Monday, March 9, 2009

DARI LAMAN BLOG

DARI LAMAN BLOG:

PEJUANG BAHASA SEKADAR BERSENJATA:
PENA, KOMPUTER DAN BLOG UNTUK BERSUARA.

Assalamualaikum,

Penggunaan kekuatan polis yang keterlaluan bagi menghalang kebangkitan rakyat, tak seharusnya menjadi kebanggaan pihak pemerintah seperti ditunjukkan dalam insiden 7 Mac 2009. Pejuang-pejuang bahasa sekadar bersenjatakan pena, bukan bom peledak atau istinggar yang dihalakan ke dada sesiapa. Mereka sekadar mahu menyampaikan suara hati nurani kepada raja yang memerintah; mudah-mudahan baginda akan menolak bakal ketua parti UMNO naik ke singgahsana Perdana Menteri. Alahai! Pada period penjajah kolonial British menggunakan kekuatan polis menangkap pemimpin-pemimpin rakyat, tetapi kekuatan polis tak bermakna apabila rakyat melancarkan hartal pada 1948.

Pada dekad 1960-an, kekuatan polis juga tak mampu menghalang 'hartal' yang dilancarkan rakyat pada 1967. 'Hartal' ialah dikategorikan kepada protes yang lebih berhemah daripada demonstrasi yang dianggap oleh Tan Sri Rafidah Aziz tak sesuai digerakkan. Mungkin sahaja yang sesuai bagi Tan Sri Rafidah ialah menghantar SMS kepada pimpinan Wanita yang tak berhasrat menyokongnya, di samping melepaskan keberangan yang tiada tara. Memang saya pernah membaca SMS Tan Sri Rafidah yang dihantar kepada beberapa pemimpin Wanita, tetapi bolehlah diklasifikasikan sebagai heh heh heh! Apalagi majoriti pimpinan Wanita mahu Tan Sri Rafidah berundur, berundur dan berundur.

Sebelum 'hartal' digerakkan pada 1948, kepongahan polis Jepun yang dikenali 'kempetei' juga tak mahu menghalang kebangkitan rakyat dengan gerakan Force 136, MPAJA dan Wataniah secara gerila. Pada 1967 digerakkan 'hartal', diikuti 1970-an kekurangan bekalan beras, sukar memperoleh bekalan minyak tanah (krosine), melilau mencari bekalan cili kering, malah tak keruan apabila syiling lima sen disorok. Segala perilaku berkenaan tak mampu ditangani dengan kekuatan polis. Lainlah tindakan fizikal yang digerakkan oleh Tok Janggut Haji Mat Hassan atau Tuan Guru Abdul Rahman Limbong mudah dipatahkan oleh kolonial British. Apalagi kekejaman kolonial British disembunyikan oleh media yang dikuasai oleh kolonial British ketika itu.

Kekejaman di Jenderam, Kajang pada 1951 misalnya dilindungkan oleh media-media yang berfungsi sebagai penitir canang yang bobrok. Perkampungan di Jenderam dibakar hangus, di samping orang tua, wanita dan kanak-kanak disumbat ke balai polis Kajang sebelum dibuang ke Johor dengan tak melalui 'mahkamah'; kerana "Itu Undang-Undang Dato' (Musang Berjanggut) yang bikin!". Segala keperongosan, kepongahan dan kebobrokan kolonial British mahu dilestari oleh UMNO menerusi pendekatan Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak apabila menangani pejuang-pejuang bahasa yang sekadar bersenjatakan pena. Secara fizikal Dato' Dr Hassan Ahmad mahu pun Dato' Dr A Samad Said bukanlah segagah Hang Jebat atau Megat Seri Rama; apalagi usia mereka juga sudah melewati (bukan liwat) 70-an.

Memang saya bersama rakan-rakan seperti Yahaya Ismail, Profesor Dato' Dr Mohamad Mansur Abdullah, Yassinsalleh, Dato' Kamal Amir Kamal Hijaz, Mohd Affandi Hassan, Zakaria Bidin, Haji Bakar Ningal, L Mankadir Shamsi, Haji Suhaimi Said, dan lain-lain secara fizikal memang tak larat. Kalau pimpinan muda bersedia perjuangkan isu Bahasa Melayu seperti Dato' Seri Dr Khir Toyo, Dato' Suhaimi Ibrahim, Ezam Mohd Noor, Rozmal Malakan, Nizam Hamid atau kalangan penulis-penulis muda mahu ke hadapan, kami golongan warga emas bersedia berundur. Penampilan Dato' Dr Hassan Ahmad, Dato' Dr A Samad Said, Dato' Dr Muhammad Haji Salleh di saat-saat kami memerlukan memang rahmat yang sungguh menakjubkan. Alhamdulillah.

-Pak Dharma

PROFESOR DATO' DR MOHAMAD MANSUR ABDULLAH MENULIS...

PEMIMPIN MELAYU RAGU-RAGU:
PENGABAIAN YANG DISENGAJAKAN!


Malangnya, sampai ke hari ini sudah masuk ke tahun 2009, namun kewujudan Kebudayaan Nasional itu masih belum nampak untuk terlaksana walaupun dasarnya sudah ditetapkan lebih suku abad yang lepas. Ini disebabkan, para pemimpin Melayu yang diamanahkan, seolah-olah takut, ragu-ragu dan berhati-hati sangat dalam melaksanakan pembinaan Kebudayaan Nasional itu. Mungkin juga benar, jika dikatakan sifat semulajadi bangsa Melayu yang lebih banyak ke arah bertoleransi dan mudah beralah serta terlampau memikirkan dan menjaga hati kaum-kaum lain itu lebih diutamakan, maka ini menampakkan tidak tegasnya kerajaan dalam merealisasikan kewujudan Kebudayaan Nasional tersebut.


