Friday, April 11, 2008

JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)

(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG:



SETENGAH JAM BERBALAS SMS
APABILA PAK MANSAL VS PAK DHARMA



Assalamualaikum,



Seakan-akan lucu pula apabila selepas solat subuh berbalas-balas SMS dengan Penasihat ProWaris Haji Mansor Ahmad hampir setengah jam hari ini (10 April 2008). Apalagi Haji Mansor atau Pak Mansal tak berapa ingat sama ada pernah bertemu atau tidak dengan saya, kerana perbincangan mengenai isu ‘Wilayah Pembangunan Iskandar’ (WPI) di Kampung Baru tak lama dulu, saya lebih banyak berdiam diri berbanding dengan Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz. Memang dalam beberapa perjumpaan pimpinan PRIMA memberi ruang kepada Dato’ Kamal Amir bersuara atas kapisiti Jurucakap PRIMA. Justeru Pak Mansal lebih mengenali Dato’ Kamal Amir dalam isu diperjuangkan oleh PRIMA. Begitulah!



Sebelumnya pada malam (9 April 2008), aktivis teater di Pahang Sdr L. Mankadir Shamsi mengirimkan skrip TV menerusi emel, minta disampaikan kepada pengurusan syarikat pembikin slot drama TV, Puan Nelly Omar. Kebetulan pula Nelly Omar berada di Ipoh, justeru beliau tak sempat membaca skrip TV yang dikirimkan Sdr Mankadir. Kalaulah segalanya berjalan lancar, Sdr Mankadir diminta menulis skrip mengenai penghibur Sudirman Haji Arshad yang dijadikan slot drama. Tak tahulah dengan drama berkenaan, kerana pada dekad 1980-an pengusaha filem pernah mahu memfilemkan kisah Tan Sri P Ramlee, tetapi semuanya berkecai apabila dihalang oleh heh heh heh!


Bagaimanapun pengusaha filem terbabit sekadar rugi sejumah wang, sebaliknya bangsa Melayu kehilangan dokumentasi bermakna, di samping tiada penghargaan ke atas seniman legenda berkenaan. Malah satu ketika kisah kepahlawanan Leftenan Adnan juga sukar untuk difilemkan apabila dibantah oleh pihak-pihak berkaitan, malah galeri untuk memberi penghargaan kepada Pendeta Zaaba turut menghadapi rintangan. Kalaulah tak disebabkan kebijaksanaan Tan Sri Abdul Samad Idris mencari kos pembiayaan, mungkin sahaja galeri yang dinamakan ‘Teratak Zaaba’ tak menjadi kenyataan. Moga-moga skrip drama “Sudirman” yang ditulis Sdr Mankadir tak akan menghadapi rintangan. Mudah-mudahan!


Sudah menjadi lumrah di kalangan penulis Melayu pula ialah eksploitasi yang tak berkesudahan, sekalipun tugasnya sudah selesai. Maknanya, dengan tak disiapkan skrip mahupun manuskrip novel, proses mendapatkan slot di TV tentulah sukar. Sebaliknya apabila ‘shooting’ dimulakan, pelakon-pelakon dibayar imbuhan terlebih dulu, tetapi si penulis kena tunggu dan tunggu dan tunggu. Lainlah penerbitnya ‘baik hati’! Apabila saya diminta menulis buku autobiografi, penat lelah menyediakan manuskrip tak diberi kepedulian, sebaliknya si penerbit sudah menerima bayaran pendahuluan RM20,000 bagi memulakan proses mencetak. Atau secara mudahnya: Si penerbit tak akan berpeluang mencetak buku sekiranya tak mendapat manuskrip terlebih dahulu. Begitulah!

-Pak Dharma.


INFO HAK ASASI MANUSIA:

PM TUDUH AHLI UMNO BELOT
TAHAP KEJUJURAN KOMPONEN BN?


Menuduh aktivis UMNO belot pada pilihanraya ke 12 (PRU 12), 8 Mac 2008 adalah tak adil, apabila Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi atas kapisiti beliau Pengerusi Barisan Nasional (BN) tak menganggap parti-parti komponen mengambil langkah sama iaitu mensabotaj. Menurut pakar kaunseling Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah yang terbabit membantu calon BN di kawasan Parlimen Pekan pada PRU12 lalu, tak semua aktivis UMNO mensabotaj calon-calon BN. Malah calon UMNO juga tewas di tangan calon bukan Melayu misalnya di Parlimen Nibong Tebal, di Pulau Pinang, beritahu Dato’ Dr Mohd Mansor selanjutnya. “Kenapa salahkan ahli-ahli UMNO sahaja, ketika calon-calon BN ramai tewas di kawasan bandar,” beliau menambah.



