Sunday, March 30, 2008

JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)

(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)




DARI LAMAN BLOG:



PERIHAL WARGA EMAS PRIMA
KEMBALI KEPADA NILAI KAMPUNG



Assalamualaikum,


Disebabkan anak bongsu saya dalam Tingkatan 3 menyertai latihan sukan di sekolah pagi ini (30 Mac 2008), terpaksalah batalkan untuk balik ke Bagan Datoh di Perak. Lagi pun bukanlah mustahak sangat, sekadar mahu melihat lembu peliharaan yang dipawah kepada adik ipar saya. Bagaimanapun tak sama dengan aktivis teater Sdr L. Mankadir Shamsi yang menjadikan ternakan lembu sebagai perusahaan utama, apabila beliau menetap di kampung setelah mencapai status ‘warga emas’. Tak hairanlah Sdr Mankadir begitu sinonim dengan sajaknya ‘Lembu Tua’ yang sering dideklamasikan, akibat lembu-lembunya yang ditindik hidung mudah sangat diheret ke mana sahaja. Bahkan kata Sdr Mankadir, apabila diheret ke lokasi penyembelihan pun tak pernah lembu-lembu ternak berkenaan membantah. Begitulah!

Berbeza dengan pakar kaunseling Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah, dalam masa mencapai status warga emas sekarang, sering sahaja berulang alik ke Pekan di Pahang apabila mengusahakan tanaman herba di lokasi tanahnya lebih kurang seluas 4 hektar. Dato’ Dr Mohd Mansor yang juga ialah Presiden Kaunseling Malaysia di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat memilih perusahaan tanaman herba setelah menerima pandangan individu yang berpengalaman dalam perusahaan herba. Sebagai aktivis karya kreatif, Dato’ Dr Mohd Mansor juga tak pernah kering idea untuk menulis puisi, justeru akan membacakan sajak-sajak baru apabila mendeklamasi puisi sebagai manifestasi penyair terhadap alamnya.


Pimpinan kanan PRIMA Haji Yahaya Ismail tak pula balik ke kampung halamannya di Parit Buntar, Perak dalam melestarikan status ‘warga emas’nya. Sebaliknya beliau memilih perkampungan di Hulu Selangor mengusahakan tanaman sayur-sayuran di lokasi tanah seluah 10 hektar, bersama anaknya graduan dari luar negeri yang enggan ‘makan gaji’. Barangkali! Ironinya, Haji Yahaya terlalu sukar memohon tanah kerajaan di negeri Selangor bagi melaksanakan perusahaan pertanian (sebelum pimpinan negara di bawah Perdana Menteri, Dato’ Abdullah Ahmad Badawi memberi keutamaan mengkomersial sektor pertanian), justeru terpaksa menyewa tanah daripada individu di Hulu Selangor. Apa yang dialami oleh Haji Yahaya seakan-akan sama dengan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee apabila gagal memohon pinjaman MARA untuk heh heh heh!


Penyair Yassinsalleh yang sinonim dengan sajak ‘Ikan-Ikan Di Kaca’ satu ketika dulu, khabarnya mencari jatidiri di kampung juga apabila mencapai status ‘warga emas’, tak hairanlah puisi-puisi yang di SMSkan kepada saya juga begitu condong menyayangi sumber perkampungan. Misalnya sajak ‘Gurindam 10 Budak Hitam Putrajaya’ sering dideklamasikan sebelum pilihanraya 8 Mac 2008, termasuk juga di laman rumah PENA di Kuala Lumpur. Jurucakap PRIMA, Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz juga turut mencari jatidiri di kampungnya di Manjong di Perak menerusi puisi-puisi yang dihasilkannya, sekalipun kesibukan habiskan masa di padang golf (atau di Indonesia disebut ‘golof’).



-Pak Dharma.


INFO HAK ASASI MANUSIA:
UCAPTAMA TUN DR M, DR KHIR TOYO
PERJUMPAAN BLOGGER DI PETALING JAYA


Pengendali laman blog dan laman web menganjurkan perjumpaan dengan pimpinan Melayu, sebelum Menteri Penerangan Dato’ Ahmad Shabery Cheek sempat menemui kalangan media alternatif yang diwar-warkan sebelum ini. Perjumpaan tersebut diadakan di Hotel Singgahsana, Petaling Jaya pada 1 April 2008 ini sebagai manifestasi mengenai keprihatinan bangsa Melayu terhadap kebobrokan dalam kepimpinan sekarang, menurut panatianya Sdr Sallehuddin. Inisiatif yang diambil oleh Sdr Sallehuddin menganjurkan perjumpaan tersebut, berikutan pertemuan tak rasmi pengendali laman blog dengan bekas Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Dr Mohd Khir Toyo baru-baru ini, berkaitan rasa bimbang komuniti Melayu dengan senario politik sekarang.



