Friday, May 29, 2009

KOMENTAR:

bersama Pak Parjo...

Bekokok di luar gelangang:
Raja bertakhta tak berkuasa?

Syahdan pilihanraya kecil di DUN Penanti itu akan diadakan 31 Mei 2009 ini mengikut tarikh anak cucu fakir, adanya. Adapun anak-anak buah Orangkaya Perdana Menteri Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak, tidaklah ia bertarung di dalam gelanggang. Kononnya, mereka berkokok di luar gelanggang macam jalak lenteng ayam Pak Kaduk bersabung. Hatta akan anak-anak buah Orangkaya Dato' Seri Najib dipanggilnya Orangkaya Dato' Seri Nizar itu penderhaka, tetapi dalam perhimpunan anak-anak muda baru-baru ini, Orangkaya Dato' Seri Najib yang menyebut: 'Raja Melayu itu hanya bertakhta saja, tetapi tak berkuasa'!

Gerangannya kerana Orangkaya Dato' Najib berkata demikian, maka malulah mereka mahu masuk ke gelanggang di Penanti. Wallahu'alam! Sebermula maka oleh Hang Nadim si pelulut itu diberinya emas dan kain baju terlalu banyak. Tlah ia memandang harta banyak itu maka tertawanlah hatinya oleh harta dunia. Maka si pelulut itu pun mengakulah menanggung rahsia Hang Nadim. Arakian menderhakalah si pelulut itu lalu diberi ubat guna akan Tun Teja, tidaklah raja Pahang mengetahui akan baginda hanya di atas takhta tetapi tak berkuasa menghalang si pelulut itu melarikan Tun Teja. Maka itulah diperbuat orang nyanyi:

Tun Teja anak bendahara
Dilarikan Hang Nadim ke Melaka
Si pelulut durjana punya angkara
Jahil dan alim sama belaka!

Arakian disuratlah orang seperti dalam 'Kitab Melayu' daripada:







HIDUP BAHASA MELAYU!

DARI LAMAN BLOG:


Penyelewengan fakta sejarah:
Untuk kepentingan jangka pendek

Assalamualaikum,

Polemik dengan mengungkit perilaku keganasan di musim perang, bukan penyelesaian dalam isu berkaitan sejarah, kerana penyelewengan fakta sejarah untuk kepentingan jangka pendek yang tak bermanfaat. Fakta pertandingan dalam UMNO juga pernah diputar belit pada 1987, apabila disebut tak pernah berlaku pertandingan menentang Presiden, kecuali pada 1987 Tun Hussein-Haji Sulaiman Palestin. Pada 1951 pertandingan kononnya kerana jawatan Presiden itu kosong berikutan pengunduran Dato' Onn Jaafar. Malah akhbar arus perdana turut menyiarkan gambar Tun Ghafar Baba di Melaka, kononnya memproklamir tumbangnya 'Malayan Union'.

Tan Sri Abdul Samad Idris juga tersenyum sinis melihat caption gambar yang mahu memesong fakta sejarah, kerana gambar berkenaan ketika Tun Ghafar mengalu-alukan rombongan merdeka balik ke tanah air pada Februari 1956. Heh heh heh! Isu Chin Peng tak perlu diheret pihak lain, kerana komunisme memang ditolak oleh umat Islam (sekiranya tak benarkan Chin Peng balik, buat saja keputusan). Kalau ada pihak mengungkit mengenai beribu-ribu terkorban kerana keganasan PKM, pihak lain juga boleh mengungkit. Misalnya, hampir 1,000 penduduk daripada lebih 100 keluarga di Jenderam, Kajang tak akan melupakan kekejaman polis yang dkerah oleh kolonial British membakar hangus kampung mereka pada 1950.

Tetapi anak Kampung Jenderam juga, Dato' Abu Bakar Baginda (gambar)ditampilkan menjadi Menteri Besar Selangor pertama pasca merdeka, di samping beliau juga menantu Sutan Djenain tokoh pejuang radikal yang dilabel sebagai 'orang kiri'. Secara rasional, kekejaman dalam masa perang tak wajar diungkit. Malah keluarga saya sendiri adalah mangsa 'Bintang Tiga' dengan dua datuk saudara saya dilarikan hingga tak diketahui kuburnya, sementara adik datuk saya dibunuh kejam oleh militan PKM di estet di Kepis, Kuala Pilah. Sebaliknya abang kepada nenek saya, hampir terbunuh dalam rusuhan di Batu Kikir, Jempol pada November 1945.