Sikap lembab dan tidak tegas ini pula telah dipolitikkan oleh kaun-kaum lain walaupun awal-awal lagi sudah ditegaskan bahawa penubuhan kebudayaan tidak boleh ditiup dengan api semangat politik yang sensitif dan merbahaya. Ucapan perasmian mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir di dalam Pertemuan Dunia Merlayu 1982 di Melaka menjadi tanda tanya kepada semua -orang Melayu sendiri, apabila beliau berkata, “…persoalan konsep kebudayaan kebangsaan tidak timbul lagi. Sama seperti persoalan bahasa kebangsaan juga tidak timbul lagi. Yang menjadi persoalannya hanyalah usaha dan tanggungjawab untuk mengisi konsep ini, bagi kepentingan hidup bersama.


“Jika kita semua benar-benar inginkan sebuah negara yang aman makmur, dengan kehidupan rakyatnya yang damai serta bahagia, bahasa dan kebudayaan tidaklah seharusnya lagi dijadikan isu politik yang hanya akan menguntungkan golongan yang anti perpaduan, dan yang taat setianya boleh diragukan.” Kenyataan begini telah memberi ruang yang seluas-luasnya kepada kaum-kaum lain bagi mempertikaikan penubuhan Kebudayaan Nasional itu sendiri. Mereka mendakwa jika soal Kebudayaan Kebangsaan dan Bahasa Kebangsaan terus dibangkitkan juga, ini bererti sengaja mahu mempolitikkannya, dan perbuatan begini dianggap sensitif dan amat merbahaya untuk perpaduan.
Dengan itu menyebabkan pemimpin-pemimpin Melayu berasa terugut oleh pernyataan tersebut, lalu tunduk akur berdiam diri demi menjaga perpaduan kaum di negara ini. Kaum-kaum lain, khususnya daripada parti pembangkang, bebas membincangkan tentang kebudayaan dengan segala prasangka politik mereka, tetapi pemimpin-pemimpin Melayu tidak berani tegak mempertahankan hujah dan dakwaan mereka itu pula. Ini disebabkan ramai pemimpin-pemimpin Melayu muda-muda dan kebanyakannya jahil tentang budaya bangsa dan Perlembagaan Persekutuan itu sendiri.


Oleh kerana melihatkan pemimpin-pemimpin muda Melayu hanya berpeluk tubuh berdiam diri sahaja, maka kaum-kaum lain dari pihak parti lawan pun semakin berani mencabar soal-soal budaya dan bahasa Melayu sejak kebelakangan ini. Konsep bangsa Malaysia yang sepatutnya berpaksikan konsep negara bangsa, di mana rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai bangsa, tetapi mestilah tetap berindukkan dan berpaksikan kepada bangsa Melayu sebagai bangsa asal negara ini nampaknya sengaja diabaikan mereka. Malahan mereka semakin lantang dan berani mengungkit-ungkit soal ketuanan, bahasa, malah agama juga disentuh.

Penggunaan bahasa Melayu yang telah ditetapkan dalam perlembagaan sebagai bahasa
pengantar dalam pengajaran dan pembelajaran juga dipertikaikan dengan beraninya oleh parti-parti pembangkang khususnya daripada kaum bukan Melayu sendiri. Peliknya, apabila sekumpulan orang-orang Melayu khususnya pendukung bahasa yang cuba untuk mempertahankan soal budaya, bangsa dan dan bahasa ini, terus dicap sebagai pencetus perbalahan dan dituduh di bawah Akta Hasutan, sedangkan mereka yang mempertikaikannya tidak pula diambil sebarang tindakan sehingga pemimpin-pemimpin muda Melayu yang punya sedikit semangat Melayu terkedu dan menikus untuk mempertahankan isu-isu bangsa, bahasa dan agamanya, kerana takut dikenakan tindakan.

Pengalaman di negara kita, bahasa Melayu masih tidak dapat menembusi benteng undang-undang kerana bahasa Inggeris masih menguasai dan terus dipakai dalam urusan perjanjian jual beli seperti serwa beli kenderaan dan hartanah. Mengapa sudah 50 tahun kemerdekaan, kemantapan bahasa Melayu berkaitan bahasa ilmu diperlekeh lagi. Malah di setengah-setengah pusat pendidikan tinggi mewajibkan pengajaran dijalankan dalam bahasa Inggeris bagi semua bidang. Persoalannya apakah bahasa Melayu yang menjadi bahasa rasmi Negara masih tidak mampu dipakai walaupun Dewan Bahasa dan Pusataka sudah menyediakan korpus bahasa dan peristilahan dalam semua bidang?

Kalau suatu waktu dulu, pembaca berita di TV baik berbangsa Melayu, mahupun kaum lain, mereka menggunakan bahasa Melayu baku yang tepat sebutan bunyinya, tetapi sekarang sudah tidak kedengaran lagi, sebaliknya sudah banyak perkataan dalam bahasa asing itu pula yang digunakan. Penyakit ini semakin menular sekarang ini, sehinggakan drama-drama Melayu juga banyak sekali menyelitkan perbualan-perbualan dalam bahasa Inggeris yang kadang-kadang janggal dan salah nahunya, tapi masih dibiarkan. Akhirnya para menteri yang ditemubual oleh pemberita dalam majlis-majlis budaya Melayu pun tidak segan silu berbahasa Inggeris, walaupun kita secara hakikatnya mengenali dan tahu benar bahawa yang dia itu tidaklah faseh dengan bahasa tersebut.

