Tuesday, August 19, 2008

WARGA PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
S U A R A<<<>>> P R I M A

(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG


Assalamualaikum,


PASARAYA NSK DISERBU MESKIPUN HUJAN
PENDUDUK KAMPUNG RESAH DAN RUGI


Pagi ini (18 Ogos 2008) hujan di Gombak hingga ke Selayang, menyebabkan 11.30 tengahari baru saya ke pasaraya NSK, sekalipun hujan masih juga turun. Memang ramai pengguna bertumpu ke sana (bagi menyahut seruan menteri meminta rakyat berjimat, berjimat dan berjimat), disebabkan harga barang-barang dibandingkan di pasaraya lain lebih murah. Barangkali! Misalnya, harga beras bagi satu kampit isian 10 kg jenama ‘Fadzilah’ (campuran 5% beras hancur) RM26.90 untuk harga biasa, dan RM26.00 kepada pemegang kad ahli. Memang harga berkenaan turun sedikit berbanding bulan lalu iaitu RM27.90, tetapi masih dikira mahal dibandingkan sebelum PRU12 (8 Mac 2008) iaitu RM15.90. Telur gred A pula bagi satu tray 30 biji ialah RM8.85 harga biasa, di samping RM8.55 kepada pemegang kad ahli. Begitulah!

Bagaimanapun penoreh getah di Jelebu, Negeri Sembilan terpaksa menghadapi kerugian disebabkan hujan turun selepas 7.00 pagi. Mereka sudah ke kebun sejak 6.30 pagi, di samping sudah menoreh melebihi 80-100 pokok. Apabila hujan turun ketika getah masih lagi menitik, harapan mereka turut tumpah bagaikan air hujan yang melimpahi mangkuk yang tertadah. Mungkin sahaja penoreh-penoreh getah yang sekadar pekebun kecil pada 2008, tak jauh berbeza dengan generasi dekad 1950-an dan 1960-an. Tak payah diminta berjimat pun, memang sudah jadi amalan mereka berbelanja secara terbatas. Hujan pagi juga turut memberi implikasi kepada nelayan-nelayan di Bagan Datoh, Perak yang turun ke laut dengan hasil yang kempis, tipis dan nipis.

Justeru mereka yang mampu ke pasaraya NSK ketika hujan pagi turun, memang dikira bernasib baik kerana tak perlu memikirkan untuk menunggu ianya teduh seperti perihal penoreh-penoreh dan nelayan-nelayan di kampung. Buruh-buruh dan pekerja am yang membina bangunan di kawasan projek perumahan juga tak meneruskan kerja-kerja mereka ketika hujan pagi turun, justeru kehilangan pendapat harian. Ketika memilih-milih barang di dalam pasaraya, memang saya terserempak lelaki separuh umur berbual dengan rakannya. Dia mengakui tak meneruskan kerja akibat hujan turun santak jam 12.00 tengahari, di samping kawannya memang tak bertugas disebabkan urusan keluarga yang perlu dibereskan. Aduhai!

Disebabkan hujan terus turun, peniaga gerai menjual nasi lemak dan teh tarik hampir pasaraya juga tak beroperasi. Maklumlah! Fenomena dalam rutin hidup kalangan nelayan, petani dan buruh pada 2008, masih tak banyak berbeza dengan period pra merdeka, sekalipun kita diwar-warkan dengan kejayaan seorang berdua. Misalnya, jutawan di Felda Sendayan, Negeri Sembilan memang tak dinafikan berikutan harga pasaran tanah mereka melambung dengan projek KLIA di Sepang. Sebaliknya penoreh-penoreh yang bergantung kepada hasil torehan, dengan tak berpeluang bekerja sambilan, mereka tetap meneruskan legasi ‘kain singkat’ ditarik ke atas punggung terdedah, diturunkan ke bawah kepala terbuka. Apalagi kalau hujan turun berturut-turut hari, mahu menebas belukar pun tak boleh.

- Pak Dharma.

INFO HAK ASASI MANUSIA


SEBELUM TINGKAT KEUPAYAAN IPTA
BERSIHKAN UNSUR-UNSUR POLITIKING.


Semua pihak mengalu-alukan keupayaan IPT tempatan dipertingkatkan dalam proses menyediakan lebih banyak peluang kepada generasi muda menimba pelajaran terbaik di peringkat tinggi, beritahu bekas Timbalan Naib Canselor (HEP) UTM, Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah. Beliau mengulas ucapan yang dibuat oleh Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika merasmikan Universiti Institut Perubatan, Sains dan Teknologi (Aimst) di Bedong, Kedah semalam (17 Ogos 2008). Bagaimanapun menurut Dato’ Dr Mohd Mansor, peningkatan keupayaan IPT banyak bergantung kepada inisiatif pihak tenaga pengajar yang menyampaikan ilmu. “Keupayaan IPT akan terjejas sekiranya tenaga pengajar lebih banyak bersaing mengejar peluang dengan menyuburkan politiking, daripada mementingkan akademik,” beliau menjelaskan.

