Tuesday, April 8, 2008

JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)

(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG


IDEA PENULIS TERUS BERKEMBANG
TENGAH MALAM SMS MASIH BERFUNGSI

Assalamualaikum,
Memang PRIMA disertai ramai penulis-penulis sebagai aktivis, sekalipun ianya bukan badan penulis. Majoriti yang terbabit dalam PRIMA pula kalangan ‘warga emas’ seperti disebut oleh Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah (bekas Timbalan Naib Canselor HEP, UTM): “Kalau dibawa ke medan perang pun, dah tak larat memikul senjata’! Tetapi kebangkitan PRIMA apabila kabinet pada 2006 memproklamir ‘Bahasa Malaysia’ ialah bahasa rasmi, bukannya ‘Bahasa Melayu’ – justeru ianya tak boleh dikompromi lagi. PRIMA tetap berpegang kepada bahasa rasmi ialah ‘Bahasa Melayu’, di samping ‘bangsa Melayu’ ialah warganegara yang ditakrif sebagai ‘bumiputera’, sama ada secara langsung mahupun tak langsung. Begitulah!

Petang semalam (7 April 2008), Setiausaha Agung Persatuan Peguam Muslim, Sdr Haji Mohd Radzi Mustapha mengirim SMS bertanyakan khabar, diikuti oleh Sdr Zakaria Bidin beritahu mengenai berpulangnya ke rahmatullah penulis yang juga peguam Sdr Rosli Osman. Al-Fatihah! Penyair Yassinsalleh pula, akan menghantar SMS asal sahaja ideanya makin berkembang sama ada berkaitan gurindam, puisi mahupun isu semasa sekalipun sudah menjelang ‘dinihari’. (Mujurlah di Kuala Lumpur, kalau di kampungnya di Karak, Pahang atau Kubu Gajah di Pelangai,mungkin sahaja boleh kedengaran kokok ayam sahut bersahut). Sebelumnya Haji Abu Bakar Ninggal pula mengirim SMS sebagai sumber berita kepada PRIMA. Alhamdullillah!

Hari ini (8 April 2008) Pengerusi Tetap Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Gombak, Hajjah Fauziah Raof beritahu masalah kesihatan berikutan sudah berstatus ‘warga emas’. Kata Hajjah Fauziah kalau generasi muda mahu menghayati perjuangan UMNO secara ikhlas, bukan mengejar kepentingan peribadi, generasi ‘warga emas’ bolehlah releks. Memang perjuangan secara ikhlas sukar diukur secara fizikal, malah di kalangan bukan UMNO juga generasi muda mengejar status YB atau lain-lain yang setara dengan tender, kontrak mahupun jawatan pengerusi agensi-agensi. Begitulah luahan hati rakan-rakan penulis setelah menempuh status ‘warga emas’, apalagi menyentuh pembabitan generasi muda dalam gerakan politik. Aduhai!
Pengarang ‘Buletin Rakyat’ Puan Norzah Haji Kepol pula mengirim SMS beritahu Menteri Besar Pahang, Dato’ Seri Adnan Yaakob merungut berkaitan buku ‘100 TOKOH MALAYASIA’ yang membabitkan segmennya dikira salah fakta. Disebabkan salah fakta itu, beliau enggan untuk membeli buku berkenaan. Memang sebelumnya rakan-rakan sudah mengingatkan buku ‘100 Tokoh’ tak relevan memuatkan Menteri Besar sekarang, disebabkan mereka bukan ‘tokoh sebenar-benar tokoh’, sebaliknya sekadar sinambung daripada ‘tokoh-tokoh’ sebelumnya. Bagaimanapun saya menyedari Puan Norzah adalah penulis yang gigih, di samping sukar menyerah kalah dalam memasarkan buku-buku yang pernah dihasilkannya. Heh heh heh!

-Pak Dharma.