Tetapi sekadar mahu menunjukkan atau memperlihatkan kebolehannya, dia sanggup berbuat begitu walaupun tanpa diketahuinya para pendengar mentertawakan kebahlolannya itu. Inilah perangai orang Melayu kita kata arwah Pak Sako, bionye pape tak mengape, asalkan kite begaye! Wahai para pemimpin bangsaku, kembalikan semula keagungan bahasa ibunda kami sebagaimana tersohornya bahasa Melayu ini pada waktu zaman kebesaran Kerajaan Melayu Melaka, sehingga ia dapat diterima sebagai Lingua Franka di benua Asia dan Eropah. Dan jangan sekali-kali anda semua mengabai dan menghampakan hasrat murni dan niat suci para pejuang dan pemimpin kemerdekaan kita, terutama sekali terhadap Allahyarham Tun Abdul Razak, yang bermati-matian cuba mendaulatkan bahasa Melayu semula, lewat Dasar Pelajaran Negaranya.

Apakah warisan kepimpinannya kini, yang juga adalah darah dagingnya sendiri, sanggup dan tergamak hendak merosak dan memusnahkan segala-galanya yang sudah disusun atur dengan rapi dan terperinci sehingga layak menjadi bahasa ilmu tinggi yang setaraf dengan bahasa-bahasa dunia antarabangsa. Kita sepatutnya bermegah sebagaimana orang-orang Jepun, Korea, German dan Peranchis yang banggakan bahasa ibunda mereka. Justeru itu melalui kertas kerja ini bukanlah penulis mahu melahirkan rasa tidak puas hati sebenarnya, tapi sekadar ingin menyatakan rasa terkilan atas tindakan demi tindakan yang cuba memusnah dan membunuh pertumbuhan segar bahasa ibunda.

Sekali lagi, penulis dengan penuh harapan, terimalah kertas kerja ini sebagai rayuan tulus ikhlas penulis yang terdiri daripada anak-anak yang sebernar-benarnya cintakan bahasa ibundanya. Dan kamilah anak-anak yang dibendung oleh Allahyarham Tun Abdul Razak melalui Dasar Pelajarannya dahulu, kerana kami yang taat atas perjuangannya selama ini, tunduk patuh untuk menerima dan terus belajar dalam aliran Melayu yang julung-julung kalinya diadakan di negara ini. Sekian, wassalam.

(Sedutan teks kertas kerja Profesor Dato' Dr Mohamad Mansor Abdullah, wakil Dewan Persuratan Melayu Pahang - DPMP dan bekas Timbalan Naib Canselor HEP UTM, yang akan dibentangkan dalam pertemuan GAPENA di DBP, 15 Mac 2009 ini)

KOMENTAR: Pak Parjo..


KOMENTAR
bersama Pak Parjo


MEREKA MAHU LUMPUHKAN SULTAN:
ORANGKAYA RAIS KENAL ORANGKAYA HADI



Syahdan akan Orangkaya Menteri Luar Dato' Seri Dr Rais Yatim berkatalah ia semasa berkunjung ke negeri Kelantan semalam 11 Rabiulawal 1430 (8 Mac 2009), pembangkang mahu melumpuhkan kuasa Sultan. Arakian terlupalah Orangkaya Dato' Seri Rais Yatim, negeri Kelantan itu tiadalah ia meminda undang-undang tubuh kerajaan negeri itu pada tahun 1993 untuk menghapuskan kekebalan raja-raja Melayu. Kata sahibul hikayat, adapun Orangkaya Dato' Seri Rais Yatim itu pada masa dahulu bersahabatlah ia dengan anak-anak buah Orangkaya Dato' Seri Hadi Awang dan Orangkaya Dato' Nik Aziz Nik Mat. Bahawasanya tahulah ia harakah Melayu (UMNO) itulah yang menghapuskan kekebalan raja-raja Melayu dahulu. Arakian Dato' Seri Rais bersama-samalah ia dengan anak-anak buah Orangkaya Dato' Seri Hadi Awang dan Orangkaya Dato' Nik Aziz melawan UMNO yang mahu menghapuskan kekebalan raja-raja Melayu itu dahulu, adanya.



Sebermula pada zamana dahulukala sirih daripada puan raja itu terlalu mulia; tiada barang-barang orang dianugerahkan raja; barangsiapa dianugerah raja sirih daripada puan itu, tanda kurnia akan orang itu. Syahdan telah demikian fikir Tun Isap, maka ia pun berbalik ke rumah Tun Dewi, lalu dinaikinya, ditikamnya Tun Ali tengah duduk, kena dadanya lalu mati. Telah Tun Ali sudah mati, maka Tun Isap pun turun menngadap Sultan Mahmud Shah. Maka orang pun gemparlah mengatakan Tun Ali itu dibunuh oleh Tun Isap. Maka Seri Dewa Raja, anak Bendahara Paduka Raja yang bungsu, diberi orang tahu; kerana Tun Ali itu itu keluarga Seri Dewa Raja. Maka Seri Dewa Raja terlalu marah, disuruhnya adang Tun Isap, hendak dibunuhnya, sekalipun Seri Dewan Raja tahu Tun Isap sekadar menjalan titah sultan sahaja seperti disebut dalam 'Kitab Melayu' daripada:




HIDUP BAHASA MELAU!
MOHD AFFANDI HASSAN MENULIS:

BOMOH MELAYU PANDAI MENJAMPI:
ALTANTUYA, PONTIANAK & POLITIK PERAK

Orang Melayu yang masih percayakan hantu, meskipun sudah menjadi ketua parti yang kaya raya dan memegang jawatan politik yang menguntungkan, tidak teragak-agak untuk membuat kesimpulan bahawa apa yang berlaku di Perak sekarang adalah angkara Altantuya, yang kini sudah menjadi pontianak. Menurut kepercayaan orang Melayu, pontianak dapat dihidupkan kembali untuk menjadi perempuan cantik dengan mencabut paku di tengkuknya. Masalahnya sekarang, orang yang akan mencabut paku itu belum tentu menjadi pilihan Altantuya, kerana sudah serek ditipu semasa hidupnya.

