Thursday, June 26, 2008

WARGA PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
S U A R A P R I M A
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG

POTONGAN GAJI SETIAP BULAN
TUNGGAKAN PINJAMAN RM25 RIBU

Assalamualikum,

Aneh! Selepas 50 tahun merdeka, pentadbiran sesebuah institusi masih lagi seperti pada period penjajah yang serba lintang-pukang, tunggang-langgang dan simpang-perinang. Mungkin sahaja ‘bukan salah ibu mengandung’, tetapi disebabkan pemikiran bangsa terlalu sempit, terhimpit dan terkepit. Barangkali! Hari ini (25 Jun 2008), anak saya Khairil Nizam menerima notis dari peguambela & peguamcara Rashid Asari & Co (bertarikh 18 Jun 2008, sekalipun menggunakan pos bedaftar), berkaitan pinjaman dari Bank Simpanan Nasional (BSN) menerusi Angkatan Koperasi Kebangsaan (ANGKASA) yang diasaskan oleh Profesor Diraja Ungku Aziz Abdul Hamid (yang juga ayahanda kepada Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zetty Akhtar).

Disebabkan tak wujud koordinasi antara institusi terbabit (ANGKASA dan BSN), potongan gaji yang dibuat oleh majikannya Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) setiap bulan, kononnya tertunggak lebih RM25 ribu sehingga Jun 2008. Astaga! Maknanya, tunggakan tersebut tak dilunaskan sejak mula pinjaman dibuat. Ironinya, BSN tak pernah menghantar notis sekalipun sudah tertunggak hingga RM25 ribu. Justeru ANGKASA yang dipantau kementerian pembangunan usahawan dan koperasi, di samping BSN di bawah kementerian kewangan seharusnya memberi suri teladan yang baik berikutan penyelarasan yang lintang-pukang ini. Apalagi Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Dato’ Seri Noh Omar dikatakan ‘orang kepercayaan’ Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Justeru hari ini (25 Jun 2008) saya menulis surat kepada Dato’ Seri Abdullah dan Dato’ Seri Noh Omar bagi pihak anak saya, meminta disiasat bagaimana potongan bulanan gaji dibuat oleh MPM dengan dimasukkan kepada ANGKASA tak sampai ke dalam akaun BSN. Mungkin sahaja RM25 ribu terlalu kecil kepada sesetengah pihak, tetapi bagi golongan prolitar berpendapatan kecil ianya boleh memeningkan kepala, membeningkan tenaga dan mengheningkan minda, semata-mata disebabkan oleh kekalutan penyelarasan institusi-institusi terbabit. Dokumen mengenai pemotongan gaji yang dibuat MPM kepada ANGKASA adalah bukti jelas pembayaran dibuat, tetapi BSN tak pernah mahu menghubungi ANGKASA. Barangkali!

Isu ini boleh ditakrifkan ‘gajah sama gajah berlaga, pelanduk tersepit di tengah-tengah’. Malah pihak MPM juga perlu memberi penjelasan, disebabkan jumlahnya memang besar, apalagi berdasarkan dokumen pembayaran ianya sudah dilunaskan oleh MPM. Profesor Diraja Ungku Aziz ketika mengasaskan ANGKASA, sudah tentulah mempunyai visi menggalakkan komuniti Melayu berkoperasi, sekalipun ianya sudah digerakkan ketika Bapak Abdul Aziz Ishak (Allahyarham) menjadi Menteri Pertanian dan Syarikat Kerjasama selepas pilihanraya 1959. Kalaulah tak disebabkan isu kilang baja urea untuk kepentingan Melayu menjadi kemarahan Tunku dan Tun Tan Siew Sin, Pak Aziz Ishak sudah boleh diangkat sebagai ‘Bapa Syarikat Koperasi’. Heh heh heh!

-Pak Dharma.