Sebaliknya pimpinan MPAJA atau 'Bintang Tiga' di sebuah daerah di Negeri Sembilan memang dikenali penduduk tempatan pernah menjadi ADUN Negeri Sembilan mewakili MCA. Justeru tak perlu diungkit keganasan semasa 'perang', kerana fakta sejarah akan terus diselusuri 1000 tahun akan datang. Apalagi satu ketika Hang Jebat dilabel penderhaka pada 1460-an, tetapi pada 1950-an Hang Jebat diberi nilai baru sebagai wira Melayu. Kalau tak disebabkan arahan Tun Razak, barangkali Ibrahim Haji Yaakob (tak pernah pun membunuh tentera dan polis kita) sudah lama dibawa balik ke tanah air sebelum beliau menutup mata. Aduhai!

-Pak Dharma.

TERSURAT & TERSIRAT

P/raya kecil DUN Ladang:
Mujurlah dapat juga dielakkan


Selepas pilihanraya kecil DUN Manek Urai di Kelantan dijangka 14 Julai 2009 terpaksa diteruskan, satu lagi pilihanraya kecil dapat dielakkan berikutan Mahkamah Persekutuan semalam (28 Mei 2009) mengisytiharkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang, Terengganu kekal milik Datuk Tengku Hassan Tengku Omar dari parti Pas (seperti dilapor http://utusan.com/) .Panel tiga hakim diketuai oleh Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum memutuskan demikian setelah menolak rayuan petisyen pilihan raya oleh Barisan Nasional (BN) bagi mencabar keputusan pilihan raya umum lalu.

Penghakiman sebulat suara itu turut diputuskan oleh Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri S. Augustine Paul dan Datuk Zulkefli Ahmad Makinudin. Hakim Malanjum dalam penghakimannya berpuas hati bahawa tidak wujud kejanggalan yang ketara pada cara pengiraan undi pos. Beliau menyatakan, hanya tiga undi pos yang tersalah kira dan kemudiannya ditolak kerana ketiadaan nombor siri dan juga terdapat perbezaan nombor pada kertas undi.
Bagaimanapun, Hakim Malanjum berpuas hati bahawa ketiga-tiga undi pos yang ditolak itu tidak akan memberi kesan kepada 31 undi majoriti yang diperoleh calon Pas.

Sehubungan itu, panel berkenaan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak petisyen pilihan raya itu pada 22 September tahun lalu. Dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 itu, Tengku Hassan mengalahkan Datuk Wan Hisham Wan Salleh dari BN dengan majoriti tipis 31 undi. Tengku Hassan diwakili peguam Datuk Wan Abdul Muttalib Embong. Ketua UMNO Cawangan Lorong Kemunting, Mahari Endut yang tidak berpuas hati dengan keputusan itu mengemukakan petisyen bagi membolehkan semakan dan kiraan semula dilakukan terhadap 127 undi pos yang ditolak oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada hari mengundi 8 Mac 2008.

Thursday, May 28, 2009

RADIO KLASIK NASIONAL

Haram berikan hak orang lain:
Tazkirah timbalan mufti Perak


Hakim yang boleh disogok untuk memberikan hak orang lain kepada yang tak berhak adalah haram kerana ditakrif sebagai rasuah berdasarkan ayat 188 surah al-Baqarah, menurut Timbalan Mufti Perak dalam tazkirahnya di radio 'Klasik Nasional' 6.45 petang hari ini (28 Mei 2009) ketika menjawab soalan pengacara. Ayat 188 surah al-Baqarah itu mafhomnya: "Dan janganlah sebahagian kamu memakan harta sebahagian yang lain di antara kamu dengan jalan yang batil dan (janganlah) kamu membawa (urusan) harta itu kepada hakim, supaya kamu dapat memakan sebahagian daripada harta benda orang lain itu dengan (jalan berbuat) dosa,pada hal kamu mengetahui."


Sementara itu ketika berucap di Kampung Guar Jering, Guar Perabu, Penanti di hadapan lebih 5,000 orang kelmarin (27 Mei 2009), Mursyidul Am PAS Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat memberitahu, UMNO-Barisan Nasional menghalalkan yang haram, kerana ia tidak pernah berniat untuk menerapkan nilai-nilai tersebut dalam pentadbiran negara. Menurutnya lagi, mereka buat masjid bukan untuk sembahyang, tetapi berebut nak jadi kontraktor. "Sembahyang tak sembahyang mereka tidak peduli asalkan duit masuk dah. Ini menyentuh soal prinsip dan prinsip ini bukan untuk dibincangkan," jelas beliau menambah.


