebagai alternatif. “Generasi muda Melayu tak menerima pimpinan UMNO sekarang, oleh itu ianya memerlukan landasan baru,” beritahu Dato’ Dr Mohd Mansor memetik saranan kerabat diraja terbabit.

Menyentuh pelan peralihan kuasa yang mahu diterjemahkan UMNO menjelang Jun 2010, menurut generasi muda kerabat diraja berkenaan, ianya sekadar proses perubahan pimpinan sahaja. Justeru dalam proses perubahan pimpinan, tak menjamin kepimpinan Melayu yang boleh jadi kebanggaan bangsanya seperti Dato’ Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak Hussein atau Tun Dr Ismail Abdul Rahman, jelas Dato’ Dr Mohd Mansor berdasarkan pertemuan dengan kerabat diraja terbabit. Mereka juga tambah Dato’ Dr Mohd Mansor, tak menafikan Tengku Razaleigh Hamzah perlu tampil memulihkan semula UMNO, tetapi memerlukan pendekatan baru yang boleh diterima oleh generasi muda Melayu. “Ku Li juga masih dipengaruhi oleh pagar-pagar di keliling yang menjejaskan sokongan majoriti,” beritahu golongan muda kerabat diraja berkenaan, menurut Dato’ Dr Mohd Mansor.

UMNO PAHANG PERLU MALU
APABILA GUNA PENGARUH ISTANA

Langkah UMNO Pahang menggunakan pengaruh istana dalam pemilihan Cawangan dan Bahagian dianggap sebagai tak berasa malu terhadap diri sendiri, beritahu bekas Exco Pemuda UMNO Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz. Beliau yang juga Jurucakap PRIMA mengakui menerima laporan kalangan pimpinan UMNO di Pahang mengguna pengaruh istana bagi menjamin pimpinan di negeri itu mengikut diskripsi yang dirancang. Katanya, UMNO Pahang perlu berasa malu apabila mengguna pengaruh istana dalam pecaturan politik yang tak memberi manfaat besar kepada bangsa Melayu, kecuali demi menjaga kepentingan beberapa orang individu. “Pengaruh istana boleh dikesampingkan apabila bangsa Melayu berhadapan dengan isu sensitif seperti agama yang dibangkitkan Majlis Peguam Malaysia baru-baru ini,” jelas Dato’ Kamal Amir.

UMNO Pahang dikatakan mengguna pengaruh istana bagi menjamin pelan tindakan peralihan kuasa menjelang Jun 2010 berjalan lancar, dengan menafikan hak ahli-ahli UMNO di peringkat akar umbi menentukan pemimpin pilihan mereka. Menurut Dato’ Kamal Amir selanjutnya, ahli-ahli UMNO di peringkat akar umbi dipaksa menerima keputusan Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi menetapkan penggantinya ialah Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak. Katanya lagi, biarlah ahli-ahli UMNO sendiri memilih sama ada Dato’ Seri Mohd Najib sebagai pengganti Dato’ Seri Abdullah atau lain-lain calon yang difikirkan berhak dipilih. Beliau seterusnya menambah, UMNO masih mempunyai ramai tokoh seperti Tengku Razaleigh Hamzah, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Dato’ Seri Shahrir Samad atau Dato’ Seri Khaled Noordin yang mempunyai hak. “Jangan biarkan ahli-ahli UMNO dibelenggu perhambaan minda,” ujarnya.

INFO SASTERA & BUDAYA

PENDEKATAN TAK SESUAI DIUBAH:
ELAKKAN PERSATUAN ARTIS BERGADUH.

Kecoh yang membabitkan artis dalam pelbagai persatuan baru-baru ini tak memberi sebarang manfaat kepada industri hiburan, kata aktivis budaya Yassinsalleh apabila menyentuh kekecohan berkenaan. Baru-baru ini pimpinan Karyawan, Freddie Fernandez dikecam oleh beberapa buah persatuan artis kerana membuat kenyataan menimbulkan rasa tak senang di kalangan persatuan-persatuan terbabit. Menurut Yassinsalleh, dalam industri hiburan yang terbatas audiennya, adalah wajar setiap aktivis mementingkan perpaduan daripada tuduh menuduh di antara satu sama lain. “Janganlah disebabkan antan dengan lesung berkelahi, ayam di halaman tak semena-mena kenyang memakan padi yang tumpah,” beritahu Yassinsalleh menambah.

Seterusnya kata Yassinsalleh yang juga pengarah terbaik dalam Pesta Filem Malaysia sekitar dekad 1980-an menerusi filem ‘Dia Ibuku’, persatuan artis bukanlah jelmaan baru dalam industri hiburan. Malah katanya lagi, sekitar dekad 1950-an Tan Sri P Ramlee sudah memimpin warga artis di Singapura dikenal ‘Persama’ (Persatuan Artis Melayu). Tan Sri P Ramlee membawa pendekatan berkompromi dengan majikan bagi melindungi kepentingan artis, sebaliknya apabila Tan Sri Jins Shamsuddin mengambil alih berikutan penghijrahan Tan Sri P Ramlee ke Kuala Lumpur, pendekatan yang dibawa ‘Persama’ ialah enggan bekerjasama. ‘Persama’ turut melancarkan mogok sekitar dekad 1960-an, diikuti penutupan Shaw Malay Filem di Jalan Ampas. “Apa yang penting bagi fokus persatuan ialah pendekatan, jutseru pendekatan boleh diubahsuai dalam membantu artis,” jelas Yassinsalleh.

INFO SUARA PROLITAR

HINGGA SEMINGGU JALAN DITUTUP
KERANA PERAYAAN AGAMA PERSATUAN?

Majlis Perbandaran Selayang (MPS) perlu membuat keputusan bijak, apabila benarkan persatuan tertentu menyambut perayaan. Jalan di kawasan pekan Taman Seri Gombak ditutup kepada lalu lintas berdekatan institusi kewangan CIMB, Eon Bank, Hong Leong Bank yang sentiasa sibuk dengn urusan. Jalan ditutup kerana ‘Persatuan Amal Yee Lan Sheng Hui’ Taman Seri Gombak menyemabut perayaan agama sejak Isnin lalu (11 Ogos 2008). Sebelum ini baru sahaja ditutup lalu lintas di Fasa 3 dihadapan bangunan premis pejabat PKR selama seminggu. Apakah MPS membenarkan jalan ditutup kepada lalu lintas hingga seminggu? Bagaimana kalau umat Islam di Taman Seri Gombak mahu menyambut perayaan agama, bolehkah ditutup seminggu kepada lalu lintas? – (SMS; 12 Ogos 2008; 14:32:09 – Man Cincai, Selayang, Selangor).

KOMENTAR
bersama Pak Parjo.

BAGAIMANA ANWAR LEBIH BERPENGARUH
PEMIMPIN KERAJAAN DIPERLEKEH DI LUAR NEGARA?

