Sunday, August 26, 2007

JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG

MARAH DR MANSOR TAK REDA
LEPAS GERAM DI RUMAH GAPENA

Assalamualikum,

Marah benar bekas Timbalan Naib Canselor (HEP) UTM, Dato’ Dr Mohd Mansor Abdulllah, disebabkan saya mengambil sikap ‘berdiam diri’ ketika pelancaran buku ‘Analitikal Pimpinan Pemuda: Ahmad Badawi Abdullah Fahim: LILIN MEMBAKAR DIRI’, apabila saya seolah-olah dipinggirkan hingga tak dipanggil naik ke pentas untuk mengiringi Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Dato’ Seri Mohd Radzi Sheikh Ahmad pada 24 Ogos 2007. Ketika bertemu di Rumah GAPENA malam 24 Ogos itu, Dr. Mansor masih tak berpuas hati, kerana saya tak bertindak agresif, hinggalah pengerusi majlis Dato’ Aziz Singah menjemput saya naik ke pentas.

Sampai di Rumah GAPENA dalam acara ‘sembang-sembang kopi dan nasi lemak’, Dr Mansor tak mahu menjamah nasi lemak mahupun meneguk kopi, sekalipun beliau duduk di sisi saya. Datin turut memujuknya, tetapi Dr. Mansor masih juga tak mahu menjamah dengan memberi pelbagai alasan. Sebaik sahaja Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz muncul membawa antologi sajak ‘Melayu Mudah Lupa’, Dr Mansor keluar dari dewan wacana, di samping terserempak ‘pakar wacana’ Jaafar Abdul Rahim. Secara kebetulan pula saya berbual dengan penulis veteran Sahmad Malaya, pemimpin DPMP melintas sambil mencapai antologi ‘Melayu Mudah Lupa’.
Tak bertangguh pula Tengku Alaudin memeluk saya erat-erat, sambil meminta Mohd Sayuti Omar mengambil gambar.


Selepas bergambar,Tengku Alaudin kembali masuk ke dewan wacana, meninggalkan saya bersama Sahmad Malaya berbual-bual di bawah khemah. Mungkin sahaja marah Dr. Mansor semakin reda, beliau mula mencari nasi lemak dan minuman, ketika Dato’ Kamal Amir rancak berbual di khemah yang lain. Bagaimanapun insiden ketika pelancaran buku di Seri Pacific Hotel itu, sebenarnya memberi rahmat, kerana tak lama selepas itu Puan Rahimah dari Perpustakaan Negara menemui saya bagi memberi jaminan akan berurusan terus dengan saya berkaitan dengan buku-buku yang dihasilkan. Alhamdullillah!

-Muluk.


INFO HAK ASASI MANUSIA

KECOH DALAM WACANA BLOGGER
KAMAL AMIR PERTAHAN BAHASA MELAYU

Pertemuan pengendali laman web dan laman blog di Blok Bistari, Damansara semalam (25 Ogos 2007) kecoh, apabila sebahagian blogger menganggap Bahasa Inggeris juga termasuk dalam takrif ‘Bahasa Malaysia’. Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz menolak takrif berkenaan dengan mempertahankan Bahasa Melayu sebagai jatidiri Melayu yang tak boleh dikompromi. Saranan Kamal disokong oleh pengendali laman web, Zaharin Mohd Yassin yang mahukan setiap blogger menggunakan Bahasa Melayu dalam sebarang pertemuan di masa akan datang. Serentak dengan itu Kamal mendesak kabinet menarik balik ketetapan ‘Bahasa Malaysia’ sebagai bahasa ‘bangsa Malaysia’, sebaliknya mengembalikan semula ‘Bahasa Melayu’ sebagai bahasa rasmi.

“Tak ada Bahasa Malaysia di dunia ini, yang ada ialah ‘Bahasa Melayu’, justeru semua warga negara Malaysia mesti menerima ‘Bahasa Melayu’ seperti yang sudah termaktub dalam Perlembagaan,” beritahu Kamal merujuk kepada insiden kecoh dalam wacana bersama blogger itu. PRIMA akan menentang siapa sahaja yang memperlekeh Bahasa Melayu, termasuk blogger-blogger yang tak menghormati Bahasa Melayu, kata Kamal seterusnya. Selagi kabinet mengekalkan istilah ‘Bahasa Malaysia’ bagi merujuk kepada ‘Bahasa Melayu’, ianya seolah-olah meletakkan bola bagi ‘sepakan penalti’ kepada musuh-musuh Bahasa Melayu, menurut Kamal lagi.

PAK YA KE PEKAN BARU
BAWA ‘MELAYU MUDAH LUPA’


Pimpinan kanan PRIMA Yahaya Ismail (Pak Ya) diundang membentangkan kertas kerja dalam seminar ‘Sastera Melayu dan Islam’ di Pekanbaru, Propinsi Riau, Indonesia 31 Ogos 2007 ini, bersama penulis veteran Syed Akbar. Undangan awal disampaikan kepada bekas Ketua Menteri Sabah, Dato’ Harris Salleh yang kemudiannya memberikan nama Pak Ya dan Syed Akbar kepada pihak panatianya. Pak Ya yang akan bertolak menaiki pesawat Garuda menerusi Jakarta pada 30 Ogos 2007 ini, akan membawa bersama antologi sajak ‘Melayu Mudah Lupa’ bagi diteliti oleh peserta-peserta yang menghadiri seminar berkenaan.


