Monday, November 19, 2007

JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG

MALAM ‘BACA PUISI PRIMA’
TAK DIDUGA DAN TAK DIJANGKA

Assalamualaikum,


Benarlah kata orang tua-tua, kita sekadar merancang tetapi segala yang dilaksana ditentukan oleh Allah SWT. Begitulah! Justeru malam ‘Baca Puisi Prima’ 17 November 2007 di pekarangan rumah Jurucakapnya Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz diserikan beberapa rakan yang tak diduga turut hadir bersama. Sebaliknya mereka yang diramal akan menyerikan majlis tak pula hadir disebabkan komitmen lain yang lebih penting diberi perioriti. Misalnya, Mohd Radzi Mustapha mengadakan majlis doa selamat di rumahnya, berikutan akan bertolak ke Mekah pada 20 November 2007 ini bagi menunai fardu haji bersama isterinya. Alhamdullillah!

Begitu juga pelajar-pelajar Universiti Industrial Selangor (Unisel), Bestari Jaya (Batang Berjuntai) terpaksa membatalkan kehadiran disebabkan jadual peperiksaan semester yang diadakan pada Ahad (19 November 2007). Penyair Ruhanie A.R. (Dato’ Ruhanie Ahmad) yang juga bekas Ahli Parlimen Parit Sulong yang sudah memberi jaminan untuk hadir sebelum ini, tiba-tiba pula tak sempat menjengah disebabkan urusan yang lain. Sebaliknya, majlis ‘Baca Puisi Prima’ yang dihoskan oleh Zabidi Noor (Zek) tak kurang meriahnya apabila diselang seli dengan celotehnya yang mencuit hati audien yang memenuhi di bawah khemah yang disediakan oleh Dato’ Kamal Amir.

Di samping deklamasi puisi ianya turut dimeriahkan dengan naratif prosa yang dimulakan jam 8.30 malam hingga berakhir 11.30 malam. Antara tetamu memeriahkan majlis ‘Baca Puisi Prima’ termasuklak Presiden Gerakan Pilihanraya Bersih dan Adil (BERSIH) Ezam Mohd Noor, bekas pimpinan GPMS Dato’ Suhaimi Ibrahim, pimpinan UMNO Bahagian di Kelantan Dato’ Suhaimi Yaakob, aktivis masyarakat Din Marican dan aktivis teater serta filem L. Mankadir Shamsi yang khusus datang dari Lancang di Temerloh, Pahang. Majlis dimulakan dengan deklamasi sajak oleh Dato’ Kamal Amir diikuti Bekas Timbalan Naib Canselor (HEP) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Dato’ Dr. Mohd Mansor Abdullah.


Selaku pimpinan PRIMA saya pula sengaja membuat kelainan dengan menuturkan pepatah petitih dari Adat Perpatih, malah ianya memang berunsur puisi yang diwarisi turun menurun dari Pagarruyung dan Ranah Minang di propinsi Sumatera Barat. Apalagi ianya turut diungkap sama oleh Ezam Mohd Noor apabila membawa naratif prosanya dengan menyebut: ‘Ibu adat ialah muafakat’. Memang ‘muafakat’ itulah yang membawa bangsa Melayu mampu menumbangkan Malayan Union pada 1946 dengan kemuafakatan yang hebat dalam Kongres Melayu Pertama 1 – 4 Mac 1946 ketika dilangsungkan di Kelab Sulaiman, Kampung Baru, Kuala Lumpur.



Naratif prosa dimulakan oleh pimpinan kanan PRIMA pengkritik sastera tersohor dekad 1960-an Yahaya Ismail (Pak Ya), diikuti oleh Ezam Mohd Noor, Din Marican dan bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Abdul Rahman Osman. Turut mendeklamasi puisi versi Bahasa Inggeris ialah ‘raja blogger’ Raja Petra Kamaruddin, di samping Dato’ Suhaimi Yaakob mendeklamasikan puisi ‘Di Perjalanan Pulang’ karya Mohd Salleh Salimin yang dipetik dari antologi ‘Melayu Mudah Lupa’. Dato’ Suhami Ibrahim pula mendeklamasikan puisi Habsah Hassan ‘Harapan Belum Tercapai’ yang juga dipetik dari antologi ‘Melayu Muda Lupa’.



