Thursday, April 23, 2009

INFO SUARA PROLITAR...

Pekerja warga asing biadap:
Tak hormati budaya tempatan

Sikap tak menghormati budaya tempatan di Johor Bahru di kalangan pekerja warga asing tak lama dulu, menular pula ke Taman Seri Gombak di Selangor tiga hari lalu, menurut aktivis masyarakat di sini Ir Adnan Haji Khalid (gambar kiri). Katanya, beberapa orang pekerja warga asing yang menjadi pengawal keselamatan di kondomuniam di sini menggangu isteri orang yang jelas sedang mendukung anak kecil. Pekerja warga asing itu secara biadap cuba memikat wanita terbabit, apabila ditolak mereka menyentap beg di tangan hingga botol susunya anak kecilnya jatuh ke jalan. "Insiden itu dilihat oleh seorang pemuda dikenali Zarul, apabila dia cuba nasihati, pekerja warga asing itu membelasahnya" beritahu Ir. Adnan.

Berikutan sikap tak menghormati budaya tempatan itu, pergaduhan berlaku pada sebelah malamnya, apabila penduduk tempatan bertindak balas. Suami wanita terbabit turut terbabit dalam pergaduhan, tetapi tak berlaku perkara yang tak diingini. Justeru Ir Adnan meminta syarikat yang menawarkan pekerjaan kepada warga asing perlu mengambil langkah positif bagi mengelakkan pergaduhan berulang lagi. Sekiranya pekerja warga asing terus bersikap tak mahu menghormati budaya tempatan, kesannya akan menimpa syarikat terbabit. Menurut Ir Adnan, pekerja warga asing itu dipercayai dari Bangladesh, tetapi dalam keadaan mabuk. "Syarikat terbabit perlu bertanggungjawab, kalau pergaduhan berulang," kata Ir Adnan.

PUISI BERSAMA YASSINSALLEH

Malang Oh Malang!

Perak berselerak
nak lelong Camry
di carpark
lapangan persendaan hak
tak berhak
seloka pohon si balai-balai
jenaka hukum
lelucon para badut sarkas
mempersenda maruah rakyat
pada tahap kebangsatan
di bawah aras kedunguan
seekor lembu
bunting.

Pulau Pinang
tercengang
dikatakan demi tidak mau
membazir wang rakyat
Penanti tidak akan ditandingi
demi tumpuan
ke arah mentadbir ekonomi
negara
yang kian tambah caca merba
Alhamdullillah.

Sedemikianlah
mudahnya dianggap
bahawa akan sebodoh itulah
rakyat menerima kewalian
seorang perdana
memperlembukan
kebijaksanaan rakyat.

Pahang
tunggang langgang
perintah mahkamah
supaya dibayar hutang
tiada sedikit diberi nilai
kepedulian
bagaikan suara pengundi
Pelangai yang walang
berdendang
sayang Long
sayang!

Jambatan bengkok
yang lagi berkokok
dulu selaku menteri
nyaring lantang
sokong si tukang batal
kini selaku
menteri tak
dilantik lagi terpekik
terlolong sokong
si tukang nak
batal kebatalan.

Aduhai
tiadakah dalam
kamus Dewan
takrif perkataan
pordah!

Wahai kerabatku
Anak Bangsa Malaysia
Let Them Insult
Our Intelligence
At Their Own
PERIL!
malang oh malang...

-Yassinsalleh
22 April 2009
jam 2155
Kuala Lumpur.

KOMENTAR:

bersama Pak Parjo...

Orangkaya Perdana berseru:
Hendaklah bersetia dengan hamba

Sebermula akan Orangkaya Perdana Menteri Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak yang belum pun sepurnama ia bergelar itu menyeru sekalian orang banyak memberikan kesetiaan yang disebut '1 Malaysia'. Kesetiaan itu sudah barang tentu kepada dirinya kerana ia berseru itu dengan menyebut, 'hendaklah bersetia selagi pemimpin itu heh heh heh!'. Arakian akan hamba yang setia dalam '1 Malaysia' itu sudah berulang kali disebut Laksamana Hang Tuah pada masa Melaka dahulukala hingga ia memangkis, "Melaka se Melaka-Melakanya, Pahang se Pahang-Pahannya, tiadalah hamba bertuan selain daripada Yang Dipertuan!"

