Friday, September 5, 2008

WARGA PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
S U A R A < < < > > > P R I M A
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG


BELIA MENJADI MANGSA KEKELIRUAN
MEMERLU BUDI BICARA POLIS BEBASKAN

Assalamualaikum,

Malam kelmarin (2 September 2008) hampir jam 12.00 malam keluarga Mohd Safri bin Umar, k/p 840102-10-5041 dari Kampung Nakhoda, Batu Caves menemui saya beritahu mengenai insiden di KLCC malam count down ‘Hari Kebangsaan’ yang turut menyebabkan remaja dari Cheras cedera parah. Ayahnya, Umar seorang pemandu lori tak dibenarkan menemui anaknya yang ditahan polis, malah diberitahu tak tahu menahu mengenai insiden tersebut. Sebaliknya Mohd Safri ditahan polis, ketika cuba melindungi Mohd Haziq Dinie bin Mohd Rafiq, 16 yang dibelasah di khalayak ramai, semata-mata disyaki menggunakan pisau menyebabkan remaja dari Cheras itu cedera parah. Memang berlaku kekeliruan, apabila pihak polis diberitahu remaja yang menggunakan pisau itu berbaju merah dan berambut punk.

Disebabkan Mohd Haziq Dinie memakai baju pink (sekalipun tak berambut punk), anak kecil itu dibelasah, justeru Mohd Safri yang berusia 24 tahun cuba melindunginya. Implikasinya Mohd Safri turut ditahan dalam kekalutan yang sukar ditafsir, ditaksir dan ditadbir itu. Aduhai! Bagaimanapun Mohd Haziq Dinie sudah dibebaskan dengan jaminan polis malam 2 September 2008 (iaitu kira-kira jam 9.00 malam), setelah campur tangan Setiausaha Politik Perdana Menteri, Dato’ Suhaimi Ibrahim dan Ahli Parlimen Wangsa Maju YB Wee Choo Keong. Sebaliknya Mohd Safri sehingga 3 September 2008 masih belum dibebaskan, di samping ibu bapanya juga tak dibenarkan bertemu sekalipun beliau sekadar mangsa kekeliruan.

Pengendali laman blog, Sallehuddin mengirim SMS sebaik sahaja selesai berbuka puasa semalam (4 September 2008), beritahu tokoh kewartawanan Melayu Tan Sri A Samad Ismail meninggal dunia kira-kira 5.30 pm. Al-Fatihah! PRIMA memanjangkan kepada semua rakan-rakan berita berkenaan, tetapi sejurus kemudian disiarkan menerusi Buletin Utama TV3 jam 8.00 malam. Tan Sri A Samad (Pak Samad) yang dikatakan eksyen sikit, tetapi banyak membantu penulis-penulis muda sekitar dekad 1960-an dan 1970-an. Penulis muda yang tak tahan dengan gelagat Pak Samad, mungkin sahaja tersinggung kalau artikel dikerenyuk ke dalam bakul sampul, kemudian ditujah dengan hujung sepatu. Sebaliknya seminggu selepas itu artikel berkenaan pasti disiarkan di akhbar Berita Harian dengan sudah dibuat correction. Begitulah!

Di samping ketokohan dalam kewartawanan, Pak Samad juga dikenali sebagai sasterawan yang keras seperti novelnya ‘Patah Sayap Terbang Jua’, ‘Tembok Tidak Tinggi’, ‘Orang Juah’, ‘Kail Panjang Sedepa’, ‘Menimba Yang Jernih’ atau ‘Menduga Lautan Dalam’. Pak Samad pernah dianugerahkan ‘Hadiah Pejuang Sastera’ pada 1976 bersama lain-lain tokoh sastera termasuk Kris Mas, Usman Awang, Pak Sako, Shahnon Ahmad. Ironinya tak lama selepas menerima anugerah berkenaan Pak Samad ditahan di bawah ISA bersama Dato’ Abdullah Ahmad (Timbalan Menteri Sains dan Teknologi) dan Dato’ Abdullah Majid (Timbalan Menteri Buroh) dalam episod yang dikenali sebagai ‘Tiga Abdul’ kerana didakwa terbabit dengan anasir komunisme. Entahlah!

