Friday, September 5, 2008

WARGA PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
S U A R A < < < > > > P R I M A
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG


BELIA MENJADI MANGSA KEKELIRUAN
MEMERLU BUDI BICARA POLIS BEBASKAN

Assalamualaikum,

Malam kelmarin (2 September 2008) hampir jam 12.00 malam keluarga Mohd Safri bin Umar, k/p 840102-10-5041 dari Kampung Nakhoda, Batu Caves menemui saya beritahu mengenai insiden di KLCC malam count down ‘Hari Kebangsaan’ yang turut menyebabkan remaja dari Cheras cedera parah. Ayahnya, Umar seorang pemandu lori tak dibenarkan menemui anaknya yang ditahan polis, malah diberitahu tak tahu menahu mengenai insiden tersebut. Sebaliknya Mohd Safri ditahan polis, ketika cuba melindungi Mohd Haziq Dinie bin Mohd Rafiq, 16 yang dibelasah di khalayak ramai, semata-mata disyaki menggunakan pisau menyebabkan remaja dari Cheras itu cedera parah. Memang berlaku kekeliruan, apabila pihak polis diberitahu remaja yang menggunakan pisau itu berbaju merah dan berambut punk.

Disebabkan Mohd Haziq Dinie memakai baju pink (sekalipun tak berambut punk), anak kecil itu dibelasah, justeru Mohd Safri yang berusia 24 tahun cuba melindunginya. Implikasinya Mohd Safri turut ditahan dalam kekalutan yang sukar ditafsir, ditaksir dan ditadbir itu. Aduhai! Bagaimanapun Mohd Haziq Dinie sudah dibebaskan dengan jaminan polis malam 2 September 2008 (iaitu kira-kira jam 9.00 malam), setelah campur tangan Setiausaha Politik Perdana Menteri, Dato’ Suhaimi Ibrahim dan Ahli Parlimen Wangsa Maju YB Wee Choo Keong. Sebaliknya Mohd Safri sehingga 3 September 2008 masih belum dibebaskan, di samping ibu bapanya juga tak dibenarkan bertemu sekalipun beliau sekadar mangsa kekeliruan.

Pengendali laman blog, Sallehuddin mengirim SMS sebaik sahaja selesai berbuka puasa semalam (4 September 2008), beritahu tokoh kewartawanan Melayu Tan Sri A Samad Ismail meninggal dunia kira-kira 5.30 pm. Al-Fatihah! PRIMA memanjangkan kepada semua rakan-rakan berita berkenaan, tetapi sejurus kemudian disiarkan menerusi Buletin Utama TV3 jam 8.00 malam. Tan Sri A Samad (Pak Samad) yang dikatakan eksyen sikit, tetapi banyak membantu penulis-penulis muda sekitar dekad 1960-an dan 1970-an. Penulis muda yang tak tahan dengan gelagat Pak Samad, mungkin sahaja tersinggung kalau artikel dikerenyuk ke dalam bakul sampul, kemudian ditujah dengan hujung sepatu. Sebaliknya seminggu selepas itu artikel berkenaan pasti disiarkan di akhbar Berita Harian dengan sudah dibuat correction. Begitulah!

Di samping ketokohan dalam kewartawanan, Pak Samad juga dikenali sebagai sasterawan yang keras seperti novelnya ‘Patah Sayap Terbang Jua’, ‘Tembok Tidak Tinggi’, ‘Orang Juah’, ‘Kail Panjang Sedepa’, ‘Menimba Yang Jernih’ atau ‘Menduga Lautan Dalam’. Pak Samad pernah dianugerahkan ‘Hadiah Pejuang Sastera’ pada 1976 bersama lain-lain tokoh sastera termasuk Kris Mas, Usman Awang, Pak Sako, Shahnon Ahmad. Ironinya tak lama selepas menerima anugerah berkenaan Pak Samad ditahan di bawah ISA bersama Dato’ Abdullah Ahmad (Timbalan Menteri Sains dan Teknologi) dan Dato’ Abdullah Majid (Timbalan Menteri Buroh) dalam episod yang dikenali sebagai ‘Tiga Abdul’ kerana didakwa terbabit dengan anasir komunisme. Entahlah!

-Pak Dharma

INFO HAK ASASI MANUSIA

ANGIN DARI SABAH & SARAWAK
MEMBAWA PERUBAHAN 16 SEPTEMBER

Langkah kerajaan Pusat di bawah Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi mencurahkan peruntukan berganda ke Sabah dan Sarawak pada pembentangan bujet 2009 di Parlimen, Jumaat lalu (29 Ogos 2008) disifatkan sebagai spekulasi yang hampir menjadi kenyataan. Menurut pemerhati politik, angin perubahan dari Sabah dan Sarawak sedang mara ke Kuala Lumpur bagi membawa perubahan pada 16 September 2008 ini. Kalau laporan berkenaan sekadar ‘khabar angin’ beritahu pemerhati politik terbabit, tak mungkin Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah segera ke Sabah, di samping Dato’ Anifah Aman membuat kenyataan insiden berkenaan tak akan berlaku. “Dato’ Anifah tak mungkin bersuara kalau ianya sekadar spekulasi,” beritahu pemerhati politik yang membuat analisis megenai senario sekarang.

Malah menurut sumber, Dato’ Anifah juga pernah merungut seolah-olah merasa ‘panas telinga’ dengan senario politik di Sabah bagaikan terlalu banyak bergantung kepada ‘nasihat’ Putrajaya. Justeru kata pemerhati politik, Dato’ Anifah dikatakan kurang senang apabila Sabah dilabel sekadar mengikut ‘rules’ Putrajaya. Seterusnya sumber berkenaan menambah, majoriti ahli UMNO peringkat akar umbi di Sabah mahu pimpinan di negeri bersikap tegas seperti dilakukan di Sarawak. Dalam kemelut sekarang, beritahu sumber tersebut selanjutnya, angin perubahan dari Sabah dan Sarawak semakin jelas menerobosi senario politik di Malaysia menjelang 16 September. “Laporan mengenai Ahli-Ahli Parlimen serentak bercuti ke luar negeri, menunjukkan ianya bukan sekadar spekulasi lagi,” sumber berkenaan menjelaskan.

TAK SALAH DARI PERSFEKTIF SEJARAH:
PARTI BUKAN MELAYU CARI KESEMPATAN.

Ketua UMNO Bukit Bendera Dato’ Ahmad Ismail tak melakukan sebarang kesilapan dari persfektif sejarah apabila membangkitkan isu komuniti Cina tak sewajar menerima hak istimewa yang sama dengan orang Melayu, beritahu Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz. Katanya, adalah sangat malang apabila parti-parti politik bukan Melayu ‘menangguh di air keruh’ berikutan keparahan UMNO selepas PRU12 dengan membuat laporan polis di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948. Sebaliknya jelas Dato’ Kamal Amir selanjutnya, sebelum PRU12 komuniti bukan Melayu yang banyak membangkitkan isu ‘kontrak sosial’, tetapi UMNO tak pernah membuat laporan polis. “Dato’ Ahmad Ismail tak melakukan kesalahan dari perspektif sejarah, tetapi MCA dan Gerakan terikut-ikut rentak DAP,” beritahu Dato’ Kamal Amir.

Seterusnya Dato’ Kamal Amir menambah, pada tahun 1980 Pemuda MCA ketika itu di bawah Tan Sri Lee Kim Sai sengaja memprotes kertas kerja Allahyarham Tan Sri Abdul Samad Idris (ketika itu Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan) apabila menyebut Kuala Lumpur bukan dibuka oleh Yap Ah Loy, tetapi usaha gigih Raja Abdullah bin Raja Jaafar pada 1857. Tak berlaku sebarang kesalahan dari perspektif sejarah, tetapi MCA tetap juga membuat provokasi. Masyarakat Cina tak mendapat sebarang manfaat daripada provokasi MCA itu, sebaliknya memberi ruang kepada Lee Kim Sai meningkatkan prestasi politik dari Exco Selangor kepada menteri kabinet dan Timbalan Presiden MCA, ujar Dato’ Kamal Amir.

BELASUNGKAWA KEPADA PAK SAMAD
WARTAWAN TERBILANG SEPANJANG ZAMAN

Warga Prihatin Malaysia (PRIMA) mengucapkan belasungkawa kepada keluarga Tan Sri Abdul Samad Ismail (Pak Samad), berikutan berpulangnya ke rahmatullah tokoh wartawan berkenaan semalam (4 September 2008). Aktivis PRIMA Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah yang juga bekas Timbalan Naib Canselor (HEP) UTM menyifatkan Pak Samad adalah wartawan terbilang sepanjang zaman, dengan komitmen beliau dalam bidang persuratkhabaran sejak dekad 1930-an. Menurut Dato’ Dr Mohd Mansor dalam bidang kewartawanan Pak Samad mempunyai pengikutnya tersendiri yang mampu mempertajamkan debat terbuka menerusi media. “Bangsa Melayu kehilangan wartawan terbilang sepanjang zaman, malah pada periodnya mampu mencorakkan pemikiran rakyat menerusi akhbar,” beritahu Dato’ Dr Mohd Mansor.
Sementara itu penyair Yassinsalleh mengakui bangsa Melayu kehilangan wartawan besar yang tak terikat dengan pengaruh politik dalam melaksanakan tugasnya, di samping mengasuh ramai penulis-penulis muda berani menyampaikan pandangan secara terbuka. Yassinsalleh memberitahu, beliau terus ke rumah Pak Samad jam 9.00 pm (4 September 2008), sebaik sahaja diberitahu oleh rakan-rakan bagi mewakili PRIMA. Pak Samad yang mengalami masalah paru-paru apabila dimasukkan ke wad ICU Pusat Perubatan Pantai sejak 24 Ogos lalu, meninggal dunia jam 5.58 petang (4 September 2008). Jenazahnya selamat disemadikan selepas solat Jumaat hari ini (5 September 2008) di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara. “Pihak PRIMA mengucapkan belasengkawa kepada keluarga Allahyarham Pak Samad, semoga Allah dicucuri rahmat ke atas rohnya,” ujar Yassinsalleh.

INFO SASTERA & BUDAYA

NOVEL ‘SAINS FIKSYEN’
JAUH DI PULAU RAHSIA
Oleh: Ikram Hafiz
(Sebelum memasuki Unisel pada Mei 2008, Allahyarham Ikram Hafiz bukan sahaja berbakat dalam kraftangan dan elektrikal ketika belajar di Sekolah Menengah Teknik Gombak, malah terbabit dalam karya kreatif. Ikram Hafiz pernah menghasilkan novel sains fiksyen pada 2007, ketika membuat kerja sambilan menjual burger. Hanya sebuah sahaja novel yang dihasilkannya, dan diterbitkan oleh Mulya Utama Enterprises, Taman Seri Gombak, Batu Caves, Selangor. Mulai sekarang, novel karya Ikram Hafiz dimuatkan dalam laman blog ini).

(sambungan semalam)


(2)

HANG JEBAT TURUN KE LAUT:
SEKOLAH TEKNIK, BUKAN MEKANIK!