Seterusnya Dato’ Dr Mohd Mansor mengakui, usnur-unsur politiking dalam kerenah akademik masih menjadi fenomena yang sukar dibendung di IPT. Justeru katanya, tenaga pengajar perlu memastikan matlamat pendidikan diberi perioriti daripada kepentingan peribadi. Di samping enggan memberikan fakta jelas membabitkan unsur-unsur politiking itu, Dato’ Dr Mohd Mansor menyarankan pihak kementerian seharusnya membuat pemantauan secara menyeluruh. Beliau yang juga pakar kaunseling, di samping aktivis bahasa memberitahu, persaingan di kalangan ahli akademik bagi mengisi kedudukan di senet, tak akan memberi manfaat kepada usaha meningkatkan keupayaan IPT. “Terlalu sukar bagi ketam yang jalan mengereng, kalau mahu mengajarnya anaknya berjalan betul,” kata Dato’ Dr Mohd Mansor menambah.

INFO SASTERA & BUDAYA

ISU KEBULURAN BALING MEMUNCAK:
ANWAR IBRAHAIM DITAHAN DI BAWAH ISA

(Petikan dari buku ‘Sempena Jubli Emas Merdeka: 100 TOKOH MALAYSIA’ oleh Dr Ammar Hassan dan Dharmala N.S.; diterbitkan KANTUNG NETWORK SDN BHD, Kuala Lumpur; 2007, mengandungi 286 halaman dengan harga RM80 senaskhah)

(Timbalan Perdana Menteri, 1993-1998)

Demonstarasi Baling digerakkan oleh aktivis pelajar di institusi pengajian tinggi pada 1974, memang membabitkan keterampilan Dato’ Seri Anwar Ibrahim selaku pemimpin belia. Gerakan belia bertukar menjadi radikal pada period Dato’ Seri Anwar, malah terbabit menggerakkan rapat-rapat umum ketika pilihanraya 1974, di samping isu ‘kebuluran di Baling’ dan ‘rakyat lapar tanah’ memuncak di tengah masyarakat Melayu. Berikutan ketegangan yang dibangkitkan oleh aktivis pelajar menerusi demonstrasi itu, Dato’ Seri Anwar ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Sebelum dikenali sebagai aktivis belia, di samping mengasaskan penubuhan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) pada 1971, Dato’ Seri Anwar merupakan pemimpin pelajar ketika menuntut di Universiti Malaya.

Pada 1968 beliau ialah Presiden Kesatuan Bahasa Melayu, di samping Presiden Kesatuan Kebangsaan Penuntut Muslim Malaysia. Beliau juga dikenali sebagai pemidato yang mampu memukau audien, kerana ketika menuntut di Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK), Dato’ Seri Anwar mewakili sekolah dalam pertandingan pidato. Bukan sahaja Dato’ Seri Anwar dianggap sebagai pemidato yang dikagumi, malah ibunya Datin Che Yan Hussein juga dikatakan pemidato Pergerakan Kaum Ibu (Wanita) UMNO pada period pra merdeka. Apalagi ayahnya Dato’ Ibrahim Abdul Rahman juga memang pimpinan terkemuka UMNO negeri Pulau Pinang yang terbabit dalam gerakan nasionalisme sekitar dekad 1940-an.


Dato’ Ibrahim juga merupakan Ahli Parlimen Seberang Tengah (sekarang Permatang Pauh) bagi penggal 1959-1969, malah dilantik menjadi Setiausaha Parlimen Kementerian Kesihatan di bawah pentadbiran Tunku Abdul Rahman selaku Perdana Menteri. Sebagai aktivis Pergerakan Kaum Ibu UMNO di utara, Datin Che Yan dikatakan sentiasa membawa Dato’ Seri Anwar menyertai aktivitinya dalam pimpinan UMNO. Ironinya, Dato’ Seri Anwar seolah-olah tak berminat menyertai UMNO apabila beliau lebih cenderung dalam gerakan ABIM, dengan rakan-rakannya di kalangan bekas pelajar di Mesir seperti Dato’ Fadzil Noor, Dato’ Seri Hadi Awang dan Dato’ Nakhaie Ahmad. Malah pada 1969, Dato’ Seri Anwar dilihat berganding dengan (Tun) Dr Mahathir tampil di pentas PAS, berikutan pemecatan pemimpin berkenaan dari UMNO.