Kata sahibul hikayat tersebutlah ceritera akan Orangkaya Dato’ Mukhriz Mahathir berasa kecewa dengan bekas Orangkaya Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengadukan halnya kepada kerajaan negeri di atas angin. Adapun akan bekas Orangkaya Dato’ Seri Anwar itu didakwalah ia terbabit dengan pertuduhan liwat, adanya. Maka masyghollah sekalian orang banyak bagaimana Orangkaya Dato’ Mukhriz berkata demikian. Arakian berasa hairanlah fakir, bagaimana kerajaan negeri atas angin boleh percayakan bekas Orangkaya Dato’ Seri Anwar lebih daripada Orangkaya Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi atau lain-lain pemimpin. Takkan kerajaan negeri atas angin pun tak percaya dengan Orangkaya Dato’ Mukhriz. Maka eloklah Orangkaya Dato’ Mukhriz sendiri berjumpa dengan ketua kerajaan negeri atas angin menerangkan akan perihal bekas Orangkaya Dato’ Seri Anwar itu.

Syahdan baginda Mani Purindam pun malu rasanya oleh katanya tiada dituruti oleh saudaranya itu. Maka fikir ia di dalam hatinya, ‘Sedang pekerjaan sebegini lagi tiada diturut oleh saudaraku, jikalau pekerjaan yang besar berapa lagi? Jika demikian baiklah aku membuangkan diriku barang ke mana. Jika di sini pun bukan aku kerajaan di dalam negeri ini. Tetapi ke mana baik aku pergi melainkan ke Melaka, kerana pada zaman ini raja Melaka itu raja besar; patutlah aku sembah. Lagipun baginda itu daripada anak cucu Raja Iskandar Dzul-Karnain’. Telah demikian fikirnya, maka baginda Mani Purindam berlengkap ada berapa buah kapal, lalu belayar ke Melaka. Syahdan telah datang ke Jambu Air, maka angin pun turun, terlalu besar ribut seperti tersebut dalam ‘Kitab Melayu’ yang disurat oleh:


HIDUP BAHASA MELAYU!

Saturday, August 9, 2008

WARGA PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
S U A R A P R I M A

(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)


DARI LAMAN BLOG


‘PAK KADUK’ DALAM KHUTBAH
MASYARAKAT MELAYU SERBA BOBROK

Assalamualaikum,

Khutbah Jumaat semalam (8 Ogos 2008) di Masjid al-Khairriyah, Taman Seri Gombak turut menyelitkan sastera rakyat mengenai ‘Pak Kaduk’ – ayamnya menang kampung tergadai! Maknanya, medium sastera sesuai diterapkan di mana-mana, asal sahaja tahu mengenai nilai dan fungsinya. Begitulah! Khatib yang menyampaikan khutbah membawa kisah ‘Pak Kaduk’, berkaitan gejala sosial dalam masyarakat Melayu yang serba bobrok, korok dan teruk. Naratif fitnah sejak kesultanan Melaka, insiden Hang Tuah dituduh bermukah dengan dayang istana, atau hukuman bunuh ke atas Bendahara Seri Maharaja akibat fitnah Kitul dan Raja Mendeliar – adalah berkaitan dengan kisah ‘Pak Kaduk – ayam menang kampung tergadai’!.

Tetapi khutbah Jumaat sekadar disampaikan secara naratif sahaja, tak dibuat analitikal khusus mengenai versi ‘Pak Kaduk’ berkenaan. Atau petikan ayat-ayat al-Quran sekadar diterjemah mafhomnya secara umum, di samping jemaah menerimanya dengan penuh khusuk. Fitnah juga membabitkan pembunuhan Wan Anum isteri Megat Seri Rama yang sarat mengandung dalam tragedi berdarah di Kota Tinggi pada 1699, semata-mata akibat keperongosan pembesar Melayu bernama Tun Bija Ali yang pantang melihat dahi wanita licin, tetapi kelicikannya menjadikan ia lebih rela meneruskan nasib ‘Pak Kaduk – ayam menang, kampung tergadai’. Bagaimanapun bagi jemaah pula selepas dengar khutbah eloklah rujuk kepada pelawak generasi baru, Nabil: ‘Fikirlah sendiri’. Heh heh heh!
Kebetulan pula apabila selesai solat Jumaat, terserempak Haji Abu Bakar Ninggal yang ketawanya, memang boleh dibeli! Beliau mengakui turut sama ke mahkamah pada Khamis (7 Ogos 2008) mengikut kes Penasihat PKR Dato’ Seri Anwar Ibrahim didakwa terlibat dengan liwat buat kali kedua. Kali pertama Dato’ Seri Anwar menghadapi kes liwat pada 1999, tetapi dibebaskan oleh mahkamah; sebaliknya beliau merengkok di sel Sungai Buluh bagi tempoh enam tahun kerana salah guna kuasa dan rasuah berpunca dari kes liwat berkenaan. Aduhai! Ketika di mahkamah Haji Abu Bakar beritahu, terserempak L Mankadir Shamsi bersama Haji Suhaimi Said dari Pahang yang turut beri sokongan moral kepada Dato’ Seri Anwar.

Mankadir dan Haji Suhaimi bukanlah penyokong Dato’ Seri Anwar sejak awal, tetapi mereka berpegang kepada prinsip ‘menentang perhambaan minda’. Malah Haji Suhaimi pernah ditahan di bawah ISA sekitar dekad 1980-an ketika menjadi Penasihat Undang-Undang PAS, apabila menyibarkan gambar-gambar mangsa tragedi Mamali dan Lubuk Merbau. Mankadir pula bertanggungjawab mencetak dan menerbitkan gambar-gambar berkenaan dengan kerjasama Wak Jamari Shukor (ketika itu Dato’ Seri Anwar masih bersama UMNO dan ahli kabinet Tun Dr Mahathir Mohamad). Sebelum menyertai PAS, Haji Suhaimi dan Mankadir adalah aktivis Parti Sosialis Rakyat Malaya (PSRM); apalagi ayah Haji Suhaimi (Mohd Said), pejuang nasionalisme di Lubuk Kawah bersama Pak Sako (Dato’ Dr Ishak Haji Muhammad). Begitulah!

Di samping berkirim salam menerusi Haji Abu Bakar, Mankadir memberi jaminan akan ke Permatang Pauh 16 Ogos 2008 ini bersama Haji Suhaimi pada hari penamaan calon pilihanraya kecil. Mungkin sahaja saya boleh mengimbau insiden di Seberang Jaya dalam kawasan Parlimen Permatang Pauh, jam 3.00 pagi 27 November 1999 ketika pilihanraya yang menyaksikan pertandingan Dato’ Seri Wan Azizah Ismail melawan Dato’ Seri Dr Ibrahim Saad. Apabila saya bertemu Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi (ketika itu Timbalan Perdana Menteri), sepanjang jalan seolah-olah redup dengan poster PKR (ketika itu Parti Keadilan Nasional), menyebabkan poster dacing tenggelam hingga santak ke Bukit Mertajam disambut pula oleh poster ‘roket’ merata-rata. Heh heh heh!