Dalam jemputan pihak panatia kepada kalangan aktivis masyarakat menerusi SMS hari ini (30 Mac 2008), bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, bekas Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Mohd Khir Toyo dan Ahli Parlimen Jerlun Dato’ Mokhriz Mahathir sudah memberi persetujuan bagi menyampaikan ucaptama. Sekalipun Sdr Sallehuddin tak memberikan butir-butir lanjut, tetapi bagi mereka yang berminat untuk menyertai perjumpaan berkenaan adalah dialu-alukan. Justeru mereka yang peka dengan permasalahan negara sekarang bolehlah menghubungi Sdr Sallehuddin menerusi h/p 013-3022627 bagi mendapatkan keterangan lanjut. Dengan ini PRIMA meminta para aktivis ke majlis perjumpaan tersebut, dengan menghubungi Sdr Sallehuddin.




KELANTANGAN SUARA TUN DR M
APABILA PIMPINAN MUDA BERDIAM DIRI

Kelantangan suara bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad meminta kuota pencalonan bagi bertanding jawatan Presiden UMNO dihapuskan seperti dilaporkan media hari ini (30 Mac 2008), disebabkan pimpinan muda UMNO hanya mampu berdiam diri, beritahu bekas Exco Pemuda UMNO Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz. Katanya, memang peruntukan tersebut dibuat ketika Tun Dr M menjadi Presiden UMNO, tetapi beliau sudah mengakui akan kesilapan tersebut, malah meminta maaf sekiranya langkah tersebut memberi masalah kepada UMNO. Dato’ Kamal Amir yang juga Jurucakap PRIMA turut menjelaskan dalam pertemuan PRIMA dengan Tun Dr M pada 15 Ogos 2007, beliau meminta maaf sekiranya langkah tersebut menjadi satu kesilapan kepadanya.


“Malah Tun Dr M turut meminta maaf kepada ahli-ahli UMNO sekiranya beliau membuat pilihan yang salah apabila melantik Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi selaku timbalannya ketika itu,” beritahu Dato’ Kamal Amir setelah beberapa pihak menyalahkan beliau (Tun Dr M) yang melantik Dato’ Seri Abdullah selaku timbalannya. Menurut Dato’ Kamal Amir ketika pertemuan di bangunan Yayasan Kepimpinan Perdana, Tun Dr M memberitahu beliau sudah memilih semua timbalannya berdasarkan kehendak ahli-ahli UMNO ketika, justeru beliau tak sedar sama ada pelantikan tersebut satu kesilapan atau sebaliknya. “Sebab itu Tun Dr M memberitahu PRIMA, beliau meminta maaf kalau langkah tersebut menjadi satu kesalahan,” ujar Dato’ Kamal Amir lagi.




INFO SASTERA & BUDAYA:


PRIMA TURUT AMBIL BORANG
CALONKAN PENERIMA ‘SEA WRITES’

Aktivis PRIMA Sdr Zainal Abidin Rasidin memberitahu beliau sudah mengambil borang pencalonan bagi ‘Anugerah Sea Writes’ di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), bagi membantu panel penilai di sekretariat terbabit yang kurang menggunakan teropong sastera yang telus. Menurut Sdr Zainal Abidin yang juga Presiden Penaja Pemandu-pemandu Teksi Islam Lembah Kelang yang juga bekas wartawan, pihaknya sekadar mahu membuat pencalonan sahaja, kerana pihak panel sudah mempunyai calonnya mengikut teropong sasteranya sendiri. “Penilaian yang dibuat sama juga macam isu pilihanraya yang berliku-liku, bersiku-siku dan berpenjuru-penjuru, justeru pihak PRIMA sekadar hantarkan calonnya sahaja,” beritahu Sdr Zainal Abidin.


Seterusnya kata Sdr Zainal Abidin, penggiat sastera perlu bangkit mempersoal wibawa panel berkenaan, kerana penilaian seni terlalu subjektif bentuknya. Beliau mengambil contoh novel ‘Salina’ A Samad Said yang hanya diiktiraf sebagai pemenang sagu hati sempena kemerdekaan, sebaliknya diangkat sebagai karya sastera Melayu pertama bertaraf antarabangsa. Begitu juga dengan lagu ‘Bahtera Merdeka’ yang dicipta Kassim Masdor sekadar menduduki tempat ketiga pertandingan lagu-lagu patriotik sempena merdeka pada dekad 1950-an, tetapi menjadi lagu popular dan digemari ramai berbanding lagu yang mendapat tempat pertama dan kedua iaitu ‘Nusa Jaya’ dan ‘Putera Puteri’. “Panel penilai di sekretariat di DBP juga sama seperti kisah orang buta dengan gajah dalam membuat penilaian bagi anugerah beprestij itu,” menurut Sdr Zainal Abidin.