“Kamu menuntut di sekolah teknik, takkan tak boleh baiki enjin bot ni,” kawan saya Usin Sodok mencuit bahu saya.

“Saya belajar di sekolah teknik, bukan sekolah mekanik,” sahut saya bergurau sekalipun hati tetap cemas dilambung ombak Selat Melaka.

“Hah, itulah kamu semua berangan-angan nak jadi Hang Tuah lima sahabat, konon,” ujar kawan saya yang bertubuh kurus Mail Kengkang, pelajar Tingkatan Empat di Sekolah Menengah Khir Johari di Sungai Sumun.

“Jangan merepek, kita kena fikir sama-sama macam mana nak balik!” segera Abang Din ingatkan kami semua.

Memang sebelum turun ke laut, kami semua berangan-angan mahu mengikut jejak Hang Tuah lima sahabat turun ke laut. Abang Din kami anggap Hang Tuah, sementara saya pula dilabel menjadi Hang Jebat. Kawan-kawan yang lain Usin Sodok kononnya Hang Kasturi, Mail Kengkang pula dianggap Hang Lekir dan Sahak Salai kami panggil Hang Lekiu.

Bersemangat betul kami turun ke laut pagi-pagi bersama Abang Din dengan rahsiakan daripada keluarga. Tujuan kami sekadar ikut Abang Din memancing, bukanlah mahu mengikut jejak Hang Tuah menjadi wira di laut sebagai laksamana. Kebetulan pula kami berlima di dalam bot; justeru kami berangan-angan seolah-olah Hang Tuah, Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir dan Hang Lekiu turun ke laut.

“Abang Din macam Hang Tuah, sebab itu kena jadi ketua kami semualah,” saya berdiri di haluan bot bercekak pinggang seolah-olah Hang Jebat berhati berani. Sebenarnya hati saya memang kecut melihat ombak bergulung dengan tak kelihatan tanah daratan lagi.

“Tengah laut ni jangan fikirkan siapa ketua, yang penting kita boleh balik ke tepi,” kata Abang Din mengerling saya. Dia memberi isyarat menyuruh saya mengambil tin bekalan minyak petrol di bawah kelong.

Segera saya ambilkan bekas minyak petrol dihulurkan kepada Sahak Salai yang tergaruk-garuk paha akibat disilau terik panas cahaya matahari kerana berseluar pendek sahaja. Dia unjukkan pula pada Abang Din yang menunggu di buritan bot.

Sebenarnya bot milik ayah Abang Din, sekadar sampan dengan kapisiti muatan tiga orang dewasa sahaja. Enjin sangkut yang digunakan pula merupakan subsidi jabatan perikanan kepada nelayan, melalui usaha atuk memohon mendapatkan bantuan tersebut untuk nelayan-nelayan pantai di Bagan Sungai Belukang.

Sebab itu mereka di bagan berkenaan anggap atuk macam ketua nelayan di situ, sekalipun tak siapa yang mengiktirafnya. Atuk juga tak harap mahu jadi ketua nelayan, asal sahaja semua kawan-kawan nelayan dapat enjin subsidi, dia turut rasa gembira.

“Kalau kamu ada idea nak baiki enjin bot, cubalah Hafiz,” keluh Abang Din macam berputus asa setelah usahanya gagal. Enjin bot masuh belum berfungsi sekalipun minyak petrol disimbahkan sedikit pada kabarator.

“Fasal enjin, memang saya tak tahu Abang Din,” jelas saya mengakui. Lainlah kalau mengenai komputer memang saya memahami serba sedikit.

(bersambung…)

SAJAK

Cik Ke Cik Ke Boom

Cik ke cik ke boom
cik ke cik ke boom!
timang-timang anakku sayang
lekas besar rajin belajar
jadi orang berguna.

Cik ke cik ke boom
cik ke cik ke boom
ingat-ingat anakku sayang
bila besar jangan menjadi
pembeli kapal selam
nanti karam tenggelam.

Cik ke cik ke boom
cik ke cik ke boom
sudah besar jangan khianat
nanti terkena laknat.

Cik ke cik ke boom
cik ke cik ke boom
jangan main keris dan sumpah
nanti senjata memakan tuan
azabnya termakan sumpah.

Cik ke cik ke boom
cik ke cik ke boom
timang-timang anakku sayang
pagar jangan memakan padi
jual bangsa dan negeri.

-Yasleh Rita Ayu
UKM, Bangi, Selangor.
3 September 2008.


Dalam Jihad Kami Memohon

Betapalah, ya
alam seindah ini
diranjaukan setiap denai
dengan pecahan kaca
dari botol-botol anggur
yang terpacak di antara rekahan paha
perempuan yang digelimpangkan
selepas setiap pesta lelong Belanda
para pemburu khazanah qarun
menjual ibu mereka
di ranjang erotika bangsa.

Maka kita anak-anak
satu keturunan yang tersula di mata,
yang tertusuk di dada
terus jua merentas malam bulan terendam,
tetap jua melintas mentari rebah pagi.

Dan apapun jua tanggungan
nestapa yang dipaksakan
ke atas kita lantaran khianatnya
para nakhoda pimpinan
armada bahtera bangsa
yang telah mengosongkan padi di kepuk,
yang telah mengeringkan air di telaga
dan lari mencari damai abadi
entah di mana!

Dengan ini kami bersumpah
demi pertiwiku Tanah Melayu
demi bangsaku bernama Melayu,
demi kesucian Islam agamaku
akan kami rungkai kekalutan sejarah
akan kami tegakkan tamaddun ilmu,
akan kami keramatkan tamaddun peradaban
akan kami mertabatkan keagungan iman.

Dalam jihad kami memohon
keredhaan Illahi –
agar tidak akan lagi berulang
pagar memakan padi
haruan memakan anak
dalam kepimpinan bangsaku MELAYU!

-Yassinsalleh
Kajang, Selangor
4 September 2008.


INFO SUARA PROLITAR

MAZLAN & KADAR SHAH
ACA REPORT AGAINST PAK LAH.

Follow up to ACA report against Pak Lah (Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi) by
Mazlan Harun (Dato’ Mazlan Harun): Tomorrow morning 9.00 am (4 September 2008) at Wilayah (Persekutuan) ACA office, Dataran Merdeka. Dato’ Mazlan and Dato’ Kadar Shah will submit affidavits from witnesses. Please distribute. – (SMS; 3 September 2008, 23:57:24 – Sallehuddin, KL).

PASTIKAN JENAZAH PAK SAMAD
DITUTUP DENGAN BENDERA MALAYSIA.

Forward Sdr Zaharin Yassin; Saudara Bentaraguru, pastikan keranda jenazah Pak Samad (Tan Sri A Samad Ismail) ditutup bendera Malaysia. Kita mesti iktiraf dia sebagai nasionalis dan pahlawan. Salam – (SMS; 4 September 2008; 23:57:10 – Dr Seri Intan, Tapah, Perak).
KOMENTAR
bersama Pak Parjo

BOCORKAN LAPORAN RAWATAN LIWAT
SUKARNYA JADI TABIB DI NEGERI MELAYU

Syahdan terlalu masyghol Tabib Mohamed Osman (atau disebut anak cucu fakir Dr Mohamed Osman) kerana dituduh membocorkan laporan rawatannya terhadap seorang pemuda bernama Mohd Saiful Bukhari Azlan. Adapun laporan rawatan Tabib Mohamed Osman mengenai tuduhan liwat ke atas Orangkaya Permatang Pauh, Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Arakian pada suatu hari semalam 4 Ramadan 1429 (atau disebut orang banyak 4 September 2008), Tabib Mohamed Osman memberitahu orang banyak akan perihal ia tak terbabit dengan siasah. Maka segala kerja-kerja yang dibuatnya adalah perkara hal ehwal ketabiban belaka, adanya. Maka kata yang empunya cerita, setelah dirawat oleh Tabib Mohamed tiadalah kesan liwat pada dubur pemuda itu. Arakian terlalulah sukar menjadi tabib di negeri Melayu itu, adanya.

Sebermula ada seorang anak Sewri Nara Diraja, telah kena parang oleh seorang Benggali, Miasam namanya, dari ekor pipinya lalu ke keningnya, tetapi kehujungan; maka Tun Hamzah tertiarap. Maka Sang Sura pun datang dari dalam berlari-lari membawa titah katanya, ‘Jangan dihabiskan semuanya dibunuh, tinggalkan seorang akan benih.’ Maka kata Tun Indera Segara, ‘Encik Hamzah ini mari kita ubati, mudah-mudahan hidup.’ Arakian Tun Hamzah diambil oleh Tun Sura Diraja, dipersembahkan ke bawah duli Sultan Mahmud. Maka disuruh baginda ubati pada tabib. Maka dengan takdir Allah Taala, belum sampai bilangannya tiada ia mati. Telah Tun Hamzah sembuh, ia sangat disayangi baginda, bukanlah tabib yang berjasa merawatnya itu seperti dikarang dalam ‘Kitab Melayu’ daripada:


HIDUP BAHASA MELAYU!

Wednesday, September 3, 2008

WARGA PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
S U A R A < < < > > > P R I M A
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG


MAJLIS BADAN PELAJAR UNISEL
BACA YASIN DAN TAHLIL UNTUK IKRAM

Assalamualaikum,

Panggilan telefon wakil badan pelajar Universiti Industri Selangor (Unisel) pagi ini (3 September 2008) jam 9.30 am, tak memeranjatkan lagi kerana segalanya sudah dianggap selesai, berikutan berpulangnya ke rahmatullah ‘permata hati’ keluarga saya, Ikram Hafiz pada 26 Ogos 2008 lalu. Tarikh kembalinya Ikram Hafiz ke rahmatullah tetap menjadi kenangan, disebabkan bersamaan dengan hari pilihanraya kecil Parlimen Permatang Pauh yang dimenangi Penasihat PKR Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Wakil badan pelajar Unisel sekadar memberitahu akan mengadakan tahlil, baca Yasin dan berbuka puasa di rumah saya No 24 Jalan SG 9/1, Taman Seri Gombak, Batu Caves, 6 September 2008 ini (Sabtu). Bagi meraikan kunjungan badan pelajar Unisel, saya menjemput rakan-rakan dari PRIMA turut menyertai majlis tersebut. Insya Allah!

Jam 10.00 am hari ini (3 September 2008), Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong menelefon, beritahu sudah menelefon ke balai polis Dangwangi, berikutan kes pergaduhan remaja di KLCC malam 30 Ogos 2008 (count down malam Kemerdekaan 31 Ogos 2008). Seorang remaja dari Cheras dikatakan ditikam, dengan saksi di kalangan rakan-rakan mangsa cam, remaja terbabit berbaju merah dan berambut punk. Mungkin sahaja berlaku kekeliruan seorang pelajar dari Batu Caves, Mohd Haziq Dinie bin Mohd Rafiq, 16 ditahan dan dibelasah di khalayak ramai. Mohd Haziq Dinie yang sepatutnya bersekolah semalam (2 September 2008) dalam Tingkatan 4 di Sekolah Menengah Selayang Baru, terpaksa menanggung risiko akibat kekeliruan pihak polis.