-Pak Dharma.

INFO HAK ASASI MANUSIA


UMNO TERUS TENGGELAM PUNCA
PELUANG ANWAR DI PERMATANG PAUH

Peluang Penasihat PKR Dato’ Seri Anwar Ibrahim mempertahankan kerusi Parlimen Permatang Pauh dalam pilihanraya kecil yang dijangka hari pengundian pada 26 Ogos 2008 memang cerah berdasarkan UMNO dan BN tenggelam punca dan terdesak untuk mengemukakan calon, menurut penganalisis politik. Menjelang penamaan calon 16 Ogos 2008, UMNO yang pada peringkat awalnya gagal memujuk Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainal Abidin bagi menjadi calonnya. Malah pemimpin-pemimpin UMNO sendiri mengakui pilihanraya kecil itu menjadi medan untuk memberi penjelasan kepada rakyat mengenai dasar kerajaan, seolah-olah selama ini rakyat tak diberi penjelasan, beritahu aktivis masyarakat di Pahang L Mankadir Shamsi. “Dengan kenaikan harga petrol, kegelisahan peniaga dan kesukaran kerajaan membendung rasuah, peluang PKR adalah cerah,” kata Mankadir kepada sekretariat PRIMA.

Dalam PRU12 pada 8 Mac 2008, calon PKR Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengekalkan kerusi Parlimen Permatang Pauh yang dimenanginya pada 1999 dengan memperoleh 30,338 undi menewaskan calon UMNO Dato’ Pirdaus Ismail (16,950 undi). Di samping itu Mankadir yakin kes liwat yang dihadapi Dato’ Seri Anwar tak menjejas sokongan rakyat di Permatang Pauh, berdasarkan isu berkenaan sudah dibangkitkan sejak 1999. Seterusnya kata Mankadir, pemimpin UMNO menyifatkan langkah Dato’ Seri Dr Wan Azizah meletakkan jawatan sebagai menghina pengundi di Permatang Pauh. Sebaliknya, beliau menjelaskan kes yang dihdapi oleh Dato’ Seri Anwar sejak 1999 itu menunjukkan UMNO menghina pengundi di Permatang Pauh. “Sebenarnya UMNO meludah ke langit, justeru tertimpa muka sendiri,” beritahu Mankadir.

INFO SASTERA & BUDAYA

BUKAN FILEM MELAYU KLASIK:
JIKA MENOLAK UNSUR PATRIOTISME

Tayangan filem Melayu klasik di kaca TV perlu dipantau, sekiranya menolak unsur patriotisme, budaya dan moral penduduk tempatan, beritahu bekas aktivis perfileman
Yassinsalleh. Generasi Melayu alaf baru akan keliru dengan filem-filem klasik yang menolak nilai budaya dan moral bangsa Melayu, kata Yassinsalleh yang pernah memenangi anugerah pengarah terbaik menerusi filem ‘Dia Ibuku’ pada Pesta Filem Malaysia sekitar dekad 1980-an. Beliau menyentuh filem ‘Aloha’ yang ditayangkan menerusi TV Astro Prima minggu ini yang dianggapnya berlawanan dengan nilai dan moral bangsa Melayu. Sekalipun filem berkenaan dianggap klasik, tetapi ciri-ciri budaya dan moral Melayu tak dikesampingkan, ujarnya. “Bagaimana kita mahu takrif sebagai filem klasik Melayu, kalau nilai budaya dan moralnya bukan Melayu,” menurut Yassinsalleh.

Filem ‘Aloha’ lakonan Mariam, Osman Gumanti, P. Ramlee dan D Harris terbitan Shaw Malay Filem sekitar dekad 1950-an memang sekadar fiksyen, tetapi ianya tak menunjukkan sikap patriotisme, beritahu Yassinsalleh selanjutnya. Beliau menjelaskan, dalam adegan orangkaya membuat laporan ke balai polis di sebuah kepulauan audien melihat bendera Amerika Syarikat ditonjolkan. Sekalipun latar belakang fiksyen tersebut di kepulauan yang dikuasai Amerika Syarikat, tetapi ianya tak wajar dipaparkan dalam filem Melayu. Malah menurut Yassinsalleh, pada period penjajah pun bendera Union Jack tak pernah dikibarkan bersama ‘Jalur Gemilang’, menyebabkan Sir Donald Mac Gillivary berasa kecewa apabila Union Jack diturunkan pada malam kemerdekaan. “Tak wajar disiarkan filem Melayu klasik yang tak patriotisme dan menolak nilai budaya dan moral bangsa Melayu,” kata Yassinasalleh menambah.

INFO SUARA PROLITAR

MAJLIS PEGUAM CABAR RAJA:
PERSOAL ISU ISLAM KETERLALUAN

Forum ‘memeluk Islam’ yang dianjur Majlis Peguam Malaysia memang isu sensitif. Orang Islam tak pernah anjur forum mempersoal agama lain. Nampaknya pihak bukan Islam sengaja mencurah minyak petrol di padang lalang kering. Kementerian Dalam Negeri tak boleh ‘tunggu dan lihat’, tapi segeralah bertindak. Janganlah nasi dah jadi bubur, baru nak dipantau. Perkara agama di bawah kuasa raja-raja Melayu. Pihak Majlis Peguam seolah-olah nak cabar raja-raja Melayu.- (SMS; 9 Ogos 2008; 10:42:56 – Man Cincai, Selayang, Selangor).

BLOG WARTAWAN TAK RESPON
BANYAK MAKLUMAT TAK DISIAR

Hairan juga ya? Bila ada posting di laman http://siasahdaily.bolgspot.com berkenaan kes DSAI cepat-cepat abe mie respon. Tapi puas saya cari respon dia di blog kadirjasin dan kuda kepang tak jumpa pula. Kedua-dua blog berkenaan dikendalikan oleh tokoh wartawan terkemuka yang memiliki banyak maklumat politik dan sudah tentulah sentiasa mengikuti perkembangan semasa (tidak seperti anggapan 'budak' Ahmad Sabri Cheek terhadap Zulkifli dari akhbar SIASAH). Seorang adalah bekas ketua editor akhbar bepengaruh di Malaysia dan seorang lagi pernah menduduki kerusi parlimen. Mungkin juga posting abe mei yang penuh cacian dan kejian itu telah dibuang kerana tidak bermanfaat kepada khalayak.-(E-mail; 9 Ogos 2008-Asalbayu,Kedah)

DISEBABKAN SEBATANG POKOK
HABIS SELURUH HUTAN DIBAKAR!