Menjelang 11.00 malam, majlis semakin memuncak dengan penampilan L. Mankadir Shamsi mendeklamasikan ‘Singa Dari Hutan’. Apalagi Mankadir yang menghidap demam akibat semburan air ketika Gerakan Massa 10 November (GEMASEPUNOV) lalu, mengakui enggan memakan ubat dan menerima rawatan. Zaharin Yassin (Sang Kelembai) pula mendeklamasi puisi karya penyair Indonesia Goenawan Mohamad, diikuti Zahid Mat Ariff dengan puisi ‘Aku Mencari Damai Abadi’ karya Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi. Majlis ditutup dengan deklamasi puisi Zek ‘Melayu Lupa Melayu’ yang disambut gelak ketawa khalayak. Olalla!


-Pak Dharma.


INFO HAK ASASI MANUSIA


‘DEKLARASI PERDANA’ AKAN DIHANTAR
MESEJ KEPADA SEMUA PIMPINAN MELAYU


‘Deklarasi Perdana’ PRIMA dengan 10 Keprihatinan yang tak sempat diproklamir pada wacana bersama bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya 15 Ogos 2007 lalu, akan diedarkan kepada pemimpin-pemimpin Melayu mulai 20 November 2007 ini, kata pimpinan kanan PRIMA Yahaya Ismail (Pak Ya). Menjelaskan perkara tersebut, ketika majlis ‘Baca Puisi Prima’ 17 November 2007 lalu di pekarangan rumah Dato’ Kamal Amir, Pak Ya memberitahu: “Mesej yang mahu kita sampaikan tetap diteruskan, sekalipun ditangguhkan berikutan fakta masa dan kesuntukan membuat persiapan, justeru bagi pemimpin yang tak punya kelapangan, deklarasi akan dihantar menerusi pos.”


Menurut Pak Ya lagi, pihak PRIMA akan mengunjungi Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat bagi menyerahkan deklarasi berkenaan Disember 2007 ini. Katanya, aktivis PRIMA Mohd Sayuti Omar memberitahu dari Kota Bharu hari ini (19 November 2007), pada dasarnya pihak pejabat menteri besar sudah bersetuju bagi menerima kunjungan itu dalam wacana perpaduan Melayu berasaskan pemahaman Islam. Setakat ini Pak Ya menjelaskan sekretariat PRIMA sudah diminta menyediakan proposal bagi perbincangan dalam wacana bersama Tuan Guru Dato’ Nik Aziz, yang menolak sebarang topik berkaitan dengan politik semasa.


Serentak dengan itu Pak Ya berharap pimpinan Melayu prihatin dengan deklarasi yang disampaikan, bagi survival dan kepentingan generasi akan datang. Beliau juga menyeru ianya diperhalusi secara rasional, bagi mengelakkan provokasi di kalangan mereka yang sengaja mahu melihat kebobrokan berterusan di dalam negara. Mereka yang mempunyai kepentingan peribadi, memang lebih rela membiarkan kebobrokan dalam pentadbiran disebabkan sifat-sifat kepongahan menguasai diri. Justeru mereka tak peduli mengenai masa depan negara akan berberantakan dalam proses tak keruan, kata Pak Ya selepas menyerahkan teks deklarasi berkenaan.


TAKRIF LAPORAN NEGATIF:
APABILA DEDAHKAN KEBOBROKAN


Memang takrif mengenai laporan negatif dari pihak pengkritik kerajaan, apabila ianya mendedahkan perkara kebobrokan yang berlaku. Setiap laporan media mahupun penulis-penulis tertentu yang mempromosi projek kerajaan dianggap sebagai telus dan beretika. Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz, mahukan pihak kerajaan prihatin untuk memperbetulkan kesilapan apabila kebobrokan tersebut didedahkan oleh media dan penulis-penulis yang peka dengan kepentingan masyarakat. Mengulas kenyataan Pedana Meteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi di Terengganu hari ini (19 November 2007) berkaitan isu Gerakan Massa 10 November (GEMASEPUNOV) beliau berkata:


“Pihak Istana Negara menerusi Dato’ Pengelola Bijaya Diraja, Dato’ Wan Mohd Saffain Wan Hassan, pihak Istana Negara tak pernah merestui perhimpunan haram yang bertentangan dengan undang-undang negara. Tetapi PM (Pak Lah) menyebut tindakan besar mengaitkan raja, dengan mengharapkan pilihanraya dipercepatkan.” Menurut Dato’ Kamal Amir, individu yang menyebut tarikh pilihanraya akan datang ialah Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman, bukan pihak di luar kerajaan termasuk parti-parti politik. PRIMA juga kata Dato’ Kamal Amir tak setuju dengan perhimpunan haram, tetapi bagi mengelakkannya kerajaan perlu menimbangkan keputusan sebulat suara 18 Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) pada Oktober 2007 supaya dihapuskan Seksyen 27 Akta Polis 1997.


