Sunday, January 4, 2009

WARGA PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
S U A R A < < < > > > P R I M A
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG

SIARAN LANGSUNG DI TV BERNAMA:
ISU ‘ADAT PERPATIH’ SEMAKIN TERUJA

Assalamualaikum,

Pengendali laman blog dari Seremban, Rozmal Malakan mengirim SMS pagi ini (4 Januari 2009), melahirkan rasa kecewa apabila saya tak menghuraikan secara spesifik ‘Perang Padri’ di Sumatera Tengah sekitar dekad 1830-an ketika membicarakan ‘Adat Perpatih’ menerusi slot ‘Helo Malaysia’ di TV Astro 502 (Bernama) malam Ahad (3 Januari 2009). Memang ‘Perang Padri’ yang membabitkan Tuanku Imam Bonjol di Lubuk Sakaping merombak struktor ‘Adat Perpatih’ daripada rumusan ‘Adat bersendi alur dan patut’ kepada ‘Adat bersendi hukum; hukum bersendi kitabullah’ (atau di setengah tempat disebut ‘hukum bersendi syarak’). Tuanku Imam Bonjol bersama rakan-rakannya Tuanku Rao dan Tuanku Tambusai terperangkap dalam intrigue politik Belanda apabila dimusuhi oleh pemuka-pemuka adat di Minangkabau.

Disebabkan slot berkenaan dihadkan tempohnya satu jam yang disiarkan secara terus menerus, justeru tak banyak dapat saya huraikan bersama seorang lagi ahli panel Dato’ Seri Maharaja Haji Khalid Bonget, Tiang Balai Luak Ulu Muar. Sharkawi Jirim yang mengendalikan slot berkenaan bersama fasilitor Dahalan Makmur juga turut merasakan masa yang diperuntukkan terlalu singkat, ringkat dan langkat. Barangkali! Apalagi Dato’ Azman Ujang yang sepatutnya terbabit tak sempat pula bersama, disebabkan jemputan majlis perkahwinan di Rembau. Bukan sahaja huraian mengenai tragedi Tuanku Imam Bonjol tak sempat dirumuskan, malah pemasyhuran ke bawah DYMM Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir pada 29 Disember 2008 menaiki takhta Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan sekadar disentuh sedikit sahaja.
Sharkawi Jirim dan Dahalan Makmur juga mengakui isu ‘Adat Perpatih’ memang teruja berdasarkan respons umum menerusi panggilan telefon ke talian yang ditetapkan. Pihak TV 502 Bernama juga turut terkilan apabila tak dapat memenuhi permintaan pemanggil bertalu-talu dari seluruh negara yang ingin berkongsi idea. Begitulah! Satu ketika apabila dijemput pihak Muzium Negeri Sembilan di Seremban, memang respons orang ramai mengenai isu Adat Perpatih menggalakkan, tetapi masih juga kedengaran rungutan kononnya generasi muda sudah meminggirkan ‘Adat Perpatih’. Misalnya, salah seorang pemanggil dalam slot TV malam semalam (3 Januari 2009) membangkitkan, ‘Adat Perpatih’ sekadar simbol sahaja bukan dipraktikkan secara berkesan.

Isu yang dibangkitkan pula berkaitan dengan krisis pemilihan peyandang pesaka adat (dirumuskan kepada pelantikan Undang Luak Sungai Ujong yang berlanjutan hingga 10 tahun), yang dikategorikan sebagai ‘adat yang teradat’; ‘adat yang diadatkan’ dan ‘adat istiadat’ bukannya menjuruskan kepada ‘adat sebenar-benar adat’. Apabila pemahaman mengenai adat dirujuk kepada pelantikan penyandang pesaka, kuasa pengagihan tanah atau kepentingan peribadi justeru ianya tiada kaitan dengan ‘adat sebenar-benar adat’ disebabkan kurang pemahaman. Apalagi persepsi adat mahu dilihat berdasarkan akademik di pusat pengajian tinggi, bukan pemikiran intelektualisme ‘menghitung dari asa, mengeja dari alif’, akibatnya susah bertambah susah lagi disusahkan. Heh heh heh!

-Pak Dharma

INFO HAK ASASI MANUSIA

SHABERY DENGAN ‘REVOLUSI ROJAK’:
DASAR PENERANGAN NASIONAL TERSASAR

Bekas Timbalan Naib Canselor (HEP) UTM Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah menyifatkan Menteri Penerangan Dato’ Ahmad Shabery Cheek sedang berfantasi dengan ‘revolusi rojak’ bagi meningkatkan reputasi penyiaran RTM yang semakin bobrok. Katanya, TV1 yang sebelumnya menjadi saluran nasional, tetapi sekarang beransur-ansur membias kepada program rojak. Menurut Dato’ Dr Mohd Mansor sebahagian besar program TV1 lebih cenderung kepada penyiaran yang bukan berunsur Melayu, malah secara pokal memperlihatkan 40% sahaja berciri nasional. Apalagi sumbangan TV berbayar Astro yang condong kepada program Indonesia, hingga kadangkala berlaku semua saluran menyiarkan program negara jiran. “Menteri Penerangan wajar merangka Dasar Penerangan Nasional yang tak tersasar daripada tanggungjawab untuk memelihara kepentingan nasional,” beritahu Dato’ Dr Mohd Mansor.

Seterusnya beliau menjelaskan TV2 yang sebelumnya kurang popular terpaksa diberi suntikan baru dengan program yang sebelumnya ditayangkan untuk TV1, termasuk slot ‘teater legenda’. Sebaliknya peningkatan TV2 juga kurang menggalakkan apabila slot yang diimpot dari Hongkong dan Taiwan, termasuk juga dari Bollywood lebih dominan berbanding program Melayu. Berikutan beberapa program TV1 dialihkan kepada TV2, menyebabkan TV1 terdedah kepada kekosongan program yang terpaksa pula dimuatkan dengan slot dalam medium Inggeris, Cina dan India, beliau menambah selanjutnya. Katanya lagi, Dato’ Ahmad Shabery adalah bertanggungjawab mendorong dasar penerangan nasional kepada fantasi rojak. “Justeru TV1 wajar dipulihkan semula menjadi saluran nasional bagi program Melayu sepenuhnya,” tegas Dato’ Dr Mohd Mansor.

BUSH HANTU GANAS ‘DARACULA’
ALAT ‘PAWANG BANGSAT’ YAHUDI

Presiden Amerika Syarikat George W Bush adalah hantu ganas ‘daracula’ yang diperalatkan oleh ‘pawang bangsat’ iaitu Yahudi bagi mengganggu kedamaian dunia, kata Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz. Beliau yang juga bekas Exco Pemuda UMNO bagi biro antarabangsa turut mengutuk rejim Zionis melancarkan serangan ke atas rakyat Palestin di Gaza sejak dua minggu lalu menyebabkan 460 orang terbunuh termasuk 66 kanak-kanak setakat ini (4 Januari 2009). Sebaliknya hantu ganas yang dimalukan dengan isu kasut terbang di Iraq baru-baru ini, menuduh Hamas lakukan keganasan di samping menyeru masyarakat antarabangsa menyokong bonekanya Mahmoud Abbas. “Bagaimana masyarakat antarabangsa mahu menyokong orang yang kalah dalam pilihanraya, tetapi disokong oleh Bush dengan kekuatan peluru?” menurut Dato’ Kamal Amir.

Justeru beritahu Dato’ Kamal Amir, keamanan dunia bergantung kepada kemusnahan Bush, di samping kehancuran negara Yahudi. Katanya lagi, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tak akan berfungsi selagi premis ibu pejabatnya di AS bagi membanteras keganasan yang dilakukan oleh ‘hantu ganas’ sendiri. Seterusnya beliau menambah, sekalipun PRIMA sekadar mampu menyampaikan mesej, tetapi ianya cukup memberi tekanan kepada Bush yang akan menjadi ‘kutu belahak’ selepas 20 Januari 2009 ini. Masyarakat antarabangsa akan melihat Bush akan dikutuk oleh rakyat AS sendiri setelah hilang kuasa sebagai ‘kutu belahak’ apabila tempoh pentadbirannya berakhir. “Zinois sekadar mengambil peluang sehingga 20 Januari dalam tempoh kuasa ‘hantu ganas’ boleh digunakan,” jelas Dato’ Kamal Amir menambah.

YASSINSALLEH DITUGAS MERANGKA:
MEMORANDUM MENENTANG ISU PPSMI

Penyair Yassinsalleh yang ditugaskan merangka memorandum PRIMA untuk dihantar kepada Menteri Pelajaran Dato’ Seri Hishamuddin Hussein bagi memprotes PPSMI memberitahu semuanya berjalan lancar, di samping diperhalusi supaya lebih padat, sendat dan sarat. Beliau menambah, memorandum berkenaan dirangka bersama dengan Dr Seri Intan Mokhtar dari UPM dan Yasleh Rita Ayu dari UM bagi memperkemaskan mesej yang mahu disampaikan bagi menepati sasaran sebenar. Yassinsalleh seterusnya memberitahu dalam tempoh dua minggu dari tarikh yang disarankan oleh bekas Ketua Pengarah DBP Dato’ Dr Hassan Ahmad, memorandum tersebut dijangka siap dirangka sepenuhnya. “Kita mahu mencapai sasaran yang mampu memberi kesedaran kepada kerajaan mengenai dosa PPSMI kepada Bahasa Melayu,” jelas Yassinsalleh.

