Friday, August 3, 2007

JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)

(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

CATATAN LAMAN BLOG:

Assalammualaikum,


Alhamdullillah, kita meneruskan semula laman blog dengan aman tenteram, mudah-mudahan tiada lagi gangguan virus yang menyekat, mengikat dan merekat kebebasan intelektual kita bagi membebaskan perhambaan minda. Petang ini (3 Ogos 2007), di sebuah gerai teh tarik di Taman Seri Gombak, saya bersama mantan Timbalan Naib Canselor (HEP) UTM Dato’ Seri Dr. Mohd Mansor Abdullah seronok menikmati roti canai, justeri mengingatkan saya kepada Allahyarham Tan Sri Abdul Samad Idris. Bezanya, kalau dengan Tan Sri Abdul Samad beliau akan menikmati roti canai bersama ayam goreng.



Dato’ Mansor pula menjamahnya bersama kari kambing yang ditakuti oleh mereka berpenyakit darah tinggi atau kencing manis. “Setakat ini, saya masih belum diganggu sakit darah tinggi atau kencing manis, Alhamdullillah!” beritahu Dato’ Mansor yang masih diperlukan tenaganya oleh UIA di Sungai Pusu, Gombak. Tak tahulah kenapa lain-lain IPTA macam tak kenal kepada Dato’ Mansor, mahupun IPTS sekalipun beliau baru mencecah usia 62 tahun sahaja. Masih gagah lagi, malah mampu memberikan idea yang lebih cemerlang, gemilang dan terbilang sama ada di IPTA mahupun IPTS selepas jadi ‘orang pencen’.

- Dharmala N.S.

INFO HAK ASASI MANUSIA:

PENGUATKUASA VS AHLI MAJLIS
GARA-GARA SI PENJUAL DURIAN

Gara-gara si penjual durian melonggokkan buah-buah berkenaan di tepi jalan kawasan perumahan di sini, menimbulkan suasana tegang apabila pihak penguatkuasa mahu menyaman si penjual terbabit. Kebetulan pula seorang Ahli Majlis Perbandaran minum di gerai berdekatan, justeru beliau cuba menasihatkan penguatkuasa supaya menggunakan ‘budi bicara’. Rupa-rupanya si penguatkuasa tak memahami istilah ‘budi bicara’, malah tak mengenali langsung Ahli Majlis Perbandaran terbabit. “Penjual durian ini datang dari jauh, berilah dia peluang berniaga di tepi jalan, hanya pada musim durian setahun sekali sahaja,” Ahli Majlis Perbandaran itu cuba mencari penyelesaian.


Ironinya, si penguatkuasa tak peduli siapa sahaja yang cuba menghalang tugasnya. Apalagi lori juga sudah tersedia untuk memunggah buah-buah durian berkenaan, kerana ketika itu siapa lagi yang berkuasa kalau bukan si penguatkuasa. Disebabkan kecewa dengan sikap si penguatkuasa, makanya si Ahli Majlis Perbandaran itu (sudah tentulah orang kuat UMNO Bahagian) juga naik berang kerana sikap provokasi si penguatkuasa. Beliau pun memperkenalkan dirinya sebagai Ahli Majlis Perbandaran, di samping beliau ingatkan si penguatkuasa ‘menghitung’ jumlah buah durian yang mahu diangkut. “Saya mahu pastikan jumlah yang diangkut tak kurang walau seulas (bukan sebiji), apabila sampai di Majlis Perbandaran!” katanya.

Selepas menyedari yang meminta gunakan ‘budi bicara’ itu Ahli Majlis Perbadnaran, si penguatkuasa pun berlaku dengan tak bercakap sepatah kata. Tak hairanlah Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Mohd Khir Toyo mengkritik kaki tangan awam mengenai mereka yang menerima anugerah kecemerlangan secara terancang. Peniaga terbabit adalah orang Melayu yang menjual buah durian di tepu jalan kawasan perumahan hanya setahun sekali sahaja, iaitu musim buah-buahan. Munkin juga si penguatkuasa terbabit belum pernah terjumpa istilah ‘budi bicara’, gamakanya!

