Sunday, March 16, 2008

JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG:


KECOH JANGAN DIKECOHKAN
KERUH PULA PERLU DIJERNIHKAN.


Assalamualaikum,


Pimpinan kanan PRIMA Haji Yahaya Ismail menelefon hari ini (16 Mac 2008) beritahu mengenai kekecohan pelantikan Menteri Besar di Perlis dan Terengganu, di samping desakan meminta Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi segera meletakkan jawatan. Media arus perdana juga turut melaporkan mengenai desakan dari pimpinan Pemuda UMNO mahu memecat Ahli Parlimen Jerlun Dato’ Mukhriz Tun Dr Mahathir. PRIMA sudah mengambil pendirian yang jelas bagi mengelakkan sebarang kekecohan bertambah kecoh, sebaliknya yang keruh perlu dijernihkan terlebih dahulu demi survival bangsa Melayu. Mendesak Dato’ Seri Abdullah meletakkan jawatan bukan langkah bijak ketika dikri ketuanan Melayu berkemelut, berkelabut dan berserabut, seolah-olah membiarkan ‘bara habis puntung bersirak’!


PRIMA juga merasakan langkah memecat Dato’ Mukhriz tak membawa kejernihan kepada kekeruhan apabila yang kusut semakin kusut sekusut-kusutnya. Insiden selepas pilihanraya 1969 dengan pemecatan Tun Dr Mahathir Mohamad berikutan menulis surat kepada Tunku Abdul Rahman mendesaknya meletakkan jawatan, tak membawa apa-apa manfaat. Apalagi Tun Dr Mahathir dibawa semula menyertai UMNO menerusi Bahagian Rawang yang dipimpin Tunku Abdullah Ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman, malah menerusi legas pimpinan UMNO pada 1981. Justeru PRIMA menyokong pimpinan negara, di samping memberi keyakinan kepada Dato’ Abdullah memperkukuhkan semula komuniti Melayu umumnya dan UMNO khususnya.


Sebelumnya Sdr Zainal Abidin Rasidin dan Sdr Zakaria Bidin juga menelefon fasal pembabitan pengendali laman blog memperlihatkan sikap anti terhadap individu tertentu, ketika kemelut yang dihadapi negara memerlukan perpaduan yang konkrit. Isu pelantikan Menteri Besar bukanlah berlaku selepas pilihanraya 2008, malah sejak 1959 ianya sudah melakar sejarahnya tersendiri. Apalagi menuduh istana campur tangan dalam urusan politik perlu diberi persepsi baru, kerana dalam isu terdahulu institusi istana sekadar menerima pandangan pimpinan tempatan. Misalnya, kita berbangga baginda Sultan Selangor dan Pemangku Sultan Perak mempertahankan Undang-Undang Tubuh Kerajaan negeri baginda masing-masing iaitu jawatan Menteri Besar mestilah orang Melayu yang beragama Islam.


Selaras dengan ‘Deklarasi Perdana 10 Keprihatinan’ yang sudah disembahkan oleh PRIMA kepada raja-raja Melayu dan dikirimkan kepada semua pimpinan politik Melayu pada Disember 2007, justeru langkah baginda Sultan Selangor dan Pemangku Sultan Perak adalah disokong sepenuhnya. Dengan pelaksanaan dikri ketuanan Melayu ini, PRIMA juga berharap Dato’ Seri Abdullah mampu memulihkan semula krisis keyakinan di kalangan komuniti Melayu sekarang. Langkah membawa balik Tengku Razaleigh Hamzah dalam kepimpinan kerajaan dan UMNO dijangka boleh memberi kredit kepada Dato’ Seri Abdullah dengan pakej pengalaman Tengku Razalegih mampu diterima oleh semua pihak sama ada lawan mahupun kawan. Insya Allah!

-Pak Dharma.