-Pak Dharma

INFO HAK ASASI MANUSIA

ANGIN DARI SABAH & SARAWAK
MEMBAWA PERUBAHAN 16 SEPTEMBER

Langkah kerajaan Pusat di bawah Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi mencurahkan peruntukan berganda ke Sabah dan Sarawak pada pembentangan bujet 2009 di Parlimen, Jumaat lalu (29 Ogos 2008) disifatkan sebagai spekulasi yang hampir menjadi kenyataan. Menurut pemerhati politik, angin perubahan dari Sabah dan Sarawak sedang mara ke Kuala Lumpur bagi membawa perubahan pada 16 September 2008 ini. Kalau laporan berkenaan sekadar ‘khabar angin’ beritahu pemerhati politik terbabit, tak mungkin Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah segera ke Sabah, di samping Dato’ Anifah Aman membuat kenyataan insiden berkenaan tak akan berlaku. “Dato’ Anifah tak mungkin bersuara kalau ianya sekadar spekulasi,” beritahu pemerhati politik yang membuat analisis megenai senario sekarang.

Malah menurut sumber, Dato’ Anifah juga pernah merungut seolah-olah merasa ‘panas telinga’ dengan senario politik di Sabah bagaikan terlalu banyak bergantung kepada ‘nasihat’ Putrajaya. Justeru kata pemerhati politik, Dato’ Anifah dikatakan kurang senang apabila Sabah dilabel sekadar mengikut ‘rules’ Putrajaya. Seterusnya sumber berkenaan menambah, majoriti ahli UMNO peringkat akar umbi di Sabah mahu pimpinan di negeri bersikap tegas seperti dilakukan di Sarawak. Dalam kemelut sekarang, beritahu sumber tersebut selanjutnya, angin perubahan dari Sabah dan Sarawak semakin jelas menerobosi senario politik di Malaysia menjelang 16 September. “Laporan mengenai Ahli-Ahli Parlimen serentak bercuti ke luar negeri, menunjukkan ianya bukan sekadar spekulasi lagi,” sumber berkenaan menjelaskan.

TAK SALAH DARI PERSFEKTIF SEJARAH:
PARTI BUKAN MELAYU CARI KESEMPATAN.

Ketua UMNO Bukit Bendera Dato’ Ahmad Ismail tak melakukan sebarang kesilapan dari persfektif sejarah apabila membangkitkan isu komuniti Cina tak sewajar menerima hak istimewa yang sama dengan orang Melayu, beritahu Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz. Katanya, adalah sangat malang apabila parti-parti politik bukan Melayu ‘menangguh di air keruh’ berikutan keparahan UMNO selepas PRU12 dengan membuat laporan polis di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948. Sebaliknya jelas Dato’ Kamal Amir selanjutnya, sebelum PRU12 komuniti bukan Melayu yang banyak membangkitkan isu ‘kontrak sosial’, tetapi UMNO tak pernah membuat laporan polis. “Dato’ Ahmad Ismail tak melakukan kesalahan dari perspektif sejarah, tetapi MCA dan Gerakan terikut-ikut rentak DAP,” beritahu Dato’ Kamal Amir.

Seterusnya Dato’ Kamal Amir menambah, pada tahun 1980 Pemuda MCA ketika itu di bawah Tan Sri Lee Kim Sai sengaja memprotes kertas kerja Allahyarham Tan Sri Abdul Samad Idris (ketika itu Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan) apabila menyebut Kuala Lumpur bukan dibuka oleh Yap Ah Loy, tetapi usaha gigih Raja Abdullah bin Raja Jaafar pada 1857. Tak berlaku sebarang kesalahan dari perspektif sejarah, tetapi MCA tetap juga membuat provokasi. Masyarakat Cina tak mendapat sebarang manfaat daripada provokasi MCA itu, sebaliknya memberi ruang kepada Lee Kim Sai meningkatkan prestasi politik dari Exco Selangor kepada menteri kabinet dan Timbalan Presiden MCA, ujar Dato’ Kamal Amir.