Maka kata bomoh-bomoh Melayu yang memang pandai menjampi walaupun dia tahu jampi itu tidak menghasilkan apa-apa, negeri Perak yang kini sudah menjadi pontianak dalam politik Malaysia boleh diselamatkan jika paku yang ditanam di tengkuknya dicabut oleh orang yang berbuat angkara. Kata ahli politik pula, tak perlu cabut apa-apa paku pun, cukup dengan membubarkan DUN Perak dan biarkan hantu-hantu yang berkeliaran di Perak membuat pilihan sendiri siapa yang mereka mahu jadikan ketua mereka. Kata ahli politik lagi, masalah ini terjadi kerana para pengundi hantu di Perak diikat kaki tangannya dalam PRU 12, Mac 2008, oleh itu tidak boleh mengundi untuk tuan-tuan mereka yang memang memelihara mereka dengan baik selama ini.

Dalam peristiwa pelik yang menimpa Altantuya, rakyat Malaysia diminta dengan rayuan yang amat sedih oleh pontianak Altantuya supaya beliau diberitahu apakah sebabnya dia dibunuh dan diletupkan. Mengapa berahsia sangat tentang dirinya yang malang itu, padahal dia orang luar yang datang ke Malaysia mencari tuah, tidak patut dibunuh dan diletupkan. Dia hanya menjadi kekasih orang yang disayanginya. Sekarang baru dia tahu orang yang disayanginya itu sebenarnya tidak sayangkan dia, maka dibunuh tapi ceritanya terus jadi semakin panjang.

Maka kata Altantuya, aku sumpah negeri Perak menjadi pontianak seperti aku kerana orang yang merampasnya tidak pun mencintai negeri itu, tapi dibuat kerja jahat itu kerana tamakkan kuasa semata-mata. Maka berkawan baiklah dua jenis pontianak ini dan kedua-duanya membingungkan orang Melayu, sudah tak tahu apa nak buat lagi apabila jampi bomoh tidak berkesan langsung. Hanya satu cara saja boleh diselesaikan, cabut paku di tengkuk pontianak Perak supaya Siti Perak yang cantik, secantik Altantuya itu, dibenarkan memilih sendiri kekasihnya, bukan lagi ditentukan oleh peraturan perlembagaan hantu-hantu politik.

Tetapi khalifah kepada segala hantu tidak setuju, kerana menurutnya dia punya kuasa mutlak untuk menjadikan seseorang itu pontianak atau tidak. Akibatnya Siti Perak yang tersiksa terus mengilai dengan suara nyaring, siang malam, tak kira waktu lagi, boleh didengar dari barat ke timur, dari utara ke selatan di seluruh dunia. Bukan saja mengilai-ngilai seperti perempuan gila, tetapi kini sudah mendedahkan dirinya tidur di bawah pokok rendang untuk ditonton kecantikannya di seluruh dunia. Telanjang bulat, tak mahu pakai apa-apa lagi. Sudah marah betul nampaknya. Makin gila bomoh-bomoh politik menjampi, sampai dibawa ke teratak Hakim Bistari di pinggir Sungai Perak untuk disiumankan kembali. Tidak berjaya juga. Tidak ada undang-undang atau apa-apa peraturan sekalipun yang boleh mententeramkan pontianak Siti Perak yang sedang menangis terisak-isak di riba pontianak Altantuya.

Celaru betul dibuatnya bila hantu-hantu buat pasal. Kata penganalisis politik yang bijak bistari, kini hantu-hantu pun mempunyai daulat, tidak boleh diderhakai, mesti diberi salut cara hantu berdaulat, “Minta lalu Datuk Hantu, cucu datuk nak lalu pergi cari emas dalam hutan Perak. Bolehkah Datuk?” Walaupun hantu tidak pernah menjawab apa juga permintaan, orang Melayu yang cerdik terus saja meredah hutan mencuri emas dan lain-lain galian berharga. Pontianak Altantuya dan pontianak Siti Perak yang melihat kerakusan anak cucu hantu itu, berasa serabut perut nak muntah melihat kelakuan rakus mereka berkelahi sesama sendiri berebut tanah hutan yang belum tentu ada bijih emas.

Maka merayulah pontianak Altantuya sambil menangis tersedu-sedu, “Ampunkan hamba Puteri Siti Perak. Sembah hamba sembah derhaka. Hamba tak mahu lagi duduk di Malaysia. Tolonglah cabutkan paku di tengkuk hamba kerana hamba nak jadi manusia yang sempurna balik. Sekurang-kurangnya hamba boleh mencari kekasih baru di tempat lain pula …” Pontianak Siti Perak pun menangis terisak-isak sambil bertitah dengan suara lemak merdu penuh daulat yang syahdu, “Aku tak boleh buat apa-apa. Mana aku tahu kamu cakap benar nak tinggalkan Malaysia?

Sekiranya kamu terus gilakan kendak kamu, aku hendak diletak di mana? Walaupun aku pontianak, aku ada maruah macam kamu juga. Tapi kendak kita tak ada maruah. Bukan saja kamu diletupkan, rekod kamu datang ke mari pun dihapuskan. Sebenarnya kamu tidak ada di sini. Kamu tak wujud pun. Tak ada rekod langsung. Pontianak pun ada rekod, tapi tidak kamu sebagai Altantuya. Baiklah kamu tak usah jadi manusia lagi. Sia-sia dan menyusahkan. Tapi kalau kamu berkeras juga masih ingin jadi manusia yang akan terus dirogol, duduklah di Pahang, negerinya besar tebal pula hutannya.