DARI UTARA MENUJU KE TIMUR:
WILAYAH EKONOMI KORIDOR DICANANG


Jadual PM Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi terlalu terbatas, dalam masa tak sampai 24 jam beliau sudah sampai di Kota Bharu dari Pulau Pinang. Di Pulau Pinang Pak Lah sekadar menyebut projek jambatan, begitu juga di Kedah mahu meningkatkan pendapatan petani-petani dengan peruntukan RM177 bilion, sekalipun sebelum tragedi 13 Mei, petani-petani di Kedah sudah dibayangkan dengan usaha ‘meningkatkan ekonomi’ mereka. Politik ‘angka’ dengan peruntukan berjuta-juta dulu, sekarang sudah berbilion-bilion pula, tetapi ‘Mat Jenin’ terus juga dengan pokok kelapa nan sebatangnya. Orang Melayu digalakkan ‘merebut peluang’, tetapi peluang apa yang mahu direbut, kalau nasi dipinggan pun dimiliki ‘orang lain’. Aduhai!

Tiba-tiba sahaja di Kelantan, Pak Lah sebut mengenai ‘Islam Hadhari’ bukanlah menyesatkan ummah, sebaliknya sesuai komuniti bukan Islam juga. Isu ‘Islam Hadhari’ tak disebut ketika di Kedah dan di Pulau Pinang, seolah-olah mereka di negeri berkenaan sudah memahami ‘Islam Hadhari’, berbeza dengan di Kelantan yang kurang memahami ‘Islam Hadhari’. Gamaknya! Begitu juga dengan propaganda Bush dalam misi haramnya di Iraq dan Afghanistan, dia sekadar menyebut ‘memerangi keganasan’. Apabila di negara-negara barat dia memerangi ‘militan Islam’ atau ‘pelampau Islam’. Aduhai, tra la la, tra la la!

KURSUS PILIHANRAYA RANCAK
PERSIAPAN UMNO MAKIN KETARA

Pilihanraya sekadar menunggu ilham PM Dato’ Abdullah Ahmad Badawi, tetapi ilham berkenaan sudah disampaikan kepada semua Bahagian UMNO. Tak hairanlah, Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman sudah ‘menembak kancil, rusa yang kena’. Al-maklumlah! Hari ini (3 Ogos 2007) kursus pilihanraya bagi kawasan DUN di Negeri Selangor sudah digerakkan. Kabarnya, merungut juga mereka yang dipanggil berkursus kerana lokasinya di situ, di situ juga. Mereka meminta kursus bagi persediaan pilihanraya, seelok-eloknya sekali sekala bawalah ke kawasan peranginan di luar negeri Selangor, misalnya ke pesisir pantai atau lebik baik juga ke Kota Kinabalu, setidak-tidaknya melonjak ke puncak kejayaan di pergunungan!