BELASUNGKAWA KEPADA PAK SAMAD
WARTAWAN TERBILANG SEPANJANG ZAMAN

Warga Prihatin Malaysia (PRIMA) mengucapkan belasungkawa kepada keluarga Tan Sri Abdul Samad Ismail (Pak Samad), berikutan berpulangnya ke rahmatullah tokoh wartawan berkenaan semalam (4 September 2008). Aktivis PRIMA Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah yang juga bekas Timbalan Naib Canselor (HEP) UTM menyifatkan Pak Samad adalah wartawan terbilang sepanjang zaman, dengan komitmen beliau dalam bidang persuratkhabaran sejak dekad 1930-an. Menurut Dato’ Dr Mohd Mansor dalam bidang kewartawanan Pak Samad mempunyai pengikutnya tersendiri yang mampu mempertajamkan debat terbuka menerusi media. “Bangsa Melayu kehilangan wartawan terbilang sepanjang zaman, malah pada periodnya mampu mencorakkan pemikiran rakyat menerusi akhbar,” beritahu Dato’ Dr Mohd Mansor.
Sementara itu penyair Yassinsalleh mengakui bangsa Melayu kehilangan wartawan besar yang tak terikat dengan pengaruh politik dalam melaksanakan tugasnya, di samping mengasuh ramai penulis-penulis muda berani menyampaikan pandangan secara terbuka. Yassinsalleh memberitahu, beliau terus ke rumah Pak Samad jam 9.00 pm (4 September 2008), sebaik sahaja diberitahu oleh rakan-rakan bagi mewakili PRIMA. Pak Samad yang mengalami masalah paru-paru apabila dimasukkan ke wad ICU Pusat Perubatan Pantai sejak 24 Ogos lalu, meninggal dunia jam 5.58 petang (4 September 2008). Jenazahnya selamat disemadikan selepas solat Jumaat hari ini (5 September 2008) di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara. “Pihak PRIMA mengucapkan belasengkawa kepada keluarga Allahyarham Pak Samad, semoga Allah dicucuri rahmat ke atas rohnya,” ujar Yassinsalleh.

INFO SASTERA & BUDAYA

NOVEL ‘SAINS FIKSYEN’
JAUH DI PULAU RAHSIA
Oleh: Ikram Hafiz
(Sebelum memasuki Unisel pada Mei 2008, Allahyarham Ikram Hafiz bukan sahaja berbakat dalam kraftangan dan elektrikal ketika belajar di Sekolah Menengah Teknik Gombak, malah terbabit dalam karya kreatif. Ikram Hafiz pernah menghasilkan novel sains fiksyen pada 2007, ketika membuat kerja sambilan menjual burger. Hanya sebuah sahaja novel yang dihasilkannya, dan diterbitkan oleh Mulya Utama Enterprises, Taman Seri Gombak, Batu Caves, Selangor. Mulai sekarang, novel karya Ikram Hafiz dimuatkan dalam laman blog ini).

(sambungan semalam)


(2)

HANG JEBAT TURUN KE LAUT:
SEKOLAH TEKNIK, BUKAN MEKANIK!

“Kamu menuntut di sekolah teknik, takkan tak boleh baiki enjin bot ni,” kawan saya Usin Sodok mencuit bahu saya.

“Saya belajar di sekolah teknik, bukan sekolah mekanik,” sahut saya bergurau sekalipun hati tetap cemas dilambung ombak Selat Melaka.

“Hah, itulah kamu semua berangan-angan nak jadi Hang Tuah lima sahabat, konon,” ujar kawan saya yang bertubuh kurus Mail Kengkang, pelajar Tingkatan Empat di Sekolah Menengah Khir Johari di Sungai Sumun.

“Jangan merepek, kita kena fikir sama-sama macam mana nak balik!” segera Abang Din ingatkan kami semua.

Memang sebelum turun ke laut, kami semua berangan-angan mahu mengikut jejak Hang Tuah lima sahabat turun ke laut. Abang Din kami anggap Hang Tuah, sementara saya pula dilabel menjadi Hang Jebat. Kawan-kawan yang lain Usin Sodok kononnya Hang Kasturi, Mail Kengkang pula dianggap Hang Lekir dan Sahak Salai kami panggil Hang Lekiu.

Bersemangat betul kami turun ke laut pagi-pagi bersama Abang Din dengan rahsiakan daripada keluarga. Tujuan kami sekadar ikut Abang Din memancing, bukanlah mahu mengikut jejak Hang Tuah menjadi wira di laut sebagai laksamana. Kebetulan pula kami berlima di dalam bot; justeru kami berangan-angan seolah-olah Hang Tuah, Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir dan Hang Lekiu turun ke laut.

“Abang Din macam Hang Tuah, sebab itu kena jadi ketua kami semualah,” saya berdiri di haluan bot bercekak pinggang seolah-olah Hang Jebat berhati berani. Sebenarnya hati saya memang kecut melihat ombak bergulung dengan tak kelihatan tanah daratan lagi.

