Sunday, March 29, 2009

KOMENTAR:

bersama Pak Parjo...

Berebut Untuk Orangkaya:
15 Bersaing Di Bukit Selambau


Kata sahibul hikayat tersebutlah ceritera di negeri Melayu itu, seramai lima belas orang anak tuan-tuan berebut mahu menjadi Orangkaya Bukit Selambau. Arakian pada hari ini 2 Rabiulakhir 1430 (atau disebut orang 29 Mac 2009). Adapun pada hari yang sama berebut-rebut anak tuan-tuan mahu menjadi Orangkaya di Bukit Gantang dan Orangkaya Batang Air. Maka terfikir kepada fakir selama ini tak pernah berebut-rebut hingga 15 orang mahu menjadi Orangkaya. Sebermula pada hari semalam 1 Rabiulakhir 1430, bekas Orangkaya Perdana Menteri Tun (Tabib) Mahathir Mohamad, gembiralah ia kerana Orangkaya Perdana Menteri Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu berhentilah daripada jawatannya. Syahdan diketahui oleh orang banyak bekas Orangkaya itu tak mahu ia kembali bersama harakah Melayu (UMNO), kalau Orangkaya Dato' Seri Abdullah masih lagi menjadi Perdana Menteri.

Syahdan pada masa itu sembilan orang yang layak jadi Orangkaya Bendahara iaitu tak sampailah ramainya 15 orang seperti di Bukit Selambau pada akhir zamannya. Pertama-tama Paduka Tuan, kedua Tun Zainal Abidin (seakan-akan pula Tan Sri Muhyiddin), ketiga Tun Telanai, keempat Seri Nara Diraja, kelima Seri Maharaja, keenam Seri Wak Raja ketujuh Tun Abu Saiyid, kedelapan Tun Abdul, kesembilan Tun Bijaya Maha Menteri. Maka berdirilah berbanjar di hadapan istana Sultan Mahmud. Arakian titah baginda, "Siapa antara Orangkaya sekalian ini akan jadi bendahara?". Adapun bunda Sultan Mahmud itu adik Tun Tahir dan Tun Mutahir, ada ia di balik pintu. "Pak Mutahir itulah jadikan bendahara," katanya kepada Sultan Mahmud, kerana sejak zaman Melaka begitulah anak orang-orang besar sekalian seperti disebut dalam 'Kitab Melayu' oleh:









HIDUP BAHASA MELAYU!

DARI LAMAN BLOG...

Terlalu Cepat Angin Perubahan:
Tun Dr M Mula Diberi Liputan Media
Assalamualaikum,
Media arus perdana tak bimbang apa-apa memberi liputan kepada bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad apabila tampil ke PWTC. Ketika Tun Dr M diperlekeh, diperleceh dan diperhegeh sebelum PRU12 media arus perdana 'tumpang sekaki' melatam Tun Dr M; apalagi dalam isu permit AP dan Tan Sri Rafidah Aziz. Hari ini santak ke malam, TV juga turut buat liputan besar-besaran mengangkat Tun Dr M kembali menjadi wira diapit oleh Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi (masih lagi Perdana Menteri sehingga menghadap ke Istana Negara 2 April 2009 nanti) dan Dato' Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, yang tersenyum lebar malah bersemangat untuk mengambil alih jawatan menerusi pelan peralihan kuasa. Alahai!

Ketika Tun Dr M dibawa ke Hulu Kelang pada 2007, mereka yang dijemput sekadar menerusi SMS, di samping pihak urusetia perlu mendaftarkan senarai peserta kerana bimbang tak ramai yang datang. Apabila PRIMA turut menganjurkan 'Wacana Di Yayasan Kepimpinan Perdana' pada 15 Ogos 2007, laman blog dan laman web bekerja keras untuk memastikan aktivis-aktivis sosial menyertainya. Bagaimanapun akhbar arus perdana membuat liputan pada 16 Ogos 2007 sekadar berita sisipan ahaja, dengan mendakwa tak sampai 200 orang hadir pada majlis berkenaan. Dewan yang mempunyai kapasiti 200 orang itu, sebenarnya melimpah keluar di samping ramai yang berdiri (tak cukup tempat duduk), tetapi itulah laporan media arus perdana.