Sementara itu Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz mengakui sudah menghubungi beberapa pemimpin Melayu bagi menyerahkan memorandum tersebut. Ketika dihubungi, Dato’ Kamal Amir memberitahu di samping Dato’ Seri Hishamuddin, temujanji turut dibuat untuk menyampaikan memorandum tersebut kepada Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak dan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. “Sekiranya pemimpin-pemimpin Melayu enggan ditemui langkah seterusnya ialah mengarak ‘Keranda 152’, malah sekiranya perlu membakar gambar-gambar mereka yang dilabel sebagai ‘pembunuh Bahasa Melayu’ seperti disarankan oleh Dato’ Dr Hassan Ahmad,” beliau memberitahu.

INFO SASTERA & BUDAYA

SELAGI PPSMI TAK DIMANSUHKAN:
PRIMA AKAN GERAKKAN SIRI BACA PUISI

Siri baca puisi PRIMA dalam isu menentang PPSMI dinamakan ‘SUARA DARI SEMANTAN’ yang pada peringkat awalnya dirancang di pekan Lancang, akan dibawa ke kawasan Felda di Jenderak, beritahu aktivis budaya di Pahang, L. Mankadir Shamsi. Justeru Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Malaysia, Syed Nor Adnan Dato’ Syed Abdullah yang menawarkan rumahnya sebelum ini, bersetuju siri baca puisi berkenaan dipindahkan ke kawasan Felda disebabkan sasaran utamanya ialah kalangan ibu bapa Melayu. Bagaimanapun menurut Mankadir, Syed Nor Adnan masih berminat untuk membawa siri baca puisi berkenaan ke Lancang selagi kementerian pelajaran berhasrat mahu meneruskan PPSMI. “Ibu bapa tak diberi penjelasan sebenarnya anak-anak mereka bukan berhadapan dua subjek, tetapi keseluruhannya ialah 89 subjek,” kata Mankadir.

Di Perlis, bekas pimpinan Pemuda UMNO Perlis yang hampir dipecat baru-baru ini Dr Amar Haji Hassan mengalu-alukan siri baca puisi PRIMA ke Arau pada Februari 2009 nanti. Dr Amar memberitahu, pihaknya bersedia bekerjasama dengan PRIMA dalam siri menggerakkan baca puisi ke seluruh negara menggesa PPSMI dimansuhkan, sama seperti dilakukan UMNO bagi menumbangkan ‘Malayan Union’ pada Februari 1948. Kalau UMNO boleh menumbangkan ‘Malaya Union’ dalam tempoh Mac 1946 hingga Februari 1948, justeru usaha PRIMA wajar diberi sokongan oleh semua orang Melayu dengan tak mengira fahaman politik, beliau menjelaskan. “PPSMI perlu dijadikan musuh utama kepada bangsa Melayu mulai sekarang,” Dr Amar menambah.

MESEJ DISAMPAIKAN DR HASSAN:
MANIFESTASI DRP BANGSA MELAYU

Bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Dato’ Dr Hassan Ahmad enggan berkompromi dalam isu PPSMI, malah secara emosi menganggap mereka yang terbabit melaksanakan dasar berkenaan sebagai ‘pembunuh bahasa Melayu’ yang tak boleh dimaafkan. Dato’ Dr Hassan bukan sahaja menggesa memorandum bersepadu dihantar segera kepada semua pimpinan Melayu, beliau juga bersedia memimpin delegasi bagi menyampaikan bantahan tersebut. Manifestasi Dato’ Dr Hassan dalam menyampaikan mesej penentangan bangsa Melayu kepada dasar pendidikan yang mundur ke belakang ini, beliau menghasilkan puisi protes yang keras, teras dan tegas! Justeru di bawah ini diperturunkan sajak yang ditulis Dato’ Dr Hassan.

PUISI

Wahai Pujangga

Sejak dahulu engkaulah pemikir bestari bangsamu,
merakamkan kekuatan bersama bangsamu dalam madahmu
berfikir, mencipta tamadun.
Tidak untuk memusnahkan tamadun bangsa
hikmahnya kekal zaman berzaman.

Sekarang di mana kamu?
suaramu, kebijaksanaanmu, geniusmu
tidak ada lagi pada Perdana Menteri Melayu.
Tidak ada pada menteri Melayu.
Tidak ada pada wakil rakyat Melayu.
Tidak ada pada pegawai tinggi Melayu.
Tidak ada pada NGO Melayu.

Yang tinggal ialah suara durjana
suara keledai, suara bahlul
dari manusia Melayu didikan penjajah Barat
dan mangsa ekonomi pasaran bebas.
Untuk meneruskan agenda lama,
menjajah dan memusnahkan emangat dan roh Melayu.

Mereka membunuh suara Melayu – lidah Melayu, bahasa Melayu
maka lemahlah bangsamu, tidak akan mampu berfikir dalam bahasanya sendiri.
Tidak mampu bermadah dalam bahasanya sendiri.
Tidak mampu mempengaruhi dunia dalam bahasanya sendiri.
Tidak berdaya mencipta apa-apa ilmu dalam bahasanya sendiri.

Itulah titik mula kejatuhan bangsa Melayu.

Kini bangsamu sedang berada dalam penjajah ekonomi
kuasa baru.
Kuasa The Lord of the Rim.
Kuasanya tetap, tidak boleh disuruh meninggalkan negeri ini.
Kalau dulu ‘The British Raj’ dapat diusir.
Kini ‘The Lord of the Rim’ tidak dapat diusir.
Keturunan mereka sudah menjadi rakyat Malaysia.
Mereka akan tetap berada di sini menguasa bangsamu.

Bangsamu akan menjadi hamba di tanah airnya sendiri.

Melainkan lahir kuasa Melayu baru untuk mencegah sejarah ini.
Terima masih kepada Abdul Rahman, Mahathir, Dolah dan akhirnya Najib.

-HA
Kuala Lumpur
31 Disember 2008.


INFO SUARA PROLITAR

RESOLUSI TAHUN BARU GAHM
HEH HEH HEH, ISY ISY ISY, ALAHAI ALAHAI!

Apalah nasib bangsaku Melayu. Sudahlah tebal dengan Phd. Gemar sangat pula mencurahkan ‘air di tempayan bila mendengar guruh di langit’. Walaupun guruh itu hanyalah janji-janji kosong yang dilaung-laungkan oleh orang yang sudah terbukti ‘munafiq’. Masa berkuasa dulu dialah ‘panglima Rasuah’ yang amat rakus dan arogan. Sekarang selaku ketua gerombolan yang dianggotai ramai chauvenis Cina & India, dia berjanji akan memansuhkan DEB dan mencairkan apa saja yang ‘Melayu’. Dia menjanjikan kedaulatan rakyat – terang-terang menyatakan penolakan kedaulatan Melayu. Dia bersekongkol dengan pejuang ‘Malaysian Malaysia’ yang kurang ajar dan biadap. Demi survival & keutuhan bangsa Melayu marilah kita bersatu mempertahankan bangsa Melayu.

Mari kita kukuhkan heh heh heh dengan menyokong dan berdiri teguh di belakang pimpinan baru heh heh heh! Hanya heh heh heh parti yang punya kekuatan ‘politic of numbers’ – komponen terpenting dalam amalan demokrasi – (sibarkan). Matlamat meghalalkan cara. Itulah strategi & falsafah isy isy isy, dalam PRU yang lepas. 1) Disekongkolkan olehnya dalam alahai alahai pemimpin-pemimpin ehem ehem yang menjuarai filsafah Malaysian Malaysia warisan daripada papa papa Lee Kuan Yew. 1.a) Di Pulau Pinang ehem ehem memperlekehkan dan keluhuran Perlembagaan dengan melaksanakan penggunaan pelbagai bahasa pada papan tanda jalan.

1.b) Di Selangor pula usy usy usy dengan serakah membuat begitu di hah hah hah. 2) Lulus jarum luluslah kelindan. 2.a) Di Perak ehem ehem dah mula memilih ketua kampung dengan cara sendiri – terang-terang mencabar hak MB melantik ketua-ketua kampung. 2.b) Kerajaan alahai alahai Perak secara ‘politic of numbers’ MBnya Melayu tapi ditenggelamkan oleh bilangan wakil rakyat bukan Melayu – yang sudah mula menunjukkan taring mencabar & ‘meng-eheheh’ MB Melayu yang di ‘out numbered’!
3) Wakil rakyat bukan Melayu alahai alahai di Selangor sedang ‘black mail’ kepimpinan alahai alahai & hai hai – tamparan hebat kepada isy isy isy menanggung bala tambahan,
setelah gagal mengotakan janjinya yang riak & takbur untuk menjadi PM pada September 16 – cakap tak serupa bikin.

4) Mereka dah mula meluluskan kelindan chauvenis setelah isy isy isy ‘berjaya’ meluluskan jarum. 5) Orang Melayu mesti bersatu menyekat gerakan isy isy isy mencairkan segala yang berupa hak orang Melayu demi dendam kesumatnya untuk jadi PM. 5.a) Belum jadi dah gini. Kok jadi hancurlah Melayu. 6) Demi masa depan Melayu kita hanya ada satu pilihan iaitu heh heh heh. 7) Orang Melayu perlulah menyokong & memperkasa heh heh heh di bawah kepimpinan baru yang segar dengan iltizam & tekad tanpa kompromi.

