JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)
DARI LAMAN BLOG
KERETA LAMA BERGERAK PERLAHAN
PERLU KENDERAAN BARU KE DESTINASI
Assalamualaikum,
Kereta lama saya meragam pagi ini (12 Mei 2008), menyebabkan anak saya, Elmi Fadzimah tak ke sekolah apabila melewati jam 7.45 pagi. Rupa-rupanya masalah ‘contact point’ sahaja. Memang kawan-kawan sarankan kereta lama berkenaan dijual sahaja sekalipun sekadar harga ‘timbang kati’, tetapi saya menyayanginya kerana nostalgik dengan pembabitan dalam gerakan ‘reformasi’. Sebelum Dato’ Seri Anwar Ibrahim membawa laongan ‘reformasi’, gerakan politik pembangkang turut menggunakan slogan ‘reformasi atau hidup’ (reform or live) iaitu selepas pilihanraya 1995, sebaliknya beberapa pimpinan lain menyebut ‘reformasi dan mati’ (reform and die). Disebabkan kereta lama digunakan dalam destinasi dari utara ke selatan dan sebaliknya, justeru buat masa sekarang memang berat hati saya untuk menjualnya. Begitulah!
Apabila kereta lama bermasalah memang kita memerlukan kenderaan baru menuju ke destinasi, tetapi kereta lama tak seharusnya dibuang bagai besi buruk tak berguna. Kereta lama saya sebelumnya digunakan ke destinasi jauh, disebabkan saya tak menginap di mana-mana ketika menyertai gerakan ‘reformasi’. Misalnya ketika ke Batu Pahat, saya difahamkan Dr Sanusi Osman (Setiausaha Agung PRM) mahu menginap di hotel, selepas sesi ceramah di satu perkampungan. Disebabkan saya balik semula ke Kuala Lumpur, Dr Sanusi ikut sama balik menaiki kereta berkenaan. Apalagi malam berkenaan ceramah dibatalkan sebaik sahaja Dr Daing Sanusi Mariok (Ahli Parlimen Rantau Panjang) kira-kira 10 minit sahaja berucap, atas alasan tak menerima permit polis.
Gerakan reformasi sejak September 1998, dikira sudah 10 tahun berlalu dengan segala sekatan, seratan dan jeratan pihak polis, tetapi sehingga 2008 terus juga bergerak bagaikan aliran sungai yang sukar diempang. Barangkali! Semalam (11 Mei 2008) saya memasuki asrama sebuah IPTS, apabila menghantar anak saya yang memulakan pengajian di situ. Memang saya melihat di loker pelajar di asrama berkenaan dilekatkan poster PKR, di samping gambar Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Bukan sahaja di asrama IPTS, malah di asrama IPTA juga pelajar-pelajar melekatkan poster PAS, di samping gambar Dato’ Seri Hadi Awang dan Tuan Guru Dato’ Nik Aziz Nik Mat. Maknanya, golongan generasi muda mahukan pimpinan baru seolah-olah menunggu ‘kenderaan baru’.
UMNO sudah lebih 50 tahun mendominasi politik Malaysia, sekalipun dianggap relevan mahupun berupaya meneruskan kesinambungan pimpinan oleh para aktivisnya, tetapi ‘kereta lama’ sukar bergerak pantas disebabkan mengalami banyak kerosakan. Ketika terbabit dalam gerakan reformasi saya juga pernah diberi sambutan baik oleh penduduk di kampung saya sendiri, di samping bertemu dengan seorang bekas guru (sekarang Allahyarham) yang terbabit sama dalam gerakan belia sekitar dekad 1960-an. Sebelum pertemuan pada 1999, beliau memang dikenali aktivis UMNO di samping menyertai pimpinan di peringkat Bahagian. Sebaliknya ketika menghadiri majlis reformasi, beliau mengakui memberi sokongan kepada anak mudanya yang secara terbuka menolak parti yang pernah disokong oleh datuk dan ayahnya. Aduhai!
-Pak Dharma.