INFO HAK ASASI MANUSIA

TUMPU KEPADA TEKNOLOGI PENGELUARAN
NASIB PEKEBUN KECIL SAWIT PERLU DIBANTU

(Kenyataan media pimpinan PRIMA, Pak Dharmala N.S. di Kuala Lumpur pada 25 Jun 2008; meningkatkan produk sawit perlu diseimbang dengan eksport ke luar negeri yang jatuh merudum, apabila pembukaan ladang sawit baru dibekukan).

Langkah kerajaan tak membenarkan pembukaan ladang sawit baru, berikutan keupayaan penggunaan teknologi mampu meningkatkan pengeluaran sebanyak 30 peratus dengan keluasan sedia ada, dianggap sebagai prihatin dengan kempen ‘bumi hijau’ yang digerakkan di seluruh dunia bagi mengelakkan kemusnahan khazanah hutan negara yang berharga. Kenyataan Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi yang membekukan permohonan membuka ladang sawit baru bagi, tak berkaitan dengan peningkatan pengeluaran, mutu dan kuantiti sawit. Di samping ladang sawit, Malaysia juga membabitkan beratus-ratus pekebun kecil kelapa sawit di seluruh negara yang bingung, bangang dan bengang dengan masalah sawit.

Dengan pengeluaran sawit mencecah hingga 15.8 juta tan setahun, Malaysia dilabel sebagai antara pengeksport utama minyak sawit dunia, tetapi sekadar mengeksport 100,000 tan sahaja. Dengan perbezaan angka yang ketara itu adalah wajar, pembukaan ladang sawit baru dibekukan bagi mengimbangi pengeluaran dan permintaan. Ironinya, ketika pengeluaran sawit tinggi, dibandingkan kuantiti eksport yang rendah, harga minyak masak berasaskan sawit masih juga mahal iaitu RM2.80 satu paket isian sekilo, berbanding dengan sebelum PRU12 dalam anggaran RM2.30-RM2.50 bagi satu paket isian sekilo. Pekebun-pekebun kecil kelapa yang terpaksa menyulam tanaman mereka dengan sawit ketika pasaran sawit menggalakkan, sekarang berada dalam dilema yang menyulitkan apabila harga mentah sawit jatuh.

Di samping kerajaan membekukan pembukaan ladang sawit baru, PRIMA juga menyeru masalah pekebun-pekebun kecil sawit juga perlu diberi perhatian. Pekebun-pekebun kecil sawit di Bagan Datoh dan di kawasan Hilir Perak misalnya yang bergantung kepada pengeluaran sawit, masih belum mampu menikmati kemakmuran negara yang dibanggakan selama ini. Apabila kerajaan memberi tumpuan kepada perladangan sawit yang besar termasuk di Sabah dan Sarawak, pekebun-pekebun kecil di pesisir pantai yang sebelumnya pekebun-pekebun kecil kelapa, juga perlu diberi perhatian di bawah penggunaan teknologi baru dan kaedah amalan perdagangan yang baik dalam industri sawit ini.

PIMPINAN AKTIVIS BELIA GERAKKAN
MAJLIS WACANA PEMIKIRAN MELAYU

Pimpinan Melayu Selangor akan dicabar melestarikan perpaduan bangsa, apabila kumpulan aktivis belia menggerakkan ‘Majlis Wacana Pemikiran Melayu’ sebelum pertengahan Julai 2008 ini. Tiga ahli penal yang diminta berdialog dikatakan mempunyai pendekatan kritis termasuk mantan Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Dr Mohd Khir Toyo, mantan Ketua Angkatan Muda PKR, Sdr Ezam Mohd Noor dan Naib Presiden PAS, Dato’ Dr Hassan Ali. Jurucakap kumpulan berkenaan Sdr Sobri Ahmad memberitahu, wacana yang memperkatakan penolakan ‘perhambaan minda’ di kalangan masyarakat Melayu akan diberi penekanan. “Setakat ini Dato’ Seri Dr Mohd Khir dan Sdr Ezam sudah memberi pengakuan lisan untuk menyertai wacana berkenaan, di samping Dato’ Dr Hassan dipercayai turut berminat, sekalipun belum lagi memberi jawaban,” katanya.