“Tengah laut ni jangan fikirkan siapa ketua, yang penting kita boleh balik ke tepi,” kata Abang Din mengerling saya. Dia memberi isyarat menyuruh saya mengambil tin bekalan minyak petrol di bawah kelong.

Segera saya ambilkan bekas minyak petrol dihulurkan kepada Sahak Salai yang tergaruk-garuk paha akibat disilau terik panas cahaya matahari kerana berseluar pendek sahaja. Dia unjukkan pula pada Abang Din yang menunggu di buritan bot.

Sebenarnya bot milik ayah Abang Din, sekadar sampan dengan kapisiti muatan tiga orang dewasa sahaja. Enjin sangkut yang digunakan pula merupakan subsidi jabatan perikanan kepada nelayan, melalui usaha atuk memohon mendapatkan bantuan tersebut untuk nelayan-nelayan pantai di Bagan Sungai Belukang.

Sebab itu mereka di bagan berkenaan anggap atuk macam ketua nelayan di situ, sekalipun tak siapa yang mengiktirafnya. Atuk juga tak harap mahu jadi ketua nelayan, asal sahaja semua kawan-kawan nelayan dapat enjin subsidi, dia turut rasa gembira.

“Kalau kamu ada idea nak baiki enjin bot, cubalah Hafiz,” keluh Abang Din macam berputus asa setelah usahanya gagal. Enjin bot masuh belum berfungsi sekalipun minyak petrol disimbahkan sedikit pada kabarator.

“Fasal enjin, memang saya tak tahu Abang Din,” jelas saya mengakui. Lainlah kalau mengenai komputer memang saya memahami serba sedikit.

(bersambung…)

SAJAK

Cik Ke Cik Ke Boom

Cik ke cik ke boom
cik ke cik ke boom!
timang-timang anakku sayang
lekas besar rajin belajar
jadi orang berguna.

Cik ke cik ke boom
cik ke cik ke boom
ingat-ingat anakku sayang
bila besar jangan menjadi
pembeli kapal selam
nanti karam tenggelam.

Cik ke cik ke boom
cik ke cik ke boom
sudah besar jangan khianat
nanti terkena laknat.

Cik ke cik ke boom
cik ke cik ke boom
jangan main keris dan sumpah
nanti senjata memakan tuan
azabnya termakan sumpah.

Cik ke cik ke boom
cik ke cik ke boom
timang-timang anakku sayang
pagar jangan memakan padi
jual bangsa dan negeri.

-Yasleh Rita Ayu
UKM, Bangi, Selangor.
3 September 2008.


Dalam Jihad Kami Memohon

Betapalah, ya
alam seindah ini
diranjaukan setiap denai
dengan pecahan kaca
dari botol-botol anggur
yang terpacak di antara rekahan paha
perempuan yang digelimpangkan
selepas setiap pesta lelong Belanda
para pemburu khazanah qarun
menjual ibu mereka
di ranjang erotika bangsa.

Maka kita anak-anak
satu keturunan yang tersula di mata,
yang tertusuk di dada
terus jua merentas malam bulan terendam,
tetap jua melintas mentari rebah pagi.

Dan apapun jua tanggungan
nestapa yang dipaksakan
ke atas kita lantaran khianatnya
para nakhoda pimpinan
armada bahtera bangsa
yang telah mengosongkan padi di kepuk,
yang telah mengeringkan air di telaga
dan lari mencari damai abadi
entah di mana!

Dengan ini kami bersumpah
demi pertiwiku Tanah Melayu
demi bangsaku bernama Melayu,
demi kesucian Islam agamaku
akan kami rungkai kekalutan sejarah
akan kami tegakkan tamaddun ilmu,
akan kami keramatkan tamaddun peradaban
akan kami mertabatkan keagungan iman.

Dalam jihad kami memohon
keredhaan Illahi –
agar tidak akan lagi berulang
pagar memakan padi
haruan memakan anak
dalam kepimpinan bangsaku MELAYU!

-Yassinsalleh
Kajang, Selangor
4 September 2008.


INFO SUARA PROLITAR

MAZLAN & KADAR SHAH
ACA REPORT AGAINST PAK LAH.

Follow up to ACA report against Pak Lah (Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi) by
Mazlan Harun (Dato’ Mazlan Harun): Tomorrow morning 9.00 am (4 September 2008) at Wilayah (Persekutuan) ACA office, Dataran Merdeka. Dato’ Mazlan and Dato’ Kadar Shah will submit affidavits from witnesses. Please distribute. – (SMS; 3 September 2008, 23:57:24 – Sallehuddin, KL).