Isteri saya Adiah Mat Lana, bersama anak-anak Cikgu Idham Khalil (abang Ikram Hafiz), Nurul Salwa (kakak Ikram Hafiz) dan Ir Adnan Haji Khalid (abang angkat Ikram Hafiz) ke balai polis Tanjung Karang hari ini (3 September 2008) jam 12.00 tengahari bagi membuat laporan kemalangan jalanraya yang menimpa Ikram Hafiz 26 Ogos 2008 lalu, mengikut prosedur pentadbiran jabatan polis. Mereka kemudian terus ke Unisel membuat urusan bagi membawa balik barang-barang milik Allahyarham di asrama, di samping prosedur lain yang perlu diselesaikan. Kakaknya, Nurul Salwa yang sudah menamatkan praktikal sebulan lalu, turut menyerahkan laporan akademik kepada dekan menjelang konvo dijangka Disember 2008 nanti. Begitulah!

Selepas asar kira-kira jam 5.00 pm (3 September 2008), ketika membaca Yasin dan tahlil untuk Allahyarham, Setiausaha Politik Perdana Menteri, Dato’ Suhaimi Ibrahim menelefon. Beliau memberitahu sesuatu yang menggembirakan kepada PRIMA dalam usaha memberikan perkhidmatan sosial kepada setiap warga yang memerlukan. Justeru kepiluan dengan kehilangan ‘permata hati’ keluarga terubat juga dengan aktiviti yang sentiasa dipenuhi sepanjang hari. Apalagi rakan-rakan juga terus memberikan semangat sama ada dalam aktiviti PRIMA mahupun penulisan. Berikutan insiden kehilangan Ikram Hafiz, seolah-olah bertambah ramai pula sanak saudara, sahabat handai dan rakan taulan dalam hidup keluarga saya. Alhamdullillah!

-Pak Dharma

INFO HAK ASASI MANUSIA

TERHUTANG BUDI ATAS KEPRIHATINAN PIHAK BERWAJIB
MENCARI JALAN DALAM KES PERGADUHAN DAN PERTIKAMAN

Penjaja kecil di pasar Selayang, Mohd Rafiq Haji Khalid melahirkan rasa terhutang budi dengan keprihatinan Setiausaha Politik Perdana Menteri (Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi), Dato’ Suhaimi Ibrahim membantu kes anaknya seorang pelajar Tingkatan 4 di Sekolah Menengah Selayang Baru, Mohd Haziq Dinie yang ditahan polis ketika meraikan sambutan ‘Hari Kebangsaan’ malam 30 Ogos 2008 lalu. Mohd Haziq Dinie dikatakan terbabit dalam pergaduhan remaja, menyebabkan seorang remaja dari Cheras cedera parah ditikam. Mohd Haziq Dinie dilaporkan dilihat oleh polis melakukan perbuatan berkenaan, sebaliknya berlaku kekeliruan apabila pelajar berkenaan sekadar memakai baju warna ‘pink’, seakan-akan remaja yang memakai baju merah dan berambut punk melakukan keganasan tersebut.

Sementara itu adik Mohd Rafiq, Ir Adnan Haji Khalid turut mengucapkan terima kasih kepada PRIMA, Dato’ Suhaimi dan Ahli Parlimen Wangsa Maju, YB Wee Choo Keong yang prihatin dengan masalah dihadapi keluarga abangnya. Menurut Ir Adnan, pihak keluarga tak dibenarkan menermui Mohd Haziq Dinie yang ditahan di Balai Polis Dangwangi sejak malam 30 Ogos 2008, menyebabkan mereka meminta bantuan PRIMA pada 31 Ogos 2008. Sekalipun menunggu hingga habis tempoh cuti ‘Hari Kebangsaan’ pada 2 September 2008, Mohd Haziq Dinie yang sepatutnya bersekolah masih tak dibenarkan ditemui oleh keluarga. Justeru pihak PRIMA meminta bantuan YB Wee Choo Keong yang juga seorang peguam, sebaliknya diberitahu anak kecil terbabit ditahan di bawah Kanun Keseksaan Syeksen 148.

“Justeru kami terpaksa membawa perkara ini kepada pejabat Perdana Menteri, kerana anak kecil yang bersekolah itu mungkin di aniaya,” beritahu Ir Adnan yang mengakui menghubungi Dato’ Suhaimi jam 2.00 petang ini (3 Disember 2008). Berikutan dengan keprihatinan semua pihak, adik Mohd Haziq Dinie dibebaskan dengan jaminan polis petang ini (selepas berbuka puasa). Bagi pihak keluarga abangnya, Ir Adnan berterima kasih kepada Dato’ Suhaimi, YB Wee Choo Keong dan PRIMA. Bagaimanapun ketika menghubungi sekretariat PRIMA petang ini 5.00 pm (3 September 2008), Dato’ Suhaimi meminta semua pihak mengambil langkah yang bijaksana dalam menangani masalah berkaitan dengan kepentingan masyarakat.

INFO SASTERA & BUDAYA

NOVEL ‘SAINS FIKSYEN’
JAUH DI PULAU RAHSIA
Oleh: Ikram Hafiz

(Sebelum memasuki Unisel pada Mei 2008, Allahyarham Ikram Hafiz bukan sahaja berbakat dalam kraftangan dan elektrikal ketika belajar di Sekolah Menengah Teknik Gombak, malah terbabit dalam karya kreatif. Ikram Hafiz pernah menghasilkan novel sains fiksyen pada 2007, ketika membuat kerja sambilan menjual burger. Hanya sebuah sahaja novel yang dihasilkannya, dan diterbitkan oleh Mulya Utama Enterprises, Taman Seri Gombak, Batu Caves, Selangor. Mulai sekarang, novel karya Ikram Hafiz dimuatkan dalam laman blog ini).

1

HANYUT TAK BERHALUAN

DI DEPAN semuanya ombak bergulung. Tak nampak tanah daratan lagi setelah bagan ditinggalkan. Enjin bot masih tak boleh dihidupkan. Memang Abang Din sendiri berasa mati akal apabila enjin bot mati di tengah laut. Kami berempat di dalam bot harapkan Abang Din sahaja kendalikan bot berkenaan.

Apalagi Abang Din yang lebih tua di kalangan kami, kerana dia sedang menunggu keputusan peperiksaan SPM. Di kalangan kami berempat hanya saya dalam Tingkatan Lima, sementara tiga lagi rakan saya masih di Tingkatan Empat.

Sebab itulah kami semua harapkan Abang Din. Lagipun bot tersebut milik ayahnya Alang Seman. Sudah kerapkali Abang Din ke laut membantu ayahnya menjadi nelayan. Malah dialah yang kendalikan bot berkenaan ketika ayahnya menurunkan jaring. Tetapi mereka berdua tak pernah membawa bot jauh ke tengah, disebabkan Alang Seman hanya dikenali nelayan pantai sahaja.

“Macam mana ni, Abang Din?” soal saya cemas dengan keadaan ombak hingga bot teroleng-oleng di permukaan laut.

“Kau takut ke, Hafiz?” Abang Din mengusik. “Sekali sekala balik ke kampung, kamu mesti berani dengan ombak,” ujarnya macam mengejek saya.

“Lagipun kamu yang bersungguh-sungguh nak ke laut,” Usin Sodok mencelah sengaja mahu sembunyikan rasa cemasnya.

Sekalipun memang mereka sudah biasa dengan ombak laut, tetapi saya melihat muka masing-masing pucat apabila bot mati enjin. Abang Din sendiri mengaku tak pernah mengalami kejadian begitu. Apatah lagi ayahnya Alang Seman hanya menangkap ikan di pesisir pantai sahaja.

Lainlah saya tak pernah turun ke laut. Sekali sekala balik ke Bagan Datoh menemui opah, memang abah tak benarkan ikut atuk menaiki sampan menangkap ikan. Tetapi abah tak melarang sekiranya saya menemani opah ‘mengaut’ kerang atau ‘mencangkuk’ ketam di lumpur hutan bakau.

Kadangkala emak juga ikut sama menemani opah. Sejak emak masih kecil, dia sudah biasa dengan kehidupan nelayan. Emak sering temankan opah ‘mengaut’ kerang dan ‘mencangkuk’ ketam ketika itu. Bapa-bapa saudara saya Andak Rahman, Anjang Sam dan Acik Zahar pula ikut atuk ke laut sebagai nelayan pantai.

Setelah dewasa mereka tak ikut lagi atuk ke laut. Andak Rahman memasuki tentera selepas tamat SPM, sementara Anjang Sam pula menternak lembu. Acik Zahar bekerja dengan taukeh Cina di Hutan Melintang menjadi nelayan laut dalam. Sebab itu orang tua-tua macam atuk dan kawan-kawannya sahaja terus menjadi nelayan pantai.

Sekalipun keluarga emak saya menjalani kehidupan sebagai nelayan, tetapi saya tak pernah turun ke laut. Apalagi dilahir dan dibesarkan di Kuala Lumpur kerana abah menetap di pinggir Lembah Kelang iaitu Gombak, menjadikan saya bertambah jauh daripada kehidupan nelayan.

Ketika balik ke kampung teringin juga mahu ke laut. Tetapi bukan abah sahaja tak benarkan, malah atuk juga melarang saya. Justeru apabila Abang Din mengajak turun ke laut, sengaja saya rahsiakan daripada keluarga. Abang Din pula memang berpengalaman kendalikan bot enjin sangkut ayahnya.

(bersambung…)

SAJAK

Tinggi Gunung Seribu Janji

Tinggi gunung seribu janji
Si Luncai pun menghampar mimpi
Biarkan! Biarkan!
Bacul dituding Queen Control
Biarkan! Biarkan!
Si Bodo melelong negeri
Biarkan! Biarkan!
Boring! Aku nak tidurlah
Biarkan! Biarkan!
He he he! Kah kah kah!

-Yassinsalleh
Kajang, Selangor.
2 September 2008.

INFO SUARA PROLITAR

‘HARI KEBANGSAAN’ PUPUK PATRIOTISME
TETAPI BERLAKU KEGANASAN REMAJA PULA

Sambutan ‘Hari Kebangsaan’ untuk memupuk semangat patriotisme di kalangan remaja. Tetapi kalau remaja sekadar mahu berpeleseran ketika sambutan ‘kemerdekaan’, lebih baik tak perlu diadakan sambutan. Kita tak mahu setiap kali didakan sambutan ‘Hari Kebangsaan’, berlakunya keganasan remaja. Semua pihak susah, sama ada ibu bapa mahupun orang ramai, apatah lagi penjaga keselamatan. Cukuplah sambutan dibuat di dalam dewan sahaja – (SMS; 3 September 2008; 14:35:09 – Selly, Batu Caves, Selangor)

KOMENTAR
bersama Pak Parjo

ORANGKAYA MENTERI MEMINTA MAAF
APABILA ANAK BUAH TERLEPAS CAKAP

Kata sahibul hikayat tersebutlah akan Orangkaya Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak meminta maaflah ia kepada rakyat jelata bukan Melayu. Adapun Orangkaya itu meminta maaf kerana anak buah harakah Melayu (UMNO) di Bukit Bendera, Dato’ Ahmad Ismail memberitahu yang orang bukan Melayu bukanlah asalnya dari negeri ini. Syahdan Orangkaya Dato’ Seri Mohd Najib mengakui, ia hanya bercakap bagi pihak dirinya sahaja, bukanlah mewakili harakah Melayu, adanya. Arakian disebut orang banyak, akan perihal meminta maaf memang dituntut di dalam Islam. Maka akan Dato’ Ahmad Ismail itu bercakap benarlah ia, yakni perkara orang bukan Melayu sah bukan asalnya dari negeri ini.

