Wednesday, March 18, 2009

INFO SASTERA & BUDAYA....


PUISI HUMOUR

Warkah Pencuri Ayam




-Peringatan kepada para
pencuri ayam



Kalau curi ayam
jangan lebih dari seekor
bila kena tangkap
hukumannya amaran saja
kalau curi lebih seekor
cepat siat kulit
buang taik dan bulu
dalam mulut buaya,
buat gulai buat sup
lepas makan cepat-cepat
gali lubang tanam tulang
sorokkan bukti.

Cepat-cepatlah basuh mulut
dan pastikan tak terselit
serpih ayam kat celah gigi
insya Allah tak kena
tapi kalau curi
lebih lima ekor
nanti cuma kena
tak boleh tanding
tekong sepak takraw aje,
masih tetap boleh terus
jadi tukang jaga kandang
he he he.

Takde hallah tu
makanya, para pencuri ayam sekalian
teruskanlah mencuri ayam
memang sahaja begitu adanya
encik-encik dan tuan-tuan
Undang-undang ini Dato' yang bikin
(apologi kepada Musang Berjanggut).


-Yassinsalleh
Lebuhraya ke Utara
18 Mac 2009
17:59:11

INFO SUARA PROLITAR...


Prosedur Luar Biasa Digunakan
MP Tak Diminta Tarik Balik Tuduhan

Laporan akhbar 'Liberation' di Perancis menjadi turning point kepada drama seorang Ahli Parlimen digantung bagi tempoh 12 bulan, di samping tak menerima elaon dan sebarang kemudahan. Sepatutnya mengikut prosedur biasa, Ahli Parlimen terbabit seharusnya dirujuk kepada jawatankuasa Dewan. Beliau wajar didesak memohon maaf atau menarik balik tuduhan yang dilimparkan kepada seseorang. Ironinya prosedur luar biasa sudah digunakan kepada Ahli Parlimen berkenaan, apabila peruntukan yang luar biasa juga digunapakai. Malaysia baru sahaja mahu memulihkan reputasi badan kehakiman yang tercalar, di samping perilaku polis juga turut belum dipulihkan sepenuhnya. Bukan sahaja isu 'lebam mata' 1998, malah kematian seorang suspek S Kugan di lokap polis juga mencemarkan Malaysia.

Desas desus menyebut isu dalam laporan akhbar 'Liberation' di Paris itu sekadar 'mukaddimah' sahaja, kerana masih ada lembaran yang belum disiarkan secara terperinci. Malah berdasarkan desas desus berkenaan, Perancis juga berhadapan dengan desakan dari kerajaan lain (mungkin sahaja Mongolia) bagi menafikan laporan berkenaan. Tetapi sebagai kerajaan berwibawa, malah dianggap kuasa besar di samping Amerika Syarikat, Great Britain dan Russia, bukan mudah bagi Perancis membuat penafian. Apalagi syarikat yang terbabit dengan isu pembelian peralatan perang di Perancis itu, mungkin sahaja terjejas produknya. Khabarnya, pihak kedutaan Perancis di Kuala Lumpur sudah menemui seseorang yang berpengaruh di Malaysia baru-baru ini tetapi tak diketahui butir-butir perbincangan mereka...

L MANKADIR MENULIS...


Jangan peduli pergolakan UMNO
Pejuang bahasa teruskan lawan PPSMI

Pejuang bahasa Melayu yang mahu menghapuskan PPSMI (pembelajaran dan pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris) jangan leka dengan isu pergolakan dalam UMNO dan jangan menaruh harapan pada Najib (Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak). Janganlah harapkan guruh di langit air di tempayan dicurahkan. UMNO tetap UMNO, tak kira siapa pun yang akan jadi Presiden UMNO. Politik wang, salah guna kuasa dan 'gertak' memang jadi amalan UMNO. Pada masa Mahathir (Tun Dr Mahathir) dulu begitulah, sekarang sudah semacam nampak kelibatnya di belakang Najib. Tapi majoritinya ahli UMNO bukanlah 'tahu bahasa' sangat. Kalau mereka nak jadi Si Luncai terjun dengan labu-labunya, biarkan, biarkan!

UMNO/BN jangan ingat rakyat dan pengundi macam kera yang boleh diumpan dengan jagung untuk masuk perangkap pilihanraya. Kempen pilihanraya di Bukit Gantang (di Perak), Bukit Selambau (di Kedah) dan Batang Ai (di Sarawak) kalau 'anak jantan' UMNO jemputlah Mahathir dan Hishamuddin (Dato' Seri Hishamuddin Hussein), ceramah dalam Bahasa Inggeris. Mereka berdua bersungguh-sungguh mahukan PPSMI, sila jumpa pengundi Melayu prolitar dan gunalah Bahasa Inggeris. Mahathir yang masih berminat dengan 'jambatan bengkok' ke Singapura tentu sedang menunggu-nunggu Najib dan Hishamuddin naik. Sekarang pun Mahathir dah mula tunjuk belang, dengan PERKASA yang diketuai Berahim Ali (Dato' Ibrahim Ali) buat perjumpaan Melayu pada 22 Mac ini di Dewan Sukan TNB, Kuala Lumpur. Alahai Melayu!