PASTIKAN JENAZAH PAK SAMAD
DITUTUP DENGAN BENDERA MALAYSIA.

Forward Sdr Zaharin Yassin; Saudara Bentaraguru, pastikan keranda jenazah Pak Samad (Tan Sri A Samad Ismail) ditutup bendera Malaysia. Kita mesti iktiraf dia sebagai nasionalis dan pahlawan. Salam – (SMS; 4 September 2008; 23:57:10 – Dr Seri Intan, Tapah, Perak).
KOMENTAR
bersama Pak Parjo

BOCORKAN LAPORAN RAWATAN LIWAT
SUKARNYA JADI TABIB DI NEGERI MELAYU

Syahdan terlalu masyghol Tabib Mohamed Osman (atau disebut anak cucu fakir Dr Mohamed Osman) kerana dituduh membocorkan laporan rawatannya terhadap seorang pemuda bernama Mohd Saiful Bukhari Azlan. Adapun laporan rawatan Tabib Mohamed Osman mengenai tuduhan liwat ke atas Orangkaya Permatang Pauh, Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Arakian pada suatu hari semalam 4 Ramadan 1429 (atau disebut orang banyak 4 September 2008), Tabib Mohamed Osman memberitahu orang banyak akan perihal ia tak terbabit dengan siasah. Maka segala kerja-kerja yang dibuatnya adalah perkara hal ehwal ketabiban belaka, adanya. Maka kata yang empunya cerita, setelah dirawat oleh Tabib Mohamed tiadalah kesan liwat pada dubur pemuda itu. Arakian terlalulah sukar menjadi tabib di negeri Melayu itu, adanya.

Sebermula ada seorang anak Sewri Nara Diraja, telah kena parang oleh seorang Benggali, Miasam namanya, dari ekor pipinya lalu ke keningnya, tetapi kehujungan; maka Tun Hamzah tertiarap. Maka Sang Sura pun datang dari dalam berlari-lari membawa titah katanya, ‘Jangan dihabiskan semuanya dibunuh, tinggalkan seorang akan benih.’ Maka kata Tun Indera Segara, ‘Encik Hamzah ini mari kita ubati, mudah-mudahan hidup.’ Arakian Tun Hamzah diambil oleh Tun Sura Diraja, dipersembahkan ke bawah duli Sultan Mahmud. Maka disuruh baginda ubati pada tabib. Maka dengan takdir Allah Taala, belum sampai bilangannya tiada ia mati. Telah Tun Hamzah sembuh, ia sangat disayangi baginda, bukanlah tabib yang berjasa merawatnya itu seperti dikarang dalam ‘Kitab Melayu’ daripada:


HIDUP BAHASA MELAYU!

1 comment:

  1. PADA 28.8.2008 sekitar jam 3.00 petang, Ruhie Isma sms minta hadhir di Auditorium Taman Budaya, Alor Setar untuk jadi extra sebuah drama terbitan RTM. Lebih kurang jam 5.30 petang Ruhie telefon maklumkan ada perubahan tempat iaitu di Auditorium RTM, Kompleks Mu’adzam Shah, Jalan Kuala Kedah. Manakala masa tidak berubah iaitu pada jam 8.30 malam. Juga dimaklumkan supaya dibawa bersama salinan kad pengenalan depan dan belakang atas kertas bersaiz A4 tanpa dipotong kerana pihak produksi akan menyimpannya sebagai dokumen.

    Untuk masuk ke kompleks tersebut sebenarnya kena ambil pas atau lapor diri di pondok pengawal terlebih dahulu. Sebelum ini telah beberapa kali saya ke sana sama ada untuk menandatangani kontrak penerbitan drama apabila naskhah yang dikemukakan hendak dirakam di studio. Ruhie memaklumkan bahawa Ida (Setiausaha Kreatif Utama Budaya Anak Seni – KUBAS) akan berada di sana bagi menyelesaikan masalah tersebut jika berlaku sebarang kesulitan. Dalam hati saya berkata, ‘KUBAS yang dihubungi oleh pihak produksi rupanya’.