Ke manakah Melayu hendak dibawa oleh kerajaan alahai alahai di Selangor? A1) Alahai alahai Selangor (baca ehem ehem) MBnya buah hati isy isy isy. Maukan UiTM dibuka untuk bukan Melayu. 2) Projek utama buat kandang babi besar-besaran. 3) Buat papan tanda jalan berbagai bahasa. B1) Alahai alahai Perak (baca ehem ehem ehem) MBnya orang hi hi hi tunduk kepada ehem ehem = beri hak milik kekal 999 tanah di kampung-kampung baru yang ‘bertentangan’ dengan ‘Kanun Tanah Negara’. C1) Alahai alahai Kedah (baca hi hi hi) MBnya pun nak ikut Selangor turut buat kandang babi besar-besaran juga. Alahai!

D1) Alahai alahai Pulau Pinang (baca ehem ehem) menolak DEB. D2) Melaksanakan papan tanda jalan berbagai bahasa ‘bertentangan’ dengan ‘Akta Bahasa Kebangsaan. D3) Timbalan KM Melayunya kaku macam tunggul mati. Alahai! E1) Dan berbagai lagi perlakuan alahai alahai yang mempersendakan & meng-eheheh orang Melayu. E2) Kita nak biarkan saja ke? F1) Orang Melayu hanya ada satu benteng, iaitu heh heh heh. F2) Resolusi tahun baru kami Gerakan Anti Hipokrasi Malaysia (GAHM) – (SMS; 3 Januari 2009; 11:25:48 – GAHM, Kuala Lumpur tel: 016-2794207).

KOMENTAR
Bersama Pak Parjo

PERBENDAHARAAN NEGARA DISIASAT:
PENGHULU YANG ATUR MAKAN DI ISTANA

Sebermula tersebutlah ceritera Orangkaya Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak, disuruhnya siasat penyelewengan dalam perbendaharaan negara. Maka Orangkaya Dato’ Seri Mohd Najib berasa masyghollah ia, selepas Orangkaya Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri T. Murugiah yang menyebut lebih 60 perbuatan yang membabitkan kehilangan wang dalam perbendaharaan negara itu. Arakian Orangkaya Dato’ Mohd Najib tak mahulah dibuat andaian mengenai kejadian seperti itu, kerana kejadian itu seolah-olah membabitkan mereka dalam perbendaharaan negara. Syahdan bukanlah mudah mahu mendapatkan maklumat mereka yang menyimpan akan wang dalam perbendaharaan negara, kalau bukan dengan penyelewengan. Orangkaya T Murugiah juga bukanlah mendedahkan perkara itu sekadar suka-suka sahaja, setidak-tidaknya peninglah juga kepala Orangkaya Dato’ Seri Mohd Najib. Heh heh heh!

Syahdan maka apabia raja bekerja, penghulu bendaharilah yang memerintahkan di dalam, menyuruh membentang tikar dan menghiasai balairong, menggantung tabir langit-langit dan melihat makanan orang, menyuruh memanggil orang, kerana segala hamba raja dan segala bendahari raja dan segala yang memegang hasil negeri raja dan shahbandar sekaliannya di dalam kira-kira penghulu bendahari. Maka penghulu bendaharilah menyuruh memanggil orang, maka Temenggung mengatur orang raja. Maka di balai orang makan empat orang sehidangan, sampai ke bawah demikian juga. Dan jika temannya makan itu tiada seorang, tinggal tiga, atau tinggal dua, atau tinggal seorang, makan juga ia. Adapun tugas penghulu bendahari itu memang menjaga akan ia perbendaharaan negara seperti disebut dalam ‘Kitab Melayu’ daripada:



HIDUP BAHASA MELAYU

Thursday, January 1, 2009

WARGA PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
S U A R A < < < > > > P R I M A

(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)




DARI LAMAN BLOG:


PENCAPAIAN 25.6% DALAM PPSMI
PMR SEKADAR DITURUNKAN GRED




Assalamualaikum,




Keputusan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2008 seolah-olah memberi paspot kepada Menteri Pelajaran Dato’ Seri Hishamuddin Hussein dengan segala kepongahan mahu meneruskan agenda PPSMI (Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris). Daripada 472,060 calon PMR, 26,378 pelajar lulus dengan gred A atau 5.96% bagi semua mata pelajaran. Aduhai! Kononnya penguasaan bahasa Inggeris dalam Sains dan Matematik meningkat berdasarkan keputusan di atas kertas, untuk memberi paspot kepada Dato’ Seri Hishamuddin. Tetapi bagi mereka yang terbabit dengan PMR sama ada guru-guru mahupun kesatuannya memahami tahap gred sengaja diturunkan bagi propaganda kononnya anak-anak Melayu berjaya cemerlang apabila 25.6% mencapai prestasi PPSMI bagi PMR tahun ini.




Mungkin sahaja Dato’ Seri Hishamuddin tak mampu menyorokkan bangkai gajah di sebalik daun lalang sehelai, apabila jumlah graduan menganggur meningkat secara mendadak. Rakyat Malaysia wajar diberitahu ada kalangan pelajar yang lulus akauntans sekadar mampu menjadi guru di sekolah rendah, malah lulus syarie di Universiti Azhar, Kaherah pun balik ke tanah air untuk mengajar di sekolah rendah. Graduan yang turut berbangga memperoleh ijazah dengan kepujian kelas pertama tak berupaya membuat praktikal, disebabkan kelulusan bersandar kepada kekuatan menghafal. Justeru anak Melayu yang keluar meninggalkan IPTA/IPTS dengan segulung ijazah, memang sebelah mata pun pihak korporat atau syarikat-syarikat bukan Melayu tak sudi memandang.



Dasar pendidikan yang berbangga dengan pencapaian menerusi di atas kertas dengan menurunkan tahap gred untuk mengabui mata ibu bapa yang menyangka anak-anak mereka lulus cemerlang Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris, semata-mata mahu dijadikan propaganda kepada kejayaan kementerian pelajaran melaksanakan agenda PPSMI. Aduhai! Cukuplah pelajar-pelajar Melayu dijadikan eksprimen pada pasca merdeka dengan kegelojohan UMNO melaksanakan ‘sekolah menengah Melayu’ dengan tak mempunyai persediaan bagi IPTA Melayu, guru-guru terlatih dan buku-buku teks yang mencukupi. Pelajar-pelajar terbabit melongo sebaik sahaja lulus di peringkat SPM (atau setaraf MCE) dengan kertas peperiksaan masih dikendalikan oleh Oxford, kerana tak wujud lagi IPTA untuk mereka.




Tak seorang pun pelajar-pelajar terbabit terus mengambil peperiksaan HSC untuk ke IPTA (ketika itu Universiti Malaya sahaja), sebaliknya melongo sebagai penganggur, memohon jawatan guru normal class, DTC atau maktab perguruan. Majoriti bekas pelajar-pelajar terbabit adalah daripada keluarga prolitar di kampung-kampung, bagi memenuhi kemahuan pimpinan UMNO dalam menghadapi pilihanraya 1959. Tunku Abdul Rahman terpaksa memenuhi tuntutan Kesatuan Kebangsaan Guru-Guru Melayu Semenanjung (KKGMS) yang mendesak disegerakan pelaksanaan sekolah menengah Melayu, semata-mata mahu meningkatkan populariti UMNO menjelang pilihanraya1959 dalam krisis dengan MCA pimpinan Tun Dr Lim Chong Eu pada 1958.

PPSMI bukan sahaja menghina pengorbanan bekas pelajar-pelajar yang dieskprimen, malah tak mempedulikan pengorbanan mereka bagi menaikkan populariti UMNO pada pilihanrayan 1959. Pelajar-pelajar pendidikan menengah Melayu ketika itu, terpaksa menumpang di bangunan sekolah lain (macam bangsat), guru-guru lepasan Kirkby College di United Kingdom menterjemahkan sendiri buku-buku teks semasa mengajar (sebelum DBP menerbitkan buku-buku kimia, fizik, sains tambahan, geometri dan algebra secara terjemahan pada 1960), malah mereka berhadapan dengan seribu satu macam kesulitan. Apalagi ketika itu Dato’ Onn Jaafar pemimpin Parti Negara terus membangkitkan isu kepentingan Melayu yang memeningkan kepala pimpinan UMNO.

Pak Dharma


INFO HAK ASASI MANUSIA:


LEBIH 48 JAM JENAZAH TAK DIKEBUMI
ALIM AGAMA WAJAR TAMPIL JELASKAN




Banyak pihak terkilan dengan isu kelewatan permakaman jenazah Almarhum Tuanku Jaafar ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman melebihi 48 jam yang mangkat pada 27 Disember 2008 jam 11.45 pagi, kemudiannya istiadat permakaman dijalankan 29 Disember 2008 kira-kira jam 4.45 petang atau selepas asar. Menurut pemerhati-pemerhati, adalah tak munasabah kelewatan tersebut disebabkan menunggu kepulangan putera-putera baginda di luar negara, kerana hukumnya amat jelas jenazah seseorang mukmin perlu dikebumikan seberapa segera. Justeru kata pemerhati-pemerhati terbabit, alim agama termasuk dari parti-parti politik Islam perlu memberikan penjelasan. “Pada tarikh berkenaan tak berlaku sebarang darurat bagi melambat-lambatkan permakaman,” beritahu kalangan pemerhati.


