Wednesday, November 12, 2008

WARGA PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
S U A R A < < < > > > P R I M A

(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)



DARI LAMAN BLOG:



SENATOR BOLEH MENJADI TPM
PELUANG MAT TAIB MEMANG TERBUKA



Assalamualaikum,



Ketika makan tengahari di Restoran Rembau Ria selepas selesai mesyuarat di Balai Undang Rembau semalam (11 November 2008), beberapa aktivis UMNO melahirkan rasa kecewa dengan insiden baling batu serta pergaduhan fizikal di mesyuarat UMNO Bahagian Seremban sebelumnya (9 November 2008). YM Dato’ Perba Haji Yahaya, Ahmad Afian Kadir (wakil Muzium Negeri Sembilan) dan anak Undang Luak Rembau sekadar mendengar sahaja dari meja lain, disebabkan kami lebih tertumpu kepada persiapan menyambut ulangtahun ke 10 YTM Dato’ Lela Maharaja Haji Muhamad Sharip Haji Othman dikerjankan menyandang pesaka Undang Luak Rembau pada 21 November 2008 ini. Isu pemilihan UMNO biarlah dibincangkan oleh aktivis UMNO sendiri: Kok baik jadikan tauladan, kok buruk jadikan sempadan!




Bagaimanapun di kalangan aktivis UMNO di peringkat akar umbi, masih kurang yakin dengan pimpinan Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak sekalipun menerima 186 pencalonan daripada Bahagian UMNO. Satu sahaja Bahagian iaitu Gua Musang mencalonkan Tengku Razaleigh Hamzah, di samping empat lagi ditangguhkan mesyuarat termasuklah Seremban yang terbabit dengan insiden baling kerusi. Apalagi kalau didasarkan dengan spekulasi, Dato’ Seri Najib kurang serasi dengan calon Timbalan Presiden Tan Sri Haji Muhyiddin Yassin, Dato’ Seri Muhd Ali Rustam dan Tan Sri Muhammad Mohd Taib. Sekiranya berlaku masalah dalam pentadbiran Dato’ Seri Mohd Najib selepas Mac 2009, pemilihan ke atas Tan Sri Muhyiddin selaku Timbalan Presiden memudahkan lalaun untuk ke kerusi Perdana Menteri.


Sebaliknya pemilihan Dato’ Seri Muhd Ali atau Tan Sri Muhammad menduduki kerusi Timbalan Presiden, memerlukan jangka masa untuk pilihanraya kecil memenangi kerusi Parlimen. Dato’ Seri Muhd Ali sekadar ADUN di Melaka, tak boleh secara automatik menggantikan Dato’ Seri Mohd Najib termasuk juga Tan Sri Muhammad dengan kedudukan senator. Justeru ketika Haji Abu Bakar Ninggal menelefon di sebelah petang mahu tahu sama ada Ahli Dewan Negara dibolehkan memegang jawatan Perdana Menteri atau sebaliknya, secara perlembagaan hanya Ahli Dewan Rakyat yang menerima sokongan majoriti di kalangan Ahli Parlimen sahaja dilantik untuk kerusi Perdana Menteri. Maknanya, Ahli Dewan Negara dan ADUN tak berkelayakan untuk menduduki kerusi Perdana Menteri, tetapi Ahli Dewan Negara memang boleh memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri. Heh heh he!


Selepas berakhir mesyuarat Bahagian UMNO 9 November 2008 lalu, bekas Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) Dato’ Ruhanie Ahmad (Ron) tak tersenarai melepasi kuota 10 untuk bertanding jawatan Majlis Tertinggi (MT). Tak tahulah kalau empat lagi Bahagian yang ditangguhkan mesyuaratnya bersedia untuk mencalonkan Dato’ Ron, kerana ‘tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa tahu!’. Justeru kumpulan penulis-penulis laman blog saling bertanya pula, kalau Dato’ Ron gagal melepasi kouta 10 bagi pencalonan bertanding MT, bagaimanapun dengan resolusi menuntut jawatan senator kepada kerajaan seperti diluluskan pada perjumpaan di Hotel Concorde pada 21 Oktober 2008. Lantas aktivis masyarakat Yassinsalleh memberitahu, “Tak ada tempat bagi golongan prolitar dalam perjuangan UMNO.” Barangkali!

-Pak Dharma




INFO HAK ASASI MANUSIA:



DESAKAN AWAL MEMINTA BERUNDUR
RAFIDAH AKAN DIMALUKAN MAC 2009




Desakan awal mendesak Ketua Pergerakan Wanita UMNO Tan Sri Rafidah Aziz akan memberi input kepada beliau dimalukan pada Perhimpunan Agung UMNO Mac 2009 nanti, beritahu penganalisis politik Dr Seri Intan Mokhtar. Katanya, majoriti pimpinan wanita di peringkat akar umbi mahukan Tan Sri Rafidah berundur sekalipun secara realiti menerima 117 pencalonan. Keengganan Dato’ Kamalia Ibrahim yang juga seorang peguam menerima keputusan Exco Wanita semalam (11 November 2008) meminta dua jawatan tinggi (Ketua dan Naib Ketua) tak dipertandingkan, membayangkan tiada lagi kompromi dalam pemilihan pada Perhimpunan Agung UMNO kelak. “Apabila Dato’ Kamalia meneruskan hasrat untuk bertanding Naib Ketua Pemuda, ianya adalah mandat dari Kuala Kangsar iaitu kawasan Parlimen yang diwakili oleh Tan Sri Rafidah,” beritahu Dr Seri Intan seterusnya.



Justeru menurut Dr Seri Intan, bagi mengelakkan perpecahan di kalangan Wanita UMNO, Tan Sri Rafidah seharusnya menerima keputusan akar umbi dengan memberi laluan kepada Dato’ Seri Shahrizat Abdul Jalil. Jelas Dr Seri Intan menambah, sekiranya Tan Sri Rafidah mengambil langkah bijak berundur secara terhormat, dua jawatan tertinggi dalam Wanita UMNO tak akan dipertandingkan. Sekiranya, Tan Sri Rafidah mahu meneruskan pelan peralihan kuasa sebelum ini, pertandingan akan berlaku bagi jawatan Ketua Wanita di samping penyokong-penyokong Dato’ Kamalia akan bersatu menyokong Dato’ Seri Shahrizat. Fenomena berkenaan tak dapat dielakkan apabila Dato’ Seri Shahrizat memberi laluan kepada Dato’ Kamalia bagi jawatan Naib Ketua, beritahu Dr Seri Intan. “Sekalipun Tan Sri Rafidah menerima 117 pencalonan, ianya bukan satu jaminan untuk menang seperti insiden pemilihan 1999,” ujar Dr Seri Intan.



INFO SASTERA & BUDAYA:



NOVEL ‘SAINS FIKSYEN’
JAUH DI PULAU RAHSIA
Oleh: Ikram Hafiz




(Sebelum memasuki Unisel pada Mei 2008, Allahyarham Ikram Hafiz bukan sahaja berbakat dalam kraftangan dan elektrikal ketika belajar di Sekolah Menengah Teknik Gombak, malah terbabit dalam karya kreatif. Ikram Hafiz pernah menghasilkan novel sains fiksyen pada 2007, ketika membuat kerja sambilan menjual burger. Hanya sebuah sahaja novel yang dihasilkannya, dan diterbitkan oleh Mulya Utama Enterprises, Taman Seri Gombak, Batu Caves, Selangor. Mulai sekarang, novel karya Ikram Hafiz dimuatkan dalam laman blog ini).



(sambungan kelmarin…)



(32)



10
PANTANG BERPUTUS ASA



PERSAHABATAN KLON WIRA PULAU
BANTU HANG JEBAT DI PLANET BONEKA.



BELUM sempat dia meminta penjelasan lajut, boneka yang sudah diubahsuai terus masuk ke dalam terowong. Cepat-cepat pula saya meminta Si Tongkol memulangkan semula hanset saya yang dirampasnya sebelum itu. Apabila saya mendail nombor hanset Si Tongkol, terasa gembira saya kerana ianya mempunyai respons. Bunyi ton hanset Si Tongkol yang dipasang pada peti suara boneka itu ternyata berfungsi.



Segera saya hantarkan SMS minta boneka berkenaan ke bilik makmal. Tak lama selepas itu saya terdengar kekecohan berlaku di dalam terowong planet boneka. Wira pulau yang sudah diubahsuai seolah-olah menjadi klon saya pula. Ia tak lagi menuruti sistem berkomputer yang dipantau oleh Bapak profesor. Sebaliknya mematuhi arahan melalui SMS di hanset Si Tongkol.



Memang klon wira pulau yang saya ubahsuai berjaya membolos masuk ke bilik makmal. Dia kopakkan dinding pada logam tungsten yang kebal. Geselan tubuhnya mampu menjejaskan kekebalan logam berkenaan, hingga membolos ke situ. Ketika wira-wira pulau yang berkawal mahu melawan, pantulan cahaya yang menyinggahi kaca cermin menyebabkan semua tentera boneka jatuh terlentang.



Sebaik sahaja tentera-tentera wira pulau ciptaannya tak boleh bertindak balas, segera Bapak Profesor ke bilik makmal. Terkejut dia melihat wira pulau yang diubahsuai bertindak menjadi pembelot. Punat butang di tangannya tak mampu memantau setiap pergerakan tentera boneka tersebut.



“Bapak Profesor sudah keluar dari bilik operasinya, biar saya masuk ke sana,” ujar saya memanggil Mail Kengkang dan Usin Sodok membantu Abang Din memapah Si Tongkol. Kemudian saya mengajak Sahak Salai membolos masuk ke bilik operasi yang dikelilingi berpuluh-puluh monitor komputer.



Selepas saya dapat mencari data tentera boneka yang diubahsuai, memang terdapat banyak bayang pijat-pijat di seluruh badannya. Tak bertangguh saya pindahkan bayang pijat-pijat berkenaan ke dalam CPU yang dikawal oleh Bapak Profesor. Tujuan saya sengaja mahu menyibarkan virus pijat-pijat ke dalam sistem komputer di bilik operasi berkenaan.



Sempat juga saya ubahsuai sistem berkomputer di bilik operasi, hingga berlaku letupan kecil menyebabkan kebakaran aliran elektrik. Semua kawalan di bilik operasi itu memang sengaja dimusnahkan. Tentera boneka bukan takat di dalam terowong itu sahaja, malah berkawal di sekitar terumbu batu karang di pulau berkenaan.



“Cepat kita tinggalkan planet bonek ini!” tegas Si Tongkol sebaik sahaja klon wira pulau yang saya ubahsuai berjaya membawa keluar Bung Hirman, Bung Superman dan Jojo dari bilik makmal.



“Kamu tak dapat melarikan diri ke mana-mana, Kolonel Si Tongkol!” bentak Bapak Profesor tercegat di pintu terowong setelah melihat kami jauh meninggalkannya. “Dalam tempoh setengah jam kamu semua akan musnah dalam ledakan denamit,” katanya mahu mengugut.



