Wednesday, March 26, 2008

JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)

(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)


DARI LAMAN BLOG

UMNO GHAIRAH MENGJEAR GLORI
TAK PRIHATIN SEJARAH PENUBUHAN

Assalamualaikum
Berbeza dengan program sehari bersama tokoh di Muzium Negeri Sembilan bulan lalu ketika saya diminta membicarakan sejarah Tuanku Tambusai, Dato’ Siamang Gagap dan Perang Bukit Putus, hari ini (26 Mac 2008) program berkenaan kurang diberi sambutan dengan perbincangannya ‘Batu Megalitik Di Negeri Sembilan’ bersama bekas Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia, Dato’ Dr Adi Haji Taha. Mungkin sahaja topik berkenaan kurang menarik minat orang ramai, sekalipun ianya berkaitan dengan tamadun bangsa Melayu dan sejarah pembangunan minda manusia. Tak sampai pun 30 orang peserta yang hadir, malah dua tiga orang sahaja yang mengambil bahagian membahaskan isu ‘Batu Megalitik Di Negeri Sembilan’ itu. Entahlah!

Muzium Negeri Sembilan juga menggerakkan ‘Program Titipan Zaaba 2008’ pada 29 Mac 2008 di Pekarangan Teratak Zaaba di Jempol dengan ‘pengkisahan Zaaba’ bersama Ketua Jabatan Kesusasteraan Melayu, Fakulti Bahasa, UPSI Dato’ Wira Dr Mohd Rosli Saludin dan Pengarah Penerbit, UPSI Profesor Dr Haji Buhari Lubis. Mungkin sahaja lokasi berkenaan jauh dari bandar Seremban, tetapi bagi mereka yang prihatin dengan sejarah bangsanya pasti berminat menyertai pengkisahan Zaaba (Tan Sri Pendeta Zainal Abidin Ahmad) yang dilahirkan di tapak (replika) teratak berkenaan pada 16 September 1895. Malah aktivis UMNO sekarang pun kurang peka dengan peranan Zaaba sepanjang November 1945 hingga 1 Mac 1946 yang menggerakkan Kongres Melayu Pertama.
Apalagi golongan muda UMNO sama ada Pemuda, Puteri mahupun Putera yang ghairah mengejar status dan glori, sekadar diberi kefahaman UMNO diasaskan oleh Dato’ Onn Jaafar. Begitulah! Mereka tak pernah peduli mengenai pembabitan Zaaba dua kali mengirim telegram kepada Dato’ Onn (ketika itu Pegawai Daerah Batu Pahat), di samping ke pejabat Setiausaha Jabatan Tanah Jajahan (Menteri Tanah Jajahan) British di London mempertikai kebiadapan Harold Mac Micahel memaksa raja-raja Melayu bagi menurunkan tanda tangan sepanjang November-Disember 1945. Apabila akhbar-akhbar Melayu memainkan isu berkenaan secara berterusan, barulah Dato’ Onn menghubungi Zaaba memberikan persetujuan menggerakkan Kongres Melayu Pertama.

Dengan pengaruh Dato’ Onn sebagai anak pembesar Johor, beliau menghubungi Dato’ Panglima Bukit Gantang (Haji Abdul Wahab Tok Muda Abdul Aziz) di Ipoh tokoh elit di Perak dan Tunku Abdul Rahman Putra (Pegawai Daerah Kulim), kerabat diraja Kedah bagi menggerakkan perpaduan Melayu dengan Zaaba dilantik sebagai pengerusi panatia kongres. Dato’ Onn sekadar mencadangkan nama kongres tersebut ditukar kepada Pertubuhan Melayu Bersatu (UMO), tetapi Zaaba mahukan ianya bersifat gerakan kebangsaan (bukan kenegerian) dengan menamakan ‘Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu’ (UMNO). Maknanya, nama UMNO itu lahir dari mulut Zaaba, bukan Dato’ Onn, Tunku, Tun Razak, tetapi Pemuda, Puteri mahupun Putera sekadar heh heh heh!

-Pak Dharma.


