Friday, May 23, 2008

JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)

(menentang perhambaan manusia kepada manusia)



DARI LAMAN BLOG:
PROGRAM 'WACANA ADAT'
PERTABALAN UNDANG LUAK JOHOL

Assalamualaikum,



Apabila blog ini dinaikkan, saya sudah berlepas ke Tampin malam ini bagi program ‘Wacana Adat’ sempena kerjan (pertabalan) Undang Luak Johol, Dato’ Johan Pahlawan Lela Perkasa Setiawan, Dato’ Haji Mohd Jan Abdul Ghani, besok (24 Mei 2008) mulai jam 9.00 pagi. Disebabkan khuatir tak sempat sampai ke Johol sekiranya bertolak besok, justeru Penolong Kurator Muzium Negeri Sembilan, Asrul Affandi Kamaruzzaman meminta saya bermalam di Tampin. Alhamdullillah! Bagi menaikkan laman blog, semua anak-anak saya boleh mengendalikan terutama Nurul Salwa, graduan Sains Komputer dari Universiti Industri Selangor (Unisel), begitu juga Ikram Hafiz (siswa Komputer Industri) di Unisel, mahupun Idham Khalil guru kokurikulum atau Elmi Fadzimah pelajar Tingkatan 3, tetapi mempunyai blognya sendiri.

Semalam (22 Mei 2008) aktivis teater di Pahang Sdr L Mankadir Shamsi mengirim SMS melahirkan rasa gembira, kerana Ketua Persatuan Penulis Johor (PPJ) kabarnya sudah menyatakan hasrat mahu merebut jawatan Ketua Satu Gapena pada mesyuarat agungnya tak lama lagi. PPJ sekarang kabarnya dipimpin oleh Sdr Amiruddin, tiba-tiba sahaja mahu melawan Profesor Emeritus Tan Sri Ismail Hussein bagi jawatan Ketua Satu Gapena. Ironinya, Johor baru sahaja menjadi lokasi perjumpaan ‘Kongres Permuafakatan Melayu’, dengan PPJ sendiri menjadi penganjur terpenting. Sdr Yassinsalleh pula turut memberi jaminan akan membantu secara ‘all out’ bagi memastikan proses demokrasi juga dilaksanakan oleh Gapena, di samping pimpinan baru wajar mengambil alih.


Sebelum ini sudah tersebar khabar angin kononnya Timbalan Ketua Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP) Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah menawarkan diri bertanding jawatan Ketua Satu Gapena, sekiranya Tan Sri Ismail Hussein berhasrat mahu terus juga mempertahankan jawatan tersebut. Selepas khabar angin Dato’ Dr Mohd Mansor mahu menawarkan diri, tiba-tiba sahaja Ketua PPJ juga menyatakan hasratnya. Bagaimanapun hasrat tersebut belum tersibar meluas di media arus perdana, sebaliknya Dato’ Dr Mohd Mansor sudah menyampaikan mesej kepada semua badan kerabat Gapena. Mungkin sahaja sekiranya Ketua PPJ membuat kenyataan terbuka di media arus perdana, pihak kerabat Gapena juga perlu diberi keyakinan segalanya akan menjadi kenyataan.

Malam semalam (21 Mei 2008), Ketua Penerangan UMNO Bahagian Gombak, Omar Sudi Abdul Manan menelefon, beritahu mengenai laman blog UMNO Gombak didaftar oleh individu dengan menggunakan nama ‘UMNO Gombak’. Katanya, mesyuarat jawatankuasa UMNO Bahagian Gombak pada malam 21 Mei 2008, bersetuju membuat laporan polis apabila nama ‘UMNO Gombak’ digunakan bagi laman blog individu berkenaan. Sekalipun ianya disebut ‘bukan suara rasmi UMNO Gombak’ menerusi http://umnogombak.blospot.com/ tetapi tetap menjejaskan kewibawaan pimpinan UMNO Bahagian Gombak, yang tak pernah membenarkan mana-mana individu menggunakan laman blog berkenan, kata Omar Sudi. Aduhai!

-Pak Dharma

INFO SUARA PROLITAR:
MOHON SOKONGAN
TENGKU RAZALEIGH MENERAJUI NEGARA
Saudara/Saudari yang dihormati,

Sebagaimana yang telah diumum dan diketahui, Tengku Razaleigh Hamzah telah menawar dirinya untuk menarajui negara kita ini yang tersayang. Kami dengan ikhlas memohon sokongan Saudara dan Saudari terhadap niat suci ini demi kepentigan negara dengan apa cara sahaja yang mungkin, berlandaskan undang-undang negara.Banyak program telah dirancangkan, oleh beberapa pihak atas initiatif mereka sendiri, yang mahu lihat negara kita terselamat dari masaalah yang melanda negara masa ini. Kali ini program yang telah diatur untuk Tengku Razaleigh akan diadakan di Kedah seperti jemputan umum yang dilampirkan bersama ini. Harap dapat disebarkan seluas-luasnya dan jikalau ada masa lapang, marilah kita bersama berada di program ini. Saya harap dapat mengumum program program lain yang melibatkan penampilan Tengku Razaleigh di masa hadapan.


