Friday, January 11, 2008

JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG

MAAL HIJRAH DISAMBUT MERIAH:
PERTANDINGAN MEMPERAGA TOKOH?

Assalamualaikum


Sudah 1429 tahun umat Islam menyambut Maal Hijrah, di samping 2007 tahun merayakan ‘Tahun Baru Masehi’, hari ini (10 Januari 2007) beberapa orang rakan dan saudara mara mengirim SMS mengucapkan ‘Maal Hijrah’. Yang Dipertuan Agong dalam titah ucapan baginda juga menyeru rakyat Malaysia jauhkan dari sebarang anasir yang merosakkan negara, di samping memperkukuhkan perpaduan. Memang benarlah titah ucapan baginda Yang Dipertuan Agong, setiap rakyat perlu kukuhkan perpaduan bagi mencapai kecemerlangan. Apalagi sebagai pemerintah tertinggi dalam sistem raja berperlembagaan, baginda adalah raja bagi seluruh rakyat Malaysia tempat semua rakyat bernaung laksana ‘pohon rendang; pokoknya tempat berteduh, buahnya sama dimakan!’.

Sebaliknya pimpinan UMNO juga turut bercakap mengenai perpaduan, seolah-olah rakyat negara ini tak faham fasal integriti kaum. Apalagi lampiran khas yang disisipkan menerusi akhbar arus perdana Berita Harian hari ini (10 Januari 2007) memperlihat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) secara arogan menyebut: ‘Islam Hadhari pacu pembangunan negara’, seolah-olah terlupa akan maksud yang tersirat dan tersurat dalam ayat 1 surah al-Fatihah. Entahlah! Jakim juga turut menyenaraikan 16 Program Perkampungan Hadhari sepanjang 2007 (kenapa tak disebut sepanjang 1428 Hijrah) dengan peruntukan RM50,000 bagi setiap kawasan Parlimen, di samping pendekatan berpandukan ajaran al-Quran dan hadis serta kaedah syarak berasaskan 10 prinsip pendekatan (seperti info yang disenaraikannya).

Kabarnya PAS juga membawa pendekatan berpandukan ajaran al-Quran dan hadis, lebih awal sebelum diwar-warkan penjelmaan Islam Hadhari. PKR juga menolak unsur-unsur kezaliman, di samping mahukan perpaduan kaum yang lebih terancang menerusi reformasi. Justeru mereka membentuk ormas (organisasi massa) berbilang kaum kerana tak mahu parti politik yang digerakkan berasaskan satu-satu kaum. Begitulah! Sebaliknya selepas berhasil walhasal menganjurkan 16 Program Perkampungan Hadhari, Jakim seolah-olah masih dibayangi oleh isu ajaran sesat termasuk ‘orang Melayu’ mendakwa dirinya Rasul atau kehebatan ‘Ayah Pin’ mendominasi pemikiran masyarakat bukan Islam dengan mengaku dialah pemimpin semua agama.

Ayah Pin dilaporkan tak pernah menganjurkan program perkampungan, sebaliknya dia dijemput mereka yang menerima dakwaan Ayah Pin sebagai pemimpin semua agama. Hebatnya! Begitu juga orang Melayu yang memproklamir dirinya ‘Rasul untuk orang Melayu’ tak pernah beri peruntukan RM50,000 bagi program perkampungan, sebaliknya pihak lain pula yang memberi sumber kewangan untuk kemudahan dia. Tak termasuk lagi isu Jabatan Agma Islam di Selangor baru-baru ini berhadapan dengan tuntutan sivil di mahkamah apabila mayat wanita bukan Melayu yang dilaporkan sudah Islam mahu disytiharkan ‘bukan Islam’ oleh suaminya. Astaga!

Sebaliknya Jakim berbangga mahu menyemarakkan lagi program Islam Hadhari di peringkat akar umbi dengan peruntukan khas berjumlah RM11.25 juta bagi menjayakan program merangkumi 219 kawasan Parlimen termasuk Majlis Pelancaran Perkampungan Hadhari Peringkat Kebangsaan. Begitulah fungsi Jakim, gamaknya! Kekalutan dengan isu perceraian menerusi SMS di kalangan masyarakat, biarlah. Pasangan yang sukar menyelesaikan kes-kes cerai di mahkamah syariah yang berlarut-larut, berlurut-lurut dan mengarut-ngarut pun, biarlah. Isu di sebuah dusun di negeri Perlis, isu si polan si polan yang berstatus menteri dengan ‘pembantu rumahnya’, isu heh heh heh, biarlah! Asal sahaja Jakim menerima puji-pujian dari Pak Lah, Alhamdullillah!

-Pak Dharma.

