Sunday, July 29, 2007

JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
(menentang penindasan minda manusia kepada manusia)

INFO HAK ASASI MANUSIA:
(dari meja pimpinan)

PAK LAH INGATKAN BLOGGERS:
ISU YANG KABUR SEMAKIN KABUR


Semua pihak menghormati amaran Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi mengenai isu pengendali lama blog yang menulis sesuka hati, tak berhati dan tak berhati-hati. Pak Lah dikatakan memberitahu media di Hotel Hyatt Regency di Kuantan, Pahang sebelum menghadiri majlis perkahwinan kakitangan Seri Perdana di Kampung Balok, Beserah. Pak Lah juga meminta tak dibincangkan lagi isu Tan Sri Musa Hassan dan Dato’ Seri Zulkifli Mat Noor. Mudah-mudahan isu yang kabur semakin kabur, kalaupun tak bertambah kabur lagi dikaburkan.


Fenomena yang berlaku dalam isu-isu seperti kes Tan Sri Musa dan Dato’ Seri Zulkifli tak boleh dipersoal, seolah-olah mirip kepada filem ‘Musang Berjanggut’ yang diarahkan oleh Tan Sri P. Ramlee pada dekad 1950-an dulu. Dalam filem tersebut P. Ramlee secara sinikal mengolah watak Sultan Alam Syahbana (Ahmad Nesfu) memberi perintah, isu ‘Musang Berjanggut’ ditutup, malah jangan diungkit-ungkit. Sebabnya Dato’ Nikah Kahwin atau ‘Musang Berjanggut’ itu ketika ‘mengurat’ isteri Nila Utama berkata: Salah tu memang salah (iaitu mengurat perempuan ketika suaminya tiada di rumah), tapi itu undang-undang Dato’ yang bikin!

Bukan semua pula ahli UMNO marahkan laman web Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin. Kalaulah Raja Petra menghina DYMM Yang Dipertuan Agong, samalah pula kesalahannya seperti Kumpulan Ma’aunah yang ‘menderhaka’, jutseru perlulah dibicarakan mengikut perundangan negara kita. Di zaman kesultanan Melayu Melaka, ‘penderhaka’ seperti Hang Jebat digantung kaki ke atas kepala ke bawah, keluarganya dibunuh, dan rumahnya dibongkar serta dibuang ke laut (mengikut kontrak sosial di Bukit Seguntang). Ironinya, kubur Hang Jebat ditemui pula di Melaka, kubur Sultan Mansor Syah entah ke manalah pula!

DI MANA KEBAL YANG DIKEBALKAN?

Perihal pengendali laman blog yang tak kebal, seperti disebut oleh Pak Lah, semua pihak sudah maklum. Kalau raja-raja Melayu (selepas pindaan perlembagaan dekad 1990-an) pun tak kebal, takkan Raja Petra Kamaruddin boleh dikebalkan. Zaharin Mohd Yassin juga tak dikebalkan, malah dipecat dari parti yang didukungnya kerana sudah tersebati alam dirinya ‘Melayu itu UMNO’ dan ‘UMNO itu Melayu’. Begitulah. Makanya elok juga renungkan fasal ‘kekebalan’ yang pernah diberikan kepada raja-raja Melayu sebelum ianya dipinda.
Ketika isu pindaan perlembagaan tengah hebat, termasuklah isu kereta ‘Lamborgini’ DYMM Sultan Kelantan, Jawatankuasa Penyelidikan Budaya Muzium Negeri Sembilan membuat kujungan ke Balai Undang Luak Johol. Maka tergamamlah ahli jawatankuasa yang membuat kunjungan apabila Undang Luak Johol (Allahyarham) Dato’ Abdul bin Ali keluar dengan parang di tangan. Rupa-rupanya beliau menetak tangannya sendiri dengan parang, sambil bertanya kepada ahli jawatankuasa terbabit: Kalau nak tahu kebal atau tak kebalnya institusi istana, begitulah!

Tak masuk lagi dengan insiden mengenai individu yang merampas ‘Istana Lama’ di Seri Menanti di Kuala Pilah pada dekad 1990an. Penyelesaiannya, tak perlulah bawa FRU, tetapi pihak muzium pujuk saja dengan berpura-pura menyembah individu terbabit seolah-olah menjunjung duli iaitu: Ampun tuanku beribu-ribu ampun, patik memohon limpah kurnia tuanku, eloklah tuanku berangkat turun dari istananya, supaya patik sekalian dapat mengadakan upacara menjunjung duli! Individu terbabit turun dari istana dengan tak menimbulkan sebarang kekecohan.