Orang-orang kaya dan bangsawannya sukakan perempuan cantik seperti kamu, jadi kamu tak perlu takut tak dapat pelanggan. Tapi aku mau kasi ingat, ada di antara orang kaya-kaya mereka yang badannya berbau busuk, memang busuk sungguh-sungguh. Tanyalah pontianak Noritta dari Perlis siapa di antara orang kaya yang berbau busuk itu. … Sekarang mari kita usik kendak kita yang jahat perangai itu …” Kata nenek tua yang sukakan cerita-cerita hantu, cerita dua orang pontianak itu benar-benar memberi keinsafan dan peringatan kepada manusia. Orang baik-baik tidak semestinya tidak boleh jadi pembunuh atau perogol.

Kalau boleh hantu yang cantik-cantik pun hendak mereka rogol juga supaya puas nafsu jahat mereka. Hatta kata nenek tersebutlah asal usul kerajaan hantu di Palembang zaman dulu kala. Maka datanglah perlente Keling ke Palembang, mencari negeri untuk dibuat negara. Maka bertemu dengan penghulu Melayu yang bernama Demang Lebar Daun yang sangat lebar daun telinganya, menandakan kecerdikannya. Maka disembah oleh Melayu akan perlente Keling itu, seperti kisahnya dalam Hikayat Sejarah Melayu. Maka dia sudah naik berahi melihat anak-anak dara Melayu yang berkemban, tak tahan lagi nafsu Kelingnya, seperti Tun Ali gilakan Tun Kudu adik Tun Perak walaupun ketika itu jadi bini raja, hingga diceraikan sultan supaya puak Keling berdamai dengan puak Melayu zaman Melaka.

Lalu dirogolnya semua sekali 39 orang anak-anak dara pertuanan Melayu melalui perkahwinan segera (instant marriage). Esok hari dia cerai, membuat Melayu jadi takut kepada daulat perlente Keling itu. Maka setelah habis 39 anak dara, dia pun tak sabar lagi hendakkan yang satu itu, anak dara Demang Lebar Daun sendiri. Maka dapatlah perlente Keling itu gadis Melayu yang cantik. Bukan itu saja, kini perlente Keling itu dinobatkan menjadi Yang di Pertuan bagi semua orang Melayu, disembah diminta ampun walaupun tidak berdosa. Kata nenek, itulah asal mula sejarah pontianak di negeri Melayu.

Maka dibangunkan sebuah kota besar bernama Pontianak di negeri hutan belantara. Siapa-siapa yang tidak percaya adalah derhaka. Maka nenek pun menyembah dengan tertibnya kepada hantu-hantu itu. Kami anak-anak muda cucu-cicit nenek bertepuk, lucu melihat lakonan nenek itu. “Sembah!,” herdik nenek. Kami yang muda-muda itu lari bertempiaran sambil tertawa sampai tersembur air liur. Ketika itulah kami dengar hilai tertawa pontianak Altantuya dan Siti Perak lucu melihat kelakuan biadab kami tidak mahu menyembah mereka. Gila betul dunia politik ini. He he he, tertawa Pak Dharma. Tak pasti siapa yang kata “Gila betul dunia politik ini”. Pak Dharma atau pontianak? He he he. (6/3/2009)

(* Mohd Affandi Hassan sasterawan dan pengkritik sastera Melayu tersohor. Beliau juga pesara PTD yang pernah berkhidmat sebagai pegawai tinggi dalam beberapa kementerian)

Sunday, March 8, 2009

DARI LAMAN BLOG

AKTIVIS BAHASA SEDIA BERJUANG
DENGAN KERINGAT DAN AIR MATA



Assalamualaikum,



Aktivis budaya di Lancang, Pahang L Mankadir Shamsi bertolak ke Kuala Lumpur selepas subuh semalam (7 Mac 2008), dengan berpesan kepada anaknya kalau beliau tak balik, baju-t ‘Mansuh PPSMI’ akan dikirim kepada saya. Baju berkenaan tak perlu dibasuh (biarkan dengan kesan peluhnya), bagi membuktikan kepada Menteri Pelajaran Dato’ Seri Hishamuddin Hussin, beliau akan perjuangkan isu Bahasa Melayu dengan ‘keringat’ dan ‘air mata’ bangsa. Begitulah! Beliau juga enggan menerima pandangan saya, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tak perlu dipersalahkan sekalipun PPSMI adalah idea beliau.

Tun Dr Mahathir sudah melepaskan jawatan sejak Oktober 2003, justeru dalam tempoh lima tahun, Hishamuddin mahupun UMNO boleh mansuhkan dengan tak perlu bersyarat. Mankadir tetap dengan pendiriannya, Tun Dr Mahathir menyebabkan segala kekalutan sekarang berlaku. Apabila saya jelaskan Tun Dr Mahathir pernah meminta maaf ketika pertemuan dengan PRIMA, sekiranya pentadbiran beliau menyebabkan Malaysia berserabut, tetapi Mankadir tetap berkeras menyalahkan Tun Dr Mahathir. Malah beliau percaya Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak akan menerima kredit, apabila mansuhkan PPSMI selepas Perhimpinan Agung UMNO nanti.


Najib mahu menjadi ‘hero Melayu’ dengan menggunakan isu PPSMI, malah tak berasa hairan sekiranya immuniti raja-raja Melayu dipulihkan. Bagaimanapun PRIMA sudah memulakan isu Bahasa Melayu dan immuniti raja-raja Melayu, ketika Najib umumkan bahasa rasmi negara ialah ‘Bahasa Malaysia’ pada Jun 2007. Satu memorandum dihantar kepada semua raja-raja Melayu dan pemimpin-pemimpin politik Melayu menerusi pos ekspress, apabila sukar sangat membuat temu janji. Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah menerusi Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz bersetuju dengan memorandum berkenaan. Dato’ Seri Anwar Ibrahim menerusi Omar Jaafar memberi jaminan akan meneliti memorandum tersebut.