Dato’ Dr Mohd Mansor yang juga bekas Timbalan Naib Canselor (HEP) UTM mengulas desas desus lebih 400 ahli MCA di salah satu bahagian di Selangor menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini (10 April 2008). Menurut beliau lagi, sekiranya desas desus itu benar pihak pimpinan BN perlu meminta penjelasan parti komponen berkenaan yang sudah memberi jaminan untuk memulihkan semula penstruktoran pentadbirannya. Beliau turut mengakui, pada pilihanraya sebelum ini pimpinan Wanita dan Pemuda, seterusnya Puteri UMNO mengambil bahagian aktif membantu kemenangan calon-calon komponen BN di kawasan majoriti bukan Melayu. “Ketika membantu kempen calon-calon UMNO di kawasan Felda di Parlimen Pekan saya menyedari banyak kelemahan sendiri perlu diperbaiki,” kata Dato’ Dr Mohd Mansor.



‘COUNTDOWN’ DI KELAB SULAIMAN
CABARAN KEPADA TAN SRI MUSA HASSAN


Pelancaran ‘countdown’ di Kelab Sulaiman, Kampung Baru, Kuala Lumpur 14 April 2008 ini menjadi cabaran kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan sama ada beliau membenarkan agenda tersebut diteruskan mahupun sebaliknya, kata Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz. Beliau memberitahu sekretariat PRIMA pagi ini (10 April 2008) mengenai pakatan pembangkang dijangka menggerakkan malam ‘countdown’ 14 April ini sebagai manifestasi kebangkitan mereka selepas pilihanraya 8 Mac 2008 lalu. Kata Dato’ Kamal Amir, “Pakatan terbabit dilaporkan sudah memohon permit polis, malah dengan mendominasi 11-1 kawasan Parlimen di Lembah Kelang, pihak polis mungkin sukar bagi menolak permohonan tersebut.”

Dato’ Kamal Amir percaya gerakan ‘countdown’ itu mampu melonjak keterampilan Dato’ Seri Anwar Ibrahim apabila tempoh sekatan berpolitik ke atasnya berakhir, justeru cabaran sebenar pimpinan negara di bawah Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi bermula. Menurut Dato’ Kamal Amir PRIMA sudah dihubungi oleh pelbagai pihak yang mahu tahu bagaimana langkah boleh diambil bagi menghalang program ‘countdown’ itu sekalipun di peringkat awal dianggap ianya ‘perhimpunan aman’. Kata Dato’ Kamal Amir lagi, PRIMA sekadar memberikan mesej seperti kempen pilihanraya lalu, sebaliknya langkah susulan adalah di tangan aktivis UMNO sendiri. “Sudah tentu malam ‘countdown’ 14 April ini sebagai manifestasi kebangkitan pakatan pembangkang di bawah Dato’ Seri Anwar,” beritahu Dato’ Kamal Amir.


KOMENTAR:
bersama Pak Parjo


MENCARI KUASA KEHAKIMAN
HILANG BERSAMA SEJARAH SILAM

Syahdan bertitahlah Pemangku Sultan Perak, Raja Dr Nazrin dalam persidangan hakim-hakim di negeri Melayu, supaya dikembalikan kuasa kehakiman berikutan sejarah silam yang menggugatnya. Baginda bertitah di hadapan lebih 90 hakim di pelbagai peringkat semalam (2 Rabiulakhir 1429, atau disebut juga oleh anak cucu fakir 9 April 2008). Arakian disebut orang banyaklah akan perihal perbuatan memanda Perdana Menteri terdahulu yang mengusir hakim-hakim tak sehaluan dengannya, disebabkan ia mengingatkan memanda Perdana Menteri sekarang akan pentadbirannya yang serba goyah, goyang dan goncang! Maka berkatalah di dalam hati fakir, kenapa ketika kejadian itu berlaku, tak seorang pun orang-orang besar sekalian menyanggah akan perilaku yang ditunjukkan oleh memanda Perdana Menteri.


Arakian tersebutlah perkataan Raden Kelang anak baginda Sultan Mansor Shah dengan Raden Galoh Cendera Kirana, anak Betara Majapahit itu. Setelah baginda besar maka kasad Sultan Mansor Shah sungguh ada Raja Ahmad, saudara Raja Muhammad, dirajakan di Pahang itu, Raden Kelang hendak dirajakan baginda. Pada suatu hari Raden Kelang bermain ke kampung Keling. Maka orang pun mengamuk, hingga sekalian para pengawal habis lari. Raden Kelang pun menghunus keris menantikan orang mengamuk itu. Apabila orang mengamuk itu datang sama-samalah menikam, seorang rebah ke kiri seorang rebah ke kanan. Segala kejadian itu dipersembahkan kepada sultan. Maka segala orang yang mengiringkan Raden Kelang itu habislah dibunuh baginda mengikut akan kehakiman pada masa itu dalam ‘Kitab Melayu’ yang diceritakan:







HIDUP BAHASA MELAYU!

No comments:

Post a Comment