Tetapi kami tak hiraukan lagi jeritan Bapak Profesor. Sewaktu melepasi zon larangan di sempadan planet boneka, saya melihat beberapa objek wira pulau Bapak Profesor hanya tercegat tak bergerak. Selepas sistem berkomputer di bilik operasi dimusnahkan, mereka juga tak boleh berfungsi apa-apa. Ternyata saya berjaya menyibarkan virus pijat-pijat ke dalam CPU di bilik operasi.



“Kamu yang sepantasnya menjadi wira pulau, Hang Jebat,” ujar Si Tongkol menepuk bahu saya setelah naik ke atas bot laju. Sementara Bung Hirman pula menarik bot Abang Din yang kehabisan petrol ditambat di belakang bot laju berkenaan.



“Bukan saya, tapi klon wira pulau ni,” saya mengerling boneka sudah diubahsuai yang dibawa bersama.



(* Kreativiti Ikram Hafiz menggambarkan keadaan di lokap polis Selayang, ketika dia bersama kawan-kawannya ditahan berikutan kes pergaduhan apabila bertindak balas selepas wang jualan burgernya disamun, tetapi dituduh merusuh. Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri ketika itu Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, Teng Chang Khim – sekarang Speaker DUN Selangor, dan Wee Choo Keong – sekarang Ahli Parlimen Wangsa Maju, turut campur tangan bagi membebaskan Ikram Hafiz dan rakan-rakannya yang ditahan selama lima hari).



(bersambung)



PUISI LAMA



Ibu Segala Adat



Adapun adat sebenar adat
Adat tak lekang dek panas
Adat tak lapuk dek hujan
Adat berwaris kepada Nabi
Adat berkhalifah kepada Adam
Adat berinduk kepada ulama
Adat dianjak layu diumbut mati
Adat ditanam hidup dikubur mati
Adat terconteng di lawanng
Adat tersurat di kertas
Adat tersirat di dalam Sunnah.



Pesaka yang tak dapat dirubah-rubah
Waris yang tak putus dek cincang
Kalau tinggi dipanjatnya
Bila rendah dijalarnya
Riaknya sampai ke tebing
Unutnya sampai ke bakul
Resamnya sampai ke laut
Sampai ke pulau karam-karaman
Sampai ke tebing lembak-lembakan
Sampai ke arus yang berdayung
Ibu segala adat ‘muafakat’!



- Chairil Achdiat
Balai Adat
Siak, Propinsi Riau,
Indonesia.
12 September 2008.



INFO SUARA PROLITAR:



ORANG MELAYU SANJUNG ARTIS
TAPI ANGKASAWAN DI PANDANG REMEH



Kenapa nak pertikai RM8000 kepada ceramah angkasawan daripada bajet RM1.2 juta? Sedangkan apa yang disumbang kepada negara, bangsa dan remaja terutama murid-murid sekolah terlalu bermakna. Ianya juga berkorban dengan kecekalan, keyakinan dan ketabahan untuk jadi angkasawan. Kalau nak dikira tak berbaloi. Apalah guna cerita fasal peruntukan sebanyak tu, kalau bandingkan dengan kongsi pengalaman bersama remaja. Anehnya, masyarakat tak kisah dengan penyanyi yang menuntut bayaran tinggi untuk show. Kononnya untuk pertunjukan amal. Modal penyanyi pakai baju cantik, mekap lawa-lawa tapi otak kosong. Kadang-kadang cakap pun tak tentu arah. Sebaliknya ramai berduyun-duyun datang untuk mendengar suara, nak tengok rupa, nak tidur fesyen dan ingin nak glamour. Tak kira artis yang suka porak perandakan rumah tangga orang.



Sedangkan angkasawan tu belajar, buat kajian, cekang mata, aktif otak untuk kerja-kerjanya. Remaja boleh mendapat manfaat daripada sumbangan pemikirannya. Setidak-tidaknya rakyat Malaysia berbangga dengan pencapaian tersebut. Memang masyarakat Melayu pernah dilabel oleh penjajah Inggeris dulu sebagai bangsa yang suka berfoya-foya, berbual kosong di kedai kopi dan tak berminat berusaha (maknanya, nak kaya dengan sekelip mata tapi malas bekerja). Justeru sekarang ni, eloklah ubah pendekatan. Jangan galakkan remaja tengok artis berpesta aje sama ada ‘jom heboh’ atau lain-lain. Kadangkala dengar ceramah agama pun tak mahu, nak bayar mahal pada pendakwah pun tarik muka masam. Macam mana nak pertahankan kata-kata Hang Tuah, tak Melayu hilang di dunia? – (Siti Mariah, Selayang, Selangor)



SLOT MELAYU DI TV TERUK SANGAT
PENONTON DISOGOK DENGAN SLOT INDON



Kalau komplen mengenai slot di TV terutama Astro, pak menteri akan memberikan jawapan mengikut peratus begitu dan begini. Baik Menteri Penerangan mahupu Menteri Komunikasi Multi Media akan bangun ‘menegakkan benang basah’. Bolehlah juga gamaknya! Tapi macam mana nak tegakkan guni kosong? Tengoklah Astro channel 105, 106, 104, 121, 122 kadangkala serentak slot Indonesia. Ditambah lagi dengan TV3 dan TV2, seolah-olah hebat sangat ‘Sulaiman’, ‘Oliva’ dan entah apa lagi. Bukan sahaja slot Indonesia, malah dari Amerika Latin, Bollywood, Hong Kong, Thailand dan Filipina. Audhai! Slot TV Melayu ditayangkankah di negeri-negeri terbabit? Atau teruk sangat slot Melayu untuk TV di negara ini? (Man Cincai, Selayang, Selangor).



KOMENTAR
bersama Pak Parjo



GEMPARLAH ORANG MELAYU SEKALIAN:
KERANA TAK TAHU PEKERJAAN ORANGKAYA



Kata sahibul hikayat gemparlah sekalian orang banyak apabila bekas Orangkaya Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dato’ Zaid Ibrahim apabila ia meletakkan jawatan suatu waktu dahulu, kerana tak gemar akan kanun menahan orang dengan tak dibicara terlebih dahulu (disebut anak cucu fakir ISA). Adapun bekas Orangkaya itu, bersedia ia meninggalkan jawatan sebagai anak tuan-tuan di balai besar bersebelahan balairong seri itu, adanya. Arakian disebut orang banyak akan bekas Orangkaya Menteri itu menulis suratlah ia kepada orang banyak, malah bertemu ia dengan segala ketua orang banyak kerana tak sukakan kanun berkenaan. Syahdan marahlah akan anak-anak buah harakah Melayu (iaitu UMNO) dengan perbuatan Dato’ Zaid itu. Sebermula akan Dato’ Zaid tak berasa bimbang ia sekalipun akan dipecat, seperti disebut orang banyak, ‘tangan sanggup mencincang, bahu juga sanggup memikul’.


Syahdan, pada suatu hari maka Tun Perak datang menghadap, duduk di tanah sama-sama orang banyak. Maka kata bentara yang bergelar Seri Amerta kepada Tun Perak, ‘Tuan Tun Perak, segala orang Kelang ini menghadap baginda mengadukan halnya ke bawah Duli Yang Dipertuan. Adapun orang teluk rantau yang lain semuanya menghadap laki-laki jua; adapun orang Kelang ini meghadap dibawa Tun Perak dengan membawa perempuan sekali. Mengapakah maka demikian fi’il tuan?.’ Arakian tiga kali tak disahut Tun Perak akan pertanyaan Seri Amerta, kemudian barulah disahutnya, ‘Hai Seri Amerta, tuan hamba dengan pedang tuan hamba sebilah itu juga, hendaklah baik-baik tuan hamba pelihara, jangan diberi berkarat, jangan kemakanan matanya. Akan pekerjaan kami orang bekerja ini di mana tuan hamba tahu?’ Sebermula Seri Amerta tak tahu akan kerja-kerja Tun Perak mahupun bekas Orangkaya Dato’ Zaid itu seperti disebut dalam ‘Kitab Melayu’ daripada:





HIDUP BAHASA MELAYU!

Monday, November 10, 2008

WARGA PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
S U A R A < < < > > > P R I M A

(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG

SYED HAMID MAHU TUNJUK KUASA:
TAK HARGAI KEPUTUSAN MAHKAMAH

Assalamualaikum,

Langkah Menteri Dalam Negeri Dato’ Seri Syed Abdul Hamid bin Syed Jaafar Albar mengarah mengemukakan rayuan berikutan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam membebaskan pengendali laman blog Malaysiakini Raja Petra Kamaruddin dari tahanan ISA amat memelikkan, menjelikkan dan menjijikkan. Satu ketika sekitar dekad 1970-an, Tun Ghazali Shafie, Menteri Dalam Negeri pada period tersebut bukan sahaja ditolak ahli-ahli UMNO untuk memegang jawatan Naib Presiden UMNO, malah merupakan menteri kabinet paling tak popular apabila menguatkuasakan ISA. Memang Dato’ Seri Syed Hamid bukanlah menteri kabinet yang popular sangat, malah di bahagiannya Kota Tinggi masih berserabut, berkelabut dan bersemabut, sekalipun Daing Malik dirujuk kepada Lembaga Disiplin UMNO.

Raja Petra sekadar pengendali laman web, bukan pemimpin gerakan militan yang mengancam keselamatan negara, malah penahanannya di bawah ISA sudah dibuktikan di mahkamah sebagai tak sah. Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika ditanya kalangan wartawan selepas Mesyuarat UMNO Bahagian Kepala Batas semalam (9 November 2008) menjelaskan, kerajaan menghormati keputusan mahkamah. Sebaliknya rayuan dibuat oleh Kementerian Dalam Negeri behubung keputusan tersebut seolah-olah tak peka dengan pengakuan Dato’ Seri Abdullah, kerajaan menghormati keputusan mahkamah tersebut. Bagaimanapun penulis-penulis laman web dan laman blog akan meneruskan ketetapan 21 Oktober 2008 bagi mempertahankan kebebasan bersuara di negara ini berdasarkan lunas undang-undang.
Maknanya, seorang Raja Petra diancam dengan ISA akan wujud ratusan atau ribuan lagi Raja Petra menyampaikan mesej (meminjam kata-kata Tun Dr Mahathir Mohamad dalam pertemuan dengan PRIMA pada 15 Ogos 2007 di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya) kepada Dato’ Seri Syed Hamid Albar – kekebalan ISA tak sesuai lagi pada alaf 2000. Lee Kuan Yew di Singapura pun tak termampu menggunakan ISA, sebaliknya memperalat undang-undang ‘saman fitnah berjuta-juta’ bagi memufliskan lawannya. Justeru di Singapura juga akan disedarkan oleh generasinya akan datang undang-undang ‘saman fitnah berjuta-juta’ itulah kelak akan menamatkan kepongahan kerajaan terbabit. Malah kita melihat sendiri 4 November 2008 kepongahan kerajaan kulit putih di Amerika Syarikat berkahir di tangan ‘kulit hitam’. Heh heh heh!