Institusi istana di Negeri Sembilan melalui Ke Bawah Kaus YTM Dato’ Lela Maharaja Dato’ Haji Muhamad Sharip Haji Othman, Undang Luak Rembau juga memberi jaminan akan menyampaikan memorandum tersebut ke Dewan Keadilan Negeri Sembilan. Maknanya, memorandum menuntut Bahasa Melayu (bukan bahasa Malaysia) adalah bahasa rasmi negara dan pemulihan semula immuniti raja-raja Melayu sudah disampaikan kepada raja-raja Melayu dan pemimpin-pemimpin Melayu, sebelum Tan Sri Annuar Musa bersuara hari ini (8 Mac 2009). PRIMA sudah mendahului Tan Sri Annuar sejak Jun 2007, dan 7 Mac 2009 kemuncaknya yang digerakkan oleh Gerakan Mansuh PPSMI (GMP) pimpinan Dato’ Dr Hassan Ahmad, Dato’ Dr A Samad Said dan aktivis-aktivis bahasa dan sastera. Alhamdullillah.


Bagaimanapun Mankadir bersama rakan-rakannya yang menjadi wartawan pengasas HARAKAH bersama Dato’ Nakhaie Ahmad sekitar dekad 1980-an dulu iaitu Mat Radzi, Ali Madun dan Mohd Zain singgah ‘teh tarik’ dulu di Taman Seri Gombak. Sebelum bertolak ke Masjid Negara, beliau memberitahu PPSMI memang mempunyai unsur-unsur tertentu berkaitan dengan peruntukan pengurusan yang dipertahankan oleh pendukung-pendukungnya. Justeru Mankadir memberitahu, kalau dalam tempoh sebulan UMNO/BN tak memansuhkan PPSMI, beliau mahukan gerakan mansuhkan PPSMI akan diteruskan. Insya Allah!

-Pak Dharma.

WAK SEMAR MENULIS

FRU DIKERAH KE MASJID NEGARA:
RAKYAT DIHALANG MENEMUI RAJANYA



Saya mengucapkan tahniah dan syabas kepada ketua gerakan GMP kita Yang Berbahagia Datuk Dr. Hassan Ahmad mantan Ketua Pengarah DBP dan semua ahli-ahli penyokong gerakan ini yang begitu berani menghadapi segala rintangan yang terpaksa melalui ranjau onak dan duri bagi menyampaikan memorandum kami kepada Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Yang Di Pertuan Agong. Tetapi, apa yang memelik dan mendukacitakan saya mengapa kerajaan UMNO sehingga kini masih terus berdegil dan bersikap keras kepala?

Menurut apa yang saya difahamkan, surat izin daripada pihak polis hanya membenarkan untuk mengadakan perhimpunan sahaja, tetapi tidak memberi kebenaran untuk berarak beramai-ramai ke Istana Negara. Sedangkan tujuan utama kenapa gerakan ini mesti berarak ramai-ramai adalah bagi membuktikan kepada Menteri Pelajaran bahawa gerakan menentang PPSMI ini bukan hanya suara daripada rakyat minoriti sebagaimana yang didakwanya sahaja, sebaliknya ia adalah gerakan besar-besaran daripada cetusan rasa tidak puas hati dan bantahan rakyat secara keseluruhan.
Malangnya, apa yang terjadi, di sekitar Masjid Negara itu telah disiap-sedikan pula pasukan FRU yang serba lengkap dengan alat seperti mahu menghadapi satu pertarungan pula. Dan apabila pengiring-pengiring yang membantah PPSMI mahu bergerak mengiringi ketua mereka ke Istana Negara, pasukan FRU yang buat kacau dahulu. Mereka menyerang, memukul orang ramai supaya bersurai. Tak cukup itu sahaja, mereka tembak dengan mereka semua dengan asap pemedih mata, dan pancutkan pula meriam air kepada semua yang hadir.


Kemudian buat dalih mengatakan kononnya orang ramai yang tidak ikut peraturan, dan tidak hiraukan amaran! Saya mengaku, bahawa memang pada ketika itu tidak siapa lagi mahu dengar amaran dan larangan. Semangat yang telah berkobar-kobar itu bertukar menjadi perasaan sentimen melawan yang tinggi. Akhirnya, dalam kekecohan begitu, sudah tentulah ramai mereka yang disyaki dan ditahan untuk disoal siasat pihak polis dan berkesudahan dengan penahanan 8 orang yang dikatakan bertujuan untuk membantu pihak polis melanjutkan penyiasatan kononnya.

Saya amat berharap kepada pihak polis, agar mereka yang ditahan ini janganlah pula diapa-apakan, atau mereka ini dikasari pula. Mereka ini terdiri daripada bangsa Melayu yang bersemangat jitu, yang ingin mendaulatkan semula bahasa ibundanya, iaitu bahasa yang sama digunakan oleh anggota polis yang menahannya itu. Oleh itu tidakkah pernah terbetik di dalam hati sanubari anggota polis itu nanti, bahawa anak-anak mereka di sekolah masing-masing terkial-kial belajar matematik dan sains di dalam bahasa Inggeris?

Sedangkan, mereka yang ditahan itu pula adalah para pejuang bahasa yang bertujuan memberikan keselesaan kepada anak-anaknya juga. Sepatutnya mereka itu ada menaruh perasaan simpati, malah berasa megah kerana dapat bertemu dengan orang-orang yang berjuang kerana Allah! Sebaliknya, saya memang muak! Saya naik meloya apabila tengok muka YB Hishamudin di dalam TV. Dia sudah bercakap tujuh kali, setiap kali dia muncul di TV, tak ada modal lain, asyik-asyik dia mengulang kata-kata yang sama. Dia bertanya dan bertanya kenapa sehingga enam tahun PPSMI dijalankan, baru sekarang hendak buat protes?