Seterusnya Dato' Nik Aziz menyeru pengundi-pengundi di DUN Penanti mengundi calon PKR, Dr Mansor Othman, sebagai seorang yang berkebolehan dan berpengetahuan, di samping memberi manfaat kepada semua pihak. Datuk Nik Aziz menjelaskan Umno tidak lagi mewakili aspirasi lama yang pernah ia dokong satu masa dahulu, sebaliknya kini ia menindas parti-parti lawan asalkan ia boleh terus memerintah. "PAS bersama Pakatan Rakyat sudah lebih daripada bersedia untuk menggantikan UMNO-BN dan merayu sokongan berterusan dari rakyat." beritahu Dato' Nik Abdul Aziz.

PUISI

Getik Aku!


BN tak mahu
bertanding di Penanti
di atas sebab tak mau
membazirkan wang rakyat
dan kerana pimpinan negara
TIDAK tamak kuasa.

Dan kerajaan negeri Perak
terjongkang-jongket
dalam senda hukum
sorong papan tarik papan
antara sah dan tak sah
yang tiba-tiba jadi sah
yang kemudiannya
ditiba-tibakan pulak
jadi tak sah yang sah.

Aduhai, bodoh benarlah
kami ini ya!
wahai, cerdik bernalah
engkau tu ya!
Pordah,
getik aku!

Dalam bahasa PPSMI
'Whom are you
trying to bullshit man?'
iya, siapakah
yang engkau cuba
nak taik lembu jantankan?

-Yassinsalleh
jam 0201
Mei 28, 09
menunggu Man U
mengalahkan Barcelona
dan nak tengok macam mana
refri pakai cawat besi berlari.

BICARA SELEPAS SARAPAN...

Isu PPSMI diteruskan:
PRIMA alu-alukan Gapena

Warga Prihatin Malaysia (PRIMA) mengalu-alukan langkah Gabungan Penulisan Nasional (Gapena) pimpinan Prof Emeritus Tan Sri Ismail Hussein meneruskan hasrat menyaman kerajaan dan kementerian pelajaran berkaitan isu pelaksanaan dasar pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI). Gapena dengan pendekatan mereka, sementara pihak lain menggerakkan protes mengikut cara masing-masing. Hakikatnya majoriti bangsa Melayu tak akan berkompromi dengan sebarang usaha melupuskan jatidiri mereka secara pongah, bongah dan congah!

Dalam satu kenyataan hari ini, Gapena dilaporkan sudah membuat perbincangan dengan peguamnya petang semalam mengenai tindakan undang-undang terhadap kerajaan berhubung pelaksanaan PPSMI), yang didakwa melanggar Perlembagaan Persekutuan.Setiausaha duanya, Prof Madya Dr Hashim Ismail berkata, ini adalah kali pertama pihaknya bertemu peguam selepas gabungan 24 persatuan penulis itu bertegas dengan keputusannya untuk menyaman kerajaan berhubung isu tersebut.

Ia ekoran kegagalan Kementerian Pelajaran untuk membuat keputusan berhubung pelaksanaan PPSMI selepas tamat tarikh akhir yang diberikan oleh Gapena untuk kementerian berkenaan berbuat demikian, iaitu pada 31 Disember lalu. - (http://www.nikhassanazmi.blogspot.com/)

Wednesday, May 27, 2009

INFO SASTERA & BUDAYA

PPSMI: Jangan tanya orang
yang sudah pandai Bahasa Inggeris

Ditulis oleh : Fadzli /
Wednesday, 27 May 2009

Jika dasar pendidikan dilaksanakan tanpa kajian terperinci, bermakna nasib negara dan bangsa diperjudikan. Sedang banyak orang kini risau dan bimbang dengan dasar PPSMI, masih ada lagi yang mahu mempertahankannya. Alasan orang sebegini masih bernada apologetik, senang cerita sudah tiada modal lain kecuali belajar dalam bahasa inggeris menepati istilah sains dan teknologi. Mungkin juga orang yang menyokong PPSMI kurang faham prinsip pendidikan untuk semua. Jika kajian hanya dijalankan di sekolah pandai-pandai atau sudah tersohor dengan peratusan kelulusan yang cemerlang.

Sekolah yang berkenaan juga dihuni oleh pelajar yang terbukti deretan 'A' mereka adakah berkesan kajian berkenaan. Kita mahu golongan menyokong PPSMI, cuba jenguk kawasan luar bandar mahupun bandar yang mempunyai pelajar atau murid yang mungkin membaca BM dan BI pun tidak boleh-boleh, apa lagi menjawab soalan atau belajar dalam BI. Kita tidak mahu pendidikan negara kita dilabelkan sebagai pendidikan yang menghargai IQ semata-mata. Sedangkan terdapat lapan kecerdasan yang disenaraikan Howard Gardner menjadi rujukan para pendidik sejak sekian lama - (http://www.cikgumalaysia.com/).