Sejak Jun 2007, PRIMA menyokong Tun Dr Mahathir dan Tengku Razaleigh yang tak jemu-jemu menyampaikan mesej bagi meminta Dato’ Seri Abdullah memperbetulkan hala tuju kerajaan yang menyebabkan kepincangan ekonomi, kesongsangan politik dan kegelisahan rakyat. Memang hasrat PRIMA di peringkat awal ialah sekadar menyampai mesej, bukan mahu melihat insiden 8 Mac 2008 yang menggelincirkan prestasi UMNO daripada landasan lokomotif asalnya. Raja Petra adalah antara aktivis masyarakat yang sentiasa bersama PRIMA dalam usaha menyokong Tun Dr Mahathir dengan Tengku Razaleigh ‘menyampaikan mesej’. Justeru Dato’ Seri Hamid Albar seharusnya menyedari ‘mesej’ akan terus disampaikan, kerana Raja Petra tak berkuasa apa-apa tetapi mampu memberikan apa-apa, kepada pimpinan yang tak tahu apa-apa!

-Pak Dharma

INFO HAK ASASI MANUSIA


AKAR UMBI SOKONG AHMAD ISMAIL:
PERTAHANKAN FAKTA PEJUANG MELAYU

Bekas Exco Pemuda UMNO bagi biro Antarabangsa, Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz menyokong Pergerakan Wanita UMNO Bukit Bendera mendesak Majlis Tertinggi (MT) parti itu membatalkan penggantungan ketua bahagian berkenaan Dato’ Ahmad Ismail. Katanya, Dato’ Ahmad bercakap secara fakta daripada perspektif sejarah, berbanding dengan Ketua Wanita Parti Gerakan Dato’ Tan Lian Hoe yang bermotif mengelirukan masyarakat. Kalau Parti Gerakan boleh berdiam diri dengan Dato’ Tan, adalah malang bagi UMNO menggantung Dato’ Ahmad, beritahu Dato’ Kamal Amir menambah. Serentak dengan itu Dato’ Kamal Amir meminta MT memulihkan semula kedudukan Dato’ Ahmad. “Pandangan Dato’ Ahmad perlu dilihat daripada perspektif sejarah, bukan mengikut emosi,” menurut Dato’ Kamal Amir lagi.

Pergerakan Wanita UMNO Bukit Bendera semalam (9 November 2008) meluluskan usul mendesak MT membatalkan penggantungan Dato’ Ahmad yang juga bekas Ketua UMNO Bahagian itu. Seterusnya ujar Dato’ Kamal Amir, apabila pimpinan peringkat akar umbi menerima Dato’ Ahmad adalah tak wajar bagi MT membuat keputusan yang tak popular. Menyentuh isu papan tanda jalan di Pulau Pinang, Dato’ Kamal Amir juga mengutuk kepongahan pimpinan kerajaan negeri Pulau Pinang yang berkeras mahu meneruskan penggunaan empat bahasa. Pimpinan Melayu di Pulau Pinang memerlukan tokoh seperti Dato’ Ahmad dalam mempertahankan Bahasa Melayu di negeri itu. “Sekalipun kerajaan negeri Pulau Pinang boleh disingkirkan dalam pilihanraya akan datang, tetapi segalanya mungkin terlambat,” beritahu Dato’ Kamal Amir.

INFO SASTERA & BUDAYA

NOVEL ‘SAINS FIKSYEN’
JAUH DI PULAU RAHSIA
Oleh: Ikram Hafiz

(Sebelum memasuki Unisel pada Mei 2008, Allahyarham Ikram Hafiz bukan sahaja berbakat dalam kraftangan dan elektrikal ketika belajar di Sekolah Menengah Teknik Gombak, malah terbabit dalam karya kreatif. Ikram Hafiz pernah menghasilkan novel sains fiksyen pada 2007, ketika membuat kerja sambilan menjual burger. Hanya sebuah sahaja novel yang dihasilkannya, dan diterbitkan oleh Mulya Utama Enterprises, Taman Seri Gombak, Batu Caves, Selangor. Mulai sekarang, novel karya Ikram Hafiz dimuatkan dalam laman blog ini).

(sambungan kelmarin…)


(31)

10
PANTANG BERPUTUS ASA

BERGERAK KE ZON PLANET BONEKA:
WIRA PULAU TERPAKSA JUGA BERUNDUR

“KALAU begitu, Pakcik Si Tongkol tunggu di sini saja,” saya memujuknya supaya berihat sahaja di pangkin kayu.

“Pakcik punya tanggungjawab terhadap mereka, sebab itu pakcik perlu ke sana,” katanya terdengkot-dengkot menahan kesakitan.

Bagaimanapun dia meminta saya bersama kawan-kawan kopakkan pangkin tempat berbaring. Si Tongkol tunjukkan teknik membuat tongkat sokonggan menggunakan kayu-kayu pangkin yang terpokah. Dengan menggunakan tongkat sokongan diletakkan di bawah ketiak, Si Tongkol berjaya bergerak keluar ke pintu gua. Ketika itu objek boneka yang diubahsuai sudah bergerak jauh ke zon planet boneka.

Cepat-cepat kami mengekori objek boneka berkenaan, dalam masa Bapak Profesor terpaksa mengundurkan tentera-tentera wira pulaunya. Ketika itu kami tahu tak terdapat ancaman untuk mara ke planet boneka. Sekalipun Bapak Profesor memantau menerusi monitor di bilik operasi, tetapi dia sukar mahu bertindak.

Sekiranya bergesel setiap tentera-tentera wira pulaunya dengan boneka yang sudah diubahsuai akan berlaku ledakan hingga menjangkau beribu-ribu ton metrik. Gegaran berkenaan boleh meghancurkan planet boneka di bawah terumbu batu karang. Semua akan terperangkap di situ apabila ledakan kuat berlaku seolah-olah gunung berapi yang memuntahkan lahar dari kawahnya.

Memang dia cuba meletupkan boneka yang sudah diubahsuai itu. Tetapi punat butang di tangannya tak berfungsi apa-apa. Objek berkenaan sudah tak dapat lagi dikawal. Kalau gunakan sistem berkomputer di bilik gerakan, boneka berkenaan bertindak secara terbalik hingga menyusahkan Bapak Profesor sendiri. Ia tak menyerang musuh, tetapi melawan rakan-rakannya di kalangan wira pulau juga.

“Kau jangan tersalah lanngkah, Kolonel Si Tongkol!” seru Bapak Profesor dari bilik operasinya menerusi corong mikrofon. “Takat kamu ubahsuai salah satu wira pulau di planet boneka, aku masih banyak cara mahu mengatasi,” katanya mengingatkan.

“Ilmu teknologi kamu terbatas Profesor Adri, hanya ilmu Allah meliputi tujuh petala bumi tujuh petala langit,” sahut Si Tongkol dalam keadaan terdengkot-dengkot mengekori tentera boneka yang sudah diubahsuai. Saya dan Abang Din turut sama membantu untuk memapahnya bergerak.

“Jangan ubah topik kalau mahu berbicara, Kolonel Si Tongkol,” marah benar Bapak Profesor apabila dibandingkan kepakaran teknologinya dengan kebesaran Illahi. “Kamu fikir aku tak mendalami al-Quran dan hadis?” jerkahnya melepaskan geram.

“Kamu yang sering tersalah tafsir, Profesor Adri,” ujar Si Tongkol berhati-hati untuk terus mara ke dalam terowong planet boneka. “Sangat jelas apa yang saya beritahu iaitu kamu jangan berbangga dengan kepakaran teknologi, nah sekarang kamu lihat anak sekolah pun mampu menyaingi kamu!” jelasnya sambil menepuk-nepuk bahu saya.

“Jadi, bukan kamu yang melakukan ubahsuai pada wira pulau aku?” semakin keras suara Bapak Profesor seolah-olah macam tak percaya.

“Iya, anak-anak yang baru melepasi sekolah dasar, sekarang di peringkat menengah saja,” beritahu Si Tongkol melaung kuat supaya muda didengar Bapak Profesor yang bersembunyi di bilik operasinya.

(* Kreativiti Ikram Hafiz menggambarkan keadaan di lokap polis Selayang, ketika dia bersama kawan-kawannya ditahan berikutan kes pergaduhan apabila bertindak balas selepas wang jualan burgernya disamun, tetapi dituduh merusuh. Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri ketika itu Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, Teng Chang Khim – sekarang Speaker DUN Selangor, dan Wee Choo Keong – sekarang Ahli Parlimen Wangsa Maju, turut campur tangan bagi membebaskan Ikram Hafiz dan rakan-rakannya yang ditahan selama lima hari).

(bersambung)


PUISI LAMA

Adat Nan Beradat

Ke luak paku kacang belimbing
Tempurung lenggang-lenggangkan
Dibawa anak orang berbangsa
Anak dipangku kemanakan dibimbing
Orang kampung dipertenggangkan
Tenggang adat jangan binasa.

Padang Panjang jua Pariaman
Minangkabau beradat lama
Dalam luak nan tiga
Banyak gurindam dan pepatah
Dilingkung patut dan mungkin
Anak muda cari pengalaman
Harapan kami tetap bersama
Walau kok jauh dari mata
Kenanglah kami yang tinggal pasrah
Kalau tak di zahir, di dalam batin!

Adat berdunasanak, memagar dunsanak
Adat berkampung, memagar kampung
Adat bernegeri, memagar negeri
Adat berbangsa, memagar bangsa
Adat berUMNO, memagar UMNO
Adat berPAS, memagar PAS
Adat berPKR, memagar PKR
Adat berMelayu, memagar Melayu!

-Alba
Jelebu, N.S.
10 November 2008.

INFO SUARA PROLITAR

JAUHKAN WAKIL DARI MIKROFON:
TAKTIK BARU DALAM PEMILIHAN UMNO

Pencalonan KJ (Khairy Jamaluddin) di Rembau dibuat oleh setiausaha Bahagian selaku wakil Bahagian ke mesyuarat Pemuda. Pencalonan Mukhriz (Dato’ Mukhriz Tun Dr Mahathir) dihalang dengan menarik perwakilan-perwakilan yang cuba calonkan Mukhriz jauh dari pembesar suara. Satu lagi kehebatan KJ mengguna cara tidak UMNO untuk jadi pemimpin UMNO. – (SMS; 8 November 2008; 14:43:51 – Sallehuddin Hashim, Kuala Lumpur).

BILA ARTIS BUAT PERANGAI
PATUT DIHUKUM UNTUK TAULADAN.