INFO HAK ASASI MANUSIA
UMNO PERLU PENDEKATAN RASIONAL
BAGI SINAMBUNG KEDAULATAN BANGSA
Pimpinan UMNO perlu mengambil pendekatan rasional bagi meneruskan sinambung kedaulatan bangsa, bukan bersikap arogan dengan pencapaian yang digerakkan pimpinan terdahulu, menurut Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz yang juga bekas Exco Pemuda UMNO. Mengulas gesaan dibuat bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad semalam (11 Mei 2008) mahukan sistem kuota pemilihan UMNO dihapuskan, Dato’ Kamal Amir menyokong saranan tersebut yang dianggapnya sudah tiba masa bagi pimpinan UMNO keluar dari kemelut ‘perhambaan minda’. Katanya, pimpinan UMNO di peringkat umbi mahukan perubahan bagi memulihkan semula krisis keyakinan dengan membawa pendekatan baru. “Sistem kuota bukan sahaja tak demokratik, malah UMNO dijadikan sasaran ejekan, cemuhan dan ocehan,” beritahu Dato’ Kamal Amir.
Beliau juga menarik perhatian kepada pemilihan 2004, apabila insiden Ketua UMNO Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah dinafikan haknya apabila pimpinan di peringkat Bahagian disekat dengan pelbagai taktik. Dato’ Kamal Amir turut menyentuh insiden di Bahagian Kubang Pasu, ketika Tun Dr Mahathir gagal dipilih menjadi delegasi ke Perhimpunan Agung. Katanya, adalah mustahil bekas Perdana Menteri tak menerima undi yang mencukupi bagi menjadi delegasi, kalau tak disebabkan ‘perhambaan minda’ digunakan. Akibatnya jelas Dato’ Kamal Amir, tak bermakna menang mnjadi ketua di peringkat Bahagian, tetapi tewas dalam pilihanraya umum. “UMNO perlu menang pada pilihanraya umum, bukan menang merebut jawatan dalam parti,” beliau menambah.
INFO SUARA PROLITAR
HEBOH FASAL UMNO NAK MELOMPAT
INGATLAH KERAJAAN TERENGGANU TUMBANG!
Sekarang saya di KT (Kuala Terengganu). Dua hari lagi balik ke KL. Dengar berita radio hari ini (11 Mei 2008) jam 1.00 tengahari. Profesor Madya Ahmad Nizamuddin Sulaiman sebut fasal lompat parti. Tak bermoral, walaupun tak salah di sisi undang-undang. Heboh pula fasal UMNO dikatakan nak melompat. Tahun 1961, PAS melompat di Terengganu hingga kerajaan negeri Terengganu tumbang, kenapa para profesor dan ahli akdemik tak sibuk. Jangan gunakan status akademik untuk mengampu, kerana golongan prolitar juga tahu politik (SMS; 11 Mei 2008 – Z.A. Rasidin, K. Terengganu)
MAJLIS MAKAN MALAM PRESIDEN PAS
JEMPUT SEMUA PENGENDALI LAMAN BLOG.
I am going w rocky. Join us?…The President of PAS (Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang) cordially invites all ‘bloggers’ to dinner 8.00 pm, Tuesday, May 13 at Grand Seasons Hotel. RSVP and forwad. Pet. (SMS; 12 Mei 2008 – Sallehuddin, K.L.)
