Thursday, August 21, 2008

WARGA PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
S U A R A <<<>>> P R I M A

(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG


RISAUKAN KAKI TERKENA ‘GOUT’
LEBIH RISAUKAN GEJALA SOSIAL

Assalamualaikum,

Disebabkan keletihan sangat saya tidur awal (20 Ogos 2008), hingga tak sedar Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah menelefon jam 10.30 malam. Apabila saya menelefon semula pagi ini (21 Ogos 2008) 10.00 a.m.; beliau macam tak percaya saya tidur awal, kerana biasanya hingga jam 12.00 malam telefon tetap disambut. Apalagi Yassinsalleh atau Zakaria Bidin menjadi fardu pula mengirim SMS melewati jam 2.00 pagi. Heh heh heh! Tetapi tak boleh beritahu mengenai gangguan ‘gout’, mungkin sahaja Asalbayu di Kedah akan syor mencari belut di permatang sawah. Lainlah kalau di Kedah, Perlis, Perak dan Tanjong Karang (Selangor) memang masih banyak bendang beroperasi dengan belut membiak banyak. Pada dekad 1990-an ketika sering berulang alik ke ranah Minang (Sumatera Barat) bersama Mamak Bandaro (Tan Sri Abdul Samad Idris), memang belut menjadi menu yang dihidangkan.

Sebelumnya, adik angkat saya Ir Adnan Haji Khalid berkunjung ke rumah berikutan gejala sosial di kalangan remaja yang sukar dibendung. Anak gadisnya masih dalam Tingkatan 5 menerima SMS lucah dari anak muda yang menyalahgunakan telefon bimbit sekalipun habiskan wang beratus-ratus ringgit untuk memiliknya. Apalagi kalau gunakan prepaid, sekurang-kurangnya habiskan RM10 seminggu, tetapi digunakan kepada tujuan tak bermanfaat. Begitulah! Gejala sosial di kalangan anak remaja, terlalu sukar dipantau sekalipun kementerian belia dan sukan diberi tanggungjawab, di samping Pusat Latihan Khidmat Negara (LPKN) diperuntukkan berjuta-juta ringgit (semuanya seolah-olah jadi sia-sia belaka). Sebaliknya pimpinan masyarakat mahupun pakar motivasi akan salahkan ibu bapa setiap kali remaja, terbabit dengan gejala sosial. Aduhai!

Baru-baru ini saya mengikuti tazkirah di sebuah masjid dengan menyebut kesilapan-kesilapan yang dilakukan semasa berdoa, di samping mendirikan solat. Justeru teringat saya akan ceramah pendakwah Dato’ Ismail Kamus yang menyebut penceramah agama sering menakut-nakutkan audien, misalnya bagi memeluk Islam mesti ‘potong’. Sukar pula menemui pendakwah-pendakwah yang mempunyai pendekatan seperti Dato’ Ismail Kamus bagi menarik audien ke masjid, apabila ianya diselitkan dengan gelak ketawa. Memang Allahyarham Tan Sri P Ramlee juga berdakwah menerusi karya perfileman dengan pendekatan ‘humor’ seperti keperihalan filem ‘Seniman Bujang Lapok’ apabila Dato’ Aziz Sattar menasihati Kuswadinata yang berpoligami.

Apabila terbabit sebagai aktivis ‘Belia Harapan’ (Persaudaraan Nasrul Haq) pada dekad 1970-an dan 1980-an bersama Mamak Bandaro, memang pendekatan menarik belia-beliawanis ialah menerusi ‘seni mempertahan diri’. Setiap kali digerakkan kursus ‘Belia Harapan’ aspek yang diberi penekanan adalah Agama, Ekonomi, Keselamatan dan Kebudayaan. Penceramah yang diundang dari jabatan-jabatan khusud seperti Agama (Jabatan Agama Islam Jabatan Perdana Menteri), Ekonomi (MAMPU), Keselamatan (Bukit Aman) dan Kebudayaan (KKBS). Tengku Razaleigh selaku Menteri Kewangan ketika itu ‘tak kedekut’ memberikan peruntukan menerusi KKBS. Tak hairanlah ketika saya bertemu Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi di Seberang Jaya (27 November 1999) beliau terus bertanya sama ada saya masih ‘boleh jurus’ atau sebaliknya. Memang saya ‘tak boleh jurus’, sebab saya sekadar mentadbir sahaja, bukan jurulatih jasmani.