Seterusnya pemerhati-pemerhati terbabit meminta, pihak jabatan agama seharusnya memberikan penjelasan sama ada melambat-lambatkan pengkebumian jenazah seseorang mukmin dibenarkan bagi menunggu kepulangan keluarga. Ketika membuat huraian itu, kalangan pemerhati terbabit berasa musykil apabila pihak jabatan agama mengambil sikap sambil lewa dengan tak menasihatkan pihak berwajib dalam urusan keagamaan. Isu kelambatan permakaman Almarhum Tuanku Jaafar bukan diperkatakan di Negeri Sembilan sahaja, malah turut mendapat perhatian umat Islam di Malaysia. “Justeru tak hairanlah satu perbincangan akan dibuat TV Bernama secara langsung hari Sabtu (3 Januri 2009) ini jam 10.00 malam menerusi saluran 502,” menurut sumber berkenaan.


PEMBUNUH BAHASA MELAYU
PENGKHIANAT DAN ‘BAHLUL’ SEJARAH


Bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Dato’ Dr Hassan Ahmad melabelkan golongan yang menjadi pembunuh Bahasa Melayu sebagai pengkhinat dan ‘bahlul’ sejarah. Serentak dengan itu beliau menggesa PRIMA dan kumpulan aktivis bahasa melengkapkan memorandum bersepadu kepada pembunuh-pembunuh Bahasa Melayu sebagai mesej bersama, dua minggu dari tarikh 31 Disember 2008. Dato’ Dr Hassan dalam amanatnya kepada khalayak yang menyertai malam baca puisi PRIMA di kediaman Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz malam kelmarin menyebut, beliau tak pernah menolak bahasa Inggeris sebagai bahasa ilmu, tetapi pelaksanaan PPSMI memperlihat kebahlulan mereka yang tak memahami sejarah bahasa.


“Bahasa Melayu sudah menjadi bahasa ilmu sejak lebih 400 tahun dulu iaitu sama dengan perkembangan bahasa Inggeris di barat,” beritahu beliau yang terbabit sebagai penyelidik bahasa sejak berkhidmat di DBP. Dato’ Dr Hassan yang turut menjadi penggerak dalam mengarak ‘Keranda 152’ pada 1966, mengingatkan PRIMA tak perlu mengulangi strategi 1966 apabila melebarkan aktiviti baca puisi di Pasir Salak 24 dan 25 Januari 2009 ini, tetapi menggerakkan strategi baru bagi menyampaikan mesej yang lebih keras kepada pembunuh-pembunuh Bahasa Melayu dan ‘bahlul’ sejarah. Sambil merujuk kepada pakar-pakar jantung di IJN mencapai tahap kemahiran sekarang adalah berdasarkan sistem pendidikan terdahulu iaitu sebelum wujud PPSMI enam tahun lalu.


Di samping menyifatkan Gabungan Penulis Nasional (Gapena) sebagai tak mempunyai ciri-ciri ‘kejantanan’, Dato’ Dr Hassan mengajak penyair, penulis dan aktivis bahasa kembali ‘menjantankan’ Gapena. Menurutnya, IJN yang dikomersilkan kepada syarikat korporat tak pernah mengajar tenaga pakar di hospital berkenaan berunding dalam usaha mempertingkatkan pengurusan, sebaliknya perundingan dijalankan berdasarkan ringgit dan sen bersama syarikat korporat terbabit. Menurutnya usaha Gapena untuk menyaman tak akan mencapai sasaran selagi institusi kehakiman dikuasai oleh pembunuh-pembunuh bahasa. “Jangan fikir dua subjek sahaja diajar dalam bahasa Inggeris, tetapi mengandungi 89 subjek pengajian tersebut hingga ke IPTA/IPTS yang akhirnya membunuh Bahasa Melayu,” kata Dato’ Dr Hassan.


TIGA BEKAS PELAJAR MELAYU
TAMPIL LAWAN PELAKSANAAN PPSMI


Tiga bekas pelajar pendidikan Melayu yang dieksprimen dengan penubuhan sekolah menengah Melayu secara tergesa-gesa oleh kerajaan UMNO/Parti Perikatan pada 1950-an bagi menghadapi pilihanraya 1959 tampil bersama peguam Siti Maryam Othman dalam majlis baca puisi menjelang tahun baru malam kelmarin (31 Disember 2008). Mereka yang terbabit ialah sasterawan Dharmala N.S. (Pak Dharma) sebagai pelajar eksprimen di Negeri Sembilan, aktivis budaya penyair Yassinsalleh yang dieksprimen di Pahang dan bekas Timbalan Naib Canselor (HEP) UTM Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah pelajar eksprimen di Perak. Dato’ Dr Mohd Mansor yang mewakili tiga bekas pelajar terbabit menjelaskan, “Kami akan melawan habis-habisan sehingga kerajaan UMNO sedar kesilapan dan dosa besar mereka kepada bangsa Melayu.”


Sambil merujuk kepada pertemuan pimpinan PRIMA diketuai Pak Dharma pada 15 Ogos 2007 dengan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, beliau bersetuju dengan saranan untuk menghantar mesej kepada pimpinan negara. Dalam pertemuan dengan Tun Dr Mahathir itu, pimpinan PRIMA mengakui bekas Perdana Menteri meminta maaf kepada rakyat Malaysia sekiranya beliau membuat kesilapan semasa mentadbirkan negara. Malah Tun Dr Mahathir menasihatkan supaya terus menyampaikan mesej bagi membawa perubahan, kerana yang bersalah bukan UMNO sebaliknya orang-orang tertentu di dalam UMNO. “Justeru dalam usaha menentang PPSMI kami menerima nasihat Tun Dr Mahathir untuk menyampaikan mesej kepada Dato’ Seri Hishamuddin,” beritahu Dato’ Dr Mohd Mansor.


PENGUNDI DI TERENGGANU DIGESA
SAMPAIKAN MESEJ MENOLAK PPSMI


Pengundi-pengundi Melayu digesa menyampaikan mesej kepada pimpinan UMNO dalam pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu, Januari 2009 ini sebagai manifestasi menolak PPSMI. Gesaan tersebut dibuat oleh Jurucakap PRIMA yang juga bekas Exco Pemuda UMNO, Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz dalam majlis baca puisi sempena tahun baru malam kelmarin (31 Disember 2008) di kediamannya di Taman Tun Dr Ismail. Katanya, kekalahan calon UMNO di Kuala Terengganu sahaja boleh menyedarkan Menteri Pelajaran Dato’ Seri Hishamuddin Hussein, betapa bangsa Melayu menolak sama sekali PPSMI yang menghina kedaulatan Bahasa Melayu. “Kalau mahu tingkatkan Bahasa Inggeris kepada pelajar-pelajar Melayu, subjek sastera Inggeris yang perlu diberi penekanan,” menurut Dato’ Kamal Amir.



Sementara itu pimpinan UMNO Kelantan Dato’ Suhaimi Yaakob mahukan semua orang Melayu tak mengira aktif dalam politik yang berbeza, bersatu menggembeling tenaga bagi mendaulatkan Bahasa Melayu. Dato’ Suhaimi yang turut membaca puisi bagi memberi sokongan moral kepada PRIMA tergesa-gesa meninggal majlis kira-kira jam 11.00 malam apabila diminta oleh Persatuan Anak Melayu Kelantan di Kuala Lumpur menghadiri majlis tahun baru mereka di Ampang. “Sekalipun saya mempunyai tiga acara penting pada malam, tetapi saya memilih baca puisi PRIMA bagi diutamakan kerana ianya perjuangan Bahasa Melayu yang membabitkan semua golongan orang Melayu yang berbeza fahaman politik,” katanya apabila meninggalkan majlis.




INFO SASTERA & BUDAYA:


BACA PUISI SEMPENA TAHUN BARU
MANIFESTASI RAKYAT MENOLAK PPSMI



Majlis baca puisi di kediaman Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz di Taman Tun Dr Ismail sempena tahun baru malam 31 Disember 2008 dihadiri ramai penyair tersohor dan aktivis bahasa yang menolak agenda kerajaan mahu melaksanakan PPSMI (Pengajaran dan Pebelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris). Antara barisan penyair dan aktivis bahasa terbabit termasuklah Dato’ Dr Hassan Ahmad, Dato’ Ruhanie Ahmad, Yassinsalleh, Dato’ Dr M. Ashikin, Dr Seri Intan Mokhtar, L. Mankadir Shamsi, Pyan Habib, Zakaria Bidin (Zek), Dato’ Kamal Amir, Pak Dharma, Dato’ Suhaimi Yaakob, Haji Mohd Sayuti Omar (MSO), Yasleh Rita Ayu, Peguam Siti Maryam Othman, Syed Nor Adnan Dato’ Syed Abdullah (Presiden Kelab Penyokong Kerajaan) dan ramai lagi jemputan dan rakan-rakan tuan rumah.


Penyair Pyan Habib menjadi tumpuan dalam isu menolak PPSMI menerusi dua buah puisinya ‘Surat Kepada Tuan Perdana Menteri’ dan ‘Surat Kepada Gapena’ dengan tepukan gemuruh daripada khalayak. Apalagi bait-bait sinikal Pyan Habib yang menyebut ‘turunkan seluar Gapena, hingga terbuka ke terkemaluan’, di samping ‘Surat Kepada Tuan Perdana Menteri’ mengingatkan ‘Tuan Perdana Menteri’ akan kebodohan rakyat semakin bertambah bodoh dengan dasar PPSMI itu. Sekalipun dasar PPSMI dilaksana pada period pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad, tetapi khalayak tak menyalahkan beliau yang sudah bersara. Sebaliknya pimpinan sekarang bertanggung jawab kerana meneruskan legasi dasar yang tak menguntungkan bangsa Melayu.