Untuk bagi pengajaran pada artis yang buat perangai macam heh heh heh dan huh huh huh itu patut dihukum supaya menjadi tauladan. Kedua-dua perlu diboikot oleh penerbit-penerbit, media cetak dan media letronik. Bagi tempoh enam bulan, setahun dan seterusnya. Persatuan-persatuan ‘Seniman’, Karyawan, Papita, Mahkota, Gafim, Finas bahkan Kepkkw juga bertanggungjawab membuat sesuatu. Dah ramai artis yang cekup tunang, suami, isteri kawan. Dah tahu sudah bersuami, beristeri nak layan-layan! – (SMS; 9 November 2008; 00:44:25 – Yg. M – Batu Caves, Selangor)

KOMENTAR
bersama Pak Parjo
PAK LAH BERJANJI UNTUK BERSAMA UMNO
WALAUPUN TIDAK LAGI MEMIMPIN

Sebermula akan perihal Orangkaya Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi itu berikrarlah ia akan kekal bersama harakah Melayu (UMNO), apabila tak lagi memimpin harakah itu, adanya. Arakian bekas Orangkaya Perdana Menteri Tun (Tabib) Mahathir Mohamad pun kekallah ia bersama harakah itu, sekadar keluar ia meninggalkan harakah berkenaan setelah terkilan dengan sikap segala anak-anak buah. Gamaknya! Adapun Orangkaya Dato’ Seri Abdullah kalau tak berikrar pun, sudah diketahui segala orang banyak ia tetap setia bersama harakah Melayu itu. Syahdan segala anak-anak buah merungut mengenai kuasa ‘tingkat empat’ jua. Maka bakal penggantinya Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak juga akan dimarahi anak-anak sekalian sekiranya kekal juga kuasa ‘tingkat empat’, dengan cara yang lain pula, adanya.

Syahdan apabila baginda Sultan Mahmud berangkat berperahu had pangkalan Seri Dewa Raja, maka baginda menyuruh memanggil Seri Dewa Raja. Berpenanak-penanak Sultan Mahmud Shah menanti di pangkalan, belum juga Seri Dewa Raja datang; kerana adat Seri Dewa Raja apabila datang hamba raja memanggil dia, maka ia naik ke rumah berbaring-baring, kadang-kadang lalu tertidur, serta dibangatkan oleh hamba raja itu, maka Seri Dewa Raja bangun lalu buang air dan mandi. Maka dibangatkan pula oleh hamba raja itu, baharulah Seri Dewa Raja berkain, dua tiga belas kali rombak; belum baik, dibaiki. Sudah itu maka berbaju dan berdestar. Arakian tiadalah murka Sultan Mahmud kerana peri sayangnya baginda kepada Seri Dewa Raja, apa sahaja dilakukan segalanya baik belaka seperti disebut dalam ‘Kitab Melayu’ oleh:


HIDUP BAHASA MELAYU!

Saturday, November 8, 2008

WARGA PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
S U A R A < < < > > > P R I M A
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG

‘HARBEAS CORPUS’ BERJAYA DI MAHAKMAH
RAJA PETRA DIBEBASKAN DARI TAHANAN ISA

Assalamualaikum,

Ketika ditemui adik angkat saya Ir Adnan Haji Khalid pagi ini (7 November 2008), beliau menerima aduan pelajar di sebuah sekolah menengah di Selangor tak dibenarkan mengambil peperiksaan SPM Selasa ini (11 November 2008) sekiranya tak mencukupi RM30 kutipan derma ‘Bacathon’. Beliau menemui guru terbabit, tetapi sekadar diberitahu sekadar gurauan (sekalipun sebelum pelajar-pelajar di sekolah berkenaan diwajibkan membuat kutipan). Disebabkan terma kutipan derma seperti ini tak digalakkan sejak menimbulkan masalah kepada jabatan pendidikan, saya menghubungi Pengerusi PIBG sekolah terbabit Ir Haji Isa Hamzah. Beliau memberi penjelasan kutipan derma ‘Bacaton’ itu sepatutnya digerakkan oleh ibu bapa, bukannya murid-murid seperti kerenah guru-guru seolah-olah mengugut pelajar pula. Astaga!

Dalam masa berbincang dengan Ir Adnan inilah, Haji Abu Bakar Ninggal menelefon tetapi terputus pula tak semena-mena. Bagaimanapun sempat juga Haji Abu Bakar beritahu mengenai editor laman web Malaysiakini Raja Petra Kamaruddin berjaya dalam herbeas corpus di mahkamah. Justeru kem tahanan di Kemunting perlu membebaskan beliau hari ini juga setelah dihantar ke sel sebagai tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA); iaitu membolehkan seseorang warganegara ditahan tanpa dibicarakan. Aduhai! Berikutnya Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz mengirim SMS: “Long life Raja Petra and mt syukur, alhamdullillah suara rakyat kuasa keramat. Seribu syukur ke hadrat Illahi - (7 November 2008; 11:45:49).”

Diikuti pula SMS dari Yassinsalleh: “RPK harbeas corpus successful. Pet was released – (7 November 2008; 12:01:35). Bagaimanapun sebelumnya Sallehudddin Hashim mengirim SMS: “5/11: Barrack Obama wins presidential election, He becomes the US first black president. If Khairy wins in March 2009, UMNO will have its first black Youth Chief – (7 November 2008; 11:26:17).” Memang isu Raja Petra menjadi agenda perbincangan dalam perbincangan penulis-penulis blog di Hotel Concorde pada 21 Oktober 2008 yang lalu. Justeru langkah susulan hanya menunggu keputusan harbeas corpus hari ini, sama ada akan menghantar memorandum atau lain-lain tindakan yang difikirkan bersama. Dengan pembebasan Raja Petra hari ini, justeru langkah susulan penulis-penulis blog dianggap sudah selesai. Barangkali!


Bagaimanapun jawapan Menteri Dalam Negeri Dato’ Seri Syed Abdul Hamid Albar kepada media, tak melambangkan wibawa seorang menteri apabila menyebut: Itu mahkamah punya keputusan! Ironinya, Dato’ Seri Syed Hamid tak beritahu sama ada beliau bersetuju atau tidak dengan keputusan mahkamah. Justeru jawapan yang diberi Dato’ Seri Syed Hamid Albar tak lebih daripada berstatus seorang Ketua Bahagian UMNO sahaja. Keputusan mahkamah adalah keputusan badan kehakiman kerajaan yang Dato’ Seri Abdul Hamid salah seorang anggota kabinet, di samping Raja Petra pula sudah menggunakan haknya sebagai seorang seorang warganegara dan pembayar cukai. Setidak-tidaknya sebagai menteri, beliau seharusnya menghormati keputusan mahkamah. Begitulah!

-Pak Dharma

INFO HAK ASASI MANUSIA

DESAKAN MINTA NAJIB DIBERSIHKAN:
SUKAR PERTAHANKAN DI LANGIT TERBUKA

Desakan pimpinan pembangkang termasuk Ketua Penerangan PAS, Haji Mahfuz Omar dan rakan-rakannya meminta bakal Perdana Menteri Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak membersihkan dirinya daripada dakwaan yang membabitkan dirinya, adalah untuk kepentingan negara. Justeru Dato’ Seri Mohd Najib tak boleh menyembunyikan segala fakta di sebalik benteng kekebalan UMNO; apalagi dalam masa prestasi UMNO semakin goyah, goyang dan goncang! Bahkan di luar negara juga Dato’ Seri Mohd Najib turut dipersenda, hingga menyukarkan warganegara kita mahu mempertahankan. Misalnya, SMS dari India diterima oleh sekretariat PRIMA dengan menyebut Najib sebagai ‘Najis’ yang dikatakan ‘to be the sick’ (sepatutnya 6th) ‘Poor Man’ (dimaksudkan PM). Siri penghinaan ke atas Dato’ Seri Najib di luar negara turut memberikan imej yang kurang selesa kepada Malaysia.


Selaras dengan keputusan pencalonan Bahagian-Bahagian UMNO kepada Dato’ Seri Najib menjelang pemilihan Mac 2009, beliau sudah memastikan posisinya selaku bakal menduduki kerusi Perdana Menteri. Mungkin sahaja di Malaysia kerajaan boleh jadikan ISA sebagari jaringan berkesan ‘membungkus’ anasir-anasir yang menghina Dato’ Seri Mohd Najib, tetapi masyarakat antarabangsa bebas menyalurkan maklumat sama ada menerusi SMS mahupun emel. Apabila Dato’ Seri Mohd Najib dilabel sebagai ‘Najis is sad (set) to be the sick (6th) Poor Man (PM) for May Day-Sia (Malaysia)’, di samping dibandingkan dengan ‘While…Osama (Obama) will become the 1st black Uni Sex (US) President…’; ianya menggambarkan satu fenomena mencemuh, mencerca dan mencela menerusi kecanggihan ‘langit terbuka’.

Justeru Dato’ Seri Mohd Najib perlu menampilkan imej yang mampu dipertahankan oleh warga Malaysia, dengan menjawab segala kritikan berkaitan isu sensasi yang ianya menjadi bahan ejekan masyarakat antarabangsa. Misalnya, kes Altantuya Shaariibuu mungkin sahaja boleh dinafikan secara lisan kepada rakyat Malaysia, tetapi terlalu sukar dipertahankan apabila dibangkitkan oleh masyarakat antarabangsa. Begitu juga imej kebangsatan George W. Bush sekadar mampu disembunyikan menerusi media yang didominan pengaruh Zionis, tetapi keberangan rakyat AS terhadap Parti Republikan diterjemahkan secara simbolik pada 4 November 2008. Bukan sahaja kekalahan paling teruk, malah penampilan pimpinan kulit hitam mengetuai AS yang menghadapi frasa kebobrokan di bawah pentadbiran Bush.

INFO SASTERA & BUDAYA

NOVEL ‘SAINS FIKSYEN’
JAUH DI PULAU RAHSIA
Oleh: Ikram Hafiz


(Sebelum memasuki Unisel pada Mei 2008, Allahyarham Ikram Hafiz bukan sahaja berbakat dalam kraftangan dan elektrikal ketika belajar di Sekolah Menengah Teknik Gombak, malah terbabit dalam karya kreatif. Ikram Hafiz pernah menghasilkan novel sains fiksyen pada 2007, ketika membuat kerja sambilan menjual burger. Hanya sebuah sahaja novel yang dihasilkannya, dan diterbitkan oleh Mulya Utama Enterprises, Taman Seri Gombak, Batu Caves, Selangor. Mulai sekarang, novel karya Ikram Hafiz dimuatkan dalam laman blog ini).

(sambungan kelmarin…)

(30)

10
PANTANG BERPUTUS ASA

PIJAT-PIJAT TURUT BERI ILHAM
SIBARKAN VIRUS TENTERA BONEKA

SELEPAS dibersihkan cecair cat yang saya semburkan pada bahagian mata boneka sebelum itu, objek berkenaan saya telungkupkan. Bimbang juga pantulan cahaya pada bahagian mata akan bertindak balas. Ketika itu saya ternampak seekor pijat-pijat di celah wayar yang belum dimasukkan habis ke dalam rongga boneka berkenaan. Apabila pijat-pijat itu bergerak kedengaran bunyi bergetar pada gear pemacu dan gear terpacu.

Cepat-cepat saya mahu menguis serangga berkenaan. Tetapi apabila getaran pada wayar itu menjadikan sebahagian komponen bergerak tak normal, lantas saya mendapat idea. Lebih baik dimasukkan seberapa banyak pijat-pijat yang boleh menyibarkan virus pada sistem komputer di dalam badan tentera boneka. Asal sahaja mereka berdekatan nescaya virus berkenaan mudah tersibar.