Tiba-tiba sahaja hari ini (28 Mac 2009) Tun Dr M diberi liputan hebat oleh media arus perdana sebaik sahaja Dato' Seri Mohd Najib secara rasmi menjadi Presiden UMNO. Terlalu cepat angin perubahan media arus perdana melakukan anjakan paradigma, apabila satu ketika dulu Tun Dr M sekadar ditemani keluarga sahaja apabila membuat sidang media. Tun Dr M yang berkunjung ke Kubang Pasu satu ketika dulu dicium tangan hingga tak tumbuh bulu roma, sekelip mata sahaja tersisih hingga mendapat undi ke 9 bagi memilih 7 wakil ke Perhimpunan Agung pada 2003. Pimpinan UMNO juga apabila dipelawa ke majlis di Yayasan Pimpinan Perdana sengaja mengelak-ngelak diri. Begitulah!
Media arus perdana tak bimbang lagi, pimpinan UMNO yang mengelak-ngelak dulu sudah mula mencari lorong untuk mendekati Tun Dr M. Apabila PRIMA menganjurkan 'Wacana' bersama Tun Dr M, di samping menerbitkan antologi sajak 'Melayu Mudah Lupa', segelintir penyair sahaja yang menyahut ajakan PRIMA. Penyair-penyair besar di dalam Gapena, di samping yang pernah menerima anugerah sastera tak berani menampilkan diri. Malah sebahagiannya tak membalas SMS, seolah-olah Tun Dr M dan antologi 'Melayu Mudah Lupa' tak layak bagi mereka menyumbangkan karya. Ketika ramai pihak cuba mendampingi Tun Dr M sekarang, PRIMA tak perlu lagi mengirai-ngirai jarum dalam rumput kering..!

- Pak Dharma

Tulisan Larut Malam Mohd Affandi...

Soalan Cepu Emas:
Berapa Lama Najib Boleh Kekal?


Satu perkara aneh telah terjadi: beberapa orang pemuda yang didengar bercakap tentang perhimpunan agung UMNO, telah mengemukakan satu pertanyaan yang sangat pelik dan sungguh menghairankan: Berapa lama Najib boleh kekal? Jika pertanyaan itu datang daripada golongan tua (dipanggil veteran) dalam UMNO, kita boleh faham kerana mereka orang bijaksana, pandai melihat rahsia tersembunyi jauh ke depan. Ini orang muda yang bertanya seperti itu. Mengapa? Nampaknya mereka bingung dengan segala macam kontroversi yang tidak berjawab mengenai Presiden UMNO yang baru ini, yang juga Perdana Menteri baru.


Kata budak-budak muda itu, ahli MT tidak boleh lari dari bertanya tentang perkara-perkara yang boleh menyulitkan Najib Tun Razak, bertanya bukan berdepan dengan PM baru, tetapi bertanya sesama sendiri. Mereka akan dapati diri mereka (yakni ahli MT) berada dalam keadaan serba salah, kerana sudah jelas dari percakapan mereka bahawa mereka mahu berlaku jujur, berterus terang, ikhlas, tidak bermuka-muka dan seterusnya. Akan tiba masanya mereka akan meminta PM baru itu mencintai UMNO dan bangsa Melayu lebih daripada kedudukan peribadi, dengan melepaskan jawatan untuk diserahkan kepada tokoh yang lebih berwibawa.