Baru sekarang pula nak buat bantahan dan baru sekarang buat perhimpunan? Sesekali saya kasihan melihatnya, tapi kadang-kadang benci pula, kerana saya melihat memanglah Hishamuddin laknat ini pekak telinga dan buta mata orangnya. Dia benar-benar jahil dan tak erti bahasa agaknya. Sehinggakan dia tak sedar ataupun sengaja tak mahu seda-sedar. Untuk pengetahuan Hishamuddin, lama dulu lagi kami sudah membantah. Iaitu semasa PPSMI ini diumumkan lagi, kita sudah buat macam-macam kecaman dan bantahan.

Macam-macam cara kita laksanakan. Kami hantar surat bantahan, hantar wakil berjumpa dan berunding dengan mantan PM dan juga Menteri Pelajaran tempoh hari, termasukah berjumpa dengan Dollah Badwi sekali. Tetapi, hasilnya masih tergantung lagi kerana semua yang diadukan, semua yang dilaporkan tidak didengar dan diambil peduli. Akhir sekali apabila orang-orang kami mohon berjumpa dengan YB Hishamuddin, namun dia dengan bongkak dan sombongnya tidak mahu melayan tuntutan-tuntutan kami itu.


Apa yang paling sedih lagi, YB itu tidak mahu berjumpa langsung. Malah dia mengatakan tidak ada apa-apa lagi yang hendak dibincangkan. Lepas itu, dia pun mulalah mendabik dada sambil berkata dengan kepala batunya, bahawa dia tetap akan meneruskan PPSMI walau apapun rakyat kata. Untuk pengetahuan Hishamuddin, enam tahun yang kami tunggu itu agak lama juga, terutama bagi orang-orang orang Melayu yang terkenal dengan sabarnya! Tetapi, kesabaran orang-orang Melayu ada batasnya. Selepas enam tahun berlalu, kesabaran kami orang Melayu sudah sampai hadnya.


Dan Hisahmuddin tidak boleh berdolak dalik lagi harus menerimanya dengan redha. Namun begitu, nampaknya sekarang ini Hishamuddin sudah tidak tahu redha, dan tidak mahu lagi mendengar cakap rakyat yang pernah memilihnya tempoh hari. Jadi, jikalau sudah begitu gayanya, wahai sekalian orang-orang Melayu Johor, apakah anda semua masih berhati batu, bertelinga kuali, dan bermuka tebal, sanggupkah bertampal kulit babi? Takkanlah anda sekalian tak sedar-sedar lagi bahawa wakil Parlimen anda itu sudah macam itu pula jadinya sekarang?


Kalaulah anda benar-benar sudah sedar, itu suatu yang amat bagus! Oleh yang demikian, elok benar kalau kalian bangun menentang dia! Mari kita sama-sama tulis surat dan tandatangani ramai-ramai, buat undi tak percaya terhadapnya. Minta dia turun daripada menerajui Kementerian Pelajaran sekarang ini juga. Jangan biarkan dia meneruskan niat jahatnya sehingga anak cucu cicit kita semua dilaknatnya. Kalau dia nak laknatpun, biarlah kepada anak-anak dan cucu cicitnya sahaja yang dilaknatinya.

Orang Johor harus sedar, bukankah satu ketika dulu, negeri bertuah Darul Takzim itulah yang menjulang dan menjunjung Bahasa Melayu, dan yang mendaulatkan Bahasa Melayu. Apakah sekarang ini, anak jati Johor ini yang sanggup menderhaka kepada bangsanya kalian mahu membiarkannya bermaharajalela begitu sahaja? Saya melihat YB Hishamudin ini seorang yang sudah terlajak jauh sangat. Dulu, orang fitnahkan dia dengan menuduhnya kaki botol. Malah gambarnya bersama botol-botol arak yang sudah kosong di meja diedarkan ke segenap pelusuk negara, tetapi kami mati-mati menolaknya. Waku itu kami melihat beliau sebagai seorang anak muda yang berani dan tegas.

Tambah lagi apabila dia mencabut keris, dan peristiwa itu menjadi gawat sekejap, ini membuatkan sanjungan kami anak-anak Melayu jati atas keberaniannya itu melambung sekali. Tetapi, malangnya apabila dia menarik balik dan mengakui kebodohan dan kebiadabannya itu, kami menganggap dia bacul! Kami pun sudah mula hilang keyakinan! Dan sekarag dia memang sudah sah dan nyata tidak bermaruah lagi. Dia sudah tidak ada harga diri langsung. Sumpah, saya tidak menyangka sama sekali bahawa dia seorang anak orang besar-besar, tetapi perangainya pula macam anak melarat yang tak berdarjat!

Ramai orang mengatakan bahawa YB yang satu ini langsung tidak berhati perut. Dia tidak sedarkan diri bahawa semua kekalutan ini adalah berpunca daripada dirinya sendiri. Justeru itu, buat apa lagi YB bodoh ini bertanya kepada orang ramai siapakah dalang kepada GMP untuk menentang PPSMI itu? Penedek kata, kalaulah dia benar-benar lelaki yang bijaksana, sudah tentu dia mampu memperbaiki keadaan yang sedia ada, dan sudah pastilah tidak jadi begini. Sepatutnya YB turun ke padang, bertanya kepada orang ramai dari semua peringkat, dan lapisan, sama ada betulkah tidak pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris tidak membebankan kanak-kanak desa?