Kenapa disebabkan sebatang pokok yang kerajaan BN mahu pertahankan, habis hutan belantara dibakar? Akibatnya pokok-pokok yang baik seperti leban, meranti, keruing, penak atau cengal habis dibuang sama. Sebiji pisang yang busuk, kerajaan BN sengaja busukkan pisang yang lain, kerana bimbang busuk dalam tandan pisangnya diketahui umum. Orang ramai mahukan pokok kayu yang berharga. Bukan kayu lampung tak berguna. Orang ramai juga mahukan pisang yang bernilai, bukan pisang busuk yang layak dimakan oleh kera dan tupai – (SMS; 9 Ogos 2008; 9:37:19 – Alba, Kampung Seperi, Jelebu, Negeri Sembilan).

KOMENTAR
bersama Pak Parjo

ORANGKAYA MENTERI SEKADAR ‘AKAN’:
TAK BERTINDAK PADA NEGERI ATAS ANGIN

Sebermula tersebutlah ceritera Menteri Luar Negeri Orangkaya Dato’ Seri Dr Rais Yatim terlalu marah akan perihal negeri atas angin memanggil pegawai binti-binti yang menjadi wazir (Timbalan Ketua Misi Malaysia di Washington) iaitu Ilango Karuppanan pada hari Rabu lalu, 4 Syaaban 1429 (atau disebut anak cucu fakir 6 Ogos 2008). Maka Orangkaya Dato’ Dr Rais pun memberi amaran (akan) membuat laporan rasmi kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Arakian pada hari ini Sabtu, 7 Syaaban 1429 (atau ianya disebut juga 9 Ogos 2008), Orangkaya Dato’ Seri Dr Rais (akan) mengutus surat kepada kerajaan negeri atas angin itu kerana mencampuri undang-undang kanun di negeri Melayu. Terlalulah masyghul segala orang banyak kerana Orangkaya Dato’ Seri Dr Rais sekadar (akan, akan, akan) sahaja. Alahai!

Syahdan segala Feringgi itu baliklah ke Goa. Setelah datang ke Goa, segala perihal ehwalnyaitu semuanya dikatakan kepada wazir-wazirnya. Maka wazir-wazirnya pun terlalu marah. Maka ia menyuruh berlengkap pula hendak menyerang Melaka. Arakian kata Kapitan Mur, ‘Pada bicara kita, tiada akan alah Melaka, jikalau ada lagi Bendahara Seri Maharaja; berapa pun besar angkatan Melaka, tiada akan alah’. Kata Alfonso d’Albuquerque, ‘Mengapa maka engkau berkata demikian itu? Apa dayaku sebab aku tiada boleh meninggalkan Goa ini. Tetapi apabila aku sudah turun daripada wazir, aku sendiri pergi menyerang Melaka itu,’ seperti disuratkan dalam ‘Kitab Melayu’ itu oleh:



HIDUP BAHASA MELAYU!

Wednesday, August 6, 2008

WARGA PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
S U A R A P R I M A
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG

KERETA NASIONAL TAHAN DIUJI
JAMINAN PEMIMPIN SEKADAR MIMPI

Assalamualaikum,

Ketika berdiri di jendela rumah semalam (5 Ogos 2008), saya melihat kereta kren di luar, seolah-olah mahu menarik kereta saya. Sebelum beberapa andaian terpahat di minda saya melihat jiran di sebelah, bekas pensyarah di UTM Dr Ir Raju tersengih-sengih di luar pagar. Beliau melambai tangan ke arah anak saya meminta membantu menolak kereta Waja isterinya yang tersadai akibat tak boleh dihidupkan enjin. Kata Dr Ir Raju baru dua bulan sahaja kereta berkenaan digunakan, tiba-tiba mengalami masalah. Memang sebelum itu isterinya Puan Rani juga menggunakan kereta nasional ‘Waja’, tetapi sering sahaja dihantar ke workshop. Entahlah! Bagaimanapun saya berasa hairan juga, kerana baru dua bulan sahaja digunakan, kereta nasional banyak sangat ‘ragam’ hingga menyulitkan pengguna.

Ironinya, Dr Ir Raju yang menggunakan kereta jenama ‘Honda’ tak mengalami apa-apa masalah sejak empat tahun lalu. Mungkin sahaja segalanya berlaku secara kebetulan, kerana Haji Abu Bakar Ninggal yang menggunakan kerena ‘Wira’ pernah juga beliau nasihatkan saya jangan gunakan kereta jenama berkenaan. Sebaliknya di jalanraya saya melihat banyak kereta Wira digunakan seolah-olah sudah menjadi pilihan orang ramai, sekalipun pengguna yang lain terus merungut dan merungut. Barangkali! Justeru ketika kerajaan negeri Terengganu kecoh dengan kereta jenama ‘Perdana’ yang dikatakan membebankan kos penyelenggaraan, Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi memberi jaminan kereta nasional ‘memang tahan diuji’, tetapi segalanya masih lagi diganggu mimpi ngeri. Alahai!

Memang saya juga menggunakan kereta nasional, tetapi tak pernah pula menghadapi masalah sekalipun digunakan secara ‘lasak’ juga. Ketika dijemput oleh L Mankadir Shamsi ke Jerantut, April 2008 lalu saya gunakan kereta berkenaan. Apalagi Mankadir juga menggunakan kereta nasional jenama ‘Kembara’, sering berulang alik dari Temerloh ke Kuala Lumpur, beliau tak pernah merungut mengenai kondisi kenderaannya. Lainlah Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz yang mampu menggunakan tiga buah kereta Mercedez ala Exco kerajaan negeri Terengganu, tetapi kos penyelenggaraan tak disponsor sesiapa, sebaliknya daripada wang saku sendiri. Pimpinan PRIMA juga menyelenggara kos kereta masing-masing tak disponsor sesiapa, dalam keadaan petrol melambung naik masih juga mampu mengikuti aktiviti ke sana dan ke sini. Heh heh heh!

Malam kelmarin (4 Ogos 2008) ketika dalam perjalanan balik selepas menghantar anak saya ke Seri Kembangan, singgah pula di Taman Kencana, Cheras apabila Zakaria Bidin beritahu ‘mi bandung Muar’ di gerai berhampiran Menara MPAJ rasanya ehem ehem! Justeru jam 12 malam, saya menelefon Zakaria Bidin memintanya datang ke gerai berkenaan. Memang gerai makan berkenaan dikendalikan oleh peniaga-peniaga Melayu, sayangnya berhampiran dengan tempat membuang sampah dengan baunya, aduhai kurrr semangat! Sepatutnya MPAJ yang sudah dikuasai oleh kerajaan baru perlu prihatin dengan penjaja-penjaja Melayu yang selama ini diabaikan oleh UMNO. Nah, sekarang masanya kerajaan bukan UMNO buktikan kepada rakyat, bukan sahaja prihatin malah sensitif dengan permasalahan mereka. Begitulah!