Memang ramai juga pimpinan peringkat Bahagian mahu mengiringi Menteri Besar Dato’ Seri Mohd Khir Toyo ke Pengerang, Johor besok (4 Ogos 2007) yang diundang merasmikan mesyuarat perwakilan Bahagian berkenaan. Mungkin sahaja Pengerang dikira pesisir pantai juga, malah berhadapan dengan Selat Teberau yang bersetentang dengan Singapura di selatan dan Laut Cina Selatan di sebelah timur. Kabarnya banyak juga lokasi sejarah di Pengerang termasuk wilayah yang menjadi tempat sembunyi Si Bongkok Tanjung Puteri yang popular dipromosi oleh Cikgu Shahrom Hussein. Pimpinan UMNO Bahagian di Selangor yang mengiring MB, bolehlah tanyakan Dato’ Azalina Othman Said mengenai Si Bongkok tu, he heh he heh!
KUNJUNGAN HORMAT KE PEJABAT TUN DR M
PRIMA akan membuat kunjungan hormat ke pejabat Tun Dr Mahathir Mohamad di Putrajaya 15 Ogos 2007 akan datang. Jurucakap PRIMA Dato' Kamal Amir Kamal Hijaz memberitahu kunjungan itu dibuat sekembalinya Tun Dr M dari luar negeri. Aktivis PRIMA yang akan menyertai kunjungan hormat menemui Tun Dr M antaranya termasuk Yahaya Ismail, Dharmala N.S, Haji Abu Bakar Ninggal, Mohd Sayuti Omar dan beberapa lagi yang belum sempat dihubungi. Kata Dato' Kamal, kunjungan ini sebagai perjumpaan biasa untuk menerima penjelasan daripada Tun Dr M berkaitan isu budaya dan bahasa Melayu. Disamping itu Dato' Kamal juga menjelaskan perjumpaan esok hari (4 Ogos 2007) akan diadakan di Kampung Baru, Kuala Lumpur. Dharmala N.S dan Raja Petra Kamaruddin dijangka hadir.

INFO SASTERA & BUDAYA:

DEKLAMASI PUISI DI DBP
SASARAN KEPADA KANAK-KANAK


Ladin Nuawi memberitahu, pertandingan deklamasi puisi kanak-kanak di gerakkan di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) 24 Ogos 2007 ini. Pertandingan tersebut dibahagikan kepada dua kategori iaitu kanak-kanak berusia 7 – 9 tahun, dan mereka yang berusia 10 – 12 tahun. Dalam istilah lain ialah pelajar-pelajar Darjah 1 – 3; di samping Darjah 4 – 6, atau khusus kepada pelajar-pelajar sekolah rendah. Menurut Ladin yang juga aktivis teater kanak-kanak, pertandingan tersebut terbuka kepada umum, justeru mereka yang berminat bolehlah hubungi Cik Fazilah tel: 03-21482521 atau Puan Zeti dengan tel: 03-218481254. Membawa puisi kepada kanak-kanak mungkin juga bermaksud baik, tetapi sudah didekatkan mereka kepada puisi ketika pada Darjah 1.

Usaha DBP mendekatkan puisi kepada kanak-kanak, bolehlah diterima sebagai permulaan yang baik. Setidak-tidaknya kementerian juga memberikan perhatian kepada subjek sastera di peringkat sekolah menengah rendah, seperti pda dekad 1960-an dan 1970-an dulu. Pada alaf baru ini, pelajar-pelajar sekolah menengah sendiri mencemuh subjek sastera kerana ianya bukan lagi ‘wajib’. Makannya kalau lingkup subjek sastera pun, biak pi laa! Pelajar-pelajar lebih bangga dengan subjek metametik, sains, fizik atau kimia yang kononnya lebih ‘cerah masa depan’ kalau dibandingkan dengan subjek sastera. Begitulah yang diberitahu kepada mereka!


KOMENTAR
bersama Pak Parjo

SIGNAL SUDAH DIBERI JELAS
PIMPINAN PERLU FAHAM, FAHAMLAH!


Kalau pimpinan dulu sering memberitahu, ianya akan berundur apabila menerima signal khidmatnya tak diperlukan lagi. Tak tahulah dengan senario dalam UMNO sekarang, kerana signal nampaknya sudah diberi jelas sejelas-jelasnya. Misalnya apabila Ketua Perhubungan UMNO negeri Perak Dato’ Seri Mohd Tajul Rosli Ghazali umumkan, negeri Perak akan memberi sokongan kepada Khairy Jamaluddin menduduki kerusi Ketua Pemuda UMNO sekiranya Dato’ Seri Hishamuddin Hussein berundur. Secara zahirnya cakap berlapik menyebut ‘kalau berundur’, sebaliknya sudah tentu signal sebenar ialah ‘silakan berundur’.