(*L Mankadir Shamsi ialah aktivis teater dan budaya di Pahang, di samping terbabit dalam perfileman dan drama TV. Pernah memenangi hadiah saguhati skrip drama pentasdianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, pada dekad 1980-an. Di samping menulis skrip TV, beliau juga pengarah dokumentari untuk TV swasta)

KOMENTAR:

bersama Pak Parjo...


Penghulu Tata Tertib Heh Heh Heh...
Tak Hukum Khir Toyo, Aduhai, Aduhai!
Sebermula sekalian orang banyak diberitahu akan Orangkaya Dato' Seri (Tabib) Mohd Khir Toyo itu tiadalah ia dihukum oleh penghulu tata tertib harakah Melayu (UMNO), Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddin. Arakian ketika diumumkan semalam (20 Rabiulawal 1430 atau 17 Mac 2009), terlepaslah Orangkaya bekas Menteri Besar Selangor itu daripada hukuman. Sebermula kata sekalian orang banyak Orangkaya Dato' Seri (Tabib) Mohd Khir itu, memang bukan anak buah Orangkaya Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi. Sejak zaman bahari lagi ia mengaku akan dirinya anak buah Tun (Tabib) Mahathir Mohamad, adanya. Maka diberitahu oleh sekalian orang banyak kepada fakir yang harakah Melayu itu berebut-rebut antara anak-anak buah Orangkaya Dato' Seri Abdullah dan anak-anak buah Tun (Tabib) Mahathir, bukannya Orangkaya Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak, gerangannya!

Syahdan, maka pada tatkala itu, Hang Nadim ada di bawah penghadapan itu. Telah ia mendengar titah demikian itu, maka Hang Nadim pun berbicara di dalam hatinya, katanya, "Baiklah aku pergi ke Pahang, mudah-mudahan dapat Tun Teja itu ku bawa ke bawah Duli Yang Dipertuan akan menghspuskan dosaku." Telah demikian fikirnya maka Hang Nadim pun pergilah, menumpang baluk orang ke Pahang. Telah datang ke Pahang maka Hang Nadim pun bersahabat dengan seorang nakhoda Chempa, Saiyid Ahmad namanya, terlalu berkasih-kasihan. Maka kata Hang Nadim pada Nakhoda Saiyid Ahmad, "Sungguhkah Tun Teja anak Bendahara Pahang itu terlalu baik parasnya?", tetapi sekalian orang banyak tahu akan Hang Nadim itu sudah gaharu cendana pula, sudah tahu bertanya pula seperti disebut dalam 'Kitab Melayu' dikarang oleh:





HIDUP BAHASA MELAYU!

Tuesday, March 17, 2009

DARI LAMAN BLOG...

Akta Hasutan Kembali Berfungsi
Selepas 37 Tahun Tak Digunakan!

Selepas 37 tahun sejak 1972, hari ini (17 Mac 2009) seorang lagi Ahli Parlimen didakwa di bawah Akta Hasutan. Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Karpal Singh dihadapkan di mahkamah apabila menyuarakan hasrat mahu menyaman Sultan Perak dalam isu 'rampasa kuasa' pada 6 Februari 2009. Pada dekad 1970-an Ahli Parlimen Menglembu Fan Yew Teng, menjadi Ahli Parlimen pertama didakwa di mahkamah di bawah Akta Hasutan ketika pentadbiran Tun Abdul Razak. Beliau sekadar menyiarkan teks ucapan seorang aktivis Dr Ooi atas kapisiti pengarang organ partinya.

Teks ucapan Dr Ooi aktivis parti berkenaan di Pulau Pinang menyarankan bahasa pengantar di sekolah-sekolah Melayu disamakan dengan sekolah-sekolah lain. (Sekarang pun sarana itu mahu dilaksana oleh UMNO dengan dasar PPSMI). Fan Yew Teng didapati bersalah, justeru dijatuhkan hukuman di samping hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen. Ironinya, beliau menerima pencen sebagai ADUN Selangor, tetapi tak pula pencen Ahli Parlimen.

Ahli Parlimen kedua yang didakwa di bawah Akta Hasutan, Ahli Parlimen Petaling Oh Keng Seng pada period Tun Abdul Razak juga awal dekad 1970-an. Oh Keng Seng didapati bersalah, justeru dilarang lima tahun tak boleh bertanding dalam pilihanraya. Beliau didakwa kerana berucap dalam pilihanraya kecil Rembau-Tampin (sekarang Tampin) tak mahu Askar Melayu dikekalkan, tetapu mewujudkan Askar Malaysia (sekarang pun Asklar Melayu sudah ditukar kepada Tentera Darat. Aduhai!).