BACA PUISI PRIMA DITERUSKAN
PAHANG BERSEDIA JADI TUAN RUMAH


Mesej penentangan terhadap PPSMI yang digerakkan oleh PRIMA akan diteruskan ke Terengganu dan Pahang dijangka pertengahan Januari 2009, kata aktivis masyarakat di Pahang, L. Mankadir Shamsi. Memberitahu sekretariat PRIMA ketika majlis baca puisi sempena tahun baru di Taman Tun Dr Ismail kelmarin (31 Disember 2008), Mankadir berkata, majlis baca puisi akan diadakan di pekan Lancang dikediaman Presiden Kelab Penyokong Kerajaan Malaysia, Syed Nor Adnan Dato’ Syed Abdullah (Abang Engku). Menurut Mankadir, Abang Engku sudah memberikan persetujuan bagi memastikan kedaulatan Bahasa Melayu tak diperkotak-katikkan. “Saya akan berbincang dengan rakan-rakan di Terengganu bai membawa mesej PRIMA dalam pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu dijangka 17 januari 2009,” beritahu Mankadir.


Seterusnya Mankadir menjelaskan, PRIMA tak menjadikan ianya isu politik, tetapi tetap menggunakan setiap saluran bagi menyampaikan mesej menolak PPSMI. Memang kami menyedari kepongahan kerajaan UMNO yang degil sekalipun dalam keadaan ‘nyawa-nyawa ikan’, sebaliknya PRIMA tetap bersikap macam memukul ular tengah belukar; ularnya biar mati, kayu pemukul jangan patah, tanahnya jangan lembang. Justeru dalam menghadapi isu PPSMI, kita sedia bersemuka dengan menterinya mahupun Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi. “Kami menyokong sebarang pertemuan dengan pimpinan kerajaan dalam isu PPSMI, malah bekas Ketua Pengarah DBP Dato’ Dr Hassan Ahmad juga bersedia mewakili PRIMA,” katanya menambah.


MENERUSKAN PENGAJIAN SARJANA
MASA TERLUANG DATO’ RON KE UKM


Bekas Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan di Parlimen (BBC) Dato’ Ruhanie Ahmad (Ron) menggunakan masa terluang melanjutkan pengajian peringkat kesarjanaan di UKM sejak pertengahan tahun ini (2008). Beliau yang juga ahli lembaga pengarah Utusan Melayu (M) Bhd dan bekas ahli Parlimen Parit Sulong tak terkilan dengan keputusan UMNO tak mencalonkannya untuk bertanding Majlis Tertinggi (MT) pada pemilihan Mac 2009 nanti. Dalam mesyuarat UMNO peringkat Bahagian yang berakhir November 2008 lalu, Dato’ Ron sekadar memperoleh 8 pencalonan sahaja dengan tak melepasi kouta 10 pencalonan bagi jawatan MT seperti yang ditetapkan. “Sebagai ahli parti yang setia, saya tak terkilan dengan keputusan tersebut,” katanya.


Sementara itu pendeklamator Yasleh Rita Ayu pula meneruskan pengajian di peringkat kesarjanaan bagi memperoleh Phd di Universiti Malaya. Beliau yang turut mendeklamasi sajak sempena tahun baru anjuran PRIMA kelmarin (31 Disember 2008) memberitahu akan terus menyertai siri baca puisi menentang PPSMI. Sekalipun sibuk dengan kuliah pengajian, tetapi Yasleh tak keberatan membabitkan diri dalam gerakan mendaulatkan perjuangan Bahasa Melayu. Menurutnya, tak ada apa-apa lagi yang boleh dibanggakan oleh bangsa Melayu untuk generasi akan datang, kecuali bahasanya yang semakin tercabar. “Kita akan kehilangan segala-galanya kalau Bahasa Melayu diinjak-injak oleh pimpinan Melayu sendiri,” beritahu Yasleh.



LAWAK ZEK MEMANG MENGHIBUR
BAHASA MELAYU KAYA DENGAN IDEA


Di samping beberapa pendeklamator bersemangat dalam majlis baca puisi PRIMA di kediaman Dato’ Kamal Amir di Taman Tun Dr Ismail, pengerusi majlis Zakaria Bidin (Abang Zek) berjaya mencuri perhatian dengan lawak spontannya mengendalikan majlis berkenaan. Bekas Ketua Pengarah DBP Dato’ Dr Hassan Ahmad yang juga ‘abang long’ beliau, turut terpesona dengan gelagat Abang Zek sepanjang majlis berkenaan. Abang Zek bukan sahaja mampu membuat 35 ayat spontan dengan dimulakan huruf ‘j’, malah menyusun cerpen dengan perkataan ‘ri’. Tak siapa menyangka Abang Zek membuktikan kekayaan idea Bahasa Melayu yang diperlekeh oleh kerajaan menerusi PPSMI menerusi 35 ayat bermula huruf ‘j’ dan cerpen daripada perkataan ‘ri’.



Bermula dengan ‘Jamal’ pergi ‘joging’ lalu ‘jumpa’ ‘Jamilah’ yang ‘jeling-jeling’ menyebabkan si Jamal ‘jatuh’, Abang Zek terus menyusun ayat dari huruf ‘j’ hingga kepada 32 ayat. Dengan kekurangan tiga ayat, Abang Zek menyelitkan pula ‘jeng jeng jeng’ merujuk kepada ‘jeanne, jeanne, jeanne’ bagi mencukupkan 35 ayat. Begitu juga cerpennya yang menggunakan perkataan ‘ri’; daripada pasangan suami isteri, ke pasar sari, dengan anak tiri, di samping mencari-cari sampai tengahari, Abang Zek terus menggamatkan majlis kerana ke rumah Perdana Menteri, yang tak ada isteri, jumpa Nuri dan menantunya Khairy, bincang fasal Islam Hadhari. “Pandai juga budak ni melawak,” kata Dato’ Dr Hassan terkekeh-kekeh dengan gelagat Abang Zek.


PUISI


Arca Makrifat


Bendera megah di mega nusa
merias angkasa di kota Bentan
perwira gagah menjaga bangsa
tegas perkasa membela watan.


Tumbuk padi di Langkapura
untuk hidangan si hulubalang
tunduk padi tunduk perwira
tunduk lalang jadi petualang.


Kerawang lilin dibelah bujur
gangsa dipangsa dengan teliti
pejuang tulen mestilah jujur
nusa bangsa jangan dikhianati


Kuala Bidara gugusan jati
sendi penarik Pekan Sedili
kata bicara luruskan hati
jadi munafik jangan sekali.


Kuala Kelawang pekan rawa
bumi rahmat di ceruk maya
bila berjuang putihkan jiwa
resmi khianat buruk adanya.


Teluk Datuk Teluk Pandan
memilir wangi kasa baiduri
tumbuk rusuk meremuk badan
mungkir janji membinasa diri.


Gelora ombak meniti hikmah
memancar kilat arca makrifat
cara bertindak mesti berhemah
biarlah selamat dunia akhirat.


Pulau Pengail merajang mata
dengan kilau geliga Andalas
jikalau kail panjang sehasta
jangan kau duga segara luas


Bangka Laut puja-pujaan
diserlah lulut kemboja utan
jika dianut kepura-puraan
jadilah badot pemuja setan.


Di Kuala Balah kota sejarah
ukiran batu penangkal budi
kepada Allah kita berserah
pohonkan restu kekal abadi.

-Ruhanie Ahmad
Selangor.
22 Disember 2008.



INFO SUARA PROLITAR:


KANAK-KANAK DIPERALAT JERIT
BAGAIMANA SAMBUT PIMPINAN BN?



Eskpedisi berbasikal ‘Mengayuh Perubahan’ dipelopori JERIT dikatakan menyalah gunakan kanak-kanak bagi kepentingan pihak tertentu. Isu kanak-kanak bukanlah perkara baru, malah sudah dibantah oleh pertubuhan hak asasi manusia di peringkat antarabangsa. Sayangnya bantahan tersebut tak dipedulikan oleh semua kerajaan di dunia, seolah-olah laungan pertubuhan hak asasi manusia tak bermakna apa-apa. Tetapi apabila JERIT melancarkan ekspedisi ‘Mengayuh Perubahan’, polis juga digunakan mahu menakut-nakutkan pihak terbabit. Walhal polis tak digunakan bagi menghalang buruh kanak-kanak di gerai-gerai makan dengan upah yang tak setimpal. Buruh kanak-kanak juga ramai di estet-estet, malah di sektor pembinaan juga.




Kerajaan BN juga menggunakan kanak-kanak dan murid-murid sekolah menyambut pemimpin-pemimpin BN yang berstatus menteri malah Perdana Menteri. Dalam buku Dato’ Chamil Wariya mengenai Dato’ Seri Dr Mohd Khir Toyo, juga menyebut bekas Menteri Besar Selangor itu dibangunkan awal pagi oleh ibu bapanya ketika di sekolah menengah, bagi berbaris di kiri kanan jalan menyambut ketibaan Perdana Menteri ketika itu Tun Dr Mahathir Mohamad. Buku tulisan Dato’ Chamil Wariya itu adalah bukti jelas, murid-murid sekolah diperalatkan bagi menyambut pemimpin BN. Bukan sahaja kejadian di Sabak Bernam, malah setiap perayaan Hari Kebangsaan atau perarakan Mauldir Rasul kanak-kanak dan murid-murid sekolah terus diperlatkan.