Di masa lalu juga penjajah Inggeris secara diplomasi menyebut tugas mereka ialah ‘penasihat’ raja-raja Melayu, sebaliknya istilah sebenar ialah ‘nasihat itu mesti dipatuhi’. Apalagi Dato Seri Hishamuddin belumpun umumkan fasal mahu berundur dari jawatan Ketua Pemuda, tup tup sudah disebut-sebut akan penggantinya. Begitulah ‘signal’ yang perlu diterima sebagai ‘nasihat yang mesti dipatuhi’, kerana di persimpangan jalan juga diletakkan lampu signal. Apabila lampu signal sudah memancar merah, kalau mahu pecut juga, hadapilah risikonya. Begitu juga ketika lampu hijau memancar, sekiranya tunggu juga makanya kenderaan di belakang akan menyondol, seperti yang sentiasa memerhati lampu berwarna warni dan kulauan bunga api memancar malam kemerdekaan ialah:

1 comment:

  1. Assalamualaikum Tuan,
    saya terpanggil untuk mencelah mengenai artikel "PENGUATKUASA VS AHLI MAJLIS
    GARA-GARA SI PENJUAL DURIAN".

    Saya cuba berpandangan baik dalam hal ini. Dikatakan Ahli Majlis Perbandaran (AMP) melarang Pegawai Penguatkuasaan (PP) dari mengambil tindakan ke atas penjual durian tapi tidak diendahkan malah dikatakan PP juga tidak mengenali AMP.

    Saya rasa apabila PP cuba mengambil tindakan sudah tentulah atas undang undang yang dibuat oleh Majlis Perbandaran yang dianggotai oleh AMP tersebut. Sudah tentunya juga ada sebabnya mereka diambil tindakan seperti kerana menjual tanpa lesen, menjual ditepi jalan sehingga mengganggu kelinciran jalanraya.

    Bayangkan, sekiranya tiada tindakan diambil keatas mereka, maka akan keluarlah kata kata PP tidak peka, tidak peduli akan keselesaan penduduk dan lebih buruk lagi kata kata mengatakan PP sudah kena suap, sebab itu tiada tindakan diambil.

    Bagi saya tindakan yang dilakukan oleh AMP tersebut hanyalah sebagai membuli PP dan boleh juga dikatakan menghalang PP dari menjalankan tugas mereka. Tambahan pula bila meminta PP mengira setiap biji durian agar tiada kurang seolah olah ingin memburukkan nama PP dengan mengandaikan buah buahan itu akan menjadi habuan PP. Samada ini benar atau tidak, ianya adalah akademik sahaja.

    Meminta PP melakukan budi bicara adalah suatu yang mudah dikata tapi sukar di buta. Bayangkan, sekiranya budi bicara digunakan, tiada tindakan diambil, lalu aduan dibuat oleh penduduk tempatan mengenai mereka ini, menyalahkan PP tidak melakukan tugas yang diamanahkan kepada mereka, adakah AMP tersebut akan membela PP dan mengatakan tiada tindakan diambil kerana budi bicara digunakan atas arahan AMP tersebut. Potong jari saya berani berkata, tidak.

    Mengataka agar mereka diberi peluang untuk berniaga kerana ianya "setahun sekali" tidaklah amat tepat. Sekarang ni, kita boleh lihat menjual durian bukanlah senario setahun sekali. malang lagi bila dilihat bahawa majoriti mereka yang menjual ini bukannya penduduk tempatan. Mereka ini dengan sewenang wenangnya mencacakkan khemah di tepi jalan, di selekoh selekoh jalan tanpa menghiraukan kesesakan dan kesukaran yang akan timbul.

    sekiranya AMP tersebut amat prihatin mengenai penjual buahbuahan bangsa "Melayu" tersebut, sepatutnya beliau membawa hal itu ke mesyuarat majlis dan mencari jalan agar disediakan tempat yang sesuai untuk mereka yang mencari makan setahun sekali ini.

    Sekiranya terlalu mengharapkan budi bicara, takut nanti ianya menjadi kes tutu sebelah mata. Waallahualam

    ReplyDelete