Sebermula disuruhlah orang keluari pula orang Melaka sekali lagi. Maka orang Haru pun keluar; maka orang Melaka telah sampai ke pengkalan Dungun, berhenti di sana, naik ke darat hendak buang air. Maka ada seorang Keling, Miarazul namanya, Keling Melaka, mengikut pergi. Maka Miarazul naik, ia bertemu dengan seekor kambing randuk. Arakian pada pemandangannya seperti orang tua. Maka Miarazul pun terkejut lalu lari tunggang-langgang, maka ia berbangkit lari pula ternganga-nganga mengusir orang banyak. Maka sekalian orang pun terkejut, gempar melihat Miarazul berlari-lari itu katanya, ‘Kita bertemu Haru tua, kita hudap ia zughul, kita zughul ia hudap’. Syahdan mengakulah mereka akan Miarazul bukanlah asalnya dari negeri Melayu, tak perlulah meminta maaf kerana kekeliruan itu seperti disebut dalam ‘Kitab Melayu’ daripada:


HIDUP BAHASA MELAYU!

Tuesday, September 2, 2008

WARGA PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
S U A R A < < < > > > P R I M A
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG:



INSIDEN RAIKAN ‘HARI KEBANGSAAN’
SEMANGAT PATRIOTISME REMAJA TERJEJAS


Assalamualaikum,




Memang terkilan adik angkat saya Ir Adnan Haji Khalid, berikutan insiden anak saudaranya Mohd Haziq Dinie Mohd Rafik (anak abangnya, Mohd Rafiq Haji Khalid), berusia 16 tahun (pelajaran Tingkatan 4, Sekolah Menengah Selayang Baru, Batu Caves) di tahan polis malam 30 Ogos 2008 (kira-kira jam 12.00 menjelang count dowan ‘Hari Kebangsaan’) di KLCC. Dinie ke KLCC sekadar untuk sama-sama meraikan ‘Hari Kebangsaan’ sebagai pernyataan semangat patriotik, tetapi tak dijangka berlaku naratif pergaduhan anak-anak remaja Melayu, menyebabkan seorang remaja ditikam. Kalangan saksi memberitahu, anak remaja yang menggunakan pisau itu berbaju merah. Justeru Dinie yang berbaju ‘orange’, ditahan polis malah dibelasah orang ramai (dengan dibiar sahaja) sebelum dibawa ke balai polis Sungai Besi (berdekatan kem tentera).



Bagi pihak keluarga Dinie saya dan PRIMA sudah menghantar faks ke pejabat Menteri Dalam Negeri, Dato’ Seri Syed Abdul Hamid Albar di samping kepada Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi meminta campur tangan dengan perilaku pihak polis terhadap pelajar sekolah yang ‘masih mentah’ (sepatutnya diberi nasihat, malah dilindungi keselamatannya). Di samping itu PRIMA juga turut kesal dengan insiden Muhammad Hizam Shukri dipukul polis di Batu 4, Jalan Pantai, Port Dickson pada malam sambutan kemerdekaan. Anak-anak remaja terbabit perlu dipupuk semangat patriotisme, bukan dipukul ketika mahu meraikan ‘Hari Kebangsaan’. Sekiranya ‘Hari Kebangsaan’ mendatangkan mudarat, kerajaan seharusnya ‘mengharamkan’ sebarang perhimpunan meraikan sambutan kemerdekaan itu. Begitulah! \



Hari ini saya menghubungi Ahli Parlimen Wangsa Maju, YB Wee Choo Keong yang juga seorang peguam, setelah usaha menghubungi Setiausaha Politik Perdana Menteri, Dato’ Suhaimi Ibrahim dan Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri, Dato’ Ahmad Yaacob gagal bagi memastikan pejabat Perdana Menteri menerima surat yang dikirim PRIMA melalui faks sudah diterima atau sebaliknya. Disebabkan isu terbabit disaksikan oleh orang awam, justeru kerajaan seharusnya memberi respons segera, apabila aduan disampaikan. Tentulah sia-sia PM menerima aduan menerusi laman web, sekiranya sukar bertindak dalam waktu ‘tertentu’, berikutan tindakan ganas ke atas anak-anak remaja. Sama ada Muhammad Hizam mahupun Dinie, sepatutnya berada di bangku bilik darjah hari ini (2 September 2008), tetapi terus ditahan kerana kekeliruan yang berlaku.



Dalam kes Dinie misalnya, rakan-rakan mangsa sendiri (selaku saksi) mengkui ianya dilakukan oleh remaja berbaju merah dan berambut punk. Sebaliknya Dinie berbaju oren, di samping bukan berambut punk. Penahanan Dinie pula disebabkan bapa dan bapa saudaranya mempersoal tindakan kasar yang dilakukan, malah diugut untuk digari ketika mahu menjamin anak mereka. Mungkin masyarakat umum akan hilang keyakinan terhadap kerajaan, berikutan perilaku yang keterlaluan hingga menjejaskan slogan pasukan polis yang sentiasa berkhidmat dan mesra rakyat itu. Justeru PRIMA mendesak, SUHAKAM juga mengambil langkah positif mengelakkan tindakan keterlaluan hingga pihak lain mendahului mahkamah dalam menjatuhkan hukuman.

-Pak Dharma.



INFO HAK ASASI MANUSIA:


SURAT PRIMA MENERUSI FAKS
KPD PM, MENTERI DAN SUHAKAM


(31 Ogos 2008) - Bagi pihak Encik Mohd Rafik Haji Abdul Khalid, Lot 8411 Jalan Nakhoda Kiri Satu, Kampung Nakhoda, 68100 Batu Caves, Selangor ayah kepada Mohd Haziq Dinie, pelajar Tingkatan 3 (4), Sekolah Menengah Selayang Baru, memohon jasa baik dan campur tangan YAB Dato’ Seri dalam kes anak beliau. Mohd Haziq Dinie, 15 sama seperti rakyat Malaysia yang cintakan negara, keluar ke KLCC semalam (30 Ogos 2008) jam 10.00 malam, bagi meraikan ‘Hari Kebangsaan’ untuk menyahut seruan pemimpin negara. Tak semena-mena berlaku pergaduhan di lokasi yang berhampiran dengan beliau. Mohd Haziq Dinie ditahan di Balai Polis Dang Wangi, malah pihak polis menjatuhkan hukuman lebih awal sebelum pihak mahkamah mendapati ianya bersalah, di samping turut mendakwa pergaduhan membabitkan pisau.


Justeru pihak PRIMA merasakan berlaku kekeliruan, kerana Mohd Haziq Dinie bukan sahaja pelajar yang baru berusia 15 tahun, dengan fizikal yang kecil, malah tak membawa sebarang pisau kerana kehadirannya dari jauh (kira-kira 15 kilometer) semata-mata mahu meraikan ‘Hari Kebangsaan’. PRIMA merayu kepada YAB Dato’ Seri supaya Mohd Haziq Dinie dibebeaskan serta merta tanpa sebarang syarat, kerana pihak kami percaya beliau tak terbabit dengan pergaduhan berkenaan. (Berdasarkan saksi di kalangan rakan-rakan mangsa, pisau digunakan remaja berbaju merah dan berambut punk, sebaliknya Dinie berbaju orange dan tak berambut punk). Budi bicara, kerjasama dan perhatian segera YAB Dato’ Seri adalah sangat dihargai.


UMNO DIBUAI MIMPI MEDIA
REALITI SAMA MACAM PRU12


Pimpinan Sarawak dan Sabah dikatakan menuntut kuasa autonomi yang termaktub dalam perjanjian Malaysia, bagi mengekalkan kerajaan Pusat di bawah BN menjelang 16 September 2008. Kalangan pemerhati dan penganalisis politik yang kelihatan di lobi Parlimen mengakui sudah diberitahu, ketika pimpinan UMNO dibuai mimpi dengan laporan media arus perdana, realiti sebenarnya mirip kepada PRU12. Kesediaan pimpinan Sarawak dan Sabah meninggalkan BN, adalah bagi melindungi kepentingan rakyat kedua-dua negeri berkenaan di bawah kuasa autonomi. “Malah kalangan wakil rakyat sudah berani menyebut, kami tak mahu ikut ‘rules’ (peraturan) Putrajaya, tapi Putrajaya kena ikut ‘rules’ kami’,” beritahu sumber yang sering mengikuti perkembangan ketika sidang Parlimen yang berlangsung sekarang.


Bagaimanapun menurut sumber berkenaan, pimpinan Sabah dikatakan bersedia untuk berkompromi sekiranya pimpinan UMNO berubah secara drastik pada Disember 2008 bagi membolehkan pertandingan lebih sihat, bukan dipengaruhi kouta pencalonan bagi jawatan tertinggi parti. Rundingan sulit di kalangan pimpinan Sabah dan Sarawak juga dikatakan sudah diadakan beberapa kali bagi memantau senario politik dalaman UMNO sekarang, sebagai titik tolak kepada perubahan politik di kedua-dua negeri berkenaan, kata sumber tersebut. Sekalipun belum diumumkan secara rasmi, tetapi setakat ini menurut sumber berkenaan, Ketua Umum PKR Dato’ Seri Anwar Ibrahim sudah menerima sokongan 34 Ahli Parlimen BN, bagi membentuk kerajaan baru.


Sebaliknya jelas sumber tersebut, langkah UMNO Langkawi mencadangakan Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Penasihat UMNO, mungkin sahaja sudah terlambat kerana kebobrokan pimpinan yang sukar dibendung. Sebaliknya, pimpinan UMNO seharusnya tak memperlekehkan keupayaan Dato’ Seri Anwar, tetapi memperkukuhkan semula perpaduan parti itu (bukannya perpaduan Melayu) dengan mendapatkan khidmat nasihat pimpinan berpengalaman seperti Tengku Razaleigh Hamzah, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Musa Hitam. “UMNO memerlukan khidmat nasihat Ku Li, Tun Dr M dan Tun Musa, bagi memartabatkan semula UMNO dalam jangka panjang, termasuk menghadapi PRU13 akan datang,” menurut sumber berkenaan menambah.

INFO SASTERA & BUDAYA:


LANTIKAN PIMPINAN DALAM DBP
ELAKKAN PENGARUH POLITIK KETERLALUAN


Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), dikatakan masih belum dilantik berikutan tamat tempoh perhidmatan Dato’ Dr Firdaus Abdullah baru-baru ini, beritahu kalangan aktivis persuratan. Dato’ Dr Firdaus bekas wartawan dan penyair sebelum menjadi tenaga pengajar di Universiti Malaya dikatakan tak serasi dengan Pengerusi Pengelola DBP, Dato’ Johan Jaafar yang juga dramatis tersohor sebelum dilantik mengetuai media selaku Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Melayu. DBP yang pernah dipimpin oleh Profesor Emeritus Ungku Aziz Abdul Hamid ketika diasaskan pada 1956 dulu, memerlukan hala tuju yang tepat dalam isu perjuangan Bahasa Melayu. Justeru kalangan aktivis persuratan merasakan lantikan pimpinan DBP seharusnya tak diserahkan kepada pengaruh politik yang serba bobrok, korok dan buruk!