Arakian orang banyak pun hendaklah bersetia kepada Orangkaya Dato' Seri Mohd Najib kerana ia jua berkata, "Tuan hamba tak boleh memberikan ganjaran kepada seseorang itu hnya kerana ia setia, tetapi lupa bahawa kesetiaan tak berkemajuan adalah tak memadai'. Syahdan suatu hari kedengaran kepada fakir orang banyak berjenaka sesamanya dengan menyebut dalam bahasa dan loghat di Rembau yang pekat, 'Cangkau se Cangkau-Cangkaunya, Rambau se Rambau-Rambaunya, pakung sado alah eh,' (yang maksudnya: Cengkau se Cengkau-Cengkaunya, Rembau se Rembau-Rembaunya, semuanya berpekung). Adapun yang dimaksudkan itu ialah 1Cengkau dan 1Rembau jua, adanya.

Syahdan, maka Raja Kassim pun masuk melanggar ke dalam. Maka orang pun gempar mengatakan, Raja Kassim melanggar ke dalam. Arakian segala orang-orang besar Melaka yang bersama Raja Ibrahim pun datanglah mengusir bendahara dengan segala orang-orangkaya dan hulubalang sekalian. Mereka itu bertanya, "Mana Bendahara?". Maka sahut orang banyak, "Bendahara pergi dengan Raja Kassim." Maka pada hati mereka, "Bendaharalah yang empunya pekerjaan ini." Maka berseru-seru orang melarangkan jangan menikam Raja Rekan dahulu kerana ia tak bercerai dengan Sultan Abu Syahid. Maka tak didengar orang kerana terlalu sabur. Setelah dalam istana alah, maka diserulah orang banyak bersetia dengan Raja Kassim seperti disebut dalam 'Kitab Melayu' oleh:








HIDUP BAHASA MELAYU!

DARI LAMAN BLOG...


Sia-sia sahaja media barat:
Malaysia pun tak tahu 'mahathirism'

Desas desus menyebut media barat seolah-olah terlalu memberi perhatian sangat terhadap peralihan pentadbiran baru di Malaysia yang belum pun sampai sebulan. Malaysia dianggap di bawah 'Mahathirism', malah di Australia menggelarkan Malaysia negara 'porahhh'. Entahlah! Hebat sangatkah Malaysia di kalangan media barat, menyebabkan mereka bagaikan trauma dengan 'mahathirism' seperti keperihalan 'moism' di Republik Rakyat China (RRC) sekitar dekad 1960-an dan 1970-an. Malah ketika Tun Abdul Razak menjalin hubungan diplomatik dengan RRC pada dekad 1970-an ianya dipandang serong.

Ketika saya ke Stockholms, Sweden pada 1996 penduduk pendalaman di Surrahhamar (gambar kanan di depan muzium The Vikings) misalnya tak kenal pun Malaysia; apalagi mereka tak tahu di mana letak negara Malaysia. Apabila diberitahu Malaysia di benua Asia, mereka bertanya adakah berdekatan dengan Kuwait (yang juga di benua Asia) disebabkan keluarganya berkhidmat di negara berkenaan. Kalangan 'kesatuan sekerja' pula sekadar mengenali 'Kuala Lumpur' dan Tunku Abdul Rahman pejuang 'apartheid', justeru mereka tak langsung mengenali Malaysia. Kalau media di barat memburuk-burukkan Malaysia, barangkali tak memberi apa-apa kesan!