Kanak-kanak juga didedahkan sebagai pelakon bagi TV atau filem, semuanya adalah ditakrif mengeksploitasi kanak-kanak. Justeru pihak polis harus dikerah membanteras eksploitasi kanak-kanak itu yang upahnya tak setimpal dengan tenaga yang dicurahkan. Apabila kanak-kanak terbabit dalam ekspedesi ‘Mengayuh Perubahan’ ditakrif sebagai memperalatkan kanak-kanak kerana kelihatan aktivis pembangkang bersama, lalu dikerah polis bertindak, kenapa polis tak digunakan membanteras kerajaan BN melakukan perkara yang sama. Pertubuhan hak asasi manusia antarbangsa sudah merumuskan dalam apa bentuk pun, memperalatkan kanak-kanak adalah berlawanan dengan hak asasi manusia – (Dr Seri Intan Mokhtar, UPM, Selangor).




KOMENTAR
Bersama Pak Parjo



AZAM PAK LAH BAGI TIGA PURNAMA
& PERIHAL MENUMPANG KAPAL DISUMPAH



Syahdan ketika menyambut tahun baru, selepas Maal Hijrah maka Orangkaya Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi berazam untuk memelihara kekuatan iktisad negara, di samping melindungi kepentingan rakyat. Maka rakan-rakan fakir tertanya-tanya perihal keazaman Orangkaya Dato’ Seri Abdullah dalam tempoh tak sampai tiga purnama sahaja lagi. Adapun sejak bertahun-tahun berazam tak memberikan apa-apa kemanfaatn, bagaimana gerangannya dalam tempoh tak sampai tiga purnama sahaja lagi mahu melaksanakan azam itu? Arakian berkatalah orang tua-tua Melayu dahulukala: ‘Salangkan bah kapar tak hanyut, inikan pula kemarau panjang!’. Maka akan Orangkaya Dato’ Seri Abdullah itu pada kasadnya mahu lagikah meneruskan azamnya itu?


Arakian akan Orangkaya Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak menitir canangnya sendiri http://www.1malaysia.com.my/. dalam perutusan tahun barunya mahu menyelamatkan rakyat daripada berdepan kesukaran jika iktisad dunia tak menentu. Entahlah! Ketika iktisad dunia ‘menentu’ pun kesukaran rakyat masih tak dapat diselamatkan, bagaimana gerangan Orangkaya Dato’ Seri Mohd Najib mahu memenuhi janji itu. Kalau iktisad negara lebih kukuh daripada kegawatan 1997/98, maka kenapa gerangan Orangkaya Dato’ Seri Mohd Najib menitir canang nak selamatkan rakyat? Hatta terlalulah banyak persoalan daripada canang yang dititir oleh Orangkaya Dato’ Seri Mohd Najib, hingga malaslah fakir nak memikirkan. Adanya!




Sebermula Hang Isap yang disumpah saiyid itu belayar kembali ke Melaka. Adapun Hang Isap disumpah itu kerana dia menipu saiyid dalam perniagaan. Telah datang ke laut Sailan, hujan tiada, ribut tiada, tiba-tiba kapal itu dengan segala isinya tenggelam. Maka Hang nadim dengan beberapa orang sertanya lepas dengan sampan, serta harta ada sedikit-sedikit, lalu ke Sailan. Setelah didengar oleh raja Sailan, maka dipanggilnya Hang Nadim. Maka diperbuat oleh Hang Nadim tanglong telur, kulitnya diukir, dipasangi dian, terlalu indah rupanya. Syahdan akan Raja Sailan hendak dipegangnya Hang Nadim, lalu berleps ia menumpang kapal orang ke Melaka. Telah sampai lalu menghadap Sultan Mahmud. Maka titah Sultan Mahmud, ‘Sudah diketahui Hang Isap kena sumpah saiyid kerana menipu, mengapa Hang Nadim menumpang juga kapal Hang Isap itu’, seperti disebut dalam ‘Kitab Melayu’ oleh:




HIDUP BAHASA MELAYU!!!

Monday, December 29, 2008

WARGA PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
S U A R A < < < > > > P R I M A
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG


BAK SIRIH YANG PULANG KE GAGANG:
UNDANG YANG EMPAT MEMILIH YAMTUAN

Assalamualaikum,

Memang terlalu sulit pemilihan DYMM Tuanku Yang Dipertuan Besar, hingga jam 4.00 petang hari ini (29 Disember 2008) semuanya dirahsiakan sehinggalah YTM Dato’ Kelana Petra, Dato’ Haji Mubarak Dhuhak, Undang Luak Sungai Ujong (Imam Undang Yang Empat) secara rasmi membuat pengumuman di Balairongseri Istana Seri Menanti. Sekalipun saya cuba hubungi Kamarudzaman Salleh yang sentiasa bersama disisi YTM Dato’ Lela Maharaja Dato’ Haji Muhamad Sharip Haji Othman, Undang Luak Rembau sejak hari kemangkatan Tuanku Jaafar 27 Disember 2008 yang lalu, tetapi beliau tetap merahsiakan segalanya, di samping hanya sekadar memberikan sedikit tip iaitu ‘angin baru’. Alhamdullillah.

Kerapatan Undang Yang Empat memilih DYMM Tuanku Mukhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir menaiki takhta Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan seolah-olah bak sirih pulang ke gagang. Ketika kemangkatan ayahanda baginda Almarhum Tuanku Munawir pada 1967, Tuanku Mukhriz baru berusia 18 tahun sahaja di samping dalam kedudukan ‘Putera Yang Empat’, baginda memegang pesaka Tengku Panglima Besar. Walaupun baginda pernah dilantik menjadi Pemangku Yang Dipertuan Besar apabila ayahandanya ke luar negeri, tetapi Undang Yang Empat ketika itu memilih Tuanku Jaafar untuk menaiki takhta. Selepas 41 tahun berlalu, DYMM Tuanku Mukhriz dipilih menaiki takhta oleh Undang Yang Empat seperti disebut: ‘Sirih pulang ke gagang; cincin pulang ke jari, harta pulang ke empunya’. Barangkali!

BUSH MASIH CAKAP BESAR:
TUDUH HAMAS MACAM SAMSENG

George W Bush yang akan meninggalkan jawatan Presiden Amerika Syarikat (AS) 20 Januari 2009 ini, masih berlagak macam koboi apabila melabelkan pejuang Hamas sebagai ‘samseng’ ketika mengulas serangan Israel ke atas Gaza semalam (28 Disember 2008). Dalam serangan Israel ke atas Gaza yang dipanggil ‘Operation Cast Lead’, 290 jiwa terbunuh dengan 780 orang cedera bagi tempoh 24 jam. Seperti biasa pihak Israel memberitahu pihaknya seorang sahaja terbunuh akibat serangan 150 roket Hamas diikuti tembakan mortar ke selatan negeri Yahudi itu. Laporan kebangsatan Israel mengenai orang Yahudi hanya seorang sahaja mati, sekadar propaganda untuk naikkan semangat tenteranya seolah-olah mereka kebal macam Firaun Ramses.

Apalagi dengan insiden kasut terbang yang hampir menerjah ke muka George Bush dalam lawatannya ke Iraq baru-baru lalu, imej AS sebenarnya macam longkang pecah melimpahkan kotoran yang berbau busuk lagi busuk dan sebusuk-busuknya. Ironinya, bakal Presiden AS, Barrack Hussein Obama yang berjanji mahu memulihkan imej AS sekadar menyebut beliau ‘mengikuti rapat’ serangan Israel ke atas Gaza. Dalam tempoh tak sampai sebulan lagi Bush akan menjadi ‘kutu belahak’, beliau masih bercakap besar dengan tak memikirkan Barrack Hussein Obama yang akan menduduki Rumah Putih namanya mirip dengan musuh beliau iaitu Barrack (Saddam) Hussein Obama (Osama bin Laden). Justeru, PBB yang sudah tak berfungsi seharusnya memikirkan premis ibu pejabat dipindahkan dari AS ke negara lain yang lebih bermaruah.

-Pak Dharma

INFO HAK ASASI MANUSIA


BEKAS PELAJAR MELAYU YANG DIEKSPRIMEN:
TAMPIL MENGAMBIL TINDAKAN UNDANG-UNDANG

Dua bekas pelajar yang dieksprimen bagi pendidikan Melayu sekitar dekad 1950-an bersedia tampil mengemukakan saman kepada kementerian pelajaran sekiranya isu PPSMI (Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris) tak diselesaikan secara bijaksana. Menurut Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz dua bekas pelajar yang dieksprimen apabila sekolah menengah Melayu mula dilaksanakan ialah pimpinan PRIMA sasterawan Dharmala N.S. (Pak Dharma) dan bekas Timbalan Naib Canselor (HEP) UTM Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah. Mereka sudah berkorban untuk memartabatkan pendidikan aliran Bahasa Melayu, tetapi PPSMI seolah-olah melupakan pengorbanan mereka. “PRIMA akan mengambil tanggungjawab kalau GAPENA tak meneruskannya pada 31 Disember ini,” beritahu Dato’ Kamal Amir.