-Pak Dharma.

INFO HAK ASASI MANUSIA


(Kenyataan media Ketua Pimpinan PRIMA, Pak Dharmala N.S. di Kuala Lumpur pada 6 Ogos 2008, berkaitan Badan Pencegah Rasuah (BPR) akan membuka semula kertas siasatan berhubung dkawaan rasuah dan penyelewengan pembinaan MRR2).

BPR PERLU TELUS, TULUS & TURUS
KERTAS SIASATAN PEMBINAAN MRR2

Badan Pencegah Rasuah (BPR) perlu memastikan kertas siasatan berhubung dakwaan rasuah dan penyelewengan dalam projek pembinaan Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) sebelum ini telus, tulus dan terus apabila mahu membuka semula kertas siasatan yang baru. Rakyat perlu diberitahu mengenai hasil siasatan BPR berkaitan kontraktor yang terbabit dalam pembinaan Pakej II MRR2 berharga RM238 juta, apabila keretakan berlaku lagi pada tiang jejambat seperti dilaporkan Ahad lalu (3 Ogos 2008). Sepatutnya keretakan tak mungkin berlaku, selepas BPR menjalankan penyiasatan secara positif, apalagi serpihan daripada keretakan berkenaan merosakkan dua kenderaan yang melalui di bawah jejambat terbabit.

Malah Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi mengakui sebanyak RM70 juta sudah dibelanjakan bagi membaiki keretakan sebelum ini, hingga ianya ditutup kali pertama pada 9 Ogos 2004, diikuti pada Februari 2006 dan dibuka kepada lalu lintas pada Disember 2006. Apalagi siasatan pakar perunding British, Halcrow Consultants Ltd (Halcrow) iaitu berdasarkan kajian yang dibuat kerosakan tiang jejambat MRR2 akibat kecuaian pemasangan cerucuk dan tetulang besi yang tidak mengikut spesifikasi dan reka bentuk. Bagaimana ianya boleh diluluskan kalau tak mengikut reka bentuk asal? Justeru rakyat perlu diberitahu secara terbuka (i) Kertas siasatan BPR berhubung siasatan rasuah dan penyelewengan dalam projek pembinaan Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) sebelum ini, (ii) Laporan kajian Halcrow terhadap pembinaan MRR2.

ANWAR DI SPINA KE MAHKAMAH BESOK
MENJELANG PENAMAAN CALON P/RAYA KECIL

Penasihat PKR Dato’ Seri Anwar Ibrahim akan di spina besok (7 Ogos 2008) ke mahkamah bagi menghadapi tuduhan meliwat bekas pembantunya berusia 23 tahun, menjelang hari penamaan calon bagi pilihanraya kecil Parlimen Permatang Pauh dijangka pertengahan Ogos 2008 ini. Ketika UMNO gagal memujuk Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainal Abidin menjadi calon BN, UMNO pula berhadapan dengan isu ‘politik wang’ pada mesyuarat Cawangan dan Bahagian yang bermula sekarang seperti disebut Menteri Dalam Negeri Dato’ Seri Syed Abdul Hamid Albar dan Ketua Puteri UMNO Dato’ Nuraini Ahmad. Isu Dato’ Seri Anwar di spina besok, tetap dikaitkan dengan pilihanraya kecil Parlimen Permatang Pauh, sekalipun ianya dinafikan oleh pemimpin UMNO yang serba kelam-kabut, gamam-kecut dan geram-takut. Aduhai!


INFO SASTERA & BUDAYA

PENGKRITIK SASTERA ‘TERLEPAS PANDANG’
PERSIS ‘7 ORANG BUTA DENGAN SEEKOR GAJAH’

Dalam buku ‘Sejarah Sastera Melayu Moden (Sesudah Tahun 1800)’ yang disusun oleh Wan Shamsuddin Mohd Yusoff (Syarikat Kerjasama Kredit dan Permodalan Pegawai-Pegawai Melayu Negeri Kedah; 1971) bagi siri ulangkaji STP/HSC penampilan S Othman Kelantan tak dibincangkan, beritahu aktivis sastera Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah. Justeru menurut Dato’ Dr Mohd Mansor yang juga bekas Timbalan Naib Canselor (HEP) UTM, pelajar-pelajar STP/HSC sekitar dekad 1970-an tak didekatkan dengan karya-karya S Othman Kelantan (Allahyarham) yang meninggal dunia baru-baru ini. Sebaliknya kata Dato’ Dr Mohd Mansor, dalam pembangunan persuratan Melayu S Othman Kelantan seangkatan dengan A. Samad Said, Shahnon Ahmad dan Alias Ali. “Ketiga-tiga sasterawan terbabit dicatatkan dalam buku berkenaan, tetapi S Othman Kelantan tak ditampilkan,” beritahu Dato’ Dr Mohd Mansor.

Bagaimanapun katanya memang dalam perbincangan sastera bukanlah serba lengkap, kerana pengkritik juga ‘terlepas pandang’ kepada karya-karya besar apabila penilaian itu persis ‘tujuh orang buta dengan seeekor gajah’. Menurut Dato’ Dr Mohd Mansor, antara karya-karya besar S Othman Kelantan yang hampir ‘terlepas pandang’ oleh pengkritik sastera termasuklah ‘Angin Timur Laut’ dan ‘Juara’. Bagi Dato’ Dr Mohd Mansor novel ‘Angin Timur Laut’ seakan-akan mempunyai persamaan dengan ‘Ranjau Sepanjang Jalan’ (Shahnon Ahmad) iaitu perjuangan manusia melawan fenomena alam, tetapi latar dan wataknya tetap jauh berbeza. “Novel ‘Juara’ antara novel karektor Melayu yang menarik dengan mementingkan aksi lebih daripada cerita,” kata Dato’ Dr Mohd Mansor.

INFO SUARA PROLITAR

BERAPA LAMA JALAN DITUTUP:
MPS PERLU PRIHATIN SEMUA KAUM

Jalan di hadapan pejabat PKR bersebelahan Jalan 3/11 di Taman Seri Gombak ditutup sejak Sabtu lalu (2 Ogos 2008) hingga hari ini Rabu (6 Ogos 2008) masih tak dibuka kepada lalu lintas. Jalan ditutup kerana perayaan komuniti Cina. Kalau dulu MCA yang buat sehari dua, orang PAS akan kecoh seluruh negeri. Negeri ini bukan untuk kebebasan satu kaum, tetapi berbilang kaum. Apahal dengan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) yang tutup jalan itu lama sangat. Hari Isnin pasar malam; hari Sabtu pasar malam di situ. Kena jaga juga perasaan komuniti lain yang gunakan jalan berkenaan – (SMS; 6 Ogos 2008; 18:41:17 – Man Cincai; Selayang, Selangor).

