Sunday, January 20, 2008

JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG:


BACA PUISI MAAL HIJRAH
MENOLAK PERHAMBAAN MINDA


Assalamualaikum,



Manifestasi budaya yang digerakkan menerusi acara ‘Baca Puisi Maal Hijrah’ di Taman Tasik di Taman Seri Gombak petang ini (19 Januari 2008) mencapai sasaran untuk melestarikan keperkasaan budaya Melayu. Bukan sahaja kombinasi bacaan puisi, muzik Melayu asli dan pergerakan seni mempertahan diri memeriahkan acara, malah kalangan profesional termasuk aktivis masyarakat, wartawan, pelajar, pemikir budaya dan orang proletar turut bersama dalam majlis terbuka. Apalagi Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor (ADUN) Gombak Setia, Haji Yuszahari Yusuff turut mendeklamasi puisi sebagai membuka tirai majlis berkenaan.


‘Baca Puisi Maal Hijrah’ digerakkan oleh Telapak Budaya Gombak (Telapak), Persatuan Wartawan Hiburan Malaysia (WHAM) dan Pusat Khidmat Wakil Rakyat DUN Gombak Setia dengan kerjasama Majlis Perbandaran Selayang dan Jawatankuasa Ad-Hoc Warga Prihatin Malaysia (PRIMA) bukan sekadar bersantai dengan puisi di tepi tasik. Sebaliknya membawa persepsi masyarakat menolak perhambaan minda yang meletakkan bangsa Melayu dalam dilema yang berterusan. Seperti diungkap oleh Pengerusi Telapak, Sdr Omar Sudi Abdul Manan masyarakat Melayu perlu peka bagi menolak sebarang usaha mewujudkan ‘Pusat Budaya Batu Caves’ yang bertentangan dengan ‘Dasar Kebudayaan Nasional’.



Malah ADUN Gombak Setia, Haji Yuszahari Yusuff ketika merasmikan majlis baca puisi berkenaan lebih menggalakkan massa meluahkan keprihatinan mereka menerusi aktiviti yang mampu dipantau, berbanding daripada pembabitan mereka menyertai ‘demonstrasi jalanan’. Selaras dengan pendekatan puisi menjurus kepada kemanusiaan, Haji Yuszahari yakin ‘demonstrasi jalanan’ mampu dibendung apabila aktiviti baca puisi dimasyarakatkan. Begitulah! Tak hairanlah lebih 100 audien memberikan tepukan gemurah apabila penyair Ruhanie HR (Dato’ Ruhanie Ahmad) mendeklamasikan puisi ‘Mentera Sang Nila Utama’.



Sebelum Ruhanie HR membawa puisinya, pengerusi majlis baca puisi Zabidi Noor (Zakaria Bidin) menjemput aktivis teater dari Pahang, L Mankadir Shamsi melestari daya renung audien menerusi puisinya ‘Lembu’, diikuti wartawan akhbar ‘Mingguan Perdana’ M. Romzi Hassan yang mengungkapkan ‘Kita Manusia’. Membuka tirai majlis Haji Yuszahari memulakan puisi ‘Di Sisi Gapura’ diikuti Datin Ruzila Kamal Amir dan pemenang kedua sayembara mengarang novel remaja sempena 50 tahun DBP, Nurul Salwa dengan sajaknya ‘Ruginya Aku Lambat Dilahirkan’. Nurul Salwa yang juga penuntut dari Universiti Industrial Selangor (Unisel) kelihatan beremosi apabila menyebut ‘ruginya, aku lambat dilahirkan’.



Bekas wartawan Utusan Melayu, Haji Azeem Aras yang dijangka membacakan puisi sederhana menerusi ‘Maal Hijrah’, rupa-rupanya lebih panas pendekatannya. Justeru kata Haji Azeem puisi mampu membawa semua kelompok yang berbeza pendapat bersama-sama dalam majlis yang santai, santai dan bersantai. Aduhai! Apalagi Yassinsalleh yang dijangka pada awalnya membawa pendekatan garang menerusi ’10 Budak Hitam Di Putrajaya’, sebaliknya menngungkapkan secara romantis yang kononnya ‘orang tua dalam bercinta’. Malah selaku pimpinan PRIMA saya sekadar menutup acara dengan puisi yang pendek:



‘SAJAK KEPADA AYAH’

Ayahku,
kalau kau mengajar aku
petah berkata-kata
dewasaku,
akan jadi pendusta!


-Pak Dharma.




INFO HAK ASASI MANUSIA:


LESTARIKAN KEBUDAYAAN MELAYU
TERAS PEMUPUKAN BUDAYA NASIONAL


Kerajaan didesak tak bertolak ansur melestarikan kebudayaan Melayu sebagai teras pemubukan budaya nasional seperti yang sudah diterima oleh semua pihak sebelum ini, kata Pengerusi Telapak Budaya Gombak (Telapak) Sdr Omar Sudi Abdul Manan. Ketika berucap dalam majlis ‘Baca Puisi Maal Hijrah’ di Taman Seri Gombak hari ini, Sabtu (19 Januari 2008) Sdr Omar Sudi mengutuk usaha pihak tertentu mahu menjadikan Batu Caves sebagai pusat budaya yang bertentangan dengan ‘Kebudayaan Nasional berteras kebudayaan Melayu’. “Semua pihak perlu menerima rasionalnya kebudayaan Melayu adalah menjadi teras kebudayaan nasional,” beritahu Sdr Omar Sudi.


Menurutnya, pihak yang cuba mewujudkan ‘pusat budaya’ yang berlawanan dengan konsep kebudayaan nasional, adalah mencabar minda masyarakat Melayu. Justeru kata Sdr Omar Sudi lagi, semua pihak termasuk kerajaan jangan bertolak ansur dalam isu yang membabitkan jatidiri bangsa Melayu. Seterusnya beliau menambah, usaha mencabar minda masyarakat Melayu seolah-olah digerakkan secara terancang oleh pihak yang mahu menjadi juara sesuatu isu, sebaliknya lebih terdedah kepada kegiatan anti nasional. “Kita mahu setiap unit dalam masyarakat yang cintakan keharmonian dalam negara ini, menentang usaha pihak tertentu mahu mewujudkan pusat budaya di Batu Caves,” katanya memberi amaran.


KEMPEN KESEDARAN KESIHATAN
UMNO CAWANGAN SELAYANG BARU


Kempen kesedaran kesihatan digerakkan oleh UMNO Cawangan Selayang Baru (Bahagian Gombak), 26 Januari 2008 ini di Dewan Orang Ramai Selayang mulai jam 9.00 pagi hingga 1.00 tengah hari. Ketika memberitahu program berkenaan Ketua Pemudanya, Sdr Farhad Yassir Omar menjelaskan, kempen tersebut menerusi kerjasama ahli panelnya Klinik Kesihatan Selayang Baru, Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Kelang dan Persatuan Pengguna Islam Malysia. “Kempen ini meliputi pemeriksaan kencing manis, darah tinggi, kolestrol secara percuma, di samping menderma darah,” katanya menambah.


Sdr Farhad Yassir menyeru penduduk-penduduk di Selayang Baru mahupun yang berdekatan menyertai kempen kesedaran kesihatan ini. Mereka yang menghadiri kempen berkenaan disediakan hadiah-hadiah ‘door gift’, di samping ‘cabutan bertuah’ sebagai galakan kepada masyarakat supaya sentiasa sihat. Seterusnya beliau mengingatkan orang ramai menyedari kesihatan adalah penting kepada pembangunan masyarakat, kerana mereka yang sihat sahaja mampu memberi sumbangan kepada kemajuan negara secara lebih positif. “Kadangkala kita mengambil sikap remeh mengenai kesihatan, sebaliknya rakyat sihat negara lebih kuat,” beliau menjelaskan selanjutnya.


ISU ‘KURSI TUN RAZAK’ DI UKM
PRIMA TAK MAHU 'POLITIK UNIVERSITI'


Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz memberitahu, pihaknya akan menemui Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak berikutan isu mengenai siapa akan mengisi ‘Kursi Tun Abdul Razak’ di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Sambil menyifatkan ‘politik universiti’ lebih dahsyat dari isu klip video pelantikan hakim yang terpaksa ditubuhkan ‘Suruhanjaya Diraja Penyiasat’, Dato’ Kamal Amir mahu pemantauan dibuat terhadap Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang cuba menterjemahkan kekusutan, keserabutan dan keributan dalam pelantikan mengisi kekosongan jawatan. “Pihak PRIMA juga boleh dedahkan isu ‘politik universiti’ kalau kementerian pengajian tinggi masih berdiam diri,” katanya.


Dato’ Kamal Amir membangkitkan isu mengisi pelantikan mengisi ‘Kursi Tun Ghafar Baba’ di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) apabila nama bekas Timbalan Naib Canselor (HEP) UTM, Profesor Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah dicalonkan kepada pihak terbabit, tetapi amalan ‘politik universiti’ pencalonan berkenaan memang tak diberi perhatian. Menurut Dato’ Kamal Amir, pihaknya difahamkan Dato’ Dr Mohd Mansor pernah dihubungi oleh pihak UPSI, kononnya diberi laporan beliau kurang berminat dengan jawatan berkenaan. Justeru kata Dato’ Kamal Amir, PRIMA akan menemui Dato’ Najib bagi mencalonkan Dato’ Dr Mohd Mansor mengisi ‘Kursi Tun Abdul Razak’ di UKM bagi menolak sebarang unsur ‘politik universiti’ berterusan.