INFO HAK ASASI MANUSIA

JAMINAN UNTUK KESELAMATAN:
ISU KANAK-KANAK HILANG SERIUS

Dalam masa beberapa hari sahaja selepas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan memberi amaran kepada media agar membuat laporan yang berasaskan fakta, Malaysia dikejutkan lagi dengan kes kehilangan kanak-kanak dengan modus operandi seolah-olah yang berlaku ke atas Allahayahamah Nurin Jazlin Jazimin (8 tahun) beberapa bulan lalu. Menurut Jurucakap PRIMA, Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz amaran daripada Tan Sri Musa mungkin sahaja menggerunkan media, tetapi bukan kepada penjenayah yang tak mahu dicabar, seperti keperihalan Perdana Menteri Dato’ Abdullah Ahmad Badawi, jangan sesiapa cuba mencabarnya.


“Kehilangan adik Sharlinie Mohd Nashar di Jalan PJS 2C/11N semalam (9 Januari 2007) hanya dalam perjalanan pulang dari taman permainan ke rumahnya dalam jarak 200 meter sahaja, seolah-olah penjenayah menunggu di mana-mana,” kata Dato’ Kamal Amir melahirkan rasa bimbang dengan tahap keselamatan sekarang. Lagipun jelas Dato’ Kamal Amir dalam insiden tersebut berlaku kira-kira jam 11.30 tengah hari, adalah sukar mahu menuduh ibu bapa kanak-kanak terbabit lalai menjaga keselamatan anak mereka, sebaliknya rakyat Malaysia seolah-olah terdedah kepada kebobrokan perbuatan jenayah, menyebabkan masyarakat kurang yakin dengan tahap keselamatan mereka.

Insiden yang menimpa Sharlinie pula hanya beberapa hari sahaja selepas kejadian yang berlaku ke atas Nur Fatihah Zaidi (5 tahun) dari Kampung Medan, Isnin lalu (7 Januari 2007), beritahu Dato’ Kamal Amir seterusnya. Sekalipun adik Nur Fatihah ditemui semula tiga jam kemudian di Wangsa Maju, kira-kira 50 kilometer dari tempat kejadian, tetapi kanak-kanak seolah-olah tak selamat berada di taman permainan kawasan perumahan atau pangsapuri seperti di Pangsapuri Desa Sepakat Sri Manja dekat Taman Seri Medan itu, menurut Dato’ Kamal Amir. “Keselamatan negara bukan sekadar untuk mengekang demonstrasi, tetapi juga tahap perlindungan warga kita seperti isu kehilangan kanak-kanak ini,” ujarnya.

PRIMA SEDIA BERJUMPA ANWAR
TAPI BUKAN ISU BERKAITAN POLITIK


Pimpinan Kanan PRIMA, Sdr Yahaya Ismail (Pak Ya) memberitahu kesediaannya berjumpa Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Dato’ Seri Anwar Ibrahim, tetapi bukan berkaitan isu politik sebaliknya mengenai survival bangsa dan bahasa Melayu. Pak Ya yang juga pengkritik sastera dan bekas pensyarah USM sudah memaklumkan kepada pimpinan PRIMA mengenai pelawaan pimpinan PKR Sdr Omar Jaafar bagi menyertai satu perjumpaan dengan Dato’ Seri Anwar di kediaman Setiausaha Agung PKR Tan Sri Khalid Ibrahim yang belum ditetapkan tarikhnya. “Kita akan bincang mengenai isu ‘Deklarasi Perdana 10 Keprihatinan’ yang sudah dikirimkan kepada semua raja-raja dan pemimpin-pemimpin Melayu,” jelas Pak Ya.

Menyentuh mengenai persefahaman PKR-DAP dalam pembahagian kerusi pilihanraya di Pulau Pinang seperti dilaporkan media hari ini (10 Januari 2008), Pak Ya memberitahu isu berkenaan tak berkaitan dengan PRIMA. Pembahagian kerusi PKR-DAP sekadar isu politik sama juga seperti pembahagian kerusi UMNO-MCA-MIC-Gerakan yang secara logiknya tak berkaitan dengan survival bangsa dan bahasa Melayu. Kata Pak Ya lagi, pihaknya tak berminat mencampuri urusan politik PKR, tetapi perjumpaan dengan Dato’ Seri Anwar sebagai memenuhi pelawaan Sdr Omar Jaafar sebelumnya. “Sekiranya dalam perjumpaan tersebut pimpinan di luar PKR dijemput, insya Allah PRIMA bersedia untuk mendengar penjelasan mereka,” beritahu Pak Ya.

INFO SASTERA & BUDAYA

KRITERIA DIAMBIL FIRDAUS
ISTILAH ‘INDON’ BUKAN DARI DBP


Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Dato’ Dr Firdaus Abdullah dipersoal apabila mendakwa cendekiawan dan pakar bahasa Melayu (sebelumnya DBP berbangga dengan Bahasa Malaysia) tak merestui penggunaan istilah ‘Indon’ bagi merujuk kepada warga Indonesia. Novelis Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah berasa hairan kerana kriteria bagaimana digunakan Dato’ Dr Firdaus apabila mengheret semua cendekiawan dan pakar bahasa Melayu bersetuju dengan Naib Ketua Pemuda UMNO, Sdr Khairy Jamaluddin sebelum rumusan dibuat ianya sebagai istilah rasmi. “Istilah itu bukan dari DBP, jadi bukanlah sesuatu yang rasmi dan Dato’ Dr Firdaus mungkin ada motif apabila menyokong Khairy bukan secara akademik,” katanya.