KOMENTAR
bersama Pak Parjo

ILMU AGAMA LEBIH PENTING
BUKAN GELARAN ‘HAJI’ YANG KOSONG


Sebermula tersebutlah di dalam negeri Melayu itu akan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Orangkaya Dato’ Dr Marsitah Ibrahim memberitahu dibolehkan sesiapa membuat pinjaman untuk menunaikan fardu haji. Maka berkatalah pula akan menterinya Orangkaya Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, setelah dirujuk kepada Majlis Fatwa, maka ianya bercanggah dengan hukum syarak. Adapun di dalam rukun Islam sudah jelas disebutkan ‘naik haji ke Mekah atas mereka yang berkuasa (mampu)’. Arakian sudahlah dinyatakan ‘mereka yang berkuasa’ itu ialah yang mempunyai cukup wang, dan tak ianya berhutang dalam perkara menunaikan fardu haji itu, adanya. Syahdan, akan guru fakir selalulah mengingatkan yang penting ialah ‘ilmu agama’ bukanlah gelaran ‘haji’ itu.

Syahdan maka Fakir Muhammad pun naik ke darat membawa Quran, maka disuruhnya baca pada orang negeri Lamiri itu, seorang pun tiada dapat membaca dia. Maka Fakir Muhammad pun naik kapal lalu belayar. Berapa lamanya maka sampai ke negeri Haru. Maka segala orang di dalam negeri Haru itu pun semuanya masuk Islam. Maka fakir pun nai ke darat membawa Quran, maka disuruhnya baca, seorang pun tiada tahu membaca dia. Maka Fakir Muhammad pun bertanya kepada orang di dalam negeri itu, ‘Di mana negeri yang bernama Samudera itu?’. Maka Fakir Muhammad pun naik kapal, lalu belayar pula. Maka jatuh ke negeri Perlak. Maka mereka itu pun diIslamkan oleh Fakir Muhammad, kerana dengan ilmunya menyibarkan Islam ia datang ke negeri Melayu seperti disebut dalam ‘Kitab Melayu’ oleh:


HIDUP BAHASA MELAYU!

Monday, August 4, 2008

WARGA PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
S U A R A P R I M A

(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG


APABILA RETAK MENUNGGU BELAH
MORAL UMNO MAKIN JAUH KETINGGALAN

Assalamualaikum,

Balik dari Bestari Jaya (Batang Berjuntai) semalam (3 Ogos 2008), kesesakan lalu lintas berlaku apabila melepasi Sungai Buluh masuk ke Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) di Kepong, di samping ramai wartawan akhbar di bawah jejambat. Memang saya tak sedari jejambat enam lorong sepanjang 1.7 kilometer berhampiran Stesen Komuter Kepong itu ditutup mulai jam 10.30 pagi, kerana ketika melalui jam 10.00 pagi untuk ke Bestari Jaya menghantar anak saya mendaftar di Universiti Industri Selangor (Unisel) bagi semester keduanya, jalan berkenaan belum lagi ditutup kepada lalu lintas. PRIMA melahirkan rasa kecewa dengan masalah struktur tiang 28 di MRR2, disebabkan sejak ianya dibuka pada 1999, sudah empat kali berhadapan dengan isu keretakan pada struktor tiangnya hingga terpaksa ditutup kepada lalu lintas.

Bagaimanapun ketika sampai di Taman Seri Gombak kira-kira jam 2.00 petang, saya singgah makan di restoran mamak, apabila terserempak Sobri Ahmad (Setiausaha Agung Majlis Kerjasama Belia Asian) yang baru balik bermesyuarat di Korea. Beliau ke Korea bersama Dato’ Seri Dr Mohd Khir Toyo yang juga Presiden Majlis Kerjasama Belia Asian. Dalam masa singkat makan tengahari bersama Sobri, sempat juga beliau beritahu mengenai rasa terkejutnya dengan pengakuan Dato’ Seri Dr Mohd Khir sudah beberapa kali berbincang dengan PAS bagi membentuk kerajaan campuran di Selangor, dengan ADUN PAS sendiri memegang jawatan Menteri Besar Selangor. “Saya rasa Dato’ Seri Dr Khir berani bertanggungjawab dengan langkah yang diambilnya sebelum heboh fasal pertemuan UMNO-PAS,” kata Sobri.

Sebelum itu hari Sabtu (2 Ogos 2008) Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz menelefon mengajak makan tengahari, tetapi saya di Jelebu kerana kenduri doa selamat di rumah emak saya Hajjah Safiah Jatin. Sempat juga berbual dengan imam masjid, Haji Noordin Salleh yang masih juga menoreh sebagai pekebun kecil, sekalipun berusia warga emas di samping pesara jabatan kerajaan. Memang usia Imam Haji Noordin tak jauh bezanya dengan saya; apalagi ketika berusia 20-an sama-sama bermain bola sepak, tetapi beliau mengakui fakta usia menyukarkan bekerja secara lasak. Bukan sahaja mendaki bukit, menuruni cerun, malah memikul baldi berisi getah juga sudah tak larat. Bagaimanapun beliau terpaksa menggunakan tenaga warga emas, apabila harga barang-barang yang sukar diramalkan. Begitulah!

Haji Abu Bakar Ninggal pula merungut dengan lanskap politik sekarang, berikutan khabar angin Penasihat PKR Dato’ Seri Anwar Ibrahim akan ditangkap sebelum hari penamaan calon pilihanraya kecil Parlimen Permatang Pauh. Entahlah! Khabar angin kadangkala menjadi kenyataan juga, sekalipun ianya sekadar spekulasi awal. Tetapi pilihanraya kecil Permatang Pauh, adalah persaingan moral UMNO-PKR kerana ianya bukan sahaja mengukur pengaruh politik; sebaliknya laluan pimpinan UMNO menjelang Perhimpunan Agung Disember 2008. Dengan kenaikan harga barang termasuk minyak yang sukar dihalang, di samping kelembapan ekonomi termasuk koridor yang amat jelas bersimpang siur, moral UMNO dan BN sebenarnya jauh ketinggalan. Barangkali!

-Pak Dharma.