Seterusnya Dato’ Kamal Amir menambah, pelajar-pelajar yang dieksprimen untuk pelaksanaan pendidikan menengah Melayu pasca merdeka, berhadapan dengan serba kekurangan termasuk buku teks yang tak sempat diterjemahkan, guru-guru yang tak terlatih sekadar daripada lulusan Kirkby di United Kingdom dan bangunan sekolah yang terpaksa menumpang di premis lain. Katanya lagi, pelajar-pelajar yang lulus Sijil Rendah Pelajaran (SRP yang setaraf LCE) pada 1960, diikuti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM yang setaraf MCE) tak disediakan peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan (STP yang setaraf HSC) untuk ke pusat pengajian tinggi, disebabkan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) hanya diwujudkan pada 1970.

“Pelajar-pelajar yang diekspimen ini hanya mampu menjadi guru, kerani dan lain-lain perjawatan rendah dengan kelulusan tersebut pada 1962,” jelas Dato’ Kamal Amir lagi. Justeru beritahu Dato’ Kamal Amir, Menteri Pelajaran Dato’ Seri Hishamuddin Hussein perlu memahami sejarah pendidikan Melayu sebelum berdegil mahu meneruskan PPSMI. Bagi menghargai pengorbanan bekas pelajar-pelajar yang dieskprimen ini, PRIMA tak teragak-agak meneruskan kempen ormas (organisasi massa), sekiranya Gapena masih mahu ‘bertarik tali’ dalam isu berkenaan. “PRIMA sudah menghubungi beberapa peguam Melayu yang bersedia bersama PRIMA mewakili dua orang bekas pelajar pendidikan Melayu yang dieksprimen ini,” kata Dato’ Kamal Amir.

ANWAR PERLU UNTUK KOMPROMI:
PELUANG TUBUH ‘KERAJAAN BARU’

Ketua Pembangkang Dato’ Seri Anwar Ibrahim disaran berkompromi dalam usaha menubuhkan kerajaan baru yang ditaja kumpulan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah iaitu ‘Kerajaan Perpaduan’. Justeru mereka yang di sekeliling Dato’ Seri Anwar perlu menerima hakikat, kerajaan baru tak mungkin ditubuhkan dalam usaha mengakhiri dominasi UMNO dan BN sejak 1955, menurut kalangan penganalisis politik. Kalangan yang rapat dengan kem Tengku Razaleigh mengakui beberapa siri rundingan dengan pihak Dato’ Anwar sudah dijalankan, tetapi menemui jalan buntu apabila pihak PKR mahukan pemimpin mereka menerajui kerajaan selaku Perdana Menteri. “Kalau Dato’ Seri Anwar boleh berkompromi sebelum Mac 2009 kerajaan baru sudah boleh ditubuhkan,” beritahu kalangan yang rapat dengan kem Tengku Razaleigh.

Sumber yang rapat dengan Tengku Razaleigh memberitahu rundingan dengan Dato’ Seri Anwar masih dalam proses yang menggalakkan, sekalipun banyak perkara yang belum mencapai titik persamaan. Beberapa pihak percaya sekiranya berlaku peralihan kuasa pada Mac 2009, di samping bakal Presiden UMNO yang baru Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak menjadi Perdana Menteri, kedudukan Dato’ Seri Anwar sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh pasti akan terjejas. Mereka percaya Dato’ Seri Najib akan menggunakan isu liwat yang dihadapi Dato’ Seri Anwar bagi menghilangkan kelayakan menjadi Ahli Parlimen. “Selagi sistem kehakiman tak dipulihkan sepenuhnya, kedudukan Dato’ Seri Anwar adalah diragukan,” kata sumber tersebut.

Sebaliknya penghalang besar dalam setiap usaha Dato’ Seri Najib adalah Tengku Razaleigh yang ‘saham’nya semakin meningkat sekarang, menurut sumber daripada kem Tengku Razaleigh. Malah sumber tersebut tak menafikan Dato’ Seri Najib juga cuba mendapatkan sokongan Tengku Razaleigh, di samping Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi berusaha ‘memancing’ Ahli Parlimen Gua Musang itu. Dalam senario politik sekarang Tengku Razaleigh dilihat terlalu penting bagi meredakan isu kekalutan yang sedang memuncak menjelang Mac 2009. “Sekiranya segala perbezaan antara Tengku Razaleigh dan Dato’ Seri Anwar dapat diselesaikan, kekalutan semakin mudah untuk mencari titik persamaan,” menurut sumber itu selanjutnya.

INFO SASTERA & BUDAYA

DITERBITKAN SEMPENA BACA PUISI:
ANTOLOGI SAJAK ‘SIMFONI PASIR SALAK’

Antologi sajak ‘SIMFONI PASIR SALAK’ akan diterbitkan sempena majlis baca puisi ‘Simfoni Pasir Salak: Mengarak Keranda 152 lagikah?’, beritahu penyalaras majlis baca puisi berkenaan Dr Seri Intan Mokhtar. Katanya, majlis baca puisi yang akan diadakan pada 24 & 25 Januari 2009 di Pasir Salak adalah manifestasi keberangan rakyat terhadap isu PPSMI (Pengajaran dan Pembalajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris). Menurut Dr Seri Intan, antologi tersebut diselenggara oleh penyair Yassinsalleh yang juga bekas guru berkemahiran dalam terjemahan Melayu-Inggeris dan Inggeris-Melayu. “Penyair-penyair Melayu tak menentang usaha meningkatkan kemahiran berbahasa Inggeris, tetapi PPSMI menghina perjuangan bahasa Melayu,” beliau menambah.

Seterusnya Dr Seri Intan menjelaskan, penyair Yassinsalleh yang berkemahiran dalam terjemahan Inggeris-Melayu dan Melayu-Inggeris, tak pernah pun mengikuti PPSMI, sebaliknya mampu membuat kerja-kerja terjemahan menerusi pembelajaran dalam sastera Melayu. Malah katanya lagi, Yassinsalleh pernah menghasilkan terjemahan perubatan dengan kaedah pembedahan tradisional pada dekad 1980-an yang disiarkan secara bersiri menerusi majalah INTISARI. Justeru menurutnya, PPSMI adalah agenda yang benar-benar mengelirukan, mencelarukan dan mengharukan. Bagi mereka yang berhasrat untuk menyertai antologi sajak ini ujar Dr Seri Intan bolehlah kirimkan menerusi emel kepada PRIMA muluk47@gmail.com atau Yassinsalleh: yassinsalleh2005@yahoo.com.

PUISI LAMA

Pantun Anak Melayu

Kalau tuan membeli lemang
Belikan saya rendang sepinggan
Kalau di Terengganu UMNO tergamang
Jangan biarkan Melayu ‘mati beragan’.

Pisang kelat dibuat lempeng
Bubuh kelapa siap diparut
UMNO tenat tambah melempeng
Najib terlupa ‘si tukang karut’.

Bulan mengambang tengah malam
Pungguk merayu berhiba-hiba
PAS hilang UMNO tenggelam
Di mana Melayu mahu berlaba?

Kalau tuan memotong nangka
Jaga getahnya jangan terpalit
Kalau ke Terengganu mahu berseloka
Tahulah siapa pandai pembelit!

Anak ikan dimakan ikan
Anak seluang patah ridiknya
Kalau terkilan mengundi sakan
Macam si bijak hilang cerdiknya.

Anak Melayu pandai berpantun
Mencari lawan bertemu muka
Hilang malu bersopan santun
Kuala Terengganu gelanggang dibuka.

-Sheikh Alba al-Kampari
Jelebu, Negeri Sembilan
27 Disember 2008.


INFO SUARA PROLITAR

SIAPA BAPA KRONI MALAYSIA:
ANWAR PERLU BUAT PENDEDAHAN

Apa hal SUARA KEADILAN? Cakap fasal dinasti Razak. Kenapa tak cakap fasal dinasti Lim Goh Tong, dinasti Vincent Tan, Yeoh (YTL), Tan and Tan dan lain-lain taukeh Cina di Malaysia? Bila Melayu berjaya sikit sakit hati. Phd – Penyakit Hasad Dengki. Kenapa tak tanya Anwar Ibrahim apa dia buat masa TPM dan Men Kew? Berapa banyak ahli perniagaan kroni yang dia sokong? MRCB dulu siapa punya? Bukan dinasti Anwar ke? Siapa yang baik dengan Francis YTL, Vincent Tan dan lain-lain? Suara Keadilan patut interbiu Anwar siapa Bapa Kroni Malaysia? (SMS 26 Disember 2008; 16:41:44 – Gerakan Anti Hipokrasi Malaysia – GAHM; 010-2019579)

PERATURAN TALI PINGGANG KENDERAAN
PASTIKAN SEMUA TAUKEH & VIP IKUT PERATURAN.

