Saturday, March 22, 2008

JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)


DARI LAMAN BLOG:



PERTEMUAN DENGAN PARA BLOGGER
LAMARAN MENTERI PENERANGAN BARU



Assalamualaikum,


Aktivis teater di Pahang Sdr L. Mankadir Shamsi mengirim SMS malam ini jam 8.30 pm, sebaik sahaja melihat warta berita di TV berikutan lamaran Menteri Penerangan yang baru Shabery Chik melamar pengendali laman web dan laman blog bertemu bagi agenda yang ‘belum pasti’. ‘Awas’ kata Mankadir kerana bimbang blogger juga akan menjadi seperti sajak sinikalnya ‘Lembu Tua’ yang akan ditindik hidung, seterusnya diheret ke rumah penyembelihan bagi destinasi terakhir. Heh heh heh! Sebelumnya saya juga turut diingatkan oleh Presiden Penaja, Persatuan Pemandu-Pemandu Teksi Islam Lembah Kelang, Sdr Zainal Abidin Rasidin, ketika blogger semakin dihormati kerana kebebasan intelektual (menentang perhambaan minda), janganlah mudah menerima lamaran yang bersifat ‘kalau tak ada berada, masakan tempua bersarang rendah’!



Sebenarnya semalam (20 Mac 2008) PRIMA membuat perjumpaan di gerai medan selera Taman Seri Gombak dihadiri semua aktivis termasuk Haji Yahaya Ismail, Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz, Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah, Haji Mohd Sayuti Omar, Haji Mohd Radzi Mustapha, Sdr Mohd Najib, Sdr Zakaria Bidin dan Sdr Sallehuddin yang sekaligus melahirkan keprihatinan dengan senario politik sekarang. Mungkin sahaja segelintir pimpinan UMNO masih merasakan mereka sama seperti sebelum 8 Mac 2008, hingga suara ‘itik serati’ mereka masih tak berubah bagi menyampaikan mesej yang ‘molok-molok’ kepada Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Segelintir pimpinan UMNO yang masih hurah hurah itu, memang tak menyedari banyak insiden antara 8 Mac 2008 hingga ke tarikh proklamir kabinet, ditambah lagi dengan dua Ahli Parlimen menolak jawatan ‘timbalan menteri’. Ketua Wanita UMNO Dato’ Seri Rafidah Aziz yang dalam proses untuk diundurkan bagai menyembunyikan ‘gunung berapi’ di dada apabila tampil di kaca TV hari ini (21 Mac 2008) menerusi warta berita jam 8.00 malam, dengan lebih banyak ‘berbahasa Inggeris’ daripada ‘berbahasa Melayu’. Natijahnya boleh sahaja diandaikan iaitu ‘Ketua Wanita UMNO’ perlu untuk melonjakkan wibawanya menerusi ‘bahasa Inggeris’, kerana pimpinan sebelumnya seperti Datin Putih Mariah, Ibu Khadijah Sidek, Tun Fatimah Hashim dan Tan Sri Aishah Ghani sentiasa ‘berbahasa Melayu’. Gerangannya!



Memang PRIMA banyak menerima maklumat, bagaimana pilunya Dato’ Seri Abdullah berikutan insiden 8 Mac 2008, apalagi dikatakan ketika menemui pimpinan veteran (bekas Timbalan Perdana Menteri) Tun Musa Hitam segala kesalahan diletakkan di pundaknya. Justeru mereka sekadar mahu meneruskan legasi pimpinan sebelum 8 Mac 2008 dengan mendambakan kehebatan, kelebatan dan kebebatan UMNO, seolah-olah Dato’ Seri Abdullah tak tahu dirinya berhadapan dengan ‘sokong membawa rebah’. Bagi mereka yang prihatin dengan nasib bangsanya amat bersetuju dengan pandangan veteran Exco Pemuda UMNO Dato’ Dr Noordin Selat (wawancara dengan wartawan Berita Harian, 20 Mac 2008) iaitu runtuhnya prestasi UMNO, kerana rakyat sudah meluat, menyampah dan menyumpah!

-Pak Dharma.