INFO HAK ASASI MANUSIA

KU LI DISOKONG AKAR UMBI
UMNO PERLU ELAK SALAH GUNA KUASA

Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah menerima sokongan di peringkat akar umbi bagi memimpin UMNO, sekiranya salah guna kuasa tak dilakukan pada pemilihan dalam bulan Disember 2008 nanti, beritahu bekas Exco Pemuda UMNO Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz. Beliau yang juga Jurucakap PRIMA mengakui langkah meminta Bahagian dan Perhubungan Negeri membuat keputusan menamakan Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak bagi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden adalah salah guna kuasa yang ketara, malah mirip kepada tatacara Harold Mac Michael meminta raja-raja Melayu menurunkan tanda tangan menerima Malayan Union pada 1945 dulu. “Apabila Ketua Bahagian dan Ketua Perhubungan Negeri diminta buat pengumuman ianya mempengaruhi mesyuarat agung,” menurut Dato’ Kamal Amir.
Seterusnya kata Dato’ Kamal Amir, secara diplomasi Harold Mac Michael sekadar menjelaskan beliau sekadar ‘menasihati’, tetapi praktisnya beliau ‘memaksa’ raja-raja Melayu. Disebabkan pencalonan akan dimulakan September-Oktober 2008, adalah tak logik Ketua Bahagian dan Ketua Perhubungan membuat pengumuman mencalonkan dua nama sahaja bagi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden, beliau menambah. Justeru Dato’ Kamal Amir berharap perwakilan Bahagian tak terpengaruh dengan pengumuman Ketua Bahagian menerusi media, sebaliknya memberikan komitmen yang tinggi terhadap kepentingan UMNO bagi menghadapi pilihanraya ke 13 nanti. “Pimpinan UMNO perlu berubah bagi memastikan martabat Melayu kembali di atas landasan sebenarnya,” Dato’ Kamal Amir menjelaskan.

INFO SASTERA & BUDAYA

SUMBER ILHAM TIMUR TENGAH
DENGAN UNSUR-UNSUR KARYA PARSI

Karya-karya sastera Parsi dilihat mempengaruhi pemikiran karyawan Melayu pada peringkat awal pertumbuhan kesusasteran bertulis sekitar 1900-an. Sekalipun novel saduran Syed Syeikh al-Hadi ‘Faridah Hanum’ dianggap bersumberkan ilham di Timur Tengah, tetapi unsur-unsur Parsi lebih mendalam. Mereka yang berminat menelusuri karya-karya terhebat menerusi medium Bahasa Parsi di Iran, boleh melihat sendiri penghargaan masyarakat di Iran terhadap karyawan besar mereka termasuk Umar Qayyum dan lain-lain di seluruh pelusuk negara berkenaan, kata pemandu pelancong ke Iran, Kumail Mahdi. Beliau yang mengendalikan pakej pelancongan ke Iran mengakui, masyarakat di Iran menghargai karyawan-karyawan mereka yang menggerakkan sesi perjuangan nasionalisme mengusir penjajah barat.

Di samping pimpinan revolusi Ayatullah Ruhollah Khomeni yang terkenal sebagai pengarang kitab-kitab, Iran juga banyak mewariskan legasi pimpinan ulama tersohor. Kumail Mahdi turut menyarankan menziarah masjid peninggalan Nabi Khidir a.s. yang terbabit menjadi guru Nabi Musa a.s. seperti disebut menerusi surah al-Kahfi di dalam al-Quran. Peninggalan sejarah yang banyak di Iran, mungkin sahaja boleh menjadi ilham kepada para seniman yang berkunjung ke negara berkenaan. Pakej lawatan ke Iran dengan tambang murah dianggarkan RM1,000 sahaja (pergi dan balik) yang diuruskan oleh Tawasuli Production di bawah kendalian Kumail Mahdi. Mereka yang berminat boleh hubungi Kumail menerusi telefon 016-2473231 atau emel kepada Tawasuli Production juashankabir@yahoo.com.

INFO SUARA PROLITAR

LAWAN ANWAR DI PERMATANG PAUH
EZAM PULA DIJADIKAN ‘KAMBING HITAM’

Kasihanlah pada bekas Ketua Angkatan Muda PKR, Mohd Ezam Mohd Noor. Beliau dijadikan ‘kambing hitam’ sekiranya diletakkan bertanding dalam pilihanraya kecil bagi Parlimen Permatang Pauh. Kalau UMNO tak letak Ketua UMNO Bahagian, carilah tokoh di Pulau Pinang. Setidak-tidaknya Ketua Pemuda Kepala Batas pun boleh cuba nasib. Rebut jawatan Presiden GPMS mampu, takkan nak lawan Dato’ Seri Anwar Ibrahim tak boleh. Apalagi keputusan tetapkan calon di tangan Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi. Bila lagi nak minta, sekaranglah! – (SMS; 3 Ogos 2008; 19:46:18 – Man Cincai, Selayang, Selangor).

BEKAS ANGKATN KETUA MUDA PKR
KONONNYA MAHU BANTERAS RASUAH

OLEH:Asalbayu

DI ANTARA alasan yang diberikan oleh bekas Ketua A... DI ANTARA alasan yang diberikan oleh bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) untuk menyertai UMNO semula ialah kerana dia merasa tertarik dengan agenda Perdana Menteri, Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk membanteras rasuah.Berkaitan dengan alasan tersebut, memang kena pada masanya kini bila mutakhir ini bukan sedikit kes yang timbul terutama yang berprofil tinggi.Akhbar dalam talian, Harakahdaily umpamanya melaporkan maklumat seperti petikan berikutKUALA LUMPUR, 30 Julai (Hrkh) - Badan Pencegah Rasuah (BPR) digesa menyiasat satu kes salah laku perbelanjaan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk pilihan raya umum ke-12 lalu. Exco Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia, Tan Sri Robert Phang Miow Sin berkata pihaknya telah menerima satu laporan mengenai salah guna peruntukan kewangan dan kuasa oleh PDRM untuk tujuan kegunaan pilihan raya umum. "Ia mengandungi enam kesalahan serius termasuk RM98 juta kos yang diperuntukkan pihak kerajaan kepada PDRM," katanya dalam satu sidang media di Pejabat Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia, semalam. Difahamkan, pihaknya telah menerima satu sampul surat berisi lima keping surat yang dialamatkan kepada yayasan tersebut untuk diserahkan kepada Menteri Dalam Negeri, Dato' Seri Syed Hamid Albar; Pengerusi BPR, Dato' Panglima Ahmad; Ketua Setiausaha KDN, Tan Sri Abdul Aziz; Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan beliau sendiri. "Pengirim maklumat ini menyatakan bahawa antara kesalahan besar pihak PDRM adalah gagal mematuhi Standard Operative Procedure (SOP) dalam menggunakan peruntukan kuasa dan kewangan," katanya.

