Friday, November 9, 2007

JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)



DARI LAMAN BLOG:

PAK YA KETUA DELEGASI
TEMUI NIK AZIZ DI KOTA BHARU

Assalamualaikum,


Kebetulan pula Timbalan Ketua UMNO Bahagian Lumut, minum bersama di Pizza Hut, di The Mall dengan Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz, ketika perwakilan masih membahaskan ucapan dasar Presiden UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 8 November 2007. Menyedari PRIMA akan mengadakan mesyuarat di situ mulai 2.30 petang, beliau segera balik semua ke dewan PWTC bagi mengikuti perbahasan seterusnya. Memang limpahan umat Melayu berhimpun di sekitar PWTC, The Mall dan Sri Pacific sejak 5 November 2007 berikutan Perhimpunan Agung UMNO 5-9 November 2007, sekalipun pada 8 November itu perayaan Deepavali. Aduhai!



Antara perkara penting diputuskan dalam mesyuarat PRIMA, ura-ura perjumpaan dengan Menteri Besar Kelantan Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat, yang diusul oleh aktivis sosial Mohd Sayuti Omar (MSO). Perjumpaan tersebut difokuskan kepada agenda perpaduan Melayu berdasarkan kefahaman Islam, dengan MSO diberi mandat mengatur pertemuan berkenaan di Kota Bharu. Pengkritik sastera tersohor dekad 1960-an Yahaya Ismail (Pak Ya) dipersetujui mengetuai delegasi PRIMA ke Kota Bharu dijangka Disember 2007 ini, di samping MSO pula mengetuai acara ‘baca puisi perdana’ sebagai kemuncak kunjungan ke negeri Kelantan.


Bagaimanapun Dato’ Kamal Amir mengumumkan acara ‘baca puisi perdana’ akan dimulakan di pekarangan rumahnya No 1 Lorong Dato’ Suleiman 8, Taman Tun Dr Ismail pada 17 November 2007 ini mulai jam 8.00, diikuti siri berikutnya di pekarangan rumah Dato’ Ruhanie Ahmad (Ruhanie A.R.) di Country Homes di Kajang, dijangka awal Disember 2007, sebelum delegasi PRIMA ke Kota Bharu bagi siri ‘baca puisi perdana’ seterusnya. Justeru pendeklamator dan pemuisi dijemput menyertai acara ‘baca puisi perdana’, dengan menghubungi sekretariat PRIMA emel muluk47@gmail.com.



Mesyuarat PRIMA semalam (8 November 2007) dipengerusikan Dharmala N.S. turut dihadiri oleh Pak Ya, Dato’ Kamal Amir, MSO, Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah, Mohd Radzi Mustapha, Haji Abu Bakar Ninggal dan Zakaria Bidin (Zek). Dato’ Kamal Amir juga turut membangkitkan laman blog PRIMA yang lembab kebelakangan ini, seolah-olah kurang prihatin dengan isu masyarakat, termasuk perhimpunan 100 ribu di Dataran Merdeka esok (10 November 2007) mulai jam 3.00 petang dianjurkan oleh ‘BERSIH’. Memang laman blog PRIMA tak berapa aktif sejak Ramadan dulu, tetapi tak bermakna ianya tak prihatin dengan isu masyarakat semasa. Alahai!


-Pak Dharma.


INFO HAK ASASI MANUSIA:

BAHASA MELAYU BAHASA ILMU
KEMBALIKAN UNTUK MATEMATIK & SAINS


Tahniah! Naib Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin dan perwakilan Johor bangkitkan isu mendaulatkan Bahasa Melayu dalam Perhimpunan Agung UMNO pada 8 November 2007. Tak sia-sia PRIMA dan laman blognya menolak sebarang usaha mahu meMalaysiakan Bahasa Melayu, apalagi pihak ‘tak bermalu’ tak mahu slogan ‘Hidup Melayu’ dengan diminta ditukar kepada ‘Hidup Bangsa Malaysia’. Maknanya mereka mahu mempertikaikan slogan PRIMA ‘Hidup Bahasa Melayu’, bagi ditukar kepada ‘Hidup Bahasa Malaysia’, sekalipun sejarah bangsa Melayu sejak kerajaan Salendra (Sri Wijaya) di Palembang pada awal abad Masehi tak pernah wujud ‘Bahasa Malaysia’!



PRIMA menyokong ucapan Khairy yang mahukan Matematik dan Sains di sekolah-sekolah kembali diajar dalam Bahasa Melayu. Malah PRIMA menyokong perwakilan Johor yang mempertikai sikap golongan ‘tak bermalu’ yang menolak slogan ‘Hidup Melayu’, sekalipun UMNO pernah menukar kepada ‘Merdeka’ pada 1950. Secara historikal ketika itu ‘perjuangan Melayu sudah hidup’ justeru mereka mahukan ‘merdeka’ pada dekad 1950-an, bukan bermakna tak mahu lagi ‘Hidup Melayu’. Soal mahukan bangsa Malaysia perkara yang lain, sebaliknya ‘Bangsa Melayu’ adalah teras kepada rupa bangsa Malaysia, justeru ‘Bangsa Melayu’ dan ‘Bahasa Melayu’ wajar dikekalkan.


Disebabkan Bahasa Melayu sudah diiktiraf dalam beberapa seminar, simposium dan wacana sebagai ‘bahasa ilmu’, memang wajar ianya dijadikan bahasa perantaraan bagi mengajar matematik dan sains di sekolah-sekolah. Justeru Menteri Pelajaran Dato’ Seri Hishamuddin Hussein, tak mempunyai alasan mahu melengah-lengahkan pelaksanaannya apabila Khairy sendiri atas kapisiti naib kepada beliau sudah bersuara. Kalau ditakdirkan Hishamuddin menolak pelaksanaan mengajar matematik dan sains dalam Bahasa Melayu, memang sah berlakunya pertentangan idea yang ketara dalam pimpinan Pemuda UMNO sekarang, di samping salah seorang perlulah un…! Heh heh heh!