INFO HAK ASASI MANUSIA:


SELEPAS LEDAKAN 8 MAC
KU LI TOLAK JAWATAN PM



Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah sudah ditawarkan peluang memimpin negara selaku Perdana Menteri sebaik sahaja keputusan pilihanraya umum 8 Mac 2008 menampakkan kemusnahan prestasi UMNO, menurut jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz. Katanya, sekiranya Tengku Razaleigh tak memikirkan nasib akan menimpa negaranya dengan ‘menangguk di air keruh’, kedudukan 140-82 itu boleh mengangkat beliau ke jawatan Perdana Menteri. Sambil menempelak pimpinan UMNO yang cuba menyembunyikan kebobrokan itu, Dato’ Kamal Amir yang juga bekas Exco Pemuda UMNO sekitar dekad 1980-an mengingatkan ‘pelanduk’ yang belayar di atas kerak nasi bersama ‘bangau’, jangan memikirkan ‘kepintaran’ diri sendiri sahaja ketika bangau mempunyai ‘advantage’ untuk menyelamatkan diri.



Dato’ Kamal Amir mendedahkan satu sumber yang rapat dengan Tengku Razaleigh menyebut pimpinan Ahli Parlimen bukan Melayu sudah menemui beliau di kediamannya mendesak menerima tawaran membentuk kerajaan. Bagaimanapun kata sumber itu beritahu Dato’ Kamal Amir, Tengku Razaleigh berdiam diri dengan tak memberikan sebarang respons sekalipun beliau diminta memikirkan semula tawaran berkenaan. Sebaliknya jelas Dato’ Kamal Amir lagi, sumber berkenaan berkata Tengku Razaleigh memberitahu rakan-rakannya, beliau tak akan menjadi Perdana Menteri sekiranya sekadar sebagai ‘puppet’ kepada ‘bukan Melayu’. “Kedudukan 78 kerusi UMNO di Parlimen sudah cukup bagi beliau menjadi PM malam 8 Mac 2008 dengan mengenepikan sahaja partinya,” ujar Dato’ Kamal Amir.



JANGAN JADI BAHAN EJEKAN
MELESTARI PERPADUAN MELAYU



Pimpinan kanan PRIMA Haji Yahaya Ismail berasa ragu-ragu dengan persepakatan untuk menyatukan Melayu seperti diwar-war oleh media arus perdana hari ini (21 Mac 2008), kerana bimbang ianya akan menjadi bahan ejekan komuniti lain. Isu penyatuan Melayu sudah digembar-gemburkan selepas ‘Tragedi 13 Mei 1969’, diikuti dengan insiden 1987 seterusnya kemelut 1999, malah semuanya berakhir dengan ‘wal hasil balik hasal’, beritahu Haji Yahaya yang juga bekas pensyarah USM dan pengkritik sastera tersohor pada dekad 1960-an. Haji Yahaya yang terbabit mencetuskan ‘Front Bertindak Bahasa Melayu’ pada 1966 dan membangkitkan ‘Isu Melayu Pulau Pinang’ pada dekad 1970-an berkata, “Penyatuan Melayu bukan untuk propaganda, tetapi dilaksanakan secara terancang seperti pada 1946 ketika menentang Malayan Union.”



Ketika menghubungi sekretariat PRIMA pagi ini (20 Mac 2008), Haji Yahaya menarik perhatian pada 1996, apabila Tengku Razaleigh Hamzah membubarkan ‘Parti Melayu Semangat 46’ bagi mencapai pendekatan ‘penyatuan Melayu’, sebaliknya di sabotaj oleh mereka yang berkepentingan peribadi. Seterusnya jelas Haji Yahaya, pada 1973 Tan Sri Asri Haji Muda mampu melupakan perbezaan politik bagi membawa PAS menyertai kerajaan campuran bersama Parti Perikutan (kemudian diluaskan kepada BN), tetapi dikhianati oleh orang Melayu sendiri. “Justeru bagi mencapai penyatuan Melayu perlu dibersihkan segala saki baki yang menjadi pengkhianat bangsa iaitu mereka yang mementingkan diri sendiri dan survival politiknya,” beritahu Haji Yahaya.