Selepas mendapat idea tersebut, segera saya meminta kawan-kawan menangkap pijat-pijat di celah meja kayu dan bangku usang di situ. Terkejut Si Tongkol apabila kawan-kawan saya mula menyelongkar.

“Kamu buat apa sekarang ni, Hang Jebat?” ujar Si Tongkol masih memanggil saya Hang Jebat.

“Macam kita main game dalam komputer, Pakcik Si Tongkol,” sahut saya setelah memasukkan seberapa banyak pijat-pijat ke dalam rongga tentera boneka itu.

Setelah lengkap dipasang semula, objek boneka berkenaan diterlentangkan. Tiba-tiba sahaja ia bingkas bangun apabila disilau cahaya matahari di luar pintu gua. Tentera boneka yang dapat saya tawan itu bergerak laju seolah-olah tak dapat dikawal langsung. Ketika mendekati pintu gua tak bertangguh pula ia memukul rakan-rakannya asal sahaja tergesel hingga memercikkan haba.

Percikan haba itu menjadikan tentera boneka yang disentuhkan meletup hingga sekitar bukit terumbu batu karang ikut bergegar. Perubahan pergerakan boneka yang dipanggil oleh Bapak Profesor wira pulau itu menyebabkan tentera boneka yang lain diundurkan jauh. Memang Bapak Profesor tak mahu berlaku geselan logam padu tungsten itu untuk mengelakkan letupan denamit berterusan.

Justeru Bapak Profesor memberi tempoh 24 jam supaya Si Tongkol menyerah diri. Di peringkat itu dia tak mahu lagi berkompromi. Dia menyangka Si Tongkol sudah dapat mencari formula untuk memusnahkan tentera-tentera bonekanya. Tetapi masih banyak rahsia di sebalik jana teknologinya yang sukar dibongkar sesiapa. Bapak Profesor yakin dia akan terus bertahan di bawah terowong bukit terumbu batu karang itu.

“Tak semudah kamu fikirkan untuk tewaskan aku, Kolonel Si Tongkol!” suara Bapak Profesor berulang kali memberi amaran.

Ketika itu Abang Din sudah menerpa ke pintu gua. Dia melihat tentera-tentera boneka berundur, sebaik sahaja boneka yang ditawan bertukar menjadi pembelot. Asal sahaja diterjah dengan pantulan cahaya, tiba-tiba sahaja ianya memukul balik ke belakang. Tak brtangguh pula objek boneka terpelanting, sekalipun dapat bangun semula bertahan.

Disebabkan boneka yang sudah diubahsuai itu tak dapat lagi dikawal, Bapak Profesor terpaksa undurkan semua wira pulaunya. Dia tak mahu setiap wira pulau bergesel dengan objek boneka yang sudah diubahsuai. Bapak Profesor tahu risikonya kalau logam padu tungsten itu bergesel menyebakan berlaku ledakan kuat.

“Kita perlu selamatkan Bung Hirman, Bung Superman dan Bung Jojo,” ujar Si Tongkol lemah. Tenaganya ternyata tak segagah mana. Kalau harapkan Abang Din untuk memapah sekadar beberapa meter sahaja. Susuk tubuh Si Tongkol yang besar memang sukar mahu dipapah.

(* Kreativiti Ikram Hafiz menggambarkan keadaan di lokap polis Selayang, ketika dia bersama kawan-kawannya ditahan berikutan kes pergaduhan apabila bertindak balas selepas wang jualan burgernya disamun, tetapi dituduh merusuh. Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri ketika itu Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, Teng Chang Khim – sekarang Speaker DUN Selangor, dan Wee Choo Keong – sekarang Ahli Parlimen Wangsa Maju, turut campur tangan bagi membebaskan Ikram Hafiz dan rakan-rakannya yang ditahan selama lima hari).

(bersambung)


PUISI LAMA

Senandung Bersumpah

Legenda Mahsuri membuat sumpahan
Pulau Langkawi legenda termasyhur
Tujuh keturunan ditimpa ketulahan
Menjadi padang jarak padang tekukur.

Tragedi Sultan Mahmud Mangkat Dijulang
Keturunan Laksamana Bentan menanggung badi
Sumpahan daulat kemurkaan raja terbilang
Muntahkan darah jejak kaki ke bumi Kota Tinggi.

Kota Gelanggi empunya mitos berkurun
Misteri di sebalik kehijauan rimbunan pokok
Batu disumpah sang kelembai di bukit bercerun
Telunjukmu lurus kelengkeng pula nan bengkok.

Legenda kesetiaan sumpah Rama dan Sita
Melingkari legasi kepahlawanan Sang Hanuman
Terjebak di tengah kepongahan Rawana pendusta
Menguji kesabaran Laxamana kehilangan pedoman.

Bersumpahlah dengan senandung bersumpah
Retorik ikrar UMNO melaknati politik wang
Biarkan puing-puing janji menjadi sampah
Tengku Ahmad Rithauddin kian terawang-awang!

Naratif sumpah Saiful dan Najib di depan saksi
Misteri yang sukar ditafsir ‘perakuan bersumpah’
Di mana-mana setiap individu menjadi proksi
Spesies sesumpah akhirnya disumpah berstatus sampah!

-Zainal Rasidin
Kelana Jaya, Selangor
6 November 2008

INFO SUARA PROLITAR

RUNGUTAN PATUT JADI IKTIBAR
JANGAN SIBUK ‘POLITIK ANGKA’ BERBILION.

Rungutan peneroka-peneroka Felda di Segamat, Johor seperti dilihat TV semalam (6 November 2008), wajar menjadi iktibar apabila Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak gemar sangat bermain dengan ‘politik angka’ berbilion-bilion. Sekalipun pengurus di Felda terbabit menyarankan peneroka-peneroka mempelbagai tanaman, itu sekadar nak pertahankan diri sahaja. Memang begitulah kebiasaan bagi pegawai-pegawai kerajaan. Eloklah turun padang dan berdialog dengan peneroka – (SMS; 7 November 2008; 15:28:46 – Mat Karim, Rawang, Selangor).

KOMENTAR
bersama Pak Parjo

PERIHAL PEREMPUAN REBUT JAWATAN
BELUM DIKETAHUI KEPUTUSAN ORANGKAYA

Sebermula tersebutlah ceritera ketua segala perempuan harakah Melayu (UMNO) itu Orangkaya Tan Sri Rafidah Aziz akan bertemu dengan bekas Orangkaya Dato’ Seri Shahrizat Abdul Jalil. Syahdan sekalian anak-anak buah segala perempuan harakah Melayu itu mahukan Dato’ Seri Shahrizat menggantikan Orangkaya Tan Sri Rafidah, bukanlah menunggu peralihan kuasa, adanya. Maka diberitahu kepada orang banyak akan bekas Orangkaya Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddin yang dijadikan pengawas segala anak tuan-tuan yang akan merebut jawatan dalam harakah Melayu bertambah peninglah kepala. Kononnya terlalu banyak berlaku hulur menghulur seperti keperihalan Tun Hassan Temenggung dengan segala anak-anak buahnya merentang tali di lebuh negeri Melaka dahulukala. Arakian Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddin pun memintalah bantuan daripada Badan Pencegah Rasuah (BPR), adanya.

Kata sahibul hikayat, maka tersebutlah perkataan peri baik paras anak Bendahara Seri Maharaja yang bernama Tun Fatimah, terlalu sekali eloknya, tiada bercela lagi, sedap manis pantas bagus, seperti laut madu, bercahaya-cahaya, berkilat seperti bulan purnama ketika cuaca. Tambahan anak bendahara pula barang lakunya dan barang pakaian larangan semuanya dapat dipakai, makin bertambah-tambah baik parasnya. Telah Tun Fatimah besar, maka hendak didudukkan oleh Bendahara Seri Maharaja dengan Tun Ali, anak Seri Nara Diraja Tun Tahir (abang bendahara itu). Maka tatkala menghantar sirih, Raja diBaruh dipersilakan bendahara. Kata Raja diBaruh, ‘Kenapa tak dipersembahkan ke bawah dulu?’, kerana dahulukala perempuan tak berebut-rebut akan jawatan, tetapi berebut-rebut segala orang besar mahu memperisterinya sperti disebut dalam ‘Kitab Melayu’ oleh:












HIDUP BAHASA MELAYU!

Thursday, November 6, 2008

WARGA PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
S U A R A < < < > > > P R I M A
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG

JIN TETAPLAH SPESIES JIN:
TAK KIRA ‘JIN ISLAM’, ‘JIN KAFIR’

Assalamualaikum,

Tahniah dari seluruh dunia! Barrack Hussein Obama melakar sejarah tokoh kulit hitam pertama memenangi kerusi Presiden Amerika Syarikat pada pilihanraya 4 November 2008 (yang menjadi tarikh ditetapkan setiap empat tahun sekali). Malah pemilihan Obama pula dianggap menyamai populariti John F Kennedy pada 4 November 1960. Barangkali! Bagaimanapun Kennedy mati terbunuh dalam tragedi malang dengan tak sempat menghabiskan satu penggal (empat tahun) pentadbirannya. Semua media di seluruh dunia hari ini (6 November 2008) memberikan liputan perioriti kepada Obama yang akan memasuki Rumah Putih, Januari 2009 nanti (iaitu lebih awal daripada Dato’ Seri Najib Tun Razak pada Mac 2009, sekalipun sudah memenangi jawatan Presiden UMNO, sebelum Obama diproklamir dipilih pada 5 November 2008). Aduhai!

Bagaimanapun kemenangan Obama bukanlah menjanjikan seribu harapan kepada negara-negara yang pernah dibuli oleh pentadbiran Amerika Syarikat (AS) sebelum ini. Justeru teringatlah akan pesanan guru saya Almarhom Bapak Mochtar Lintang, sekalipun memang wujud ‘jin Islam’ dan ‘jin kafir’; tetapi spesies jin tetaplah jin juga tak mengira sama ada ianya Islam mahupun kafir! Maknanya, dasar luar AS tetap tak berubah sekali pun penghuni Rumah Putih berubah-ubah. Dasar luar pentadbirannya tetap dipengaruhi keputusan majoriti parti yang diwakilinya sama ada Parti Demokrat atau Parti Republikan yang mendomoinasi politik AS selama ini. Misalnya, Kennedy yang dianggap hebat satu ketika dulu itulah, yang mencetuskan konflik di Kongo di samping pembunuhan Patrice Lumumba. Diikuti dengan perang saudara di Vietnam selepas pembunuhan ke atas ketua negaranya Ngo Dien Diem. Heh heh heh!

RAKAN LAMA HUBUNGI TELEFON
NOSTALGIA KETIKA DI DUSUN NYIUR

Dua hari lalu (4 November 2008) tak disangka-sangka kawan lama, Sulaiman Dusun menelefon dari Seremban, setelah hampir 20 tahun tak mendengar khabar. Beliau yang menetap di Taman Tuanku Jaafar, Seremban pun tak tahu mengenai berpulangnya ke rahmatullah Haji Kamaruddin Sulaiman (rakan yang sama menetap di perumahan Dusun Nyiur sekitar dekad 1970-an). Kalau tak disebabkan mengikuti laman blog PRIMA, memang beliau hampir tersisih dengan berita kawan-kawan lama sewaktu berkhidmat di Seremban lebih 30 tahun lalu. Alhamdullillah! Memang Sulaiman Dusun antara rakan terawal yang berpisah apabila beliau yang berkhidmat di jabatan telekom bertukar ke Kuala Lumpur.