INFO HAK ASASI MANUSIA

PERLEKEH PIMPINAN KU LI
KERANA TAK CERMIN DIRI SENDIRI

Kalangan pimpinan sekarang yang memperlekeh pimpinan Tengku Razaleigh Hamzah dianggap tak mencermin diri sendiri, apabila keupayaan beliau melestarikan kedaulatan bangsa Melayu. Beberapa pihak yang menghubungi sekretariat PRIMA juga melahirkan rasa kecewa terhadap pandangan berat sebelah kepada pimpinan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad; apalagi pimpinan pembangkang yang mengaku teraniaya di bawah gerakan ‘Operasi Lalang’ pada 1987. Penyair Yassinsalleh ketika dihubungi oleh veteran UMNO dari Perak mengakui, pejuang-pejuang di peringkat akar umbi sekitar dekad 1960-an, 1970-an dan 1980-an mengakui, Ku Li lebih layak memimpin negara dibandingkan pimpinan generasi muda. “Mereka meminta sesiapa yang perlekehkan Tun Dr M dan Ku Li cermin diri sendiri terlebih dulu,” beritahu beliau.
Pekebun kecil dari Jelebu, Sdr Roseli Deraus pula memberitahu, ketika Tun Dr M mentadbir negara apabila beliau umumkan projek-projek mega sama ada KLIA, KLCC, PWTC, Putrajaya mahupun lebuhraya, semuanya menjadi kenyataan. Sebaliknya koridor pembangunan ekonomi disetiap wilayah yang digembar-gemburkan masih tak kelihatan, malah rakyat di peringkat bawahan diselubungi kegelapan, katanya. Beliau juga tak menafikan Ku Li banyak memperkenalkan pembangunan ekonomi kepada rakyat di peringkat bawahan termasuk Amanah Saham Nasional (ASN) dan Amanah Saham Bumiputera (ASB). “Ku Li memang layak memimpin negara, tetapi peluang tak menyebelahi beliau,” beritahu Sdr Roseli yang pernah terbabit sebagai aktivis S46 sebelum ini.

INFO SASTERA & BUDAYA

PERSATUAN INDUSTRI BUKU MALAYSIA
SEDIAKAN ANUGERAH KEPADA PENULIS

Persatuan Industri Buku Malaysia merancang memberi anugerah besar kepada penulis dijangka Ogos 2008 ini, sekalipun para peringkat awal dirancang pada Disember 2008. Langkah mempercepatkan anugerah tersebut disebabkan penilaian kepada tokoh-tokoh yang dijangka layak menerima anugerah boleh dilakukan dalam tempoh tersebut, dengan tak perlu menunggu sehingga Disember 2008. Presidennya, Haji Hassan Hamzah turut mengakui anugerah berkenaan tak sama dengan ‘Anugerah Sasterawan Negara’ yang disampaikan oleh DYMM Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong, tetapi setanding dengan ‘Oscar Academy Award’ bagi mengangkat martabat karyawan filem Hollywood.

Menurut Haji Hassan lagi, perancangan bagi mewujudkan anugerah penulis memang sudah digerakkan oleh Persatuan Industri Buku Malaysia, apabila berhasil melaksanakan ‘Pesta Buku Antarabangsa’ di PWTC awal April 2008 ini. Beliau seterusnya mengakui, anugerah yang dirancang oleh persatuan industri buku bersempena dengan ‘Ekspo Buku’ yang akan digerakkan pada Ogos 2008. ‘Ekspo Buku Malaysia’ tak akan bermakna kalau sekadar berbentuk pameran dengan menyediakan gerai-gerai mempromosi buku sahaja dengan tak mengangkat martabat penulis sebagai karyawan terpenting. “Sekurang-kurang 25 kategori penulis sesuai diberikan anugerah selaras dengan sumbangan mereka kepada industri buku di Malaysia,” beritahu Haji Hassan selanjutnya.

KOMENTAR
bersama Pak Parjo

PERHIMPUNAN MASIH JAUH
TERLALU AWAL TOK ALI UMUM


Sebermula ketika menghadiri satu majlis di Melaka hari ini (1 Rabiulakhir 1429, atau pada perkiraan anak cucu fakir 8 April 2008 akan memanda Ketua Menteri Melaka Dato’ Mohd Ali Rustam mengakui akan mempertahan jawatan tertinggi UMNO (kalau tak salah fakir tentulah Naib Presiden UMNO), sekalipun Perhimpunan Agung UMNO itu masih jauh lagi gerangannya. Arakian terlalu awal sangat memanda Ketua Menteri itu membuat pengumuman, sebelum segala anak-anak buah bermuafakat melantik ketua-ketua di kampung, di mukim, di tanah-tanah jajahan takluk sekaliannya. Maka menjadi masyghollah segala anak-anak buah disebabkan memanda cepat sangat membuat pemasyhoran, seolah-olah berlaku seperti kata orang tua: ‘Kalau tak ada berada, masakan tempua bersarang rendah’.