INFO HAK ASASI MANUSIA:


KUASA POLITIK BELUM TERHAKIS
PERTAHANKAN DIKRI KETUANAN MELAYU


Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz mendakwa kuasa politik Melayu belum lagi terhakis berikutan prestasi merudum UMNO pada pilihanraya 8 Mac 2008 lalu. Beliau mengulas pandangan penganalisis politik Dato’ Johan Jaafar dalam artikel di Berita Minggu hari ini (16 Mac 2008). Katanya, dominasi 19 kerusi DUN Pulau Pinang daripada jumlah 40 kerusi, tak bermakna kuasa politik Melayu terhakis, asal sahaja aura UMNO kembali kepada sokongan akar umbi. Menurut Dato’ Kamal Amir berdasarkan pilihanraya 1969, pembangkang mendominasi 20 daripada 24 kerusi termasuk 16 kerusi Parti Gerakan, tetapi kuasa politik Melayu masih kental. “Kalau UMNO terus bersikap ‘ego ideologi’ memang kuasa politik Melayu dalam dilema,” beritahu Dato’ Kamal Amir.


Seterusnya beliau merujuk kepada senario politik selepas tragedi 13 Mei, Tun Abdul Razak tak berasa malu menjemput Tan Sri Mohd Asri Muda ke meja perundingan bagi mengukuhkan ‘kuasa politik Melayu’. Kata Dato’ Kamal lagi, kemenangan BN 140 kerusi Parlimen juga tak bermakna ‘kuasa politik Melayu’ merudum, kerana UMNO yang menguasai 78 kerusi perlu menolak sebarang ‘ego ideologi’. Apalagi 82 kerusi yang didominasi oleh pembangkang, sekadar 28 kerusi sahaja di tangan DAP, menurut Dato’ Kamal Amir selanjutnya. Segalanya terpulang kepada pimpinan UMNO sekarang bagi mempertahan dikri ketuanan Melayu, katanya. “Baginda raja-raja Melayu sentiasa bersama rakyat jelata, justeru UMNO juga perlu memberi keutamaan kepada orang Melayu, bukan kroni dan nepotisme masing-masing” beliau menambah.


KOMENTAR
bersama Pak Parjo

KEBERANGAN ANAK MELAYU
MEMANGKAH DI LUAR SASARAN


Kata sahibul hikayat sekali persetua gemparlah orang banyak, apabila orang besar di negeri Melayu Pulau Pinang menyentuh perkara yang menyinggung akan hati anak-anak Melayu itu. Kononnya! Maka diberitahu kepada fakir akan orang besar itu menyebut perihal ‘dasar iktisad baru’ mahu dikaji pelaksanaannya. Syahdan anak-anak Melayu di negeri itu mahukan ‘dasar iktisad baru’ mestilah mengikut pelaksanaan yang sudahpun ditetapkan. Adapun ‘dasar iktisad baru’ itu sebenarnya sudah lama tak disebut-sebut orang setelah pada 1990 gagallah anak-anak Melayu mahu mencapai 30 peratus dalam pemilikan iktisad mereka. Maka anak-anak Melayu yang berang itu seolah-olah melepas anak panah di luar sasaran. Gamaknya!
Sebermula akan Tun Telanai dengan Menteri Jana Putera dititahkan oleh Sultan Mansor Shah ke Siam. Selang beberapa lamanya maka raja Siam iaitu Paduka Bubunnya menyerang sebuah negeri. Maka raja Siam disuruhnya orang Melaka bertahan pada ketumbukan menghadap matahari terbit. Adapun di tempat itu serangan musuh terlalu keras, manakala orang-orang Melaka pun sedikit jumlahnya. Maka Tun Telanai dan Menteri Jana Putera menggunakan akal fikiran bagi tak melukakan hati raja bukan Islam itu. Mereka menemui Pra Chau minta disampaikan kepada Paduka Bubunnya, “Tuanku, akan adat kami, segala Islam, apabila sembahyang menghadap ke matahari mati, jika perang, tak boleh menghadap matahari mati!”. Syahdan akan melawan orang besar bukan Islam itu gunakan akal jua seperti ‘Kitab Melayu’ dan:

HIDUP BAHASA MELAYU!

No comments:

Post a Comment