-Pak Dharma.

INFO HAK ASASI MANUSIA

TENGKU RAZALEIGH KE PERMATANG PAUH:
CERAMAH TAK TERMASUK JADUAL KUNJUNGAN

Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah dijangka ke Permatang Pauh 23 Ogos 2008 ini bagi membantu calon UMNO, Dato’ Arif Shah Omar Shah dalam pilihanraya kecil Parlimen Permatang Pauh. Beliau dijangka menemui petugas-petugas di bilik gerakan BN, di samping menemui pengundi-pengundi bagi merayu undi menjelang hari pengundian pada 26 Ogos 2008 ini, menurut bekas Exco Pemuda UMNO Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz. Bagaimanapun Tengku Razaleigh tak ikut sama berceramah, disebabkan tak termasuk dalam jadual kunjungan beliau ke Permatang Pauh. Tengku Razaleigh juga beritahu Dato’ Kamal Amir meminta setiap ahli-ahli UMNO mengambil pendekatan melupakan sebarang perbezaan pendapat ketika menghadapi pilihanraya kecil ini. “Ku Li ingatkan hanya perpaduan sahaja boleh membawa kepada kemenangan,” kata Dato’ Kamal Amir.

Bagaimanapun Dato’ Kamal Amir yang juga Jurucakap PRIMA meminta Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman memastikan daftar undi yang digunakan pada pilihanraya kecil ini adalah berdasarkan daftar pengundi PRU12. Menurut Dato’ Kamal Amir pihak PRIMA menerima desas desus sebanyak 12,000 pengundi baru dikesan dalam daftar pengundi baru di Permatang Pauh. Justeru katanya, sekiranya benar berlaku pendaftaran baru pengundi, SPR sebenarnya menolak UMNO ke dalam jurang kehancuran kerana keberangan rakyat sukar dihalang. Beliau menegaskan, UMNO tak mahu pemimpin-pemimpin mereka diusir seperti berlaku kepada Thaksin Sinawarta di Thailand atau Perzev Mussharaf di Pakistan. “Pemimpin UMNO akan mengikut jejak Thaksin dan Mussharaf, kalau SPR membuat rakyat berang,” beritahu Dato’ Kamal Amir selanjutnya.

URA-URA PENURUNAN HARGA MINYAK
ELAKKAN IKUT PAPAN JONGKANG-JONGKET

Bekas Menteri Perdagangan dan Perindustrian, Tengku Razaleigh Hamzah dikatakan kurang bersetuju, sekiranya pergerakan ekonomi Malaysia mengikut sistem ala ‘papan jongkang jongket’ di padang permainan kanak-kanak. Memberitahu wakil PRIMA hari ini (21 Ogos 2008), beliau menolak sebarang tanggapan ekonomi Malaysia ditentukan oleh indeks perdagangan di Ameriks Syarikat, kerana Malaysia mampu menentukan hala tuju pergerakan ekonominya. Tengku Razaleigh (Ku Li) dikatakan menyentuh ura-ura kerajaan akan menurunkan harga minyak pada hujung bulan ini, berikutan penurunan harga minyak di Amerika Syarikat. Justeru ianya tak logik, kalau harga minyak akan dinaikkan semula apabila Amerika Syarikat menaikkan harga minyak dalam tempoh beberapa bulan kemudiannya, malah ekonomi Malaysia akan menjadi ala ‘papan jongkang-jongket’, beritahu Ku Li kepada wakil PRIMA.