Syahdan tersebutlah Seri Nara Diraja Tun Ali terlalu berkuasa di Melaka seakan-akan ialah bendahara, menyebabkan masyghollah Sultan Muzaffar Shah akan keadaan dalam negeri Melaka, adanya. Seri Nara Diraja Tun Ali itu bapa saudara baginda, lagi yang membantunya menaiki takhta mengalahkan paduka adinda Sultan Abu Syahid. Adapun Seri Nara Diraja Tun Ali tahulah ia akan Sultan Muzaffar Shah itu terhutang budi kepada dirinya, maka selalu sembahnya dituruti baginda. Syahdan setelah berfikir baginda untuk mengurangkan kuasa Seri Nara Diraja Tun Ali, diceraikan baginda isterinya Tun Kudu kerana hendak diperisteri oleh Seri Nara Diraja Tun Ali. Maka adik Tun Kudu bernama Tun Perak itulah dijadikan bendahara bergelar Paduka Raja menggantikan ayahnya yang sudah mati iaitu Bendahara Seri Wak Raja, menyebabkan terlalu awal Seri Nara Diraja Tun Ali memperakui Tun Perak menjadi bendahara seperti disebut dalam ‘Kitab Melayu’ menerusi:

HIDUP BAHASA MELAYU!

1 comment:

  1. MELAYU MUDAH LUPA - ANTOLOGI PUISI

    7 April 2008 - Penulis telah dihubungi oleh pihak akhbar Siasah bertanyakan di mana boleh dapat antologi MELAYU MUDAH LUPA seperti ulasan saya dalam akhbar Siasah 6 - 12 April, bilangan 0092. Khabarnya ada banyak orang bertanya di mana boleh dapat buku berkenaan. Penulis membelinya di sebuah kedai menjual akhbar di Alor Setar beberapa minggu sebelum tibanya tarikh Pilihanraya Umum Ke-12 lalu.

    Nombor telefonnya tidak terdapat pada naskhah kecuali alamat e-mail : pjbc_kj@yahoo.com

    Alamat penerbitnya : Putrajaya Bumi Communications Sdn Bhd, 210-Block D Aras 2, Kelana Business Centre, Jalan 7/26, Kelana Jaya, Selangor Darul Ehsan.

    Penulis pada hari yang sama juga menghubungi seorang sahabat yang ketika itu berada di Kuala Lumpur. Beliau memaklumkan bahawa Ketua Satu Angkatan Sasterawan Nasional Negeri Kedah (ASASI), Sdr. Shaidun Hj Shaari bermaksud meletakkan jawatan kerana tidak sehaluan dengan Exco Kerajaan Negeri Kedah yang kini dikuasai oleh PAS. Beliau khabarnya adalah salah seorang Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Alor Setar. Penulis fikir-fikir tidak menjadi kesalahan jika beliau terus menerjui ASASI kerana organisasi penulis tersebut bukan diwujudkan oleh UMNO atau mana-mana organisasi politik yang sah. Manakala ahli-ahlinya juga menganut ideologi politik yang berbagai. SN Shahnon Ahmad adalah Ketua Satu yang pertama dan pengasasnya itu pernah jadi Ahli Parlimen atas tiket PAS. Manakala novelis tersohor, Azizi Haji Abdullah pernah bertanding pilihanraya atas tiket PAS kemudian pernah jadi Penasihat ASASI.

    Entahlah. Malas penulis nak fikir panjang-panjang berkenaan perkara ini.

    Bagimanapun penulis berpendapat sangat elok jika ada pihak-pihak tertentu mengambil inisiatif mengadakan acara baca puisi MELAYU MUDAH LUPA yang bakal dipenuhi oleh penyampaian/deklamasi sajak-sajak yang termuat dalam antologi ini yang berjumlah 75 buah semuanya itu.

    ReplyDelete