Dato’ Dr Mohd Mansor yang pernah menghangatkan Parlimen sekitar dekad 1970-an apabila sebuah bukunya yang mengaitkan sejarah wujudnya bangsa tertentu dari ‘taik Nabi Adam’ dibangkitkan oleh pembangkang di Dewan Rakyat. Bagi Dato’ Dr Mohd Mansor sekalipun isu berkenaan sudah selesai apabila pihak penerbit bersetuju menarik balik fakta tersebut, tetapi beliau tetap berpegang kepada prinsip mengenai penulisan buku berkenaan berdasarkan kepercayaan sesuatu kaum. Ketika mempertikai kenyataan Dato’ Dr Firdaus hari ini (10 Januari 2008) yang menyokong Sdr Khairy tak berdasarkan fakta akademik, beliau mengingatkan isu yang bermotif politik hendaklah diasingkan daripada pemikiran rasional.

Dato’ Dr Mohd Mansor yang juga bekas Timbalan Naib Canselor (HEP) UTM secara peribadi mengakui ‘Indon’ tak membawa makna apa-apa, sama seperti orang Melayu yang disebut ‘orang Malaysia’ apabila di luar negeri. Seterusnya kata Dato’ Dr Mohd Mansor perkataan ‘Indo’ pula merujuk kepada ‘India’ atau sama seperti ‘Sino’ kepada rujukan ‘Cina’ dan ‘Anglo’ kepada Inggeris. Malah beliau menambah, ‘Indo’ dan ‘nesia’ adalah merujuk kepada ‘kepulauan India’, atau ‘Indo-China’ di satu ketika dulu ialah merujuk kepada Vitenam, Laos dan Kemboja. “Istilah ‘Indon’ yang digunakan sekarang bukan istilah rasmi, tetapi sekadar digunakan sebagai ‘bahasa pasar’ yang tak standard,” beritahu Dato’ Dr Mohd Mansor yang tetap mensyifatkan kenyataan itu mempunyai motif untuk kepentingan yang bukan berkaitan kebudayaan dan bahasa.

KOMENTAR
bersama Pak Parjo

SEKOLAH, SEKOLAH, SEKOLAH
TAMBANG BAS SEKOLAH NAIK!

Alkisah kata yang empunya ceritera, belum reda fasal yuran sekolah, Persekutuan Pengusaha Semenanjung Malaysia dengan ahlinya lebih 8,000 akan menaikkan tambang bas sekolah. Sama ada Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LKPK) enggan menerima cadangan persatuan atau sebaliknya, mereka tetap mahu menaikkan tambang, kerana LKPK sendiri menetapkan peraturan melarang bas yang sudah menjangkau jangka hayat 15 tahun digunakan. Heh heh heh! Kabarnya kos mahu membeli bas baru dianggar RM500,000, di samping terpaksa berhutang kepada institusi kewangan dengan kadar bayaran interest yang memening, menghening dan menguning. Gamaknya.

Sebermula akan fakir tak mengetahui akan tambang bas yang dikenakan, kerana anak-anak fakir tak bersekolah menaiki bas, almaklumlah seperti sudah diketahui umum akan anak-anak fakir berlajarlah mereka itu di gunung-gunung dan di gua-gua seperti keperihalan Hang Tuah lima bersaudara. Maka perjalanan ke gunung-gunung dan ke gua-gua itu terpaksalah melalui hutan belantara dengan binatang buas sentiasa sahaja ianya berkeliaran. Kalau diterkam binatang buas pun belumlah tentu matinya, kalau dibanding dengan nahas bas atau kenderaan dinaiki kanak-kanak ke sekolah, kadangkala cedera parahlah kalaupun tak mati.

Syahdan akan LKPK itu sudah meluluskan kadar tambang baru bas sekolah pada Mac 2006 untuk tempoh lima tahun atau sehingga 2011 ialah RM21.10 sebulan bagi kilometer pertama bagi Wilayah Persekutuan dan Petaling Jaya, Shah Alam, Klang, Ipoh, Bandar Melaka, Seremban, Johor Bahru dan Pulau Pinang meningkatlah ia kepada RM3.50 iaitu berbanding sebelumnya RM17.60. Maka sukarlah bagi fakir mahu memikirkan kerana belum khatam sefer, lagipun di dalam ‘Kitab Melayu’ disebutkan perihal Hang Tuah lima bersaudara belajar ke Gunung Ledang tak membayar tambang bas, tak membayar yuran sekolah dan tak perlu PIBG seperti disuratkan oleh:








HIDUP BAHASA MELAYU!!!

No comments:

Post a Comment