INFO HAK ASASI MANUSIA

PAK LAH SUKAR UNTUK PULIHKAN
‘KRISIS KEYAKINAN’ PALING BOBROK

Pakar kaunseling Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah merasakan Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi sukar memulihkan ‘krisis keyakinan’ yang dihadapi UMNO sekarang, berdasarkan Pulau Pinang negeri kelahirannya jatuh ke tangan lawan pada pilihanraya 8 Mac 2008 lalu. Justeru kata Dato’ Dr Moh Mansor sekalipun Dato’ Seri Abdullah melipat-gandakan usaha dengan pelbagai strategi, secara moraliti beliau sebagai pemimpin tetap tercalar, tercabar dan tercakar. Ketika menghubungi sekretariat PRIMA petang ini (26 Mac 2008), Dato’ Dr Mohd Mansor yang juga bekas Timbalan Naib Canselor (HEP) UTM berpendapat ‘krisis keyakinan’ UMNO sukar dibendung melainkan perubahan drastik perlu dibuat dalam pimpinan UMNO.

“Kalau enggan menerima hakikat, UMNO tak perlu memikirkan teori pandulum akan memberi kemenangan pada pilihanraya akan datang,” beritahu Dato’ Dr Mohd Mansor. Sambil merujuk kepada kenyataan Ketua Penerangan UMNO Tan Sri Muhammad Mohd Taib yang menyebut UMNO akan berhadapan dengan ‘mala petaka’ sekiranya pemilihan dibuat tahun ini, Dato’ Dr Mohd Mansor menyifatkan ianya sebagai ‘membuaikan’ Dato’ Seri Abdullah dalam mimpi yang ‘molok-molok’. Menurutnya lagi, Tan Sri Muhammad perlu bersikap seperti Allahyarham Tan Sri Jaafar Albar ketika memegang jawatan Ketua Penerangan UMNO yang berani mengkritik pimpinan untuk menyelamatkan kepentingan UMNO khususnya dan orang Melayu amnya. “Apalah gunanya bermegah dengan status, kalau jadi Pak Kadok ayam menang kampung tergadai,” katanya menambah.

PIMPINAN UMNO TAK SINAMBUNG
PAK LAH, NAJIB TAK BERPENGGANTI
Pimpinan UMNO sekarang berhadapan dengan fenomena tiada pengganti bagi kesinambungan kepimpinan, menyebabkan krisis Menteri Besar Terangganu tak mampu ditangani secara berkesan, beritahu aktivis masyarakat di Temerloh, Pahangan Sdr L. Mankadir Shamsi. Ketika menghubungi sekretariat PRIMA petang ini (26 Mac 2008) menerusi SMS, Sdr Mankadir berkata, bagaimana Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu memimpin negara sedangkan negerinya sendiri Pulau Pinang terlucut ke tangan parti lawan. Seterusnya beliau menambah, UMNO juga tak boleg bergantung kepada Dato’ Seri Najib kerana kemenangannya bukan menerusi sokongan penduduk tempatan, sebaliknya dibantu oleh lebih 20,000 undi yang didaftarkan dari luar. “Najib sekadar senyum dalam tangisan, tetapi berapa lama nak mampu bertahan,” jelas Mankadir.

Mankadir juga tak percaya Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah mampu memulihkan ‘krisis keyakinan’ UMNO sekarang berdasarkan pengaruh beliau yang terhad. Mustahil bagi Tengku Razaleigh untuk memulihkan negara, ketika negeri Kelantan tak berupaya UMNO mahu menawannya. Apalagi Naib Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan isu pengorekan pasir di perairan Johor oleh Singapura ketika menjadi Menteri Besar Johor, turut menyumbang kepada kebobrokan UMNO yang berterusan, ujar Mankadir lagi. Justeru katanya, UMNO yang berhadapan dengan fenomena tak memiliki pemimpin bagi meneruskan kesinambungan, ditambah lagi dengan kekalahan lima negeri termasuk satu Wilayah Persekutuan seharusnya sedar rakyat semakin meluat, menyampah dan menyumpah dengan kerenah mereka, katanya.

Menyentuh isu pelantikan Menteri Besar Terengganu yang menerima watikah dari Majlis Pemangku Raja Terengganu, Dato’ Ahmad Said katanya, kesombongan UMNO yang menganggap mereka sahaja berpengalaman mentadbir negeri sudah terjawab. Lima negeri yang dikuasai parti lawan, tak menghadapi masalah melantik Menteri Besar dan Ketua Menteri sekalipun tak berbangga dengan konsep ‘kongsi kuasa’, tetapi UMNO di Terengganu seolah-olah ‘kata parang paku serpih’, menurut Mankadir selanjutnya. “UMNO di Terengganu seharusnya menjadikan Kelantan dan Tuan Guru Dato’ Nik Aziz sebagai model memimpin kerajaan negeri, bukannya menjadikan Terengganu sebagai model untuk mentadbir Kelantan,” beliau menambah.