Tak tahulah di Australia sama ada mereka memahami istilah 'porahh' atau tidak, tetapi memang terdapat rakyat Malaysia yang diterima menjadi penduduk tetap (permanent resident) di negara tersebut. Sewaktu berceramah di UKM mengenai Adat Perpatih pada Disember 2008, bekas Naib Canselor Unisel, Profesor Dato' Dr Kamaruddin Kachar (gambar kiri, berbaju Melayu) mengakui memiliki hartanah di Australia. Maknanya, memang ramai warga Malaysia di Australia, tetapi apakah faedah media di negara itu melabelkan Malaysia sebagai 'negara porahhh'? Malah di mana logiknya pula jika masyarakat barat terlalu phobia dengan 'mahathirism'?

Berbeza dengan 'moism' yang berpengaruh di Indochina, barangkali termasuk juga Mongolia, di samping bersaing bersama komunisme marx dan lenin di Eropah Timur, 'mahathirism' bukan menjadi ancaman kepada blok barat. Malah aura Osama bin Laden lebih menggerunkan mereka selepas propaganda George Bush mampu mempengaruhi lembu-lembu ternaknya di Eropah. Di Malaysia sendiri tak siapa pun mengetahui mengenai 'mahathirism', justeru media barat seolah-olah memasaang serkap jarang di lokasi anak-anak ikan bermain. Heh heh heh!
-Pak Dharma

SURAT TERBUKA DR M...

Mahathir dedah surat menyurat:
Pimpinan Singapura dlm isu jambatan

(Cabutan daripada teks surat terbuka bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kepada media, mengenai fakta surat menyurat dengan pemimpin Singapura berkaitan isu jambatan bengkok yang dibatalkan pembinaannya oleh kerajaan di bawah Tun Abdullah Ahmad Badawi)
Saya menulis surat terbuka ini sebagai seorang rakyat Malaysia yang cintakan negara untuk sesiapa saja yang ingin membacanya.Fakta-fakta yang terkandung dalam surat ini perlu saya hebahkan dengan cara ini kerana pada akhir-akhir ini tidak banyak lagi kenyataan saya yang disiarkan, sama ada oleh media massa elektronik atau cetak, walaupun mereka menghantar wakil untuk menghadiri sidang akhbar saya.Mengenai isu di atas, saya telah menyatakan pandangan saya iaitu Kerajaan Malaysia telah gagal mempertahankan kedaulatan negara.
Akibat daripada itu negara mengalami kerugian berbilion ringgit. Wang ini adalah wang rakyat.Saya juga mahu rakyat faham sikap dan tindak-tanduk Kerajaan Singapura serta dakwaan Kerajaan Malaysia yang ia memberhentikan pembinaan jambatan itu kerana isu undang-undang dan kerana sentimen rakyat yang tidak sanggup menyerahkan ruang udara serta penjualan pasir kepada Singapura, dan ini disalahertikan secara sengaja bahawa rakyat tidak mahu jambatan.

Rakyat mahu jambatan tetapi menolak syarat Singapura, kerana ia tidak berasas dan bukan hak Singapura.Singapura sangat gemar mencetak surat-menyurat antara pemimpinnya dengan pemimpin Malaysia dengan tujuan membuktikan yang ia di pihak yang benar.Kerajaan Malaysia sekarang percaya bahawa dengan tidak menyanggah kempen memutarbelitkan oleh Singapura, masalah yang dihadapi akan selesai dengan sendirinya. Tetapi ini angan-angan yang tidak akan jadi kenyataan.

Di dalam amalan diplomatik, surat-surat yang ditulis oleh suatu pihak dengan memetik persetujuan-persetujuan lisan yang kononnya dicapai di dalam rundingan tidak rasmi di kalangan pemimpin, adalah tidak sah.Untuk menjadikan ianya sah, rundingan hendaklah dicatat dan dirakam dengan sempurna, disahkan dan ditandatangani oleh kedua-dua belah pihak. Kenyataan yang dibuat di dalam sidang akhbar oleh salah satu pihak tanpa pengesahan pihak satu lagi juga adalah tidak sah.Encik Lee Kuan Yew, ketika dia menjadi Menteri Kanan Singapura, sangat gemar meminta diadakan pertemuan empat mata tanpa agenda yang sempurna dan kemudian merakamkan hasil pertemuan itu di dalam suratnya sendiri kepada pihak ketiga. (sila lihat Apendiks 1)