“Bagi memastikan DBP mampu mendaulatkan Bahasa Melayu, pelantikan pimpinan mengendalikan DBP hendakalah dijauhkan daripada sebarang pengaruh politik,” menurut aktivis badan persuratan, L Mankadir Shamsi. Beliau juga turut sangsi dengan langkah mahu mewujudkan jawatan Timbalan Ketua Pengarah DBP, kerana bimbang fungsinya sekadar ‘anugerah jawatan’ bukan berdasarkan ‘perkhidmatan jawatan’. Seterusnya beliau menambah, perjuangan Bahasa Melayu akan diletakkan sebagai agenda kedua, apabila usaha mencari ‘anugerah jawatan’ menjadi agenda pertama. Malah kata Mankadir lagi, sekarang pun ‘anugerah hadiah’ lebih popular di DBP daripada penilaian terhadap karya-karya sastera yang bermutu tinggi, bagi mengangkat martabat Bahasa Melayu.


INFO SUARA PROLITAR:


MAJLIS DOA ARWAH & TAHLIL
PEGAWAI MASJID LETAK SYARAT

Dakwah bukan takat beri ceramah, usrah, tazkirah dan sebagainya. Pegawai masjid juga perlu berdakwah dengan bijak. Baru-baru ini seorang rakan mahu meminta khidmat salah sebuah masjid di Gombak, untuk kenduri doa arwah dan tahlil. Pegawai masjid memberi syarat, mestilah waris keluarga terbabit menjemput, dan hendaklah turut sama berjemaah di masjid. Maknanya, yang tak solat berjemaah tak perlu dilayan. Saya juga difahamkan rakan itu tak jemput orang masjid, tapi lebih 100 orang hadir dengan ustaz lepasan al-Azhar, Mesir bertaraf al-Hafiz yang pimpin tahlil dan Ya Sin. - (SMS; 1 September 2008; 22:15:42 – Man Cincai, Selayang, Selangor).


KOMENTAR
bersama Pak Parjo.


LANUN MAKIN MERAJALELA DI LAUT
DATO’ LAKSAMANA MASIH TERPINGA-PINGA

Sebermula gemparlah sekalian orang banyak, akan lanun-lanun bermaharajalela di laut, menyebabkan satu demi satu kapal dagang dari negeri Melayu diserang oleh suku sakat Megat Alang Dilaut. Tersebutlah akan kapal dagang ‘MT Bunga Melati Dua’ ditawan lanun tiga minggu lalu (atau disebut anak cucu fakir pada 19 Ogos 2008), ketika belayar dari Bengkalis (Dumai) ke negeri atas angin membawa 32,025 tan minyak sawit. Arakian kapal dagang itu dirampas lanun di pesisir pantai Somalia. Syahdan sebuha lagi kapal dagang yang dirampas lanun ialah ‘MT Bunga Melati Lima’ ketika belayar dari Temasik ke negara Arab (Yanbu) minggu lalu (disebut orang banyak pada 29 Ogos 2008) kerana hendak berdagang, adanya. Terlalulah masghol segala hamba rakyat di negeri Melayu dengan kejadian suku sakat Megat Alang Dilaut bermaharajalela.


Arakian Orangkaya Menteri Luar Negeri, Dato’ Seri Dr Rais Yatim berkatalah ia akan mengemukakan perihal kejadian itu ke mesyuarat orang besar-orang besar dunia (atau disebut orang banyak PBB) bulan depan bagi merumus kanun laut yang ketat, padat dan sendat. Barangkali. Maka tahulah fakir akan Orangkaya Menteri biasanya menyebut akan, akan, akan – hingga tak tahu berapa kalilah ia akan menyebut akan, akan, akan. Syahdan akan Orangkaya Menteri sekadar bercakap akan begitu, akan begini, maka Dato’ Laksamana pun terpinga-pinga. Apalagi suku sakat Megat Alang Dilaut merajalela ia di luar perairan Melaka. Maka
Dato’ Laksamana juga menngilir-ngilir keris, akan pergi ke laut, atau akan menghadap sultan. Barangkali!


Kata sahibul hikayat akan Laksamana Khoja Hasan pun telah mati dengan percintaan, maka ditanamkan orang di Goa Pantar; itulah dikata orang Laksamana Pantar. Maka Hang Nadim dijadikan laksamana, ialah yang sangat masyhor berperang yang bertimba darah jua, tiga puluh dua kali. Akan isteri Laksamana Hang Nadim itu, anak Laksamana Hang Tuah, peraturan saudara dua pupu pada Bendahara Lubuk Batu. Maka ia beranak seorang anak laki-laki, Tun Mat Ali namanya. Adapun Laksamana Hang Nadim dititah sultan memerintahkan Bentan, duduk di Rocoh, diperbuatnya bandar; terlalu ramai bandar Rocoh pada zaman dahulu itu, rupa perahu rakyat penuh sesak, sekalian di dalam ingatan perintah Laksamana Hang Nadim. Demikianlah Laksamana Hang Nadim menjaga perairan negeri Melayu seperti disebut dalam ‘Kitab Melayu’ oleh:








HIDUP BAHASA MELAYU!

Sunday, August 31, 2008

WARGA PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
S U A R A < < < > > > P R I M A

(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG

KENANG-KENANGAN HARI TERAKHIR
‘PERMATA HATI’ MENGHADAP KHALIQ

Assalamualaikum,

Count down malam (30 Ogos) setiap tahun, Ikram Hafiz akan mengumpulkan wang RM10 daripada kawan-kawannya bagi membeli bunga api dan BBQ, di atas bukit Taman Seri Gombak. Sejak beberapa tahun lalu, anak-anak muda terbabit menunjukkan kecintaan kepada negara dengan membuat sambutan sendiri, sambil memerhati menara KLCC yang boleh dilihat dari Taman Seri Gombak. Tahun ini, memang Ikram Hafiz sudah bercadang dengan rakan-rakannya bagi menyambut ‘Hari Kebangsaan’ dijadikan lestari yang dijadualkan setiap tahun. Apalagi rakan wanita yang amat dihargainya mempunyai tarikh lahir pada 31 Ogos (rakan wanitanya dikenali D, tak menjengah malah tak ikut sama bertahlil sekalipun dipujuk emaknya, kerana sukar menerima kenyataan Ikram Hafiz sudah meninggalkannya buat selama-lamanya).

Tahun ini malam count down (30 Ogos 2008) jam 12.00 malam di atas bukit Taman Seri Gombak, turut sunyi sepi apabila pemimpin yang menggerakkan kemeriahan sudah pergi buat selama-lamanya. Memang Ikram Hafiz permata hati keluarga, tetapi di kalangan rakan-rakannya (dikenali dengan panggilan Lamdo), beliau adalah tempat merujuk segala masalah remaja. Di kalangan rakan-rakan beliau bukan lagi ‘anak manja’ atau ‘Anakku Sazali’, sebaliknya pemimpin mereka. Apalagi Ikram Hafiz berbangga dengan namanya yang membawa maksud ‘Pelindung Yang Sempurna’. Tak hairanlah, apabila kawannya Lantun dan Shaggy ditahan polis (menjelang hari raya tahun lalu) kerana terbabit dalam pergaduhan, Ikram Hafiz tampil membawa kes berkenaan kepada UMNO Gombak dan pejabat ADUN Gombak Setia (ketika itu Haji Yuszahari Yusuff).

Pada pilihanraya ke 12 (8 Mac 2008), Ikram Hafiz bersama rakan-rakannya turut menampal poster semua calon secara sukarela termasuk PAS, UMNO dan PKR (kerana wakil PAS dan PKR menyebut ianya kerana Allah, tetapi bersama UMNO mereka diberi RM20 seorang). Bagaimanapun pada hari mengundi Ikram Hafiz membantu kerja-kerja di kem UMNO bagi membantu Haji Yuszahari kerana hubungan persahabatan saya dengan calon UMNO, termasuk juga Dato’ Ahmad Bujang). Seminggu selepas mendaftar masuk Unisel, Mei 2008 Ikram Hafiz ditahan polis jam 12.00 malam (Jumaat, iaitu balik hujung minggu) disyaki membawa motosikal curi. Sebaliknya apabila kawannya (pemilik motosikal) menunjukkan geran, beliau didakwa pula menghisap dadah, justeru perlu ditahan bagi ujian air kencing (disebabkan beliau mempersoal tindakan polis).

Segala keperihan yang dilalui beliau memperlihatkan sikap kerenah birokrasi dan etika perjawatan kakitangan kerajaan di Malaysia terlalu bobrok, pongah dan rendah kualiti (inilah sebahagian punca yang menyumbang dan mendorong kekalahan teruk BN pada PRU12 apabila keberangan rakyat ditujukan kepada UMNO dan BN, bukan provokasi pengendali laman web atau laman blog). Rekod keprihatinan Ikram Hafiz kepada masyarakat boleh dinilai – (i) Apabila rakannya di Melaka dikenali Ali Iran terbabit dalam kemalangan motosikal, beliau bertolak ke hospital Melaka dari Kuala Lumpur jam 12.00 malam; (ii) Ketika ayah rakannya dikenali Gavin (bukan Melayu) dirompak ketika berjoging 6.00 pagi, Ikram Hafiz terus membantu ke klinik, (iii) Seorang pekedai mini market di Taman Seri Gombak yang juga ayah rakannya dikenali Abdul Raman disamun dan ditetak (hingga sekarang tangan yang ditetak perompak tak berfungsi), Ikram Hafiz uruskan membawa ke hospital.

(iv) Abang kepada kenalan emaknya iaitu Nor, bernama Haji Radzi kehilangan anak gadisnya, Ikram Hafiz bersama kawan-kawannya mengambil inisiatif mencari sehingga ditemui di Taman Samudera (dilarikan oleh seseorang) tiga hari kemudiannya, (v) ketika berlaku pergaduhan kaum yang membabitkan remaja Melayu dan bukan Melayu, ketika gangguan Hindraf sebelum PRU12 di Taman Seri Gombak, Ikram Hafiz mengambil inisiatif meminta khidmat nasihat pejabat UMNO Bahagian Gombak (menerusi Omar Sudi Abdul Manan, Ketua Penerangan Bahagian) dan pejabat ADUN Gombak Setia (ketika itu Haji Yuszahari Yusuff) bagi menyelesaikan isu berkenaan apabila dua orang rakannya Lantun dan Shaggy ditahan. Malah banyak lagi pembabitan Ikram Hafiz dalam khidmat sosial yang tak sempat dirakamkan. (Boleh dilayari menerusi Myspace.com – amswastika@yahoo.co.uk).
Tiga malam berturut-turut majlis tahlil dan doa arwah diadakan, dengan malam pertama di kampungnya di Jelebu. Tahlil malam pertama dipimpin oleh Imam 2 Masjid Jamek Daerah Jelebu, Tuan Haji Noordin Salleh, diikuti tahlil dan doa arwah malam kedua di Taman Seri Gombak dipimpin oleh Ustaz Shahrul, graduan dari UIA, di samping malam ketiga, tahlil dan doa arwah dipimpin oleh Ustaz Mohd Hilmi Hamad al-Hafiz, graduan dari Universiti al-Azhar, Mesir. Memang setiap majlis tahli dihadiri lebih 100 orang sanak saudara, sahabat handai serta jiran-jiran. Malah pada majlis ‘meniga hari’ (buat kepung tanah di kubur pada hari ketiga mengikut tradisi penduduk kampung di Jelebu) pada hari Sabtu (30 Ogos 2008), masih ramai sanak saudara, sahabat handai dan jiran-jiran menziarah. Tahli pada ‘meniga hari’ jam 12.30 tengahari dipimpin sekali lagi oleh Imam 2 Masjid Jamek Daerah Jelebu, Tuan Haji Noordin Salleh. Al-Fatihah.