Seterusnya beliau berasa hairan dengan tindakan membuat laporan polis kepada pengendali laman blog dan laman web terutamanya ‘Malaysiakini’, yang membabitkan Raja Petra Kamaruddin. Dato’ Kamal Amir memberitahu, pegendali laman blog dan laman web mendedahkan secara telus kebobrokan yang berlaku, bagi membolehkan kerajaan memperbetulkan. Sebaliknya kerajaan lebih selesa memilih ‘menyapu sampah ke bawah karpet’, dengan menerima laporan ‘pagar-pagar’ yang membiarkan bom jangka di merata tempat. “Sebaik-baiknya terima kritikan sekalipun pahit untuk ditelan, bukan membiarkan diri menjadi katak di hujung pelepah kelapa seronok dipuput bayu,” ujar Dato’ Kamal Amir selanjutnya.


INFO SASTERA & BUDAYA


NOVEL SAYEMBARA DITERBITKAN
MENGGARAP PERSOALAN MASYARAKAT


Novel-novel pemenang ‘Sayembara Mengarang Sempena Jubli Emas DBP’ yang diumumkan Februari 2007 lalu, mula diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) November ini. Antara novel yang sudah diterbitkan termasuklah ‘Epilog Sekeping Hati’ karya Nurul Salwa Abdul Muluk yang memenangi kadiah kedua kategori novel remaja yang mengisahkan seorang gadis bernama Farah menyiapkan tugasan penyelidikannya di rumah warga emas. Hasil daripada tugasan ini membawa kepada penemuan yang tidak disangka-sangka, bahawa Opah Sayang yang menjadi subjek kajiannya adalah nenek kandung Farah.


Dalam pengenalannya DBP menyebut, tujuan sayembara mengarang itu adalah untuk menggalakkan golongan sasterawan dan penulis tanah air menghasilkan karya yang menggarap persoalan masyarakat Malaysia yang membangun dan berdaya saing, liberal, progresif, aman damai dan dipandang tinggi oleh negara luar dari dahulu, sekarang dan pada masa hadapan. Tak tahulah sama ada karya-karya penulis sebelum ini atau yang pernah memenangi hadiah sayembara, ianya tak mencapai tahap menggarap persoalan masyarakat seperti yang disebut pihak DBP. Takrif menggarap persoalan masyarakat juga terlalu subjektif, kerana ‘Salina’ (A. Samad Said, 1960), ‘Ranjau Sepanjang Jalan’ (Shahnon Ahmad, 1967) atau lain-lain tentunya menggarap persoalan masyarakat.


PENGKRITIK SASTERA TAK TELITI
APABILA SEKADAR MEMBACA TEORI


Novelis Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah menyarankan mereka yang membabitkan diri dalam kritikan sastera, perlu meneliti setiap hasil karya secara komprenhensif, bukan sekadar membaca teor-teori dari rak buku. Beliau yang juga bekas ahli akademik pernah menghasilkan hampir 100 buah buku termasuk novel umum, novel kanak-kanak, kajian ilmiah dan bacaan umum memberitahu, terdapat segelintir pengkritik sastera yang membuat kajian secara sambil lewa. Malah mereka tak membaca sesebuah hasil karya dengan teliti, sebelum membuat kajian yang semborono. “Kalau malas membaca karya terbabit, macam mana seorang pengkritik sastera boleh menyelesaikan kajian secara ilmiah,” menurut Dato’ Dr Mansor.


