Friday, May 22, 2009

ULASAN JURUCAKAP PRIMA...


Cari penyelesaian sebenar:
Bubarkan segera DUN Perak

Jurucakap PRIMA Dato' Kamal Amir Kamal Hijaz merumuskan keputusan Mahkamah Rayuan di Putrajaya petang ini (22 Mei 2009) masih tak merungkai krisis perlembagaan di negeri Perak, selagi DUN tak dibubarkan disamping menyerahkan semula mandat kepada rakyat. Justeru menurut Dato' Kamal Amir yang juga bekas Exco Pemuda UMNO, Dato' Dr Zambry Abd Kadir sekadar mampu duduk di kerusi pejabat Menteri Besar Perak, hakikatnya pencapaian beliau adalah 'zero' di mata rakyat. "UMNO sekadar boleh mengelirukan dirinya sendiri, bukan sesuatu yang mutlak," beliau menambah.

Dato' Kamal Amir yang berasal dari Sitiawan merujuk kepada keputusan Mahkamah Rayuan yang mengenepikan keputusan Mahkamah Tinggi 11 Mei lalu mengisytiharkan Dato' Seri Ir Mohamad Nizar Jamaluddin selaku Menteri Besar Perak yang sah. Beliau juga menarik perhatian kepada tragedi 1876, apabila mahkamah skular British juga mampu menurunkan Sultan Abdullah daripada takhta, seterusnya dibuang ke Pulau Sycelles apabila mereka mendominasi kuasa. Sebaliknya rakyat Perak tak menerima British memerintah di tanah airnya, walaupun secara fizikal British berkuasa dengan tentera dan polisnya, kata Dato' Kamal Amir. "Jalan sebaik-baiknya janganlah meniru agenda penjajah, kerana kuasa itu tak akan kekal," beritahu beliau.

KRISIS PERAK BERPANJANGAN...


Keputusan Mahkamah Rayuan:
Memihak kepada UMNO/Zamry

Langkah BN mahu mengelak DUN Perak daripada dibubarkan tak memberi kesan positif dengan kedudukan 28-28, disebabkan tiga ADUN Bebas terbabit dua daripadanya berhadapan kes rasuah. Justeru keputusan tiga hakim Mahkamah Rayuan di Putrajaya petang ini (22 Mei 2009) mengenepikan keputusan Mahkamah Tinggi pada 11 Mei 2009 yang lalu tak membawa apa-apa manfaat. Apabila peguam Sulaiman Abdullah akan memfailkan rayuan ke Mahkamah Persekutuan sebagai proses terakhir, UMNO/BN sekadar melambat-lambatkan usaha untuk membubarkan DUN Perak.

Ketika UMNO/BN cuba mengelak daripada menghadapi pilihanraya kecil di Penanti, mahu tak mahu parti berkenaan terpaksa ke Manik Urai. Apalagi pilhanraya kecil DUN Manik Urai, tak ada alasan bagi UMNO/BN tak meletakkan calon. Selepas DUN Manik Urai, kita tak tahu di mana lagi pilihanraya kecil heh heh heh! Kalau tak ada wakil rakyat meletakkan jawatan, tak semena-mena kuasa yang Maha Tinggi pula menetapkan pilihanraya kecil perlu diadakan, seperti keperihalan di Parlimen Bukit Gantang. Justeru pimpinan UMNO (bukan BN, kerana MCA dan Gerakan mahukan DUN Perak dibubarkan) eloklah kita pinjam kata-kata pelawak Nabil: "Lu fikirlah, sendiri!"

BELASUNGKAWA DARI PRIMA

UMNO akan terus diuji:
P/raya kecil Manik Urai menanti


Keengganan UMNO bertanding pada pilihanraya kecil DUN Penanti, akan diuji lagi di DUN Manik Urai, Kelantan. Berikutan berpulangnya ke rahmatullah ADUN Manik Urai, Haji Ismail Yaacob (PAS) pukul 5 pagi tadi, pilihanraya kecil tak dpat dielakkan. Haji Ismail Yaacob, 60 (gambar)telah kembali kerahmatullah pada jam 5.55 pagi tadi di hospital Raja Perempuan Zainab II. Speaker DUN Kelantan, Ust. Nasharuddin Daud memaklumkan kepada penyokong-penyokong parti yang menghubunginya. Sebelum itu beliau dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II kerana menghadapi masalah di bahagian kakinya sehingga dipotong sebelah kanan

Haji Ismail sebelum ini juga menghidapi penyakit gout sehingga menyebabkan kesihatannya sering kali terganggu.Ismail yang lebih dikenali sebagai Paksu Mail antara ADUN yang paling lama di Kelantan.Beliau memenangi DUN Manek Urai pada pilihan raya umum 1986. Sehingga sekarang beliau sudah lima penggal mewakili Dun berkenaan.Bagaimanapun pada pilihan raya umum 2004, beliau tidak bertanding dan Dun Manek Urai diwakili Ustaz Zamzuri Mat Lazim. PRIMA mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham, semoga rohnya dicucuri rahmat Allah. Al-Fatehah.