-Pak Dharma

UCAPAN TAKZIAH TERUS DITERIMA
BELASUNGKAWA RAKAN & TAULAN

* Saya ayah Shamsul Nor Ariffin (rakan yang sama terkorban). Kita sama-sama menanggung kesedihan. Bersabarlah dengan musibah yang menimpa kita. Insya Allah selepas ini, kita akan berjumpa. Malam ini tahlil di rumah kami, dan kami akan buat juga untuk arwah Ikram Hafiz – (Telefon, 28 Ogos 2008 – Noordin dan Ainulyakin, Sungai Besi, KL).

* Kenapa tidak beritahu kematian anak? Soal saya datang atau tidak perkara lain. Kita sudah kawan lama, dan saya rasa sangat sedih. Memang ketika kejadian saya berada di Permatang Pauh. My condolence to you and family. – (SMS, 29 Ogos 2008; 19:32:13 – YB Wee Choo Keong, Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wilayah Persekutuan).

* Saya ke hutan, baru keluar. Baru dapat tahu mengenai anak saudara. Saya ucapkan takziah, dan sentiasa bersabar. Moga-moga Allah cucuri rahmat ke atas rohnya. (SMS, 29 Ogos 2008; 10:33:09 – L Mankadir Shamsi, Lancang, Pahang).

* Banyak-banyak sabar. Saya tak tahu apa mahu cakap. Dia sangat baik. – (Malam 29 Ogos 2008; Dr Raju, bekas pensyarah UTM).
* Saya merasa amat terharu. Kadang-kadang terasa kesal kerana tidak dapat lagi membantu pemuda-pemuda seperti beliau (Ikram Hafiz) di mahkamah yang melakukan kesilapan tanpa niat jahat yang sebenar. – (SMS, 30 Ogos 2008; 11:19:10 – YB Teng Chang Khim, Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor).

* Saya dapat tahu dari Dato’ Kamal (Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz). Takziah di atas berita anak. Saya doakan roh arwah di rahmatullah. – (SMS, 31 Ogos 2008; 13:13:52 – Sallehuddin, KL).

* Dear Darmala (Pak Dharma) & family, I am disturbed to know today that your beloved son has left you and returned to Allah. May ALLAH have mercy on your son and place him in heaven. Ameen. – (SMS, 30 Ogos 2008; 16:20:15 – Essah Sulaiman, Singapore).

* Takziah Pak Dharma. Saya baru sahaja mendengar berita sedih yang menimpa keluarga Pak Dharma. Harap bersabar dan tabahkan semangat menempuh ujian. (Telefon, 30 Ogos 2008; 16:05:11 – Faizal Khan, Kuala Lumpur).

* Allah lebih menyayanginya. Kita tak mampu mengatasi takdir. Redalah dengan pemergiannya. Dia masih muda, hanya baru lepas akil baligh, tak banyak lagi buat dosa. Moga-moga Allah cucuri rahmat ke atas rohnya – (31 Ogos 2008; Ir Mohd Isa Hamzah, Gombak, Selangor).

* Salam takziah. Dari Allah kita datang, kepadaNyalah jua kita kembali. Di doakan semoga roh Allahyaham dicucuri rahmat serta dihimpunkan bersama hamba-hamba yang soleh. Banyak-banyak bersabar. – (e-mail, 29 Ogos 2008;Asalbayu, Alor Setar, Kedah)

INFO SASTERA & BUDAYA

MALAM DEKLAMASI PUISI PRIMA
MERIAH TAPI DISELUBUNGI KESEDIHAN

Majlis deklamasi puisi PRIMA malam 29 Ogos 2008 berjalan lancar, sekalipun ketua pimpinan Pak Dharma tak sempat menghadirikan diri disebabkan musibah yang menimpa keluarga, beritahu penyelaras deklamasi PRIMA Zainal Abidin Rasidin. Katanya, Zakaria Bidin yang sepatutnya mempengerusikan majlis juga tak dapat hadir sebaik sahaja beliau diberitahu ayahnya sakit dalam keadaan kritikal di Melaka. Majlis yang berlangsung di pekarangan rumah Jurucakap PRIMA, Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz di No 1 Lorong Dato’ Suleiman 8, Taman Tun Dr Ismail dipengerusikan oleh aktivis teater dari Pahang L Mankadir Shamsi. “Malam deklamasi puisi PRIMA berjalan lancar dan meriah, tetapi tetap diselubungi kesedihan dengan musibah yang menimpa keluarga ketua pimpinan Pak Dharma,” ujar Zainal Abidin.

Menurut Zainal Abidin, sebelum dimulakan pengerusi majlis L Mankadir Shamsi meminta semua yang hadir membacakan al-Fatihah, diikuti dengan penyair Yassinsalleh (yang juga datuk saudara Ikram Hafiz) membacakan puisi. Pendeklamator yang turut menyampaikan puisi di samping L Mankadir Shamsi, Yassinsalleh dan Dato’ Kamal Amir, termasuklah Dr Seri Intan, Yasleh Rita Ayu, Dato’ Ruhanie Ahmad (bekas Ahli Parlimen), Dato’ Mazlan Harun (bekas ADUN Selangor), Haji Sayuti Omar, Sallehuddin, Rozzie Kamal dan ramai lagi. Setiap pendeklamator yang menyampaikan puisi bertema ‘merdeka’ dengan bersemangat, tetapi merasakan kesedihan dengan mendahului dengan bacaan al-Fatihah, beritahu Zainal Abidin. “PRIMA akan terus berpuisi bagi penyataan manifestasi rakyat menolak perhambaan minda,” katanya menambah.

SAJAK

Sebutir Permata Hati

(buat anakku Ikram Hafiz
12 April 1988 - 26 Ogos 2008)


Ku angkat tabir senja
yang basah & lecah
sejuk angin mengelus ke dada
- ke hujung nestapa
- ke cerun duka
melintas bak dentaman petir
pantas & tangkas
menusuk menembusi kalbuku.

Langkahkan kakimu, anakku
di laman Unisel IPTS
Mei 2008 rimbunan hasratmu
ke kemuncak gemilang
- silau yang kian cemerlang
ketika sayapmu patah terhampar
samudera menggulung legenda
Ikram Hafiz, kau persis permata hati
pancarkan kilaumu di kabus pagi!

-Dharmala N.S.
Hospital Tanjung Karang,
10.00 malam, 26 Ogos 2008


MENCONGAK MAKNA MERDEKA

Oleh:Asalbayu

Ketika di usia kanak-kanak sering kutanya bapa:
akan makna merdeka?
Lalu jawapannya: KEBEBASAN
Siapa kurung kita?
kuasa asing katanya di bumi sendiri kita jadi kuli.
Anak-anakku kini di usia dewasa
kepadaku sering mereka tanya:
benarkah kita sudah merdeka?
Minda kita masih diperhamba
saban ketika dusta dan nista angkara kebejatan arus perdana.
Kepada mereka kuhulur nasihat:
usah percaya jika diperdaya tidak wajar dikongsi kemungkaran
agar selamat di dunia juga akhirat
usah tumpang gerabak dosa.
Maaf.... rela aku dicerca!
Hingga kini masih aku mencongak makna merdeka
setelah setengah abad
kutempuh di terowong ini
sinar di hujungnya masih suram.



HIDUP BAHASA MELAYU.

Thursday, August 28, 2008

WARGA PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
S U A R A < < < > > > P R I M A
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)


DARI LAMAN BLOG
:


HILANGNYA SEBUTIR PERMATA HATI
SEWAKTU MENUNGGU KEPUTUSAN P/RAYA


Assalamualaikum,


Sewaktu sibuk melayani SMS rakan-rakan termasuk Yassinsalleh, Salehuddin, Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz, John Pang dan Haji Abu Bakar Ninggal jam 7.00 pm (26 Ogos 2008) mengenai proses menunggu keputusan rasmi pilihanraya kecil Parlimen Permatang Pauh, saya menerima panggilan dari polis Tanjung Karang. Anak saya Ikram Hafiz penuntut tahun 1, Diploma Sains Komputer Industri di Universiti Industri Selangor (Unisel) meninggal dunia akibat kemalangan motosikal. Justeru saya tak peduli lagi fasal laman blog PRIMA, kerana kehilangan sebutir permata berharga dalam keluarga lebih penting dari segala-galanya. Memang Ikram anak yang nakal, tetapi kejayaan membolos diri memasuki IPTS, Mei 2008 lalu terlalu menghiburkan.


Kami sekeluarga bergegas ke Hospital Tanjung Karang, di sebabkan lokasi kemalangan di persimpangan Ijok. Kawannya yang membonceng, Sam (Syamsul Nur Ariffin bin Nordin) dalam keadaan kritikal dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh. Ketika sampai di bilik mayat Hospital Tanjung Karang, ramai rakan-rakannya dari Unisel termasuk mentor, pensyarah dan dekan fakultinya sudah menunggu. Kira-kira jam 10.00 malam semua urusan membawa balik jenazah selesai, dan sampai di rumah kira-kira jam 12.00 malam. Di pekarangan rumah berpuluh-puluh kawannya di sekolah terdahulu, jiran-jiran di samping rakan-rakannya melepak Zarul, Lantun, Shaggy, Rahman, Botak, Meon, Boy Komeng, Raja Zulkarnain, Shake dan Norman (Boy rakan melepaknya pula terkilan tak dapat datang di Kolej Lagenda) sudah menunggu dengan penuh setia.

Kawan-kawannnya di Greenwood memberitahu Ikram balik ke Gombak pada 25 Ogos 2008, sekadar bertemu kawan-kawan (dengan tak singgah balik ke rumah) termasuk rakan wanitanya sejak di sekolah menengah dikenali Fina. (Fina adalah rakan baiknya, tetapi bukanlah teman wanita, kerana setiap masalah peribadi sering diluahkan kepada rakannya itu). Menurut Fina, ketika balik menemui kawan-kawannya di Greenwood, Ikram secara bergurau memberitahu, “Aku rindu dengan korang semua, kalau aku mati nanti tak dapat lagi jumpa korang.” Bagi Fina, Ikram memang gemar bergurau dengan kawan-kawannya, justeru ungkapan berkenaan seolah-olah perkara biasa apabila bertemu sekali sekala dengan kawan-kawannya.