Hanya dengan berbuat begitu saja UMNO akan dapat menghadapi pilihan raya ke-13 sebagai parti yang betul-betul mempunyai integriti. Nampaknya PRU 13 tidak akan dikendalikan oleh Najib Tun Razak, yang mungkin berada di suatu tempat yang mengejutkan, oleh itu menghalangnya daripada menghadapi pilihan raya itu. Dalam keadaan UMNO yang begitu kelam-kabut, UMNO perlukan seorang diktator yang bengis untuk menghadapi kekalutan dalam parti dan kebencian rakyat kepada UMNO. Jika Najib Tun Razak sanggup memainkan peranan itu, UMNO dan dirinya sendiri mungkin boleh diselamatkan buat sementara. Tetapi selepas itu UMNO akan hancur, melontarkan serpihannya ke pelosok negara.

Mungkin ada di antara mereka yang akan masuk penjara kerana desakan sesama sendiri. Inilah yang terjadi apabila Tun Razak meninggal di London. Kalau kita boleh percaya kepada pandangan ahli sejarah, memang hakikat sejarah untuk mengulang balik kejadian yang telah terjadi. Sejarah memang selalu berulang kembali. Berapa orang tokoh penting UMNO dipenjarakan semasa pemerintahan Tun Hussein Onn? Yang paling terkenal ialah Dato’ Harun Idris, Bapa Pembangunan Selangor yang mengasaskan Universiti Kebangsaan Malaysia di Bangi. Dato’ Harun Idris menjadi saingan sengit seorang ahli politik dari Pahang. Adakah ahli politik itu yang telah membawa Dato’ Harun ke Penjara Pudu? Semua boleh berlaku dalam UMNO, oleh itu pertanyaan anak muda tadi memang berasas. (28/3/2009)

-Mohd. Affandi Hassan

Saturday, March 28, 2009

SUARA HATI LEO A.W.S...



UMNO TAK MAHU BINCANG PPSMI:
KUALITI PERWAKILAN KE PERHIMPUNAN


Salam afiat. Perhimpunan Agung UMNO dah berlangsung (24-28 Mac 2009). Tapi tak ada komen mengenai PPSMI @ martabat bahasa. Kecuali seorang perwakilan Kuala Terengganu. Mereka tak sentuhlihat isu bahasa penting @ berkait maruah bangsa. PRIMA termasuk Pak Dharma, Pak Yahaya, Dato' Kamal Amir, Profesor Dato' Dr Mohd Mansor Abdullah, Mohd Affandi Hassan, L Mankadir Shamsi dan lain-lain perjuangkan terus. Kami rakyat prolitar menyokong sahaja. Memang saya ikuti menerusi media Gerakan Mansuh PPMSI (GMP) yang dipimpin Dato' Hassan Ahmad, Dato' A Samad Said, Profesor Emeritus Dr Nik Safiah Karim dan ramai lagi; apalagi khabarnya mereka disoal siasat polis kerana sayangkan bahasanya sendiri, malah menikmati semburan gas pemedih mata dalam usia melewati 70-an.


Dengan pengkhianatan pemimpin UMNO dalam isu Bahasa Melayu, bagaimana anak-anak muda mahu menghormati kepimpinan mereka? Perhimpunan Agung UMNO tak bincang isu PPSMI, maknanya mereka menyokong bukan Bahasa Melayu menjadi bahasa ilmu. Mereka yang mahu kekebalan raja-raja Melayu dipulihkan dan mendaulatkan Bahasa Melayu tak menang untuk menjadi pemimpin UMNO. Justeru itulah kualiti perwakilan UMNO yang lebih bersifat 'kokok berderai-derai, ekor bergelmang taik'. Anak-anak muda Melayu berasa malu dengan sikap serta penampilan pemimpin UMNO. Demi perjuangan Bahasa Melayu, kita harap PRIMA akan terus menjadi benteng anak-anak muda. Harap kerjasama dengan GMP akan bereterusan hingga PPSMI lenyap dari bumi negara kita.


(*Dr Leo A.W.S penyair dan penulis muda dari Kelantan. Terbabit dalam penulisan sejak di sekolah menengah. Beliau sudah menghasilkan beberapa buah antologi sajak)

INFO SASTERA & BUDAYA...