BEKAS PIMPINAN UMNO KELANTAN:

Kubu rapuh di Perak:
UMNO tak perlu berdegil

Bekas Setiausaha PerhubunganUMO Kelantan Dato' Ahmad Rusli Ibrahim mengingatkan UMNO tidak seharusnya terus berdegil mempertahan kubu yang rapuh di Perak, apalagi memandangkan kedudukan Barisan Nasional (BN) belum selamat dengan bilangan ADUN yang seimbang antara BN dan Pakatan Rakyat PR) kerana masing-masing mempunyai 28 kerusi, di samping tiga kerusi Bebas adalah bekas ADUN PR, lapor harakahdaily.Oleh itu banyak pihak tampil mendesak supaya DUN Perak dibubarkan bagi membolehkan pilihan raya peringkat negeri diadakan.


Katanya, pandangan pengerusi Suhakam, Tan Sri Abu Talib Osman dan bekas Naib Presiden UMNO Tengku Razaleigh Hamzah amat jelas sebagai jalan penyelesaian paling sesuai. Malah pembubaran DUN bagi membolehkan rakyat memberi semula mandat bagi menentukan kerajaan yang lebih stabil. "Perkara kerajaan perpaduan tak timbul kerana ia hanya cadangan semasa Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri," beliau memberitahu. Apalagi katanya, Dato' Seri Najib Razak dari awal lagi menolak kerajaan campuran di Perak. Maka jalanyang ada sekarang ialah bubar DUN, ujarnya menambah.

SUARA DARI SELATAN...

Robohnya Tambak Johor:
Jambatan bengkok diteruskan?

Tambak Johor akan dirobohkan kata Perdana Menteri Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak bagi memberi laluan kepada jambatan baru apabila diperlukan. Bagaimanapun jelasnya, tiada tempoh ditetapkan untuk melaksanakannya dan itupun selepas satu kajian menyeluruh dilakukan terhadap keperluan mempunyai jambatan baru tersebut, lapor Utusan Malaysia hari ini. Di samping itu beliau juga mahu melihat peningkatan dalam hubungan serta laluan rakyat antara Malaysia dan Singapura, termasuk cadangan menggantikan Tambak Johor dengan jambatan baru.

“Secara logik, kemajuan bermakna perubahan, kemajuan bermakna pembangunan, kemajuan bermakna hubungan komunikasi dan laluan pengangkutan lebih baik serta selesa antara kedua-dua negara. Jika itu diterjemahkan sebagai bermakna Tambak (Johor) patut diganti, maka betullah, tetapi kita tidak wajar tergesa-gesa dengan perkara itu. Kita perlu melihat dari segenap sudut, melihat sama ada kedua-dua negara setuju dengan projek berkenaan,” beritahu beliau
dalam wawancara eksklusif dengan akhbar Singapura, The Straits Times yang diterbitkan di sini hari ini.

Isu pembinaan jambatan baru bagi menghubungkan Johor Bahru dengan Singapura akan turut disentuh dalam pertemuan Najib dengan rakan sejawatnya, Lee Hsien Loong, esok. Dato' Seri Najib ketika bercakap kepada pemberita di Johor Bahru, hari ini berkata, perbincangan itu akan diadakan dalam pertemuan empat mata dengan Hsien Loong. “Jambatan bengkok ke, lurus ke, atas tanah atau bawah tanah, esoklah saya akan dibincangkan,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Bangunan Sistem Lingkaran Pendinginan Berpusat di Kota Iskandar, Johor Bahru.

Sebelum isu jambatan bengkok menimbulkan kemarahan kepada bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, apabila pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi membatalkan. Tun Mahathir mengkritik pentadbiran Tun Abdullah sejak sebelum PRU12, malah berazam untuk meneruskan projek jambatan bengkok. Justeru pencapaian Dato' Seri Najib serta penyingkiran Tun Abdullah dilihat sebagai azam Tun Dr Mahathir mahu melaksanakan aspirasinya, sama sebagaimana penyingkiran Dato' Seri Anwar Ibrahim apabila cuba menghalang projek Putrajaya.

Thursday, May 21, 2009

KOMENTAR:

bersama Pak Parjo...

Kena rampas lima negeri:
Kalau tidak jangan pimpin UMNO

Syahdan kedengaranlah ke serata pelusuk negeri peri anak-anak buah harakah Melayu (UMNO) itu mahu berkuasa di negeri Perak. Adapun kepada suatu hari bekas Orangkaya Menteri Pembangunan Luar Bandar Dato' Aziz Shamsuddin dicabar segala anak-anak buah yang berebut-rebut mahu menjadi penghulu, hulubalang dan budak-budak balairong semuanya hendaklah meletak jawatan, kalau tak mampu merampas lima negeri yang sudah terlucut. Arakian gerangannya itulah sebabnya mereka bermati-matian mahu merampas akan negeri Perak itu sekalipun melanggar peraturan dan kanun negeri.