Sejak pagi 26 Ogos 2008, Ikram dikatakan sibuk mengemas bilik di asrama dengan tak hiraukan makan tengahari. Apabila diajak kawan-kawannya Mail, Jan, Hakim, Zaki dan beberapa lagi keluar makan, beliau memberikan pelbagai alasan. Dalam keadaan sehari suntuk tak menjamah makanan, beliau mengajak rakannya Sam menghantar balik ke Taman Seri Gombak. Di samping itu beliau menelefon kakaknya Nurul Salwa (graduan Unisel) memberitahu mahu balik ke rumah untuk mengambil buku, tetapi minta dirahsia daripada saya, kira-kira jam 3.30 petang. Ketika itu saya mengadakan pertemuan dengan aktivis PRIMA di Hulu Kelang.

Ketika dibawa balik ke rumah pihak hospital membekalkan kapas serta menyuruh beli lebih banyak, kerana bimbang pendarahan akan berterusan. Sebaliknya apabila sampai ke rumah, tak setitik pun darah mengalir dari luka-lukanya. Ketika dimandikan di masjid al-Khiriyyah, Taman Seri Gombak jam 10 pagi (27 Ogos 2008), ternyata Ikram tak makan sehari suntuk kerana sewaktu disucikan, tak setitik pun najisnya keluar. Wajahnya tetap tenang (tak kelihatan seperti mengejut, disebabkan dia meninggal di tempat kejadian), malah bagaikan tidur nyenyak (bukan seperti menahan kesakitan). Seluruh pegawai masjid termasuk imam, imam 2, siak, bilal, malah disertai lebih 100 orang rakan-rakan turut melakukan solat jenazah. Begitulah.

Sekalipun Ikram dianggap nakal oleh guru-guru sekolah sejak di sekolah rendah, sekolah menengah dan sekolah teknik, tetapi ketika majlis korban di masjid, beliau tampil membantu kerja-kerja yang diberikan kepadanya. Apabila bulan puasa, dia tampil bersama aktiviti masjid, dengan perangai ‘gila-gilanya’. Sikap nakal Ikram, menyebabkan dia pernah dibuang sekolah pada 2002 menjelang tiga bulan untuk peperiksaan PMR, akibat merit yang tinggi dicampurkan oleh gurunya sejak di sekolah rendah hingga ke sekolah menengah. Justeru beliau mengambil peperiksaan PMR dengan tak bersekolah dalam tempoh tiga bulan (bagaimanapun tetap lulus). Bagaimanapun beliau kembali bersekolah dengan sokongan Ketua UMNO Bahagian Gombak, Dato’ Ahmad Bujang.

Dilahirkan pada 12 April 1988, Ikram memasuki sekolah rendah dengan pencapaian cemerlang ketika Darjah 1, 2 dan 3. Bagaimanapun selepas Darjah 4 pelajaran merosot, di samping banyak sangat tekanan daripada guru-guru, sekalipun beliau pernah terpilih sebagai perserta terbaik perkhemahan pasukan beruniform sekolah-sekolah rendah negeri Selangor ketika menuntut dalam Darjah 6. Pada 27 November 1999, Ikram turut bersama saya jam 3.00 pagi menemui Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi (ketika itu Timbalan Perdana Menteri) di Seberang Jaya (Permatang Pauh), malah menyertai perjumpaan dengan Tun Dr Mahathir Mohamad (Perdana Menteri) pada jam 11.00 tengahari tarikh berkenaan ketika kempen pilihanraya 1999.

Dalam perjalanan membawa jenazah Ikram Hafiz untuk dikebumikan di kampung di Jelebu (disebelah kubur datuknya almarhum Dato’ Sati Haji Daud Sheikh Haji Ahmad), Setiausaha Politik Perdana Menteri yang juga bekas aktivis belia Dato’ Suhaimi Ibrahim menelefon. Di samping menyampaikan ucapan takziah, Dato’ Suhaimi juga turut terkedu dengan musibah yang menimpa keluarga saya. Rakan-rakan yang turut menyampaikan ucapan takziah termasuklah Dato’ Suhaimi, bekas pimpinan Pemuda PKR Mohd Ezam Mohd Noor, bekas Ahli Parlimen Seputeh Liew Ah Kim, bekas Timbalan Naib Canselor (HEP) UTM) Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah, aktivis budaya Yassinsalleh, aktivis teater L Mankadir Shamsi, aktivis UMNO Perlis, Dr. Amar Hassan, aktivis PKR, Mazlan Musa, Haji Bakar Ninggal dan Speaker Dewan Undangan negeri Selangor Teng Chan Khim.

Sebaik sahaja jenazah dibawa balik ke rumah, Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz turut menziarah jam 2.00 pagi, diikuti oleh bekas editorial ‘Balai Muhibbah’ (di Jabatan Perdana Menteri) Zakaria Bidin. Adik angkat saya Ir Adnan Khalid dan Azwa yang juga aktivis Pekida, memang terus bertungkus lumus menguruskan jenazah dibawa balik dari Hospital Tanjung Karang ke rumah di Taman Seri Gombak. Haji Abdullah Yusuff pula menuruskan segala urusan di masjid, malah jam 11.00 malam pegawai masjid Haji Baharuddin sudah menelefon saya bagi membuat persiapan. Tak hairanlah semua berjalan lancar bagi urusan memandikan jenazah di masjid. Seawal 6.00 pagi (27 Ogos 2008) rakan-rakan dan jiran muka berduyun-duyun datang termasuk Cikgu Mariam (isteri bekas aktivis PKR Dr Wahid Suhaimi), pegawai DBP Suffian Abdul Rahman dan aktivis PRIMA Zainal Abidin Rasidin.

Penulis veteran S. A. Alattas (Pak Habib) menziarah di masjid, bersama editor Buletin Rakyat, Norzah Haji Kepol dan suaminya Nasiri Hamid (yang memanggil Ikram sebagai ‘Anakku Sazali’ kerana sifat manjanya), malah seorang yang saya tak kenali memeluk erat saya dengan tangisan hiba, di samping mengakui beliau juga pernah kehilangan ‘permata’ yang berharga tiga bulan lalu. Sebelum van jenazah bertolak balik ke Jelebu, sebuah bas dari Unisel sampai dengan rakan-rakannya, wakil VC, pensyarah, dekan dan bahagian hal ehwal murid bagi menziarah. Mereka dari Unisel terkejut menatap wajah Ikram bertukar seolah-olah tersenyum dengan kunjungan rakan-rakannya, kemudian kembali normal apabila ditutup semula.

Di kampung, berpuluh-puluh sanak saudara, sahabat handai dan jiran-jiran menunggu Ikram. Malah ketika diturunkan dari van jenazah mereka berebut-rebut untuk mengusung ke rumah peninggalan almarhum datuknya. Jenazahnya disembahyangkan buat kali kedua di rumah almarhum datuknya dengan diketuai oleh imam 2 masjid jamek daerah Jelebu, Haji Salleh Noordin. Sebelum zohor jenazah Ikram selamat dikebumikan, dengan talkin dibacakan oleh imam masjid Kampung Teriang, Haji Isa. Hampir 200 sanak saudara, jiran-jiran dan sahabat handai saya turut menghantar jenazah, sekalipun saya tak sempat untuk melayani mereka (disebabkan faktor saya kurang sihat).

Jam 3.00 petang (27 Ogos 2008), ayah Sam menelefon isteri saya, memberitahu Sam juga meninggal dunia di Hospital Sungai Buluh, di samping dikebumikan malam ini juga (27 Ogos 2008) iaitu dalam tempoh beberapa jam sahaja selepas Ikram disemadikan (sebagai rakan sekuliah yang hidup dan mati bersama sejak tiga bulan sahaja berkenalan). Malam ini (28 Ogos 2008) pelajar-pelajar Unisel bersama kalangan pensyarah dan dekan memberikan dua kumpulan bagi menghadiri tahlil di rumah saya (di Seri Gombak) dan di rumah ayah Sam (di Sungai Besi). Jam 3.30 petang (27 Ogos 2008) rakan sebilik Ikram di asrama, Zaki dalam sendu yang berterusan meminta isteri saya mengatakan ‘tidak’ berikutan berpulangnya Ikram ke rahmatullah.

Terpaksa pula isteri saya memujuk (menerusi telefon) Zaki supaya menerima realiti, Ikram sudah selamat disemadikan sebelum zohor. Memang bagi saya Ikram ‘permata hati’ yang hilang, kerana biasanya beliaulah memandu kereta sekiranya saya mahu balik ke kampung atau perjalanan jauh. Malah beliau cekap menukar tayar kereta sekiranya pamcit, di samping melakukan kerja-kerja lasak berbanding abangnya sendiri. Apalagi Norzah bersama suaminya Nasiri, lebih senang memanggilnya ‘Anakku Sazali’ kerana sikapnya yang nakal (kadangkala berasa marah), tetapi manja dan mesra (hingga terasa menghiburkan).

Hari ini (28 Ogos 2008) abang Ikram yang menghidap autisme, Syamsul Anwar mula merasakan kehilangan ‘permata hati’ keluarga kami, apabila memakai kot sepanjang hari. Syamsul yang tak mampu meluahkan isi hati secara normal, sekadar menunjukkan simbolik kepada rasa kehilangan itu. Malah ketika Ikram terbabit dalam kemalangan jalanraya pertama ketika di Tingkatan 3, Syamsul Anwar yang dipanggilnya ‘Caah’ mengusap-usap simen di kakinya. Di samping itu, kucing kesayangan Ikram juga, turut menghidu-hidu pakaiannya yang terbabit dalam kemalangan (masih berbungkus plastik) berkenaan.Bagi pihak keluarga saya, mengucapkan terima kasih kepada pihak polis, pihak hospital, dan semua yang terbabit menguruskan jenazah hingga selamat disemadikan. Semoga Allah cucuri ke atas rohnya dan rakannya Sam yang sama terbabit dalam insiden langgar lari tersebut. (Dari Allah kita datang, kepada Allah kita kembali).