Sewaktu beliau menetap di Keramat, pernah juga saya menumpang bermalam di rumahnya apabila menghadiri temuduga di JPA di Jalan Young. Sekalipun Sulaiman Dusun tak berminat dalam penulisan, sebaliknya beliau sering juga mengikuti perkembangan saya. Malah satu ketika pernah mengikut saya balik ke Jelebu, hingga tersedak-sedak makan langsat tengah malam. Nostalgia! Memang saya sering ke Seremban sejak bersama Allahyarham Tan Sri Abdul Samad Idris lagi, tetapi disebabkan terputus hubungan tak pernahlah saya menemui Sulaiman Dusun. Apalagi beliau turut mengakui bapa saudara Haji Harun Sidek pernah beritahu sebagai rakan sekolah saya sejak 1959 lagi. Mungkin sahaja Haji Harun tak beritahu beliau mengenai kami pernah menjadi regu dalam persembahan lawak di sekolah bersama seorang lagi rakan (sudah terlupa pula identitinya). Alahai!

PARTI POLITIK TAK SALAH:
TEPUK DADA TANYALAH SELERA!

Haji Abu Bakar Ninggal menghubungi tengahari ini (6 November 2008) beritahu fasal sudah dua hari tak sempat mengikuti perkembangan di laman blog, disebabkan komputer meragam. Bagaimanapun, memang sudah dua hari laman blog PRIMA tak aktif berikutan komitmen yang lain termasuk frasa akhir menyiapkan buku Undang Luak Rembau, Dato’ Lela Maharaja Haji Muhamad Sharip Haji Othman. Apalagi Haji Abu Bakar juga terlalu berharap pimpinan dari Melaka Dato’ Seri Mohd Ali Rustam mampu menembusi kuota pencalonan Timbalan Presiden UMNO. Kalau berdasarkan pandangan Tun Dr Mahathir Mohamad ketika sesi pertemuan dengan PRIMA tahun lalu (15 Ogos 2007), UMNO tak salah, yang salah ialah pimpinannya. Justeru PAS, PKR, Gerakan, MCA, DAP atau lain-lain juga tak salah, kerana yang salah ialah pimpinannya. Terpulanglah kepada ahli-ahli di peringkat akar umbi ‘tepuk dada tanya selera’. Heh heh heh!

-Pak Dharma

INFO HAK ASASI MANUSIA


KEPONGAHAN KERAJAAN NEGERI
MAHU MENCABAR BAHASA MELAYU

Kepongahan kerajaan negeri Pulau Pinang mahu meneruskan pelaksanaan papan tanda nama jalan menggunakan empat bahasa, perlulah bersedia menghadapi risiko vendalisme yang merugikan semua pihak. Pimpinan Pakatan Rakyat (PR) Dato’ Seri Anwar Ibrahim seharusnya mengambil pendekatan rasional setelah semua pihak mengakui menerima Bahasa Melayu menjadi bahasa rasmi, di samping perjuangan panjang yang sudah lama digerakkan sejak 1960 tak dipersia-siakan. Apalagi anak-anak sekolah sejak awal dekad 1960-an sudah dididik dengan kempen ‘Bulan Bahasa’ harus dihormati sumbangan dan pengorbanan mereka, terutama pelajar-pelajar yang dijadikan ‘eksprimen’ dengan frasa penubuhan sekolah-sekolah menengah Melayu selepas merdeka (ketika ianya kekurangan segala prasarana di samping menumpang bilik darjah di bangunan sekolah lain).

PRIMA menolak sebarang pendekatan kekerasan, tetapi bersedia untuk menimbang sokongan kepada aktiviti vendalisme sekiranya kerajaan negeri Pulau Pinang meneruskan kepongahan. Sikap ‘menunjuk kuasa’ dan bukan ‘menjadi mentadbir’ tak membawa apa-apa manfaat seperti pendekatan Presiden George W Bush di Amerika Syarikat (AS) yang berlagak sebagai pembanteras keganasan, sebaliknya menjadi pembuli paling songsang. Pencerobohan ke atas Iraq, Afghanistan dan Pakistan menjadikan AS hampir muflis dengan berbilion ringgit dicurahkan kepada ‘peperangan’ yang tak berkesudahan. Justeru, kepongahan dengan kuasa kerajaan negeri Pulau Pinang tak akan bermanfaat, sekiranya vendalisme boleh membawa kerugian kos penyelenggaraannya.
RON PERLU 5 PENCALONAN LAGI
HARAP SOKONGAN PIMPINAN BAHAGIAN

Bekas Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan di Parlimen Dato’ Ruhanie Ahmad memerlukan lima pencalonan lagi bagi memenuhi kouta untuk layak bertanding Majlis Tertinggi (MT) UMNO Mac 2009 nanti, beritahu pembantunya Yassinsalleh. Setakat ini menurut Yassinalleh, Dato’ Ruhanie (Ron) sudah menerima lima pencalonan justeru memerlukan lima lagi Bahagian mencalonkan bagi melepasi 10 pencalonan. Katanya, Dato’ Ron berharap rakan-rakan di Bahagian memberi peluang kepadanya untuk sama-sama bersaing merebut jawatan MT dalam usaha membawa suara prolitar ke dalam pimpinan tertinggi parti berkenaan. “Kita tak mahu suara elit sahaja didengar dalam pimpinan MT UMNO, kalangan prolitar termasuk penulis-penulis blog juga disampaikan kepada pimpinan UMNO,” beritahu Yassinsalleh.

Seterusnya Yassinsalleh menambah, minggu ini Bahagian-Bahagian UMNO yang akan bersidang dijangka membuat pencalonan kepada Dato’ Ron ialah Pantai, Pendang, Ampang, Sungai Petani, Sandakan, Tenom, Kuala Nerus, Pasir Putih, Larut dan Pekan. Beritahu Yassnsalleh seterusnya, Dato’ Ron yang akan membawa ‘suara alternatif’ dalam MT sekiranya terpilih dalam Perhimpunan Agung UMNO nanti terus konsisten mahukan golongan prolitar termasuk penulis-penulis laman blog diwakili di Dewan Negara sebagai perjuangan ‘suara alternatif’. Justeru katanya, pada perjumpaan penulis-penulis laman blog 21 Oktober 2008 lalu, rumusan dibuat menamakan pengkritik sastera Haji Yahaya Ismail dan sasterawan Dharmala N.S. sebagai berpotensi mewakili golongan prolitar di Dewan Negara. “Pimpinan Bahagian UMNO yang akan bersidang minggu ini diharap mencalonkan Dato’ Ron,” jelas Yassinsalleh.

INFO SASTERA & BUDAYA

NOVEL ‘SAINS FIKSYEN’
JAUH DI PULAU RAHSIA
Oleh: Ikram Hafiz

(Sebelum memasuki Unisel pada Mei 2008, Allahyarham Ikram Hafiz bukan sahaja berbakat dalam kraftangan dan elektrikal ketika belajar di Sekolah Menengah Teknik Gombak, malah terbabit dalam karya kreatif. Ikram Hafiz pernah menghasilkan novel sains fiksyen pada 2007, ketika membuat kerja sambilan menjual burger. Hanya sebuah sahaja novel yang dihasilkannya, dan diterbitkan oleh Mulya Utama Enterprises, Taman Seri Gombak, Batu Caves, Selangor. Mulai sekarang, novel karya Ikram Hafiz dimuatkan dalam laman blog ini).

(sambungan kelmarin…)

(29)

10
PANTANG BERPUTUS ASA

MENCARI IDEA DI BILIK SEMPIT
BERSAMA PIJAT-PIJAT MENGETIP

TERLALU banyak pijat-pijat mengetip di celah meja kayu dan bangku buruk di penjuru gua kecil itu. Beberapa kali saya menginsut duduk akibat pijat-pijat mengetip punggung. Tetapi Si Tongkol tak peduli sangat fasal pijat-pijat yang banyak. Malah dia boleh terlelap selepas menelan pil ‘pin killer’ bagi hilangkan kesakitan akibat mengalami cedera parah.

Sebaik sahaja Si Tongkol dapat bertahan daripada kesakitan, segera saya mengajak kawan-kawan ubahsuaikan objek tentera boneka yang telah ditawan. Wayar anod dan katod sengaja saya alihkan pada bahagian gear pacu serta gear terpacu. Gelinciran pada gear pacu yang membolehkan ianya berfungsi juga dilumur minyak gris, hingga pergerakan boneka tak stabil.

“Kamu ni enjin bot rosak, tak boleh baiki,” Usin Sodok kelihatan ceria selepas objek boneka berkenaan dapat ditawan. “Tapi sistem komputer dalam boneka kamu tahu pula fungsinya!” tersengih-segih dia sambil membantu buatkan ubahsuai.

“Dah subjek yang saya ambil di sekolah kejuruteraan mekanikal, fasal wayar-wayar ni saya tau le sikit-sikit,” sahut saya tetap kenang sering dimarahi emak kerana tak pernah berhasil baiki radio, peti TV mahupun CPU komputer yang rosak.

“Bolehkah berjaya eksprimen kamu ni, Hafiz?” Abang Din serba salah juga setiap kali mendengar peti suara pada objek boneka berkenaan berbunyi tenggelam timbul macam radio transistor rosak.

“Kita cuba dulu,” ujar Mail Kengkang semakin yakin dapat mengenal pasti formula menewaskan tentera-tentera boneka Bapak Profesor. “Masih banyak lagi tentera-tentera boneka di luar gua, macam mana kita nak keluar?” katanya terlangah-langah memerhati ke pintu gua.

“Apa yang penting kita jangan cepat berputus asa,” beritahu saya meletakkan kaca cermin pada bahagian mata objek boneka yang ditawan itu. Bagaimanapun saya menghadapi kesukaran untuk memantau menggunakan alat kawalan jauh.

Memang alat kawalan jauh dipantau menerusi sistem berkomputer di bilik operasi Bapak Profesor. Semua objek tentera boneka bergerak serentak dengan dikawal oleh Bapak Profesor yang memantau di monitor. Punat butang di hujung jarinya yang memastikan setiap objek tentera boneka menapati kemahuannya. Tak satu pun objek boneka-boneka berkenaan tersasar daripada monitor yang dipantaunya.

Ketika itu saya merasakan pengetahuan terlalu cetek mahu menandingi kepakaran Bapak Profesor. Wayar yang dipasang dalam badan boneka memang saya mengerti apa-apa fungsinya. Sebab itu sengaja saya tukarkan wayar anod kepada wayar atod supaya aliran kuasanya bertentangan. Gear pacu diterbalikkan kepada gear terpacu dengan peti suaranya dimatikan.