Pemilihan Pak Ya membentangkan kertas kerja ke seminar tersebut memang satu penghargaan kepada PRIMA; apalagi turut memperkenalkan karya-karya sastera dari Malaysia termasuk antologi sajak ‘Melayu Mudah Lupa’. Sepanjang beada di Pekanbaru Pak Ya akan mengkaji karya-karya sastera di propinsi Riau, malah hubungan dengan penulisan sejarah saling berkait rapat. Pekanbaru secara historikal adalah destinasi terakhir Sultan Mahmud Syah, Melaka melarikan diri selepas dijajah oleh Portugis, malah beliau meninggal dunia di Kampar (iaitu di Pekantua, kira-kira 20 kilometer dari Pekanbaru). “Mungkin sahaja naskhah-naskhah Melayu lama turut dibawa oleh Sultan Mahmud ke Kampar ketika itu,” beritahu Pak Ya.

INFO SASTERA & BUDAYA

PUTRAJAYA BUMI SEMAKIN AKTIF
TERBIT DUA BUAH BUKU SERENTAK

Penerbit ‘Putrajaya Bumi Communications Sdn Bhd’ di Kelana Jaya semakin aktif menerbitkan buku-buku sejak beberapa bulan lalu. Dua buah buku baru terbit serentak di bawah label syarikat berkenaan ialah ‘Medan Perang Siber’ oleh Kamal Amir dan antologi sajak ‘Melayu Mudah Lupa’ diselenggara oleh Yahaya Ismail, Dharmala N.S. dan Kamal Amir. Penerbitnya, Puan Rozie memberitahu matlamat pentingnya ialah memperkasa Bahasa Melayu, di samping menggalakkan masyarakat ‘celik membaca’. “Kita tak memerlukan untung banyak, asal sahaja pulang modal termasuk kos cetak, sudah memadai bagi perjuangan kami,” Puan Rozie menjelaskan.

Menurutnya lagi, ‘Medan Perang Siber’ adalah kompilasi dari laman web dan laman blog yang dianggap kontroversi, tetapi tak berpeluang dibaca oleh mereka yang tak melayari laman web dan laman blog. Justeru katanya, dengan menerbitkannya secara kompilasi ianya boleh dibaca secara umum bagi memahami mesej yang disampaikan dalam tulisan menerusi laman web dan laman blog itu. Seterusnya Puan Rozie mengingatkan, mereka yang memusuihi pengendali laman web dan laman blog supaya tidak prejudis sebelum membaca tulisan-tulisan berkenaan secara rasional. ‘Menerusi buku ‘Medan Perang Siber’ masyarakat umum boleh menjadi hakim bagi menilai pemikiran sebenar penulis-penulis laman web dan laman blog,” katanya.

Sementara itu antologi sajak ‘Melayu Mudah Lupa’ adalah manifestasi penyair-penyair Melayu terhadap dilema baru bangsanya yang masih teraba-raba jatidiri sendiri sekalipun sudah 50 tahun merdeka, beritahu Puan Rozie seterusnya. Di samping sajak ‘Melayu Mudah Lupa’ karya Tun Dr Mahathir Mohamad, sajak ‘Aku Mencari Damai Abadi’ yang dihasilkan oleh Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi turut dimuatkan dalam antologi berkenaan. Sekalipun berlaku perbezaan persepsi mengenai antologi ‘Melayu Mudah Lupa’, tetapi pihak penerbit merasakan ianya adalah manifestasi penyair-penyair Melayu yang cintakan bangsa, agama dan tanah air mereka, beritahu Puan Rozie.

KOMENTAR
bersama Pak Parjo
50 TAHUN MERDEKA
PRASYARAT MEMOHON KERJA

Baguslah! Menteri Sumber Manusia, Dato’ Seri Dr Fong Chan Onn mahukan iklan kerja kosong tak meletakkan prasyarat bahasa lain bagi pemohon-pemohon, katanya kepada media selepas Majlis Konvokesyen Kelima Universiti Tunku Abdul Rahman (Utar) di Wisma MCA semalam (25 Ogos 2007). Sebelum ini kononnya, dilaporkan terdapat majikan yang mengiklan kerja kosong meletakkan prasyarat mesti boleh berbahsa Mandarin dan Bahasa Inggeris. Berasa hairanlah kita, syarikat yang mengiklan itu, seolah-olah pelanggannya masyarakat yang berbahasa Mnadarin dan Inggeris sahaja, bukannya yang berbahasa Melayu. Aduhai!

Makanya teringatlah pula kita akan keperihalan pernikahan Sultan Mansor Shah dan Puteri Hang Li Po 500 tahun dahulu, tak pula ditetapkan prasyarat oleh Maharaja Cina akan Raja Melaka itu dimestikan berbahasa Mandarin. Akan Sultan Mansor Shah (bukan Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah, bekas profesor dan Timbalan Naib Canselor HEP, UTM) kabarnya seperti diberitahu oleh ‘fakir’, bahasanya ialah ‘Bahasa Melayu’. Kalau baginda menghantar bingkisan (surat menyurat) pun menggunakan ‘Bahasa Melayu’ dengan tulisan jawi (kerana baginda belum lagi belajar menulis rumi). Bukan sahaja bingkisan ke Pasai, ke Manjapahit atau ke Perlak malah sampai ke Benua India, be Benua Cina dan ke Benua Rom juga. Anehnya, ketika itu semuanya faham pula akan bahasa Sultan Mansor Shah itu, hingga kerajaannya besar dan berpengaruh sekalipun bahasa yang digunakan memang menjadi kegemaran, kegembiraan dan kesukaan:
HIDUP BAHASA MELAYU!!!

1 comment:

  1. anak saperlah mengutuk penulis blog ni...macam aper ntah...x ader blog nak ngutuk blog org lain....

    ReplyDelete