INFO SASTERA & BUDAYA:

BUKU BARU DARI MSO
BUKAN SEKADAR SPEKULATIF


Buku terbaru Mohd Sayuti Omar (MSO) ‘Siapa Berhak Ganti Pak Lah?’ bukan sahaja sekadar membawa pendekatan spekulatif, sebaliknya menyorot pemikiran politik Melayu apabila berhadapan dengan fenomena di luar dugaan. Misalnya, MSO menarik perhatian kepada senario kritikan yang keterlaluan kepada Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi (Pak Lah), mungkin sahaja memberi impak kepada penampilan Dato’ Seri Mohd Najib Razak selaku timbalannya. Menurut MSO, senario berkenaan seolah-olah mahu mempercepatkan proses kenaikan Najib, sebaliknya kroni-kroni tertentu sudah mempunyai agenda untuk ‘memboyah’ (kenyang).


Dalam buku berkenaan MSO membahagikan kepada tiga kumpulan iaitu (i) Bahagian Umum, (ii) Bahagian Politik UMNO dan (iii) Bahagian Politik PAS. Di samping MSO menyorot pemikiran politik Melayu UMNO, beliau turut mempersoal pemikiran politik Melayu PAS yang menelusuri kefahaman Islam, seperti diungkapnya pada halaman 135: “Lagipun selamanya mereka tidak perlu mengharap kepada kuasa keramat dan maunah Nik Aziz untuk mengekalkan politik di Kelantan.” Buku yang diterbitkan oleh Tinta Merah, KL dengan 180 halaman dijual pada harga RM15.00 di Semenanjung dan RM20.00 di Sabah dan Sarawak.




BUKU PERJUANGAN AHMAD BADAWI
MASIH DIEKSPLOITASI PIHAK TERTENTU


Perjuangan Dato’ Ahmad Badawi bin Sheikh Abdullah Fahim seharusnya dihayati, bukan dijadikan bahan untuk kepentingan pihak tertentu, selepas di hasilkan penulisnya secara ikhlas demi merakamkan sejarah pembabitannya dalam gerakan nasionalisme. Berikutan pengedaran buku ‘Analitikal Piminan Pemuda Ahmad Badawi Abdullah Fahim: LILIN MEMBAKAR DIRI’ yang dikatakan diedarkan kepada perwakilan di Perhimpunan Agung UMNO mulai 5 November 2007, penulis sebenar buku berkenaan dilaporkan terkilan cara ianya dipromosi. Bukan sahaja beliau tak diberitahu mengenai pengedaran buku berkenaan, sebaliknya nama penulis lain turut diselitkan bersama.


Penulis lebih mempunyai pendekatan keterlibatan Dato’ Ahmad Badawi selaku pemimpin Pemuda UMNO, di samping membenarkan PAS menggunakan madrasahnya Daeratul Maarif Wataniah di Kepala Batas sebagai markaz (ibu pejabat). Apalagi tambah terkilan apabila buku berkenaan diedarkan kepada karyawan filem yang menghasilkan ‘1957: Hati Malaya’di luar pengetahuannya. Berita Harian (9 November 2007) menyiarkan karyawan terbabit menerima buku autobiografi Dato’ Ahmad Badawi (bin Sheikh Abdullah Fahim) iaitu bukan ‘Ahmad Badawi dan Abdullah Fahim’. Justeru penulisnya dikatakan akan menulis surat kepada Dato’ Abdullah Ahmad Badawi, bagi memastikan matlamat sebenar penulisan buku berkenaan tak dieksploitasi oleh pihak tertentu.




KOMENTAR
bersama Pak Parjo.


TEKS UCAPAN PRESIDEN
TAK DIEDAR KERANA DEEPAVALI



Syahdan akan Perhimpunan Agung UMNO 5-9 November 2007 memperlihatkan suara orang muda yang berani atau ‘an angry youn man’ seperti dekad 1950-an terus berkesinambungan. Di tengah keberanian orang muda mempersoal isu Bahasa Melayu dengan pendekatan yang dibawa Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, tiba-tiba fakir diberitahu ‘anak muda’ tersentak apabila ucapan dasar Presiden UMNO yang diungkapkan pada 7 November 2007, teks penuhnya tak mampu untuk diedarkan pada 8 November 2007. Terpaksa pula menunggu sehingga 9 November 2007, barulah teks penuh ucapan tersebut diedarkan menerusi akhbar-akhbar arus perdana. Hubaya!


Maka diberitahulah kepada fakir oleh yang empunya ceritera, adapun akhbar-akhbar arus perdana tak diedarkan pada 8 November 2007 kerana ianya tak dicetak atau dengan lain perkataan ‘tak diterbitkan’. Tahulah fakir bahwasanya akhbar-akhbar arus perdana tak diterbitkan kerana bercutilah segala pengedar dan penjual akhbar bagi menyambut perayaan ‘Deepavali’. Tak hairanlah Khairy berdukacita dengan suasana yang sudah bertahun-tahun menjadi kesinambungan apabila pengedar dan penjual akhbar bercuti pada perayaan ‘Deepavali’, menyebabkan teks penuh ucapan dasar Presiden UMNO tak diterbitkan oleh akhbar arus perdana, kerana nenek moyang fakir tak pernah mengalami kejadian seperti yang disurat oleh:





HIDUP BAHASA MELAYU!

No comments:

Post a Comment