Cecair arsenik pula dijadikan alkeno bersama gas bromin, diletakkan pada molekul alkeno biar pantulan cahaya boleh memercikkan karbon dioksida. Disebabkan Si Tongkol masih terlelap, lantas saya ubahsuaikan hansetnya digantikan pada peti suara objek boneka itu. Kemudian dimasukkan dawai yang boleh diputar bagaikan spring bagi hasilkan dinamo pada bahagian yang menghubungkan aliran alat kawalan jauh.

“Kamu nak buat apa dengan tentera boneka yang kita tawan ni, Hafiz?” hairan benar Sahak Salai apabila fungsi di dalam badan boneka berkenaan habis diubahsuai.

“Entahlah, saya sendiri pun tak tahu apa akan berlaku,” jelas saya kerana tak tahu kesannya selepas diubahsuai pada bahagian wayar positif dan negatif yang digunakan oleh Bapak Profesor.

(* Kreativiti Ikram Hafiz menggambarkan keadaan di lokap polis Selayang, ketika dia bersama kawan-kawannya ditahan berikutan kes pergaduhan apabila bertindak balas selepas wang jualan burgernya disamun, tetapi dituduh merusuh. Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri ketika itu Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, Teng Chang Khim – sekarang Speaker DUN Selangor, dan Wee Choo Keong – sekarang Ahli Parlimen Wangsa Maju, turut campur tangan bagi membebaskan Ikram Hafiz dan rakan-rakannya yang ditahan selama lima hari).

(bersambung)

PUISI LAMA

Janji Orang Beradat

Janji adat janjinya teguh
Janji dibuat, janji dimuliakan
Didalam janji, digaduhkan (prihatin)
Janji sampai ditepati
Tergawa mati, tanda berhutang
Bukan hutang padi nan bersukat
Bukan hutang kain nan berhasta
Bukan hutang ringgit nan berbilang
Hutang adat dan pesaka.

(Hutang adat dan pesaka
hutang ringgit nan berbilang
hutang tender nan terhalang
hutang Bahagian nan dilarang
hutang UMNO nan berhutang
hutang Mac 2009 akan datang
hutang sumpah nan berbayang)

-Alba
Jelebu, N.S.
5 November 2008

INFO SUARA PROLITAR

3.00 PETANG PERGI KE KEDAI:
SURAT KHABAR MELAMBAK LAGI

Media arus perdana cukuplah. Jangan nak laga-lagakan pemimpin Pakatan Rakyat (PR). Hari ini (6 November 2008), kutuk Dato’ Seri Anwar Ibrahim fasal walk out ketika Dato’ Seri Najib Tun Razak bentang bajet. Dulu-dulu media terbabit yang ampu Dato’ Seri Anwar macam nak rak. Masa tu (dekad 1980-an) sebelah mata pun tak pandang Najib. Laga-lagakan pula Tuan Guru Hadi Awang fasal isu lantik bukan Melayu pangku PKNS oleh kerajaan negeri Selangor. Tahun 2008 ni tak sama dengan 1988. Letak gambar Obama muka depan pun, hingga 3.00 petang melambak lagi surat khabar di kedai. – (SMS; 6 November 2008; 14:43:51 – Man Cincai, Selayang, Selangor).

DUDUK DI MALAYSIA SEPERTI DUDUK DI SEBERANG
SANA SINI DRAMA INDON

Apa nak jadi dengan saluran Astro, tak cukup dengan drama Indon di saluran Aruna malah di saluran Prima juga banyak dihidangkan.Terasa seolah-olah bermastautin di negara mereka.Bukan sahaja Astro malah RTM dan Media Prima terlalu kerap menyiarkan drama Indon, sama ada bersiri mahupun telefilem. Apa sudah jadi? Adakah penerbit drama di Malaysia sudah ketandusan idea untuk menerbitkan drama?Bertambah sukalah amah bila rancangan dari negara mereka disiarkan. – (SMS; 6 November 2008; 15:30:02 – Mimie, Gombak, Selangor).

KOMENTAR
bersama Pak Parjo

RAMAI YANG BERSUARA MENYOKONG NAJIB
TENTANG PEBELANJAAN NEGARA YANG DIBENTANG

Syahdan segala orang banyak pun bersuaralah kerana mahu menunjukkan mereka menyokong akan perbelanjaan negara yang dibentangkan oleh Orangkaya Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak semalam, 7 Zulkaedah 1429 (atau disebut orang 5 November 2008). Arakian pada masa nenek moyang fakir dahulukala adapun Orangkaya Menteri Kewangan itu dipanggillah ia Penghulu Bendahari. Taklah ia membentang akan perbelanjaan, tetapi sekadar menjaga perbendaharaan sahaja, adanya. Sebermula tak dipersetujui oleh sekalian anak-anak buah Orangkaya Permatang Pauh Dato’ Seri Anwar Ibrahim, menyebabkan penitir-penitir canang mengampu-ampu akan Orangkaya Dato’ Seri Mohd Najib dengan meminta orang banyak memburuk-burukkan Orangkaya Permatang Pauh itu.

Arakian maka oleh Tun Bija Sura dipilihnya anak tuan-tuan empat lima orang, dibawanya naik ke peseban. Maka segala anak tuan-tuan itu memanglah yang pandai ia mengampu-ampu kerana mahukan kurnia daripada Sultan Melaka. Syahdan Tun Bija Sura dengan segala anak tuan-tuan itu pun berlunjurlah di hadapan Betara Majapahit, kain disingsingnya had lutut. Kasadnya mahu megutuk-ngutuk akan layanan Betara Majapahit kepada sekalian orang Melaka. Telah dilihat oleh hulubalang Jawa, dilarang mereka itu, katanya, ‘Tanpa kedep tambung laku sira, berlunjur di hadapan Betara Majapahit.’ Maka sahut Tun Bija Sura, ‘Aku dititahkan paduka Betara Majaphit bermain; maka kami bermain. Jika tiada dengan titah beranikah kami?’ Maka kata Betara Majapahit, ‘Biarlah!’ kerana samalah penitir-penitir canang yang mengampu-ampu itu dengan perihal di dalam ‘Kitab Melayu’ yang disebut:


HIDUP BAHASA MELAYU!

Tuesday, November 4, 2008

WARGA PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
S U A R A < < < > > > P R I M A

(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)


DARI LAMAN BLOG:

USIA 60-AN KURANGKAN BERPUISI:
TAPI TUMPUKAN MENJADI PENTERNAK

Assalamualaikum,


Memang sudah lama saya tak dihubungi oleh Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Pahang, Syed Adnan Dato’ Syed Abdullah (Abang Engku). Apabila saya hubungi beliau pagi ini (3 November 2008) secara sinikal pula beliau memberitahu, seolah-olah saya sengaja mahu menjauhkan diri daripadanya. Sempat juga Abang Engku beritahu fasal pembabitan aktivis budaya di Temerloh L Mankadir Shamsi dalam kerjaya terbarunya sebagai penternak kambing dan lembu yang berjaya. Mereka yang berhasrat untuk melaksanakan aqiqah atau korban yang memerlukan kambing atau lembu memang boleh menghubungi Mankadir. Apalagi dalam usia 60-an mungkin Mankadir lebih menumpu kepada usaha yang boleh membantu kepentingan masyarakat bersama.

Sebelum itu bapa saudara saya penyair Yassinsalleh yang berhasrat mahu hubungi Abang Engku. Tetapi tiada kaitan dengan pencapaian Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak yang sudah terpilih secara automatik menjadi Presiden UMNO, selepas 36 tahun ayahnya Allahyarham Tun Abdul Razak dipilih menjadi Presiden UMNO pada 1972. Malah jawatan Presiden UMNO itu sendiri adalah idea Tun Abdul Razak bagi memodenkan UMNO yang sebelum itu jawatan berkenaan dikenali ‘Yang Dipertua Agung’ UMNO dianggap terlalu konvensional. Pada period Tun Abdul Razak juga jawatan ‘Ketua Kaum Ibu UMNO’ ditukar kepada ‘Ketua Pergerakan Wanita UMNO’. Begitulah!



PERIOD MAHU REMAJAKAN UMNO
SAHAM MELONJAK BERBANDING DI AS


Semalam (2 November 2008) Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz menelefon mengenai persaingan merebut jawatan tertinggi UMNO, Mac 2009 nanti. Beliau merungut apabila kenang saham UMNO melonjak tinggi berbanding saham di luar negeri termasuk negara-negara yang dianggap kukuh ekonomi seperti Amerika Syarikat (AS), Jepun, Korea Selatan atau negara-negara Kesatuan Ekonomi Eropah yang dikatakan goyah, payah dan melayah. Aduhai! Dalam masa agenda mahu meremajakan UMNO menurut Dato’ Kamal Amir, pimpinan muda dididik bagi sesiapa mengangkat tangan mencalonkan nama-nama tertentu pada Mesyuarat Agung Bahagian hingga RM700, RM1,000 dan RM1,500. Justeru mereka yang terdidik dengan ‘politik wang’ inilah akan meneruskan sinambung legasi pimpinan UMNO.

Tak hairanlah Haji Abu Bakar Ninggal juga menelefon tengahari ini (3 November 2008), pemilihan Dato’ Seri Najib bakal menjadi Presiden UMNO tak bermakna diterima secara mutlak (apalagi Bahagian Gua Musang, secara terbuka menolak pimpinannya). Sistem pemilihan UMNO berdasarkan kouta itulah yang mengangkat Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Dato’ Seri Mohd Najib memimpin UMNO pada 2003, di samping ditangguhkan pada 2006 atas sebab-sebab heh heh heh! Akhirnya kata Haji Abu Bakar, Mac 2008 gandingan Pak Lah-Najib diberi pengajaran bahawa pemilihan mereka pada 2003 bukanlah secara mutlak. Bagaimanapun lupakan sahaja fasal pemilihan UMNO, kerana bulan ini jemaah haji kita akan berlepas ke Mekah al-Mukarramah bagi menunaikan ibadat yang lebih bermakna, berguna dan sempurna daripada pemilihan UMNO.

-Pak Dharma

INFO HAK ASASI MANUSIA:

MEDIA BARAT ANGGAP PENGGANAS
MESEJ MUJAHID KPD KEPONGAHAN BUSH.


Hukuman mati yang dikenakan ke atas Amrozi, 47 abangnya Mukhlas, 48 dan Imam Samudra,38 oleh mahkamah di Indonesia berikutan terbabit dalam pengeboman di Bali pada 2002 yang mengorbankan 202 jiwa, dianggap oleh media barat sebagai pengganas. Bagaimanapun keganasan yang membabitkan Amrozi, Mukhlas dan Imam Samudra adalah mesej kepada kuasa-kuasa barat terutama Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya supaya tak menceroboh negara-negara Islam. AS di bawah Presiden George W Bush adalah pelopor kepada keganasan sejagat dengan pencerobohan tak berperi kemanusiaan bagi mencapai matlamat kebangsatannya. Sebaliknya majoriti rakyat AS menolak sama sekali retorik keganasan sejagat George Bush, apabila pilihanraya Presiden AS besok (4 November 2008).