KEPADA SESIAPA YANG MENGHIDAPI GOUT
Salam Pak,Gout?Saya dapat info setelah berbual dengan seseorang yang bapanya juga menghidap gout. Katanya dia diberi petua supaya bapanya makan belut. Tapi bapanya tak lalu makan kerana rupanya seperti ular. Lalu dikeringkannya belut itu serta dihancurkan lalu dimasukkan ke dalam kapsul. Barulah bapanya boleh menelannya. Menurutnya bapanya sangat gemar minum yang mnis-manis tetapi tak ada kencing manis pula. Saya memberitahunya apa yang saya tahu, penghidap gout lazimnya terhindar dari mendapat kencing manis
(asalbayu)
TERTARIK DENGAN TANAH RANCANGAN
Saya tertarik dengan tajuk TANAH RANCANGAN BELIA D... Saya tertarik dengan tajuk TANAH RANCANGAN BELIA DI JOHOREKSPLOITASI DI TANGAN PIMPINAN MELAYU yang memperlihatkan betapa bobroknya kerajaan yang kononnya ditegakkan untuk membela ugama, bangsa dan tanah air.Mereka bawa rayuan itu dalam perbincangan 'Kongres Permuafakatan Melayu’ (anjuran GAPENA).Lucu juga kisah ini kerana GAPENA sendiri gagal menyuarakan isu bahasa Melayu yang diperlekehkan oleh para pemimpin Malaysia berketurunan Melayu sendiri.Pimpinan GAPENA, iaitu tidak lain dari Ketua Satu, Tan Sri Ismail Husain sebelum ini dikhabarkan pernah mengeluh bahawa tiada pemimpin negara yang mahu dengar apa-apa saranan pihaknya berkaitan dengan penggunaan bahasa Inggeris dalam subjek Sains dan Matematik. Tan Sri Ismail adalah anak Kedah kelahiran Yan yang kini dikuasai oleh PAS manakala Ketua Satu ASASI, Shaidun Haji Shaari, iaitu badan kerabat GAPENA juga kelahiran Yan. Manakala Menteri Besar Kedah, Ustaz Azizan Abdul Razak juga adalah ADUN Yan.Lagi satu Yan dipercayai sebagai lokasi pengajian agama (pondok) yang terawal di Kedah. Dan drama berjudul 'HUJAN GERIMIS' karya dan arahan Affrini Adham (Allahyarham) pertama kali dipentaskan selama beberapa malam di Yan oleh Kaum Ibu UMNO pada 1954 bagi tujuan mengumpul dana pilihanraya pertama sebelum di pentaskan di Alor Setar pada tahun yang sama.
(asalbayu)
KOMENTAR
bersama Pak Parjo.
DIPINDA ATAU DIMANSUHKAN TERUS
KANUN MENGHALANG KEBEBASAN BERSUARA?
Sebermula disebut oleh yang empunya ceritera akan menantu memanda Perdana Menteri bernama Orangkaya Khairy Jamaluddin itu terlalu licik menarik perhatian orang banyak. Syhahdan berkatalah Orangkaya Khairy Jamaluddin, eloklah kanun penerbitan dan percetakan itu dipinda atau dimansuhkan terus, kerana ianya boleh menghalang kebebasan bersuara. Terlalu gembiralah segala penyurat dan penitir canang akan perihal beraninya Orangkaya Khairy Jamaluddin mempersoalkan kanun tersebut, adanya. Arakian disurat oleh orang banyak sebelum ini Orangkaya dari Ipoh Timor dan Orangkaya dari Bukit Gelugor juga berperi-peri mahu dihapuskan kanun penerbitan dan percetakan, kanun keselamatan dalam negeri, kanun rahsia rasmi dan kanun polis yang dikatakan tak sesuai. Syukurlah Orangkaya Khairy Jamaluddin juga menyuarakannya, maka fakir kira tak perlulah dipersoalkan kejujurannya atau tidak.
Syahdan apabila Sultan Mahmud berangkat berperahu had pangkalan Seri Dewa Raja, maka baginda menyuruh memanggil Seri Dewa Raja. Berpenanak-penanak Sultan Mahmud menanti di pangkalan, belum juga Seri Dewa Raja datang; kerana adat Seri Dewa Raja, apabila datang hamba raja memanggil dia, maka ia naik ke rumah berbaring-baring, kadang-kadang lalu tertidur, serta dibangatkan oleh hamba raja itu, maka Seri Dewa Raja bangun lalu buang air dan mandi. Maka dibangatkan pula oleh hamba raja itu, baharulah Seri Dewa Raja berkain, dua tiga belas kali rombak; belum baik, dibaiki. Sudah itu maka berbaju dan berdestar itu pun demikian juga; dua tiga belas kali diikat dirombak, belum baik, dibaiki. Arakian titah raja yang lebih dahsyat lagi di masa dahulu daripada kanun keselamatan dalam negeri juga disanggah Seri Dewa Raja, seperti yang disuratkan ‘Kitab Melayu’ oleh:
HIDUP BAHASA MELAYU!
No comments:
Post a Comment