Dato’ Seri Anwar ditahan di bawah ISA (1974-1976), sebelum menyertai UMNO pada 1982, ketika menerima sokongan lebih 40,000 ahli ABIM. Tengku Razaleigh Hamzah dan Dato’ Ibrahim Ali dikatakan terbabit di peringkat awal bagi memujuk Dato’ Seri Anwar menyertai UMNO, malah mereka berdua yang membawanya menemui Tun Dr Mahathir di Seri Perdana. Apalagi hubungan Tun Dr Mahathir memang akrab sejak 1969, setelah terbabit menyibarkan ‘surat layang’ bagi mengkritik pimpinan Tunku ketika itu. Insiden pemecatan Dato’ Seri Anwar dari jawatan Timbalan Perdana Menteri, di samping disingkirkan dari UMNO, memang mengubah lanskap politik tanah air apabila anjakan pengundi Melayu pada pilihanraya 1999, hampir menggugat kestabilan UMNO. Entahlah!

Dilahirkan pada 10 Ogos 1947 di Ceruk Tok Kun, Bukit Mertajam, Pulau Pinang, Dato’ Seri Anwar menerima pendidikan awal di Sekolah Stowell, Bukit Mertajam. Ketika melanjutkan pelajaran ke MCKK, 1960-1966 Dato’ Seri Anwar mengenali rakan-rakannya Tan Sri Sanusi Junid, Dato’ Kamaruddin Jaafar dan Tan Sri Yahaya Ahmad. Memasuki Universiti Malaya pada 1967 dalam bidang Pengajian Melayu, beliau dikenali sebagai aktivis pelajar yang radikal. Tidak hairanlah selepas menamatkan pengajian di universiti, Dato’ Seri Anwar lebih cenderung membuka sekolah swasta, dalam usaha meningkatkan pendidikan akdemik di kalangan anak-anak Melayu. Sekolah swasta yang dikenali ‘Yayasan Anda’ menerima sokongan moral dari rakan-rakannya bagi membantu pembelajaran. Beliau turut membuat anjakan paradigma, dengan memberi galakan kepada pelajar-pelajar di Yayasan Anda berpakaian ‘menutup aurat’.
(‘100 Tokoh Malaysia’ merangkumi Dato’ Onn, Tunku, semua PM dan TPM, menteri kabinet pertama, MB pertama pra merdeka, MB pertama pasca merdeka, tokoh ekonomi, tokoh politik radikal, tokoh persuratan, tokoh sukan dan beberapa lagi. Bagi sesiapa yang ingin memiliki pesanan boleh dibuat kepada: Kantung Network Sdn Bhd [u.p.: Encik Nasiri Hamid], 6-4-1 Diamond Square Commercial Centre, Jalan 3/50 off Jalan Gombak, 53000 KL, tel: 03-4023 4459, faks: 03-4024 7952).

INFO SUARA PROLITAR

DOSA FITNAH LEBIH BESAR
DARIPADA PERBUATAN MEMBUNUH!

Mafhom firman Allah: “Dan berbuat fitnah lebih besar (dosanya) daripda membunuh. Mereka tidak henti-hentinya memerangi kamu sampai mereka (dapat) mengembalikan kamu dari agamamu (kepada kekafiran), seandainya mereka sanggup (ayat 217, surah al-Baqarah). Fitnah di sini maksudnya penganiayaan dan segala perbuatan bertujuan untuk menindas Islam dan Muslimin. Mafhom firman Allah: “Dan Allah mengetahui siapa yang membuat kerosakan dari yang mengadakan perbaikan. Dan jikalau Allah menghendaki, nescaya Dia dapat mendatangkan kesulitan kepadamu. Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. – (SMS; 18 Ogos 2008; 7: 22: 09 – ALBA, Jelebu, Negeri Sembilan)

ORANG RAMAI EJEK NAJIB
JENG JENG JENG! JENG JENG JENG!


Najib (Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak) betul-betul berang. Orang-orang Permatang Pauh laung dia jeng jeng jeng! News keluar kat TV3. Salah siapa, kalau bukan salah sendiri? Dia yang mula-mula cakap BN ‘underdog’! Hari ini surat kahbar pula kata sokongan kepada BN dah meningkat 5%, baru dua hari kempen. Tapi di Selangor 1,500 ahli dan penyokong MIC masuk PKR. MCA tak mahu komen, sama ada pengundi Cina sokong atau tidak BN. Orang UMNO asyik perang sama sendiri, di Kelantan buat report polis Zaid Ibrahim nak jadi ketua Bahagian. Di Sabah kecoh Osu Sukam. Di Johor, Syed Hamid Albar jeng jeng jeng juga! Apa lagi ada pada UMNO? (SMS; 18 Ogos 2008; 19:52: 33 – Dr SIM, Tapah, Perak).