    Lebih 10 tahun lalu iaitu sebelum diserang strok (angin ahmar) pada 17.9.1999 saya pernah beberapa kali terlibat dengan produksi drama sebagai extra juga selain ikut terlibat dengan teater. Aktiviti seumpama itu terhenti berikutan dengan kemelesetan ekonomi yang turut dirasa tempiasnya oleh kalangan syarikat penerbitan drama. Serangan strok yang saya alami juga telah membataskan penglibatan saya dengan bidang berkenaan.

    Lepas menunaikan solat fardu Maghrib, saya bergegas ke destinasi seperti yang dimaklumkan. Suasana lengang sahaja dan pondok pengawal tiada sesiapa sewaktu saya tiba. Seketika kemudian, Ruhie tiba bersama anaknya, Andi yang memandu motokar. Kami terus ke bangunan kompleks yang juga lengang. Lalu saya menelefon Saiful Azwan (Pon) iaitu suami Ida untuk mendapatkan sedikit maklumat dan dimaklumkan bahawa para anggota KUBAS sudah ada di auditorium. Lalu Ruhie ajak saya terus ke sana.

    Sewaktu tiba di luar auditorium didapati beberapa orang sudah berada di situ. Antaranya termasuklah Abu Bakar Ahmad, seorang yang telah beberapa kali terlibat dengan produksi drama tv dan teater. Saya lantas berbual dengannya. Antaranya ialah mengenai DJ RTM Kedah, Allahyarham Azarudin Othman (Pak Din) kerana bila berada di situ saya lantas teringat kepadanya. Mana tidaknya? Dialah yang telah menerbitkan drama berdasarkan naskhah drama radio sulung saya untuk slot Sandiwara Radiao berjudul ‘Sekali Bara Kugenggam’ lebih 10 tahun lalu. Sebak juga saya ketika itu.

    Hampir jam 10.00 malam barulah kelihatan para pelakon dan crew tiba dan kami diminta masuk ke auditorium untuk diberi taklimat. Saya disuruh menukar pakaian dengan memakai sut Melayu lengkap dengan sampin dan bersongkok.

    Setelah meneliti rupanya drama yang hendak dilakukan penggambaran itu diadaptasi daripada novel Sangeetha karya Azizi Haji Abdullah dan naskhahnya ditulis oleh Zakaria Ariffin (Zek).

    Saya diminta naik dan duduk di pentas mengambil peranan sebagai orang kenamaan bagi menjayakan anugerah kepada Sangeetha selaku Tokoh Warga Tua 2007. Sementara menunggu giliran beraksi saya menyuarakan teguran berhubung dengan pemakaian ungkapan Warga Tua yang kurang tepat. Ungkapan yang tepat ialah WARGA EMAS.

    Menurut pihak produksi ungkapan itu adalah berdasarkan naskhah yang sudah tentu bersandarkan sumber asal iaitu novel karya Azizi itu. Barangkali Azizi juga tidak menydari hal itu.

    Pada 7.9.2008 saya menonton sebuah drama di RTM berjudul RINDU BERLALU dan para pelakon antaranya Abu Bakar Omar, Badrul Munir, Rosnah Johari dan Abu Bakar Juah yang melakukan penggambaran di Pusat Jagaan Warga Emas Cheras lantas ingatan saya tersorot kepada produksi drama Sangeetha dan berharap tidak ada kritikan berhubung dengan penggunaan ungkapan Warga Tua itu bila ia ditayangkan kepada khalayak kelak.

    Saya juga dimaklumkan bahawa mengikut perancangan awal, penggambaran hendak dilakukan di Auditorium Taman Budaya, tetapi oleh sebab ia melibatkan kos terpaksalah dibuat di Auditorium RTM itu. Sebelumnya dirancang akan diadakan di Dewan Wawasan Jitra, juga tidak sesuai kerana ia terlalu luas.

    Melihat kepada kaedah penggambaran yang menggunakan landasan (dolly) saya nyatakan bahawa jika ia dibuat di Auditorium Taman Budaya tentulah timbul kesulitan yang agak serius. Di sana kata saya ruang di hadapan pentas yang sempit menyulitkan kerja-kerja penggambaran selain terdapat keadaan ‘cerun’ dari pintu ke pentas. Dengan keadaan sedemikian, kerja-kerja penggambaran bukan tamat menjelang jam 12.00 malam malah mungkin hingga dinihari.

    Pada kesempatan ini juga saya ingin menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Tan Sri Abdul Samad Ismail. Semoga ruhnya dicucuri rahmat serta dihimpunkan bersama mereka yang soleh. Alfatihah.

    ReplyDelete