Thursday, September 3, 2009
SASTERA DAN BUDAYA
Menanti Lagu oh Bangau
Perjalanan kian bertambah panjang
dan jalan kian bertambah lengang
soldadu-soldadu mimpi
sudah lama menukar peta
mengalih setia
berterbangan
bagai punai mengejar ara
ranum di pohon rimbun.
"Anjakan paradigma dalam perjuangan",
kata mereka selunaknya
dalam tak pasti
binatang apakah paradigma itu!
Dan
senanglah makan minum
anak-anak mereka,
selesalah hidup isteri dan
bini-bini mereka
sempurnalah hajat
terlaksanalah impian mereka
dengan menjilat kesan
berak di dubur
dan minum kencing
awak-awak sang bendahara.
Cuma sekadar awak-awak
sedemikian sudah upah
basuh beraknya.
Bayangkanlah
minum kencing tuannya
bagaimana pulaklah
agaknya ye!
---Yassinsalleh
0914 hrs Sept 3.09
Wednesday, September 2, 2009
Sewaktu Kami Terjun Tarzan
Rimbun hijau daun-daun,
jernih dingin deras air gunung,
riang ria kicau unggas sahutbersahutan,
kilat berkilatan ikan-ikan bermain di pasiran,
Aduhai,
indahnyalah
alam semalamku,
hutan keliling kampung lamanku
yang permai kehijauan
damai dan tenteram.
Alahai,
sungai kampungku kini
lumpur lebih banyak dari air
hutan keliling kampungku
bukitnya terbongkah luka,
Jeritan jentolak dan raungan pohon-pohon
tumbang
silang bersilang
bergelimpangan,
dan unggas tidak lagi punya
tempat mebuat sarang.
Sayupnya laungan Merdeka,
yang dilaungkan di sungai ini
sewaktu kami terjun Tarzan
lima puluh dua tahun dahulu.
-Yassinsalleh
0703, Sept 2 2009
Bentong, Pahang.
Monday, August 31, 2009
KEPALA YANG DI BAWAH
Dulu tanahair ini kita yang
punya
Semenanjung Tanah Melayu
namanya,
bumi warisan turun temurun.
Pusaka tinggalan
nenek moyang zaman berzaman.
Makanya,
nama itu diiktiraf seantero dunia
sebagai permasyhuran
taraf hak milik hakiki
suatu bangsa megah
bernama Melayu
yang gagah dan amat pemurah
yang setia dan tidak pernah
menyanggah.
Sejak Raja Melaka leka
menzinahi
Hang Lipo dalam orgy
syahwat lima ratus dayang-dayang
sogokan
maharaja besar benua besar
armada besar barua besar
maka terjadilah
Melayu itu, dulu, kini dan
akan selamanya
suatu bangsa
yang berfikir
bukan dengan kepala yang
di atas.
Makanya
dalam kealpaan tak mandi
junub
dibiarkanlah hilang Tanah
Melayu
jadi Malaya
direlakanlah Jus Soli
mendakwa hak didendangkanlah
segempita halilintar
menggenta benua
merdunya buluh perindu
menyanyikan Melayu
adalah satu bangsa yang berketuanan.
Aduhai adikku Nahar dan
Akutun Jeram Besu
esuk datang lagi hari merdeka
dan orang Melayu
1Malaysia
kian malu untuk jadi petani
kerana lumpur sawah tidak
pernah menjanjikan
mertabat
suatu bangsa yang berfikir
dengan kepala yang
di bawah.
-Yassinsalleh
2253, Ogos 2009
lebih tinggi lalang
dari berdiri
menanti datangnya lagi
hari merdeka yang
kian tambah jenaka.
Saturday, August 29, 2009
SASTERA DAN BUDAYA
Kota yang hilang
Istilah persahabatan
Tiba-tiba kita bagaikan pelayar kematian angin.
Terhenti di tengah samudera.
Salam tak sampai khabar tak tiba
berita tiada
pelabuhan entah
di mana.
Lalu,
bagaikan belibis kehilangan
pasangan kepenatan
menongkah hiliran sungai
aku terapung di atas buih-buih sunyi
yang amat sepi, gelita dan sarat nestapa bertatah
rindu dan pilu
demikianlah hidup mengajar aku
bahawa ukuran kasih
timbangan sayang
adalam sedalam mana
tusukan rindu menikam kalbu.