Berdasarkan surat-surat itu juga, dia harap rakan sejawatnya akan menyetujui kandungannya dan oleh yang demikian terikat dengan kandungan surat-surat itu. Dia tidak mengambil kira jika catatannya tidak dianggap tepat dan tidak disahkan.Saya menganggap apa-apa pun yang tidak menepati amalan diplomatik sebagai tidak sah. Tanggapan beliau adalah tanggapan beliau sahaja, tidak Iebih dan tidak kurang. Tindakannya mencetak surat-suratnya sebagai bukti bahawa saya telah bersetuju tidak bermakna sama sekali. Hanya jika saya membalas surat itu dan mengesahkan perkara-perkara tertentu, barulah perkara-perkara berkenaan boleh dianggap benar.

Tetapi sama ada ia sah dan kita terikat dengannya, bergantung pada pengesahan dan persetujuan kedua-dua belah pihak, secara rasmi.Berdolak-dalik mengenai apa yang disebut “pakej” dan ketidakmampuan mencapai sebarang persetujuan adalah kerana kelulusan yang berasaskan “pakej” tidak praktikal. Jika persetujuan tidak boleh dicapai mengenai mana-mana satu perkara maka persetujuan tidak boleh dicapai bagi semua perkara dalam pakej itu.Atas sebab inilah yang saya mencadangkan dan Encik Goh Chok Tong bersetuju iaitu kita menyelesaikan perkara demi perkara secara berasingan.

Ini siperakukan dan diterima oleh Encik Goh Chok Tong selaku Perdana Menteri melalui surat bertarikh Oktober 14 2002 (sila lihat Apendiks 2) yang antara lain menyebut;“Pada penghujung pertemuan (di Hanoi) anda berkata kita perlu mencuba menyelesaikan isu air, lagi cepat lagi baik. Saya bersetuju....”Tetapi di dalam surat yang sama, Encik Goh Chok Tong berkata;“Oleh yang demikian, saya tidak menjangka menerima surat anda bertarikh 7hb Oktober pada l0hb Oktober di mana anda menyatakan “Malaysia telah memutuskan untuk tidak meneruskan pendekatan pakej……

Setelah menolak pendekatan pakej, saya membuat jangkaan yang isu pembinaan jambatan tidak akan dikaitkan dengan sebarang isu lain. Saya menaruh harapan yang sangat tinggi apabila isu pembinaan jambatan disebutkan di dalam surat-surat Menteri Kanan Lee Kuan Yew dan Perdana Menteri Goh Chok Tong.Dalam sepucuk surat (sila rujuk Apendiks I perenggan 6) kepada Tun Daim Zainuddin, Lee berkata;“Mengenai cadangan Mahathir membina Jambatan Tambak, Perdana Menteri saya (Goh) bersetuju dengannya tetapi mencadangkan agar kita tidak merobohkan Tambak Johor.”

Nampaknya rakyat Singapura lebih menyetujui jika kedua-dua jambatan baru dan Tambak Johor ada. Ini tentulah tidak masuk akal kerana cadangan pembinaan jambatan baru adalah bertujuan membuka laluan di antara kedua-dua belah di Selat Tebrau supaya air boleh mengalir tanpa sekatan. Ia bukan bertujuan menambah kapasiti hubungan antara Singapura dan Johor. Jika ini berlaku, ia hanyalah satu kebetulan.Satu lagi hujah menarik Encik Lee ialah (sekiranya Singapura bersetuju dengan pembinaan jambatan itu);“Singapura akan menambak laut di sebelah wilayahnya hingga ke sempadan dengan Malaysia.” (rujuk Apendiks 3, surat Menteri Kanan Lee kepada Dr Mahathir bertarikh Sept 8, 2001)Sempadan antara Singapura dan Malaysia di Selat Tebrau adalah dasar laut yang paling dalam.
Bagaimanapun, bagi Tambak Johor sempadannya adalah di tengah-tengah jambatan. Jika Singapura menambak laut di sebelah wilayahnya sehingga ke sempadan, ia bererti hanya laut di sebelah Malaysia akan kekal. Jadi apa halnya dengan konsep sempadan berasaskan dasar laut paling dalam? Dalam surat yang sama kepada Daim (rujuk Apendiks I perenggan 12), Menteri Kanan Lee berkata;“Saya sentiasa memaklumkan inisiatif saya kepada Perdana Menteri saya. Dia (Perdana Menteri Goh) bagaimanapun, berkata dia menyerahkan hal ini kepada saya sehingga peringkat akhir apabila dia akan mengkajinya dengan teliti sebelum memberi sebarang persetujuan.”