MENTERI ‘PONTENG’ HADIRI PARLIMEN
TAK PRIHATIN DALAM SESI SOAL JAWAB

Menteri Pelancongan, Dato’ Seri Azalina Othman Said disifatkan tak prihatin dengan tugasnya apabila ‘ponteng’ pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat pagi ini (21 Ogos 2008). Insiden soalan Ahli Parlimen tak dijawab di Dewan Rakyat hari ini berikutan menteri dan timbalan menteri terbabit ‘ponteng’, memperlihatkan kalangan ahli kabinet tak mempunyai ‘keputusan kolektif’, menurut bekas Timbalan Naib Canselor (HEP) UTM Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah. Beliau memberitahu sekretariat PRIMA, menerima laporan mengenai insiden Menteri Pelancongan tak berada di Parlimen ketika sesi soal jawab yang membabitkan kementeriannya. “Sepatutnya menteri yang lain boleh bangun menjawab bagi pihak rakan kabinet dalam mempertahan kewibawaan Parlimen,” kata Dato’ Dr Mohd Mansor menambah.

Seterusnya beliau memberitahu, pada 1980 pernah berlaku insiden menteri tak berada di dalam Dewan ketika sesi soal jawab yang membabitkan kementeriannya. Menurut Dato’ Dr Mohd Mansor berdasarkan hansad Parlimen, ketika itu Menteri Kebudayaan Belia dan Sukan, Tan Sri Abdul Samad Idris tak berada di Dewan apabila soalan dituju kepada kementeriannya. Dalam masa yang sama timbalan menteri dan setiausaha parlimen juga turut tak berada di Dewan, ujar Dato’ Dr Mohd Mansor lagi. Sebaliknya ‘keputusan kolektif’ bagi mempertahan kewibawaan Parlimen, menteri yang lain bangun mewakili kementerian terbabit membacakan teks jawaban yang disediakan. “Dato’ Seri Azalina sudah melakukan kesilapan, kenapa semua anggota kabinet turut melakukan kesilapan?” tegas Dato’ Dr Mohd Mansor.

INFO SASTERA & BUDAYA

DEKLAMASI PUISI PADA 29 OGOS
SEMPENA MENYAMBUT MERDEKA

Beberapa pendeklmator puisi akan menjayakan ‘Deklamasi Puisi Merdeka’ 29 Ogos 2008 ini di pekarangan rumah Juruacakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz, No 1 Jalan Suleiman 20, Taman Tun Dr Ismail. Menurut penyelaras deklamasi puisi PRIMA Zainal Abidin Rasidin, majlis sempena ‘Hari Kebangsaan’ itu memfokus kepada aspirasi perjuangan bangsa Melayu yang digerakkan menerusi penulisan sejak dipelopori oleh Ponggok (Mohd Yassin Maamor). Puisi-puisi Melayu menjadi landasan menyemarakkan perjuangan nasionalisme, di samping penulisan genre sastera yang lain termasuk cerpen dan novel, beritahu Zainal Abidin. Kebangkitan UMNO pada 1946 juga digerakkan oleh tenaga aktivis bahasa dan sastera yang menjadikan pejabat akhbar ‘Majlis’ sebagai sekretariat Kongres Melayu Pertama, ketika akhbar lain lebih cenderung mencari jalan selamat menyebelahi penjajah Inggeris, katanya.

Justeru menurut Zainal Abidin, pendeklamator PRIMA akan terbabit bersama penyair-penyair undangan bagi menyemarakkan perjuangan nasionalisme yang digerakkan sejak 1930-an dan 1940-an menerusi genre sastera. Antara pendeklamator PRIMA yang turut menyampaikan puisi-puisi terbaru termasuk M Ashikin, Yassinsalleh, Rozzie Kamal, L Mankadir Shamsi, Dr Seri Intan, Yasleh Rita Ayu, Nurul Salwa dan Zakaria Bidin. Pendeklamator undangan dijangka turut memberikan sokongan termasuklah pimpinan PAKSI, Dinsman, bekas Ahli Parlimen, Dato’ Ruhanie Ahmad, pengendali laman web kontroversi Raja Petra Kamaruddin. “Pimpinan PRIMA Pak Dharmala dan Dato’ Kamal Amir adalah antara pendeklamator yang pasti mendeklamasikan puisi,” beritahu Zainal Abidin.