-Pak Dharma.
UCAPAN TAKZIAH UNTUK
ALLAHYARHAM IKRAM HAFIZ
Takziah kepada Pak Dharma. Saya berada di Permatang Pauh. Bagaimanapun saya tumpang sedih dengan musibah ke ats keluarga Pak Dharma. Saya memahami Ikram Hafiz masih muda dan pelajar yang bakal menumbangkan sesuatu kepada negara. Harap Pak Dharma bersabar. Al-Fatihah, semoga Allah cucuri rahmat ke atas rohnya. - (Dato' Suhaimi Ibrahim - Setiausaha Politik Perdana Menteri - 27 Ogos 2008)
Salam takziah kepada Pak Dharma sekeluarga di atas berita yang amat memilukan. Semoga tabah hadapi ujian berat ini. Minta maaf saya tidak dapt ziarah kerana berada di Jakarta. Wassalam. - (Ezam Mohd Nor-Bekas Setiausaha Politik Timbalan Perdana Menteri-28 Ogos 2008)
Wak ucapkan takziah. Semoga tabah dan banyak bersabar. - (Nahar Kamsani - 27 Ogos 2008)
Takziah. Kesedihan yang dalam dengan berita sedih. Semoga keluarga saudara bersabar dengan kejadian ini. Saya juga turut bersedih dan bersimpati. - (Liew Ah Kim - Bekas Ahli Parlimen Seputeh - 27 Ogos 2008)
Saya merasa sedih dan mengucapkan takziah dengan berita berpulangnya ke rahmatullah anak kesayangan Pak Dharma. Diharap Pak Dharma tabah menghadapi ujian ini. Al-Fatihah - (Abdul Rahman Othman - Bekas Timbalan Presiden PKR - 27 Ogos 2008)
Saya mengucapkan takziah ke atas kematian anak kesayangan saudara. Terimalah sebagai takdir dengan kesabaran. Semoga Tuhan mencucuri rahmat ke atas rohnya. - (Teng Chang Khim - Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor - 28 Ogos 2008)
INFO HAK ASASI MANUSIA:

CORAT CORET PERMATANG PAUH
UMNO GANAS MACAM HARIMAU LUKA

Catatan: Yassinsalleh
Sejak pagi (26 Ogos 2008) provokasi UMNO sudah jelas membawa pendekatan ganas macam harimau terluka pda pilihanraya kecil Parlimen Permatang Pauh. Di mana-mana sahaja unsur-unsur menakutkan para pengundi sudah digerakkan, termasuk oleh pasukan beruniform. Jam 10.00 pagi misalnya, di pekan Permatang Pauh sebuah helikopter turun rendah menyebabkan bumbung rumah seorang penduduk diterbangkan. Bagaimanapun pemilik rumah terbabit sudah pun membuat laporan polis. Berdekatan rumah terbabit juga berlaku insiden petugas PKR dibelasah oleh petugas UMNO, tetapi pasukan uniform yang berkawal di situ tak mengambil sebarang langkah positif. Kekecohan semakin memuncak pada 1.30 tengahari apabila pengundi hantu yang diimport mula dibawa dengan 20 buah bas di Mengkuang Titi.

Bukan sahaja bas, malah beberapa buah van juga terpaksa ditahan oleh petugas-petugas PKR kerana mengangkut pengundi hantu yang diimport. Mereka didapati ialah warga Indonesia yang diperalatkan untuk menjadi ‘pengundi hantu’. Kira-kira jam 1.30 tengahari Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi yang dijangka memberi sokongan moral kepada calon BN Dato’ Arif Shah Omar Shah, bergegas-gegas menuju ke lapanganterbang, untuk balik ke Kuala Lumpur (mungkin kecewa dengan laporan terhadap peluang BN). Pimpinan Pemuda UMNO Dato’ Seri Hishamuddin Hussein dan Khairy Jamaluddin dilihat di Seberang Jaya. Secara angkuh mereka letakkan kereta menghalang lalu lintas tak jauh dari lokasi membuang undi.

Provokasi mereka terpaksa disambut oleh petugas-petugas PKR dengan mengejek-ejek kelakuan pimpinan Pemuda UMNO yang kononnya mahu membawa budaya dan teladan yang baik kepada generasi muda. Justeru barulah pasukan beruniform nasihatkan pemandu kenderaan terbabit mengalihkan kereta yang dinaiki oleh pimpinan Pemuda UMNO itu. Di sebelah petang pasukan beruniform menakut-nakutkan pengundi Cina di Kampung Tiong Wah di Seberang Jaya, dengan mengadakan kawat dalam tiga perbarisan seolah-olah akan berlaku kekacauan, kesasauan dan kegagauan!

3.00 pm kira-kira 3,000 FRU dihantar ke Pusar Perjumlahan Undi di dewan Tuanku Bainun, Institut Aminuddin Baki. Sebelumnya 2.30 pm Ahli Parlimen Padang Serai, Gubalakrishnan bersama dua orang anaknya dipukul anggota pasukan beruniform atas alasan melakukan keganasan menghalang bas-bas khas membawa ‘orang luar’. Pasukan beruniform seolah-olah menjadi hakim memastikan penumpang-penumpang bas terbabit ialah orang awam, bukannya pengundi hantu yang diimport untuk mencemarkan sistem demokrasi di Malaysia. Malah insiden berkenaan turut mendedahkan beberapa buah bas dari Melaka yang mengimport pengundi hantu ialah ‘warga Indon’.

Bagaimanapun dilaporkan petugas-petugas BN di beberapa pondok undi turut meninggalkan lokasi seawal jam 3.30 petang, malah terus balik ke negeri masing-masing. Maknanya petugas-petugas BN meninggalkan pos, setelah menyedari peluang untuk mencapai kemenangan adalah tipis, nipis dan kepis.Keputusan pilihanraya kecil itu calon PKR Dato’ Seri Anwar terus mendomonasi Parlimen Pauh dengan majoriti lebih 15,000 mengatasi calon BN Dato’ Arif Shah, di samping calon AKIM Hanafi Mamat hilang wang pertaruhan. Justeru agenda Dato’ Seri Mohd Najib selaku Pengarah Pilihanraya mahu menimbulkan provokasi ternyata kecundang, terkejang dan terkedang.

(Ketika menaip semula catatan ini dari SMS Yassinsalleh yang mengikuti pilihanraya kecil Parlimen Permatang Pauh, pihak polis Tanjung Karang menelefon jam 7.00 malam 26 Ogos 2008, memberitahu anak saya Ikram Hafiz meninggal dunia di Ijok, Selangor terbabit dalam nahas jalanraya, insiden langgar lari. Ikram Hafiz memang turut membantu membuat lay-out laman blog PRIMA selama ini).

INFO SASTERA & BUDAYA:

SEBUTIR BINTANG LAGI HILANG
KERDIPAN MENYILAU FILEM MELAYU.

Hari ini saya membaca laporan akhbar (28 Ogos 2008) seniman Dato’ Ahmad Mahmud meninggal dunia semalam (27 Ogos 2008), iaitu ketika saya juga dalam keadaan serba hiba, dengan berpulangnya ‘permata hati’ saya Ikram Hafiz ke rahmatullah. Ahmad Mahmud memang nama besar dalam industri perfileman Melayu, malah saya pernah mengenali beliau secara dekat ketika sama-sama menghadiri ‘Pekan Filem’ di kota Padang, Sumatera Barat pada 1990. Berpulangnya Ahmad Mahmud ke rahmatullah semalam, hilanglah sebutir lagi bintang mengerdip yang terus menyilau perfileman Melayu. Sekalipun usaha menjatuhkan nama Ahmad Mahmud dibuat oleh media kerana sikapnya yang berterus terang di masa lalu, tetapi bakatnya sukar ditolak dan status sebagai bintang besar juga tetap menyerlah.

Meletakkan Ahmad Mahmud popular sebagai Dr Ismadi dalam filem ‘Ibu Mentuaku’ juga seolah-olah mahu mengenepikan ketokohannya. Sebaliknya Ahmad Mahmud lebih dikenali sebagai Hang Jebat menerusi filem ‘Hang Tuah’, Koperal Ismail dalam filem ‘Matahari’, Adi dalam filem ‘Isi Neraka’ malah popular dengan wataknya menerusi ‘Adikku’ dan ‘Iman’. Malah Ahmad Mahmud digandingkan dengan semua primadona Melayu termasuk Rokiah, Saadiah, Hashimah Yon, Maria Menado, Latiffah Omar, Zaiton, Sarimah dan Noor Azizah. Ketika menghadiri ‘Pekan Filem’ di Sumatera Barat, Ahmad Mahmud diletakkan menginap bersebelahan bilik penginapan saya di Hotel Muara. Justeru apabia menunggu jadual yang diatur, kami akan berbual panjang di hadapan bilik penginapan berkenaan.

INFO SUARA PROLITAR:

BERSIAP UNTUK MUZIUMKAN UMNO
KALAU PEMIMPIN TERUS BERSIKAP PONGAH.


Tahniah kepada Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Lebih 31,000 pengundi di Permatang Pauh dari sejumlah melebihi 58,000 pengundi berdaftar menyokong DSAI. Maknanya, semua kempen UMNO, eskploitasi media dan agenda jabatan-jabatan tertentu sia-sia belaka. Sebabnya, ialah keberangan orang Melayu. UMNO perlu sedar sekarang keberangan orang Melayu semakin sukar dibendung. Kalau UMNO masih juga mahu tunjuk pongah, bersiaplah untuk dimuziumkan. – (SMS; 27 Ogos 2008; 04: 21: 39 – Man Cincai, Selayang, Selangor).

KOMENTAR
bersama Pak Parjo


PEMBESAR MELAYU SUDAH DIINGATKAN
SEDARLAH KEPUTUSAN DI PERMATANG PAUH

Sebermula akan Orangkaya Ketua Menteri Melaka, Dato’ Seri Mohd Ali Rustam kecewa dengan keputusan pilihanraya kecil di Permatang Pauh. Maka katanya, sukarlah untuk menarik hati mereka yang ‘di atas pagar’. Syahdan bukanlah Orangkaya Dato’ Seri Mohd Ali sahaja berasa kecewa, Orangkaya Menteri Penerangan Dato’ Ahmad Shabery Cheek bagi mengubati hatinya yang duka nestapa, meminta anak-anak buahnya jangan bersedih. Heh heh heh! Maka Orangkaya Jerlun, Dato’ Mukhriz Mahathir pula ingatkan pembesar-pembesar lain, perlulah dibuat perubahan berdasarkan keputusan di Permatang Pauh itu, adanya. Arakian Dato’ Arif Shah Omar Shah yang tewas kepada Dato’ Seri Anwar Ibrahim di Permatang Pauh, memberitahu unsur-unsur perkauman kian menular menyebabkan sukar baginya bertahan.

Alkisah maka surat dari Melaka itu pun dibaca oranglah. Setelah diketahui ertinya, terlalu sukacita raja China menengar dia. Maka sagu itu pun dibawa orang ke hadapan raja China. Maka titah raja China pada Tun Perpatih Putih, ‘Bagaimana membuat dia ini?’. Maka sembah Tun Perpatih Putih, ‘Digelek tuanku, pada seorang sebiji, disuruh oleh raja kami menggelek dia, hingga sarat sebuah pilu; demikian peri banyaknya rakyat raja kami. Tiada seorang jua pun tahu bilangannya.’ Maka titah raja China, ‘Besar raja Melaka ini; banyak sungguh rakyatnya, tiada berapa bedanya dengan rakyat kita. Baiklah ia ku ambil akan menantuku’. Maka titah raja China pada Li Po, ‘Sedang raja Melaka lagi kuasa menyuruh rakyatnya menggelek sagu, istimewa aku pula; dan beras yang aku makan itu hendaklah dikupas olehmu, jangan lagi ditumbuk,’ tetapi bukanlah berunsur perkauman, kerana mahu bersaing kepandaian jua seperti disebut dalam ‘Kitab Melayu’ oleh:









HIDUP BAHASA MELAYU.