KALAU TAK BERSETUJU PANDANGAN
SILA KEMUKA FORMULA YANG TERBAIK



Aktivis Melayu yang melihat usaha yang digerakkan bagi memulihkan ‘krisis keyakinan’ UMNO sebagai kurang berkesan, perlu mengemukakan formula yang lain bagi menangani kemelut sekarang, kata pakar kaunseling Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah ketika menghubungi sekretariat PRIMA pagi ini (20 Mac 2008). Mengulas kenyataan veteran UMNO Tan Sri Zaleha Ismail hari ini, Dato’ Dr Mohd Mansor yang juga bekas Timbalan Naib Canselor (HEP) UTM memberitahu, Tan Sri Zaleha perlu memberikan formula beliau apabila menganggap ada jalan lain selain kesanggupan Tengku Razaleigh menawarkan diri bagi memulihkan ‘krisis keyakinan’.


“Tan Sri Zaleha penaung satu badan NGO yang saya juga turut menjadi penasihat, justeru saya nasihatkan beliau kemukakan cadangan balas apabila menganggap perkara yang dicadangkan itu tak sesuai,” beritahu Dato’ Dr Mohd Mansor. Apabila menjadi pengkritik kata Dato’ Dr Mohd Mansor, janganlah cuba menghancurkan tetapi bersedia memberi cadangan balas yang lebih baik. Sebaliknya beliau memuji-muji bekas Setiausaha Agung UMNO Tan Sri Sabaruddin Chik yang sanggup mendengar pandangan pihak lain, ketika kedudukan UMNO dalam keadaan sukar. Seterusnya beliau juga turut mengingatkan pimpinan yang berlagak seperti ‘keldai’ masuk ke dalam kulit ‘harimau’, janganlah cuba menjerkah harimau sebenar.

Seterusnya beliau menambah, jangan pandang rendah keupayaan pihak lain seperti insiden sebelum 8 Mac 2008. Apabila pihak yang direndah-rendahkan sebelum ini mula menunjuk belang dengan menuntut jawatan penting di peringkat negeri, UMNO juga perlu memikirkan apabila kuasa ‘undi tak percaya’ boleh meranapkan terus ketuanan Melayu. Menurut Dato’ Dr Mansor tak mustahil sekiranya mereka mampu mengambil alih dominasi kuasa politik, parti-parti yang ditakrif bercorak kaum seperti UMNO, MCA dan MIC boleh dimusnahkan menerusi undang-undang. “Sebelum ini pun sudah ada suara yang mahukan parti-parti berasaskan kaum di hapuskan,” ujar Dato’ Dr Mohd Mansor.



INFO SASTERA & BUDAYA:



BUKU ‘100 TOKOH’ MALAYSIA
KU LI ARKITEK PENGGERAK EKONOMI


Bagi penganalisis politik sekitar dekad 1970-an, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah diberi jolokan sebagai ‘arkitek persahabatan Malaysia-Republik Rakyat China’, sempena kunjungan Tun Abdul Razak bagi menjalin hubungan diplomatik. Berikutan lawatan itu ianya mendorong kepada kejatuhan Parti Komunis Malaya (PKM) yang menjalankan gerakan militan di hutan. Sebelum kunjungan Tun Razak menemui Pengerusi Mao pada 1974, Tengku Razaleigh terlebih dahulu melawat RRC atas kapisiti Pengerusi PERNAS di samping menemui Perdana Menteri RRC ketika itu, Chao En Lai.


Kunjungan Tengku Razaleigh atau lebih sinonim dengan panggilan ‘Ku Li’ ke RRC memang bertujuan menjana pertumbuhan ekonomi Malaysia dengan membuka peluang pelaburan. Apalagi sebelumnya hubungan diplomatik dengan RRC tidak wujud akibat polisi yang berbeza, di samping pendekatan politik yang tidak seimbang. Ketika memimpin Bank Bumiputera, Ku Li juga menjemput Wong Am Pui dan Dato’ Khoo Kay Peng yang berpengalaman dalam perbankan bagi melatih kakitangan Melayu agar mahir menjana pengurusan bank. Beliau juga adalah pengasas ‘Petrolium Nasional Berhad’ (Petronas) sebagai industri petrolium di bawah pengawasan kerajaan.