SAJAK


Pandai Pak Pandir

Pandai Pak Pandir!
Anak dipijak dagang dijunjung
Kucing dibunuh, tikus dibela
Harta habis badan tergadai!

Mendengar gelagak dagang
Tak sedar bertelanjang
Mendengar guruh di langit
Air di tempayan dicurahkan!

Mulut disuap pisang,
Buntut dicangkuk onak –
Gunting makan di hujung –
Pak Pandir juga yang menanggung.

Apa didengar gelagak dagang? -
Gelagak rambutan jantan
Orang berbunga dia dia berbunga,
Orang berbuah dia haram!

Kilat memancar, hujan tak lalu,
Awak juga kecundangan!

-Za’aba
(dipetik dari ‘Kalung Bunga’, Buku 1, 1964)

INFO SUARA PROLITAR

TAK PATUT PEGUAM BERPENGALAMAN
BERCAKAP MENGHINA KOMUNITI INDIA

Terima kasih PRIMA. Saya sokong Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz desak peguam Muhammad Shafie Abdullah memohon maaf kepada komuniti India. Tak patut seorang peguam berpengalaman seperti dia, hina komuniti India apabila sebut ‘pariah’. Kalau dia marah pada Raja Petra Kamaruddin, tak patut heret komuniti India. Selepas terbaca komen PRIMA, saya akan sentiasa layari laman blog ini. Walaupun PRIMA berjuang untuk komuniti Melayu, tapi saya dapati ia juga prihatin kepada lain-lain kaum di negara ini. Teruskan bersama PRIMA. – (emel, 21 Ogos 2008 – A Ganes, Taman Seri Gombak, Selangor).

KOMENTAR
bersama Pak Parjo

KALAU MUSLIHAT TETAP MULSIHAT
TAK PERLU DINAFIKAN SECARA TERANCANG

Kata sahibul hikayat akan penghulu bendahari (disebut orang banyak di kemudian hari Badan Pencegah Rasuah) Dato’ Seri Ahmad Said Hamdan itu ditugaskan ia siasat sesiapa yang menyalah gunakan perbendaharaan. Maka disuratkan penitir canang hari ini 19 Syaaban 1429 (atau disebut anak cucu fakir 21 Ogos 2008), anak-anak buah bekas Orangkaya Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim ditangkaplah oleh orang-orang penghulu bendahari. Arakian beberapa lamanya Dato’ Seri Ahmad Said itu di atas jawatannya, akan anak-anak buah Orangkaya Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi dan anak-anak buah Orangkaya Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak tidaklah disenarainya. Maka pegawai-pegawai tinggi dalam jabatan sahaja yang ditangkap oleh penghulu bendahari itu, adanya.

Hatta, maka Betara Majapahit menyuruh panggil seorang kepetangan yang terlalu tahu, lagi lekas daripada yang lain (disebut orang kemudian hari ialah konspirasi). Maka titah Betara Majapahit kepada kepetangan itu, ‘Sendalkan aku keris Tun Bija Sura itu, kerana ia cerdik amat ku lihat’ (dikatakan oleh anak cucu fakir seakan-akan kejadian bekas Orangkaya Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang terlalu cerdik dibandingkan dengan Orangkaya yang menunggu giliran itu heh heh heh!). Maka sembah kepetangan itu, ‘Apa daya kulo menyendal dia kerana Melayu ini berkeris di hadapan? Jika ia berkeris di belakang dapat juga kulo sendal’. Maka titah Betara, ‘Benarlah katamu itu.’ Telah esok hari maka Betara Majapahit pun keluar dihadap orang, maka segala raja-raja sekalian pun ada hadir. Maka titah Betara pada Sultan Mansor Shah, ‘Suruh apa Tun Bija Sura memakai cara Jawa’ (kata orang kemudian hari, itulah konspirasi) seperti disurat oleh ‘Kitab Melayu’ daripada:













HIDUP BAHASA MELAYU!

No comments: