Thursday, January 24, 2008

JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)





DARI LAMAN BLOG





KENANGAN BUAT MEGAT JUNID:
PERGINYA ‘RAJA DURIAN’ DI PARLIMEN




Assalamualaikum,




Sebaik sahaja menerima info kira-kira jam 7.30 pagi dari Jurucakap Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz kirim SMS dipanjangkan dari Dato’ Ibrahim Ali beritahu mengenai Tan Sri Megat Junid Megat Ayub berpulang ke rahmatullah jam 5.30 pagi di hospital, saya menyampaikan pula info berkenaan kepada semua aktivis PRIMA. Sebelum itu memang saya sudah juga mendengar dari rakan-rakan mengenai kesihatan Tan Sri Megat Junid yang menghidap pelbagai penyakit. Memang saya tak berapa rapat dengan Tan Sri Megat Junid, tetapi pernah juga terserempak di lobi Parlimen sekitar dekad 1990-an, beliau berjenaka dengan rakan-rakannya di samping mengajak wartawan-wartawan ke majlis kenduri makan durian di rumahnya. Beliau juga turut ketawa apabila digelar ‘Raja Durian’ kerana saban tahun mengadakan majlis kenduri makan durian.





Selepas tewas pada pilihanraya 1999, Tan Sri Megat Junid masih aktif berpolitik apabila dilantik oleh Tun Dr Mahathir Mohamad (Presiden UMNO ketika itu) menduduki kerusi Ketua Penerangan UMNO. Memang Tan Sri Megat Junid disayangi oleh Tun Dr M, malah dianggap ‘anak emas’ Tun Dr M satu ketika dulu. Apalagi beliau melonjak naik dalam pimpinan UMNO bermula selaku Setiausaha Politik Tun Dr M, sebelum ditampilkan bertanding di kerusi Parlimen Pasir Salak. Bagaimanapun sekitar dekad 1990-an, Tan Sri Megat Junid menggemparkan media apabila mengkritik pentadbiran pusat serenti ketika memegang jawatan Timbalan Menteri Dalam Negeri yang disifatkannya sebagai lokasi ‘kandang haiwan ternakan’.




Berikutan pendedahan Tan Sri Megat Junid mengenai kebobrokan pentadbiran ‘pusat serenti’, pihak pembangkang mengambil kesempatan membuat lawatan ke pusat serenti di Rawang selepas memohon kebenaran kementerian terbabit. Memang saya menyertai rombongan Ketua Pembangkang, Sdr Lim Kit Siang melawat Pusat Serenti Rawang pada 24 Januari 1996 apabila Tan Sri Megat Junid juga turut berang dengan fenomena kesesakan di kalangan mereka yang ditahan bagi pemulihan. Lawatan yang pada peringkat awalnya ditumpukan di asrama pemulihan, dibenarkan oleh Ketua Pengarah Pusat Pemulihan Kementerian Dalam Negeri, Encik Johan Shamsuddin ke kawasan larangan yang dikenali ‘de Toc’ (sebelumnya tak dijadualkan ke situ).





Mungkin fenomena di ‘de Toc’ itulah yang dimaksudkan oleh Tan Sri Megat Junid seolah-olah ‘kandang haiwan ternakan’. Pendedahan yang dibuat oleh Tan Sri Megat Junid selaku Timbalan Menteri Dalam Negeri memang menghairankan, kerana beliau sendiri kecewa dengan masalah pentadbiran di Pusat Serenti ketika itu. Apalagi di lokasi ‘de Toc’, penagih-penagih tegar ditempatkan dalam satu bilik di beberapa blok hingga 50 orang bagi tempoh tiga bulan. Bukan sahaja tak menerima pancaran matahari, malah di situlah mereka makan dan heh heh heh! Kalau mandi pun sekadar dipancutkan air dari luar seperti disebutkan oleh Tan Sri Megat Junid macam ‘kandang haiwan ternakan’! Justeru bagi pihak PRIMA saya mengucapkan takziah kepada keluarga Tan Sri Megat Junid, mudah-mudahan rohnya dicucuri rahmat Allah.





-Pak Dharma.


















HIDUP BAHASA MELAYU!!!

No comments:

Post a Comment