Jangan hanya mendengar cakapdan pengaduan orang-orang di sekeliling YB saja. Ini disebabkan mereka itu hidupnya memang ibarat pecacai yang meminta dan menadah tangan sahaja. Lupakah YB perumpamaan Melayu ada mengatakan, jikalau hendak tahukan kebaikan seseorang itu, tanyalah kepada rakan karibnya, dan kalau hendak tahu kejahatan seseorang itu pula tanyalah kepada seteru dan lawannya! Bertindak begitu, barulah bijaksana namanya. Kalau tidak, YB hanya bersaksikan lutut selama-lamanya…dan YB akan dikelentong orang sahaja sudahnya!

Mengulas bicara Pak Lah dalam TV malan tadi yang telah mengeluarkan kenyataan yang jelas kelihatan dia amat kecewa dan kesal sekali. Sehinggakan suaranya mendatar sahaja bunyinya. Jika dilihat daripada nada suaranya amat hambar dan sedih, namun, isinya seperti mengancam dan memberi kata dua kepada YB Hishamuddin. Jadi, YB Hishamuddin kena buat keputusan muktamad sekarang, sama ada dia masih mahu berkeras meneruskan PPSMI atau sebaliknya? Kata-kata begini memang besar ertinya. Pak Lah sendiri mengaku bahawa dia juga menerima desakan demi desakan yang semakin lama semakin besar dan kuat.

Jikalau YB Hishamuddin masih terus bertegak dengan pendiriannya, tak tahulah apa akan jadi kalau Melayu sudah hilang pertimbangan dan kesabarannya! Sepatutnya YB Hisahmuddin sedarlah diri...jikalau sudah sampai Pak Lah terpaksa berdehem-dehem begitu, kenalah berlagak bijaksana dan tidak lagi meneruskan aksi angkuh dengan sentimen kerasnya macam orang gila kuasa! Kalau YB Hishamuddin tidak mahu berganjak dari pendiriannya, saya yakin, akan datang, lagi besar perhimpunan diadakan kerana kami semua mahu membuktikan kepadanya bahawa gerakan kami ini bukan lagi gerakan GMP yang hanya diwakili oleh segelintir rakyat, tetapi sebenarnya, ia adalah lambang dan mewakili suara rakyat majorit!

Apakah Hisghamuddin pekak telinganya lagi dan masih berusaha mahu mengempang air deras dari gunung? Takut nanti YB sendiri akan dihanyutkan oleh air deras itu pula. Sedarlah YB, kerana kesombongan, keangkuhan dan kebobrokan anda, parti lawan yang tidak fasal-fasal tumpang sekaki, mencari palform. Mereka hanya sekadar menyokong gerakan GMP membasmi perlaksanaan PPSMI sahaja, dan mereka sebenarnya tidak menunggang kami, atau menggunakan kami, kerana perjuangan ini adalah perjuangan kami semua.

Padahal, kalau YB betul bijaksana dulu, YB jangan peduli enam atau tujuh tahun PPSMI sudah terlaksana, tetapi anda dengan berani bangun tegak mencabut keris sekali lagi bagi mendaulatkan semula Bahasa Melayu itu dengan cara menarik balik penggunaan PPSMI, saya kira YB adalah jagkami yang terbilang dan akan kekal diingati rakyat sampai ke mati, sebagaimana Hang Jebat yang tampil menyanggah penindasan minda oleh Sultan Melaka dan konco-konconya. Justeru itu, belum terlambat YB, kerana masanya sudah tiba, sepatutnya YB bersembahyang Istiqarah, minta Tuhan tunjukkan jalan yang benar.

Jangan minta pendapat orang-orang yang mengampu bodek di sekeliling YB sahaja. Apa yang saya khiuatirkan, nanti YB sendiri yang akan kena main, macam YAB Timbalan Perdana Menteri ketika pilihanraya 1999 dulu. Bila dia tanya pada juak-juak dan pecacainya, semua kata, everything Ok, Boss! Natijahnya, cemas-cemas lagi periuk nasinya tidak terlingkup.! Ha, begitulah pengajaran buat YB Hishamuddin yang kami sayangi. Maka kembalilah YB ke pangkal jalan macam yang dilakukan oleh YAB TPM dahulu. Dia melihat dirinya kembali, mencari mana-mana kesilapan, dan kelemahan sambil beliau cuba memperbaikinya pula.

YAB tidak mudah lupa dengan pesanan datuk neneknya Orang Besar Berempat Pahang, bahawa tidak ada gading yang tidak retak. Jadi, beliau mengambil pendekatan yang bijaksana, lalu percaya bahawa tidak ada bocor yang tidak boleh ditampal. Insya-Allah bahtera yang bocor pun boleh kembali belayar dengan selamat kalau ditampal dengan baik. - Wak Semar memang sukakan pemimpin yang mahu kembali ke pangkal jalan setelah tersesat di hujung jalan.
(Wak Semar ialah Profesor Dato’ Dr Mohamad Mansor Abdullah, bekas Timbalan Naib Canselor HEP UTM, yang juga saterawan dan aktivis bahasa – p)

LADIN NUAWI BERTEATER

PENGGIAT TEATER KANAK-KANAK:
PENAMPILAN KARYA LADIN DI TV2

Doaku Untukmu… Gaza Zoom In @ RTM. TV2, 9.00 malam ini (8 Mac 2009), Ahad. Slot b.kbayan 2. Slot – intro & sketsa.. Sudilah menonton show kami. Salam dan terima kasih. Ladin Nuawi penggiat teater tersohor di Malaysia tampil dengan teater kanak-kanak. Isu Gaza dan keganasan Zionis diangkat sebagai tema yang menjadi pilihan Ladin Nuawi. Kemampuan Ladin Nuawi membawa kanak-kanak sebagai perantara bagi menyampaikan manifestasi rakyat Malaysia terhadap keganasnan Zionis amat dikagumi. Justeru berilah sokongan moral kepada beliau menggerakkan teater kanak-kanak.