Sekiranya majoriti rakyat AS memilih Barrack Obama dari Parti Demokrat ianya satu sinikal kepada Bush dan Parti Republikan mereka menerima nama yang hampir dengan musuh Bush iaitu Osama bin Laden. Apabila rakyat AS menghantar Obama ke Rumah Putih, maknanya mereka turut menghantar kelibat ‘Osama’ ke gapura istana Presiden AS yang menjadi impian setiap pemimpin politiknya. Justeru hukuman mati yang dijalankan ke atas Amrozi, Mukhlas dan Imam Samudra mungkin sahaja sebelum Obama dihantar ke Rumag Putih. Apalagi pencerobohan ke atas Pakistan dan Syria juga digerakkan oleh Bush dengan segala kepongahannya menjelang pilihanraya Presiden AS. Sebaliknya menjelang hukuman mati ke atas tiga mujahid terbabit, polis Indonesia mendedahkan mereka menemui dan mematikan dua butir bom di kawasan penduduk Hindu di Sulawesi minggu lalu. Entahlah!

INFO SASTERA & BUDAYA:

NOVEL ‘SAINS FIKSYEN’
JAUH DI PULAU RAHSIA
Oleh: Ikram Hafiz


(Sebelum memasuki Unisel pada Mei 2008, Allahyarham Ikram Hafiz bukan sahaja berbakat dalam kraftangan dan elektrikal ketika belajar di Sekolah Menengah Teknik Gombak, malah terbabit dalam karya kreatif. Ikram Hafiz pernah menghasilkan novel sains fiksyen pada 2007, ketika membuat kerja sambilan menjual burger. Hanya sebuah sahaja novel yang dihasilkannya, dan diterbitkan oleh Mulya Utama Enterprises, Taman Seri Gombak, Batu Caves, Selangor. Mulai sekarang, novel karya Ikram Hafiz dimuatkan dalam laman blog ini).

(sambungan kelmarin…)

(28)

9
DENDAM BAPAK PROFESOR

KEPAKARAN TEKNOLOGI MENGANGKAT
KUASA RAJA BONEKA DI PULAU TERUMBU

DIA dipaksa bangunkan jana nuklear bawah tanah kalau mahukan ganjaran lumayan. Tetapi gnajaran lumayan itu tak mampu ubati penyakit anak gadisnya yang sudah amat kritikal. Sebab itu dia tak mahu berterusan menjadi boneka yang sentiasa diawasi oleh gerombolan pengganas terbabit.

Ketika bertemu Si Tongkol dalam perjumpaan sulit di Vasteras, bekas kolonel tentera itu sanggup membantu. Dia boleh membolos keluar tinggalkan Sweden melalui kawasan balkan. Tetapi Profesor Adri menyedari dia akan terus diburu kalau balik juga menjengah pusara anak gadisnya di Bandong. Justeru Si Tongkol mempelawa menyertai kumpulan penyeludup senjata di perairan antarabangsa.

Baik di mana-mana sahaja Bapak Profesor hidup bagaikan boneka. Keampuhan ilmu teknologinya sentiasa diperalatkan. Orang lain mencari kesempatan dengan kepakaran yang dimilikinya. Dia tak pernah menggunakan kepakaran sendiri mendapat manfaat dan kebahagiaan dirinya. Sebab itu dia mahu cipta sendiri boneka-boneka yang boleh dikerah apabila dipantau melalui alat kawalan jauh.

“Nah, sekarang aku menjadi raja segala boneka!” laungan Bapak Profesor bergema di corong mikrofon.

Siapapun di bilik makmal itu tak menyahut apa-apa. Mereka berasa cemas kerana Si Tongkol juga tak bersuara. Kalau Si Tongkol tak menyerah diri nescaya mereka akan dibunuh tentera-tentera boneka Bapak Profesor. Ketika itu mereka menyedari peluang untuk menyelamatkan diri terlalu tipis.

Memang mereka bertiga tak dapat berkomunikasi. Masing-masing tak mampu untuk memberi isyarat bagaimana mahu bertindak. Segalanya terserah kepada keputusan Bapak Profesor yang memegang punat butang di tangannya. Bapak Profesor boleh lakukan apa sahaja, cukup dengan menekan butang kawalan yang dipantau!

Dalam masa mereka bertiga terkebil-kebil mata menunggu arahan seterusnya daripada Bapak Profesor, tiba-tiba dinding logam tungsten yang padu bergegar ditendang kuat. Dari luar objek tentera boneka membolos masuk dengan kasar. Dinding logam tungsten itu terpokah apabila disentap kuat. Tenaga objek tentera boneka yang baru itu berupaya memusnahkan dinding berkenaan.

Sebaik sahaja objek tentera boneka mendekati rakannya, tak bertangguh pula diterpa. Berlaku pergelutan yang tak diduga antara tentera boneka berkenaan. Apabila tentera boneka yang mengawal bilik makmal melepaskan pantulan cahaya dari mata, sekaligus pula melantun semula ke arah mereka. Tentera boneka pengawal makmal jatuh terlentang tetapi bingkas banguna semula.

“Kenapa kmu belot, wira pulau?” kedengaran tentera pengawal bilik makmal tersebut bersuara serentak yang dipantau dari bilik operasi Bapak Profesor. “Kamu semua adalah wira pulau, justeru perlu ikut arahanku!” tegas Bapak Profesor seterusnya.

Memang tentera-tentera boneka yang dicipta Bapak Profesor dinamai wira pulau. Mereka menguasai planet boneka di pulau terumbu batu karang berkenaan. Sudah lama Bapak Profesor bercita-cita menjadikan planet boneka sebagai kemuncak kerjayanya. Dia mahu buktikan kepakaran teknologi yang dimiliknya mampu dibangunkan sendiri. Bukan dijadikan alat oleh Si Tongkol!

Tetapi tentera boneka yang belot tak berfungsi lagi peti suaranya. Ia bertindak juga di luar kawalan Bapak Profesor. Ketika diterkam oleh rakan-rakannya yang masih setia, ia bertindak pantas menjatuhkan mereka. Tentera boneka yang belot itu seolah-olah mampu mencari kelemahan kawannya. Sengaja ia menjatuhkan rakan-rakannya dalam posisi tertangkup. Biar matanya tak terkena pantulan cahaya.

Ketika kekecohan di bilik makmal bertambah tegang, tiba-tiba sahaja Bapak Profesor menjengah masuk. Tetapi segalanya sudah terlambat.

(* Kreativiti Ikram Hafiz menggambarkan keadaan di lokap polis Selayang, ketika dia bersama kawan-kawannya ditahan berikutan kes pergaduhan apabila bertindak balas selepas wang jualan burgernya disamun, tetapi dituduh merusuh. Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri ketika itu Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, Teng Chang Khim – sekarang Speaker DUN Selangor, dan Wee Choo Keong – sekarang Ahli Parlimen Wangsa Maju, turut campur tangan bagi membebaskan Ikram Hafiz dan rakan-rakannya yang ditahan selama lima hari).

(bersambung)

PUISI

Ku Cari Kerlingmu

Ku cari kerlingmu, Delilah
di sebalik bayang bayang batu-batu bukit
ku lihat matamu terpahat
di celah rekahan dinding gua
melakar keperkasaan fizikal Samson
meruntuhkan sebuah empayar
di bawah lambakan puing-puing bangunan
(Injil; Judges: 13-16).

Angkatkan bayangmu
kilau matahari yang parah
ufuk senja terluka
burung-burung termangu
- siangnya mimpi berkala Ritcher
malamnya diganggu igau Abrahah
& kilat yang saling bercanda
menunggu senyummu Delilah.

Biarkan, amarah sang singa
mengganas di depanmu Samson
haiwan teruja di gurun
dengan fokus keperongosan insan
bak bidadari kefasikan Delilah
menunggu alpa legasi mangsa
kilau matahari & hangat memijar
laksana deru naratif helikopter.

Ku cari kerlingmu, Delilah
di bawah puing-puing keruntuhan empayar.

-Dharmala N.S.
Kuala Lumpur
2 November 2008.

INFO SUARA PROLITAR:

MACAM KISAH PAK PANDIR
TANGKAP UMPAN BELALANG RUSA

Mulai tahun depan tambang pengangkutan naik. Ketika minyak naik, tambang tak boleh nak naik. Minyak dah turun, tambang pengangkutan naik. Macam cerita Pak Pandir pula. Kalau Pak Padir tangkap belalang rusa tak dapat, tapi tangkap rusa boleh pula. Macam mana pula rusa boleh buat umpan mata kail. Peliklah pula! Tapi di Malaysia dah tak pelik apa-apa. Penyiasat persendirian pun boleh hilang. Nak bersumpah laknat pun, ok. Tapi kritik jabatan agama, masuk ISA. Isteri tuntut fasakh selepas suami ditangkap basah, tak boleh. Kena cukupkan dokumen dulu. Harap-harap janganlah ramai sangat kena H/B. Astaga! – (SMS; 3 November 2008; 17:41:28 – Man Cincai, Selayang, Selangor).

KOMENTAR
bersama Pak Parjo

BULAT AIR DEK PEMBETUNG
BULAT ANAK BUAH DEK MUAFAKAT!

Arakian sekalian anak buah harakah Melayu (UMNO) berasa gembiralah mereka apabila Orangkaya Pekan Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak sudah dipilih ia memimpin harakah itu, semalam 4 Zulkaedah 1429 (atau seperti kata anak cucu fakir 2 November 2008). Maka Orangkaya Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Dato’ Seri Shafie Apdal pun berkatalah, ‘Kemenangan itu adalah petanda baik yang membuktikan sokongan padu anak-anak buah di peringkat akar umbi.’ Sebermula sekalian hamba Melayu itu bukanlah sama dengan anak-anak buah harakah Melayu atau Orangkaya Dato’ Seri Shafie, kerana yang dikatakan sokongan padu ialah ‘bulat air dek pembetung, bulat anak buah dek muafakat; kok bulat boleh digolek, kok pipih boleh dilayang.’ Adapun pemilihan dalam harakah Melayu itu banyaklah didengar ‘memahat di luar baris, berketak di luar sangkar.’


Syahdan, setelah hari siang maka Feringgi pun naiklah ke darat. Maka Sultan Ahmad pun naik gajah, Juru Demang namanya; Seri Udani di kepala gajah, Tun Ali Hati dibuntut. Maka baginda pun keluarlah dengan segala hulubalang. Maka peranglah Feringgi beramuk-amukan. Seketika perang itu, maka rakyat Feringgi pun undur daripada tempuh orang Melaka. Arakian maka tampil Alfonso d’Albuquerque dengan seribu rakyat soldadu beristinggar, menempuh pada segala orang Melaka, bunyi pelurunya istinggar itu seperti kacang jatuh ke bidai, demikianlah. Daripada sangat tempuh anak Portugal, maka pecahlah perang orang Melaka, lalu undur. Sebermula disebut orang akan Sultan Ahmad itu sudah mendengar akan anak Melaka itu menyokong padu baginda seperti disebut dalam ‘Kitab Melayu’ daripada:




HIDUP BAHASA MELAYU!