CORAT CORET PRIMA

Jurucakap PRIMA, Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz terbang ke London 30 Julai 2007 bagi menghadiri konvokesyen anaknya yang menuntut di sana. Tahniah kepada Kamal yang memanfaatkan peluang ke arah menampilkan anak Melayu dalam polisi ‘modal insan’ Pak Lah.

PRIMA juga mengucapkan tahniah kepada penyair Ahmad Sarju dari Kelang, Selangor yang meraikan majlis perkahwinan anaknya hari ini (29 Julai 2007). Moga-moga jodoh mereka berkekalan, di samping meneruskan budaya dan adat resam Melayu yang kita waris sejak turun temurun.




INFO SASTERA & BUDAYA :

MEDIA YANG TAK PRIHATIN
DENGAN ISU BAHASA DAN PERSURATAN

Lebih 200 peserta menghadiri ‘Pertemuan Dialog Utara’ di Alor Setar, Kedah iaitu siri seminar bahasa dan persuratan yang digerakkan oleh GAPENA dengan kerjasama kerajaan negeri Kedah. Sejak seminar tersebut digerakkan Jumaat lalu (27 Julai 2007), media kurang memberi liputan mengenai perkembangan dan perjalanan seminar berkenaan. Tak tahulah di mana silapnya, tetapi lapor mantan Timbalan Naib Canselor (HEP) UTM, Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah, sambutan menggalakkan dengan sesi perbincangan kertas kerja berjalan dalam suasana hangat.

Bagusnya, pertandingan lagu-lagu asli untuk remaja disiarkan terus menerus ke TV1, di samping Menteri Penerangan Dato’ Seri Zainuddin Maidin beriring-iringan dengan Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan menyamapikan hadiah kepada pemenang. Pertandingan bolasepak Asia di Jakarta antara Arab Saudi dan Iraq juga disiarkan terus menerus oleh TV1, disebabkan ada sponsor yang membuat tajaan. Isu bahasa dan persuratan Melayu, memang tak siapa pun mahu membuat penajaan kerana ehem ehem! Tak apalah Pak Ismail Hussein atau Dr Mansor, cukuplah semarakkan di hati – BAHASA MELAYU BAHASA BANGSA MELAYU!


KOMENTAR
bersama Pak Parjo

MAJLIS ULANG TAHUN PPP
KEYVEAS MAHU KELUAR BN

Memang sah pilihanraya ‘around the corner’, hingga demamnya sudah menular menjadi virus yang lebih berat. Ketika menyambut ulangtahun Parti Progresif Penduduk (PPP), Presidennya Dato’ M. Keyveas membuat ultimatum mahu membawa partinya keluar BN, kalau tak dipenuhi tuntutannya memperoleh 4 kerusi Parlimen, 12 kerusi DUN, 79 kerusi majlis tempatan dan jawatan ‘Datuk Bandar Ipoh’. Tak hairanlah dengan tuntutan PPP, kerana mungkin sahaja pihaknya sudah mengenal pasti iaitu UMNO macam batang padi rebah, hingga tekukur pun berani meniti. Gamaknya!

Hebat juga Keyveas. Apalagi ungkit mengenai perjanjian Tun Abdul Razak dengan Dr Seenivasagam pengasas PPP (sebelum itu dikenali Parti Progresif Rakyat). Tak tahulah pengasas PPP yang mana berunding dengan Tun Abdul Razak, kerana ketika parti itu menyertai BN – D.R. Seenivasagam (bukan Dr. atau nama sebenarnya Dharma Raja Seenivasagam) sudahpun meninggal dunia. Kedudukan abangnya Sri Padhmaraja Seenivasagam (S.P. Seenivasagam) yang memimpin PPP pada pilihanraya 1969 juga tergugat selaku Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ipoh. Apalagi pada pilihanraya 1974, S.P. Seenivasagam sendiri bertanding atas tiket BN tewas di Parlimen Mengelembu.

Seenivasagam pula pernah dipujuk menjadi Ketua Pembangkang Parlimen (sekalipun mempunyai 4 kerusi Parlimen sahaja), kononnya pimpinan DAP menemui pemimpin PPP itu di Hotel Federal selepas pindaan perlembagaan dibuat bagi memulihkan Parlimen yang digantung berikutan tragedi 13 Mei. Mereka berbuat demikian setelah Tan Sri Mohd Asri Haji Muda meninggalkan kerusi Ketua Pembangkang untuk menyertai kerajaan campuran (belum lagi dibentuk BN ketika itu). Apalagi banyak perkara yang tersirat dan tersurat pada dekad 1960-an dan 1970-an itu masih lagi dalam ingatan:

No comments:

Post a Comment