INFO SASTERA & BUDAYA:


PUISI

DI SISI GAPURA


Ku perhatikan getarmu
angin malam yang kudus
di sisi gapura Maal Hijrah
yang tulus –
bak derasnya air kali
melompat ke ombak dadaku
pesisir pantai kian lengang
dataran jatidiri bangsaku gersang
daya saingnya di lembah parah
mimpi beningnya kemarau resah!

Berikan kemerlap sinarmu
- Maal Hijrah
kemilau jatidiri merdeka
biarkan sembilu angin menerjah
bak selumbar petualang
ku bawa ke sisi gapuramu
martabat warisan bangsa:
Jatuh rebahnya bersama keberanian
bangun anggunnya bersama kemenangan
cemerlang, gemilang, terbilang!

-Yuszahari Yusuff
ADUN Gombak Setia
19 Januari 2008.


PRIMA AKAN BERSANTAI
BERSAMA ORANG ASLI DI PAHANG

PRIMA akan menggerakkan acara bersantai bersama masyarakat Orang Asli di Temerloh, Pahang bulan Februari 2008, sekalipun jadual dikatakan terlalu ketat. Aktivis teater di Pahang, Sdr L. Mankadir Shamsi sudah menemui Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz bagi acara tersebut, di samping melihat sendiri kebudayaan mereka termasuk bersewang. Menurut L. Mankadir, pihak aktivis masyarakat di Temerloh memang menunggu-nunggu PRIMA menggerakkan aktiviti budayanya di sini, apalagi berkaitan dengan kebudayaan masyarakat Orang Asli. “Pihak kami di Temerloh mahukan PRIMA digerakkan bagi meneruskan kajian mengenai kebudayaan masyarakat Orang Asli,” beritahu Sdr L. Mankadir.


Bagaimanapun Dato’ Kamal Amir memberitahu, PRIMA sudah menyusun acara baca puisi di Kota Bharu sebaik sahaja aktivis Sdr Mohd Sayuti Omar balik dari menunaikan ibadat haji di Mekah, 24 Januari 2008 ini. Di samping baca puisi di Kota Bharu, PRIMA juga akan menemui Mursyidul Am PAS yang juga Menteri Besar Kelantan Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat bagi menyampaikan ‘Deklarasi Perdana 10 Keprihatinan’ jelas Dato’ Kamal Amir. PRIMA juga beritahu Dato’ Kamal Amir turut mengatur acara baca puisi di Temerloh, setelah menerima jemputan yang disampaikan oleh Sdr L Mankadir. Penyair-penyair seperti Ruhanie HR, M. Ashikin, Yassinsalleh, Nurul Salwa dan ramai lagi akan turut menyerikan baca puisi di Temerloh.


KOMENTAR
bersama Pak Parjo


WANITA KENA RAGUT
KERANA DATO' TAK BERKAWAL


Syahdan, sekali persetua berlakulah perbuatan meragut di hadapan rumah fakir kira-kira jam 4.00 petang iaitu dua hari lalu (17 Januari 2008). Maka terkejutlah fakir kerana wanita bertubuh kecil molek itu meluru ke arah fakir, hingga terasa gementar sedikit. Maklumlah isu bekas Menteri Kesihatan Dato’ Seri Dr Chua Soi Lek belumlah reda, sekalipun beliau sudahlah meletakkan jawatannya. Akan tetapi setelah diberitahu oleh wanita berkenaan mengenai dua orang penunggang motosikal hampir berjaya meragut beg tangannya, lalu terkejutlah fakir disebabkan penunggang motosikal itu baru sahaja melintas di hadapan fakir dalam keadaan tergocoh-gocoh, adanya! Disebabkan wanita itu mahu ke tempat kerjanya (mungkin kerja shift), maka dia meminta fakir menemankan hingga ke tempat menunggu bas. Masya Allah!


Sebermula akan peragut itu samalah dengan pencuri di negeri Melaka seperti diberitahu oleh nenek moyang fakir dahulukala. Disebabkan pencuri terlalu menjadi-jadi di dalam negeri, lalu Sultan Alauddin Riayat Shah mengajak dua orang pengawalnya keluar waktu malam hari. Maka bertemulah baginda dengan empat orang pencuri sedang memikul peti berisi barang-barang berharga. Dibunuhnya seorang, menyebabkan tiga orang lari ke hujung jembatan. Seorang diparang oleh pengawal baginda, matilah ia. Baginda mengejar lagi hingga ke semua pencuri itu dapatlah dibunuh. Tahulah baginda akan Temenggung Seri Maharaja Tun Mutahir itu tak berkawal dengan sesungguhnya seperti disuratkan kepada:





HIDUP BAHASA MELAYU!!!

No comments:

Post a Comment