Menteri Kanan Lee juga menulis (Apendiks 1, perenggan 12); “semua nota atau surat yang saya hantar kepada anda dan kepada Mahathir dan sebaliknya perlulah dianggap sebagai Tanpa Prejudis (Without Prejudice) iaitu tidak akan ada sebarang perjanjian sehingga semua perkara dipersetujui dan ditandatangani oleh kedua-dua Perdana Menteri.”Jelas bahawa Menteri Kanan Lee tidak diberi kuasa untuk memutuskan apa-apa kerana beliau perlu memaklumkannya kepada Perdana Menteri Goh untuk dikaji sebelum dipersetujui.

Jika tidak, maka tidak akan ada sebarang persetujuan mengenai semua perkara sehinggalah diperakui dan ditandatangani oleh kedua-dua Perdana Menteri.Dalam jawapan kepada cadangan saya agar terminal Keretapi Tanah Melayu dibina di Johor Baru, Menteri Kanan Lee, melalui surat bertarikh 10 Disember 2001 (sila rujuk Apendiks 4, perenggan 10), berkata;“Saya harap anda juga akan menimbangkan kepentingan jangka panjang dan nilai perkhidmatan KTM. Sejak tahun 1923 kereta api merupakan perhubungan yang sangat berharga ……..

Saya rasa mengekalkan hubungan kereta api antara Kuala Lumpur dan Singapura menguntungkan kedua-dua buah Negara……... Bagaimanapun, oleh sebab KTM milik negara anda, Singapura akan mematuhi keputusan anda”.Dalam surat ini, Menteri Kanan Lee berikrar mematuhi keputusan saya. Namun beliau boleh juga berkata Perdana Menteri Goh tidak bersetuju dan segala surat-menyurat kami adalah tanpa prejudis.

Wednesday, April 22, 2009

APA KATA TUN DR M...


Malaysian to define 'Mahathirsm'
Australian writer says 'pariah' nation.

1. The Western Press launched a concerted effort to demonise the new Prime Minister. From France to Britain to Australia, the articles are identical and carried the same message. The in-coming PM is said to be corrupt and involved in a murder case. The Australian writer says Malaysia is a "pariah" nation. I cannot believe that this demonisation by so many at the same time is a coincidence.

2. Included in the condemnation of the new PM is the allegation that he would bring back "Mahathirism". By this the Western press seem to imply that the fourth PM was a dictator who detained for no reason, manipulated the judiciary, controlled the Press etc etc.

3. As the person concerned I will leave it to Malaysians to judge and to define "Mahathirism". They are the constituents which Najib should care about. The foreign press has an agenda of their own. And their friends in Malaysia are feeding them with the anti-Najib stories as they fear Najib would put a stop to their control of the media.
4. Najib can expect to hear more of this kind of demonisation from the foreign press but it is what Malaysians think that counts. It is with them that Najib has to clear his name.

(Tun Dr Mahathir Mohamad ialah Perdana Menteri Malaysia keempat [1981-2003], aktivis pelajar ketika menuntut di Universiti Malaya, Singapura sekitar dekad 1950-an. Terbabit menandatangani memorandum dalam isu menentang Jus Soli tahun 1950, dan dipecat dari UMNO pada 1969, kontroversi dengan bukunya 'Dilema Melayu').

NOTA NIZAM DARI SEMANTAN...