Ku Li dilahirkan di kalangan kerabat diraja Kelantan pada 13 April 1937 adalah putera kepada Tengku Hamzah bin Tengku Zainal Abidin yang juga dikenali sebagai ‘Tengku Serimah’ (Tengku Seri Maharaja), Pemangku Menteri Besar Kelantan pra merdeka pada 1954-1955. Ku Li menerima pendidikan awal di Sekolah Melayu Gurung, seterusnya memasuki Kolej Sultan Ismail di Kota Bharu sebelum melanjutkan pengajian di Maktab Melayu Kuala Kangsar di Perak. Bagaimanapun cita-cita Ku Li mahu menjadi peguam setelah memasuki Lincoln Inn di London terjejas apabila ayahnya sakit pada dekad 1950-an. Beliau terpaksa balik bagi menguruskan perniagaan keluarga, tetapi kemudiannya berjaya memperoleh Ijazah Sarjana Muda dalam bidang ekonomi di Universiti Queen, Ireland pada 1959.



Apabila balik ke tanah air, Ku Li terbabit bersama UMNO pada 1962 dengan menjadi Ketua UMNO Bahagian Hulu Kelantan, di samping dilantik bagi jawatan Setiausaha Perhubungan UMNO Kelantan. Ku Li diminta oleh Tunku Abdul Rahman bertanding kerusi DUN di Kelantan pada pilihanraya 1969, sebagai strategi menawan kerajaan negeri yang didominasi oleh PAS sejak 1959. Ku Li bertanding di kerusi DUN Hulu Kelantan Barat, dan menang dengan memperoleh 4,061 undi menewaskan calon PAS, Hussin bin Abdullah (2,327 undi). ‘Parti Perikatan’ gagal menawan kerajaan negeri Kelantan, sekalipun mampu mengurangkan pengaruh PAS. (bersambung esok).

(Dipetik dari buku ‘100 Tokoh Malaysia’; Dharmala N.S./Dr Ammar Haji Hassan; Kantung Network Sdn Bhd, Kuala Lumpur; 2007. Harga RM50 senaskhah).



KOMENTAR
bersama Pak Parjo.



JANGAN ‘MENANGGUK DI AIR KERUH’
INGATAN KEPADA SEKALIAN ANAK MELAYU



Syahdan tersebutlah sekali persetua akan serikandi Melayu bernama Dato’ Seri Rafidah Aziz terlalu marah ketika menampakan dirinya di khalayak ramai hari ini 13 Rabiulawal 1429 (atau bagi anak cucu fakir 21 Mac 2008) menerusi warta berita TV jam 8.00 malam. Adapun serikandi Melayu itu kurang fahamlah fakir, kerana bercakap dalam bahasa yang fakir langsung tak mengerti (kononnya dikata orang banyak ialah Bahasa Inggeris). Wallahua’lam! Sebermula serikandi Melayu itu mengingatkan orang banyak janganlah menangguk di air keruh, kerana UMNO itu masih gagah perkasa untuk ianya melompat ke tengah gelanggang, sekalipun ramai hulubalang-hulubalang yang tewas dalam pertempuran pada 30 Safar 1429 (iaitu 8 Mac 2008), adanya!



Arakian akan Tun Fatimah anak Bendahara Seri Maharaja Tun Mutahir itu digelar orang banyak ‘serikandi Melayu’ kerana dialah yang berani melawan seldadu Feringgi bersama rakan-rakan sebayanya. Ramailah seldadu Feringgi itu dibunuh oleh Tun Fatimah setelah diperisteri oleh Sultan Mahmud, dengan membawa rakan-rakannya keluar di waktu malam dengan menyamar berpakaian lelaki. Syahdan Tun Fatimah itu bukanlah ‘menangguk di air keruh’, dan tidaklah ia bercakap berkobar-kobar di depan orang banyak, tetapi keluar bersama hulubalang-hulubalang Melayu melawan seldadu Feringgi yang menceroboh negeri Melaka, seperti yang disurat dalam ‘Kitab Melayu’ yang dibacakan kepada:




HIDUP BAHASA MELAYU!

No comments:

Post a Comment