Ketika memberitahu sekretariat PRIMA 17 November 2007 lalu, Dato’ Dr Mansor yang juga bekas Timbalan Naib Canselor (HEP) UTM mengakui pernah mengikuti diskusi novel ‘JURAGAN’ karya Dharmala N.S. di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sekitar dekad 1980-an yang dianjurkan oleh Angkatan Penulis Kreatif Kuala Lumpur (AKTIF) pimpinan Allahyarham Zakry Abadi. Katanya tiga orang ahli panel yang diundang membuat diskusi memang ilmuan tersohor ketika itu termasuk Dr. Hashim Awang, Dr. Rahman Shaari dan Hamzah Hamdani. Ironinya, beritahu Dato’ Dr Mansor, salah seorang panel Hamzah Hamdani mengakui tak membaca novel berkenaan kerana berasa bosan untuk menghabiskannya.


Sebaliknya beliau menjelaskan, bagaimana Dr Hashim Awang boleh selesai membaca novel berkenaan dalam tempoh tiga hari, sementara Dr Rahman Shaari mengambil masa seminggu dengan tak merasa bosan seperti keperihalan Hamzah Hamdani? Sepanjang diskusi itu Dato’ Dr Mansor memberitahu, Dr Hashim memang teliti membuat kritikan, malah mampu menimbulkan pengarang memperkenalkan watak-watak secara berurutan iaitu satu demi satu. Begitu juga Dr Rahman Shaari yang mengkritik bahasa bombastik digunakan pengarang misalnya ‘mata kail jatuh berdempum’ dan beberapa lagi. “Justeru setiap pengkritik sastera janganlah jadi macam orang buta dengan gajah, yang menilai berdasarkan andaian bukan berinteraksi terus,” kata Dato’ Dr Mansor.


KOMENTAR
bersama Pak Parjo.


CEMAR IMEJ INSTITUSI RAJA
DAKYAH MANA RAKYAT NAK IKUT?


Syahdan terasa pula kepada fakir segalanya menjadi keliru, celaru dan terharu dengan dakyah fasal mencemar imej institusi raja seperti surat khabar 18 November 2007. Apa lagi berkatalah akan hulubalang-hulubalang yang naib-naib belaka termasuk Dato’ Seri Dr Chua Soi Lek (Naib Presiden MCA), Dato’ Dr Teng Hock Nan (Naib Presiden Parti Gerakan) dan Dato’ S Veerasingham (Naib Presiden MIC). Maka terlupa mereka akan perihal pada dekad 1980-an dan 1990-an fasal ‘pindaan perlembagaan’ dan ‘kekebalan’, malah ceritera ‘Lamborgini’ yang diberitahu kepada fakir sebelum ini. Akan fakir dimaklumkan, perkara cemar imej institusi raja itu menjadi sukarlah rakyat jelata kerana tak tahu dakyah mana yang mahu diikut.


Sebermula fakir pun disuratkan oleh yang empunya ceritera mengenai kejadian di Semantan kononnya pada tahun 1891, apabila Orangkaya Bahaman juga keliru, celaru dan terharu ketika menghadap bersama pembesar-pembesar yang lain termasuk Tok Gajah Imam Perang dari Jerantut, Dato’ Panglima Mansor Orangkaya Chenor, Dato’ Haji Orangkaya Lipis dan Dato’ Orangkaya Jelai. Maka putuslah muafakat di istana akan menghalang Tuan Calliford masuk ke Pahang. Setelah mustaid semuanya, maka beberapa bulan kemudian datanglah utusan istana meminta mereka menerima akan Tuan Calliford. Dijawablah oleh Dato’ Panglima Mansor Orangkaya Chenor itu: “Dulu titah, kini pun titah, titah yang mana kami nak ikut”. Entahlah!


Sekali peristiwa sukalah fakir menyuratkan kepada naib-naib hulubalang yang mempersoal Gerakan Massa 10 November (GEMASEPUNOV), akan kejadian nenek moyang fakir di istana Melaka pada 1460-an, ketika itu Paman Pateh Karma Wijaya mempersembah akan perihal Hang Tuah itu sudah mencemarkan nama (imej) ke bawah duli (institusi raja). Maka dibunuhlah Hang Tuah oleh Raja Melaka. Adanya! Apabila didengar oleh Hang Jebat akan Hang Tuah sudah dibunuh, mengamuklah dia di dalam istana. Maka Hang Jebat juga dikatakan mencemar nama (imej) ke bawah duli (institusi raja) kerana menderhaka. Tak tahulah kenapa pula naib-naib hulubalang yang memencak ke gelanggang, menyebabkan fakir semakin sukar hendak menyuratkan ‘Kitab Melayu’ ini bersama:









HIDUP BAHASA MELAYU!

No comments:

Post a Comment