INFO SASTERA & BUDAYA

SOKONG PIMPINAN GAPENA DIROMBAK
TEMPOH LAMA TERLALU MEMBOSANKAN
Penulis bebas Sdr Zainal Abidin Rasidin menyokong saranan pengkritik sastera tersohor dekad 1960-an, Haji Yahaya Ismail supaya pimpinan Gabungan Penulisan Nasional (Gapena) dirombak. Beliau yang pernah menjadi aktivis Angkatan Penulis Kreatif Kuala Lumpur (AKTIF) iaitu salah sebuah persatuan kerabat Gapena merasakan pimpinan yang terlalu lama adalah membosankan. Merujuk kepada pimpinan Profesor Emeritus Tan Sr Ismail Hussein yang memimpin Gapena sejak ditubuhkan pada awal dekad 1970-an, Sdr Zainal Abidin berkata, “Gapena bukan sahaja membiarkan ‘Bahasa Melayu’ menjadi ‘Bahasa Malaysia’ seperti diluluskan oleh kabinet, malah di sekolah-sekolah pengajaran mata pelajaran sastera sekadar memenuhi silibas sahaja,” katanya.

Menurut Sdr Zainal yang turut menghadiri aktiviti sastera di Kuantan anjuran Gapena baru-baru ini, tak memperlihatkan ciri-ciri perjuangan Bahasa Melayu yang cemerlang, sebaliknya lebih menjurus kepada pesta-pestaan yang gemilang. Justeru, beliau meminta setiap badan kerabat Gapena membebaskan diri daripada perhambaan minda merombak pimpinan yang terlalu lama mengukuhkan hegemoni kuasanya ke atas organisasi massa (ormas) itu. Sebelum ini pengkritik sastera Haji Yahaya Ismail dan Timbalan Ketua Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP) Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah secara terbuka mahukan pimpinan Gapena dirombak. “Apabila pimpinan terlalu lama di tangan seseorang individu, ianya lebih banyak buruk dan kebaikan,” kata Sdr Zainal.

KOMENTAR
bersama Pak Parjo

200 RIBU HADIR MAJLIS KESYUKURAN
MENYAMBUT DUA ORANG MEMANDA MENTERI

Kata sahibul hikayat diberitahu kepada fakir akan perhimpunan di negeri Melayu bernama Kelantan baru-baru ini (tak pula diberitahu akan tarikhnya) dihadiri dua orang memanda menteri, seorang memanda menteri dari Kedah dan seorang lagi memanda menteri dari Kelantan. Gerangannya majlis kesyukuran kerana kemenangan pemilihan orang-orang besar, adanya. Adapun memanda menteri Tuan Guru Dato’ Nik Aziz itu sudah lamalah berada di atas kerajaannya, sementara memanda menteri Azizan Razak barulah sahaja ia menduduki kerajaan di negeri Kedah itu. Maka orang besar yang dipilih ‘Tok Him Adi Jagat’ terkejutnya ia melihat rakyat tak terpemenai banyaknya menghadiri majlis kesyukuran itu, kerana tak pernahlah sebelumnya akan ‘Tok Him Adi Jagat’ dalam majlis yang dihadiri terlalu banyak rakyat jelata tak terpemenai begitu, adanya.

Arakian maka tersebutlah perkataan raja Pasai, Sultan Zainal Abidin namanya larilah menumpang balok orang ke Melaka, setelah segala orang Pasai menderhaka menolong adiknya merebut kerajaan baginda. Apabila sampai di Melaka, maka oleh Sultan Mansor Shah dititahkan Bendahara Paduka Raja merajakan semula Sultan Zainal Abidin dengan membawa ramai bala tentera tak terpemenai banyaknya. Maka kata bendahara kepada orang kaya-kaya itu, “Adapun kita ini akan pergi berperang, baiklah kita makan sedaun.” Maka oleh bendahara disuruhnya bentang kajang di pantai itu; di atas kajang itulah dihampari daun. Lalu dibubuh nasi, maka makanlah bendahara dengan segala orang kaya-kaya dan hulubalang dengan segala rakyat hina dina sekaliannya sedaun, menyebab mereka bersatu hati melawan musuh disebut orang dalam ‘Kitab Melayu’ kepada:










HIDUP BAHASA MELAYU!

No comments:

Post a Comment