Beliau juga menegaskan bahawa pihaknya sekadar bertindak untuk menyampaikan maklumat tersebut kepada pihak yang sepatutnya dan tidak bermaksud untuk terus menuduh pihak PDRM berdasarkan laporan tersebut. "Saya tidak berniat untuk memusnahkan karektor mana-mana individu apatah lagi apa yang saya lakukan hanya untuk menyerahkan kesemua surat dan laporan ini kepada BPR untuk siasatan selanjutnya," ujarnya. Jelasnya, pihaknya terkejut dengan perbuatan korupsi yang kemungkinan berlaku di bawah Jabatan Logistik PDRM yang digunakan sebelum dan semasa pilihan raya umum. Apa yang penting katanya, kini terdapat pihak tertentu yang meragui integriti dan kewibawaan agensi polis. "Mereka sudah tidak percaya kepada agensi polis," katanya lagi. Sementara itu, bekas Presiden Transparency International Malaysia,Tunku Aziz juga menjelaskan apa yang penting adalah pihak yang didakwa dalam laporan tersebut agar mengemukakan penjelasan mengenai tuduhan tersebut. "Saya tidak mengatakan semua polis jahat, mengamalkan korupsi, makan suap dan sebagainya."Tetapi pihak polis perlu memberi penjelasan mengenai tindakan Jabatan Logistik yang tidak mematuhi SOP yang telah ditetapkan kerana ia mengakibatkan kemungkinan terjadinya penyelewengan dalam sebarang urusan," ujarnya lagi.Walau bagaimanapun, pihaknya dijangka menghantar laporan terbabit kepada BPR pada hari ini. "Saya sekadar menyampaikan pesanan kepada pihak yang berkuasa untuk menyiasat apa jua yang telah berlaku," katanya. Beliau turut menegaskan semua pihak perlulah mematuhi prosedur yang telah ditetapkan bagi mengelakkan timbul pertikaian dalam urusan kelak. "Yang menghairankan saya ialah siapa yang buat SOP ini dan kenapa ianya tidak dipatuhi?" ujarnya lagi.

Oleh yang demikian, Ezam dilihat sebagai cukup berperanan dalam UMNO bagi tujuan itu!Tambahan pula bekas bosnya baru saja menemukakan laporan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) berkaitan dengan tingkah laku Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hasan dan Peguam Negara, Abdul Ghani Patail. Mungkinkah ini juga termasuk dalam fail yang pernah dikatakan sebanyak enam kotak dulu itu?

SIAPA PEMBOHONG?
ANWAR SEDIA BERTANDING
Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam menyifatkan ancaman Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengambil alih teraju kepemimpinan negara sebagai satu pembohongan.Semua media termasuk akhbar dalam talian melaporkan Datuk Seri Anwar Ibrahim telah bersedia untuk bertanding dalam pilihanraya kecil bagi kerusi parlimen Permatang Pauh , ia dikosongkan berikutan perletakan jawatan Ahli Parlimen Permatang Pauh.Dato' Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga adalah Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR).Kenyataan Abdullah ini sudah tentulah menggelikan hati rakyat jika dihubungkan dengan kenyataan beliau sebelum Pilihanraya Umum Ke-12 (PRU12) dahulu berkaitan isu kenaikan harga minyak yang turut mempenagruhi harga barang. Sudah tentulah kenyataan orang nombor satu negara itu memperlihatkan betapa dia sudah lupa dengan banyak hal kerana dia masih lena dan hadiah bantal dan bantal peluk kepadanya dahulu adalah amat wajar.Sudah tentulah ramai rakyat masih ingat dengan jelas bahawa kenaikan harga minyak hanya akan berlaku pada bulan Ogos 2008.
Namun sekitar 48 jam selepas kenyataan itu diumumkan tiba-tiba kenaikan harga minyak telah berlangsung sehingga kenderaan berbaris panjang santak ke waktu selepas Isyak.Amat menyedihkan terdapat pemilik kenderaan yang beragama Islam terlepas menunaikan fardu Maghrib. Ramai kalangan pemuka Islam yang sedih dengan situasi tersebut dan bagi sebahagian daripada rakyat menganggap itu adalah sebahagian daripada Rukun Islam Hadhari! Sebab itulah barangkali awal-awal lagi negeri Selangor menolak Islam Hadhari. Kedah, Kelantan, Pulau Pinang juga rasanya sependapat dengan kerajaan negeri Selangor itu.Perlu direnungi bahawa pembohongan menurut ajaran Islam yang sebenar dan bukan Islam Hadhari adalah sebahagian daripada sifat-sifat orang munafik selain mungkir janji, khianat dan sifat melampaui batas apabila berbalah atau bertengkar.Khalayak sewajarnya mempertimbangkan dengan saksama sama ada hendak bersubhat dengan para pendusta atau menghindarinya. Juga hendaklah memikirkan sama ada kita sanggup mengunyah daging saudara sendiri dengan bersubhat dengan para penyebar fitnah. Ingat Allah melihat apa yang kita laksanakan pada bila-bila masa sahaja. Tak tahulah jika ajaran Islam Hadhari itu menghalalkan segala tegahan Islam sejati. Berfikirlah.

KOMENTAR
bersama Pak Parjo

RASUAH POLITIK DI DALAM UMNO
TUNNGU MIMPI SEPERTI RAJA MELAKA

Syahdan diberitahu kepada orang banyak akan Menteri Dalam Negeri, Orangkaya Dato’ Seri Syed Abdul Hamid bin Syed Jaafar Albar mengakui berlakulah perbuatan tak sihat dalam pemilihan harakah Melayu (UMNO) sekarang ini. Arakian di Kota Tinggi yang menjadi perkampungan Orangkaya Dato’ Seri Syed Hamid itu, barulah empat sahaja anak tuan-tuan menyokongnya daripada sejumlah 46 kampung-kampung di dalam perkampungan itu, adanya. Maka diberitahu kepada fakir akan orangkaya menteri juga belumlah tentu dipilih oleh anak tuan-tuan di kampung-kampung; apalagi sebelumnya dikatakan Orangkaya Dato’ Seri Syed Abdul Hamid mengumumkan perkampungannya di Kota Tinggi mencalonkan Orangkaya Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi memegang jawatan ketua harakah Melayu itu, dengan Orangkaya Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak menjadi wazirnya.

Arakian maka baginda pun beristerikan anak Tun Perpatih Permuka Berjajar, beranak dua orang laki-laki, seorang bernama Raja Kecil Mambang, dan seorang Raja Megat namanya. Telah berapa lamanya Raja Kecil Besar di atas kerajaan, maka baginda bermimpi pada suatu malam, berpandangan dengan keelokan Rasullullah. Maka sabda Rasullullah pada Raja Kecil Besar, ‘Ucap olehmu kalimah syahadat’. Maka dituruti oleh Raja Kecil Besar seperti sabda Rasullullah. Maka sabda Rasullullah, ‘Adapun namamu Sultan Muhammad; esok hari waktu asar matahari, datang sebuah kapal dari Judah, turun orangnya sembahyang di pantai Melaka ini; hendaklah engkau ikut barang katanya’. Maka sembah Raja Kecil Besar, ‘Bailklah, Tuanku, yang mana sabda junjungan itu tiada hamba lalui’. Gamaknya orang-orang harakah Melayu belumlah lagi bermimpi seperti perihal raja Melaka yang disebut dalam ‘Kitab Melayu’ daripada:


HIDUP BAHASA MELAYU!