Aduhai kawan
kemanakah engkau akan
ku cari?
Yassinsalleh,
1225hrs, Ogos 29.09
Kuala Lumpur
Friday, August 28, 2009
BELASUNGKAWA
Sedang saya melayari Internet, saya agak terkejut membaca artikel di salah sebuah blog yang menyatakan Senator pertama yang dilantik di kalangan Orang Kurang Upaya (OKU) disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 8 pagi, 27 Ogos 2009 pada usia 61 tahun akibat serangan jantung di Hospital Besar Singapura semasa dalam penerbangan dari China ke Singapura untuk lawatan kerja selama dua hari. Mungkin agak terlewat saya menerima berita ini kerana sibuk dengan urusan harian. Allahyarham pada saya seorang yang gigih menimba ilmu walaupun tidak dikurniakan penglihatan. Itulah kelebihan yang saya kagumi dengan Allahyarham walaupun tidak pernah bersua dengannya.-Waris Pak Dharma
HIDUP BAHASA MELAYU!!!
Saturday, August 22, 2009
RAMADHAN AL MUBARAK
Ramadhan tiba lagi dan setiap kali menjelangnya Ramadhan, banyak bazaar yang akan tumbuh bagaikan cendawan untuk menjual juadah-juadah kepada pembeli. Setiap kali itu juga ada rengekan dari pembeli mengatakan juadah yang dijual oleh peniaga-peniaga ini tidak berpatutan dan mahal. Mana tidaknya, sebelum Ramadhan menjelang, barang-barang mentah seperti gula disekat dan ada juga kedai runcit tidak dapat menerima stok dari pembekal.
Adakah ini akan menjadi tradisi setiap kali menjelangnya Ramadhan? Atau sememangnya setiap kali menjelang musim perayaan? "dua minggu sebelum puasa, sehari makcik dapat beli sekilo gula sahaja. Nak beli lebih tak boleh. Terpaksa makcik beli hari-hari untuk disimpan. Anak-anak bila berbuka mesti nak minum air sirap atau air oren. Walaupun isu gula nampaknya tidak begitu serius sekarang, makcik risau nak menjelang hari raya nanti bukan sahaja gula, mungkin ayam, beras naik harga pula", keluh seorang suri rumah pada PRIMA.
Walaupun kisah gula sudah pun menjadi suam-suam kuku, PRIMA bukan ingin mengeruhkan lagi isu ini ataupun menambah kekusutan pada pihak berkenaan. Hendak disalahkan peniaga-peniaga pun tidak rasional kerana mereka juga ingin mencari untung. Kalau meranduk dihutan, biar luas perjalanannya, kalau stok gula disimpan, alamat naik harga pula jadinya. Di sini warga PRIMA ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Berpuasa kepada seluruh rakyat Malaysia yang beragama Islam dan semoga ibadah yang dilaksanakan sepanjang Ramadhan ini diterima olehNya. InsyaAllah...
- Waris Pak Dharma
SASTERA DAN BUDAYA
Ingatan untuk Pak Dharma
AYAH
Pemberontak...katamu
pada diriku yang hanya anak kecil
ketika itu...
dihambat nista satu persatu
Sering berlegar dibenakku
pilih kasih antara yang lain
benci tercetus ingkar segala suruhanmu
biar derhaka ku cipta
agar bebas merdeka
ketika aku seorang anak kecil...
Meniti masa kematangan
aku sedar ciptaan insan yang kau lakarkan
hanyalah untuk menjadikan
aku seorang yang sempurna
bukan hanya pada matamu
jua pada mata masyarakat yang optimis
sehinggaku berada dalam kebanggaanmu
Ayah...
Lakaranmu hampir ke kemuncak
namun Dia tegar memanggilmu
tatkala aku ingin membalas keringatmu
yang telah engkau taburkan padaku
sedih...
Sekelumit kesal berada di dasar hati
Namun Ayah...
kupinta pada Ilahi
dalam wangian doa dan Yassin
agar engkau dirahmati
hanya itu yang dapatku kirimkan
dari jiwa anak solehah
InsyaAllah...
satu hari nanti akanku ke sana jua
entah bila...
Waris Pak Dharma
Sabtu, 22 Ogos 2009
2.14am