Sekian. Terima Kasih.


Yang benar,
Nik A. Azmi (kiriman email)
KOMENTAR
Bersama Pak Parjo
'RAJA GULA' USAHAWAN TERKAYA
SI MISKIN BERTAMBAH MERANA

Sebermula disuratkan orang banyak, adapun 10 orang terkaya di negeri Melayu itu seorang sahaja berketurunan Melayu tersenarai iaitu Tan Sri Syed Mokhtar al-Bukhary dengan nilai hartanya sejumlah 1.3 bilion ringgit Amerika. Arakian laporan yang disurat pada 17 Jamadilawal 1429 (disebut orang 23 Mei 2008), orang yang terkaya sekali ialah Tan Sri Robert Kuok yang dipanggil oleh sekalian ahli perniagaan sebagai ‘raja gula’. Syahdan kekayaan ‘raja gula’ itu, tak akan tercapai oleh ‘raja bola’ Dato’ Ghani Minhat mahupun ‘raja blog’ Raja Petra Kamaruddin, adanya. Maka disebut anak cucu fakir setelah lebih 50 tahun negeri Melayu itu merdeka, dengan ‘Dasar Iktisad Baru’ (atau disebut sekalian hamba rakyat ialah DEB), belumlah lagi anak Melayu menjadi terkaya dengan hartanya yang melimpah ruah, tetapi setakat gelaran sahaja dipanggil akan mereka itu ‘Orangkaya’.
Arakian telah demikian fikir baginda, maka disuruh orang memanggil Bendahara Paduka Raja dan Seri Nara Diraja, dan segala menteri-menteri, dan Orangkaya-Orangkaya dan ceteria, dan sida-sida, bentara dan hulubalang, maka sekaliannya datang menghadap duduk di balai. Telah itu maka Sultan Mansor Shah (nama batang tubuh baginda ialah Raja Abdullah) pun duduk di atas singgahsana kerajaan di atas peterana yang bertatahkan permata. Maka bentara menyuruhkan segala Orangkaya-Orangkaya itu naik duduk semuanya. Baginda pun bertitah, ‘Apa bicara tuan hamba sekalian, kita hendak menyuruh ke Siam, apa sudahnya kita bermusuh dengan Siam, lebih baik kita berbaik-baik’. Syahdan, maka sembah segala menteri dan Orangkaya-Orangkaya itu, ‘Daripada banyak seteru, baiklah berbanyak sahabat’. Adapun berbaik-baik dengan Siam itu banyaklah berniaga beras, bukannya gula atau seumpamanya seperti disebut dalam ‘Kitab Melayu’ yang disurat:





HIDUP BAHASA MELAYU!

1 comment:

  1. JIKA BUKAN DISKRIMINASI APA?

    Pada 2.4.2008 Menteri Pelancongan, YB Datuk Seri Azalina Othman Said berkata pembatalan MoU dengan 5 negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat akan diteruskan kerana berbeza aliran politik. Negeri-negeri yang berkenaan ialah Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor.

    Ketika berlangsung sidang Dewan Rakyat, Perdana Menteri, YAB Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata tindakan tersebut bukanlah diskriminasi terhadap kelima-lima negeri terbabit.

    "Saya sudah beri jaminan kerajaan Pusat tetap salurkan peruntukan kepada lima negeri berkenaan walaupun MoU itu dibatalkan.

    Kerajaan Pusat juga sedia menerima sebarang cadangan daripada negeri berkenaan untuk memajukan semua kegiatan pelancongan yang dirancang," katanya.

    Perdana Menteri berkata demikian dalam jawapan bertulisnya kepada soalan Lim Lip Eng (DAP-Segambut) di Dewan Rakyat, yang mahu tahu sama ada beliau akan mengarahkan Azalina menarik balik keputusan itu.

    Jika bukan diskriminasi apa pula?

    Sebaiknya kalangan menteri pusat jangan perbodohkan rakyat dengan mengulangi ungkapan yang tidak munasabah. Rakyat biarpun berada di ceruk-ceruk desa kini sudah celik dengan tindakan licik sebilangan pemimpin peringkat atas.

    Penulis tinggal di Kedah dapat merasakan hal itu bukan dalam era sekarang, malah ketika BN berkuasa juga demikian.

    Tahun 2008 telah diisytiharkan sebagai Tahun Melawat Kedah (TMK).

    Malangnya satu kenyataan sama ada berbentuk poster, banner atau bunting tidak kelihatan. Apa lagilah billboard yang besar-besar.

    Keadaan ini seperti menafikan kewujudan beberapa bahan tarikan pelancongan di Kedah.

    Organisasi seni budaya pula meskipun sentiasa bersedia untuk mengetengahkan produk ke arah memajukan industri pelancongan merasa mereka terabai. Media arus perdana pula langsung tidak memberi perhatian dan lebih mendukacitakan ialah saiz ruangan sastera dan budaya telah menguncup kerana dikatakan tidak membawa keuntungan material.

    ReplyDelete