ANAK RAJA LEBIH CERDIK
DARIPADA PEGUAM YANG PINTAR.

Pada waktu darurat (dekad 1950-an) nama peguam Rajasuria sangat digeruni. Bukan sahaja beliau selalu menang dalam perbicaraan, malah di mahkamah Rajasuria boleh jerkah siapa sahaja. Termasuklah kes militan komunis yang ditangkap oleh Askar Melayu di Mentakab, Pahang dibebaskan. Tengku Osman Jewa yang berpangkat kapten ketika itu bimbang berhadapan dengan Rajasuria. Kalau ditembak mati pun militan komunis jadi masalah kepada Askar Melayu. Bagai menghadapi kerenah Rajasuria ini, Tengku Osman memberi arahan tembak sahaja mereka yang disyaki militan komunis di bahagian hadapan. Jadi, apabila dalam perbicaraan Rajarusia terpaksa akur, kerana militan komunis cuba melawan dan bukan melarikan diri. Rupa-rupanya anak raja lebih cerdik daripada peguam berkenaan yang dianggap pintar (sila rujuk buku ‘Askar Melayu 50 Tahun’ oleh Tan Sri A Samad Idris; Pustaka Budiman, KL; 1983) – (emel, 18 Ogos 2008; Man Cincai, Selayang, Selangor).

KOMENTAR
bersama Pak Parjo

PENITIR CANANG BERASA SUKACITA:
PERIHAL SUMPAH ‘PERMATANG PAUH’

Kata sahibul hikayat tersebutlah ceritera Orangkaya Dato’ Arif Shah Omar Shah yang pandai berbahasa Cina mahu menghapuskan ‘sumpah Permatang Pauh’ sejak 10 tahun lalu. Syahdan akan Orangkaya Dato’ Arif Shah mengaku tidur dua jam sahaja (baru dua hari gerangannya, apabila diminta melawan bekas Orangkaya Dato’ Seri Anwar Ibrahim). Adapun semua penitir canang arus perdana hari ini 16 Syaaban 1429 (seperti disebut orang banyak 18 Ogos 2008), menyebut fasal keganasan yang dilakukan oleh orang-orang bekas Orangkaya Dato’ Seri Anwar. Arakian akan penitir canang berasa sukacita memberitahu sekalian orang banyak akan keganasan itu. Maka fakir juga bertanya di dalam hati akan perihal Hang Jebat yang mengamuk membunuh beribu-ribu rakyat jelata, tetapi berapalah ramainya penduduk Melaka ketika itu, adanya.


Arakian kararlah akan Orangkaya Dato’ Arif Shah mahu hapuskan ‘sumpah 10 tahun di Permatang Puah’ itu. Maka kata segala orang banyak, akan hamba Melayu itu memang suka mereka bersumpah. Syahdan dijadikan orang barang permainan wayang perihal sumpah itu seperti disebut ‘Sumpah Orang Minyak’, ‘Sumpah Pontianak’, ‘Sumpah Wanita’, Nakhoda Tanggang juga disumpahlah menjadi batu, Pulau Langkawi pun disumpah oleh Mahsuri menjadi padang jarak padang tekukur, maka Bukit Gelanggi pula disumpah Sang Kelembai menjadi batu. Syahdan Megat Seri Rama disumpah muntah darah kerana membunuh rajanya di hadapan masjid. Akan Sultan Mahmud itu berdarah putih, samalah seperti perihal Mahsuri itu.

Sebermula adapun Hang Isap itu berniaga dengan seorang saiyid hamba Allah. Pada kira-kira saiyid itu ada emasnya sedikit lagi pada Hang Isap. Maka kata Hang Isap, ‘Tiada’. Maka berbantahlah saiyid itu dengan Hang Isap. Maka kata Hang Isap, ‘Wali apa ini yang menuduh orang tiada dengan sebenarnya? Wali pelir gerangan namanya’. Maka kata saiyid itu, ‘Hang Isap, aku seorang hamba Allah, engkau beri buah pelir; adapun engkau kembali itu kharablah’. Maka Hang Nadim menyembah pada wali itu katanya, ‘Tuan, saya memohonkan ampun, sahaya jangan dimasuk-masukkan pada pekerjaan ini’. Maka oleh wali itu disapu-sapunya belakang Hang Nadim, katanya, ‘Nadim, Nadim, engkau selamat’. Maka saiyid itu pun kembali pulang ke rumahnya. Maka Hang Isap belayar kembali ke Melaka, telah datang di laut karamlah kapalnya kerana disumpah oleh saiyid itu seperti disurat dalam ‘Kitab Melayu’ oleh:














HIDUP BAHASA MELAYU!

No comments:

Post a Comment