Tak lama lagi pemakaian tali pinggang keledar bagi tempat duduk belakang kenderaan dikuat kuasakan. Denda RM300 kepada yang langgar peraturan. Bagaimana dengan taukeh-taukeh besar yang menyandar di belakang, adakah ianya dikuatkuasa? Begitu juga dengan VIP, menteri-menteri dan raja-raja Melayu? Mereka semua duduk di kerusi belakang kenderaan. Pihak JPJ dan polis trafik perlu memberi jaminan semua mereka yang terbabit ikut peraturan ini.(SMS; 28 Disember 2008; 14: 28: 31 – Man Cincai, Selayang, Selangor)

KOMENTAR
bersama Pak Parjo

IKAN DI AIR SUDAH TAHU:
JANTAN BETINA SELOKA ORANGKAYA
Sebermula maka berselokalah Orangkaya Menteri Pelajaran Dato’ Seri Hishamuddin Hussein akan kerajaan Melayu itu memperuntukkan RM200 juta bagi menaikkan taraf kemudahan Sekolah Bantuan Kerajaan (SBK) yang daif, kurang selamat dan tak pernah menerima bantuan. Arakian disebutkan oleh Orangkaya Dato’ Seri Hishamuddin itu perihal sepupunya Orangkaya Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Mohd Najib Razak sudah mengumumkan peruntukan tambahan bagi SBK ketika menggulung perbahasan di balarongseri (4 November 2008) yang lalu, adanya. Heh heh heh! Bagaimanapun rakan-rakan fakir sudah mengetahui terkilat ikan di air tahulah jantan betinanya, kerana tak lama lagi pilihanraya kecil di Kuala Terengganu.

Arakian maka beberapa puluh bagai ditulisnya oleh segala pandai Keling, tiada juga berkenan pada Hang Nadim. Maka kata segala penulis, “Hanyalah ini pengetahuan kami sekalian; jika lain daripada ini tiadalah kami tahu, tapi berilah teladannya supaya kami tulis.” Maka kata Hanng Nadim, “Mintalah dakwat penulis itu.” Syahdan diberi oleh Keling itu pada Hang Nadim. Maka ditulis oleh Hang Nadim pada kertas bunga yang seperti kehendak hatinya. Telah dilihat oleh segala penulis Keling yang banyak itu, maka sekaliannya heran tercengang-cengang melihat kelakuan tangan Hang Nadim menulis. Maka hendak diturut oleh sekalian penulis itu tiada dapat, kerana tujuannya macam terkilat ikan di air kelihatanlah jantan betinanya, seperti yang disebut dalam ‘Kitab Melayu’ yang dinukil oleh:

HIDUP BAHASA MELAYU!

Sunday, December 28, 2008

WARGA PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
S U A R A < < < > > > P R I M A

(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG

EDISI KHAS:

BAGINDA TUANKU JAAFAR MANGKAT
BELASUNGKAWA SEKALIAN RAKYAT JELATA

Assalamualaikum,

Kira-kira jam 1.45 tengahari, 27 Disember 2008, Kamarudzaman Salleh menelefon dari Balai Undang Luak Rembau beritahu beliau di pejabat YTM Dato’ Lela Maharaja Dato’ Haji Muhamad Sharip Haji Othman, Undang Luak Rembau. Balai Undang dikawal rapi oleh polis, sebaik sahaja diumumkan DYMM Tuanku Jaafar ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan mangkat di Hospital Tuanku Jaafar di Seremban. Bagaimanapun sebelum Kamarudzaman menelefon, memang saya sudah mendengar berita ringkas di radio jam 12.00 tengahari mengenai kemangkatan baginda. Kamarudzaman sekadar beritahu YTM Dato’ Haji Muhamad Sharip berkirim salam, di samping beliau menyaksikan fenomena di Balai Undang dengan pengumuman kemangkatan Yang Dipertuan Besar.

Secara peribadi saya pernah mengadap DYMM Tuanku Jaafar di Istana Hinggap, Seremban pada 1981, apabila menemani Tan Sri Abdul Samad Idris bagi mengundang baginda mencemar duli merasmikan muktamar Nasrul Haq di Seremban. Bagimanapun saya mengadap bukan atas kapisiti Pemangku Setiausaha Agung Nasrul Haq ketika itu, tetapi berbincang untuk menyediakan teks titah ucapan baginda pada hari perasmian muktamar. Baginda sendiri menitahkan teks titah ucapan tersebut diselitkan dengan pepatah petitih serta perbilangan Adat Perpatih. Kemudian pada dekad 1990-an, saya bersama Tan Sri Abdul Samad berlepas ke Padang di Propinsi Sumatera Barat terlebih dahulu sebelum baginda bersama keluarganya berangkat tiba membuat lawatan tak rasmi.

Kebetulan pula lawatan ke Sumatera Barat ketika baginda masih lagi Yang Dipertuan Agong, justeru Konsul Malaysia di Medan terpaksalah turun ke Padang. Malah Duta Malaysia di Jakarta juga turut menghadiri majlis-majlis rasmi bersama Gabenor Sumatera Barat ketika itu, Drs Hassan Basri Durin yang juga kenalan rapat Tan Sri Abdul Samad. Bersama Tan Sri Abdul Samad memang saya terbabit membantu membuat kaji selidik mengenai takhta kerajaan Negeri Sembilan, justeru serba sedikit pembabitan baginda dalam aktiviti kemasyarakatan dalam pengetahuan saya. Baginda diputerakan di Kelang pada 19 Julai 1922, ketika ayahanda baginda berkhidmat sebagai pegawai tadbir Melayu di Kelang, Selangor.

Memulakan pendidikan di Sekolah Melayu Seri Menanti pada 1928, baginda melanjutkan pengajian ke Maktab Melayu Kuala Kangsar mulai 1933. Menamatkan pengajian di Kuala Kangsar pada 1941, baginda dihantar ke Raffles College di Singapura tetapi tergendala akibat pencerobohan Jepun ke atas Tanah Melayu. Pada period pemerintahan Jepun, baginda berkhidmat sebagai pegawai di Pejabat Tanah Daerah Seemban. Berikutan Jepun menyerah kalah pada 1945, British kembali ke Tanah Melayu dengan mengirim Harold Mac Michael memaksa raja-raja Melayu menurunkan tanda tangan menerima retorik penubuhan Malayan Union.

Ketika Harold Mac Michael ke Seremban pada 14 November 1945, bagi mendapatkan tandatangan Tuanku Abdul Rahman ibni Almarhum Tuanku Muhammad bersama YTM Undang Yang Empat (Dato’ Kelana Putera Dato’ Maamor Kassim, Undang Luak Sungai Ujong, Dato’ Mendelika Menteri Akhir Zaman Dato’ Shahmaruddin Abdul Rahman, Undang Luak Jelebu, Dato’ Johan Pahlawan Lela Perkasa Setiawan Dato’ Haji Kamat Sulaiman, Undang Luak Johol dan Dato’ Lela Maharaja Dato’ Haji Ipap Abdulla, Undang Luak Rembau) serta wakil Tunku Besar Tampin, Sharifah Loyah – baginda Tuanku Jaafar menurunkan tanda tangan sebagai saksi bersama Tengku Nasir dan Tengku Hussain.

Apabila pembentukan Malayan Union, baginda berkhidmat sebagai Penolong Pegawai Daerah (ADO) Rembau pada 1946. Baginda ditukarkan ke pejabat Sekretariat Negeri Selangor di Kuala Lumpur pda 1948, tetapi meletakkan jawatan beberapa bulan sahaja berkhidmat di situ. Seterusnya pda 1948, baginda berangkat ke London bagi melanjutkan pengajian dalam bidang undang-undang di Universiti Nottingham. Selepas menerima ijazah LL.B, baginda menerima kursus di seberang laut bagi persediaan berkhidmat dengan kerajaan apabila balik ke tanah air. Sekembalinya ke tanah air baginda dihantar berkhidmat selaku ADO Parit di Perak, kemudiannya Penolong Setiausaha Kerajaan III Perak di Ipoh.

Baginda mula berkhidmat di Negeri Sembilan pada dekad 1950-an dengan menjawat Pegawai Daaerah (DO) Tampin, tetapi pada 1957 memulakan perkhidmatan dalam bidang diplomatik. Dalam tahun 1957 baginda memegang jawatan Setiausaha Pertama Suruhanjaya Tetap Persekutuan Tanah Melayu ke Bangsa-Bangsa Bersatu, diikuti Timbalan Pesuruhjaya Tinggi di London (1958-1962). Baginda mula berkhidmat sebagai Duta Besar Malaysia ke Kaherah dan Republik Arab Bersatu (1963-1965) dan ditukarkan ke Nigeria dan Ghana (1965-1967). Ketika berkhidmat di Nigeria, baginda dipilih oleh Undang Yang Empat menaiki takhta kerajaan Negeri Sembilan pada 18 April 1967, berikutan kemangkatan kekanda baginda, Tuanku Munawir.

Sewaktu menuntut di Universiti Nottingham, baginda Tuanku Jaafar aktif dalam sukan malah pernah menjadi juara badminton, skuasy dan tenis di kalangan pelajar-pelajar di situ. Memang baginda merupakan pemain badminton, skuasy dan tenis yang baik sejak menuntut di Kolej Melayu Kuala Kangsar. Tak hairanlah baginda juga merupakan aktivis badan sukan dengan menjadi Naib Yang Dipertua Persatuan Bolasepak Melayu Malaya dan Yang Dipertua Persatuan Bolasepak, Kriket dan Hoki Melayu bagi negeri Perak. Baginda dipilih menjadi Yang Dipertuan Agong ke 10 (1994-1999) dalam Persidangan Raja-Raja Melayu, selepas berakhir pusingan sembilan raja-raja Melayu memegang jawatan Yang Dipertuan Agong Malaysia. Al-Fatehah!

-Pak Dharma