Jumlah RM63 juta perlu dibayar:
Adnan Yaakob diminta letak jawatan

Keputusan Mahkamah Tinggi Kuantan membenarkan permohonan mandamus Syarikat Seruan Gemilang Makmur (SGM) bagi compell/memaksa kerajaan Pahang membayar amaun RM63 juta, secara rasional ialah melalui cukai dan hasil Pahang, bukannya wang Dato' Seri Adnan Yaakob mahupun kerajaan negeri Pahang. Hakikat ini tidak boleh diketepikan dalam masa kita memahami erti penghakiman tersebut. Tak perlu sorak sorai kerana pimpinan UMNO tersenyum lebar ketika beban perilakunya dibebankan ke bahu rakyat.

Sebaliknya keputusan kes SGM ini menjelaskan betapa ada yang tidak beres didalam pengurusan hasil mahsul negeri khususnya industri pembalakkan.Kes ini bermula apabila konsesi balak yang dianugerahkan kepada UMNO dalam tahun 1998 seluas 10000.00 ekar.UMNO kemudiannya telah memeterai perjanjian dengan SGM dalam tahun 2000 yang memberikan hak exclusive kepada SGM mengeluarkan kayu-kayu balak diatas tanaah tersebut dengan balasan sejumlah RM50000.00 sahaja sedangkan nilaian kayu dipercayai berjuta ringgit.
Menarik untuk disentuh, konsensi balak tersebut diberikan kepada UMNO di era pentadbiran Khalil Yaacob dengan premium tanah sejumlah RM4.8 juta dikenakan;difahamkan sehingga ke hari ini UMNO Pahang masih belum menjelaskan premium tersebut walaupun kerja-kerja telah dijalankan diatas tanah tersebut!Khabarnya sehingga ke hari ini tiada sebarang tindakan undang-undang diambil oleh PTG atau Pihak Berkuasa terhadap UMNO Pahang.
Betapa jika rakyat biasa,orang kampung atau buruh kasar atau mereka yang berpendapatan rendah gagal melunaskan cukai tanah atau cukai pintu,pihak berkuasa akan menjadi begitu efisyen samada menyita harta berkenaan atau mengheret rakyat kecil ke Mahkamah untuk dikenakan hukuman.Seolah-olah keberanian untuk bertindak hanyalah terhadap rakyat kecil sedang UMNO/BN atau pemimpin memiliki immuniti.

Kelihatannya didalam sistem politik yang saya panggil politik mual ini,rakyat juga yang menjadi mangsa dan sentiasa tertindas sedangkan UMNO dan pemimpinnya bermaharajalela menjarah harta khazanah negara sesuka hati mereka tanpa ada rasa takut atau pertimbangan moral atau rasa pertanggungjawaban kepada rakyat.Manakala penguatkuasa undang-undang kehilangan taring untuk bertindak terhadap UMNO seolah-olah perampokan harta dan khazanah negeri adalah suatu perkara yang biasa dan dihalalkan.

Pada hemat saya keputusan mahkamah itu dilihat sebagai prosedur, tetapi yang penting ialah mendedahkan kebobrokan pimpinan UMNO merampok dan menjarah harta khazanah milik rakyat tanpa segan silu. Pemimpin UMNO Pahang, sama ada Menteri Besar, Adnan Yaakob serta Exco negeri perlu mengambil pertanggungjawaban diatas kegagalan mereka pertahankan kepentingan rakyat, justeru perlu letak jawatan secara sukarela. Selain dari Adnan Yaakob dan Exco, Tun Khalil Yaacob,Yang Di Pertua Negeri Melaka perlu mengambil langkah sama dengan meletakkan jawatan bagi memelihara nama baik institusi ketuanan Melayu.

(*Ahmad Nizam Hamid ialah salah seorang peguam Seri Gemilang Makmur bersama-sama rakannya Richard Bong didalam kes tuntutan SGM terhadap Badan PerhubunganUMNO Pahang & Ors.Kes tersebut ditangguhkan tanpa tarikh [adjourn sine dine] oleh Mahkamah Tinggi Kuantan)