Tun Musa Hitam tak didakwa apabila ucapannya mahu menutup sekolah jenis kebangsaan dianggap menghasut, tetapi Tan Sri Melan Abdullah (Pak Melan), Ketua Pengarang Utusan Melayu pula didakwa di bawah Akta Hasutan. Selepas kes-kes berkenaan tak lagi dikuatkuasa Akta Hasutan; apablagi Tun Razak meninggal dunia pada 1976. Karpal Singh Ahli Parlimen ketiga yang didakwa di bawah Akta Hasutan, sekalipun sebelumnya beliau pernah mahu menyaman Sultan Selangor pada dekad 1980-an, tetapi tak pula dikenakan Akta Hasutan.

Dato' Seri Nazri Aziz tak pula dikenakan Akta Hasutan apabila mendakwa Pemangku Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tungku Naqiuddin mempunyai agenda apabila mendesak dipulihkan kekebalan raja-raja Melayu. Tun Dr Mahathir Mohamad tak juga didakwa di bawah Akta Hasutan apabila meminda perlembagaan pada 1993, dengan menghapuskan 'kekebalan raja-raja' (sebenarnya seperti dikehendaki oleh Malayan Union). Tak hairanlah Karpal Singh mentakrifkan dakwaan ke atas dirinya adalah bermotif politik.

-Pak Dharma

Luahan rasa Dato' Kamal Amir...

Agihan 200 Permit AP Dipersoal:
Pembersihan Yang Mudah Ditafsir

Dato' Seri Mohd Ali Rustam calon Timbalan Presiden UMNO pada Perhimpunan Agung 24-28 Mac 2009 ini, diisytihar tak berkelayakan bertanding petang ini (17 Mac 2009) oleh Pengerusi Jawatankuasa Disiplin UMNO Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddin Ismail. Sumber yang rapat dengan pimpinan UMNO mengakui, Ali Rustam sudah diberi jaminan tak akan diambil sebarang tindakan, sekiranya menerima keputusan Jawatankuasa Disiplin dan tak mempersoalkan apa-apa berikutan keputusan berkenaan. Mungkin sahaja Ali Rustam dianggap pro Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi, seperti insiden Dato' Seri Azalina Osman Said yang diserbu pejabatnya oleh SPRM atau Khairy Jamaluddin yang diberi amaran oleh Jawatankuasa Disiplin.

Bagaimanapun desas desus sudah lama kedengaran berkaitan calon-calon yang akan bertanding pada pemilihan UMNO mengagihkan 200 permit AP kepada anak pimpinan yang mempunyai kaitan dengan Jawatankuasa Disiplin. Sehingg sekarang tak didedahkan siapa pemberi permit AP, dan anak pimpinan yang mempunyai kaitan dengan Jawatankuasa Disiplin itu. Sekalipun Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak dalam kenyataan kepada media petang ini (17 Mac 2009) mahu melakukan pembersihan di dalam UMNO, tetapi adalh dibimbangkan pmmbersihan sekadar 'membalas dendam'. Kalau pada 2004 Tan Sri Isa Samad (dikatakan pro Najib) dikenakan tindakan, justeru pada kali ini Ali Rustam (atau pro Pak Lah) pula menerima risikonya.

Tengku Ahmad Rithauddin akan dipersoal kalau tindakan jawatankuasanya mempunyai unsur-unsur tak sihat. Isu 200 permit AP juga terus menghantui penyokong-penyokong UMNO di peringkat akar umbi, kerana kementerian tertentu sahaja yang boleh memberikan permit tersebut. UMNO akan kembali kepada gelora 1987 apabila wujud 'A Team' dan 'B Team', malah berakhir dengan tragedi diharamkan di mahkamah. Berikutan tragedi itu sistem kehakiman dipersoalkan, menyebabkan kerajaan menanggung beban pada 2008 dengan membayar pampasan kepada hakim-hakim yang diberhentikan ketika krisis 1987. Dalam tempoh 22 tahun pada 2009, UMNO sedang menunggu hari-hari terakhir selembar sejarah...!

(*Dato' Kamal Amir Kamal Hijaz ialah bekas Exco Pemuda UMNO sekitar dekad 1980-an, dan pernah berkhidmat sebagai wartawan Utusan Melayu dan Ketua Editor Karangkraf yang menerbitkan akhbar Bacaria dan lain-lain penerbitan. Sekarang beliau adalah usahawan yang terbabit dalam beberapa perniagaan).

PUISI HUMOUR



LAGU JERITAN BATIN
VERSI YASSINSALLEH


Ali Rustam mengundang
Dato' Shah Rukh Khan ke PWTC
untuk berjoget lambak
sambil menyanyikan lagu
'Jeritan Batinku':
Memekik-mekik
memanggil-manggil namamu selalu!
sehari rasa setahun
24-28 Mac 2009
hanyut macam kiambang
tak dapek den nak nolong
mengabeh boreh joh!

Berduet dengan Azalina
(Kajol TDC)
& lagu penutup
seiring dan sejalan
seindah bunga di taman
bak gunung dan bukit
Bukit Gantang, Bukit Selambau
Batang Ai ai ai ai
marilah kita tibai!

-Yassinsalleh
Puchong Perdana
17 Mac 2009
15:17:32

(diolah daripada rangkap asal untuk
disesuaikan dengan senario semasa*
)