PUISI


Sang Matador Si Lembu-LEMBU


Bertemu dan berpisah
adat manusia biasa
hilang di mata
tapi dihati
takkan lupa.

Membeli dan menjual
adat orang kaya raya
hilang maruah
tapi dapat
kekalkan kuasa.

Demi bangsa
demi negara
demi agama
demi matlamat
makanya,
halallah segala cara.

Dari meratah
bangkai saudara
sehinggalah
menaburkan isi
gua Qarun
sambil berebutan
mengkakak tuakan
hadis dan Quran
dan mengucup
keris dengan penuh azam
tak akan minta ampun
minta maaf lagi
kali ini.

MAKAnya,
mustainlah gerombolan
kafilah itu membina
fatamorgana
idaman bangsa
yang dirayakan
penuh sorak sorai
hilai tawa
yang amat gempita,
mengiringi nakhoda perkasa
mempertinggi tempat jatuhnya.

Bertemu dan berpisah
adat manusia biasa
pulanglah yang buta tuli
dan bisu
setelah shopping
sesakan-sakannya.

Tinggallah
patung-patung
biara
berpencak dan
bertandak
mematuhi
rentak dan bentak
sang matador si lembu-LEMBU


-Yassinsalleh
Masjid Jamek, Kuala Lumpur
28 Mac 2009
jam 16:57:39

Seminar Penulisan Biografi...

Guru-Guru Sejarah Berseminar
Tiga Kertas Kerja Akan Dibentang
Seminar penulisan biografi tokoh-tokoh Negeri Sembilan anjuran Persatuan Sejarah Malaysia cawangan Negeri Sembilan akan diadakan di Sekolah Dato' Abdul Razak, Sungai Gadut, Seremban 2 April 2009 ini, beritahu Setiausaha Kehormatnya Dato' Haji Sudin Kamari. Ketua Pimpinan Warga Prihatin Malaysia (PRIMA) Pak Dharma turut diundang membentangkan kerts kerja bersama Haji Jaafar Kassim dan Hajjah Mahaya Yassin. Seminar yang berlangsung selama sehari bermula jam 8.00 pagi akan dirasmikan oleh Pengerusi Persatuan Sejarah cawangan Negeri Sembilan, Tan Sri Abu Zahar Ujang. "Adalah dijangkakan kira-kira 200 orang guru sejarah sekolah-sekolah menengah Negeri Sembilan akan menyertai seminar ini," jelas Dato' Haji Sudin dalam surat jemputannya.

Pak Dharma akan membentangkan kertas kerja 'Disiplin dan Keberkesanan Penulisan Biografi' jam 10.30 pagi, selepas Haji Jaafar Kassim memulakan dengan 'Teori dan Kaedah Penulisan Biografi' pada 8.50 pagi, diikuti Hajjah Mahaya Yassin 'Kreativiti Dalam Penulisan Biografi'. Kata Dato' Sudin, setakat ini Pak Dharma sudah menghasilkan penulisan autobiografi bagi tokoh-tokoh di Negeri Sembilan termasuk: 'Tan Sri Abdul Samad Idris: Angry Young Man Dari Negeri Sembilan', 'Dato' Sati Haji Daud Haji Ahmad: Pejuang Prolitar Di Daerah Kecil', 'Dato' Johan Pahlawan Lela Perkasa Setiawan Dato' Haji Mohd Jan Abdul Ghani: Ketuanan Melayu Johol' dan Dato' Lela Maharaja Dato' Haji Muhamad Sharip Haji Othman: Legasi Ketuanan Rembau'.