Menyentuh sikap arogan panel penilai dalam Anugerah Sasterawan Negara juga turut dipersoal oleh Sdr Zainal Abidin, kerana katanya lebih cenderung kepada kalangan yang rapat dengan mereka. Kalau berdasarkan mutu karya ujar Sdr Zainal Abidin, apakah karya-karya yang menang dalam sayembara di peringkat nasional kurang bermutu. Malah kata Sdr Zainal Abidin lagi, Khadijah Hashim dan Dr Fatimah Busu antara penulis yang sering memenangi hadiah sayembara mengarang, tetapi pihak panel penilai seolah-olah ‘berasa kekok’ memilih pengarang wanita untuk Anugerah Sasterawan Negara. Justeru beliau menambah, pihak DBP berasa malulah kerana karya-karya Shahnon Ahmad dan Tok Awang Ngah tersenarai di perpustakaan Universiti Ohio, di Amerika Syarikat.

JANGAN BIAR RAKYAT BERGURINDAM
PAK LAH TAK PERLU TERUS DIBUAI MIMPI


Majoriti rakyat terus meluahkan rasa meluat menerusi SMS dan pelbagai pendekatan bagi menyampaikan mesej kepada pimpinan negara di bawah Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi. Ketika menghubungi sekretariat PRIMA, penyair Yassinsalleh memberitahu banyak ‘gurindam’ dihasilkan oleh para karyawan sebagai manifestasi kepada rasa kurang senang terhadap pimpinan negara, malah sebahagiannya menuntut supaya Dato’ Seri Abdullah berundur. Justeru katanya, Dato’ Seri Abdullah tak perlu dibuai mimpi, menerusi pujian ‘molok-molok’ dari orang-orang keliling. “Contohilah pimpinan negara di masa lalu seperti Tunku Abdul Rahman, Tun Hussein Onn dan Tun Dr Mahathir Mohamad yang berundur apabila rakyat menyampaikan mesej yang jelas sejelas-jelasnya,” beritahunya di samping melampirkan ‘gurindam’ yang disampaikan kepadanya oleh orang ramai:


Gurindam Si Dol

Hatiku kecewa tiada dapat berkata
rakyat mengata nista
raja murka segala
hatiku berduka,
setiap ku kata semuanya salah belaka
dek angkara menantu, aku dibenci begitu
ku harap Islam Hadhari di Terengganu bestari
tapi aduh duh duh,
si dia tak lagi jadi MB
menantu oh menantu
engkau punya pasallah semua tu
anak oh anak apa salah kau bersuami
isteri oh isteri yang dicintai
bukankah elok kita berundur diri
sebelum lina tidur berdiri!

KOMENTAR
bersama Pak Parjo


IBU MALANG DIRUNDUNG MUSIBAH
SEKADAR PASRAH DENGAN KEJADIAN

Sekali persetua tersebutlah ibu malang di negeri Melayu iaitu Perlis Indera Kayangan bernama Norlaila Bahari berusia 51 tahun, dirundung musibah kerana tak diketahui siapa membunuh anaknya Allahyarhamah Noritta Shamsuddin, lima tahun yang lalu. Dalam laporan para penyurat hari ini, 22 Rabiulawal 1429 (atau kata anak cucu fakir ialah 30 Mac 2008), si ibu malang itu bertambahlah malang kerana tiadalah keputusan siapakah pembunuh anaknya itu. Malah suaminya Allahyarham Shamsuddin Ahmad sudahlah juga meninggal dunia dengan menanggung kesedihan berikutan kejadian yang menimpa anak gadisnya itu, dibunuh orang tak berperi kemanusiaan. Arakian kejadian yang menimpa anaknya seakan-akan terlalu berserabut seperti yang menimpa Allahyarham Mustakizah suatu ketika dahulu, adanya.

Syahdan terlalu masyghol Sang Rajuna Tapa, kerana pangkat dan darjat yang dikurnia raja sebagai bendahari, tak dihiraukan oleh Sultan Iskandar yang memerintah Singapura. Adapun Sang Rajuna Tapa itu anaknya bernama Dang Anom telah dijadikan gundek oleh raja Singapura, sekalipun gadis malang itu sudah bertunang dengan salah seorang dato’ panglima yang juga orang besar istana. Maka dilihat oleh pegawai-pegawai istana dato’ panglima itu berdua-duaan dengan Dang Anom, lalu ditangkap kerana dituduh bermukah. Arakian Dang Anom anak bendahari itu dihukum sula oleh Sultan Iskandar bersama dengan dato’ panglima kerana dituduh bermukah. Maka matilah keduanya, tetapi Sang Rajuna Tapa dibukanya pintu kota hingga perajurit-perajurit Majapahit masuk menyerang Singapura, dan alahlah negeri itu seperti disebut dalam ‘Kitab Melayu’ kata:

HIDUP BAHASA MELAYU!

No comments:

Post a Comment