Di samping tiga ahli panel terbabit, pihak kumpulan berkenaan turut mengundang mantan Timbalan Setiausaha Agung DAP, Sdr Abdul Muluk Daud selaku ‘pemudah cara’. Menurut Sdr Sobri, dua pimpinan muda Melayu Dato’ Seri Dr Mohd Khir dan Sdr Ezam, di samping pemimpin veteran PAS Dato’ Dr Hassan memang terkenal dengan sikap kritis mereka. Sementara ‘pemudah cara’ Sdr Abdul Muluk pernah menimbulkan kontroversi pada 1999, apabila membangkitkan isu ‘pimpinan Melayu kelas dua’. Kombinasi pemikiran tokoh-tokoh yang terbabit dalam wacana berkenaan, jelas Sdr Sobri memang mampu dikongsi bersama. Mereka yang berminat menyertai wacana tersebut bolehlah menghubungi Sdr Sobri tel: 012-2694567.

INFO SASTERA & BUDAYA

MAJLIS KEBUDAYAAN ORANG ASLI
SEMPENA MUSIM BUAH - BUAHAN

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Dato’ Seri Anwar dijangka hadir pada majlis kebudayaan Orang Asli di Jenderak, Pahang 2 Ogos 2008 nanti, beritahu panatia sambutannya Sdr L Mankadir Shamsi. Majlis yang dimeriahkan dengan persembahan kebudayaan Orang Asli sempena musim buah-buahan itu dianjurkan oleh pejabat aktivis sosial di sini, Haji Suhaimi Said yang juga seorang peguam, beritahu L Mankadir. Katanya, Nurul Izzah dijemput ke majlis berkenaan bagi mendekatkan pimpinan muda PKR kepada rakyat prolitar yang terabai sejak negara mencapai kemerdekaan lebih 50 tahun. “Kita mahu jadikan kebudayaan sebagai jambatan merapatkan hubungan pemimpin dengan rakyat prolitar,” menurut L Mankadir lagi.

Seterusnya L Mankadir menambah, pihak panatia juga berharap pihak pimpinan PRIMA akan turut menghadiri majlis berkenaan. Sekalipun Nurul Izzah dijempat tetapi ianya bukan majlis politik, sebaliknya lebih condong kepada persembahan kebudayaan Orang Asli, jelas L Mankadir. Sebelum ini pimpinan PRIMA pernah menyertai majlis kebudayaan Orang Asli di Kampung Pian yang juga dianjurkan oleh pihak pejabat Haji Suhaimi. Bagaimanapun majlis kebudayaan kali ini lebih menarik kerana ianya sempena musim buah-buahan yang menjadi kebanggaan dalam kebudayaan masyarakat Orang Asli, beritahu L Mankadir menambah. “Durian dikatakan akan mulai luruh hujung Julai nanti bagi menyambut pengunjung,” katanya.

INFO SUARA PROLITAR

PERJUMPAAN AKTIVIS PENULIS AGRESIF
BINCANG SENARIO MENJELANG SEPTEMBER

Kumpulan penulis agresif mengadakan perjumpaan malam ini (27 Jun 2008) di lokasi yang belum ditetapkan, tetapi dikatakan di sebuah premis kedai nasi kandar di Kuala Lumpur. Perjumpaan tersebut berkaitan dengan senario politik menjelang September 2008 yang dikatakan berolak-olak, beriak-riak dan berombak-ombak. Jurucakap kumpulan berkenaan, Sdr Yassinsalleh memberitahu antara aktivis penulis yang dijemput termasuk mantan Ahli Parlimen Parit Sulong, Dato’ Ruhanie Ahmad, mantan Setiausaha Politik Tun Ghafar Baba, Dato’ Alias Muhammad, aktivis NGO Dr Seri Intan, Ketua Pimpinan PRIMA Pak Dharmala N.S. dan beberapa lagi.