Di samping menghasilkan skrip filem 'Raja Melewar', Pak Dharma juga turut menulis buku autobiografi 'Tun Abdul Razak: Pemimpin Berjiwa Rakyat', 'Dato' Onn Jaafar: Potret Pejuang Terbilang', 'Dato' Ahmad Badawi: Lilin Membakar Diri' dan 'Khir Toyo: Iltizam Pimpinan Selangor'. Lain-lain buku dalam proses penerbitan ialah 'Nasionalisme Di Negeri Sembilan', 'Kronologi Pimpinan Perlis', 'Sentimental Keabangan Sarawak' dan '150 Tahun Kuala Lumpur'. Jemputan yang dibuat ke atas Pak Dharma, tak mempunyai kaitan dengan kedudukan sebagai anak Negeri Sembilan, tetapi penglibatan selaku penulis biografi paling prolifik di Malaysia sekarang, kata Dato' Haji Sudin.

Teks Ceramah Pak Dharma...

Jangan Baca Buku Sejarah:
Tapi Hendaklah Cipta Sejarah!


(Teks ceramah Ketua Pimpinan Warga Prihatin Malaysia - PRIMA, Pak Dharma akan diadakan pada 2 April 2009 jam 11.00 pagi di Sekolah Dato' Abdul Razak, Seremban kepada guru-guru sejarah di Negeri Sembilan anjuran Persatuan Sejarah Negeri Sembilan).


MUKADIMAH


Ilmuan tasauf teragung Imam al-Ghazali menerusi kitabnya 'Ihya Ulumuddin' menghuraikan secara ethics mengenai pemahaman syakiyyah dan pengingkaran terhadap segala ilmu menjelaskan: "Serendah-rendah tingkat orang yang berpendidikan, ialah orang yang dapat menghargai dirinya sendiri dari orang-orang biasa yang tidak berpendidikan. Orang yang berpendidikan tidak akan menghirup madu sekalipun mendapatkannya di dalam besen pembekaman, oleh kerana ia tahu bahawa besen itu tidak mengubah zat madu."

Memang besen bekas pembekaman itu menampung darah kotor, justeru ianya tak mampu mengubah zat madu yang diisikan, walaupun dicuci sebersih-bersihnya. Begitu juga mangkuk tandas yang dibersihkan, tak akan mengubah persepsi manusia terhadap makanan lazat yang diletakkan di dalamnya. Begitulah! Maknanya, ilmu sejarah atau sebelumnya dikenali ilmu tawarikh (atau bagi pelajarpelajar sekolah agama di masa lalu disebut ilmu tarikh); ianya tak akan mengubah tanggapan umum sejarah itu rakaman dokumentasi kehidupan manusia dalam tranformasi zaman bahari ke zaman baharu.

Justeru disiplin penulisan sejarah memerlukan orang yang berpendidikan sama ada secara formal mahupun tak formal, di samping kaji selidik yang berpaksi kepada etika keilmuan. Malah dalam kitab 'Hakikat Tawassul dan Wasilah' oleh Musa Muhammad Ali yang diterjemah oleh Ustaz Haji Ali Haji Mohamed ke Bahasa Melayu menjelaskan: "Apabila dinisbahkan kepada ayat-ayat al-Quran yang mulia, hadis-hadis yang suci dan perkataan orang-orang terdahulu, maka semuanya sesuai dengan keadaan yang kita sebutkan tentang pada penghuni barzakh." Penjelasan tersebut menghuraikan al-Quran dan hadis menerangkan perkara-perkara di masa lalu untuk dijadikan tauladan kepada generasi manusia kemudiannya.

Memang penulisan sejarah menjadi dokumentasi bagi mempelajari perlakuan manusia di masa lalu sama ada kebobrokan mahupun kegemilangan, kepongahan mahupun ketulusan, keperongosan mahupun keperibadian berhemah! Bagi saya penulisan sejarah bolehlah diberikan kepada tiga kategori: (1) sejarah ketokohan atau biografi dan sirah, (2) sejarah sumbangan kepada peradaban manusia atau autobiografi, dan (3) sejarah umum terhadap tamaddun sesebuah negara atau tawarikh. Tak hairanlah apabila Napoleon Bonaparte yang meminati buku-buku sejarah ditegur oleh gurunya dengan mengingatkan beliau: "Kamu tak perlu membaca sejarah, tapi kamu wajar mencipta sejarah."