Sebermula tersebutlah di negeri Terengganu, bekas Oranngkaya Menteri Besar Dato' Seri Idris Jusoh tidaklah berdiam diri. Maka diberitahunya sekalian orang banyak, ia yang mengembalikan maruah UMNO tatkala ditawan oleh anak-anak buah harakah Islam (PAS) suatu masa dahulu. Syahdan Orangkaya Dato' Seri Idris Jusoh itulah yang melancarkan 'gelombang biru'. Hatta bukan di Terengganu sahaja, di Negeri Sembilan juga Orangkaya Menteri Besar Dato' Muhamad Hassan tak ketahuan; di Kedah pun Dato' Seri Mahadzir Khalid merasa terkilan disisihkan.Maka itulah gerangannya UMNO bersungguh-sungguh mahu merampas negeri Perak itu.

Arakian setelah didengar oleh Sultan Mahmud akan sembah Tun Mamat itu maka titah baginda, "Semuanya kehendaknya itu dapat kita adakan; mengeluarkan darah itu juga tiada dapat kerana tiada sampai hati kita, melainkan berhentilah dahulu." (Adapun Sultan Mahmud itu sedia ia raja Melayu, tiadalah mahu mengeluarkan darah sekalipun orang banyak mengatakan baginda zalim, akan tetapi khabarnya UMNO tak dihiraukan lagi, segala anak-anak buah Dato' Temenggung pun masuk ke balairongseri membawa senjata). Oleh itu diperbuat orang nyanyi:

Dang Nila memangku puan
Berembang buah pedada
Adakah gila bagimu tuan
Burung terbang dipipiskan lada?

Sebermula Tun Mamat pun baliklah ke Inderagiri, kerana ia sedia penghulu di sana seperti disurat dalam 'Kitab Melayu' daripada:






HIDUP BAHASA MELAYU!

DARI LAMAN BLOG

Mohon warganegara di tanah air:
Pegawai bukan Melayu yg luluskan!

Assalamualaikum,

Parti Gerakan Malaysia (Gerakan) mula bersuara mengenai isu Chin Peng @ Ong Boon Hwa tak dibenarkan pulang ke Malaysia, selepas mahkamah memutuskan beliau tak mempunyai apa-apa dokumen yang membuktikan lahir di negeri ini. Bagaimanapun secara kronologi, sebarang dokumen menenai 'kelahiran' dan 'kad penenalan' hanya diperkenalkan pada 1948 atau pada period darurat diproklamir, Jun 1948. Bukan sahaja Chin Peng, pejuang-pejuang nasionalisme yang berhijrah ke Singapura juga tak memilik 'sijil kelahiran' dan 'kad pengenalan'. Protes yang digerakkan oleh inidividu seperti dilapor media hari ini (21 Mei 2009) lebih bersifat emosi, bukan bedasarkan fakta.

Allahyarham Pak Sako (Dato' Dr Ishak Haji Muhammad) turut terbabit dalam penubuhan UMNO pada 1-4 Mac 1946, tetapi beliau ditahan buat kali kedua pada 1948 oleh kolonial British di bawah ISA. Apabila dibebaskan sekitar awal dekad 1950-an, beliau diwajibkan memohon kerakyatan Tanah Melayu, disebabkan semasa ditahan tak mempunyai 'sijil beranak' dan 'kad pengenalan'. Permohonan beliau diluluskan menjadi warga negara Tanah Melayu, dengan tanda tangan pegawai pendaftaran negara yang meluluskan permohonannya ialah berketurunan India. Kalau berdasarkan emosi, tak malukah UMNO yang mewakili orang Melayu apabila Pak Sako memohon jadi warga negara Tanah Melayu, diluluskan oleh pegawai beketurunan India?

Begitu juga penerbitan UKM yang dianggap 'terlepas pandang' apabila menerbitkan buku memoir Allahyarham Shamsiah Fakeh, pejuang radikal Melayu yang berhijrah ke Republik Rakyat China? Disebabkan saya terbabit bersama Allahyarham Tan Sri Abdul Samad Idris dalam usaha membawanya balik ke tanah air, memang rasa terkilan apabila penerbitan buku memoir berkenaan dipertikai, kerana barangkali mereka tak pernah terbabit seperti 3032 Ismail Ibrahim, 4091 Nordin Isa, Sarjan 1308 Baharum, Mejor 136 Maulud, Mejor Jeneral Dato' 2846 Syed Muhammad al-Sagoff dan ramai lagi, yang terbabit dalam pertempuran.

Mereka menyedari bagaimana kolonial British menjadikan Askar Melayu umpan untuk masuk ke hutan, ketika tentera British bersenang linang berkhemah di tepi jalan. Memang British tahu gerila Melayu dihutan tak akan menyerang Askar Melayu, kerana musuh mereka ialah British. Apalagi 4091 Nordin Isa pernah ditawan dalam pertempuran di Sungai Semur, Gua Musang atau 3032 Ismail di Ulu Ceka, Jerantut. Sebaliknya Wan Ali dan Manaf Jepun menasihati platun beliau berundur kalau hujan panas turun, yang memberi isyarat pasukan gerila di sekitarnya. (Maknanya mereka memberikan klu kepada Askar Melayu, gerila bukan Melayu di kawasan tersebut, justeru mereka gerila Melayu memberikan isyarat). Kalau tak faham, entahlah!

-Pak Dharma