Menurut Sdr Yassinsalleh, di samping isu kenaikan harga minyak boleh dikenakan tindakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kepada penyebar tegar, pengakuan berkanun pengarang laman web ‘Malaysiakini’ Raja Petra Kamaruddin berkaitan kes bunuh Altantoya Shaariibu dan sokongan akar umbi kepada hasrat Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah untuk merebut jawatan Presiden UMNO, Disember 2008 ini akan dijadikan topik perbincangan. Pak Dharmala pula dijangka akan diminta memberikan info mengenai senario politik di Selangor, berikutan laman blog PRIMA sudah membuat andaian kemungkinan kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat akan jatuh dalam tempoh terdekat. (Menerusi telefon; 25 Jun 2008; 10.00 pagi).

KOMENTAR
bersama Pak Parjo.

BAGINDA BERTITAH DI BALAIRONG
JANGAN SEBUT PERKARA KAITKAN AGAMA.

Sekali persetua tersebutlah di sebuah negeri Melayu, Perak namanya, telah bertitah baginda Sultan Azlan Shah, janganlah di sebut-sebut perkara yang menyinggung orang iaitu perkara agama. Arakian baginda pun bertitah, “Islam adalah agama yang berpegang teguh kepada amalan keadilan dalam kanun negara. Islam mempunyai talian dan ikatan sejarah yang istimewa dan lama dengan penduduk wilayah ini”. Syahdan disebut orang banyak akan baginda itu bertitah di balairongseri seperti ianya disurat orang hari ini, 21 Jamadilakhir 1429 (yakni disebut orang kemudian hari ialah 25 Jun 2008). Syahdan maka tahulah fakir bahawa baginda tersinggung apabila orang bukan Melayu mempersoal hak raja-raja Melayu dalam urusan pentadbiran agama dan adat istiadat Melayu di negeri baginda yang dijalankan sejak turun temurun.

Hatta, maka datang sebuah kapal Feringgi dari Goa. Maka ia berniaga di Melaka. Maka dilihat oleh Feringgi itu negeri Melaka terlalu baiknya, dan bandarnya pun terlalu ramai. Maka segala orang berkampung melihat rupa Feringgi itu. Arakian sekalinya hairan melihat dia. Maka kata orang Melaka, “Ia ini Benggali Putih”. Maka pada seorang Feringgi itu berpuluh-puluh orang Melaka mengerumuni dia; ada yang memutar janggut, ada yang menepuk kepala, ada yang mengambil cepiaunya, ada yang memegang tanagnnya. Maka kapitan kapal itu pun naik menghadap Bendahara Seri Maharaja. Oleh kapitan kapal itu dipersembah pada Bendahara Seri Maharaja rantai emas berpermata seutas, ia sendiri memasukkan kepada leher Bendahara Seri Maharaja, seperti disurat dalam ‘Kitab Melayu’ daripada:









HIDUP BAHASA MELAYU!

1 comment:

  1. MANIS @ PAHIT



    Maaf kawan kiranya aku terlanjur
    setelah tiga dekad di sini
    berkali-kali cuba kujejaki. Namun
    belum kutemui kemanisan
    atas nama kawan carilah
    akan kautemui barangkali.

    Berliku laluan ini. Samar
    onak dan ranjau telah kutempuhi
    di mana-mana kecuaian diintai
    mencabar ketabahan. Gelincir
    kesungguhan andai rapuh
    tercalar. Tertusuk bisa.

    Kiranya rapuh benteng iman
    kecundang menanti kelalaian
    melenyapkan gunung harapan.
    Lebur semangat.

    Barang diingat
    kemanisan lazimnya beracun
    kepahitan di dalamnya ada penawar
    terokalah. Cabar halangan
    mudah-mudahan berhasil
    terimalah dariku sekalung tahniah.

    ASALBAYU

    ReplyDelete